Monday 31 March 2014

Soalan Mudah Untuk Bakal PM: Apa Bezanya Berakhir Di Lautan Hindi Dengan Terhempas Di Lautan Hindi?


Berikutan desakan waris penumpang MH370 daripada negeri China agar kerajaan memohon maaf kerana sehingga ini masih tiada bukti kukuh yang menunjukkan pesawat itu terhempas di Lautan Hindi dan semua penumpangnya terkorban, Pemangku Menteri Pengangkutan, Hishammuddin Hussein yang dikatakan terlonjak namanya sebagai bakal PM berikutan insiden ini, terpaksa membuat kenyataan berdolak-dalik untuk menyelamatkan sepupunya, Najib Razak.

Hishammudin berkata, tiada keperluan untuk kerajaan memohon maaf kerana dakwanya, kenyataan Najib Razak pada 24 Mac lalu tidak menyebut pesawat itu terhempas atau semua penumpangnya terkorban, sebaliknya hanya mengatakan pesawat itu berakhir di Lautan Hindi.

Memanglah dalam kenyataan Najib itu beliau tidak menyebut perkataan terhempas, sebaliknya menggunakan ayat berakhir di Lautan Hindi. Najib juga menyebut kawasan pesawat MH370 itu dikesan kali terakhir adalah di sebuah kawasan terpencil yang jauh daripada mana-mana landasan.

Bukankah ianya bermaksud terhempas? Rasanya budak sekolah rendah pun faham mengenainya.

Lagi pula selepas pengumuman itu, Najib juga memaklumkan pencarian akan dilakukan di Lautan Hindi di kawasan yang dikenalpasti itu. Kalau bukan terhempas, apa jadahnya pula pencarian dilakukan? Begitu juga tujuan Najib ke Perth Rabu ini, adakah bertujuan meninjau pencarian pesawat yang terhempas atau membeli-belah?

Sambil merakamkan rasa sedih, Najib juga menyebut kesimpulan yang dibuatnya bahawa pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi yang berdasarkan penemuan data satelit Immarsat, adalah berita sedih yang sukar diterima dan semua waris penumpang juga sudah dimaklumkan lebih awal mengenainya.

Kenyataan ini pula bukankah bermaksud semua penumpangnya sudah terkorban?

Lebih daripada itu, kesokan harinya pula semua akhbar arus perdana yang semuanya dalam kawalan pejabat Perdana Menteri telah melaporkan bahawa pesawat itu telah terhempas di Lautan Hindi. Tidakkah ini mengesahkan lagi bahawa kenyataan Najib itu memang bermaksud MH370 telah terhempas?

Pada 25 Mac itu juga, Najib telah membawa usul takziah di Parlimen untuk merakamkan rasa dukacita kerajaan atas tragedi yang berlaku dan meminta semua pihak bersatu hati mengenainya.

Najib juga mengumumkan bahawa Majlis Fatwa akan bermesyuarat pada petang 25 Mac itu untuk menentukan bilakah sembahyang jenazah ghaib boleh diadakan. Bagaimanapun Majlis Fatwa yang bermesyuarat tidak menetapkan keperluan tarikh tertentu sembahyang jenazah perlu diadakan sehingga bukti mayat atau cebisannya ditemui terlebih dahulu.

Tidakkah semua fakta dan keterangan ini menunjukkan bahawa memang Najib bermaksudkan pesawat itu telah terhempas dan tiada nyawa yang terselamat, tetapi hanya berselindung di sebalik ayat berakhir di Lautan Hindi, rasa sedih, ucapan takziah dan keperluan mengadakan sembahyang jenazah ghaib?

Jika tidak bermaksus tiada yang terkorban sebagaimana kenyataan Hishammuddin hari ini, buat apa pula Najib membawa usul takziah di Parlimen, menyatakan rasa sedih dan menyatakan Majlis Fatwa akan menetapkan tarikh untuk sembahyang jenazah secara ghaib?

Dalam SMS MAS kepada waris penumpang pula sebagaimana yang dipetik oleh BBC ianya bertulis, " Dengan penuh rasa kesal Malaysia Airlines percaya bahawa tiada syak lagi MH370 telah hilang dan tiada yang terselamat."

Bagaimanapun sejak pengumuman menyedihkan itu, bukan saja tiada mayat atau serpihan pesawat yang ditemui di Lautan Hindi, bahkan objek-objek yang dikesan satelit yang sebelumnya dipercayai kemungkinan daripada MH370 hanyalah sampah-sampah yang dibuang di lautan saja.

Sumber satelit Immarsat pula kemudiannya menafikan bahawa kesimpulan MH370 berakhir di Lautan Hindi datangnya daripada mereka, sebaliknya menyatakan Immarsat hanya membekalkan maklumat tetapi kesimpulan dibuat oleh kerajaan Malaysia.

Setelah seminggu sejak pengumuman Najib itu dan tempoh pencarian keseluruhan sudah menjangkau hari ke 25 tetapi tiada juga sebarang penemuan, ramai waris mangsa mula meluahkan kemarahan dan menuntut kerajaan mengemukakan bukti kukuh atau meminta maaf mengenainya.

Tindakan Hishammudin cuba mempertahankan Najib semata-mata kerana enggan memohon maaf adalah tindakan memalukan dan menjelaskan kepada dunia bagaimana standard kita menangani krisis yang menjadi perhatian dunia. Setelah kenyataan Najib bahawa MH370 berakhir di Lautan Hindi adalah berdasarkan kesimpulan penemuan data satelit Immarsat tetapi kemudian dinafikan oleh Immarsat bahawa mereka hanya membekalkan maklumat dan kesimpulan dibuat oleh kerajaan Malaysia, telah menjejaskan wibawa negara, penafian tanpa asas Hishammuddin terhadap kenyataan abang sepupunya itu, sekali lagi meletakkan imej negara menjadi perbualan dunia.

Sikap Hishammuddin ini bukan saja menjadikan kita sering berubah pendirian atau flip-flop dalam memberikan maklumat tetapi juga akan dikenali sebagai bangsa dan negara yang sukar meminta maaf. Apalah sukarnya meminta maaf jika benar Najib yang silap?

Dalam hal ini, siapakah sebenarnya yang menjadi keutamaan Hishammuddin dalam tragedi MH370 ini - Najib atau maruah negara? (SH 30/03/2014)

Bersediakah Kita Menerima Seorang Lagi Anak Bekas PM Jadi PM?


Sementara usaha pencarian pesawat MH370 masih buntu walaupun setelah memasuki hari ke 24 dengan pelbagai teori dan kemungkinan mengenai nasib 239 penumpangnya boleh didengar di mana-mana, insiden ini juga seperti dilorongkan untuk menjadi rahmat dan keuntungan kepada Hishammuddin Hussein, Menteri Pertahanan yang dalam masa sama memangku jawatan Menteri Pengangkutan.

Dengan kapasitinya sebagai Pemangku Menteri Pengangkutan yang diberi tugas berhadapan dengan media untuk memberikan maklumat terkini mengenai kehilangan pesawat itu sejak lebih tiga minggu lalu, keupayaan dan kemampuannya mengendalikan pelbagai asakan media, terutamanya daripada luar negara, segera membangkitkan keyakinan banyak pihak tentang potensinya sebagai bakal PM selepas ini.

Hanya kerana itu,ramai yang mulai melupakan pelbagai kelemahan dan ketidakmampuannnya dalam mengendalikan pelbagai isu dalam negara ketika menjadi Menteri Dalam Negeri dahulu yang menyebabkannya nyaris-nyaris kecundang sebagai Naib Presiden UMNO pada pemilihan UMNO 2013 lalu.

Juga, hanya kerana kemampuan mengendalikan sidang akhbar berkaitan kehilangan MH370, ramai yang terlupa bahawa ketika pesawat itu didapati berpatah balik daripada laluannya, ia telah pun mula dikesan oleh radar TUDM tetapi tiada tindakan diambil, sama ada untuk memintas, mengejar dan berusaha lebih sedikit untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku kepada pesawat itu.

Jika jawapan Timbalan Menteri Pertahanan, Abdul Rahim Bakri di Parlimen bahawa TUDM tidak berbuat apa-apa terhadap pesawat yang didapati berpatah balik itu kerana menyangka ianya adalah arahan daripada pusat kawalan udara di Subang sebagai "lawak jenaka yang tidak menggelikan hati" dan sekaligus memalukan negara, janganlah lupa bahawa Menteri Pertahanan ialah Hishammuddin juga.

Kegagalan TUDM bertindak lebih awal terhadap pesawat MH370 yang akhirnya menjadikan usaha pencarian berlarutan sehingga kini, di samping mendatangkan kesan sampingan lain kepada imej negara di di mata dunia, beban pertanggungjawaban utama seharusnya dipikul oleh Menteri Pertahanan.

Namun kerana kekerapannya Hishammuddin muncul dalam sidang akhbar dan disertai dengan kemampuan mengendalikan sidang media itu,imejnya lebih tertonjol sebagai Pemangku Menteri Pengangkutan berbanding Menteri Pertahanan sedangkan pemangkuan jawatan Menteri Pengangkutan itu hanyalah sementara dan Kementerian Pertahanan juga adalah kementerian kanan yang diberikan kepadanya atas hireaki nombor tiganya dalam UMNO.

Tetapi kelebihan Hishammddin sebagai Pemangku Menteri Pengangkutan lebih diperkatakan berbanding peranannya sebagai Menteri Pertahanan. Peranan Hishammudin sebagai Menteri Pertahanan dalam kes MH370 ini hanya nampak tertonjol apabila beliau dilaporkan akan melengkapkan sistem pertahanan udara seperti satelit, radar dan lain-lain lagi berikutan kelemahan yang dikesan berikutan insiden ini memperlukan penambahbaikan segera.

Secara berseloroh, beliau berkata, Najib perlu mencari wang untuknya selepas ini bagi memperbaiki kelemahan sistem pertahanan udara yang menjadi perbualan dunia ketika ini.

Selain bakal mendapat dana besar, kelebihan berhadapan dengan media yang mula diperkatakan itu, beliau kini semakin hangat ditonjolkan sebagai bakal PM selepas ini. Hishammuddin bukan saja telah menenggelamkan Muhyiddin yang memegang jawatan TPM tetapi juga semakin meninggalkan pesaingnya yang lain iaitu Zahid Hamidi dan Shafie Apdal.

Namun demikian, dengan pelbagai masalah dan kelemahan yang dilakar dan dipetakan oleh Najib Razak selama ini, bersediakah kita menerima seorang lagi anak bekas PM menjadi PM?

Hishammuddin mungkin ada kelebihan daripada segi mengendalikan media tetapi aspek itu sebenarnya hanyalah satu aspek daripada berpuluh aspek lain yang diperlukan untuk menjadi PM yang baik bagi negara berbilang kaum, agama dan budaya seperti Malaysia ini. Aspek ketegasan, keberanian, adil, jujur, amanah, tidak mementingkan keluarga dan kroni, memberi kemakmuran kepada rakyat dan berbagai lagi adalah lebih penting kerana kualiti-kualiti itulah akhirnya yang akan menentukan kestabilan dalam negara.

Setelah hampir lima tahun negara berperdana-menterikan Najib Razak yang merupakan seorang anak bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak, di sebalik segala isu, masalah dan kemelut yang muncul di era pentadbirannya, sebahagian besarnya adalah dikaitkan dengan kedudukannya sebagai anak bangsawan yang lahir di dalam dulang emas dan membesar dengan segala kemewahan.

Keadaan itu menjadikan banyak program pembangunan dan aspek yang kononnya untuk kepentingan rakyat lebih merupakan retorik politik dan tidak menyentuh hati nurani rakyat. Sebagai anak bangsawan yang tidak pernah memahami erti kemiskinan, jauh sekali bermain dengan selut dan lumpur, erti kesusahan dan kemiskinan rakyat itu tidak difahami sepenuhnya oleh beliau.

Lebih malang lagi, perbincangan mengenai kemiskinan itu selalunya diadakan di bilik berhawa dingin, ditemani hiasan kristal dan sambil menikmati jamuan yang enak-enak dan menghisap cerut yang mahal. Lalu, di mana nilai kemiskinan dan kesusahan rakyat di hati pemimpin yang sebegini?

Hishammuddin, walaupun penglibatannya dalam politik melalui berbagai pertandingan dan tidak seperti Najib yang hanya diberi "smart tag" percuma, selain bersepupu dengan Najib, beliau juga adalah bekas PM, Tun Hussein Onn. Kedudukannya sebagai anak bangsawan, lahir di dulang emas, hidup serba mewah, tidak pernah bermain selut dan lumpur adalah tidak kurang membentuk pemikirannya sama seperti Najib juga.

Kelebihan Hishammuddin, sama juga seperti Najib adalah kerana mereka berdua anak kepada bekas PM. Jika bukan kerana berbinkan Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn, nasib mereka dalam UMNO mungkin berbeza seperti yang dinikmati sekarang.

Terlalu awal sebenarnya untuk menilai kemampuan Hishammuddin sebagai bakal PM hanya berdasarkan kemampuannya mengendalikan media mengenai kehilangan pesawat MH370 ini saja. Selain rekod kepimpinannya selama ini perlu diselak untuk dinilai semula seperti dalam isu Lahad Datu, perhimpunan aman dan sebagainya, cerminan yang telah dipantulkan oleh kepimpinan Najib sebagai anak bekas PM haruslah juga menjadi perkiraan utama.

Sebagaimana selalu disebut dalam masyarakat bahawa anak ulama tidak semestinya menjadi ulama seperti bapanya, anak Tun Razak telah terbukti semakin jauh daripada kualiti dan legasi yang menjadi tinggalan bekas PM kedua itu. Dan Hishammuddin, sebagai seorang lagi anak bekas PM, jika berdasarkan rekod kepimpinannya sebelum ini yang banyak kelemahan dan diragui, senario negara mungkin bergerak ke arah yang lebih buruk jika beliau juga diangkat sebagai PM. (SH 31/03/2014)

Saturday 29 March 2014

Kenapa Musa Ingat Tapi Mahathir Tak Ingat?


Bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad tidak mengambil masa yang lama untuk menjawab dakwaan bekas timbalannya, Musa Hitam bahawa beliau berada di dalam negara dan bukannya di China ketika peristiwa Memali yang mengorbankan 14 nyawa dan mencederakan puluhan yang lain pada tahun 1985 itu berlaku.

Bagaimanapun jawapan Mahathir ialah, "pasal perkara ini sudah berlaku begitu lama, saya kena semak baliklah apa yang dia kata betul atau tidak".

