Thursday, 19 July 2018

PENYEBARAN BERITA PALSU LEBIH MENGGILA SELEPAS UMNO TIADA LAGI KUASA


Ketika era pemerintahan BN, penyebaran berita palsu, adu domba, fitnah dan penyelewengan fakta boleh dikata dapat ditemui setiap hari melalui media-media arus perdana dan saluran televisyen tertentu.


Betapa meluatnya rakyat kepada perkembangan itu sehingga ramai yang akhirnya membuat keputusan tidak lagi mahu membeli akhbar-akhbar serta menonton televisyen.


Akbatnya jualah akhbar merosot dengan teruk dan siaran berita televisyen tidak lagi ditonton. Syarikat media rugi berjuta-juta dalam setahun, tetapi oleh sebab masih dipayungi oleh UMNO sebagai kerajaan, mereka terus dapat beroperasi seperti biasa.


Tetapi, dengan tumbangnya BN, akhbar arus perdana dan saluran televisyen tertentu tidak lagi berani menjadi penyebar berita palsu, adu domba, fitnah mahupun penyelewengan fakta seperti dahulunya.


Mereka tiba-tiba menjadi lunak dan mula memberi tempat kepada berita-berita baik mengenai apa yang diperkatakan oleh Tun Mahathir dan lain-lain pemimpin Pakatan Harapan.


Individu tertentu yang selama ini kerap menghiasi dada akhbar dan televisyen dengan fakta karut, syak wasangka dan firnah semberono menyerang Tun Mahathir juga turut tidak kelihatan lagi kemunculannya.


Kalau ada pun cubaan mengadu domba dan menyeleweng fakta, kadarnya hanya di tahap paling minima dan sipi-sipi saja. Berita-berita palsu dan fitnah hampir tiada lagi kerana pemilik akhbar dan televisyen berkenaan sedar risiko yang bakal dihadapi jika mereka terus berperangai buruk seperti dahulu.


Perubahan itu bukan saja seiring kerana media arus arus perdana dan saluran televisyen berkenaan sedar tauke mereka adalah UMNO, manakala kerajaan yang berkuasa adalah Pakatan Harapan, tetapi juga disebabkan peneraju media-media terbabit ramai yang sudah ditamatkan perkhidmatan atau diminta meletakkan jawatan.


Semua itu memberi erti bahawa media arus perdana dan saluran televisyen tertentu itu tahu dan sedar perangai buruk dan kesalahan mereka selama ini.


Kiranya tiada apa-apa yang ditakut atau dibimbangi, mereka seharusnya terus mengekalkan ketua pengarang atau pengawal bilik berita yang sama, meskipun kerajaan bertukar kerana hakikatnya pemilikan atau syarikat akhbar arus perdana atau saluran televisiyen itu tidak pun berubah dan kekal dipunyai oleh UMNO.


Walaupun demikian, penyebaran berita palsu oleh pemain media sosial pro UMNO dan BN yang kini sudah menjadi pembangkang sebenarnya tidaklah terhenti begitu saja.


Cuma, ia sudah bertukar daripada media arus perdana dan saluran televisyen kepada medium media sosial. Sebab itu, kebelakangan ini begitu kerap tersebar petikan berita atau tangkap layar yang kononnya merupakan kenyataan pemimpin-pemimpin tertentu Pakatan Harapan yang disebarkan secara meluas menggunakan logo portal-portal berita bebas tertentu.


Antaranya yang dikesan sebelum ini ialah mengenai isu Raja, Melayu dan Islam, kandungan manifesto, berkaitan cukai SST serta kadarnya, tempoh lupus kenderaan dan macam-macam lagi. 


Hampir saban hari, tatap saja media sosial, pasti terjumpa berita palsu yang pro kepada UMNO dan BN. Tahapnya makin rancak dan kerap. Ia hampir sama dengan dulu di mana selak saja akhbar atau buka televisyen, tidak lain akan kedapatan penuh dengan berita palsu, fitnah, adu domba dan menyeleweng fakta yang memburuk-burukkan Pakatan Harapan.


Semua berita palsu itu yang kononnya merupakan kenyataan pemimpin-pemimpin tertentu, tetapi tidak pernah diucapkan, disebarkan secara meluas melalui media sosial tidak lain dengan tujuan untuk mengelirukan rakyat dan mencambahkan kebencian terhadap kerajaan baru Pakatan Harapan.


Pengendali dan pemain media sosial pro UMNO dan BN kini sedar media arus perdana serta saluran televisyen tertentu tidak boleh lagi digunakan untuk perkara-perkara buruk seperti itu. Media tersebut seolah-olah sudah jadi baik, tetapi kejahatan menyebarkan berita palsu disandarkan pula kepada media sosial.


Petunjuknya cuma satu, menyebar berita palsu, fitnah, adu domba dan menyeleweng fakta bukan saja tidak dapat dipisahkan daripada UMNO dan BN, malah tahapnya makin menggila setelah mereka menjadi pembangkang sekarang ini.


Ia berbeza dengan pemain media pro Pakatan Harapan yang dulu hanya menumpu kepada menyerang kredibiliti, mendedah penyelewengan, mengkritik dan mengapungkan kebenaran bagi kefahaman rakyat betapa buruknya cara pemimpin UMNO dan BN mentadbir negara selama ini.


Itulah yang akhirnya menyedarkan rakyat untuk berani membuat perubahan dan menumbangkan BN.


Malah hari ini, setelah menjadi kerajaan, pemain media sosial pro Pakatan Harapan terus berpaksikan  perjuangan kebenaran seperti dulu, bahkan sama sibuk menangkis berita-berita palsu yang disebarkan oleh mereka yang pro UMNO dan BN dengan tujuan rakyat tetap mengetahui kebenaran di penghujungnya. (ShahbudinHusin 19/07/2018)

Wednesday, 18 July 2018

ZAHID HAMIDI MASIH TAK SEDAR DIRI....


