Sunday, 3 June 2012
Ketua UMNO Bahagian Bakal Jadi Kuasa Ketiga?
Walaupun kedua-dua pihak iaitu BN dan PR masing-masing menaruh keyakinan untuk mencapai kemenangan dalam pilihanraya umum akan datang ini, hakikatnya kemenangan yang mungkin dicapai adalah kemenangan yang tipis sahaja. Dengan pelbagai isu dan pergolakan yang berlaku dalam kedua-dua gabungan itu menyebabkan kedudukan sokongan rakyat juga sering berubah-ubah. Sekejap UMNO dan BN dilihat berada diatas tetapi di masa yang lain mereka pula ke bawah dan PR pula berada diatas.
Rating Najib dan Anwar, pengemudi BN dan PR juga sering turun naik serta tidak menentu dan ini pastinya membawa pengaruh juga kepada sokongan rakyat.
Kajian terbaru yang dibuat memperlihatkan PR hanya mampu memenangi sejumlah 104 kerusi Parlimen sahaja. Sebelum itu, terdapat juga kajian bahawa kerusi Parlimen yang mungkin selamat bagi BN ialah antara 90 hingga 105 kerusi. Tetapi ramalan banyak pihak ialah kerusi yang selesa untuk dimenangi sama ada oleh BN atau PR ialah sekitar 100 kerusi sahaja.
Dengan mengambil kira jumlah kerusi Parlimen ialah sebanyak 222 kerusi dan kemenangan mudah untuk membentuk kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya kemenangan 112 kerusi, ini bermakna dengan BN dan PR secara puratanya hanya mampu memperolehi sekitar 100 hingga 105 kerusi, kemunculan kuasa ketiga adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan.
Kiranya masing-masing BN dan PR hanya mampu memenangi sejumlah kerusi sebagaimana yang disebutkan itu dan terdapat pihak lain yang menang kerusi selebihnya, kedudukan Parlimen tergantung akan berlaku di mana tiada mana-mana pihak yang boleh menubuhkan kerajaan kecuali setelah memperolehi sokongan daripada pihak ketiga terlebih dahulu dan menjadikan jumlah kerusi terkumpul menjadi sekurang-kurangnya 112 atau lebih.
Soalnya siapakah pihak ketiga yang akan muncul dalam politik Malaysia buat kali pertama ini?
Para peringkat awal dulu, Perkasa pernah diramalkan akan muncul sebagai kuasa ketiga berikutan keaktifannya memperjuangkan isu-isu Melayu sementara UMNO yang dipimpin Najib lebih suka berlembut dan bertoleransi dengan isu-isu melibatkan kepentingan Melayu. Harapan yang tinggi juga diletakkan kepada Perkasa kerana kesediaannya menyingsing lengan menentang kumpulan yang mempertikaikan hak istimewa Melayu termasuk MCA dan MIC. Namun semakin lama kedudukan Perkasa sebagai kuasa ketiga semakin tenggelam berikutan NGO itu dilihat lebih gemar mengampu Najib dan UMNO semata-mata. Perkasa lebih terghairah dengan kuasa yang ada pada Najib dan UMNO.
Malahan Presidennnya, Ibrahim Ali sendiri dikhabarkan akan bertanding sebagai calon Bebas yang disokong oleh UMNO di Pasir Mas.
Kemudian apabila Dr Hassan Ali dipecat daripada Pas dan menubuhkan NGO Jati, beliau juga diramalkan mampu muncul sebagai kuasa ketiga jika meletakkan calon-calon Melayu bertanding di kerusi Parlimen yang majoritinya Melayu tetapi calon BN terdiri daripada bukan Melayu.
Namun Jati juga akhirnya terkulai daripada peranan yang diharapkan itu. Ini kerana Jati dilihat lebih gemar menyerang Pas dan dalam masa yang sama membela UMNO. Malah laporan terbaru hampir mengesahkan bahawa Dr Hassan Ali lebih diperlukan oleh UMNO dan mungkin diletakkan sebagai calonnya di Parlimen Gombak, Selangor untuk berhadapan dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.
Dalam masa yang sama, pergolakan politik yang berlaku di Sabah dan Sarawak dengan kemunculan beberapa parti kecil serta tindakan beberapa pihak menanggalkan sokongan kepada kerajaan negeri yang sedang memerintah kedua-dua negeri itu, kebarangkalian kuasa ketiga ini adalah daripada Sabah dan Sarawak nampaknya lebih mudah diterima logik akal.
Politik di Sabah memang diketahui sejak dulu sering berubah-ubah dan tindakan mengalih sokongan adalah perkara biasa. Rakyatnya lebih mudah terpengaruh dengan isu serta kemunculan parti baru sebagaimana yang pernah tergambar melalui sejarah tumbangnya Usno, Berjaya dan PBS sebelum ini.
Di Sarawak pula angin perubahan sudah melanda sejak pilihanraya umum negeri tahun 2010 dulu di samping pengundi kawasan bandar yang memang memperlihatkan sokongan kepada pembangkang. Jika angin perubahan ini kekal sehingga hari ini di samping wujudnya pelbagai isu berkaitan Ketua Menterinya Taib Mahmud, adalah dijangkakan jumlah kerusi yang mampu direbut oleh pembangkang dan lain-lain parti mungkin melebihi jangkaan.
Sejak sekian lama juga, politik Sarawak telah menyaksikan beberapa calon Bebas mampu mencapai kemenangan bersandarkan kekuatan peribadi dan hubungan yang mesra dengan masyarakat.
Jika ini terus berlaku, piliharaya kali ini akan menyaksikan beberapa kerusi di Sawarak akan dimenangi sama ada oleh calon Bebas ataupun calon daripada parti yang tidak terikat dengan BN atau PR.
Bagi UMNO dan BN pula, masalah yang akan timbul ialah apabila berlaku pertembungan di antara keinginan Ketua-Ketua UMNO Bahagian untuk terus bertanding dan bertakhta di singgahsana kuasa dengan transformasi politik yang cuba diterapkan oleh Najib iaitu meletakkan calon-calon baru yang dianggap "winnable" untuk menang di sesuatu kawasan itu. Calon-calon "winnable" ini terdiri daripada pemimpin muda dan profesional yang tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti tetapi boleh diterima oleh pengundi.
