Monday 30 September 2013

Kalaulah Mukhriz Kalah Naib Presiden UMNO...


Penyertaan Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir dalam perebutan jawatan Naib Presiden UMNO tidak sudah-sudah mengundang kontroversi. Daripada disyaratkan meminta nasihat Presiden UMNO terlebih dahulu, kemudian penyertaannya dikatakan tidak mendapat restu berikutan Najib mahu penyandang sedia ada dikekalkan dan terbaru ini, beliau dikatakan merupakan ancaman kepada kedudukan Najib pula.

Namun di sebalik semua itu, mood dan trend perwakilan UMNO menjelang pemilihan 19 Oktober depan terlihat semakin mengukuh terhadapnya. Kedudukan sebagai anak Mahathir, kejayaan BN menawan semula Kedah dan imejnya sebagai antara pemimpin muda yang baik dan berwibawa adalah antara faktor penyumbang ke arah itu.

Ini menjadikan, meskipun tarikh pemilihan ada kira-kira tiga minggu lagi tetapi ramai menjangkakan beliau tidak menghadapi banyak masalah untuk menduduki salah satu daripada tiga kerusi naib presiden itu.

Secara langsung juga keadaan ini menjadikan sekurang-kurangnya salah seorang daripada tiga penyandang kerusi Naib Presiden iaitu Zahid Hamidi, Hishammuddin dan Shafir Apdal mulai rasa tergugat. Sekiranya, dua lagi calon iaitu Isa Samad dan Ali Rustam turut berupaya melonjakkan diri masing-masing, tambahan pula kedua mereka juga pernah menyandang kerusi itu sebelum ini, bermakna ketiga-tiga penyandang jawatan naib presiden ini tidak lagi selamat kedudukannya.

Serentak dengan tersebarnya cakap-cakap bahawa penyertaan Mukhriz tidak mendapat restu Najib, spekulasi itu bertambah hangat apabila Zahid, Hishammuddin dan Shafie dilihat bersama-sama dan saling bergandingan tangan ketika hadir di hari penamaan calon pada 21 September lalu.

Walaupun dinafikan ada pakatan atau sebarang usaha untuk mewujudkan blok undi, kempen-kempen yang mahukan ketiga-tiga penyandang itu dikekalkan ternyata semakin tersebar di mana-mana.

Di Wilayah Persekutuan pula, ketika majlis memperkenalkan salah seorang calon Naib Presiden, Zahid Hamidi kepada para perwakilan yang diadakan di sebuah hotel minggu lalu, Tengku Adnan Tengku Mansor secara terbuka menyatakan bahawa Najib mahukan ketiga-tiga penyandang sedia ada dikekalkan.

Apabila perkara itu menjadi heboh dan disiarkan dalam beberapa blog pro UMNO, diberitahu kemudiannya bahawa ucapan Tengku Adnan pada malam itu adalah atas kapasitinya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO WP dan bukannya sebagai Setiausaha Agung UMNO. Namun yang jelasnya, Ku Nan dengan kedudukan dan gambarannya sebagai "tangan kanan" Najib dilihat mahukan perwakilan UMNO WP mengekalkan naib presiden sedia dan menolak Mukhriz.

Di kalangan ketua-ketua cawangan dan para perwakilan WP, ucapan Ku Nan itu telah menimbulkan keresahan dan serba salah kerana ramai yang beranggapan bahawa kehadiran Mukhriz sebagai salah seorang naib presiden seharusnya diterima dengan baik, sesuai dengan saranan meremajakan parti dan menerima pemimpin muda yang berkelayakan yang sering dilaung-laungkan sebelum ini. Tambahan pula, di kalangan tiga penyandang naib presiden itu ada yang begitu dipertikaikan kewibawaan dan daya kepimpinannya.

Di negeri-negeri lain juga didapati bahawa kempen yang mahukan ketiga-tiga penyandang dikekalkan turut kedengaran. Dalam banyak keadaan pula, nama Najib turut digunakan untuk menguatkan keyakinan agar para perwakilan bersetuju tanpa banyak soal dengannya.

Hujah yang digunakan ialah Najib dikatakan cukup selesa bekerja dengan ketiga-tiga naib presiden sedia ada yang sudah dikenalinya cukup lama dan sekiranya berlaku perubahan ia mungkin merencatkan sebarang usaha ke arah transformssi dalam parti dan juga kerajaan yang mahu dilakukan Najib selepas ini.

Dan terbaru ini, kemenangan Mukhriz sebagai naib presiden dikatakan sebagai ancaman kepada Najib pula. Apa yang ditulis oleh The Economist mengenai hal itu sebenarnya adalah perkara yang sudah menular jauh diperbualkan di kalangan para perwakilan. Tujuannya tidak lain ialah untuk menghalang kemenangan Mukhriz dan menjadikan status quo naib presiden tidak berubah.

Isu kehadiran Mukhriz sebagai ancaman kepada kedudukan Najib kini bukan saja terpaksa dinafikan oleh tuan punya badan sendiri tetapi turut dilakukan oleh Mahathir juga. Mukhriz, kata Mahathir lagi, tidak mempunyai apa-apa niat buruk terhadap Najib.

Sementara Mukhriz mulai menyedari bahawa kempen-kempen untuk menolaknya daripada memenangi jawatan Naib Presiden UMNO mulai mengancam peluangnya, Mahathir pula tentunya terpaksa berbuat demikian kerana tidak mahu anak bongsunya itu kecundang dalam pemilihan kali ini.

Setelah kalah dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda Kubang Pasu kepada Haji Zulkifli dalam pemilihan 2004 dan kemudian kalah juga kepada Khairy Jamaluddin dalam pertandingan Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada 2009, Mahathir tentunya tidak rela melihat Mukhriz kalah lagi dalam pendakiannya menuju puncak hireaki dalam UMNO dan juga kerajaan.

Walaupun Najib sudah menafikan beliau merestui calon-calon tertentu dan menyerahkan kepada para perwakilan membuat pilihan, namun ia didapati semakin kerap diperkatakan di mana-mana. Semakin dekat hari pemilihan, dipercayai lagu yang mengatakan Najib mahu Zahid, Hishammuddin dan Shafie dikekalkan, pastinya lebih kerap didendangkan dengan pelbagai irama dan tempo oleh tukang-tukang kempen sama ada yang rasmi mahupun tidak rasmi.

Semakin kuat Mukhriz cuba menyelit dan memastikan kemenangannya, begitu jugalah semakin kuat gerakan yang mahu menolaknya.

Cumanya, bolehkah Mukhriz disingkirkan sedangkan mood dan kehendak perwakilan secara majoritinya lebih memihak kepadanya?

Kemenangan Mukhriz mungkin menjadikan UMNO tambah menarik dengan wajah kepimpinan yang dilihat lebih segar dan meyakinkan di mata rakyat tetapi sekiranya Mukhriz kalah, drama-drama dalam UMNO selepas itu juga pastinya lebih menarik lagi.

Mahathir tentunya sekali lagi menjadi watak yang paling lantang mengkritik UMNO dan Najib tidak akan terlepas daripada sasarannya. (SH 30/09/2013).

Sunday 29 September 2013

Kod Etika Pemilihan UMNO Hanya Menguntungkan Pemegang Jawatan Kerajaan


Pemilihan UMNO kali ini bukan saja menyaksikan perubahan dari segi penyertaan mereka yang diberi hak memilih tetapi juga beberapa peraturan baru berkaitan pertandingan turut diperkenalkan. Antara yang menjadi perbahasan hangat ialah mengenai peraturan kempen dan ruang untuk berjumpa dengan perwakilan.

Tidak seperti sebelum ini, dalam pemilihan kali ini mereka yang bertanding di peringkat pusat hanya dibenarkan berjumpa dengan perwakilan dalam program yang akan diaturkan oleh Badan Perhubungan Negeri saja. Menurut laporan, majlis seumpama itu akan disusun selepas 7 Oktober depan iaitu selepas senarai calon-calon yang disahkan bertanding dikeluarkan.

Semua calon khabarnya akan diberitahu tarikh dan masa majlis-majlis yang akan diiadakan itu dan hanya disitulah mereka boleh berjumpa dan beramah mesra dengan perwakilan dari setiap negeri. Kempen secara persendirian atau menemui perwakilan secara sembunyi-sembunyi tidak lagi dibenarkan dan jika didapati berbuat demikian, boleh dibatalkan penyertaan calon yang berbuat demikian.

Timbul persoalan, dengan jumlah perwakilan seluruh Malaysia mencecah 150 ribu dan di setiap negeri pula angkanya juga melibatkan belasan ribu orang, bagaimanakah calon-calon yang bertanding dapat memperkenalkan diri masing-masing dan menambat hati perwakilan?

Jika dalam setiap majlis itu diminta semua calon berucap dan memperkenalkan diri, di mana dilaporkan seramai 260 calon bertanding di peringkat MT, Wanita, Pemuda dan Puteri, majlis memperkenalkan calon itu barangkali perlu memakan masa yang panjang dan membosankan para perwakilan.

Kalau pun majlis itu diasingkan antara MT, Wanita, Pemuda dan Puteri dan diadakan pula mengikut zon atau daerah, jumlah calon yang perlu hadir dan memperkenalkan diri ialah antara 60 hingga 70 orang. Dengan ini, majlis itu tetap memerlukan tempoh masa yang lama jika semua calon diminta berucap dan memperkenalkan diri.

Tetapi sekiranya majlis itu sekadar majlis keramaian yang disertai dengan makan-makan misalnya dan semua calon mempunyai kebebasan memperkenalkan diri dan menemui perwakilan, keberkesanannya pula yang menjadi pertikaian. Cukupkah dalam majlis seumpama itu untuk seseorang calon memperkenalkan diri, menerangkan visi perjuangan dan sebagainya kepada para perwakilan dan berapa berapa ramai pula perwakilan yang boleh ditemui?

Walaupun mungkin UMNO melaksanakan kod etika itu dengan niat yang baik tetapi persoalan-persoalan ini dilihat mengekang calon-calon, terutama muka baru, calon pertama kali bertanding dan calon yang tiada jawatan dalam kerajaan seperti menteri atau timbalan menteri.

Sebab itu, apabila calon Naib Presiden UMNO, Mukhriz Mahathir meminta kelonggaran diberi untuk menemui perwakilan, ia sebenarnya wajar dipertimbangkan demi keadilan kepada semua pihak.

Bagi yang ada jawatan sebagai menteri atau timbalan menteri, kod etika kempen ini mungkin tidak banyak mendatangkan masalah kepada mereka. Mereka juga tidak mengharapkan sangat wadah kempen yang diatur itu untuk memperkenalkan diri. Liputan media melalui akhbar dan tv juga memihak kepada mereka atas dasar jawatan yang disandang dalam kerajaan itu.

Meskipun sekarang ini, dilaporkan bahawa kempen hanya boleh bermula selepas 7 Oktober melalui majlis yang akan diatur oleh Badan Perhubungan Negeri, tetapi mereka yang berjawatan dalam kerajaan sudah pun memulakan kempen masing-masing melalui program kementerian yang diatur di beberapa negeri.

Ada menteri yang mengadakan karnival, ada yang mula mengatur program bertemu pemimpin masyarakat, melawat agensi di bawah kementerian, program turun padang dan mencipta seribu satu nama program lain yang tujuan dan maksudnya ialah bertemu perwakilan di seluruh negara.

Majlis itu meskipun atas nama dan belanja yang ditanggung oleh kementerian tetapi berdasarkan gambar-gambar yang tersebar, jelas sekali bahawa sebahagian besar yang hadir adalah perwakilan UMNO cawangan-cawangan belaka. Ketika calon-calon lain tidak dibenarkan berkempen dan dikekang dengan pelbagai sekatan, mereka yang berjawatan menteri dan timbalan menteri ini bukan saja menyalahgunakan kedudukan dan perbelanjaan kerajaan untuk kepentingan jawatan dalam parti tetapi juga seolah-olah mempunyai lesen besar untuk berkempen sesuka hati.

Selain mereka yang berjawatan menteri dan timbalan menteri mulai sibuk mengatur pelbagai program ke seluruh negara, calon yang berjawatan dalam GLC dan agensi kerajaan juga turut berbuat demikian. Mereka kini berkelilau turun padang ke seluruh negara atas berbagai program yang direka-reka namanya tetapi mauduknya ialah untuk bertemu dan berkempen kepada perwakilan UMNO.

Bagi calon yang mempunyai hubungan rapat dengan menteri atau timbalan menteri pula, bolehlah menumpang dengan turun sama ke mana-mana destinasi itu.

Bagi calon yang tiada jawatan dan tiada "godfather", kesukaran memang ternampak nyata. Bukan saja kekurangan ruang untuk berkempen dan memperkenalkan diri, malah tiada juga teduhan yang boleh mereka menumpang.

Di sinilah ternampak ketidakadilannya dan diharap Lembaga Disiplin atau Jawatankuasa Pemantau Pemilihan turut melihat pekara ini secara menyeluruh dan tidak sekadar memberi amaran akan mengambil tindakan kepada calon-calon yang melanggar peraturan tetapi akhirnya yang masuk jerat hanyalah "ikan-ikan bilis" saja sedangkan calon "ikan yu" bebas meredah apa saja halangan yang dicipta itu.

Dengan pelbagai kekangan dan sekatan yang akhirnya ternampak berat sebelah dan hanya menguntungkan satu-satu pihak saja, kod etika pemilihan yang merupakan sebahagian daripada transformasi politik Perdana Menteri, Najib Razak ini ternampak bukannya sedang menuju kemajuan, sebaliknya seperti berundur ke belakang, memberi ketidakadilan kepada sesetengah calon dan menganiaya mereka.

Sudahnya, calon yang tiada jawatan walaupun berpotensi dan mempunyai kelayakan serta kebolehan seperti tidak diberikan "lantai yang sama rata untuk menari" manakala perwakilan seramai 150 ribu yang kononnya melambangkan erti demokrasi sebenar dan inklusifnya UMNO pula seolah-olah dilayan seperti kanak-kanak tadika yang sentiasa dipantau pergerakannya dan "tidak boleh itu" dan "tidak boleh ini" akhirnya. (SH 29/09/2013).

Saturday 28 September 2013

Peluang Wanita UMNO Memulihkan Imejnya


Kehadiran Maznah Mazlan sebagai pencabar Shahrizat Jalil di saat-saat akhir bagi jawatan Ketua Wanita UMNO pada 12 Oktober depan, kembali menghangatkan perebutan bagi jawatan itu. Sebelum ini apabila bekas Ketua Puteri UMNO, Azalina Othman Said menarik diri daripada mencabar Shahrizat kerana dikhabarkan dinasihatkan berbuat demikian di samping dijanjikan kedudukan dalam sebuah GLC serta jawatan kanan dalam Wanita UMNO, bekas Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga itu dijangka akan menang mudah dalam pemilihan kali ini.

