Sunday, 22 July 2018

KUKUHKAN PARTI AGAR TERUS MAJU SEPANJANG MASA, SERU SEORANG AHLI MPT BERSATU


Menyokong bahawa isu pemilihan dan perebutan jawatan tidak harus menjadi agenda utama bagi sesetengah pemimpin dan ahli menjelang pemilihan pucuk pimpinan Bersatu tidak lama lagi, sebaliknya mereka diseru lebih mengutamakan agenda memperkukuhkan parti terlebih dahulu.


Sehubungan itu,mereka juga disarankan agar tidak gopoh dengan membuat saranan tertentu yang menghendaki perlu diadakan pindaan perlembagaan melalui mesyuarat agung luar biasa.


Seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Aziz Yassin berkata, Bersatu pimpinan Tun Mahathir Mohamad baru saja diberi mandat untuk mentadbir negara ini bersama dengan PKR, DAP dan Amanah melalui gabungan Pakatan Harapan.


Katanya, kemenangan itu memberi isyarat bahawa rakyat mahukan perubahan dan menunaikan janji kepada rakyat mesti diberi keutamaan berbanding lain-lain perkara.


Tambah beliau, proses pemilihan seharusnya digunakan untuk memperkukuhkan parti agar Bersatu terus dapat hidup dan menabur bakti bukan saja semasa keberadaan Tun Mahathir, tetapi juga setelah sesiapa juga yang dipilih untuk menggantikannya sebagai Perdana Menteri selepas ini.


"Untuk itu, Bersatu tidak saja perlu ahli yang ramai, bahkan juga ahli yang sanggup berjuang serta berkorban membela bangsa Melayu, kaum pribumi serta seluruh rakyat," ujar beliau.


Beliau yang juga Pengerusi Biro Ekonomi Bersatu menegaskan, fasa selepas diberi mandat mentadbir negara memerlukan ahli parti bekerja dengan lebih kuat, jujur serta ikhlas agar Bersatu terus maju dan diyakini oleh rakyat.


Aziz Yassin yang merupakan bekas Ahli Parlimen Muar seterusnya bersetuju bahawa untuk tujuan itu, Bersatu tidak perlu merubah apa-apa berkaitan sistem pemilihan, sekurang-kurangnya menjelang pemilihannya hujung tahun ini, yang memerlukan suatu mesyuarat agung luar biasa perlu diadakan bagi tujuan tersebut.


"Kita tiada masa untuk itu. Masa terlalu suntuk dan di luar sana pula rakyat sedang memerhati segala gerak geri kita," tambahnya lagi.


Kata beliau, tidak harus ada mana-mana pihak merasakan Bersatu ini milik kelompok tertentu atau menganggap hanya kumpulan tertentu saja yang memberi sumbangan dan faktor kejayaannya dalam pilihanraya umum yang lalu.


"Parti ini adalah milik semua, tetapi tanpa Tun Mahathir yang merupakan tunjang kekuatannya, kita juga tidak mungkin mencapai kejayaan tersebut," tegas Aziz Yassin.  (ShahbudinHusin 22/07/2018)

BILA LAGI PAS SEBAGAI ADIK NAK TURUN BERKEMPEN BANTU ABANGNYA UMNO?

Pas, melalui kenyataan yang dilaungkan oleh Ketua Penerangannya, Nasruddin Hassan berkata, parti itu tidak bertanding dalam pilihanraya kecil Sungai Kandis, 4 Ogos depan ialah dengan tujuan agar calon PKR yang mewakili Pakatan Harapan dapat ditewaskan.


Kata  beliau, calon Pakatan Harapan mesti dikalahkan di Sungai Kandis agar dapat menjadi suatu isyarat bahawa rakyat tidak mahu terus dipermainkan dengan kegagalan mereka dalam menunaikan janji pilihanraya.


Sejak gembar-gembur mahu jadi kuasa ketiga atau kingmaker, ini adalah kali pertama Pas bertindak tidak menyertai pilihanraya, sebaliknya sedia memberi laluan kepada UMNO meletakkan calonnya.


Berikutan itu, calon PKR yang mewakili Pakatan Harapan,  Zawawi Mughni akan berdepan calon BN, Lokman Nor Adam dan seorang calon Bebas, K Murthy.


Dalam PRU14 lalu, Sungai Kandis dimenangi oleh Shuhaimi Shafie yang memperolehi 23,998 undi menewaskan calon BN, Kamaruzzaman Johari (11,518 undi) dan calon Pas, Mohd Yusof (7,573 undi) serta calon PRM, Hanafiah Husin (76 undi).


Jika benar Pas mahu melihat calon PKR dapat dikalahkan, pemimpin-pemimpin parti itu tidak harus hanya berkokok dengan membuat kenyataan media sahaja, sebaliknya mesti turun berkempen membantu BN dengan segala "kekuatan lutut dan siku" yang mereka milikinya.


Harus diingat, PKR menang dengan undi yang agak selesa, tambahan lagi calon yang parti letakkan juga jauh lebih berwibawa berbanding calon BN yang terkenal dengan sifat rasis dan aksi tak keruannya di jalanan.


Maka, kiranya Pas benar-benar mahu melihat calon PKR tewas, parti itu bukan saja kena melipat-gandakan usaha, malah wajib turun padang berkempen dengan segera, tidak saja dengan ceramah, malah lebih terpuji jika pemuda-pemuda Pas dapat sama-sama menggantung atau menampal poster serta bendera BN bersama dengan pasukan gerak gempur UMNO.


