Sunday 31 December 2017

NAJIB TERBUKTI KIAN TERTEKAN DAN JIWA KACAU, KALAU RCI FOREX DITUBUHKAN KERANA KIT SIANG, KENAPA TAK WUJUDKAN RCI 1MDB?


Najib Razak ternyata semakin tertekan, mengalami jiwa kacau tahap kronik dan kian tidak sesuai lagi untuk terus menjadi Perdana Menteri buat rakyat Malaysia.

Gugatan Tun Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan menjelang PRU 14 akan datang nampaknya memberi kesan yang amat mendalam terhadapnya.

Jika sebelum ini, Najib dilihat sukar mengelak daripada bayangan Tun Mahathir dengan selalu menyebut atau menyindirnya melalui pelbagai sebutan seperti pemimpin lama, pemimpin berusia, orang yang sudah berusia 93 tahun dan sebagainya dalam pelbagai majlis rasmi kerajaan yang dihadirinya, kali ini serangan kepada bekas Perdana Menteri dan pihak pembangkang dilakukan dalam perutusannya sempena ketibaan Tahun Baru 2018.

Tindakan mencampur-adukkan politik, menghentam atau memuji pemimpin lain dalam perutusan tahun baru adalah sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.
Biasanya, perutusan tahun baru hanya memfokus kepada soal negara dan rakyat dengan antaranya mengajak mereka terus berbuat sesuatu yang baik kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan juga negara.

Menjadikan perutusan tahun baru seperti ucapan ceramah politik barangkali hanya tidak asing jika ia dilakukan oleh Jamal Md Yunos atau pemimpin kelas rendah lain yang setaraf dengannya.

Dengan Najib sendiri turut berbuat demikian menunjukkan beliau telah merendah-rendahkan kedudukan dirinya, selain memperlihatkannya berada pada tahap tertekan dan jiwa kacau yang teruk dan tidak sesuai lagi tinggal di Seri Perdana.

Dalam perutusannya kali ini, Najib bukan saja menghentam pembangkang, khususnya Tun Mahathir yang disifatkannya cuba menggulingkan kerajaan demi cita-cita peribadi, malah menjelaskan keputusan kerajaan mewujudkan RCI forex adalah sebagai menyahut desakan yang pernah dibuat oleh Lim Kit Siang.

Tidakkah hujah Najib itu tidak masuk akal?

Apa lagi cita-cita peribadi yang mahu dicapai oleh Tun Mahathir yang sudah berusia 93 tahun dan pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun?

Selain itu, jika benar RCI forex ditubuhkan kerana menyahut desakan Kit Siang yang pernah bersuara puluhan tahun dulu mengenainya, kenapa Najib tidak berani menubuhkan RCI berkaitan 1MDB dan dana RM2,600 yang ada dalam akaun bank peribadinya sedangkan perkara tersebut sedang didesak sekarang ini oleh tokoh DAP itu?

Tidakkah alasan dan hujah Najib itu menunjukkan beliau sebenarnya berada pada tahap tertekan dan celaru yang amat luar biasa?

Seorang pemimpin yang stabil pasti tidak akan menggunakan desakan Kit Siang itu sebagai hujah berkaitan RCi forex kerana ia bukan saja mudah difahami sebagai penipuan di siang hari, malah akan membuatkan sesiapa pun mengaitkannya dengan RCI tentang 1MDB dan berbilion wang dalam akaun peribadinya sendiri.

Dalam masa yang sama, Najib juga memuji Hadi sebagai pembangkang yang didakwanya bersikap baik dalam perutusan tahun barunya kali ini.

Hadi sebenarnya bukanlah pembangkang yang baik, tapi sekarang sudah bertukar menjadi rakan kongsi kepada Najib.
Sebab itu, beliau selalu sambil lewa dalam tugasnya sebagai Ahli Parlimen seperti kerap ponteng dan jarang mengambil bahagian dalam perbahasan isu-isu penting yang melibatkan rakyat.

Kenapa hanya sekarang Hadi jadi begitu?

Adakah dulu beliau merupakan pembangkang yang baik?

Siapakah yang merosakkan perpaduan dan keharmonian masyarakat dengan melabelkan orang Islam lain sebagai kafir, taghut serta meletakkan label-label keras kepada pihak lain dalam ceramah-ceramahnya  kalau bukan Hadi dan Pas?

Berubahnya Hadi dan tiba-tiba dipuji Najib sebagai pembangkang yang baik, barangkali hanya mereka berdua dan Tuhan saja yang mengetahui sebab-sebabnya.

Meskipun demikian, yang nyata di depan mata kita, perlakuan Najib menjelang ketibaan ambang tahun 2018 ini menunjukkan kita tidak perlu berfikir panjang lagi untuk menyingkirkan beliau bila tiba masanya nanti. 

Kita amat memerlukan Perdana Menteri yang stabil, tenang dan tidak mengalami jiwa kacau, selain berwibawa, dipandang tinggi serta dihormati dalam dan luar negara, meskipun mungkin lebih berusia. (ShahbudinHusin 31/12/2017).

SELAMAT TAHUN BARU, AZAM MENYINGKIRKAN NAJIB PALING SESUAI MENYAMBUT KEDATANGAN 2018


Hari ini adalah hari terakhir dalam tahun 2017 dan bermula jam 12.01 minit tengah malam nanti, semua kita akan menyambut kedatangan tahun baru 2018.


Tahun 2017 mencatat banyak sejarah duka kepada rakyat dan negara negara, lebih-lebih lagi dalam perkara-perkara yang dikaitkan dengan Najib Razak.


1Malaysia yang dulu dibangga-banggakan untuk disebut dan diucapkan sudah lama tidak kedengaran dan secara senyap-senyap telah ditukar kepada 1Negara.


Lebih dari itu, kedai runcit 1Malaysia dan kedai buku 1Malaysia pula sudah “tutup kedai” secara rasmi kerana pelbagai masalah operasi yang dihadapi.


1Malaysian Development Bhd atau 1MDB, sebagaimana yang diperkatakan di seluruh dunia dan disedari oleh kita semua, akan terus menghantui masa depan Najib kerana melalui syarikat itulah bertapaknya skandal dan dosa yang tidak mungkin dimaafkan oleh rakyat Malaysia, kecuali beliau dapat dihumban dari puncak kuasa.