Memandangkan perkara itu sudah berlaku hampir 30 tahun lalu, maka Mahathir sudah tidak ingat lagi di mana beliau berada ketika itu dan memerlukan sedikit masa, barangkali untuk menyemak kembali diari lamanya.

Jawapan Mahathir ini bermakna kebenaran masih tergantung sehingga beliau menyemak dan memastikan di mana beliau berada ketika peristiwa Memali itu terjadi.

Bagaimanapun haruslah diakui bahawa peristiwa Memali adalah peristiwa besar yang sukar dilupakan oleh rakyat negara ini dan tentunya juga menjadi topik perbincangan di dalam mesyuarat kabinet atau di kalangan jemaah menteri ketika itu. Sekaligus jawapan Mahathir yang tidak dapat mengingati di mana beliau berada agak sedikit mengecewakan bagi sesetengah orang.

Bagaimanakah Musa Hitam masih mengingati bahawa ketika itu Mahathir berada di dalam negara dan bukannya di China sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini?

Malah Musa Hitam juga mengingati bahawa dua tiga hari selepas kejadian Memali pun Mahathir masih berada di dalam negara?

Ada pula yang berkata, Musa Hitam tidak mungkin berkata sesuatu yang beliau tidak pasti kerana dakwaannya bahawa Mahathir berada di dalam negara jika didapati tidak benar, akan membunuh reputasinya sendiri?

Betulkah Mahathir tidak ingat di mana beliau berada ketika itu? Jika benar beliau berada di China ketika peritiwa Memali yang menggemparkan negara itu, logikkah beliau sudah lupa mengenainya?

Jika benar Mahathir berada di dalam negara pula, benarkah juga beliau sudah lupa tentangnya?

Sementara kebenaran yang sebenarnya diharap akan diketahui tidak lama lagi, rakyat mula berteka-teki - siapakah yang sebenarnya berbohong antara dua Tun ini? (SH 29/03/2014)

Friday 28 March 2014

Menunggu Jawapan Mahathir Mengenai Memali


Setelah lebih 30 tahun tersimpul rapi, walaupun bekas Timbalan Perdana Menteri, Musa Hitam sebenarnya mempunyai banyak ruang untuk menceritakan segala rahsia mengenai peristiwa Memali sebelum ini, kenapa hanya sekarang beliau mendedahkan perkara itu tentunya menarik perhatian ramai.

Dalam sebuah forum anjuran kerajaan Pas Kelantan di Kota Bharu malam semalam, Musa Hitam yang ketika peristiwa Memali itu merupakan Menteri Dalam Negeri dan dipersalahkan oleh banyak pihak mengenainya, akhirnya mendedahkan bahawa ketika kejadian itu Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri, sebenarnya berada di dalam negara dan bukannnya di China sebagaimana yang diberitahu sebelum ini.

Malah Musa Hitam juga mendedahkan, dua tiga hari selepas kejadian itu pun, Mahathir masih berada di dalam negara.

Kenapa Musa Hitam mengambil masa selama 30 tahun untuk mendedahkan perkara ini sedangkan ketika bersama Team B pada 1987 dahulu atau ketika hebat mengasak Mahathir ekoran pengharaman UMNO pada 1988, beliau tidak mendedahkannya?

Apakah pula signifikannya beliau memilih Kelantan dan berucap di sebuah forum anjuran kerajaan Pas untuk mendedahkan perkara yang tersembunyi selama ini? Apakah ia bertujuan membersihkan dirinya daripada tanggapan buruk Pas selama ini terhadapnya?

Setelah lebih 11 tahun bersara sebagai Perdana Menteri iaitu pada 2003, apakah kerana Mahathir masih aktif, berpengaruh dan mencampuri banyak perkara dalam politik negara, maka tujuan Musa mendedahkan perkara ini ialah untuk menghentikan semua penglibatan Mahathir itu?

Dalam peristiwa Memali yang berlaku pada 1985 dan menyebabkan seramai 14 orang terbunuh serta berpuluh yang lain cedera termasuk Allahyarham Ibrahim Libya, Musa Hitam atas kapasitinya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri adalah paling dipersalahkan atas kejadian itu. Ia diperkukuhkan lagi bahawa ketika kejadian itu Perdana Menteri dilaporkan tidak berada dalam negara dan berada di China.

Selain Musa Hitam menganggap insiden itu sebagai titik hitam dalan karier politiknya, apabila beliau kemudian meletakkan jawatan pada 1986 kerana berkrisis dengan Mahathir dan diikuti dengan kehilangan anaknya, Carlos Musa dalam kejadian Highland Tower, terdapat pengikut Pas yang menganggap ianya sebagai balasan Tuhan terhadap apa yang dilakukannya dalam peristiwa Memali itu.

Musa Hitam, di sebalik pelbagai dakwaan mengenai peranannya dalam peristiwa Memali itu, beliau tidak pula mahu membuka mulut mengenainya. Dengan itu, tafsiran umum ialah ianya merupakan kejadian yang melibatkan peranan penuhnya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, lebih-lebih lagi bila diketahui pula Perdana Menteri tiada dalam negara ketika itu.

Dengan pendedahan Musa Hitam ini, ia tentunya menuntut jawapan segera daripada Mahathir. Jika benar beliau berada di dalam negara, tentunya beliau tidak boleh lepas tangan mengenainya. Konsep pertanggungjawaban bersama tidak mengecualikan Perdana Menteri dalam apa juga kejadian yang berlaku di dalam negara.

Jika dalam Ops Lalang misalnya, Mahathir turut melibatkan Anwar Ibrahim dalam peristiwa itu semata-mata kerana tidak membantah di dalam mesyuarat kabinet atau meletakkan jawatan kerananya, maka dalam peristiwa Memali ini juga Mahathir tidak seharusnya dilepaskan daripada konsep pertanggungjawaban bersama kerana beliau adalah Perdana Menteri ketika itu.

Jika benar beliau berada di Kuala Lumpur ketika kejadian dan dua tiga hari selepasnya, tentulah konsep pertanggungjawaban bersama itu lebih dekat hubungannya lagi dengan kuasa Perdana Menteri yang dipegang Mahathir ketika itu.

Selain itu, apakah juga pendedahan Musa Hitam ini ada kaitan dengan beberapa kritikan yang sejak beberapa bulan lalu kerap dilemparkan oleh Mahathir terhadap kepimpinan Najib? Adakah Musa Hitam sebenarnya mahu mengurangkan kredebiliti serangan Mahathir itu dan kemudian berharap bekas Perdana Menteri itu tidak lagi mengganggu pentadbiran Najib?

Jika benar pula, apakah Musa Hitam melakukannya dengan kerelaannya sendiri atau kerana diminta oleh kelompok Najib?

Sementera Pas nampaknya gembira dengan pendedahan Musa Hitam ini dan seolah-olah mendapat "senjata baru" untuk mengecam Mahathir, melihat kegigihan Mahathir dalam politik, sama ada ketika berkuasa atau ketika sudah bersara, persoalan yang timbul juga bagaimanakah bentuk jawapannya kali ini?

Mungkinkah beliau mengaku, menafi atau akan melibas balik bekas timbalannya? Tetapi yang pastinya, apa pun jawapan Mahathir nanti, beliau bukanlah seorang yang mudah mengaku kalah.

Selepas insiden MH370, dakwaan Musa Hitam dan jawapan Mahathir mengenai di mana beliau berada ketika peristiwa Memali adalah episod yang tidak kurang menariknya bagi rakyat negara ini.

Sama-sama kita tunggu debarannya. (SH 28/03/2014)

Thursday 27 March 2014

Janji Najib Dimungkiri Lagi, Negara Jadi Makin Tertutup


Dalam jawapan di Parlimen mengenai kelulusan permit penerbitan akhbar Malaysiakini dan FZ Daily, Kementerian Dalam Negeri melalui jawapan bertulis oleh Menterinya, Ahmad Zahid Hamidi memberitahu pihaknya menolak untuk meluluskan kedua-dua permit itu adalah bertujuan untuk mengawal jumlah akhbar di negara ini.

Ia juga, menurut jawapan kepada pertanyaan Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul, ialah agar orang ramai tidak dikelirukan dengan berita yang terlalu banyak.

Jawapan Zahid Hamidi itu juga dipetik sebagai berkata bahawa kedua-dua penerbitan yang tidak diluluskan itu didapati cenderung menerbikan berita-berita sensasi dan kontroversi untuk menarik perhatian pembaca.

Jawapan Zahid ini tentunya mengecewakan rakyat yang semakin terbuka, matang dan memerlukan lebih banyak maklumat dalam kehidupan seharian mereka. Lebih malang lagi kerana kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Najib Razak yang pernah menjanjikan lebih kebebasan dan keterbukaan ketika awal mengambil alih teraju pemerintahan dengan pindaan Akta ISA, Undang-undang Darurat, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan lain-lain lagi, kini mula berundur ke belakang dan memungkiri janji-janjinya sendiri.

Dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, antara pindaan yang kononnya untuk keterbukaan pada 2012 lalu ialah menggugurkan kuasa budi bicara mutlak menteri bagi meluluskan sesuatu lesen penerbitan, memansuhkan kuasa menteri bagi menetapkan tempoh sah sesuatu lesen yang diluluskan dan menghapuskan keperluan pembaharuan tahunan lesen penerbitan.

Bagaimanapun, menteri masih diberi kuasa menolak sesuatu permohonan, membatal atau menggantung sesuatu lesen tetapi keputusan menteri itu boleh dicabar melalui semakan kehakiman.

Dengan menolak kelulusan permit akhbar Malaysiakini dan FZ Daily, walaupun jawapannya ialah untuk mengawal jumlah akhbar dan tidak mahu orangramai dikelirukan, jawapan sebenar ialah kerajaan semakin takut dengan maklumat yang benar, tepat dan telus daripada sampai kepada rakyat.

Kerajaan nampaknya tidak mahu rakyat yang tidak mempunyai akses internet mempunyai maklumat lain selain daripada yang diperolehi melalui akhbar Utusan, Berita Harian dan seumpamanya. Bagi kerajaan biarlah berita Malaysiakini hanya dibaca oleh orang bandar dan separa bandar sahaja manakala pengundi kampung dan luar bandar kekal dalam kongkongan maklumat Utusan, Berita Harian atau TV3 saja.

Mungkin berdasarkan keputusan pilihanraya lalu serta trend semakin rakyat mendapat maklumat yang benar dan tepat, semakin mereka menjauhi kerajaan sebagaimana yang ditunjukkan oleh pengundi bandar, separa bandar dan golongan muda, maka kerajaan terpaksa menelan janji keterbukaan yang pernah dilafazkannya kerana bimbang keputusan lebih buruk dalam PRU 14 nanti.

Setelah beberapa janji dan akujanji dalam pilihanraya lalu yang mulai dimungkiri oleh kerajaan yang ada sekarang, penolakan terhadap kelulusan permit dua akhbar ini adalah satu lagi bukti "janji dicapati" oleh kerajaan.

Ini menunjukkan ketika dunia makin maju dan semua orang berlumba-lumba untuk memperolehi maklumat, kerajaan pimpinan Najib sedang menggerakkan negara ini ke arah yang makin tertutup dan terasing. Dalam kerajaan mahu mengawal jumlah akhbar dan tidak mahu rakyat dikelirukan, dalam masa yang sama lesen penerbitan berbentuk hiburan, tahyul dan lucah boleh pula berleluasa.

Ini seolah-olah menunjukkan kerajaan tidak kisah rakyatnya terdedah kepada perkara lucah dan tahyul tetapi tidak mahu sama-sekali mereka memperolehi maklumat yang betul dan tepat mengenai isu-isu semasa, berkaitan politik, kepimpinan kerajaan dan seumpamanya.

Sebenarnya, jika pun penerbitan akhbar Malaysiakini dan FZ Daily mempunyai unsur-unsur yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara, bukankah kerajaan mempunyai pelbagai akta dan undang-undang untuk bertindak? Kenapakah begitu awal menghukum dan membuat tafsiran sedangkan akhbar belum pun diterbitkan lagi?

Berita malang mengenai penolakan kedua-dua lesen penerbitan itu hanya menyusul sehari selepas bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad mencadangkan agar dilakukan tapisan terhadap internet berikutan penembusan maklumat yang makin merata melalui pelbagai sumberlah yang dipercayai menjadi punca kemerosotan sokongan rakyat terhadap BN sejak 2008 lalu.

Sambil memberikan bayangan bahawa jika beliau kembali semula sebagai PM, perkara pertama yang akan dilakukannya ialah melakukan tapisan internet, saranan Mahathir ini pastinya akan mendapat perhatian Najib kerana kebobrokan yang begitu membelit diri dan keluarganya sejak menjadi PM hanya dapat dilindungkan daripada rakyat jika adanya tapisan internet itu.

Kalau pun tidak sepenuhnya, secara perlahan-lahan atau berperingkat, Najib dipercayai akan melakukan tapisan internet seperti mana yang dicadangkan oleh Mahathir itu bagi memastikan UMNO dan BN berkuasa lebih lama lagi di negara ini. Jika Najib tidak melakukannya, beliau bukan saja mudah mendapat tentangan daripada Mahathir, malah akan memendekkan tempoh hayat BN.

Sementara itu, di Sarawak pula, beberapa pemimpin PKR seperti Saifuddin Nasution, Rafizi Ramli dan Tian Chua turut dilarang memasuki negeri itu bagi berkempen untuk pilihanraya kecil DUN Balingan. Ini bermakna, selain internet, akhbar dan daripada mulut pemimpin, semua maklumat cuba disekat daripada sampai ke pengetahuan rakyat.

Jika dalam tragedi MH370, ramai waris penumpang yang menempelak kerajaan pimpinan Najib sebagai "penipu" kerana tidak telus menyalurkan maklumat, rakyat Malaysia pula selain sudah beberapa kali "ditipu" oleh pelbagai janji semasa pilihanraya lalu, kini melalui janji keterbukaan dan kebebasan media, rakyat "ditipu" sekali lagi. (SH 27/03/2014)

Wednesday 26 March 2014

Selepas CEO MAS, Siapa Lagi Perlu Letak Jawatan?


Ketua Pegawai Eksekutif atau CEO MAS, Ahmad Jauhari Yahya telah menunjukkan ketinggian moralnya sebagai pemimpin korporat dengan membayangkan akan meletakkan jawatannya apabila segala urusan berkaitan tragedi kehilangan pesawat MH370 yang dikesan hilang di selatan Lautan Hindi, berakhir.

