Friday, 21 July 2017

PENJAWAT AWAM LEBIH UNTUNG BILA KERAJAAN MUDAH BERTUKAR TANGAN


Selain undi orang kampung dan peneroka Felda, satu lagi faktor yang banyak membantu kemenangan UMNO dan BN selama ini ialah sokongan kakitangan awam.

Dengan jumlah seramai 1.6 juta orang atau seorang bagi setiap 19 rakyat Malaysia, sokongan kakitangan awam tidak dinafikan adalah kelebihan yang nyata bagi UMNO dan BN dalam mengekalkan kuasa.

Walaupun Najib Razak baru-baru ini dilaporkan memberitahu pimpinan UMNO bahagian-bahagian bahawa sokongan kakitangan awam masih berpihak kepada kerajaan pimpinannya, tetapi sepertimana yang disedari oleh sebahagian besar daripada kita, perkara itu adalah subjektif sebenarnya.

Mungkin Najib hanya mendapat jaminan daripada Ketua Setiausaha Negara atau Ketua Setiausaha Perbendaharaan atau sekadar untuk menyedapkan hatinya saja.
Hakikatnya, di mana-mana kita boleh berjumpa dengan kakitangan awam yang tidak puas hati, kecewa dan marah kepada kerajaan atas pelbagai faktor. Di peringkat atas, mungkin ramai yang masih berpihak kepada UMNO dan BN, tetapi di peringkat pertengahan dan bawah, sokongan itu sudah jadi bercampur-campur sebenarnya.

Perlukah kakitangan awam sentiasa menyokong UMNO, BN dan pimpinan kerajaan sedia ada atau lebih menguntungkan jika mereka mengintai-intai kepada sebuah kerajaan baru?

Sebagai kakitangan awam, tugas,  khidmat dan sokongan memang perlu diberikan kepada kerajaan yang sedang berkuasa. Tetapi, ketika pilihanraya, mereka tetap berhak memberi undi kepada sesiapa saja yang disukai.

Tidak ada ketetapan atau kewajipan bahawa kakitangan awam mesti mengundi UMNO dan BN. Ketika mengundi, yang diundi bukan kerajaan, tetapi parti politik.

Sinonimnya UMNO dengan kerajaan selama ini ialah kerana pertukaran kerajaan tidak pernah berlaku sejak merdeka lagi. Ia sudah jadi seolah-olah UMNO itu kerajaan dan kerajaan itu UMNO.

Dalam memastikan undi tidak beralih arah, malah selalu kedengaran pimpinan UMNO mengingatkan kakitangan awam agar tidak menggigit jari pihak yang memberi mereka makan. Kakitangan awam seolah-olah diugur untuk terus menyokong UMNO dan BN serta jangan sesekali memberi undi kepada pembangkang.

Keadaan itu bukan saja salah, bahkan jauh menyimpang. Berkhidmat dengan kerajaan tidak bererti bekerja dengan UMNO dan BN. UMNO dan BN menguasai kerajaan hanya kerana kebetulan mereka terus mendapat sokongan, namun ia adalah perkara yang boleh berunah setiap kali pilihanraya diadakan.

Apa pun perubahan dalam kerajaan atau bertukar parti yang membentuk kerajaan, penjawat awam tetap kekal berkhidmat dengan kerajaan. Mereka tidak boleh sesukat hati diberhentikan atau dibuang hanya kerana parti lain yang memerintah.

Dalam hal ini, kakitangaan awam sebenarnya punya kelebihan. Jika mereka tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi, gaji tidak meningkat, beban kerja bertambah sedangkan dalam masa yang sama pemimpin parti yang sedang menguasai kerajaan bebas bersukaria berbelanja, membazir, mengamalkan rasuah dan sebagainya, berubah dan mengalihkan sokongan adalah pilihan yang paling wajar.

Kakitangan awam harus berani memberi pengajaran kepada orang-orang politik yang ada jawatan dalam kerajaan dengan menolak mereka dan seterusnya memberi keutamaan kepada pemimpin parti lain pula untuk mentadbir kerajaan. Dalam masa yang sama, kedudukan mereka terus juga kekal sebagai penjawat awam.

Jika dilihat dalam konteks Selangor dan Pulau Pinang misalnya, perubahan kepimpinan kerajaan akhirnya memberi keuntungan kepada penjawat awam itu sendiri. Hanya kerana bertukar kerajaan, mereka dapat bonus dua dan dua bulan setengah gaji, manakala di Pusat dan di negeri-negeri lain yang masih ditadbir UMNO, imbuhannya masih lagi dalam lingkungan RM500 saja.

Mungkin juga pertukaran kerajaan turut membawa beberapa manfaat lain lagi kepada penjawat awam. Pertukaran kerajaan tidak sesekali merugikan penjawat awam kerana yang hilang jawatan dengannya hanyalah anggota pentadbiran atau pemimpin politik yang menempek di tampuk kerajaan saja.

Lantaran itu, kenyataan Cuepacs bahawa tiada jaminan penjawat awam akan terus mengundi BN adalah kenyataan yang tepat dan bijak. Lagi mudah kerajaan bertukar tangan, lagi banyak keuntungan menunggu masa depan mereka. (ShahbudinHusin 21/07/2017)

Thursday, 20 July 2017

MALAYSIA TERUS GLAMOUR DI MATA DUNIA


Seorang ahli politik United Kingdom mengemukakan usul mengenai 1MDB di Parlimen negara itu berikutan kebimbangan terhadap pelbagai dakwaan salah laku yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan kerajaan itu.

Usul yang dikemukakan wakil Parti Buruh, Ann Clwyd itu turut menyatakan gesaan agar kerajaan Malaysia membenarkan pemerhati antarabangsa memantau PRU 14 akan datang bagi memastikan ia dijalankan dengan bebas dengan adil.

Usul yang dikemukakan itu juga mengambil kira bahawa Malaysia akan menjadi Pengerusi Negara-Negara Komanwel pada 2020 akan datang.
Fuhhh...terserlah satu lagi kehebatan Malaysia di era Najib Razak ini.

Hanya melalui 1MDB yang ditubuhkan Najib, selain menjadi paparan berita ke seluruh dunia dan beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Singapura, Switzerland, Australia dan Luxembourg telah menjatuhkan hukuman, mendenda dan bakal merampas banyak harta, kehebatannya terbukti lagi sehingga memasuki Parlimen UK pula.

