Thursday 30 November 2017

RCI FOREX - DIBENTANG DI PARLIMEN, DIBAHAS DI PERHIMPUNAN UMNO DAN SAH MENJADI BAHAN KEMPEN PRU 14


Sebagaimana ramai mempersoalkan keputusan kerajaan pimpinan Najib Razak mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja berkaitan urusniaga forex sebelum ini, hasil siasatannya yang dibentangkan di Parlimen hari ini  sekali lagi menyaksikan banyak persoalan timbul daripadanya.


Rasanya tidak perlu dihuraikan lagi apa keputusan atau hasil siasatan RCI forex yang dibentangkan itu kerana ia sudah pun menjadi berita yang heboh hingga ke telefon bimbit makcik-makcik Felda dan menjadi bualan ramai di mana-mana.


Begitu juga dengan keputusan hasil siasatan RCI itu, semuanya sudah pun dijangka sebenarnya. Tiada apa-apa yang pelik mengenainya.


Mempersalahkan Nor Mohamed Yakcop dalam kerugian forex tidak menghairankan sama-sekali kerana beliau sudah pun mengaku bertanggungjawab sepenuhnya ketika memberi keterangan sebelum ini.


Malah, Nor Mohamed Yakcop juga sudah pun dihukum dengan diarah meletakkan jawatan di Bank Negara serta tidak dibenar terlibat dalam hal-hal yang berkaitan kewangan negara oleh Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim ketika itu.


Tetapi, yang menghairankan ialah bila Tun Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim adalah antara yang turut dipersalahkan dan dicadangkan untuk disiasat oleh pihak polis berkaitan kerugian forex tersebut.


Ia menghairankan kerana tiada saksi yang memberi keterangan telah mengaitkan nama Tun Mahathir dalam kerugian itu, manakala Anwar pula hanya melaporkan kerugian kepada kabinet berdasarkan laporan audit yang sudah disahkan.


Jika begitu, Najib yang menjadi menteri kabinet dan tidak bersuara apa-apa ketika kerugian tersebut berlaku mesti dipersalahkan sama.


Bagaimanapun, sebelum pihak polis mahu mengambil tindakan menyiasat nama-nama mereka yang dinamakan dalam dapatan RCI forex itu, apa yang harus dilakukan terlebih dahulu oleh polis ialah bertindak terhadap syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC berhubung laporan audit 1MDB sebelum ini.


Kenapa sampai sekarang masih tiada tindakan diambil, termasuk kepada bekas CEO 1MDB, meskipun sudah beberapa bulan masa berlalu?


Selain itu, membentangkan keputusan RCI forex ini para hari terakhir sidang Parlimen juga mempunyai maksud serta muslihatnya yang tersendiri bagi kepentingan Najib, UMNO dan BN.


Jika sebelum ini tanggapan ramai kewujudan RCI itu adalah semata-mata untuk menyerang Tun Mahathir dan Anwar atau lebih tepatnya, Bersatu, PKR serta Pakatan Harapan untuk menghadapi PRU 14, hakikat tersebut menjadi semakin nyata apabila keputusannya dibentangkan hari ini secara mengejut pada hari terakhir sidang Parlimen.


Ia dengan sengaja bermaksud agar ia tidak dibahaskan oleh Ahli-Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, sebaliknya akan menjadi topik perbahasan utama dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 5 hingga 9 Disember depan ini.


Najib ternyata lebih mahu hasil RCI forex itu dibahaskan dalam Perhimpunan UMNO berbanding di Parlimen kerana perhimpunan tahunan itu adalah medan bercakap secara sehala oleh para perwakilan yang diberi tanggunjawab untuk berucap. 


Oleh yang demikian, sudah tentu ia akan menjadi ruang yang lebih memudahkan untuk membelasah Tun Mahathir sambil memberi pujian-pujian melangit kepada Najib yang bertanggungjawab mewujudkan RCI itu. 


Lalu, dalam ghairah membelasah Tun Mahathir yang kononnya menyebabkan kerugian kepada negara sebanyak RM30 bilion, terlupalah sekalian pejuang-pejuang Melayu terhadap skandal 1MDB yang ruginya lebih RM50 bilion, walaupun orang yang terlibat itu ada di depan mata mereka.


Terlupalah juga mereka bahawa dalam skandal 1MDB yang sama, di samping ada yang dalam akaunnya terdapat wang beribu-ribu juta, ada juga yang berhibur dan membeli harta-harta dunia bagai nak gila, membikin filem separa porno dengan wang hadiah katanya serta diberikan emas permata yang nilainya berratus-ratus juta, sebaliknya dalam urusniada tiada sesiapa yang kaya dan ia hanyalah kerugian dalam urusniaga.


Lagi pun, UMNO sekarang sedang ketandusan isu untuk menaikkan semangat ahli-ahlinya bagi menghadapi pilihanraya akan datang. Isu forex ini diharapkan dapat mencapai tujuan itu, di samping menutup kelemahan Najib yang deretan senarainya semakin panjang ketika ini.


Dengan hasil RCI forex dibentangkan pada hari terakhir sidang Parlimen dan hanya lima hari sebelum tibanya Perhimpunan Agung UMNO 2017 serta kemudian dengan pantasnya dibuat laporan polis untuk segera dilakukan siasatan, sempurnalah sudah tujuan dan matlamat RCI forex itu diwujudkan oleh Najib.


Mulai hari ini ia akan terus dijadikan isu sehingga tarikh mengundi serta wajib akan dimasukkan sebagai salah satu bahan kempen UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang. (ShahbudinHusin 30/11/2017)

KENAPA NAJIB PERINTAH ROSMAH MEWAKILINYA DAN BUKAN TPM ATAU MENTERI2 LAIN?


Ada dua perkara yang selalu menjadi perumpamaan atau percontohan dalam dunia pemberitaan atau persuratkhabaran.

