Thursday 31 May 2018

BELUM SEBULAN HILANG KUASA, KENAPA UMNO SUDAH JADI PAPA KEDANA?


Adakah UMNO sudah papa kedana ketika ini?

Baru tidak sampai sebulan kehilangan kuasa dalam kerajaan yang dipegang sejak lebih 60 tahun lalu, UMNO kini seolah-olah sudah hilang daya untuk menggerakkan parti itu dengan menamatkan serta-merta penyaluran kewangan bulanannya yang lazim diterima sebelum ini.

Dalam surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor, ia menyebut setelah meneliti kedudukan kewangan, parti ingin memaklumkan yang mana penyaluran peruntukan  bulanan kepada pihak Bahagian dan Pergerakan Sayap-sayap Bahagian terpaksa ditamatkan bermula Mei 2018.

Dalam surat itu juga meminta agar pihak Bahagian dan Pergerakan Sayap-sayap Bahagian dapat meneruskan pengoperasian parti seperti kebiasaan meskipun tanpa peruntukan tersebut.
Kenapa hanya baru tidak sampai sebulan kehilangan kuasa, UMNO tiba-tiba sudah jadi miskin dan papa kedana sehingga tidak mampu lagi menyalurkan peruntukan bulanan kepada bahagian dan sayap-sayap?

Apakah UMNO tidak mempunyai wang langsung dalam akaun banknya?

Ke mana wang parti yang dikumpul sejak 60 tahun berkuasa selama ini?

Adakah hanya pemimpin UMNO saja kaya raya, tetapi parti sebenarnya miskin dan papa kedana?

Tiadakah mereka yang kaya raya itu sanggup untuk menghulurkan derma kepada parti sendiri sedangkan mereka mengaut kekayaan pun atas nama UMNO?

Kenapa pemimpin yang menerajui UMNO sekarang tidak cuba meminta  wang derma yang kononnya daripada Pak Arab yang pernah diterima oleh bekas Presiden UMNO, Najib Razak?

Bukankah Najib ada menyatakan walaupun wang itu disalurkan atas nama akaun peribadinya, tetapi ia bukanlah kepunyaannya?
Kesian UMNO....belum sebulan hilang kuasa, sudah begini jadinya! 

Bagaimana agaknya nasib parti itu selepas setahun atau lima tahun akan datang?

Dengan keadaan tiada wang seperti yang ditunjukkan sekarang ini, bolehkah UMNO terus bernyawa lagi untuk menghadapi pilihanraya seterusnya?

Atau UMNO memang sedang menuju kematiannya? (ShahbudinHusin 31/05/2018)

CEHHH...PENAKUT JUGA RUPANYA!!!


Kalau dilihat lagak dan perbuatan Jamal Md Yunos selama ini, gambarannya seolah-olah beliau tidak takut kepada sesiapa.


Dia main "langgar" saja semua undang-undang dan peraturan. Undang-undang dan peraturan bagaikan terletak dalam tangannya.


Rupa-rupanya dia tidaklah seberani mana. Baru kerajaan bertukar, kecut hatinya nampak bukan kepalang lagi.

Kenapa takut untuk menyerah diri kepada pihak polis?


Sampai bila mahu menghilangkan diri?


Buat apa juga merayu-rayu kepada menteri agar dirinya tidak dizalimi atau dianiaya?


Siapa yang mahu menzalimi dan menganiayanya?

Kerja polis ialah menjalankan siasatan, bukannya menzalimi atau menganiaya sesiapa.


Tetapi, semakin beliau menghilangkan diri, semakin menyusahkan dirinya sendiri.


Dilaporkan kini ada enam waran tangkap sedang menantinya.


Nak lari ke mana lagi? (ShahbudinHusin 31/05/2018)

Wednesday 30 May 2018

SEBELUM DAN SELEPAS...


Sebelum PRU4, Hadi Awang menggesa pengundi agar menolak DAP yang disifatkannya gagal menjadi kerajaan yang bersih serta kerana pemimpinnya yang bukan muslim serta dianggap anti Islam.
Tidak cukup dengan itu, Hadi juga menyifatkan parti-parti Melayu dalam Pakatan Harapan yang bekerjasama dengan DAP ibarat "lembu kenyang" yang tidak akan berbuat apa-apa untuk mempertahankan Islam.
Tapi selepas PRU14 dan setelah DAP menjadi sebahagian daripada kerajaan bersama Pakatan Harapan, nada Hadi tiba-tiba berubah.

Beliau kini memuji DAP yang dianggapnya matang berikutan tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian umat Islam, malah sedia untuk bekerjasama dengan parti itu jika dihulurkan tangan oleh Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng.
Aikk...cepatnya berubah nada?

Cemburu tengok Mohamad Sabu jadi menteri ke?
Hmmmmm........(ShahbudinHusin 30/05/2018).