Masalahnya tidak semua calon baru ini dapat diterima dengan baik oleh UMNO dan pimpinan bahagian.
Halangan Najib untuk melaksanakan transformasi politik kali ini ialah sebahagiannya daripada Ketua-ketua UMNO Bahagian dan pimpinan UMNO bahagian yang mungkin tidak bersedia digugurkan sebagai calon. Di Sabah misalnya, sudah kedengaran beberapa Ketua UMNO Bahagian yang popular dan dianggap sebagai "raja" di sesebuah kawasan tetapi sudah menduduki kerusi Parlimen selama beberapa penggal, akan bertanding sebagai calon Bebas jika tidak dipilih sebagai calon kali ini.
Sama ada mereka bertanding sebagai calon Bebas atau dilamar oleh parti-parti lain, berdasarkan populartiti yang dimiliki, harapan mereka untuk menang adalah cerah. Jika bilangan mereka yang digugurkan ini ramai jumlahnya, tidak mustahil mereka mampu mencetuskan gelombang baru yang boleh menggugat kedudukan UMNO dan BN.
Seperti di Sabah, di Semenanjung juga sudah kedengaran kemungkinan beberapa Ketua UMNO Bahagian dan lain-lain pimpinan kanan UMNO yang akan bertanding sebagai calon Bebas jika kali ini nama mereka digugurkan atau tidak dipilih sebagai calon.
Di Johor, Selangor dan beberapa negeri di utara di mana dikhabarkan Najib akan meletakkan ramai calon-calon baru yang dianggap "winnable" dan meminggirkan pimpinan UMNO Bahagian, perkhabaran bahawa mereka akan muncul sebagai calon Bebas semakin kuat kedengaran sejak akhir-akhir ini. Bagi mereka dalam suasana politik yang bergolak dan kedudukan adalah 50-50 antara BN dan PR, percubaan mempertaruhkan nasib sebagai calon Bebas tidaklah terlalu merugikan, malah mungkin mendatangkan laba yang berpanjangan.
Oleh itu, beberapa kemungkinan boleh berlaku dalam pilihanraya umum kali ini. Sementara kuasa ketiga diramal banyak pihak datangnya dari Sabah dan Sarawak yang akan menentukan pihak mana mampu membentuk kerajaan selepas pilihanraya nanti, kemungkinan lain ialah munculnya Ketua dan pimpinan UMNO Bahagian yang bertanding calon Bebas, juga sebagai kuasa ketiga.
Berdasarkan realiti di atas kertas, jika benar kuasa ketiga ini mampu muncul sebagai kuasa penentu, harapan Najib untuk memujuk mereka menyokong BN pastinya melalui jalan yang sukar atau setidak-tidaknya melibatkan kos yang mahal. (SH 03/06/2012).
Thursday, 31 May 2012
Dari Nasionalisme Melayu, UMNO Kini Jadi Parti Seks dan Samseng
Hala tuju UMNO sering menjadi perbualan dan perbincangan ramai sejak akhir-akhir ini. Ini kerana hari demi hari, UMNO dilihat semakin tergelincir daripada landasan perjuangannya yang sebenar. Dari sebuah parti yang berasaskan nasionalisme Melayu, kemudian menuntut kemerdekaan dan mengisi kemerdekaan dengan perjuangan membela orang Melayu, UMNO kini seakan-akan melupakan asas perjuangannya sendiri.
Ucapan pemimpin di majlis perjumpaan, mesyuarat cawangan, bahagian, pusat, ceramah menjelang pilihanraya mahupun sembang-sembang biasa, penekanan kepada perlunya UMNO dikekalkan kuasanya berasaskan sejarah perjuangan untuk terus membela orang-orang Melayu, semakin perlahan kedengaran nadanya. Malahan kepada generasi muda yang baru mengenali UMNO, hampir tidak ada penekanan supaya mereka lebih memahami susur galur perjuangan UMNO itu sendiri.
Dalam proses untuk memenangi pilihanraya ini, UMNO nampaknya lebih ghairah untuk menjadikan topik seks sebagai sandaran utamanya. Yang dikecam ialah pihak lawan yang dikaitkan dengan pelbagai tuduhan dan dakwaan salah laku seks yang kadangkala sukar dibezakan antara fakta dan auta.
Dalam mesyuarat cawangan yang sedang berlangsung sekarang, ramai pemimpin mengambil kesempatan menggunakan pentas yang ada untuk menyerang peribadi lawan berkaitan seks semata-mata. Asas dan matlamat perjuangan UMNO tidak lagi diutamakan. Tiada lagi pemimpin yang bercakap soal kepentingan Melayu, waima dakam mesyuarat cawangan sekali pun.
Malahan dalam beberapa majlis UMNO termasuk ucapan di Perhimpunan Agung UMNO, Najib dan lain-lain pimpinan UMNO juga sering menjadikan isu serangan peribadi lawan sebagai tajuk utama.
Dalam kempen dan majlis ceramah pula, UMNO lebih ghairah untuk menjemput NGO Tibai yang diketuai oleh Zahid Mohd Arip, Ezam Mohd Nor dan Umi Hafilda untuk membicarakan soal seks yang dikaitkan dengan Anwar Ibrahim. Sesiapa saja yang sanggup menjual suaranya untuk membicarakan soal seks Anwar, pasti akan dijemput memberi ucapan oleh UMNO. Datuk Nalla juga khabarnya kerap dijemput oleh UMNO.
Jika mendengar ceramah Umi Hafilda, beliau bukan saja membicarakan soal seks secara terbuka dengan membuat pelbagai tuduhan terhadap Anwar, Azmin dan kakak iparnya Shamsidar Taharin, malahan beliau beliau juga menjerit-jerit di atas pentas sambil mengeluarkan kata-kata lucah dan jijik seperti meroyannya seorang seorang wanita yang dimadukan tanpa rela atau ditinggalkan suami.
Walaupun sering tampil bertudung macam sopan bak wanita Melayu terakhir, tetapi mendengar ucapan Umi Hafilda yang hanya dipenuhi isi-isi seks dan lucah sambil menjerit-jerit sepanjang ceramahnya setiap malam sekarang ini, tidak dapat tidak menyebabkan UMNO dilihat mula menjadikan beliau sebagai primadona kempen untuk memenangi pilihanraya. Tanpa bantuan Umi Hafilda seolah-olah Najib akan kalah, sebab itu UMNO sanggup membayarnya untuk berceramah ke merata tempat setiap malam.