Selama 22 tahun Tun Mahathir Mohamad berkuasa, tidak pernah sama sekali beliau mampu menjulang nama negara sehingga sejauh itu glamournya.

Hanya Najib satu-satunya yang "terbaik dalam menaikkan nama negara"  di mata dunia.

Agaknya, dengan hampir seluruh dunia memperkatakan mengenai 1MDB dan Malaysia sejak dua tiga tahun kebelakangan ini, sudah tentulah ia suatu promosi pelancongan yang paling berkesan buat negara.

Nazri Aziz barangkali antara yang gembira kerana secara tidak langsung telah meringankan kerjanya sebagai Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.

Antara kaitan skandal 1MDB dengan UK ialah bilamana DOJ turut menyenaraikan sebuah penthouse, bangunan pejabat dan pangsapuri di London milik Jho Low bernilai RM416 juta untuk tujuan penyitaan bersama pelbagai aset dan hartanah yang lain yang kebanyakannya di Amerika.

Bagaimanakah agaknya rupa wajah Malaysia andainya usul tersebut diterima untuk dibahaskan di Parlimen UK nanti, sedangkan di Parlimen Malaysia usul 1MDB ditolak mentah-mentah untuk dibincangkan?

Bagaimanakah juga pandangan negara anggota yang lain jika di ketika Malaysia mempengerukan Komanwel pada 2020 nanti, kepimpinan negara masih yang sama dengan yang ada hari ini yang terkait dengan skandal 1MDB dan diperbualkan di seluruh dunia?

Tidakkah kita akan turut terasa tempias malunya? (ShahbudinHusin 20/07/2017)

JIKA CABARAN BERSUMPAH KEBUDAK-BUDAKAN, ADAKAH NAJIB YANG PERNAH BERSUMPAH JUGA MASIH BUDAK?

Kenapa Peguam Negara, Apandi Ali hanya mampu menjawab dengan menyifatkan cabaran Tun Mahathir Mohamad untuk bersumpah bohong di masjid mengenai skandal 1MDB, sebagai kebudak-budakan?

Itukah saja jawapan yang mampu diberikannya sebagai Peguam Negara?

Kenapa tidak berani menjawab ya atau tidak terhadap cabaran itu atau tampil membentangkan fakta undang-undang untuk menolak cabaran bersumpah oleh Tun Mahathir?

Jika masih takutkan Tuhan, hanya itukah jawapan yang terbaik bagi seorang Peguam Negara?

Bukankah cabaran Tun Mahathir itu berikutan pengakuan Apandi sendiri bahawa beliau hanya takutkan Allah dan tidakkah bersumpah merupakan salah satu cara untuk mengetahui sama ada seseorang itu benar-benarkan takutkan Allah atau sekadar kata-kata yang basah di bibir saja?

Jika benar takutkan Allah dan tiada apa yang disembunyikan, kenapa takut dengan cabaran bersumpah?

Dalam pada itu, adakah tindakan Tun Mahathir mencabar bersumpah di masjid suatu perbuatan kebudak-budakan?

Jika ia perbuatan kebudak-budakan, apakah Najib Razak yang pernah bersumpah di masjid menafikan hubungannya dengan Altantuya Sharibu beberapa tahun sebelum ini juga bersifat kebudak-budakan?

Atau di mata Apandi, Najib sebenarnya lebih kebudak-budakan lagi? (ShahbudinHusin 20/07/2017)

Wednesday, 19 July 2017

SELAIN UNTUK MENUTUP SKANDAL 1MDB, ADAKAH RCI FOREX JUGA BAKAL MODAL KEMPEN PRU 14 MENYERANG TUN M?


Sukar untuk sesiapa pun menafikan bahawa keputusan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kerugian pertukaran matawang asing atau RCI Forex adalah semata-mata untuk menutup pandangan ramai terhadap skandal 1MDB.

Hanya disebabkan adanya skandal 1MDB yang jauh lebih besar kerugiannya dan juga kerana Tun Mahathir Mohamad sedang menjadi musuh utama untuk menjatuhkan Najib Razak, maka itulah sebabnya RCI Forex itu diwujudkan.

Selain dua sebab tersebut, jika Najib benar-benar ikhlas mahu mencari kebenaran berhubung kerugian perniagaan matawang yang berlaku kira-kira 25 tahun dahulu, beliau tentulah tidak menunggu sehingga 8 tahun selepas menjadi Perdana Menteri baru menubuhkan RCI itu.

Kenapa tidak ditubuhkan RCI Forex seawal menjadi Perdana Menteri pada 2009 dulu lagi?

Bak kata pepatah moden, sekilas ikan di pasar, sudah tahu masakan apa yang sesuai untuknya.

Begitulah dengan RCI Forex ini, niat serta tujuan ia ditubuhkan terlalu mudah untuk difahami. Lagi pula, yang didesak oleh banyak pihak tentang perlunya ditubuhkan Suruhanjaya Diraja ialah berkaitan skandal 1MDB yang busuk dan hapaknya sedang tersebar ke seluruh dunia, bukannya kerugian urusniga forex.
Kerugian forex cumalah kerugian dalam perniagaan dan individu yang bertanggungjawan seperti disebut oleh Anwar Ibrahim iaitu Nor Mohamed Yakcop sudah pun diminta untuk meletakkan jawatan dan dilarang terlibat urusan kewangan negara.

Bagaimanapun, Nor Mohamed Yakcop dijadikan Menteri Kewangan Kedua ketika era Tun Abdullah Badawi dan sekarang pula menjadi Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Berhad, cabang utama pelaburan kerajaan.

Kini RCI Forex sudah pun ditubuhkan, anggota jawatankuasa telah dilantik dan ia diberi tempoh selama tiga bulan untuk menyiapkan  laporan serta mencadangkan tindakan kepada kerajaan.

Kenapa tempohnya tiga bulan?

Sekali lagi, niat dan nawaitunya mudah sekali dikesan. Tempoh tiga bulan yang diberikan itu bermakna RCI Forex  harus menyiap dan menghantar laporannya kepada kerajaan sebelum berakhirnya bulan Oktober depan.

Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi baru-baru ini memberi bayangan bahawa PRU 14 hanya akan diadakan selepas September dan tidak mungkin sebelum tarikh itu.

Najib pula sebagai Menteri Kewangan dijangka akan membentangkan Belanjawan 2018 pada 27 Oktober depan. Sudah tentu belanjawan kali ini sarat dengan gula-gula dan umpan politik untuk tujuan menang pilihanraya.