Ini kerana, meskipun terdapat seorang lagi individu bakal mencabarnya iaitu Raihan Sulaiman Palestin tetapi beliau dilihat bukanlah seorang yang mempunyai kekuatan dan profil meyakinkan untuk menggugat Shahrizat. Selain rekod dan pencapaiannya dalam Puteri UMNO suatu ketika dahulu tidak ada yang membanggakan, pergaulan dan percampurannya dalam Wanita UMNO juga begitu terhad.

Orangramai mungkin hanya mengingati Raihan kerana beliau adalah anak kepada Sulaiman Palestin yang pernah mengejutkan ramai kerana keberaniannya mencabar Hussein Onn bagi jawatan Presiden UMNO. Selebihnya hampir tidak ada. Lantaran itu, Raihan tidak dilihat sebagai pencabar yang kuat kepada Shahrizat.

Tetapi dengan kehadiran Maznah, yang muncul tanpa sebarang desas-desus atau khabar angin sebelumnya tetapi muncul mengemukakan borang pencalonan hanya kira-kira 20 minit sebelum tempohnya berakhir, menjadikan perebutan jawatan Ketua Wanita UMNO kembali panas dan laluan Shahrizat untuk mempertahankan jawatan tersebut turut berliku.

Maznah, salah seorang EXCO Wanita, kini merupakan ADUN Muadzam Shah dan sebelum ini pernah dilantik Senator dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, dilihat cukup meyakinkan bukan saja untuk memberi cabaran kepada Shahrizat tetapi juga untuk melakar wajah baru yang lebih berseri kepada Wanita UMNO bagi menghadapi PRU 14.

Dibandingkan dengan Shahrizat yang pernah menjadi menteri dan lebih popular berbanding Maznah, tetapi dari sudut imej dan"baggage" Maznah ternyata kelihatan lebih baik dan lebih ringan. Beliau tidak ada imej lembu NFC yang menjadi perbualan umum dan penyelewengan dana 1Azam sebagaimana Shahrizat.

Sebaik mengetahui beliau bakal dicabar oleh salah seorang Exconya, Shahrizat lantas memberi reaksi spontannya dengan mengaitkan kehadiran Maznah sebagai calon proksi yang dikatakan ditonjolkan oleh Rafidah Aziz, selain cuba memburukkan pencabarnya itu sebagai tokoh wanita yang tidak aktif serta tidak menghadiri mesyuarat sejak sekian lama.

Walaupun Maznah pantas menangkis kehadirannya sebagai calon proksi dengan mengatakan beliau seorang yang boleh berfikir dan membuat pendirian sendiri, reaksi Shahrizat itu jelas memperlihatkan beliau mulai rasa tergugat kedudukannya.

Memang diakui bahawa Wanita UMNO merupakan sayap penting kepada UMNO. Mereka bukan saja saja aktif dalam kerja-kerja pilihanraya dan kemasyarakatan tetapi kehadiran golongan wanita jugalah yang menunjangi kekuatan UMNO dan kerajaan selama ini. Bukan saja dalam mesyuarat UMNO cawangan-cawangan tetapi juga pelbagai program di seluruh pelusuk negara, termasuk yang didihadiri Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, jika tidak kerana ramainya kaum wanita yang memenuhi majlis dan menampakkan program yang diadakan mendapat sambutan ramai, barangkali sudah lama Najib dan Muhyiddin patah semangat dibuatnya.

Namun isu lembu NFC telah banyak mencalarkan wajah Wanita UMNO. Isu itu membuatkan Wanita UMNO tidak lagi dihormati seperti dulu. Dalam pilihanraya umum lalu, antara sebab Wanita UMNO masih mampu bertahan ialah kerana Shahrizat tidak dijadikan calon pilihanraya dan ramai yang menganggapnya tempoh kepimpinannya akan berakhir sebaik saja pilihanraya tamat. Penggugurannya sebagai menteri meyakinkan rakyat bahawa zaman pencennya sudah menemui titik mula.

Cuba bayangkan prestasi UMNO dan gerak kerja Wanitanya dalam pilihanraya lalu jika Shahrizat dijadikan calon atau diberitahu beliau akan dilantik sebagai penasihat bertaraf menteri kepada Perdana Menteri?

Dalam hal ini, merubah dan menyolek wajah baru kepada Wanita UMNO untuk ditampilkan lebih berseri adalah penting untuk difikirkan. Ketika isu lembu NFC muncul dulu, begitu ramai yang mahukan Shahrizat berundur. Mereka termasuklah Mahathir, beberapa pemimpin UMNO dan kalangan dalam Wanita UMNO sendiri.

Selepas pemilihan 12 Oktober ini, pemilihan UMNO yang seterusnya ialah pada 2016. Tetapi mengikut amalan biasa, pemilihan itu selalunya akan ditanggunhkan untuk memberi laluan kepada pilihanraya umum yang mungkin diadakan pada 2017 atau 2018. Jika itu berlaku, bermakna kepimpinan yang dipilih kali ini adalah mereka yang akan memainkan peranan dalam pilihanraya akan datang yang dijangka tidak kurang getir dan mencabarnya seperti pilihanraya umum lalu.

Persoalannya, jika Shahrizat dipilih lagi, mampukah Wanita UMNO berdepan dengan rakyat sedangkan beliau yang dulunya sudah digugurkan sebagai menteri kini dilantik pula sebagai penasihat khas bertaraf menteri? Tidakkah rakyat terasa mereka dipermain-mainkan dengan pengguguran Shahrizat sebelum ini?

Walaupun Maznah tidak sepopular Shahrizat tetapi imej dan rekodnya belum tercemar lagi. Penampilannya juga meyakinkan. Jika dulu Azalina dikatakan tidak sesuai memimpin Wanita UMNO kerana tidak pernah mempunyai pergaulan yang cukup dalam Wanita, selain tidak pernah menjadi ibu, Maznah melebihi kelayakan itu. Soal calon proksi tidak seharusnya ditimbulkan kerana ketika Shahrizat mencabar Rafidah dulu pun, tiada sesiapa bertanya beliau calon proksi kepada siapa ketika itu.

Pemilihan pemimpin Wanita UMNO kali ini tidak diragui lagi mempunyai kepentingan bukan saja dalam memulihkan imejnya tetapi yang jauh lebih penting ialah peranannya dalam membantu sama ada UMNO terus tegak atau berkecai dalam pilihanraya akan datang. Mengekalkan mereka yang telah tercemar dan terpalit dengan kekotoran samalah seperti menyumbang kepada keruntuhan UMNO.

Inilah masanya untuk Wanita UMNO membuat pilihan yang jujur dan objektif. (SH 28/09/2013)

Friday 27 September 2013

Ayuh Najib, Beranilah Sahut Cabaran Ku Li Untuk Isytihar Harta!


Hanya berselang beberapa jam setelah Tengku Razaleigh Hamzah melontarkan cabaran kepada Najib agar semua yang bergelar pemimpin, termasuk dirinya supaya berani mengisytiharkan harta masing-masing kepada umum sebagai langkah menangani rasuah dan mengembalikan kepercayaan umum, terdedah pula berita mengenai anak seorang menteri yang berjawatan pegawai khas didapati telah membeli sebuah banglo mewah bernilai lebih RM7 juta.

Ia sekaligus menjadikan cabaran Ahli Parlimen Gua Musang itu bukan saja terlihat sangat relevan tetapi merupakan sesuatu yang tidak seharusnya dielakkan oleh Najib jia benar beliau mahu melihat UMNO dan para pemimpinnya dipulihkan imejnya dan seterusnya diyakini rakyat untuk suatu tempoh yang lebih lama lagi.

Pemimpin Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Chegu Bard semalam mendedahkan maklumat beserta gambar tentang anak Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz yang bernama Nedim didapati telah membeli sebuah banglo mewah di Glenmarie, Shah Alam dengan harga lebih RM7 juta yang diragui keupayaan memiliki hartanah itu memandangkan usianya yang masih.

SAMM juga segera menuntut penjelasan Nazri mengenai pembelian hartanah itu serta kemampuan kewangan anaknya yang begitu muda tetapi sudah boleh membeli sebuah banglo mewah.

Selain dilanda berbagai kontroversi sebelum ini, tindakan Nazri melantik anaknya sebagai pegawai khas di kementeriannya juga ditegur Perdana Menteri yang menyifatkan anak dan ahli keluarga menteri secara prinsipnya tidak boleh bekerja di kementerian tetapi hanya dibenarkan di kawasan Parlimen sahaja. Lantaran itu, Nedim kemudian ditugarkan sebagai pegawai khas di Parlimen Padang Rengas dengan dengan tugas khusus berkaitan generasi muda atau Gen Y.

Dan sepertimana biasa, Nazri tetap menjawab sebarang kontroversi dengan caranya yang tersendiri. "Itu bukan masalah saya," tegasnya.

Memanglah Nazri boleh berdalih dengan mengatakan urusan anaknya yang sudah dewasa itu bukan lagi urusannya tetapi bolehkah rakyat mempercayainya? Sebagai pemimpin, seseorang itu bukan sekadar bertanggungjawab terhadap partinya tetapi juga kepada rakyat yang membayar cukai dan mengharapkan seseorang pemimpin itu benar-benar seorang yang amanah dan berwibawa.

Rakyat tentunya meragui jika ada anak atau ahli keluarga seorang menteri dilihat bergaya mewah dan berbelanja di luar kemampuan yang sewajarnya. Sebenarnya tidak sahaja Nazri yang terkait dengan gaya mewah dan berbelanja di luar kemampuan itu, perlakuan anak isteri beberapa menteri dan timbalan menteri yang lain juga turut menjadi perbualan umum.

Ada yang sering kelihatan ke sana-sini dengan kereta mewah, ada yang gila berparti, ada yang terlibat dengan pelbagai jenis perniagaan dan pemilikan saham, gemar membeli-belah di luar negara dan berbagai lagi. Kedengaran juga ada anak seorang menteri yang menaiki kereta Mini Cooper untuk ke kelas tuisyen.

Anak isteri Najib sendiri tidak putus-putus terpalit dengan isu yang sama. Dari beg tangan mewah, perhiasan yang mahal-mahal, baju bersilih-ganti, percutian mewah sehinggalah kepada cincin bernilai RM24 juta, semuanya memberi gambaran buruk tentang wajah-wajah sebenar pemimpin yang ada di negara ini.

Kepada rakyat, kekayaan dan kemewahan keluarga pemimpin akan segera dikaitkan dengan perbuatan rasuah. Ini kerana rasuah adalah cara paling mudah untuk memperolehi wang dan kekayaan bagi mereka yang mempunyai kuasa. Rasuah juga memburukkan imej parti dan kerajaan. Jika tidak ditangani, rasuah adalah barah yang akan membunuh seluruh nilai-nilai murni dalam kehidupan.

Lantaran itu, sebagai pemimpin veteran yang penuh pengalaman, Tengku Razaleigh sedar bahaya dan impak buruk daripada rasuah itu. Kalau pun ia tidak menghancurkan UMNO dan kerajaan dalam waktu yang terdekat ini, lambat-laun bala daripadanya pasti akan tiba.

Dengan kenaikan harga barang, kos sara hidup makin meningkat serta pelbagai bebanan lain yang ditanggung rakyat tetapi dalam masa yang sama kerap pula timbul cerita-cerita negatif tentang kemewahan dan kekayaan pemimpin dan keluarganya, persepsi rakyat terhadap golongan pemimpin turut bertambah buruk.

Untuk mengembalikan keyakinan rakyat serta membuang persepsi rasuah itu, Tengku Razaleigh mencabar Najib agar semua pemimpin dan bekas pemimpin, termasuk dirinya agar mengisytiharkan harta masing-masing supaya rakyat akhirnya boleh membuat penilaian.

Dalam hal ini adalah wajar Najib menyahut cabaran Ku Li itu bagi membuktikan dirinya serta pasukannya dalam kerajaan adalah terdiri daripada mereka yang benar-benar berwibawa, berintergeriti dan diyakini rakyat. Dalam dunia moden yang menuntut ketelusan, pengisytiharan harta secara terbuka adalah kaedah paling baik menentukan bersih atau tidaknya seseorang pemimpin itu.

Tidak diragui lagi, kes terbaru melibatkan anak Nazri yang membeli hartanah mewah yang diluar kemampuan seorang anak muda sepertinya adalah umpama mendalam dan membesarkan lagi kubur UMNO. Kes ini menambahkan lagi keraguan dan kecurigaan rakyat terhadap UMNO dan kerajaan. Mungkin ia tidak menyebabkan kerajaan tumbang atau kedudukan Najib tergugat dalam waktu yang dekat ini tetapi dalam jangka masa panjang, itulah sebenarnya penyebab utama kejatuhan banyak kerajaan di dunia ini.

Sekiranya Najib masih sayangkan UMNO, ingin melihatnya bersih dan terus berkuasa, beliau tidak harus berlengah lagi untuk menyahut cabaran Ku Li itu. Ayuh, segera arahkan semua pemimpin, bekas pemimpin dan keluarganya untuk mengisytiharkan harta masing-masing. Najib mestilah menjadi orang yang pertama mendedahkan nilai hartanya kepada umum, kemudian diikuti oleh semua menteri-menterinya.

Ku Li yang sudah menyatakan kesediaan untuk berbuat demikian, harus juga menuruti langkah itu. Mahathir dan semua bekas pemimpin juga mesti menyokong langkah ini. Walaupun tidak lagi bergelar pemimpin, anggaplah tindakan itu sebagai pengorbanan kepada parti yang telah menjadikan mereka pemimpin sebelum ini.

Cabaran Ku Li kepada Najib adalah relevan untuk membersihkan imej UMNO dan kerajaan dan agar ia diterima rakyat sepanjang masa. Selebihnya terserahlah kepada Najib.

Sebab itu, walaupun Tengku Razaleigh yang sebelum ini diura-urakan bakal mencabar Najib bagi jawatan Presiden UMNO, masih tidak bersedia berbuat demikian lantaran wujudnya beberapa kekangan, selain mendapati ahli-ahli UMNO belum benar-benar sedia kepada perubahan, cabarannya berkaitan pengisytiharan harta ini tidak lain menunjukkan kasih dan sayangnya yang berterusan kepada parti.