Di sebalik gegak-gempita kononnya ekonomi negara stabil dan pertumbuhannya sentiasa sihat serta menaik di bawah Najib yang digelar menukar demokrasi kepada kleptokrasi, MITI akhirnya mengesahkan lapan kilang mutinasional sudah pun menutup operasinya di negara kita.


Apakah petanda semua itu?


Untuk tahun 2018 mendatang, tidak mustahil cabaran yang lebih getir sedang menanti kita semua.


Maka, tahun 2018 juga adalah tahun untuk kita sebagai rakyat yang telah dibebankan dengan GST dan hutang negara hampir mencecah 1 triliion, untuk membuat pilihan dan pertimbangan pula.


Pernahkah setiap kali kedatangan tahun baru sebelum ini, kita sentiasa memasang azam, baik untuk diri sendiri, keluarga, karier dan sebagainya, tetapi sasarannya tidak pernah mengena?


Jadi, sesuai dengan 2018 yang merupakan tahun untuk rakyat membuat pilihan, apa azam paling wajar untuk kita tanam dan tekadkan dalam diri kita?


Apa kata untuk 2018 ini, semua kita mempunyai azam yang sama iaitu untuk menyingkirkan Najib dan seterusnya menumbangkan UMNO serta BN dan sepertimana kata Nurul Izzah, menjadikan beliau diktator terakhir dalam sejarah Malaysia.


Percayalah, inilah azam paling terbaik, tidak saja untuk negara, tetapi juga untuk diri sendiri, keluarga, karier serta masa depan anak-anak kita semua.


Yang lebih penting, inilah juga azam paling mungkin menjadi kenyataan bagi rakyat Malaysia pada tahun 2018 nanti.


Jika sebelum ini banyak azam kita tidak pernah menjadi kenyataan, inilah masanya untuk kita paling mungkin  menyaksikan satu azam menjadi realiti  dalam kebersamaan bersama majoriti rakyat Malaysia yang lain.


Ayuh kita mula  tanamkan azam itu dalam hati kita sekarang juga!!! (ShahbudinHusin 31/12/2017).

Saturday 30 December 2017

BERSATU ADALAH PARTI MASA DEPAN UNTUK MALAYSIA, ADAKAH UMNO MENYESAL MELULUSKAN PENDAFTARANNYA DAHULU?


Sesiapa yang biasa hadir dalam Perhimpunan Agung UMNO sebelum parti itu tercemar dengan imej skandal dan kleptokrasi yang dibawa oleh Najib Razak, pasti dapat merasakan ia seolah-olah telah menjelma semula dalam Perhimpunan Agung Tahunan atau PAT Bersatu kali pertama yang diadakan di IDCC, Shah Alam hari ini.

Dengan kehadiran hampir 100 peratus perwakilan daripada 137 bahagian yang sudah diwujudkan, ditambah ribuan pemerhati yang turut hadir dan sebahagiannya tidak dapat memasuki dewan kerana tempat duduk yang terhad, disertai dengan semangat perjuangan membara untuk menyelamatkan negara bersama-sama Pakatan Harapan, PAT ini adalah satu lagi simbol kejayaan kepada Bersatu sebenarnya.

Jika sebelum ini ramai yang memperlekeh impian Bersatu untuk menyelamatkan negara sambil mengaitkannya dengan ketiadaan PAT sejak parti itu diluluskan oleh ROS lebih setahun yang lalu, segala kata-kata cemuhan itu kini terpadam dengan sendirinya.

Bukan saja kehadiran ribuan pewakilan dan pemerhati yang menjadi kebanggaan, lebih daripada itu ialah semangat yang ditunjukkan oleh mereka yang menghadirinya dengan tanggungan sendiri.

Dari wajah dan cara berbual sesama sendiri yang didengari di beberapa sudut di dalam dan di luar dewan, jelas terpancar keinginan yang tinggi di kalangan mereka untuk menyelamatkan negara ini daripada kerosakan yang diakibatkan oleh Najib, UMNO dan BN.

Dalam UMNO, semangat untuk menyelamatkan negara dan bangsa sudah tidak kedengaran lagi dalam PAU yang mereka adakan sejak tahun-tahun kebelakangan ini. 

Kali terakhir semangat itu ada ialah ketika UMNO masih dipimpin oleh Tun Mahathir Mohamad dahulu. PAU sekarang sudah diganti dengan pujian dan ampuan untuk menyelamatkan Najib dengan harapan sesiapa yang berbuat demikian akan beroleh jawatan, kedudukan, kontrak atau dedak daripada pemegang kuasa di Perdana Putra.

Lantaran itu, tidak menghairankan jika UMNO sebenarnya amat bimbang dan takut dengan kemunculan Bersatu ini. Jika dalam PAT mereka sudah menunjukkan semangat dan keinginan yang tinggi untuk menyelamatkan negara, sudah pasti ia akan turut dijelmakan dalam kerja-kerja pilihanraya nanti.

Kata-kata semangat yang yang disampaikan oleh Tun Mahathir dan Muhyiddin Yassin dalam ucapan masing-masing pula cukup membanggakan dan dapat memberi suntikan semangat yang tinggi kepada ahli-ahli Bersatu di semua peringkat.

Jika dulu kata-kata semangat seperti itu biasa kedengaran dalam UMNO, tetapi kini sudah tiada lagi dan kini ia muncul kembali dalam Bersatu.

Cuba kita bandingkan ucapan Najib, Zahid Hamidi,  Hishammuddin Hussein dan lain-lain pemimpin dalam PAU, bukan saja hambar dan kosong, malah hampir tiada lagi kata-kata perjuangan ke arah menyelamatkan agama, bangsa dan negara. 

Yang lebih direbutkan ialah siapa paling kuat mengampu, membodek dan memuji Najib. Ini kerana yang mahu mereka selamat dan diutamakan hanyalah Najib yang namanya sudah pun tercemar dan menjadi kotor hingga ke seluruh pelusuk dunia, bukan negara yang sudah rosak dan binasa.

Menyaksikan semangat tinggi dalam PAT Bersatu ini juga secara tidak langsung memberi kefahaman kepada kita mengapa Jabatan Pendaftar Pertubuhan atau ROS sejak akhir-akhir ini bagaikan sengaja cari pasal untuk membatalkan pendaftaran parti itu.