Tuesday 29 May 2018

KHAIRUDDIN MAHU CADANGKAN RAFIZI DIBERI JAWATAN DALAM KERAJAAN


Ini adalah masa untuk keseluruhan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan bekerja secara bersungguh-sungguh untuk tunai segala janji-janji pada 32 juta rakyat malaysia!!


Kita mesti 'perform' secara kadar segera berfasa-fasa bagi melunaskan setiap butiran yang tertera dalam manifesto Pakatan Harapan!!


Rafizi Ramli tidak perlu pertikai lagi Pakatan Harapan menang pru14 atas faktor apa?!


Bagi saya rumusan kajilidik untuk membuktikan Pakatan Harapan menang PRU14 bukan atas dasar populariti Tun Dr. Mahathir Mohamad atau sesiapa saja; itu tidak relevan lagi buat masa ini!!


Masakini, adalah masa untuk semua dalam Pakatan Harapan merapatkan saf sesama kita ke arah menggembeling tenaga berkhidmat secara teramanah serta terbaik mungkin pada keseluruhan rakyat tanpa kira kaum!!


Berkhidmat dan bertungkus-lumus untuk kesejahteraan masa depan rakyat adalah elemen terpenting buat masa sekarang!!


Kita diberi mandat oleh rakyat malaysia untuk bina semula negara bukan untuk berbalah sesama sendiri atau pertikai di antara sesama kita!!


Seandainya, rumusan kajilidik invoke menyatakan Pakatan Harapan menang pru14 bukan kerana faktor populariti Tun Dr. Mahathir Mohamad; itu hak beliaulah untuk nak bercakap sedemikian rupa!!


Tetapi saya nak tanya Rafizi Ramli adakah kajian invoke ini menyeluruh?! Berapa jumlah responden yang dikajiselidik?! 


Boleh saya tahu berapa peratus responden yang ditemui oleh invoke secara perbandingan dengan jumlah keseluruhan rakyat malaysia?!


Yang saya perhatikan banyak juga keputusan-keputusan kajian invoke tidak tepat!!


Kadang kala keputusan kajian invoke juga tidak konsisten!!


Sesungguhnya, saya hormati Rafizi Ramli tetapi sejak kebelakangan ini saya nampak beliau macam emosional sikit!! Tak tahu lah mengapa?!


Beliau kena kurang bercakap yang tidak memunafaatkan kerajaan Pakatan Harapan!!


Insya-Allah, saya akan sarankan pada YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri untuk mempertimbangkan memberi satu jawatan penting kepada Rafizi Ramli agar beliau lebih fokus bekerja ke arah membantu kerajaan Pakatan Harapan membina semula negara kita yang parah dirosakkan oleh najib tun razak!!


Apapun, Rafizi Ramli layak menjawat jawatan penting dalam kerajaan Pakatan Harapan kerana sumbangan beliau selama ini agak signifikan!! 


Ini saya tidak nafikan sama sekali!!


Cuma Rafizi Ramli jangan kelihatan terlalu emosional hingga setiap ungkapan kenyataan beliau kelihatan tidak selari dengan semangat solidariti Pakatan Harapan masakini!!


KHAIRUDDIN ABU HASSAN

Ajk Biro Komunikasi Dan Mobilisasi PH

29 Mei 2018

ORANG MUDA SUKA JIKA NAJIB TERIMA HUKUMAN....


Berbual-bual dengan anak-anak muda yang pertama kali mengundi, tetapi belum mempunyai pekerjaan, kadang-kadang memberikan kita perspektif yang berbeza mengenai pemikiran mereka.


Memang golongan ini merupakan antara penyumbang kepada kejayaan Pakatan Harapan menumbangkan BN, tetapi tersingkirnya Najib Razak daripada persada kuasa seakan-akan belum lagi mencukupi bagi anak-anak muda itu.


Mereka kini tidak sabar menunggu bila lagi Najib akan didakwa serta apakah bentuk hukuman yang bakal diterimanya.


Kata mereka, Najib bukan saja patut disingkirkan dan seterusnya didakwa serta dihukum kerana skandal 1MDB atau kesalahan-kesalahan yang dilakukannya, tetapi bersekali dengan pembaziran dan kemewahan yang dilakukannya itulah yang menyebabkan mereka sukar mendapat pekerjaan sebaik tamat pengajian.


Mereka rata-ratanya gembira dengan tiada lagi Najib tinggal di Seri Perdana, sambil berharap selepas ini ada cahaya yang akan menyuluhi laluan masa depan mereka.


Pemikitan anak-anak muda ini nyata berbeza dengan kebanyakan golongan berusia yang merasakan apabila Najib telah dapat disingkirkan, ia sudah memadai bagi mereka.


