Thursday 31 December 2015

HADIAH AKHIR TAHUN UNTUK MALAYSIA

Tidak ada perkara yang lebih "membanggakan"  yang boleh dianggap sebagai "hadiah berharga" di hujung tahun kepada negara apabila Malaysia diumumkan memenangi tempat ketiga dalam kategori "skandal rasuah paling teruk"  di dunia bagi 2015.

Barangkali inilah pertama kali Malaysia berada di kedudukan "terbaik" itu dan sekaligus menjadikan tahun 2015 meninggalkan memori paling hitam bagi kita semua.

Ini juga membuatkan kedatangan tahun 2016 sebagai penuh cabaran sama ada kita mampu memulihkannya atau menjadikan tahun-tahun mendatang lebih teruk lagi keadaannya.

Dalam penilaian yang dilakukan oleh foreignpolicy.com - sebuah bahagian di bawah Washington Post Company, Malaysia dinilai berada di tempat ketiga di belakang FIFA, persatuan bolasepak dunia yang banyak terpalit dengan rasuah dan sebuah negara di benua Afrika iaitu Nigeria.

Seterusnya Honduras dan Guatemala berada di kedudukan keempat manakala hakim-hakim di Ghana dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau PBB berada di kedudukan kelima dan keenam.

Menurut laporan itu, Presiden AS Barack Obama berada dalam kedudukan amat janggal apabila melawat Malaysia baru-baru ini berikutan laporan yang mengaitkan Najib dengan kemasukan wang berjumlah RM2,600 juta ke dalam akaun peribadinya.

Dengan itu, bolehlah  difahami bahawa meskipun wang tersebut ditakrifkan sebagai derma oleh SPRM, tetapi masyarakat antarabangsa tetap sukar menerimanya.

Mereka lebih cenderung melihatnya sebagai satu bentuk rasuah yang  akhirnya menyumbang kepada "markah yang lumayan"  sehingga Malaysia berjaya memperolehi tempat ketiga sebagai negara yang mempunyai "skandal rasuah paling teruk"  di dunia.

Dalam persidangan anti rasuah antabangsa atau IACC di Kuala Lumpur, September lalu yang enggan dihadiri oleh Najib kerana takut berdepan dengan pertanyaan antarabangsa mengenai wang tersebut, beberapa wakil yang hadir secara terbuka mengatakan duit sebanyak RM2,600 juta itu mempunyai semua ciri-ciri yang boleh dikaitkan dengan rasuah.

Dengan kejayaan meraih tempat ketiga itu, ia bukan saja suatu sejarah kerana negara tidak pernah mendapat "tempat sebaik"  itu sebelum ini atau dalam mana-mana kepimpinan terdahulu, malah barangkali menjadikan Malaysia negara Islam pertama disenaraikan  sebagai antara "pemenang teratas"  yang mengaibkan itu.

Mujurlah foreignpolicy.com tidak membuat penilaian berdasarkan kategori individu, sekiranya ada, siapakah agaknya antara pemenangnya?

Apakah sekali lagi  Malaysia ada wakilnya juga? (SH 31/12/2015).

NAJIB MASIH ADA MASA SEHINGGA 12 MALAM INI UNTUK TUNAIKAN JANJINYA

Mudah-mudahan sebelum tibanya detik 12 tengah malam hari ini di mana tirai tahun 2015 akan melabuhkan episod suka dan dukanya, Najib Razak yang mungkin sekarang ini sama ada sedang berada di Dubai atau Hong Kong, akan segera tampil dengan janji yang pernah dibuatnya pada 14 Jun lalu.

Dalam janji yang dibuatnya di hadapan kira-kira 1,500 ketua penerangan dan setiausaha UMNO bahagian seluruh negara pada tarikh tersebut, Najib memberi jaminan bahawa isu berkaitan 1MDB akan diselesaikan sebelum akhir tahun 2015 ini.

Tetapi, selain daripada penjualan Edra Energy kepada syarikat China yang menyebabkan negara hilang aset berharga, tiada apa-apa yang ternampak dilakukan untuk menyelesaikan hutang 1MDB berjumlah RM42 bilion itu.

Bila lagi isu hutang 1MDB yang menimbulkan kritikan ramai dan misteri itu mahu diselesaikan? 

Apakah ketua-ketua penerangan dan setiausaha-setiausaha UMNO bahagian seluruh negara masih ingat dengan janji Najib itu?

Apakah jika tiada janji dan jaminan yang dibuat Najib itu, mereka masih sedia memberi sokongan kepadanya?

Atau adakah maksud "selesai"  itu hanya kerana berjaya memecat Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal, Ghani Patail, melantik orang pilihannya sebagai  Peguam Negara yang baharu, merombak Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dan melakukan kacau ganggu terhadap SPRM yang sedang melakukan penyiasatan terhadap 1MDB yang sarat hutang itu?

Di hari terakhir 2015 ini dan sebelum memasang azam atau menaruh sebarang harapan baharu untuk tahun 2016, jika janji yang satu ini dapat ditunaikan, tentunya ia  sudah cukup memadai buat kita semua, walaupun Najib turut memungkiri banyak janji lainnya, terutama ketika kempen PRU 13 lalu.

Bagaimanapun,  kiranya janji yang satu ini tidak juga mampu ditunaikan sebelum tenggelamnya detik 12 tengah malam 31 Disember ini, bermakna tiada apa lagi yang boleh diharapkan kepada Najib seawal bermulanya hari pertama tahun 2016 nanti.

Sudah tentu, selain rakyat biasa, Najib telah mengecewakan kelompok pimpinan dalam UMNO sendiri dengan pemungkiran janjinya yang pernah dibuatnya itu.

Tahun 2016 hanya menjadi tahun yang kosong buat kita semua. 31/12/2015).

Wednesday 30 December 2015

SEDARKAH AHMAD MASLAN, MENIAGA ONLINE PUN SUATU KESALAHAN JUGA?

Dalam mempertahankan hujahnya berkaitan isu #2kerja yang menimbulkan kritikan ramai, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ahmad Maslan berkata, niatnya adalah baik tetapi telah disalahtafsirkan oleh orangramai.

Kata beliau, cadangan asalnya bukanlah berkaitan melakukan dua kerja dalam satu masa, tetapi menyarankan selain melakukan kerja tetap, mereka boleh menjalankan perniagaan atas talian untuk menambah pendapatan dalam menangani kenaikan kos sara hidup.