Soalnya, bila lagi Pas nak berkempen bersama-sama dengan UMNO sebagai adik-beradik untuk menewaskan Pakahan Harapan?


Apa tunggu lagi?


Lebih daripada itu, ketika penamaan calon semalam, pemimpin Pas juga tidak kelihatan bersama para pemimpin UMNO mengiringi calon BN.


Kenapa tidak menghadirkan diri?


Kalau betul-betul Pas mahu melihat tewasnya calon PKR, parti itu mesti bekerja keras dengan setidak-tidaknya memastikan 7,573 undi kepada parti itu pada 9 Julai lalu dapat dialihkan kepada BN.


Sifir mudahnya, undi BN pada 4 Ogos nanti melalui kerjasama yang sudah diakui wujud antara UMNO dan Pas, kalau pun tidak mampu menang, paling kurang harus melebihi 19,000 undi iaitu 11,518 + 7,573 = 19,091.


Mampukah Pas sebagai adik menolong abangnya UMNO di Sungai Kandis nanti? (ShahbudinHusin 22/07/2018)

Saturday, 21 July 2018

SURAT KEPADA CIA AMERIKA, BILA LAGI POLIS MAHU SIASAT?


Setelah beberapa hari sejak terdedahnya tentang sepucuk surat yang ditulis oleh Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (sebenarnya unit risikan untuk menjaga politik Najib Razak) kepada Pengarah CIA yang bertujuan memohon sokongan jika BN menang tipis dalam PRU14 lalu, apa yang menimbulkan tanda-tanya banyak pihak ialah apakah pihak polis sudah membuka kertas siasatan mengenai perkara itu?

Jika dilihat berdasarkan kandungan surat tersebut, ia jelas merupakan suatu percubaan mengundang campurtangan asing dalam hal ehwal politik negara kita.

Mujurlah BN kalah dalam pilihanraya 9 Mei lalu, jika tidak, sudah pasti kuasa besar Amerika sudah pun bertapak kukuh pada hari ini di belakang pentadbiran Najib.

Bermakna, surat tersebut ada impikasi yang bahaya kepada kedaulatan negara serta berupa satu bentuk pengkhianatan.

Sebagaimana yang diketahui umum, menjemput campurtangan asing dalam mana-mana negara berdaulat adalah suatu kesalahan yang serius. 

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sendiri ketika ini belum habis disiasat berhubung dakwaan pasukan kempennya mempunyai hubungan dengan Russia.

Campurtangan itu didakwa berkaitan penglibatan Russia untuk memastikan kemenangan Trump dan dalam waktu yang sama memburuk-buruknya pencabarnya, Hillary Clinton dalam pilihanraya presiden yang lalu.

Siasatan kes itu bukan saja melibatkan FBI, tetapi juga Kongres Amerika Syarikat.

Dalam konteks apa yang berlaku kepada Trump itu, ia sebenarnya tidak jauh berbeza dengan surat yang dihantar oleh Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri kepada Pengarah CIA kira-kira lima hari sebelum pengundian pada 9 Mei lalu.

Dalam hal ini, meskipun Najib menafikan beliau mengarahkan surat itu ditulis, malah mendakwa tidak tahu dan terkejut dengannya, pihak polis harus segera menyiasat Hasanah Ab, Hamid, selaku Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri yang menandatangani surat tersebut.

Kecuali jika Hasanah sedia dihukum penjara atau menerima hukuman lain yang lebih berat kerana khianat kepada negara dengan mahu mengakui surat itu ditulis atas usahanya sendiri tanpa diarahkan oleh sesiapa, pilihan lain baginya tentulah berterus-terang mengenai kebenaran tentang surat tersebut.

Jika beliau mendedahkan memang Najib yang mengarahkan surat itu ditulis, maka bekas Perdana Menteri itu juga wajib berdepan satu lagi pengadilan dan seterusnya dihukum dengan seberat-beratnya.

Persoalannya, bilakah pihak polis mahu menyiasat atau membuka kertas siasatan terhadap Hasanah?

Adakah dalam hal ini, pihak polis perlu menunggu ada mana-mana pihak membuat laporan polis terlebih dahulu sebelum siasatan dapat dimulakan?

Jika demikian, kepada NGO-NGO yang bersepah-sepah kononnya sayangkan negara ini, kenapa belum ada satu pun yang tampil membuat laporan polis? (ShahbudinHusin 21/07/2018).

ALAHAI....KESIANNYA...


Pilihanraya kecil Sungai Kandis pada 4 Ogos depan adalah pilihanraya kecil pertama dalam sejarah yang akan dilalui oleh UMNO dalam kedudukannya bukan lagi sebagai kerajaan.

Sebaliknya, UMNO kali ini akan bertanding sebagai parti pembangkang yang tiada kuasa untuk memberi apa-apa kepada pengundi.

Dengan yang demikian, bukan saja tiada lagi beras, barangan keperluan harian atau alatan dapur dapat diberikan, malah penggunaan segala jentera dan bantuan kerajaan untuk tujuan memancing undi dan mendapat sokongan juga tidak boleh lagi dilakukan.

Sebab itu, kata Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan, mereka bertanding di Sungai Kandis kali ini hanya dengan mulut saja dan bukan lagi menggunakan duit.