Dengan UMNO semakin ghairah menjemput NGO Tibai, Umi Hafilda, Ezam, Datuk Nalla dan lain-lainnya untuk mengupas isu seks yang dikaitkan dengan Anwar mengadakan ceramah ke seluruh negara, jelas menunjukkan UMNO tidak lagi mempercayai teras perjuangannya selama ini untuk memenangi pilihanraya. Politik pembangunan, membela rakyat dan hasrat memberikan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat tidak lagi menjadi tajuk utama kempen, sebaliknya isu seks dan lucah pula mengambil tempatnya.
UMNO semata-mata meminta kuasanya dikekalkan dalam pilihanraya ini kerana kononnya pihak lawan mempunyai perangai seks yang digambarkan sehodoh-hodohnya walaupun hakikatnya Anwar dan Pakatan Rakyat sering tampil dengan pelbagai tawaran yang menarik hati seperti penurunan harga minyak, kajian semua tarif letrik, kerajaan yang telus, pendidikan percuma dan penghapusan hutang PTPTN serta pelbagai lagi.
Sebaliknya UMNO sekarang ini tidak ada tawaran yang dikemukakan untuk rakyat sebagaimana yang biasa dilakukan dalam kempen-kempen piliharaya sebelum ini. Tiada lagi janji jambatan, jalanraya, sekolah, bangunan dan sebagainya.
Selain menggunakan isu seks dan lucah sebagai modal kempen kali ini, UMNO juga menjadikan budaya samseng sebagai sandaran keduanya bagi tujuan menakut-nakutkan rakyat dan mengganggu ceramah Pakatan Rakyat. Budaya ini bukan saya diaktifkan melalui peranan yang dimainkan oleh Pemuda UMNO tetapi juga dengan bantuan beberapa NGO seperti Perkasa, Pekida dan sebagainya.
Sejak akhir-akhir ini juga, bagaikan sudah menjadi trend UMNO untuk mengganggu ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat dengan mereka turut mengadakan ceramah di lokasi berhampiran dan kemudian memulakan gangguan dengan jeritan serta nyanyian. Memang jelas tujuannya ialah untuk mengganggu kerana pembesar suara sengaja dihalakan ke arah ceramah pihak lawan.
Dalam beberapa kejadian seperti di Melaka, Pahang dan Lembah Pantai baru-baru ini, niat sengaja mengganggu dan mahu meimbulkan huru-hara amat jelas. Kenapa UMNO perlu mengadakan ceramah di lokasi berdekatan dengan ceramah Pakatan Rakyat dan dikerumuni pula oleh pemuda-pemuda samseng yang turut menjerit-jerit serta membawa pelbagai poster yang bernada provokasi?
Lebih menghairankan bila kemudiannya berlaku kejadian merosakkan kenderaan, memancitkan tayar kereta dan membaling batu serta telur sebagaimana yang berlaku di Melaka dan Lembah Pantai. Apa sudah jadi dengan UMNO, sudah begitu terdesakkah untuk menghalang kebangkitan rakyat?
Jika kita mengaku sebagai manusia yang bertamadun dan menerima demokrasi sebagai asas kehidupan di negara ini, proses mempertahankan kuasa ataupun merebut kuasa seharusnya dilakukan dengan beradab serta bersopan. Ciri-ciri keganasan seharusnya diketepikan sama-sekali dan biarlah kebebasan sepenuhnya diberikan kepada rakyat untuk membuat pilihan.
Jika diimblas sejarah masa lalu UMNO, dulu juga terdapat Pemuda Tahan Lasak dan Pemuda Gerak Gempur yang tujuannya untuk mempertahankan parti ketika pilihanraya. Tetapi mereka ini tidak bertindak samseng atau keterlaluan, sebaliknya hanya bertujuan menunjuk kekuatan dan sebagai persiapan jika berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. Tidak pernah Pemuda Tahan Lasak atau Pemuda Gerak Gempur terlibat dalam kejadian merosakkan kereta, memecahkan cermin, membaling batu atau telur kepada sesiapa.
Ramai pemimpin UMNO sekarang yang pernah menjadi pemimpin Pemuda suatu ketika dahulu, turut tidak memahami bagaimana UMNO sekarang begitu terdesak menyerap ciri-ciri samseng ke dalam perjuangannya sedangkan langkah itu belum tentu mendatangkan hasil yang diharapkan.
Dengan dua budaya baru iaitu seks dan samseng yang giat diserap ke dalam UMNO menjalang PRU 13 sekarang ini dan peranan sebagai parti nasionalisme Melayu semakin dipinggirkan walaupun kedudukan orang-orang Melayu secara umumnya masih terhimpit serta ketinggalan, hala tuju UMNO jelas semakin kabur untuk tahun-tahun mendatang. UMNO hanya memikirkan untuk mempertahankan kuasa, bukan sangat untuk membela Melayu. (SH 31/05/2012)
Tuesday, 29 May 2012
Najib Ketepi Pemimpin UMNO, Ezam Bakal MB Selangor?
Selain mahu mempertahankan Putrajaya, Najib juga ghairah untuk merampas Selangor daripada Pakatan Rakyat. Antara sebab kenapa Selangor menjadi sasaran sudah tentulah kerana negeri itu merupakan negeri yang paling kaya dalam Malaysia. Keghairahan Najib mahu menawan Selangor bukan saja disandarkan kepada kesediaannya menjadi Pengerusi UMNO Selangor tetapi juga melalui kekerapannya turun ke negeri itu.
Walaupun berasal dari Pahang tetapi Najib dilihat lebih kerap turun dan mencurahkan wang yang banyak untuk Selangor berbanding negeri kelahirannya sendiri. Berjaya mempertahankan Putrajaya dan menawan Selangor sekaligus adalah impian politik Najib dalam pilihanraya umum ini.
Tetapi sebagaimana kata bekas Presiden MCA, Tun Ling Liong Sik, cabaran Najib untuk menawan Selangor ialah imej kerajaan dan pimpinan negeri itu yang diketuai oleh Khalid Ibrahim yang dilihat mempunyai imej lebih baik, bersih dan telus berbanding UMNO dan BN.