Bagi mereka ini, setelah Najib tersingkir, cukuplah sekadar itu saja dan selepas ini biarlah anak Tun Razak itu menikmati kehidupan seperti rakyat biasa tanpa perlu diambil sebarang tindakan terhadapnya.


"Mana boleh...." kata anak-anak muda tersebut apabila dilontarkan pendapat bahawa kerajaan baru Pakatan Harapan tidak perlu mengambil apa-apa tindakan terhadap bekas Perdana Menteri itu.


"Disebabkan deretan skandal, selain pembaziran, kemewahan dan terlalu ramai lantikan politik yang dibuat Najiblah yang membuat kami susah mendapat pekerjaan sehingga sekarang.


"Beliau patut menerima hukuman atas perbuatannya," kata mereka lagi.


Persoalan sekarang, bila lagi Najib mahu dibawa ke mahkamah dan didakwa?


Jangan dibiar terlalu lama, nanti anak-anak muda mula kecewa!! (ShahbudinHusin 29/05/2018)

Monday 28 May 2018

"PAS, SILALAH TERUS BERMIMPI DI SIANG HARI!!"

1. Kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah yang tidak kisah PAS tidak menang di pusat dalam pilihan raya umum ke 14 kerana negara terlalu banyak berhutang menandakan lemahnya jiwa dan betapa kerdilnya semangat PAS  dalam menghadapi kemelut politik negara. 


Bahkan dalam nada bersahaja beliau merasakan lebih baik Pakatan Harapan (PH) memerintah sekarang selama lima tahun untuk menyelesaikan hutang sebelum PAS mengambil alih kerajaan pusat dalam PRU akan datang. 


2. Kenyataan beliau adalah jawapan mengapa PAS gagal menguasai negeri-negeri di Pantai Barat dan hanya mampu mentadbir Kelantan dan Terengganu sahaja. 


Mungkin daripada awal beliau dan pemimpin PAS sudah menghidu Pakatan Harapan (PH) akan memenangi Putrajaya lalu PAS mengambil langkah bersendirian dan tidak mahu bergabung kerana takutkan kemenangan yang menjadi sebab PAS menanggung bebanan hutang negara.


3. Saya amat hairan kenyataan seperti itu diungkapkan oleh seorang Naib Presiden sebuah parti Islam yang dianggap paling lama di negara ini. 


Tidakkah ini mencerminkan pemimpin PAS berfikiran pasif dan hanya mahu mengambil kesempatan terhadap politik negara daripada pihak lain tanpa berusaha membantu menyelesai masalah negara yang kronik dan rumit sekarang. 


Dalam maksud lain, PAS sebenarnya tidak tahu bagaimana menyelesai masalah negara dan tidak mahu menjadi sebahagian dari rakyat yang berusaha membangunkan negara tercinta hasil dari kerosakan oleh tangan-tangan pemimpin negara sebelum ini.  


Dalam keadaan rakyat banyak memberi input dan nasihat yang baik kepada kerajaan pasca PRU ke 14, PAS pula mengambil sikap berlepas diri dan beretorik politik.


4. Jika itulah kenyataan dan mentaliti pemimpin PAS, maka tidak hairan PAS tidak mampu melangkah jauh walaupun sudah berusia lebih daripada 60 tahun. 


PAS ketandusan pemimpin negarawan yang berjiwa besar dan memandang ke hadapan. Sepatutnya beliau memberi cadangan kepada kerajaan PH bagaimana mengembalikan negara di landasan sebenar, memulihkan ekonomi negara, membayar hutang-hutang negara, menghapuskan rasuah dan korupsi serta membebaskan semua agensi kerajaan yang ditekan selama ini. 


5. Sikap pemimpin PAS yang masih berdelusi ini amat memalukan rakyat. Jika beliau masih merasakan PAS akan mendapat sokongan terbanyak, dan akan memenangi Putrajaya lima tahun lagi dengan sokongan rakyat, silakan beliau terus bermimpi di siang hari. 


Kepada rakyat, ayuh kita bekerja bersama bagi membina semula negara, tinggalkan mereka yang hanya mahu bersenang lenang dan hanya tahu mengambil kesempatan atas usaha kita bersama selama ini. 


Nanti kita akan kenal siapa yang benar ikhlas bekerja untuk negara, dan siapa pula yang hanya mahu mengejar jawatan dan kedudukan untuk kepentingan diri.



DATO’ HJ MAHFUZ OMAR

Naib Presiden AMANAH 

Ahli Parlimen Pokok Sena

28 Mei 2018/12 Ramadzan 1439H.

WAJARKAH BAKAL PM KE-8 MAHU JADI PEMANTAU KEPADA KERAJAAN YANG SEDANG DIPIMPIN PM KE-7?


Ada semacam rasa pelik bila  Anwar Ibrahim memutuskan dirinya untuk menjadi pemantau kepada kerajaan Pakatan Harapan.