Entah berapa bilion lagi bakal ditaburkan untuk memenangi hati rakyat dan menggula-gulakan pengundi, meskipun hakikatnya kerajaan pimpinan Najib semakin tidak berduit sehingga bayaran elaun untuk guru pelatih Institut Pendidikan Guru pun akan dimansuhkan mulai tahun depan.

Bersama gula-gula dan umpan politik dalam belanjawan untuk menawan hati rakyat itu, hasil laporan RCI Forex sudah pasti akan menjadi senjata utama untuk bertujuan menyerang, melemah dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap Tun Mahathir yang kini mengetuai Pakatan Harapan.

Ertinya, PRU 14 hanya akan diadakan selepas Oktober tahun ini. Boleh jadi ia akan diadakan November atau awal tahun 2018.

Itulah barangkali sebabnya  mengapa tempoh tiga bulan diberikan kepada RCI Forex itu untuk menyiapkan tugasnya. 

Dapatan RCI akan dijadikan senjata sehabis-habisnya untuk menyerang dan melemahkan Tun Mahathir, manakala umpan dan gula-gula belanjawan pula dijadikan sandarah untuk mencairkan hati rakyat.

Kemungkinan pertuduhan jenayah turut dikenakan kepada Tun Mahathir juga tidak boleh ditolak memandangkan Najib sendiri ada membayangkan perkara itu ketika mengulas sokongan bekas Perdana Menteri itu kepada Anwar sebagai bakal Perdana Menteri, baru-baru ini.

Oleh itu, buat jangkaan kali ketiganya, tidaklah sukar untuk kita menduga apakah hasil laporan dan cadangan RCI Forex itu kepada kerajaan nanti? (ShahbudinHusin 19/07/2017)

JIKA BENAR TAKUT ALLAH, SAHUTLAH CABARAN INI?


Ramai yang agak skeptikal dengan kenyataan Peguam Negara, Apandi Ali bahawa beliau hanya takutkan Allah dan tiada apa yang disembunyikannya berhubung skandal 1MDB.

Kata mereka, siapa pun boleh bercakap tentang takutkan Allah,  tetapi akhirnya kata-kata itu sama ada benar atau tidak, terzahir melalui perbuatan atau tindakan.

Kadangkala penjahat pun selalu berkata takutkan Allah, tambah mereka lagi.

Hakikatnya, sama ada seseorang itu takutkan Allah atau sebaliknya, tidak cukup sekadar kata-kata, tetapi mesti dibuktikan melalui tindakan atau perbuatannya.
Susulan kenyataan Apandi yang mengatakan beliau hanya takut kepada Allah itu, peguam Gobind Singh Deo tampil dengan cabaran mudah iaitu agar Apandi  berani mendedahkan jejak wang RM2,600 juta yang diterima Najib Razak.

Kata beliau, daripada mengatatakan tidak takut Allah, Apandi perlu meyakinkan rakyat Malaysia dengan fakta yang menunjukkan Najib benar-benar tidak terlibat dalam skandal berkaitan dana 1MDB.

Apa yang susahnya untuk buat begitu? Apandi patut berani menyahut cabaran ini kerana dia kata dia tak buat salah, tiada apa yang disembunyikan dan hanya takut kepada Tuhan, tegas Gobind lagi.

Sekadar imbasan semula, laporan DOJ mendapati wang AS$731 juta keseluruhannya, termasuk AS$681 juta yang mengalir masuk ke akaun peribadi "Malaysian Official 1" adalah berpunca daripada dana 1MDB yang diselewengkan.

Meskipun tidak dinamakan siapa "Malaysian Official 1" itu, tetapi Abdul Rahman Dahlan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Pengarah Komunikasi Strategik BN secara jelas mengatakan MO1 adalah Najib dan hanya orang bodoh tidak memahami fakta tersebut.

Dalam perbicaraan di mahkamah Singapura pula, berdasarkan pengakuan Pengurus Falcon Bank, Jens Fred Sturzeneger, sudah menjadi fakta bahawa Tanore Finance Corporation yang didapati memasukkan wang tersebut ke akaun peribadi Najib itu adalah milik Eric Tan Kim Long.

Beliau juga mengesahkan bahawa Eric Tan adalah orang yang sama dengan Jho Low di mana hanya Jho Low yang berurusan dengannya berkaitan dana 1MDB sambil jutawan playboy itu mengakui sesekali menggunakan nama Eric Tan bagi tujuan keselamatan. 

Sama seperti dapatan FBI di Amerika, fakta di mahkamah Singapura secara sahih mendapati tiada Pak Arab yang terlibat dalam menyalurkan derma beribu-ribu juta kepada Najib.

Apa macam Apandi, ada berani dengan cabaran Gobind yang bukan pun beragama Islam itu?

Masihkah takutkan Allah atau mula terfikir ada yang lebih ditakuti untuk menyahut cabaran mudah tersebut? (ShahbudinHusin 19/07/2017)

Tuesday, 18 July 2017

APANDI HANYA TAKUT ALLAH...TERUS KELU LIDAH DAN LEMAH JARI-JEMARI DIBUATNYA!!

Kata Peguam Negara, Apandi Ali, tiada apa yang disembunyikannya berhubung penyiasatan mengenai skandal 1MDB.

Sehubungan itu, tambahnya, beliau tidak takut kepada sesiapa, termasuk Tun Mahathir Mohamad, tetapi hanya takut kepada Allah.

Menurut beliau, apa saja tindakannya sebagai Peguam Negara adalah berdasarkan fakta di dalam kertas siasatan dan tiada apa-apa yang disembunyikannya.

Apandi berkata demikian sebagai menolak gertakan Tun Mahathir yang mengatakan akan mendakwa Peguam Negara atas dakwaan menyembunyikan bukti skandal 1MDB sekiranya Pakatan Harapan memenangi pilihanraya umum akan datang.

"Saya bukan peguam, tapi saya tahu jenayah bukan dibawah OSA. Dan bila ia jenayah, kena lapor bukan kena sembunyi.

"Peguam Negara lakukan kesalahan besar kerana sembunyikan bukti jenayah. Satu hari nanti dia kena jawab.

"Kalau nak tahu Peguam Negara buat salah atau tidak, beri kemenangan kepada Pakatan Harapan," kata Tun Mahathir lagi.

Syukurlah kita akhirnya ada Peguam Negara yang tidak takut kepada sesiapa dalam menjalankan tugas, tetapi cuma takut kepada Allah semata-mata.

