Monday, 25 June 2018

PERWAKILAN UMNO TOLAK KESINAMBUNGAN?

Selepas Pemuda UMNO, Wanita UMNO juga nampaknya menolak kesinambungan dalam memilih peneraju masing-masing.


Dalam pemilihan jawatan Ketua Pemuda UMNO, Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun atau Azwan Bro gagal dalam percubaannya untuk menjadi Ketua Pemuda UMNO.


Beliau tewas kepada Asyraf Wajdi Dusuki, bekas timbalan menteri yang tidak pernah aktif atau memegang jawatan dalam Pemuda UMNO.


Terpilihnya Asyraf memperlihatkan perwakilan Pemuda menolak elemen kesinambungan kepimpinan dalam pergerakan itu, sebaliknya mahukan pemimpin baru yang datang daripada di luar lingkungannya.


Kemudian, Pergerakan Wanita UMNO dalam pemilihan pemimpinnya turut menolak elemen kesinambungan apabila Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Azizah Mohd Dun kecundang kepada Noraini Ahmad.


Noraini Ahmad bukan daripada kalangan Exco Wanita UMNO, tetapi adalah bekas Ketua Puteri UMNO dan sekarang merupakan Ahli Parlimen Parit Sulong.


Bagaimana dengan perwakilan UMNO 30 Jun nanti?


Jika perwakilan Pemuda dan Wanita UMNO berani menolak kesinambungan kepimpinan dalam kedua-dua sayap penting itu, tidak ada sebab perwakilan UMNO juga tidak mampu melakukannya.


Mereka harus sedar bahawa dalam keadaan parti yang baru kalah pilihanraya dan sudah kehilangan kuasa, mengekalkan kesinambungan samalah seperti mengekalkan kemudaratan terus bersarang dalam UMNO.


UMNO realitinya adalah parti yang sakit dan memerlukan perubahan yang lebih besar dalam struktur kepimpinannya.


Dengan Pemuda dan Wanita UMNO telah menunjukkan mereka berani berubah serta menolak kesinambungan, parti itu tidak akan mampu bergerak jauh dan diyakini rakyat sekiranya kepimpinan induknya masih merupakan kesinambungan daripada era Najib Razak yang diketahui umum adalah punca utama kerosakan dan penolakan rakyat dalam pilihanraya umum yang lalu.


Dalam keadaan parti masih berkuasa, mengekalkan kesinambungan kepimpinan mungkin merupakan pilihan terbaik, tetapi setelah kehilangan kuasa, kesinambungan adalah suatu bebanan.


Tiada pilihan, perwakilan UMNO mesti berani menolak kesinambungan, kecuali jika mereka ingin terus kalah, lemah, bermasalah dan menjadi pembangkang dalam tempoh yang lebih lama. (ShahbudinHusin 25/06/2018).

Sunday, 24 June 2018

ANWAR SEBAGAI BAKAL PERDANA MENTERI KE-8 PERLU LEBIH BANYAK BEREHAT MULAI SEKARANG


Semalam, sebaik tiba di rumahnya selepas mengadakan kunjungan beberapa hari ke Turki, Anwar Ibrahim telah dikejarkan ke hospital.


Beliau difahamkan menghadapi masalah sukar bergerak yang berpunca daripada kesakitan di bahagian tulang belakangnya.


Kesakitan tulang belakang adalah masalah lama yang kerap mengganggu kesihatan Anwar, malah ia bertambah lagi apabila beliau turut menjalani pembedahan bahu, baru-baru ini.


Keadaan kesihatan Anwar yang baru diberi pengampunan penuh oleh Yang Dipertuan Agong dan disebut sebagai bakal Perdana Menteri ke-8 ketika ini masih lagi dipantau oleh doktor dan tiada pelawat, selain ahli keluarga, dibenarkan menziarahinya.


Beliau mungkin dikehendaki beberapa hari berada di hospital bagi memastikan kesihatannya benar-benar pulih seperti sediakala.


Sebelum ini, sebaik dibebaskan dan diberi pengampunan, Anwar boleh dikata tidak banyak meluangkan waktunya untuk rehat.

Selain menghadiri banyak program politik dalam negara, sessi temubual dengan media dan berkunjung ke beberapa negeri untuk mengadap Raja dan Sultan, sebelum ke Turki, beliau telah pergi ke London untuk bertemu bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore.


Di London, Anwar mempunyai aturcara yang agak sibuk di mana selain bertemu Al Gore, beliau turut mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan beberapa pemimpin Great Britain.


Hanya beberapa hari dapat berehat sekamblinya dari London yang tentunya kemudian disibuki pula dengan pelbagai acara Hari Raya, beliau kemudian berkunjung ke Turki untuk bertemu dan memberi sokongan kepada sahabat lamanya, Erdogan yang bakal menghadapi pilihanraya tidak lama lagi.


