Friday, 16 November 2018

RASUAH MELIBATKAN SURI RUMAH SEPATUTNYA MEMBUATKAN NAJIB MALU PADA DIRINYA SENDIRI


Pertuduhan meminta rasuah yang dikenakan terhadap isteri bekas Perdana Menteri, Rosmah Mansor semalam sepatutnya memberi kesedaran kepada kita semua tentang bagaimana buruk dan teruknya gejala itu di negara ini ketika era pemerintahan suaminya, Najib Razak sebelum ini.


Dalam pendakwaan di mahkamah semalam, Rosmah didakwa meminta rasuah hampir RM200 juta bagi pembekalan projek solar untuk sekolah-sekolah di Sarawak. 


Jumlah yang diminta itu adalah bersamaan dengan 15 peratus daripada harga projek yang bernilai RM1.25 bilion.


Turut didakwa bersama Rosmah ialah bekas pegawai khasnya, Rizal Mansor yang dikatakan sebagai “orang suruhannya” bagi urusan mengutip wang daripada syarikat yang diberikan kontrak solar tersebut.


Pendakwaan terhadap Rosmah semalam adalah yang kedua dihadapinya setakat ini di mana sebelum ini beliau sudah dikenakan dengan 17 pertuduhan berkaitan penggubahan wang haram dan kesalahan gagal menyediakan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.


Betapa teruk dan buruknya gejala rasuah berdasarkan pertuduhan terbaru terhadap Rosmah semalam boleh disimpulkan seperti berikut:-

  • Rosmah sebelum ini kerapkali mengaku beliau hanyalah seorang suri rumah yang tidak terlibat dalam sebarang kegiatan berhubung jawatan yang disandang oleh suaminya. Jadi, bagaimanakah, beliau sebagai seorang suri rumah boleh ada urusan perniagaan melibatkan ratusan juta ringgit dengan sebuah syarikat di Sarawak dengan menggunakan kedudukan serta jawatan suaminya?
  • Bagaimanakah Najib boleh membenarkan amalan itu berlaku di bawah pentadbirannya di mana dilaporkan beliau sebagai Menteri Kewangan telah meluluskan pembayaran kepada syarikat terbabit, meskipun projek belum lagi disiapkan? Adakah Najib turut bersubahat dan bakal didakwa selepas ini?
  • Tidakkah ini juga menggambarkan tahap kegiatan rasuah begitu teruk dan buruk di bawah BN sehingga seorang suri rumah pun terlibat sama dalam kegiatan terkutuk itu, sedangkan di era Perdana Menteri sebelumnya, perkara seperti ini tidak pernah kedengaran sama sekali berlaku?
  • Jika seorang suri rumah sudah pandai meminta rasuah atau komisyen sebanyak 15 peratus, berapakah pula nilai komisyen yang mungkin diminta oleh menteri, timbalan menteri dan orang-orang besar lain yang ada kuasa jika mereka meluluskan sesuatu projek?
  • Apakah ini satu-satunya saja urusan perniagaan yang pernah dilakukan oleh Rosmah sepanjang 9 tahun Najib menjadi Perdana Menteri atau banyak lagi “deal” yang sudah berjaya dilakukannya?
  • Kalau suri rumah di kediaman Perdana Menteri sudah pandai meminta rasuah sehingga beratus juta, apakah suri rumah kepada menteri dan timbalan menteri ketika era BN dahulu tidak terghairah untuk melakukan amalan yang sama dengan menggunakan jawatan atau kedudukan suami masing-masing?

Sementara kita tentunya bersyukur kerana BN akhirnya berjaya ditumbangkan dan sekaligus dapat membanteras sama sekali kegiatan suri rumah itu daripada terus berleluasa, Najib dalam hal ini sepatutnya berasa sangat-sangat malu kepada dirinya sendiri.


Punca Najib ditolak rakyat sebenarnya banyak disumbangkan oleh hal-hal yang berkaitan karenah dan perilaku isterinya, selain beliau sendiri terpalit dengan skandal 1MDB yang mencemarkan nama rakyat dan negara di seluruh dunia.


Oleh itu, sukar untuk kita menggambarkan "betapa tebal kulit muka" Najib apabila setelah hilang kuasa ini pun beliau masih mampu tampil seolah-olah dirinya suci bersih, tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan dan suri rumah di kediamannya tidak terlibat dengan apa-apa kegiatan yang mencemarkan.


Realitinya, belum dijatuhkan hukuman pun kekotoran pada dirinya sudah boleh dilihat dengan begitu jelas oleh sesiapa yang waras dan tahu menggunakan akal fikiran. 


Malah, dengan suri rumahnya sendiri terpalit dengan dakwaan rasuah beratus-ratus juta, gambarannya gelaja itu adalah paling buruk dan teruk sekali ketika beliau mentadbir negara berbanding mana-mana era Perdana Menteri sebelum ini.


Tidak malukan Najib kepada nama besar arwah bapanya, Tun Razak yang diketahui umum begitu sederhana dan bersih, selain sumbangannya juga amat besar ketika menjadi Perdana Menteri kedua sebelum ini? (ShahbudinHusin 16/11/2018).