Walaupun tanpa jawatan dan kedudukan, Ku Li merasakan beliau masih bertanggungjawab mengutarakan perubahan. (SH 27/09/2013)

Thursday 26 September 2013

Orang Najib Dipaksa Kibar Bendera Putih Kepada Orang Muhyiddin Di Setiawangsa


Perebutan jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa antara Ahli Parlimen kawasan itu, Ahmad Fauzi Zahari dengan Izuddin Ishak yang pada mulanya dijangka sengit dan menarik, sudahnya berakhir dengan anti klimaks apabila salah seorang calonnya menarik diri setelah diarahkan berbuat demikian.

Izuddin Ishak yang mahu mencabar Fauzi untuk kali ketiga dikatakan menerima arahan itu atas alasan demi menghormati kedudukan Ahmad Fauzi sebagai Ahli Parlimen. Tidak diketahui siapa yang memberi arahan tersebut tetapi nama Presiden UMNO, Najib Razak dan timbalannya, Muhyiddin Yassin sering dirujuk dan dijadikan sandaran untuk menghalalkan usaha mengelakkan pertandingan itu dengan alasan demi perpaduan, keharmonian serta menghormati kedudukan Ahmad Fauzi.

Beberapa pemimpin UMNO dalam Wilayah Persekutuan dipercayai memainkan peranan memujuk dan memastikan Izuddin menarik diri bagi laluan kemenangan tanpa bertanding kepada Ahmad Fauzi.

Sementara di bahagian-bahagian lain, Ahli Parlimennya bebas berlawan atau dilawan, bahkan di Kangar, Ahli Parlimennya bertanding merebut jawatan Ketua Bahagian melawan Menteri Besar Perlis, Azlan Man, tetapi di bahagian Setiawangsa ia sebaliknya cuba dikekang dan dielakkan.

Beberapa ahli dan ketua UMNO cawangan dalam bahagian itu melahirkan rasa kesal dengan arahan kepada Izuddin itu kerana UMNO seolah-olah tidak menghormati suara akar umbi di sebalik gema transformasi yang dilaung-laungkan ke seluruh pelusuk negara.

"Di sebalik UMNO melakukan transformasi dan memberi peluang kepada lebih ramai suara akar umbi menentukan siapa pemimpinnya, rupa-rupanya wahyu dari atas masih lagi diguna-pakai," kata seorang ketua cawangan yang enggan namanya dikenali.

Tambahnya, dengan adanya arahan tersebut sehingga Izuddin dalam keadaan terpaksa menarik diri daripada bertanding, transfomasi UMNO sebenarnya sudah jadi tunggang-langgang, tidak dihormati dan hanya mengikut suara pemimpin diatas.

Sekiranya pertandingan Ahmad Fauzi dengan Izzudin menjadi kenyataan, ia sebenarnya adalah pertandingan kali ketiga antara mereka setelah persaingan kali pertama berlaku pada 2001 untuk jawatan Ketua Pemuda di mana Ahmad Fauzi tewas manakala pertandingan kali kedua pula pada 2008 untuk jawatan Naib Ketua Bahagian di mana Izuddin pula tewas. Pertandingan kali ketiga ini dijangka akan menentukan siapa pemenang sebenarnya setelah kedua-duanya mempunyai "tauke" masing-masing di peringkat pusat.

Ahmad Fauzi dikenali sebagai orang Muhyiddin dan diketahui mempunyai hubungan rapat dengan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin. Malah, pencalonannya sebagai Ahli Parlimen menggantikan Zulhasnan Rafique dalam pilihanraya umum lalu adalah atas kepercayaan dan keyakinan Muhyiddin yang ketika itu menjadi Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan.

Izuddin pula mempunyai hubungan rapat dengan keluarga Najib Razak dan sudah beberapa kali mengikuti rombongan bersama Perdana Menteri ke luar negara. Kelibatnya juga jarang tidak kelihatan di majlis-majlis yang diadakan di Seri Perdana atau di mana-mana saja Najib berada.

Selepas pilihanraya lalu, Najib Razak telah melantik Izuddin sebagai Pengarah Eksekutif Yayasan Kesejahteraan Bandar dan ia dilihat sebagai deretan usaha Najib memberi habuan kepada penyokong-penyokongnya dan juga sebagai langkah mengukuhkan lagi kedudukannya berikutan hanya kemenangan tipis dicapai dalam pilihanraya 5 Mei lalu.

Secara mudahnya, sementara Ahmad Fauzi dikenali sebagai orang Muhyiddin dijadikan Ahli Parlimen, dalam masa yang sama Izuddin pula yang merupakan orang Najib diberikan habuan dan kedudukan dalam Yayasan Kesejahteraan Bandar.

Walaupun jangkaan awal sebelum ini bahawa Muhyiddin bakal mencabar Najib tidak menjadi kenyataan dan kedua-dua pemimpin itu sepakat untuk terus bekerjasama dan bersatu hati, namun arahan kepada Izuddin agar menarik diri dan tidak mencabar Ahmad Fauzi seolah-olah memberi gambaran bahawa Muhyiddin masih mempunyai perancangan lain dan cuba memastikan orang-orangnya mempunyai kedudukan yang selamat.

Dengan Izuddin yang dikenali sebagai orang Najib dipaksa mengibarkan bendera putih kepada Ahmad Fauzi yang merupakan orang Muhyiddin, sebenarnya lebih banyak persoalan bakal timbul berbanding masalah yang kononnya berjaya ditutup melalui tiadanya pertandingan antara kedua mereka itu.

Tetapi yang pasti, kesan segera daripadanya ialah transformasi politik dan penghargaan UMNO kepada ahli akar umbi untuk menentukan pemimpin pilihan mereka sendiri melalui peraturan baru yang diperkenalkan, kini beransur-ansur sudah tidak dipercayai lagi. (SH 26/09/2013)

Wednesday 25 September 2013

Siapa Orang Bodoh Dalam UMNO Yang Mahathir Maksudkan?


Bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad terus melontarkan kritikannya terhadap UMNO. Jika sebelum ini beliau mengatakan UMNO sebagai parti yang sudah tua dan akan mati, kali ini pemimpin UMNO yang sudah lama memegang jawatan pula dijadikan sasarannya.

Walaupun hujah Mahathir yang mengatakan UMNO sudah tua dan bakal mati itu disanggah oleh Najib dengan mengatakan UMNO sebenarnya semakin diterima rakyat berdasarkan lebih kerusi dimenanginya dalam pilihanraya lalu berbanding pilihanraya 2008, namun Mahathir nampaknya terus juga melontarkan kritikannya.

Beliau yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun berkata, seseorang pemimpin tidak seharusnya memegang kuasa terlalu dan perlu mengetahui bila waktunya mahu berhenti.

Langkah itu, menurutnya perlu dilakukan untuk mengelakkan parti daripada terus dikuasai oleh orang-orang bodoh.

Tidak pasti siapa yang dimaksudkan oleh Mahathir sebagai golongan pemimpin yang tidak perlu memegang kuasa terlalu lama dan harus mengetahui waktu untuk berundur itu. Adakah beliau maksudkan kepada Najib? Atau barangkali ditujukan kepada Muhyiddin?

Memang Najib sudah berusia 60 tahun manakala Muhyiddin pula sudah berusia 64 tahun, tetapi mereka baru saja sepenggal menjadi Presiden dan Timbalan Presiden UMNO? Apakah jika lebih lama Najib dan Muhyiddin memimpin UMNO, mereka akan termasuk dalam kategori orang-orang bodoh juga?

Oleh kerana anaknya, Mukhriz bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan kali ini, apakah sebenarnya Mahathir sedang menghantar isyarat kepada perwakilan agar menolak calon-calon berusia yang bertanding jawatan itu? Dengan Mukhriz berusia 49 tahun, Hishammuddin 52 tahun, Shafie Apdal 54 tahun, Zahid Hamidi 61 tahun, Isa Samad 63 tahun dan Ali Rustam 64 tahun, apakah tujuan Mahathir sebenarnya mahu perwakilan UMNO menolak mereka yang berusia lebih 60 tahun itu?

Atau Mahathir menujukan perkara itu kepada ketua-ketua UMNO bahagian seluruh negara yang masih lagi mahu bergayut pada jawatan masing-masing meskipun sudah sekian lama memegang jawatan tersebut?

Mahathir kini dilihat begitu kerap bersuara tentang perlunya UMNO menerima golongan muda. Semua kritikan dan pandangannya mengenai masa depan UMNO seringkali berakhir dengan jalan penyelesaianna ialah perlu menerima dan membawa masuk lebih ramai golongan muda ke dalam parti itu. Meskipun perkara itu ada kebenarannya tetapi oleh kerana anaknya bertanding kali ini, orang sering membuat tafsiran bahawa beliau sedang berkempen secara tidak langsung untuk memastikan kemenangan anaknya itu.

Oleh kerana beliau begitu kerap bercakap mengenai keperluan orang muda dan pemimpin tidak perlu memegang jawatan terlalu lama, orang juga mula tertanya-tanya, apakah langkah Mahathir selepas pemilihan UMNO ini berakhir?

Berdasarkan kehendak semasa dalam UMNO sekarang, Mukhriz memang dilihat tiada masalah untuk mengisi salah satu slot Naib Presiden itu. Kejayaan BN menawan semula Kedah dan jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah telah melonjakkan imejnya di mata umum. Tetapi apakah Mahathir sudah berpuas hati sekadar anaknya menjadi Naib Presiden saja?

Apakah Mahathir akan meneruskan strategi memaksa Najib ataupun barangkali Muhyiddin berundur pula selepas ini sebagaimana yang pernah dilakukannya kepada Pak Lah dahulu?

Dalam beberapa pendekatan yang dilakukan Mahathir sebelum ini, beliau jarang bercakap tanpa maksud tertentu. Beliau didapati kerap bercakap soal perpaduan dan perpecahan Melayu sebelum mempelawa Tengku Razaleigh menyertai UMNO dan membubarkan Semangat 46.

Beliau juga kerap bercakap mengenai sejarah Julias Ceaser dan Brutus sebelum menikam dan membunuh karier politik anak didiknya sendiri, Anwar Ibrahim.

Apabila sekarang beliau kerap bercakap mengenai masa depan UMNO yang buruk, pemimpin perlu tahu untuk berundur, UMNO dikuasai oleh orang-orang bodoh, keperluan membawa pemimpin muda dan seumpama dengannya, langkah Mahathir yang seterusnya sedang dinanti-nantikan oleh ramai orang.

Orang juga ingin tahu siapakah orang pandai yang dirasakan layak oleh Mahathir untuk memimpin dan membaik pulih UMNO untuk masa depan. Dalam hal ini, Mahathir dipercayai akan terus mengkritik dan bercakap mengenai buruknya wajah UMNO sekarang. Di mata Mahathir, Najib dan kebanyakan pemimpin UMNO yang lain belum lagi menepati citarasanya walaupun di era Najiblah beliau lebih dihargai dan anaknya juga mendapat kedudukan yang lebih baik lagi.

Barangkali elok juga ditanyakan soalan, apa lagi Mahathir mahu? (SH 25/09/2013)

Khalid Ibrahim, Bola, Masjid dan Cap Ayam!


Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim terlihat tidak matang apabila seakan-akan melenting dengan teguran Pemuda PAS Selangor yang mempersoalkan kemerosotan pasukan bolasepak negeri itu sehingga gagal masuk ke peringkat suku akhir dan mengaitkannya dengan kekurangan penajaan dan menyebabkan ramai pemainnya berhijrah ke pasukan lain untuk musim depan.

Dalam jawapan balasnya terhadap kritikan Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohd Sany Hamzan itu, Khalid menjelaskan bahawa syarikat Menteri Besar Incorporated (MBI) telah menyalurkan sejumlah kira-kira RM7 juta setahun kepada pasukan bolasepak negeri atau dalam erti kata lain melebihi kos pembinaan sebuah masjid.

"Bermakna adakah Pemuda PAS berminat kita buat masjid atau menggalakkan bolasepak. Kita kena buat pilihan," kata Khalid lagi.

Sesiapa pun yang membaca kenyataan Khalid itu pasti akan geleng kepala, kalau pun tidak memaki dan menyumpah seranah terhadapnya. Apa kaitannya pembinaan masjid dengan pembangunan bolasepak? Penasihat kerajaan negeri Selangot, Anwar Ibrahim yang sedang berada di luar negara sekarang juga pastinya turut geleng kepala dan sedikit terganggu percutiannya dengan kenyataan Khalid yang tidak matang dan dan separuh masak itu.

Dalam ertikata lain, jika sebelum ini ada menteri yang mengatakan tukarlah makan ikan dan daging kerana harga ayam sudah mahal, tanamlah sayur kerana sayur mahal, pindahlah ke luar negara atau duduk dalam hutan jika tidak setuju dengan undang-undang dan sistem pilihanraya, jangan beli rumah jika rumah begitu mahal, gula akan dinaikkan harganya kerana rakyat banyak penyakit kencing manis dan sebagainya lagi, ternampak bahawa Khalid juga sudah dijangkiti aliran pemikiran yang sama sekarang ini.

Tiada jauh bezanya beliau dengan menteri-menteri UMNO yang selama ini mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal dalam sesuatu isu yang melibatkan rakyat.

Khalif jelss tidak boleh ditegur dan dikritik sedangkan niat Pemuda PAS membuat teguran itu adalah dengan niat yang baik, lebih-lebih lagi pasukan Selangor adalah pasukan yang hebat dengan sejarahnya sebelum ini dan kegagalan memasuki peringkat suku akhir adalah sesuatu yang memalukan.

Jika tidak dibendung dan tidak diperbaiki segera serta pemain bolasepak yang berbakat pula dibiarkan dipancing oleh
pasukan lain yang mempunyai dana yang lebih besar, tidak mustahil musim depan pasukan Selangor lebih merosot prestasinya dan mungkin untuk masuk ke pertandingan Piala Malaysia pun tidak layak.

Dalam hal ini, teguran dan kritikan Pemuda Selangor tidak ada salah dan celanya, lebih-lebih lagi PAS dan PKR bersama-sama berada dalam Pakatan Rakyat yang membentuk kerajaan negeri Selangor sekarang ini.

Teguran Pemuda PAS tentunya bukan saja kerana merasakan mereka adalah rakan dalam gabungan tetapi juga kerana Khalid dan kerajaan negeri selalu berbangga sebelum ini dengan kemampuan mengumpulkan rizab tunai melebihi RM2 bilion yang digambarkah sebagai tanda aras pentadbiran yang cekap, berhemah dan telus.

