Friday, 28 April 2017

APA KATA PAS MULAKAN DENGAN EXCO SELANGOR HANTAR SURAT BERHENTI LEBIH DULU?


Dewan Ulama PAS dilaporkan telah bersetuju untuk membawa usul agar parti itu memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR dalam Muktamar Pas kali ini.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Usul dewan tersebut,  Khairuddin Aman Razali berkata, oleh kerana menyedari terlalu banyak tahaluf siyasi dilanggar oleh PKR, mereka bersetuju dengan usul memutuskan hubungan itu.

Bagaimanapun, tambahnya, usul tersebut masih tertakluk kepada keputusan Majlis Syura Ulama untuk membuat keputusan muktamad.

Dengan bernada sedikit cakap besar, Khairuddin juga berkata, "Kalau kita buka (undi) setuju (untuk putus), ramai akan setuju".

Hmmmm.....

Dalam waktu yang sama, ramai perwakilan Dewan Ulama juga meluahkan pandangan dengan nada yang sama.

Menyoroti perkembangan itu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, Pas perlu membuat keputusan muktamad tentang tahaluf siyasi dan kedudukan mereka dalam kerajaan negeri Selangor sekarang ini.

"Saya sentiasa memantau perjalanan Muktamar PAS memandangkan ia berkait dengan strategi PKR dan Pakatan Harapan dalam PRU14 akan datang.

"Tambahan pula, sebarang keputusan PAS mengenai tahaluf siyasi dengan PKR akan ada kesan kepada penyertaan PAS dalam Kerajaan Selangor.

"Saya juga ambil maklum usul yang diluluskan tanpa bahas oleh Dewan Ulama PAS dan tidak terkejut jika usul yang serupa akan terus diluluskan sepanjang berlangsungnya Muktamar PAS," ujar beliau lagi.

Maka, apa perlu Pas buat sekarang?

Bawa usul, bahas, kutuk sana kutuk sini, kemudian setuju putus hubungan tapi akhirnya keputusan muktamad masih di tangan Majlis Syura.

Berapa lama selepas itu Majlis Syura mahu buat keputusan?

Tidakkah ia terlalu lambat dan banyak membuang masa?

Kenapa tidak Pas sendiri bertindak lebih tegas dan menampakkan keseriusan untuk berpisah dengan langkah permulaan tiga Exco Pas dalam kerajaan Negeri Selangor menghantar surat perletakan jawatan mereka terlebih dahulu?

Jika mahu dan benar-benar serius, hari ini pun boleh dihantar surat perletakan jawatan itu atau buat dahulu pengumuman melalui sidang akhbar sempena muktamar yang sedang berlangsung di Kedah?

Putus, putus, putus...tapi apa tindakan konkritnya?

Susah sangatkah membuat surat berhenti itu atau sebenarnya masih mengharap tahaluf siyasi berpanjangan lagi? (ShahbudinHusin 28/04/2017)

PAS AKHINYA MENGAKU NIATNYA HANYA UNTUK MENGEKALKAN UMNO

Pas akhirnya mendedahkan niat dan isi hatinya yang sebenar iaitu tidak guna menjatuhkan kerajaan yang sedang memerintah negara sekarang ini.

Kalau tidak guna menjatuhkan, bermakna yang berguna ialah mengekalkannya. Jika tidak guna untuk dikekalkan, ertinya lebih baik dijatuhkan.

Pilihan tidak boleh lebih daripada satu, ia mesti antara dua, pilih salah satu.

Apabila Pas sudah mengatakan tidak guna menjatuhkan kerajaan sedia ada, hakikatnya itulah tujuan sebenar mereka mewujudkan blok ketiga yang dinamakan Gagasan Sejahtera.

Dan itulah juga sebabnya Pas bagai nak gila mahu bertanding di 80 kerusi Parlimen tanpa mengendur walau sedikit pun dengan mana-mana parti yang ingin berunding dengannya.

Dengan hanya 80 kerusi, menang dah tentu tak ke mana, tetapi kalah tak mengapa, yang penting, Najib Razak, UMNO dan BN dapat dibantu untuk terus kekal berkuasa.

Ehem, ehem, ehem...

Setelah berdolak-dalik dan menyembunyikan hasrat sebenar mereka sejak sekian lama, hari ini segala-galanya terdedah dengan sendirinya. 

Ia bukan saja dilafazkan oleh Timbalan Mursyidul Am Pas, Ahmad Yaakob, bahkan juga diucapkan di hadapan golongan ulama parti itu iaitu ketika merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas.

Ahmad Yaakob menjelaskan, tidak guna menjatuhkan kerajaan yang ada sekarang kerana yang akan menjadi penggantinya nanti ialah kerajaan yang berfahaman sekular sosialis.

"Apa yang dibimbangkan, jatuhnya sebuah kerajaan sekular nasionalis tetapi diganti dengan sekular sosialis. 

"Kalau itu terjadi, PAS kena ambil masa 60 tahun untuk jatuhkan kerajaan sekular sosialis dan diganti dengan kerajaan Islam," ujar beliau yang juga Menteri Besar Kelantan.

Soalnya, benarkah kerajaan baru nanti betul-betul berfahaman sekular sosialis? Apakah semata-mata kerana ada DAP di dalam Pakatan Harapan, lalu ia semudah itu digelar sekular sosialis?

Apakah sekular nasionalis lebih baik daripada sekular sosialis, maka Pas sebagai parti Islam ingin mempertahankannya? 

Siapa yang menentang rasuah, menyelongkar penyelewengan, mempertahan hak rakyat, mahu menghapuskan GST dan sebagainya kalau bukan yang digelar sekular sosialis itu?

Tidakkah Ahmad Yaakob sedar, kerajaan yang ada sekarang juga lebih dikenali sebagai kerajaan kleptokrasi di mana pemimpin kaya-raya, tetapi wang serta harta negara hilang entah ke mana?

Dalam pada itu, jika tidak dalam pilihanraya akan datang, bila lagi masa yang sesuai untuk kerajaan yang ada boleh dijatuhkan?

Mengapa tidak mahu diinsafi, kiranya dalam PRU 14 ini UMNO dan BN tidak mampu dikalahkan, waktu terbaik untuk berbuat demikian mungkin tidak muncul lagi sampai bila-bila?

Ini kerana, kiranya mampu melepasi garisan PRU 14, kerajaan sekular nasionalis yang juga dikenali di seluruh dunia mengamalkan gaya pemerintahan kleptokrasi dan begitu ingin dikekalkan kuasanya oleh PAS, mereka pasti akan bertindak dengan lebih keras lagi bagi mengekalkan kuasa yang ada.

Sudahnya, bila dapat ditumbangkan lagi?

Bila pula Pas mampu bertanding lebih banyak kerusi, tidak sekadar 80  saja, agar hasrat menubuhkan kerajaan Islam secara sendiri dapat dicapai?

Dengan pelbagai isu melingkari wajah Perdana Menteri serta kleptokrasi mula mengambil alih tempat demokrasi, bukan saja PRU 14 medan terbaik untuk menukar kerajaan, malah pendirian Pas yang mengatakan tidak ada gunanya menjatuhkan kerajaan sedia ada, perjuangan mereka nyata semakin menjauh daripada hati nurani rakyat seluruhnya.

Realitinya, tiada ada mana-mana bangsa dan agama dapat menerima kerajaan yang dibayangi skandal, penipuan, rompakan dan samunan yang begitu berleluasa yang semata-mata dapat bertahan kerana masih mampu mengepung kuasa dan segala agensi penguatkuasa dalam genggamannya.