Thursday, 15 November 2018

BRO, KALAU SAMUN PUN DAH JUTA-JUTA....


Bekas pegawai khas Najib, Isham Jalil mempertikai keputusan mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM1 juta terhadap Rosmah Mansor yang dituduh menerima rasuah berkaitan projek solar untuk sekolah-sekolah di Sarawak.


Turut didakwa bersama Rosmah hari ini ialah bekas pegawai khasnya, Rizal Mansor yang juga dikenakan ikat jamin sebanyak RM1 juta oleh mahkamah.

Isham mempertikai jumlah itu kerana katanya, dalam pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan kepada Najib dan Rosmah sebelum ini, pasangan itu sudah pun membayar sebanyak RM12.6 juta ikat jamin kepada mahkamah.


Hello bro...kalau dah samun pun juta-juta, mestilah ikat jamin kena berjuta juga jumlahnya!!

Takkan nak kena ikat jamin sebanyak RM5,000 saja macam orang curi makanan di pasaraya misalnya. Lagilah tak logik nanti.


Lagi satu bro...janganlah tunjuk sangat "tak cerdik"  tu depan orangramai dengan mempertikai benda-benda simple macam ni!! (ShahbudinHusin 15/11/2018)

BERHENTI TONJOLKAN AZMIN DAN JANGAN LUPAKAN MUHYIDDIN


Sama ada sebelum pemilihan PKR atau sekarang ini, cakap-cakap yang cuba menonjolkan Azmin Ali sebagai bakal Perdana Menteri boleh dikata boleh didengari di mana-mana saja.


Lebih-lebih lagi setelah setakat ini Azmin dilihat bakal menang (walaupun belum rasmi) mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR menewaskan Rafizi Ramli, penonjolan terhadap Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu semakin kuat lagi menusuk ke gegendang telinga.


Azmin tidak disaja dikatakan sebagai bakal Perdana Menteri masa depan, malah digembar-gemburkan juga sebagai calon Perdana Menteri ke-8 untuk menggantikan Tun Mahathir Mohamad.


Selain secara tiba-tiba begitu banyak gossip liar dan khabar-khabar burung dari hutan mengenai Anwar Ibrahim yang mahu ditolak ke tepi, persaingan sengit antara Azmin dengan Rafizi juga dianggap penolakan ahli PKR sendiri terhadap kedudukan Presiden PKR itu sebagai bakal pengganti kepada Tun Mahathir.


Kata mereka, jika benar ahli PKR mahukan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8, sudah tentu Rafizi yang merupakan "kuda pilihannya" mampu menang mudah menewaskan Azmin?

Mengapa tiba-tiba saja Anwar mahu diketepikan sebagai bakal Perdana Menteri yang telah dipersetujui bersama dalam Pakatan Harapan, malah sebelum PRU14 Tun Mahathir dan Tun Daim Zainuddin juga sanggup beberapa kali mengadakan pertemuan dengannya di mahkamah dan dipenjara?


Mengapa baru sepantas enam bulan selepas mengambil alih kuasa Putrajaya, termasuk daripada kalangan Bersatu sendiri, sudah ada yang bagai tidak sabar mahu menonjolkan Azmin dan mengenepikan Anwar?


Dalam hal ini, oleh kerana Pakatan Harapan adalah sebuah kerajaan baru di mana permasalahan rakyat pun banyak yang belum diselesaikan, soal perebutan jawatan Perdana Menteri tidak sepatutnya dijadikan tajuk utama perjuangannya.


Ikut sajalah perjanjian yang sudah diputuskan di mana selepas Tun Mahathir, penggantinya ialah Anwar. Memungkiri perjanjian hanya membuka ruang keretakan kepada Pakatan Harapan dan memberi laluan untuk pembangkang mengambil kesempatan.


Kalau pun pun mahu difikirkan siapa pengganti selepas Anwar, yang paling layak juga bukanlah Azmin sebenarnya, tetapi Muhyiddin Yassin, Presiden Bersatu sekarang.

Azmin masih terlalu mentah dari segi pengetahuan dan pengalaman untuk menjadi calon Perdana Menteri, baik selepas Anwar, jauh selepas kalau mahu diletakkan mendahului Anwar. 


Pengalamannya selama ini hanyalah kira-kira tiga tahun sebagai Menteri Besar Selangor dan baru berpengalaman sebagai menteri sejak kira-kira enam bulan yang lalu.


Mampukah beliau menjadi bakal Perdana Menteri dengan pengalaman yang sedemikian?


Mahu tidak mahu, kita harus mengakui bahawa Muhyiddin jauh lebih berpengalaman dan berpengetahuan berbanding Azmin. Beliau pernah jadi menteri sehingga ke jawatan Timbalan Perdana Menteri, malah pernah juga berpengalaman menjadi Menteri Besar Johor selama hampir 10 tahun.


Meskipun Muhyiddin baru saja menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di bahagian pankreasnya, tetapi beliau kini sedang menunjukkan pemulihan yang sangat memberangsangkan selepas menjalani beberapa rawatan kimoterapi. 