Dengan kesibukan sedemikian rupa, ditambah dengan masalah tulang belakang dan sakit bahu yang sedia ada, tidak mengejutkan jika Anwar bila-bila masa boleh ditimpa kesakitan dan dikejarkan di hospital.


Sementelah lagi beliau kini semakin berusia, tidak lagi muda seperti dulu.


Oleh yang demikian, Anwar dalam kondisinya sekarang seharusnya mesti banyak berehat.


Walaupun Tun Mahathir Mohamad lebih berusia daripadanya, tetapi Perdana Menteri dua kali itu adalah doktor perubatan dan mungkin mempunyai formula penjagaan kesihatannya yang tersendiri.


Selain itu, Tun Mahathir juga tidak ada masalah tulang belakang atau bahu seperti yang dialami Anwar.


Apa yang pasti, di sebalik masalah kesihatan yang dihadapinya, Anwar adalah bakal Perdana Menteri ke-8, berdasarkan komitmen Tun Mahathir sendiri untuk menyerahkan jawatan itu kepadanya dan persetujuan Pakatan Harapan mengenainya.


Kemenangan Pakatan Harapan menumbangkan BN baru-baru ini, tidak dinafikan adalah kerana sumbangan serta peranan kedua-dua tokoh hebat itu dan tanpa penglibatan salah seorang daripada mereka, tidak mungkin Pakatan Harapan mampu menjejak kaki menguasai Putrajaya.


Sekarang, kemenangan telah dikecapi dan selepas Tun Mahathir, mereka yang mengundi logo PKR baru-baru ini pastinya juga mahu melihat Anwar menjadi Perdana Menteri.


Maka, dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun daripada sekarang, Anwar mesti banyak berehat dan menjaga kesihatannya.


Beliau harus mengurangkan perjalanan jauh, banyak bersenam, menjaga pemakanan dan menjauhi aktiviti lasak, sambil memberi sokongan dan dokongan yang sewajarnya kepada pentadbiran kerajaan yang dipimpin oleh Tun Mahathir.


Anwar adalah bakal Perdana Menteri ke-8 dan untuk membaiki kerosakan yang ditinggalkan oleh Najib dan BN, selepas Tun Mahathir nanti, hanya beliau yang mampu menggalas tanggungjawab itu.


Bersama kemenangan Pakatan Harapan, negara sebenarnya masih memerlukan adanya Anwar untuk fasa-fasa berikutnya. (ShahbudinHusin 24/06/2018)

KEMENANGAN ASYRAF WAJDI PETANDA BAHAYA BUAT ZAHID HAMIDI?

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Asyraf Wajdi Dusuki dijangka diumumkan sebagai Ketua Pemuda UMNO yang baru bagi sessi 2018-2021.

Sehingga ini beliau mendahului  dengan mendapat 73 undi, manakala Khairul Azwan Harun atau Azwanbro mendapat 58 undi, Shahar Abdullah 56 undi dan Jamal Md Yunos 2 undi.

Pengumuman rasmi dijangka diumumkan pada jam 5.00 petang ini.

Kemenangan Asyraf dikira mengejutkan kerana beliau berjaya mengenepikan dua pencabar terdekatnya yang berasal daripada kepimpinan Pemuda UMNO sebelum ini.

Asyraf tidak pernah sama sekali berada dalam kepimpinan Pemuda UMNO berbanding dua pesaingnya, Azwanbro sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia sementara Shahar pula ialah Ketua Pemuda UMNO Pahang.

Asyraf sebelum ini adalah seorang Senator, Ahli MT UMNO dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Kemenangan beliau ini menunjukkan perwakilan Pemuda UMNO benar-benar berani berubah dengan mengenepikan dua pemimpin yang lahir daripada kilang Pemuda UMNO, Azwanbro dan Shahar serta memilih Asyraf yang tidak pernah terkait dengan sayap parti itu.

Apakah kemenangan Asyraf ini bakal memberi petanda buruk kepada Zahid Hamidi yang pada 30 Jun depan akan bertanding jawatan Presiden UMNO serta dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin?

Jika perwakilan Pemuda UMNO berani berubah dengan menolak Naib Ketua Pemuda UMNO dan Ketua Pemuda UMNO Pahang untuk menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia, apakah perwakilan UMNO pada minggu depan turut sedia menunjukkan perubahan yang sama?

Beranikah mereka menolak Pemangku Presiden UMNO daripada menjadi Presiden UMNO sebagaimana Naib Ketua Pemuda UMNO dan Ketua Pemuda UMNO Negeri ditolak ke tepi, lantas memilih calon baru yang tidak pernah terkait dengan kepimpinan UMNO sebelum ini bagi memberi nafas segar kepada parti yang baru kehilangan kuasa itu?