Tetapi tentunya tiada gunanya berbangga dengan rizab sebanyak itu jika untuk pembangunan bolasepak pun terlalu berkira dan menjadi haji bakhil sehingga digambarkan jika pembangunan bolasepak terpaksa menggunakan dana yang melebihi RM7 juta, maka pembinaan masjid akan terjejas.

Bukankah antara tujuan berjimat-cermat dan mengumpulkan tabungan itu supaya akhirnya duit itu dapat dibelanjakan untuk faedah rakyat dan kepentingan negeri dan membangunankan bolasepak serta mencipta kejayaan adalah juga sebahagian daripada usaha kerajaan negeri yang membangkitkan rasa banggga di hati rakyat.

Tentulah lebih membanggakan lagi jika sekiranya, di ketika bolasepak terus mahu, syiar Islam dan pembinaan masjid-masjid juga tidak tergendala.

Tolonglah Khalid, janganlah buat lawak yang membuatkan rakyat jadi meluat. Perbandingan antara bolasepak dan masjid langsung tidak kena dan memalukan rekod serta prestasinya sebagai tokoh korporat dan pentadbir yang dibanggakan selama ini.

Kalau pun mahu membuat perbandingan, janganlah bandingkan bolasepak dengan masjid. Macam menghina agama pula bunyinya dan seolah-olah mengeluarkan lebih daripada RM7 juta untuk bolasepak merupakan suatu dosa besar sedangkan ada tabungan berjumlah RM2 bilion. Apakah rizab tunai RM2 bilion itu mahu disimpan dalam bank saja?

Kenyataan Khalid ini turut juga menimbullan rasa kurang senang Pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali yang segera menyindir dalam Twitternya dengan antara lain menulis, "jom kita bermain bolasepak dan jangan lupa ke masjid" dan "tahniah PKNS FC, tapi jangan lupa ke masjid".

Di kalangan rakyat biasa juga ramai yang bersungut dan mencebik bibir kepada Khalid atas kenyataan tidak matang dan sikap haji bakhil yang ditunjukkan itu. Malah ada yang bertanya, apa sudah jadi Khalid sekarang sedangkan dulu sikap dan perangainya tidaklah sebegitu?

Dalam menempelak Pemuda PAS yang berniat baik membuat kritikan demi pembangunan bolasepak negeri Selangor serta dalam masa yang sama membuat perbandingan tidak logik antara bolasepak dan masjid, Khalid juga seharusnya tidak lupa bahawa kerusi yang didudukinya sekarang ini adalah atas ehsan PAS juga berikutan PAS menang lebih banyak kerusi berbanding PKR dalam pilihanraya umum lalu.

Hanya atas dasar kesepakatan dan memikirkan PAS sudah ada Kelantan untuk ditadbir dan DAP ada Pulau Pinang, maka persetujuan diberi kepada PKR untuk menjadi Menteri Besar di Selangor supaya masing-masing mempunyai kuasa yang seimbang dalam Pakatan Rakyat.

Tetapi melihat cara Khalid melibas Pemuda PAS seolah-olah beliau terlupa budi dan jasa PAS itu. (SH 25/09/2013)

Tuesday 24 September 2013

Giliran Menteri Meletakkan Kesalahan Pada Rakyat


Kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa menteri dan pemimpin kerajaan kebalakangan ini benar-benar meresahkan rakyat. Ia bukan saja menimbulkan kesangsian tentang kecerdikan, kewibawaan dan tahap intelektual mereka yang diamanahkan dengan kuasa dan tanggungjawab itu tetapi seolah-olah semuanya sedang sepakat untuk meletakkan segala kesalahan dan beban kehidupan kepada rakyat.

Kadangkala pula, selain semua kesalahan cuba dilonggokkan kepada rakyat, pemimpin juga cuba memperbodohkan rakyat dengan memaksa menerima hujah separuh masak yang mereka lontarkan itu.

Dalam isu kenaikan harga minyak, selain kerajaan berhujah bahawa subsidi yang dikurangkan itu akan diagihkan kepada golongan yang berhak menerimanya, di ketika yang lain Najib dan Ahmad Maslan juga berkata, kerajaan sebenarnya tidak menaikkan harga minyak tetapi hanya mengurangkan subsidinya sahaja.

Mungkin benar dan mungkin tidak, subsidi minyak yang dikurangkan itu akan ditumpukan kepada golongan rakyat yang menerimanya tetapi haruslah diingat bahawa kesan segera daripada kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen seliter itu telah pun ditanggung oleh rakyat sebelum keselesaan yang dijanjikan melalui penstrukturan subsidi baru itu benar-benar menjadi kenyataan.

Rakyat seperti disusahkan dahulu sebelum bantuan yang dijanjikan itu tiba.

Najib melalui tv dan semalam Ahmad Maslan bercakap di Parlimen bahawa kerajaan sebenarnya tidak menaikkan harga minyak tetapi hanya mengurangkan subsidinya saja. Apa beza tidak menaikkan harga tetapi memotong subsidi? Adakah harga sebelum subsidi dipotong sama dengan selepasnya?

Tolonglah jangan cuba perbodoh dan mengelirukan rakyat. Kalau harganya naik kerana subsidi dikurangkan, bermakna harganya sudah naiklah. Yang penting ialah sama ada duit yang dikeluarkan oleh rakyat bertambah atau tidak untuk membeli minyak dengan kuantiti yang sama. Apa yang susah sangat sampai Najib berkerut-kerut dahi mempertahankan bahawa harga minyak sebenarnya tidak naik tapi hanya subsidi yang dikurangkan.

Semalam Menteri Kesihatan, S Subramaniam pula berkata, oleh kerana jumlah pengidap kencing manis di kalangan rakyat adalah tinggi dan untuk mengurangkannya, maka harga pasaran gula akan dinaikkan. Senang benar nampaknya jadi menteri kalau macam ini.

Sekali lagi kenyataan seorang menteri menimbulkan keresahan rakyat dan kesalahan rakyat cuba dicari untuk melakukan sesuatu perkara yang akhirnya menyusahkan rakyat juga. Kenyataan beliau itu turut mendapat perhatian pelbagai pihak dan rata-rata mereka mengejek dan memperlekeh kecerdikan serta tahap pemikiran menteri tersebut.

Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin turut menyindir dalam Twitternya dengan menulis, "kalau naikkan harga gula dapat kurangkan diabetes, apakah naikkan harga kereta dan minyak boleh kurangkan accident?"

Semalam juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Hassan Malek meminta pengguna jalanraya memberi laluan kepada kenderaan VIP ketika kesesakan lalulintas atas alasan bahawa mereka itu mempunyai tugas penting yang menunggunya, selain dakwanya, sikap itu juga merupakan budaya rakyat negara ini yang seharusnya sentiasa diamalkan.

Kenapa tiba-tiba sekarang seorang menteri meminta rakyat memberi penghormatan dan laluan kepada golongan VIP sedangkan rakyat yang sedang terperangkap dalam kesesakan juga sudah cukup sengsara deritanya? Bukankah lebih baik dan disanjung tinggi jika golongan VIP juga sanggup bersama-samad dengan rakyat biasa mengharungi kesesakan jalanraya tanpa sebarang keistimewaan?

Atau kalau tidak mahu terperangkap dalam kesesakan, keluar awal dan rancang perjalanan dengan baik. Bukankah terlihat angkuh dan sombong jika seorang pemimpin atau VIP diberi keistimewaan begitu. Lagi pula, bukanlah sikap pengguna jalanraya begitu buruk sehingga permintaan sebegini dibuat. Ini kerana mereka biasanya tiada halangan untuk memberi laluan jika melibatkan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau golongan diraja tertentu lantaran memahami desakan tugas dan selalu berkejar dengan masa.

Apa yang berlaku, ada menteri biasa pun turut menggunakan pengiring dan tidak sanggup bersesak bersama-sama dengan rakyat kebanyakan. Inilah yang menimbulkan rasa meluat rakyat. Tambahan pula bila Hassan Malek yang membuat permintaan secara terbuka mengenainya, seperti semuanya diminta rakyat mengalah selepas mereka dibebankan dengan pelbagai perkara sebelum ini.

Dengan Hassan Malek membuat permintaan sebegini dan sebelum ini meminta rakyat mengalih kepada makan ikan dan daging berikutan kenaikan harga ayam sedangkan sebenarnya harga ikan dan daging jauh lebih mahal, ada yang bertanya, "dari gua mana datangnya menteri yang dipilih Najib ini?"

Dan jika diimbas serta dihitung beberapa kenyataan menteri-menteri sebelum ini, kita sebenarnya memang harus berasa gusar dengan kualiti mereka yang dipilih dan diamanahkan tanggungjawab itu. Mereka seolah-olah bercakap tanpa ada perasaan dan meluahkan sesuatu perkara itu ikut sedap mulut saja.

Bila mempertikaikan undang-undang, disuruh pindah ke negara lain; mempertikaikan sistem pilihanraya, diminta duduk dalam hutan; apabila merungut harga sayur mahal, diminta tanam sayar sendiri; harga rumah mahal diminta jangan beli rumah dan kalau tidak suka dengan sistem pendidikan negara, bolehlah mencari pendidikan di negara lain.

Rakyat seolah-olah tidak boleh mengeluh, merungut atau meluahkan perasaan lagi, sebalik diminta redha dan menerima saja apa yang dilakukan oleh pemimpin dengan seadanya.

Kenyataan terbaru yang terus mengelirukan mengenai kenaikan harga minyak, cuba menaikan harga gula dengan alasan kencing manis dan meminta pengguna jalanraya memberi laluan kepada golongan VIP adalah kesinambungan cerita-cerita selepas pilihahraya yang cuba meletakkan beban kesalahan kepada rakyat atas kegagalan pemimpin itu sendiri menjalankan tugas dan memberi kesejahteraan yang sewajarnya kepada rakyat.

Jika sebelum pilihanraya dulu, kejadian sebegini tidak berlaku tetapi kini ianya seakan menjadi-jadi. Satu demi satu kesalahan rakyat cuba dicari dan diselesaikan dengan meletakkan bebannya kepada rakyat juga.

Agaknya selepas menang pilihanraya memang resamnya begitu. Ketika hampir pilihanraya semula nanti, pelbagai janji dan harapan ditaburkan lagi untuk menutup semua kelemahan itu. Begitulah agaknya dan kita akan terus dihadapkan dengan perlakuan menteri-menteri yang menjengkelkan ini sepanjang masa. (SH 24/09/2013)

Monday 23 September 2013

Di Sebalik Transformasi, Ukurlah Baju Di Badan Sendiri!!


Transformssi politik yang dilaksanakan oleh Najib dalam UMNO dengan membuka ruang kepada lebih ramai perwakilan terlibat dalam memilih pemimpin dan sesiapa saja boleh bertanding, akhirnya menjadikan bukan saja pertandingan dalam UMNO menjadi lebih meriah, malahan kadang-kadang seperti bermulanya "pesta maharaja lawak" dalam parti itu.

Di ibu pejabat UMNO, hari penamaan calon yang diadakan Sabtu lalu menjadi meriah dengan ramai calon yang bertanding berserta para penyokongnya datang untuk mendaftarkan diri sebagai calon di peringkat Majlis Tertinggi dan juga sayap-sayap.

Di peringkat negeri juga keadaannya hampir sama di mana ramai yang datang untuk mendaftarkan diri bertanding dalam pelbagai jawatan di peringkat bahagian.

Walaupun transformasi ini baik untuk menggalakkan penyertaan lebih ramai bakat-bakat baru untuk memeriahkan demokrasi yang bagaikan disekat sejak Mahathir melaksanakan peraturan yang menetapkan perlunya kouta pencalonan sejak 1988 lalu, namum demikian ahli dan pemimpin peringkat bahagian haruslah menyambutnya bukan saja dengan positif tetapi juga perlu dengan kesedaran "ukurlah baju di badan sendiri"

Dalam pertandingan jawatan Ketua Pemuda UMNO misalnya, empat calon yang mencabar Khairy Jamaluddin hanyalah mereka berjawatan di peringkat cawangan saja. Ada yang ketua cawangan, ketua pemuda cawangan, penolong setiausaha pemuda cawangan dan seorang lagi bekas ketua pemuda bahagian.

Di antara mereka itu, hanya Akramsyah Sanusi, anak bekas Setiausaha Agung UMNO, Sanusi Junid yang dilihat mempunyai profil meyakinkan berikutan pernah terlibat dalam pertubuhan belia MAYC dan pengalaman korporat, selain kedudukan sebagai anak bekas pemimpin UMNO, turut sedikit-sebanyak menyerlahkan imejnya.

Yang lain-lainnya, tidak diketahui rekod perjuangan dan pengalaman mereka. Mereka juga tidak pernah sebagai AJK UMNO bahagian. Atas dasar apa sebenarnya mereka ini bertanding?

Kalaulah ditakdirkan dan atas kehendak Allah, tiba-tiba mereka ini menang sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia, bayangkan apa jadi kepada pergerakan itu dan apa jadi akhirnya kepada UMNO?

Baru mereka ini mendaftarkan diri untuk bertanding, sudah ramai yang ketawa, bayangkan juga berapa ramai lagi yang akan turut ketawa jika mereka itu menang akhirnya?

Apa yang mereka boleh buat untuk Pemuda UMNO sedangkan rekod memimpin sebelum ini hanya di peringkat cawangan saja? Barangkali jika menang, ada yang terjun tingkap dulu sebelum pun masuk ke pejabat Pemuda UMNO di tingkat 28 PWTC itu!

Begitu juga dalam pertandingan jawatan MT UMNO, sementara ramai menteri dan menteri besar tidak mahu bertanding, terdapat pula beberapa nama yang tidak dikenali dan datang entah dari mana, tiba-tiba menawarkan mahu merebut 25 jawatan itu.

Bolehkah mereka ini bercakap dalam mesyuarat dan mampukah mereka membentangkan idea-idea yang bernas kepada Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri sedangkan di sekeliling mereka adalah pemimpin-pemimpin yang berjawatan menteri, menteri besar dan timbalan menteri?

Di peringkat bahagian juga, terlihat keadaan yang sama berlaku. Di beberapa bahagian, mereka yang muncul menawarkan diri sebagai Ketua Bahagian hanyalah pemimpin peringkat cawangan yang tidak pernah menonjol selama ini. Yang selama ini hilang entah ke mana dan tiba-tiba muncul dengan impian setinggi gunung mahu menjadi ketua bahagian pun ada juga.