Tambahnya Ketua Penerangan UMNO itu lagi, perniagaan dalam talian bukan saja mempunyai potensi besar, malah bersesuaian dengan tabiat rakyat sekarang yang mempunyai "kegilaan" terhadap media sosial dan sanggup menghabiskan masa berjam-jam untuknya.

"Rakyat Malaysia ini minat media sosial, kadangkala berwhatsapp, bermain FB dan Twitter sampai jauh tengah malam. Tak tahulah apa hasil yang mereka dapat.

"Alangkah eloknya kalau mereka belajar tentang e-dagang. Ada pegawai memaklumkan kepada saya, contoh kejayaan berniaga dalam talian ialah menjual gula Melaka di mana dia dapat jualan sehingga RM4 juta.

"Sebab itu saya gembira untuk menghebahkan mengenai perniagaan dalam talian itu," jelasnya.

Okay, demikianlah penjelasan terbaru Ahmad Maslan setelah berhari-hari menerima kritikan banyak pihak dan mungkin ramai yang turut setuju dengan cadangannya itu.
Tetapi,  tahukah Ahmad Maslan bahawa menjalankan perniagaan dalam talian atau online bagi kakitangan awam juga merupakan suatu kesalahan?

Pekeliling mengenainya sudah diedarkan oleh JPA sejak 2014 lagi dan mereka yang berhasrat berbuat demikian hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Jabatan masing-masing.

Soalnya, adakah semua Ketua Jabatan  sedia memberi kebenaran kepada  pegawai dan kakitangan bawahannya untuk menjalankan perniagaan online itu?

Bagaimana pula  kalau yang memohon meniaga online itu ramai jumlahnya di sesebuah jabatan, iyalah sesuai dengan kos sara hidup yang sudah meningkat  dan harga barangan yang kian mahal sekarang, apakah Ketua Jabatan masih sedia memberi kebenarannya?

Kalau sudah meniaga dan mengejar wang namanya, tentu mustahil pula ia hanya dijalankan di luar waktu pejabat atau ketika sudah berada di rumah sahaja. Ini adalah berkaitan dengan wang dan semua orang akan mengejarnya tanpa mengira masa dan ketika.

Oleh itu, jika kakitangan awam menjalankan perniagaan online, sudah tentu mereka terdedah untuk melakukannya pada waktu pejabat, dalam pejabat, ketika bertugas, malah tidak menghairankan ketika mesyuarat pun ada yang sanggup keluar seketika untuk melayan pelanggan yang menjanjikan wang itu.

Akhirnya, bagaimanakah pretasi kakitangan awam dan jentera kerajaan dalam memberi khidmat kepada rakyat?

Dalam konteks yang sama, biasanya kakitangan swasta juga tidak digalakkan atau mungkin tidak dibenarkan langsung menjalankan perniagaan online iaitu dengan tujuan untuk mengelakkan hilang tumpuan kepada kerja, menimbulkan gangguan serta menjejaskan prestasi syarikat.

Jadi, bagaimana sebenarnya Ahmad Maslan yang ada CGPA 3.85 itu mahu menjadikan idea dan cadangannya itu suatu kenyataan?

Atau mungkinkah selepas ini beliau akan tampil dengan penjelasan lain pula bahawa sebenarnya cadangan itu bukan untuk kakitangan awam mahu pun swasta, sebaliknya hanya untuk pesara, mereka yang menjalankan perniagaan sendiri dan "kaki lepak" yang selalu membuang masa dengan media sosial saja? 

Mat oh Mat....(30/12/2015).

PEMIMPIN DULU, PEMIMPIN SEKARANG



Tuesday 29 December 2015

DIVIDEN ASB RENDAH - INI SEMUA SALAH MAHATHIR!!

Beberapa hari lalu ada penjenguk blog ini yang bertanyakan mengenai dividen dan bonus ASB bagi tahun ini yang mereka dakwa agak lambat diumumkan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, hari ini baru diumumkan oleh PNB bahawa dividen bagi ASB bagi tahun berakhir 31 Disember 2015 ialah sebanyak 7.25 sen beserta bonus 0.50 sen seunit.

Berdasarkan rekod perbandingan dengan tahun-tahun sebelumnya yang tersebar luas di alam maya, didapati bahawa dividen dan bonus tahun ini adalah yang terendah sejak 1990.

Ini semua adalah salah Tun Mahathir, buat apa dulu diwujudkan ASB, Proton, Lebuhraya Utara Selatan, ERL dan segala macam lainnya?

Disebabkan adanya ASB menyebabkan setiap hujung tahun orangramai hanya sibuk ingin tahu tentang dividen dan bonusnya saja?
Bukankah lebih senang jika tiada ASB?

Malah disebabkan adanya Proton, semua masalah dan kerugiannya adalah salah Tun Mahathir.

Disebabkan perjanjian tol dan ERL dibuat ketika Tun Mahathir berkuasa, semua masalah dan beban kenaikan yang berlaku sekarang juga adalah salah beliau.

Dividen dan bonus ASB yang rendah tahun ini dan terendah dalam sejarahnya tidak syak memang salah Tun Mahathir, bukankah lebih baik jika beliau tidak mewujudkannya dulu?

Maka, tiadalah perbandingan tinggi atau rendah dividen serta bonusnya.

Di zaman Najib ini, semuanya salah Tun Mahathir!! (SH 29/12/2015).

KENAPA TIDAK CERDIK BOLEH JADI MENTERI?

Ketika berbual dengan kawan-kawan mengenai Ahmad Maslan yang didapati kerapkali mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal, pertanyaan seterusnya yang selalu kedengaran ialah bagaimanakah orang seperti beliau boleh menjadi seorang anggota pentadbiran kerajaan?

Sepanjang  menjadi timbalan menteri sejak 2009, beliau merupakan pemimpin UMNO yang paling banyak diperbualkan dan menjadi persendaan rakyat berikutan beberapa kenyataan yang dikeluarkannya.

Kalau ikut hukum akal atau sekiranya Najib Razak mengambil kira banyaknya rungutan, bukan saja di kalangan rakyat, bahkan di kalangan ahli UMNO sendiri, Ahmad Maslan sudah sepatutnya diketepikan daripada menganggotai kerajaan.

Terbaru dalam menggalakkan rakyat melakukan dua kerja untuk menangani peningkatan kos sara hidup, Ahmad Maslan jelas keliru dan tidak dapat membezakan antara kerja dengan jawatan apabila mengatakan beliau sendiri mempunyai tiga kerja dalam satu masa iaitu sebagai timbalan menteri, ahli parlimen dan ketua penerangan UMNO.

