Sunday, 22 October 2017

PAS WAJIB TERIMA CADANGAN INI JIKA IMPIAN MENANG 40 KERUSI DAN MENDUDUKI PUTRAJAYA BENAR2 MAHU DICAPAI

Segera berunding dengan UMNO, demikian gesaan veteran Pas, Mustaffa Ali kepada parti Islam itu.

Beliau yang sebelum ini pernah menjadi Setiausaha Agung dan Pengarah Pilihanraya Pas berkata, Pas wajar menyahut pelawaan yang sudah beberapa kali diluahkan UMNO untuk bekerjasama demi kepentingan negara ini.

Katanya,  kerjasama itu tidak semestinya memerlukan Pas masuk BN, tetapi parti itu perlu berunding dengan UMNO kerana Pas sudah tiada "chemistry"  lagi untuk bersama Pakatan Harapan.

Kata Mustaffa lagi, hasrat Pas untuk menjadi "king maker" dengan mengharapkan berlakunya Parlimen tergantung tidak mungkin berjaya kerana sistem pilihanraya kita tidak akan membenarkannya berlaku di mana pilihan hanyalah sama ada menjadi kerajaan atau pembangkang.

Memandangkan gesaan untuk bekerjasama ini diluahkan oleh Mustaffa yang pernah menjadi pemimpin kanan Pas, parti itu sebaik-baiknya menerima cadangan tersebut jika impian mahu memenangi 40 kerusi Parlimen dan menjadi menduduki Putrajaya, benar-benar menjadi kenyataan.

Bertanding tiga penjuru, berdepan BN dan PH, sebenarnya tidak menjanjikan kemenangan lebih daripada 10 kerusi kepada Pas. Malah, jumlah kerusi yang akan dimenangi Pas mungkin lebih buruk daripada itu.

Pas akan kalah teruk kepada calon UMNO di kawasan-kawasan yang pengundi Melayunya melebihi 90 peratus berikutan BN mempunyai kelebihan dari segi jentera, kewangan dan penguasaan media. 

Di kawasan pengundi campuran pula, kelebihan adalah kepada PH untuk menang melalui sokongan pengundi bukan Melayu yang amat ketara kepada DAP dan hilangnya keyakinan mereka kepada MCA, MIC atau Gerakan.

Dengan yang demikian, bertanding tiga penjuru sambil mengharapkan mampu menang 40 kerusi tidak lebih merupakan "impian kosong" dan "syok sendiri" bagi Pas. Ia tidak mungkin dicapai.

Dalam pertandingan tiga penjuru, meskipun BN masih ada peluang untuk mengekalkan kuasa, harapan PH jauh lebih cerah kerana perpecahan pengundi Melayu akan memberi keuntungan kepada gabungan pembangkang yang diketuai Tun Mahathir, sambil dibantu melalui sokongan padu pengundi-pengundi bukan Melayu.

Jalan mudah bagi Pas untuk memenuhi impiannya menang 40 kerusi Parlimen hanyalah melalui kerjasama dengan UMNO di mana UMNO tidak meletakkan calon, sebaliknya memberi sokongan penuh kepada Pas di kerusi-kerusi  yang akan ditandingi parti itu.

Calon-calon Pas yang dibantu oleh jentera dan dengan sokongan ahli-ahli  UMNO adalah lebih untuk menang ketika berlawan dengan calon PH, berbanding jika berlaku pertandingan tiga penjuru.

Sebagai imbalan kerana UMNO tidak meletakkan calon di kerusi-ketusi  yang Pas bertanding, maka Pas mestilah juga tidak meletakkan calon di semua kerusi yang akan ditandingi oleh UMNO.

Calon UMNO yang dibantu oleh jentera dan sokongan ahli Pas turut lebih mudah  untuk menang ketika berdepan calon PH, berbanding dalam pertandingan tiga penjuru.

Selepas masing-masing menang, mereka bolehlah membentuk kerajaan campuran berteraskan Melayu dan Islam yang ditunjangi oleh UMNO dan Pas. 

Akhirnya, bukan saja impian Pas untuk menang 40 kerusi akan tercapai, malah cita-cita menduduki Putrajaya juga akan terlaksana.

Lebih dari itu, cita-cita Pas untuk membantu Najib mengekalkan kuasa dan memastikan kezaliman Tun Mahathir tidak berulang, dengan sendirinya juga menjadi kenyataan.

Mudah bukan memahami cadangan Mustaffa itu?

Lalu, kenapa Pas masih bersusah-payah mahu bertanding tiga penjuru sedangkan jalan mudah untuk memenuhi impian dan cita-citanya sudah terbentang di depan mata? (ShahbudinHusin 22/10/2017)

KETUA POLIS NEGARA PERLU SEGERA BERSUARA


Sejak Peguam Negara, Apandi Ali mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas untuk memantau penyiasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad, belum terdengar lagi reaksi pihak polis mengenai perkara itu.

Dzulkifi, sebagaimana yang disebut oleh Ketua Polis Negara, Mohamad Puzi Harun sebelum ini, sedang disiasat dibawah Seksyen 489 Kanun Keseksaan iaitu memikat wanita yang sudah bersuami dengan niat untuk melakukan persetubuhan haram.