Ada saja salah dan silap yang tidak kena di mata ROS. Surat-surat yang dihantar untuk meminta penjelasan atau pemakluman pula langsung tidak dijawab, sebaliknya hanya didiamkan begitu saja.

ROS ini bekerja untuk siapa dan adakah wang daripada sumber UMNO dan BN yang membayar gaji-gaji mereka?

Atau melihat kepada sambutan dan penerimaan rakyat selama ini, ROS seperti menyesal meluluskan pendaftaran Bersatu kerana ia kini semakin hampir untuk menimbus dan mengambus UMNO ke liang lahad dalam PRU 14 akan datang? 

Apakah membatalkan pendaftaran Bersatu yang dituruti dengan tiada kelulusan diberikan kepada Pakatan Harapan benar-benar dapat menyelamatkan UMNO dan BN atau ia akan melonjakkan lagi simpati serta kemarahan rakyat yang mana  akhirnya kejatuhan sebuah kerajaan yang mungkar tidak dapat dielakkan lagi? (ShahbudinHusin 30/12/2017)

GAMBAR2 SEKITAR PERHIMPUNAN AGUNG PPBM (BERSATU) KALI YANG PERTAMA


Hari ini berlangsung Perhimpunan Agung Tahunan PPBM kali yang pertama di IDCC, Shah Alam, Selangor. Gambar-gambar di bawah ini mampu menceritakan betapa meriah dan gahnya perhimpunan tersebut serta begitu bersemangatnya ahli-ahli PPBM dalam perjuangan bersama wadah baru ini.












Ulasan selanjutnya mengenai perhimpunan ini akan menyusul kemudian. (ShahbudinHusin 30/12/2017)

Friday 29 December 2017

PUTRAJAYA, LANGKAWI, MERBOK - MANA PUN KAWASAN PILIHAN TUN MAHATHIR, PERDANA MENTERI BARU GANTI NAJIB TETAP AKAN LAHIR DI SITU


Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Mahathir Mohamad kini sudah hampir pasti akan dinamakan sebagai calon Perdana Menteri bagi pertaruhan gabungan itu untuk menyingkirkan Najib Razak dan menumbangkan BN dalam pilihanraya akan datang.

Ia hanya menunggu untuk diumumkan secara rasmi dalam Konvensyen Pakatan Harapan yang dijangka akan diadakan pada awal Januari 2018 mendatang.

Gandingan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri pula ialah Presiden PKR, Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Pemilihan Tun Mahathir itu secara tidak langsung mula menggerunkan UMNO dan BN kerana di antara beliau dan Najib, secara logiknya tidak sukar lagi untuk rakyat membuat pilihan lantaran perbandingannya sudah jadi antara permata dengan kaca.

Susulan itu, jentera propaganda UMNO dan BN sekarang ini mulai menggerakkan usaha memperlekehkan usia Tun Mahathir yang sudah mencecah 93 tahun itu dengan mendakwa ia sebagai langkah ke belakang dan tidak relevan dalam konteks memilih pemimpin untuk menerajui negara.

Soalnya, adakah mengekalkan lagi "kaca yang sudah calar-calar, retak, malah kotor" sebagai pilihan yang tepat dan sangat relevan?

Selain itu, serangan berterusan pemimpin dan jentera mengenai usia Tun Mahathir lebih mengesahkan kebimbangan serta ketakutan mereka.

Jika benar UMNO dan BN tidak tergugat dengan pemilihan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan, mereka seharusnya gembira dan bersyukur, bukannya menzahirkan perasaan susah hati dan gundah gulana sepanjang masa.

Setelah nama Tun Mahathir hampir disahkan sebagai calon Perdana Menteri, satu lagi perkara yang menimbulkan kebimbangan kepada UMNO dan BN ialah di kawasan mana beliau akan bertanding dalam pilihanraya akan datang.

Oleh kerana sudah dinamakan bakal menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir wajib bertanding dan seterusnya mesti menang dalam pilihanraya akan datang.

Sehingga ini dilaporkan beberapa kawasan menjadi pertimbangan serta intaian untuk ditandingi oleh Tun Mahathir - antaranya Putrajaya, Langkawi atau Merbok.

Ketiga-tiga kawasan tersebut kini diwakili oleh BN - Tengku Adnan Tengku Mansor di Putrajaya, Nawawi Ahmad di Langkawi dan Dr. Ismail Daut di Merbok.

Putrajaya dan Langkawi menjadi pilihan kerana kedua-dua kawasan itu begitu sinonim dengan jasa dan sumbangan besar Tun Mahathir ketika beliau menjadi Perdana Menteri dahulu, meskipun majoriti pengundinya adalah kakitangan kerajaan dan orang-orang Melayu yang kebiasaannya lebih mudah ditekan atau digula-gulakan oleh UMNO dan BN.

Apa macam Ku Nan, sediakah untuk berdepan dengan Tun Mahathir kali ini?

Lupakah Ku Nan bagaimana dalam PRU 13 lalu beliau tercungap-cungap akibat ditentang oleh Husam Musa dan akhirnya kemenangannya banyak disumbangkan melalui kempen saat-saat akhir oleh Tun Mahathir dan Tun Daim Zainuddin, sedangkan kali ini bekas Perdana Menteri sendiri berlawan dengannya?

Kesediaan Tun Mahathir bertanding dengan misi mesti menang di Putrajaya dengan sendirinya akan melonjakkan imej Pakatan Harapan, malah kekalahan BN di kawasan itu akan membunuh moral kerajaan pimpinan Najib secara keseluruhannya.

Apa khabar pula buat Nawawi Ahmad yang diketahui umum selalu tampil dengan idea-idea pelik dan kelakar jika beliau terpaksa berdepan dengan Tun Mahathir yang genius di Langkawi?

Adakah peluh dinginnya sudah mula memercik di seluruh tubuhnya sekarang ini?

Dalam pada itu, satu kawasan lain yang turut mendapat fokus untuk ditandingi oleh Tun Mahathir ialah Merbok, juga di Kedah. 

Kawasan ini menjadi pilihan kerana Tun Daim pernah beberapa penggal menjadi wakil rakyatnya , malah salah seorang anak Tun Mahathir, Mokhzani juga pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO di situ suatu waktu dahulu.