Sediakah UMNO berubah atau masih mahu kekal dengan kepimpinan yang dibayangi wajah Najib Razak? (ShahbudinHusin 24/06/2018).

Saturday, 23 June 2018

RUPANYA HANYA SETELAH UMNO HILANG KUASA, BARULAH SHAHRIZAT SEDAR DIRI UNTUK PERGI....

Ketua Wanita UMNO, Shahrizat Jalil hari ingin mengumumkan persaraannya daripada dunia politik.

Sempena mesyuarat perwakilan secara serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO seluruh negara, beliau dilaporkan membuat keputusan mengundurkan diri  daripada semua jawatan di peringkat cawangan, bahagian dan juga kebangsaan.

"Satu perkara dalam politik, kita mesti tahu bila mahu pergi. Saya telah berada dalam politik terlalu lama.

"Inilah masanya untuk saya pergi bagi memberi laluan kepada wajah baru yang lebih muda dan lebih segar," ujar Shahrizat lagi.
Hmmmm....rupanya hanya setelah UMNO hilang kuasa dan BN kalah pilihanraya, barulah beliau sedar untuk berundur dan bersara.

Kalau BN tidak kalah, adakah Shahrizat sedia berundur untuk memberi laluan kepada wajah baru yang lebih segar menerajui Wanita UMNO?

Andai BN masih berkuasa, pastilah Shahrizat masih lagi tercongok menjadi pengampu dan pembodek kuasa sebagaimana biasa, malah mungkin paling awal menuntut jawatan menteri sebagaimana yang pernah dijanjikan oleh Zahid Hamidi kepadanya.
Bagaimanapun, sambil menghormati keputusannya untuk bersara itu, mahu juga ditanya soalan, adakah hutang NFC yang melibatkan keluarganya dengan kerajaan sudah dijelaskan?

Setakat Mac lalu, dalam jawapan di Parlimen, Kementerian Kewangan mengesahkan NFC masih lagi berhutang sebanyak RM248 juta dengan kerajaan.

Bila nak bayar hutang tersebut? (ShahbudinHusin 23/06/2018).

ZAHID HAMIDI SERIUS MAHU BERDEBAT ATAU HANYA ACAH-ACAH NAK TUNJUK BERANI?


Setelah dikecam banyak pihak kerana dianggap penakut dan tidak sedia membuka ruang kepada semangat keterbukaan setelah UMNO ditimpa kekalahan, Zahid Hamidi akhirnya dilaporkan bersetuju menyertai debat Presiden UMNO bersama Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin pada 29 Jun ini.

Debat calon Presiden UMNO itu pada mulanya disarankan oleh Tengku Razaleigh atau Ku Li dan kemudian disambut positif oleh Khairy Jamaluddin atau KJ.

Ia dijadual diadakan di Astro Awani dan akan disiarkan secara langsung ke seluruh negara.

Bagaimanapun, Zahid Hamidi memberi syarat hanya akan berdebat dari Bagan Datuk kerana menurutnya, pada malam berkenaan beliau perlu berada bersama pada perwakilannya bagi tujuan pemilihan yang akan diadakan keesokannya harinya iaitu 30 Jun.

Jika bukan untuk memecah-belahkan UMNO kepada dua atau tiga, maka saya sanggup untuk bersiaran dari Bagan Datuk kerana saya tidak akan mengenepikan jemaah saya, kata beliau.
Melihat alasan dan syarat Zahid Hamidi ini, timbul persoalan adakah beliau benar-benar sanggup berdebat atau sekadar acah-acah nak tunjuk berani saja?

Jika benar-benar sanggup, mengapa ada syarat tertentu?

Logikkah debat diadakan dengan dua peserta, Ku Li dan KJ berada di Astro Awani di Kuala Lumpur, manakala Zahid Hamidi di Bagan Datuk?

Apakah Zahid Hamidi ingat beliau masih Timbalan Perdana Menteri dengan memberi syarat sedemikian yang sudah tentu memerlukan pihak Astro Awani menghantar peralatan penyiaran ke Bagan Datuk?

Bagaimana jika pihak Astro Awani tidak sedia memenuhi permintaan Zahid Hamidi itu kerana ia tentu saja melibatkan kos dan sebagainya?

Adakah dengan itu Zahid Hamidi akan menyalahkan Astro Awani kerana kegagalannya menyertai debat itu?

Lagi pun, jika Ku Li selaku Ketua UMNO Bahagian Gua Musang dan KJ sebagai Timbalan Ketua UMNO Rembau yang mana mereka perlu juga berada di bahagian masing-masing pada 30 Jun, tetapi masih sanggup berada di  Astro Awani untuk menjayakan siaran langsung debat tersebut, mengapa Zahid Hamidi tidak boleh melakukannya?