Di bawah seksyen berkenaan, jika didapati bersalah, pesalah akan berdepan hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sehingga ini sudah tiga video mengenai skandal Dzulkifli itu tersebar di youtube dan laporan polis oleh orang awam juga turut dibuat terhadap beliau.

Berikutan itu, siasatan sedang dijalankan oleh pihak polis untuk menentukan kebenaran segala dakwaan itu, selain untuk mengetahuo siapakah yang menyebarkan video-video berkenaan.

Bagaimanapun, ketika siasatan masih di peringkat awal, Apandi Ali kemudiannya mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas untuk memantau siasatan pihak polis itu.

Penubuhan pasukan petugas khas untuk memantau siasatan pihak polis berhubung dakwaan salah laku dan kesalahan jenayah biasa terhadap seseorang individu, terlihat sungguh luar biasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Pihak polis seharusnya diberikan kebebasan penuh untuk menjalankan siasatan tanpa gangguan atau campurtangan mana-mana pihak sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Pejabat Peguam Negara sepatutnya hanya menunggu saja kertas siasatan diserahkan kepada mereka untuk menentukan sama ada pendakwaan akan  dilakukan atau sebaliknya.

Tidak munasabah bagi Pejabat Peguam Negara untuk campurtangan lebih awal di peringkat siasatan yang biasanya hanya dijalankan oleh pihak polis untuk melakukannya.

Apa perlunya Pejabat Peguam Negara mahu memantau siasatan, sedangkan mereka boleh menunggu kertas siasatan pihak polis itu diletakkan di atas meja mereka sebaik penyiasatan selesai dijalankan?

Adakah tindakan itu kerana kedudukan Dzulkifli sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM atau disebabkan beliau merupakan bekas kakitangan Pejabat Peguam Negara sebelum ini?

Rata-rata masyarakat amat meragui niat dan nawaitu di sebalik keputusan Apandi Ali mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas tersebut.

Masyarakat seolah-olah sudah dapat menjangka apa hasil siasatan nanti berikutan adanya pasukan petugas khas yang diwujudkan untuk memantau siasatan polis itu.

Dalam hal ini, demi nama baik dan intergriti pihak polis, Ketua Polis Negara, Mohamad Puzi Harun perlu segera bersuara menyatakan pendiriannya mengenai penubuhan pasukan petugas khas itu.

Jika setuju, katalah setuju tetapi sekiranya beliau tidak bersetuju dan merasakan langkah itu bakal menjejaskan nama dan intergriti pasukan pihak polis, Mohamad Puzi mesti berani menyatakan pendiriannya.

Beliau tidak harus hanya berdiam diri dan akur dengan segala tindakan pihak lain yang akhirnya akan menjejaskan nama baik pihak polis sendiri.

Tampillah bersuara wahai KPN!!! (ShahbudinHusin 22/10/2017)

Saturday, 21 October 2017

BILA PULA HADI MAHU BERTAUBAT DAN MINTA MAAF?


Selain menyimpulkan mengundi Pakatan Harapan sama seperti mengiyakan kezaliman lama Tun Mahathir Mohamad, Presiden Pas Hadi Awang juga menuntut bekas Perdana Menteri itu agar bertaubat dan meminta maaf.


Kata beliau, bekas Perdana Menteri itu sepatutnya bertaubat kerana menjadi punca kepada kerosakan sistem negara, pengurangan kuasa Raja-Raja, amalan demokrasi yang tempang dan menjadi diktator ketika zamannya.


"Semua kesalahan ini beliau tidak mengaku dan tidak meminta maaf kepada mangsa, bahkan masih lagi mempertahankan salah lakunya. Ini menunjukkan beliau tidak jujur untuk selamatkan Malaysia.


"Yang beliau mahu adalah jatuhkan Najib sahaja. Hakikatnya, mengundi DAP, PKR, Amanah dan Bersatu adalah sama dengan mengundi dan mengiyakan kezaliman Mahathir," kata Hadi.

Memang tidak dinafikan ketika Tun Mahathir berkuasa dahulu, terdapat beberapa kelemahan atau ketidakwajaran yang telah dilakukannya.


Tetapi, sebahagian daripada ketidakwajaran itu, beliau bukan saja sudah mengakuinya, bahkan turut meminta maaf dengannya.


Ini menunjukkan beliau bukan saja ikhlas untuk menyelamatkan Malaysia daripada kerosakan yang dilakukan oleh Najib, bahkan tiada sebab lagi untuk terus meraguinya.


Terus meragui dan mempertikai perjuangan Tun Mahathir bersama Pakatan Harapan untuk menyelamatkan Malaysia tidak lain hanyalah kerana terlebih sayang kepada Najib berbanding masa depan negara, sedangkan pelbagai kerosakan dan kesengsaraan yang dilakukannya amat nyata.


Berkaitan pengurangan kuasa Raja-Raja, Tun Mahathir sebenarnya sudah pun meminta maaf kepada Agong pada 25 Ogos 2016 yang lalu.


Beliau meminta maaf berikutan tindakannya mengurangkan kuasa Raja-Raja melalui pindaan perlembagaan itulah yang akhirnya menyebabkan Akta Majlis Keselamatan Negara dipinda oleh Najib yang membolehkannya mengisytiharkan darurat di kawasan-kawasan tertentu, meskipun tidak ditandatangani oleh Raja-Raja.