Dengan faktor Tun Daim dan Mokhzani pernah berjasa serta masih ada rangkaian penyokong setia di Merbok, di samping kedudukannya sebagai  kawasan yang memiliki pengundi campuran, kelebihan memang nyata berpihak kepada Pakatan Harapan untuk menang dalam pilihanraya akan datang.

Lebih-lebih lagi jika Tun Mahathir sebagai calonnya dan bakal menjadi Perdana Menteri pula, tidak mungkin pengundi Merbok tidak mahu berduyun-duyun memenangkannya.

Apa pun, sama ada di Putrajaya, Langkawi atau Merbok, semuanya adalah kawasan selamat bagi Tun Mahathir, malah di situlah nanti akan munculnya seorang Perdana Menteri bersama Pakatan Harapan yang akan menumbangkan Najib dan mengalahkan UMNO serta BN.

Kunci PRU 14 akan datang mudah saja, rata-rata pengundi sudah bosan serta meluat dengan Najib dan mereka hanya menunggu kertas undi untuk menzahirkan perasan itu. (ShahbudinHusin 29/12/2017).

JOM KITA CIPTA SEJARAH BARU UNTUK MALAYSIA!!

Kebulatan kata yang akhirnya setuju menamakan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sementara sebaik Pakatan Harapan memenangi PRU 14 akan datang, bukan saja berita baik untuk sesiapa saja yang mahukan perubahan, bahkan merupakan peluang terbuka untuk mencipta sejarah tersendiri buat negara.

Dari segi rekod, kemampuan, ketajaman fikiran, penerimaan antarabangsa, malah budi bahasa dengan tidak pernah mengungkapkan perkataan "bangang", "haram jadah" atau "kepala bapak" kepada sesiapa,mTun Mahathir tentu saja jauh lebih baik berbanding Najib.

Lebih dari itu, dalam usianya sekarang, tiada apa lagi yang hendak dikejarnya selain untuk menyelamatkan Malaysia semata-mata. 

Ia berbeza dengan Najib yang mahu menjadi Perdana Menteri di mana keutamaannya adalah untuk menyelamatkan dirinya sahaja.

Maka, memilih Tun Mahathir dan Pakatan Harapan adalah memilih kebaikan untuk diri kita semua, berbeza dengan memilih Najib, UMNO dan BN adalah petaka untuk masa depan anak-anak serta generasi seterusnya di sebalik Najib dan Jho Lowa akan terlepas begitu saja.

Selain itu, dengan memilih Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri juga, beberapa sejarah turut mampu dicipta.

Pertama, buat julung kalinya seseorang dipilih buat kali kedua untuk menerajui negara di mana sebelum ini Tun Mahathir pernah 22 tahun menjadi Perdana Menteri, dengan tunjang perjuangannya kali ini adalah untuk menyelamat dan memulihkan negara semata-mata.

Kedua, ia menjadikan Tun Mahathir dalam usianya mencecah 93 tahun  kembali disandarkan harapan akibat terlalu banyak kerosakan yang dilakukan oleh Najib yang lebih muda usianya.

Ketiga, menjadikan Najib sebagai Perdana Menteri pertama yang hilang kuasanya melalui pilihanraya, sekaligus hilang jawatannya di singgahsana kuasa Putrajaya.

Keempat, menjadikan Najib sebagai satu-satunya bekas Perdana Menteri yang tidak menentu nasibnya, sama ada bebas merdeka atau bakal menghuni penjara, selepas tidak lagi berkuasa.

Sebaliknya, tiada apa-apa sejarah dapat dicipta dengan mengekalkan lagi Najib, selain hanya kita yang akan menempah sejarah duka untuk diri sendiri buat selama-lamanya, bukan saja kerana menanggung hutang negara, malah terbeban dengan pelbagai kesukaran yang tidak diketahui bila titik akhirnya.

Lalu, jom sama-sama kita cipta sejarah baru untuk Malaysia pada PRU 14 akan datang nanti. Hanya dengan keberanian mencipta sejarah membawa keseronokan dan erti kejayaan dalam perjuangan. (ShahbudinHusin 29/12/2017).

Thursday 28 December 2017

SELEPAS CHINA, CHINA DAN SEKALI LAGI CHINA JUGA....

Menurut laporan sebuah akhbar Singapura, pelupusan aset 1MDB kepada sebuah syarikat China telah membantu mengumpul dana untuk membayar hutang syarikat pelaburan itu yang berjumlah AS$602.7 juta kepada IPIC yang perlu dijelaskan sebelum hujung tahun ini.

Bagi tujuan itu, 1MDB dikatakan menjual instrumen kewangan dan kepentingan dalam dua entiti yang menguasai tanah di Selangor dan Pulau Pinang kepada syarikat China tersebut.

Tanah milik 1MDB di Air Hitam, Pulau Pinang adalah seluas 234 ekar, manakala di Pelabuhan Kelang, Selangor pula luasnya 310 ekar.

Sebetulnya saya sudah menulis mengenai perkara ini dalam posting bertajuk "BERITA MENARIK YANG TIDAK MENARIK" pada 21 Disember lalu sebaik dilaporkan 1MDB telah menjelaskan hutangnya kepada IPIC lebih awal daripada tarikh 31 Disember sebagaimana yang ditetapkan.

Ditulis dalam posting tersebut bahawa dengan lengkapnya pembayaran oleh 1MDB kepada IPIC itu, bermakna secara rasminya lenyap dan lupuslah wang yang tersalah bayar kepada syarikat Aabar palsu sebelum ini.

Dengan itu, ia sekaligus adalah berita sedih buat kita semua kerana duit yang tersalah bayar itu akan kekal hilang buat selama-lamanya.
Selain itu, dengan adanya bantuan daripada syarikat China kali ini, setelah bayaran pada Julai lalu tertangguh selama sebulan dan kemudian dikenakan bayaran tambahan AS$50 juta, secara tidak langsung memungkinkan penguasaan negara itu pada skala yang lebih besar dalam prospek ekonomi negara selepas ini.

Posting penuh tulisan berkenaan boleh dibaca di sini - http://shahbudindotcom.blogspot.my/2017/12/berita-menarik-yang-tidak-menarik.html

Apa yang nyata juga, dengan sekali lagi mendapat bantuan daripada China, setelah sebelum ini Edra Energy dan Bandar Malaysia turut dijual kepada China, bermakna pergantungan dan hutang budi 1MDB kepada China jadi semakin membesar.

