Saturday 30 September 2017

TRUMP MENGECEWAKAN NAJIB??


Selepas kunjungan Perdana Menteri, Najib Razak ke White House bertemu Donald Trump pada 12 September lalu, heboh diperkatakan kemudiannya bahawa Presiden Amerika itu akan melakukan kunjungan balas ke Malaysia, November ini.

Kunjungan itu dianggap sebagai mengesahkan lagi hubungan akrab Najib dengan Trump dan akan dipergunakan untuk manfaat pilihanraya, meskipun di sebaliknya DOJ terus melakukan siasatan jenayah dan mengemukakan saman sivil berkaitan  aset-aset yang dibeli menggunakan wang curi 1MDB.

Namun, berita ini tentunya mengecewakan Najib dan sekalian pengampu serta penyokongnya.

Trump, dalam jadual kunjungannya ke Asia pada 3 hingga 15 November depan hanya melawat Tokyo, Seoul, Beijing, Hanoi dan Manila, sebaliknya Kuala Lumpur dan Putrajaya terkecuali sebagai destinasi kunjungannya.

Apa sudah jadi? Kenapa Trump tidak singgah ke negara kita?

Tidak mahukah beliau bertemu Najib yang sudah mencurahkan bantuan kira-kira RM100 bilion kepada Amerika?

Setelah berbilion-bilion dicurahkan untuk membodek Trump dengan hujah membantu mengukuhkan ekonomi Amerika, apa alasan sebenar beliau tidak singgah ke Malaysia?

Apakah Trump jenis manusia yang tidak mengenang budi dan mudah melupai  bantuan yang diberikan Najib?

Atau adakah keputusan itu kerana Trump kini mula mendengar kecaman pelbagai pihak di Amerika yang menasihatkannya agar menjauhi Najib yang dianggap sebagai "pemimpin crook" di peringkat dunia?

Sudahlah kunjungannya ke Amerika sebelum ini merupakan hanya kunjungan biasa, bukan lawatan rasmi sebagai ketua kerajaan, tiada jamuan rasmi, malah sarapan pagi pun ditanggung sendiri dan kereta juga kena diletakkan di basement atau bawah tanah, Trump dilihat sekali lagi menghampakan Najib kerana tidak datang ke Kuala Lumpur dan Putrajaya dalam program lawatannya ke Asia.

Bilion-bilion yang dicurahkan nampaknya macam tidak bermakna apa-apa.

Apakah semua ini merupakan tanda-tanda buruk buat 1MDB di Amerika? (ShahbudinHusin 30/09/2017)

KETUA PESURUHJAYA SPRM ANGKUH DAN BIADAP, WAJIB LETAK JAWATAN, BIDAS TAMRIN GHAFAR

Angkuh, biadap, tak faham peraturan dan wajib letak jawatan, demikian bidas bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Tamrin Ghafar kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad.

Menurut Tamrin, tindakan Dzulkifli membantah dan menunjukkan kemarahan secara terbuka berhubung penubuhan  Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara atau JITN yang sudah diluluskan kabinet adalah sesuatu yang tidak wajar dan tidak menunjukkan teladan kepimpinan yang baik sebagai anggota perkhidmatan awam.

Anggota perkhidmatan awam, tambah beliau, harus akur kepada apa juga keputusan kabinet kerana ia merupakan pembuat keputusan tertinggi dalam kerajaan.

Kalau pun mahu membantah, ia harus dilakukan mengikut saluran yang betul. Tidak sepatutnya dilakukan secara terbuka dan mengecam menteri yang berkaitan seperti serangan seorang ahli politik kepada musuh politiknya yang lain, ujar beliau lagi.

Mesyuarat kabinet pada 28 Julai lalu bersetuju menaiktaraf Bahagian Intergriti dan Tadbir Urus di bawah Jabatan Perdana Menteri menjadi sebuah jabatan yang dikenali sebagai JITN.

JITN akan berperanan sebagai badan penyelaras untuk menerajui perubahan transformasi dalam sektor awam dan swasta dengan tumpuan kepada urus tadbir yang baik, intergriti dan hak asasi manusia.

Dzulkifli bagaimanapun menyifatkan penubuhan JITN sebagai bertujuan mengawal SPRM dan membantah keras kewujudan jabatan itu.

Siapa menteri yang mahu mengawal kita bagaimana untuk menyiasat kes. SPRM sepatutnya bebas, jika alasan penubuhan JITN untuk memantau SPRM, mengapa harus saya melapor kepadanya, demikian antara luahan kemarahan Dzulkifli.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana kerajaan ada wang untuk menubuhkan JITN sedangkan peruntukan semua jabatan dan agensi telah dipotong atas alasan ketiadaan peruntukan?
Paul Low, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap JITN sebaliknya menyatakan jabatan yang ditubuhkan itu tiada sebarang kuasa untuk mempengaruhi SPRM atau mana-mana pihak yang lain.

Dengan tindakan Dzulkifli menunjukkan kemarahan dan membantah secara terbuka penubuhan JITN, kata Tamrin lagi, ia bukan saja memperlihatkan keangkuhan, kebiadapan dan ketidakfahaman atas kedudukannya sendiri sebagai pegawai kerajaan, malah beliau kini tiada pilihan lain lagi selain harus meletakkan jawatan dengan segera.

Bagaimana Dzulkifli mahu terus bertugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM setelah adanya JITN nanti? soal beliau lagi.

Dalam pada itu, kata Tamrin, jika Dzulkifli boleh tersinggung dan menyifatkan kenyataan Lim Kit Siang terhadapnya sebagai tidak beradab, tidakkah beliau sedar memprotes keputusan kabinet secara terbuka juga menunjukkan sikap biadapnya sebagai seorang pegawai kerajaan.

Mengapa hanya beliau yang boleh menunjukkan sikap angkuh dan tak beradap kepada pihak  lain, tetapi mudah terasa hati jika ia terkena kepada dirinya sendiri? tegas Tamrin lagi. (ShahbudinHusin 30/09/2017).

Friday 29 September 2017

SIAPA PEMIMPIN PAS YANG TERLIBAT DALAM PERNIAGAAN KOSMETIK?