Berdasarkan petunjuk kesihatannya sekarang, tidak mustahil Munyiddin juga mampu pulih dan sihat seperti sediakala sebagaimana Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang juga pernah menjalani pembedahan kanser pada 2015 yang lalu.


Oleh itu, jangan diabaikan Muhyiddin sebagai pemimpin selepas Anwar yang dirasakan paling layak untuk mengambil teraju pentadbiran negara ini dan faktor kesihatannya bukanlah halangan.

Hanya selepas Muhyiddin, barangkali barulah sesuai untuk sesiapa mahu menonjolkan Azmin. Ketika ini Azmin masih perlu banyak belajar dan menimba pengalaman lagi.


Lagi pula, sebelum PRU14 lalu, beberapa "kartel"  Azmin jelas menampakkan tidak setuju dengan perlantikan Tun Mahathir sebagai Pengerusi Pakatan Harapan dan calon Perdana Menteri. Banyak suara-suara yang mahukan Azmin sendiri diletakkan sebagai calon Perdana Menteri ketika itu, kononnya untuk mewakili suara orang muda yang merupakan kelompok terbesar di kalangan pengundi negara ini.


Zuraidah Kamaruddin, Ezam Mohd Nor dan PKR Selangor yang diketuai oleh Azmin sendiri jelas bersuara lantang menolak Tun Mahathir pada waktu itu.


Tetapi, pernahkah Muhyiddin bersikap begitu terhadap Tun Mahathir? (ShahbudinHusin 15/11/2018)

Wednesday, 14 November 2018

MAKIN RAMAI DIDAKWA, TAPI CEPATKANLAH PERBICARAANNYA!!!


Esok kawasan Mahkamah Jalan Duta dijangka "meriah" sekali lagi dengan kehadiran orangramai apabila isteri bekas Perdana Menteri, Rosmah Mansor, bekas pembantunya, Rizal Mansor dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor akan didakwa di mahkamah berkaitan dakwaan rasuah.


Secara kebetulan, ketiga-tiganya adalah "anak Mansor", walaupun mereka bukanlah adik-beradik atau ada hubungan persaudaraan antara satu sama lain.


Rosmah dan Rizal dipercayai akan didakwa berkaitan projek solar untuk sekolah-sekolah di Sarawak yang melibatkan kos bernilai RM1.25 bilion.


Tengku Adnan atau nama popularnya Ku Nan pula akan didakwa berhubung penjualan 97 keping tanah milik DBKL seluas 273.27 hektar bernilai RM5.63 bilion ketika beliau menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.


Sebelum ini, Najib Razak sudah dihadapkan dengan 39 pertuduhan, Zahid Hamidi 45 pertuduhan, Rosmah 17 pertuduhan, bekas Ketua Setiausaha Negara, Irwan Siregar Abdullah 6 pertuduhan, peguam UMNO, Shafee Abdullah 4 pertuduhan dan bekas ketua perisik MEIO, Hasanah Abdul Hamidi dengan satu pertuduhan pecah amanah.


Dijangka lebih ramai lagi pemimpin UMNO, termasuk bekas menteri, bekas timbalan menteri, Ahli Parlimen dan pegawai kanan kerajaan era BN turut bakal didakwa selepas ini atas pelbagai kesalahan sama ada berkaitan rasuah, pecah amanah atau penyelewengan ketika masing-masing ada kuasa sebelum ini.


Najib dan Rosmah sendiri tidak terkecuali dijangkakan akan berdepan lebih banyak pertuduhan juga.


Dari satu segi, rakyat memang menyambut baik segala penyiasatan, penahanan dan pendakwaan ke atas semua mereka yang terlibat itu, malah sebab utama pengundi bersatu hati menumbangkan UMNO dan BN pun adalah disebabkan mereka sudah lemas dengan gejala rasuah dan terlalu berleluasa selama ini.


Rakyat mahu semua kedurjanaan itu dihapuskan sama sekali lantaran mereka yang memegang kuasa atau atau kaitan dengan kuasa sebelum ini ini didapati langsung tidak amanah dan hanya memikirkan kepentingan peribadi semata-mata.


Tetapi, sementara penyiasatan demi penyiasatan, penahanan demi penahanan, seorang demi seorang ditahan reman serta dipakaikan baju oren dan pendakwaan demi pendakwan dilakukan, apa yang menimbulkan kebimbangan rakyat ialah belum ada seorang pun daripada yang didakwa itu sudah ada tarikh untuk mereka dibicarakan.


Semuanya masih tergantung di peringkat pengurusan kes yang dijangka akan dilakukan sebelum hujung tahun ini dan perbicaraan pula tentunya pada awal atau pertengahan tahun hadapan.


Mengapakah ia begitu lambat dibicarakan sedangkan semuanya adalah kes berprofil tinggi serta melibatkan kepentingan awam?


Yang lebih buruknya, sebaik didakwa dan dibebaskan dengan ikat jamin, semua yang didakwa itu kemudiannya bebas bercakap, berceramah dan menulis di media sosial mempertahankan diri masing-masing seolah-olah mereka tidak bersalah, dianiaya serta manga kepada pendakwaan terpilih.