Meskipun alasannya untuk memastikan kerajaan pimpinan Tun Mahathir Mohamad dapat mentadbir negara dengan baik, Anwar juga sepatutnya sedar beliau adalah bakal Perdana Menteri yang akan diserahkan jawatan itu kepadanya oleh Tun Mahathir selepas ini.


Jadi, bagaimana bakal Perdana Menteri ke-8 boleh jadi pemantau kepada Perdana Menteri ke-7?


Adakah menjadi pemantau itu kerja yang sesuai bagi seorang bakal pengganti?


Mengapa Anwar tidak mahu menjadi penyumbang idea dan pendokong yang terbaik kepada kerajaan?


Bukankah dalam sistem demokrasi, lebih-lebih lagi Malaysia kini sedang menuju sistem dua parti dengan adanya Pakatan Harapan yang baru diluluskan dan BN sedia ada, tugas memantau itu sebenarnya adalah tanggungjawab BN yang mempunyai 79 kerusi di Parlimen?


Jika BN jadi pemantau dan Anwar juga jadi pemantau, apa jadi akhirnya?


Oleh kerana PKR adalah sebahagian daripada Pakatan Harapan dan Anwar juga sudah dimasukkan dalam keanggotaan Majlis Presiden Pakatan Harapan, tindakan mahu memantau itu sebenarnya lebih menimbulkan kejanggalan berbanding mahu memastikan keberkesanan kerajaan.


Ini kerana Anwar sedang berada dalam kedudukan yang boleh menyuarakan apa jua pandangannya secara langsung mengenai sebarang perkara berkaitan kerajaan Pakatan Harapan.


Jika sudah boleh menyuarakan pandangan secara langsung, selain isterinya sendiri, Dr. Wan Azizah Wan Ismail adalah Timbalan Perdana Menteri, apa perlunya lagi kerja-kerja pemantauan itu?


Anwar oh Anwar.... (ShahbudinHusin 28/05/2018)

Sunday 27 May 2018

KENAPA TIDAK NAJIB BERDEBAT SAJA DENGAN GUAN ENG?


Lim Guan Eng dan Najib Razak nampaknya terus terbabit dalam pertelingkahan terbuka, malah mungkin berpanjangan, khususnya berkaitan kedudukan ekonomi negara, kadar hutang dan juga 1MDB.


Apa saja yang diutara dan disebut oleh Guan Eng, pantas saja Najib menjawabnya, meskipun menteri-menteri lain hampir semuanya memilih untuk mendiam diri saja.

Sebagai bekas Menteri Kewangan, Najib dilihat begitu nipis telinganya terhadap pelbagai hujah dan fakta terbaru yang didedahkan oleh Menteri Kewangan sekarang.


Namun, semua pertelingkahan mereka hanyalah melalui media saja. Guan Eng melalui kenyataan akhbarnya, manakala Najib pula melalui media sosialnya.


Siapa benar dan siapa salah antara mereka berdua itu?

Bilakah pertelingkahan mereka akan berakhir?


Sebagai penyelesaian terbaik, apa kata  agar Guan Eng dan Najib berdebat saja secara terbuka dengan siarannya dipancarkan secara langsung ke seluruh negara?

Jika dulu Najib sering mengelak untuk berdebat dan beberapa kali program NothingToHide tidak menjadi kenyataan, setelah tiada lagi apa-apa jawatan dan bebanan, ketika inilah sebenarnya masa terbaik untuk beliau menunjuk keberaniannya.


Tapi, beranikah Najib?

Atau beliau lebih ketakutan dalam keadaan dirinya sekarang?


Habis, bila lagi Najib mahu jadi berani? (ShahbudinHusin 27/05/2018)

JIKA DUA TAHUN TAK MENCUKUPI, BAGI PELUANG TUN MAHATHIR JADI PERDANA MENTERI SELAGI MAMPU


Semua kita sedia maklum  dan memang mengikut perancangan, Tun Mahathir Mohamad dijangka hanya mahu menjadi Perdana Menteri untuk tempoh dua tahun saja.


Dalam tempoh dua tahun itu, Tun Mahathir merasakan beliau mempunyai masa yang mencukupi untuk menjalankan kerja-kerja menyelamatkan negara dan memulihkan ekonomi daripada pelbagai kerosakan yang diakibatkan oleh Najib Razak.


Selepas tempoh dua tahun itu, Tun Mahathir akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada pengganti yang dipersetujui oleh Pakatan Harapan iaitu Anwar Ibrahim.


Berikutan tempoh dua tahun itu dilihat agak suntuk, itulah sebabnya sejak mengangkat sumpah jawatan pada 10 Mei lalu kita melihat bagaimana Tun Mahathir amat bekerja keras hampir setiap hari di pejabatnya.