Dalam tulisan terbaru oleh Tokoh Wartawan Negara, A Kadir Jasin di blognya yang melontarkan enam persoalan kepada sesiapa yang ada jawapan, salah satu pertanyaan beliau adalah berbunyi “Apakah benar duit yang KONONNYA dibagi oleh Najib/Umno kepada Pas digunakan untuk berniaga (antaranya kosmatik) tetapi rugi?


Pertanyaan beliau itu tentu saja menimbulkan seribu persoalan, termasuk antaranya siapakah pemimpin Pas atau isteri atau kroni atau proksinya yang berniaga kosmetik  dan rugi itu?


Di waktu yang sama, lontaran pertanyaan itu juga akan segera mengingatkan kita mengenai saman berkaitan dana RM90 juta yang didakwa pernah diterima Pas itu.


Berikutan Sarawak Report yang mula-mula mendedahkan berhubung wang RM90 juta yang didakwa diterima Pas daripada Najib Razak, setelah sekian lama bertangguh, Pas akhirnya mengemukakan samannya terhadap portal tersebut di London.

Tetapi, susulan daripada itu, Husam Musa juga kemudiannya membuat pendedahan yang hampir sama kepada Pas, malah dengan terang-terang menyebut nama bank yang dikaitkan dengan dana yang didakwa diterimanya.


Meskipun pada mulanya Pas menyatakan akan mengemukakan saman terhadap Husam, malangnya sehingga sekarang masih tiada sebarang khabar berita mengenainya.


Apa jadi sebenarnya berkenaan saman tersebut dan kenapa ia terus senyap dan sunyi?


Jika saman boleh dibuat di London kepada Sarawak Report, kenapa Pas tidak berani menyaman Husam di negara sendiri?


Selain Husam yang pernah mendakwa Pas pernah menerima wang daripada UMNO atau Najib, seorang lain pemimpin Pakatan Harapan yang turut berbuat demikian ialah Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan.


Dalam pendedahannya, beliau secara terbuka menamakan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa sebagai individu yang pernah menerima sejumlah wang berkaitan 1MDB daripada Najib yang dipercayainya untuk diberikan kepada Pas.


Selepas pendedahan itu dan mencabar Nasharuddin agar berani membuat akuan bersumpah menafikannya, bekas Timbalan Presiden Pas itu juga menyatakan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Rafizi.

Namun demikian, sama seperti Pas yang mengancam mahu menyaman Husam, tetapi tidak menjadi kenyataan sehingga kini, ugutan saman Nasharuddin  kepada Rafizi masih lagi senyap tidak berbunyi apa-apa hinggalah detik ini.


Kiranya dakwaan Rafizi itu didapati tidak benar dan berupa fitnah, mengapakah Nasharuddin masih keberatan untuk mengambil tindakan undang-undang?


Pas mengancam mahu menyaman Husam pada Februari 2017, manakala Nasharuddin pula mengugut Rafizi pada April lalu, bermakna sudah beberapa bulan masa berlalu, tetapi janji masih lagi tinggal janji.


Pertanyaan terbaru A Kadir Jasin tidak lain menimbulkan persoalan, apakah beliau sebenarnya ada maklumat baru mengenai wang yang menjadi perbualan ramai yang dikatakan pernah diterima Pas itu?


Adakah kali ini Pas mahu berdiam diri lagi, walhal rasanya tidak ramai pemimpin Pas atau sesiapa yang ada kaitan rapat dengan mana-mana pemimpin Pas yang berniaga kosmetik ketika ini? 


Selain bisnes kosmetik, apakah mungkin macam-macam perkara lain akan terdedah lagi selepas ini? (ShahbudinHusin 29/09/2017)

BENARKAH SEMUA INI? KENAPA PMO, MINDEF BEGITU LEMBAB BUAT PENJELASAN?

Masya Allah....benarkah semua ini?

Jika benar seperti yang dilaporkan ini dan sebagaimana yang tersebar luas di media sosial, kita tentunya bersetuju dengan kenyataan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian bahawa tidak sepatutnya penghulu dan ketua kampung tersebut diperlakukan sedemikian rupa.

Kenapa mereka dijemput untuk datang ke ibu negara dengan tujuan dikatakan untuk bertemu Perdana Menteri dengan hanya menaiki pesawat tentera?

Tidakkah ia suatu penyalahgunaan kuasa yang nyata dan dalam masa yang sama seperti penghinaan kepada ketua kampung dan penghulu tersebut?
Mengapa tidak disewakan satu atau dua buah pesawat khas yang selesa jika benar ketua kampung dan penghulu itu begitu penting untuk menang pilihanraya?

Selain itu, menjadi persoalan juga, jika hanya pesawat tentera dengan kerusi yang tidak selesa dijadikan pengangkutan mereka, bagaimanakah pula penginapan untuk mereka semasa berada di ibu negara?

Adakah mereka diberikan bilik hotel yang selesa atau hanya diberikan tempat tidur ala kadar saja?
Apa yang lebih malang ialah, meskipun perkara ini telah tular di media sosial sejak lebih 24 jam yang lalu dan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian turut memberikan reaksinya melalui portal utama serta masyarakat umum juga banyak bercakap mengenainya, tetapi belum kedengaran lagi sebarang penjelasan daripada Pejabat Perdana Menteri atau Kementerian Pertahanan.

Mengapa mereka begitu lembab dalam bekerja?
Dalam dunia maklumat yang serba pantas dan wujud pula pelbagai medium penyebaran seperti Facebook, Twitter, Telegram, Whatsapp dan sebagainya, bahkan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan juga dilihat aktif dalam media sosial, malah tidak mustahil turut menerima berita serupa, kita tentu bingung memikirkan kenapa semua pihak yang berkaitan masih macam kura-kura dalam bertindak sama ada mengesahkan kebenaran, menafi atau memberikan penjelasan berhubung perkara tersebut?

Di mana unit media di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan dalam hal ini dan adakah semua mereka masih lagi hidup dalam dunia analog? (ShahbudinHusin 29/09/2017).

Thursday 28 September 2017

BAPA PEMBANGUNAN KAUM INDIA SUDAH, BAPA MUSANG KING JUGA SUDAH, BAPA APA PULA SELEPAS INI?