Pertama, kalau anjing gigit orang, itu bukan berita namanya tetapi jika orang yang gigit anjing, itulah yang sebenar-benarnya berita.

Pemberita atau wartawan selalu diingatkan agar mencari berita atau menulis laporan yang tinggi nilai beritanya umpama penemuan orang menggigit anjing dan bukannya seperti cerita anjing menggigit orang yang dianggap suatu kebiasaan.

Kedua, kalau sesuatu isu itu selalu sangat dinafikan, bermakna memang ada kebenarannya perkara tersebut.

Sudah banyak contoh perkara yang mulanya dinafikan, tetapi akhirnya terbukti mempunyai kebenaran. 

Paling terbaru dan mudah diingati ialah bagaimana Najib Razak pada mulanya bermati-matian menafikan ada kemasukan wang RM2,600 juta ke dalam akaun peribadinya, tetapi akhirnya beliau sendiri juga yang mengakuinya.
Dalam hal ini, apabila isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor mengatakan Najib yang sebenarnya mengawal beliau dan bukan beliau yang mengawal Najib, ia sebenarnya bukanlah berita besar.

Sebagai suami, memang menjadi kewajipan dan kebiasaan peranannya ialah mengawal isteri, bukan mereka dikawal oleh isteri.

Jadi, apabila Rosmah mengatakan demikian, tiada nilai berita apa-apa pun sebenarnya. Ia sama saja  seperti percontohan anjing menggigit orang saja.

Tetapi, kalau Najib tiba-tiba mengakui beliau dikawal Rosmah atau Rosmah memberitahu beliaulah yang mengawal suaminya itu, maka barulah ia suatu berita yang besar dan menepati perumpamaan seperti orang yang menggigit anjing.

Cerita mengenai Rosmah tidak mengawal atau tidak takut kepada Najib juga bukanlah berita baru sebenarnya. Rosmah sendiri sudah beberapa kali menidak atau menafikan tohmahan itu.

Kenapa selalu sangat Rosmah memberitahu orangramai perkara itu?

Adakah ia menepati tanggapan yang menjadi kebiasaan dalam dunia media di mana semakin kerap sesuatu isu itu dinafikan, bermakna semakin hampir ia kepada kebenaran?

Atau mungkinkah tujuan Rosmah beberapa kali menafikan perkara itu dengan maksud untuk memberitahu sebaliknya?

Tak mustahil kan? 

Rosmah pun kadang-kadang tinggi juga ilmu politiknya!!

Dalam program yang dihadiri Rosmah semalam di mana diberitahunya beliau diperintahkan oleh Najib untuk mewakili Perdana Menteri ke majlis itu kerana suaminya ada mesyuarat penting yang perlu dihadiri, majlisnya ialah Sepetang Bersama Pengusaha Produk Kesihatan dan Kecantikan Buatan Tempatan.
Hairannya mengapa Najib tidak minta Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi atau Menteri Kesihatan, S Subramaniam atau Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mewakilinya?

Jika pada awalnya program itu patutnya dihadiri oleh seorang Perdana Menteri dan beliau tidak dapat menghadirinya, tidakkah ia lebih wajar diwakili oleh pemimpin lain yang ada kedudukan dalam kerajaan juga?

Mengapa mesti Rosmah juga mewakili Najib, meskipun dikatakan isteri kesayangan Perdana Menteri itu tidak sihat dan batuk-batuk?

Sampai begitu sekalikah ciri-ciri seorang suami mengawal isteri yang ada pada diri Najib?

Kesian Kak Ros.....nasib baik Najib lelaki macho!!! (ShahbudinHusin 30/11/2017).

Wednesday 29 November 2017

KENAPA SPRM TAK SIASAT MB JOHOR?


Berikutan SPRM kini membuat laporan polis untuk mengetahui siapa yang membocorkan dokumen keterangan seorang saksi dalam kes rasuah melibatkan bekas Exco Johor, Abdul Latif Bandi yang mengaitkan Menteri Besar Johor, Khaled Nordin dengan dakwaan menerima wang sebanyak RM12 juta, beberapa persoalan lain mula menjadi perbualan ramai.

1 - Apakah Khaled pernah disiasat oleh SPRM berkenaan keterangan saksi tersebut?

2 - Jika pernah disiasat, bilakah ia dilakukan dan apakah hasilnya?

3 - Kenapa tidak pernah dihebahkan kepada media, sedangkan dalam banyak siasatan atau tangkapan yang dilakukan SPRM sebelum ini, agensi itu begitu cenderung menghebahkan atau memberitahu kepada orangramai apa yang mereka lakukan?

4 - Jika Khaled tidak pernah disiasat, mengapa SPRM bertindak demikian dan apakah alasannya sedangkan mengikut amalan biasa, sebarang maklumat atau penemuan baru mengenai sebarang kes rasuah sudah sewajarnya memerlukan penyiasatan oleh agensi itu?

5 - Setelah dokumen itu bocor dan sekiranya Khaled belum pernah disiasat, apakah SPRM akan segera menyiasat beliau dalam waktu terdekat ini?

6 - Jika SPRM tetap tidak mahu melakukan siasatan keatas Khaled, meskipun setelah kebocoran dokumen keterangan saksi menjadi perbualan ramai, apakah pula hujah dan alasan SPRM?

Meskipun mengetahui siapa yang membocorkan keterangan saksi itu penting bagi SPRM, namun menjawab persoalan-persoalan di atas juga sama mustahaknya.

Sama seperti Khaled yang tiada pilihan untuk terus berdiam diri, SPRM pun tiada alasan untuk tidak memberikan jawapan kepada semua persoalan tersebut. (ShahbudinHusin29/11/2017)

KALAU BENAR TIDAK TERLIBAT, KHALED TAK PERLU BERDIAM DIRI TERLALU LAMA

Selain Najib Razak yang terus dibelenggu skandal 1MDB dan kemasukan wang RM2,600 juta ke dalam akaun peribadinya, sekarang ini tumpuan yang juga melibatkan wang berjuta-juta tentunya terarah kepada Menteri Besar Johor, Khaled Nordin. 