Adakah saya akan akan meletakkan? Ini adalah keputusan peribadi yang akan dilakukan selepas ini apabila segala-galanya selesai, demikian beliau dilaporkan berkata dalam sidang media semalam.

Ahmad Jauhari bukan saja menyifatkan tragedi MH370 ini membuatkan seluruh jiwanya luluh kerana mengakibatkan kehilangan 239 nyawa, menyebabkan tangisan ribuan anggota keluarga serta kesedihan berjuta yang lain di seluruh dunia, malah ketika Perdana Menteri, Najib Razak mengumumkan pesawat itu dikesan hilang di sebuah kawasan terpencil di Lautan Hindi dan tiada yang terselamat berdasarkan analisa satelit Immasat dan Bahagian Penyiasatan Nahas Udara United Kingdom, beliau memilih untuk tidak berada di atas pentas.

Yang ada menenami Perdana Menteri diatas pentas hanyalah Pemangku Menteri Pengangkutan, Hishammuddin Hussein dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Azharuddin Abdul Rahman. Tragedi ini membuatkan Ahmad Jauhari hilang segala kekuatan dan akhirnya ketika dipeluk oleh beberapa VIP lain, airmata jelas menggenangi kelopak matanya.

Sejak peristiwa kehilangan MH370 ini melanda pula, wajah sedihnya jelas dapat dilihat setiap hari ketika muncul dalam sidang akhbar.

Tindakan meletak jawatan atas sesuatu musibah adalah reaksi terpuji dan bermoral tinggi, bukan saja menandakan sikap pertanggungjawaban tetapi juga pernyataan ingin berkongsi kesedihan dengan waris-waris mangsa. Dengan kesediaan kehilangan jawatan setelah urusan mencari bangkai pesawat, mayat penumpang (jika ada), urusan kebajikan serta ganti rugi dibereskan, sekurang-kurangnya kesedihan dan derita jiwa waris penumpang MH370 dapat diminimakan.

Waris mangsa pula tentunya merasakan kesedihan mereka bukan saja dikongsi dengan airmata tetapi kehilangan orang-orang tersayang bagai ingin turut dirasai oleh mereka yang sanggup mengorbankan jawatan itu. Sebab itu, kenyataan CEO MAS mahu meletakkan jawatan di ketika yang sesuai nanti dan setelah segala-galanya selesai, adalah tindakan terpuji yang hanya mampu dilakukan oleh mereka yang berintergeriti tinggi.

Ia seperti dalam bolasepak, apabila sesebuah pasukan itu merudum prestasinya dan ditimpa musibah kegagalan memenangi trofi, kesedihan dan kemarahan penyokong yang setia memenuhi stadium hanya akan terubat dengan pengurus pasukan sanggup meletakkan jawatannya.

Tetapi dalam kes kehilangan pesawat MH370 ini, ia bukan saja merupakan bencana kepada MAS tetapi juga malapetaka kepada negara. Insiden ini bukan saja menyebabkan negara kita dikecam dalam menguruskan krisis dan menyalurkan maklumat sehingga dikritik oleh beberapa negara, media antarabangsa dan waris mangsa, malah turut berlakunya tunjuk perasaan di luar negara dan memungkinkan hubungan diplomatik antara negara terjejas.

Memandangkan dua pertiga daripada penumpang MH370 adalah warga China, kemarahan mereka terlihat nyata sekali. Waris dan anggota keluarga penumpang dari China ini menyelar kerajaan kita kerana tidak telus dan lambat menyalurkan maklumat serta terdapat juga yang menganggap sikap kerajaan yang tidak cekap adalah "pembunuh sebenar" dalam tragedi ini.

Keadaan ini bukan saja menyebabkan hubungan antara negara terjejas, tetapi juga menyebabkan persepsi buruk rakyat negara China terhadap kita. Sudah tentu juga, untuk tempoh tertentu, kedatangan pelancong daripada China yang merupakan sasaran utama Tahun Melawat Malaysia tahun ini, akan merudum dengan teruknya. Tunjuk perasaan warga China di hadapan kedutaan Malaysia di Beijing tidak seharusnya dipandang ringan dari segi kemungkinan mendatangkan kesan yang lebih buruk kepada negara.

Kejadian yang sama juga mungkin memberi kesan persepsi kepada banyak negara lain yang akhirnya turut menjejaskan kemasukan pelaburan dan kedatangan pelancong.

Sebab itu, jika CEO MAS, Ahmad Jauhari sudah menunjukkan sikap terpuji dan ketinggian moralnya demi memastikan masa depan MAS terus terjamin, pimpinan negara juga seharusnya berbuat tindakan yang sama. Sudahlah sehingga ini tiada pernyataan maaf daripada pimpinan negara kepada waris-waris mangsa atas tragedi ini, keinginan untuk memikul tanggungjawab moral dan berkongsi kesedihan dengan mereka yang kehilangan orang-orang tersayang juga tidak ternampak kelibatnya.

Sekadar menyatakan rasa sedih dan dukacita barangkali tidak cukup memadai, pimpinan negara seharusnya juga menunjukkan jiwa yang lebih besar daripada itu dengan mengambil kira banyak aspek kelemahan serta kesan tragedi ini kepada masa depan negara.

Dalam konteks pimpinan negara, orang yang paling sesuai memikul tanggungjawab moral ini ialah Perdana Menteri sendiri selaku CEO kepada negara. Dengan kesediaan mengorbankan jawatannya, Najib dapat menunjukkan kepada dunia bahawa beliau juga memikul tanggungjawab moral atas tragedi ini serta keinginannya untuk berkongsi kesedihan dengan ramai orang yang tidak henti-henti menangis sejak bermulanya peristiwa kehilangan pesawat ini diketahui.

Lebih dari itu, tindakan meletakkan jawatan juga dapat mengangkat semula air muka Malaysia dan memulihkannya daripada persepsi buruk antarabangsa. (SH 26/03/2014)

Monday 24 March 2014

Berita Sedih Buat Malaysia


Kira-kira 10 malam tadi, setelah 17 hari pencarian, baru disahkan oleh Perdana Menteri, Najib Razak bahawa pesawat MH370 dikesan oleh satelit untuk kali terakhir di selatan Lautan Hindi, berhampiran Perth, Australia dan dipercayai terhempas serta semua penumpangnya tiada yang selamat.

Dalam pengumuman itu, Najib juga memberitahu waris dan ahli keluarga mangsa sudah pun diberitahu mengenainya. Dilaporkan juga bahawa waris-waris mangsa akan diterbangkan ke Perth dalam tempoh terdekat ini.

Mungkin secara kebetulan, sebaik berakhir pilihanraya kecil DUN Kajang, penantian MH370 juga menemui titik akhirnya.

Sebagaimana waris mangsa bersedih dan mungkin sukar menerima berita ini, rakyat Malaysia dan seluruh dunia juga pastinya berkongsi perasaan yang sama.

Sehingga pencarian diteruskan kepada pesawat dan mayat yang terkorban, yang penting juga selepas ini ialah mencari kotak hitam pesawat itu untuk merungkai apakah misteri sebenarnya MH370 yang sepatutnya menuju ke Beijing tersasar hingga ke selatan Lautan Hindi.

Sehingga kebenaran diketahui juga, semoga tiada lagi tuduhan yang bukan-bukan dilemparkan kepada juruterbangnya, Zaharie Ahmad Shah dan pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid atas kejadian ini, apatah lagi mengaitkan insiden ini dengan masalah politik yang berlaku dalam negara.

Semoga Tuhan akan menunjukkan kebenaran, Al Fatihah dan takziah kepada keluarga mangsa. (SH 24/03/2014)

Sunday 23 March 2014

Dr Wan Azizah Jadi PM Bukan Lagi Mimpi


Pilihanraya kecil DUN Kajang sudah pun diketahui keputusannya. Sebagaimana yang dijangka, calon PKR, Dr Wan Azizah wan Ismail berjaya memenangi kerusi itu dengan mengalahkan calon BN, Chew Mei Fun dengan majoriti 5,397 undi berbanding 6,824 undi yang diperolehi oleh calon PKR dalam PRU 13 lalu, Lee Chin Cheh.

Kekurangan majoriti undi ini walaupun agak mengejutkan tetapi dapat difahami berikutan peratusan yang turun mengundi kali ini agak berkurangan iaitu hanya 72 peratus berbanding 88.4 peratus dalam pilihanraya umum lalu. Kekurangan peratusan ini mungkin disebabkan pengundi agak kecewa kerana Anwar Ibrahim tidak bertanding, selain turut menjangka Wan Azizah tidak banyak masalah untuk memenangi kerusi itu.

Lagi pula, apalah penting sangat dengan berkurangnya majoriti itu kerana sepertimana yang selalu disebutkan oleh bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, menang dengan kelebihan satu undi pun tetap dikira menang juga. Yang penting ialah menang, bukan berapa banyak majoriti!

Selepas Anwar "dikejangkan" daripada bertanding di Kajang dengan keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun keatasnya, BN melakukan banyak usaha untuk memenangi pilihanraya ini. Selain Muhyiddin selaku Timbalan Perdana Menteri, Noh Omar selaku Pengerusi UMNO Selangor dan ramai pemimpin lagi yang turun berkempen di Kajang, Mahathir juga turut berkempen di saat-saat akhir.

Melihat asakan BN yang semakin kuat berikutan telah berjaya menggagalkan hasrat Anwar menjadi calon, Lim Kit Siang telah mengutus surat terbuka kepada pengundi Kajang agar memberikan sokongan penuh kepada Wan Azizah sebagai tanda keyakinan bahawa Presiden PKR itu bakal menjadi Perdana Menteri wanita pertama negara ini.

Keyakinan Lim Kit Siang ialah bersandarkan hujah bahawa sekiranya PR memenangi pilihanraya akan datang sementara Anwar pula direhatkan dipenjara, maka sudah tentu pilihan untuk menjadi Perdana Menteri ialah Wan Azizah.

Sementara Mahathir menyindir slogan kempen Wan Azizah yang bertulis Dari Kajang ke Putrajaya dengan mengatakan cakon PKR itu tersesat jalan kerana sebenarnya pilihanraya kecil ini hanya untuk memilih wakil di DUN Selangor dan tiada kaitan dengan Putrajaya, Zahid Hamidi yang pernah menjadi "budak Anwar" pula berkata, jangan bermimpi di siang hari untuk menjadikan Wan Azizah Perdana Menteri wanita pertama.

Tidak layakkah Wan Azizah jadi Perdana Menteri?

Selepas kemenangannya diumumkan, walaupun Wan Azizah berkata, semua orang berpotensi menjadi Perdana Menteri tetapi sokongan yang diberikan oleh pengundi Kajang terhadapnya membuktikan mereka tidak sesat perkiraan dalam membuat keputusan. Pengundi Kajang telah menghantar mesej yang jelas bahawa mereka mahukan perubahan dan ini seharusnya menjadi ikutan pengundi seluruh negara dalam PRU 14 nanti.

Menukar parti dan menukar Perdana Menteri adalah lumrah dalam politik. Untuk Wan Azizah menjadi Perdana Menteri bukan saja tidak mustahil jika PR berjaya mendapat majoriti kerusi dalam pilihanraya umum akan datang, tetapi juga kerana sumbangan dan ketabahannya dalam perjuangan reformasi sejak 1998 lagi.

Tidak ada wanita yang setabah dah sesabar beliau di negara ini dalam mengharungi pelbagai dugaan dan cabaran. Dari suami diaibkan, dipukul, dipenjara, difitnah, dimalukan dan bermacam-macam lagi cabaran yang dihadapkan kepadanya, di sebalik wajah lembut dan tudung yang menutup rambutnya, sebenarnya terselit jiwa tabah dan kental yang mungkin tidak sanggup dilalui oleh ramai wanita lain.

Berdasarkan cabaran dan pengorbanan yang telah dilaluinya, Wan Azizah amat layak untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya Anwar hilang kelayakan dan bakal menghuni bilik penjara sekali lagi. Tetapi yang penting, PR haruslah memastikan mereka memperolehi majoriti kerusi dalam PRU 14 nanti.

Lagi pula dalam dunia moden ini sudah ramai wanita yang menjadi Perdana Menteri. Di Britain, Margaret Thatcer pernah menjadi Perdana Menteri. Di Pakistan, Benazir Ali Bhutto juga pernah menjadi Perdana Menteri. Di Bangladesh, Perdana Menterinya sekarang, Sheikh Hasina adalah wanita. Beberapa tahun sebelum itu, Khaleda Zia, juga seorang wanita pernah menjadi Perdana Menteri Bangladesh.

Di negara jiran kita pula, Indonesia, Filipina dan Thailand pernah menaikkan wanita sebagai Presiden atau Perdana Menteri iaitu Megawati Sukarno, Gloria Arroyo dan Yingluck Sinawatra.

Beberapa negara Barat juga sekarang ini sedang dipimpin oleh kaum wanita. Jadi, apa yang peliknya kalau giliran Malaysia pula menerima wanita sebagai Perdana Menteri?

Jangan terlalu angkuh dan takbur seolah-olah perkara itu mustahil berlaku. Bukankah sejarah itu sentiasa mencipta sesuatu yang baru?

Mungkin dengan Anwar dipenjarakan, ia sebenarnya membuka ruang untuk tercipta suatu sejarah baru untuk negara kita yang sudah ditentukan Tuhan begitu kehendakNya. Siapa tahu Kajang adalah laluan ke arah itu.

Lagi pula, daripada memiliki seorang Perdana Menteri lelaki tetapi dikuasai oleh wanita juga, lebih baiklah kali ini diberikan kepada wanita yang benar-benar sejati wanitanya. (SH 23/03/2014)

Saturday 22 March 2014

Lebih Ramai Percaya MH370 Dirampas Daripada Terhempas?


Sudah dua minggu berlalu tetapi sehingga ini masih belum ada apa-apa berita mengenai pesawat MH370. Pada Sabtu 8hb Mac, kerajaan mengumumkan pesawat itu hilang daripada radar di perairan Vietnam dan mengesyaki ia mungkin terhempas di Laut China Selatan tetapi pada Sabtu seterusnya iaitu 15 Mac, Najib pula membuat pengumuman pesawat itu sebenarnya dikesan berpatah balik dan radarnya dimatikan dengan sengaja oleh seseorang yang berada di dalam kokpit.