Nampaknya ada sesuatu tidak kena dengan Perdana Menteri, Najib Razak sejak akhir-akhir ini.

Keadaan tidak kena itu secara automatik menjadikan dirinya sangat berbeza dengan mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.

Beliau kebelakangan ini didapati suka memuji dirinya sendiri dan gemar berkelakuan masuk bakul angkat sendiri.

Jika minggu lalu Najib mengangkat bakul dirinya sendiri sebagai "Bapa Pembangunan Kaum India", hari ini beliau tanpa segan-segan memuji  dirinya pula sebagai satu-satunya penyumbang kepada melonjaknya harga buah durian musang king di negara ini.

Dengan kata mudah, daripada  "Bapa Pembangunan Kaum India", Najib juga kini bergelar "Bapa Buah Durian Musang King."
Jika dikira dengan gelaran "Bapa Pengangkutan Awam" yang diberi oleh Menteri Pengangkutan, Liow Tiong Lai sebelum ini, "Bapa 1MDB", "bapa tiri kepada Riza Aziz", "bapa hutang negara" dan beberapa panggilan bapa yang lain lagi oleh kelompok tertentu dalam masyarakat, Najib barangkali boleh diiktiraf sebagai "Tokoh Gelaran Bapa Paling Banyak" di dunia.

Persoalan yang tentunya bermain-main di fikiran kita, kenapakah Najib suka sangat memuji dirinya sendiri?

Adakah beliau dahagakan puji-pujian dan sanjungan?

Tidak cukupkah dengan menteri-menteri, pemimpin UMNO, pengampu dan sekalian macai yang membodek dan mengampunya setiap hari?

Adakah tindakan Najib memuji diri sendiri kerana pujian-pujian mereka itu tidak memenuhi standard yang dikehendakinya?

Atau para menteri, pengampu dan macai perlu meningkatkan lagi pujian dan sanjungan mereka kepada Najib?
Apa pun, sebelum Najib terus memuji dirinya sendiri selepas ini, tidakkah beliau sedar bahawa perbuatan itu paling tidak baik sebagai manusia, terutamanya dalam konteks Melayu dan  Islam.

Sesiapa pun tidak seharusnya memuji diri sendiri atas sumbangan atau kerja yang dilakukan, apalagi sebagai pemimpin untuk rakyat yang dalam masa yang sama turut dibayar gaji, elaun dan pelbagai kemudahan yang lain.

Memuji diri sendiri hanya memperlihatkan sikap sombong, takbur dan bangga diri - suatu sifat yang tidak disukai oleh agama.

Apa juga sumbangan, peranan atau kerja kita untuk kebaikan rakyat, biarlah orang lain yang menilai dan menghargainya, bukan Najib sendiri memberi markah untuk dirinya sendiri.

Tidakkah tindakan memuji diri sendiri menggambarkan Najib sedang terdesak untuk memperlihatkan dirinya berbuat sesuatu?

Tetapi, kiranya Najib terus juga mahu memuji dirinya sendiri, gelaran bapa apakah pula yang akan diterima untuk dirinya daripada dirinya selepas ini? (ShahbudinHusin 28/09/2017).

1MDB SAH ADA KESALAHAN, SIASATAN PELBAGAI AGENSI PENGUATKUASA LAIN WAJIB DIBUKA SEMULA


PAKATAN HARAPAN GESA BANK NEGARA GUNAKAN SEPENUH KUASA AMBIL TINDAKAN KE ATAS INDIVIDU TERBABIT DI DALAM 1MDB 

Saya mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Bank Negara Malaysia yang memberi maklumbalas rasmi kepada satu memorandum dari ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan yang dihantar pada 2 Ogos lalu. 

Sementara saya terkejut dengan jumlah penalti yang dikenakan iaitu RM115.8 juta, saya ingin menarik perhatian rakyat bahawa Bank Negara Malaysia belum menggunakan sepenuhnya kuasa yang diperuntukan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 untuk berlaku adil kepada rakyat dalam skandal 1MDB ini. 

Saya menyeru pengurusan Bank Negara Malaysia menyertai rakyat Malaysia yang lain dalam mempertahankan kebebasan Bank Negara Malaysia sebagai institusi penguatkuasa yang bebas untuk mengelakkan skandal kewangan yang serupa berulang di masa akan datang. 

Sebab itu saya berpendapat adalah wajar Bank Negara Malaysia menggunakan sepenuh kuasanya di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 seperti berikut: 

1. Bahagian XV PENGUATKUASAAN DAN DENDA, Fasal 234(3)(b) yang memberi kuasa kepada Bank Negara Malaysia mengenakan denda sebanyak RM5 juta atau tidak lebih dari tiga kali jumlah wang yang terlibat di dalam setiap kesalahan yang dilakukan 1MDB; 


2. Bahagian XV PENGUATKUASAAN DAN DENDA, Fasal 234(5) yang memberi kuasa kepada Bank Negara Malaysia mengenakan denda atau apa-apa hukuman yang diperuntukkan di bawah akta ini ke atas pengarah, pengurusan kanan dan mana-mana orang perseorangan yang bertanggungjawab ke atas pengurusan 1MDB.


Setakat ini, Bank Negara Malaysia hanya menggunakan kuasa di bawah Fasal 234(3)(b) untuk mendenda 1MDB dan entiti-entiti berkaitan sebanyak RM115.8 juta. Malangnya, tindakan mengenakan denda ke atas 1MDB sebenarnya samalah seperti mendenda rakyat Malaysia kerana segala tanggungan hutang dan denda ke atas 1MDB kini ditanggung oleh rakyat Malaysia. 

Dari denda berjumlah RM115.8 juta ini, laporan media ada menyebut bahada RM53.7 juta telah dikenakan terhadap AmBank kerana melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013. 

Saya ingin mendapat kepastian sama ada baki berjumlah RM62.1 juta yang telah dikenakan sudah dibayar, dan jika ya, siapa yang telah membayarnya. Jika 1MDB atau entiti berkait 1MDB yang membayarnya, ini bermakna sudahlah rakyat Malaysia menjadi mangsa penyelewengan dana rakyat di dalam 1MDB, kini rakyat Malaysia terpaksa juga menanggung denda yang dikenakan ke atas 1MDB. 