Mungkin jarak antara KL dengan Rembau agak dekat dan tiada masalah bagi KJ untuk kembali ke bahagiannya selepas debat tersebut, tetapi antara KL dengan Bagan Datuk dan KL dengan Gua Musang, mana lebih jauh?

Jika Ku Li boleh menghadirinya, mengapa Zahid Hamidi tidak boleh?

Apakah hanya Zahid Hamidi saja yang perlu bersama jemaah di bahagiannya pada malam sebelum pemilihan dan tidak bagi Ku Li dan KJ?

Apakah juga Zahid Hamidi hanya mampu berdebat sekiranya hanya ada ribuan ahli-ahli UMNO bersorak dan menyokong di belakangnya?

Cehhh....dah UMNO hilang kuasa pun mengada-ngada lagi. Kalau setuju, cakap sajalah setuju tanpa perlu meletakkan syarat tertentu. (ShahbudinHusin 23/06/2018).

Friday, 22 June 2018

INI SUDAH LEBIH, JAMAL KINI BERANI MENCABAR PIHAK POLIS?


Pihak polis seharusnya menggiatkan lagi usaha untuk segera menangkap Jamal Md Yunus ini, sesuai dengam waran tangkap yang sudah dikeluarkan terhadapnya.

Tindakan terbaru beliau yang merupakan seorang pelarian, tetapi dengan berani membuat rakaman video dan meletakkan syarat tertentu untuk  menyerah diri, sebenarnya seolah-olah mencabar pihak polis yang sedang memburu dan mencari di mana beliau sedang bersembunyi.

Esok gua menang, lusa gua datang balai, katanya melalui video itu.

Tidakkah tindakan beliau ini sudah melampau?

Dalam pada itu, siapakah Jamal untuk meletakkan syarat seperti itu kepada polis?

Beliau ada kesalahan dan waran tangkap oleh mahkamah, maka tidak harus sama sekali beliau meletakkan apa syarat sekali pun kepada pihak berkuasa.

Sudahlah begitu, syaratnya pula langsung tidak munasabah iaitu hanya akan menyerah diri kepada polis sekiranya beliau menang jawatan Ketua Pemuda pada pemilihan esok, 23 Jun 2018.

Soalnya, bolehkah beliau menang?

Secara tidak langsung jika tidak menang, bermakna Jamal akan terus menghilangkan diri dan mungkin tampil lagi dengan beberapa rakaman video yang tidak diketahui di mana lokasi beliau berada.

Apakah pihak polis sedia dipermain-mainkan oleh manusia seperti ini?

Tidak kira di mana Jamal berada, di dalam negara atau sudah melarikan diri ke negara jiran, pihak polis mesti menjejakinya dengan segera dengan antaranya menyiasat rakan,  kenalannya atau ahli keluarganya yang mungkin masih selalu berhubung dengannya.

Seorang Exco Pemuda UMNO, Armand Azha baru-baru ini misalnya ada mengeluarkan kenyataan bahawa Jamal masih berada di dalam negara, malah dikatakan selalu berhubung dengan UMNO Bahagian Sungai Besar yang dipimpinnya.

Apa kata pihak polis siasat dan dapatkan maklumat daripada mereka itu? (ShahbudinHusin 22/06/2018)

KHAIRUDDIN CABAR ZAHID HAMIDI BERSUMPAH LAKNAT DI MASJID


Penyangak zahid hamidi adalah kaki penipu serta manusia yang tidak berintegriti!! 


Sebab itu saya kata zahid hamidi ini iblis yang bertopengkan manusia!! Dia sanggup menipu dan berbohong semata-mata untuk memenangi jawatan presiden umno yang sudah tidak relevan itu!!


Pada hakikatnya, zahid hamidi yang memohon untuk berjumpa dengan tun dr mahathir mohamad!! Manusia haprak ini kata dia sudah pun menunaikan solat istiqarah selama tiga hari berturut-turut serta dapat hidayah untuk berjumpa  dengan perdana menteri malaysia!!


Atas dasar ini saya pun bertindak kearah menemukan zahid hamidi dengan perdana menteri!! 


Tun dr mahathir mohamad memang berat hati untuk berjumpa dengan penyangak zahid hamidi ini kerana beliau berpotensi untuk putar-belitkan fakta sebenar!!


Perdana menteri malaysia sama sekali tidak menjemput zahid hamidi tetapi mantan timbalan perdana menteri ini yang merayu untuk berjumpa dengan tun dr mahathir mohamad!!