Jadinya, ternampak ada sesuatu yang pelik dan lompong dalam hal ini, bahkan sistem keadilan bagaikan dipermain-mainkan.


Jika kerajaan dan semua pihak yang berkaitan dengan undang-undang benar-benar serius ingin membersihkan negara ini serta mahu melihat operasi pembersihan itu berjalan dengan baik dan mampu memberi kesedaran kepada masyarakat, perbicaraan kes-kes berprofil tinggi dan melibatkan kepentingan awam ini seharusnya dipercepatkan dan tidak dilengah-lengahkan.


Mahkamah seharusnya menetapkan tarikh yang cepat untuk perbicaraan supaya hukuman sama ada bersalah atau tidak ke atas tertuduh boleh segera dijatuhkan. Di sinilah juga namanya keadilan.


Ia tidak boleh ditunggu sehingga empat atau enam bulan kemudian baru hendak dibicarakan. Perbicaraan hendaklah disegerakan dan hukuman yang setimpal harus dijatuhkan supaya ia dengan sendirinya dapat memberi kesedaran kepada masyarakat serta menimbulkan ketakutan kepada mereka yang sedang berkuasa sekarang.


Sebenarnya itulah tujuan undang-undang dilaksana dan dikuatkuasakan. 


Maka itu, penegak undang-undang harus melihat perkara ini dengan serius demi kepentingan rakyat dan negara. Jangan asyik mendakwa dan membawa kes ke mahkamah saja, yang rakyat ingin lihat sebenarnya ialah mereka yang didakwa itu segera dijatuhkan hukuman dan dipenjara, terutama bagi kes-kes yang mudah, jelas dan "straighforward" seperti ada bukti wang, nombor cek, pembelian rumah secara tunai, kekayaan melampau dan sebagainya.


Rakyat memang menyanjung tinggi keseriusan Tun Mahathir mahu membersihkan negara ini, tapi janganlah sampai setelah beliau tiada lagi pun nanti, perbicaraan masih tak selesai-selesai lagi. (ShahbudinHusin 14/11/2018).

SELEPAS DITOLAK UNDI RAGU, AZMIN ATAU RAFIZI YANG AKAN MENANG?


Sebagaimana dilaporkan media, Azmin Ali ketika ini sedang mendahului Rafizi Ramli dengan kelebihan 3,965 undi bagi perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR.


Azmin memperolehi jumlah keseluruhan sebanyak 70, 550 undi manakala Rafizi memperolehi 66,594 undi.


Tetapi, jumlah tersebut tidak termasuk undi di Cabang Julau yang sebelum itu ditangguhkan keputusannya berikutan dakwaan berlakunya serangan terhadap tablet-tablet yang digunakan untuk mengundi pada Sabtu lalu.


Bagaimanapun, Jawatankuasa Pemilihan Pusat atau JPP PKR semalam memperakui tiada kehilangan undi di Julau dan oleh itu tidak perlu diadakan pengundian semula. 


Keputusan itu kemudian disahkan oleh Biro Politik PKR malam tadi.

Tiadanya pengundian semula di Julau adalah bertentangan dengan bantahan Rafizi yang menyatakan perlunya undian semula dilakukan bagi menzahirkan keputusan yang lebih adil.


Namun demikian, Rafizi sebelumnya mendakwa beliau mempunyai kelebihan kira-kira 3,000 undi di Julau sebelum pengundian ditangguhkan akibat serangan yang dikesan itu.


Berikutan keputusan JPP menolak undian semula itu dan memperakui pengundian pada Sabtu lalu, keputusan di Julau dijangka akan diumumkan sebelum bermulanya Kongres PKR pada 16-18 November ini.


Bersekali dengan keputusan memperakui pengundian di Cabang Julau, Biro Politik PKR malam tadi juga membuat keputusan menolak kira-kira 90 peratus daripada 7,500 undi ragu yang dikesan berlaku di tujuh negeri.


Ini bermakna daripada 7,500 undi ragu yang dikesan, hanya 10 peratus saja merupakan undi yang sah, sementara 6,750 lagi akan ditolak.


Proses mengesahkan undi ragu itu dijangka akan selesai pada Khamis ini.


Dengan penolakan undi ragu sebanyak 90 peratus daripada 7,500 undi yang sudah buang oleh pengundi, bermakna akan ada perubahan dalam keputusan akhir pemilihan PKR, kata Timbalan Pengerusi JPP, Adzman Hedra.


Dengan yang demikian, meskipun Azmin sedang mendahului Rafizi dengan kelebihan 3,956 undi, tetapi jika kiraannya dicampur dengan jumlah undi di Julau dan ditolak pula dengan undi ragu sebanyak 6,750, apakah keputusan akhirnya nanti?


Siapakah yang banyak hilang undi daripada penolakan sebanyak 6,750 undi ragu itu?


Azmin atau Rafizi yang akan menang untuk jawatan Timbalan Presiden PKR bagi bergandingan dengan Anwar Ibrahim yang sudah sah menang tanpa bertanding sebagai Presiden PKR? (ShahbudinHusin 14/11/2018)

Tuesday, 13 November 2018

AWAS MENTERI2 YANG PRESTASINYA TIDAK MEMUASKAN HATI.....