Sejak itu pencarian tidak lagi dilakukan di Laut China Selatan tetapi sudah menjarak sehingga ke Lautan Hindi dengan jumlah negara, pesawat udara, kapal laut, radar dan anggota pasukan mencari dan menyelamat yang turut bertambah. Namun sehingga ini masih juga tiada tanda-tanda pesawat itu akan ditemui.

Pada Sabtu seterusnya iaitu hari ini, ramai sebenarnya yang mengharapkan ada sesuatu pengumuman yang positif daripada kerajaan dan seterusnya merungkai misteri kehilangan pesawat yang sudah berlarutan selama dua minggu itu. Tetapi nampaknya Sabtu, 22 Mac ini tiada apa-apa berita daripada kerajaan.

Yang ada hanyalah beberapa penemuan yang makin membingungkan rakyat, lebih-lebih lagi waris mangsa. Jika sebelum ini kita diberitahu, antara muatan kargo adalah bertan-tan buah manggis, kini kita dibertahu lagi bahawa didalamnya terdapat bahan kimia lithium yang biasa digunakan untuk membuat bateri.

Selain itu kita juga diberitahu bahawa di antara 239 yang berada di dalam pesawat itu, 20 orang daripadanya adalah kakitangan Freescale Semiconductor yang berkemahiran tinggi dan mungkin menjadi perhatian pesaing industri yang bernilai tinggi.

Meskipun sejak Najib mengumumkan pesawat itu dimatikan radarnya secara sengaja dan didapati berpatah balik serta dikesan kali terakhir oleh satelit pada 8.11 pagi 8hb Mac, usaha mencari lebih ditumpukan ke Lautan Hindi seolah-olah ada keyakinan bahawa pesawat itu terhempas atau sengaja dijunamkan di kawasan paling di lautan tersebut.

Ia dikuatkan lagi dengan kenyataan Pemangku Menteri Pengangkutan bahawa pihaknya turut menyiasat faktor bunuh diri juruterbangnya, Zaharie Ahmad Shah.

Di segi kerajaan, nampaknya mereka lebih meyakini pesawat itu terhempas dan lebih memedihkan ia juga menjurus kepada perbuatan sengaja yang dilakukan oleh juruterbangnya. Tanpa sebarang fakta dan bukti, itulah andaian berlegar setakat ini.

Hakikatnya amatlah tidak wajar membuat sebarang dakwaan terhadap Kapten Zaharie tanpa bukti kukuh. Tidak masuk akal untuk mengatakan semata-mata kecewa terhadap hukuman yang dijatuhkan keatas Anwar Ibrahim, beliau melakukan sabotaj ini. Lebih tidak masuk akal untuk mengaitkan seorang Islam dengan kejadian bunuh diri kerana betapa kecewanya pun seorang yang beragama Islam itu dalam hidupnya, membunuh diri bukanlah pilihan yang menjadi kelaziman.

Orang Islam juga selalu diingatkan bahawa membunuh diri adalah dosa paling besar, memalukan keluarga dan neraka balasannya.

Sementara Najib menyalahkan pesawat itu dilencongkan secara sengaja dan Hishammuddin pula mengatakan kejadian bunuh diri turut disiasat, hanya kawan-kawan dan kenalan rapat Kapten Zaharie yang tampil mempertahankan juruterbang itu manakala MAS sebagai majikan hanya berdiam diri. Agak mengecewakan situasi ini.

Kenapa MAS hanya berdiam diri? Dan kenapakah fokus lebih ditumpukan kepada terhempas berbanding dirampas? Setelah dua minggu berlalu dan belum ada tanpa-tanda ditemui di darat, laut, hutan dan sebagainya, rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan kehilangan pesawat itu kini mulai meyakini bahawa MH370 lebih mungkin dirampas dan sedang disembunyikan, bukannya terhempas.

Di mana-mana terdengar hujah yang mudah iaitu jika terhempas, setelah dua minggu, pasti sesuatu kesan daripadanya sudah ada ketika ini.

Meskipun sukar dipastikan, ramai yang percaya pesawat MH370 itu sedang disembunyikan di sesuatu tempat dan ia dilakukan melalui perancangan yang sangat rapi. Kerapian itu bukan saja untuk memastikan pesawat dapat didaratkan di sebuatu tempat yang selamat dan sukar dikesan tetapi juga meliputi aspek untuk menyediakan keperluan makan minum dan tempat tinggal kepada 239 penumpang itu.

Memanglah bukan mudah untuk menyediakan makan minum kepada 239 orang selama berhari-hari tetapi tidaklah mustahil perkara itu dilakukan jika ia dirancang dengan rapi sejak bertahun-tahun lalu.

Jika ada yang mengatakan penyediaan makan minum seumpama kenduri itu agak mustahil, samalah juga mustahilnya dengan mengatakan Kapten Zaharia sengaja melakukan sabotaj dan bunuh diri dengan menjunamkan pesawat itu ke Lautan Hindi semata-mata kerana marahkan kerajaan atau kecewa dengan hukuman keatas Anwar.

Jika benar beliau kecewa, mahu melakukan sabotaj dan bunuh diri, apa perlunya beliau terbang selama lebih lebih sejam serta kemudian berpatah balik dan menuju ke Laut Hindi untuk mencari sasarannya? Lebih baik beliau hempaskan pesawat itu ke arah Seri Perdana atau langgarkan saja ke Bangunan KLCC. Lebih dari itu, cukupkah minyak pesawat untuk sampai ke Laut Hindi itu?

Semakin lama masa berlalu dan semakin banyak kekaburan yang timbul di sebalik kehilangan pesawat ini, walaupun kerajaan lebih menjurus kepada kemungkinan ianya terhempas tetapi rakyat lebih merasakan MH370 sebenarnya dirampas dan sedang disembunyikan di suatu tempat rahsia.

Pelbagai rumusan dan telahan dapat didengar mengenai sebab kemungkinan pesawat itu dirampas. Di media luar negara, di media sosial dan dari mulut rakyat jelata, semua itu makin kedengaran kebelakangan ini.

Sebagaimana media luar dan beberapa negara mempersoalkan sebelum ini, apakah sekali lagi kerajaan sedang menyembunyikan sesuatu? (SH 22/03/2014)

Thursday 20 March 2014

Beza Malaysia Dan Australia Menghargai Parlimen


Setelah masuk hari ke 13 pencarian pesawat MH370 yang masih hilang dan dunia buntu mengenai misterinya yang tidak pernah berlaku sebelum ini, Perdana Menteri Australia, Tony Abott membawa berita yang sedikit melegakan iaitu dengan penemuan objek yang tenggelam timbul oleh satelit negaranya di selatan Lautan Hindi.

Atas sedikit kepercayaan bahawa objek sepanjang 24 meter itu adalah serpihan daripada pesawat MH370, selain meminta pihak berkuasa di negaranya berusaha mengesan penemuan itu bagi memastikan kesahihannya, beliau juga memaklumkannya kepada Perdana Menteri, Najib Razak melalui telefon.

Di negaranya pula, Tony Abott membuat pengumuman mengenai penemuan itu di Parlimen, sebuah institusi tertinggi di mana-mana juga negara demokrasi. Perkara ini segera menarik perhatian dunia tentang bagaimana beliau menghargai Parlimen yang mewakili kepentingan rakyat sedangkan jika mahu, beliau boleh saja memanggil sidang akhbar di pejabat atau kediamannya untuk mengumumkan penemuan itu.

Tetapi kerana menghargai Parlimen dan supaya pengumuman itu didengar oleh semua wakil rakyat yang seterusnya mewakili rakyat Australia, beliau akhirnya memilih Parlimen untuk berbuat demikian.

Walaupun MH370 bukan milik negaranya tetapi kerana menyedari isu kehilangan pesawat itu menjadi tumpuan dunia ketika ini, kewajaran dan keseriusan beliau sebagai pemimpin dalam melihat insiden ini seharusnya dihargai dan dipuji.

Ini nyata berbeza dengan negara kita, disamping pesawat MH370 adalah milik negara ini dan tumpuan pula diberikan oleh rakyat dan dunia, tetapi Parlimen tidak digunakan dengan sebaiknya, malah diketepikan pula.

Ketika awal kejadian ini berlaku, Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar telah mencadangkan agar Perdana Menteri membawa usul mengenai kehilangan itu di Parlimen supaya bukan saja boleh diberitahu kepada wakil-wakil rakyat apa yang sebenarnya berlaku, tetapi juga boleh dibahaskan bagi menggambarkan kepentingannya kepada negara dan rakyat.

Malangnya ianya telah ditolak oleh Speaker atas alasan operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan, dan mencadangkan jika Ahli-Ahli Parlimen ingin membangkitkan mengenainya, ia boleh dilakukan ketika perbahasan titah Diraja.

Beberapa hari kemudian pula iaitu pada 18 Mac, Pemangku Menteri Pengangkutan, Hishammuddin Hussein didapati telah bersetuju untuk memberi taklimat mengenai insiden kehilangan pesawat itu kepada hanya Ahli-Ahli Parlimen BN. Taklimat diadakan di sebuah tempat mewah iaitu The Aloff di KL Sentral.

Sergahan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang agar taklimat itu tidak terhad hanya kepada wakil rakyat BN dan seharusnya juga terbuka kepada semua Ahli Parlimen, langsung tidak dilayani oleh kerajaan. Hishammuddin kemudian memberi alasan remeh dengan menyatakan taklimat kepada wakil rakyat BN adalah kerana ia diminta oleh BNBBC dan sekiranya wakil pembangkang mahukan taklimat yang sama, mereka juga diminta mengemukakan permohonan kepadanya.

Adakah amat memalukan hujah yang dikemukakan itu kerana taklimat yang berlainan sudah tentunya isi taklimatnya juga berbeza. Jika benar kerajaan telus, terbuka dan tidak berhasrat menyembunyikan sebarang maklumat, taklimat yang diminta oleh BNBBC itu boleh diadakan sekali dengan taklimat untuk wakil rakyat daripada pembangkang.

Bukankah ia lebih menjimatkan dan tidak membazirkan masa dan tenaga?

Namun apa yang belaku di sebalik kehilangan pesawat ini, kerajaan bukan saja membelakangkan Parlimen, sebuah institusi penting yang mewakili seluruh rakyat, bahkan cuba pula menidakkan peranan serta kehadiran Ahli-Ahli Parlimen pembangkang dengan mengadakan majlis taklimat yang tertutup hanya untuk BN saja.

Sementara insiden kehilangan pesawat ini turut banyak memalukan kepimpinan negara tentang bagaimana cara menguruskan krisis dan menjaga kredebilitinya, tindakan Tony Abott bercakap tentang isu penting yang melibatkan dunia di Parlimen negaranya telah mendedahkan satu lagi kelemahan kerajaan BN yang sudah memerintah negara ini sejak lebih 50 tahun lalu tanpa hentinya.

Di sebalik Tony Abott menelefon Najib untuk memaklumkan penemuan objek itu, beliau juga sebenarnya mengajar Perdana Menteri dan kerajaan untuk menghargai Parlimen. Sekalung tahniah untuk Tony Abott. (SH 20/03/2014)

Wednesday 19 March 2014

Ahli UMNO Jangan Marah, Ganjaran Kepada Ezam Akan Membuatkan Wan Azizah Kecundang Di Kajang


Ganjaran kali kedua sebagai Pengarah Komunikasi di Kementerian Kewangan yang diterima oleh bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Ezam Mohd Noor daripada Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO, Najib Razak, berkuatkuasa 15 Mac lalu, membuatkan ada sesetengah ahli dan pemimpin UMNO bersungut dan mencebikkan bibir kerananya.

Dengan sebelum ini beliau sudah diberikan jawatan Senator sejak 2010 tetapi khidmatnya yang tidak disambung untuk penggal kedua, diteruskan dengan perlantikan sebagai Pengarah Komunikasi di Kementerian Kewangan dengan gred jawatan JUSA B membuatkan Ezam yang merupakan bekas orang kuat Anwar Ibrahim dan bercakap juga "stail sengau" seperti Anwar Ibrahim sehingga hari ini, dilihat mempunyai nilai istimewa di mata Najib.

Nasib dan rezekinya nyata lebih baik berbanding sekian ramai ahli dan pemimpin yang setia kepada UMNO, tidak pernah keluar UMNO dan tidak pernah mencerca UMNO.

Selain Ezam daripada kalangan bekas pimpinan PKR yang mendapat ganjaran kerana meninggalkan PKR dan sanggup memaki-hamun Anwar ialah bekas Ahli Parlimen Bayan Baru, Zaharin Hashim yang dijadikan Duta Besar ke Indonesia, Zulkifli Nordin diberi peluang bertanding sebagai calon BN di Shah Alam dalam PRU 13 lalu manakala selebihnya ada yang berpeluang berkhidmat dengan beberapa kerajaan negeri dan juga GLC.

Tetapi perlantikan Ezam mendapat lebih perhatian di kalangan ahli dan pemimpin UMNO kerana sementara beliau diberikan satu demi satu ganjaran, hakikatnya kedudukan Anwar Ibrahim tidak juga goyah dan PKR bersama-sama dengan PAS dan DAP pula terus mendapat sambutan daripada rakyat.

Jadi apa hebatnya Ezam?

Najib Razak sebenarnya telah membuat perkiraan yang tepat dengan melantik Ezam hanya beberapa hari menjelang pembungan undi pilihanraya kecil DUN Kajang pada 23 Mac ini. Walaupun sekatan Anwar daripada bertanding adalah melalui hukuman mahkamah yang diterimanya, tetapi perlantikan Ezam ini akan terus membuatkan kepimpinan Najib dilihat dinamik, baik hati dah sentiasa ingin maju ke hadapan.

Pengundi Kajang akan sedar dan beralih secara perlahan-lahan kepada mengundi BN. Wan Azizah nampaknya tiada harapan lagi untuk menang di Kajang dan sekiranya Ezam turut berkempen bersama jawatan barunya itu, peralihan undi akan berlaku dengan lebih ketara lagi.

Perlantikan dan kehadiran Ezam akan membuatkan seluruh jentera PKR patah semangat kerana berkotak-kotak bukti mengenai rasuah dan salah laku pemimpin UMNO yang masih dalam simpannnya dan tidak didedahkan sehingga kini, turut membuatkan mereka membayangkan bahawa Ezam juga mempunyai lebih banyak kotak mengenai pemimpin PKR pula.