Zahid...zahid....bilalah nak sedar diri?

Dan mengapa masih tidak mahu menerima realiti?

Jika benar legasi buruk Tun Mahathir Mohamad yang menjadi punca kekalahan BN, bagaimanakah beliau masih mampu mencipta kejayaan buat Pakatan Harapan dan berjaya menjadi Perdana Menteri buat kali kedua?

Kenapa rakyat tidak takut dan masih mempercayai Tun Mahathir untuk menyelamatkan negara kalau benar legasi yang ditinggalkannya terlalu buruk?

Sebagai Ketua Pembangkang, Zahid Hamidi seharusnya bercakap berdasarkan  fakta dan realiti bahawa Najib Razak adalah beban paling utama bagi UMNO dan BN sehingga membawa kekalahan parti itu.

Janganlah merapu tak tentu hala. Fakta tetap fakta.

Tanpa Najib, Rosmah Mansor, Jho Low dan 1MDB, UMNO dan BN mungkin masih berkuasa lagi pada hari ini.

Apa yang Zahid Hamidi takut sangat untuk mengakui perkara itu? (ShahbudinHusin 18/07/2018)

ADAKAH INI PETANDA AZMIN AKAN MENCABAR ANWAR?


Wanita PKR menyambut baik hasrat Anwar Ibrahim untuk bertanding jawatan presiden dalam pemilihan akan datang, namun mengingatkan agar parti bersedia "menjulang prinsip demokrasi" sekiranya jawatan tertinggi parti itu dicabar.


Jelas ketuanya, Zuraida Kamaruddin, PKR perlu menjuarai isu demokrasi yang diperjuangkan selama 20 tahun dan ia perlu bermula dari kalangan pemimpin parti itu sendiri.


"Peranan beliau (Anwar) dan  Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku pencetus agenda perubahan hampir 20 tahun lalu tentulah tidak dapat disangkal mana-mana pihak.


"Pasca pilihan raya umum ke-14 menyaksikan PKR telah pun menjadi parti terbesar dalam kerajaan, ia juga membawa bersama perubahan dalam struktur kepimpinan parti serta dinamika yang berbeza dari sebelumnya.


"Dalam pada tawaran Anwar diterima dengan terbuka, parti juga harus bersiap-siaga menjulang prinsip demokrasi dalam menghirup udara segara Malaysia baru yang diamanahkan oleh rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.


Dalam menyatakan hal itu, Zuraida turut menyorot "kecemerlangan" pentadbiran Selangor dan kepimpinan bekas menteri besarnya, Azmin Ali.


Kata Zuraida, PKR mempunyai ramai pemimpin berkelayakan yang teruji kesetiaannya, berkarisma dan mempunyai rekod cemerlang dalam pentadbiran.


"Tidak boleh disangkal lagi bahawa tatakelola dan kecemerlangan kerajaan Selangor menjadi antara penyumbang signifikan kepada keyakinan rakyat dalam melihat model pemerintahan Malaysia baru.


"Keyakinan inilah yang menyebabkan BN yang berusi 61 tahun mampu ditumbangkan.


Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara watak pimpinan yang dinamik dan dilihat mampu menggalas tanggungjawab kepimpinan.


"Telah dibuktikan dalam pentabdiran kerajaan Selangor terdahulu, peranan terkini beliau yang memegang portfolio kanan kerajaan selaku menteri hal ehwal ekonomi membuktikan lagi sumbangan beliau bakal memberi impak positif dalam bersama-sama mengemudi bahtera PKR yang kita cintai," katanya lagi.


Zuraida yang merupakan Ahli Parlimen Ampang turut mengingatkan bahawa PKR "berbeza" dengan Umno yang sering menyaksikan jawatan tertinggi parti mereka tidak ditandingi.


"Justeru, Wanita PKR menegaskan bahawa di samping menerima baik tawaran Anwar bertanding jawatan presiden, parti juga perlu menghormati perlembagaan parti dalam hal membuka ruang pertandingan mana-mana jawatan tanpa sebarang usaha sekatan.


“We must walk the talk, kita perlu lakukan apa yang kita laungkan," katanya.


Berdasarkan kenyataan Zuraida ini, adakah ia merupakan bayangan atau petanda terbaru bahawa Azmin akan mencabar Anwar bagi jawatan Presiden PKR?


Kenapa jadi begitu?


Adakah Azmin akan mencabar Anwar berikutan khabar-khabar yang berlegar mengatakan Anwar sedang menyiapkan seseorang yang lain untuk melawan Azmin bagi jawatan timbalan presiden?


Jika kedudukan Azmin sebagai timbalan presiden tidak dilawan, untuk apa beliau mencabar Anwar?


Apakah Anwar dan Azmin sebenarnya sedang bersaing merebut jawatan Perdana Menteri selepas Tun Mahathir? (ShahbudinHusin 18/07/2018)

Tuesday, 17 July 2018

ORANG UMNO MENCATUR KUASA DALAM KERAJAAN PAKATAN HARAPAN?


Sejak Pakatan Harapan ada kuasa dan menjadi kerajaan, bukan saja mereka yang merupakan ahli dan penyokong parti-parti dalam gabungan itu yang sibuk mencatur kuasa, rupa-rupanya orang UMNO pun tidak ketinggalan sama.


Di sebalik ada yang masih setia dengan UMNO atau menyalahkan Najib Razak sebagai punca utama UMNO kehilangan kuasa, terdapat juga ahli-ahli parti itu yang sudah berwajah dua.


Dalam beberapa insiden,  ada yang tanpa segan silu mendakwa bahawa mereka sebenarnya menyokong Pakatan Harapan secara diam-diam dalam pilihanraya lalu, meskipun masih lagi berstatus ahli UMNO sehingga kini.