Dalam keadaan begitu, tidak malukah Pas kerana masih lagi mahu bermain-main dengan perbezaan antara sekular nasionalis dan sekular sosialis untuk mewajarkan pendirian mereka tanpa melihat gambaran lebih besar kepada kemusnahan masa depan negara jika gejala kleptokrasi tidak ditamatkan dengan segera? (ShahbudinHusin 28/04/2017).

Thursday, 27 April 2017

JOHARI GHANI, BERDIRILAH DENGAN BERANI DAN LUAHKAN SUARA HATIMU...


Johari Abdul Ghani, atas kapasitinya sebagai Menteri Kewangan Kedua, adalah tumpuan terbaru dalam kemelut yang belum menemui titik nokhtahnya berhubung penyelesaian luar mahkamah antara 1MDB dan IPIC.

Beberapa kenyataannya yang berbeza nada segera menimbulkan persoalan, apakah isi hati beliau yang sebenarnya, setujukah beliau dengan penyelesaian antara 1MDB dengan IPIC dan jika apa yang berlaku sekarang berlawanan dengan prinsip dirinya, apakah yang akan dilakukannya selepas ini?

Ketika berita awal masih dalam bentuk khabar angin berkenaan penyelesaian luar mahkamah itu, Johari lantas mengatakan beliau dan Kementerian Kewangan sama sekali tidak terlibat dalam perundingan tersebut.

Semuanya, kata beliau, dilakukan oleh pihak 1MDB dengan dibantu pegawai daripada Pejabat Perdana Menteri.

Ia lantas menimbulkan rasa pelik lagi hairan kerana 1MDB itu sendiri terletak di bawah Kementerian Kewangan.

Kemudian, apa pula peranan dan keperluan pegawai daripada Pejabat Najib Razak terlibat dalam rundingan dengan IPIC itu.

Siapa yang diwakilinya dan apa mandat yang dibawanya dalam mesyuarat untuk mencari titik penyelesaian yang akhirnya membuatkan 1MDB seperti melupakan wang lama berjumlah AS$3.5 bilion yang hilang serta sanggup mengeluarkan wang baru dengan jumlah yang sama untuk membuat bayaran kepada 1PIC?

Ketika penyelesaian sudah sah dan menjadi berita diseluruh dunia, Johari sekali lagi bersuara dengan mendedahkan terdapat bukti yang mengesahkan Aabar BVI adalah anak syarikat IPIC.

Malah kata Ahli Parlimen Titiwangsa itu lagi, berdasarkan rekod yang dibekalkan 1MDB kepada PAC sebelum ini,  syarikat pelaburan milik kerajaan itu juga mengesahkan Aabar BVI ialah anak syarikat IPIC.

“Fakta itu kemudian disahkan lagi oleh Pendaftar Hal Ehwal Korporat British Virgin Islands melalui suratnya bertarikh 11 Ogos 2016,” kata Johari.

Berdasarkan bukti-bukti yang dimiliki itulah, tegas Johari, Kementerian Kewangan bertegas dengan pendirian untuk menuntut keadilan di Tribunal Timbangtara Antarabangsa sejak awal lagi.

Berdasarkan dua kenyataan itu, sepertinya Johari tidak bersetuju dengan langkah penyelesaian luar mahkamah yang dicapai antara 1MDB dengan IPIC itu.

Namun demikian, disebalik Najib tidak berkata apa-apa dan pihak media juga mungkin dilarang bertanya soalan mengenainya, semua makhluk di dunia ini tahu bahawa Petdana Menteri pasti gembira dengan penyelesaian yang telah dimuktamadkan itu.

Johari pun tentunya tahu dan faham perkara itu.

Dengan tiada prosiding timbangtara, bermakna banyaklah perkara yang sepatutnya terdedah dapat disembunyikan. Bersetuju membuat pembayaran barangkali bukanlah masalah  kerana ia bukan menggunakan duit poket mereka. Ia boleh jadi duit kita semua yang hari-hari membayar cukai GST.

Namun demikian, diselami dengan lebih mendalam berikutan wujud sedikit keberanian dalam diri Johari dari segi terus bersuara, meskipun beliau sedar kedudukan dan jawatannya adalah atas perlantikan Najib, apakah isi hatinya yang sebenar ketika ini?

Apakah beliau selamanya tidak setuju dengan langkah penyelesaian dan sekarang seolah-olah meletakkan kesalahan kepada Najib berkenaan dengannya?

Berbeza dengan Najib yang diperkatakan terlibat secara langsung, tidak langsung, sipi-sipi, depan belakang dan kiri kanan berkaitan 1MDB, Johari sebaliknya tidak terkait sama-sekali dan hanya dilantik menjadi Menteri Kewangan Kedua untuk menggantikan Husni Hanadzlah pada 2015 lalu.

Oleh itu, atas kedudukan dan jawatannya, Johari mungkin benar-benar mahu berkhidmat kepada rakyat dan negara berdasarkan ilmu dan pengalaman melalui jawatan menteri yang disandangnya.

Dalam hal ini, Johari tidak harus sekadar memberi kenyataan seolah-olah tidak setuju dan menunjukkan beliau berbeza semata-mata jika nalurinya sedang berkecamuk dan memberontak tika ini.

Beliau perlu terus bersuara dan bercakap berdasarkan suara hati atas nama kebenaran serta takutkan Tuhan.

Jika ada yang tidak kena, merasakan penyelesaian itu semata-mata kerana kehendak Najib dan bukan demi kepentingan rakyat serta negara dan atas sebab itu juga Kementerian Kewangan disisihkan dalam perundingan, adalah amat terpuji untuk Johari meluahkan segala-galanya secara terbuka dan kemudian meletakkan jawatan dengan segera.

Beliau pasti disanjung dan dikenang atas perjuangannya, malah seluruh rakyat Malaysia akan berbangga dengan prinsipnya berbanding jika hanya berani mengeluarkan kenyataan sekali dua, tetapi selesa dan nyaman berada dalam kelambu yang sama. (ShahbudinHusin 27/04/2017)

KALAU DI TANGAN SUDAH ADA BUKTI, KENAPA MASIH MEMILIH SELESAI LUAR MAHKAMAH?

Selesai tapi tak selesai - barangkali itulah ungkapan paling sesuai untuk menggambarkan kemelut terbaru berkaitan 1MDB sekarang ini.

Di sebalik 1MDB berjaya dan berbangga dapat menyelesaikan pertikaian di luar mahkamah dengan IPIC berhubung bayaran bagi terbitan bon  yang dituntut oleh syarikat daripada Abu Dhabi itu, rentetan daripadanya nampak lebih membingungkan.

Bukan saja penyelesaian luar mahkamah itu dilihat sebagai bukti pengakuan daripada 1MDB bahawa pembayaran AS$3.5 bilion sebelum ini memang diselewengkan daripada Aabar PJS kepada Aabar BVI, pertanyaan juga bertalu-talu berkaitan ke mana perginya wang yang telah dibayar itu.

Persetujuan luar mahkamah jelas memperlihatkan 1MDB akan membayar dua kali kepada IPIC dan seperti ingin melupakan begitu saja wang yang telah dibayar kepada syarikat klon, Aabar BVI sebelum ini.

Bukan saja pemimpin-pemimpin pembangkang yang riuh menuntut penjelasan berkaitan perkara itu, malah wakil BN dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC, Abdul Aziz Sheikh Fadzir turut menuntut penjelasan yang sama.