Penyangak zahid hamidi menzahirkan hasrat pada saya untuk memberi sokongan pada kerajaan Pakatan Harapan dari luar!! Beliau sanggup bekerjasama dengan Pakatan Harapan yang telah memenangi pru14!!


Sebab itu zahid hamidi merayu untuk berjumpa dengan tun dr mahathir mohamad bagi menzahirkan hasratnya itu!!

Ketika bertemu dengan saya; zahid hamidi turut menzahirkan pandangan agar tidak terlalu percaya pada percaturan politik dato seri anwar ibrahim dan dato seri azmin ali!!


Namun, saya tetap berpendirian bahawa jangan sesiapa cuba untuk mengadu-domba seterusnya pecah belahkan pemimpin-pemimpin dalam Pakatan Harapan!!


Dalam apa jua situasi; kami akan tetap pertahankan dato seri anwar ibrahim sebagai perdana menteri menanti yakni bakal perdana menteri malaysia yang ke lapan!!


Kami juga akan tetap pertahankan dato seri azmin ali selaku tokoh pemimpin muda yang berwibawa dalam Pakatan Harapan!!


Mana mungkin nak suruh pemimpin-pemimpin umno yang korup melompat masuk dalam mana-mana parti di bawah Pakatan Harapan kerana umno bakal membawa masuk virus korup yang boleh merosakkan kerajaan masakini!!


Kenyataan zahid hamidi yang menyatakan tun dr mahathir mohamad menyuruh ahli-ahli parlimen umno melompat masuk PPBM amat tidak berasas sama sekali!!


Penipuan zahid hamidi yang tidak boleh diterima oleh akal fikiran yang waras!!


Dalam keadaan 'desperado' zahid hamidi sanggup berbohong demi untuk nak selamatkan peluang beliau bagi.memenangi kerusi presiden umno!!


Ahli-ahli umno jangan biarkan diri mereka ditipu serta tertipu oleh penyangak zahid hamidi ini!!


Pada pemilihan umno ini; saya ingin seru kepada ahli-ahli umno agar jangan beri walaupun satu undi pada zahid hamidi!!


Jangan sama sekali lantik presiden yang kaki penipu!!


Zahid hamidi adalah manusia hipokrit dan fasiq!! Imej agamanya amat 'plastik!!'


Dalam isu ini saya tetap pertahankan bahawa zahid hamidi yang merayu untuk berjumpa dengan tun dr mahathir mohamad!! 


Malahan, zahid hamidi juga memuat turun kenyataan dalam akaun facebook nya yang melafazkan kesyukuran dapat bertemu dengan tun dr mahathir mohamad di bulan ramadhan!!


Apa lagi yang zahid hamidi nak menafikan?! 


Pada realitinya juga, zahid hamidi adalah 'sampah' yang tidak harus dilayan sama sekali kerana beliau terkenal dengan sikap putar belit yang amat kronik!!


Tolong bagi tahu penyangak zahid hamidi bahawa saya bersedia untuk menjunjung kitab suci Al-Quran bersumpah laknat di mana-mana masjid sekalipun!!


Yang Ikhlas, 

KHAIRUDDIN ABU HASSAN

Thursday, 21 June 2018

KALAU SEMUA TAK TAHU, APA YANG NAJIB TAHU?


Najib tak tahu wang dalam akaun peribadinya adalah daripada 1MDB...


Najib juga tak tahu daripada mana datangnya dana membeli barang kemas Rosmah...


Najib turut tak tahu wang 1MDB diguna beli lukisan dan kapal layar mewah....


Akhirnya, Najib jadi tak sangka bala besar menimpanya dalam pilihanraya lalu...


Sejak kehilangan kuasa ini, watak Najib ternampak semakin menghairankan.


Semua yang berlaku sebelum ini, terutama berkaitan 1MDB, beliau  seperti tak tahu belaka.


Benarkah dia tak tahu? 


Kalau semua tak tahu, apa yang Najib tahu?


Najib tahu tak dia pecat Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal dan Mukhriz Mahathir kerana mereka mempersoalkan wang dalam akaun peribadinya itu?


Najib tahu tak media sosial,  WSJ, Washington Post dan media antarabangsa lain sebelum ini banyak menyiarkan mengenai skandal 1MDB, sumber wang dalam akaun peribadinya dan pembelian barang-barang kemas untuk Rosmah?


Masih tak tahu juga?


Najib tahu tak bahawa beliau sebelum ini adalah Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB?


Tahukah Najib beliau kini hanyalah bekas Perdana Menteri yang sudah kehilangan kuasa dan tempatnya diambil alih oleh Tun Mahathir Mohamad?


Masih tak tahu lagi?