Konon katanya, apa yang mereka lakukan selama ini adalah dalam pengetahuan Tun Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri memang merestui tindakan mereka.


Lebih daripada itu, mereka juga mendakwa sokongan ahli-ahli UMNO terhadap Pakatan Harapan  seperti merekalah yang sebenarnya banyak menyumbang kepada kemenangan gabungan itu sehingga berjaya mengalahkan UMNO dan BN.


Tidak kurang, ada juga orang UMNO yang ketika ini asyik memuji-muji kehebatan Tun Mahathir di mana-mana, asal saja mereka ada peluang bercakap dan menonjolkan diri, meskipun mereka sebelumnya selalu mengambil pendirian mempertahankan UMNO dan BN.


Di antara mereka itu, ada juga yang mendakwa selalu menghantar maklumat penting secara terus kepada Tun Mahathir melalui aplikasi whatsapp sebagai menunjukkan betapa rapatnya hubungan mereka dengan Perdana Menteri ke-7 sekarang.


Pengakuan itu malah membuatkan seseorang yang rapat dengan Tun Mahathir agak terkejut kerana sepanjang pengetahuannya, sama ada sebelum ini atau setelah menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, Tun Mahathir bukanlah seorang diketahui aktif berhubungan dengan orang lain melalui whatsapp.


Namun, yang paling menarik ialah ada di kalangan mereka yang sebelum ini diketahui pernah bekerja dengan menteri UMNO juga turut cuba tumpang semangkuk mencatur kuasa dalam kerajaan baru ini.


Mereka ini mula berkawan rapat dengan individu tertentu yang diketahui rapat dengan menteri-menteri Pakatan Harapan, lalu dalam waktu yang sama mencadangkan agar orang-orang pilihan mereka untuk diletakkan bekerja dengan menteri-menteri berkenaan sama ada sebagai setiausaha politik, pegawai khas dan sebagainya.


Matlamat mereka ini lebih kepada perniagaan. Dengan meletakkan orang-orang pilihan di kementerian-kementerian tertentu, mereka berharap akan terus dapat membolot kontrak dan peluang-peluang perniagaan sebagaimana ketika era pentadbiran BN sebelum ini.


Tak malukah mereka itu?


Yang nyata, belum 100 hari UMNO kehilangan kuasa, semakin ramai ahli-ahli parti itu yang mula resah dan bimbang tentang masa depan yang mungkin tidak lagi seceria berbanding ketika BN berkuasa dahulu.


Bayangkan bagaimana gelagat mereka menjelang enam bulan, setahun atau dua tahun akan datang? 


Tungguuu....mungkin tulisan ini ada sambungannya lagi selepas ini. (ShahbudinHusin 17/07/2018)

BEZA MANIFESTO PH DENGAN MANIFESTO PH


Secara umumnya, manifesto bermaksud suatu pernyataan bertulis, janji  atau perancangan masa depan yang dikemukakan oleh sesebuah parti bagi mendapat sokongan rakyat dalam sesuatu pilihanraya yang mana ia akan dilaksanakan setelah kemenangan dapat dicapai.


Sekali imbas, manifesto seolah-olah wajib dilaksanakan kerana ia merupakan janji yang dikemukakan kepada rakyat dan setelah rakyat memberi kemenangan, maka rakyat berhak menerima apa yang dijanjikan itu.


Meskipun begitu, seperti kata Tun Mahathir Mohamad, manifesto bukanlah kitab suci yang sesebuah parti terikat 100 peratus untuk melaksanakannya.


Ia, kata beliau, hanyalah sebagai panduan semata-mata yang bermakna perlaksanaannya boleh diubahsuai berdasarkan kesesuaian atau kemampuan sebuah parti itu.


Dalam konteks BN dan PH, pembentangan manifesto sebenarnya harus dilihat dalam sudut yang berbeza.


Ketika BN membentangkan manifestonya, mereka adalah kerajaan di mana ketika itu mereka mengetahui tahap kemampuan dan status kewangan negara sama ada sesuatu yang dijanjikan itu boleh dilaksanakan atau sebaliknya.


Misalnya, jika BN menjanjikan untuk menurunkan harga kereta, ia bermakna ketika janji itu dikemuka atau dibentangkan kepada rakyat, mereka tahu ia memang boleh dilaksanakan dengan cara menurunkan cukai-cukai tertentu yang diyakini tidak menjejaskan kewangan negara.


Dalam erti kata lain, jika BN yang merupakan kerajaan ketika manifesto dibentangkan, tetapi janji menurunkan harga kereta itu gagal ditunaikan setelah sokongan rakyat diperolehi, mereka boleh dianggap sebagai mungkir janji atau dalam bahasa kasar sikit - pembohong besar.


Apabila Najib Razak mengatakan manifesto adalah janji yang mesti ditunaikan, ia sebenarnya lebih tepat untuk merujuk kepada BN yang merupakan sebuah kerajaan ketika manifesto itu dirangka.


Sebalik itu, manifesto adalah berbeza bagi PH yang merupakan pembangkang ketika mereka menyertai pilihanraya pada 9 Mei lalu.


Ketika PH mengemukakan manifesto atau janjinya kepada rakyat, mereka tidak banyak tahu mengenai kedudukan kewangan negara atau tahap kemampuan sebenar untuk janji itu sama ada dapat dilaksanakan 100 peratus atau sebaliknya.


Apa yang dibentangkan lebih merupakan iltizam atau keyakinan bahawa apa yang dijanjikan itu adalah baik dan bermanfaat buat rakyat.


Hanya setelah mendapat sokongan rakyat dan menjadi kerajaan, barulah PH tahu tahap kemampuan dan kedudukan sebenar kewangan negara. Ketika itu jugalah, baru diketahui ada fail sulit, fail merah, fail tersembunyi dan sebagainya.