Berhubung apa yang dilakukannya kepada Anwar Ibrahim, Tun Mahathir telah pun mengunjungi bekas Timbalan Perdana Menteri di mahkamah beberapa kali dan bersalam-salaman dengannya. 


Meskipun tiada kata maaf diungkapkan secara nyata, kesediaan Anwar menerima kunjungan Tun Mahathir secara empat mata dan bersalaman dengan erat memperlihatkan hubungan mereka sudah kembali jernih seperti sediakala.


Selain Anwar berkali-kali sudah memaafkan dan mengatakan tiada dendam antara beliau dengan Tun Mahathir, malah menganggap apa yang dialaminya hanya luka kecil, hubungan yang mesra antara Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah dengan bekas Perdana Menteri itu sekarang dan Tun Mahathir juga menerima mereka seadanya, hakikatnya tiada apa-apa isu lagi tentang hubungan kedua-dua pemimpin berkenaan.


Begitu juga pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan lain yang pernah dipenjara atau dikenakan tindakan lain semasa era kepimpinan Tun Mahathir, mereka turut menunjukkan jiwa besar dengan sedia memaafkan apa yang pernah berlaku kepada mereka dahulu.


Ia bukan saja kerana mereka sama-sama menyedari bahawa Najib jauh lebih penting untuk disingkirkan daripada memikirkan kesalahan lalu Tun Mahathir, malah ianya jua akan dijadikan ramuan penting untuk memastikan kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihanraya akan datang.


Dengan beberapa bukti di atas, tuntutan Hadi bahawa Tun Mahathir perlu bertaubat dan meminta maaf sebenarnya tidak lagi berbangkit. Selain Tun Mahathir sudah melakukannya, pihak yang terlibat turut memaafkannya.


Sebaliknya, terlanjur Hadi sendiri mengungkit kezaliman lama Tun Mahathir, apakah beliau sendiri pernah bertaubat dan meminta maaf berhubung kezalimannya kepada umat Islam dengan mengeluarkan "Amanah Hadi"  pada tahun 1981 dahulu?

Tidakkah beliau sedar melalui amanatnya itulah umat Islam negara ini berpecah, ramai yang taksub dan menjadi ekstrem, berlakunya kejadian sembahyang dua imam, kafir-mengkafir, memulaukan kenduri-kendara, tidak makan sembelihan sesama Islam yang berlainan parti dan sehingga kepada bercerai-berai dalam rumahtangga?


Berdasarkan kesan daripada amanat tersebut masih berlarutan sehingga sekarang dan Hadi sekarang sudah berbaik-baik dengan Najib dan UMNO, bukankah lebih baik jika beliau turut sama bertaubat dan meminta maaf kepada ahli-ahli UMNO berhubung perkara itu?


Jika pun Hadi tidak mahu bertaubat dan meminta maaf, apakah orang-orang UMNO sendiri pernah memaafkannya seperti mereka yang terkesan dengan tindakan Tun Mahathir yang sedia memberi kemaafan?


Atau, kiranya Hadi masih berpegang kepada amanatnya itu, beranikah beliau mengulangi membacanya di mana-mana ceramah Pas selepas ini?


Jadi, sebelum Hadi meminta Tun Mahathir bertaubat dan meminta maaf, suatu perkara yang sebenarnya sudah pun lebih awal dilakukan oleh bekas Perdana Menteri itu, ada baiknya Presiden Pas menujukan kata-kata tersebut kepada dirinya sendiri. 


Barulah ia dinamakan cakap serupa bikin sepertimana yang dituntut oleh Islam. (ShahbudinHusin 21/10/2017).

BUKAN TUN MAHATHIR, TAPI NAJIBLAH YANG SEBENARNYA MEMALUKAN BUGIS


"Saya tak hina orang Bugis, orang Bugis ada yang baik, tapi penyangak pun ada juga...

"Salah ke cakap begitu? Takkan orang Bugis nak kata di kalangan orang Bugis tak ada penyangak?

"Ada...?"

Demikian jawapan mudah dan ringkas oleh Tun Mahathir Mohamad berhubung pelbagai luahan tidak puas hati beberapa kelompok orang Bugis yang menuduh beliau telah menghina mereka dalam ucapannya.

Jika difahami dan diteliti ucapan beliau dalam Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptoktasi baru-baru ini, itulah sebenarnya maksud yang mahu disampaikan oleh Tun Mahathir.
Hanya orang Bugis tertentu saja yang jadi terlebih sensitif kerana mereka jelas ingin membodek dan mengampu Najib Razak.

Jika mereka rasional, ucapan Tun Mahathir itu sebenarnya tidak ada apa-apa yang salah. 

Dalam kelompok mana pun, ada yang jahat dan ada yang baik. Ada yang rajin beribadat dan ada juga yang penyangak.

Orang Arab yang merupakan keturunan Nabi Muhammad SAW  pun begitu juga - ada yang baik dan ada yang jahat. 

Yang kita ikuti dan jadikan teladan ialah peribadi baik seperti Nabi, bukannya seperti Abu Jahal atau Abu Lahab.