Sementara demokrasi dan transformasi dialu-alukan, dalam masa yang sama janganlah sampai ianya menjadi bahan lawak dan persendaan. Tidak salah mahu bertanding dan menawarkan diri, tapi sentiasalah baju yang dipakai dan kerap-keraplah memandang cermin.

Jika selama ini tidak pernah menjadi AJK pemuda bahagian atau AJK bahagian, janganlah terus berangan ingin jadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Ahli Majlis Tertinggi atau Ketua Bahagian. Ujilah kemampuan di peringkat bahagian dulu seperti AJK, naib ketua dan timbalan ketua sebelum mahu menjadi ketua. Setelah diuji dan dirasakan mampu, barulah mencongak jawatan yang lebih tinggi. Sebelum duduk, berlunjurlah dulu, kata orang tua dulu-dulu.

Seorang kawan bekas penulis berkata, kemunculan mereka yang tidak dikenali untuk merebut mana-mana jawatan penting dalam UMNO kini menjadikan ianya bahan perbualan dan lawak jenaka di mana-mana.

Bahkan ia lebih lawak lagi daripada program Maharaja Lawak, tambahnya lagi.

Mujurlah tidak ada sesiapa daripada kalangan yang tak sedar diri dan tidak mengukur baju di badan sendiri ini menawarkan diri bertanding jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO, jika tidak tentulah beruk dan kera di hutan juga akan turut ketawa mendengarnya.

Tetapi di masa akan datang, jika tiada ada sesuatu dibuat, tidak mustahil ada ketua cawangan akan menawarkan diri bertanding presiden, timbalan presiden, naib presiden dan sebagainya. Mereka mungkin mahu mencatat rekod untuk kenangan anak-anak cucu sebagai tokoh pejuang bangsa kononnya, lantas tidak lagi melihat UMNO sebagai wadah perjuangan yang perlu diselusuri daripada peringkat bawahan terlebih dahulu.

Walaupun transformasi dan keterbukaan ini memang baik demi masa depan UMNO itu sendiri tetapi mereka yang tidak mahu mengukur baju di badan ssndiri kadangkala perlu juga diberikan "cermin besar" agar mereka boleh menilai dan mencermin diri masing-masing sebelum mahu menawarkan diri bertanding sesuatu jawatan itu.

Sebelum ini dikhabarkan ada peraturan yang mensyaratkan sesiapa yang mahu bertanding di peringkat MT, sayap-sayap atau bahagian, mestilah pernah memegang sesuatu jawatan di peringkat yang lebih rendah daripadanya terlebih dahulu tetapi melihat kepada apa yang berlaku sekarang seolah-olah peraturan itu tidak digunapakai lagi dan sesiapa saja boleh menawarkan diri.

Lihat saja dalam pertandingan jawatan Ketua Pemuda UMNO, sesiapa saja macam diterima tanpa syarat untuk bertanding.

Selain sekatan-sekatan tertentu yang agak munasabah perlu dilakukan, terutama bagi mengelakkan ada yang mengambil kesempatan dan bertanding hanya kerana suka-suka serta pertandingan tiga tahun sekali dalam UMNO menjadi "pesta lawak", eloklah difikirkan kaedah-kaedah tambahan ke arah itu.

Mungkin syarat perlu meletakkan deposit sebagimana dalam pilihanraya umum, adalah salah satu kaedah yang sesuai ke arah itu. (SH 23/09/2013)

Saturday 21 September 2013

Naib Presiden - Antara Restu Najib Dan Restu Mahathir


Kehadiran ketiga-tiga penyandang jawatan Naib Presiden UMNO, Zahid Hamidi, Hishammuddin dan Shafie Apdal secara bersama dan serentak di hari penamaan calon pemilihan MT UMNO hari ini, tidak diragui lagi merupakan isyarat yang jelas bahawa mereka ini akan berpakat dan saling bergandingan tangan antara satu sama lain.

Walaupun tindakan berpakat itu cuba dinafikan tetapi ia terlihat sukar untuk disembunyikan.

"Kami sebagai penyandang secara bersungguh-sungguh akan mengekalkan jawatan untuk mendokong parti. Kami ada keserasian dan saling mengenali antara satu sama lain," demikian kata Shafie Apdal.

Zahid pula berkata, ketiga-tiga mereka mempunyai keyakinan untuk terus mempertahankan jawatan dan menyifatkan kehadiran Mukhriz sebagai pencabar yang disifatkan mewakili kehendak golongan muda bukanlah suatu masalah dan biarlah perwakilan yang menentukannya.

"Pasal Mukhriz, kami berfikiran terbuka dan berlapang dada. Sebagai penyandang, kami pasrah," kata Zahid lagi.

Hishammuddin dalam nada yang hampir serupa berkata, proses pemilihan kali ini adalah ujian kepada demokrasi dan ramalan yang yang mengatakan salah seorang daripada mereka akan tewas berikutan kehadiran Mukhriz, sama-sekali tidak menggugat keyakinan mereka bertiga untuk mempertahankan jawatan itu.

Di PWTC hari ini, dilaporkan juga ketiga-tiga penyandang itu bukan saja hadir dan mengemukakan borang secara bersama, malah kemudian meninjau pusat penamaan calon juga bersama, sambil bergurau-senda untuk memperlihatkan keakraban mereka.

Ia sekaligus menjadi percakapan bahawa mereka bertindak demikian sebagai menghantar isyarat kepada para perwakilan UMNO, bukan saja tentang kesepakatan antara mereka tetapi juga sebagai pilihan yang dikehendaki dan direstui oleh Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Najib Razak.

Kesepakatan yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga penyandang ini bukan saja untuk mempertahankan kedudukan masing-masing tetapi juga sebenarnya untuk menyekat kemaraan Mukhriz daripada memenangi salah satu kerusi Naib Presiden itu.

Najib sebelum ini dilaporkan mahu status quo Naib Presiden UMNO yang sedang disandang oleh Zahid, Hishammuddin dan Shafie dikekalkan dalam pemilihan 19 Oktober depan kerana berpuas hati dengan prestasi mereka, di samping ketiga-tiga mereka juga dianggap sebagai "penurut perintah paling setia" dan mampu berada di barisan paling hadapan untuk mempertahankan kedudukan Najib.

Selain itu, dengan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden hampir pasti tidak ditandingi, Najib juga mahu menonjolkan dirinya sebagai pemimpin yang masih mampu mengawal UMNO dan sebab itu beliau mahukan ketiga-tiga penyandang Naib Presiden yang ada dikekalkan.

Apabila Mukhriz mahu bertanding, Zahid lantas menyarankan agar anak Mahathir itu pergi mendapatkan nasihat daripada Najib terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Najib juga dilaporkan tidak begitu gembira dengan keputusan Mukhriz mahu bertanding dan telah memanggil Mukhriz ke pejabatnya untuk memberi nasihat berkenaan perkara itu.

Namun demikian, dilaporkan bahawa dalam pertemuan itu, Mukhriz telah meminta maaf kepada Najib kerana tidak dapat mematuhi nasihat Presiden UMNO agar jangan bertanding Naib Presiden UMNO, sebaliknya menyatakan keinginan untuk terus bertanding berdasarkan sokongan dan respon yang diterimanya.

Khamis lalu, Mukhriz akhirnya mengumumkan hasratnya bertanding Naib Presiden UMNO dengan slogan "Berani Berubah". Sehingga hari ini juga, Mukhriz tidak bercakap mengenai nasihat dan restu daripada Najib kepadanya, sebaliknya hanya berkata, keputusannya bertanding mendapat restu daripadanya bapanya, Mahathir Mohamad.

Dengan pertandingan Naib Presiden UMNO kali ini menjadi enam penjuru dengan penyertaan Isa Samad dan Ali Rustam, gambarannya ialah ketiga-tiga penyandang mendapat restu daripada Najib selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Mukhriz mendapat restu daripada Mahathir, bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri tetapi masih lagi berpengaruh manakala Isa dan Ali, mungkin hanya bersandarkan restu diri sendiri sahaja.

Sekiranya dengan kesepakatan yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga penyandang ini mereka terus kekal, bermakna restu Presiden masih ada harganya tetapi sekiranya seorang atau lebih daripadanya yang tewas, ia akan memberi erti bahawa restu Najib tidaklah lagi sekuat restu Mahathir.

Jika Mukhriz berjaya mendapat undi tertinggi pula, isyaratnya restu Najib tidak membawa apa-apa makna lagi.

Sementara menunggu keputusan pada 19 Oktober untuk mengetahui restu siapakah yang paling "power", tempoh kempen selama hampir sebulan untuk perebutan jawatan Naib Presiden UMNO kali ini tentunya menjanjikan kehangatan yang luar biasa tetapi yang pastinya juga, UMNO akan terus sarat dengan pergelutan, perebutan dan persaingan untuk tahun-tahun yang seterusnya.

Lebih-lebih lagi jika Mahathir terus sihat dan panjang umurnya. (SH 21/09/2013)

Friday 20 September 2013

Ada Naib Presiden UMNO Mula Berpeluh Dingin


Sepertimana yang diduga dan diharapkan oleh banyak pihak, Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir akhirnya mengumumkan penyertaannya dalam perebutan jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan 19 Oktober depan. Ini menjadikan persaingan menjadi sah enam penjuru setakat ini.

Jika pengumuman Mukhriz ini dibuat setelah beliau mendapatkan nasihat daripada Najib sebagaimana yang disyorkan oleh salah seorang penyandang Naib Presiden UMNO, Zahid Hamidi sebelum ini, bermakna Mukhriz sudah mendapat restu dan izin daripada Presiden UMNO untuk bertanding jawatan itu. Dengan ini, peluangnya bukan saja cerah untuk menang tetapi juga berpotensi untuk mengambil alih tempat Zahid sebagai pemenang undi tertinggi.

Apatah lagi, pengumuman Mukhriz bertanding juga dibuat serentak pada hari yang sama dengan Najib dan Muhyiddin mengumumkan bahawa mereka akan mempertahankan jawatan presiden dan timbalan presiden masing-masing.

Sekali lagi, kelebihan seperti berpihak kepada anak bongsu bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad itu.

Dengan penyertaan Mukhriz, ketiga-tiga penyandang jawatan Naib Presiden UMNO seperti tergugat dengan kehadirannya itu. Zahid Hamidi, walaupun popular dan menjadi pilihan akar umbi dan dalam pemilihan lalu mendapat undi tertinggi, kedudukannya tidak lagi seselamat dulu. Beliau mungkin tergelincir daripada kedudukan Naib Presiden nombor satu, bahkan tidak mustahil juga jika tewas.

Hishammuddin menjadi paling tergugat dengan kehadiran Mukhriz, bukan saja kerana wibawanya yang dipertikaikan sejak dulu, malahan dengan kehadiran Mukhriz mungkin membuatkan perwakilan UMNO hanya memilih seorang saja daripada anak bangsawan dan anak bekas Perdana Menteri untuk menduduki kerusi itu.

Dari segi populariti, kehendak semasa dan adanya pengaruh bapanya, Mahathir, tidak diragui lagi bahawa Mukhriz lebih menjadi pilihan berbanding Hishammuddin. Tetapi, sebagaimana yang disebut sebelum ini dan diperkatakan oleh banyak pihak, Najib tidak mungkin membenarkan Hishammuddin tewas berikutan hubungan kekeluargaan antara keduanya.

Shafie Apdal juga turut terumbang-ambing kedudukannya. Walaupun Ketua Menteri Sabah, Musa Aman sudah mengumumkan tidak bertanding jawatan Naib Presiden kali ini, masalah Shafie ialah perwakilan UMNO tidak melihatnya sebagai pemimpin pelapis yang cukup berwibawa untuk mewarisi kepimpinan masa depan.

Kemenangannya sebelum ini adalah kerana beliau dikenali sebagai "budak Najib" di samping untuk memberi ruang kepada pemimpin Sabah. Jika ada pun simpati kepada beliau kali ini, ia adalah disebabkan Sabah telah menyumbangkan 22 kerusi daripada 133 kemenangan yang dicapai BN dalam pilihanraya lalu. Jika Shafie diketepikan kali ini, mungkin wujud tanggapan bahawa UMNO tidak mengenang budi terhadap sumbangan Sabah selama ini.

Bagi dua lagi pencabar, Isa Samad dan Ali Rustam, penyertaan mereka boleh dianggap sebagai "kacau daun" saja walaupun Ali Rustam mungkin mendapat simpati yang tinggi daripada para perwakilan berikutan kekalahannya dalam pilihanraya umum lalu. Tetapi memandangkan kedua-duanya sudah berusia 65 tahun dan sudah berada di era menapouse untuk mendaki tangga yang lebih tinggi sedangkan desakan kepada penyertaan golongan muda begitu meningkat, harapan untuk kedua-dua calon ini menggugat hampir tidak wujud lagi.

Dengan Mukhriz dilihat hampir pasti memenangi kerusi Naib Presiden, salah seorang daripada penyandang sedia ada pasti akan kecundang. Siapakah mereka? Mungkinkah Zahid, Hishammuddin atau Shafie Apdal?

Sementara Ali dan Isa tidak begitu kisah jika kalah, ketiga-tiga Naib Presiden sedia ada nyata sedang gelisah dan berpeluh dingin sekarang ini. Zahid nampak popular dan menjadi pilihan akar umbi tetapi beliau bukan lagi dalam kategori muda seperti Mukhriz, Hishammuddin dan Shafie Apdal.

Hishammuddin masih muda, anak bekas Perdana Menteri, berdarah bangsawan tetapi wibawa dan kepimpinannya sedang dipertikaikan. Namun Najib yang menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri adalah sepupunya dan mungkin menjadi pelampung yang boleh menyelamatkannya.

Begitu juga dengan Shafie Apdal, walaupun kepimpinannya sebagai bakal pelapis tidak begitu menonjol tetapi beliau masih muda dan sumbangan Sabah kepada BN dalam pilihanraya umum lalu menjadi sandaran utamanya untuk terus kekal sebagai Naib Presiden UMNO.

Dalam apa juga keadaan, bersama slogan "Berani Berubah" yang menjadi tunjang kempennya, Mukhriz menjadi satu-satunya calon paling selesa dan selamat manakala ketiga-tiga penyandang kerusi Naib Presiden, bukan saja sedang berpeluh dingin memikirkan untung nasib masa depan, bahkan juga mungkin sedang memerah otak memikir strategi untuk memenangi jawatan tersebut.

