Tuesday, 10 September 2013
Jika Ingin Habuan, Selain Tiru Cara Zahrain, Acah-Acahlah Macam Azalina...
Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said yang sebelum ini gah dengan keputussn mahu mencabar Shahrizat Jalil bagi jawatan Ketua Wanita UMNO, dilaporkan akan membatalkan hasratnya itu setelah dinasihatkan untuk berbuat demikian. Orang yang memberi nasihat itu juga diberitakan akan memastikan Azalina diberi jawatan kanan dalam Pergerakan Wanita UMNO, selain kedudukan dalam syarikat berkaitan kerajaan atau GLC berikutan kesediaannya akur dan dan tunduk kepada nasihat tersebut.
Siapakah lagi dalam negara ini yang begitu berkuasa untuk memberi nasihat sambil membuat tawaran sedemikian selain daripada Perdana Menteri, malah sesiapa pun yang mendengar berita ini pasti tahu bahawa tiada orang selain Najib yang boleh boleh berbuat demikian.
Kenapakah Najib sanggup berbuat demikian?
Azalina ketika dihubungi oleh sebuah portal berita menyatakan, beliau tidak akan mencabar Shahrizat dan akan membuat kenyataan rasmi mengenainya pada 20 September nanti. Ini secara langsung mengesahkan bahawa beliau telah membatalkan hasratnya itu dan bersetuju dengan tawaran serta ganjaran yang dijanjikan kepadanya oleh Perdana Menteri.
Maka, tindakan Najib ini bukan saja menghancur-leburkan transformasi yang diciptanya sendiri, malah tawaran jawatan dan kedudukan kepada Azalina ini boleh juga ditafsirkan sebagai perbuatan rasuah.
Bukankah antara intipati transformasi politik Najib ialah ingin menyuburkan demokrasi serta menggalakkan sesiapa saja bertanding melalui pindaan perlembagaan UMNO yang dicadangkannya?
Oleh kerana sayangnya Najib kepada Shahrizat, yang menjadi perbualan ramai dalam UMNO bahawa Ketua Wanita itu pernah berbudi baik kepada Najib dan Rosmah suatu ketika dahulu, Najib bukan saja sedia memberi jawatan penasihat bertaraf menteri kepada Shahrizat untuk memastikan kedudukannya lebih kukuh, malah sanggup pula memujuk dan menawarkan ganjaran kepada Azalina.
Dalam hal ini, Shahrizat bukan saja mendapat dua kali untung iaitu jadi penasihat dan kekal sebagai Ketua Wanita, bahkan Azalina juga mendapat untung sama hasil daripada rasa kasih sayang Najib dan keluarganya kepada Shahrizat yang mungkin berpanjangan sepanjang hayat itu.
Sebelum ini, apabila Azalina mengumumkan mahu mencabar Shahrizat, ramai yang memuji keberaniannya itu walaupun penerimaan Wanita UMNO terhadapnya agak berbelah-bagi. Tetapi oleh kerana beliau merupakan pemimpin UMNO yang paling awal menawarkan diri untuk bertanding, keberaniannya mencabar Shahrizat yang terbelenggu dengan isu lembu NFC tetap juga mendapat pujian dan sanjungan.
Di samping menawarkan iltizam untuk membawa perubahan kepada Wanita UMNO melalui pengalaman kepimpinan sebagai bekas Ketua Puteri UMNO dan menteri, Azalina juga turut membuka fanpage Azalina Untuk Wanita UMNO di facebook untuk menunjukkan keseriusannya mencabar Shahrizat.
Walaupun satu demi satu Wanita Negeri dan pemimpin UMNO lainnya menyatakan sokongan dan menghujahkan ketidaksesuaian Azalina memimpin Wanita, beliau dilihat tidak tergugat sama-sekali dengannya. Di ketika kes-kes lama Azalina diungkit dan disebarkan juga, beliau juga tidak terganggu dengannya.
Beliau terus menyatakan kesungguhan untuk terus melawan, meskipun tidak ramai yang yakin kemenangan berpihak kepadanya. Azalina terus berkempen dan menemui pelbagai kelompok Wanita UMNO di seluruh negara dengan harapan "silent majority" akan berpihak kepadanya berikutan isu-isu berkaitan Shahrizat masih panas dan berkesan lagi kepada kebanyakan orang.
Azalina akhirnya mula mendapat simpati dan diterima sebagai pencabar, tambahan pula seorang lagi calon yang diharapkan untuk menentang Shahrizat iaitu Halimah Siddique telah membatalkan hasratnya untuk bertanding kerana mengalami patah kaki dan terpaksa berehat selama tiga bulan.
Namun apabila akhirnya Azalina tunduk kepada pujukan dan nasihat Najib agar membatalkan hasrat melawan Shahrizat, ramai yang kecewa dan merasakan percubaan Azalina selama ini hanyalah acah-acah saja. Barulah kini difahami bahawa Azalina sebenarnya sudah membuat "kerja rumah" di sebalik gah pengumumannya mahu mencabar Shahrizat itu dan hasratnya yang sebenar ialah memancing kedudukan dan ganjaran daripada Najib.
Najib pula yang mahu mempertahankan Shahrizat kerana budi lama, dalam masa yang sama turut juga mahu menunjukkan UMNO yang dipimpinnya dilihat harmoni dengan kurangnya jawatan-jawatan utama dipertandingkan sehingga akhirnya terlupa kepada transformasi yang dijulangnya kini sudah mula dihempasnya ke lantai.
Dengan tangan Najib sendiri terlibat untuk mengelakkan pertandingan, terbukti sudah bahawa transformasinya selama ini hanyalah palsu belaka.
Kini, sementara Shahrizat bakal kekal lagi sebagai Ketua Wanita dan dan mendapat pula jawatan sebagai penasihat bertaraf menteri dan Azalina juga mendapat kedudukan dalam Wanita dan ganjaran dalam GLC yang mungkin akan diumumkan dalam waktu yang terdekat ini, persoalannya ialah apa Wanita UMNO dapat?
Yang menyokong Shahrizat tidak dapat apa-apa, yang mahukan Azalina juga tidak memiliki apa-apa. Mereka hanya kekal sebagai alat. Malah Wanita UMNO terus berketuakan seorang pemimpin yang sudah tercemar imej dan kredibilitinya.
Jika sebelum ini apabila beberapa bekas pemimpin PKR seperti Ezam Mohd Nor dijadikan senator dan Zahrain Hashim pula dijadikan duta besar ke Indonesia, ramai yang beranggapan bahawa jika inginkan habuan dan ganjaran daripada Najib, mestilah memaki-hamun UMNO dan menjadi ahli parti pembangkang dahulu sebelum kemudiannya kembali kepada UMNO dan memuji-muji UMNO serta Najib pula, rupa-rupanya mengacah-acah mahu bertanding sesuatu jawatan seperti yang dilakukan oleh Azalina turut merupakan taktik yang berbaloi juga.
Kepada mana-mana pemimpin yang merasakan nilai perjuangan mereka boleh dijual atau digadaikan dengan tukaran habuan, kedudukan atau ganjaran, bolehlah mencuba mana-mana taktik yang telah terbukti berkesan ini, terutama ketika Najib mahu menunjukkan kepada dunia beliau seorang pemimpin paling hebat dengan kejayaan mewujudkan suasana aman, damai dan harmoni ketika menerajui UMNO. (SH 10/09/2013)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Jgn bg jadi CEO jaga lembu dhlah.
ReplyDeleteBukan setakat ceo jaga lembu ceo jaga babi pun dia terima...atas nasihat maa
ReplyDelete