Oleh itu, saya sendiri sebagai Ketua Pembangkang dan Presiden Pakatan Harapan akan membuat laporan polis minggu depan untuk membolehkan Bank Negara Malaysia menyiasat Dato’ Sri Najib Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, ahli-ahli lembaga pengarah 1MDB (dahulu dan sekarang) serta pengurusan kanan 1MDB (dahulu dan sekarang) di bawah Fasal 234(5). Perlu diingatkan bahawa pada ketika pelbagai dakwaan terhadap 1MDB ini berlaku, Artikel 117 dalam Memorandum dan Artikel Penubuhan Syarikat (M&A) 1MDB menyatakan bahawa sebarang komitmen kewangan 1MDB memerlukan kebenaran bertulis YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak. 

Secara logiknya, jika Bank Negara Malaysia sudah pun mengenakan denda sehingga RM115.8 juta ke atas 1MDB, itu bermakna berlaku banyak pelanggaran undang-undang dalam urusan 1MDB. Sudah tentu urusniaga dan tindakan yang melanggar undang-undang ini dibuat atas arahan seseorang atau sesuatu pihak kerana 1MDB bukanlah satu makhluk yang bertindak sendiri. 

Maka, apabila Bank Negara Malaysia sudah mengenakan denda di bawah Fasal 234(3)(b) ke atas 1MDB sebagai badan korporat, ia mesti juga disertai dengan tindakan di bawah Fasal 234(5) ke atas individu yang bertanggungjawab memberikan arahan sehingga menyebabkan 1MDB melanggar peraturan-peraturan di bawah akta. 

Saya berharap pengurusan Bank Negara Malaysia tidak akan berdolak dalih mengenai perkara ini. Jika pun pengurusan Bank Negara Malaysia tidak berani mengambil tindakan ke atas Dato’ Seri Najib, sekurang-kurangnya ahli-ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan perlulah dikenakan tindakan. 
Pakatan Harapan tidak akan membiarkan rakyat dihukum kali kedua dengan tindakan denda ke atas 1MDB sementara individu di belakangnya dibiarkan terlepas. 

YB Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail 
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia 
Presiden Pakatan Harapan 
27 September 2017


Ulasan - Selama ini tiada siapa tahu dan seperti mahu disembunyikan berapa jumlah denda yang telah dikenakan oleh Bank Negara kepada 1MDB atas kesalahan melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 berhubung beberapa urusniaganya.

Sekian lama  jumlah itu cuba dirahsiakan dan Bank Negara selalu mengatakan mereka tidak berhasrat mendedahkannya. 1MDB lagilah cuba menutup jumlah denda yang dikenakan ke atas mereka itu.

Tetapi, segala-galanya terdedah semalam. Dalam surat jawapannya kepada Pakatan Harapan, Bank Negara akhirnya mendedahkan jumlah denda yang dikenakan kepada 1MDB adalah sebanyak RM115.8 juta.

Jumlah denda itu tentunya merupakan yang terbesar dalam sejarah skandal kewangan di negara kita. Ia juga dengan jelas memperlihatkan kesalahan yang besar juga telah dilakukan oleh 1MDB.

Jika ada kebenaran berhubung laporan media sebelum ini yang mengatakan Ambank telah didenda sejumlah RM53.7 juta kerana melanggar peraturan kewangan berhubung dana 1MDB, bermakna jumlah selebihnya iaitu RM62..1 juta adalah denda yang ditanggung oleh syarikat pelaburan itu.

Jumlah tersebut pun masih dikira besar dan menampakkan syarikat pelaburan yang ditubuhkan oleh Najib Razak dan beliau sendiri menjadi Pengerusi Lembaga Penasihatnya telah melakukan kesalahan yang dikira besar juga.

Selepas jumlah denda ini terdedah, apa yang seharusnya dilakukan?

Oleh kerana denda itu membuktikan wujudnya kesalahan yang besar dan serius telah dilakukan oleh 1MDB, maka sebagaimana yang ditekankan oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail, langkah seterusnya ialah Bank Negara harus segera mengambil tindakan ke atas individu-individu tertentu yang menyebabkan peraturan Bank Negara itu dilanggar.

Tentulah tidak masuk akal jika hanya 1MDB yang didenda, tetapi individu yang bertanggungjawab  menyebabkan peraturan Bank Negara itu dicabuli, terlepas begitu saja?

Tidak kira siapa individu-individu tersebut, merekalah sebenarnya perancang dan "lahanat" dalam skandal 1MDB selama ini.

Yang kedua, pembuktian bersalah melalui denda besar oleh Bank Negara itu seharusnya turut menggerakkan agensi-agensi penguatkuasa lain untuk mengambil tindakan yang sama ke atas 1MDB dan individu-individu berkaitan dengannya.

Jika sudah dibuktikan dan sah ada kesalahan oleh Bank Nagara terhadap 1MDB, apakah tidak mustahil  kesalahan tertentu telah dilakukan juga dan ia boleh disiasat oleh pihak PDRM dan SPRM?

Bermakna, membuka semula siasatan adalah sesuatu yang wajar dan perlu selepas ini. Langkah Pakatan Harapan membuat laporan polis pada minggu depan adalah pilihan terbaik dan tiada pihak harus berdolak-dalik lagi dalam menegakkan kebenaran sebagaimana yang dituntut Tuhan. (ShahbudinHusin 28/09/2017)

Wednesday 27 September 2017

SALLEH 100 PERATUS SALAH

Salleh Said Keruak dilapor membidas segelintir pemimpin pembangkang yang didapati menggunakan bahasa kesat mencaci penyokong UMNO dan BN.


Beliau mengambil contoh Mohamad Sabu yang menggelar agamawan yang menyokong UMNO sebagai berfahaman celaka, Tun Mahathir Mohamad yang menganggap berdosa mengundi Pas serta BN dan Muhyiddin Yassin yang didakwanya pernah menggelar jahiliah kepada orang UMNO dan BN.


"Sebagai pemimpin parti yang berjuang untuk rakyat, tidak perlulah kita mencarut hanya kerana perbezaan dan persaingan dalam politik.