Kalau orang Bugis tidak boleh dikritik, bermakna orang Arab jauh lebih tidak boleh disentuh.

Adakah begitu yang yang kita mahu?

Dalam hal ini, oleh kerana Najib telah dikaitkan dengan pelbagai skandal kewangan terbesar di dunia sehingga digelar pencuri, perompak dan penyamun wang rakyat, malah Tun Mahathir sendiri berkali-kali menyebut ungkapan tersebut, yang sebetul-betulnya telah memalukan keturunan Bugis ialah Perdana Menteri sendiri.

Beliau mengaku berketurunan Bugis setelah tembelang skandal 1MDB dan kemasukan berbilion wang ke dalam akaun peribadinya terdedah kepada umum.

Jika Najib tidak melakukan semua perkara itu, nama Bugis tidak akan tercemar. Mereka sebelum ini dikenali sebagai pahlawan yang kuat. Hanya kerana adanya Najiblah, baru Bugis mula dikaitkan dengan perkara-perkara tidak baik itu.

Maka, bukan Tun Mahathir yang memalukan Bugis, sebaliknya Najib yang menjadikan nama kaum Bugis menjadi buruk. 

Orang Bugis patut mula berasa malu dengan Najib dan berterima kasih kepada Tun Mahathir kerana beliau kini sanggup berjuang mahu membuang "orang itu" yang telah memalu dan memberi nama buruk kepada seluruh Bugis.

Hanya setelah "orang itu"  dapat disingkirkan dan seterusnya diadili, barulah nama Bugis akan kembali harum dan wangi seperti sebelumnya. (ShahbudinHusin 21/10/2017)

Friday, 20 October 2017

LEBIH BAIK HADI CAKAP BEGINI SAJA - MARILAH BERSAMA-SAMA PAS MEMENANGKAN BN


Walaupun tidak dizahirkan secara rasmi, kecondongan Pas kepada UMNO dan BN serta keinginan mahu melihat Najib Razak terus kekal sebagai Perdana Menteri semakin sukar untuk disangkal.

Satu demi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan parti itu, jika disoroti, semuanya lebih menjurus ke arah untuk memastikan Najib tidak kecundang dalam pilihanraya akan datang.

Pas seolah-olahnya lebih rela mereka sendiri yang kalah asalkan yang menang ialah Najib.

Sama seperti UMNO dan BN yang tidak rela melihat Pakatan Harapan dan Tun Mahathir Mohamad menduduki Putrjaya, Pas juga sedemikian adanya.
Lantaran itu, meskipun Pas merupakan sebahagian daripada pembangkang, tetapi yang dimusuhi mereka bukanlah UMNO dan BN, sebaliknya adalah Pakatan Harapan yang merupakan sesama pembangkang juga.

Boleh dikata tidak ada, kecuali oleh Tuan Ibrahim Tuan Man, serangan daripada Pas yang ditujukan kepada UMNO dan BN. 

Dalam beberapa keadaan, Pas hanya mendiamkan diri terhadap sekian banyak kemungkaran dalam negara, termasuk kecurian wang berbilion-bilion yang diperkatakan di seluruh dunia.

Tetapi, sedikit saja ada ruang untuk menyerang Pakatan Harapan, mulut pimpinan Pas melakukan serangan macam bertih jagung jadinya.

Beberapa lama ini sebelum ini, Pas mengatakan mengundi Pakatan Harapan sama seperti mengundi DAP. 

Nada itu sama seperti apa yang dimainkan UMNO, meskipun hakikatnya mereka sedar DAP hanyalah bertanding 52 kerusi Parlimen saja dan saingannya pula adalah MCA, MIC atau Gerakan yang jelas merupakan parti-parti bukan Melayu dalam BN sendiri.

Pas yang dulunya bertemakan Islam dan menolak kebangsaan atau assabiyah, kini Islamnya entah ke mana, tetapi Melayunya kadang-kadang lebih daripada UMNO sendiri.

Sementara UMNO hanya berbaju Melayu dan bersamping songket, Pas siap bertanjak dan berkeris untuk memperlihatkan keMelayuannya.

Mungkin kerana agaknya gaya serangan kepada DAP itu tidak berapa jalan, kali ini Hadi sendiri mengatakan mengundi Pakatan Harapan adalah sama seperti mengiyakan kezaliman Tun Mahathir semasa berkuasa dahulu.

Kenyataan ini dengan sendirinya mengesahkan lagi bahawa Pas memang mahu menolong BN dan tidak mahu Pakatan Harapan menang dalam pilihanraya akan datang.

Tidakkah Pas sedar kezaliman Tun Mahathir dahulu adalah kezaliman UMNO dan BN, manakala Tun Mahathir kini sudah bersama Pakatan Harapan yang mahu melakukan reformasi institusi dan menyelamatkan negara?

Jika kezaliman Tun Mahathir dahulu yang ditakuti, Pas sepatutnya menolak UMNO dan BN kerana Najib adalah pewarisnya. Dahulu Najib menyokong kezaliman Tun Mahathir, sekarang beliau sendiri mengetuai kezaliman itu.

Maka, Najib jauh lebih wajib untuk ditolak dan ditakuti berbanding Tun Mahathir.

Tun Mahathir sebaliknya sudah meninggalkan kezaliman itu dan mahu berjuang untuk memperbaikinya.