Berdepan rungutan pelbagai pihak mengenai prestasi sesetengah menteri yang tidak memuaskan hati, Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad akhirnya terbuka untuk melakukan rombakan kabinet.


Walaupun Tun Mahathir mengaitkan rombakan itu dengan pemilihan PKR, tidak mustahil ia juga melibatkan menteri-menteri daripada parti yang lain yang gagal menunjukkan prestasi yang baik.


Kata beliau, rombakan boleh dilakukan jika PKR mengemukakan pencalonan baru dan beliau menyetujuinya.


Apakah ini bermakna Anwar Ibrahim yang selepas Kongres PKR pada 16 hingga 18 November nanti  akan disahkan sebagai Presiden PKR bakal menyertai kabinet semula?


Adakah Ahli Parlimen Port Dickson itu akan menggantikan tempat isterinya, Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kembali bergandingan dengan Tun Mahathir mentadbir negara?


Terlanjur jika ada rombakan, rakyat khususnya penyokong Pakatan Harapan tentunya turut gembira jika perubahan dan pengguguran melibatkan menteri-menteri yang lain turut juga dilakukan.


Menteri yang banyak kontroversi, suka bercakap soal remeh-remeh dan degil terhadap arahan parti dan kerajaan, tentu saja tidak wajar lagi dikekalkan berada dalam kerajaan.


Begitu juga dengan menteri-menteri yang didapati tidak memuaskan hati, kurang mengambil berat permasalahan rakyat, berlagak di sana sini, memuatnaik gambar entah apa-apa di media sosial, patut sekali dimasukkan dalam senarai untuk digugurkan sama.


Kepada yang berkenaan, oleh kerana Tun Mahathir sudah terbuka untuk melakukan rombakan, berjaga-jaga dan bersiap-sedialah untuk kembali menjalani kehidupan sebagai rakyat biasa.


Apa nak dibuat, peluang sudah diberi, tapi prestasi tidak pernah memuaskan hati rakyat yang sudah memberi undi. 


Kepada yang bakal digugurkan, bersyukurlah dapat merasa jadi menteri, walaupun hanya untuk enam bulan saja. (ShahbudinHusin 13/11/2018)

DR. MAZLEE DEGIL?


Mak ooiii....degilnya dia ni!!


Sebelum ini ketika pelbagai lapisan masyarakat mendesaknya melepaskan jawatan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia atau UIAM, Dr. Mazlee Malik tetap berhempas pulas mahu terus bertahan di jawatan itu.


Meskipun beliau kemudiannya sedia bertemu dengan kumpulan mahasiswa yang mendesaknya, keinginannya untuk berundur langsung tidak ternampak.


Baru-baru ini apabila media mendapat maklumat ada arahan tertentu berkenaan pengunduran dan ingin mendapatkan pengesahan daripadanya, Dr. Mazlee jelas tidak senang dan marah-marah kepada wartawan yang menanyakan soalan tersebut kepadanya.


Kita pergi majlis kahwin, takkan nak bercakap soal cerai, begitulah lebih kurang kata-kata yang diluahkan Dr. Mazlee, seorang bekas pensyarah di UIA Gombak sebelum menceburi politik dan agak bertuah kerana berpeluang dipilih sebagai calon pilihnaraya di Simpang Renggam dan seterusnya dilantik sebagai Menteri Pendidikan.


Rupa-rupanya maklumat yang diperolehi media mengenai arahan pengunduran itu adalah sesuatu yang betul dan sahih.

Tetapi, kenapa Dr. Mazlee masih mahu berselindung dan tidak bercakap secara sopan, berhemah serta penuh budi bahasa dengan pihak media?


Agaknya inilah salah seorang menteri yang perlu disekolahkan oleh Penasihat Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri, A Kadir Jasin tentang bagaimana cara-cara untuk berhadapan dengan media secara betul dan baik.


Semalam, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata, Dr. Mazlee sepatutnya meletakkan jawatan secara serta-merta sebagai Presiden UIAM kerana sudah ada arahan beliau untuk berbuat berbuat demikian daripada parti dan juga kerajaan.


Laaa....sudah ada arahan parti dan kerajaan pun masih tak mahu letak jawatan lagi?


Nak tunjuk degil lagi ke?


Sungguh memalukan sebagai seorang yang kononnya berpendidikan tetapi nampaknya masih tidak faham dengan sesuatu arahan dan terus berdegil tidak mahu mematuhinya sehingga ketua parti di mana beliau bernaung dan mendapat kedudukan akhirnya terpaksa tampil memberi peringatan kepadanya.


Peringatannya pula cukup jelas - letak jawatan serta-merta!!


Tetapi, meskipun diperingatkan oleh Muhyiddin agar meletakkan jawatan secara serta-merta, malangnya Dr. Mazlee kelihatannya masih mahu berding-dong lagi dengan peringatan tersebut.

Sebagai reaksinya kepada peringatan itu, beliau menjelaskan hanya akan melepaskan jawatan Presiden UIAM itu sehingga proses pemilihan penggantinya selesai yang dijangka hujung bulan ini.