Akhirnya kempen untuk Wan Azizah menjadi lesu dan disertai dengan gambaran kepimpinan Najib yang terlihat dinamik itu akan membuatkan calon BN daripada MCA, Chew Mei Fun seperti sedang menunggu rahmat besar menjelang 23 Mac ini sambil sudah boleh membayangkan kedudukan sebagai ADUN Kajang akan menjadi miliknya.

Harus diingat bahawa kemenangan calon BN itu nanti bukan kerana kerja keras Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang setiap hari turun padang, bukan juga kerana kehebatan program penerangan dan pelbagai teori oleh Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan dan bukan pula kerana penerimaan pengundi terhadap kepimpinan Noh Omar selaku Pengerusi UMNO Selangor tetapi semuanya adalah kerana kebijaksanaan Najib dalam melantik Ezam itu.

Dengan kemenangan calon BN itu nanti, ia juga menolak teori bekas Menteri Besar Selangor, Khir Toyo dan bekas Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin atau Zam yang sebelum ini mengatakan penggantian Wan Azizah daripada Anwar yang dijatuhkan hukuman penjara akan membuat undi simpati lebih melimpah kepada Presiden PKR itu.

Kebijaksanaan Najib berserta aura yang ada pada Ezam akan memintas pendapat dua bekas pemimpin itu, lalu menjadikan teori mereka sebagai "sampah" saja.

Perlantikan Ezam, sebagaimana yang diumumkan juga, akan merancakkan lagi program-program transformasi ekonomi dan kerajaan bagi menghadapi tahun-tahun mendatang yang dipercayai lebih mencabar dan kritikal. Ini sekaligus akan menjadikan ekonomi lebih berkembang dan dapat mengurangkan hutang negara yang sudah mencecah 54 peratus daripada KDNK ketika ini.

Beserta aura dan pengalamannya sebagai Setiausaha Politik Anwar di Kementerian Kewangan suatu ketika dahulu juga, Ezam akan dapat membantu Najib dan kerajaan menangani krisis kewangan yang mungkin melanda negara sebagaimana yang sudah diberi peringatan oleh bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad semalam.

Secara mudahnya, perlantikan Ezam ini memberikan pelbagai guna dan manfaat kepada UMNO dan negara dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang. Kualiti dan kelebihan beliau hanya dapat dibaca dan difahami oleh Najib sahaja.

Kepada ahli dan pemimpin UMNO yang setia, ko ado semua itu...(SH 19/03/2014)

Tuesday 18 March 2014

Kasta Politik Dalam Malapetaka Negara


Di sebalik rungutan beberapa negara mengenai sikap tidak telus dan kemungkinan maklumat disembunyikan dalam menangani kemelut kehilangan pesawat MH370 yang sudah berlarutan sehingga hari ke-11 hari ini, kerajaan semalam menunjukkan kepada rakyat bahawa dakwaan itu semakin menunjukkan kebenarannya.

Ini berikutan dengan tindakan Pemangku Menteri Pengangkutan, Hishamuddin Hussein yang hanya menjemput Ahli-Ahli Parlimen BN menghadiri taklimat mengenai kehilangan pesawat itu di sebuah lokasi di KL Sentral, pada jam 8.30 malam, 18 Mac 2014 iaitu hari ini.

Dalam surat jemputan yang turut bocor kepada Ahli-Ahli Parlimen PR, jelas menunjukkan bahawa Ahli-Ahli Parlimen BN sendiri tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan itu sehingga kemungkinan bertindak memberikan salinan surat itu dengan tujuan ia didedahkan kepada pengetahuan umum.

Dengan hanya menjemput Ahli-Ahli Parlimen BN sedangkan insiden kehilangan pesawat yang masih menjadi misteri sehingga kini adalah suatu malapetaka kepada negara yang seharusnya memerlukan penglibatan dan dokongan semua pihak, adakah tindakan kerajaan yang menimbulkan banyak persoalan. Lebih-lebih lagi Parlimen merupakan institusi penting yang mewakili rakyat seluruh negara, tindakan kerajaan mengenepikan wakil-wakil dari pembangkang seperti meremehkan institusi tersebut.

Apakah yang cuba disembunyikan kerajaan dalam taklimat ini? Dan apakah kerajaan, di sebalik meminta rakyat agar jangan membuat sebarang spekulasi dan andaian, sebenarnya turut menpunyai andaian sendiri yang bersifat politik kepartian dalam insiden ini?

Adakah kerana semata-mata juruterbang pesawat yang hilang itu, Zaharie Ahmad Shah merupakan ahli seumur hidup PKR dan didapati hadir memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim ketika hukuman lima tahun penjara dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan, maka kerajaan terus membuat kesimpulan bahawa kejadian ini lebih bersifat politik kepartian dan sebarang maklumat harus dinafikan untuk diketahui oleh Ahli-Ahli Parlimen PR?

Sebelum ini, sebaik diketahui bahawa Zaharie adalah ahli PKR, beberapa penulis blog dan pengendali laman sosial pro UMNO telah pun mengaitkan insiden itu dengan kekecewaan dan rasa terganggu juruterbang tersebut terhadap hukuman yang dijatuhkan keatas Anwar itu. Malah ada yang lebih lancang dengan menulis, " semuanya salah Anwar."

Tanpa mengambil kira sumbangannya selama ini terhadap MAS, perasaan isteri dan ahli keluarganya serta fakta yang terbentang hanyalah pesawat itu dilencongkan ke tempat lain dan alat komunikasi dimatikan secara sengaja oleh seseorang yang pakar mengenai pesawat, hakikatnya semua itu belum lagi mutlak menunjukkan semuanya dilakukan oleh Zaharie.

Boleh jadi juga ia dilakukan oleh orang lain atau mungkin juga Zaharie dipaksa dalam keadaan yang mengancam nyawanya untuk berbuat demikian. Sehingga apa yang sebenarnya berlaku tidak dapat dipastikan kebenarannya, segala-galanya masih lagi bersifat andaian dan telahan semata-mata.

Berdasarkan logik akal juga, tiada sebab yang kukuh untuk mengesahkan bahawa Zaharie selaku juruterbang sanggup melakukan sabotaj terhadap pesawat dan mengancam 239 nyawa yang lain semata-mata kecawa kerana hukuman yang dijatuhkan keatas Anwar kerana beliau bukanlah ahli keluarga atau kenalan yang terlalu rapat dengan Ketua Pembangkang itu.

Simpati dan kecewanya terhadap hukuman yang diterima oleh Anwar sebenarnya turut dirasai oleh ratusan ribu atau mungkin jutaan insan yang lain tetapi rata-ratanya mereka menerima hakikat bahawa Anwar tidak dipenjara serta-merta, malah masih ada peluang lagi untuk membebaskan dirinya di Mahkamah Persekutuan.

Oleh yang demikian, jika kerajaan bersikap rasional dan terbuka, tiada apa maklumat atau perkembangan yang perlu disembunyikan sehingga perlu mengadakan taklimat tertutup yang hanya dihadiri oleh Ahli-Ahli Parlimen BN sahaja. Jika sebelum ini, usul mengenai kehilangan pesawat ini juga turut ditolak untuk dibahaskan oleh Parlimen dengan alasan usaha mencari dah mengesan pesawat itu sedang dijalankan, tetapi setelah berlarutan selama 11 hari tanpa sebarang perkembangan positif dan semua pihak seharusnya digalakkan untuk bersatu hati, tindakan sepupu Najib mengadakan taklimat tertutup ini tidak boleh diterima sama-sekali.

Selain menunjukkan kerajaan tidak telus dan ingin menyembunyikan sesuatu, perkembangan ini juga memperlihatkan kerajaan mempunyai kecenderungan untuk mempolitikkan insiden ini.

Apakah dalam malapetaka negara yang menjadi sorotan dunia ini, kerajaan masih sempat lagi memikirkan soal politik kepartian mengenainya?

Setelah keahlian parti politik Zaharie dijadikan isu dan kemudian kaitannya dengan Anwar Ibrahim dilorongkan kemungkinan insiden ini berlaku, kini sekali lagi ia cuba dipolitikkan dengan mewujudkan kasta untuk menafikan sebahagian Ahli Parlimen yang turut mewakili rakyat daripada mendapat maklumat yang telus dan benar daripada kerajaan sendiri.

Dalam masa yang sama, tindakan mengadakan taklimat tertutup ini juga hanya selang sehari selepas Menteri Dalam Megeri, Zahid Hamidi cuba meredakan keadaan dengan meminta soal keahlian parti dan anutan politik juruterbang itu tidak dijadikan isu oleh sesiapa jua pun.

Keanggotaan seseorang dalam mana-mana parti tidak menentukan baik jahatnya seseorang itu, juga tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk mendorong seseorang melakukan sesuatu yang diluar pertimbangan, lebih-lebih jika seseorang itu mempunyai pendidikan yang baik, kerjaya yang terjamin, keluarga yang bahagia dan latar belakang yang meyakinkan.

Apa pun alasan kerajaan mengadakan taklimat yang hanya terhad kepada Ahli-Ahli Parlimen BN sahaja, ia adalah sesuatu yang tidak wajar dan menambah-burukkan lagi persepsi rakyat terhadap kerajaan. Jika kerajaan ingin memberi taklimat mengenai insiden MH370 ini, ia seharusnya dibentangkan di dalam Parlimen supaya semua pihak tahu, faham dan akhirnya bersetuju bahawa ia adalah malapetaka yang perlu ditangani secara bersama tanpa mengira mana-mana anutan politk sekali pun.

Tetapi sekiranya tidak mahu dibentangkan di Parlimen atas sebab-sebab keselamatan misalnya, taklimat seharusnya terhad kepada anggota kabinet sahaja.

Dengan menyembunyikan fakta sebenar dan cuba bersikap sembunyi-sembunyi, ia lebih membuatkan rakyat berpecah-belah dan tidak bersatu hati.

Kepada kerajaan, khususnya Hishammuddin, ingatlah bahawa insiden ini adalah malapetaka kepada negara serta melibatkan kepentingan ramai dan negara ini pula bukanlah milik UMNO dan BN sahaja. Penyelesaiannya haruslah bersama dan bukan berpilih-pilih. (SH 18/03/2014)

Monday 17 March 2014

Antara Tragedi MH370, Konsert Dadah Dan Nafsu Membeli-Belah


Di sebalik tragedi kehilangan pesawat MH370 yang masih menjadi misteri sehingga kini, dengan sesetengah pihak menganggapnya sebagai bala Tuhan berikutan terlalu banyak kemungkaran berlaku di depan mata, kerajaan dan pemimpinnya terlihat langsung tidak menunjukkan tanda insaf atau keinginan mahu berubah.

Dengan sorotan dunia serta kritikan terhadap pelbagai perkara tentang bagaimana negara menangani krisis ini, kita juga dikejutkan dengan adanya sebuah konsert yang sedang berlangsung yang mendapat kerjasama kerajaan di ketika seluruh negara sedang bersedih dah waris mangsa sedang berteka-teki mengenai nasib ahli keluarga mereka.

Konsert selama tiga hari itu hanya terdedah apabila akhirnya didapati 6 orang remaja didapati meninggal dunia dan 14 lagi sedang menerima rawatan di hospital kerana mengambil dadah berlebihan. Walaupun konsert itu sudah lama dirancang, apakah negara dan pemimpinnya tiada perasaan mahu menangguh atau membatalkan konsert itu sebaik saja tragedi MH370 ini berlaku?

Malang sekali, hanya setelah 6 nyawa terkorban dan 14 lagi sedang bertarung antara hidup dan mati, barulah konsert itu dibatalkan. Tetapi semuanya sudah terlambat, insiden ini menjadikan imej negara dicemari sekali lagi.

Dalam masa yang sama, ketika peringkat awal tragedi MH370 ini terdedah, seluruh negara bersedih dan menyatakan dukacita serta perasaan simpati kepada waris-waris wangsa. Para pemimpin negara dan isteri yang mengunjungi waris mangsa yang ditempatkan di sebuah hotel Putrajaya, didapati berpeluk-pelukan kesedihan dan saling mengalirkan air mata.

Seluruh negara terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh pemimpin negara itu, terutamanya oleh Perdana Menteri, Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor. Beliau digambarkah sebagai First Lady yang bukan saja suka bergaya mewah dan membeli-belah tetapi juga sarat dengan kasih sayang dan simpati terhadap mereka yanh bernasib malang.

Tetapi hanya di hari kesembilan selepas tragedi MH370 itu berlaku, iaitu hari semalam (Ahad) 16 Mac, Najib dan Rosmah didapati berjalan-jalan sambil membeli-belah di pusat membeli-belah paling mewah di negara ini iaitu Pavillion. Dalam gambar yang tersebar di laman-laman sosial, mereka didapati mengunjungi kedai-kedai perhiasan sambil perhiasan diri yang dipakai seperti gelang dan cincin yang mahal dapat dilihat dengan jelas daripada penampilannya.

Bukanlah tidak boleh seorang Perdana Menteri dan isterinya membeli-belah atau mengunjungi Pavillion tetapi di ketika negara bersedih dan waris penumpang pesawat belum kering air mata, meneruskan keghairahan membeli-belah terlihat amat tidak sesuai. Tangguhkankah sementara keinginan itu.

Lainlah jika pasaraya yang dikunjungi itu adalah seperti Giant, Mydin atau Econsave yang semua orang faham kunjungan itu adalah untuk membeli barang keperluan dapur seharian. Tetapi mengunjungi Pavillion dengan santai dan penuh perhiasan di badan, tentulah bukan untuk membeli belacan, kangkung atau ayam murah yang berharga RM1 seekor.

Seharusnya dalam suasana krisis dan tragedi ini, nafsu membeli-belah itu boleh diketepikan buat sementara. Apa yang berlaku ini hanya menampakkan lagi "wajah hodoh" keluarga Perdana Menteri di mata rakyat setelah berbagai-bagai isu dibangkitkan mengenai karenah mereka selama ini.

Dengan tidak dapat mengawal diri daripada keghairahan membeli-belah, meskipun di ketika negara sedang bersedih dan berduka, persepsi rakyat ialah "itulah yang real dan benar" sebenarnya mengenai Perdana Menteri dan keluarganya, manakala air mata dan pelukan simpati di awal sesuatu tragedi adalah "palsu belaka".

Sampai bilakah kita mahu ditipu begini? (SH 17/03/2014)

Sunday 16 March 2014

Nama Anwar Mula Dikaitkan Dengan MH370, Apakah Rumahnya Pula Digeledah Selepas Ini?