Sekali lagi timbul perbualan, bagaimana sebagai timbalan menteri tidak dapat membezakan antara kerja dengan jawatan?

Tidak saja rakyat biasa, malah seorang mufti juga turut tidak dapat menahan diri daripada mempertikaikan kecerdikan dan kemampuan berfikir Ahmad Maslan itu.

Secara umumnya, apabila menjadi pemimpin dalam kerajaan, harapan rakyat ialah mereka mestilah lebih cerdik atau sekurang-kurangnya kelihatan beberapa langkah ke hadapan dari segi pemikirannya berbanding rakyat biasa.

Dengan demikian, barulah kepimpinan mereka boleh diikuti atau dijadikan pedoman. Itulah nilai seorang pemimpin di mata rakyat.

Tetapi berbeza dengan Ahmad Maslan, beliau seringkali saja mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan, tidak masuk akal, malah tidak menunjukkan berbezanya diri beliau itu sebagai pemimpin.

Dengan beberapa lagi pemimpin mempunyai watak seperti Ahmad Maslan dalam kerajaan seperti pernah menyarankan jangan makan ayam jika mahal, tanam sayur sendiri kerana harganya kian mahal, bertolak lebih awal untuk mengelak tol dan sebagainya, ia secara tidak langsung memburukkan lagi imej kerajaan di mata rakyat.

Mengapa di zaman Najib ini begitu banyak pertikaian mengenai kualiti menteri dan timbalan menteri yang dilantiknya, sedangkan ia tidak pernah berbangkit sebelum ini?

Kenapakah orang seperti Ahmad Maslan lebih senang mendapat kedudukan dalam kerajaan berbanding ramai Ahli Parlimen lain yang jauh jauh lebih baik, lebih cerdik dan diyakini?

Mengapa sesetengah Ahli Parlimen yang baik dan cerdik pula, hanya sesudah beberapa penggal menjadi wakil rakyat barulah dilantik menganggotai kerajaan, berbeza dengan Ahmad Maslan yang mula bertanding di Pontian pada pilihanraya 2008, tetapi terus dilantik sebagai timbalan menteri pada 2009 apabila Najib menjadi Perdana Menteri?

Jawapannya tidak lain ada pada Najib sendiri. Beliau bukannya melantik menteri dan timbalan menteri untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat dan negara, tetapi semata-mata untuk dirinya.

Sebab itu, beliau memilih mereka yang setia, suka mengampu, membodek dan hanya sedia memujinya saja.  Faktor kemampuan dan keupayaan memikul tanggungjawab, kecerdikan berfikir atau memberi khdmat kepada rakyat, tidak lagi menjadi faktor paling utama.

Ada menteri yang diketahui umum dilantik semata-mata kerana kuat mengampu dan mengepung sehingga Najib tidak mampu berbuat apa-apa selain daripada memberinya ganjaran jawatan.

Pemimpin yang baik dan mempunyai keupayaan berfikir dengan cemelang barangkali hanya boleh dibilang dengan jari dalam pentadbiran kerajaan di era Najib ini. 

Selain itu, Najib juga barangkali enggan melantik semua yang cerdik dan pandai dalam kerajaan pimpinannya kerana tidak mahu dirinya sendiri tenggelam. Hanya apabila di kelilingi oleh mereka yang tidak berapa cerdik, sering mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal dan menjadi bahan persendaan rakyat saja barulah Najib kelihatan sedikit lebih baik dan menonjol.

Dalam ertikata lain, disebabkan tidak cerdik itulah mereka diberikan jawatan serta kedudukan dan menjadi  tidak cerdik di zaman Najib ini nampaknya mendatangkan nasib lebih baik berbanding mereka yang pandai dan berkualiti. (SH 29/12/2015).

Monday 28 December 2015

KESIAN MAT MASLAN, TAK TAHU BEZA ANTARA KERJA DENGAN JAWATAN

Apabila Ahmad Maslan mengatakan beliau sendiri melakukan tiga kerja dalam satu masa iaitu sebagai timbalan menteri, ahli parlimen dan ketua penerangan UMNO, apakah beliau sebenarnya kelihatan lebih cerdik dan hebat atau lebuh teruk daripada sebelumnya?

Semalam beliau menyebut bahawa mereka yang melakukan dua kerja dalam satu-satu masa bukanlah perkara luar biasa, malah katanya, kerajaan juga menggalakkannya sebagai satu cara menangani peningkatan kos sara hidup.

Untuk mewajarkan kata-katanya itu, hari ini beliau sekonyong-konyongnya cuba tampil dengan hujah lebih kukuh dengan menjadikan dirinya yang kononnya mempunyai tiga kerja secara serentak sebagai contohnya.

Dalam erti kata lain, Ahmad Maslan cuba meyakinkan rakyat bahawa jika beliau yang berbadan kecil dan agak rendah pula boleh memikul tiga kerja dalam satu masa, apalah susahnya untuk rakyat melakukan sekadar dua kerja sahaja.

Kesian Mat Maslan...beliau nampaknya tidak tahu membezakan antara kerja dengan jawatan. Apa yang dimilikinya sekarang iaitu sebagai timbalan menteri, ahli parlimen dan ketua penerangan UMNO secara serentak adalah jawatan dan bukannya kerja.

Jawatan yang disandangnya sekarang adalah anugerah, pemberian atau pilihan yang dibuat Najib Razak selaku Perdana Menteri kepadanya dan ia bukanlah kerja tambahan yang dilakukan kerana tidak cukup pendapatan.

Ia jauh berbeza dengan konsep melakukan dua kerja yang dikatakannya digalakkan oleh kerajaan sebelum ini. Lagi pun, semua orang sedia diberikan lebih daripada satu jawatan, tetapi ramai yang mengelak untuk melakukan lebih daripada satu kerja.

Selain itu, tiga jawatan yang diberikan Najib kepadanya itu, kadang-kadang boleh pula dilakukan secara serentak. Misalnya, di pejabat timbalan menterinya, beliau juga boleh berfungsi sebagai ahli parlimen dan ketua penerangan UMNO.

Di ketika yang lain pula, tugasnya sebagai ketua penerangan UMNO boleh juga dilakukan dengan menggunakan perbelanjaan sebagai timbalan menteri. Balik kawasan menunaikan tanggungjawab sebagai ahli parlimen juga biasanya turut menggunakan kemudahan kereta kerajaan yang diperuntukan kepadanya sebagai timbalan menteri.

