Friday 31 August 2018

ANWAR MASUK KABINET JUN 2019?


Setelah disahkan menang tanpa bertanding sebagai Presiden PKR, Anwar Ibrahim kini melangkah setapak lagi untuk menuju cita-citanya menjadi Perdana Menteri.


Beliau dijangka akan kembali menjadi Ahli Parlimen pada Oktober ini.


"Saya sudah jelaskan perkara ini secara peribadi dan umum yang saya akan kembali ke Parlimen, insya Allah jika menang pilihanraya kecil sebelum hujung tahun ini...mungkin Oktober," kata Anwar dalam temubual dengan sebuah portal berita.


Meskipun beberapa Ahli Parlimen PKR dilaporkan sedia menawarkan kerusi mereka untuk Anwar, tetapi beliau sehingga ini belum lagi membuat keputusan kawasan mana yang akan dipilihnya.

Cuma yang pasti, beliau tidak akan bertanding di Pandan atau Permatang Pauh kerana kedua-dua penyandang kerusi itu, Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah telah membuat kenyataan mereka tidak akan mengosongkan kerusi masing-masing demi untuk memberi laluan kepada Anwar.


Di mana pun Anwar bakal bertanding, kecuali jika ada Ahli Parlimen yang meninggal dunia, yang pasti satu pilihanraya kecil akan berlangsung pada Oktober nanti.


Sementara itu, bukan menjadi rahsia lagi kerana sudah menjadi perbualan ramai dalam PKR bahawa selepas menjadi Ahli Parlimen, Anwar dikatakan akan segera menyertai kerajaan seawal Jun 2019.


Ia dilakukan dengan Dr. Wan Azizah diberitakan sudah sedia untuk mengundur diri bagi memberi laluan kepada Anwar mengambil alih jawatan Timbalan Perdana Menteri yang didudukinya sekarang.


Ini bermakna Dr. Wan Azizah hanya memegang jawatan nombor dua dalam kerajaan selama setahun saja sejak mengangkat sumpah pada Mei lalu.


Dengan  menjadi Timbalan Perdana Menteri semula, secara tidak langsung  Anwar akan bergandingan buat kali kedua dengan Tun Mahathir Mohamad dalam mentadbir negara seperti ketika mereka bersama-sama dalam UMNO dahulu sebelum hubungan itu berakhir pada 2 September 1998.


Kembalinya Anwar dalam kabinet juga dijangka akan mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan pimpinan Tun Mahathir kerana majoriti anggota kabinet yang ada sekarang adalah muka-muka baru yang tidak pernah ada pengalaman dalam pentadbiran kerajaan.


Selepas menjadi Timbalan Perdana Menteri, berapa lamakah tempoh seterusnya yang Anwar perlukan untuk jadi Perdana Menteri?


Apakah setahun selepas memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, beliau akan diserahkan jawatan Perdana Menteri dan menepati apa yang selalu disebut oleh Tun Mahathir bahawa beliau hanya mahu memegang jawatannya sekarang selama dua tahun saja?


Atau mungkinkah Anwar akan jadi Perdana Menteri lebih awal lagi daripada itu? 


Bila? Januari 2020? (ShahbudinHusin 31/08/2018)

MALAM AMBANG MERDEKA ANJURAN BERSATU BATU DISAMBUT MERIAH


Meskipun banyak pihak turut mengadakan sambutan ambang merdeka sempena kemerdekaan negara yang ke-61, program anjuran Bersatu Bahagian Batu di Jalan Sentul Pasar malam tadi merupakan acara yang boleh diberikan pujian.


Selain sambutan yang meriah dengan kehadiran orangramai yang cukup membanggakan, program juga dipenuhi dengan pelbagai acara yang menyeronokkan.


Selain persembahan akuistika kemerdekaan dan mengibar bendera Malaysia, acara lain yang diadakan ialah pertandingan Whasapp terpantas, Whatsapp Trivia, Flash Mob Kemerdekaan dan Countdown Salute To Malaysia.


Acara kemuncak ialah nyanyian lagu Negaraku pada tepat jam 12.00 tengah malam dan kemudian diikuti dengan acara menaikkan bendera Malaysia sebagai tanda kecintaan kepada negara sudah merdeka selama 61 tahun lamanya.



Seterusnya, Ketua Bersatu Bahagian Batu merangkap Pengerusi Bersatu Wilayah Persekutuan, Kapt (B) Suhaimi Yahya menyampaikan ucapannya dengan antara lain menekankan tentang keharmonian, perpaduan dan kesatuan yang terbina selama ini dalam negara haruslah dikekalkan sampai bila-bila.


Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang berani membuat perubahan dalam pilihanraya umum lalu yang sekaligus membebaskan negara daripada cengkaman kleptokrasi yang mengancam masa depan negara.



Dalam program ini, selain dipenuhi dengan pelbagai acara di mana hadirin begitu sporting dan beramai-ramai mengambil bahagian, hidangan berupa BBQ kepak ayam, spaghetti, kentang goreng dan minuman ringan juga turut disediakan secara percuma.