Setelah menjadi kerajaan juga, barulah PH tahu tahap sebenar hutang negara, kos sesuatu projek mega yang digembar-gemburkan BN sebelum ini, malah barulah juga diketahui bagaimana "kong kali kongnya"  pengurusan ekonomi dilakukan di mana ada projek yang baru 13 peratus siap pun sudah boleh dibayar sehingga 90 peratus.


Semua itu adalah halangan atau kekangan yang menimbulkan masalah kepada PH dalam menunaikan semua janji-janjinya kepada rakyat. 


Meskipun demikian, oleh kerana ia merupakan janji, PH tetap seboleh mungkin cuba melaksanakannya, tetapi oleh kerana adanya kekangan kewangan atau halangan tertentu, ia terpaksa diubahsuai atau memerlukan tempoh tertentu untuk dilaksanakan.


Dalam soal perlantikan speaker, meskipun PH berjanji untuk melantik daripada kalangan Ahli Parlimen, tetapi oleh kerana ada masalah tertentu, ia tidak dapat dilaksanakan.  Ini tidak boleh dianggap melanggar janji.mTetapi, penggantinya seorang bekas hakim nyata lebih berwibawa dan seharusnya memberikan rasa gembira kepada rakyat


Rakyat dalam hal ini harus faham dan tidak terburu-buru menuntut janji. PH sendiri sedar jika mereka gagal menunaikan janji yang terkandung dalam manifesto, hukuman dikalahkan dalam pilihanraya yang seterusnya memang sedia akan menanti.


Cuma, ruang masa dan pengubsuaian hendaklah juga diberikan kerana PH kerana mereka adalah kerajaan baru. Yang penting, janji utama seperti menghapuskan GST, menstabilkan harga minyak, menyiasat 1MDB, menangkap Najib dan lain-lain tetap dilaksanakan untuk kesejahteraan dan kebaikan rakyat.


Kita boleh lihat sendiri, BN yang berkuasa sejak sekian lama pun tidak dapat memenuhi semua janjinya dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini, maka berilah sedikit masa juga untuk PH menunaikan sebaik mungkin apa yang telah dijanjikannya.


Jika tidak dapat penggal pertama ini, di penggal-penggal seterusnya pasti semua janji dalam manifesto itu akan ditunaikan juga akhirnya. (ShahbudinHusin 17/07/2018)

Monday, 16 July 2018

KJ, INILAH MASANYA UNTUK TINGGALKAN UMNO!!!


Walaupun Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin memberi alasan untuk menghormati majlis angkat sumpah berhubung keputusannya tidak keluar Dewan bersama Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan Pas yang membantah perlantikan Speaker, tindakannya itu nyata tidak disenangi oleh banyak pihak.


Selain ramai yang mengecamnya, bekas Presiden UMNO, Najib Razak turut membayangkan bahawa KJ mungkin berdepan tindakan tertentu daripada UMNO.


"Itu (keluar Dewan) adalah keputusan parti. Saya serahkan kepada parti mengenai apa-apa keputusan mereka.


"Mungkin mereka patut jelaskan mengapa mereka berbuat demikian," kata Najib lagi yang pertama kali hadir di Parlimen sebagai wakil rakyat pembangkang.


Barangkali jika tidak berkawan dengan Jho Low dan tiada 1MDB, mungkin hari ini Najib masih lagi sebagai Perdana Menteri atau pun setidak-tidaknya tetap di barisan kerajaan.


Annuar Musa yang baru dinaikkan pangkat daripada ketua penerangan kepada setiausaha agung pula mengingatkan agar KJ berpada-pada mempertahankan pendiriannya berhubung keengganan bersama-sama keluar Dewan itu.


Dalam penjelasannya, KJ menyatakan, beliau memutuskan tidak keluar Dewan kerana menghormati majlis angkat sumpah dan tidak mahu mencemarkan nama BN.


Katanya, meskipun ada pertikaian mengenai perlantikan speaker, namun keluar Dewan bukanlah caranya untuk menunjukkan bantahan.


"Hari ini hari Ahli Parlimen mengangkat sumpah, jadi kita perlu hormati Dewan. Cara mana kita nak bantah perlantikan speaker, ia boleh dibuat sewaktu perbahasan atau melalui "standing  order"  pada hari Rabu," ujar KJ menghuraikan rasional keputusannya.


Bersama KJ, seorang lagi Ahli Parlimen yang turut tidak meninggalkan Dewan ialah Anifah Aman dari Kimanis, malah beliau mengucapkan tahniah kepada Mohamad Ariff Yusof atas perlantikannya sebagai speaker yang baru.


Selain mungkin akan terus dikecam oleh pelbagai pihak, KJ juga berdepan kebarangkalian akan dipulaukan oleh UMNO selepas ini.


Dalam hal ini, KJ telah menunjukkan sedikit kematangan dalam tindakan politiknya dan jauh berbeza dengan keinginan Najib yang hanya mahukan ahli-ahli parti yang sanggup mati bersama UMNO.


Soalnya, wajarkah sesiapa menggadai nyawa kerana UMNO?


Adakah syurga sebagai balasannya?


Apa pun, tindakan KJ tidak bersama UMNO keluar Dewan kerana membantah perlantikan speaker jelas memperlihatkan parti itu semakin tidak sesuai dengan jiwanya.


KJ tidak perlu terus berpura-pura dalam hal ini. Beliau perlu membuat keputusan segera demi masa depan politiknya sendiri.


Lagi pun selepas kalah dalam pemilihan jawatan presiden UMNO pada 30 Jun lalu dan Timbalan Presiden UMNO kini dipegang oleh Mohamad Hassan yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Rembau dan KJ adalah timbalannya, masa depan beliau boleh dianggap sudah berakhir dalam parti itu.