Alahai, kesiannya...

Takkan belum sampai 100 hari sejak ketiadaan kuasa, UMNO sudah pokai segala-galanya?

Apakah UMNO merasakan di mana dulu mereka bukan main bangga dengan amalan ‘cash’ adalah ‘king’, tetapi setelah ketiadaan kuasa bermakna ‘cash’ dengan sendirinya sudah jadi ‘kong’?

Adakah ini bermakna para pemimpin UMNO pun tiada wang untuk disumbangkan bagi keperluan parti?

Adakah pengakuan Mat Hassan itu bermakna UMNO selama ini bertanding   untuk menang pilihanraya dengan hanya pakai duit semata-mata?

Berapa lama UMNO mampu bertahan dengan perjuangan mulut saja, walhal selama ini semua perkara dilakukan semata-mata kerana wang? (ShahbudinHusin 21/07/2018)

Friday, 20 July 2018

BERSATU JANGAN TERLALU GHAIRAH NAK UBAH SISTEM PEMILIHAN ATAU BEREBUT JAWATAN, KUKUHKAN PARTI LEBIH DULU


PPBM atau Bersatu akan mengadakan pemilihan barisan kepimpinan buat kali pertama bagi peringkat cawangan, bahagian serta majlis tertinggi bermula September hingga hujung tahun ini.


Difahamkan tarikh 1 hingga 14 September adalah untuk mesyuarat cawangan-cawangan dan 30 September hingga 10 Oktober pula ditetapkan untuk mesyuarat bahagian-bahagian. 


Perhimpunan agung pula dijangka akan diadakan pada Disember nanti.


Apa yang menarik bagi Bersatu ini ialah pemilihan kali pertamanya diadakan dengan kedudukannya sudah pun menjadi kerajaan di peringkat Pusat hanya setelah kira-kira dua tahun ia ditubuhkan pada 2016 yang lalu.


Ini juga adalah kali pertama sebuah parti yang hanya bertaraf penaja dan kemudian menyertai Pakatan Harapan, lalu terus dapat menumbangkan UMNO dan BN yang sudah bertapak kukuh sejak lebih 61 tahun lamanya.


Lantaran itu, tidak menghairankan pemilihan pucuk pimpinan Bersatu yang akan buat julung kalinya ini mengundang ghairah dan tarikan yang bukan sedikit daripada ahli-ahli parti itu.


Ramai yang dilihat teruja untuk bertanding dan memegang pelbagai jawatan, tentulah ia dengan harapan apabila ada jawatan penting dipegang dalam parti yang sedang menguasai kerajaan, maka pelbagai nikmat dan habuan akan datang bergolek menyusul daripadanya.


Keghairahan kepada jawatan itu bukan saja menyebabkan ada yang mengungkit-ungkit sumbangan dan usaha mereka dalam pilihanraya lalu yang kononnya amat besar dan seolah-olah wajar dibalas dengan pemberian jawatan dalam parti, malah terdapat juga yang terlebih lajak daripada laju dengan mencadangkan sesuatu yang agak drastik bagi sebuah parti baru seperti Bersatu.


Sistem pemilihan yang digariskan dalam perlembagaan Bersatu ialah berasaskan perwakilan. Ia bukan saja sama seperti UMNO, malah kebanyakan parti di negara kita juga mengamalkan sistem yang sama.


Hanya PKR yang memperkenalkan sistem satu ahli satu undi, bahkan untuk pemilihan parti itu pada September nanti, parti itu juga dijangka memperkenalkan sistem pengundian secara elektronik.


Apa yang dilakukan oleh PKR ini lantas membuatkan sesetengah pihak dalam Bersatu turut terpesona dengan amalan keterbukaan itu, lalu mencadangkan agar sistem yang sama diamalkan oleh Bersatu, termasuk ada yang menulis panjang lebar mengenainya.


Hello...dah fikir panjang ke nak tiru PKR tu?


Harus diingat bahawa PKR hanya sedia berbuat demikian setelah 20 tahun kewujudannya.


Apakah Bersatu yang belum sampai usia dua tahun mampu berbuat demikian?


Sudahkah difikirkan dari segi logistik, tenaga manusia dan pelbagai masalah lain jika mahu memperkenalkan sistem satu ahli satu undi itu secara manual?


Jika mahu dilakukan undian secara elektronik pula, sudahkah diambil kira soal peralatan, perisian, pengendali sistem, jangkauan wifi dan kos besar bagi segala-galanya?


Lebih daripada itu, oleh kerana yang tertulis dalam perlembagaan Bersatu ketika ini ialah sistem perwakilan, jika mahu diubah kepada sistem satu ahli satu undi, bermakna satu mesyuarat agung luar biasa bagi meminda perlembagaan hendaklah diadakan terlebih dahulu.


Memandangkan tarikh antara September hingga Disember tahun ini sudah dipilih sebagai tempoh untuk mesyuarat cawangan, bahagian dan perhimpunan agung, apakah perlu diadakan satu lagi perhimpunan agung khas dalam tempoh yang sama semata-mata untuk tujuan meminda perlembagaan parti?


Mampukah parti mengadakan dua perhimpunan - satu untuk meminda perlembagaan dan satu lagi untuk pemilihan - dalam waktu yang hampir serentak?