Ali pula hanya berharap pada simpati, manakala Isa Samad menjadi calon paling relaks dan tidak kisah sama ada menang atau kalah. Tiada apa lagi yang dikejarnya dan kedudukan sebagai Pengerusi Felda sudah cukup memadai buatnya ketika ini. (SH 20/09/2013)

Thursday 19 September 2013

Tidak Mustahil Akramsyah Buat Kejutan Keatas KJ


Bahang perebutan jawatan Ketua Pemuda UMNO yang pada mulanya dirasa sejuk kerana Khairy Jamaluddin dijangka akan menang tanpa bertanding, tiba-tiba bertukar menjadi panas berikutan munculnya seorang bekas pemimpin belia, Akramsyah Sanusi yang menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan tersebut.

Kini, orangramai mula bercakap mengenai pertembungan antara KJ, menantu Pak Lah dengan Akramsyah, anak kepada Sanusi Junid, bekas pemimpin kanan UMNO yang mempunyai hubungan rapat dengan Mahathir sejak dari dulu lagi.

Walaupun diatas kertas, KJ yang memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan, dilihat lebih menonjol dan mempunyai hubungan yang lebih rapat dengan perwakilan Pemuda UMNO seluruh negara, tetapi kemunculan Akramsyah setidak-tidaknya menunjukkan masih ada anak muda berhati waja yang sudi tampil memeriahkan lagi demokrasi dalam UMNO.

Daripada sekian ramai pemimpin muda, termasuk yang tidak henti-henti kurang bersetuju dan bercakap di belakang tetapi tidak berani mempertaruhkan diri mencabarnya di gelanggang yang sah, keberanian Akramsyah seharusnya diberikan pujian. Beliau dilaporkan hampir pasti akan mengemukakan borang pencalonannya manakala KJ pula bersikap terbuka terhadap sesiapa jua yang mahu mencabarnya.

Sementara pertandingan ini menyediakan pilihan sama ada Pemuda UMNO mahu memilih KJ atau Akramsyah sebagai ketua dan setakat ini lebih ramai yang berasakan bahawa KJ bakal menang dengan mudah berikutan Akramsyah tidak pernah menonjol dalam dunia Pemuda UMNO sebelum ini, fakta-fakta berikut barangkali memperlihatkan bahawa tidak mustahil Akramsyah mampu membuat kejutan keatas KJ.

Dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda UMNO pada 2009 lalu, KJ mendapat 304 undi manakala dua lagi pencabarnya iaitu Khir Toyo mendapat 254 undi dan Mukhriz Mahathir mendapat 232 undi. Selepas kemenangan KJ, kumpulan Mukhriz dan Khir Toyo boleh dikatakan menjauhkan diri daripada KJ.

Kumpulan Khir Toyo mungkin sudah tenggelam bersama tenggelamnya bekas MB Selangot itu dalam dunia politik berikutan kes rasuah yang dihadapinya. Tetapi kumpulan Mukhriz semakin kuat, tambahan pula kini beliau sudah menjadi Menteri Besar Kedah dan sedang dilihat sebagai bintang yang sedang menyinar dalam UMNO.

Sekiranya kali ini, kumpulan yang menyokong Mukhriz dan Khir Toyo masih mendendami KJ dan mereka disatukan untuk sama-sama menyokong Akramsyah pula, ternyata tugas berat sedang menanti KJ. Dengan hanya mendapat sokongan kira-kira 40 peratus undi pada 2009 dalam persaingan tiga penjuru, keadaan tentunya jauh berbeza dalam pertandingan satu lawan satu KJ dengan Akramsyah ini.

Walapun bukan Mukhriz yang berlawan dengan KJ tetapi harus diingat Akramsyah adalah anak Sanusi Junid yang diketahui rapat dengan Mahathir. Dalam banyak percaturan politik Mahathir, Sanusi sentiasa disisinya. Ketika beliau membelasah Pak Lah dulu juga, Sanusi kekal bersamanya. Mahathir pula bukan saja mendendami Pak Lah tetapi juga tidak boleh menerima KJ dan beberapa kali mempertikaikan pengiraan undi dalam pemilihan 2009 yang hanya berjumlah 700 lebih namun mengambil masa 8 jam untuk dikira.

Kini Mahathir lebih berpengaruh berbanding ketika era Pak Lah. Anaknya, Mukhriz pula sudah menjadi Menteri Besar Kedah dan KJ menjadi Menteri Belia dan Sukan tetapi kedua-duanya sedang bersaing untuk menjadi Perdana Menteri pada masa depan.

Oleh itu, tidak mustahil kemunculan Akramsyah akan bertukar mewakili proksi kumpulan Mahathir dan Mukhriz untuk membalas dendam kekalahan 2009 dan seterusnya menyingkirkan KJ daripada perebutan untuk menguasai UMNO. Dengan kedudukan ini sokongan terhadapnya akan segera melimpah walaupun sebelum ini beliau hanya dikenali melalui MAYC saja dan tidak pernah terlibat dalam Pemuda UMNO.

Beberapa pemimpin Pemuda yang selama ini diketahui sebagai penyokong Mukhriz juga nampaknya tidak keberatan untuk menerima dan menyokong Akramsyah, asalkan KJ tidak memperolehi menang percuma.

Terlihat juga kini blogger-blogger pro UMNO sudah mula memainkan peranan menonjolkan Akramsyah dan mengkritik kepimpinan KJ. Trend ini dijangka akan berterusan sehingga hari pemilihan dan KJ pastinya juga bakal diserang dengan lebih hebat lagi. Cerita-cerita lama mengenainya juga pasti keluar sama.

Dalam masa yang sama pula, walaupun terlihat menonjol, masalah dan musuh KJ juga banyak. Selain pemikirannya yang digambarkan liberal, sikap agresifnya sebagai menteri juga kadang-kadang turut merugikannya. Beliau kini tidak digemari segelintir pihak dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan juga Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PS!) berikutan kritikannya yang dianggap melampau dan seolah-olah ingin menunjuk kuasa terhadap persatuan sukan.

Kepimpinan FAM terlihat bersikap dingin terhadapnya manakala PSM pula menyerang balik. Mungkin di sini sokongan terhadapnya sedikit berkurangan dan membuat orang secara sukarela turun berkempen menentangnya, tambahan pula di dalam FAM ada orang UMNO dan di dalam PSM juga ada orang UMNO. Bahkan Presiden PSM, Ahmad Ismail adalah salah seorang pemimpin lama dalam UMNO yang tidak kurang pengaruhnya.

Dalam mempertahankan Najib yang diminta meletak jawatan oleh Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi, KJ telah memperlekeh Perkasa dan menghina Presidennya, Ibrahim Ali. Ramai ahli Perkasa berasa kecewa dan Ibrahim Ali pula jelas kecil hati dengan bidasan KJ itu. Dalam lebih 400 ribu ahli Perkasa, sebahagian besarnya adalah ahli UMNO dan ahli Pemuda. Sudah tentulah mereka ini tidak menyokong KJ, lebih-lebih lagi penasihat kehormat Perkasa juga adalah Mahathir. Berkurang lagi sokongan KJ atas faktor ini.

Musuhnya yang sedia ada dalam UMNO tentulah akan mengambil kesempatan daripada pertandingan ini untuk menenggelamkannya lagi.

Namun demikian, walaupun secara kasarnya KJ dilihat tidak banyak masalah tetapi elemen-elemen sampingan yang disebutkan diatas tidak mustahil bertukar menjadi halangan yang besar kepadanya dalam mempertahankan jawatan Ketua Pemuda kali ini. Akramsyah bukan saja boleh mendatangkan kejutan besar, bahkan tidak mustahil juga menyebabkan KJ bakal kecundang.

Lebih-lebih lagi, kalau sudah begitu kehendak Allah...usahkan jawatan, kenaikan harga barang pun tidak dapat dihalang. (SH 18/09/2013)

Tuesday 17 September 2013

Hishammuddin Tak Mungkin Kalah Naib Presiden UMNO!!


Sementara jawatan Presiden UMNO belum ada kepastian sama ada dipertandingkan atau tidak, sehingga ini posisi yang paling menjadi tumpuan dan dijangka berlaku persaingan sengit ialah jawatan Naib Presiden UMNO. Memandangkan ketiga-tiga penyandangnya, Ahmad Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein dan Shafie Apdal akan mempertahankan jawatan, manakala Isa Samad dan Ali Rustam sudah mengesahkan turut bertanding dan Mukhriz Mahathir pula dijangka akan membuat pengumuman dalam masa yang terdekat, kebarangkaliannya ialah persaingan enam penjuru akan berlaku.

Daripada keenam-enam nama tersebut, pemimpin yang paling dikehendaki memenangi jawatan itu ialah Mukhriz Mahathir. Yang paling dikehendaki kalah pula ialah Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein.

Mukhriz terlihat popular dan dikehendaki, selain kerana kemenangan BN di Kedah dalam pilihanraya umum lalu dan pengaruh bapanya, beliau juga dilihat mewakili pemimpin muda yang diharap-harapkan untuk menerajui UMNO dan kerajaan suatu hari nanti.

Kekerapan Mahathir bercakap tentang perlunya UMNO memberi ruang kepada pemimpin muda, bahkan melontarkan amaran bahawa UMNO akan terus sakit dan mati jika tidak berbuat demikian, tidak diragui lagi telah menghantar mesej yang jelas kepada perwakilan UMNO betapa perlunya pemimpin seperti Mukhriz yang sedang melonjak namanya sekarang terus diberikan kedudukan yang lebih kukuh lagi.

Selain itu, dengan kedudukan Khairy Jamaluddin yang dijangka tiada masalah untuk memenangi jawatan Ketua Pemuda walaupun bakal dicabar oleh Akramsyah, anak Sanusi Junid, keberadaan Mukhriz di kedudukan kanan parti dirasakan perlu oleh banyak pihak agar beliau akhirnya saling bersaing dan mengimbangi antara satu sama lain dengan KJ dalam tempoh lima atau sepuluh tahun akan datang.

Bai calon-calon Naib Presiden yang lain, penerimaan daripada ahli-ahli UMNO agak berbelah bagi. Ada yang dirasakan patut menang dan ada pula dirasakan tidak wajar diberikan kemenangan.

Hishammuddin pula paling diinginkan kalah kerana ramai ahli UMNO yang kecewa dengan tindakannya semasa menjadi Menteri Dalam Negeri yang disifatkan paling lemah dan tidak tegas. Beberapa episod perhimpunan Bersih sebelum PRU 13 dan berbagai kekacauan lainnya yang berlaku ketika itu di mana ia memerlukan ketegasan beliau tetapi tidak dilakukan, telah mengecewakan ramai ahli UMNO terhadapnya.

Walaupun kini setelah dipindahkan ke Kementerian Pertahanan dan memangku jawatan Menteri Pengangkutan, kekecewaan itu masih lagi berbekas. Ramai yang merasakan anak Hussein Onn itu tidak layak duduk di kerusi Naib Presiden dan didaftarkan sebagai salah seorang bakal pemimpin pelapis masa depan bagi UMNO dan negara.

Masalahnya, bolehkah Hishammuddin dikalahkan dan mungkinkah beliau kecundang dalam pemilihan kali ini?

Haruslah diketahui bahawa Hishammuddin adalah sepupu kepada Najib dan di dalam UMNO ramai yang percaya bahawa beliau adalah pilihan Najib untuk menggantikan tempatnya suatu hari nanti. Tindakan Najib memindahkan Hishammuddin daripada Kementerian Dalam Negeri yang dilihat tidak membantu popularitinya ke Kementerian Pertahanan dan menambah lagi pemangkuan di Kementerian Pengangkutan, dilihat sebagai langkah untuk melonjakkan penerimaan ahli-ahli UMNO seluruh negara terhadap sepupunya itu.

Tidak ada sebab lain di sebalik tindakan Najib itu sebenarnya, kecuali ingin menonjolkan lagi Hishammuddin. Dengan beliau dilihat gagal di Kementerian Dalam Negeri, tidak ada kewajaran untuk meletakkannya di kementerian penting dan kritikal seperti Kementerian Pertahanan dan dalam masa yang sama menambah lagi tugasnya sebagai Pemangku Menteri Pengangkutan.

Sekarang ini, jelas terbukti Hishammuddin tidak begitu menonjol di Kementerian Pertahanan, tetapi kedudukannya sebagai Pemangku Menteri Pengangkutan dilihat menyelamatkannya. Beliau kini lebih banyak bercakap dan menonjolkan diri sebagai Menteri Pengangkutan dalam isu-isu yang berkaitan kementerian itu, seolah-olah itulah kementerian hakikki untuknya.

Seharusnya sebagai pemangku, tugasnya di Kementerian Pengangkutan lebih kepada urusan mesyuarat dan membuat keputusan penting sahaja manakala tugas-tugas lain bolehlah diserahkan kepada timbalannya untuk melaksanakannya. Tetapi terlihat tumpuan beliau lebih di Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertahanan bagaikan ditinggalkan.

Sepertinya sekarang beliau adalah Menteri Pengangkutan sepenuh masa dan memangku jawatan Menteri Pertahanan pula.

Namun tidaklah dapat dinafikan bahawa tugas di dua kementerian itu adalah sebahagian daripada usaha Najib untuk memberi sepupunya itu lebih peranan dan dilihat penting oleh ahli-ahli UMNO.

Dalam perebutan jawatan Naib Presiden UMNO kira-kira sebulan lagi, walaupun kedudukan Hishammuddin dilihat genting dan mungkin kecundang, perkara itu sebenarnya hampir mustahil akan berlaku.

Seorang pemimpin UMNO dari selatan tanahair berkata, walaupun Hishammuddin terlihat seperti bakal kecundang tetapi katanya, Najib pasti tidak akan membenarkan perkara itu daripada berlaku kerana kekalahan Hishammudin adalah tamparan kepada Najib juga.

Kalahnya Hishammuddin bererti kalahnya Najib, kata pemimpin itu lagi.

Beliau berkata, sebagai seorang Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Najib mempunyai berbagai cara untuk mengelakkan Hishammuddin daripada menerima kekalahan seperti bercakap secara terus dengan Pengerusi UMNO Negeri-Negeri atau Ketua-Ketua UMNO Bahagian yang rapat dengannya.

Selain daripada itu, jelas pemimpin itu lagi, harus juga jangan dilupa bahawa Hishammuddin sendiri masih mempunyai rangkaian kenalan yang besar dalam UMNO dan mereka ini boleh digunakan untuk "menggempur" perwakilan di saat-saat akhir bagi menyelamatkan kedudukannya.