Dengan Tun Mahathir dia tak takut, tentunya dengan Najib Razak pun dia tak takut juga.

Oleh itu, saya tidak mampu memberi apa-apa ulasan lain lagi setelah membaca kenyataan Apandi kali ini, melainkan ingin mengucapkan syukur beberapa kali.

Syukur...syukur...syukur, selamat negara ada Peguam Negara seperti beliau.

Seperti kelu lidah dan lemah jari-jemari untuk terus menulis dengan panjang.

Jadi, saya serahkanlah kepada pembaca dan penjenguk blog ini kiranya mereka ada apa-apa komen atau ulasan mengenai kenyataan Apandi yang baru hari ini kita tahu, hanya Tuhan saja yang ditakutinya.

Tetapi...ingat, berilah komen yang baik-baik dan dengan bahasa yang elok-elok.

Sebab nanti ada pula yang menyoal, tak takut Allah ke? (ShahbudinHusin 18/08/2017)

INILAH YANG DIKATA LEBIH UMNO DARIPADA UMNO

Wah...wah...wah...hebatnya Nik Abduh Nik Aziz sekarang ini.

Kata beliau, rakyat tidak harus membelakangkan pemerintah dengan mendengar hasutan yang memfitnah pemimpin.

"Mereka berjaya menyebarkan ketidakpuasan melalui fitnah dan pembohongan sehingga tidak lagi mensyukuri nikmat keharmonian sedia ada," demikian antara kata-katanya.

Apa yang fitnah serta bohongnya terhadap pemimpin dan pemerintah?

Adakah 1MDB itu suatu fitnah dan bohong? Apakah Jho Low yang merupakan dalang mencuri duit suatu 1MDB fitnah dan bohong? 

Adakah wang RM2,600 juta dalam akuan bank Najib Razak juga fitnah dan bohong? Adakah anak tiri Najib membeli apartment mewah ratusan juta ringgit di New York dan London suatu fitnah dan bohong?

Adakah keluarga Najib bermewah, membazir dan membeli-belah di sana-sini fitnah dan bohong? Adakah isteri Malaysian Official 1 menerima hadiah barang kemas, termasuk rantai dan loket berwarna merah jambu dengan jumlah keseluruhan RM128 juta juga suatu fitnah dan bohong?

Jika bukan fitnah dan bohong, apakah mengkritik dan mendedahkan kecurangan serta salah laku pemimpin sebagai tanda tidak bersyukur?

Apakah oleh kerana pemimpin yang ada tuli dan pekak terhadap segala teguran, malah terus bangga dengan kemungkaran serta mendatangkan beban, maka menyeru agar rakyat menukar kerajaan juga boleh ditakrif tidak bersyukur?

Adakah sebagai rakyat kita hanya mesti diam dan akur saja meskipun rompakan dan pencurian wang negara banyak berlaku di depan mata?

Tidak syak lagi, kenyataan ini tentunya, bukan saja amat menggembirakan Najib, tetapi juga semua pemimpin UMNO yang lain.

Pemimpin UMNO ketika ini pun ada yang segan-segan untuk bercakap sedemikian rupa lantaran mereka tahu hakikat yang sebenarnya mengenai Najib dan kerajaan, cuma ramai yang bertahan kerana jawatan, kedudukan, wang dan semata-mata "cari makan".

Adakah Nik Abduh juga seorang yang "cari makan" atau sebagai pemimpin Pas yang hari-hari bercakap tentang Islam dan Al-Quran, beliau merasakan ada pahala dengan berkata demikian?

Di sebalik Pas masih mengatakan UMNO musuh mereka dan mereka mendakwa kononnya tetap dengan perjuangan untuk menumbangkan UMNO, kata-kata pemimpinnya jelas "lebih UMNO daripada UMNO".

Di ketika ramai orang UMNO tidak lagi bersama UMNO atau jadi kurang UMNO, Nik Abduh dan sebahagian lagi pimpinan Pas sebaliknya jadi lebih UMNO daripada UMNO.

Mereka juga, malah dengan sendirinya membuktikan sudah jadi kurang Pas daripada mendokong perjuangan Pas itu sendiri. Seolah-olah mempertahankan Najib dan pemerintah lebih utama dan wajib.

Kenapa tak masuk atau bergabung saja dengan UMNO dan masih salahkah tanggapan Pas dan UMNO sudah sehati sejiwa? (ShahbudinHusin 18/07/2017)

Monday, 17 July 2017

PERBAHASAN AKTA 355 TERTANGGUH LAGI, BAGAIMANA PULA AGAKNYA BILA OKTOBER NANTI?


Selepas beberapa kali tertangguh atau sengaja ditangguhkan, sidang Parlimen Julai ini sepatutnya adalah detik yang dinanti-nantikan untuk menyaksikan perbahasan rang undang-undang Akta 355 menjadi kenyataan.

Perbahasan dan seterusnya pengundian akan menyaksikan bukan saja sejauh mana Pas serius terhadap pindaan Akta 355 itu, tetapi juga untuk melihat sama ada Ahli Parlimen UMNO berani menyokong atau sekali lagi tunduk kepada MCA, MIC, Gerakan serta komponen Sabah dan Sarawak yang sebelum ini terang-terang menolaknya sehingga Najib Razak terpaksa membatalkan untuk menjadikannya sebagai usul kerajaan.

Bagaimanapun, nampaknya perbahasan Julai ini juga sekali lagi akan tertangguh  dan tidak menjadi kenyataan.
Ia berikutan keadaan Presiden Pas, Hadi Awang yang masih belum pulih sepenuhnya selepas melakukan pembedahan injap jantung di IJN, baru-baru ini.

Memetik kenyataan Khalil Hadi yang merupakan Ketua Pemuda Pas, beliau berkata, ayahnya mungkin tidak dapat menghadiri sessi Parlimen Julai ini berikutan masih memerlukan rehat untuk memastikan proses pemulihan benar-benar berjaya.

Dengan kata lain, tiadalah perbahasan Akta 355 pada sidang Parlimen Julai ini dan ia seterusnya mungkin akan dianjak kepada sessi Parlimen Oktober akan datang.

Legalah seketika jiwa dan perasaan mereka yang berkaitan. Jika tidak, peninglah juga mencari alasan, takkan memanjang tak cukup masa sebagai sandaran sedangkan sudah kerap menjajanya sehingga ke London dan berhimpun di Padang Merbok.