Dalam masa yang sama imej UMNO Selangor tetap tidak menunjukkan peningkatan kerana wajah-wajah pemimpin yang ada adalah wajah yang langsung tidak meyakinkan rakyat seperti Noh Omar atau Zin Mohamed dan lain-lain Ketua UMNO Bahagian. Wajah pemimpin muda dan pelapis yang membanggakan langsung tidak ada dalam barisan kepimpinan UMNO Selangor sekarang ini.
Bercakap soal kualiti kepimpinan di Selangor, bukan saja Ling Liong Sik tetapi sebahagian besar penduduk Selangor sendiri tidak yakin UMNO mampu merampas kembali negeri itu jika bersandarkan wajah pemimpin yang sedia ada. Bahkan ramai pula yang tidak mahu memberikan UMNO kemenangan jika wajah-wajah yang ada ini dikekalkan.
Dalam soal pemilihan calon pilihanraya di Selangor, Najib sendiri memahami keadaan itu. Meletakkan calon-calon dari kalangan pemimpin UMNO semata-mata mungkin akan menyebabkan kekalahan diketahui lebih awal lagi. Mahu tidak mahu, Najib terpaksa meletakkan calon yang dianggap "winnable" dan bukan dari kalangan kepimpinan UMNO Bahagian bagi merealisasikan hasratnya menawan negeri itu.
Bagi Najib mengetepikan sebahagian besar pemimpin UMNO dan menggantikannya dengan calon "winnable" adalah jalan terbaik untuk mencapai kemenangan serta lebih mudah untuk meyakinkan pengundi, terutama pengundi muda dan atas pagar. Lagi pula dalam setiap kali kunjungan Najib ke Selangor, beliau sering menekankan faktor "winnable" dan ikrar daripada pemimpin UMNO bahagian-bahagian bahawa mereka akan akur dengan sesiapa saja calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan juga sudah pun diperolehi.
Malahan Tun Mahathir sendiri dalam perjumpaannya dengan jentera BN Selangor turut menekankan betapa pentingnya mengutamakan parti melebihi kepentingan peribadi. Kata Mahathir, kemenangan UMNO lebih penting dari kemenangan peribadi.
Saranan Najib dan Mahathir itu pada asasnya adalah bagi memudahkan calon-calon yang bermasalah atau mereka yang memegang jawatan dalam UMNO tetapi tidak diyakini boleh menang, untuk diketepikan. Dari segi politiknya, Najib sudah ada kebebasan untuk memilih calon tanpa terikat dengan kehendak UMNO Bahagian-bahagian.
Oleh itu, difahamkan lebih daripada 50 peratus calon pilihan Najib untuk mewakili UMNO di Selangor dalam piliharaya akan datang ini bukan terdiri daripada kepimpinan UNMNO Bahagian. Sebahagian mereka yang dipilih ialah kalangan pemimpin NGO, tokoh motivasi, tokoh pengguna dan kalangan profesional yang terdiri daripada arkitek, jurutera, akauntan dan pegawai bank. Bagi kalangan profesional yang dipilih, mereka ini tidak memegang jawatan yang penting dalam UMNO tetapi disenangi di kalangan penduduk tempatan manakala bagi pemimpin NGO pula pemilihan mereka lebih kepada kekerapan muncul di dada-dada media yang pada Najib menunjukkan kesungguhan mereka membantu perjuangan politiknya.
Calon Menteri Besar pilihan Najib ialah Ezam Mohd Nor yang kini merupakan seorang Senator dan penasihat Tibai, sebuah NGO yang berperanan menghentam Anwar berkaitan isu-isu seks dan moral. Beliau difahamkan akan diletakkan bertanding di DUN Sri Muda untuk berhadapan dengan Ketua Penerangan PKR Selangor, Suhaimi Shafie.
FD Iskandar, Bendahari UMNO Selangor dan Rozali Ismail, pemilik Puncak Niaga yang sebelum ini turut disebut-sebut sebagai bakal Menteri Besar jika UMNO kembali berkuasa, didapati tiada dalam senarai calon pilihanraya. Calon tunggal Menteri Besar hanyalah Ezam Mohd Nor.
Turut dicadangkan untuk dipilih sebagai calon di Selangor ialah beberapa tokoh NGO seperti Pengerusi Gerakan Anti Penyelewengan Selangor atau GAPS, Hamidzun Khairuddin, tokoh pengguna Dr Maamor Othman, tokoh motivasi Fadzillah Kamsah, Pengerusi Jati, Dr Hassan Ali, bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin dan beberapa lagi daripada kalangan profesional yang sedang berkhidmat dengan sektor swasta.
Hamidzun difahamkan akan diletakkan bertanding di Dun Sementa, Dr Maamor di Ampang dan Fadzillah Kamsah dijangka diletakkan di DUN Bukit Antarabangsa untuk menentang Azmin Ali.
Bagi Dr Hassan Ali dan Zulkifli Nordin pula, kedua-dua mereka akan melalui ranjau "kamikaze" dalam piihanraya kali ini kerana Najib lebih berminat untuk meletakkan kedua-duanya bertanding di peringkat Parlimen dengan Hassan Ali dijangka diletakkan di Gombak untuk berhadapan dengan Azmin Ali manakala Zulkifli Nordin pula di Shah Alam untuk menentang Khalid Samad.
Daripada sudut yang lain, Najib nampaknya benar-benar mahu membuatkan Azmin Ali begitu sibuk dan menghadapi cabaran paing sengit kali ini. Jika Azmin bertanding di Gombak, musuhnya ialah Hassan Ali manakala jika bertanding di DUN Bukit Antarabangsa pula, cabarannya ialah Dr Fadzillah Kamsah.
Bersandarkan kepada asas "winnable" juga, calon daripada kalangan pemegang jawatan dalam UMNO hanya akan dipilih sekiranya mereka itu benar-benar boleh membawa kemenangan dan bersih daripada sebarang masalah, selebihnya kouta itu akan dipilih daripada kalangan AJK Bahagian atau pun golongan profesional yang diketahui mirip kepada UMNO.
Bagi Noh Omar dan Zin Mohamed pula, walaupun mereka tidak begitu disenangi oleh ramai penduduk Selangor tetapi berasaskan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi UMNO Selangor dan Penyelaras BN Selangor serta hubungan akrab dengan Najib, kedua-duanya dijangka akan dikekalkan untuk bertanding di kerusi Parlimen sedia ada iaitu di Tanjung Karang dan Sepang.