Kepada yang ghairah dengan sistem pemilihan atau perebutan jawatan, mereka seharusnya perlu beristighfar sejenak dan merenung kembali tujuan Bersatu ditubuhkan.


Bersatu bukan saja ditubuhkan sebagai parti politik, tetapi juga sebagai "vehicle"  untuk menyelamatkan negara daripada kerakusan Najib, UMNO dan BN bersama-sama dengan Pakatan Harapan.


Dengan redha Allah dan sokongan rakyat, perjuangan itu kini sudah pun membuahkan kejayaan. Tetapi, mengisi perjuangan dan memenuhi janji-janji kepada rakyat sebenarnya adalah proses yang baru saja bermula. Masih lagi lagi kerja atau perkara yang hendak dilakukan di laluan mendatang.


Dalam hal ini, ahli dan pimpinan Bersatu tidak wajar terlalu ghairah dengan jawatan atau terpana dengan kerdipan harta rampasan perang yang mahu dibahagi-bahagikan, lantas cepat-cepat mahu mengubah sistem dan ingin menunjukkan keterbukaan.


Semua pihak seharusnya sama-sama menyumbang kepada kekukuhan Bersatu sebagai sebuah parti yang benar-benar stabil, berwibawa dan dipercayai terlebih dahulu. 


Bersatu hari ini lebih kelihatan gah hanyalah kerana adanya Tun Mahathir, Muhyiddin Yassin, Mukhriz Mahathir dan beberapa pemimpin yang lain dalam barisan kepimpinannya.


Jika tiada pemimpin seperti di atas, apakah Bersatu mampu terus wujud dan mendapat sokongan rakyat?


Makanya, semua pihak dalam Bersatu mesti lebih menumpukan usaha kepada mengukuhkan parti berbanding perkara-perkara lain. Bukan tidak boleh diubah peraturan atau perlembagaannya, tetapi bukanlah sekarang. Bila parti sudah kukuh, apa pun tidak jadi masalah lagi.


Biarlah Bersatu kekal dengan sistem perwakilan buat sementara waktu kerana yang lebih wajib bagi ahli dan pimpinan lakukan sekarang ini ialah membantu Tun Mahathir dan parti dalam memenuhi semua janji serta harapan rakyat dan kemudian sama-sama pula berusaha memastikan keselamatan dan kestabilan negara. (ShahbudinHusin 20/07/2018)

TIDAKKAH INI PENGKHIANATAN KEPADA NEGARA NAMANYA?

Munasabahkah Najib Razak tidak tahu menahu mengenai surat yang dihantar bahagian penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri kepada Pengarah CIA lima hari sebelum pilihanraya 9 Mei lalu bagi tujuan memohon sokongan daripada pentadbiran Amerika Syarikat jika ditakdirkan BN menang cuma dengan majoriti mudah atau kelebihan hanya satu kerusi?


Logikkah juga Najib dilaporkan tidak mengarahkan Hasanah Ab. Hamid, selaku Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri ketika itu untuk menulis dan menghantar surat tersebut, seterusnya dikatakan terkejut dengan wujudnya surat itu?


Bukankah Hasanah merupakan orang bawahan dan kepercayaan Najib sendiri?


Kiranya bukan Najib, munasabah dan logikkah kalau Zahid Hamidi atau Ahmad Maslan yang mengarahkan surat itu ditulis dan dihantar kepada Pengarah CIA?


Dalam masa yang sama, dapatkah diterima akal bahawa Hasanah hanya pandai-pandai sendiri menulis dan menghantar surat berkenaan?


Siapa yang bertanding dalam pilihanraya dan perlu terus kekal berkuasa?


Apa pun jawapan Najib mengenai surat itu, beliau dan Hasanah wajib disiasat oleh pihak berkuasa kerana mereka dilihat mempunyai kecenderungan untuk meminta sokongan atau bantuan kuasa asing dalam hal-ehwal politik dalaman negara.


Bayangkan apa terjadi, jika keputusan pilihanraya 9 Mei lalu menzahirkan keputusan yang menunjukkan Najib benar-benar menang dengan cuma majoriti mudah atau hanya dengan kelebihan satu kerusi saja?


Tidakkah Amerika Syarikat sedang berada di belakang kepimpinan kerajaan yang diterajui Najib ketika ini?


Jika itu berlaku, apa seterusnya terjadi kepada negara kita?


Bukankah perbuatan meminta bantuan asing itu jelas merupakan suatu bentuk pengkhianatan kerana kita adalah sebuah negara merdeka, berdaulat dan mengamalkan sistem demokrasi berparlimen yang dilindungi oleh Raja Berperlembagaan? (ShahbudinHusin 20/07/2018)

Thursday, 19 July 2018

PENGUNDI PAS UNDI DACING?


Melalui khabar yang dibawa oleh Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki, Pas dilaporkan setuju untuk tidak meletakkan calon pada pilihanraya kecil Sungai Kandis yang ditetapkan 4 Ogos depan.


Persetujuan itu dengan maksud untuk memberi laluan kepada UMNO untuk berhadapan satu lawan satu dengan PKR dalam pilihanraya tersebut.


Perkara itu kemudian disahkan oleh Pas Selangor yang menyatakan pertembungan satu lawan satu antara BN dengan PH akan memberi peluang yang lebih baik kepada pembangkang.


Jarang benar Pas berpendirian tidak meletakkan calon sebagaimana pendiriannya di Sungai Kandis kali ini. 