Bagaimana agaknya dengan sidang Parlimen pada Oktober nanti? 

Adakah Akta 355 akan tertangguh lagi lagi atau benar-benar akan menjadi kenyataan?

Tetapi, jangan lupa, sidang Parlimen bulan Oktober akan datang, agenda utamanya ialah pembentangan Bajet 2018 yang akan merupakan medan terakhir bagi Najib menabur umpan dan gula-gula kepada rakyat sebelum pilihanraya diadakan.

Maka, sediakah mereka memberi laluan kepada perbahasan dan seterusnya undian Akta 355 sedangkan ia tentu saja boleh menimbulkan konflik yang boleh menjejaskan tahap sokongan pengundi bukan Melayu serta di Sabah dan Sarawak kepada BN?

Mungkinkah juga tidak lama selepas pembentangan Bajet 2018 itu Parlimen akan segera dibubarkan bagi membolehkan PRU 14 diadakan, laku akhirnya isu perbahasan Akta 355 terpadam dengan sendirinya?

Ataukah akan muncul alasan lain untuk menangguhkannya sekali lagi?

Jika begitu, bila sudahnya Akta 355 ada laluan untuk dibahas dan diundi?

Seperti yang pernah disebut beberapa kali sebelum ini, percayalah bahawa Akta 355 ini hanyalah untuk geli-gelian saja, bukan sangat untuk dilaksanakan sebagai undang-undang atau dijadikan hukum dalam kehidupan.

Asalkan dengannya ada yang terasa geli, boleh diajak berdekat, berpakaian sedondon, berjalan-jalan sambil minum teh tarik ke London, berhimpun di padang dan diperguna sebagai tongkat mengekalkan kuasa, ia sebenarnya sudah lebih daripada memadai.

Jika UMNO serius untuk melaksanakan pindaan Akta 355, mereka sendiri sebagai kerajaan yang akan membentangkannya, bukan meminta Pas membawanya sebagai usul persendirian dan kemudian dikembalikan semula kepada kerajaan untuk mengusulkannya.

Mana ada kerajaan suka memilih jalan berliku-liku dan berbelit-belit sedangkan jalan yang lurus memang tersedia di depan mata, kecuali ia hanyalah helah dan untuk mengena serta memperdaya demi kepentingan kuasa. (ShahbudinHusin 17/07/2017)

DIA BEBAS PERGI KE MERATA KAWASAN, KENAPA ORANG LAIN TAK BOLEH DATANG KE BAGAN DATUK? STAIL POLITIK APA INI?


Politik demokrasi adalah politik terbuka. Semua orang bebas pergi ke mana-mana, tidak ada sesiapa yang boleh mewujudkan halangan sama ada dia untuk pergi ke kawasan orang lain atau orang lain datang ke kawasannya.

Jika seseorang itu pemimpin yang bagus, berkhidmat dengan baik, tidak banyak pekung, tidak berperangai gangster dan sentiasa punya hubungan dua hala yang baik, tidak ada sebab mereka harus takut atau gentar dengan kedatangan musuh ke kawasannya.

Tun Mahathir Mohamad sepanjang berkuasa tidak pernah kata, "jangan kacau Kubang Pasu", Tun Abdullah Badawi juga tidak pernah memberi amaran, "jangan ganggu Kepala Batas" dan Najib Razak yang sedang terperosok diserang kini dan kanan pun belum pernah menjerit, "jangan kacau kawasan saya, Pekan."

Malah ramai pemimpin politik yang apabila berbalas cabaran, akhirnya dengan lantang akan mengungkapkan, "kalau betul anak jantan, marilah datang berlawan ke kawasan saya?"
Tetapi, agak pelik lagi menghairankan apabila Zahid Hamidi yang kini merupakan pemimpin Perak pertama merasa naik sehingga jadi Timbalan Perdana Menteri, cuba bersikap sebaliknya pula?

Kata Zahid Hamidi, orang luar jangan cuba-cuba mengganggu politik Bagan Datuk.

Beliau seterusnya menyalahkan gangguan orang luar sebagai antara sebab berlakunya tsunami politik dalam dua pilihanraya umum lalu di Bagan Datuk  di mana beliau hanya menang dengan kira-kira 2,000 undi saja.

Apa masalahnya jika orang luar datang ke Bagan Datuk dan mahu mengalahkannya?

Bukankah politik demokrasi memang begitu - mengalahkan atau kita dikalahkan?

Kenapa Zahid Hamidi takut sangat dengan kedatangan orang luar ke Bagan Datuk?

Adakah beliau sudah terasa mungkin akan kalah dalam pilihanraya akan datang?

Bagaimana pula dengan beliau sendiri yang selalu pergi ke merata tempat dengan yang terbaru ke Gombak, Selangor minggu lalu sambil menggesa pemimpin UMNO kawasan itu datang bertemu dengannya dalam tempoh dua minggu bagi merencana strategi agar Pakatan Harapan dapat dikalahkan?

Tidaklah dengan tindakannya itu, Zahid Hamidi sendiri telah melakukan gangguan kepada kawasan Azmin Ali dan Pakatan Harapan?

Jika beliau boleh datang dan melakukan gangguan ke kawasan lain dengan tujuan mengalahkan lawan UMNO dan BN, apa masalahnya Pakatan Harapan datang ke Bagan Datuk untuk melakukan perkara yang sama?

Ini demoklasi maaa....(ShahbudinHusin 17/07/2017)

KALAU BETUL NAK LAWAN UMNO, KENAPA PAS TUNJUK KACAU DI PERMATANG PAUH?


Hanya beberapa hari setelah Pakatan Harapan mengumumkan struktur kepimpinan beserta logonya yang serta-merta membuatkan UMNO tersentak, kalut, terpinga-pinga dan mamai, Pas tiba-tiba muncul dengan impian yang sama iaitu mahu menggapai Putrajaya juga.

Jika dulu parti itu hanya mahu jadi penasihat kepada kerajaan, enggan berebut kuasa dengan UMNO dan kerusi Parlimen yang mahu ditandingi sekadar 100 saja dengan sasaran menang cuma 40 adanya, dan ia adalah gambaran jelas bahawa Pas tidak ada cita-cita untuk menubuhkan kerajaan secara sendirian, kini sesuai dengan pembentukan rasmi Pakatan Harapan yang merupakan pilihan untuk menggantikan UMNO dan BN, pendirian Pas juga turut berubah sama.