Hari ini sudah masuk hari kesembilan kehilangan pesawat MH370 menghantui dunia. Daripada jangkaan awal bahawa pesawat itu mungkin terhempas dengan fokus pencarian di Laut China Selatan dan Selat Melaka, pengumuman Perdana Menteri, Najib Razak dalam sidang akhbar yang tidak boleh ditanyakan soalan semalam, perhatian kini bertukar dimensi dengan kebarangkalian ianya dirampas atau sengaja disabotaj pula.

Sebagaimana yang didedahkan Najib juga, pesawat itu kini mungkin berada di sempadan antara Turkmenistan dan Kazashtan sehingga ke utara Thailand atau di koridor selatan yang mengunjur daripada Indonesia hingga ke Lautan Hindi.

Maklumat daripada radar TUDM bahawa pesawat itu sengaja dialihkan tujuannya serta sistem komunikasi juga dimatikan dengan sengaja, sudah pasti untuk mengelak dikesan, tumpuan kini ialah kepada mereka yang berada di dalam kokpit pesawat itu iaitu juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pembantunya, Fariq Abdul Hamid.

Persoalannya ialah jika pesawat itu dirampas, apakah juruterbangnya diugut oleh sekumpulan perampas yang menyamar sebagai penumpang atau beliau merupakan sebahagian daripada komplot rampasan itu?

Apakah pula tuntutan dan permintaan mereka? Sehingga ini masih belum terdengar ada sebarang tuntutan dibuat kepada kerajaan Malaysia atau mana-mana kerajaan lain berhubung rampasan ini.

Atau mungkinkah kerajaan sebenarnya sudah menerima permintaan itu dan sedang berunding mengenainya dan ia sengaja disembunyikan atas faktor-faktor keselamatan?

Dah sekiranya kehilangan pesawat ini merupakan satu sabotaj, apakah pula penyebabnya?

Sementara pihak polis sudah pun menggeledah rumah juruterbang dan pembantunya itu untuk mengumpul lebih banyak maklumat, maklumat berita di internet ketika ini lebih sarat mengenai pendedahan maklumat tentang kecenderungan anutan politik jututerbang tersebut.

Selain sudah banyak didedahkan maklumat mengenai Kapten Zaharie yang digambarkan penyokong tegar PKR dan berkempen kuat untuk V Sivarasa di kawasan Parlimen Subang dalam pilihanraya lalu, beliau juga digambarkan sebagai peminat setia Anwar Ibrahim.

Dalam perkembangan terbaru yang didedahkan oleh akhbar Daily Mail, Ahmad Zaharie juga didakwa berada di Mahkamah Rayuan pada 7 Mac untuk memberi sokongan moral kepada Anwar Ibrahim dan menyaksikan sendiri detik-detik hukuman 5 tahun penjara itu dijatuhkan.

Selepas mahkamah berakhir pada 7 malam, barulah beliau pulang ke rumah dan kemudian pada jam 9 malam terus bertolak ke KLIA untuk tugasan membawa pesawat MH370 ke Beijing.

Apakah mungkin kerana kecewa dengan hukuman yang dijatuhkan itu, lalu beliau melakukan sabotaj itu secara sendirian?

Selain akhbar luar negara, beberapa blog dan pengendali laman sosial pro UMNO, tanpa segan-silu dan tanpa mengambil kira perasaan isteri dan ahli keluarga Kapten Zaharie, terus mengaitkan beliau dengan hukuman penjara terhadap Anwar Ibrahim sebagai punca kehilangan pesawat itu.

Beliau didakwa kecewa dengan hukuman itu dan cuba meluahkan perasaannya dengan melakukan sabotaj itu. Apakah ianya benar? Isunya ialah apakah beliau seorang yang tidak berfikir panjang kerana, jika benar itu alasannya, ia adalah tindakan yang tidak mampu mengubah apa-apa, malah perbuatannya membahayakan nyawa 239 penumpang adalah ancaman kepada masa depannnya sendiri.

Walaupun belum dapat dipastikan apa sebenarnya yang berlaku dan usaha ke arah menamatkan misteri ini sedang giat dilakukan, nampaknya sebagaimana banyak aspek lain boleh dijuruskan dalam sesuatu kejadian, kaitannya dengan politik dan persaingan kuasa antara Najib Razak dengan Anwar Ibrahim tetap mengambil tempatnya.

Biar sudah berkali-kali diingatkan agar sesiapa tidak menyebar spekulasi dan andaian mengenai tragedi ini, namun dalam dunia tanpa sempadan sekarang ini, bukan saja media dah pengguna internet dalam negeri yang berbuat demikian, malah sudah menjangkau ke pemikiran antarabangsa.

Sosok yang bernama Anwar yang baru-baru ini dihukum penjara lima tahun, dihalang daripada bertanding di Kajang dan seterusnya menjadi Menteri Besar Selangor seolah-olah "kambing yang sedang dicat hitam" sementara punca sebenar kehilangan pesawat itu masih dalam pencarian.

Yang ditunggu, apakah selepas ini rumah Anwar Ibrahim pula akan digeledah polis? (SH 16/03/2014)

Saturday 15 March 2014

Berpunca Dari Zahid Hamidi, KJ Pula Jadi Mangsanya


Oleh kerana marah disebabkan Khairy Jamaluddin menyarankan agar beliau ditangkap berikutan memalukan negara dengan dua kejadian ritual pelik dan bertentangan dengan Islam di KLIA untuk memanggil pesawat MH370 yang masih hilang, Ibrahim Mat Zain yang menggelarkan dirinya Raja Bomoh atau Bomoh VIP, mengugut mahu menampar muka Ketua Pemuda UMNO itu.

Dengan menggambarkan KJ sebagai biadap dan tidak menghormatinya sebagai orang tua, beliau mencabar KJ agar meletakkan jawatan sebagai menteri manakala beliau pula akan meletakkan jawatan sebagai mahaguru silat.

"Saya cabar dia letak jawatan, kemudian kita fight. Saya tampar dia macam saya tampar buaya baru dia tahu," demikian luahan marah dan rasa tidak tidak senangnya terhadap KJ yang mahu beliau ditangkap kerana dianggap menjalankan amalan syirik dan bertentangan dengan Islam dalam usaha mencari pesawat yang hilang itu.

Video luahan marah dan tindakan mahu menampar KJ oleh Ibrahim Mat Zain itu kini sudah tersebar luas di laman-laman sosial serta menjadi perbualan hangat pengguna internet sejak semalam.

Dalam dua kejadian di KLIA, Ibrahim bersama beberapa pengikutnya telah menjalankan dua upacara ritual dengan membawa buluh, bubu, tikar dan buah kelapa sambil melaungkan perkataan Allahu Akbar. Tindakan itu mendapat kecaman di media kerana amalan yang dilakukan itu dianggap karut, syirik dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Berikutan ritual itu juga, Perdana Menteri Najib Razak mendapat kecaman di media antarabangsa dan dunia Arab dengan mereka melabelkan Perdana Menteri sebagai tiada otak dan lebih mempercayai amalan syirik dalam usaha merungkai persoalan mencari pesawat MH370 yang masih hilang sejak lebih seminggu lalu itu.

Sementara Ibrahim Mat Zain mendakwa kehadirannya ke KLIA adalah atas jemputan VIP tertentu, hampir tidak ada pemimpin UMNO dan kerajaan yang tampil mengecam tindakan beliau itu. Kalau ada pun hanyalah sekadar penafian ringan sahaja.

Lalu apabila KJ menyelar perbuatan itu sebagai syirik dan mahu beliau ditangkap, Ibrahim Mat Zain yang berusia 80 tahun jelas tidak dapat menyembunyikan perasaan marahnya. Selain mahu menampar, beliau juga mahu Najib membuang KJ sebagai menteri.

Selain itu, beliau juga memberi amaran agar KJ tidak mengulangi tuduhan terhadapnya di lain ketika atau berhadapan saman malu sebanyak RM100 juta.

Walaupun KJ tidak menganggap serius ugutan itu dengan menulis secara main-main di twitternya, "Raja Bomoh VIP mahu tampar saya macam kokedai" tetapi amalan mengugut dengan penampar ini nampaknya sudah mulai menjadi budaya dalam dunia politik negara kita.

Sebelum ini, sebuah NGO yang dinamakan Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia telah menawarkan ganjaran sebanyak RM500 dan kemudian dinaikkan kepada RM1200 kepada sesiapa yang dapat menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung video yang diterbitkan yang dianggap mempersenda Perdana Menteri.

Tindakan NGO itu mendapat kecaman pelbagai pihak kerana ia dianggap suatu bentuk ugutan serta dianggap tindakan tidak sihat dalam amalan politik kerana dalam mempertahankan pendirian, hujah sepatutnya dilawan dengan hujah. Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi enggan melayan agar pihak polis bertindak terhadap ugutan seperti itu dengan menganggap ganjaran untuk penampar bukanlah suatu bentuk ancaman.

Menurut, hanya jika mereka berkata mahu membunuh, barulah ia dianggap sebagai ancaman.

Kini, berikutan sikap tidak tegas Zahid itu, seorang menteri sendiri iaiu KJ telah menerima padahnya apabila beliau pula mahu ditampar oleh seorang Raja Bomoh yang tidak berpuas hati dengannya.

Apakah selepas ini, ugutan tampar ini akan terus menjadi budaya di negara kita? Apakah mungkin selepas ini Perdana Menteri atau isterinya atau Timbalan Perdana Menteri pula yang akan menerima ugutan tampar pula?

Dan bagaimana pula jika akhirnya ada pemimpin yang benar-benar kena tampar, siapa harus dipersalahkan? (SH 15/03/2014)

Friday 14 March 2014

Hanya Kerana Bomoh, Reputasi Najib Terbarai Di Mata Dunia


Sebagaimana yang dijangka sebelum ini, lagi lama misteri kehilangan pesawat MH370 berlarutan, lagi berat tekanan yang akan dihadapi oleh Perdana Menteri, Najib Razak. Ini kerana seluruh dunia sedang memberi tumpuan tentang bagaimana kerajaan menyelesaikan krisis tersebut yang sudah berlangsung selama hampir seminggu tanpa sebarang petunjuk positif.

Jika di awal bermulanya tragedi ini, kerajaan dipertikai kerana sering memberikan maklumat yang tidak telus dan tidak tepat dan beberapa agensi kerajaan yang berkaitan dengan penerbangan dan keselamatan pula saling bercanggah dalam memberi maklumat, keadaan kini bertambah buruk dengan imej Najib mula dipertikai dan diperlekeh di peringkat antarabangsa.

Ketika episod pesawat hilang ini juga, terdedah pelbagai kelemahan kerajaan seperti pintu masuk negara yang mudah dibolosi walau dengan pasport curi, ketiadaan persiapan menghadapi krisis dan lebih buruk lagi ia turut menyerlahkan sikap pimpinan politik dan kerajaan yang turut tidak berwibawa dengan bukan saja memberi maklumat tidak tepat, bercanggah dengan anak buah sendiri serta menempelak kakitangan agensi di bawah kementerian sendiri tanpa membuat usul periksa terlebih dahulu.

Sementara pasukan penyelamat sedang bertungkus-lumus menjalankan tugasnya dan melebarkan lagi lingkungan pencarian, kehadiran seorang bomoh silat yang bernama Ibrahim Mat Zain melakukan upacara ritual di KLIA kononnya untuk membantu mencari pesawat yang hilang itu, bukan saja mengundang kritikan dalam negara, bahkan juga melebar sehingga ke peringkat antarabangsa.

Dengan ritual pertama menggunakan teropong buluh dan bubu manakala ritual kedua pula menggunakan tikar terbang dan buah kelapa serta mendakwa dijemput untuk melakukan ucapaca itu oleh seorang VIP, Najib segera dikritik oleh media Arab sebagai mengamalkan ilmu sihir untuk mencari pesawat yang hilang itu.

Di Barat pula, pengguna media sosialnya melabelkan Najib sebagai pemimpin yang tiada otak serta memalukan rakyat Malaysia kerana membenarkan upacara yang tidak masuk akal dan bertentangan dengan kemajuan manusia itu diadakan sebanyak dua kali di KLIA tanpa sebarang halangan.

Di Parlimen pula, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim turut menyelar kehadiran bomoh beserta amalan syirik dan berlawanan dengan ajaran agama itu serta menuntut kerajaan menjelaskan, siapakah yang membenarkan dan membayar untuk bomoh tersebut menjalankan kerjanya.

Walaupun beberapa pemimpin kerajaan seperti Shahidan Kassim dan Khairy Jamaluddin menafikan penglibatan kerajaan dalam menaja bomoh tersebut tetapi yang menimbulkan persoalan ialah bagaimana kerajaan yang mempunyai pelbagai agensi penguatkuasaan dan beribu-ribu anggota, tetapi tiada satu pun yang berani menyentuh raja bomoh itu sehingga ini.

Ia seolah-olah ada benarnya pengakuannya sebelum ini bahawa kehadirannya itu adalah atas jemputan seorang VIP yang mempercayai kebolehan dan kemampuan ilmu perbomohannya.

Tindakan raja bomoh ini, jika berdasarkan cemuhan di peringkat antarabangsa dan media Arab, jelas sudah memalu serta mengaibkan Najib dan kerajaan. Najib akan dipandang buruk di peringkat antarabangsa selepas ini dan kehadirannya di mata dunia seolah-olah sudah tercabut wibawanya. Bagaimana Najib mahu berhadapan dengan pemimpin dunia selepas ini?

Dengan media Arab pula menuduh Najib mengamalkan ilmu sihir, bagaimanakah negara mahu berhadapan dengan pemimpin dan masyarakat Teluk itu sedangkan sebelum ini mereka begitu menyanjung amalan dan perkembangan Islam kita.

Tetapi mengapa masih tiada tindakan diambil? Kenapa juga tiada laporan polis dibuat terhadap raja bomoh itu?

Jika dalam isu kangkung misalnya, begitu ramai yang tampil membuat laporan polis terhadap individu tertentu yang dianggap memalukan Perdana Menteri, kenapa pula dalam isu raja bomoh ini semua berdiam diri sedangkan aib yang dilakukannya kepada Najib meluas sehingga ke seluruh dunia?

Kenapa pihak polis dan Jakim tidak menangkap saja raja bomoh itu? Kalau sebelum ini mereka yang terlibat dengan syiah dan anti hadis juga gagal ditangkap, walaupun ada menteri yang bercakap berdegar-degar mengenainya, kegagalan bertindak terhadap raja bomoh yang jelas melakukan perbuatan syirik lagi sesat ini, jelas merupakan satu lagi episod yang memalukan negara.