Apakah China SeChina-Chinanya akan terus menguasai negara kita sekiranya Najib, UMNO dan BN terus berkuasa? (ShahbudinHusin 28/12/2017).

SELAIN 1MDB, ISU TANAH FELDA AKAN MEMUDAHKAN LAGI NAJIB TERSUNGKUR DARIPADA SINGGAHSANA PUTRAJAYA


Walaupun Najib Razak sudah sedia terbelit dengan pelbagai isu dan masalah sejak menjadi Perdana Menteri pada 2009, penolakan yang lebih besar terhadapnya bermula sebaik meletusnya skandal 1MDB dan pendedahan tentang kemasukan wang RM2,600 juta ke dalam akaun peribadinya.

Sehingga sekarang pun, isu 1MDB dan derma RM2,600 juta itu terus menghantui UMNO dan BN serta membuatkan Najib masih dalam kesamaran sama ada mampu memenangi pilihanraya akan datang atau sebaliknya.

Isu itu secara umumnya membuatkan pengundi bandar, separa bandar, golongan pertengahan, orang muda dan bukan Melayu tidak lagi dapat menerima Najib sebagai Perdana Menteri untuk tempoh yang lebih lama.

Rata-ratanya  golongan tersebut sudah membuat keputusan siapa pilihan mereka dan hanya menunggu masa saja lagi untuk membuktikannya di kertas-kertas undi.

Dengan ketiadaan sokongan pengundi bandar, separa bandar, golongan pertengahan, orang muda dan bukan Melayu itu, satu-satunya penyendal yang tinggal buat UMNO dan BN daripada kuasa terus tertanggal ialah sokongan pengundi Melayu luar bandar dan peneroka Felda. 

Seperti biasa, umpan yang selalu digunakan untuk menjinakkan golongan ini ialah menakut-nakutkan mereka tentang DAP sambil menaburkan pelbagai habuan berupa wang atau imbuhan.

Tetapi, beban kenaikan kos sara hidup dan cukai GST sedikit-sebanyak mula melunturkan sokongan mereka kepada UMNO, BN dan kerajaan. 

Tambahan lagi janji Pakatan Harapan untuk menghapuskan GST dan menstabilkan harga minyak sebaik mengambil alih Putrajaya dilihat suatu kelegaan kepada beban kos sara hidup yang mereka tanggung selama ini.

Bagi peneroka Felda pula, meskipun pelbagai skandal, kerugian dan kehilangan wang membabitkan agensi itu terus berlaku, UMNO selalu mempunyai kelebihan dalam mendapatkan sokongan mereka atas kedudukan sebagai kerajaan yang sedang berkuasa.

Selain menakut-nakutkan tentang DAP, pelbagai tawaran dan imbuhan adalah mainan yang selalu digunakan untuk menjinakkan sokongan golongan peneroka kepada UMNO dan BN.

Selebihnya, didendangkan juga bahawa kononnya hanya UMNO dan BN saja yang dapat menjaga kebajikan golongan peneroka berbanding Pakatan Harapan yang belum diketahui kemampuannya.

Namun demikian, kehadiran Tun Mahathir mula menarik lebih sokongan golongan peneroka kepada Pakatan Harapan. Dalam beberapa kunjungan dan ceramah Pengerusi Pakatan Harapan itu ke kawasan-kawasan Felda, ribuan hadirin yang hadir adalah bukti bahawa golongan peneroka sudah mula mencelikkan mata mereka.

Sebelum ini tidak pernah program Pakatan Harapan mendapat sambutan yang melimpah di kawasan Felda, tetapi sejak adanya Tun Mahathir bersama gabungan pembangkang, semuanya sudah mula berubah.

Isu tanah Felda yang terlepas ke tangan sebuah syarikat swasta dalam keadaan mencurigakan sebagaimana ia menjadi isu hangat sekarang adalah satu lagi kelebihan yang ibarat bulan jatuh ke riba bagi Pakatan Harapan. 

Ramai peneroka didapati marah dan kecewa kerana di sebalik UMNO dan kerajaan mendabik dada sebagai pembela mereka,  dalam masa yang sama merekalah juga yang penggadainpaling bahaya.

Skandal terbaru Felda itu kini memungkinkan 54 kawasan Parlimen yang selama ini ditentukan kemenangannya oleh undi peneroka mula bergoyang dan tidak lagi selamat.

Dalam hal ini, jika kita masih ingat dalam manifesto Pakatan Harapan yang dibentangkan pada Oktober lalu, antara komitmen yang dijanjikan ialah menubuhkan RCI berkaitan 1MDB dan Felda selepas 100 hari mereka berjaya mengambil alih kerajaan.

Meskipun ketika komitmen itu dibentangkan, isu tanah Felda ini belum muncul lagi, tetapi ia dengan sendirinya menunjukkan Pakatan Harapan benar-benar serius, bukan saja untuk menangani semua isu Felda, bahkan juga untuk mengembalikannya sebagai institusi penting kepada negara serta terus bermanfaat kepada peneroka.

Maka, dengan terus memanfaatkan isu tanah Felda ini dengan sebaik-baiknya, di samping tidak melupakan isu 1MDB dan derma RM2,600 juta sebagai senjata utama menghadapi pilihanraya akan datang, Pakatan Harapan sebenarnya sedang berada di landasan yang betul untuk mencapai kejayaan menyelamatkan negara ini.

Isu tanah Felda ini yang mula didedahkan oleh media kerajaan sendiri pada hakikatnya sedang merobek secara perlahan-lahan satu-satunya asas yang selama ini penyelamat kepada kedudukan UMNO dan BN. 

Jika 15 atau 20 daripada 54 kerusi Felda saja pun dapat beralih berikutan kekecewaan, kemarahan dan sakit hati peneroka berhubung isu tanah tergadai itu, ia sudah lebih daripada cukup untuk membuatkan Najib tersungkur lebih awal daripada persada kuasanya. (ShahbudinHusin 28/12/2017).

Wednesday 27 December 2017

APA NASIB ISA SAMAD KALI INI?

Menurut apa yang dinyatakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Noor Rashid Ibrahim, bekas Pengerusi Felda, Isa Samad akan dipanggil minggu depan bagi diambil keterangannya berhubung kehilangan tanah agensi itu di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

"Siasatan awal mendapati Isa adalah individu penting yang boleh membantu siasatan dalam kes tanah Felda tersebut.