Persoalan yang menarik untuk dilihat ialah sama ada tindakan Najib mengetepikan sebahagian besar pemimpin UMNO ini akan menyebabkan berlakunya sabotaj ketika pilihanraya atau sebaliknya. Jika berlaku sabotaj oleh mereka yang tidak terpilih itu, harapan Najib untuk mencapai kemenangan pasti menjadi bertambah sukar. Kiranya sabotaj dapat dielakkan dan pemimpin UMNO yang tidak terpilih itu dapat memberikan kerjasama sepenuhnya, UMNO dan BN mungkin mampu memberi cabaran sengit kepada Pakatan Rakyat.
Apakah UMNO Selangor sedia menerima Ezam menjadi Menteri Besar? Mahukah mereka melihat kalangan yang pernah rapat dengan Anwar dan kini berdiri atas pelbagai NGO dan hanya bermodalkan isu-isu seks dan moral yang dikaitkan dengan Anwar tetapi tidak memegang apa-apa jawatan dalam UMNO, mengambil alih pula kedudukan sebagai Yang Berhormat.
Apakah juga pemimpin UMNO Selangor sentiasa patuh dan berpegang kepada ikrar yang mereka lafazkan kepada Najib bahawa mereka akan akur sesiapa saja calon yang dipilih?
Tetapi mengenali kebanyakan yang bergelar pemimpin dalam UMNO yang hanya mengutamakan kepentingan peribadi melebihi segala-galanya, formula Najib di Selangor ini mungkin membawa kekalahan yang lebih parah lagi. (SH 28/05/2012)
Friday, 25 May 2012
Setpol Najib Tersungkur Di Kaki MCA!!
Di antara pegawai Najib yang paling ghairah untuk menjadi calon pilihanraya ialah Shafie Abdullah yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju di Wilayah Persekutuan. Beliau juga adalah Pengerusi BN Wangsa Maju dan Ketua Penerangan UMNO WP.
Sejak bertanding merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju pada 2008 lagi, antara umpan kempen yang sering digunakannya ialah beliau boleh "berbisik" dengan Najib supaya mengembalikan kerusi Parlimen Wangsa Maju daripada MCA kepada UMNO.
Atas kedudukannya sebagai Setiausaha Politik Najib di Kementerian Kewangan dan gembar-gembur tentang hubungannya yang rapat dengan Perdana Menteri, umpan yang digunakan itu memang mudah menambat hati ahli dan perwakilan UMNO. Ia kemudian diperkukuhkan lagi apabila tidak lama selepas memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian, beliau juga berjaya meyakinkan pucuk pimpinan agar memberikannya pula jawatan Pengerusi BN Wangsa Maju yang sebelum ini dipegang oleh Yew Tiong Look daripada MCA.
Namun perkembangan dalam politik semasa sekarang ini memperlihatkan bahawa Najib tidak akan menukar ketetapan kouta antara parti-parti dalam komponen BN yang telah dipersetujui sebelum ini. Ini bermakna, sekurang-kurangnya dalam konteks WP, pembahagian kouta adalah kekal sepertimana dalam pilihanraya 2008 lalu.
UMNO akan terus bertanding di Putrajaya, Setiawangsa, Titiwangsa dan Lembah Pantai sahaja sementara lain-lain kerusi akan ditandingi oleh MCA dan Gerakan. Najib dipercayai tidak mahu menanggung risiko perpecahan di kalangan komponen BN dan kehilangan sokongan bukan Melayu pula jika beliau bertindak menukarnya dalam suasana sekarang.
Ini bermakna harapan UMNO dan Shafie Abdullah untuk melihat kerusi Wangsa Maju dikembalikan kepada UMNO tidak akan kesampaian dalam PRU ke 13 ini.
Tersungkurnya harapan Setiausaha Politik Najib untuk bertanding di Wangsa Maju diperkuatkan lagi bilamana MCA akan menganjurkan jamuan makan tengahari besar-besaran bersama NGO-NGO dan persatuan penduduk seluruh Wangsa Maju pada Ahad, 27 Mei ini di Kampung Pengantin, Jalan Genting Kelang yang akan turut dihadiri oleh semua pucuk pimpinan MCA termasuk Dr Chua Soi Lek dan mereka yang memegang menteri, timbalan menteri dan sebagainya.
Di majlis itu nanti, semua pemimpin atasan MCA akan diselerakkan untuk duduk dan bergaul dengan pemimpin-pemimpin masyarakat pelbagai kaum yang terdapat di Wangsa Maju.
Keberanian MCA mengadakan majlis jamuan yang dijangka dihadiri oleh lebih 1,000 orang itu dan kesediaan semua pimpinan kanan MCA turun ke Wangsa Maju adalah indikator jelas bahawa kerusi MCA akan terus kekal ditandingi oleh MCA dalam pilihanraya akan datang ini.
Tetapi jika indikator itu belum memadai, pada 29 Mei ini pula Najib sendiri akan turun ke Wangsa Maju dalam satu majlis di Kolej Tunku Abdul Rahman atau TAR Kolej yang merupakan IPTS milik MCA. Ini bermakna sekali lagi sebahagian besar pemimpin kanan MCA akan berada di Wangsa Maju.
Dua majlis yang diatur oleh MCA dalam tempoh seminggu itu termasuk kesediaan Najib sendiri turun bersama MCA adalah petanda yang cukup jelas bahawa Shafie akan terus "menggigit jari" untuk menjadi calon piliharaya di Wangsa Maju, bahkan beliau akan terpaksa bekerja kuat memastikan kemenangan calon MCA demi maruah UMNO dan Najib walaupun mengambil sikap yang keras dan bermusuh dengan pemimpin MCA Wangsa Maju sebelum ini.
Calon MCA dalam pilihanraya 2008 ialah Yew Tiong Look tetapi beliau kalah dengan 150 undi kepada calon PKR, Wee Choo Keong. Bagaimanapun Wee kini telah meninggalkan PKR dan menjadi calon Bebas yang menyokong BN serta kepimpinan Najib.
Dengan gagalnya misi "berbisik" kepada Najib untuk memperolehi kerusi Wangsa Maju, Shafie dijangka tidak mudah patah semangat dan akan mencuba "berbisik" buat kali kedua untuk membolehkannya bertanding sama ada di Parlimen Setiawangsa mahupun di Titiwangsa pula.