Daripada 100 kerusi, Pas kini melalui pengumuman oleh Naib Presiden, Idris Ahmad mengubah jumlah kerusi Parlimen yang mahu ditandinginya kepada 140 dengan matlamat barunya untuk membentuk kerajaan sendiri.
Ini bermakna, daripada 140 kerusi itu, Pas bercita-cita dan berhasrat untuk menang sekurang-kurangnya 112 kerusi - jumlah minimum yang diperlukan oleh mana-mana parti atau gabungan untuk membentuk sebuah kerajaan daripada 222 kerusi Parlimen keseluruhannya.

Sifir mudahnya ialah dulu Pas nak bertanding 100 kerusi, matlamat menangnya cuma 40 kerusi saja dan jauh daripada layak untuk menubuhkan kerajaan. 

 Bermakna juga, 60 kerusi selebihnya Pas hanya sedia kalah atau mereka memang tahu akan kalah di kawasan-kawasan tersebut.

Kini, dengan tiba-tiba Pas ingin bertanding 140 kerusi dengan sasaran kemenangan baru ialah 112 kerusi iaitu sesuai dengan cita-cita mahu membentuk kerajaan.

Maknanya, daripada 140 kerusi yang bakal ditandingi Pas dalam pilihanraya akan datang, kawasan yang mereka sedia kalah atau tahu akan kalah cuma tinggal 28 kerusi saja.

Kalau tidak, macam mana Pas boleh yakin mampu menubuhkan kerajaan melalui penyertaan bertanding cuma 140 Parlimen itu.

Wowww...hebatnya Pas!!

Tiba-tiba saja ada sasaran baru dan keyakinan baru untuk membentuk kerajaan seperti sudah dapat wahyu dari langit nan biru?

Adakah semua ini suatu impian, cita-cita atau angan-angan?

Betulkan Pas boleh menang sehingga 112 kerusi Parlimen?

Jika menang, siapa calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri daripada Pas?

Siapa pula bakal barisan anggota kabinetnya? 

Siapa Menteri Kewangan, Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan sebagainya?
Ataukah cita-cita Pas mahu meletakkan calon di 140 kerusi Parlimen hanya bertujuan melebarkan gangguan kepada Pakatan Harapan dan seterusnya memberi kelebihan kepada Najib, UMNO, BN dan kerajaan kleptokrasi mengekalkan kuasanya?

Mengapa hanya setelah Pakatan Harapan selesai mengumumkan struktur kepimpinannya, barulah Pas mengubah turut matlamat mahu bertanding daripada 100 kepada 140 kerusi Parlimen?

Kenapa tidak sebelum ini lagi?

Dalam pengumuman tersebut, Idris juga menolak dakwaan Tun Mahathir Mohamad bahawa Pas "makan dedak" pemberian UMNO, mengatakan mereka masih lagi merupakan parti pembangkang serta tetap dengan pendirian ingin menumbangkan UMNO dan BN.

Ewah...ewah...benarkah lagu tu?

Jika begitu, mengapa Pas melakukan pelancaran jentera pilihanrayanya dengan bermula di Permatang Pauh, satu kawasan yang merupakan kubu kuat PKR?

Kalau benar mahu menentang UMNO dan tiada sekelumit pun hasrat mahu memberi kelebihan kepada BN, kenapa Pas tidak melakukan pelancaran jentera pilihanrayanya di Pekan, Pahang; Bagan Datuk, Perak atau di Sembrong, Johor?

Mengapa juga pelancaran jentera pilihanraya Pas tidak dilakukan di Marang, kawasan Parlimen yang merupakan kubu kuat Hadi Awang sendiri atau di mana-mana kawasan milik Pas?

Ehem...ehem....kita minum dulu!! (ShahbudinHusin 17/07/2017)

Sunday, 16 July 2017

PAKATAN HARAPAN ATAU HISHAMMUDDIN SENDIRI YANG BERKECAMUK?

Sepupu Najib Razak, Naib Presiden UMNO, Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-Tugas Khas (banyaknya jawatan?), Hishammuddin Hussein menyifatkan pembentukan kepimpinan Pakatan Harapan yang diumumkan baru-baru ini sebagai berkecamuk, tanpa hala tuju yang sebenar, tidak menentu serta perlantikan dibuat secara semberono.

"Berkecamuk. Sekarang pun pemimpin main semberono, dia pakai lantik tiga orang itu (Anwar Ibrahim, Tun Mahathir Mohamad dan Dr. Wan Azizah Wan Ismail)...yang lain apa ceritanya?

"Mana nak letak Mukhriz Mahathir, mana nak letak Shafie Apdal, mana nak letak Muhyiddin Yassin? Itu semua jadi tanda tanya," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lenggong, Perak sebagaimana yang dilaporkan oleh Bernama.

Berkecamuk? Apanya yang berkecamuknya?

Anwar adalah Ketua Umum, Tun Mahathir Pengerusi dan Dr. Wan Azizah pula merupakan Presiden Pakatan Harapan.

Bukankah cantik dan tersusun perlantikan tersebut?

Berkenaan dengan Muhyiddin, beliau adalah berjawatan Timbalan Presiden Pakatan Harapan bersama Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu, sementara Mukhriz memegang jawatan Naib Presiden bersama Azmin Ali, Chong Chieng Jen dan Sallahuddin Ayub.

Shafie Apdal pula memang tidak dilantik sebarang jawatan dalam Pakatan Harapan kerana Parti Warisan Sabah yang dipimpinnya tidak menganggotai gabungan itu, sebaliknya bekerjasama dalam suatu persefahaman untuk sama-sama menumbangkan UMNO dan BN dalam pilihanraya umum akan datang.

Rasanya berita mengenai kedudukan Muhyiddin dan Mukhriz ini sudah pun diketahui oleh semua orang, begitu juga tentang kedudukan Parti Warisan Sabah yang dipimpin oleh Shafie.

Jadi, yang Hishammuddin masih bertanya mana Pakatan Harapan nak letak Muhyiddin, Mukhriz dan Shafie Apdal itu apa hal pulak?

Bukankah Muhyiddin dan Mukhriz sudah pun ada tempat dan kedudukan masing-masing dalam Pakatan Harapan?

Shafie memang tidak perlu diberikan jawatan kerana tidak bersama secara rasmi dalam Pakatan Harapan.

Tak baca berita ke atau masih duduk dalam gua?

Adakah juga talian internet di Sembrong masih lembab dan perlahan?