Berdasarkan dokumen seorang saksi kes rasuah bekas Exco Johor, Abdul Latif Bandi yang bocor di internet, Khaled didakwa telah menerima sekitar RM12 juta dalam apa yang dipercayai sebagai skandal tanah dan pertukaran  status Bumiputera kepada bukan Bumiputera.


Sebelum itu, isu berkenaan telah pun dibangkitkan oleh Adun Senai, Wong Shu Qi, tetapi beliau akhirnya diarah keluar Dewan, selain dihadapkan kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan DUN Johor.


Memandangkan SPRM melahirkan rasa kesal dengan kebocoran tersebut serta akan membuat laporan polis mengenainya, ia secara langsung menunjukkan dokumen yang bocor itu adalah tulen, asli dan benar.


Sehubungan itu, di sebalik desakan Pakatan Harapan Johor agar beliau memberi penjelasan benar atau tidak pernah menerima wang RM12 juta sebagaimana yang diberi keterangan oleh seorang saksi itu, Khaled sejujurnya tidak perlu menunggu terlalu lama untuk berbuat demikian.


Jika dakwaan saksi itu tidak benar, Khaled mesti tampil dengan penuh keyakinan tidak terlibat atau bersama senaskhah Al-Quran sebagai sumpah kata-katanya adalah penuh kebenaran.

Kemudian, beliau juga boleh menyaman saksi tersebut yang mendakwa pernah memberikan wang kepada Khaled, sama ada dalam bentuk tunai mahupun cek.


Sekiranya Khaled tidak mampu mempertahankan dirinya atas keterangan saksi itu, pilihan yang paling wajar baginya ialah segera meletakkan jawatan dan membiarkan proses undang-undang lain berjalan terhadap dirinya.


Tiada pilihan untuk berdiam diri atau sekadar berkata “tiada komen” mengenai dakwaan yang secara langsung ditujukan kepadanya  itu.


Malah, jika terlalu lama baru berani tampil memberi penjelasan saja pun akan menimbulkan banyak keraguan terhadap intergriti Khaled sebagai ketua kerajaan negeri.


Ini kerana dakwaan menerima wang dalam skandal tanah dan pertukaran status Bumiputera adalah tuduhan yang serius dan merupakan pengkhianatan besar kepada bangsa dan negeri Johor.


Ayuh Khaled, segeralah berterus-terang dan berdiri atas kebenaran sebagai anak bangsa Johor yang benar-benar jantan. (ShahbudinHusin 29/11/2017).

Tuesday 28 November 2017

JIKA JAMAL JADI CALON, PEMIMPIN2 UMNO AMPANG SENDIRI AKAN PASTIKAN KEMENANGAN AZMIN ALI


Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Jamal Md Yunus yang sebelum ini pernah menyatakan tiada keinginan untuk bertanding dalam pilihanraya akan datang, kini nyata sudah berubah fikiran.

Beberapa hari lalu beliau secara terbuka membuka mulut mengenai hasrat mahu bertanding itu, tetapi bukan di kawasannya sendiri, sebaliknya di DUN Bukit Antarabangsa yang sekarang diwakili oleh Menteri Besar Selangor, Azmin Ali.

Jamal dilaporkan ingin bertanding menentang Azmin kerana ianya lebih mencabar, selain mendakwa Timbalan Presiden PKR itu tidak membantu rakyat di DUN Bukit Antarabangsa yang diwakilinya sejak dua penggal lalu.

Sehingga ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Noh Omar nampak bersetuju dan tiada masalah dengan keinginan Jamal itu atas alasan Ketua Gerakan Baju Merah itu sudah banyak terlibat dalam program membantu rakyat di seluruh Selangor.

Bermakna, Jamal kini hanya memerlukan persetujuan Najib Razak saja lagi untuk membolehkan hasratnya bertanding di Bukit Antarabangsa itu benar-benar menjadi kenyataan.

Jika Najib akhirnya tiada masalah mengenainya, maka meloponglah pemimpin-pemimpin UMNO dalam Bahagian Ampang untuk menjadi calon dan terpaksalah mereka memberi laluan kepada orang luar iaitu Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar bertanding di situ.

Berdasarkan Jamal selalu ke depan dalam mempertahankan Najib berbanding pemimpin-pemimpin UMNO Ampang dan semalam pula Perdana Menteri sudi mengunjungi restorannya yang menyediakan makanan percuma di ibu negara, tidak mustahil beliau akan memperolehi apa yang dicita-citakannya itu.

Kiranya ia menjadi kenyataan, Jamal bukan saja akan menjadi lebih popular dan diburu media setiap hari, malah dedak untuk bekalan berkempen juga tentunya tambah berguni-guni lagi keperluannya. 

Maklumlah, nak berlawan dengan Menteri Besar, tentulah modal yang diperlukan juga besar.

Kalah memang dalam tangan buat Jamal berdasarkan kedudukan Azmin sebagai ketua kerajaan negeri, tetapi andainya menang, tentulah akan bertambah-tambah lagi melonjaknya sahamnya.

Lebih-lebih lagi jika BN dapat menawan kembali Selangor dan menumbangkan Pakatan Harapan. Nak dibiarkan Jamal jadi Adun biasa saja memang tak patut kerana yang dikalahkannya ialah ketua kerajaan negeri. 

Silap-silap jawatan Exco kanan menanti sebagai habuan buat Jamal.

Namun demikian, sebelum Jamal benar-benar ingin bertanding di Bukit Antarabangsa, beliau harus menyedari sistem politik UMNO dan perangai pemimpin-pemimpin parti itu yang hampir semuanya begitu taksub untuk bertanding di kawasan sendiri.

Jarang benar pemimpin sesebuah bahagian sedia memberi laluan kepada pemimpin bahagian lain bertanding di kawasan mereka. Bagi pemimpin UMNO, bahagian mereka adalah milik mereka saja.