Kita setuju dengan penyelesaian yang dicapai antara 1MDB dengan IPIC itu, tetapi  kerajaan perlu menjelaskan kepada PAC ke mana perginya wang yang sudah dibayar sebelum ini, demikian permintaan Abdul Aziz yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Kedah.

Dalam pada itu, di ketika ramai masih bingung memikirkan kenapa penyelesaian luar mahkamah menjadi pilihan sedangkan Najib Razak pernah mengatakan kerajaan tidak terikat dari segi undang-undang untuk mengambil alih bon tersebut serta Johari Abdul Ghani, Menteri Kewangan Kedua pula melahirkan keyakinan 1MDB boleh menang dalam prosiding timbangtara dengan IPIC, apa yang terus didedahkan oleh Johari lebih memeningkan lagi.

Johari memberitahu, sebenarnya terdapat sepucuk surat yang mengesahkan Aabar BVI adalah anak syarikat milik IPIC, namun beliau tidak menyebut ia daripada siapa.

Malah kata Ahli Parlimen Titiwangsa itu lagi, berdasarkan rekod yang dibekalkan 1MDB kepada PAC sebelum perjanjian penyelesaian,  mereka juga mengesahkan Aabar BVI ialah anak syarikat IPIC.

“Ia kemudian disahkan oleh Pendaftar Hal Ehwal Korporat British Virgin Islands dalam surat bertarikh 11 Ogos 2016,” kata Johari.

Berdasarkan bukti yang dimiliki itu jugalah, tegas Johari, Kementerian Kewangan bertegas dengan pendirian meneruskan menuntut keadilan di Tribunal Timbangtara Antarabangsa.

Melihat kepada penjelasan Johari mengenai bukti tersebut, apa yang menjadi persoalan ialah mengapa penyelesaian luar mahkamah masih menjadi pilihan?

Jika bukti sudah cukup kuat dalam tangan, kenapa masih  tidak berani terus berjuang ke arah kemenangan, sebaliknya memilih untuk menyelesaikannya di luar mahkamah?

Tidakkah, jika menang, tiada apa-apa pembayaran perlu dibuat oleh 1MDB kepada 1PIC?

Siapa yang berkehendakan penyelesaian luar mahkamah yang membuatkan 1MDB terpaksa membuat bayaran sebanyak dua kali kepada IPIC?

Adakah hanya Kementerian Kewangan saja yang mahu terus dengan prosiding timbangtara, manakala pihak lain termasuk Najib, tidak berminat dengannya?

Kenapa dalam rundingan penyelesaian itu, sebagaimana yang disebut sendiri oleh Johari beberapa hari sebelum ini, Kementerian Kewangan tidak dilibatkan sama-sekali, sebaliknya hanya diwakili oleh 1MDB dan pegawai daripada Pejabat Perdana Menteri sahaja?

Dalam pada itu, kiranya benar juga terdapat surat yang mengesahkan Aabar BVI adalah milik IPIC, mengapa syarikat itu masih membawa isu pertikaian dengan 1MDB ke Tribunal Timbangtara Antarabangsa?

Apa kong kali kong dan misterinya dalam hal ini?

Bagaimanapun, yang menariknya, di sebalik Johari mengatakan beliau dan Kementerian Kewangan tidak terlibat dalam rundingan penyelesaian dan enggan memberi komen lanjut, tetapi dalam masa yang sama turut mendedahkan sedikit demi sedikit maklumat lain seolah-olah ada yang tidak kena di sebalik gambaran kononnya program rasionalisasi syarikat pelaburan paling bermasalah itu semakin menunjukkan kemajuan.

Apa lagi yang Johari akan dedahkan selepas ini sebagai petunjuk bahawa beliau bukan saja disisihkan dalam banyak perkara, sama seperti yang dialami Husni Hanadzlah sebelum ini, tetapi juga untuk menunjukkan kemelut 1MDB masih jauh dari hakikat penyelesaian yang sebenar-sebenarnya. (ShahbudinHusin 27/04/2017).

Wednesday, 26 April 2017

MASA UNTUK PEMIMPIN UMNO TURUT BERTANYA ATAU AZIZ SHEIKH FADZIR BAKAL JADI MANGSA?


Seorang pemimpin UMNO dan wakil BN dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC, Abdul Aziz Sheikh Fadzir, seperti kebanyakan rakyat Malaysia lain yang prihatin, akhirnya turut melontarkan soalan paling mudah - mana perginya wang yang sudah 1MDB bayar kepada Aabar BVI sebelum ini?

Soalan daripada beliau yang merupakan Ketua UMNO dan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu menyusul berikutan penyelesaian luar mahkamah yang dicapai antara 1MDB dan IPIC untuk memikul tanggungjawab terhadap bon bernilai AS$3.5 bilion beserta dengan faedahnya sekali. 

Kata Aziz lagi, beliau menyokong penyelesaian yang dicapai itu, tetapi kerajaan perlu menjelaskan kepada PAC ke mana perginya wang AS$3.5 bilion yang dibayar sebelum ini.

Dalam pertikaian antara IPIC dengan 1MDB sehingga dibawa kepada Tribunal Timbangtara Antarabangsa, wang itu sepatutnya dibayar melalui anak syarikat IPIC, Aabar Investmet PJS tetapi telah dilencongkan kepada sebuah syarikat klon, Aabar Investment PJS Ltd atau Aabar BVI yang didaftarkan di British Virgin Island.
Soalan Abdul Aziz tambah relevan kerana berdasarkan rekod PAC, pembayaran AS$3.5 bilion itu sebenarnya dibuat sebanyak empat kali dalam tempoh yang berbeza.

Bayaran pertama dibuat sebanyak AS1.367 bilion yang dibuat tahun 2012, diikuti AS$993 juta pada November 2014, AS$885 juta pada September 2014 dan akhir sekali AS$295 juta pada Disember 2014?

Bukan saja ke mana perginya wang itu perlu diperjelaskan, bahkan yang tidak kurang pentingnya ialah, adakah 1MDB langsung tidak menyedari pembayaran dibuat kepada syarikat klon, sedangkan ia dibuat sebanyak empat kali dan bukannya secara sekaligus?

Perumpaan mudahnya, katalah  jika kita tersalah meminum air yang telah basi atau masam, apakah sehingga empat kali hirupan, masih tidak disedari juga  ada sesuatu yang tidak kena pada minuman tersebut?

Apatah lagi, berdasarkan penyiasatan antarabangsa, wang yang dilencongkan melalui syarikat klon itu turut dikaitkan secara langsung dengan tindakan yang telah dan sedang diambil oleh Jabatan Kehakiman AS, pihak berkuasa Switzerland serta juga Singapura.

Oleh itu, persoalan yang ditanyakan oleh Abdul Aziz seharusnya mendorong sama pemimpin-pemimpin UMNO yang lain untuk turut bangun bertanyakan perkara yang sama jika benar mereka juga mahukan kebenaran sepertimana keinginan rakyat yang lain.

Soalannya mudah saja - YAB Datuk Seri Najib, ke mana sebenarnya pergi wang yang sudah dibayar sebelum ini dan tidakkah persetujuan memikul tanggungjawab terhadap bon itu beserta faedahnya bermakna 1MDB melakukan pembayaran berganda?