Akhirnya, tahu tak beliau sekarang ini masih suami Rosmah dan bapa tiri kepada Riza Aziz? (ShahbudinHusin 21/06/2018)

BUAT SEMENTARA INI, KERAJAAN MESTI SEKAT MUSA SAFRI DAN RAZAK BAGINDA DARIPADA MENINGGALKAN NEGARA


Harapan kita untuk melihat kes pembunuhan Altantuya Sharibuu dibuka atau dibicarakan semula nampaknya semakin cerah dan hanya selangkah saja lagi menuju kebenaran dan keadilan.


Setelah bapa Altantuya bersama peguamnya, Ramkarpal Singh berjumpa dengan Peguam Negara, kemudian membuat laporan polis dan semalam bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang bersetuju kes itu dibuka semula, hakikatnya hanya masa saja yang menjadi penantian bilakah segala-galanya akan bermula.


Selepas ini, sebaik saja Peguam Negara mengarahkan kes dibuka semula, maka siasatan dan seterusnya perbicaraan akan segera berjalan. 


Di akhirnya, yang diharapkan ialah keadilan dapat ditegakkan dan siapa yang mengarahkan pembunuhan itu dapat dihukum dengan sewajarnya.

Dalam laporan polis yang dibuat oleh bapa Altantuya bersama Ramkarpal, mereka jelas menamakan Musa Safri, bekas ketua pengiring Najib Razak yang merupakan pegawai atasan kepada Azilah Hadri Umar dan Sirul Azhar, sebagai individu yang harus disiasat dan diambil keterangannya.


Dalam pembicaraan sebelum ini, pihak pendakwa mengatakan tiada keperluan untuk memanggil Musa Safri sebagai saksi, lantaran itu motif Altantuya dibunuh jadi tergantung dan misteri, meskipun kedua-dua anggota UTK yang menjadi pengawal Najib itu sudah dijatuhkan hukuman mati.


Hanya dengan memanggil Musa Safri ke kandang saksi saja dapat diketahui mengapa Azilah dan Sirul melakukan pembunuhan tersebut.


Adakah mereka diarahkan oleh Musa Safri untuk melakukan pembunuhan itu atau sebaliknya?


Jika arahan itu wujud, siapakah pula yang mengarahkan Musa Safri berbuat demikian?


Dalam kes berkaitan, Razak Baginda yang pernah dituduh bersubahat dan kemudian dibebaskan juga mesti dipanggil semula ke kandang saksi atau perbicaraan semula dilakukan terhadapnya.


Sebelum ini, apabila Razak Baginda dibebaskan, pihak pendakwa tidak mengemukakan rayuan sama sekali yang memberi gambaran pendakwa seolah-olah setuju dan berpuas hati dengan keputusan mahkamah itu.


Apakah sebenarnya hubungan Razak Baginda dengan Altantuya?


Mengapakah pada malam sebelum kematiannya, Altantuya didapati datang mahu berjumpa Razak Baginda dan membuat kecoh di pintu pagar rumahnya?


Apakah yang dicarinya daripada Razak Baginda?

Untuk memastikan keadilan dan sama ada Najib atau sesiapa yang lain terlibat atau tidak dalam pembunuhan Altantuya atau apakah motif wanita Mongolia itu diletupkan dengan bom C4, Musa Safri dan Razak Baginda adalah dua individu sangat penting yang mesti dipastikan diambil keterangannya serta dibawa ke mahkamah.


Oleh kerana hanya faktor masa yang akan menentukan bilakah kes ini akan dibuka semula, buat sementara waktu ini pihak berkuasa seharusnya segera menyekat Musa Safri dan Razak Baginda daripada meninggalkan negara ini.


Mereka mesti dihalang daripada ke luar negara sepertimana langkah yang sudah diambil terhadap Najib, Rosmah, Arul Kanda, Irwan Siregar dan sederetan nama yang lain lagi.


Jangan sampai Musa Safri dan Razak Baginda lebih dulu lari ke luar negara sehingga akhirnya tak dapat dikesan seperti Musa Aman dan Jamal Md Yunos yang masih hilang sampai hari ini di mana akhirnya keadilan yang ingin dicari tergendala sekali lagi. (ShahbudinHusin 21/06/2018)

PENJELASAN KHAIRUDDIN TENTANG DAKWAAN ZAHID HAMIDI BAHAWA TUN M YANG JEMPUTNYA BERTEMU, BUKAN BELIAU MAHU BERJUMPA PERDANA MENTERI


ZAHID HAMIDI KAKI PENIPU!! DIA YANG MERAYU NAK JUMPA TUN DR MAHATHIR MOHAMAD!! SAYA YANG BAWA BELIAU JUMPA PERDANA MENTERI!! BUKAN PERDANA MENTERI JEMPUT BELIAU!!


