Thursday 27 March 2014

Janji Najib Dimungkiri Lagi, Negara Jadi Makin Tertutup


Dalam jawapan di Parlimen mengenai kelulusan permit penerbitan akhbar Malaysiakini dan FZ Daily, Kementerian Dalam Negeri melalui jawapan bertulis oleh Menterinya, Ahmad Zahid Hamidi memberitahu pihaknya menolak untuk meluluskan kedua-dua permit itu adalah bertujuan untuk mengawal jumlah akhbar di negara ini.

Ia juga, menurut jawapan kepada pertanyaan Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul, ialah agar orang ramai tidak dikelirukan dengan berita yang terlalu banyak.

Jawapan Zahid Hamidi itu juga dipetik sebagai berkata bahawa kedua-dua penerbitan yang tidak diluluskan itu didapati cenderung menerbikan berita-berita sensasi dan kontroversi untuk menarik perhatian pembaca.

Jawapan Zahid ini tentunya mengecewakan rakyat yang semakin terbuka, matang dan memerlukan lebih banyak maklumat dalam kehidupan seharian mereka. Lebih malang lagi kerana kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Najib Razak yang pernah menjanjikan lebih kebebasan dan keterbukaan ketika awal mengambil alih teraju pemerintahan dengan pindaan Akta ISA, Undang-undang Darurat, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan lain-lain lagi, kini mula berundur ke belakang dan memungkiri janji-janjinya sendiri.

Dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, antara pindaan yang kononnya untuk keterbukaan pada 2012 lalu ialah menggugurkan kuasa budi bicara mutlak menteri bagi meluluskan sesuatu lesen penerbitan, memansuhkan kuasa menteri bagi menetapkan tempoh sah sesuatu lesen yang diluluskan dan menghapuskan keperluan pembaharuan tahunan lesen penerbitan.

Bagaimanapun, menteri masih diberi kuasa menolak sesuatu permohonan, membatal atau menggantung sesuatu lesen tetapi keputusan menteri itu boleh dicabar melalui semakan kehakiman.

Dengan menolak kelulusan permit akhbar Malaysiakini dan FZ Daily, walaupun jawapannya ialah untuk mengawal jumlah akhbar dan tidak mahu orangramai dikelirukan, jawapan sebenar ialah kerajaan semakin takut dengan maklumat yang benar, tepat dan telus daripada sampai kepada rakyat.

Kerajaan nampaknya tidak mahu rakyat yang tidak mempunyai akses internet mempunyai maklumat lain selain daripada yang diperolehi melalui akhbar Utusan, Berita Harian dan seumpamanya. Bagi kerajaan biarlah berita Malaysiakini hanya dibaca oleh orang bandar dan separa bandar sahaja manakala pengundi kampung dan luar bandar kekal dalam kongkongan maklumat Utusan, Berita Harian atau TV3 saja.

Mungkin berdasarkan keputusan pilihanraya lalu serta trend semakin rakyat mendapat maklumat yang benar dan tepat, semakin mereka menjauhi kerajaan sebagaimana yang ditunjukkan oleh pengundi bandar, separa bandar dan golongan muda, maka kerajaan terpaksa menelan janji keterbukaan yang pernah dilafazkannya kerana bimbang keputusan lebih buruk dalam PRU 14 nanti.

Setelah beberapa janji dan akujanji dalam pilihanraya lalu yang mulai dimungkiri oleh kerajaan yang ada sekarang, penolakan terhadap kelulusan permit dua akhbar ini adalah satu lagi bukti "janji dicapati" oleh kerajaan.

Ini menunjukkan ketika dunia makin maju dan semua orang berlumba-lumba untuk memperolehi maklumat, kerajaan pimpinan Najib sedang menggerakkan negara ini ke arah yang makin tertutup dan terasing. Dalam kerajaan mahu mengawal jumlah akhbar dan tidak mahu rakyat dikelirukan, dalam masa yang sama lesen penerbitan berbentuk hiburan, tahyul dan lucah boleh pula berleluasa.

Ini seolah-olah menunjukkan kerajaan tidak kisah rakyatnya terdedah kepada perkara lucah dan tahyul tetapi tidak mahu sama-sekali mereka memperolehi maklumat yang betul dan tepat mengenai isu-isu semasa, berkaitan politik, kepimpinan kerajaan dan seumpamanya.