Beliau bukan saja menghabiskan banyak masa menghadiri pelbagai mesyuarat, bertemu pihak yang relevan dengan matlamat menyelamatkan negara, meneliti pelbagai fail serta dokumen, malah tidak terkecuali tentunya perlu juga memerah otak mencari idea-idea baru.


Itulah sebabnya kita melihat hari Sabtu dan Ahad pun beliau tetap datang bekerja seperti biasa.


Dalam usia mencecah 93 tahun, kesibukan dan komitmen Tun Mahathir sekarang ini barangkali melebihi apa yang dilakukannya ketika kali pertama menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum ini.


Semuanya dilakukan kerana beliau mahu menyelesaikan, kalau boleh semua perkara dalam tempoh dua tahun ini sebelum baton kuasa diserahkan kepada Anwar.


Tetapi, cukupkah tempoh dua tahun ini untuk Tun Mahathir dan bagaimana jika dalam tempoh itu, kerja-kerjanya masih banyak yang  tidak selesai?

Dalam hal ini, semua pihak dalam Pakatan Harapan seharusnya sedia berlapang dada untuk tidak terlalu mendesak agar Tun Mahathir sentiasa terikat dengan tempoh masa dua tahun itu.


Beliau mesti diberi kebebasan untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri dalam tempoh masa yang dapat memberi keselesaan kepadanya.


Jika tempoh dua tahun itu banyak perkara dapat diselesaikan dan Tun Mahathir sendiri berpuas hati dengan apa yang dilakukannya untuk negara, ia mungkin sesuai untuknya berundur dan menyerahkan kepada Anwar untuk mengggantinya.


Namun, kiranya dalam tempoh dua tahun nanti, masih ada perkara-perkara yang belum selesai, Pakatan Harapan harus melanjutkan tempohnya sehingga ke tiga tahun atau sampai ke pilihanraya umum yang seterusnya.


Salah seorang Ahli MPT Bersatu, Aziz Yassin bersetuju bahawa Tun Mahathir tidak harus diikat dengan tempoh masa tertentu dalam melaksanakan kerja atau tanggungjawabnya kepada negara ini.


Kata beliau, dalam tempoh tidak sampai 20 hari menjadi Perdana Menteri, walaupun sudah berusia 93 tahun, tetapi Tun Mahathir telah menunjukkan kecemerlangan dan komitmen serta melakukan tindakan yang tidak mungkin mampu dilakukan oleh mana-mana pemimpin lain, termasuk Anwar, Muhyiddin atau sebagainya.


"Sekiranya beliau masih sihat, mampu dan ada keinginan untuk terus berkhidmat kepada negara dalam tempoh yang lebih lama daripada dua tahun, ruang itu harus diberikan kepadanya.


"Lagi pula, jika lebih lama Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, ia membawa lebih kebaikan untuk rakyat dan negara, apa salahnya!" kata Aziz yang juga merupakan abang kepada Muhyiddin.


Dalam hal ini, yang tidak kurang pentingnya ialah Anwar dan para penyokongnya juga harus lebih banyak bersabar dan tidak terlalu mendesak agar Tun Mahathir perlu memenuhi tempoh masa dua tahun itu.


Anwar dan para penyokong beliau, sebaliknya mesti memberi sokongan yang sepenuh-penuhnya kepada Tun Mahathir dalam usaha memulihkan negara ini dan penuh yakin bahawa kerusi Perdana Menteri selepas ini memang disediakan untuknya.


Cumanya, oleh kerana isteri beliau, Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika ini sudah pun menjadi Timbalan Perdana Menteri, kemasukan Anwar ke dalam kabinet dengan sendirinya akan menyebabkan isterinya perlu berundur.


Sebaik-baiknya ialah Anwar harus mengambil alih tempat Dr. Wan Azizah di Pandan dan kemudian dijadikan Timbalan Perdana Menteri, sebelum langkah seterusnya ialah mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir.


Masalahnya, selain Dr. Wan Azizah baru sangat menjadi Timbalan Perdana Menteri, tindakan beliau mengosongkan kerusi Pandan semata-mata untuk memberi laluan kepada suatu pilihanraya kecil dan Anwar bertanding di situ barangkali juga tidak disenangi oleh rakyat kerana dianggap suatu pembaziran.


Ia bagaimanapun mungkin selesai jika ada mana-mana Ahli Parlimen PKR yang meninggal dunia dalam tempoh terdekat ini dan Anwar dipilih untuk mengisinya.


Begitu pun, jika dengan itu ia membuatkan Anwar ada laluan untuk menjadi pengganti Tun Mahathir, mahu tidak mahu Dr. Wan Azizah perlu digugurkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri yang sedang dipegangnya sekarang.


Adalah tidak manis jika Anwar dan Dr. Wan Azizah sebagai suami isteri berada dalam kabinet pada waktu yang sama, malah sebelum ini pun mereka bertukar ganti menduduki kerusi Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang.