Ketika Pas sama-sama sebagai pembangkang dengan Pakatan Harapan sebelum ini, seperti di Sungai Besar dan Kuala Kangsar misalnya, parti tetap berkeras untuk meletakkan calon atas keyakinan mereka adalah parti Islam yang banyak sokongan, lebih berpeluang mencapai kemenangan, selain dakwaan memperjuangkan kebenaran serta berkewajipan menyertai pilihanraya sebagai satu cara untuk berdakwah dan berjihad.


Pas juga selama ini tidak kisah dengan pertandingan tiga penjuru atau empat penjuru sekali pun, malah mengatakan kemenangan di akhirat jauh lebih penting berbanding kejayaan di dunia.


Tetapi, sejak Pas dan UMNO sama-sama bergelar pembangkang sekarang ini, perubahan sikap dan pendirian Pas nampak begitu ketara sekali.


Mereka kini setuju tidak bertanding semata-mata untuk memberi laluan kepada UMNO berhadapan satu lawan satu dengan calon PH daripada PKR.

Makanya, dalam kempen pilihanraya nanti, apakah Pas akan turut berkempen untuk UMNO?


Apakah buat pertama kalinya juga kita akan menyaksikan Hadi Awang, Tuan Ibrahim Tuan Man dan lain-lain pemimpin Pas duduk sepentas dengan Zahid Hamidi dan Annuar Musa?


Bagaimana pula dengan ahli dan penyokong Pas di Sungai Kandis?


Sediakah mereka memangkah dacing kali ini? (ShahbudinHusin 19/07/2018)

PENYEBARAN BERITA PALSU LEBIH MENGGILA SELEPAS UMNO TIADA LAGI KUASA


Ketika era pemerintahan BN, penyebaran berita palsu, adu domba, fitnah dan penyelewengan fakta boleh dikata dapat ditemui setiap hari melalui media-media arus perdana dan saluran televisyen tertentu.


Betapa meluatnya rakyat kepada perkembangan itu sehingga ramai yang akhirnya membuat keputusan tidak lagi mahu membeli akhbar-akhbar serta menonton televisyen.


Akbatnya jualah akhbar merosot dengan teruk dan siaran berita televisyen tidak lagi ditonton. Syarikat media rugi berjuta-juta dalam setahun, tetapi oleh sebab masih dipayungi oleh UMNO sebagai kerajaan, mereka terus dapat beroperasi seperti biasa.


Tetapi, dengan tumbangnya BN, akhbar arus perdana dan saluran televisyen tertentu tidak lagi berani menjadi penyebar berita palsu, adu domba, fitnah mahupun penyelewengan fakta seperti dahulunya.


Mereka tiba-tiba menjadi lunak dan mula memberi tempat kepada berita-berita baik mengenai apa yang diperkatakan oleh Tun Mahathir dan lain-lain pemimpin Pakatan Harapan.


Individu tertentu yang selama ini kerap menghiasi dada akhbar dan televisyen dengan fakta karut, syak wasangka dan firnah semberono menyerang Tun Mahathir juga turut tidak kelihatan lagi kemunculannya.


Kalau ada pun cubaan mengadu domba dan menyeleweng fakta, kadarnya hanya di tahap paling minima dan sipi-sipi saja. Berita-berita palsu dan fitnah hampir tiada lagi kerana pemilik akhbar dan televisyen berkenaan sedar risiko yang bakal dihadapi jika mereka terus berperangai buruk seperti dahulu.


Perubahan itu bukan saja seiring kerana media arus arus perdana dan saluran televisyen berkenaan sedar tauke mereka adalah UMNO, manakala kerajaan yang berkuasa adalah Pakatan Harapan, tetapi juga disebabkan peneraju media-media terbabit ramai yang sudah ditamatkan perkhidmatan atau diminta meletakkan jawatan.


Semua itu memberi erti bahawa media arus perdana dan saluran televisyen tertentu itu tahu dan sedar perangai buruk dan kesalahan mereka selama ini.


Kiranya tiada apa-apa yang ditakut atau dibimbangi, mereka seharusnya terus mengekalkan ketua pengarang atau pengawal bilik berita yang sama, meskipun kerajaan bertukar kerana hakikatnya pemilikan atau syarikat akhbar arus perdana atau saluran televisiyen itu tidak pun berubah dan kekal dipunyai oleh UMNO.


Walaupun demikian, penyebaran berita palsu oleh pemain media sosial pro UMNO dan BN yang kini sudah menjadi pembangkang sebenarnya tidaklah terhenti begitu saja.


Cuma, ia sudah bertukar daripada media arus perdana dan saluran televisyen kepada medium media sosial. Sebab itu, kebelakangan ini begitu kerap tersebar petikan berita atau tangkap layar yang kononnya merupakan kenyataan pemimpin-pemimpin tertentu Pakatan Harapan yang disebarkan secara meluas menggunakan logo portal-portal berita bebas tertentu.


Antaranya yang dikesan sebelum ini ialah mengenai isu Raja, Melayu dan Islam, kandungan manifesto, berkaitan cukai SST serta kadarnya, tempoh lupus kenderaan dan macam-macam lagi. 