Sebenarnya, jika pun penerbitan akhbar Malaysiakini dan FZ Daily mempunyai unsur-unsur yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara, bukankah kerajaan mempunyai pelbagai akta dan undang-undang untuk bertindak? Kenapakah begitu awal menghukum dan membuat tafsiran sedangkan akhbar belum pun diterbitkan lagi?

Berita malang mengenai penolakan kedua-dua lesen penerbitan itu hanya menyusul sehari selepas bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad mencadangkan agar dilakukan tapisan terhadap internet berikutan penembusan maklumat yang makin merata melalui pelbagai sumberlah yang dipercayai menjadi punca kemerosotan sokongan rakyat terhadap BN sejak 2008 lalu.

Sambil memberikan bayangan bahawa jika beliau kembali semula sebagai PM, perkara pertama yang akan dilakukannya ialah melakukan tapisan internet, saranan Mahathir ini pastinya akan mendapat perhatian Najib kerana kebobrokan yang begitu membelit diri dan keluarganya sejak menjadi PM hanya dapat dilindungkan daripada rakyat jika adanya tapisan internet itu.

Kalau pun tidak sepenuhnya, secara perlahan-lahan atau berperingkat, Najib dipercayai akan melakukan tapisan internet seperti mana yang dicadangkan oleh Mahathir itu bagi memastikan UMNO dan BN berkuasa lebih lama lagi di negara ini. Jika Najib tidak melakukannya, beliau bukan saja mudah mendapat tentangan daripada Mahathir, malah akan memendekkan tempoh hayat BN.

Sementara itu, di Sarawak pula, beberapa pemimpin PKR seperti Saifuddin Nasution, Rafizi Ramli dan Tian Chua turut dilarang memasuki negeri itu bagi berkempen untuk pilihanraya kecil DUN Balingan. Ini bermakna, selain internet, akhbar dan daripada mulut pemimpin, semua maklumat cuba disekat daripada sampai ke pengetahuan rakyat.

Jika dalam tragedi MH370, ramai waris penumpang yang menempelak kerajaan pimpinan Najib sebagai "penipu" kerana tidak telus menyalurkan maklumat, rakyat Malaysia pula selain sudah beberapa kali "ditipu" oleh pelbagai janji semasa pilihanraya lalu, kini melalui janji keterbukaan dan kebebasan media, rakyat "ditipu" sekali lagi. (SH 27/03/2014)

3 comments:

  1. sulaimen akhlaken28 March 2014 at 10:28

    UBN yg dikepalai najib semakin hmpr ke pnghujung hayatnya.UBN hdp slama ini adalah dr hasil penipuan,pmbodohan dan dasar trtutup kpd rakyat.dasar2 inilah yg ditinggalkan oleh british dn diwarisi oleh UBN...

    ReplyDelete
  2. 50 tahun lebih Melayu UMNO pegang kuasa tapi kaum Melayu tetap macam tu. 7 juta lebih keluarga Melayu masih ditahap miskin. Pembesar Melayu UMNO makan makan angin, melayu miskin UMNO telan asap. Melayu Elit UMNO baham juta juta, melayu miski UMNO berebut BR1M tak seberapa. Kalau tak kerana tekanan dan saingam pembangkang, BR1M ke mana...cuma broom telan asap. Tu pub bukan main...sokong UMNO macam UMNO tu pemberi segalanya. Kalau dah lebih 50 tahun berkuasa, melayu UMNO tak mampu ubah apa apa...100 tahun lagi pun bawah UMNO...melayu akan tetap terus layu dan melarat. Hanya kaum melayu kulit gelap hidung tinggi yang banyak dapat faedah

    Baik Mahathir, Najib atau siapa saja dari UMNO, janji hanyalah bunyi tong kosong yg diketuk. Bergegar berdentum dentam...tapi kosong..cuma bingitkan telinga saja.

    ReplyDelete
  3. Sumbangan terbaik Melayu UMNO adalah membuncit dan membulatkan Rosmah Mansor. Kejayaan terbaik UMNO ialah kerana mampu membadakkan First Lady of Malaysia (perasan laa tu), Rosmah Mansor

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...