Merdeka, merdeka, merdeka dan tahniah kepada Bersatu Bahagian Batu atas program yang amat bermakna ini. (ShahbudinHusin 31/08/2018).

Thursday 30 August 2018

NAJIB PATUT BERTERIMA KASIH BN KALAH PILIHANRAYA.....


Bagaimanakah ketua sebuah agensi perisikan kerajaan boleh terlibat dalam skandal wang pilihanraya berjumlah AS$12 juta atau kira-kira RM50 juta?


Lebih buruk, bagaimanakah wang tersebut yang sepatutnya digunakan untuk pilihanraya, tetapi lebih separuh daripadanya ditemui masih tidak digunakan, malah seolah-olah disembunyikan di sebuah kondo?

Bayangkan apa terjadi dan betapa meriahnya kehidupan mereka yang terbabit sekarang ini jika dalam PRU14 lalu BN masih lagi mampu mengekalkan kuasanya?


Hidup-hidup Najib Razak dan kerajaan diperbodohkan begitu saja!!


Jika tidak kerana Pakatan Harapan yang memenangi pilihanraya, pastinya Najib sendiri tidak tahu atau tidak sedar dana pilihanraya yang sepatutnya dibelanjakan rupa-rupanya telah disorokkan.


Adakah mereka tidak membelanjakannya kerana sudah menjangka BN akan kalah dan hilang kuasa?

Apa pun, dengan terdedahnya skandal melibatkan ketua agensi perisikan negara ini, Najib sekurang-kurangnya patut berterima kasih kerana BN dapat dikalahkan dan akhirnya Pakatan Harapan mentadbir negara.


Jika tidak, sampai sekarang skandal ini akan terus tersembunyi rapi dan seolah-olah mereka telah bekerja dengan cemerlangnya.


Cisss....(ShahbudinHusin 30/08/2018).

BILA LAGI PAKATAN HARAPAN NAK ADA MEDIANYA SENDIRI?


Kerajaan Pakatan Harapan sudah mentadbir negara ini melebihi tempoh 100 hari sejak menang pada pilihanraya umum 9 Mei lalu.


Walaupun dalam tempoh 100 hari yang sudah berlalu itu, isu paling banyak diperkatakan ialah tentang janji manifesto Pakatan Harapan yang kononnya masih banyak tidak ditunaikan, tetapi sebenarnya ada perkara lain yang turut menjadi bualan, namun ramai orang seperti terlepas pandang mengenainya.


Perkara tersebut tidak lain ialah tentang penyebaran berita-berita palsu mengenai kerajaan dan pemimpin tertentu Pakatan Harapan yang jelas lebih menular dan berleluasa berbanding era BN dahulu.


Ia sama ada berita itu diputarbelit, direka atau diadakan daripada tiada dan kemudian disebarkan secara meluas melalui media sosial dan kumpulan-kumpulan Whatsapp.


Kerapkali juga berita-berita tertentu direka dengan menggunakan nama portal berita yang menjadi pilihan ramai bagi meyakinkan orangramai mengenainya.


Tidak saja Perdana Menteri, menteri-menteri dan pemimpin tertentu dalam Pakatan Harapan yang selalu menjadi sasaran, malah Mufti Perlis pun menjadi mangsa dengan berita palsu mengenai kononnya beliau bercakap mengenai wang pencen sebagai haram baru-baru ini.


Hakikatnya, apa saja yang boleh dijadikan untuk mengurangkan keyakinan kepada kerajaan, akan adalah pereka berita palsunya.


Tidak cukup dengan itu, media arus perdana tertentu juga kebelakangan ini sudah mula kembali dengan perangai lama dengan suka memutar belit berita fakta tentang pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan.


Nampaknya media arus perdana ini hanya insaf pada peringkat awal UMNO dan BN hilang kuasa saia, tetapi kemudian perangainya tetap sama seperti dahulu. 


Pemimpin-pemimpin kerajaan yang suka dan teruja dalam memberi ruang kepada media arus perdana membuat liputan program-program mereka hendaklah sedar bahawa media arus perdana, kecuali RTM dan Bernama yang merupakan milik kerajaan atau Astro dan Sinar Harian yang menjadi milik bebas, selainnya adalah tetap milik UMNO atau tauke mereka UMNO.


Oleh itu, para menteri dan mereka yang berjawatan dalam kerajaan hendaklah berpada-pada dan jangan terlalu memberi muka kepada media arus perdana berkenaan.


Bila-bila masa media tersebut boleh spin, putar belit atau melaga-lagakan apa yang pemimpin Pakatan Harapan perkatakan.


Ingat sekali lagi - tauke mereka tetap UMNO.


Dalam menangani penyebaran berita palsu dan kelakuan media arus perdana yang kembali dengan perangai lama itu,  satu-satunya cara yang berkesan ialah dengan dengan setiap parti atau menteri mesti mewujudkan pasukan media sosialnya sendiri.