Yang mereka takuti jika pemimpin luar bertanding dan menang, maka terlepaslah peluang mereka untuk bertanding pada masa depan di kawasan tersebut. Siang malam berjaga dan mengukuhkan kedudukan, pantang sekali jika calon diberikan kepada orang luar kawasan.

Dalam kes Jamal dan Bukit Antarabangsa, berdasarkan hubungannya yang akrab dengan Noh Omar serta Najib mungkin kalah dengan ampu dan bodeknya, memang tidak mustahil beliau akan diberi watikah bertanding di kawasan tersebut.

Tetapi, untuk berlawan Azmin, Jamal bukan saja bakal dicabar oleh jentera PKR dan Pakatan Harapan, tetapi juga terpaksa berdepan dengan sabotaj dan karenah pemimpin-pemimpin UMNO Ampang sendiri yang lebih mahu melihatnya kalah berbanding menang.

Kalau Jamal kalah, terbukalah semula peluang untuk mereka menjadi calon dalam pilihanraya seterusnya, tetapi jika menang, tertutuplah semua peluang itu.

Maka,  pemimpin UMNO bahagian Ampang saja pun sudah cukup untuk mengalahkan Jamal dan memenangkan Azmin. (ShahbudinHusin 28/11/2017)

SERAMAI 447,890 PEMINJAM PTPTN DISEKAT KE LUAR NEGARA, HARUSKAH MEREKA INI MENGUNDI BN?


Menurut apa yang dilaporkan, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Mustafar Ali memberitahu, daripada sejumlah 790,186 orang rakyat Malaysia yang disenarai-hitamkan untuk ke luar negara, lebih separuh daripadanya adalah peminjam PTPTN atau Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara.

Jumlah sebenar peminjam PTPTN yang mengalami sekatan meninggalkan negara itu ialah seramai 447,890 orang.

Mereka dihalang daripada pergi ke luar negara kerana tidak menjelaskan bayaran semula pinjaman yang pernah diperolehi sebelum ini.

Wowww...ramainya dan kenapakah ini berlaku?

Sementara kita mengakui mungkin ada segelintir peminjam PTPTN yang sengaja tidak mahu membayar semula hutang mereka, tetapi realitinya majoriti yang berbuat demikian adalah kerana mereka tiada kemampuan dari segi kewangan.
Sudah tentu ketidakmampuan itu ialah kerana mereka belum mendapat pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan serta tiada lebihan dalam gaji yang diterima setiap bulan.

Sebahagiannya pula ada yang sudah berumahtangga dan mempunyai beberapa anak serta dengan pekerjaan sementara itu mereka juga menolong keluarga atau adik-adik lain yang masih bersekolah.

 Maka, dengan gaji yang tidak sepadan, pekerjaan yang belum sesuai dengan kelulusan dan adanya tanggungan-tanggungan lain, bagaimanakah mereka mahu membayar hutang PTPTN itu?

Adalah sukar untuk mempercayai mereka sengaja tidak mahu membayar hutang PTPTN,  sedangkan sejak awal lagi sudah pun disedari ia perlu dibayar semula bila tiba masanya nanti.

Adakah logik, jika mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang baik, mereka tidak mahu membuat bayaran semula dalam kadar serendah RM50 atau RM100 setiap bulan?

Kiranya mereka belum ada pekerjaan tetap dan pendapatan juga masih tidak stabil, sekatan perjalanan ke luar negara itu adalah suatu penganiayaan dan ketidakadilan kepada mereka.

Dalam hal ini, PTPTN seharusnya hanya mengenakan sekatan ke luar negara kepada peminjamnya yang benar-benar degil tidak mahu menjelaskan hutang saja, bukan kepada mereka yang belum mendapat pekerjaan atau pendapatan yang sesuai dengan kelulusan.

Selain kerana kegagalan kerajaan sendiri menyediakan ruang pekerjaan yang mencukupi serta ketidakmampuan kepimpinan negara yang ada untuk merangsang pertumbuhan ekonomi yang membolehkan iklim perniagaan bertambah sihat dan syarikat-syarikat tumbuh dengan selesa, kesalahan di pihak PTPTN sendiri yang menyebabkan hutang tidak mampu dibayar tidak boleh dinafikan sama.

Terdapat beberapa kes di mana peminjam yang gagal membuat bayaran semula itu adalah daripada kolej dan universiti swasta yang kebergantungan perniagaan mereka adalah kerana adanya pinjaman PTPTN disediakan oleh kerajaan.

Ini menyebabkan, atas alasan kononnya untuk membantu pelajar mendapat ilmu, tetapi sebenarnya lebih untuk menolong kolej dan universiti swasta meneruskan perniagaan, pinjaman PTPTN itu diberikan dengan sedikit kelonggarah serta tolak ansur tertentu.

Dengan yang demikian, sudah tentu mereka yang terbabit terdedah kepada ketidakmampuan membayar hutang, apatah lagi jika kursus yang mereka ambil tidak memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

Kenapa tidak diletakkan peraturan seperti hutang hanya perlu mula dibayar selepas dua atau tiga tahun selepas mereka mendapat pekerjaan tetap dan bersesuaian dengan kelulusan?

Oleh yang demikian, tidakkah sekatan ke luar negara itu suatu kezaliman yang nyata sebenarnya?

Dalam PRU 14 akan datang, sudah tentu sebahagian besar daripada 447,890 orang yang disekat ke luar negara itu adalah pengundi kali pertama dan adakah perlu mereka mengundi BN untuk mengekalkan lagi kuasa kerajaan sedia ada, sedangkan tawaran Pakatan Harapan adalah pendidikan percuma? (ShahbudinHusin 28/11/2017).

Monday 27 November 2017

TETAPI MAHFUZ PULA TERBUKTI LEBIH 'GENTLEMAN' DARIPADA PAS....