Pilihanraya sudah terlalu dekat tarikhnya. Pas atau Hadi Awang tidak perlu terus berselindung di sebalik serangan kepada DAP atau Tun Mahathir untuk menyatakan sokongan kepada Najib, UMNO dan BN.

Lebih baik saja berterus-terang begini - marilah bersama-sama Pas untuk mengalahkan Pakatan Harapan dan memenangkan BN.

Najib menang, Pas pun senang.

Erghhhhhhh.....ehhh tiba-tiba sendawa pulak!! (ShahbudinHusin 20/10/2017)

SHAHRIR SAMAD LETAK JAWATAN PENGERUSI FELDA?


Ke mana Shahrir Samad menghilang? 

Masihkah beliau ada sebagai Pengerusi Felda atau sudah meletakkan jawatan?

Barangkali itu soalan yang bermain di fikiran ramai orang ketika ini berikutan beliau masih gagal memberikan sebarang respon atau jawapan terhadap beberapa siri pendedahan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berhubung status pemilikan harta-harta Felda di London.

Sudah lebih seminggu berlalu sejak pendedahan pertama dibuat oleh Rafizi, namun sehingga ini kita masih belum mendengar lagi sebarang jawapan balas daripada daripada Shahrir mahu pun Felda.
Mengapa mengambil masa terlalu lama?

Pendedahan Rafizi pada hakikatnya mudah saja - siapa sebenarnya pemilik semua hotel dan harta Felda di London itu?

Kenapa ia dinamakan atas syarikat yang didaftarkan di British Virgin Island dan ia pula didapati berbeza dengan syarikat yang tertera dalam laporan kewangan Felda sendiri?

Berdasarkan maklumat terbaru yang didedahkan semalam lebih mengejutkan kerana  syarikat yang didaftarkan di British Virgin Island itu sudah dibubarkan kerana yurannya tidak dibayar, jadi bagaimana dengan harta-harta tersebut?

Adakah harta-harta itu sudah dipindah-milik kepada syarikat lain atau diletakkan atas nama sesiapa?

Kenapa yuran tahunan syarikat tidak dibayar, sedangkan ia memiliki harta yang bernilai berjuta-juta ringgit?

Susahkah untuk Shahrir memberi semua jawapan kepada pertanyaan mudah Rafizi itu?

Apakah Felda tidak mempunyai fail dan rekod berkenaan harta-hartanya?

Oleh kerana Shahrir sudah mengumumkan sebelum ini bahawa Felda mahu menjual semua harta-harta tersebut untuk mengukuhkan aliran tunainya, bagaimana beliau mahu menjualnya  jika pertanyaan tentang siapa pemilik harta pun tidak mampu diperjelaskan?
Kalau tidak ketahuan siapa pemilik semua harta itu dan tidak mampu memberikan jawapan sebagaimana pertanyaan Rafizi, apa sebenarnya yang mahu dijual oleh Shahrir?

Mungkinkah semua harta tersebut sebenarnya tidak pernah menjadi milik Felda atau sudah lama terjual sebelum ini, walaupun duit untuk membelinya datang daripada kocek Felda?

Adakah ini yang menjadi punca mengapa Tun Mahathir Mohamad dalam ucapannya di Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi baru-baru ini mengumumkan dalam tempoh 100 hari selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan, selain RCI 1MDB, RCI  Felda juga akan segera ditubuhkan? 

Daripada terus berdiam diri, bukankah lebih baik Shahrir meletakkan jawatan saja dengan segera? (ShahbudinHusin 20/10/2017)

Thursday, 19 October 2017

APA PERLUNYA SIASATAN POLIS DIPANTAU OLEH PASUKAN PETUGAS KHAS?

Ramai kini bingung dan tertanya-tanya berhubung langkah Pejabat Peguam Negara menubukan pasukan petugas khas bagi memantau siasatan polis terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad.


Peguam Negara dalam pengumumannya berkata, pasukan petugas khas itu ditubuhkan pada 16 Oktober lalu dengan tujuan untuk memantau dengan teliti siasatan polis berhubung dakwaan salah laku Dzulkifli di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan iaitu memikat wanita yang sudah bersuami dengan niat untuk melakukan persetubuhan haram.


Serentak dengan itu, Apandi menasihatkan semua pihak agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan siasatan.


Dengan kata lain, jika sebelum ini Ketua Polis Negara, Mohamad Puzi Harun ada mengeluarkan beberapa kenyataan berhubung siasatan terhadap Dzulkifli, mulai hari ini beliau tidak boleh lagi berbuat demikian.


Dengan langkah menubuhkan pasukan petugas khas itu, di mana sebenarnya kewajaran ia dilakukan?


Apakah pihak polis tidak lagi dipercayai dalam melaksanakan tugasnya menjalankan siasatan sedangkan  sudah sekian banyak kes-kes besar sebelum ini dapat mereka selesaikan dengan jayanya?


Kenapa dalam kes Dzulkifli ini pihak polis tidak diberikan kebebasan menjalankan siasatan dan melaksanakan tugas mereka?


Apakah amalan biasa sebarang siasatan polis perlu dipantau oleh pasukan petugas khas, lebih-lebih lagi dalam kes yang hanya melibatkan jenayah biasa di bawah kesalahan Kanun Keseksaan?