Maknanya, walaupun ada tiga jawatan, ketiga-tiganya saling menyenangkan dan bantu-membantu antara satu sama lain.

Sudah tentu tiga jawatannya yang disandangnya itu berbeza dengan dua kerja yang dilakukan oleh seorang kerani kerajaan yang misalnya menjual burger atau meniaga secara kecil-kecilan pada waktu malam.

Dua kerja itu bukan saja saling berbeza, bahkan tidak boleh bantu membantu antara satu sama lain, bahkan merupakan kesalahan pula jika menggunakan kemudahan pejabat untuk berniaga atau kerja-kerja sampingan yang lain.

Oleh itu, perbandingan Ahmad Maslan mengenai dirinya itu tidak betul sama sekali. Beliau sebenarnya ada tiga jawatan yang dianugerahkan kepadanya dalam satu-satu masa yang menyebabkan pendapatannya juga bertambah.

Ia berbeza dengan mereka yang melakukan lebih daripada satu kerja untuk menambah pendapatan. Jika analogi Ahmad Maslan itu mahu diterima pakai, semua pekerja seharusnya juga diberikan satu atau dua jawatan lain yang bergaji secara serentak, bukannya mereka terpaksa melakukan kerja lain yang berbeza untuk menampung kenaikan kos sara hidup.

Lantaran itu, ramai kawan-kawan dalam UMNO bersungut mengenai kenyataan terbaru beliau dengan berkata, Ahmad Maslan lebih kelihatan sebagai seorang cerdik dan pandai apabila beliau mendiamkan diri berbanding jika mula berkata-kata.

Kata mereka, wajahnya yang bersih dan rambutnya yang sentiasa basah dan bersisir rapi itu benar-benar memperlihatkannya sebagai seorang yang boleh diyakini jika belum mendengar kata-kata yang keluar daripada mulutnya.

Namun, kata mereka, sebagaimana yang sudah banyak kali dibuktikan sebelum ini, sebaik saja mulutnya terbuka dan lidahnya berbicara, segala tanggapan awal mengenai dirinya akan musnah dengan sekelip mata.

Itulah Ahmad Maslan, sehingga di suatu peringkat apabila ramai yang memperlekeh kata-katanya, beliau segera menunjukkan pencapaian pointer CGPA 3.85 yang pernah dirangkulnya sambil berkata, "saya bukanlah bodoh sangat."

Tetapi dalam beliau mengatakan dirinya tidak bodoh itu, rasanya dalam sejarah Malaysia moden, beliaulah  satu-satunya pemimpin politik yang pernah menunjuk-nunjuk dan berbangga dengan pencapaian semasa belajar kepada umum secara terbuka.

Sudah tentu orang cerdik tidak melakukan perbuatan seperti itu kerana orang cerdik akan menunjukkan kecerdikannya melalui hasil kerjanya untuk dinilai, bukan dengan cara menayangkan sijil.

Dalam isu GST misalnya, terlalu banyak kata-kata yang pernah dilafazkannya, bukan saja tidak masuk akal, malah dakwaannya cukai baru itu akan menurunkan harga barang, sehingga sekarang masih juga tidak menjadi kenyataan.

Dalam cuba menunjukkan dirinya hebat kononnya mampu melakukan tiga kerja dalam satu masa, Ahmad Maslan secara tidak langsung telah mempamerkan ketidakcerdikannya kepada umum.

Bahkan, kesungguhannya mahukan rakyat melakukan dua kerja berbanding menumpukan lebih banyak masa untuk keluarga juga menunjukkan kegagalan kerajaan yang dianggotainya dalam meringankan beban kehidupan rakyat melalui pelbagai perancangan dan program selama ini.

Tiada apa kelebihan yang boleh dibanggakan dengan tiga jawatan serentak Ahmad Maslan itu kerana jika diperiksa, ada pengerusi GLC, selain memegang jawatan di syarikat induk, turut juga menjadi pengerusi kepada berpuluh, malah  beratus anak syarikat yang lain.

Bolehkah mereka juga lebih berbangga sambil mendakwa mempunyai beratus-ratus kerja dalam satu masa? (SH 28/12/2015).

MINGGU DEPAN - PENANTIAN RAKYAT TERHADAP SPRM DAN PEGUAM NEGARA

Apabila SPRM mengumumkan ia akan mengemukakan hasil siasatan berkaitan SRC International dan derma RM2,600 juta yang disalurkan ke akaun peribadi Najib Razak pada minggu depan, tumpuan kini tidak lain ialah mengenai keputusan penyiasatan tersebut.

Apatah lagi SPRM turut memberi jaminan mereka akan  menjalankan siasatan secara bebas, telus, profesional dan tanpa sebarang gangguan daripada mana-mana pihak.

Jika terdapat kes, menjadi tanggungjawab kami mencadangkan pertuduhan dalam laporan kertas siasatan yang akan dikemukakan kepada Peguam Negara, begitu juga jika sebaliknya, kata Pengarah Operasi Khas SPRM, Bahri Mohamad Zin.

Oleh itu, pertanyaan umum ialah apakah siasatan SPRM nanti akan mendapati ada kes terhadap Najib atau sebaliknya?

Sekiranya ada kes, apakah pertuduhannya dan kalau sebaliknya pula, bagaimanakah hujah-hujahnya?

Dapatkah rakyat menerima apa juga keputusan hasil siasatan SPRM tersebut, terutama jika tiada kes sedangkan sudah diakui wang RM2,600 juta, termasuk RM42 juta daripada SRC International, mengalir masuk ke dalam akaun peribadi Najib?

Dalam konteks yang lain, masyarakat umum  juga tertanya-tanya, sekiranya SPRM mendapati ada kes, apakah Peguam Negara akan meneruskan tindakan sebagaimana yang sepatutnya atau bakal menerima nasib seperti mana siasatan Bank Negara terhadap 1MDB sebelum ini yang dicadangkan pertuduhan tetapi tidak diteruskan untuk pendakwaan?

Kalau ada kes, siapakah yang akan dikenakan pertuduhan? Adakah ianya Najib atau individu tertentu dalam SRC International?

Sekiranya Peguam Negara memutuskan tiada kes untuk sebarang pertuduhan, apakah hujah-hujah yang akan dibentangkannya nanti untuk mewajarkan keputusan itu?

Dapatkah akhirnya ia diterima dengan baik oleh rakyat atau sebarang keputusan Peguam Negara nanti lebih menghangatkan lagi perbualan rakyat mengenainya?