"Beliau adalah Pengerusi Felda ketika itu dan ada kaitan dengan keputusan yang telah dibuat, maka beliau mesti disiasat," katanya lagi.

Sebelum ini, berhubung siasatan SPRM berkaitan pembelian hotel Felda di London dan Kuching yang didakwa melebihi harga pasaran, beliau sudah pun ditahan reman selama lima hari oleh agensi penguatkuasa anti rasuah tersebut.

Tetapi, sehingga kini tiada khabar berita mengenai perkembangan kes tersebut dan difahamkan SPRM masih memerlukan lebih banyak bukti untuk tindakan seterusnya.

Bagaimana nasib Isa kali ini dan untuk itu, mari kita meneka-neka apakah yang bakal menimpanya pada minggu depan nanti?

Adakah beliau hanya akan diambil keterangannya untuk beberapa jam dan kemudian dilepaskan?

Apakah selepas diambil keterangan, siasatan akan diteruskan dengan  beliau disambung untuk ditahan reman bagi beberapa hari lagi?

Mungkinkah juga selepas keterangannya diambil atau ditahan reman itu,  pendakwaan akan dengan pantas menyusul selepasnya?

Yang mana satu paling mungkin agaknya? (ShahbudinHusin 27/12/2017).

APA PUN PENYUDAHNYA, ISU TANAH FELDA TETAP UNTUNGKAN TUN M DAN PAKATAN HARAPAN


Semua pihak kini ternanti-nanti apakah kesudahannya berhubung isu tanah Felda yang dikatakan telah berpindah milik ke tangan pihak lain setelah Najib Razak mengarahkan siasatan serta-merta dan kemudian pihak polis menubuhkan pasukan petugas khas berkenaan dengannya.

Apakah bekas Pengerusi Felda, Isa Samad akan ditahan sekali lagi setelah dalam kes pembelian hotel di London dahulu beliau sudah pun direman selama lima hari oleh SPRM?

Selain Isa Samad, adakah pegawai-pegawai tinggi Felda turut akan ditahan dan direman?

Bagaimana dengan pemilik syarikat yang memindahkan tanah Felda itu menjadi miliknya, apakah beliau pun akan ditahan sama?

Dalam sekian banyak perbualan, sama ada dengan mereka yang berada dalam UMNO atau Pakatan Harapan, rata-ratanya percaya bahawa Isa Samad akan ditahan sekali lagi dalam kes ini.

Kata mereka, Isa Samad akan ditahan bukan saja untuk menunjukkan Ahli Parlimen Jempol itu yang bersalah, sesuai dengan kecenderungan yang ditunjukkan oleh Pengerusi Felda, Shahrir Samad dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga agensi tersebut, Razali Ibrahim dalam sidang akhbar mereka baru-baru ini, malah untuk menunjukkan UMNO dan kerajaan pimpinan Najib benar-benar serius dalam menangani rasuah serta penyelewengan.

Langkah itu dikatakan perlu untuk Najib menghadapi PRU 14 akan datang di sebalik timbunan isu dan skandal lain yang berkaitan diri, keluarga dan kepimpinnanya selama ini.

Dalam erti kata lain, penahanan Isa semata-mata sebagai "kambing hitam"  menjelang PRU 14 dan kesnya selepas itu tentu saja bergantung kepada sama ada BN kekal berkuasa lagi atau sebaliknya.

Jika dengan dikambing-hitamkan itu mampu membuatkan Najib, UMNO dan BN mengekalkan kuasanya, kebarangkalian Isa dibebaskan selepas itu adalah tinggi.

Tetapi, ia akan membuatkan imej Isa sudah pun dikotori serta tidak mampu dipulihkan lagi.

Bagaimanapun, risiko yang menanti Isa akan menjadi lebih besar jika Pakatan Harapan berjaya menumbangkan BN kerana kerajaan baru nanti pasti akan bersungguh-sungguh memastikan kes itu berjaya sehingga ke peringkat sabitan hukuman.

Dalam hal ini, menahan dan seterusnya mendakwa Isa, meskipun dilihat mampu melonjakkan nama Najib, tetapi ia juga boleh jadi akan menjadi senjata yang memakan diri kepada UMNO dan BN, malah mungkin memangsakan Isa.

Ini kerana Isa adalah kawan rapat Najib, beliau juga dilantik oleh Najib, Felda sendiri terletak di bawah jagaan Najib dan penahanan atau pendakwaan kepada Isa akan secara langsung mengaitkan nama Najib sama.

Tidak mungkin Najib tidak tahu langsung apa yang berlaku dalam Felda?

Dalam konteks yang bertentangan pula, apakah Isa hanya akan menyerah saja apabila sedar dirinya akan "dikambing-hitamkan" oleh Najib, UMNO dan BN?

Mungkinkah Isa akan melawan dengan mendedahkan pelbagai isu dan campurtangan lain yang melibatkan Najib atau Seri Perdana dalam pelbagai urusan dalam Felda?

Burung-burung yang berkicau sudah pun mula memberi khabar bahawa isu tanah ini bukanlah letupan terakhir apa yang disebut sebagai skandal yang meletus dalam Felda, malah dikatakan ada beberapa kes lagi mungkin akan terdedah selepas ini.

Sediakah Najib menghadapi segala  kemungkinan itu?

Berdasarkan hakikat itu, tidak mustahil isu tanah Felda ini akhirnya akan senyap begitu saja kerana kebimbangan Najib terhadap kesan lebih besar akan menimpanya dalam pilihanraya nanti.

Apa pun, oleh kerana Felda ini terkait secara langsung dengan Najib, sama ada menahan dan mendakwa Isa atau menjadikan kes tanah itu senyap begitu saja, ia tetap merugikan UMNO dan BN.

Menahan dan mendakwa Isa akan menyerlahkan lagi hakikat busuknya wajah kepimpinan UMNO dan BN selama ini,  di sebalik timbunan kebusukan lain yang cuba disembunyikan dan diberi pelbagai semburan pewangi.

Sudah tentu jika faktor itu yang menjadi sebab rakyat menolak UMNO dan BN, yang paling terkesan ialah "kepala bapaknya" iaitu Najib sendiri.

