Thursday 31 July 2014

Sudah Sampai Masanya Ada Pemimpin Pas Perlu Sertai Perkasa atau Isma


Pas adalah sebuah parti yang memperjuangkan Islam dan menolak perjuangan berasaskan bangsa. Bagi Pas, perjuangan bangsa adalah assabiyah dan ditolak oleh Islam. Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sendiri pernah berkata, di akhirat nanti, Allah tidak bertanya sama ada kita Melayu, Cina atau India tetapi akan bertanyakan keislaman seseorang itu.

Sebab itu, kata beliau, Islam adalah lebih penting berbanding bangsa.

Salah satu asas penolakan Pas terhadap UMNO ialah kerana UMNO berjuang semata-mata kerana Melayu. Kadang-kadang pula perjuangan UMNO mengenai Melayu melebihi Islam itu sendiri. Dan bagi Pas, apa yang dilakukan oleh UMNO itu tidak betul sama-sekali.

Apabila Pas meletakkan Islam, dalam konteks negara ini yang mana Melayu adalah majoriti, ruang lingkup perjuangan Pas nyata lebih meluas. Ini kerana hampir semua Melayu adalah Islam. Kaum Bumiputera dan bukan Melayu yang beragama Islam juga termasuk dalam perjuangan Pas.

Tidak diragui bahawa perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas adalah perjuangan yang menyeluruh, lebih-lebih lagi cita-cita menubuhkan sebuah negara Islam atau negara yang berlandaskan hukum Islam sentiasa bermain di bibir para pemimpin Pas setiap kali mereka berceramah di seluruh negara.

Tidak pernah tergambar di benak sesiapa pun ada di kalangan pimpinan Pas yang bercitra assabiyah, mempunyai sentimen perkauman dan bernaluri rasis, meskipun ahli dan pimpinannya mempunyai latarbelakang yang berbagai. Sama ada kalangan ulama, golongan agama atau profesional semuanya dianggap menerima Islam sebagai asas perjuangan serta menolak elemen berasaskan bangsa.

Sehinggalah bocornya tulisan di whatsapp oleh Pengarah Operasi Pusat Penyelidikannya, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berhubung kemelut politik di Selangor, baru-baru ini, barulah disedari rupa-rupanya wujud juga di kalangan pimpinannya yang meletakkan bangsa dan kaum sebagai asas perjuangan, malah bersikap rasis, perkauman dan cuba bermusuh dengan kaum dan agama lain.

Hanya bermula dengan tindakan Presiden Pas, Haji Hadi Awang yang mahukan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim dikekalkan dan ianya kemudian menjadi polemik di kalangan rakan-rakan dalam PR serta perbezaan pendapat di dalam Pas sendiri, Dr Zuhdi yang ingin menyatakan sokongan kepada Haji Hadi, telah menelanjangkan citarasa politiknya yang sebenar selama ini.

Dalam tulisannya yang sudah tersebar luas itu, jelas beliau bukan saja ingin bekerjasama dengan UMNO yang mengamalkan assabiyah tetapi juga cuba membuat andaian dengan kekuatan Melayu melalui kerjasama antara Pas dengan UMNO itu, kerajaan baru di negeri Selangor nanti boleh "menjentik" dan "sergah" kaum dan agama lain dengan mudah.

Berikut adalah tulisannya itu, "Kalau kita keluar PR kita boleh retain Selangor malah untuk seterusnya. Kita 15 kerusi + TSKI + seorang lagi Adun PKR + 12 UMNO, dah bentuk simple majoriti. UMNO dalam kenyataan mutakhirnya boleh terima TSKI sebagai MB.

"Lepas ini kalau DAP, gereja dan non muslim melalak isu serban, kalimah Allah, kita boleh jentik saja mereka. Hujung tahun ini ubah sempadan kembalikan semula kuasa politik Melayu Islam. So mana-mana non muslim, gereja, kita boleh sergah macam sebelum ini."

Membaca tulisan Dr Zuhdi, terlihat bahawa beliau lebih perkauman, rasis dan assabiyah daripada kebanyakan pemimpin UMNO sendiri. Mungkin juga di dalam Pas bukan Dr Zuhdi seorang yang mempunyai naluri politik sepertinya, malah ramai lagi sepertinya. Cuma, mereka tidak menyerlahkan warna diri yang sebenar.