Siapakah pula yang dilantik menganggotai pasukan petugas khas tersebut?


Dalam pada itu, kebimbangan paling utama orangramai ialah apakah mungkin pasukan petugas ini nanti akan  berakhir sama seperti pasukan petugas khas untuk menyiasat 1MDB sebelum ini yang akhirnya dibubarkan tanpa apa-apa hasil? (ShahbudinHusin 19/10/2017)

PILIHAN BUAT KETUA PESURUHJAYA SPRM - AMBIL CUTI, LETAK JAWATAN, TERUS BERTAHAN ATAU KAHWIN?


Berikutan pengesahan Ketua Polis Negara, Mohamad Puzi Harun bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad ketika ini sedang disiasat oleh PDRM berhubung dakwaan mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita yang dipercayai masih bersuami, kedudukan beliau sekarang nampaknya tidak lagi "cantik" di mata umum.


Daripada sosok yang digeruni kerana melakukan tangkapan demi tangkapan berkaitan rasuah, beliau kini sebaliknya menjadi cemuhan terbuka di mana-mana saja berhubung dakwaan yang dikaitkan dengannya itu.


Bermula dengan tersebarnya video mengenai hubungan beliau dengan wanita berkenaan dan kemudian beberapa video lain yang menunjukkan mereka bercuti bersama serta aksi berpeluk dan berpegangan tangan di Bali, Dzulkifli kini hanya ada empat pilihan untuk pertimbangannya.

Pertama, beliau sebaiknya mengambil cuti sementara sehingga pihak polis selesai menyisatnya di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada kesalahan menggoda wanita yang sudah bersuami untuk tujuan mengadakan hubungan haram.


Hukuman bagi kesalahan berkenaan akan berdepan hukuman penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.


Berdasarkan video yang tersebar itu, Dzulkifli dipercayai bercuti bersama dengan pasangannya di Bali pada Julai lalu, sementara wanita berkenaan baru berpisah dengan suaminya pada hujung September.


Maklumat di media sosial juga menghebahkan wanita berkenaan adalah rakan setugas Dzulkifli ketika di Jabatan Peguam Negara dahulu, tetapi kini dikatakan sudah berpindah kerja di sebuah syarikat minyak sebagai Pengurus Undang-undang.


Maka, sementara siasatan terhadapnya dijalankan, Dzulkifli harus mengambil cuti bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan serta demi menjaga wibawa dan nama baik SPRM yang sedang diterajuinya.


Ruang seluas-luas dan seadil-adilnya harus diberi kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan, dan sekiranya setelah siasatan selesai dan didapati tidak bersalah, beliau bolehlah kembali semula kepada jawatan asalnya.


Tetapi, sementara siasatan sedang berjalan, adalah tidak molek sama-sekali Dzulkifli terus ada di SPRM.

Kedua, tindakan paling terpuji dan terhormat ialah Dzulkifli mesti meletakkan jawatan secara serta-merta sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. 


Dengan kapasiti mengetuai SPRM yang memerlukan penerajunya mempunyai wibawa dan intergriti yang tidak dipersoalkan, meletakkan jawatan menunjukkan beliau lebih mengutamakan SPRM berbanding dirinya sendiri.


Selagi Dzulkifli berada di tempatnya sekarang, selagi itulah kerjanya akan sentiasa dipersoalkan, malah melangkah keluar daripada rumahnya saja beliau sudah berdepan dengan konflik dalaman terhadap dirinya sendiri.


Atas keadaan sebegitu, bagaimanakah beliau mampu menjalankan tugasnya dengan baik dan cemerlang?


Maka, meletakkan jawatan dengan segera akan serta-merta membersihkan nama SPRM daripada terkait dengan dakwaan yang dikaitkan dengannya. 


Ia juga membolehkan siasatan yang seadil-adilnya dijalankan dan sekiranya Dzulkifli didapati bersalah kemudiannya, setidak-tidaknya nama SPRM tidak terpalit sama.


Ketiga, memandangkan wanita yang dibawanya bercuti itu sekarang ini sudah berpisah dengan suaminya, Dzulkifli sebagai lelaki sejati harus memikul beban pertanggungjawaban moral dengan menjadikannya sebagai isterinya yang sah.


Jika beliau ketika ini sudah ada satu isteri, jadikanlah sebagai isteri kedua dan sekiranya sudah dua isteri, jadikannya yang ketiga.


Melihat kepada pendedahan dalam video yang tersebar, Dzulkifli dengan wanita berkenaan bukan saja menaiki penerbangan bersama, bahkan rekod juga menunjukkan pendaftaran bersama bilik hotel di Bali.


Sekiranya semua yang terpapar dalam video itu adalah benar, termasuk aksi berpeluk dan berpegangan tangan, perbuatan itu bukan saja salah sebagai seorang muslim, tetapi juga memusnahkan intergitinya sebagai penjawat awam yang mengetuai SPRM yang semestinya ada intergriti, moral, bersih serta kelihatan bersih.


Itu belum dikira lagi apa terjadi di dalam bilik hotel yang hanya Tuhan saja yang tahu apa berlaku.