Berdasarkan apa yang berlaku sekarang, rakyat merasakan ada yang tidak kena berhubung penyelesaian luar mahkamah itu kerana ia jelas memperlihatkan kaedah "tutup lubang gali lubang" diambil oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Selebihnya, terpulang kepada Najib sama ada beliau mampu bersikap jujur dan berterus-terang mengenainya,  tetapi apa jua pendirian beliau setidak-tidaknya boleh dijadikan ukuran antara antara  hakikat "berani kerana benar atau takut kerana salah".

Adakah pemimpin UMNO lain yang berani bertanya menuruti langkah Abdul Aziz atau mereka lebih rela bersubahat dengan berdiam diri berkaitan kehilangan wang yang banyak itu, asalkan jawatan dan kedudukan terus terpelihara? 

Atau juga barangkali dalam sehari dua ini akan kedengaran Abdul Aziz tiba-tiba menjadi mangsa sebagaimana deretan yang lain sebelum ini yang telah dimangsakan hanya kerana bertanya soalan tentang 1MDB? (ShahbudinHusin 26/04/2017).

KAJISELIDIK INVOKE - BUANG MASA SAJA PAS BERTANDING PILIHANRAYA


Latar Belakang

Walaupun parti-parti pembangkang bertanding di bawah satu gabungan (misalnya Pakatan Harapan atau Gagasan Sejahtera), undi kepada setiap parti komponen adalah berbeza-beza dan tidak sekata.

Dalam pertandingan 3 penjuru, perbezaan undi sebanyak 2% - 5% di antara 2 parti komponen dalam satu gabungan yang sama boleh menyebabkan gabungan tersebut kalah kepada Umno/Barisan Nasional.

Perkara ini kerap berlaku dalam pilihanraya umum yang lepas: pengundi PAS di Machang mengundi PAS di kerusi-kerusi DUN tetapi mengundi Umno di kerusi Parlimen menyebabkan kekalahan calon PKR.

Kajiselidik kebolehpindahan undi adalah penting untuk menentukan perkara-perkara berikut:

i) Tahap sokongan mengikut kaum mengikut parti pembangkang (bukan mengikut gabungan)

ii) Sama ada pengundi satu parti pembangkang akan tetap mengundi parti komponen lain di dalam gabungan apabila partinya tidak bertanding

iii) Parti pembangkang yang paling sesuai untuk bertanding di setiap kerusi parlimen bagi meningkatkan peluang menewaskan Umno/Barisan Nasional dalam pertandingan 3 penjuru
Kaedah dan Sampel 10,523 orang pengundi berdaftar di seluruh negara ditemuramah di dalam bahasa ibunda masing-masing atau bahasa Melayu:

Pengundi Melayu – Bahasa Melayu, Pengundi Cina – Bahasa Mandarin, Pengundi India – Bahasa Tamil, Pengundi Bumiputra Sabah/Sarawak – Bahasa Melayu.

Kajiselidik melibatkan temuramah melalui telefon di antara analis kajiselidik (penemuramah) dan pengundi (ditemuramah) menggunakan bahasa ibunda masing-masing.

Kajiselidik dijalankan selama dua bulan dari 6 Februari 2017 ke 6 April 2017. 

Pengundi dipilih dan didail secara rawak oleh sistem kajiselidik berkomputer  INVOKE.

Seramai 1.67 juta orang pengundi berdaftar didail secara rawak. Dari jumlah itu, 116,922 orang pengundi mengangkat telefon dan 10,523 orang pengundi menjawab kesemua 40 soalan yang ditanya.

Keputusan hasil dari kajiselidik melibatkan 10,523 orang pengundi berdaftar ini kemudiannya diterjemahkan kepada keputusan nasional mengikut agregat seperti berikut:

i) Keputusan 10,523 orang pengundi diagregatkan mengikut umur, jantina dan kaum supaya melambangkan taburan demografi pengundi di seluruh negara

ii) Keputusan 10,523 orang pengundi diagregatkan mengikut taburan pengundi di setiap negeri supaya melambangkan kedudukan kerusi parlimen di seluruh negara

Pengundi ditanya kecenderongan mereka mengundi di dalam pertandingan 3 penjuru dan 2 penjuru mengikut parti-parti yang bertanding, contohnya:

i) Jika berlaku pertandingan 3 penjuru di antara Umno, PKR dan PAS, parti mana yang akan anda undi?

ii) Jika pertandingan itu menjadi 2 penjuru di antara Umno dan PKR sahaja, parti mana yang akan anda undi?

iii) Jika pertandingan itu menjadi 2 penjuru di antara Umno dan PAS sahaja, parti mana yang akan anda undi?

iv) Ulang bagi setiap kombinasi parti yang bertanding

Kesimpulan

Jika pertandingan 3-penjuru berlaku dalam PRU14, sentimen pengundi semakin beralih ke arah pertembungan di antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

Tahap sokongan kepada PAS merudum lebih cepat berbanding parti-parti lain dan PAS sekarang berada di tempat tercorot sekiranya berlaku pertandingan 3-penjuru.

Dengan 35% responden memilih untuk tidak memberitahu parti yang mereka akan undi, kelebihan % sokongan Umno/Barisan Nasional adalah rendah memandangkan responden yang memilih tidak menjawab berkemungkinan penyokong Pakatan Harapan atau PAS.

RAFIZI RAML
bagi pihak INVOKE


Ulasan Blog - Kajiselidik ini memberi gambaran yang nyata bahawa PAS adalah pengacau, merudum sokongan dan tidak diperlukan untuk agenda perubahan menyelamatkan negara.

Daripada 80 kerusi yang mahu ditandinginya, barangkali 8 kerusi pun Pas sukar untuk mencapai kemenangan.

Maka, yang sepatutnya berlaku bukanlah Pakatan Harapan tidak meletakkan calon di kerusi-kerusi yang Pas bertanding sebagaimana yang diseru oleh beberapa pemimpin parti itu, sebaliknya Paslah yang sepatutnya tidak bertanding langsung dalam pilihanraya akan datang ini.

Pas, dengan hanya bersama Ikatan, sebuah parti cilik yang dengar khabarnya mempunyai keahlian tidak sampai pun 1,000 orang, adalah entiti kecil lagi terpencil berbanding Pakatan Harapan yang dianggotai oleh PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.

Pakatan Harapan juga jelas perjuangan dan arah yang mahu ditujunya iaitu menyingkirkan Najib Razak, mengalahkan BN serta menyelamatkan negara daripada kleptokrasi yang berterusan.

Apa agenda perjuangan Pas? Penasihat kepada kerajaan?

Lagi pula, dengan hasrat bertanding di 80 kerusi Parlimen saja, itupun terhad di kawasan luar bandar dan perkampungan Melayu, apakah perubahan yang mampu Pas janjikan untuk rakyat dan negara secara keseluruhannya?

Sekadar ingin menjadi kuasa penentu atau "king maker"  di ketika rakyat sedang meluap-luap dahagakan perubahan, boleh juga dikira suatu bentuk pembelotan dan pengkhianatan, apa lagi kalau nama agama dijual sama di merata-rata.

Di Muktamar Pas bermula 28 April ini di Kedah, memuktamadkan tidak bertanding pada PRU 14 adalah pilihan terbaik bagi Pas sementara mereka melakukan muhasabah dan koreksi diri atas kecelaruan yang didatangkan oleh kepimpinan Hadi Awang yang membingungkan ahli dan penyokongnya sendiri selama ini.

Untuk apa Pas menyertai pertandingan kiranya sebelum, semasa atau selepas keputusan pilihanraya nanti, hanya cemuhan dan kejian saja yang mereka terima?  (ShahbudinHusin 26/04/2017).