Pasukan ini bukan saja berperanan menyebarkan segala perkembangan atau maklumat berguna kepada rakyat, tetapi juga mesti pantas menangkis dan memperbetulkan berita-berita palsu yang tersebar.


Kita harus sedar bahawa  UMNO sudah tiada isi lagi mahu diperjuangkan kepada masyarakat kerana mereka bukan lagi kerajaan dan juga kerana kerosakan besar yang ditinggalkan oleh Najib Razak dan Rosmah Mansor, lantaran melemahkah Pakatan Harapan melalui berita-berita palsu dan tidak benar adalah pendekatan pilihan mereka sekarang ini.


Dalam hal ini, meskipun ada SKMM yang sepatutnya menangani berita-berita palsu itu, tetapi nampaknya selepas PRU14 lalu agensi tersebut turut lesu berbanding sebelumnya.


Apakah SKMM masih bersimpati dengan kekalahan UMNO atau kerana ramai kakitangannya yang simpati dengan UMNO, lalu ia seperti tidak bertindak apa-apa sekarang ini?


Maka itu, Pakatan Harapan jangan bergantung harap kepada SKMM sebagaimana era Najib dahulu yang mana pantang ada berita palsu di media sosial, begitu pantas sekali tindakannya menangkap atau menyiasat sesiapa yang terlibat.


Langkah seterusnya ialah Pakatan Harapan wajib mewujudkan media arus perdananya sendiri dengan secepat mungkin. Jangan lagi bergantung kepada media arus perdana sedia ada.


Kalau sekarang pun media arus perdana sudah mula spin, putar belit dan bertindak melaga-lagakan sesama parti atau pemimpin dalam Pakatan Harapan, bayangkan bagaimana perangai mereka menjelang PRU15 akan datang?


Kita sudah jadi kerajaan, inilah masanya membentuk benteng penyebaran maklumat yang mantap. Jangan tunggu lama-lama.


Mulakan sekarang jika ingin Pakatan Harapan memerintah Malaysia dalam tempoh yang lebih lama. (ShahbudinHusin 30/08/2018)

Wednesday 29 August 2018

KALAU ALLAHYARHAM JJ ADA RM2.1 BILION, BAGAIMANA DENGAN BEKAS MENTERI2 UMNO YANG LAIN?



Meskipun kita barangkali harus terus mengingati tragedi malang helikopter terhempas yang mengakibatkan kematian Allahyarham Jamaluddin Jarjis bersama lima yang lain pada 2015 lalu, tetapi dengan adanya saman tuntutan faraid oleh ibunya sendiri, Aminah Abdulllah terhadap harta peninggalannya yang dikatakan berjumlah RM2.1 bilion, ramai di antara kita tentunya turut terkejut dengan jumlah kekayaan bekas menteri itu.


Jika dulu ramai yang terkejut dan bersedih dengan kemalangan ngeri itu, kini jumlah kekayaannya pula yang membuatkan ramai terkejut sekali lagi. 


Kekayaan Allahyarham Jamaluddin Jarjis yang terdedah berikutan saman oleh ibunya sendiri menjadikan beliau pemimpin UMNO kedua selepas Najib Razak yang diketahui umum mempunyai nilai kekayaan dalam jumlah bilion banyaknya.


Sebagaimana yang diketahui umum, Najib pernah mengakui menerima derma berjumlah RM2.6 bilion kononnya  daripada kerabat Diraja Arab Saudi, tetapi penyiasat antarabangsa mendedahkan wang tersebut sebenarnya daripada dana 1MDB yang dilencongkan.


Soalan umum yang paling banyak tercetus hari ini tentunya ialah daripada mana dan bagaimana beliau mengumpul kekayaan sebanyak itu?


Adakah ketika menjadi menteri dahulu beliau pernah membuat perisytiharan harta yang sama banyaknya?


Bagaimana dengan Jabatan Hasil Dalam Negeri dan SPRM, adakah kedua-dua agensi itu tahu mengenai jumlah harta dan kekayaan Allahyarham Jamaluddin Jarjis sebelum ini?


Soalan lain yang sama pentingnya juga ialah jika Allahyarham Jamaluddin Jarjis ada kekayaan sebanyak itu, bagaimana pula dengan taraf kekayaan bekas-bekas menteri UMNO yang lain yang sejak 9 Mei lalu sudah kehilangan jawatan mereka?


Tidak mahukah Jabatan Hasil Dalam Negeri dan SPRM segera membuka banyak fail mulai sekarang? (ShahbudinHusin 29/08/2018)

BAGAIMANA JIKA AZMIN KECUNDANG KEPADA RAFIZI? ADAKAH BELIAU AKAN MASUK BERSATU?


Siapa akan menang dalam pertandingan antara Azmin Ali dengan Rafizi Ramli?


Ini adalah soalan yang paling banyak ditanyakan di mana-mana apabila memperkatakan tentang pertandingan jawatan timbalan presiden yang bakal berlaku dalam PKR yang pengundiannya akan berlangsung bulan depan.