Sementara melepas dan tiada apa-apa tindakan diambil terhadap Isa, setelah UMNO sendiri yang menghebohkannya, tanggapan ramai adalah Najib hanya cuba bermain wayang dengannya.

Apa pun sudahnya kes tanah Felda ini,  yang untung akhirnya ialah Tun Mahathir yang mahu menumbangkan Najib dan Pakatan Harapan yang bakal menggantikan BN selepas pilihanraya nanti.

Sama ada Isa kena atau tak kena, sokongan pengundi kepada BN pasti akan merosot dengan teruknya.

Mungkinkah semua ini merupakan petunjuk Tuhan yang menandakan akan berakhirnya pemerintahan UMNO dan BN? (ShahbudinHusin 27/12/2017).

Tuesday 26 December 2017

SAMPAI MASANYA PENEROKA FELDA PERLU BERANI BERUBAH


Menurut beberapa kenalan di tanah rancangan Felda, isu tergadainya tanah milik agensi itu di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang didedahkan baru-baru ini telah menjadi perbualan hangat di kalangan penghuninya.


Mereka bukan saja memperkatakannya di kedai-kedai kopi atau dalam perbualan sesama sendiri, malah bagi yang memiliki telefon pintar turut berpeluang menatap pelbagai berita dan video lain berkenaan perkara itu.


Secara mudahnya, rata-rata berasa marah, kecewa dan sakit hati dengan apa yang berlaku itu. Ramai peneroka merasakan titik peluh mereka langsung tidak dihargai lantaran satu demi satu episod duka berlaku dalam Felda yang secara tidak langsung merugikan mereka.


Meskipun dikhabarkan usaha sedang dilakukan untuk mengembalikan semula tanah tersebut kepada dakapan Felda, ramai yang percaya kalau pun berjaya dilakukan, ia tentulah tidak percuma. Mahu tidak mahu, kerugian dana Felda tetap akan berlaku juga akhirnya.


Namun demikian, dalam menerima pelbagai catatan duka itu, apakah sikap dan pendirian peneroka Felda sebenarnya?


Apakah perasaan marah, kecewa dan sakit hati itu akan berkekalan sehingga ke peti undi atau segera hilang apabila datang pujuk rayu yang disertai sedikit buah tangan seperti tahun-tahun dahulu?


Undi peneroka Felda menjadi penentu kepada 54 daripada 222 kawasan Parlimen di seluruh negara. Daripada jumlah itu, hanya empat atau lima kawasan yang berjaya ditembusi oleh pihak lawan.


Bermakna, sebagaimana pentingnya Sabah dan Sarawak yang  dikatakan sebagai simpanan tetap kepada kelangsungan hayat politik BN, kedudukan peneroka Felda juga tidak kurang mustahaknya.


Tanpa sokongan peneroka Felda yang kekal setia sejak dulu, barangkali sudah lama UMNO dan BN kehilangan kuasanya serta tinggal sejarah semata-mata.


Meskipun setia sepanjang masa,  kesetiaan peneroka itu tidak dibalas dengan sewajarnya oleh UMNO dan BN. Madu yang diberi, racun yang sering dijadikan balasan.


Sejak 2003 hinggalah sekarang apabila Felda diletakkan dibawah jagaan Najib, satu demi satu episod duka, kerugian dan kehilangan wang berlaku dalam agensi itu.


Penyenaraian FGV, pembelian pelbagai hartanah dan hotel di dalam serta luar negara, pengambilalihan syarikat, menjadi lubuk orang-orang politik membuat wang dan terbaru tanahnya berpindah tangan kepada sebuah syarikat swasta, semua itu adalah antara rentetan duka yang berlaku dalam Felda sehingga tabungan yang dulunya dikatakan berjumlah hampir RM7 bilion, tetapi kini dikatakan hanya tinggal kira-kira RM200 juta saja lagi.


Kenapakah semua ini hanya berlaku ketika Felda berada di bawah jagaan Najib dan tidak pada waktu-waktu sebelumnya?


Jika dulu Felda berada di bawah sebuah kementerian, tetapi kini dengan diletakkan dibawah Jabatan Perdana Menteri sejak 2003, ikut logiknya agensi itu tentulah lebih berkembang, lebih untung dan lebih banyak simpanan dalam tabungannya.


Hairannya, makin berada di bawah naungan TPM dan kini PM, makin rugi, makin kelam-kabut dan makin banyak wang serta harta miliknya yang lesap.


Lantaran itu, apa yang berlaku dalam kes tanah Felda di Jalan Semarak ini harus dilihat dalam konteks yang lebih luas oleh para peneroka. 


Ia bukan lagi harus dilihat sebagai salah Isa Samad, Shahrir Samad, Lembaga Pengarah, Pengarah Besar, CEO, sipolan itu atau sipolan ini, tetapi lebih merupakan salah Najib, UMNO dan BN.


Semua yang berkedudukan dan diberikan jawatan, adalah sama ada melalui kehendak Najib atau restu beliau yang diperolehinya melalui kuasa UMNO dan BN yang antara penyumbang kemenangan itu ialah peneroka sendiri.


Segala kemelut dan skandal yang berterusan dan silih berganti berlaku dalam Felda adalah kerana peneroka menjadi kelompok yang terlalu akur dan setia kepada UMNO dan BN. 


Selagi begitu sikap mereka, selagi itulah mereka hanya menjadi bahan mainan semata-mata.


Dengan itu, peneroka harus berani berubah. Jangan biarkan maruah dipersetankan dengan sebegitu mudah. Episod malang Felda dan harapan ia kembali menjadi institusi unggul kebanggaan masyarakat hanya dapat dicapai jika peneroka sedia berubah dan tidak lagi akur serta setia kepada UMNO dan BN sebagaimana sikap yang ditunjukkan selama ini. 


Lihat saja kelompok lain, pengundi bukan Melayu atau mereka di Sabah dan Sarawak misalnya, semakin berani mereka menunjukkan kecenderungan ke arah perubahan, makin banyak nikmat dan keberuntungan yang diperolehi, jauh sekali untuk dipermain-main serta dibuli. (ShahbudinHusin 26/12/2017)

JANGAN LUPA 30 DISEMBER INI!!!

Sukacita saya mengumumkan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia akan mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan Kali Pertama pada 30 Disember 2017 bertempat di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam. Perhimpunan Agung Tahunan ini akan dihadiri oleh Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Ahli-Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan perwakilan daripada 137 bahagian PPBM di seluruh negara yang telah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia. 