Tuesday, 25 April 2017

AUTA DAN CACA-MARBA 1MDB


Jika diperhatikan daripada awal, 1MDB adalah syarikat milik kerajaan yang paling banyak melahirkan pengautaan, caca-marba dan berbeza-beza dalam kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak yang bertanggungjawab terhadapnya.

Syarikat bermodal RM2 pun tidak seperti itu dalam pengendaliannya.

Dalam kes melibatkan bon bernilai AS$3.5 bilion dan pertikaian berhubung bayaran yang tidak diterima daripada 1MDB sehingga IPIC memohon pengadilan ke Tribunal Timbangtara Antarabangsa saja, sudah cukup untuk membuktikan wujud caca-marba dan ketidak-tentuannya.

Pada 25 Mei 2016, Najib Razak berkata, kerajaan tidak terikat dari segi undang-undang untuk mengambil balik bon-bon 1MDB bernilai AS$3.5 bilion itu.
Ini memandangkan tiada jaminan atau surat sokongan kerajaan ke atas bon-bon tersebut, jawabnya di Parlimen.

Tetapi, apa sudah jadi sekarang, mengapa kerajaan mengambil balik bon-bon itu beserta faedahnya sekali melalui penyelesaian luar mahkamah?

Jika tiada apa-apa ikatan dan berpegang kepada hakikat bahawa bayaran yang  dibuat sebelum itu adalah sah, untuk apa ia diambil balik serta bersetuju memikul tanggungjawab sambil membuat bayaran berganda?

Pada 2 Ogos 2016, Kementerian Kewangan melahirkan perasaan amat yakin bahawa 1MDB  akan memenangi kes timbangtara yang difailkan oleh IPIC kepada syarikat pelaburan kerajaan itu berhubung pertikaian pembayaran hutang.
Berdasarkan semua dokumen yang diberikan oleh 1MDB kepada saya, saya amat yakin dengan kemenangan 1MDB.

Sebab itu, kita mengambil keputusan untuk tidak membayar faedah berkenaan...kita akan lawan dan menang kes itu, kata Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani.

Rasanya, tak perlu disebut panjang-panjang lagi apa terjadi akhirnya dan apa bentuk penyelesaian yang dmaklumkan IPIC kepada Bursa Saham London, semalam.

Bak kata pelawak Nabil...lu fikir sendirilah.

Pada 31 Oktober 2016,  kerajaan juga mengatakan hutang 1MDB tiada kaitan dengan kerajaan.

Namun, seperti yang disebut sendiri oleh Johari, penyelesaian hutang dengan IPIC ini  dilakukan oleh sepenuhnya 1MDB dan pegawai-pegawai daripada Pejabat Perdana Menteri.
Untuk ada pegawai daripada pejabat Perdana Menteri terlibat dan siapakah mereka yang terlibat itu jika hutang-hutang 1MDB tidak melibatkan kerajaan?

Diselak lebih mendalam lagi, kita juga akan mendapati Najib sendiri pernah mengatakan bahawa Jho Low tidak terlibat serta tiada kaitan sama sekali dengan 1MDB.

Hakikatnya, bukan saja berdasarkan sebutan di mahkamah Singapura dan saman oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, nama Jho Low terlihat amat aktif dan tidak boleh dipisahkan sama sekali daripada 1MDB.

Bak kata Khairy Jamaluddin, cap jari Jho Low ada di mana-mana saja berkaitan 1MDB.

Lebih dari itu, Najib dan keluarganya juga pernah bercuti di atas kapal layar mewah bersama Jho Low dan beberapa yang lain.
Berkaitan dana 1MDB yang ditebus daripada akaun pesisir di Pulau Cayman untuk mengatasi masalah aliran tunainya, Najib dalam jawapan bertulisnya di Parlimen pada Mei 2015, bukan saja mengesahkan kembalinya wang  itu, malah mengatakan ia kini disimpan dalam bentuk tunai di bank Singapura.

Beberapa hari kemudian, pembetulan segera dilakukan dengan mengatakan ia sebenarnya disimpan dalam bentuk aset.

Husni Hanadzlah, Menteri Kewangan Kedua yang ketika itu diberi peranan sebagai jurucakap 1MDB tidak berapa lama selepas itu mengatakan, ia sebenarnya adalah dalam bentuk unit.

Unit apa? Ia tetap misteri sehingga sekarang, tetapi apa yang berlaku Husni sendiri akhirnya meletakkan jawatan serta menyoal sendiri kerajaan di Parlimen berkaitan 1MDB yang memberi gambaran beliau tidak tahu langsung mengenai perjalanan syarikat itu.

Lebih dari itu, berkaitan dana yang mengalir masuk ke akaun peribadi Malaysian Official 1 sepertimana yang disahkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat adalah berasal daripada dana 1MDB yang dilencongkan, jawapan Najib sendiri mengenainya amat berbelit-belit serta langsung tidak menafikan fakta yang disebut itu.

Mula-mula beliau menafikan, kemudian mahu menyaman WSJ yang didakwa memifitnahnya, selepas itu menepis lagi dengan mengatakan "kalau saya nak menyamun, takkan saya masukkan dalam akaun peribadi", tetapi  akhirnya dengan selamba mengaku memang ada wang berbilion ringgit dalam akaun banknya dengan menyatakan ia sebagai derma daripada kerabat  Diraja Arab Saudi.

Selain pihak di Arab Saudi sendiri tidak jelas dan berbeza kenyataan mengenai wang tersebut, kiranya benar Najib menerima wang tersebut sebagai derma, mengapa ketika kunjungan Raja Salman ke Malaysia baru-baru ini, beliau tidak berani menyebut secara terbuka dalam ucapannya sambil mengucapkan terima kasih di hadapan Raja Arab Saudi itu atas derma yang diterimanya?

Bukankah, sebagai adat Melayu dan menghargai sesuatu pemberian, apatah lagi jumlahnya berbilion-bilion, seseorang itu  akan bangga untuk mengucapkan penghargaan secara terbuka?

Itulah hakikatnya berkaitan 1MDB, tidak ada syarikat lain yang begitu banyak auta dan caca-marba sepertinya. Selepas ini, pasti ada lagi auta, caca-marba dan berbeza-beza dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Hanya jika kalah pilihanraya dan hilang kuasa, barulah semuanya akan terhenti dan kebenaran akan mengambil tempatnya pula. (ShahbudinHusin 25/04/2017).

BAYAR GUNA WANG SIAPA?

Sepertimana yang dimaklumkan kepada Bursa Saham London, 1MDB dan IPIC akhirnya telah  berjaya mencapai penyelesaian berhubung pertikaian antara mereka yang melibatkan jumlah wang berbilion dolar.

Yang dipersetujui ialah 1MDB akan membayar AS$1.2 bilion atau RM5,300 juta sebagai bayaran awal  kepada IPIC dalam dua kali pembayaran iaitu pada Julai dan Disember 2017.

Selain itu, 1MDB dan Kementerian Kewangan turut bersetuju memikul tanggungjawab terhadap dua bon bernilai AS$3.5 bilion atau RM15,000 juta beserta faedah yang akan matang pada tahun 2022.

Selain itu, jumlah faedah keseluruhan perlu ditanggung oleh 1MDB pula adalah berjumlah kira-kira RM4,500 juta.

Jumlah keseluruhan kasar ialah hampir RM25,000 juta.