Tidak simpatikah Anwar kepada Dr. Wan Azizah yang hanya berpeluang berkhidmat kepada kerajaan dalam tempoh yang sesingkat dua tahun saja?


Tidakkah lebih baik jika penggal perkhidmatan Dr. Wan Azizah berakhir sehingga PRU15 di mana ketika itu bukan saja beliau boleh berundur dengan senang hati sama ada sebagai Timbalan Perdana Menteri ataupun Ahli Parlimen Pandan, malah Tun Mahathir juga dipercayai turut selesa untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar berikutan banyak kerja-kerjanya untuk negara telah dapat diselesaikan? (ShahbudinHusin 27/05/2018)

Saturday 26 May 2018

BAGAIMANA NAK BERI KERJASAMA JIKA SUDAH LARI KE LUAR NEGARA?


Mula-mula diberitakan Musa Aman sudah melarikan diri ke London. Beliau dipercayai pergi melalui Brunei beberapa hari lalu sebelum pihak Imigresen sempat menyekat namanya.


Peguamnya pula dilaporkan enggan memberi kerjasama kepada pihak SPRM yang ingin menggeledah kediaman bekas Ketua Menteri Sabah itu.

Terbaru Musa Aman dilaporkan sedia memberi kerjasama kepada SPRM yang ingin memasuki rumahnya bagi tujuan penggeledahan itu.


Soalnya, di mana Musa Aman sekarang ini?


Bagaimana beliau mahu bekerjasama  dengan SPRM jika masih berada di luar negara?

Pulanglah bah....


Jangan cakap saja sedia bekerjasama tapi masih takut untuk pulang ke negara sendiri.


Jika yakin tidak salah, buat apa lari ke luar negara? (ShahbudinHusin 26/05/2018)

SELEPAS KEDIAMAN NAJIB DAN RUMAH AZEEZ DIGELEDAH, GILIRAN SIAPA SELEPAS INI?


Selepas kediaman Najib Razak dan dua kondo mewah anaknya digeledah polis dan kemudian rumah bekas Pengerusi Tabung Haji, Abdul Azeez Rahim pula diserbu SPRM, sudah pasti ramai bekas menteri dan bekas pengerusi GLC yang lain mula tidak lena tidur sekarang ini.

Lebih-lebih lagi bagi yang diketahui umum mengamalkan gaya kehidupan mewah, pernah disiasat atau sudah ada fail yang dibuka, barangkali melihat kereta polis dari kejauhan pun sudah berpeluh dingin dibuatnya.

Dengan antara lain manifesto Pakatan Harapan dalam tempoh 100 hari ialah untuk menyiasat skandal yang berlaku dalam 1MDB, Felda, Mara, Tabung Haji dan lain-lain serta merombak struktur kepimpinan di semua agensi tersebut, apa yang dilakukan oleh kerajaan baru ini tidaklah boleh dianggap sebagai membalas dendam.

Ia sebaliknya adalah komitmen dan kerana komitmen itulah juga rakyat memberi undi serta kemenangan kepada Pakatan Harapan.

Maknanya, kerajaan baru pimpinan Tun Mahathir Mohamad tiada pilihan lain selain menunaikan komitmen itu dengan penuh tanggungjawab serta mencari hingga ke akar umbi semua orang yang dipercayai ada terkait dengan apa jua skandal wang rakyat.

Rakyat sebenarnya sudah letih melihat bagaimana wang rakyat di era BN dahulu dirombak dan dicuri dengan pelbagai cara. Ada yang dilakukan dengan meluluskan projek yang dinaikkan harganya, membeli, syarikat, hotel atau hartanah di luar negara, juga dengan harga berlipat kali ganda, melalui pelaburan dalam saham amanah yang komisennya masuk ke dalam beg tangan isteri, tajaan bola dan macam-macam cara lagi.

Apa pun bentuk dan caranya, semua itu adalah kedurjanaan yang tidak harus dimaafkan.

Dahulu, ketika era BN, semua itu mungkin boleh ditutup atau dilindungi dengan mereka yang terbabit bertindak lebih kerap mengampu atau mencium tangan pemimpin dan isterinya, tetapi kerajaan baru ini mesti berbeza dengan sebelumnya.

Tindakan, penyiasatan dan hukuman harus dimulakan dengan segera. Tidak kira bekas menteri atau pengerusi GLC, bergelar Datuk Seri atau Tan Sri, keadilan mesti ditegakkan dengan tidak mensia-siakan undi serta sokongan yang rakyat telah berikan kepada Pakatan Harapan.

Jika di kondo mewah anak Najib ada beratus juta ringgit ditemui, begitu juga beratus ribu dijumpai di rumah Abdul Azeez, jangan terkejut jika di rumah beberapa bekas menteri dan pengerusi GLC lain juga akan ditemui wang tunai, barangan kemas atau himpunan beg tangan mewah yang banyak jumlahnya.