Sesetengah pihak merasakan Azmin akan menang dalam persaingan tersebut berdasarkan kedudukannya dalam kerajaan serta rekod cemerlangnua sebagai Menteri Besar Selangor sebelum ini.


Meskipun Azmin dilihat belum berkempen sebagaimana kem

Rafizi yang diketahui sudah bergerak ke beberapa negeri dan mencetuskan kontroversi, mereka percaya Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu ada kelebihan dalam mengekalkan jawatannya.


Sesetengah pihak yang lain pula penuh yakin Rafizi mampu membuat kejutan dan menumbangkan Azmin kali ini.


Pihak yang menyebelahi Rafizi ini meluahkan keyakinan itu berdasarkan bakat menonjol yang diperlihatkan Rafizi selama ini, selain percaya bekas Ahli Parlimen Pandan itu memang merupakan pilihan Anwar Ibrahim yang sudah pun menang tanpa bertanding sebagai Presiden PKR.


Kata mereka, Rafizi tidak akan bertanding menentang Azmin jika tidak mendapat sokongan penuh daripada Anwar.


Anwar pula, kata mereka, tidak mungkin akan membiarkan Rafizi yang bertanding dengan kebebasan menggunakan isu berkaitan dirinya sebagai bakal Perdana Menteri yang dikatakan mungkin dihalang menuju jawatan itu oleh Azmin, berakhir dengan kekalahan begitu saja.


Lebih-lebih lagi, selain Nurul Izzah iaitu anak Anwar sendiri berada dalam kem Rafizi dan Saifuddin Nasution selaku Setiausaha Agung PKR pula begitu kuat berkempen dengan menjual nama Anwar sebagai mahukan orang seperti Rafizi sebagai pemimpin nombor dua dalam parti itu, jika Azmin terus menang ia tentu saja sesuatu yang akan memalukan nama Anwar akhirnya.


Untuk itu, tambah mereka, walaupun Anwar dilihat berkecuali dan pernah mengatakan kedua-dua calon itu adalah daripada penyokong kuatnya, beliau dikatakan pasti akan berusaha untuk memastikan kemenangan kepada Rafizi berbanding benar-benar tidak memihak kepada sesiapa yang akhirnya akan menyebabkan Azmin dapat mengekalkan jawatannya.


Anwar yang sedang dalam pendakian untuk kali kedua menuju jawatan Perdana Menteri juga dikatakan tentu lebih mahu laluannya menjadi lancar atau tidak terganggu, apa lagi menyesal jika akhirnya nanti terbukti bahawa Azmin benar-benar merupakan penghalangnya kepada jawatan Perdana Menteri itu.


Isu Anwar sebagai bakal pengganti Tun Mahathir yang digunakan dengan meluas oleh kem Rafizi diyakini banyak pihak akan berjaya mempengaruhi ahli-ahli PKR untuk memihak kepada bekas Ahli Parlimen Pandan kerana mereka memang sudah sekian lama mahukan Anwar berjaya memegang jawatan tersebut dalam perjuangan kariernya.


Jika itu yang lebih mungkin akan berlaku dan berterusan dalam hari-hari seterusnya, ternampak bahawa peluang Rafizi kelihatan lebih cerah berbanding Azmin.


Maka, apa akan jadi kepada Azmin jika beliau kecundang kepada Rafizi?


Adakah Azmin akan terus kekal berada dalam kabinet sebagai menteri atau PKR akan mencadangkan namanya digugurkan berikutan kedudukannya bukan lagi dalam hireaki parti serta untuk memastikan laluan Anwar tidak terhalang lagi?


Atau mungkinkah, dengan kekalahan itu akan membuka laluan untuk Azmin menyertai Bersatu? (ShahbudinHusin 29/08/2018)

Tuesday 28 August 2018

FOREST CITY DAN SULTAN JOHOR DALAM PERANG MAHATHIR-CHINA


1. Kontroversi hubungan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir dengan China kini terus panas apabila beliau hari ini mengisytiharkan bahawa warga asing tidak akan dibenarkan untuk membeli dan tinggal di kediaman Forest City, Johor. Tindakan ini bakal memberi kesan kepada ribuan pembeli warga China. Malah, projek yang bernilai kira-kira RM400 bilion itu turut melibatkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Ibrahim Ismail. 


2. Pemilikan DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ismail dalam projek Forest City dilaporkan wartawan MalaysiaKini, Nigel Aw dalam laporan bertarikh 14 Julai 2014 yang bertajuk ‘The Case of Forest City and the Johor Sultan’ (https://www.malaysiakini.com/news/268649) manakala dalam edisi Bahasa Melayu bertajuk ‘Alkisah Forest City dan Sultan Johor’ (https://www.malaysiakini.com/news/268658).


3. Forest City diusahakan oleh kerjasama China-Johor melalui Country Garden Pacific View (CGPV).  Sebanyak 66 peratus pegangan CGPV dikuasai oleh tiga syarikat gergasi China iaitu Country Garden Waterfront Sdn Bhd, Country Garden Danga Bay Sdn Bhd, dan Country Garden Real Estate Sdn Bhd. 