Berkaitan derma daripada pihak tertentu di Timur Tengah kepada Najib yang sehingga ini masih menjadi misteri, apakah Peguam Negara akan mendedahkan identitinya atau kekal menjadikannya rahsia buat selama-lamanya?

Banyak sekali persoalan sedang bermain dalam pemikiran rakyat menjelang minggu depan sementara menunggu hasil siasatan SPRM dan langkah seterusnya yang akan diambil oleh Peguam Negara mengenai wang derma melibatkan Najib itu.

Terdapat juga yang merasakan, kalau tidak siasatan SPRM, pastinya keputusan Peguam Negara, sudah boleh diramal dan dijangkakan apa penyudahnya.

Tetapi, apa pun hasil siasatan SPRM dan keputusan Peguam Negara mengenainya, pihak yang terpaksa menanggung bebannya selepas itu ialah Najib sendiri.

Apa juga keputusannya akan menyebabkan orang ramai  terus berbicara dan memperkatakan isu derma RM2,600 juta melibatkan Najib itu berdasarkan pemikiran masing-masing serta logik yang ada di depan mata.

Akhirnya, selagi beliau kekal sebagai Perdana Menteri, tugas berat tetap menanti UMNO dan BN dalam perhitungan undi rakyat yang semakin matang, terbuka dan melihat maklumat daripada pelbagai sumber yang berbeza. (SH 28/12/2015).

Sunday 27 December 2015

LAGI TENTANG DERMA RM2.6 BILION





SANTAI HARI MINGGU - MENGHAYATI ANTARA CEBISAN SEJARAH DUNIA


Presiden Tunisia, Zine El Abidin Ali tersungkur oleh revolusi rakyat.  Bersamanya ialah wanita pertama Tunisia, Laila Trabelsi yang melarikan diri ke luar negeri.  

Gaya hidup dia yang gila-gila mewahnya, sedangkan rakyat umumnya dalam kancah kemiskinan adalah antara faktor tumbangnya Presiden tersebut.

Emelda Marcos atau nama sebenarnya Imelda Remedios Visitacion Trinidad Romualdez menjadi wanita pertama Filipina mulai 30 Disember 1965 sehingga 25 Februari 1986.  

Isteri kepada Presiden Ferdinand Marcos itu terkenal sebagai seorang yang suka mencampuri urusan negara sewaktu suaminya menjadi Presiden. Bayangkan sewaktu menjadi isteri Presiden, dia juga adalah seorang ahli Parlimen bagi kawasan IV-A Filipina (12 Jun 1978 hingga 25 Februari 1986), Ambassador Plenipotentiary and Extraordinary (1978–1986) dan Menteri Pembinaan Insan (1978-1986).  

Sebagai wanita pertama dia sudah memiliki segalanya, termasuk seorang Presiden di dalam genggamannya. Apa lagi yang diperlukannya dengan memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan?

Dia sangat mewah berbelanja menggunakan wang kerajaan. Misalnya membeli belah di New York, Rome dan Copenhagen pada 1983 dengan RM5 juta dollar. Membeli hartanah di Manhattan, antaranya Crown Building 51 juta dollar dan Herald Centre bernilai 60 juta dollar. Nafsunya untuk membeli koleksi barangan mewah tidak dapat ditahan, dia akan berbelanja besar setiap kali ke luar negeri. 

Setiap kritikan rakyat terhadap tingkah lakunya dijawab dengan selamba bahawa, itu adalah tugasnya untuk memberi cabaran positif atau memotivasi golongan miskin. 

Iyalah, mungkin golongan miskin akan lebih teruja berusaha menjadi kaya dengan melihat kemewahannya.  Selepas kejatuhannya, dia menjadi bualan dengan pendedahan koleksi kasut mewahnya sebanyak 2,700 pasang tersimpan rapi di istana tinggalannya.
Seorang lagi wanita pertama yang suka menyibuk mencampuri urusan kerajaan pimpinan suaminya ialah Elena Ceausescu, isteri diktator Rumania Nikolai Ceausescu. 

Sewaktu suaminya sedang menakah karier politik, dia juga tidak ketinggalan membina karier politiknya sendiri. Bermula 1972, dia memegang pelbagai jawatan penting dalam Parti Komunis Romania. 

Pada Jun 1973 dia muncul sebagai orang kedua terpenting dalam heiraki parti selepas suaminya, menjadi penasihat utama partinya dalam isu isu antarabangsa.

Pada tahun 1980, dia menjadi Timbalan Perdana Menteri Pertama, sewaktu saminya menjadi Presiden Romania. Gandingan Nikolai dan Elena menjadi sangat berkuasa, melakukan pelbagai penindasan terhadap rakyat. 

Senarionya sama dalam pemerintahan mana mana diktator, di mana presiden dan kroni adalah kaya raya sewaktu rakyat dihimpit kemiskinan.

Revolusi rakyat Romania 1989 berjaya menjatuhkan rejim Nikolai. Elena dan suaminya ditangkap di Targoviste, dibicarakan lalu dijatuhi hukuman mati. Dia dan suaminya sehidup semati, terbukur kaku bersebelahan di sisi bangunan selepas ditembak. 

Dia semasa hayatnya mungkin tidak seghairah Emelda dalam membelanjakan harta rakyat untuk barangan mewah, tetapi dia sibuk mencampuri urusan pentadbiran suaminya.

Farah Diva Pahlavi adalah permaisuri kepada raja Iran, Shah Mohd Reza Pahlavi. Seperti juga wanita utama bagi mana mana diktator, dia muncul sebagai watak pemboros menghabiskan duit negara. 

Majlis penabalannya sebagai Permaisuri era Iran moden tahun 1967 menelan belanja 10 juta dollar, angka yang cukup besar pada masa itu.

Dia seorang yang sangat meminati seni budaya, menghabiskan duit yang banyak untuk menganjurkan pelbagai program kegemarannya itu. Dia mempunyai pekerja yang ramai untuk menjayakan apa apa program yang selaras dengan kehendaknya. 

Kehidupan diraja mereka sangat mewah, sedangkan rakyat bawahan tidak terbela. Mana mana rakyat yang bangkit menentang kerajaan akan menerima padah seksaan dari perisik Savak.

Akhirnya Revolusi Iran berjaya mengusir Shah, Farah serta seluruh keluarga diraja mereka. Mereka pernah hidup mewah di istana tetapi menjadi pelarian di beberapa buah negara.

Laila, Emelda, Elena, & Farah Diva adalah antara nama nama besar di sisi suami mereka yang dianggap diktator. Sifat utama mereka ialah boros dan sibuk mencampuri urusan suami selaku ketua kerajaan.