Mudah-mudahan dengan berkahwin dan kemudian bertaubat kepada Tuhan, kiranya benar dosa-dosa itu telah terlanjur dilakukan, Dzulkifli dan keluarganya akan mendapat keampunan dan keredhaan di baki-baki usianya yabg tinggal.

Keempat, tindakan paling teruk  dan terburuk yang boleh dilakukan oleh Dzulkifli ialah terus bertahan dengan jawatannya sekarang. Beliau boleh saja mengatakan ianya sebagai taktik kotor, jijik, usaha untuk membunuh karektornya atau apa saja dalih yang lain.


Tetapi, persoalan yang perlu beliau jawab dengan jujur dan ikhlas ialah, apakah benar atau tidak beliau mempunyai hubungan terlarang dan melakukan perkara-perkara seperti yang terkandung dalam video  berkenaan?


Jika perbuatan itu sendiri gagal dinafikan, apakah wajar menuding seluruh kesalahan kepada pihak yang melakukan serangan?


Dalam pada itu, risiko paling parah yang bakal dihadapi dengan Dzulkifli terus ingin bertahan ialah kepercayaan dan penghormatan orangramai sudah tiada lagi terhadapnya. 


Apa saja yang dilakukan untuk mencegah rasuah atau menangkap sesiapa, akan dilihat sebagai percubaan untuk menutup kesalahannya sendiri.


Melihat kepada apa yang terpampang dalam video berkenaan, sukar bagi sesiapa pun menafikan kebenaran atau setidak-tidaknya ada fakta kebenaran di sebaliknya.


Lalu, sampai bilakah kerajaan mampu mempunyai seorang Ketua Pesuruhjaya SPRM yang sedemikian rupa, jika Dzulkifli tetap berkeras untuk bertahan dengan jawatannya?


Kepada Dzulkifli, jika sebelum ini beliau pernah melontarkan amaran bahawa "rakyat memerhati" berikutan ada parti-parti politik yang menolak untuk mengemukakan senarai calon PRU 14 untuk ditapis terlebih dahulu oleh SPRM, kini beliau harus sedar bahawa seluruh rakyat juga sedang dan lebih memerhatikannya.


Buatlah pilihan dengan segera kerana lagi lama bertangguh, mungkin lebih buruk keadaan dan nama SPRM sendiri akan terus terbeban. (ShahbudinHusin 19/10/2017)

Wednesday, 18 October 2017

SINDIRAN OTAK SENGET


Sejak timbulnya isu Tun Mahathir Mohamad mengaitkan Najib Razak dengan keturunan lanun Bugis, antara pihaknya yang nampaknya cukup melenting ialah Pas.


Dalam mengatakan musuh Pas tetap UMNO dan BN, tetapi nampaknya sayang mereka kepada Najib seperti sukar untuk disembunyikan.


Terkadang, rasa sayang pemimpin Pas lebih daripada perasaan sayang kepada  Hadi Awang sendiri. Seolah-olah sakit paha kanan Najib kena cubit, automatik paha kiri mereka terasa juga.


Ada yang meminta Tun Mahathir ditahan dibawah Akta Hasutan hanya kerana ungkapan lanun Bugis itu, sedangkan dulunya Pas adalah antara yang paling lantang mahu akta tersebut dimansuhkan.


Sayang punya pasal, sampai lupa segala-galanya.


Seorang pemimpin Pas lain pula mengatakan hanya orang "otak senget" saja yang akan mengeluarkan ungkapan seperti lanun Bugis itu.


Dalam sekian banyak jawapan balas mengenai lanun Bugis itu, apa yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, ternyata paling menarik sekali.


Beliau menjawabnya dengan membawa satu cerita yang mempunyai maksud sindiran yang tajam dan bagai menikam hingga ke tulang hitam kepada orang yang berkenaan.


Di bawah ini dikongsikan tulisan Hanipa Maidin itu yang dipetik daripada laman Faceboknya, Peguam Pas - Dulu.


1. Ada satu cerita saya nak kongsi. 

Ia kisah seorang murid yang tak naik kelas. Lalu, dia protes kpd guru dia. Maka guru dia kata "jika kamu nak naik kelas, saya nak uji kamu terlebih dahulu".


2. Maka guru itu guna kapur lukis satu objek kecil di papan hitam. Guru itu kemudian soal anak murid itu " Apa yg kamu nampak di hadapan kamu? Murid tu jawab "Saya nampak sebuah objek kecil yang cikgu baru lukis di papan hitam itu."


3. Sambil tersenyum cikgu dia jawab" Sebab tu lah kamu tak naik kelas! Saya tanya apa kamu nampak di hadapan kamu ..kamu hanya nampak objek kecil yang saya lukis ...tapi kamu tak nampak papan hitam yang besar dan luas itu!!!"


4. So, mcm tulah setengah pemimpin parti suci..Mereka hanya sibuk nampak perkataan "Bugis" drp mulut Tun M dan kemudian meracau, yang Tun sebut berulang kali bahawa MO1 adalah pencuri, penyangak dan lanun kerana rompak wang rakyat M'sia dalam isu 1MDB depa tak nampak!!!!!


P/S: Tak perlu sengetkan otak anda utk baca fb ini..