4. Baki 34 peratus pegangan CGPV dimiliki Kerajaan negeri Johor iaitu Esplanade Danga 88 Sdn Bhd. 


5. Baginda Sultan Ibrahim merupakan pemilik saham terbesar Esplanade Danga 88 Sdn Bhd, dengan kawalan pegangan 64.4 peratus syarikat berkenaan.  Kerajaan negeri Johor melalui Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) pula hanya menguasai sekitar 20 peratus saham dalam syarikat tersebut.  


6. Projek raksasa yang dibangunkan Country Garden Holdings Co. tersebut menyediakan kira-kira 700,000 unit kediaman di mana antara pembeli majoritinya (70%) adalah dari China menerusi skim ‘Malaysia My Second Home’ MM2H.  


7. Malah, Tun Mahathir turut menegaskan bahawa tiada sebarang visa akan diberikan kepada warga asing untuk datang dan tinggal di sini.  Hal ini bermakna bahawa ribuan pembeli dari China tidak akan dibenarkan untuk mendiami kediaman yang telah mereka beli di Johor.


8.  Tindakan agresif Tun Mahathir ini dikaitkan dengan lawatan beliau ke China baru-baru ini di mana beliau telah mengumumkan hasrat untuk membatalkan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan dua projek saluran paip trans-Sabah (TSGP) di Beijing.  Kemudiannya Tun Mahathir mengatakan bahawa keputusan akhir pembatalan ECRL tertakluk pada jumlah pampasan yang perlu dibayar kerajaan kepada China pula.


9. Adakah langkah ini merupakan tindak balas Tun Mahathir kepada China yang dikatakan enggan mengalah kepada tuntutan beliau ketika lawatan ke sana minggu lalu? Perlu diketahui bahawa ketika lawatan Tun Mahathir ke China, China turut telah menghantar kapal ‘Coast Guard’ mereka ke Zon Ekonomi Eksklusif milik Malaysia berhampiran Beting Patinggi Ali. Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengirim dua kapal Kelas Kedah iaitu KD Selangor dan KD Kelantan sebagai reaksi balas.


10. Malah, Tun Mahathir sebelum ini turut mengisytiharkan bahawa ‘Tembok Besar China di Kuantan’ perlu dirobohkan – merujuk pada struktur projek Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP).


11. Apa yang pasti, tindakan ini bakal memberi impak besar ke atas projek Forest City, imej negara, hubungan Malaysia-China, dan secara khususnya, ke atas hubungan Tun Mahathir dan DYMM Sultan Johor.


12. ‘Pertembungan’ antara Tun Mahathir dengan Sultan Ibrahim pada hakikatnya telah berlangsung secara terbuka sejak awal tahun 2017 lagi apabila kedua-duanya saling berbalas kenyataan.  Rujuk Sinar Harian ‘Sultan Ibrahim bidas Tun M’ (http://www.sinarharian.com.my/nasional/sultan-ibrahim-bidas-tun-m-1.612797) dan ‘Tun M jawab Sultan Johor isu Forest City’ (http://www.sinarharian.com.my/nasional/tun-m-jawab-sultan-johor-isu-forest-city-1.613190).


13. DYMM Sultan Ibrahim mempertahankan projek Forest City sebagai peluang untuk membangunkan hartanah Johor di samping mengatakan bahawa projek berskala 2000 hektar terbabit adalah lot antarabangsa yang terbuka untuk dibeli oleh sesiapa sahaja warga asing – bukannya dari China sahaja – malah tiada beza dengan projek perumahan mewah di Selangor dan Pulau Pinang yang turut dijual kepada warga asing.


14. Tun Mahathir pula mengkritik projek Forest City sebagai menggadai kedaulatan negara dengan anggaran 700,000 warga asing yang membeloi kediaman di sana akan memperoleh kewarganegaraan, sedangkan warga tempatan tidak berkemampuan sama sekali untuk memiliki kediaman tersebut.


15. Selain daripada kebimbangan demografi dengan kemungkinan kemasukan 700,000 warga asing (khususnya China di bawah skim Malaysia My Second Home MM2H), terdapat juga kebimbangan akan impak projek Forest City ke atas alam sekitar dan juga Pelabuhan Tanjung Pelepas.


16. Dari sudut pandang geopolitik, langkah pelaburan infrastruktur dan hartanah besar-besaran di luar negara oleh China ini adalah sebagai pelengkap kepada strategi agung (grand strategy) mereka iaitu Inisiatif OBOR (kini dikenali sebagai BRI): “Kebanyakan projek pelabuhan akan digabungkan dengan penciptaan bandar-bandar satelit gergasi di Johor dan Melaka, seperti Iskandar Malaysia di Johor dan Melaka Gateway yang turut disertakan dengan pelabuhan yang baru dibina.  Di Melaka, akan ada empat buah pulau buatan daripada tanah yang ditambak, yang dibahagikan kepada (1) pulau pelancongan, hiburan, dan pembangunan hartanah, (2) pulau zon ekonomi perdagangan bebas, (3) Pulau pelabuhan Melaka Gateway, dan (4) taman perindustrian maritim” (Evers 2017).