Persetujuan penyelesaian itu ialah berikutan sebelum ini IPIC telah membawa 1MDB ke Tribunal Timbangtara Antarabangsa untuk menuntut bayaran keseluruhan AS$6.5 bilion atau hampir RM28,000 juta atas kegagalan memenuhi obligasi kontrak yang telah dipersetuju berkaitan terbitan bon antara kedua-dua syarikat.

Jika kita masih ingat, bayaran untuk terbitan bon AS$3.5 bilion yang sepatutnya dibayar oleh 1MDB kepada anak syarikat IPIC, Aabar Investment PJS inilah yang telah dilencongkan kepada sebuah syarikat klon bernama Aabar Investment PJS Ltd atau dikenali juga sebagai Aabar BVI kerana ia didaftarkan di British Virgin Island.

Daripada wang yang dilencongkan itulah wujudnya pelbagai pendakwaan dan hukuman berkaitan penipuan dan penggubahan wang haram di Singapura, juga kemungkinan pendakwaan di Switzerland serta saman sivil yang diambil oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat untuk merampas pelbagai harta dan kekayaan melibatkan Jho Low serta anak tiri Najib, Riza Aziz.

Dalam kertas siasatan Jabatan Kehakiman juga disebut bahawa daripada AS$3.5 bilion yang dilencongkan itu turut disalurkan ke dalam akaun peribadi Malaysian Official 1 dengan jumlah keseluruhan AS$731 juta atau lebih RM3,200 juta.

Dengan persetujuan membuat bayaran baru serta memikul tanggungjawab itu, bermakna bayaran  kepada IPIC dibuat sebanyak dua kali.

Bayaran pertama sudah hilang kerana dilencongkan dan kini, bayaran kedua dipersetujui untuk dilaksanakan.

Duit daripada mana untuk membayar semua RM25,000 juta itu?

Kalau bukan duit pembayar cukai atau duit kita semua sebagai rakyat, adakah ia akan dikutip melalui 3.5 juta ahli-ahli UMNO di seluruh negara atau adanya bantuan daripada Negara China misalnya?

Kemudian, apa jadi kepada AS$3.5 bilion atau RM15,000 juta yang dilencongkan sebelum ini?

Lesap begitu saja?

Sebelum ini Menteri Kedua Kedua, Johari Abdul Ghani ada menyebut bahawa kerajaan akan lawan proses timbang tara di mahkamah London itu kerana yakin akan memenanginya berdasarkan dokumen-dokumen yang dimiliki.

Kenapa sekarang mengalah dan setuju membuat pembayaran?

Dua tiga hari lalu, Johari sekali lagi mengulangi bahawa Kementerian Kewangan tidak terlibat dalam penyelesaian dengan 1PIC kerana ia katanya, dilakukan oleh 1MDB dan pegawai dari Pejabat Perdana Menteri?

Kenapa Kementerian Kewangan tidak dilibatkan dalam sebarang rundingan sedangkan 1MDB itu sendiri terletak di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan?

Tidakkah dengan melibatkan Pejabat Perdana Menteri dalam rundingan penyelesaian itu,  ia boleh dianggap wujudnya konflik kepentingan dan bertujuan untuk melindungi bukan saja Perdana Menteri, tetapi juga Jho Low dan Riza Aziz?

Tidakkah juga dengan setuju membuat pembayaran itu bermakna suatu pengakuan daripada 1MDB dan Pejabat Perdana Menteri bahawa memang wujud kehilangan wang yang digembar-gemburkan di seluruh dunia sebelum ini?

Sementara Singapura, Amerika Syarikat dan Switzerland sudah dan sedang mengambil tindakan, sebaliknya di negara kita semua kes berkaitan 1MDB seolah-olah dilindungi dan diberikan keistimewaan.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berasingan malam tadi berkata, perkembangan penting ini menunjukkan kemajuan positif berterusan dicatatkan oleh 1MDB yang kini hampir menyelesaikan program rasionalisasinya.

Hebat kan? Barangkali inilah tafsiran baru "Malaysia Boleh" dalam era transformasi sekarang ini, malah terpaksa bayar dua kali pun masih lagi dikata sebagai kemajuan positif!!

Seorang kenalan berketurunan Arab dalam reaksinya sambil minum-minum malam tadi hanya mampu berkata, "Beb...ini betul-betul harami punya kerja." (ShahbudinHusin 25/04/2017).

Monday, 24 April 2017

PAKATAN HARAPAN JANGAN BUANG MASA MELAYAN, ROYAN PAS HANYA MAHU TARIK PERHATIAN....


Terbaru ini Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Samad pula melibatkan diri dalam cubaan mahu mengugut Pakatan Harapan.

Tuan Ibrahim meletakkan syarat agar parti-parti pembangkang lain jangan ganggu Kelantan serta kerusi tradisi yang biasa ditandingi Pas jika mahu pertandingan tiga penjuru dielakkan dalam pilihanraya akan datang ini.

Jangan ganggu kerusi Pas. Bila ada kerusi Pas diganggu, kita bebas bertanding di mana-mana saja kerusi yang ditandingi Pakatan Harapan, ujar beliau.

Dalam nada yang hampir sama, Iskandar berkata, kerusi pembangkang lain di Selangor bebas untuk ditandingi oleh Pas jika tiada persetujuan dicapai berkaitan pembahagian kerusi dengan mereka.

Sehubungan itu, tambahnya, Pas Selangor sudah sedia untuk bertanding di 45 kerusi DUN dan 15 kerusi Parlimen di negeri itu.
Apakah makna semua ini?

Daripada mahukan parti-parti lain jangan bertanding di 80 kerusi Parlimen yang akan ditandingi parti itu dan kemudian meluahkan keghairahan menguasai beberapa negeri, Pas kini nampaknya sudah mula main ugut-ugut pula.

Sebagaimana yang disebut dalam posting sebelum ini, siapa Pas dalam Pakatan Harapan atau di kalangan parti-parti pembangkang untuk mereka berkelakuan sedemikian?

Tidakkah mereka adalah blok ketiga yang lebih merupakan sekutu UMNO dan BN, berbanding sebagai rakan kepada Pakatan Harapan?

Teruskan sajalah dengan Gagasan Sejahtera yang selama ini kononnya mampu mengubah dunia!

Jadi, kenapa nak main ugut-ugut terhadap Pakatan Harapan?

Adakah Pas sekarang sudah mula terasa akan kalah di Kelantan dan di banyak kerusi yang akan ditandinginya, lalu cuba menggunakan taktik ugut untuk melindungi kelemahan,  sambil dapat juga menjaga ego sendiri yang begitu tinggi?

Siapa peduli jika Pas mahu bertanding di mana dan banyak mana kerusi sekali pun?

Apabila setiap hari makin kuat melatah, lebih-lebih lagi menjelang Muktamar Tahunan pada 28 April ini, itu adalah tanda paling nyata Pas sebenarnya semakin lemah, tetapi masih cuba menarik perhatian seolah-olah mereka masih penting.

Jika tidak lemah, kenapa berkelakuan begitu?

Kenapa Pas masih ingin berunding dengan Pakatan Harapan, bukankah Najib Razak dan UMNO adalah sahabat karib mereka sekarang ini?

Siapa yang sebelum ini mengatakan tidak mahu berebut kuasa dengan UMNO, ingin menjadi penasihat dan meminta ahli-ahli Pas tidak bermusuh dengan UMNO sehingga ke akhirat?
Kepada Pakatan Harapan, tak usah dilayan latah dan royan Pas kali ini. Kukuh dan kekalkan pendirian bersama parti-parti sedia ada iaitu PKR, DAP, Amanah dan Bersatu dengan matlamat utama menyingkirkan Najib,  menumbangkan UMNO dan BN serta menyelamatkan negara ini.