Kerusi Setiawangsa paling menjadi idaman beliau kerana kawasan itu adalah sebahagian daripada Parlimen Wangsa Maju sebelum berlakunya pecahan kawasan pada 2004, selain terdapatnya puluhan ribu undi pos di situ yang lebih memudahkannya untuk memperolehi kemenangan.
Shafie juga turut mengintai untuk bertanding di Titiwangsa bagi mengulangi sejarah tahun 2004 di mana Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju ketika itu, Astaman Abdul Aziz telah dipayungterjunkan untuk bertanding di Titiwangsa menggantikan Drs Suleiman Mohamad.
Jika misi "berbisik" dengan Najib kali kedua itu juga menemui kegagalan, beliau mungkin terus "berbisik" buat kali ketiga pula tetapi kali ini mungkin dengan memperlahankan sedikit nada suara bisikannya iaitu dengan meminta dilantik sebagai Senator pula.
Sekurang-kurangnya dapat juga bergelar Yang Berhormat!! (SH 25/05/2012).
Wednesday, 23 May 2012
Lagi Ditangguh Tarikh Pilihanraya, Lagi Senget UMNO/BN
Najib dijangka pulang dari luar negara dalam sehari dua ini. Dalam masa yang sama tarikh pilihanraya umum masih menjadi misteri. Semua orang berdebar-debar menunggu dan tidak sabar untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Tidak seperti piliharaya sebelum ini, keghairahan kali ini dianggap luar biasa kerana lebih ramai pengundi mahu menterjemahkan sokongan dan pendirian mereka ke dalam kotak undi.
Dalam waktu yang terdekat ini, tarikh yang mungkin munasabah untuk Najib mengadakan pilihanraya ialah dalam bulan Julai iaitu sebelum umat Islam menyambut Ramadan pada 21 Julai ataupun selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri iaitu sekitar bulan September. Pilihanraya tidak mungkin diadakan antara Oktober dan Disember kerana ketika itu musim haji, cuti sekolah, adanya pembentangan Bajet 2013 dan mungkin musim banjir.
Jika Najib tidak mengadakan pilihanraya di kedua-dua tarikh itu, kemungkinan pilihanraya akan dianjak terus kepada tahun hadapan. Tempoh berakhirnya penggal Parlimen ialah April 2013.
Keputusan bila tarikh sebenar pilihanraya adalah ditangan Najib. Beliau mungkin sedang menimbang dan memikirkan suasana yang sesuai sekarang ini.
Sementara itu, lagi lama Najib menangguhkan tarikh pilihanraya, suasana politik negara ternyata menjadi semakin panas dan membara. Banyak isu dan keadaan yang berlaku akhir-akhir ini nampaknya tidak memihak kepada UMNO dan BN. Makin lama ditangguh, kerajaan dan parti yang sedang dipimpin oleh Najib nampaknya makin senget dari segi persepsi rakyat.
Pelbagai isu yang timbul ternyata tidak memihak kepada UMNO dan BN. Perhimpunan Bersih 3.0 jelas menunjukkan kebangkitan rakyat yang amat nyata, walaupun Rais Yatim cuba meyakinkan Najib bahawa beliau sudah membilang menggunakan jari tangan dan kakinya bahawa yang hadir di perhimpunan itu hanya tepat seramai 22,270 orang sahaja.
Belum pun reda suara kebangkitan itu diperkatakan dan dikaitkan dengan tindakan polis yang dianggap ganas dan tiada tolerasi terhadap rakyat, persepsi rakyat terhadap kerajaan diburukkan lagi dengan tindakan membawa Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan Chegu Bard ke mahkamah atas dakwaan melanggar undang-undang ketika perhimpunan tersebut.
Bagi kebanyakan orang, amat jelas bahawa tindakan mahkamah itu bermotifkan politik kerana jika benar kerajaan mahu bertindak berlandaskan undang-undang, pihak yang sepatutnya di diseret ke mahkamah terlebih dahulu ialah Jawatankuasa Bersih 3.0 yang diketuai secara bersama oleh A Samad Said dan S Ambiga serta pemimpin 84 NGO yang bergabung menganjurkan perhimpunan itu.
Marina Mahathir sebagai salah seorang pendokong Perhimpunan Bersih 3.0 juga patut dibawa ke muka pengadilan, jika benar undang-undang dan keadilan mahu ditegakkan.
Namun, dengan tindakan hanya menyeret Anwar, Azmin dan Chegu Bard tetapi dalam masa yang sama membiarkan NGO-NGO "mati pucuk" melakukan tindakan biadap dan tidak matang di depan rumah Ambiga, membuktikan bahawa niat politik melebihi nawaitu lainnya. Anwar dan orang-orang kanannya sedang cuba disekat kemaraannya, dan mungkin cuba dinafikan untuk bertanding dalam pilihanraya melalui tindakan undang-undang tetapi penganjur sebenar Perhimpunan Bersih 3.0 pula cuba dimalukan semahu-mahunya.
Kalau pun bersungguh mahu mengambil tindakan terhadap orang politik, tindakan undang-undang tidak pula dikenakan terhadap pemimpin PAS dan DAP yag turut sama berhimpun bersama Anwar pada 28 April itu. Najib ternyata sangat fobia dengan nama Anwar dan seolah-olah cuba merantai kaki Ketua Pembangkang itu.
Tetapi dengan kesediaan bekas Peguamcara Negara, Datuk Yusof Zainal Abidin yang menjadi ketua pasukan pendakwa dalam kes liwat Anwar untuk menjadi peguambela Anwar pula dalam kes terbaru ini menjadikan persepsi rakyat terhadap kerajaan jatuh merudum jadinya. Kesediaan beliau untuk menjadi peguambela Anwar menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena di Jabatan Peguam Negara dan dalam kerajaan yang sedang dipimpin Najib sekarang.
Walaupun Datuk Yusof mengatakan beliau bertindak profesional tetapi rakyat lebih mudah memahami bahawa penyertaan beliau dalam pasukan peguambela Anwar menunjukkan kepincangan yang tidak dapat disembunyikan lagi dalam kerajaan sekarang, apatah lagi kes melanggar undang-undang dalam perhimpunan aman yang sedang dihadapi oleh Anwar, Azman dan Chegu Bard ini hanyalah kes kecil dan tidak mungkin melibatkan bayaran yang mahal.