Zahid hamidi ini semacam 'iblis' bertopengkan manusia!! Dia kaki penipu dan kaki pembelit!! Setiap tutur katanya kini penuh dengan pendustaan!!


Sebenarnya zahid hamidi yang merayu nak berjumpa dengan tun dr mahathir mohamad!! Bukan beliau dijemput untuk berjumpa dengan perdana menteri!!


Perdana menteri tidak perlu jumpa pemimpin 'sampah' macam zahid hamidi!! Zahid hamidi manusia 'fasiq!!' Depan cakap lain dan di belakang kata lain!!


Saya tak tahu sampai bila zahid hamidi nak menipu rakyat!! Dia seorang yang berlatarbelakangkan agama!! Tapi perangai beliau terlalu hodoh!!


Setiap tindak tanduk beliau berteraskan pada penipuan serta pembohongan!!


Setelah merayu nak berjumpa dengan tun dr mahathir mohamad dan akhirnya saya susun untuk beliau bertemu dengan perdana menteri dan beliau diasak serta diserang oleh ahli-ahli umno khususnya di saat nak bertanding jawatan presiden parti; kini zahid hamidi ubah pula skrip pembohongannya itu!!


Ucapan politiknya itu tidak berasas sama sekali!! Inilah kualiti pemimpin-pemimpin umno yang hanya bijak menipu ahli-ahlinya saja demi 'survival' politik mereka!!


Untuk pengetahuan semua rakyat malaysia; tun dr mahathir mohamad tidak pernah meminta ahli-ahli parlimen umno untuk  lompat masuk parti PPBM!!


Ini satu pendustaan zahid hamidi sepertimana beliau menipu 32 juta rakyat malaysia mengenai derma rm2.6 bilion dari kerabat arab saudi yang masuk ke dalam akaun peribadi najib tun razak!!


Suruh zahid hamidi namakan siapa penderma kerabat arab saudi itu yang kononnya beliau sudah berjumpa sebanyak tiga kali?!


Insya-Allah, saya akan buat laporan baru mengenai isu penderma kerabat arab saudi sepertimana yang ditipu oleh zahid hamidi pada pihak pdrm serta sprm dalam masa terdekat!!


Biar saya berdepan dengan zahid hamidi di kamar mahkamah mengenai beberapa isu penipuan zahid hamidi!!


Dalam masa yang sama; ahli-ahli umno jangan beri walaupun satu undi pada kaki penipu semacam zahid hamidi ini!!


Hakikatnya, zahid hamidi adalah 'sampah' yang tidak layak sama sekali untuk menjawat jawatan presiden parti!!


Sekali lagi ingin saya tegaskan bahawa zahid hamidi adalah seorang kaki penipu serta manusia 'fasiq' yang tidak layak untuk memimpin ummah!!


Setiap umat islam bila pergi ke tanah suci Makkah akan bertambah insaf dan bertaqwa tetapi zahid hamidi pergi mengerjakan umrah balik ke Malaysia terus menipu!!


Ikhlas dari;

KHAIRUDDIN ABU HASSAN

Wednesday, 20 June 2018

DEBAT PRESIDEN UMNO - KJ SUDAH SETUJU, ZAHID HAMIDI BILA LAGI?


Semalam, Tengku Razaleigh Hamzah mengemukakan cabaran berdebat kepada dua pesaingnya, Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin menjelang pemilihan Presiden UMNO pada 30 Jun depan.


Kalau saya sanggup membuat apa saja penjelasan kepada sebarang pertanyaan, yang lain-lain juga sepatutnya sedia membuat penjelasan yang sama, kata beliau dalam satu temubual dengan sebuah stesen televisyen.


Sehubungan itu, Tengku Razaleigh atau Ku Li berharap Zahid Hamid dan KJ sedia menyahut cabarannya ini.

Sebelum itu, blog ini juga ada mencadangkan agar UMNO mengadakan debat atau forum terbuka bagi ketiga-tiga calon Presiden UMNO itu bagi melihat kemampuan masing-masing, selain untuk mengatasi kekangan masa berikutan tempoh berkempen hanya ada 12 hari saja.


Yang lebih menarik, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo turut mengalu-alukan debat tersebut dan sedia memberi ruang siaran langsung di stesen tv milik kerajaan.


Kalau mereka memerlukan platform, saya sedia membawanya ke perhatian RTM, tambah beliau lagi.


Bagaimanapun, sehingga ini hanya KJ yang sedia menyahut cabaran debat yang dikemukakan oleh Ku Li itu.

Macam mana dengan Zahid Hamidi?


Kenapa masih berdiam diri? 


Setuju atau tidak untuk berdebat dengan Ku Li dan KJ?