Benar, seperti kata Naib Presiden Pas, Husam Musa bahawa apa yang telah ditulis oleh Dr Zuhdi telah menghancurkan apa yang dibina oleh Pas selama ini. Berpuluh tahun Pas menentang politik berasaskan kaum, rasis dan assabiyah, tiba-tiba ada pimpinannya sendiri bersikap bukan seperti pemimpin Pas, malah lebih dahsyat juga daripada sesetengah pemimpin UMNO sendiri.

Pemimpin UMNO yang menyedari perlunya kerjasama dengan MCA, MIC dan lain-lain tidaklah terlampau rasisnya kerana bimbang tidak mendapat sokongan dalam pilihanraya.

Di negara ini, hanya Perkasa dan Isma atau Ikatan Islam Malaysia yang sepenuhnya bersikap rasis dan perkauman. Bagi kedua NGO ini, semua perkara mestilah mendahulukan kepentingan Melayu dan Bumiputera dan tidak ada tolak ansur mengenainya.

Dr Zuhdi dan lain-lain pemimpin dalam Pas (jika ada) yang mahu berpolitik secara perkauman, adalah lebih baik turut menyertai Perkasa atau Isma yang memang dikenali sebagai NGO yang sarat dengan semangat Melayu, perkauman, anti Cina dan anti gereja itu.

Perkasa dan Isma tentu berbesar hati jika ada pemimpin Pas sedia menyerai NGO tersebut. Tentulah lebih berwarna-warni perjuangan atau demonstrasi Perkasa atau Isma selepas ini jika ia turut sama disertai oleh pemimpin Pas. ibrahim Ali tentulah juga amat berbangga jika Dr Zuhdi dan lain-lain pemimpin Pas yang sealiran pemikiran dapat bersama-sama dengan perjuangannya atau duduk di sebelahnya ketika beliau mengadakan sidang akhbar.

Sekurang-kurangnya dengan menyertai Perkasa atau Isma, Dr Zuhdi dan lain-lain pemimpin Pas yang bercitarasa perkauman itu tidak perlu lagi berpura-pura atau menyembunyikan diri mereka. Jika bersama Pas, pakailah kopiah dan bercakaplah mengenai Islam tetapi jika ingin bersikap rasis dan perkauman, tanggalkanlah kopiah dan menjerit atau berdemolah bersama Perkasa atau Isma.

Ibrahim Ali pasti paling gembira jika semua ini menjadi kenyataan. (SH 31/07/2014)

Wednesday 30 July 2014

Hadi Awang Tidak Relevan Lagi Pimpin Pas


Berikutan tindakan Presiden Pas, Haji Hadi Awang mengeluarkan kenyataan peribadi menyokong Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim, ia kini melarat kepada pergolakan yang lebih besar kepada Pas dan juga PR. Di dalam Pas, ia telah menyerlahkan keinginan sesetengah pihak dalam parti itu yang ingin bekerjasama dengan UMNO dan mengkhianati rakan-rakan sepejuangannya melalui maklumat whatsapp yang bocor dan tersebar luas sekarang ini.

Di dalam PR pula, tindakan Haji Hadi itu telah meretakkan hubungan PR dan menungkinkan kerjasama antara Pas, PKR dan DAP bakal berkecai.

Secara langsung juga, ia menyerlahkan kelemahan Haji Hadi sebagai presiden parti. Beliau seharusnya sedar bahawa sebagai ketua parti, beliau tidak boleh mengeluarkan apa-apa kenyataan yang mendahului keputusan mesyuarat, lebih-lebih lagi jika menyedari ia mungkin menimbulkan kontroversi.

Apakah perlunya Haji Hadi bercakap mempertahankan Khalid Ibrahim secara gopoh tanpa mahu menunggu mesyuarat pada 10 Ogos depan? Apakah kepentingan yang ingin dipertahankannya?

Di sinilah terserlahnya kelemahan utama Haji Hadi dalam isu Menteri Besar Selangor ini, tambahan pula beliau juga tidak hadir dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PR pada 23 Julai lalu.

