Monday, 2 September 2013
Anwar Lebih Disanjung Jika Terus Melawan
Sehingga kini dialog PR dengan BN yang diusulkan oleh Anwar masih lagi menjadi misteri. Misteri dalam ertikata sama ada ianya sekadar dialog untuk kepentingan rakyat dan negara atau dialog itu petanda awal ke arah kerjasama dan penyatuan antara Najib dan Anwar. Hanya Anwar yang tahu apa isi hatinya yang sebenar.
Sementara tawaran Anwar itu disambut dingin oleh kebanyakan pemimpin UMNO dengan ada yang mempertikaikan niat dan tujuannya manakala ada pula yang mahu cadangan dialog itu dibawa ke Parlimen, Najib sehingga ini masih lagi berdiam diri mengenainya.
Anwar pula, sebagaimana pendirian awalnya, kekal bahawa dialog itu semata-mata membincangkan isu kepentingan rakyat dan negara seperti mengenai agama, kaum, keselamatan dan ekonomi serta menolak sama-sekali menjurus ke arah penubuhan kerajaan perpaduan.
Namun pendirian kebanyakan pemimpin UMNO yang menolak tawaran Anwar itu menampakkan kebimbangan mereka terhadap kerjasama Najib dengan Anwar dan juga penubuhan kerajaan perpaduan yang mungkin akan terlaksana kiranya dialog itu menjadi kenyataan.
Di pihak Pas dan DAP pula, mereka juga nampaknya tidak memberi respon dan keghairahan terhadap tawaran dialog yang diusulkan oleh Anwar itu. Pimpinan kedua-dua parti itu belum lagi memberi sebarang kenyataan atau ulasan, baik mengalu-alukan atau pun menolak cadangan Anwar itu walaupun ia dibuat atas nama Pakatan Rakyat.
Mungkin Pas dan DAP mahu berhati-hati dan tidak mahu terjebak dalam percaturan yang masih belum diketahui siapa untung dan siapa ruginya ini.
Tetapi usul atau tawaran yang dibuat oleh Anwar kepada Najib ini, walaupun atas nama menyuburkan amalan demokrasi dan demi kepentingan rakyat dan negara, ia sedikit-sebanyak mencalarkan keteguhan perjuangan Anwar selama ini dan membuatkan ramai orang mulai curiga terhadapnya.
Sesudah 15 tahun melakar tanda aras baru dalam politik Malaysia sejak dipecat pada 2 September 1998, terutama dengan merangsang kebangkitan anak-anak muda serta menimbulkan kesedaran tentang pelbagai aspek dalam kepimpinan dan kenegaraan, ramai yang mengharapkan Anwar tidak cepat mengalah dan meneruskan apa yang telah diasaskannya itu.
Slogan reformasi, perubahan, lawan tetap lawan dan sebagainya yang sering menjadi basahan bibir Anwar selama ini sebenarnya masih diperlukan lagi.
Walaupun usaha menubuhkan kerajaan masih belum berhasil tetapi dengan peningkatan kejayaan PR yang jelas ketara sejak 2008 manakala dalam pilihanraya 2013 pula hanya kekurangan 23 kerusi tetapi berjaya mendapatkan majoriti hampir 52 peratus sokongan rakyat, masa depan Anwar dan PR dipercayai lebih cerah dalam pilihanraya empat atau lima tahun lagi.
Dengan kedudukan ekonomi yang kekal sukar, kesedaran rakyat, pengaruh internet, kewujudan bandar-bandar baru serta isu-isu semasa yang semakin banyak merugikan kerajaan, kecondongan rakyat dan pengundi muda dipercayai akan terus memihak kepada PR.
Ditambah dengan sikap dan perangai pemimpin yang memegang kuasa dalam kerajaan yang masih tidak berubah, bahkan Najib sendiri dikecam oleh ramai penyokongnya sendiri kerana dilihat turut tidak berubah dan mengamalkan gaya lama, peluang PR dalam PRU 14 jauh lebih baik baik berbanding PRU 13 lalu.
Ramai pemimpin UMNO sendiri mempercayai hakikat ini dan mereka melihat bukan saja Najib dan pemimpin UMNO masih tidak berubah, bahkan seolah-seolah keputusan buruk PRU 13 tidak memberi apa-apa pengajaran untuk direnungi oleh UMNO dan BN.
Justeru itu, peluang Anwar dan PR yang sebenarnya adalah PRU 14. PR dipercayai mempunyai peluang yang lebih baik dengan syarat memelihara kesatuan dan mengekalkan momentum sedia ada.
Anwar akan terus disanjung dan dihormati jika kekal dengan perjuangannya mahu membawa perubahan kepada rakyat dan negara yang sering dilaungkannya selama ini. Rakyat mahu beliau terus berjuang dan melawan sepertimana iltizamnya sebelum ini.
Kini bukan saja rakyat biasa, mereka yang tidak berparti dan penyokong PR yang terus menagih perjuangan Anwar bagi kepentingan rakyat dan negara, malah ramai di kalangan ahli dan penyokong UMNO juga mengharapkan Anwar terus dengan peranan kritikalnya menegur mengenai dasar kerajaan dan perlakuan para pemimpinnya yang dianggap tergelincir daripada landasan yang sewajarnya.
Ramai yang merasakan jika tidak kerana pembangkang selantang dan sekuat sekarang serta pengaruh Anwar mengetuai PR, kejelekan, kesombongan dan salah laku para pemimpin UMNO dalam mengurus kerajaan serta berbangga dengan jawatan dan kemewahan mungkin menjadi lebih tidak terkawal dan berleluasa lagi.
Oleh sebab itu, peranan Anwar dan PR ada nilai tambahnya dan sentiasa dalam perhatian rakyat. Sampai masanya peranan dan sumbangan mereka akan dihargai juga. Lima tahun tidaklah lama, jika boleh bersabar selama 15 tahun sejak dipecat dengan pelbagai penghinaan dan kata-kata nista, apalah sangat lamanya bersabar selama lima tahun lagi.(SH 02/09/2013)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Kalau Anwar dan Najib bergabung sekadar mahu nyahkan Mahathir dan kroni beliau..itu satu tindakan yang baik. Baik UMNO mahu pun Malaysia, perubahan total akan lebih mudah dilaksanakan jika negara ini tanpa Mahathir dan balaci beliau. Jika kerjasama ini bersyarat dan masih mahu mengekalkan Najib di singgahsana...Anwar dengan sendirinya akan terpelanting dari persada politik tanahair ini. Imej Anwar akan menjunam mencium tanah.
ReplyDeleteBukankah Anwar antara politikus yang kuat mensyaki Najib terlibat dengan kematian Altantuya?. Nyanyuk kah Anwar atau ada udang di sebaik batu???.
Ajak berdebat, dikatakan bukan budaya kita,
ReplyDeletediajak pula cara berdailog, dikatakan buang masa;
Apakah penjajah memang celaka ?
Cantik pantun tiga kerat tu
Delete