Apa agaknya mereka rasa selepas membaca coretan cerita Hanipa di atas? (ShahbudinHusin 18/10/2017)

SIAPA PUNYA ANGKARA TAKTIK KOTOR DAN JIJIK INI?


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad akhirnya tampil bersuara berhubung dakwaan mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita yang dikatakan sudah bersuami sebagaimana yang terkandung dalam video yang telah tersebar luas sejak lebih seminggu yang lalu.

Menyifatkannya sebagai taktik kotor dan jijik, Dzulkifli sebaliknya bertegas tidak akan tunduk kepada serangan berkenaan.

Katanya, beliau akan kekal tegas dalam usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa serta tidak akan membenarkan taktik kotor dan jijik berkenaan mengganggu tugas yang telah diamanahkan kepadanya.

Tindakan-tindakan kami tidak akan terjejas dengan serangan kotor dan jijik seperti ini, ujarnya.
Alhamdulillah, semua pihak tentunya menyokong usaha SPRM memerangi rasuah sebagaimana yang ditegaskannya itu, dengan syarat ia mestilah dilakukan dengan jujur, ikhlas dan tanpa memilih bulu.

Tetapi, ada dua perkara dalam isu yang melibatkan Dzulkifli dan penjelasan yang ditampilkannya itu.

Pertama, sementara menyifatkan penyebaran video berhubung dirinya itu sebagai taktik kotor dan jijik, beliau sebenarnya masih tidak menjawab persoalan-persoalan yang sedang bermain di fikiran masyarakat ketika ini.

Antaranya, beliau masih  tidak menjelaskan sama ada benar atau tidak dirinya mempunyai hubungan intim dengan wanita berkenaan yang didakwa ketika itu masih lagi bersuami dan betulkah juga  gambar-gambar yang tersebar mengenai percutiannya ke Bali itu?

Daripada satu segi, mendedahkan keaiban orang lain memanglah suatu perbuatan yang tidak baik, tetapi mempunyai hubungan terlarang dengan wanita lain, apa lagi jika benar sudah bersuami dan dalam wibawa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang disanjung tinggi oleh masyarakat sehingga diberi penghormatan menyampaikan khutbah Jumaat mengenai rasuah, tentulah juga suatu tingkah laku yang kotor dan jijik.

Oleh yang demikian, tampilnya Dzulkifli hanya dengan mengatakan serangan terhadapnya itu sebagai taktik kotor dan jijik belum lagi memadai sehinggalah beliau berterus-terang mengenai hubungannya dengan wanita berkenaan.

Kalau "ya", katalah "ya" dan kalau "tidak", katalah "tidak" berserta dengan hujah dan bukti-buktinya sekali. 

Kiranya Dzulkifli hanya lelaki biasa dan tidak memegang apa-apa jawatan penting dalam kerajaan, menjalin hubungan dengan siapa pun barangkali adalah hal peribadinya, tetapi memandangkan jawatan dan kedudukannya ialah untuk "membersih dan menanggalkan kekotoran" dalam masyarakat, dari segi moralnya beliau mestilah juga seorang yang bersih dan dilihat bersih terlebih dahulu.

Jika tidak, bukan saja tugasnya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak lagi dihormati, malah tentu saja tiada mana-mana akan mengundangnya membaca khutbah Jumaat lagi selepas ini.

Yang kedua, jika benar penyebaran video berkenaan merupakan taktik kotor dan jijik untuk membunuh karektornya sebagai panglima dalam memerangi rasuah di negara ini, siapakah yang paling mungkin melakukan perbuatan itu?
Adakah ia dilakukan oleh parti-parti pembangkang seperti dakwaan sesetengah pihak yang kononnya mulai gentar atas ketegasan Dzulkifli dan SPRM dalam memerangi rasuah sejak kebelakangan ini?

Jika demikian, antara pemimpin UMNO dan kerajaan, pegawai-pegawai awam, mereka dalam GLC, orang yang dekat dengan menteri dan dibandingkan dengan pemimpin-pemimpin pembangkang, siapakah yang lebih ramai disiasat dan ditangkap oleh SPRM?

Parti manakah yang diketahui pernah menyuarakan kebimbangan mengenai ketegasan Dzulkifli dalam menangkap orang-orang tertentu dan dikaitkan dengan keputusan pilihanraya akan datang dalam mesyuarat tertingginya, selain daripada UMNO?

Jika diteliti juga, tidakkah pemain media sosial pro UMNO sendiri yang mula-mula menyebarkan video berkenaan sambil menuntut Dzulkifli agar tampil memberi penjelasan dan kemudiannya menyarankan beliau supaya bercuti buat sementara untuk menyelesaikan kes peribadinya itu?

Akhirnya, jika benar penyebaran video itu merupakan taktik kotor dan jijik, apakah tidak mustahil ia turut boleh dikaitkan dengan SPRM yang sebenarnya masih perlu menghantar laporan kepada Jabatan Peguam Negara berhubung dana RM42 juta daripada SRC International yang mengalir masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri? 

Atau video berkenaan disebarkan oleh pihak-pihak lain yang tiada kaitan dengan SPRM atau usaha memerangi rasuah, tetapi lebih bersifat peribadi? 
(ShahbudinHusin 18/10/2017).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...