"Cukuplah sekadar menggariskan hala tuju perjuangan dan mengkritik kelemahan kerajaan BN," ujar Menteri Komunikasi dan Multimedia itu.


Di sebalik bidasan dan tegurannya kepada pemimpin pembangkang, Salleh sepatutnya terlebih dahulu melakukan perkara itu kepada Perdana Menteri, Najib Razak dan kelompok penyokong UMNO serta BN sendiri.


Kiranya beliau merasakan ungkapan berfahaman celaka oleh Mohamad Sabu, berdosa mengundi Pas dan BN oleh Tun Mahathir dan jahiliah oleh Muhyiddin sebagai carutan yang tidak sepatutnya diucapkan oleh mana-mana pemimpin politik, Salleh seharusnya sedar perkataan yang pernah dilafazkan oleh Najib jauh lebih teruk dan tidak patut lagi.


Hanya Najib yang pernah mengucapkan perkataan haram jadah, bangang dan bangsat secara terbuka di khalayak umum kepada mereka yang berbeza pendirian dengannya.


Tidakkah perkataan haram jadah, bangang dan bangsat itu lebih mencarut dan keji didengar berbanding fahaman celaka, berdosa dan jahiliah?


Selain itu, sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, Salleh juga nampaknya kekurangan maklumat berhubung perlakuan sebenar penyokong UMNO dan BN di media-media sosial.


Jika beliau meluangkan lebih masa meninjaunya dan bukanlah rahsia lagi akan didapati bahawa penyokong UMNO dan BN, termasuk mereka yang agak dikenali ramai, lebih sering menggunakan perkataan kesat, lucah, mencarut serta maki-hamun yang keterlaluan terhadap penentang-penentang Najib.


Meskipun penentang Najib hanya melontarkan kritikan atau bidasan dengan bahasa yang sopan dan berhemah kepada Najib misalnya, seringkali ia dibalas dengan serangan yang kasar dan disertai pula dengan gelaran-gelaran tertentu, terutamanya melibatkan Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim.


Lebih dari itu, dalam blog ini sendiri, jelas terbukti siapa yang lebih kerap melontarkan kata-kata carutan, lucah dan maki hamun itu?


Penyokong UMNO dan BN atau penyokong Pakatan Harapan dan perubahan yang lebih kerap mencarut, kasar dan melucah?


Selalunya apabila tidak mampu menjawab kritikan dan teguran atau terlalu ingin mempertahankan kesalahan pemimpin yang pada hakikatnya amat nyata di sisi Tuhan dan malaikat, jalan mudahnya ialah mereka akan menjawab dengan cara yang tidak beretika itu.


Seolah-olahnya dengan mencarut, memaki-hamun dan bersikap kasar itu lebih mulia daripada mengakui kesalahan  pemimpin yang memang diketahui salah itu.


Maka itu, sebelum Salleh mahu membidas orang lain, beliau sebenarnya lebih afdal menjeritkan teguran agar berhemah dan tidak mencarut itu ke telinga Najib dan para penyokong UMNO dan BN terlebih dahulu.


Mereka bukan saja lebih banyak mencarut, bahkan tahap carutannya lebih buruk dan teruk lagi.


Tindakan Salleh yang hanya melihat kesalahan pemimpin pembangkang, meskipun perilaku bosnya dan penyokong UMNO serta BN jauh lebih "nauzubillah" lagi, ia bukan saja memperlihatkan beliau 100 peratus salah, malah dengan jelas menunjukkannya cuba mempertahan dan melindungi amalan mencarut yang jauh lebih dahsyat serta terang-terang di depan mata. (ShahbudinHusin 27/09/2017)

ANCAMAN SEBENAR NEGARA BUKAN DAP, BUKAN JUGA ISU KAUM DAN AGAMA


Negara ketika ini pada hakikatnya tidak diancam oleh oleh isu kaum atau agama, meskipun di kala tertentu, kedua-dua perkara berkenaan selalu timbul dan menjadi perbualan semasa di kalangan rakyat.

Realitinya kehidupan pelbagai kaum masih lagi aman dan harmoni. Hidup berjiran, sesama rakan sekolah, universiti, sepejabat atau dalam meneruskan banyak aktiviti seharian lain, hubungan kaum dan agama belum lagi terjejas.

Meskipun ada yang cuba mengasingkan dobi Islam dan bukan Islam, masih ramai orang Islam yang makan semeja dengan bukan Islam dan kedai makan Islam juga tetap dikunjungi oleh bukan Islam.

Timbul dan kadangkala hangatnya isu kaum dan agama itu tidak lain kerana ia sengaja diperbesar-besarkan untuk tujuan meraih keuntungan politik yang tidak seberapa.

Secara asasnya juga ia berlaku kerana masih wujud parti yang berasaskan kaum dan agama di negara ini. Dengan itu, apabila saja mereka kesempitan dalam meraih sokongan atau penyokong didapati semakin menghilang, maka laungan kaum dan agama itulah jalan mudahnya untuk mendapat simpati.

Dengan kata mudahnya, yang merosakkan hubungan kaum dan agama ini adalah orang-orang politik saja. Mereka selalu mahu menjadi hero di kalangan kelompok sendiri dengan cuba memburuk atau memberi andaian buruk terhadap kaum dan agama lain.

Yang lebih celaka lagi ialah orang politik yang selalu memandang kaum lain, khususnya orang Cina sebagai musuh dari segi politik, ramai di antaranya menjadikan orang Cina juga sebagai rakan dari sudut ekonomi.

Di mulut mereka selalu marah dengan Cina, tapi kalau dapat projek kerajaan, dengan Cinalah mereka jual projek berkenaan untuk mendapatkan wang segera.

Dari sudut parti politik pula, DAP adalah parti yang selalu dituduh sebagai ekstremis Cina dan bahaya kepada negara, meskipun hakikatnya ia adalah parti pelbagai kaum yang lebih kurang sama seperti Gerakan juga.

Malah, jika diimbas sejarah lalu, MCA lebih kerap memainkan sentimen keCinaan dan membuat tuntutan-tuntutan berlebihan daripada yang sepatutnya berbanding DAP. Tetapi, yang selalu dipersalahkan dan dituding jari tetap DAP.