Hampir saban hari, tatap saja media sosial, pasti terjumpa berita palsu yang pro kepada UMNO dan BN. Tahapnya makin rancak dan kerap. Ia hampir sama dengan dulu di mana selak saja akhbar atau buka televisyen, tidak lain akan kedapatan penuh dengan berita palsu, fitnah, adu domba dan menyeleweng fakta yang memburuk-burukkan Pakatan Harapan.


Semua berita palsu itu yang kononnya merupakan kenyataan pemimpin-pemimpin tertentu, tetapi tidak pernah diucapkan, disebarkan secara meluas melalui media sosial tidak lain dengan tujuan untuk mengelirukan rakyat dan mencambahkan kebencian terhadap kerajaan baru Pakatan Harapan.


Pengendali dan pemain media sosial pro UMNO dan BN kini sedar media arus perdana serta saluran televisyen tertentu tidak boleh lagi digunakan untuk perkara-perkara buruk seperti itu. Media tersebut seolah-olah sudah jadi baik, tetapi kejahatan menyebarkan berita palsu disandarkan pula kepada media sosial.


Petunjuknya cuma satu, menyebar berita palsu, fitnah, adu domba dan menyeleweng fakta bukan saja tidak dapat dipisahkan daripada UMNO dan BN, malah tahapnya makin menggila setelah mereka menjadi pembangkang sekarang ini.


Ia berbeza dengan pemain media pro Pakatan Harapan yang dulu hanya menumpu kepada menyerang kredibiliti, mendedah penyelewengan, mengkritik dan mengapungkan kebenaran bagi kefahaman rakyat betapa buruknya cara pemimpin UMNO dan BN mentadbir negara selama ini.


Itulah yang akhirnya menyedarkan rakyat untuk berani membuat perubahan dan menumbangkan BN.


Malah hari ini, setelah menjadi kerajaan, pemain media sosial pro Pakatan Harapan terus berpaksikan  perjuangan kebenaran seperti dulu, bahkan sama sibuk menangkis berita-berita palsu yang disebarkan oleh mereka yang pro UMNO dan BN dengan tujuan rakyat tetap mengetahui kebenaran di penghujungnya. (ShahbudinHusin 19/07/2018)

Wednesday, 18 July 2018

ZAHID HAMIDI MASIH TAK SEDAR DIRI....


Zahid...zahid....bilalah nak sedar diri?

Dan mengapa masih tidak mahu menerima realiti?

Jika benar legasi buruk Tun Mahathir Mohamad yang menjadi punca kekalahan BN, bagaimanakah beliau masih mampu mencipta kejayaan buat Pakatan Harapan dan berjaya menjadi Perdana Menteri buat kali kedua?

Kenapa rakyat tidak takut dan masih mempercayai Tun Mahathir untuk menyelamatkan negara kalau benar legasi yang ditinggalkannya terlalu buruk?

Sebagai Ketua Pembangkang, Zahid Hamidi seharusnya bercakap berdasarkan  fakta dan realiti bahawa Najib Razak adalah beban paling utama bagi UMNO dan BN sehingga membawa kekalahan parti itu.

Janganlah merapu tak tentu hala. Fakta tetap fakta.

Tanpa Najib, Rosmah Mansor, Jho Low dan 1MDB, UMNO dan BN mungkin masih berkuasa lagi pada hari ini.

Apa yang Zahid Hamidi takut sangat untuk mengakui perkara itu? (ShahbudinHusin 18/07/2018)

ADAKAH INI PETANDA AZMIN AKAN MENCABAR ANWAR?


Wanita PKR menyambut baik hasrat Anwar Ibrahim untuk bertanding jawatan presiden dalam pemilihan akan datang, namun mengingatkan agar parti bersedia "menjulang prinsip demokrasi" sekiranya jawatan tertinggi parti itu dicabar.


Jelas ketuanya, Zuraida Kamaruddin, PKR perlu menjuarai isu demokrasi yang diperjuangkan selama 20 tahun dan ia perlu bermula dari kalangan pemimpin parti itu sendiri.


"Peranan beliau (Anwar) dan  Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku pencetus agenda perubahan hampir 20 tahun lalu tentulah tidak dapat disangkal mana-mana pihak.


"Pasca pilihan raya umum ke-14 menyaksikan PKR telah pun menjadi parti terbesar dalam kerajaan, ia juga membawa bersama perubahan dalam struktur kepimpinan parti serta dinamika yang berbeza dari sebelumnya.


"Dalam pada tawaran Anwar diterima dengan terbuka, parti juga harus bersiap-siaga menjulang prinsip demokrasi dalam menghirup udara segara Malaysia baru yang diamanahkan oleh rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.


Dalam menyatakan hal itu, Zuraida turut menyorot "kecemerlangan" pentadbiran Selangor dan kepimpinan bekas menteri besarnya, Azmin Ali.


Kata Zuraida, PKR mempunyai ramai pemimpin berkelayakan yang teruji kesetiaannya, berkarisma dan mempunyai rekod cemerlang dalam pentadbiran.


"Tidak boleh disangkal lagi bahawa tatakelola dan kecemerlangan kerajaan Selangor menjadi antara penyumbang signifikan kepada keyakinan rakyat dalam melihat model pemerintahan Malaysia baru.


"Keyakinan inilah yang menyebabkan BN yang berusi 61 tahun mampu ditumbangkan.


Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara watak pimpinan yang dinamik dan dilihat mampu menggalas tanggungjawab kepimpinan.