Lupakanlah Pas, lagi kuat mereka meroyan dan melalak, itu tandanya mereka semakin lemah dan ditolak. Biarkan saja parti itu dengan dunia barunya.

Berbagilah kerusi antara empat parti yang ada dalam Pakatan Harapan. Selepas pembahagian selesai, tumpukan kepada gerak kerja pilihanraya dengan segera menubuhkan jentera di peringkat negeri, bahagian dan peti undi. 

Itu jauh lebih penting daripada melayan Pas yang karenahnya tidak sudah-sudah dan tiada titik penamatnya.

Bagi majoriti rakyat, bukan saja Najib, UMNO dan BN yang mereka mahu tolak, malah sekutu dan sesiapa yang dilihat membantu juga akan ditolak sama. Jangan sesekali dihampakan harapan rakyat yang rata-ratanya inginkan perubahan. (ShahbudinHusin 24/04/2017).

LAGI BANYAK PAS NAK BERTANDING, TIDAKKAH LAGI MENYERLAHKAN PERANAN SEBAGAI SEKUTU UMNO?


Selain mahu parti-parti pembangkang lain tidak meletakkan calon di 80 kerusi Parlimen yang akan ditandinginya dalam pilihanraya akan datang, Pas juga mula menunjukkan keghairahan untuk berkuasa di beberapa negeri.

Semalam, Pas turut mengumumkan kesediaan untuk memerintah Pahang dengan mengumumkan akan bertanding 10 kerusi Parlimen dan 30 kerusi DUN di negeri itu.

Pahang mempunyai 14 kawasan Parlimen dan 42 kerusi DUN keseluruhannya.

Sebelum itu, Pas Perak juga menzahirkan hasrat yang sama dengan Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria menyatakan, pihaknya akan bertanding di 30 daripada keseluruhan 59 kerusi DUN di negeri tersebut.

Dengan berdoa agar orang UMNO dan Pas mengundi calon parti mereka, Razman yakin Pas akhirnya dapat membentuk kerajaan baru di Perak.

Dalam masa yang sama, Pas sudah tentu ingin mengekalkan kuasanya di Kelantan dan berusaha merampas kembali Terengganu yang pernah dikuasainya selama sepenggal pada pilihanraya 1999 dahulu.

Tidak lama sebelum ini, sebagaimana klip video yang tersebar luas di media sosial, Hadi Awang turut menyebut keinginan Pas untuk mentadbir lima negeri melalui kerjasama dengan UMNO.

Lima negeri yang disebutkan oleh Presiden Pas itu ialah Kelantan, Terengganu,  Kedah, Perak dan Selangor.

Kesimpulannya, walaupun pada PRU 13 lalu, Pas hanya menang 21 kerusi Parlimen dan berjaya mengekalkan kuasa di Kelantan saja, tetapi dalam pilihanraya akan datang, ternampak mereka amat ghairah dan bernafsu tinggi  dengan awal-awal lagi sudah meletakkan "cap jari"  mahu bertanding  80 kerusi Parlimen serta mentadbir di lima negeri.

Mampukah Pas secara sendirian mencapai cita-citanya itu?

Adakah semua itu memperlihatkan Pas sebagai parti yang sombong dan bongkak sebagaimana didakwa oleh Mahfuz Omar?

Jika dilihat berdasarkan latar belakang kepimpinan Pas sedia ada setelah sebahagian besar kalangan profesionalnya berhijrah menyertai Amanah, mampukah Pas memainkan peranan mentadbir negara dan lima negeri yang dihajatinya itu?

Atau, apa sebenarnya tujuan Pas mahu bertanding di banyak kerusi Parlimen dan DUN tanpa kompromi dengan parti-parti pembangkang lain, malah awal-awal membuat pengumuman serta macam berlagak mahu semua orang tunduk serta memberi laluan kepada mereka?

Jika benar mahu  bertanding banyak kerusi dan berhajat juga ingin menang sebanyak yang mungkin, kenapa Pas tidak bersikap lembut dalam berunding sesama parti-parti pembangkang?

Mengapa mesti bersendirian dan jika pun sedia untuk diajak berunding, tetapi awal-awal lagi sudah meletakkan pelbagai syarat ketat, terutamanya dari segi kedudukan kerusi yang tidak boleh diusik oleh pihak lain?

Adakah akhlak seperti itu menepati ciri-ciri yang dikehendaki oleh Islam, sesuai dengan kedudukan Pas sebagai parti yang bersandarkan perjuangan Islam?

Sekali lagi, apa sebenarnya tujuan dan hajat besar Pas dalam pilihanraya akan datang ini?

Salahkah jika kita menelah bahawa tujuan dan matlamat sebenar Pas bukanlah sangat untuk menang pilihnaraya, tetapi lebih untuk membantu dan memberi kelebihan kepada Najib, UMNO dan BN agar terus kekal berkuasa? (ShahbudinHusin 24/04/2017).

Sunday, 23 April 2017

PAS INGAT DIA SIAPA?


Dalam perkembangan terbaru, Pas melalui Ketua Penerangan Dewan Ulamanya, Dr. Khairuddin Aman Razali mahu semua parti-parti pembangkang tidak meletakkan calon di 80 kerusi Parlimen yang akan ditandingi parti itu.

Kata beliau, ia bagi memberi laluan Pas berdepan satu lawan satu dengan UMNO dan BN di semua kerusi tersebut.

Amboiii.... bukan main besar hajat dan permintaan Pas kali ini?

Tetapi, siapa dan apa kedudukan mereka dalam gabungan parti-parti pembangkang?
Bukankah Pas sekarang ini tidak terikat lagi dengan Pakatan Harapan, sebaliknya sudah berada dalam blok ketiga yang dinamakan Gagasan Sejahtera bersama Ikatan?

Melalui blok ketiga itu, tidakkah Pas bebas bertanding di mana-mana saja kerusi yang disukainya, bahkan dulu pernah berkata, sedia berdepan dengan sesiapa saja dan yakin menang di sebahagian besar daripadanya?

Kenapa sekarang sudah mula mengendur nada dengan meminta parti-parti pembangkang lain agar jangan meletakkan calon di kerusi yang Pas bertanding?

Dalam pada itu, bagaimana Pas boleh sesuka hati meminta Pakatan Harapan agar jangan meletakkan calon di 80 kerusi Parlimen yang ingin ditandinginya?

Adakah Pas merasakan mereka adalah "abang besar" dalam pembangkang?

Apakah Pas saja yang ada kouta atau jumlah kerusi ingin ditandingi, manakala parti-parti lain mesti tunduk begitu saja kepada mereka?

Tidak mungkinkah, jika diberi laluan nanti, Pas akhirnya akan berpakat dan lebih cenderung untuk memberi laluan mudah kepada  UMNO dan BN sebagai membalas budi kerana memberi laluan membentangkan usul Akta 355 dah kemudian membentuk sebuah kerajaan campuran dengan tujuan mengekalkan Najib Razak sebagai Perdana Menteri?

Atau mungkinkan apa yang diluahkan oleh Dr. Khairuddin  ini menandakan Pas ingin kembali semula menyertai Pakatan Harapan?