Dalam hal ini, kerajaan yang dipimpin Najib langsung tidak diyakini untuk bertindak terhadap perkara yang kecil sekali pun tetapi jelas sesatnya kepada masyarakat. Selagi raja bomoh yang bernama Ibrahim Mat Zain ini tidak ditangkap atau tidak diambil tindakan, selagi itulah masyarakat mempercayai bahawa pihak kerajaan di belakangnya sambil negara dan pemimpin kita akan terus ditertawakan oleh dunia. (SH 14/03/2014)

Thursday 13 March 2014

Antara Rosmah Dan Wan Azizah


Dalam dunia politik Malaysia, hanya terdapat dua pemimpin yang wataknya serta isterinya sering menjadi perbualan ramai iaitu Perdana Menteri, Najib Razak dengan isterinya, Rosmah Mansor dan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dengan isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail. Rosmah hanyalah seorang isteri dan suri rumah tetapi sering membayangi penampilan suaminya manakala Wan Azizah adalah Presiden PKR tetapi sentiasa mengalah dengan penampilan suaminya yang merupakan Ketua UMUM PKR serta Pengerusi Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Sebelum Anwar dipecat daripada UMNO dan kerajaan pada 1998, Wan Azizah hanyalah seorang suri rumah yang barangkali tidak pernah terfikir untuk melibatkan diri dalam dunia politik sehingga sejauh ini. Beliau ketika itu hanyalah seorang peneman kepada suaminya di majlis-majlis rasmi dan lebih banyak tersenyum dari berkata-kata.

Wataknya sebagai isteri seorang pemimpin yang sentiasa menyokong perjalanan karier suaminya tidak banyak beza dengan penampilan yang ditonjolkan oleh Dr Siti Hasmah Mohd Ali kepada Mahathir Mohamad. Beliau hanya menonjolkan dirinya setelah suaminya dipenjarakan.

Hanya setelah Anwar dipenjarakan dan terlihat keperluan untuk beliau menggalas perjuangan reformasi yang diasaskan oleh suaminya, Wan Azizah kemudian terlibat secara langsung dan sepenuh masa dalam politik melalui PKR yang ditubuhkannya bersama pengikut-pengikut Anwar yang meninggalkan UMNO.

Beliau menjadi Presiden PKR sejak parti itu ditubuhkan dan berpeluang menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh serta Ketua Pembangkang di Parlimen.

Kali ini, setelah melepaskan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh pada 2011 untuk memberi laluan kepada suaminya bertanding semula di kawasan itu dan lebih banyak menyerahkan kerja-kerja politik untuk digalas oleh Anwar, Wan Azizah kembali semula bertanding di DUN Kajang berikutan Anwar yang berhasrat bertanding di situ dihalang oleh keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapatinya bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan dan dihukum penjara selama lima tahun.

Dengan bertanding di Kajang, sekali lagi Wan Azizah menunjukkan ketaatannya sebagai seorang isteri dan pejuang reformasi yang masih belum selesai.

Jika tidak kerana Anwar dihalang daripada bertanding, Wan Azizah bukan saja akan mengundurkan diri sebagai Presiden PKR pada pemilihan Mei ini, bahkan lebih selesa mengharungi sisa-sisa usianya sebagai suri rumah sahaja. Walaupun masih kekal untuk memberi laluan kepada Anwar pula menerajui PKR, Wan Azizah yang kini sibuk berkempen sedang ditunggu dengan tugas baru sebagai ADUN Kajang pula.

Berbeza pula dengan Rosmah Mansor, beliau berkahwin dengan Najib ketika anak Tun Razak itu sudah menjadi menteri. Ketika Najib menjadi menteri pula, kelibat Rosmah jarang kelihatan walaupun ada juga sesekali beliau muncul menemani suaminya di beberapa majlis rasmi. Hanya ketika Najib mengadakan jamuan bertemu penyokong-penyokongnya di kediaman mereka, barulah selalu wajah Rosmah yang mesra dan suka bergaul kerap kelihatan.

Tetapi setelah Najib menjadi Perdana Menteri, penonjolan Rosmah agak luar biasa. Di akhbar dan tv, wajah dan beritanya kerap muncul. Beliau juga mengasaskan Permata yang membolehkannya mendapat peruntukan khas beratus juta daripada kerajaan dan kerap mempromosikan program pendidikan untuk kanak-kanak itu di dalam dan luar negara.

Rosmah juga lebih selesa dengan gelaran First Lady berbanding gelaran biasa isteri Perdana Menteri dan mengadakan Persidangan Wanita-Wanita Pertama Sedunia untuk membiasakan masyarakat dunia dengan gelaran barunya itu. Beliau juga kerap hadir ke pelbagai persidangan peringkat antarabangsa dengan membawa gelaran First Lady serta menggunakan kemudahan jet kerajaan.

Dalam masa yang sama, beliau juga menjadi satu-satunya isteri Perdana Menteri yang pernah turun berkempen secara langsung membantu UMNO dan BN dalam pilihanraya. Jika ketika Najib sekadar menteri biasa, kekerapan Rosmah menemani suaminya tidak sekerap mana, tetapi setelah bergelar Perdana Menteri pula beliau jarang membiarkan Najib muncul keseorangan.

Rosmah akhirnya berjaya membentuk persepsi sebagai wanita yang berkuasa. Bukan saja pemimpin UMNO kerap memuji dan menjemputnya untuk merasmikan pelbagai acara, Najib sendiri memuji Rosmah dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO tentang peranan yang pernah dimainkannya untuk kepentingan negara. Mereka yang mencium tangannya juga ramai, walaupun sesetengahnya lebih berusia daripadanya.

Lalu melekatlah tanggapan bahawa beliau benar-benar berkuasa dalam negara ini, meskipun hakikatnya Rosmah hanyalah seorang suri rumah sahaja.

Apabila Wan Azizah bertanding semula di Kajang, beliau lalu dikatakan menghidupkan semula amalan nepotisme. Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin malah melabelnya sebagai boneka kepada Anwar yang tidak seharusnya diberikan rasa simpati oleh pengundi DUN Kajang pada 23 Mac ini.

Jika benar pun ini merupakan sebahagian daripada nepotisme tetapi haruslah disedari bahawa kemunculan Wan Azizah dalam dunia politik tidak sesekali melalui permaidani merah seperti mana ahli keluarga pemimpin UMNO yang lain. Laluannya penuh dengan darah, air mata dah kerikil-kerikil tajam. Hanya kerana hasrat Anwar bertanding di Kajang "dikejangkan" melalui keputusan Mahkamah Rayuan, maka muncullah Wan Azizah sebagai pengganti.

Jika Anwar tidak dipecat oleh Mahathir, beliau mungkin akan kekal dengan peranannya sebagai suri rumah, peneman dan pendokong di belakang tabir kerjaya suaminya. Begitu juga jika KajangMove ini tidak dihalang melalui keputusan mahkamah, Wan Azizah tentunya lebih selesa berada di rumah.

Hanya atas nama perjuangan, meneruskan reformasi dan keinginan untuk memberikan sesuatu yang lebih baik untuk rakyat dan negara, maka tercatatlah nama Wan Azizah sebagai salah seorang pejuang politik yang tidak pernah pun terfikir untuk diceburinya suatu ketika dahulu.

Jika KJ mengatakan Wan Azizah hanyalah boneka kepada Anwar tetapi yang membanggakan kita ialah beliau tidak pernah "membonekakan" kedudukan dan jawatan suaminya seperti mana wanita yang seorang lagi itu. (SH 13/03/2014)

Temubual saya dalam Let's Talk - Analisis PRK DUN Kajang By MobTV

Isu Panas !!!

Saksikan sesi bual bicara saya bersama dengan MobTV mengenai isu PRK DUN Kajang



Let's Talk - Pilihanraya Kecil N.25 Kajang memasuki fasa baru. Calon pilihan Anwar Ibrahim bukan lagi calon Pakatan apabila dia didapati bersalah atas tuduhan jenayah dan disabitkan 5 tahun penjara. Sekaligus kehilangan kelayakan untuk bertanding. Kekosongan itu kini diisi oleh Presiden Keadilan iaitu Dr Wan Azizah. BN mempetaruhkan Datuk Paduka Chew Mei Fun sebagai calon. Bagaimanakah peluang bagi kedua-dua calon dalam PRK kali ini?


Klik Link DISINI

Wednesday 12 March 2014

Misteri MH370 Kini Mula Bertukar Menjadi Tekanan Terhadap Najib


Misteri kehilangan pesawat MH370 yang sudah memasuki hari kelima tanpa sebarang jawapan kini sudah beransur-ansur bertukar menjadi tekanan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Najib Razak di mana pelbagai pihak sama ada dalam negara, mahu pun antarabangsa mulai melihat aspek kecelaruan, tiada kesepakatan dan saling tuduh-menuduh dalam proses mencari jawapan pesawat yang hilang itu.

Sementara waris mangsa turut merungut kerana sejak hari pertama lagi tiada keselarasan dalam menyampaikan maklumat sehingga ada yang meluahkan kemarahan dengan membaling air kepada petugas MAS di Beijing, rakyat dalam negara dan masyarakat antarabangsa juga turut keliru dengan perbagai maklumat yang bercampur-campur antara yang benar dengan yang palsu.

Walaupun pelbagai pihak daripada semua keturunan, agama dan kepercayaan tidak putus-putus mendoakan agar pesawat yang ditakrifkan hilang itu segera ditemui dan semua penumpangnya selamat, mereka juga sebenarnya ingin mendapatkan maklumat terkini yang pantas dan tepat.

Namun hari demi hari yang berlalu sebenarnya lebih membuktikan kira tidak cukup bersedia untuk menghadapi krisis dan bencana yang menimpa. Daripada pimpinan kerajaan, jabatan kerajaan dan ketua-ketua jabatan yang berkaitan terlihat seperti hilang punca dalam menangani dan menyalurkan maklumat mengenai insiden ini.

Hishammuddin Hussein yang diberi dua kementerian iaitu Kementerian Pertahanan dan memangku di Kementerian Pengangkutan oleh Najib Razak sebagai sebahagian pelan meningkatkan imejnya di kalangan perwakilan UMNO dan seharusnya bertanggungjawab penuh dalam menyeleras dan memastikan maklumat yang tepat disalurkan kepada pelbagai pihak, ternyata gagal berbuat demikian.

Bloomberg hari ini, setelah hari kelima kehilangan pesawat itu masih menjadi misteri, secara terbuka mengkritik ketidakselarasan dan ketidakcekapan Malaysia dalam mengurus krisis yang digambarkan sebagai salah satu kelemahan kepimpinan Perdana Menteri kerana masih terbelenggu dengan kawalan ketat terhadap maklumat yang diamalkan kerajaan sejak lebih 50 tahun lalu.

Di samping melaporkan kebimbangan China yang meminta Najib supaya lebih bersikap telus dalam menangani krisis yang menjadi perhatian dunia ini, peranan sepupunya, Hishammuddin dalam mengamalkan ketelusan dan tidak menjadikan usaha mengendalikan isu global seperti menguruskan isu politik domestik, nyata suatu gambaran yang memalukan negara.

Kritikan itu tentunya bukan saja kerana peranan pemangku Menteri Pengangkutan yang tidak menyerlah sejak lima hari yang lalu dalam mengetuai operasi, tetapi juga penglibatan beberapa menteri lain yang menjadikan keadaan tambah serabut. Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi misalnya, ketika mengulas mengenai wujudnya penumpang yang menggunakan pasport curi telah menempelak kakitangan Jabatan Imigresen di KLIA yang didakwanya tidak dapat membezakan antara wajah orang Asia dengan Eropah.

Dengan hanya bersandarkan andaian kerana dua warga Italy dan Austria itu kehilangan pasportnya di Thailand, Zahid terus beranggapan bahawa pemegang pasport curi itu juga berasal daripada Thailand. Ia nyata memalukan Zahid kerana akhirnya terbukti kemudiannya mereka yang memiliki pasport curi itu adalah warga Iran yang kita semua maklum mempunyai bentuk wajah dan kulit hampir sama dengan orang Eropah.

Di ketika yang lain pula, sementera berpuluh-puluh kapal laut dan kapal terbang sedang dikerahkan mencari dan menyelamat di Laut China Selatan dan Selat Melaka, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ismail Sabri Yaakob pula dikhabarkan telah mengerahkan lebih 1700 bot nelayan dan lebih 20 ribu nelayan bagi membantu operasi mencari pesawat MH370 ini.

Terlihat bahawa kenyataan ini lebih didorong oleh keghairahan terhadap publisiti semata-mata kerana apalah yang boleh dilakukan oleh bot-bot nelayan yang tiada kelengkapan mencari dan menyelamat itu. Bot nelayan yang tiada kelengkapan mencari dan menyelamat hanya lebih kurang sama dengan kapal selam Scorpene yang tidak digunakan untuk mencari pesawat MH370 kerana tidak dilengkapi kemudahan seperti itu. Apa yang boleh dilakukan oleh nelayan hanya menyampaikan maklumat sambil mereka menangkap ikan. Tidak perlu dikerah nelayan untuk berbuat demikian tetapi sekiranya mereka nampak kapal terhempas atau menjunam ke dalam laut, sudah pasti mereka akan memberikan maklumat secara sukarela kepada pihak berkuasa.

Di sisi lain pula, maklumat antara MAS, Jabatan Penerbangan Awam dan polis sering pula bercanggah antara satu sama lain. Dalam isu penumpang membeli tiket tetapi tidak menaiki kapalterbang dan isu pemilik pasport curi, jelas terlihat ada percanggahan memalukan antara jabatan ini.

Jabatan Penerbangan Awam misalnya mengesahkan ada pembeli tiket yang tidak menaiki pesawat tetapi kemudiannya dinafikan oleh MAS dan polis. Pada peringkat awal juga Jabatan Penerbangan Awam mengatakan pemilik pasport curi itu berkulit hitam tetapi akhirnya terbukti merupakan rakyat Iran.

Dalam masa yang sama, rakyat dalam negara tambah keliru dan semak perut apabila pelbagai berita yang tidak disahkan kebenarannya seperti pengakuan nelayan, petani dan orang awam yang mengaku melihat pesawat yang hilang itu, turut dijadikan bahan berita dan dijadikan rujukan.

Bomoh dan pawang yang membawa bubu dan tikar terbang juga terlihat menjalankan upacara peliknya di KLIA sambil mendakwa mengetahui di mana pesawat itu berada ketika ini. Sudahlah kelewatan dan ketidakselaran menyalurkan maklumat merupakan sesuatu yang memalukan negara di mata dunia, kemunculan bomoh ini menambahkan lagi malu yang ada.