Artikel ini adalah petikan daripada laman Facebook Suara Tun Suara Rakyat dan tidak ada kena mengena dengan sesiapa di negara kita yang tercinta dan aman permai ini sama ada yang pernah berkuasa, sedang berkuasa,  bakal habis kuasa atau mereka yang sedang mengejar kuasa.

Kata orang, sejarah ialah guru yang tidak pernah menipu dan belajar daripada sejarah adalah pedoman yang bermanfaat kepada sesiapa saja. (SH 27/12/2015).

Saturday 26 December 2015

BILA UTUSAN TIBA2 JADI BAIK...

Semua orang tahu akhbar Utusan sentiasa memusuhi Pas, perjuangan dan para pemimpinnya sejak dulu. Disebabkan itu, Pas pernah melancarkan kempen agar ahli-ahlinya jangan membeli dan membaca akhbar tersebut yang didakwa hanya menyebarkan propaganda, laporan tidak tepat dan memburukkan parti itu sahaja.

Lantaran itu,  masih ramai yang kekal memboikot Utusan sekarang. Salah satu sebab merosotnya jualan akhbar Utusan juga adalah dipercayai kerana berkesannya pemboikotan itu kerana ia bukan saja dilakukan oleh ahli Pas, malah juga oleh penyokong dan mereka yang condong kepada perjuangan parti itu.

Tetapi, sejak timbulnya cadangan Najib Razak mahu mengajak Pas bekerjasama dengan UMNO dan kerajaan yang dipimpinnya, kecondongan akhbar itu juga dapat dilihat dengan nyata. 

Tiba-tiba saja Pas disanjung, pemimpinnya diberi muka untuk siaran berita dan seolah-seolah parti itu sahabat yang setia.
Apabila musuh tiba-tiba jadi baik, selain harus bersangka baik, tetapi janganlah sesekali dilupa pesanan bekas Presiden Pas, Fadzil Noor yang pernah dibuatnya sebelum ini.

"Musuh, bila dia sokong kita, mesti ada yang tak kena."

Insya Allah, pesanan beliau itu sentiasa relevan sampai bila-bila. (SH 26/12/2015).

Friday 25 December 2015

NAJIB MAKIN TAK POPULAR


Menurunnya populariti Najib Razak di hati rakyat sebenarnya bukan lagi sekadar andaian atau jangkaan semata-mata. Ia adalah realiti yang semakin nyata serta boleh dilihat di mana-mana.

Kekal berkuasa dan penyokongnya pula bangga kerana konon kepimpinannya masih mampu mengaut derma beribu-ribu juta, hakikatnya populariti beliau semakin ketara menurunnya.
Sebaliknya, bekas timbalannya Muhyiddin Yassin yang dipecat dan dihadapkan dengan macam-macam sekatan, tiba-tiba pula mendadak naik popularitinya.

Sempena dua cuti umum, Maulidur Rasul dan Krismas minggu ini, kedua-dua pemimpin tersebut masing-masing memuatnaik tulisan berkenaan hari kebesaran itu di laman Facebook dan lihatlah berapa ramai yang menunjukkan "like atau "suka" kepada mereka.

Untuk Maulidur Rasul, Najib memuatnaik tulisannya sejak Rabu dan sehingga petang Jumaat ini, jumlah "suka"  yang diperolehinya hanyalah sebanyak 3,990 sahaja manakala Muhyiddin yang memuatkan tulisannya sejak Khamis telah mengumpul  "suka"  sebanyak 29,852.
Untuk Krismas pula, Najib hanya mendapat "suka" sebanyak 904 sejak  memuatnaik ucapannya pada Khamis, sementara Muhyiddin dalam tempoh tidak sampai sejam telah memperolehi "suka"  sebanyak 2,620.

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi pula mengumpul "suka"  yang jauh lebih mengecewakan. Tak sampai hati pula nak tulis jumlahnya dan lihatlah sendiri melalui gambar di bawah ini...hehehe.
Malah jika "suka"  yang diperolehi Najib dicampurkan dengan "suka" kepada Zahid Hamidi, ia masih lagi tidak mampu menandingi jumlah yang diperolehi oleh Muhyiddin.

Masihkah tidak mahu memahami isyarat ini? (SH 25/12/2015).

AKAR UMBI PAS TAK TERUJA KERJASAMA DENGAN UMNO


Jika sepuluh ahli akar umbi Pas ditanya mengenai kerjasama yang sedang diusahakan oleh sesetengah pihak antara parti itu dengan UMNO, barangkali agak sukar untuk mendapatkan lebih daripada seorang yang bersetuju dengannya.

Yang seorang itu pun, jika kelihatan seperti bersetuju bukanlah pula setuju dalam erti kata yang sebenarnya, persetujuan itu tetap tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi UMNO terlebih dahulu.

Kadang-kadang yang seorang yang nampaknya macam bersetuju itu pula hanya tersenyum penuh makna apabila diajukan pertanyaan. 

Majoritinya, sama ada sembilan daripada sepuluh atau semua sepuluh orang yang ditanya itu, terang-terang menolak dan tidak teruja dengan jalinan kerjasama dengan UMNO itu.

Sejak beberapa hari lepas, saya mengambil kesempatan membuat tinjauan secara rambang dengan menghubungi beberapa kenalan dan saudara mara yang diketahui sebagai penyokong dan ahli Pas mengenai kerjasama itu.

Di kampung saya di Perak, saya juga berjumpa dengan ramai kenalan dan ahli keluarga yang lebih dekat untuk bertanya tentang perkara yang sama.

Kesimpulannya, tidak terlekat langsung dalam hati mereka dengan kerjasama yang menjadi dambaan Najib Razak UMNO yang cuba diusahakannya dengan tiba-tiba mahu berbaik dan melobi Presiden Pas, Hadi Awang itu.

Yang agak terbuka, terang-terang menolak kerjasama itu berdasarkan ideologi politik dan sejarah masa lalu UMNO yang menyakitkan bagi mereka. Secara umumnya mereka tetap menganggap UMNO sebagai musuh yang perlu ditumbangkan sebagaimana yang berlaku Kelantan serta Selangor dan pernah berlaku di beberapa negeri sebelum ini.

Ramai juga yang mencebikkan muka apabila ditanya mengenai hasrat UMNO tentang kerjasama itu, malah ada juga yang sama sekali tidak percaya Hadi Awang akan membawa Pas ke arah tersebut. 