Jika benar DAP itu bahaya dan mengancam keselamatan negara, mengapa tidak ditangkap saja semua pemimpinnya atau parti tersebut dibatalkan pendaftarannya?

Annuar Musa dan Salleh Said Keruak adalah antara pemimpin UMNO dan kerajaan yang didapati paling kerap meniupkan angin ketakutan mengenai DAP. Hampir semua keadaan dalam negara ini, bagi kedua-dua pemimpin berkenaan, adalah salah DAP belaka.

Sama seperti isu kaum dan agama bukanlah sesuatu yang didapati mengancam negara ketika itu, DAP jugalah bukanlah ancaman kepada kita semua. Kebimbangan mengenai DAP hanyalah andaian semata-mata, malah jika dilihat bagaimana parti itu mengetuai  pentadbiran di Pulau Pinang, tiada apa pun yang perlu dibimbangi dengan mereka.

Ancaman nyata kepada negara dan rakyat ialah kerajaan yang ditunjangi UMNO dan BN yang sedang berkuasa ketika ini. Ancaman itu bukan lagi andaian, tetapi sesuatu yang nyata dan sudah serta sedang dirasai kita semua.

Parti yang menguasai kerajaan menjadi ancaman kerana ia sudah dikenali sebagai kleptokrasi berbanding demokrasi sebelumnya. Secara khusus, seperti yang disebut oleh Tun Mahathir Mohamad baru-baru ini, segala-galanya dalam negara kita dalam keadaan baik sebenarnya sebelum ia bertukar ngeri apabila pencuri, perompak dan penyamun muncul menguasai kerajaan.

Sebelum ini, meskipun pelbagai isu turut berlaku dalam negara, pernahkah rakyat terasa susah dan derita serta dihimpit pelbagai tekanan seperti sekarang?

Harus diakui bahawa ramai yang tidak merasai kesusahan dan derita itu. Ia berpunca kerana hak dan keistimewaan yang biasa dinikmati rakyat tidak pernah diambil oleh pemerintah, malah sentiasa dipelihara dan dijaga.

Berbeza dengan apa yang berlaku sejak kebelakangan ini, satu demi satu hak dan keistimewaan rakyat diambil dan direnggut atas nama rasionalisasi dan pengorbanan demi negara. 

Malangnya, hanya rakyat yang selalu diminta berkorban dan melaksanakan rasionalisasi, sebaliknya di pihak atasan sana, ada kemasukan RM2,600 juta dalam akaun peribadi pun cuba digambarkan sebagai amalan yang rasional dan tidak berdosa.

Negara kita sebenarnya sedang rosak dan menuju kemusnahan. Ia bukan disebabkan oleh DAP dan bukan juga difaktorkan oleh isu kaum dan agama. Isu kaum dan agama hanyalah mainan mereka yang terdesak dan bakal kehilangan kuasa.

Isu utama seluruh rakyat - kanak-kanak, pelajar sekolah, pelajar universiti, graduan menganggur, orang muda, pekerja, pesara, orang tua, orang kampung, orang bandar dan sesiapa saja - adalah pemimpin dan kerajaan yang ada pada hari ini.

Menukar dan menumbangkan kerajaan tiada kaitan dengan bertambahnya kuasa DAP atau kerana isu kaum dan agama, tetapi adalah untuk kebaikan dan masa depan kita semua. (ShahbudinHusin 27/09/2017).

Tuesday 26 September 2017

MEMENANGKAN PAKATAN HARAPAN MAMPU MEMBAWA UNTUNG BERGANDA KEPADA RAKYAT SARAWAK


Berikutan sambutan hangat kepada program Pakatan Harapan di Kuching Ahad lalu yang disertai buat pertama kalinya oleh Tun Mahathir Mohamad atas kapasiti sebagai pembangkang, negeri yang selama ini dianggap sebagai simpanan tetap BN itu nampaknya akan terus menjadi tumpuan.

Tidak saja dirasakan Tun Mahathir mungkin akan pergi ke beberapa tempat lain di Sarawak selepas ini untuk memastikan Pakatan Harapan benar-benar mampu mendapat sokongan yang memuaskan, Najib Razak juga tentunya akan segera melakukan sesuatu bagi mengelakkan apa yang selama ini berada dalam genggaman daripada beralih tangan.

Tidak dinafikan sambutan hangat rakyat pada Ahad lalu itu adalah rangsangan yang mampu memberi motivasi tambahan kepada Pakatan Harapan.

Tetapi, apakah ia akan berterusan atau sokongan sedemikian hanya sementara serta berlaku di kawasan bandar saja?

Bagaimana dengan pengundi pedalaman yang merangkumi majoriti kawasan Parlimen di Sarawak?

Sediakah mereka berubah sama untuk menyokong Pakatan Harapan?
Harus difahami bahawa Sarawak baru saja mengadakan pilihanraya negeri pada Mei 2016 lalu dengan keputusannya BN negeri yang ditunjangi oleh PBB menang cemerlang 72 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Kemenangan itu hakikatnya banyak disumbangkan melalui peranan dan karektor Ketua Menteri ketika itu, Allahyarham Adenan Satem dan watak itu terus menjadi kesinambungan di bawah kepimpinan Abang Johari Abang Haji Openg sekarang.

Rakyat Sarawak secara umumnya menerima baik dan sayang kepada kepimpinan negeri yang diketuai oleh Abang Johari ketika ini.

Namun demikian, PRU 14 yang bakal diadakan bila-bila masa ini tidak ada kena-mengena atau menjejaskan keputusan pilihanraya negeri yang lalu. Apa yang Pakatan Harapan dan Tun Mahathir cuba tawarkan atau mahu lakukan ialah perubahan kerajaan di peringkat Pusat saja.

Berbanding negeri-negeri lain yang akan mengadakan pilihanraya peringkat Parlimen dan DUN secara serentak dalam PRU 14 akan datang dan mungkin ada yang bertukar tangan, Sarawak adalah terkecuali kerana mereka baru saja mengadakan pilihanraya di peringkat negerinya secara berasingan. Tumbang BN hanya Putrajaya akan bertukar kerajaan, tetapi tidak menyebabkan BN negeri Sarawak sama tumbang.