Seharusnya dalam menangani bencana besar dan menjadi tumpuan seperti ini, sesuatu kawalan hendaklah diadakan bagi mengelakkan perkara karut-marut ini daripada turut menyibuk sama. Di sinilah sebenarnya mustahaknya nilai-nilai kepimpinan yang berwibawa dalam diri individu yang mengetuai operasi menyelamat ini.

Daripada semua percanggahan, kecelaruan, ketidakcekapan dan kelambatan maklumat dalam krisis MH370 ini, ia secara perlahan-lahan mula menyerlahkan bahawa pasukan pentadbiran Najib lebih banyak dipenuhi oleh individu yang tidak cekap dan kurang upaya. Kebolehan mereka hanyalah membodek, mencium tangan dan menyerang parti-parti pembangkang.

Lagi lambat MH370 ini ditemui, lebih banyak kelemahan yang selama ini tersembunyi akan terdedah kepada umum. Kritikan antarabangsa juga akan meningkat. Selain pasukan penyelamat Vietnam yang sudah menggantung operasinya kerana masih menunggu jawapan sejak dua hari lalu tetapi masih tiada jawapan mengenai lokasi sebenar pesawat itu dipercayai hilang, pasukan daripada China juga dilaporkan sudah mengadakan mesyuarat tergempar dengan Malaysia berikutan usaha pencarian selama ini seolah-olah tidak berfokus.

Pasukan penyelamat Thailand juga dilaporkan mengambil tindakan yang sama dengan Vietnam sehingga mereka benar-benar diberikan maklumat yang sahih dimanakah pesawat itu kali terakhir dilaporkan hilang oleh pihak kerajaan kita.

Najib yang baru terselamat daripada tekanan dalam negeri berikutan kejayaan menghalang Anwar Ibrahim daripada bertanding di Kajang dan menjadi Menteri Besar Selangor, kini diburu tekanan yang tidak diduga berikutan kehilangan pesawat MH370 ini. Tekanan terhadap keupayaan kerajaan yang sedang dipimpinnya kini mulai datang daripada banyak penjuru di dalam dan juga luar negara.

Semakin lama kehilangan pesawat ini menjadi misteri antarabangsa, ia dipercayai semakin menggoncang kedudukan Najib. Jika di Jepun atau beberapa negara lain, kejadian seperti ini pasti menyebabkan ada pemimpinnya yang berani memikul tanggungjawab dan meletakkan jawatan, seseorang juga mesti bertanggungjawab atas insiden MH370 ini, apatah lagi jika akhirnya nanti diketahui tragedi kehilangan ini ada kaitan dengan rampasan kapalterbang. (SH 12/03/2014)

Tuesday 11 March 2014

Najib 'Bunuh' Konsensus Nasional?


Harapan rakyat untuk melihat wujudnya konsensus atau rekonsilasi antara kerajaan dengan pembangkang dalam beberapa isu yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara, akhirnya lebur menjadi debu. Anwar Ibrahim secara rasmi semalam mengumumkan bahawa PR menarik balik usaha ke arah itu dan akan terus bersikap "lawan tetap lawan" terhadap kerajaan.

Penarikan diri PR daripada konsensus ini berikutan keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu yang menghukum Anwar bersalah atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan dan kemudian dihukum penjara lima tahun. Bagi Anwar, hukuman itu bermotifkan politik, biadap, dijalankan secara tergesa-gesa, tidak berdasarkan fakta serta semata-mata bertujuan menghalangnya daripada bertanding di DUN Kajang.

Berikutan hukuman tersebut dan Anwar tidak layak mengemukakan kertas pencalonannya di Kajang, tempat beliau kini digantikan oleh isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang akan berhadapan satu lawan satu dengan calon BN, Chew Mei Fun.

Konsensus yang bermaksud mewujudkan sebuah kesepakatan yang dipereetujui bersama setelah adanya dialog dan penelitian manakala rekonsilasi pula yang bermaksud tindakan memulihkan persahabatan atau menyelesaikan perbezaan, dibangkitkan oleh PR dan BN sebaik PRU 13 berakhir berikutan mendesaknya isu-isu yang melibatkan kaum, agama, perpaduan dan sebagainya.

Najib sendiri telah menulis dalam blognya pada 25 Februari lalu yang mengatakan kerajaan akan membentangkan pelan rekonsilasi itu dalam beberapa bulan akan datang dengan butirannya sedang dikemaskini serta diperhalusi ketika ini manakala PR sudah lebih awal iaitu sebaik PRU 13 berakhir sudah menyarankan usaha ke arah itu.

Pada umumnya, harapan rakyat juga tinggi untuk melihat adanya konsensus atau rekonsilasi itu berikutan selepas berakhirnya PRU 13, rata-rata rakyat sudah mulai letih dengan pelbagai kecelaruan dalam politik dan ingin melihat sesuatu yang lebih bermakna antara kerajaan dengan pembangkang buat sementara sebelum kembali bertarung dalam PRU 14 yang akan berlangsung kira-kira empat tahun lagi.

Namun haruslah diakui bahawa hukuman keatas Anwar ini menggagalkan segala-galanya. Walaupun ia merupakan keputusan mahkamah yang sepatutnya bebas tetapi sesiapa pun tidak mampu menolak adanya campurtangan penguasa dalam hal ini kerana ianya begitu jelas terbentang di depan mata.

Bermula dengan tindakan melewatkan tarikh penamaan calon oleh SPR, ia kemudian dijadikan ruang untuk menetapkan tarikh perbicaraan secara tergesa-gesa dengan hakim Mahkamah Rayuan terpaksa bersidang sehingga jam 7 malam semata-mata agar hukuman dapat dijatuhkan sebelum penamaan calon pilihanraya kecil Kajang.

Lebih dari itu, peguam yang yang dikenali sebagai peguam UMNO dan didapati berada di rumah Najib ketika Saiful mengadu mengenai kejadian liwat yang melibatkan dirinya, Shafee Abdullah turut diletakkan sebagai ketua pasukan pendakwa di Mahkamah Rayuan melalui kebenaran khas.

Dalam hal ini, tidak dapat dielakkan persepsi bahawa Najib begitu takut untuk membenarkan Anwar bertanding di Kajang dan seterusnya menjadi Menteri Besar Selangor. Meski pun pada awalnya BN mengumumkan bahawa mereka akan menghadapi Anwar di Kajang secara "gentleman" tetapi terbukti akhirnya Najib langsung tidak "gentleman".

Jika Najib benar-benar seorang yang "gentleman" dan memikirkan soal kepentingan negara dan rakyat melalui konsensus atau rekonsilasi melebihi kepentingan mengekalkan kuasanya sebagai Perdana Menteri, mahkamah sepatutnya dibiarkan bebas dan benar-benar dilihat bebas daripada campurtangan pemerintah.

Tidak perlu menggunakan mahkamah melalui canpurtangan yang begitu ketara untuk menghalang Anwar daripada bertanding di Kajang. Biarkan beliau bertanding dan menang di Kajang. Jika selepas itu, beliau menjadi Menteri Besar Selangor, ia juga harus dibiarkan kerana ia adalah urusan dalaman PKR dan PR.

Dan sekiranya selepas itu, berlangsung perbicaraan di Mahkamah Rayuan, jangan dibimbangi apa pun keputusannya. Jika Anwar didapati tidak bersalah, terimalah seadanya tetapi sekiranya hukuman bersalah itu dijatuhkan ketika Anwar memegang jawatan Menteri Besar, biarkanlah undang-undang berfungsi sepenuhnya.

Najib dan BN tidak perlu takut untuk menerima cabaran hukuman bersalah dijatuhkan ketika Anwar menjadi Menteri Besar kerana UMNO sebenarnya sudah sarat dengan pengalaman beberapa bekas Menteri Besar Selangor yang pernah dijatuhkan hukuman dan terpaksa berundur sebelum ini. Harun Idris dijatuhkan hukuman kerana suatu kes rasuah ketika menjadi Menteri Besar, Mat Taib dipaksa berundur kerana kesalahan undang-undang di Australia juga ketika menjadi Menteri Besar dan Abu Hassan juga diminta berundur kerana ada masalah peribadi ketika menjawat jawatan Menteri Besar.

Lagi pula, lebih mudah memberi kefahaman kepada rakyat berhubung hukumah mahkamah ketika segala ruang dan kebebasan sudah diberi sepenuhnya, berbanding hukuman yang dijatuhkan semata-mata untuk menyekat di permulaan langkahnya lagi.

Anwar dan PR kini bukan saja mengumumkan menarik balik persetujuan untuk konsensus dan rekonsilasi itu, bahkan sudah pun memulakannya ketika memulau jamuan teh selepas pembukaan sidang Parlimen oleh Yang Dipertuan Agong semalam, bahkan juga memboikot sidang Parlimen hari pertama hari ini.

Selepas ini,yang nyatanya tiada lagi perdamaian antara PR dengan BN atas apa isu jua pun. Ia sudah bertukar menjadi "lawan tetap lawan" yang berpanjangan. Sehingga pilihanraya akan datang suhu politik nampaknya sentiasa panas dan membara. Najib juga sudah boleh menyimpan semua idea yang mahu dibentangkannya mengenai rekonsilasi atau konsensus ini.

Di mata rakyat, kerana berjiwa kecil dan takut menerima cabaran, Najiblah yang dianggap membunuh usaha perdamaian itu. (SH 11/03/2014)

Monday 10 March 2014

Marah Benar Zahid Hamidi Dengan Imigresen....


Insiden kehilangan pesawat MH370 yang masih menjadi misteri sehingga kini, akhirnya turut mendedahkan beberapa kelemahan lain dalam kerajaan. Dari proses mencari dan menyelamat yang dianggap perlahan sehingga kerajaan China yang mana seramai 138 rakyatnya turut berada dalam pesawat itu telah menghantar satu pasukan daripada pelbagai kementerian ke negara ini untuk menggesa misi menyelamat dipercepatkan, sistem keselamatan udara, kotak hitam yang ketinggalan zaman sehinggalah kelemahan kawalan imigresen yang paling ketara.

Daripada seramai 239 penumpang pesawat MH370 itu, dua daripadanya adalah pemegang pasport palsu yang dilaporkan hilang di Thailand oleh dua pemiliknya iaitu warganegara Itali dan Austria sejak 2013 lagi. Oleh itu, amatlah memalukan bagaimana pemegang pasport palsu itu gagal dikesan dan begitu mudah melepasi pintu Imigresen.

Dalam hal ini tidaklah menghairankan bagaimana Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi kelihatan begitu marah dengan kejadian yang memalukan ini. Sambil menegaskan siasatan terperinci akan dijalankan mengenainya, beliau juga menyelar pegawai-pegawai Imigresen yang bertugas di KLIA dengan berkata, "saya masih hairan takkan pegawai di KLIA tak boleh fikir, orang Itali dan Austria tapi muka macam Asia".

Sementara kita semua bersimpati, sedih dan berdoa mengharapkan keajaiban di sebalik misteri kehilangan pesawat ini yang sudah berlalu beberapa hari tanpa sebarang jawapan, kita juga sebenarnya sedih dengan pelbagai kelemahan dalam jentera pentadbiran kerajaan, terutamanya berkaitan Imigresen ini.

Dan selalunya begitulah, hanya apabila ada tragedi barulah pelbagai kelemahan terbongkar. Jika tidak, semuanya dianggap biasa-biasa saja.

Selain kelemahan yang melibatkan dua pemegang pasport curi ini, sejak bertahun-tahun pula Jabatan Imigresen sudah terdedah dan didedahkan dengan pelbagai kelemahan yang melibatkan kemasukan pendatang asing daripada pelbagai negara sehingga menimbulkan macam-macam gelaja sosial yang tidak diingini.

Menteri sudah kerap bertukar tangan, Ketua Pengarah Imigresen juga sudah bersilih ganti tetapi masalah kemasukan pendatang asing ini masih juga gagal diatasi dengan sebaiknya. Sekarang dengan tumpuan dunia mengenai lolosnya dua pemegang pasport curi yang dikesan berikutan dengan tragedi hilangnya pesawat itu, ia sekali lagi mendedahkan negara kita kepada kecaman dan pertikaian antarabangsa.

Kiranya Zahid Hamidi ingin meluahkan kemarahan dan memperbetulkan kelemahan di Jabatan Imigresen ini, ada baiknya beliau melakukannya secara menyeluruh supaya di masa-masa akan datang, andai ditakdirkan lagi berlaku sesuatu tragedi, mudah-mudahan ia tidak lagi terkait dengan jabatan itu.

Jika kita masih ingat, ketika tragedi pembunuhan Altantuya Sharibu yang dikaitkan dengan Abdul Razak Baginda, rakan baik Najib Razak beberapa tahun lalu, isu yang melibatkan Jabatan Imigresen turut dikaitkan sama. Model dari Mongolia itu sah-sah berada di negara ini, pergi ke rumah Razak Baginda untuk menuntut upah terjemahan yang dijanjikan kepadanya, menginap beberapa hari di hotel dah kemudian didapati dibunuh dengan cara diletupkan badannya dengan bom C4 tetapi akhirnya rekod kemasukannya di Jabatan Imigresen didapati dipadamkan.

Beliau seolah-olah tidak pernah memasuki negara kita. Sehingga ini bagaimana rekod kemasukannya boleh terpadam, siapa yang bertanggungjawab dan siapa yang mengarahkannya masih lagi menjadi misteri kepada dunia.

Kini dengan berlakunya tragedi MH370, seiring dengan kehilangan pesawat itu yang masih menjadi misteri, bagaimana dua pemegang pasport curi yang berwajah Asia tetapi menggunakan identiti bangsa Eropah boleh melepasi halangan Imigresen, sekali lagi menjadikan Jabatan Imigresen diselubungi misteri.

Lalu, kemarahan Zahid Hamidi sebagai menteri memang ada kewajarannya.

Sambil mencari kelemahan mengenai bagaimana pemegang pasport curi boleh terlepas begitu saja, beberapa kelemahan lain seperti melibatkan kemasukan pendatang asing dan bagaimana rekod Altantuya yang dibunuh boleh terpadam, haruslah juga didedah dan diperbetulkan demi imej dan nama baik negara.

Jika semua ini dapat dilakukan oleh Zahid Hamidi, ia merupakan pahalanya paling besar kepada maruah negara. (SH 10/03/2014)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...