17. Hakikatnya, projek Forest City sudah menjadi persoalan sejak tahun lalu apabila kerajaan China mengetatkan pengaliran modal keluar dari negara China – sekali gus memberi impak negatif ke atas pembelian kediaman Forest City dalam kalangan warga China.  Ditambah dengan langkah terbaru oleh Tun Mahathir ini, dijangka lebih banyak isu dan permasalahan yang akan timbul.  


18. Bagaimana dengan pemilikan kediaman warga asing di Selangor dan Pulau Pinang? Apakah masa depan projek Melaka Gateway? Adakah imej kita akan merosot di mata dunia korporat kerana ‘mengganggu’ persetujuan pembelian warga China di Forest City? Ataukah imej kita akan melonjak dengan laungan ketegasan mempertahankan kedaulatan tanah air?


19.  Dari sudut politik dan geopolitik pula, apa akan jadi pada hubungan Malaysia-China selepas ini? Adakah China akan menghentikan projek mereka seperti projek Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP)?  Adakah China akan menghukum kita dengan pampasan yang tinggi dalam kes pembatalan ECRL? Bagaimana pula dengan hubungan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan Perdana Menteri Tun Mahathir susulan kes terbaru ini?


Semoga Allah peliharakan negara kita menjelang ulang tahun kemerdekaan ke-61 ini.


Oleh: Abdul Muein Abadi

Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Monday 27 August 2018

BENARKAH JOHARI ABDUL AKAN GANTI MUKHRIZ JIKA ANWAR JADI PERDANA MENTERI?



Saya terpanggil untuk mengulas laporan berita yang memetik kenyataan Yang Berhormat Dato’ Johari Abdul, Ahli Parlimen Sungai Petani, siaran portal berita Malaysiakini hari ini.

 

Berita yang dirujuk ditulis oleh wartawan Susan Loone, bertajuk “I can do Wonders if Anwar Ibrahim is PM, says Johari Abdul “.

 

Saya tafsir kenyataan ini seperti berikut :

 

1. Terdapat gerakan untuk menyegerakan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

 

2. Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri, maka akan berlaku rombakan Menteri Besar dan Exco dalam Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Kedah.

 

3. YB Dato’ Johari Abdul selaku Ahli Parlimen Sg Petani yang menawarkan kerusinya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diberi imbuhan dengan melantik beliau sebagai Menteri Besar Kedah.

 

Saya ingin mengingat Yang Berhormat Ahli Parlimen Sungai Petani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gurun akan adanya PERJANJIAN PAKATAN HARAPAN sebelum Pilihanraya Umum Ke-14 bahawa semua parti telah diagihkan negeri untuk dipimpin antara parti komponen Pakatan Harapan.

 

Telahpun disepakati bahawa Kedah, Perlis, Perak dan Johor diberikan pada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) diberikan Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan. 


Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Sarawak diserahkan kepada Democratic Action Party (DAP) manakala Parti Amanah Negara (Amanah) diberikan Kelantan, Terengganu dan Melaka.

 

Perjanjian ini telah termeterai. Kenapa dengan tiba-tiba Yang Berhormat Ahli Parlimen Sungai Petani yang juga ADUN Gurun mahu merampas kerusi Menteri Besar Kedah dari BERSATU? 


Tidak wajar beliau membuat kenyataan sedemikian.

 

Malah, paling mengejutkan beliau mengatakan beliau boleh buat “Wonders in Kedah”  (Melakukan Sesuatu Yang Menakjubkan di Kedah).


“Apakah yang menakjubkan itu?” 


Kedah bukan negeri kaya seperti Selangor atau Pulau Pinang. Untuk bercakap memang mudah tetapi untuk laksana, amat sukar.

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mukhriz Mahathir, semasa dilantik kali pertama sebagai Menteri Besar pada tahun 2013 telah membuat rancangan yang rapi untuk membangun Negeri Kedah tapi malangnya beliau dipecat setelah dua tahun di jawatan itu. 


Sekarang beliau terpaksa menghidupkan semula rancangan untuk membangunkan Kedah dari awal  dengan pelbagai masalah dan cabaran yang perlu dihadapi.

 

Saya amat berharap YB Dato’ Johari Abdul tidak akan mengambil kesempatan dari pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan nanti seperti yang telahpun disepakati oleh pimpinan Pakatan Harapan untuk kepentingan peribadi tanpa mengendahkan sama sekali sentimen rakyat dan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan.

 

Saya juga ingin menasihati sahabat lama yang saya hormati. Hentikan polimik ini terutama semasa musim pertandingan dalam PKR. Ia tidak akan menguntungkan Pakatan Harapan. 


Marilah kita berkerjasama dan bersepakat untuk membina Malaysia Baharu, negara kita yang lebih baik, makmur dan sejahtera. 


Terima kasih.

 

 

Ikhlas,

Mejar Anuar Abdul Hamid (B)

Timbalan Ketua Badan Perhubungan Bersatu Negeri Kedah.