Jika tidak pun, sudah tentu semua mereka itu memiliki rumah yang besar dan himpunan kereta mewah yang ikut logiknya tidak sepadan pun dengan gaji atau pendapatan bulanan mereka.

Maknanya, daripada manakah segala sumber kekayaan itu diperolehi?

Apabila UMNO dan BN kalah dalam pilihanraya 9 Mei lalu, ini bermakna soal menang atau kalah bukan lagi mustahil bagi mana-mana parti. UMNO bukan lagi keramat dan jasa-jasa BN tidak lagi melekat di hati rakyat jika keburukan pemimpinnya sudah terlalu ketara dan membuatkah rakyat "berbulu mata" melihatnya.

Dalam pilihanraya akan datang mungkin Pakatan Harapan akan kalah lagi atau boleh jadi BN mampu berkuasa semula. Pilihan siapa yang akan menjadi kerajaan benar-benar di tangan rakyat berdasarkan prestasi dan perangai para pemimpinnya.

Rakyat kini adalah raja di Malaysia.

Oleh itu, tindakan yang diambil kepada bekas-bekas menteri atau pengerusi GLC ini berdasarkan jika mereka ada melakukan kesalahan, ia juga adalah peringatan kepada menteri-menteri yang sedang berkhidmat sekarang dan buat pemimpin GLC yang bakal dilantik nanti.

Kiranya mereka cuai, terpana dengan kuasa atau wang haram, suka kepada kemewahan, jika kerajaan berubah lima tahun akan datang, maka giliran merekalah pula menerima nasib buruk itu.

Pokoknya, siapa pun yang berbuat salah akan lebih mudah untuk diadili dan dijatuhkan hukuman melalui kerajaan yang boleh bertukar ganti sekarang ini.

Akhirnya, sekali lagi, rakyatlah yang tetap menjadi raja di mana mereka boleh menaik atau menjatuhkan sesiapa yang dikehendaki. (ShahbudinHusin 26/05/2018)

Friday 25 May 2018

POLIS MESTI SIASAT SEGERA DUA ANAK NAJIB DAN JANGAN LUPA CARI JUGA DI MANA RIZA AZIZ BERADA


Pihak polis akhirnya mengesahkan jumlah wang tunai yang dirampas daripada kondo mewah yang dipercayai ada kaitan dengan Najib Razak ialah berjumlah RM114 juta.

Wang tersebut terkandung dalam 35 daripada 72 beg yang telah dirampas oleh pihak polis sebelum ini.

Wang berjumlah RM114 juta tersebut, selain dalam ringgit Malaysia, turut juga ditemui dalam 26 matawang asing yang lain.

37 beg lain yang dirampas pula adalah mengandungi barangan kemas dan intan berlian yang belum ditentukan lagi jumlahnya. 

Difahamkan, pihak polis akan mula membuat penilaian harga mengenai barangan kemas dan intan berlian itu pada Isnin depan.

Dalam masa yang sama, pihak polis juga mengesahkan dua daripada tiga kondo mewah yang didalamnya ditemui 72 beg mengandungi wang tunai dan barangan kemas serta 284 kotak berisi beg tangan mewah itu adalah dimiliki oleh anak-anak Najib iaitu Nooryana dan Norashman.

Sebuah lagi kondo yang digeledah adalah milik seseorang bergelar Tan Sri yang tidak didedahkan identitinya.

Dengan pengesahan pihak polis bahawa dua kondo itu adalah milik anak-anak Najib, kemungkinan paling besar ialah wang tunai yang ditemui bukanlah dana atau derma pilihanraya sebagaimana yang didakwa sebelum ini.

Najib sendiri ada membuat laporan polis mendakwa wang tersebut adalah derma pilihanraya dan ia dalam proses mahu diserahkan kepada kepimpinan baru UMNO setelah beliau meletakkan jawatan.

Semalam pula, Zahid Hamidi yang kini memangku jawatan Presiden UMNO meminta pihak polis memulangkan wang tersebut dengan alasan ia diperlukan untuk kegunaan memulihkan semula parti.

Soalnya, bagaimanakah wang derma yang mahu diserahkan kepada parti, tetapi disimpan di kondo anak-anaknya?

Dalam hal ini, pihak polis harus segera menyiasat kedua-dua anak Najib itu untuk mengetahui kebenaran mengenainya.
Anak perempuan Najib yang merupakan pemilik kondo mewah di Pavilion Residences,  Nooryana dipercayai sudah berlepas ke Indonesia pada 11 Mei lalu bersama suami dan anak lelakinya. 

Di mana beliau berada ketika ini - masih di Indonesia atau sudah berlepas ke Kazashtan - tidak dapat dipastikan lagi.