Bolehkah kita membayangkan jika Datuk Yusof yang dulunya mengetuai pasukan pendakwa dalam kes liwat Anwar, turut juga menjadi peguambela bersama Karpal Singh dalam kes rayuan liwat nanti?
Selain itu, jika benar juga dakwaan yang timbul bahawa Datuk Yusof juga akan menyertai PAS pada 1hb Jun nanti, pastinya persepsi orangramai terhadap UMNO dan kerajaan menjadi bertamabh parah. Jika ini dikaitkan dengan penyertaan Datuk Fauzi Shaari, bekas Pengarah Siasatan Jenayah PDRM ke dalam PAS beberapa hari lalu dan Datuk Ramli Yusuf, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM yang turut dikaitkan dengan PAS dan dikatakan akan bertanding sebagai calon PAS dalam pilihanraya umum akan datang, bala yang lebih besar pastinya sedang menanti di hujung terowong UMNO dan BN.
Dalam masa yang sama, UMNO dan BN juga sudah terbeban dengan banyak isu sedia ada seperti lembu NFC, skandal Shafie Afdal, perbicaraan kes rasuah kapal selam Scorpene di Perancis, pelupusan hutang Tajuddin Ramli sebanyak RM589 juta, pebagai isu rasuah, penyelewengan serta pembaziran yang sebahagiannya melibatkan Najib, UMNO dan para pemimpinnya.
Dengan pelbagai isu yang muncul satu demi satu sekarang ini, hakikatnya lagi lama ditangguh tarikh pilihanraya, lagi banyak isu yang membebankan UMNO dan BN akan muncul. Dan tidak dapat dinafikan, dari segi isu dan persepsi rakyat, semuanya lebih memihak kepada Anwar dan Pakatan Rakyat.
Jika diambil kira debat antara Khairy dengan Rafizi yang berlangsung semalam yang dikonklusikan bukan sangat siapa menang antara kedua-dua pemimpin muda itu tetapi lebih kepada mahu melihat "kejantanan" Najib sebagai Perdana Menteri dengan majoritinya mahukan beliau sedia menyahut cabaran untuk berdebat dengan Anwar Ibrahim untuk episod debat seterusnya sebagaimana yang dicadangkan oleh moderator debat itu, kedudukan Najib sekali lagi diamcam oleh persepsi awam yang buruk.
Jika beliau terus berdiam diri dan kekal dengan pendirian enggan berdebat, persepsi rakyat yang sedia tidak memihak itu mungkin menjadikan kotak undi BN menjadi tambah berkurangan dalam pilihanraya nanti. (SH 23/05/2012)
Monday, 21 May 2012
Seorang Lagi Menteri UMNO Kantoi Akibat Nafsu Serakah
Selepas isu Naib Presiden UMNO, Shafie Afdal yang hubungannya dengan artis Zahida Rafik terdedah kepada pengetahuan umum dan dipercayai sudah berkahwin di luar negara, seorang lagi menteri UMNO turut 'terkantoi' baru-baru ini kerana menyembunyikan perkahwinan dengan isteri keduanya sejak lebih setahun yang lalu.
Menteri terbabit dipercayai sudah melangsngkan perkahwinan kali kedua tanpa pengetahuan isteri pertamanya di luar negara dan selama ini berjaya menyimpan rahsia itu kerana beliau diatakan tidak menunjukkan unsur-unsur yang mencurigakan, termasuk sentiasa bermalam di rumah setiap malam kecuali jika ada tugasan di luar kawasan.
Bagaimanapun isterinya yang dikatakan sudah mendengar 'bisik-bisik burung' bahawa suaminya telah menikah lagi satu sejak beberapa bulan lalu, tidak terus mempercayainya sebaliknya telah mengupah seorang penyiasat persendirian untuk mengintip gerak-gerinya suaminya itu.
Hasil daripada pengintipan dan bukti-bukti yang diperolehi melalui hasil kerja penyiasat persendirian itu akhirnya mengesahkan bahawa menteri terbabit bukan saja didapati sudah berkahwin lagi, bahkan dikatakan sudah memperolehi seorang anak hasil perkahwinan keduanya itu.
Isteri keduanya yang dipercayai dinikahi di luar negara itu adalah bekas seorang model dan tidaklah terlalu popular dan glamour seperti Zahida Rafik yang dikaitkan dengan Shafie Afdal.
Oleh kerana perkahwinan yang cuba disembunyikan itu sudah terkantoi, kini hubungan menteri terbabit dengan isteri pertamanya berada dalam 'zon perang dingin' dan menteri berkenaan juga didapati sudah kurang muncul di dada-dada media sama ada bercakap tentang isu politik mahupun melibatkan tugasan kementeriannya.
Malahan jika diperhatikan wajah terbarunya yang sesekali muncul di akhbar dan tv, kelihatan raut wajahnya tidak lagi ceria, sedikit susut dan bagaikan sudah hilang aura sebagai seorang pemimpin yang diharapkan untuk masa depan UMNO.
Tindakan menteri terbabit berkahwin lagi dan menambah bilangan isteri sebenarnya tidak menimbulkan apa-apa masalah kerana beliau memang berkemampuan tetapi sebagai seorang menteri dan anggota pentadbiran kerajaan sepatutnya menghormati undang-undang syariah Malaysia yang menetapkan bahawa mana-mana lelaki yang ingin menikah lagi harus mendapat kebenaran daripada isteri pertama terlebih dahulu.
Adalah amat jelek dan menimbulkan kecacatan kredibiliti bahawa seorang menteri pun sanggup melanggar undang-undang hanya kerana gagal mengawal nafsu sendiri.
Selain itu, tindakan menteri terbabit berkahwin lain juga menimbulkan persepsi tidak baik kepada masyarakat dan seolah-olah mengesahkan kebenaran tanggapan umum selama ini bahawa antara hobi pemimpin UMNO dan kerajaan bila disaluti kuasa dan kemewahan ialah menambah bilangan isteri, dan bukannya melipatgandakan perkhidmatan kepada rakyat.
Dengan beberapa orang menteri UMNO yang sebelum ini turut diketahui mempunyai lebih daripada seorang isteri dan mempunyai pelbagai hubungan terlarang walaupun diketahui 'tidak sekacak mana', terbongkarnya rahsia seorang lagi menteri ini pastinya menambah-burukkan imej UMNO di mata umum.