Adalah sukar untuk KJ bertanding apa-apa jawatan selepas ini, apatah lagi bagi jawatan presiden UMNO sekali lagi dalam pemilihan tiga tahun akan datang memandangkan Mohamad Hassan sudah pun berada di kedudukan nombor dua dalam parti sekarang ini.


Malah, kiranya KJ sedia turun pangkat untuk bertanding jawatan naib presiden juga terlihat sukar laluannya  memandangkan keberadaan Mohamad Hassan sebagai Timbalan Presiden UMNO bagaikan telah mengunci masa depannya kerana mereka datang dari bahagian Rembau yang sama.


Maka itu, pilihan yang terbaik bagi KJ ialah tinggalkan saja UMNO. Lagi pula, kalau pun tidak diharamkan kerana telah melanggar perlembagaan sendiri, masa depan UMNO juga teramat kelam selepas ini. Parti itu sudah tiada lagi masa depan.


Walaupun banyak parti yang boleh dijadikan pilihan, tetapi Bersatu adalah pilihan yang terbaik untuk KJ membina semula masa depannya. 


Beliau perlu mengajak seramai mungkin kawan-kawannya dalam UMNO untuk menyertai Bersatu bagi menguatkan parti itu menjadi pengganti kepada UMNO.


Bersama beberapa pemimpin muda yang ada dalam Bersatu, disertai dengan adanya Tun Mahathir yang diyakini mampu membina parti itu menjadi parti yang berwibawa dan diterima ramai, masa depan KJ juga ada lebih cerah jika beliau berani dan tidak bertangguh-tangguh dalam membuat keputusan. (ShahbudinHusin 16/07/2018)

KENAPA KJ TAK KELUAR DEWAN, TAK SETUJU DENGAN UMNO ATAU UMNO TIADA LAGI DI HATINYA?


Dulu para pemimpin UMNO selalu mencemuh tindakan pembangkang yang sering keluar Dewan apabila membantah sesuatu itu.


Kenapa kini mereka juga melakukan perkara yang sama?


Baru sehari jadi pembangkang, UMNO sudah pun keluar Dewan kerana membantah perlantikan Speaker Parlimen yang mereka dakwa tidak menurut peraturan.


Hahahaha....


Dalam pada itu, di sebalik tindakan UMNO yang turut disertai Pas keluar Dewan itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin tidak pula berbuat demikian.


Apakah petandanya?


Apakah KJ tidak setuju dengan tindakan keluar  Dewan itu atau UMNO sudah tiada lagi dihatinya?


Buatlah keputusan segera, KJ?


Masuk Bersatu boleh, masuk PKR atau Amanah pun tidak merupakan suatu kesalahan baginya.


Lagi pun, dengan tiada pembaharuan di bawah kepimpinan Zahid Hamidi sekarang ini, perlantikan orang-orang lama menguasai parti dan lagi-lagi dengan isu perkauman yang dijadikan modal politik, UMNO pun sebenarnya sedang menuju kubur kematiannya. 


Pak Lah juga takkan tampar kalau keluar UMNO!! (ShahbudinHusin 16/07/2018)

Sunday, 15 July 2018

ISU KAUM DAN AGAMA TIDAK AKAN BAWA UMNO ATAU PAS KE MANA-MANA


Apa yang nyata di sebalik keputusan PRU14 ialah sistem politik negara kita telah menemui titik kematangannya dan rakyat menolak amalan perkauman serta agama yang keterlaluan.


Dengan menangnya Pakatan Harapan dan tumbangnya BN, pertukaran kerajaan selepas ini bukan lagi sesuatu yang asing.


Tetapi, perubahan kerajaan tidak mungkin boleh dijayakan dengan momokan isu-isu perkauman atau agama, sebaliknya mesti bertunjangkan sejauh mana hak rakyat dapat diperjuangkan.


Sesiapa yang berjaya memperjuangkan hak dan isu-isu rakyat, maka itulah yang akan menentukan siapa yang mampu menjadi kerajaan. Pakatan Harapan menang adalah kerana isu rakyat yang dibawanya dan UMNO serta Pas ditolak lantaran sentimen kaum serta agama tidak laku lagi untuk meraih undi.


Jika Pakatan Harapan kekal dengan isu-isu rakyat yang diperjuangkannya sebagaimana sebelum PRU14 lalu, maka mereka akan berupaya terus kekal sebagai kerajaan dalam tempoh yang lebih lama lagi.


Sebaliknya, kalau UMNO dan Pas masih terkepung dalam kepompong perkauman dan agama yang dalam waktu yang sama, para pemimpin kedua-dua parti itu turut terpalit dengan pelbagai skandal, salah laku dan kedurjanaan, perjuangan mereka tidak akan ke mana-mana.


Sebaik kehilangan kuasa, UMNO patut sedar hakikat itu. Generasi Malaysia Baru bukan saja tidak terpana, bahkan menolak amalan politik berteraskan kaum dan agama yang keterlaluan.


Malangnya, berbanding sebelum ini, sebaik saja kehilangan kuasa, UMNO sekarang ini terlihat lebih rasis lagi sifatnya. 


Semua isu yang dibantahnya dikaitkan dengan kedudukan kaum dan agama. Siapa jadi menteri kewangan, peguam negara, ketua hakim negara, menteri jaga komunikasi dan undang-undang, semuanya salah di mata UMNO kerana mereka bukan Melayu dan bukan beragama Islam.


Begitu juga dengan Pas, semua jawatan yang sama seperti di atas adalah salah di mata parti itu kerana mereka bukan Islam dan kononnya suatu ancaman kepada kedudukan Islam.


Harus kita ingat bahawa semua perlantikan itu tidak sama sekali bercanggah dengan perlembagaan negara, selain kedudukan individu berkenaan juga dilihat sesuai dari segi  ketokohan, intergiti dan kekananan mereka.