Ini bermakna, apa pun keputusan dalam PRU 14 nanti, kerajaan negeri Sarawak sedia ada yang ditunjangi oleh PBB dan dipimpin oleh Abang Johari akan terus kekal sehingga 2021.

Sesuai dengan hasrat kerajaan negeri Sarawak yang kini dalam fasa berjuang menuntut hak yang lebih adil, kuasa autonomi, royalti petroleum dan sebagainya demi kepentingan rakyatnya sehingga syarikat minyak sendiri, Petros sudah pun ditubuhkan, perjuangan itu sebenarnya akan menjadi lebih mudah jika Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan baru di Putrajaya.

Lima teras tawaran baru yang dibuat oleh Pakatan Harapan sempena kunjungan Tun Mahathir Ahad lalu, harus diakui bukan saja terbaik buat rakyat dan masa depan Sarawak, bahkan seiring dengan hasrat dan tuntutan kerajaan negeri sendiri.

Apatah lagi dengan pengakuan terbuka Tun Mahathir bahawa beliau sedia berunding dengan kerajaan negeri mengenainya, menolaknya begitu saja umpama menguis tuah yang datang bergolek.

Ia berbeza dengan Najib. Meskipun Akta Pembangunan Petroleum 1974 telah digubal selaras dengan undang-undang antarabangsa yang memperuntukkan jarak lebar kawasan laut di bawah kuasa negara adalah 12 batu nautika dari pantai, Najib telah merangka Akta Laut Wilayah pada 2012 dengan kuasa negeri hanya pada jarak 3 batu nautika saja.

Melalui penggubalan akta baru pada 2012 itu, ia dengan sendirinya menghakis lagi hak rakyat Sarawak dari segi perolehan dan hasil petroleum yang ditemui di perairan negeri tersebut.

Dengan sudah wujudnya akta yang diputuskan tanpa rundingan dengan kerajaan negeri pada itu 2012, siapakah yang lebih munasabah untuk memindanya selepas  PRU 14 nanti?

Adakah logik Najib dan BN sedia memindanya jika mereka terus kekal sedangkan hanya baru pada 2012 lalu beliau menggubal undang-undang jarak lebar 3 batu nautika itu?

Begitu juga dengan perkara-perkara lain yang dituntut oleh kerajaan negeri Sarawak. Kebolehpercayaan dan munasabahnya banyak perkara lain untuk dipinda serta diperbaiki demi kepentingan rakyat Sarawak hanyalah melalui kerajaan baru Pakatan Harapan.

BN, di bawah pimpinan Najib tidak mungkin sedia melakukan apa-apa kiranya mereka terus berkuasa. Jika BN berjaya menang tanpa menjanjikan sebarang perubahan jangka panjang, malah melalui penggubalan Akta Laut Wilayah 2012 pun terus diberi sokongan, maka tentunya tiada keperluan untuk mereka meminda sebarang undang-undang atau peruntukan sedia ada.

Lagi-lagi yang akan dicurahkan Najib nanti hanyalah dedak dalam bentuk janji pilihanraya atau projek-projek pembangunan yang diberi semata-mata untuk meraih sokongan.

Untuk merealiasaikan semua tuntutan dan kebaikan yang sesuai dengan hasrat dan cita-cita kerajaan negeri sendiri, rakyat Sarawak tiada pilihan selain harus menyumbang lebih banyak kerusi Parlimen kepada Pakatan Harapan dalam pilihanraya akan datang ini.

Daripada 31 kerusi Parlimen yang ada di Sarawak dan sekarang Pakatan Harapan ada 6, jumlah itu sebaik-baiknya perlu ditingkatkan kepada 15 atau 20 kerusi.

Kali ini rakyat dan pengundi Sarawak harus bijak. Memberi banyak kerusi Parlimen kepada Pakatan Harapan hanya semata-mata bertujuan merubah kerajaan di Kuala Lumpur, sambil memudahkan tuntutan dari segi hak dan autonomi dapat direalisasaikan, sementara kerajaan negeri PBB dan Abang Johari akan terus kekal berkuasa di Kuching seperti biasa. 

Berbanding negeri-negeri lain, pengundi Sarawak akan menikmati untung berganda melalui sumbangan kerusi mereka kepada Pakatan Harapan dalam menubuhkan kerajaan baru di Putrajaya. (ShahbudinHusin 26/09/2017)

Monday 25 September 2017

MEREKA SENDIRI TUMBANG DAN TIDAK MAMPU BERTAHAN, MACAM MANA NAK MENYUMBANG KE ARAH KEJAYAAN?


Berbual dengan rakan-rakan dalam UMNO Selangor ketika ini, jelas terpancar ketidakyakinan mereka bahawa kerajaan negeri Pakatan Harapan pimpinan Azmin Ali dapat dikalahkan dengan bergantung kepada tenaga tiga bekas Menteri Besar terdahulu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Noh Omar beberapa hari lalu mengumumkan gandingan tiga bekas Menteri Besar, Muhammad Mohd Taib, Abu Hassan Omar dan Khir Toyo akan bersama-sama dengannya bagi menggembleng tenaga untuk merampas kembali negeri itu.

Kata beliau, pengalaman mereka yang dirangkumkan itu amat berguna dan dipercayai mampu membantu UMNO dan BN menewaskan Pakatan Harapan dalam pilihanraya akan datang.

Dalam perkembangan terbaru, Noh Omar juga sangat mengalu-alukan jika seorang lagi bekas Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim dapat turut serta bersama dengannya untuk menumbangkan Azmin  dan Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, oleh kerana Khalid Ibrahim hanya Adun Bebas dan bukan ahli UMNO, penglibatan beliau mungkin dalam konteks yang berbeza berbanding dengan ketiga-tiga bekas Menteri Besar itu yang tentunya akan terlibat secara langsung melalui UMNO dan BN.

Berdasarkan perbualan dengan tiga empat rakan yang berada dalam kepimpinan UMNO bahagian di Selangor, mereka tidak nampak  peranan dan pengalaman tiga bekas Menteri Besar itu boleh membantu UMNO dan BN.