Meskipun barangkali hanya bertujuan menyembunyikan kesedihan berikutan tindakan tidak disangka-sangka Ketua Pembangkang Kedah, Amiruddin Hamzah menyertai Bersatu, Pas dengan nada berbeza memuji tindakan beliau itu sebagai "gentleman".


Naib Presiden Pas, Mohd Amar Nik Abdullah berkata, keputusan Amiruddin itu juga adalah sesuatu yang baik untuk Pas.


Kata beliau, dengan berani meninggalkan Pas, Amiruddin terbukti seorang ahli politik yang "gentleman" berbanding Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar.


Tindakan beliau itu lebih baik berbanding mereka yang masih duduk dalam Pas tetapi merosakkan parti, ujar beliau yang jelas difahami ditujukan kepada Mahfuz.


Dalam hal ini, memang benar Amiruddin seorang yang gentleman kerana tidak tiada pemimpin Pas lain yang berjawatan Ketua Pembangkang dan Adun yang sedia membuat keputusan seberani beliau, meskipun disedari perjuangan Pas kini tidak lagi seperti dulu dan sudah banyak tersasar daripada landasan yang sebenar.


Kalau rajin menyelak video-video lama ucapan Hadi Awang dalam youtube misalnya dan membandingkannya ketika bersama Pakatan Rakyat dulu dengan kecenderungannya sekarang, jelas terlihat perbezaannya umpama langit dengan bumi.


Dan ia berbeza dengan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang sentiasa istiqamah dan konsisten dalam perjuangan Islam dan keinginan menegakkan kebenaran sehingga ke akhir hayatnya.


Berdasarkan perjuangan hala tuju Pas yang berubah itu dan keberanian membuat keputusan, Amiruddin sebenarnya juga lebih "gentleman" berbanding Mohd Amar sendiri.


Tetapi, untuk mengatakan Amiruddin lebih "gentleman" berbanding Mahfuz, ia tidak berapa tepat penilaiannya.


Amiruddin dan Mahfuz sebetulnya sama-sama "gentleman", cuma dalam pendekatan yang tidak sama, namun matlamatnya sama.


Mahfuz ternyata berani menyatakan pendiriannya yang berbeza dengan Pas sekarang, bukan saja melalui ucapan, kenyataan-kenyataan media, malah juga menerusi undi yang ditunjukkannya secara terbuka di dalam Parlimen.


Jika Pas betul-betul "gentleman" dan merasakan Mahfuz merosakkan parti, kenapa tidak berani mengambil tindakan terhadapnya?


Kalau pun takut nak memecatnya, takkan mengutus surat amaran atau memberi teguran tiada secebis keberanian juga?


Di mana "gentleman" Pas dalam hal ini, hanya berani menceceh di luar saja mengenai Mahfuz yang didakwa merosakkan parti, tetapi tetap takut untuk bertindak terhadapnya?


Antara Mahfuz dan Pas, siapa yang paling tidak "gentleman"? (ShahbudinHusin 27/11/2017)

JANGAN MARAH, SEBENARNYA MEMANG WAJAR JASA DIBAYAR LEBIH TINGGI BERBANDING GAJI MENTERI


Ketua Pembangkang, Dr. Wan Azizah Wan Ismail mempersoalkan bagaimana Ketua Pengarah JASA mendapat gaji yang lebih tinggi berbanding apa yang dibayar kepada seorang menteri.

Berdasarkan rekod, Dr. Puad Zarkashi yang mengetuai agensi propaganda kerajaan itu memperolehi gaji bulanan sehingga maksima sebanyak RM20,592 berbanding Salleh Said Keruak, Menteri Komunikasi dan Multimedia yang menaungi JASA hanya mendapat gaji RM14,907 setiap bulan.

Selain itu, Dr. Wan Azizah juga mempersoalkan peruntukan RM12.8 juta wang rakyat setahun untuk membayar gaji 272 kakitangan JASA.

"Apa rasional membayar emolumen sebanyak RM12.8 juta kepada JASA yang peranannya hanya sebagai juru bicara UMNO dan BN?

"Apa pula kewajarannya membayar gaji Ketua Pengarah JASA melebihi gaji menteri sendiri?" soal Dr. Wan Azizah lagi.
Sekali imbas memang nampak ada benarnya apa yang dibangkitkan oleh Dr. Wan Azizah itu, lebih-lebih lagi jika dilihat tiada apa-apa sumbangan dan mengarut saja peranan JASA selama ini.

Hujah-hujah yang JASA gunakan, baik dalam mempertahankan Najib atau kerajaan pula, kadang-kadang hanya setaraf mainan budak-budak baru pegang gajet saja layaknya. Kosong dan mentah.

Dalam isu 1MDB dan wang RM2,600 juta yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib misalnya, hujah-hujah yang dilontarkan JASA untuk mempertahankan perkara tersebut langsung tak boleh pakai dan hanya menjadi bahan ketawa ramai saja.

Bahkan, buku nipis yang pernah JASA terbitkan untuk menjawab isu-isu 1MDB dengan sendirinya "terkantoi" berikutan banyak perkembangan yang berlaku selepas itu amat berbeza yang hujah-hujah yang dilontarkan.

Pemain media sosial pro kerajaan yang lebih senior pun selalu memperlekeh dan memandang rendah apa yang dihujahkan oleh JASA selama ini. Tiada sesiapa yang mahu menyebar dan menggunapakai pemikiran JASA itu.

Kalau ada pun, sesekali portal-portal tertentu mengutip idea JASA berhubung isu-isu tertentu, ia tidak lebih hanyalah untuk menunjukkan ketidakcerdikan dan tahap pemikiran mereka yang bermutu rendah itu kepada umum.

Najib, Zahid Hamidi dan menteri-menteri lain juga tidak pernah menggunakan hujah atau ulasan JASA berhubung sesuatu isu sebagai rujukan mereka.