"Telah dibuktikan dalam pentabdiran kerajaan Selangor terdahulu, peranan terkini beliau yang memegang portfolio kanan kerajaan selaku menteri hal ehwal ekonomi membuktikan lagi sumbangan beliau bakal memberi impak positif dalam bersama-sama mengemudi bahtera PKR yang kita cintai," katanya lagi.


Zuraida yang merupakan Ahli Parlimen Ampang turut mengingatkan bahawa PKR "berbeza" dengan Umno yang sering menyaksikan jawatan tertinggi parti mereka tidak ditandingi.


"Justeru, Wanita PKR menegaskan bahawa di samping menerima baik tawaran Anwar bertanding jawatan presiden, parti juga perlu menghormati perlembagaan parti dalam hal membuka ruang pertandingan mana-mana jawatan tanpa sebarang usaha sekatan.


“We must walk the talk, kita perlu lakukan apa yang kita laungkan," katanya.


Berdasarkan kenyataan Zuraida ini, adakah ia merupakan bayangan atau petanda terbaru bahawa Azmin akan mencabar Anwar bagi jawatan Presiden PKR?


Kenapa jadi begitu?


Adakah Azmin akan mencabar Anwar berikutan khabar-khabar yang berlegar mengatakan Anwar sedang menyiapkan seseorang yang lain untuk melawan Azmin bagi jawatan timbalan presiden?


Jika kedudukan Azmin sebagai timbalan presiden tidak dilawan, untuk apa beliau mencabar Anwar?


Apakah Anwar dan Azmin sebenarnya sedang bersaing merebut jawatan Perdana Menteri selepas Tun Mahathir? (ShahbudinHusin 18/07/2018)

Tuesday, 17 July 2018

ORANG UMNO MENCATUR KUASA DALAM KERAJAAN PAKATAN HARAPAN?


Sejak Pakatan Harapan ada kuasa dan menjadi kerajaan, bukan saja mereka yang merupakan ahli dan penyokong parti-parti dalam gabungan itu yang sibuk mencatur kuasa, rupa-rupanya orang UMNO pun tidak ketinggalan sama.


Di sebalik ada yang masih setia dengan UMNO atau menyalahkan Najib Razak sebagai punca utama UMNO kehilangan kuasa, terdapat juga ahli-ahli parti itu yang sudah berwajah dua.


Dalam beberapa insiden,  ada yang tanpa segan silu mendakwa bahawa mereka sebenarnya menyokong Pakatan Harapan secara diam-diam dalam pilihanraya lalu, meskipun masih lagi berstatus ahli UMNO sehingga kini.


Konon katanya, apa yang mereka lakukan selama ini adalah dalam pengetahuan Tun Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri memang merestui tindakan mereka.


Lebih daripada itu, mereka juga mendakwa sokongan ahli-ahli UMNO terhadap Pakatan Harapan  seperti merekalah yang sebenarnya banyak menyumbang kepada kemenangan gabungan itu sehingga berjaya mengalahkan UMNO dan BN.


Tidak kurang, ada juga orang UMNO yang ketika ini asyik memuji-muji kehebatan Tun Mahathir di mana-mana, asal saja mereka ada peluang bercakap dan menonjolkan diri, meskipun mereka sebelumnya selalu mengambil pendirian mempertahankan UMNO dan BN.


Di antara mereka itu, ada juga yang mendakwa selalu menghantar maklumat penting secara terus kepada Tun Mahathir melalui aplikasi whatsapp sebagai menunjukkan betapa rapatnya hubungan mereka dengan Perdana Menteri ke-7 sekarang.


Pengakuan itu malah membuatkan seseorang yang rapat dengan Tun Mahathir agak terkejut kerana sepanjang pengetahuannya, sama ada sebelum ini atau setelah menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, Tun Mahathir bukanlah seorang diketahui aktif berhubungan dengan orang lain melalui whatsapp.


Namun, yang paling menarik ialah ada di kalangan mereka yang sebelum ini diketahui pernah bekerja dengan menteri UMNO juga turut cuba tumpang semangkuk mencatur kuasa dalam kerajaan baru ini.


Mereka ini mula berkawan rapat dengan individu tertentu yang diketahui rapat dengan menteri-menteri Pakatan Harapan, lalu dalam waktu yang sama mencadangkan agar orang-orang pilihan mereka untuk diletakkan bekerja dengan menteri-menteri berkenaan sama ada sebagai setiausaha politik, pegawai khas dan sebagainya.


Matlamat mereka ini lebih kepada perniagaan. Dengan meletakkan orang-orang pilihan di kementerian-kementerian tertentu, mereka berharap akan terus dapat membolot kontrak dan peluang-peluang perniagaan sebagaimana ketika era pentadbiran BN sebelum ini.


Tak malukah mereka itu?


Yang nyata, belum 100 hari UMNO kehilangan kuasa, semakin ramai ahli-ahli parti itu yang mula resah dan bimbang tentang masa depan yang mungkin tidak lagi seceria berbanding ketika BN berkuasa dahulu.


Bayangkan bagaimana gelagat mereka menjelang enam bulan, setahun atau dua tahun akan datang? 