Kata mereka, Hadi Awang bukanlah pemimpin yang mudah terpedaya dengan janji manis atau apa saja yang cuba dilakukan oleh Najib terhadapnya kerana ketinggian ilmunya akan sentiasa memeliharanya.

Walaupun mereka mengikuti segala perkembangan yang diheboh-hebohkan, terutama melalui propaganda televisyen dan media kerajaan, hakikatnya  ahli akar umbi Pas tidak mengurangkan darjah permusuhan mereka dengan UMNO dengan perkembangan terbaru ini.

Secara tidak langsung, ini menunjukkan perang saraf yang cuba dilakukan Najib untuk membentuk persetujuan terhadap kerjasama itu boleh dikatakan gagal serta  tidak berkesan. Najib dan UMNO tetap dilihat tidak baik dan tidak boleh dipercayai di mata ahli-ahli Pas.

Mereka tetap menganggap Najib dan UMNO sebagai musuh yang perlu dijauhi dan dijatuhkan melalui pilihanraya. Ternampak bahawa yang ghairah dan seperti sedang asyik mahsyuk bercinta dengan UMNO hanyalah dua tiga kerat pemimpinnya di peringkat atasan saja.

Di peringkat bawahan dan akar umbi, selain tidak teruja, majoriti ahli Pas adalah bersama pendirian dengan Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man dan dua Naib Presidennya, Iskandar Samad serta Idris Ahmad yang terang-terang menolak dan meletakkan beberapa syarat jika kerjasama itu benar-benar mahu dijayakan.

Memaafkan perlakuan dan sejarah silam UMNO dalam beberapa aspek juga tidaklah mudah bagi mereka atau boleh dilupakan begitu saja.

Bagi ahli akar umbi Pas, menolak kerjasama itu bukan disebabkan tidak mahukan perpaduan atau menjauhi kebaikan, tetapi kerana nawaitu UMNO dan Najib mengenainya terlalu jelas hanya untuk menyelamatkan dirinya saja.

Mengalahkan atau membiarkan UMNO kalah,  bagi mereka, lebih banyak afdal dan kebaikannya lagi untuk negara ini. (SH 25/12/2015).

Thursday 24 December 2015

SIAPA PEMEGANG KATA MAAF?

Sejak timbulnya isu kerjasama antara UMNO dengan Pas, terdapat pihak tertentu dalam parti Islam itu yang dilihat "terlebih lajak daripada laju" dalam memberi pandangan dan seolah-olah  "sudah geli" serta tidak sabar benar mahu menjadikan hubungan itu sebagai realiti.

Setelah Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan menyatakan pihaknya sedia memaafkan kesalahan lampau UMNO terhadap parti itu, semalam Pengarah Pusat Penyelidikannya, Dr Zuhdi Marzuki pula mahukan lembaran baru dibuka bagi menjayakan kerjasama tersebut.

Sekiranya generasi pemimpin dan ahli UMNO hari ini mahu merapatkan persaudaraan Islam, maka adakah perlu diungkit segala dosa dan kesalahan lampau? tanya beliau.

Belum pun Najib Razak dan lain-lain pemimpinnya bercakap bagi pihak UMNO meminta maaf atau menunjukkan hasrat berbuat demikian, sudah terdapat pemimpin Pas sendiri yang terlebih dahulu menawarkan kemaafan itu.

Wahhh...baiknya hati mereka!!

Teringin benar nampaknya mereka untuk berbaik-baik dan menjalin kerjasama dengan UMNO yang sedang dipimpin oleh Pahlawan Bugis yang dengan bangga pernah mengaku kemasukan wang sejumlah RM2,600 juta ke dalam akaun peribadinya.

Tetapi, sebelum lebih banyak kata maaf ditawarkan, sekali lagi disebut, walaupun UMNO dan Najib belum meminta sebarang kemaafan, eloklah diteliti dan diperhalusi dahulu tulisan Naib Presiden Pas, Iskandar A. Samad yang dipetik daripada laman Facebooknya.

Berikut adalah tulisannya itu:-

Siapa yang boleh memaafkan kesalahan-kesalahan UMNO?

Sudah tentu bukan keputusan mana-mana pimpinan.

Tetapi mangsa-mangsa kezaliman dan penindasan UMNO itu sendiri.

Mungkin juga keluarga-keluarga mereka jika mereka tiada lagi di dunia ini.

Siapakah mereka? Ramai sekali.

Bekas tahanan-tahanan ISA.

Mangsa peristiwa Memali.

Peneroka bandar yang dirobohkan rumah mereka.

Penjaja dan peniaga yang dirobohkan gerai dan warung mereka kerana menyokong pembangkang.

Pelajar-pelajar yang dinafikan biasiswa kerana datang dari keluarga yang menyokong pembangkang.

Petani dan peladang yang ditahan subsidi dan bantuan kerana menyokong pembangkang.

Seluruh rakyat negeri Kelantan dan negeri Terengganu yang tidak mendapat royalti petroleum.

Penduduk kampung yang tidak mendapat jalan berturap dan lampu jalan kerana menyokong pembangkang.

Penjawat awam yang dipindahkan atau ditahan kenaikan gaji kerana menyokong pembangkang.

Rakyat yang dinafikan hak membeli rumah kos rendah kerana bukan ahli UMNO.

Senarainya terlalu panjang untuk dinyatakan di sini.

Tanya mereka terlebih dahulu sebelum mahu memaafkan kesalahan-kesalahan UMNO. (SH 24/12/2015).

Wednesday 23 December 2015

ANTARA DUA AMANAT


Bekas Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat adalah pemimpin Pas paling konsisten pendiriannya berkaitan hubungan parti itu dengan UMNO.  Amanatnya berkaitan perkara itu dianggap paling keras dan tidak ada sesiapa berani menyentuh atau mahu mengubahnya ketika beliau masih hidup.

Sehinggalah meninggal dunia, beliau tetap berpegang kukuh kepada pendiriannya itu, namun terus menjadikan dirinya disanjung serta dikenang.
Presiden Pas, Hadi Awang juga pernah mengeluarkan amanat berkaitan UMNO ketika zaman mudanya dahulu. 

Tetapi, tidak dapat dipastikan sama ada di zaman tuanya dan di ketika Najib Razak menjadi Perdana Menteri ini, beliau masih berpegang lagi kepada keyakinan bait-bait perkataan dalam amanat tersebut atau pun sudah berubah pendirian mengenainya.(SH 23/12/2015).

MENGAPA KERJASAMA UMNO - PAS PERLU DITOLAK?