Kalau perlembagaan sendiri tidak menghalang perlantikan itu, maka dari sudut apa lagi UMNO dan Pas mesti terus meniupkan sentimen perkauman dan agama melaluinya?


Sejauh mana benarnya perlantikan mereka itu mengancam kedudukan Melayu dan Islam berbanding perangai setengah pemimpin UMNO yang terpalit skandal, mencuri harta rakyat, membiarkan isteri bermewah dan membazir atau  lagak sebahagian pemimpin Pas yang gemar mencarut serta memaki hamun atas nama agama?


Apakah kemuliaan kedudukan Melayu dan Islam ditentukan oleh penjawat jawatan yang dipertikaikan itu atau melalui perangai kita sendiri?


Jika kita seorang Islam yang baik, tidak melakukan kejahatan dan tidak dibawa ke mahkamah, kenapa kita mesti takut dengan peguam negara, ketua hakim negara atau menteri yang menjaga undang-undang  yang bukan berbangsa Melayu dan beragama Islam?


Apakah seorang Melayu dan Islam yang jahat yang apabila diheret ke mahkamah, mereka sebenarnya berharap akan mendapat perlindungan daripada seorang peguam negara, ketua hakim negara dan menteri yang menjaga undang-undang yang berbangsa Melayu dan beragama Islam?


Jika begitu, di mana maruah mereka sebagai orang Melayu dan beragama Islam?


Dalam hal ini,  UMNO dan Pas boleh terus bermain dengan sentimen kaum dan agama, jika itu pilihannya, tetapi ia tidak membawa mereka ke mana-mana, jauh sekali untuk mampu menawan Putrajaya.


Dalam kelompok Melayu dan Islam sendiri, mereka kini berpecah kepada beberapa kumpulan seperti UMNO, Pas, Bersatu, PKR, Amanah dan pelbagai pecahan kecil yang lain.


Daripada semua itu, yang masih terpegun dengan amalan perkauman dan agama yang keterlaluan hanyalah UMNO dan Pas saja, itu pun tidak semua. 


Selebihnya adalah mereka yang sederhana dan melihat isu rakyat seperti rasuah, penyelewengan, tata kelola ekomomi dan urus tadbir yang baik sebagai keutamaan.


Bagi golongan sederhana ini, peguam negara atau ketua hakim negara bukan melayu tidaklah isu yang terlalu besar asalkan mereka boleh berlaku adil, bertindak atas kebenaran dan tidak mempertahan, membela atau melindungi siapa pun yang menjadi penyamun dan merompak wang rakyat.


Juga bukanlah isu bagi golongan sederhana dalam mempertahankan ketua hakim negara dan menteri undang-undang bukan Melayu berbanding malu membela Jho Low yang jelas-jelas merosak dan membawa bencana kepada negara.


Hakikatnya, tiada guna pun jika Melayu yang beragama Islam duduk di kerusi penting itu sedangkan di mata rakyat mereka terlihat terang-terang bersekongkol dengan penyamun, melindungi perbuatan salah serta menyembunyikan kebenaran.


Mereka yang berpencak atas nama kaum dan agama ini bukan saja makin mengecil, bahkan tidak lagi mendapat sokongan daripada kaum-kaum lain. Itulah sebabnya, kaum lain sudah lama menolak

MCA dan MIC yang turut mengamalkan politik perkauman.


Tanpa sokongan menyeluruh daripada kaum-kaum lain, mainan sentiimen perkauman dan agama yang keterlaluan itu akhirnya hanya menjadikan UMNO dan Pas syok sendiri bersama pentaksub mereka saja.


Percayalah, mereka akan kekal sebagai pembangkang untuk tempoh yang lebih lama dengan isu-isu kaum dan agama itu. (ShahbudinHusin 15/07/2018)

KEGAGALAN PERTAMA ZAHID HAMIDI YANG MEMUNGKINKAN LEBIH BANYAK KEGAGALAN LAIN DI MASA DEPAN


Sedari awal lagi, sebaik saja nama bekas Peguam Negara, Apandi Ali tersenarai sebagai salah seorang Ahli MT UMNO yang dilantik, ramai yang memberi reaksi dengan menggelengkan kepala masing-masing.


Sepantas itu kemudiannya media sosial sarat dengan luahan kekecewaan, tidak setuju serta marah oleh ahli dan penyokong UMNO sendiri dengan pilihan yang dibuat oleh Presiden UMNO, Zahid Hamidi itu.


Malah, langsung tidak ada yang memberi pujian kepada perlantikan Apandi itu atau mengatakan ia sebagai pilihan tepat yang dirasakan mampu memberi sumbangan ke arah memperkuatkan UMNO setelah kehilangan kuasanya pada pilihanraya 9 Mei lalu.


Secara mudahnya, Apandi dengan  beberapa keputusannya dalam membersihkan nama Najib Razak sebagai Peguam Negara dalam skandal 1MDB sebelum ini, ia adalah tindakan yang dilihat tidak berwibawa dan tidak disenangi oleh ahli-ahli UMNO.


Cuma, dulu mereka tidak berani bersuara kerana cengkaman "cash is king"  yang terlalu kuat diamalkan Najib. Kini, dengan rata-rata sedar Najib adalah punca utama kekalahan UMNO dan BN, mereka tidak mampu lagi untuk terus berdiam diri.


Di sudut yang lebih parah, perlantikan Apandi itu adalah juga bukti paling nyata tentang kegagalan serta tahap kemampuan Zahid Hamidi sebagai peneraju baru UMNO dalam usaha memulihkan parti tersebut.


Kenapa Zahid Hamidi begitu naif sehingga gagal melihat bahawa Apandi bukanlah sosok yang mampu memberi apa-apa sumbangan ke arah memperkuatkan UMNO?


Ini adalah kegagalan pertama yang tidak sepatutnya dilakukan oleh Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO yang sekaligus membayangkan lebih banyak kegagalan lagi akan terus dilakukannya selepas ini.