Kenapa masih mahu bertangguh lagi sehingga hujung November pula?


Apa masalahnya kalau beliau letak jawatan sebelum penggantinya ditemui?


Bukankah peringatan Munyiddin cukup mudah difahami - letak jawatan serta-merta!!


Susahkah seorang yang ada kelulusan PhD untuk faham maksud perkataan serta-merta itu?


Degil...degil...degil...orang semacam ini sepatutnya digugurkan saja sesegera yang boleh sebagai menteri. 


Lagi pun kerja dan sumbangannya sejak enam bulan jadi menteri masih tak seberapa dan di bawah KPI yang sepatutnya, kontroversi saja yang lebih. (ShahbudinHusin 13/11/2018)

Monday, 12 November 2018

ZAID IBRAHIM - WIRA YANG TAK DIDENDANG


Apabila Zaid Ibrahim, bekas menteri undang-undang dan terakhir merupakan ahli DAP, mengumumkan untuk berhenti menulis di blognya yang diwujudkannya sejak sembilan tahun lalu dan tidak lagi mahu terlibat dengan mana-mana parti, pembaca dan mereka yang meminati buah fikirannya pasti terasa kehilangannya.


Meskipun tidak semua orang setuju dengan pendapat dan buah fikirannya, malah ramai yang sukar memahaminya, Zaid adalah seorang yang jujur dalam luahan fikiran dan tindakannya.


Beliau tidak memiliki dua wajah - lain ditulis lain perbuatan dan bagaimana progresif pemikiran serta arah tujunya dalam tulisan, begitulah juga kehidupan dan caranya ketika berurusan atau berbual-bual dengan orang lain.


Punca yang menyebabkan beliau berhenti menulis ialah berikutan tulisannya mengenai Tun Daim Zainuddin dan rakan-rakan bilionairenya  yang diperkatakan ramai mengatur perjalanan negara ini telah tidak disenangi oleh Lim Guan Eng yang kemudian memintanya menarik balik tulisan tersebut.


Hakikatnya, tiada apa yang salah dan tidak wajar dalam tulisan Zaid itu sehingga Guan Eng perlu memintanya untuk menarik balik kerana ia adalah berdasarkan apa yang diperkatakan oleh orangramai.


Lagi pun, bukankah kerajaan sekarang mengamalkan ketelusan dan keterbukaan?


Jika ada yang tidak betul atau tidak tepat, Guan Eng sepatutnya menjelaskannya dengan fakta dan bukannya meminta tulisan itu ditarik balik.


Lagi pun perkara berkaitan Tun Daim itu adalah isu yang dibualkan di mana-mana, dari kedai kopi di kaki lima hinggalah coffee house di hotel berbintang lama, waima dalam Bersatu pun tidak kurang ramai yang bercakap mengenainya.


Barangkali kerana diminta menarik balik tulisannya itulah yang membuatkan Zaid berada kecil hati dan berkata, “sukar sebenarnya untuk berlaku jujur tanpa menyinggung perasaan orang lain”.


Beliau sebenarnya bukanlah menulis isu tersebut kecewa kerana tidak bertanding atau tidak diberikan apa-apa jawatan selepas Pakatan Harapan berjaya menubuhkan kerajaan.


Ini kerana beliau memiliki kehidupan yang boleh dikatakan hampir sempurna hasil kerja kerasnya sebagai peguam dan menubuhkan syarikat guamannya sendiri sebelum ini.


Cuma, Zaid cuba untuk berlaku jujur dengan menegur kerajaan Pakatan Harapan dan berharap mereka akan menangani apa juga isu yang diperkatakan di peringkat bawahan.


Ramai yang tidak tahu barangkali, selain banyak menulis untuk membantu Pakatan Harapan dan melemahkan UMNO dan Najib Razak di blognya sejak sekian lama, Zaid juga sebenarnya selalu dipanggil secara peribadi oleh Tun Mahathir untuk berbincang pelbagai perkara sebelum PRU14 yang lalu.


Sekurang-kurangnya dua minggu sekali atau sebulan sekali, beliau pasti akan mengadap Tun Mahathir untuk berbincang pelbagai perkara dengan Pengerusi Pakatan Harapan itu.


Tun Mahathir nampaknya selesa untuk berbincang dan bertukar-tukar fikiran dengan Zaid kerana kedua-dua mereka ada persamaan dari segi keprogresifan, kemodenan dan bagaimana negara dan masyarakat harus dipandu, dibawa serta dimajukan menuju destinasi yang lebih baik.


Sebab itu, sebaik Tun Mahathir melancarkan Deklarasi Rakyat dan menghimpunkan tandatangan sebagai satu cara untuk memberi tekanan kepada Najib, beliau kemudian bersetuju dengan cadangan Zaid untuk mengadakan suatu perhimpunan Kongres Rakyat di Shah Alam pada 27 Mac 2016 yang dihadiri oleh semua pemimpin utama Pakatan Harapan.


Ia adalah perhimpunan pertama yang diadakan secara besar-besaran yang dihadiri Tun Mahathir dengan kejayaan menggembleng semua tenaga utama parti-parti pembangkang ketika itu.