ADAKAH RAFIZI SEDANG MENGHALANG ANWAR JADI PERDANA MENTERI?


Baru beberapa hari lepas, Anwar Ibrahim mengingatkan agar jangan ada sesiapa lagi membangkitkan tentang konspirasi untuk menghalang beliau daripada menjadi Perdana Menteri, rupa-rupanya ia tetap dijadikan isu lagi.


Walaupun kenyataan beliau itu adalah susulan permohonan maaf yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid kepada Tun Mahathir Mohamad, kefahaman umum ialah saranan Anwar itu tentulah juga ditujukan kepada semua pihak dan kepada sesiapa yang lain.


Ia tidak terkhusus kepada Abdullah Sani saja agar jangan membangkitkannya lagi, walaupun beliau yang sebelum ini kerap mengutarakannya.


Realitinya, dengan Anwar sendiri tidak mahu lagi lagi isu itu dibangkitkan, ia tentulah kerana beliau sedar isu konspirasi itu memang tidak wujud kerana kedudukan beliau sebagai bakal Perdana Menteri adalah merupakan persetujuan dan permuafakatan antara parti-parti dalam Pakatan Harapan.


Selagi gabungan itu wujud dan PKR sendiri merupakan tunjangnya, adakah munasabah Anwar dapat dihalang daripada menjadi Perdana Menteri?

Sebab itu agak mengejutkan apabila Rafizi Ramli dalam kempennya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR masih lagi terus membangkitkan perkara tersebut.


Dalam usaha mempromosi dirinya, Rafizi meminta anggota PKR memilih seorang timbalan presiden PKR yang tidak bersaing dengan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.


"Bukan kerja politik kita untuk menggulingkan kerjaya politik Anwar dan masa depannya," kata beliau dalam suatu majlis kempen di Bayan Baru, Pulau Pinang.


Jawatan Timbalan Presiden PKR kini disandang oleh Azmin Ali yang merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan dalam pemilihan kali ini Rafizi adalah calon yang akan bersaing bagi jawatan itu.

Kenapa Rafizi masih membangkitkan lagi tentang isu konspirasi bagi jawatan Perdana Menteri?


Apakah beliau masih mahu menyuapkan ke mulut ahli-ahli PKR tentang teori konspirasi bahawa Azmin mahu bersaing dengan Anwar?


Benarkah Azmin sedang atau akan bersaing dengan Anwar jika beliau masih kekal sebagai sebagai Timbalan Presiden PKR?


Adakah perkara itu boleh dipercayai oleh ahli-ahli PKR?


Dalam hal ini, apakah Rafizi sebenarnya tiada modal kempen lain untuk bersaing atau untuk mengalahkan Azmin?


Persoalan lain, mengapa Rafizi tidak mematuhi ingatan Anwar yang meminta agar tidak dibangkit lagi persoalan itu?


Untuk apa dibangkitkan lagi jika Anwar sendiri kelihatan yakin tiada apa-apa konspirasi untuk menghalangnya daripada menjadi Perdana Menteri?


Apa yang sedang diusahakan Rafizi sebenarnya - beliau mahu Anwar jadi Perdana Menteri atau sedang menghalang jawatan Perdana Menteri itu jatuh kepada Anwar dengan cara supaya orangramai terus bercakap mengenai konspirasi itu atau lebih dahsyat, mungkin menyebabkan PKR jadi pecah akhirnya? (ShahbudinHusin 27/08/2018).

Sunday 26 August 2018

MASALAHNYA NAJIB MASIH LAGI BERSAMA UMNO.....


Dalam cubaan untuk mewajarkan hubungan Pas dengan UMNO dan Najib Razak, Hadi Awang berkata, parti itu juga pernah menerima Tun Mahathir Mohamad sebelum ini.


Beliau mengimbas tindakan Pas menerima Tun Mahathir dan memberinya ruang berceramah atas pentas parti itu selepas dipecat daripada UMNO pada tahun 1969 dahulu.


"Kita menerima dan tidak bersikap negatif dengan sesiapa," tambah Presiden Pas itu lagi.


Sebenarnya tindakan Pas bersabahat dan bekerjasama dengan pemimpin yang pernah dipecat atau keluar daripada UMNO bukanlah sesuatu yang menghairankan.


Ini kerana selama bertahun-tahun perjuangan Pas ialah untuk mengalahkan UMNO, malah di suatu ketika mahu menggantikan parti itu sebagai pemerintah dan wadah perjuangan bagi orang-orang Melayu.


Selain dengan Tun Mahathir, Pas juga pernah bekerjasama dengan Tengku Razaleigh Hamzah dan Anwar Ibrahim ketika kedua-dua pemimpin tersebut terpelanting kedudukannya daripada UMNO.


Soalnya, kenapa bekerjasama dengan UMNO setelah parti itu hilang kuasa?


Mengapa juga sedia menerima Najib ketika bekas Perdana Menteri itu masih lagi bersama dengan UMNO?