Setelah KJ menyatakan persetujuan dan RTM pula sedia menjadi platform siaran langsung, segala-galanya kini hanya menanti sama ada Zahid Hamidi bersetuju atau tidak dengan debat yang dicadangkan itu.


Jika beliau setuju, tiada apa lagi halangan yang menanti daripada debat itu menjadi realiti.


Beranikah Zahid Hamidi? (ShahbudinHusin 20/06/2018)

PH MESTI TERUS BONGKAR SKANDAL2 BN


Teguran Anwar Ibrahim terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng agar tidak terus mendedahkan skandal serta salah laku kerajaan BN terdahulu dengan alasan akan menjejaskan sentimen pelabur, dengan jelas memperlihatkan Ketua Umum PKR itu melakukan satu lagi kesilapan dalam langkah politiknya.


Setelah sebelum ini beliau dilihat tergesa-gesa untuk kembali ke arena politik selepas dibebaskan daripada penjara dan mendapat pengampunan, meskipun cadangan asalnya Tun Mahathir Mohamad akan melakukan peralihan kuasa kepadanya selepas tempoh dua tahun sekurang-kurangnya, tindakan terbaru Anwar ini seakan menunjukkan beliau begitu "ketagih"  untuk segera berkuasa semula.


Sepatutnya, dalam kedudukan sekarang ini beliau menyokong sepenuhnya pentadbiran baru Pakatan Harapan dan tidak melakukan teguran secara terbuka kerana dirinya tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam kerajaan.


Yang berhak menegur menteri-menteri ialah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, manakala Anwar hanyalah suami kepada Timbalan Perdana Menteri.


Maka, Anwar harus belajar untuk bersabar, sama seperti beliau harus sabar untuk kembali semula menjadi Ahli Parlimen.

Tetapi, dengan kapasitinya sebagai bakal Perdana Menteri ke-8 dan beliau sudah pun dimasukkan dalam kepimpinan Majlis Presiden Pakatan Harapan, apa juga teguran atau pandangan sebaik-baiknya hendaklah dilakukan melalui saluran tersebut.


Keghairahan membuat teguran terbuka hanya menunjukkan Anwar ingin segera berkuasa kerana hanya bersama kuasa, seseorang itu berkuasa membuat teguran kepada sesiapa saja.


Dalam konteks apa yang dilakukan oleh Guan Eng selama ini, beliau sebenarnya tidak melakukan apa-apa yang tidak wajar atas kapasitinya sebagai Menteri Kewangan, malah harus diberikan pujian.


Apakah segala skandal dan kesalahan kerajaan lama BN harus disimpan dan didiamkan begitu saja?


Jika tidak diberitahu dan didedahkan secara terbuka, bagaimanakah rakyat hendak tahu betapa buruknya regim pemerintahan BN terdahulu?


Lagi pun, bukankah melalui segala skandal yang didedahkan itu, ia melibatkan kerugian berbilion ringgit wang rakyat dan rakyat berhak tahu mengenainya?


Soal pendedahan demi pendedahan itu akan menakutkan pelabur juga sebenarnya tidak berbangkit kerana kerajaan yang mentadbir negara sekarang ialah Pakatan Harapan dan yang melakukan keburukan serta skandal terdahulu ialah BN.


Dengan itu, apa yang dilakukan oleh Guan Eng dengan restu dan arahan Tun Mahathir dalam mendedahkan skandal demi skandal itu akan berupaya menambahkan lagi keyakinan pelabur terhadap kerajaan yang sedang memerintah sekarang.


Ia bermakna, Pakatan Harapan tidak bersekongkol sama sekali dengan kekotoran kerajaan terdahulu dan ingin membersihkan semuanya dengan sebersih-bersihnya.


Rakyat sendiri amat gembira dengan pendedahan demi pendedahan itu dan itulah salah satu sebab Najib Razak dijatuhkan dan BN ditumbangkan. 


Malah, jika ditanya, pasti ramai yang mahu pendedahan skandal BN itu terus dilakukan serta pelakunya ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.


Sebagai Menteri Kewangan juga, hanya Guan Eng paling layak membuat pendedahan itu kerana segala skandal yang didedahkan adalah melibatkan wang rakyat yang terletak di bawah tanggungjawab kementeriannya.


Jika BN terus mentadbir negara ini, pasti semua skandal itu akan tersimpan dalam almari atau dalam "fail merah" yang hanya boleh diketahui oleh pendurjananya sahaja.


Adakah keengganan Anwar berkaitan pendedahan skandal itu memperlihatkan beliau masih ada simpati dan ingin melindungi Najib kerana Kementerian Kewangan adalah portfolio bekas Perdana Menteri itu sebelum ini?


Siapakah yang sepatutnya kita simpati - Najib atau rakyat? (ShahbudinHusin 20/06/2018)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...