Tungguuu....mungkin tulisan ini ada sambungannya lagi selepas ini. (ShahbudinHusin 17/07/2018)

BEZA MANIFESTO PH DENGAN MANIFESTO PH


Secara umumnya, manifesto bermaksud suatu pernyataan bertulis, janji  atau perancangan masa depan yang dikemukakan oleh sesebuah parti bagi mendapat sokongan rakyat dalam sesuatu pilihanraya yang mana ia akan dilaksanakan setelah kemenangan dapat dicapai.


Sekali imbas, manifesto seolah-olah wajib dilaksanakan kerana ia merupakan janji yang dikemukakan kepada rakyat dan setelah rakyat memberi kemenangan, maka rakyat berhak menerima apa yang dijanjikan itu.


Meskipun begitu, seperti kata Tun Mahathir Mohamad, manifesto bukanlah kitab suci yang sesebuah parti terikat 100 peratus untuk melaksanakannya.


Ia, kata beliau, hanyalah sebagai panduan semata-mata yang bermakna perlaksanaannya boleh diubahsuai berdasarkan kesesuaian atau kemampuan sebuah parti itu.


Dalam konteks BN dan PH, pembentangan manifesto sebenarnya harus dilihat dalam sudut yang berbeza.


Ketika BN membentangkan manifestonya, mereka adalah kerajaan di mana ketika itu mereka mengetahui tahap kemampuan dan status kewangan negara sama ada sesuatu yang dijanjikan itu boleh dilaksanakan atau sebaliknya.


Misalnya, jika BN menjanjikan untuk menurunkan harga kereta, ia bermakna ketika janji itu dikemuka atau dibentangkan kepada rakyat, mereka tahu ia memang boleh dilaksanakan dengan cara menurunkan cukai-cukai tertentu yang diyakini tidak menjejaskan kewangan negara.


Dalam erti kata lain, jika BN yang merupakan kerajaan ketika manifesto dibentangkan, tetapi janji menurunkan harga kereta itu gagal ditunaikan setelah sokongan rakyat diperolehi, mereka boleh dianggap sebagai mungkir janji atau dalam bahasa kasar sikit - pembohong besar.


Apabila Najib Razak mengatakan manifesto adalah janji yang mesti ditunaikan, ia sebenarnya lebih tepat untuk merujuk kepada BN yang merupakan sebuah kerajaan ketika manifesto itu dirangka.


Sebalik itu, manifesto adalah berbeza bagi PH yang merupakan pembangkang ketika mereka menyertai pilihanraya pada 9 Mei lalu.


Ketika PH mengemukakan manifesto atau janjinya kepada rakyat, mereka tidak banyak tahu mengenai kedudukan kewangan negara atau tahap kemampuan sebenar untuk janji itu sama ada dapat dilaksanakan 100 peratus atau sebaliknya.


Apa yang dibentangkan lebih merupakan iltizam atau keyakinan bahawa apa yang dijanjikan itu adalah baik dan bermanfaat buat rakyat.


Hanya setelah mendapat sokongan rakyat dan menjadi kerajaan, barulah PH tahu tahap kemampuan dan kedudukan sebenar kewangan negara. Ketika itu jugalah, baru diketahui ada fail sulit, fail merah, fail tersembunyi dan sebagainya.


Setelah menjadi kerajaan juga, barulah PH tahu tahap sebenar hutang negara, kos sesuatu projek mega yang digembar-gemburkan BN sebelum ini, malah barulah juga diketahui bagaimana "kong kali kongnya"  pengurusan ekonomi dilakukan di mana ada projek yang baru 13 peratus siap pun sudah boleh dibayar sehingga 90 peratus.


Semua itu adalah halangan atau kekangan yang menimbulkan masalah kepada PH dalam menunaikan semua janji-janjinya kepada rakyat. 


Meskipun demikian, oleh kerana ia merupakan janji, PH tetap seboleh mungkin cuba melaksanakannya, tetapi oleh kerana adanya kekangan kewangan atau halangan tertentu, ia terpaksa diubahsuai atau memerlukan tempoh tertentu untuk dilaksanakan.


Dalam soal perlantikan speaker, meskipun PH berjanji untuk melantik daripada kalangan Ahli Parlimen, tetapi oleh kerana ada masalah tertentu, ia tidak dapat dilaksanakan.  Ini tidak boleh dianggap melanggar janji.mTetapi, penggantinya seorang bekas hakim nyata lebih berwibawa dan seharusnya memberikan rasa gembira kepada rakyat


Rakyat dalam hal ini harus faham dan tidak terburu-buru menuntut janji. PH sendiri sedar jika mereka gagal menunaikan janji yang terkandung dalam manifesto, hukuman dikalahkan dalam pilihanraya yang seterusnya memang sedia akan menanti.


Cuma, ruang masa dan pengubsuaian hendaklah juga diberikan kerana PH kerana mereka adalah kerajaan baru. Yang penting, janji utama seperti menghapuskan GST, menstabilkan harga minyak, menyiasat 1MDB, menangkap Najib dan lain-lain tetap dilaksanakan untuk kesejahteraan dan kebaikan rakyat.


Kita boleh lihat sendiri, BN yang berkuasa sejak sekian lama pun tidak dapat memenuhi semua janjinya dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini, maka berilah sedikit masa juga untuk PH menunaikan sebaik mungkin apa yang telah dijanjikannya.


Jika tidak dapat penggal pertama ini, di penggal-penggal seterusnya pasti semua janji dalam manifesto itu akan ditunaikan juga akhirnya. (ShahbudinHusin 17/07/2018)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...