Dengan masih bertanya perkara yang tidak sepatutnya ditanya, siapakah yang sebenarnya sedang berkecamuk, tidak menentu dan semberono? (ShahbudinHusin 16/07/2017)

UMNO SAH MATI AKAL, AKHIRNYA HANYA LOGO HARAPAN JADI MODAL CECEHAN


Kejayaan Pakatan Harapan membentuk struktur kepimpinan, sekaligus bermakna perbalahan dan perbezaan pendapat mengenai kedudukan serta jawatan sudah pun berakhir serta mematikan isu DAP sebagai ancaman, akhirnya telah membuatkan pimpinan UMNO mati akal dan kemurungan.

Dalam struktur kepimpinan itu, walaupun di peringkat tertingginya masih diketuai majoriti pemimpin lama, tetapi ia adalah keperluan dan suatu komiten terbaik untuk menyingkirkan Najib Razak, UMNO dan BN.

Dengan pengalaman, aura dan pengaruh tersendiri mereka itu, ajakan kepada rakyat untuk melakukan perubahan lebih mungkin menjadi realiti berbanding jika terus pemimpin muda mengemudi pilihanraya. Setelah memenangi pilihanraya dan mendapat kuasa, pemimpin lama dan berpengalaman ini tidak mungkin terlalu lama berada di atas sana.

Berapa lama Tun Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Muhyiddin Yassin boleh bertahan dalam usia mereka yang kian meningkat sekatang?

Mereka berada di kedudukan sekarang hanyalah sebagai pembimbing dan peneraju sementara sebelum menyerahkannya kepada pemimpin-pemimpin muda yang berada di lapisan kepimpinan kedua. 

Berbanding UMNO yang mungkin hanya ada Khairy Jamaluddin sebagai pemimpin muda, Pakatan Harapan sebaliknya ada Azmin Ali, Rafizi Ramli, Mukhriz Mahathir, Tony Pua, Nurul Izzah, Syed Saddiq dan sederetan yang lain lagi.

Sebab itu, struktur kepimpinan Pakatan Harapan ini mudah difahami oleh rakyat bahawa ia tidak lain bertujuan untuk lebih memungkinkan Najib dapat disingkirkan dan UMNO serta BN boleh dikalahkan. Setelah proses pemulihan negara dilakukan, giliran yang mudalah pula mengambil alih kepimpinan kerajaan.

Oleh kerana tiada lagi alasan dan sama mati akal untuk terus menyerang, Zahid Hamidi hanya mampu mengatakan struktur kepimpinan Pakatan Harapan itu umpama kapal yang mempunyai tiga nakhoda yang berbeza haluan yang katanya, lebih mungkin akhirnya akan karam di lautan politik penuh cabaran.

Tetapi Zahid Hamidi mungkin terlupa bahawa tiga nakhoda berkenaan tidak lagi berbeza haluan, sebaliknya sudah sehati sejiwa dan setuju untuk bergerak dengan satu tujuan.

Tidakkah kapal yang dikendali oleh tiga nakhoda yang sehati sejiwa akan jadi lebih terurus dan mampu meredah ombak serta badai di lautan berbanding kapal yang dikendali hanya seorang nakhoda, lebih-lebih lagi jika nakhoda itu lanun yang tentunya lebih sibuk menjaga hasil samunannya semata-mata?

Yang paling terbaik, tentunya berdasarkan pengalaman Tun Mahathir dan kesediaan serta jiwa besar  Lim Kit Siang untuk bertoleransi, struktur kepimpinan Pakatan Harapan itu secara langsung membunuh semua percubaan UMNO untuk mengaitkan DAP sebagai ancaman kepada kedudukan orang-orang Melayu serta masa depan negara.

Jika dulu Salleh Said Keruak mengatakan Pakatan Harapan adalah gabungan yang akan dikuasai oleh DAP serta beberapa yang lain pula mengatakan Lim Kit Siang akan dilantik sebagai Perdana Menteri, lucu sekali apabila selepas struktur kepimpinan baru ini diumumkan,  mereka berteriak bertanya, di mana pemimpin DAP dalam tiga kedudukan tertinggi Pakatan Harapan?

Pemimpin UMNO ini benci dan cuba menakutkan orang Melayu dengan DAP atau mereka sebenarnya sayangkan DAP?

Lantaran kemurungan, terdesak dan mati akal itu, apa yang mampu mereka lecehkan sekarang hanyalah berkaitan logo Pakatan Harapan atau singkatannya Harapan saja.

Ada yang mengatakan logo itu macam roket DAP, mirip lambang Star Trek, seperti bungkusan nasi lemak, malah ada yang menyamakannya dengan bentuk hidung Tun Mahathir.

Adoiii...kesiannnnya mereka!!

Nampak sangat mati akal tahap kronik sedang melanda dan otak tak lagi "centre" seperti sebelumnya. Mereka ini kalau pergi hospital sudah tentu kena tahan di wad dalam sehari dua agar dapat normal seperti sediakala.

Dengan hanya mampu melecehkan logo Pakatan Harapan sebegitu rupa, gambarannya ialah sementara ada yang mula terbayang hilang kuasa dan tempat pergantungan, yang di atas pula mungkin lebih jauh jangkauan kebimbangannya iaitu mulai sedar mungkin mahkamah dan penjara akhirnya sebagai tempat pengakhir kehidupan. (ShahbudinHusin 16/07/2017)

Saturday, 15 July 2017

SAMPAI ELAUN GURU PELATIH PUN KENA MANSUH, DUIT GST RM40 BILION SETAHUN PERGI MANA?


Perdana Menteri, Najib Razak selama ini begitu marah dan tersinggung   apabila ada dakwaan bahawa Malaysia di bawah kepimpinannya adalah negara yang gagal atau selalu disebut sedang menuju kepada bankrap.

Kata beliau, mana mungkin semua itu berlaku kerana asas ekonomi negara masih utuh, pertumbuhannya berkembang dengan baik dan Malaysia masih menjadi antara tumpuan pelabur asing.

Dengan Bank Negara meramalkan kadar pertumbuhan ekonomi antara 4.3 hingga 4.8 peratus, Kementerian Kewangan pula menjangka kadar KDNK tahun ini boleh mencecah 5.0 peratus, berbilion pelaburan daripada China mencurah datang di samping pelbagai penilaian lain yang bersifat positif, Najib selalu mengatakan andaian negara gagal itu bukan saja tidak benar, malah berniat jahat.