Lebih dari itu, penolakan Apandi sendiri terhadap lantikan tersebut dengan alasan bimbang keputusannya sebagai Peguam Negara sebelum ini memberi kesan negatif kepada parti, dengan sendirinya mengesahkan bahawa bekas Peguam Negara itu juga sedar dirinya adalah pilihan yang tidak baik dan salah buat UMNO.


Dengan salah membuat pilihan itu, meskipun ditolak beberapa jam kemudian oleh Apandi, majoriti perwakilan UMNO kini harus menyesali keputusan memenangkan Zahid Hamidi dalam pemilihan jawatan Presiden UMNO, baru-baru ini.


Zahid Hamidi, seperti yang diketahui dan disedari oleh ramai mereka yang mengenalinya, beliau bukanlah pemimpin yang sesuai untuk menerajui UMNO ketika dalam keadaan susah, apalagi untuk memulihkan parti itu dengan keringat dan semangat perjuangan.


Beliau adalah sosok yang hanya sesuai ketika UMNO di era menang dan senang di mana percaturan dan senyumnya lebih mudah digunakan untuk menghidu pelbagai peluang perniagaan serta jawatan bagi dirinya sendiri.


Dengan isu perlantikan Apandi yang secara nyatanya memperlihatkan kegagalan Zahid Hamidi, sebagaimana yang sudah dijangka dan banyak ditulis sebelum ini, keberadaannya sebagai  Presiden UMNO tidak lebih merupakan suatu berita gembira buat Pakatan Harapan dan kerajaan baru pimpinan Tun Mahathir Mohamad.


Selagi UMNO dipimpin beliau yang mungkin lebih banyak lagi kegagalannya akan terus terserlah selepas ini, bersedialah untuk parti itu sekurang-kurangnya 15 tahun lagi menjadi pembangkang di negara ini. (ShahbudinHusin 15/07/2018)

Saturday, 14 July 2018

KENAPA ZAHID HAMIDI LANTIK BEKAS PEGUAM NEGARA YANG TERCEMAR NAMANYA SEBAGAI AHLI MT?


Presiden UMNO, Zahid Hamidi hari ini mengumumkan lantikan barisan pegawai, Ahli Majlis Tertinggi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri-Negeri bagi sessi 2018-2021.

Katanya, perlantikan ini adalah langkah pertama beliau untuk membawa UMNO menuju pembaharuan agar parti terus relevan dalam arena politik negara.
Pegawai yang dilantik ialah Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung, Tengku Adnan Tengku Mansor (Bendahari), Shamsul Anuar Nasarah (Ketua Penerangan) dan dan Mohd Sumali Reduan selaku Setiausaha Kerja.

Barisan Ahli Majlis Tertinggi yang dilantik pula ialah Norliza Abdul Rahim, Shahril Hamdan, Nurul Amal Mohd Fauzi, Anifah Aman, Tajuddin Abdul Rahman, Mohd Khusairi Abdul Talib, Johan Abdul Aziz, Azizah Mohd Dun, Abdul Rahman Mohamad, Hajiji Noor dan Apandi Ali.

Melihat senarai lantikan tersebut, tentu ramai yang keliru dan pening kepala, pembaharuan apakah yang Zahid Hamidi maksudkan daripada pilihan semua perlantikannya itu?
Apakah pembaharuan yang boleh diharapkan daripada lantikan otai lama yang merupakan pengampu dan pembodek Najib Razak seperti  Annuar Musa yang hanya berubah jawatan daripada Ketua Penerangan kepada Setiausaha Agung dan Tengku Adnan daripada Setiausaha Agung kepada Bendahari Agung?

Kenapa tidak dilantik daripada kalangan orang muda dalam UMNO sendiri atau profesional yang berwibawa dalam masyarakat?

Mengapa masih dikekalkan orang lama yang selama ini menjadi cemuhan dan kecaman masyarakat serta dianggap liabiliti kepada UMNO?

Yang paling mengejutkan tentunya ialah tindakan Zahid Hamidi melantik bekas Peguam Negara, Apandi Ali sebagai salah seorang Ahli MT UMNO.

Apakah tiada orang Melayu lain yang lebih baik dan tidak tercemar namanya selain Apandi yang boleh dilantik ke jawatan tersebut?

Tidakkah dengan perlantikan itu hanya mengesahkan lagi bahawa semua keputusan Apandi terhadap Najib semasa beliau menjadi Peguam Negara sebelum ini adalah kerana kecenderungannya terhadap UMNO?

Atau gambarannya ialah daripada UMNO beliau datang, maka kepada UMNO jugalah dia kembali?

Lebih dari itu, sebaik Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara selepas pilihanraya 9 Mei lalu, apakah Zahid Hamidi tidak maklum tentang kedudukan Apandi?

Sebagai makluman Zahid Hamidi, di bawah kerajaan baru ini, Apandi bukan saja digugurkan sebagai Peguam Negara, malah juga ditegaskan oleh Tun Mahathir Mohamad tentang kemungkinan beliau akan disiasat kerana menyembunyikan bukti mengenai salah laku 1MDB.
Malah, beliau bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Irwan Siregar Abdullah dan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzukifli Ahmad adalah termasuk dalam senarai yang disekat untuk ke luar negara sehingga kini.

Bagaimana jika selepas ini Apandi berdepan siasatan serta pendakwaan di mahkamah?

Tidakkah palitan lumpur dan kekotorannya akan terpalit ke muka Zahid Hamidi sendiri dan UMNO seluruhnya? (ShahbudinHusin 14/07/2018).

RAKYAT DAN RAJA - SIAPA YANG LEBIH BERKUASA?