Jadi, untuk apa gaji tinggi dan wang berjuta-juta diberikan kepada JASA itu?

Sebenarnya untuk mencipta pembohongan, mereka-reka hujah imaginasi yang melampau dan kemudian mementaskannya dengan gemerlapan seolah-olah kebenaran bukanlah suatu kerja yang mudah. 

Tidak semua orang mampu melakukannya. Dalam UMNO sekarang, barangkali hanya Dr. Puad dan geng-gengnya saja yang sanggup melakukan perkara itu.

Dan untuk menjayakannya sudah tentulah memerlukan modal yang besar dan bossnya pula perlu diberikan gaji yang lebih tinggi berbanding menteri-menteri.

Walaupun hujah dan pemikiran JASA tidak pernah diguna oleh sesiapa, malah kerapnya hanya menjadi bahan ketawa, hakikatnya memang itulah tujuan Dr. Puad dan gengnya dilantik dan dibayar gaji.

Ia macam menjemput pelawak untuk membuatkan orang terhibur dan ketawa, sudah tentu perlu modal yang tinggi sedangkan hasilnya hanyalah untuk hiburan dan melupakan tekanan semata-mata.

Itulah sebenarnya peranan JASA.  Janganlah marah mereka dibayar gaji yang tinggi dan diperuntukan berjuta-juta setiap tahun.  

Selagi Najib selalu stress dan perlukan hiburan, selagi itulah Dr. Puad dan JASA akan selamat di kedudukan mereka. (ShahbudinHusin 27/11/2017)

Sunday 26 November 2017

INSYA ALLAH, ADA SYURGA MENANTI BUAT KETUA PEMBANGKANG KEDAH


Sekalung dan setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Ketua Pembangkang Kedah dan Adun Anak Bukit daripada Pas, Amiruddin Hamzah yang telah membuat keputusan paling berani dengan meninggalkan Pas untuk menyertai Bersatu.


Jika beliau keluar Pas lalu menyertai Amanah, ia barangkali tidaklah terlalu menghairankan kerana Amanah adalah pecahan daripada Pas.


Begitu juga jika beliau menyertai PKR atau DAP, ia juga bukanlah mengejutkan sangat memandangkan kedua-dua parti itu pernah bersama dengan Pas dalam Pakatan Rakyat sebelum ini.


Tetapi, tindakan beliau menyertai Bersatu, sebuah parti yang berasal daripada UMNO, nyata membuka lembaran baru dalam pemikitan dan perkembangan politik negara menjelang pilihanraya akan datang.


Ia dengan sendirinya bukan saja menggambarkan adanya keyakinan terhadap masa depan Bersatu, bahkan melalui parti itu terlihat adanya jalan menuju syurga menerusi perjuangan menumbangkan UMNO dan BN bersama-sama Pakatan Harapan yang dianggap sebagai amar makruf nahi mungkar paling besar ketika ini.

Amiruddin sendiri mengakui keputusannya memilih Bersatu adalah kerana ingin bersama-sama dalam perjuangan menumbangkan UMNO dan BN setelah mendapati semakin mustahil untuk melihat Pas dapat bekerjasama dengan Pakatan Harapan.


Katanya, dalam berhadapan PRU 14, mood rakyat secara keseluruhannya adalah untuk menukar kerajaan, baik di peringkat Pusat mahupun negeri dan beliau tidak mahu terpisah daripada arus tersebut.


Lihat...inilah pejuang amar makruf nahi mungkar yang tulen dan sebenar-benarnya. Ketika bersama Pas, parti itu selalu mendendangkan irama lagu bahawa perjuangan mereka adalah amar makruf nahi mungkar, menentang kezaliman dan memberi keyakinan bahawa pasti ada syurga di hujung perjuangan.


Tetapi, sejak kebelakangan ini, entah disampuk hantu mana, perjuangan Pas semakin tidak keruan dan berubah-ubah haluan.


Sekejap mahu sendirian, sekejap yang lain mahu jadi penasihat kerajaan, kemudian mahu jadi "king maker", selepas itu berubah lagi dengan keyakinan mampu menubuhkan kerajaan, walau kerusi yang ditandingi hanya 100 saja dan terbaru ini nampaknya seronok jadi berkecuali pula.


Dulu juga Pas mengatakan perjuangan mereka adalah hudud, kemudian berubah menjadi negara kebajikan, alih-alih sekarang ini sudah berpuas hati dengan Akta 355 saja, walaupun ia menjadi sejarah dunia sebagai satu-satunya usul yang hanya dibaca, kemudian ditangguh beberapa kali dan tidak mungkin dibahas sampai bila-bila.


Jika asyik  berubah dalam hala perjuangan dan tidak pernah konsisten, di mana syurga yang konon dikejar selama ini?


Lantaran itu, keputusan Amiruddin meninggalkan Pas dan menyertai Bersatu untuk bersama-sama dengan Pakatan Harapan bagi menumbangkan UMNO dan BN adalah pilihan yang tepat bagi dirinya.


Insya Allah, inilah pilihan yang menjanjikan syurga sebagai balasannya setelah Pas yang dijadikan wadahnya sebelum ini sudah jauh melencong ke jalan lain yang entah ke mana halanya, manakala Amiruddin memperlihatkan konsistennya terhadap perjuangan amar makruf nahi mungkar sejak dulu, kini dan selamanya.


Pilihan Amiruddin ini juga seharusnya diikuti sama oleh lebih ramai pemimpin dan ahli Pas yang lain jika benar mereka mahu menjadikan pahala dan syurga kekal sebagai idaman dalam perjuangan. (ShahbudinHusin 26/11/2017)

MUNGKINKAH PEMBATALAN BERSATU AKAN JADI HADIAH KEPADA PERHIMPUNAN UMNO?


Ruang bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau Bersatu untuk terus hidup dan bernafas dengan selesa nampaknya semakin sukar dan tidak mustahil berdepan hukuman dibatalkan pendaftarannya.