Dengan kata lain, berdasarkan semua gambaran itu, negara tentulah mempunyai banyak wang untuk dibelanjakan.

Puak-puak pembela Najib pup selalu menepis tanggapan negara gagal atau menuju bankrap itu dengan mengatakan McDonalds dan KFC selalu penuh, musim Hari Raya di Jalan Masjid India sesak seperti biasa, Tesco serta Mydin tetap dikunjungi ramai dan setiap kali musim perayaan, lebuhraya padat dengan kenderaan.
Lebih dari itu, kata mereka lagi,  Najib juga adalah pemimpin terbaik dalam menguruskan negara ini berbanding yang lain-lainnya.

Hehehehe.....lawaknya!!

Jika begitu, adakah berita terbaru yang mengatakan elaun untuk pelatih guru yang mengikuli latihan di IPG akan dimansuhkan pada tahun depan dan mereka diminta memohon pinjaman PTPTN, bukan satu lagi petanda bahawa negara kita tiada wang dan boleh ditakrif sebagai gagal?

Selain elaun yang akan dimansuhkan mulai tahun depan itu mengejutkan ramai ibu-bapa yang menghantar anak-anak mereka pada ke IPG pada minggu lalu,  elaun yang diterima untuk tahun ini iaitu tahun terakhir diberikan juga berkurangan menjadi RM430 saja sebulan berbanding RM650 sebulan sebelum ini.

Berapa sangat jumlah pelatih guru pada setiap tahun sehingga bebannya terasa sangat besar bagi kerajaan untuk menanggungnya sedangkan bakal-bakal guru ini memainkan peranan penting menyumbang dari segi pendidikan kepada anak bangsa?

Bukankah pelatih-pelatih guru itu apabila menamatkan pengajian, mereka akan terus berkhidmat dengan kerajaan sehingga pencen?

Jadi, apa masalahnya meneruskan pemberian elaun pengajian dan sara hidup seperti sebelum ini berbanding menghendaki mereka meminjam dengan PTPTN yang hanya menyebabkan mereka sudah  pun menanggung hutang sebelum menjejakkan kaki ke dunia pekerjaan?

Kenapa sebelum ini, elaun itu boleh diberikan, malah ketika era kepimpinan Tun Abdullah Badawi yang dikata paling lemah dan tidak tahu apa-apa itu pun, ia tidak pernah dihentikan?

Mana perginya semua wang dalam negara kita sekarang?

Siapa yang boros dan kuat berbelanja?

Mana juga perginya tambahan RM40 bilion setahun yang dikutip melalui GST sejak cukai itu diperkenalkan oleh Najib?

Kenapa sebelum adanya GST yang bermakna tiada tambahan RM40 bilion kepada negara, elaun pelatih guru sentiasa dapat diberikan?

Tidak cukup lagikah tambahan RM40 bilion itu serta wang berbilion-bilion lagi yang kononnya datang dari China untuk memakmurkan negara, yang sebahagian kecil penerimanya ialah bakal-bakal pendidik anak bangsa?

Kalau bukan negara gagal atau sedang menuju bankrap di bawah pimpinan Najib, gelaran apa lagi kita mahu panggil  kerajaan sekarang?

Kepada guru-guru, bakal guru, guru pencen, ibu-bapa kepada guru, ibu-bapa bakal guru, anak guru, menantu guru dan segala yang berkaitan dengan guru, inilah masanya untuk menukar kerajaan kerana hanya kerajaan baru nanti akan mengembalikan segala elaun dan kemudahan itu seperti yang biasa diterima sebelumnya. (ShahbudinHusin 15/07/2017).

PENTING SANGATKAH IKRAR BEBAS RASUAH UNTUK DITANDATANGANI?

Memetik kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad, dilaporkan hanya Pulau Pinang saja belum lagi menyatakan persetujuan untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah atau IBR sebagai tanda komitmen untuk memerangi jenayah tersebut.

Semua negeri yang ditadbir BN telah pun menandatangani IBR itu, manakala Selangor dan Kelantan, meskipun belum juga berbuat demikian, tetapi telah menyatakan kesediaan untuk menandatanganinya.

Penting sangatkah IBR itu sehingga Ketua Pesuruhjaya SPRM menyatakan kesalnya terhadap Pulau Pinang yang enggan menandatanganinya?

Apakah negeri-negeri yang menandatangani IBR itu tiada kes rasuah berlaku,  pimpinan kerajaannya benar-benar berusaha memerangi rasuah dan mereka tidak terpalit sama-sekali dengan sebarang elemen rasuah?

Atau negeri-negeri tersebut sekadar menandatanganinya semata-mata untuk menutup pendangan ramai terhadap kebejatan sendiri?

Tidak ada sama-sekalikah kes rasuah selama ini berlaku di negeri yang menandatangani IBR itu?

Tidak pernahkah timbul perbualan orangramai mengenai kekayaan dan kehidupan mewah pimpinan kerajaan dan segala kaum kerabatnya di negeri-negeri yang menandatangani IBR yang mungkin berpunca daripada amalan rasuah?

Adakah kerana Pulau Pinang tidak menandatangani IBR itu, maka ia bermakna mereka tidak serius memerangi rasuah berbanding negeri-negeri yang lain?

Bukanlah jika ada sebarang kes rasuah, memang menjadi tanggungjawab SPRM untuk menyiasat, menangkap dan mendakwa di mahkamah tanpa mengambil kira sama ada IBR ditandatangani atau tidak?

Jika begitu, apa yang nak kecoh-kecoh sangat dengan IBR itu?

Adakah dengan adanya IBR juga, SPRM hanya percaya sepenuhnya kepada ikrar tersebut dan mengurangkan tumpuan ke negeri-negeri berkenaan serta memberi lebih perhatian kepada Pulau Pinang yang tidak menandatanganinya?

Terlanjur adanya IBR ini, kenapa tidak SPRM turut memanjangkannya kepada semua menteri termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, kementerian-kementerian, agensi kerajaan, GLC dan sebagainya?

Adakah Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan yang paling banyak memberi kelulusan projek selama ini, pernah menandatangani sebarang IBR?

Begitu juga dengan 1MDB, Felda, FGV, Felcra dan lain-lainnya, tidak mahukah mereka diminta sama untuk menandatangani IBR tersebut?

Dan akhirnya bukankah lebih gempak dan menaikkan lagi nama SPRM jika Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB juga dapat menurunkan tandatangannya berkenaan IBR?  (ShahbudinHusin 15/07/2017).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...