Hujah mereka mudah saja, ketiga-tiga bekas pemimpin tersebut adalah mereka yang pernah tumbang atau ditolak oleh rakyat kerana skandal yang ada pada diri masing-masing.

Untuk rekod, Mat Taib diarah meletakkan jawatan selepas ditahan kerana didapati membawa sejumlah wang tunai di Lapangan Terbang Brisbane, Australia, Abu Hassan juga dikehendaki meletakkan jawatan atas sesuatu yang bersifat peribadi, manakala Khir Toyo, disebabkan kepimpinan dan gaya hidupnya yang menjadi percakapan ramai akhirnya telah menyebabkan UMNO dan BN Selangor kalah pada pilihanraya 2008.

"Bagaimanakah UMNO mahu menang jika Noh Omar masih mahu menggunakan tenaga dan pengalaman pemimpin yang pernah tumbang dan ditolak rakyat itu?

"Mereka sendiri pun pernah tumbang dan tidak mampu bertahan ketika sedang berkuasa, di mana logiknya  mereka itu dapat menyumbang untuk mencipta kemenangan?" tanya mereka.

Kata mereka lagi, tidakkah dengan membawa semula tiga pemimpin yang ada masalah itu akan membuatkan pengundi Selangor lebih menolak lagi UMNO dan BN kerana berasakan ia tiada pembaharuan serta mengambil langkah ke belakang untuk meraih kemenangan?

Sehubungan itu, mereka hairan mengapa Noh Omar tidak memanfaatkan pemimpin-pemimpin muda seperti Budiman Mohd Zuhdi yang penampilannya dalam pilihanraya kecil Sungai Besar lalu telah menghasilkan kejayaan buat UMNO dan BN.

Untuk berlawan dengan Azmin, tambah mereka, UMNO dan BN Selangor perlu ada 10 orang seperti Budiman atau tenaga muda yang seangkatan dengannya, bukannya menggunapakai semula tiga orang seperti Mat Taib, Abu Hassan dan Khir Toyo yang sudah tidak laku di mata rakyat. (ShahbudinHusin 25/09/2017).

SYABAS RAKYAT SARAWAK


Kunjungan pertama Tun Mahathir Mohamad ke Sarawak atas kapasiti sebagai Pengerusi Pakatan Harapan bukan saja tidak mengecewakan, malah sangat-sangat memberangsangkan sambutannya.


Ribu-ribuan yang hadir membuktikan pengundi Sarawak nyata terbuka kepada perubahan dan sedia bersama penduduk Semenanjung dalam menunjukkan kematangan bagi menyelamatkan negara yang sama-sama disayangi ini.


Gambar-gambar di bawah ini bukan palsu atau rekaan, sebaliknya adalah saksi kejadian yang memperlihatkan sinar baru bakal melimpahkan cahayanya buat kita semua.


Tahniah dan syabas kepada rakyat Sarawak - terus, terus dan terus kita bersama menuju kejayaan demi Malaysia seluruhnya.


Lenakah tidur Najib Razak malam ini? (ShahbudinHusin 25/09/2017)





Sunday 24 September 2017

JIKA BUKAN UNTUK MENGACAU, BUKANKAH LEBIH BAIK PAS BERTANDING 40 KERUSI SAJA?


Hasrat Pas untuk bertanding 100 kerusi Parliman dalam pilihanraya umum akan datang bukanlah perkara baru sebenarnya. Beberapa pemimpinnya sudah bercakap sebelum ini mengenai perkara itu.

Begitu juga, daripada 100 kerusi yang ditandingi itu, keyakinan Pas untuk menang sebanyak 40 kerusi bukanlah juga perkara baru. Beberapa pemimpin Pas sebelum ini sudah selalu memperkatakannya.

Apa yang disebut oleh Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung Pas mengenai hasrat bertanding 100 kerusi dan menang 40 kerusi tidak ada yang barunya, malah tidak lebih hanyalah ulangan semata-mata.

Oleh kerana ia adalah kenyataan berulang, tulisan ini pun lebih merupakan peringatan ulangan  kepada seluruh pengundi PRU 14 bahawa Pas menyertai pilihanraya akan datang bukanlah untuk menang, tetapi sekadar untuk menjadi pengacau saja.
Ia semakin menepati kenyataan Tun Mahathir Mohamad yang tegas menyatakan kedudukan Pas adalah sebagai pengacau kepada Pakatan Harapan untuk menumbangkan UMNO dan BN.

Dalam Pas tetap mempertahankan musuh mereka juga adalah UMNO dan BN serta mahu mentadbir negara ini, parti itu secara tidak langsung mendedahkan ketidakinginan untuk menang dan mengambil alih kuasa apabila menyasarkan kerusi kemenangan sebanyak 40 saja.

Bagaimanakah dengan 100 kerusi yang ingin ditandingi dan 40 kerusi sebagai sasaran kemenangan, Pas mampu mengambil alih kuasa sedangkan jumlah mininum untuk menang dengan majoriti mudah ialah 112 kerusi?

Lebih daripada itu, jika Pas bertanding 100 kerusi dan matlamat kemenangan hanya 40 kerusi, apa jadi dengan lebihan 60 kerusi yang turut ditandinginya?

Untuk apa Pas bertanding di 60 kerusi tersebut?

Kenapa  Pas tetap mahu bertanding 100 kerusi jika kerusi yang diyakini menang cuma 40?

Suka-suka, duit berlebih atau untuk menjadi pengacau supaya UMNO dan BN berpotensi untuk memenangi 60 kerusi tersebut?

Mengapa Pas tidak bertanding cukup-cukup 40 kerusi dan menumpukan sepenuh tenaga dan jenteranya di situ saja?

Dalam hal ini, berbeza dengan BN yang bertanding di semua 222 kerusi untuk mempertahankan kerajaan yang sedang dipimpinnya, begitu juga dengan Pakatan Harapan yang turut bertanding 222 kerusi sebagai lambang keyakinan ke arah pembentukan sebuah kerajaan baru, sebaliknya apa yang boleh diharapkan kepada Pas yang hanya bertanding 100 kerusi dan sasaran menang 40 saja?

Susahkah kita memahami apa keinginan Pas yang sebenar dalam PRU 14 nanti? (ShahbudinHusin 24/09/2017)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...