Sebelum itu, pada tahun 2015 ketika pertama kali Tun Mahathir turun ke perhimpunan Bersih dan belum begitu mesra dengan DAP dan PKR, Zaidlah juga yang diajak sebagai penemannya.


Selain itu, meskipun ketika beliau sudah mengetahui namanya tidak dicalonkan untuk bertanding dalam PRU14 lalu, Zaid tetap kerap turun untuk berkempen dan berceramah di merata-rata tempat di seluruh negara.


Di Kelantan saja, beberapa kali beliau turun dan menganjurkan program ceramah di sana.


Di Johor sendiri, negeri yang sepatutnya beliau bertanding, Zaid masih kerap turun membantu rakan-rakan Pakatan Harapan sehingga ke saat-saat akhir sebelum pilihanraya diadakan, walaupun  ketika itu namanya sah telah diketepikan.


Dengan berhentinya Zaid menulis, bahkan mungkin tidak mahu lagi bercakap jika media ingin menemubualnya, Pakatan Harapan sebenarnya kehilangan seorang yang cerdas dan tangkas daya pemikiran dari segi berhujah atau menjawab isu-isu politik semasa dalam negara.


Tentu saja Tun Mahathir sekarang ini tidak perlu lagi memanggilnya seperti dahulu untuk meminta pendapat, berbincang atau menemaninya, tetapi sejarah tidak mungkin melupai sumbangannya selama ini.


Walau tidak didendang, tidak mustahil juga akan terus dilupakan, namun sejarah beliau dalam memberi sumbangan dan bantuan tidak mungkin boleh dipadamkan. (ShahbudinHusin 12/11/2018).

TAHNIAH SETIAUSAHA AGUNG BERSATU


Dalam perkembangan terbaru tengahari ini, Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya memaklumkan pihaknya telah menolak dengan serta-merta permohonan Ali Tinju untuk menyertai parti itu.


Ditanya tentang kemungkinan permohonan Ali Tinju ditolak, Marzuki menjelaskan, "bukan kemungkinan lagi. Kita memang akan menolak permohonan dia."


Kata Marzuki, beliau masih mengingati apa yang pernah dilakukan oleh Ali Tinju kepada Tun Mahathir Mohamad dan pemimpin-pemimpin lain dalam Pakatan Harapan sebelum ini.


"Saya tak pernah jumpa orang macam ini," tambah beliau.


Blog ini dalam artikelnya sebelum ini turut tidak setuju jika Ali Tinju diterima menyertai Bersatu.


Sesungguhnya keputusan menolak permohonan Ali Tinju sebagaimana yang diumumkan oleh Marzuki ini adalah tepat dan wajar sekali.


Bersatu tidak memerlukan orang seperti Ali Tinju yang mana akhlak dan adab sopannya langsung tidak sesuai, malah kemasukannya bukanlah untuk sama-sama berjuang dalam parti itu, sebaliknya hanyalah untuk kepentingan peribadi semata-mata.


Tahniah dan syabas kepada Marzuki atas reaksi dan keputusan yang cepat lagi tepat menolak permohonan Ali Tinju itu. (ShahbudinHusin 12/11/2018)

BERSATU KENA HATI-HATI DENGAN "SAMPAH-SARAP" UMNO


Sejak petang semalam agak gempar dengan berita kemasukan Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju yang sebelum ini terkenal dengan "tarian punggung" di hadapan rumah bekas Pengerusi Bersih, S Ambiga  ke dalam Bersatu.


Beliau didapati menyerahkan borang keahliannya kepada Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya di sebuah program parti itu di Bandar Tun Razak.


Gambarnya menyerahkan borang keahlian kepada Setiausaha Agung Bersatu itu segera menimbulkan rasa kurang senang orangramai kerana Ali Tinju dilihat seolah-olah diraikan sebagai "orang besar" untuk menyertai Bersatu, walhal beliau adalah antara "watak hitam" yang kuat menyerang Pakatan Harapan dan Tun Mahathir Mohamad sebelum ini.


Bagi yang kenal dengan Ali Tinju, semua tahu beliau adalah pentaksub  Najib Razak dan Rosmah Mansor serta sanggup melakukan apa saja untuk membela dan mempertahankan pasangan itu.


Tidak cukup dengan mencium tangan Rosmah ketika bersalam, selain mengadakan "tarian punggung", Ali Tinju ketika era UMNO berkuasa juga pernah melakukan pelbagai aksi untuk menyerang Pakatan Harapan dan Tun Mahathir, termasuk membuat kacau ketika program NothingTo Hide di PWTC dan melakukan ugutan bunuh kepada Maria Chin Abdullah.

Lantaran itu, apabila Ali Tinju tiba-tiba menyerahkan borang keahlian menyertai Bersatu, malah seolah-olah diraikan pula kemasukannya, reaksi kurang senang yang wujud adalah perkara normal sebenarnya.


Beliau bukanlah individu yang sepatutnya dialu-alukan untuk menyertai Bersatu. Kemasukannya hanyalah kerana UMNO sudah hilang kuasa dan Najib serta Rosmah tidak mampu lagi menaburkan dedak kepadanya.