Berdasarkan penelitinnya, pemimpin tadi berhujah bahawa walaupun Mukhriz dilihat sedang memenangi mood di kalangan pewakilan seluruh negara berikutan kemenangan BN di Kedah serta pengaruh bapanya yang masih kuat dan diperlukan dalam UMNO serta dilihat tiada masalah untuk memenangi salah satu kerusi Naib Presiden UMNO tetapi kedudukan Hishammudin juga tidak akan tergugat.

Daripada tiga kerusi Naib Presiden, Hishammuddin pasti akan menyelit salah satu daripadanya, tambah tokoh itu yang diketahui pernah berkawan baik dengan Najib suatu ketika dahulu.

Jika senario itu benar-benar berlaku, bermakna kerusi Naib Presiden kali ini pasti akan diisi oleh Mukhriz, Hishammudin dan satu lagi kerusi terakhir akan menjadi rebutan antara Zahid Hamidi, Shafie Apdal, Ali Rustam dan Isa Samad.

Daripada keempat-empat pemimpin yang berebut slot terakhir itu, kata pemimpin itu lagi, Najib tidak kisah pun siapa yang akan menang nanti. (SH 17/09/2013)

Monday 16 September 2013

Apakah Harun Taib Hanya Ingin PAS Jadi Pembangkang Sampai Kiamat?


Sudah banyak yang ditulis mengenai keputusan Multaqa Ulama Pas yang antara lainnya memutuskan supaya dikaji semula tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan Pakatan Rakyat terutama PKR yang dianggap merugikan parti itu. Kekurangan sokongan pengundi Melayu, isu Kota Damansara dan pertindihan di Labuan dalam pilihanraya umum lalu, menjalarnya elemen Anwarisme dalam Pas dan berbagai lagi dijadikan sandaran sebagai justifikasi kepada perlunya kajian itu.

Ketua Dewan Ulama Pas, Harun Taib lantas turut diserang dan dilabel dengan pelbagai gelaran berikutan pengumuman ini dianggap meletakkan ulama Pas seolah-olah tidak memahami realiti masyarakat di negara ini, mempunyai pemikiran gaya lama, tidak terbuka dan berbagai lagi.

Dalam Pas sendiri terlihat reaksi yang berbagai. Rakyat yang mahukan perubahan pula jelas tidak gembira dengan keputusan itu. UMNO pula mungkin tersenyum lebar kerana Dewan Ulama seolah-olah suara parti itu dan menjadi "trojan horse" terbaru selepas Nasharudin Mohd Isa dan Dr Hassan Ali yang begitu anti dengan PKR dan Anwar Ibrahim.

Ini berbeza dengan Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat yang yang jelas memahami bahawa perjuangan politik Pas, selain daripada dakwah, perlu juga bermatlamatkan kuasa, lantas mengatakan kajian itu seharusnya untuk menambah baik lagi kerjasama yang terjalin dengan rakan-rakan dalam PR dan bukannya untuk mundur ke belakang.

Beliau juga mengatakan bahawa Pas wajib melangkah ke hadapan dengan memahami keadaan politik di Malaysia dan mempersembahkan Islam dengan wajah terbaik untuk masyarakat majmuk selagi tidak melanggar hukum dan syariat serta tidak mengurung diri dalam pemikiran yang dicipta sendiri.

Jelas bahawa Nik Aziz berbeza dengan Harun Taib. Kewarakan dan ilmu Nik Aziz sesuai dengan keperluan politik Malaysia walaupun dari segi zahirnya beliau kelihatan tua dan mempunyai stail lama. Sambil mempertahankan hukum dan syariat, Nik Aziz bergerak komtemporari dan selari dengan zaman. Sebab itu, di antara sekian ramai pemimpin Pas, Nik Aziz bukan saja disukai oleh golongan lama dan tua, bahkan golongan muda lebih ramai yang tertarik kepadanya.

Memang wujud golongan dalam masyarakat seperti NGO, pensyarah atau ahli akademik yang menyarankan supaya Pas berjuang bersendirian dan meninggalkan rakan-rakan dalam PR kononnya agar lebih dihormati oleh pengundi Melayu dan Islam dengan pelbagai hujah dan alasan. Nampak macam mereka turut berjiwa Islam dan menyokong ketulenan Pas tetapi sebenarnya mereka inilah golongan yang mahu melihat UMNO dan BN kekal berkuasa sampai bila-bila.

Mereka tahu apabila Pas boleh bekerjasama dengan parti dan kaum lain, ia adalah petanda awal bahaya kepada UMNO dan BN.

Dalam realiti masyarakat negara ini, Pas tidak boleh mengelak untuk berkerjasama dengan parti-parti lain dari berbagai kaum. Ia sama seperti UMNO tidak mungkin mampu berkuasa tanpa bantuan MCA, MIC, Gerakan dan sebagainya. Mungkin hubungan dengan PKR, ada masalahnya tetapi ia belumlah menjadi barah atau kecncing manis yang serius sehingga perlu dipotong kaki dan sebagainya.

Kekurangan sokongan pengundi Melayu dan kurangnya kerusi Parlimen yang dimenangi oleh Pas bukanlah disebabkan kerjasama dengan PKR atau penolakan rakyat terhadap kerjasama itu tetapi kerana kebanyakan kerusi yang ditandingi Pas musuhnya ialah UMNO. UMNO pula ssbagai teras kerajaan mempunyai lebih keupayaan dari segi wang, jentera dan sebagainya untuk mengalahkan Pas.

Berbeza dengan pengundi bukan Melayu, pengundi Melayu majoritinya masih terkepung, totok dan tidak terbuka, terutama yang tinggal di kampung-kampung. Golongan ini dapat sekampit beras, kain batik dan kain pelikat pun akan menyokong UMNO dan mengundi BN sampai mati. Mereka ini tidak tahu isu, tidak faham rasuah, jauh sekali untuk faham skandal Scorpene dan rasuah RM500 juta. Yang mereka faham UMNO itu kerajaan dan kerajaan itu UMNO, dan pihak inilah yant selama ini membina sekolah, jalan, kemudahan awam dan lain-lainnya.

Golongan ini juga mudah ditakut-takutkan dengan DAP yang dikaitkan dengan komunis, sentiasa dilagukan bahawa Cina akan berkuasa jika UMNO kalah, kembali kepada zaman makan ubi kayu dan macam-macam lagi kempen ciptaan yang menakutkan.

Di sinilah cabaran Pas sebenarnya yang menyebabkan ia kalah banyak kerusi, bukan kerana kerjasama dengan PKR merugikan dan menyebabkannya hilang banyak kerusi. Tetapi keadaan ini akan beransur-ansur lupus apabila golongan totok ini makin berkurangan, kemajuan semakin datang, celik maklumat bertambah dan bandar-bandar baru lebih banyak diwujudkan.

Dalam hal ini, Dewan Ulama yang sepatutnya lebih memahami Islam haruslah bersabar dan tidak melihat faktor rugi semata-mata. Sambil melihat kerugian, mereka juga harus melihat apa untungnya tahaluf siyasi itu seperti semakin banyaknya kerusi yang selama ini begitu asing, kini sudah boleh dimenangi seperti di Selangor, Pahang dan Johor. Bahkan di Selangor, yang dulunya asing bagi juga Pas, kini mereka sudah memperolehi jumlah kerusi majoriti.

Dengan adanya kerjasama politik bersama PR juga Pas akan menerima lebih sokongan daripada pengundi celik di bandar yang berpendidikan serta golongan muda. Mereka ini mahu kepada Islam tetapi Islam yang dikehendaki mereka ialah Islam yang terbuka, komtemporari dan boleh bergaul serta menerima golongan lain. Golongan ini amat meminati Nik Aziz yang mempunyai pemikiran selari dengan mereka.

Dalam Pas meneroka hari-hari mendatang, walaupun Dewan Ulama ini hanyalah sekadar sayap dalam Pas, mereka seharusnya juga membuat keputusan yang mengambil kira demografi politik, masyarakat, keuntungan jangka panjang, keterbukaan dan seumpamanya. Haruslah disedari bahawa Malaysia bukanlah macam Kelantan atau Terengganu yang hampir seratus-peratus pengundinya Melayu dan Islam.

Kerjasama politik dengan parti-parti lain sudah menjadi suatu keperluan. Masalah haruslah dihadapi dan diselesaikan dengan perundingan serta lapang dada, bukannya dengan mencampak aturcara rundingan ke dalam sungai. Pendirian Dewan Ulama dan kepimpinan Harun Taib mungkin sudah ketinggalan dengan jalur zaman. Ia tidak sesuai dengan realiti semasa dan hakikat di Malaysia.

Lainlah jika Pas hanya ingin jadi pembangkang saja sampai kiamat. (SH 16/09/2013)

Sunday 15 September 2013

Kenapa Hanya Mukhriz Disyaratkan Minta Nasihat Presiden Jika Mahu Bertanding?


Pemegang jawatan nombor satu Naib Presiden UMNO, Zahid Hamidi mengambil langkah yang dianggap mengejutkan apabila mencadangkan Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir mendapatkan nasihat dan pandangan daripada Presiden UMNO, Najib Razak terlebih dahulu sebelum memutuskan mahu bertanding jawatan nombor tiga itu dalam pemilihan akan datang ini.

Menurut Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, Najib mungkin mempunyai pandangan yang tersendiri berhubung calon bagi jawatan itu kerana ia menyentuh hubungan kerjasama dengan mereka dalam menentukan hala tuju parti.

"Saya beri pandangan, jika mahu memasuki gelanggang ini, berbincang dulu dengan presiden parti. Dapatkan nasihat atau pandangan daripada presiden parti.

"Tentu presiden parti mempunyai pandangan yang tersendiri tentang hasrat seseorang yang mahu berada di tahap kepimpinan nombor tiga dalam parti dan pandangan presiden harus diambil kira sebelum sesuatu keputusan muktamad dibuat," jelas Zahid sebagaimana yang dilaporkan oleh Bernama.

Zahid berkata demikian ssbagai mengulas pertanyaan mengenai hasrat Mukhriz, anak bongsu bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang dilaporkan sedang menimbang kemungkinan untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO. Sebuah blog baru-baru ini telah membuat undian daripada orangramai dan hasilnya mendapati Mukhriz paling dikehendaki bagi menduduki jawatan itu dengan mendapat undian paling tinggi.

Dalam UMNO pula, berikutan kejayaan BN menawan semula Kedah, di samling pengaruh Mahathir yang dilihat masih kuat dan antara penyumbang kepada kemenangan BN dalam pilihanraya lalu, ramai yang berpendapat Mukhriz perlu bertanding jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan akan datang ini.

Selain tiga penyandang Naib Presiden sedia ada iaitu Zahid, Hishammuddin dan Shafie Apdal, Isa Samad dan Ali Rustam sudah pun mengumumkan penyertaan mereka dalam persaingan merebut jawatan itu.

Soalnya, kenapa hanya Mukhriz yang diminta oleh Zahid mendapatkan pandangan daripada presiden terlebih dahulu untuk bertanding Naib Presiden UMNO sedangkan ketika Isa Samad dan Ali Rustam mengumumkan bertanding, beliau mengalu-alukannya?

Apakah Mukhriz tidak dialu-alukan untuk bertanding untuk sama-sama memeriahkan demokrasi serta transformasi dalam parti?

Adakah kerana Zahid takut kalah apabila meminta Mukhriz mendapatkan nasihat presiden parti terlebih dahulu? Atau barangkali bimbang kedudukan nombor satunya bakal terlucut? Atau mungkinkah pada penilaian Zahid, Mukhriz masih terlalu junior dan belum layak lagi berada di kerusi nombor tiga itu?

Adakah juga Isa Samad dan Ali Rustam dialu-alukan kerana pada pandangan Zahid, orang pencen seperti kedua mereka itu tiada taring lagi dan tidak mengancam kedudukannya? Bukankah jika ikut logik, Isa Samad dan Ali Rustam lebih perlu mendapatkan nasihat presiden kerana penyertaan mereka tidak menyumbang apa-apa kepada transformasi, selain kacau daun saja?

Kepada Zahid juga, perlu ditanyakan soalan, sejak bila mahu bertanding jawatan Naib Presiden memerlukan nasihat dan pandangan daripada presiden parti dan adakah ketika beliau mahu bertanding jawatan Ketua Pemuda dan Naib Presiden sebelum ini, beliau pernah meminta nasihat dan pandangan daripada presiden parti?

Pandangan Zahid mengenai Mukhriz ini bukan saja menimbulkan persoalan, malah menjengkelkan banyak pihak. Setelah jawatan presiden dan timbalan presiden mahu dikongkong daripada ditandingi atas alasan menjaga keharmonian parti, kini jawatan naib presiden pula mahu diletakkan kunci daripada berlakunya transformasi dan penyertaan daripada pemimpin-pemimpin muda.

Dalam suasana UMNO sekarang yang bukan saja ada demokrasi tetapi juga transformasi, penyertaan pemimpin muda untuk berada di landasan yang sewajarnya tidak seharusnya disekat. Tambahan pula, dalam konteks pasca pilihanraya, kehendak dan keperluan kepada kepimpinan daripada golongan muda terlihat amat mendesak jika UMNO mahu terus kekal dan relevan dalam perhatian rakyat.

Naib Presiden UMNO adalah wadah untuk golongan pelapis. Tidak pernah perebutan jawatan itu menimbulkan masalah dan perpecahan kepada parti. Dalam ketiga-tiga penyandangnya pula, walaupun ada yang masih ditakrif muda seperti Hishammudin dan Shafie Apdal, tetapi isu dan pertikaian terhadap mereka juga bertimbun banyaknya. Penerimaan terhadap mereka masih berbelah bagi.

Zahid pula, sebagaimana yang banyak ditulis sebelum ini, walaupun popular dan mendapat undi tertinggi, beliau sudah terkeluar daripada kategori pelapis berikutan usianya lebih tua daripada Najib. Begitu juga Muhyiddin yang kini menjadi timbalan presiden, turut lebih tua daripada Najib.

Mustahil apabila Najib bersara nanti, kedua-dua mereka, Muhyiddin dan Zahid menjadi penggantinya. UMNO akan kelihatan mundur ke belakang jika itu berlaku. Sebab itu perlu lebih ramai pemimpin muda diberi peluang berada di kedudukan penting mulai sekarang.

Mukhriz dan Khairy Jamaluddin adalah antara pemimpin muda yang perlu diketengahkan, ditonjol dan diberi peluang. Beberapa lagi pemimpin muda juga seharusnya diberi peluang menduduki kerusi Majlis Tertinggi. Menyekat mereka atau salah seorang daripadanya dengan pelbagai alasan yang direka-reka hanya akan menjadikan UMNO semakin tidak relevan di mata rakyat.