1.  Tiada rakyat maka tiada Raja, inilah keadaan yang sebenarnya.


2.  Jika kita kembali kepada sejarah, ia jelas menampakkan bahawa rakyatlah di suatu masa dahulu yang memilih siapa di kalangan mereka untuk diangkat sebagai Ketua yang kemudiannya ditukar gelaran sebagai Raja atau Sultan.


3.  Apabila tiada persefahaman,  maka jalan terbaik ialah menjemput mereka sama ada dari Sumatra ( Minangkabau) mahu pun dari Kepulauan Sulawesi atau lebih tepat orang Bugis sebagai Ketua atau Raja mereka.


4.  Raja atau Sultan Negeri Sembilan berasal dari Pagar Ruyong, Sumatra sementara Sultan Selangor dan Johor pula berasal dari keturunan Bugis,  di Sulawesi, Indonesia.


5.  Ibu Sultan Perak berasal dari keturunan rakyat biasa Pulau Pinang sementara ibu Sultan Ibrahim Johor pula adalah seorang rakyat biasa keturunan  Inggeris dari England, beliau baru sahaja meninggal dunia baru-baru ini. Raja Muda Selangor pula adalah kacukan Bugis dan rakyat biasa dari Amerika Syarikat.


6.  Keturunan apa pun mereka ini, yang sahih mereka telah diberi peluang diangkat sebagai Raja atau Sultan oleh rakyat.


7. Hanya ADAT sahaja yang mengizinkan keturunan mereka dari asal ke cucu cicit untuk terus mewarisi tempat tersebut tanpa disoal oleh rakyat kini.


8. Istilah Raja berasal dari perkataan Sanskrit, India yang bermaksud Rajan atau Ketua Puak.


9. Sultan pula merupakan istilah Bahasa Arab yang berasal daripada perkataan   'Salatha' yang bererti yang berkuasa.


10. Sejak Merdeka keadaan mula berubah. Raja atau Sultan TIDAK lagi bertindak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. ‘Sekali air bah, sekali pantai berubah’.


11. Mengikut hikayat lama, Laksamana Bentan, Megat Sri Rama telah melafazkan kata - kata yang sehingga kini masih bermain di kepala sebahagian rakyat iaitu 'Raja Adil Raja DiSembah , Raja Zalim Raja DiSanggah'.


12. Kezaliman Sultan membunuh Dang Anum, isteri Laksamana Bentan itu berakhir dengan apa yang dikenang sehingga sekarang sebagai -  ‘Sultan Mahmud Mangkat Di Julang'.


13. Peristiwa tersebut mengingatkan kita khasnya Sultan bahawa mereka tidak boleh bertindak sesuka hati.


14. Menjelang PRU 14 yang berlangsung pada 9hb Mei yang baru lepas, beberapa orang Sultan telah bertindak diluar batasan.


15. Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V telah menarik Darjah DK daripada Tun Mahathir. Darjah ini dianugerahkan kepada Tun oleh ayahanda beliau, Sultan Ismail Petra.


16. Sebelum arahan diberi atau dikeluarkan, Tun Mahathir sendiri telah memulangkan pingat yang sama taraf  kepada Sultan Selangor.


17. Di Johor pula Sultan Ibrahim dan anaknya Tunku Ismail   bersungguh - sungguh berkempen bagi mengalahkan Tun Mahathir dan parti beliau dengan alasan- alasan yang tak masuk akal.


18. Sultan harus menerima hakikat bahawa usaha mereka telah ditolak oleh majoriti rakyat, justeru ia dengan sendiri membawa makna bahawa rakyat lebih cerdik dari mereka.


19. Rakyat berasa lega apabila Pakatan Harapan yang diberi amanah memerintah telah melaksanakan beberapa perubahan atau reform apabila beberapa agensi seperti SPRM , SPR dan lain-lain yang selama ini berada dibawah kawalan Pejabat Perdana Menteri ( PMO ) diletakkan terus dibawah kawalan Parlimen.


20. Banyak lagi Akta yang akan dimansuhkan dalam masa terdekat ini.


21. Bagi menguatkan lagi Institusi Raja Berperlembagaan dan dalam masa yang sama bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham antara Raja dan Rakyat, maka perkara berikut adalah dicadangkan:-


1.  Setiap tahun semasa Pembentangan Belanjawan sama ada di peringkat Parlimen ( Agong ) dan Negeri ( Sultan ), segala kos perkhidmatan, perbelanjaan dan penyelenggaraan mereka dan keluarga  MESTI dibentang bagi mendapat kelulusan. Ini kerana setiap sen yang dibelanjakan adalah hasil titik peluh rakyat, maka rakyat berhak diberitahu ke mana wang mereka dibelanjakan.


2.  Parlimen MESTI meluluskan garis panduan yang jelas berkenaan perkara - perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh mereka, sebagai contoh jumlah kereta yang dikecualikan dari sebarang cukai,  tidak boleh berniaga dan menggunakan pengaruh untuk sebarang projek, tidak boleh  'menjual' sebarang Darjah Kebesaran,  tidak boleh mencampuri hal ehwal politik sama ada secara tersurat dan tersirat. Begitu juga tidak boleh terlibat dalam urusan pentadbiran seperti hal ehwal tanah dan pembangunan seperti yang dilakukan di Johor. Kuasa ini MESTI dibatalkan serta merta.


22. Cadangan diatas adalah amalan biasa yang dilaksanakan di England dan di beberapa negara yang mempunyai Raja di Eropah.


23. Semoga  'Reformasi' ini berani dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan dibawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir.


24. Tindakan ini tidak sekali - kali menjejaskan kedudukan Sultan, malah ia akan memastikan mereka terus hidup di istana yang disumbangkan oleh rakyat jelata tanpa perlu menitiskan walau setitik peluh pun.


25. Sila kongsi bersama pandangan saya ini.


Terima Kasih.


TAMRIN TUN GHAFAR

Sabtu 14/07/18.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...