Meskipun minggu lalu ketika Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin bersama rombongannya bertemu dengan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran atau RoS, Surayati Ibrahim dan dilaporkan jabatan itu memberi jaminan untuk membantu menyelesaikan beberapa isu yang mereka hadapi, segala-galanya kini seperti sudah berubah.


Panas yang diharap sampai ke petang, sebaliknya awan mendung sudah pun menjelma di waktu tengahari. 


Berdasarkan perkembangan terbaru, Bersatu kini harus lebih bersedia menerima hakikat pendaftarannya akan dibatalkan oleh RoS.

Dalam kenyataan terbarunya, Surayati berkata, beberapa cadangan pengeculian yang dikemukakan oleh Bersatu kepada jabatan itu disifatkan tidak pernah berlaku sebelum ini serta bertentangan dengan Akta Pertubuhan 1966.


Sehubungan itu, beliau telah merujuk perkara itu kepada penasihat undang-undang di Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan kepastian.


Menurut Ketua Pengarah RoS itu lagi,  adalah dijangka maklumbalas daripada Jabatan Peguam Negara itu akan diperolehinya dalam tempoh seminggu daripada sekarang.


Tempoh seminggu daripada sekarang itu adalah sekitar tarikh 2 atau 3 Disember depan.


Adakah jika setelah RoS mendapat kepastian daripada penasihat undang-undang Jabatan Peguam Negara bahawa Bersatu didapati melanggar beberapa peraturan dan pengecualian yang dipohon tidak dapat ditunaikan, awal Disember itu merupakan tarikh pengumuman parti yang dipengerusikan Tun Mahathir Mohamad akan dibatalkan pendaftarannya?


Apa mustahaknya Bersatu dibatalkan pada tarikh tersebut?


Perhimpunan Agung UMNO tahun ini akan diadakan bermula 5 hingga 9 Disember dan kiranya pembatalan pendaftaran Bersatu diumumkan sehari dua sebelum ini, bermakna keputusan RoS itu adalah hadiah paling berharga bagi perhimpunan kali ini.


Sudah tentu pengumuman batalnya pendaftaran Bersatu itu nanti akan disambut secara meriah oleh perwakilan yang berhimpun, dijadikan bahan dalam ucapan perbahasan serta penggulungan dan turut disertai seruan agar ahli-ahli Bersatu kembali semula kepada UMNO demi perpaduan Melayu.


Tidak mustahil dalam merayu mereka kembali demi perpaduan Melayu itu, Najib dalam ucapannya akan menangis teresak-esak konon memikirkan nasib bangsa yang berpecah.


Akhirnya, Perhimpunan Agung UMNO tahun ini hanya dipenuhi gegak-gempita mengenai batalnya pendaftaran Bersatu yang dianggap hadiah paling bernilai sebelum tibanya PRU 14 yang secara kebetulan juga UMNO tiada isu menarik untuk mencetuskan kebangkitkan sokongan kepadanya yang kian merudum hari demi hari.


Lalu, lupalah semua orang kepada isu 1MDB, GST, beban kos sara hidup, kenaikan harga minyak, pembaziran, penyelewengan, duit negara hilang kerana disamun, kes-kes rasuah yang bertimbun dan macam-macam lagi masalah yang melanda negara sejak dipimpin oleh Najib.


Apakah ini hanya spekulasi  atau benar-benar akan menjadi realiti? (ShahbudinHusin 26/11/2017)

Saturday 25 November 2017

TENGKU ADNAN CIPTA SATU LAGI SEJARAH UNTUK UMNO



Rasanya ini pertama kali kita pernah dengar ada orang mendapat hidayah untuk berubah disebabkan oleh UMNO, sebuah parti politik yang dulunya digelar Pas sebagai taghut dan assabiyah.

Tetapi, tanpa kita sangka, rupa-rupanya Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor yang dahulunya suka berfoya-foya telah berubah kehidupannya semata-mata kerana UMNO.

“Dahulu, saya hidup berfoya-foya sana-sini, kapal terbang sendiri ada, kapal layar ada, semua ada. Nak makan di mana? Hong Kong? Singapura?

“Tapi Allah sayang saya. Pada akhir 1998, saya teringat dipanggil jadi Setiausaha Kerja UMNO. Saya beritahu Presiden UMNO ketika itu yang saya mahu berkhidmat selama enam bulan saja, kemudian akan kembali ke dunia korporat.

"Tetapi dari November 1998 hinggalah hari ini, saya jadi begini (terlibat aktif dalam UMNO)," katanya ketika berucap di sebuah program.

Alhamdulillah...bukan saja Ku Nan yang berubah, tetapi ini juga merupakan suatu sejarah baru bagi UMNO.

Tidak cukup dengan perjuangan untuk Melayu, nampaknya UMNO juga adalah wadah untuk seseorang kembali ke pangkal jalan.

Agaknya, kalau tidak kerana mendekati UMNO, apa jadi kepada Ku Nan hari ini?

Apakah beliau masih seronok berfoya-foya sehingga sekarang?

Siapakah Presiden UMNO pada tahun 1998 yang memainkan peranan membawa Ku Nan kembali ke pangkal jalan?

Namun, apakah UMNO hanya boleh merubah seseorang daripada kehidupan yang berfoya-foya saja?

Bagaimana dengan perompak, pencuri dan penyamun?

Bolehkah mereka juga berubah dan mendapat hidayah melalui UMNO? (ShahbudinHusin 25/11/2017)

MESKI JIKA PENDAFTARAN BERSATU DIBATALKAN, UMNO BELUM TENTU BOLEH MENANG PRU AKAN DATANG


Ketika era kepimpinan Tun Mahathir Mohamad, dua parti serpihan UMNO telah ditubuhkan iaitu Semangat 46 dan Parti Keadilan Rakyat.