Itu belum didedahkan lagi bagaimana kemewahan yang dilimpahkan kepada isteri barunya itu dan ia akhirnya akan meleret pula kepada bagaimana sumber-sumber kemewahan itu diperolehi sebagaimana yang terjadi kepada Shafie Afdal.
Jika itu terbongkar nanti, UMNO dan kerajaan juga yang menanggung bebannya. Harapan kemenangan UMNO dan BN secara keseluruhannya pasti akan terjejas dalam PRU 13 ini kerana perlakuan sebegini adalah bukti bahawa pemimpin-pemimpin UMNO tidak mahu berubah walaupun kuasa yang dipegang kini sudah berada di tepian gaung.
Sebagaimana kata-kata seorang bekas menteri, " orang lelaki yang bekahwin lebih dari satu tidak boleh dipercayai cakapnya kerana mereka akan berbohong sepanjang masa".
Kalau isteri dan keluarga pun boleh dibohongi, rakyat apatah lagi!! (SH21/05/2012)
Friday, 18 May 2012
PRU 13 Peluang Terbaik Untuk Perubahan
Ramai rakyat dan pengundi begitu ghairah dakam pilihanraya kali ini ialah semata-mata untuk melihat berlakunya perubahan dalam politik negara. Rakyat yang menyokong Pakatan Rakyat tentunya ingin menumbangkan UMNO dan BN dan menggantikannya dengan kerajaan baru yang diyakini lebih baik, lebih telus, lebih menjaga rakyat dan sebagainya.
Bagi mereka, era pemerintahan BN selama lebih 50 tahun harus ditamatkan kerana terlalu banyak sisi gelap yang muncul satu demi satu yang melibatkan pemimpin UMNO dan kerajaan. Pemimpin yang dianggap tidak ikhlas dan tidak amanah itu telah menyebabkan negara semakin hari semakin nazak dibuatnya. Bukan saja kos hidup makin meningkat, peluang pekerjaan kian terhad, hutang negara bertambah sehingga mencecah 54 peratus daripada KDNK negara, malahan imej negara di persada antarabangsa juga kian suram.
Beberapa isu skandal dan penyelewengan yang muncul membuatkan rakyat bertambah muak dengan kerajaan pimpinan Najib sekarang ini. Laungan perubahan tidak membawa erti sama-sekali kerana ia dilihat tidak disertai dengan iltizam yang tinggi untuk berubah. Isu-isu yang melibatkan nepotisme dan kronisme terus juga berlaku dan menjadi bualan rakyat.
Bukan saja menteri dan pemimpin negeri serta bahagian yang tidak mahu berubah dengan terus mengabaikan rakyat, gemar mempamerkan kekayaan, bergaya mewah serta membazir malahan Najib sendiri dilihat cakap tak serupa bikin. Sementara beliau menekankan konsep wasatiyah atau kesederhanaan, Najib juga dilihat gagal mengawal dirinya, isteri dan keluarganya untuk bersederhana dalam kehidupan. Pembaziran dan berbelanja mewah terutama dalam menghias diri, kediaman dan mengadakan jamuan terus juga berlaku. Episod Rosmah berbelanja mewah di luar negara pula bagaikan telenovela yang tiada penghujungnya.
Ini menyebabkab rakyat melihat pemimpin UMNO sebenarnya tidak mahu berubah. Laungan untuk berubah hanyalah umpan untuk memancing undi dan sokongan. Rakyat akhirnya berpendapat, hanya rebah saja ubat yang mujarab untuk UMNO berubah.
Mereka lebih bimbang, jika UMNO dan BN terus diberikan kuasa, lebih banyak cerita skandal dan penyelewengan yang akan terbentang di depan mata mereka. Mungkin berpuluh skandal mirip NFC atau separuh daripada menteri yang berskandal dengan artis akan menjadi kebiasaan akhirnya. Mungkin juga semua menteri akan mengagih-agihkan projek kerajaan untuk anak dan kaum keluarga sahaja.
Rakyat juga tidak mahu lagi melihat menteri yang lemah dan lebih banyak memberi amaran daripada bertindak. Mereka juga tidak mahu menteri hanya diam membatu dan seolah-olah patung bernyawa terhadap segala permasalahan rakyat. Lebih dari itu, rakyat juga sudah jelak dengan menteri yang terlalu retorik dan hanya tahu mengampu tetapi keprihatinan terhadap rakyat tetap ditahap sifar.
Ditambah pula dengan kedudukan pembangkang yang kian mantap dan kejayaan Anwar menyatukan PKR, PAS dan DAP sebagai Pakatan Rakyat yang dilihat mampu menjadi alternatif kepada kerajaan sedia ada, ia membuatkan harapan rakyat ke arah perubahan semakin membuak dan berkobar-kobar.
Dengan kedudukan PR yang begitu mantap, sementara UMNO dan BN pula kian lemah serta disaluti dengan pelbagai masalah dari demi hari, PRU 13 dilihat adalah peluang terbaik untuk melakukan perubahan. Jika peluang ini terlepas, ia mungkin tidak muncul lagi. Oleh itu, peluang yang ada ini harus digunakan sebaik mungkin.
Jika rakyat yang menyokong pembangkang lebih mahukan kerajaan baru mentadbir negara ini selepas pilihanraya akan datang, lain pula halnya dengan sebahagian besar pengundi atas pagar dan ahli UMNO. Sebahagian mereka dilihat masih mahukan UMNO dan meyakini BN tetapi tidak gembira dengan cara pentadbiran Najib bersama sebahagian besar menteri-menteri yang ada sekarang.
Dengan Najib yang dilihat terlalu lemah dan gagal dalam banyak perkara, mereka ini hanya mahu Najib ditukar selepas pilihanraya ini. Mereka juga tidak gembira dengan menteri-menteri yang dilihat rapat dengan Najib tetapi gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan berkesan.
Hakikatnya, pilihanraya akan datang ini akan menyaksikan pertembungan kepada perubahan dalam dua aspek. Satu pihak mahukan UMNO dan BN ditumbangkan manakala satu pihak lagi hanya mahukan Najib dan beberapa menteri yang tidak berkesan digulingkan.
Namun yang jelasnya perubahan pasti akan berlaku dalam PRU 13 ini. (SH 18/05/2012).
Subscribe to:
Posts (Atom)