Tetapi, sama ada mahu bersama Pakatan Harapan, apatah lagi jika tidak, bukankah  agak keterlaluan bagi Pas meletakkan hak mereka di 80 kerusi Parlimen untuk ditandingi sebelum sebarang perbincangan diadakan?
Dalam pilihanraya 2013 lalu, Pas hanya bertanding 73 kerusi Parlimen saja, maka bagaimana tiba-tiba boleh meningkat kepada 80 kerusi pula?

Sementara Pas tidak mahu kerusi mereka disentuh atau diambil oleh pihak lain, parti itu sebaliknya awal-awal lagi sudah menunjukkan kecenderungan ingin mencuri hak parti lain.

Macam mana tu?

Selain itu, adakah luahan Dr. Khairuddin ini  juga sebagai tanda-tanda awal bahawa hubungan Pas dengan PKR tidak jadi dan masih sayang untuk dileraikan, walaupun ia sepatutnya akan diputuskan dalam Muktamar pada 28 April ini? (ShahbudinHusin 23/04/2017)

JIKA JUNG-NAM BOLEH DISERAH UNTUK SELAMATKAN 9 NYAWA, DR. ZAKIR JUGA WAJIB DIPULANGKAN DEMI KEHARMONIAN 31 JUTA RAKYAT MALAYSIA


Dr. Zakir Naik, penceramah kontroversi kelahiran India adalah masalah baru yang sengaja ditempah oleh negara kita. Mengundangnya sekali dua untuk memberikan ceramah mungkin sudah memadai, tetapi memberikannya taraf pemastautin tetap sama sekali tidak berbaloi bagi sebuah negara berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia yang harmoni serta aman damai selama ini.

Dalam ceramah terbukanya, Dr. Zakir gemar membuat perbandingan antara agama kerana ia adalah kepakarannya serta beliau juga dikatakan hafal beberapa kitab agama-agama lain.

Tetapi, untuk apa perbandingan salah dan benar antara agama itu diperbesar-besarkan dan dibenarkan berlaku? Apakah jika itu kepakarannya, maka Dr. Zakir wajar melakukannya di mana-mana?

Bukankah ia akan menjejaskan keharmonian antara agama di negara kita?

Jika selama ini jiran tetangga kita yang bukan segama tiada masalah mendengar azan lima kali sehari dan kita juga tiada masalah melihat mereka pergi ke gereja atau mengunjungi kuil, mengapa kita perlu membenarkan Dr. Zakir merosakkan segala-segalanya yang harmoni itu dengan ilmu yang ada padanya?

Adakah perbezaan agama untuk kita saling bermusuh dan menunjuk-nunjuk siapa benar dan siapa salah di sisi Tuhan?

Adakah Tuhan mencipta banyak agama di dunia ini untuk kita saling berbalah dan berbangga memberitahu bahawa jalan keagamaan mereka sebagai salah?

Kiranya kita boleh memburuk-burukkan dan mengecam agama lain, apakah mereka juga tidak boleh memburuk-burukkan agama Islam?

Cuba bayangkan jika penceramah-penceramah agama seperti Ustaz Kazim Elias, Dr, Hasan Din, Ismail Kamus lain-lainnya serta program-program agama di televisyen hari-hari bercerita tentang perbezaan antara agama dan mengecam agama lain sebagai salah dan karut?

Apa akhirnya akan jadi kepada masyarakat dan negara kita?

Sejak awal lagi Dr. Zakir adalah penceramah yang bermasalah. Beliau bukan saja dilarang aktif di negaranya sendiri iaitu India, bahkan dihalang masuk ke beberapa negara seperti UK dan Kanada.

Alasannya sama, perbandingan agama yang diperinci dan menjadi bahan ceramahnya boleh menjejaskan keharmonian, mewujudkan perasaan benci kepada agama lain serta menggalakkan keganasan. Ada juga yang menggelar beliau sebagai pengganas agama.

Dalam hal ini, tindakan Hishammuddin Hussein memberikan taraf pemastautin tetap atau PR kepadanya seperti didedahkan oleh Zahid Hamidi adalah suatu kesilapan besar. Status PR itu membawa lebih petaka dan masalah kepada keharmonian negara kita.

Hakikatnya, kita tidak memerlukan sama-sekali pendakwah untuk bercerita tentang perbezaan agama antara Islam dengan Kristian atau antara Islam dengan Hindu. Kita dengan agama kita dan biarlah mereka dengan agama mereka.

Yang diperlukan ialah mendidik penganut agama Islam itu sendiri menjadi lebih baik, taat agama, hormati orang lain, tolong-menolong, menjaga alam sekitar, menjauhi rasuah, tidak mencuri, tidak menyamun dan sebagainya.

Apalah gunanya membesar-besarkan perbandingan antara agama jika hari-hari yang ditangkap kerana rasuah atau yang terlepas kerana diketahui mencuri wang berjuta-juta wang adalah orang beragama Islam sendiri?

Dr. Zakir sendiri tahu, jika beliau yang memohon PR itu atau jika Malaysia yang menawarkannya, ia adalah bertujuan melindungi dirinya yang sedang dicari oleh negaranya sendiri.

Masalah Dr. Zakir adalah masalah beliau dengan negaranya yang mana ada undang-undang didakwa telah dilanggarnya, termasuk berkaitan penggubahan wang haram. Malaysia tidak seharusnya terjebak dengan masalah itu dan biarkan Dr. Zakir menyelesaikannya kerana kesalahannya dilakukan di India, bukan di Malaysia. Tiada untungnya sama-sekali kita terlibat sama.

Kalau Dr. Zakir percaya Tuhan itu benar dan Tuhan juga sentiasa bersama orang-orang yang benar, tiada sebab beliau takut untuk berdepan dengan keadilan. Tuhan pasti ada untuk melindunginya kerana Tuhan sentiasa adil kepada hamba-hambaNya.

Dengan Dr. Zakir lebih takut kepada seksaan yang dipercayai akan diterimanya jika beliau diserahkan kepada India, tidak lebih hanya membuktikan jiwa perjuangan dan keyakinannya kepada kebenaran dan keadilan tidaklah sekuat mana. Beliau nampaknya lebih takut kepada manusia daripada Tuhan.

Lagi pula, selagi namanya perjuangan, memang adat berdepan dengan cabaran, halangan dan seksaan. Ia telah berlaku sejak zaman Nabi Muhammad dan era kebangkitan Islam dulu lagi.

Belum terlambat untuk Malaysia menyedari kesilapannya. Dalam hal ini, Malaysia harus segera membatalkan status PR Dr. Zakir dan melepaskannya untuk bebas pergi ke mana-mana negara pilihannya.

Jika semasa beliau berada di Malaysia ini, terdapat tuntutan untuk menyerahkannya kepada kerajaan India, beliau harus diserahkan dengan baik atas prinsip menghormati undang-undang antarabangsa. Malaysia tiada keperluan melindunginya.

Sebelum ini, jika kita boleh menyerahkan mayat Kim Jung-nam untuk menjamin keselamatan sembilan rakyat kita yang bagai dijadikan tebusan di Korea Utara, tiada sebab kita tidak boleh serahkan juga Dr. Zakir kepada India demi keharmonian dan rukun damai 31 juta rakyat Malaysia.

Zahid Hamidi sebagai Menteri Dalam Negeri pasti akan disanjung oleh seluruh rakyat Malaysia, khususnya orang Islam yang waras dan bukan Islam, jika dapat melakukannya dengan segera. (ShahbudinHusin 23/04/2017).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...