Dalam erti kata lain, Ali Tinju bukan masuk Bersatu kerana setuju dengan perjuangan parti itu, sebaliknya kerana kepentingan peribadi lantaran tiada apa-apa lagi yang ada dalam UMNO yang boleh membawa "bahagia" kepadanya.


Tetapi, dikatakan kemudiannya majlis penyerahan borang itu bukanlah sesuatu yang dirancang, tetapi Ali Tinju dilaporkan menerpa dan naik ke pentas secara tiba-tiba untuk menyerahkan borang kepada Marzuki.


Dikatakan juga, ia hanyalah penyerahan borang saja dan belum tentu lagi kemasukannya akan diterima.


Cuma, yang menimbulkan persoalan, bagaimana Ali Tinju boleh menerpa dengan mudah dan jika pun beliau berbuat demikian dan naik ke pentas secara tiba-tiba, mengapakah Marzuki seolah-olah senyum dan macam gembira "berposing" menerima borang keahlian daripadanya?


Apakah Marzuki tidak kenal Ali Tinju dan tidak tahu perangainya selama ini?


Dalam kes Ali Tinju dan spesis yang sejenis dengannya yang banyak dalam UMNO sebelum ini, Bersatu hendaklah berhati-hati dan tidak semudahnya menerima kemasukan mereka.


Meskipun Bersatu mengamalkan sikap terbuka dan sedia menerima sesiapa saja, tetapi takkanlah "sampah sarap" pun mahu dikutip juga.  Orang seperti Ali Tinju bukan saja perlu ditapis dengan ketat, bahkan tidak harus diterima sama sekali.


Jika tidak dibendung, lebih ramai lagi watak seperti Ali Tinju yang selama ini berada dalam UMNO akan masuk berbondong-bondong menyertai Bersatu.


Mereka ini bukan masuk Bersatu untuk berjuang, tapi hanya untuk mencari peluang. Di mana ada gula, di situlah mereka ini bergentayangan. Lihat saja dalam UMNO dulu, tiada apa pun perjuangan dan sumbangannya. Kerjanya hanya membuat kacau, melalak dan melakukan haru biru kerana ada upah yang diberikan.


Jika diterima masuk Bersatu, orang seperti ini akan tampil dengan perangai yang sama. Kebolehan dan kemampuannya hanya itu saja. Untuk mencari peluang dan habuan, tangan siapa pun sanggup diciumnya.


Bukan setakat Tun Mahathir yang sanggup dipujinya sekarang ini atau tangan Tun Siti Hasmah sedia diciumnya, bahkan orang seperti ini boleh juga menjadikan S Ambiga dan Maria Chin sebagai idola barunya pada bila-bila masa jika ternampak ada habuan boleh diperolehi di sebaliknya.


Tetapi, apa akhirnya akan jadi jika mereka ini lebih mewarnai perjalanan Bersatu di hari-hari mendatangnya dan bertambahkah sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan dengan kemasukan itu? (ShahbudinHusin 12/11/2018)

Sunday, 11 November 2018

MINGGU YANG SIBUK DI MAHKAMAH


Mahkamah minggu ini dijangka sibuk dengan beberapa pemimpin UMNO dan bekas menteri era BN dijangka akan didakwa dengan beberapa pertuduhan berkaitan rasuah.


Dilaporkan, Najib Razak bersama seorang bekas menteri akan didakwa berkaitan projek tenaga solar untuk sekolah-sekolah di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.


Turut dikatakan akan didakwa berkaitan projek yang sama ialah bekas pegawai khas Najib yang beberapa bulan sebelum ini pernah ditahan reman untuk siasatan oleh SPRM.

Seorang lagi bekas menteri yang akan didakwa di mahkamah minggu ini ialah berkaitan penjualan-penjualan tanah milik DBKL.


Seorang bekas timbalan menteri pula akan didakwa berkaitan penyelewengan dana Finas berjumlah RM25 juta.


Seorang Ahli Parlimen BN  bergelar Datuk Seri turut akan didakwa kerana dipercayai mengutip komisyen bagi projek-projek kerajaan berjumlah lebih RM3 bilion.


Selain itu, bekas Pengerusi Felda, Isa Samad diberitakan akan juga didakwa minggu ini berkaitan penyalahgunaan kuasa berhubung pembelian hotel di Sarawak pada tahun 2014 yang lalu.


Bermakna, minggu ini saja ada tujuh individu berkaitan UMNO dan BN akan didakwa di mahkamah.


Perghhh....meriahnya!!

Sebelum ini, Najib, Zahid Hamidi, Rosmah Mansor, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Irwan Siregar Abdullah dan peguam Shafee Abdullah sudah pun mendahului senarai mereka yang didakwa di mahkamah pasca tumbangnya BN kepada Pakatan Harapan.


Difahamkan, ada beberapa nama lagi bakal didakwa dalam minggu-minggu yang seterusnya. 


Ada di antaranya sudah disiasat SPRM, manakala sebahagian lagi hanya menunggu masa untuk dipanggil sama ada untuk disiasat atau diambil keterangannya. (ShahbudinHusin 11/11/2018)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...