Tetapi, adakah ketika itu kita pernah mendengar Pendaftar Pertubuhan atau RoS berperangai pelik-pelik, termasuk mengadakan sidang akhbar untuk mengancam pembubaran kedua-dua parti itu?


Semangat 46 dan PKR waktu itu bukan saja tidak menghadapi banyak masalah ketika proses pendaftarannya, tetapi juga tidak dihalang untuk bertanding dalam pilihanraya dan menggunakan logo masing-masing.


Malangnya, ketika sebuah lagi parti serpihan UMNO iaitu Bersatu diwujudkan, RoS bukan saja terlihat pelik perangainya berbanding kebiasaan masa lalu, bahkan lagaknya seolah-olah anggota komponen baru kepada BN.


Meskipun, penubuhan parti itu diberikan kelulusan oleh RoS, tetapi logo asalnya telah diarahkan dipinda dan singkatan Bersatu tidak dibenarkan untuk digunakan.


Yang dibenarkan hanyalah penggunaan perkataan PPBM, namun kebanyakan media, laman sosial serta orang awam tetap lebih selesa menggunakan sebutan Bersatu, bukan saja kerana ia mudah, malahan juga menepati perjuangan parti itu untuk menyatupadukan orang-orang Melayu dan rakyat seluruhnya bagi menyelamatkan negara ini daripada tangan-tangan rakus, haloba dan kleptokrat yang di kenali di seluruh dunia.


Kemudian, baru lebih kurang setahun selepas ditubuhkan serta semakin menampakkan ciri-ciri mampu menjadi kerajaan menggantikan UMNO dan BN, RoS mulalah buat hal dengan mempertikaikan secara terbuka beberapa isu dan mengancam akan dibatalkan pendaftarannya melalui sebuah sidang media.


Adakah demikian watak yang sesuai bagi sebuah jabatan kerajaan terhadap pelanggannya?


Kenapa tidak RoS mengutus surat saja secara diam-diam saja atau memanggil pengurusan Bersatu bagi menjelaskan semua isu yang mereka bangkitkan itu?


RoS perlu sedar mereka hanyalah jabatan kerajaan yang menjalankan kerja atas peruntukan duit rakyat dan bukannya seperti ahli politik yang perlukan publisiti sepanjang masa. Buat kerja diam-diam sudahlah.


Adakah jika Bersatu dibatalkan pendaftarannya akan memudahkan  lagi UMNO memenangi pilihanraya?


Tidak kira sama ada jika RoS berbuat demikian kerana pertimbangannya sendiri bagi menunjukkan sokongan  dan kesetiaan kepada Najib atau ada arahan tertentu untuk berbuat begitu, mengancam pembatalan, apalagi membatalkan pendaftaran Bersatu tidak akan menjadikan sokongan kepada UMNO menjadi bertambah baik.


Lihat saja ketika ini, sejak keluarnya ancaman RoS itu, adakah penerimaan rakyat kepada UMNO bertambah baik?


Isu bagi rakyat, di kampung atau di bandar, orang tua atau muda, kaya atau miskin, malah boleh dikata sesiapa saja, adalah perubahan dan tiada lagi kepercayaan kepada UMNO dan BN.


Adanya Najib yang penuh masalah memimpin UMNO dan BN, lebih merangsang dan membuatkan rakyat tambah ghairah serta tidak sabar menjulang perubahan sebagaimana yang sudah berlaku di kebanyakan negara lain di dunia ini.


Meskipun Salleh Said Keruak mengatakan perubahan kerajaan belum tentu memberi kebaikan dan tidak menjamin penurunan harga barang, tetapi Menteri Komunikasi dan Multimedia itu barangkali lupa bahawa perkara pertama yang akan menggembirakan rakyat apabila berlakunya perubahan ialah tiada lagi kelibat Najib, Rosmah dan menteri-menteri tak berapa cerdik seperti yang ada sekarang.


Apabila tiada Najib, tiada Rosmah dan tiada menteri-menteri tidak cerdik mengurus negara, itu saja pun sudah cukup memberi kegembiraan dan kepuasan kepada rakyat.


Di tambah lagi dengan janji 100 hari yang antaranya, GST dihapuskan, harga petrol distabilkan, 1MDB disiasat melalui Suruhanyara Diraja dan MO1 ditangkap, kegembiraan rakyat tentu saja umpama seseorang yang pulih secara tiba-tiba daripada derita bertahun-tahun akibat serangan angin ahmar.


Oleh yang demikian, Bersatu sebenarnya hanyalah salah satu platform kepada perubahan itu. Tiada Bersatu tidak sesekali akan menyebabkan arus perubahan terhenti atau berduyun-duyun orang kembali kepada UMNO dan berebut-rebut mahu mencium tangan Najib dan Rosmah.


Angin perubahan adalah sesuatu yang tidak mungkin terhenti. Malahan sesuatu tindakan terhadap Bersatu lebih menyebabkan rasa simpati dan membuak-buaknya keinginan menjadikan perubahan yang  cuba dihalang itu benar-benar menjadi kenyataan.


Lagi pula, jika Bersatu dibatalkan pendaftarannya, calon-calon parti itu boleh saja bertanding menggunakan logo PKR, DAP atau Amanah dalam pilihanraya nanti.


Memberi penerangan dan penjelasan mengenainya bukan lagi susah sekarang ini memandangkan seperti kata Zahid Hamidi sendiri, blok pro pembangkang sudah pun mengusai 93.4 peratus media sosial dan dunia internet sekarang ini.


Selepas pilihanraya dan dapat menubuhkan kerajaan, Bersatu boleh  menguruskan semula proses pendaftarannya dan mereka yang menang atas tiket pinjaman PKR, DAP atau Amanah tadi juga tiada masalah lagi untuk kembali kepada parti itu.


Ketika itu, sudah tentu semuanya beres belaka kerana bukan saja Malaysia, bahkan Kementerian Negeri dan RoS pun sudah jadi  kepunyaan kita. (ShahbudinHusin 25/11/2017)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...