Tarikh Perhimpunan Agung Tahunan ini telah ditetapkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM selaras dengan Fasal 12.1 Perlembagaan PPBM. Notis mengenai Perhimpunan Agung Tahunan ini telah dihantar kepada para perwakilan yang layak hadir mengikut peraturan persidangan yang diluluskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM. 

Saya ingin menjelaskan serba sedikit mengenai kronologi isu Perhimpunan Agung Tahunan PPBM. Pada 21 November 2017, kami telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia untuk mendapatkan nasihat dan panduan mengenai kaedah pelaksanaan Perhimpunan Agung Tahunan. Ini kerana menurut Perlembagaan PPBM, perwakilan yang dikehendaki menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan antaranya terdiri daripada perwakilan yang dipilih di dalam Persidangan Tahunan Bahagian. Persidangan Tahunan Bahagian pula hendaklah dihadiri oleh perwakilan dari cawangan-cawangan di dalam bahagian tersebut. 

Kami telah jelaskan kepada pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia bahawa tarikh paling awal bahagian-bahagian PPBM menerima sijil pendaftaran penubuhan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia ialah pada 24 Julai 2017. Ini bermakna semua bahagian PPBM di seluruh negara masih belum cukup tempoh setahun penubuhannya, dan menurut perlembagaan PPBM masih belum boleh mengadakan persidangan bahagian masing-masing.  PPBM juga masih dalam proses menubuhkan cawangan-cawangan di seluruh negara dan setakat ini masih belum ada cawangan yang didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia. 

Dalam keadaan ini, kita telah meminta nasihat dan panduan daripada pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia mengenai kaedah pelaksanaan Perhimpunan Agung Tahunan PPBM yang menghendaki sebahagian perwakilannya dipilih di dalam Persidangan Tahunan Bahagian. Kita juga telah memaklumkan kepada pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia bahawa PPBM akan akur dengan nasihat dan panduan yang diberikan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia untuk memastikan Persidangan Agung Tahunan yang akan diadakan nanti adalah teratur dan selaras dengan kehendak Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan PPBM.

Namun, dalam pertemuan tersebut pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia tidak dapat memberikan pandangan tentang perkara-perkara yang dibangkitkan. Sebaliknya, PPBM telah diminta untuk mengemukakan cadangan tentang kaedah pelaksanaan Perhimpunan Agung Tahunan parti, dan pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia telah bersetuju untuk mengatur pertemuan antara pasukan peguam PPBM, pegawai Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dan Penasihat Undang-Undang Kementerian Dalam Negeri untuk membincangkan secara lebih lanjut cadangan-cadangan yang akan dikemukakan oleh PPBM.

Hasil daripada pertemuan itu, pada 23 November 2017, saya telah menulis sepucuk surat kepada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia yang mengandungi cadangan-cadangan tentang kaedah pelaksanaan Mesyuarat Agung Tahunan PPBM. Selepas itu, pihak ibu pejabat PPBM telah membuat beberapa susulan dengan pejabat Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Malaysia untuk menentukan tarikh pertemuan dengan Penasihat Undang-Undang KDN sepertimana yang telah dipersetujui. 

Malangnya, pihak PPBM tidak menerima sebarang maklum balas rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia mengenai tarikh pertemuan dengan Penasihat Undang-Undang KDN dan cadangan-cadangan pelaksanaan Perhimpunan Agung Tahunan PPBM yang telah dikemukakan dalam surat bertarikh 23 November 2017. 

Sebaliknya pada 25 November 2017, di suatu sidang media di Johor Bharu yang mendapat liputan media yang luas, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan telah menyatakan bahawa apa yang PPBM cadangkan itu bertentangan dengan Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan PPBM. Beliau juga berkata bahawa pihak Jabatan Pendaftar Pertubuhan akan mengambil masa selama seminggu untuk meneliti cadangan-cadangan PPBM itu dengan penasihat undang-undang. Oleh itu PPBM, katanya, berdepan dengan kemungkinan dibubarkan pendaftarannya kerana tidak mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan.

Namun, tiada juga pertemuan dengan penasihat undang-undang diatur, dan tiada juga sebarang maklum balas rasmi dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan selepas tempoh seminggu yang dinyatakan.

Oleh kerana masa yang semakin suntuk untuk PPBM mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan pada tahun ini, maka pada 8 Disember yang lalu, saya telah sekali lagi menulis sepucuk surat kepada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia memaklumkan hasrat PPBM untuk mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan sebelum 31 Disember 2017. Di dalam surat tersebut, saya telah memperincikan perwakilan yang perlu menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan menurut Fasal 12.2 perlembagaan parti, iaitu:
 
i. Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap;

ii. Ahli-Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi; dan

iii. 8 orang perwakilan dari setiap bahagian PPBM yang telah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia iaitu Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian, Setiausaha Bahagian, Bendahari Bahagian, Ketua Penerangan Bahagian, Ketua Srikandi Bahagian dan Ketua Pemuda Bahagian.

Pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia menerusi surat bertarikh 19 Disember 2017 telah memberikan maklumbalas bahawa PPBM perlu mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan menurut kaedah yang ditentukan oleh perlembagaan parti. Justeru, dengan maklumbalas ini dan juga dengan maklumat yang telah diberikan kepada pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, kita berpendapat bahawa pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia tiada halangan terhadap Perhimpunan Agung Tahunan PPBM yang akan diadakan nanti, dan ia adalah teratur serta selaras dengan kehendak Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan PPBM. 

Perhimpunan Agung PPBM Kali Pertama ini adalah amat bersejarah. Di samping pembentangan laporan tahunan parti, para perwakilan akan dapat mendengar amanat daripada Pengerusi PPBM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Presiden PPBM, YB Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin Hj Mohd Yassin. Para perwakilan juga akan berpeluang untuk membahaskan ucapan dasar Pengerusi pada Perhimpunan Agung ini. 

Kita mendoakan agar Perhimpunan Agung Tahunan PPBM Kali Pertama ini akan berjalan lancar dan berlangsung dalam suasana yang gilang-gemilang, insyaAllah.

DATO’ SERI MUKHRIZ MAHATHIR
Timbalan Presiden PPBM.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...