Dua tiga hari kebelakangan ini saya banyak ditanya mengenai kerjasama UMNO dengan Pas dan mengapa tulisan di blog ini seperti menjurus kepada menentang atau menolak perkara tersebut.

Sementara ramai yang setuju bahawa kerjasama itu lebih bersifat politik dan banyak kesukarannya, beberapa rakan serta kenalan bertanya, tidak bolehkah ianya sama-sama disokong demi kepentingan Melayu dan Islam di negara ini?

Seorang pemimpin UMNO peringkat bahagian pula berkata kepada saya, kita sebagai orang Melayu dan Islam wajib menyokong usaha yang dipelopori Najib Razak itu kerana ia mampu meningkatkan maruah bangsa serta agama yang selama ini agak tercabar.

Ketika berada di sebuah lobi hotel sementara menunggu rakan, seseorang yang agak berusia dan mengaku pembaca blog saya menegur dan kemudian menyarankan agar saya turut menyumbang kepada jalinan kerjasama itu.

Katanya, lanskap politik negara akan berubah dan membawa banyak kebaikan jika kerjasama kedua-dua parti Melayu itu dapat dicantumkan.

Selalunya apabila dilontar pertanyaan dalam pertemuan secara spontan atau kebetulan itu, saya lebih banyak membiarkan saja mereka meluahkan pendapat tanpa terlalu ingin berhujah atau menegakkan pendirian saya.

Pertamanya, sebagai penulis kecil yang sekadar ingin berkongsi pandangan melalui blog ini, saya tidaklah terlalu menentang sebarang bentuk kerjasama yang boleh membawa kebaikan kepada negara.

Apa pun kebaikan kepada negara, sama ada secara langsung atau tidak langsung, akhirnya saya, keluarga dan anak-anak yang sedang membesar akan dapat juga percikan daripadanya, baik pada waktu ini mahu pun di masa akan datang.

Makanya, tidak berbaloi jika saya hanya semberono saja menentang sesuatu perkara itu.

Tetapi, dalam soal kerjasama ini, bukan saja  saya, malah ramai yang lain mungkin turut tidak bersetuju dengannya. Asasnya tidak lain ialah kerana ia semata-mata ditimbulkan atas niat, faktor dan pertimbangan politik yang seratus-peratus untuk menyelamatkan kedudukan Najib.

Kalau ada pun kepentingan agama dan bangsa, dalam pertimbangan Najib ia barangkali terletak di nombor 12 atau 13. Keutamaan nombor satu Najib tidak lain ialah untuk memastikan  kuasanya kekal lebih lama lagi.

Bukan saja Najib tidak mungkin menimbulkan idea kerjasama itu jika kedudukannya tengah kukuh, malah mustahil beliau mahu "mengenyit mata"  kepada Pas kiranya tidak dibelenggu dengan isu 1MDB dan derma RM2,600 juta melibatkan dirinya yang menyebabkan semua rakyat dan seluruh dunia mencebiknya.

Daripada kedua-dua isu itu, wang yang masuk ke akuan peribadi seorang pemimpin dan kemudian dikatakan sebagai derma adalah perkara yang tidak boleh diterima sama sekali oleh sesiapa pun jua. Bersetuju dengan kerjasama itu seolah-olah turut setuju dengan perbuatan dan cara menerima wang tersebut.

Najib barangkali beruntung kerana beliau menjadi pemimpin negara dunia ketiga di mana masih ramai rakyatnya yang tidak begitu terdedah dan boleh dilencongkan pemikirannya untuk menerima perkara itu sebagai suatu kewajaran atau menganggap seseorang pemimpin itu ada kelebihan untuk melakukan sesuatu yang di luar kenormalan.

Cuba perkara itu berlaku di negara maju di mana kesedaran mengenai wibawa, maruah dan intergriti seorang pemimpin begitu diambil berat?

Oleh kerana di sebalik mengaku menerima wang itu Najib masih juga disokong oleh UMNO untuk memimpin negara ini, bermakna menjadi tanggungjawab kita semua untuk menunjukkan penolakan terhadap apa juga kaedah untuk menyelamatkan dirinya, sekurang-kurangnya bagi membuktikan rakyat negara ini masih ada maruah, harga diri dan tahu menilai pemimpin yang baik.

Kedua, kerjasama kedua-dua parti itu mungkin boleh diterima kewajarannya jika Najib tidak terlibat dengan isu berat berkaitan wang derma itu atau sekiranya setelah beliau bukan lagi mengetuai UMNO dan menjadi Perdana Menteri.

Kerjasama dengan Pas hanya sesuai ketika UMNO dipimpin oleh orang lain selain Najib yang tidak terkait dengan isu wang seberat RM2,600 juta. Ia lebih mudah diterima ketika itu dan bukan di ketika Najib yang cukup cukup tercemar mengetuai UMNO.

Bolehkah kita bayangkan apa akan jadi kepada rakyat dan negara, malah bentuk kepimpinan serta perlakuannya selepas ini jika kerjasama itu menjadi kenyataan dan Najib terus kekal lagi sebagai Perdana Menteri?

Dalam konteks yang lain iaitu faktor ketiga, jika kerjasama itu berjaya dan Najib mampu mempertahankan kuasanya, ia juga akan menyebabkan Pas bakal dihukum oleh sejarah kerana bersubahat dengan pemimpin yang mengikut hukum akal dan kewarasan manusia normal, tidak boleh dipertahankan sama sekali.

Dalam hal ini, baik juga masih ada pemimpin utama Pas seperti Tuan Ibrahim Tuan Man dan Idris Ahmad yang berani bersuara dan sekaligus memperlihatkan nilai tidak mudah bersekongkol dengan keburukan serta sesuatu yang dibenci oleh majoriti rakyat.

Bukan saja rakyat, malah ahli Pas juga seharusnya terus bersama-sama dengan pendirian Tuan Ibrahim dan Idris itu demi maruah dan kecintaan kepada negara.

Daripada menjalin kerjasama dengan UMNO yang dipimpin oleh Najib dan kemudian tujuannya juga untuk terus mengekalkan beliau di persada Seri Perdana, jauh lebih baik bagi Pas bersama-sama dengan pakatan pembangkang untuk membawa perubahan menyeluruh yang akhirnya mendatangkan banyak manfaat kepada rakyat.

Lantaran itu, kepada yang bertanya mengenai kecenderungan tulisan dalam blog ini berkaitan kerjasama UMNO dan Pas, artikel kali ini barangkali dapat menjawabnya. (SH 23/12/2015).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...