Apakah perjuangan Pas sekarang untuk menyelamatkan UMNO dan bukan lagi untuk menggantikan UMNO?


Dalam konteks yang lain, Pas juga seharusnya ada fokus lain yang lebih baik daripada berbaik-baik, bekerjasama dan dilihat seperti mahu menyelamatkan UMNO.


Berbanding UMNO yang hanya ada Pahang dan Perlis untuk ditadbir, Pas sebaliknya mempunyai Kelantan dan Terengganu yang lebih baik kedudukannya untuk dibangun dan diberi perhatian sesuai dengan perjuangannya.


Bukankah sebenarnya lebih menguntungkan jika Pas menjalin kerjasama lebih erat dengan Pakatan Harapan dan dalam masa yang sama dapat membangunkan Kelantan serta Terengganu dengan lebih berkesan lagi?


Untuk apa berbaik-baik dengan UMNO yang sudah hilang kuasa dan Najib yang bakal ke penjara serta merisikokan Kelantan dan Terengganu yang mungkin nantinya terbiar tanpa pembangunan yang sewajarnya?


Dalam jangka panjang pula, tidakkah juga Pas akan lebih baik masa depannya jika UMNO dibiarkan 'mati' begitu saja?


Apa muslihat Pas yang seperti bersungguh-sungguh mahu memberi nyawa dan menghidupkan kembali UMNO ketika ini?


Apakah ia kerana dendam Hadi Awang kepada Amanah? (ShahbudinHusin 26/08/2018)

MAT SABU MESTI PASTIKAN ADA YANG DIHUKUM DALAM KES HISHAMMUDDIN GUNA PENGIRING TENTERA


Dalam reaksi awalnya sebelum ini berhubung pendedahan adanya tiga anggota tentera khas masih memberi khidmat kepada Hishammuddin Hussein, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu telah mengarahkan agar siasatan dijalankan dengan segera.


Katanya, tindakan sewajarnya juga akan diambil jika terbukti terdapat sebarang pelanggaran kepada peraturan serta amalan sedia ada.


"Saya telah mengarahkan siasatan segera dibuat dan tindakan sewajarnya akan diambil jika terdapat sebarang perlanggaran terhadap peraturan dan amalan sedia ada," kata Mat Sabu melalui laman Twitternya semalam.


Dalam penjelasan Hishammuddin kemudiannya pula, beliau tidak menafikan kebenaran tentang pendedahan adanya tiga anggota tentera khas yang masih berkhidmat dengannya, tetapi mengatakan ia hanya untuk sementara waktu saja.


Hishammuddin mengatakan beliau sudah menawarkan pekerjaaan kepada ketiga-tiga anggota tentera itu untuk terus berkhidmat dengannya di mana jika bersetuju dengan tawarannya, mereka hendaklah berhenti daripada Angkatan Tentera Malaysia dengan serta-merta.

Berdasarkan penjelasan bekas Menteri Pertahanan dan sepupu Najib Razak itu, beliau secara nyata mengakui ada  sesuatu yang tidak kena dalam perkhidmatan ketiga-tiga anggota tentera khas berkenaan dengannya.


Persoalan paling utama ialah bagaimanakah tiga anggota tentera itu masih boleh terus berkhidmat dengan Hishammuddin sehingga sekarang?


Apakah sebaik tidak lagi menjadi Menteri Pertahanan, Hishammuddin memang ada memohon untuk menggunakan secara sementara khidmat ketiga-tiga anggota tentera berkenaan?


Siapakah di pihak Angkatan Tentera Malaysia yang meluluskan permohonan tersebut?


Apakah dengan kelulusan menggunakan khidmat secara sementara itu, Hishammuddin kemudiannya terlupa atau buat-buat lupa tentang tempoh masa yang perlu dipatuhinya sehingga terlajak waktunya sampai sekarang?


Mengapa pula setelah tempoh penggunaan tiga anggota tentera khas itu berlalu sampai sekarang, tetapi pihak Angkatan Tentera Malaysia masih lagi berdiam diri mengenainya?


Bukankah Angkatan Tentera Malaysia selalu terikat dengan disiplin yang tinggi, termasuk berkaitan masa?


Jadi, siapa yang bersalah dalam melanggar peraturan dan amalan sedia ada?


Hishammuddin atau ada pihak tertentu dalam Angkatan Tentera Malaysia yang dalam hati mereka masih totok dengan UMNO dan BN?


Jika Hishammuddin masih ada tiga anggota khas tentera berkhidmat dengannya, bagaimana dengan bekas-bekas Menteri Pertahanan sebelum ini?


Lantaran itu, atas nama Malaysia Baru yang lebih telus dan lebih bertanggungjawab, Mat Sabu mesti meneruskan siasatan kes ini, meskipun setelah Hishammuddin tampil dengan penjelasannya.


Siasatan pula wajib dilakukan secara menyeluruh dan jangan sesekali cuba melindungi sesiapa yang didapati curang dan durjana dalam hal

ini. (ShahbudinHusin 26/08/2018).

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...