Sementara ramai pemimpin bercakap, utamakanlah parti daripada kepentingan peribadi, inilah masa untuk membuktikannya. (SH 15/09/2013)

Saturday 14 September 2013

Ah Jib Gor Sudah Kembali Jadi Melayu


Perdana Menteri, Najib Razak hari ini membentangkan program besar-besaran untuk memperkasa ekonomi orang-orang Melayu dan Bumiputera yang mengandungi lima teras utama dan 34 langkah susulan ke arah mencapai matlamat itu.

Dalam majlis yang dinamakan memperkasa ekonomi Bumiputera di Shah Alam dan dihadiri oleh hampir kesemua menteri-menteri kabinet dan menteri-menteri besar serta ketua menteri BN, Najib menggariskan lima teras tersebut iaitu, mendaya modal insan Bumiputera, memantapkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat, memperkukuh pemilikan aset bukan kewangan Bumiputera, memperhebat keusahawanan dan perniagaan Bumiputera serta memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan.

Antara 34 langkah susulannya pula ialah menambah dana Amanah Ikhtiar Malaysia sebanyak RM300 juta, dana pinjaman TEKUN ditambah lagi RM700 juta, mewujudkan Amanah Saham Bumiputera Kedua dengan sasaran tabungan RM10 bilion, menambah kampus UITM, menetapkan semua CEO GLC mempunyai sasaran membantu Bumiputera, mewujudkan Unit Pembangunan Bumiputera di setiap kementerian, mewujudkan Majlis Ekonomi Bumiputera dan banyak lagi.

Jika dilihat secara sekali lalu intipati pembentangan Najib itu, tentulah kita semua akan berandaian bahawa menjelang tahun 2020 nanti, semua orang Melayu akan kaya-kaya dan senang belaka. Tiada lagi yang miskin dan berpendapatan di bawah RM 3000 sebulan. Juga tiada lagi penerima BR1M ketika itu.

Begitu hebat, ditambah pula dengan liputan meluas di akhbar dan tv dan disambut pula dengan puji-pujian serta sanjungan daripada pelbagai penganalisis, ahli akademik, profesor dan sebagainya, seolah-olah tiada yang cacatnya dalam diri Najib dari segi membantu orang Melayu dan Bumiputera.

Dalam masa yang sama, terlihat juga begitu tebalnya jiwa Melayu Najib dan keinginannya untuk membantu kaumnya sendiri. Maka ramailah orang Melayu yang terlupa deretan sikapnya yang begitu toleransi terhadap kaum-kaum lain sebelum ini. Lupa juga bahawa sebaik menjadi PM, Najib telah memperkenalkan 1Malaysia yang meletakkan semua kaum sama rata dan sama rasa.

Ramai juga yang terlupa bahawa semata-mata untuk mendapatkan undi kaum Cina, Najib telah menukar namanya kepada Ah Jib Gor atau Abang Najib. Kepada bangsa lain beliau sanggup menjadi abang, kepada bangsa sendiri apa? Beliau juga sanggup berlakon dalam iklan sempena Tahun Baru Cina sambil memukul gendang dengan berbaju kebangsaan masyarakat Cina. Tahun ini pemberian tanglung pula dilakukan.

Kepada bangsanya sendiri, tak terfikir beliau untuk berbuat sebegitu rupa walaupun setelah jelas kemenangan BN dalam pilihanraya lalu adalah disumbangkan oleh undi orang-orang Melayu yang majoritinya berpendapatan rendah serta tinggal di kampung-kampung dan desa pedalaman.

Hari ini juga, apabila Najib melaungkan Hidup Melayu, ramai yang terlupa bahawa sepanjang empat tahun lalu, tiada sekali pun beliau melaungkan perkataan itu dalam Perhimpunan Agung UMNO sedangkan di zaman Mahathir dan Pak Lah, setiap tahun kedua-dua bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu sering melaungkannya.

Najib seolah-olah takut untuk menyebut perkataan Hidup Melayu selama ini kerana bimbang undi Cina tidak datang kepada BN.

Hari ini, apabila Najib merangka program yang dianggap terhebat untuk membantu orang-orang Melayu dan Bumiputera dan melaungkan kembali Hidup Melayu, beliau seolah-olah telah kembali menjadi Melayu semula. Berkoyan-koyan pujian dan sanjungan ditujukan kepadanya atas kononnya iltizam yang tidak pernah berkurangan untuk membantu bangsanya sendiri.

Diatas kertas, memanglah semua yang dibentangkan Najib itu nampak baik. Sama juga ketika DEB dibentangkan pada tahun 1970 dulu, ia juga nampak hebat dan baik. Tetapi apa jadi 30 tahun selepas itu. Bukan saja sasaran 30 peratus tidak dapat dicapai, bahkan angka 17 peratus yang dicapai itu pula hanya berlegar di kalangan kelompok tertentu sahaja. Limpahannya langsung tidak merata.

Yang penting dalam sesuatu dasar ialah perlaksanaanya dan untuk menentukan perlaksanaannya berjalan dengan baik serta mencapai sasaran, hati perut mesti betul. Hati perut kerajaan mungkin betul tetapi hati perut orang yang memegang kuasa tidak selalunya betul.

Dalam hal ini, hati perut Perdana Menteri mesti betul, hati perut menteri-menteri juga kena betul, sama juga pegawai-pegawai tinggi kerajaan, CEO GLC dan semua orang yang diberi kuasa dan amanah untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut mesti juga mempunyai hati perut yang betul.

Begitu juga dengan PEMANDU yang merupakan tangan kanan Najib dalam pentadbirannya yang selama ini dikritik oleh pelbagai pihak kerana sikap dan kecondongannya terhadap kaum lain, apakah hati perutnya sudah diperbetulkan? Tuan-tuan penasihat yang berada di sekeling Najib juga yang selama ini turut didakwa tidak berjiwa Melayu, mestilah juga dilihat hati perutnya, masih macam dulu atau sudah berubah?

Jika ada yang berhati perut tidak betul, rangkalah sebaik dan sebesar mana dasar atau program sekali pun, ianya tetap tidak akan berjaya. Sebab itu, selain merangka dasar dan program yang baik, memilih mereka yang berhati perut betul juga adalah penting.

Dalam Najib merangka agenda memperkasa ekonomi Bumiputera ini, betul atau tidak betul hati perutnya, hanya beliau saja yang tahu. Tetapi mengimbas dan menilai tindakannya selama empat tahun lebih ini, orangramai wajar berasa curiga terhadapnya.

Kenapa hanya sekarang agenda Melayu dan Bumiputera mahu disebut? Mengapa selama ini takut menunjukkan jiwa Melayu dan melaungkan Hidup Melayu? Apakah ia ada kena-mengena dengan Perhimpunan Agung UMNO dan kemungkinan jawatan Presiden UMNO ditandingi?

Tambahan pula, hari pembentangan agenda memperkasa ekonomi Bumiputera ini juga serentak dengan keluarnya borang untuk sesiapa yang mahu bertanding dalam pemilihan UMNO 19 Oktober depan, maka sudah tentulah kaitannya dengan pemilihan UMNO tidak dapat dielakkan.

Mulai hari ini sehinga 19 Oktober depan, Najib dan semua pemimpin UMNO yang bertanding, mungkin akan berlumba-lumba menunjukkan jiwa Melayu masing-masing. Tetapi selepas itu bagaimana? Apakah agenda Melayu dan Bumiputera ini akan disebut lagi? Atau ia hanya menjadi mainan setahun sekali menjelang Perhimpunan Agung UMNO sahaja?

Sama-samalah kita tunggu dan ingat mengenainya. (SH 14/09/2013)

Friday 13 September 2013

Walaupun Masih Jadi Teka-Teki, Kempen Ku Li Sedang Berjalan Sebenarnya


Ketika ini, kedudukan sama ada Tengku Razaleigh Hamzah akan bertanding atau tidak jawatan Presiden UMNO masih lagi samar dan tiada kepastian. Ahli Parlimen Gua Musang itu juga dalam sidang akhbarnya minggu lalu meminta orangramai menunggu sehingga 28 September depan iaitu hari pendaftaran untuk mengetahui kedudukan sebenar mengenai dirinya.

Kalau ada, adalah. Kalau tiada, tiadalah, demikian lebih kurang jawapan ringkas Tengku Razaleigh atau Ku Li kepada pemberita yang meminta kepastian daripadanya.

Jawapan Ku Li terus mengundang tanda-tanya kepada orangramai dan ahli-ahli UMNO sendiri. Lebih-lebih lagi kepada 150 ribu perwakilan yang pertama kali akan menentukan pucuk pimpinan UMNO melalui sistem baru yang diperkenalkan ini, sama ada jawatan Presiden UMNO dipertandingkan atau tidak, turut mengundang debaran.

Ku Li pula, selepas saja sidang akhbarnya pada Jumaat lepas, telah pun berlepas ke Eropah untuk bercuti bersama keluarganya. Beliau hanya akan kembali ke tanahair pada 25 September, tiga hari sebelum hari pendaftaran yang ditetapkan oleh Ibu Pejabat UMNO.

Pemergianya bercuti dan pulang ke tanahair pada 25 September, menambahkan lagi spekulasi dan teka-teki itu.

Untuk sesiapa yang ingin bertanding bagi jawatan dalam UMNO kali ini, mereka hanya perlu mendaftarkan nama sahaja. Bagi jawatan dalam Wanita, Pemuda dan Puteri, hari pendaftaran telah ditetapkan pada 21 September manakala bagi Majlis Tertinggi pula pada 28 September.

Pemilihan pemimpin di peringkat bahagian dan Pusat akan diadakan secara serentak di seluruh negara di mana Wanita, Pemuda dan Puteri akan diadakan pada 12 Oktober manakala Majlis Tertinggi pada 19 Oktober.

Sementara kedudukan Ku Li masih menjadi tanda-tanya, orangramai pula sibuk membuat pelbagai spekulasi sama ada beliau bertanding atau sebaliknya. Beberapa pemimpin UMNO juga telah tampil memberi pandangan agar Ku Li tidak perlu mencabar Najib, malah akhbar Utusan melalui kolum Awang Selamat juga turut memberi pandangan dengan nada yang serupa.

Beberapa Badan Perhubungan UMNO Negeri pula telah membuat usul dan ketetapan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan, walaupun Najib sendiri secara terbuka menyatakan beliau sedia dicabar.

Ternampak semacam ada kebimbangan di kalangan sesetengah pemimpin UMNO jika Ku Li bertanding mencabar Najib, meskipun di ketika yang sama berbuih mulut masing-masing bercakap soal demokrasi, transformasi dan hak asasi dalam parti.

Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan pula melahirkan keyakinan bahawa Ku Li tidak akan mencabar Najib. Katanya, dakwaan bahawa Ku Li akan mencabar Najib hanyalah sekadar "cerita-cerita" saja.

Bagaimanapun bagi ahli UMNO yang inginkan perubahan dan tidak mahu Najib tersasar lebih jauh daripada landasan yang sewajarnya, mereka merasakan jawatan Presiden UMNO patut dipertandingkan supaya Najib sekurang-kurangnya tahu sejauh mana ahli UMNO menyokong dan bersama-sama dengannnya di sebalik pelbagai isu dan kemelut yang melanda parti dan negara sejak beliau mengambil alih kepimpinan daripada Pak Lah pada 2009 lalu.

Dengan kepimpinan Najib yang ditafsir lemah, mudah mengalah dan terlalu kompromi dengan kaum lain, kebimbangan sebahagian besar ahli UMNO ialah bukan saja menngenai kemungkinan Najib tersasar lebih jauh jika sokongan terhadapnya tidak diuji, malah ada yang terang-terang menyatakan UMNO dan BN akan ditimpa musibah lebih buruk dalam PRU 14 nanti andainya Najib dikekalkan lagi.

Ku Li kini dilihat satu-satunya pencabar paling mungkin untuk mencabar Najib. Tindakannya mengadakan sidang akhbar khusus minggu lalu dan bercakap mengenai pelbagai perkara - UMNO, ekonomi, rasuah dan sebagainya dilihat oleh banyak pihak sebagai petanda awal ke arah itu. Semua isu dijawab dan dihuraikannya dengan jelas, kecuali mengenai kemungkinan beliau mencabar Najib atau tidak saja yang ditinggalkannya dengan tanda soal.

Jika tidak mahu bertanding, buat apa Ku Li mengadakan sidang akhbar itu, kata seorang pemimpin UMNO bahagian di Wilayah Persekutuan.

Dalam masa yang sama, di sebalik segala-galanya masih menjadi teka-teki, tukang-tukang kempen Ku Li didapati sudah berada di merata-rata tempat sekarang ini. Selain bertemu dan merapatkan diri dengan seramai mungkin pemimpin UMNO peringkat akar umbi, mereka juga sedang meninjau sejauh mana mood perubahan sedang mengalir dalam diri ahli-ahli UMNO seluruh negara sambil juga mengira-ngira peratus sokongan yang sudah dan boleh diperolehi.

Rasa muak rakyat terhadap UMNO sebagaimana yang dibangkitkan oleh beberapa pemimpin UMNO kebelakangan ini seperti Nur Jazlan dan Nazri Aziz, manakala Mustapa Mohamed pula mengingatkan bahawa UMNO tidak akan berkuasa sehingga kiamat turut dinilai dan dianalisa oleh tukang-tukang kempen ini serta sejauh mana ia berkait-rapat dengan mood perubahan yang ada itu.

Perubahan yang sedang berlaku di peringkat cawangan di seluruh negara di mana didapati beberapa pemimpin atau mereka yang rapat dengan pemimpin telah tewas sebagai Ketua UMNO Cawangan turut menjadi perhatian tukang-tukang kempen Ku Li sekarang ini dan melihatnya sebagai petanda yang baik ke arah perubahan dalam UMNO.

Dengan keputusan piliharaya yang lebih buruk, kelemahan Najib, perubahan yang tidak ketara, perangai pemimpin tetap sama, tekanan kaum lain, ketakutan kalah PRU 14, isu ekonomi dan lain-lainnya, memang diakui sedang merangsang kepada perubahan dalam UMNO menjelang pemilihan 19 Oktober depan.

Di mana-mana dan di segenap peringkat orang bercakap tentang Najib. Nadanya pula jelas, pesimis mengatasi optimis.

Gelombang perubahan memang sudah ada, tetapi sedikit masa lagi dan menjelang 19 Oktober, kita harap ianya akan menjadi tsunami, kata seorang tukang kempen Ku Li yang kebetulan ditemui baru-baru ini. (SH 13/09/2013)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...