Seorang lagi anak Najib yang juga pemilik kondo mewah di Pavilion Residences, Norashman tidak diketahui di mana beradanya ketika ini.

Tetapi, dengan pihak polis segera menyiasat dan mengambil keterangan daripada kedua-dua anak Najib, kedudukan sebenar wang itu sama ada ia derma pilihanraya atau duit haram, pasti akan dapat diketahui.

Juga akan diketahui sama ada Najib membuat laporan polis palsu atau sebaliknya.

Oppsss...seorang lagi anak Najib, tetapi anak tirinya yang bernama Riza Aziz dan merupakan kawan baik Jho Low dan disebut di merata-merata namanya dalam skandal 1MDB, harus juga pihak polis segera mencari dan menyiasatnya.

Jangan sesekali dilepaskan pendurjana ini!!! (ShahbudinHusin 25/05/2018).

POLIS, JANGAN LAYAN PERMINTAAN ZAHID HAMIDI INI!!!


Sebagaimana yang dilaporkan media, Pemangku Presiden UMNO, Zahid Hamidi meminta pihak polis memulangkan wang yang dirampas oleh pihak polis dari kondo mewah yang didiami oleh anak Najib Razak yang dikhabarkan berjumlah RM130 juta.

Alasan Zahid berbuat demikian ialah kerana mendakwa wang tersebut merupakan lebihan daripada sumbangan dana kempen pilihanraya umum yang lalu.

Kata beliau lagi, UMNO amat memerlukan wang tersebut bagi keperluan membina semula parti yang baru kalah dan hilang kuasa baru-baru ini.
Hello Zahid Hamidi, benarkah wang tersebut merupakan lebihan  dana kempen pilihanraya?

Jika ia merupakan dana pilihanraya, mengapakah wang itu tidak ditemui di kediaman peribadi Najib di Jalan Duta atau di Seri Perdana?

Mengapakah ia ditemui di kondo mewah anaknya?

Kalau ia dana pilihanraya juga, mengapa Najib tidak menyerahkan lebihan wang itu kepada Bendahari UMNO atau menyimpannya di ibu pejabat UMNO?

Persoalan juga, jika ia dana pilihanraya, mengapakah wang tersebut antaranya dalam bentuk 26 matawang asing?

Mengapakah wang itu ditemui bersama barangan kemas dan intan bernilai yang dianggarkan bernilai RM200 juta serta bersama 284 kotak berisi beg tangan mewah yang juga nilainya berjuta-juta di dua kondo milik anaknya?

Adakah ia sengaja disorokkan di situ atau mahu dibawa lari ke mana-mana benua lain, tetapi hajat itu tidak kesampaian berikutan Tun Mahathir Mohamad lebih cekap dengan dulu menyekat Najib dan Rosmah daripada meninggalkan negara?

Tak mahukah Zahid Hamidi menuntut sekali intan berlian dan beg tangan mewah yang turut dirampas polis itu?

Sebenarnya adalah memalukan apabila Zahid Hamidi mahu menuntut wang tersebut serta mendakwa ia merupakan lebihan dana pilihanraya, sedangkan Najib diketahui umum terpalit dengan skandal mega 1MDB yang menjadi buah mulut di seluruh dunia serta sedang disiasat berkaitan penggubahan wang haram.

Lagi pun, Najib sendiri hanya setelah beberapa hari wang tersebut dirampas oleh polis, barulah beliau mendakwa ia merupakan derma atau dana pilihanraya yang tidak digunakan.

Kenapa tidak awal-awal lagi mengatakan ia derma pilihanraya?
Bagaimana agaknya jika Najib dan Rosmah sempat meninggalkan negara dengan jet peribadi kenalannya yang dipercayai dari Indonesia beberapa hari setelah kehilangan kuasa tempoh hari, adakah mungkin masih ditemui wang berjuta-juta tersebut?

Dalam hal ini, adalah lebih terpuji jika Zahid Hamidi berdiam diri saja dan menyerahkan sepenuhnya kepada penyiasatan pihak polis untuk menentukan kedudukan sebenar wang tersebut.

Dengan meminta pihak polis memulangkan wang tersebut atas alasan ia merupakan derma pilihanraya, walhal siasatan polis belum berakhir lagi, Zahid Hamidi yang baru dilantik menerajui UMNO, dilihat tidak bebas serta masih terkongkong untuk membela serta mempertahankan Najib, bekas bossnya itu.

Cakap-cakap kedai kopi sudah mula kedengaran, jangan-jangan apabila wang itu dikembalikan nanti, ia akan diserahkan semula kepada Najib.

Oleh itu, lebih baik pihak polis jangan layan sama sekali permintaan Zahid Hamidi ini.

Lagi pun, mustahil Zahid Hamidi tidak mempunyai dana sendiri atau tidak mampu untuk menguruskan UMNO!! (ShahbudinHusin 25/05/2018).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...