Melalui tindakan Haji Hadi itu juga, ramai yang kecewa dengan sikapnya itu. Ahli Pas yang mendokong perjuangan bersama PR dengan hasrat utama menumbangkan UMNO, mulai merasa mual dengan perkembangan terbaru ini. Haji Hadi bukan saja dilihat senada dengan UMNO dalam mempertahahkan Khalid, bahkan pembocoran adanya pimpinannya sendiri yang mahu bekerjasama dengan UMNO dengan membentuk kerajaan campuran tidak lebih menunjukkan bahawa menentang kemungkaran yang sering dilaung-laungkan selama ini bukanlah agenda utama sebenarnya.

Soal kedudukan Khalid yang akhir-akhir ini mesra dengan UMNO tetapi ingin dipertahankan oleh Haji Hadi dengan alasan beliau tidak pernah mengkhianati rakyat, jelas menunjukkan Presiden Pas itu tidak belajar daripada kesilapannya mempertahankan Azizan Razak di Kedah dahulu. Ketika itu ramai pimpinan Pas Kedah yang mahukannya menukar Azizan Razak tetapi kerana terus dikekalkan, akhirnya UMNO dapat merampas kembali negeri itu.

Begitu juta di Selangor, Khalid sejak akhir-akhir ini telah menampakkan wajahnya yang sebenar. Beliau lebih mesra UMNO dan Pusat daripada PKR dan PR yang meletakkannya ke jawatan Menteri Besar. Beliau bukan saja mentadbir Selangor secara solo, malah tidak mahu menemui jawatankuasa yang dipersetujui oleh PR mengenai isu air.

Mungkin benar, seperti pemahaman Haji Hadi bahawa Khalid tidak mengkhianati rakyat tetapi beliau sebenarnya telah mengkhianati perjuangan PR dan rakan-rakannya sendiri.

Tidak mustahil mengekalkan Khalid yang disokong oleh Haji Hadi akan menyebabkan sejarah Kedah berulang dengan jatuhnya juga PR di negeri itu.

Oleh itu, untuk memastikan PR terus relevan dan kekal dengan momentumnya, bukan saja Khalid perlu ditukar, bahkan Haji Hadi sebagai Presiden Pas juga perlu dipencenkan dengan segera. Untuk menjadikan Pas terus diterima rakyat dan dinamik dalam tindakannya, Pas perlu dipimpin oleh seorang yang lebih matang, tidak gopoh, bijaksana serta kukuh pendiriannya.

Haji Hadi sekarang bukan lagi Haji Hadi yang dulu. Jika semasa namanya memuncak, beliau terkenal sebagai pemidato yang hebat dan keras dengan perkataan kafir dan taghut jarang lekang daripada bibirnya, bahkan amanatnya yang menolak kerjasama dengan UMNO kerana tidak mengamalkan ciri-ciri Islam masih lagi menjadi rujukn dan diperkatakan. Namun kini, ciri-ciri Haji Hadi yang dulu semakin menipis dalam dirinya.

Beliau juga begitu mudah dipengaruhi oleh maklumat tidak sahih, terutama dalam isu pil kuda dan calon bertindih di beberapa kawasan dalam pilihanraya lalu sedangkan kesepatatan telah dicapai sebelum itu. Ada juga maklumat menyebut beliau turut mengadakan pertemuan dengan kelompok tertentu dalam UMNO mengenai pembentukan kerajaan perpaduan sebelum pilihanraya lalu.

Semua ini menunjukkan ketidakyakinan terhadap perjuangan sendiri dan mudah terbuai dengan tawaran-tawaran lain daripada pihak luar.

Beliau juga ditakrif gagal kerana hanya berjaya mempertahankan kerajaan Terengganu selama sepenggal sahaja. Selepas menang di Terengganu pada 1999, tidak lama selepas pemecatan Anwar Ibrahim pada 1998, Pas kemudiannya dalam pilihanraya 2004, 2008 dan 2013 seolah-olah tidak mampu lagi menumbangkan UMNO di Terengganu walaupun ketika UMNO Terengganu dipimpin oleh Ahmad Said yang paling gedebe dan kononnya paling tidak berkualiti serta dibenci.

Moralnya ialah rakyat Terengganu dapat melihat sendiri selama sepenggal kepimpinan Haji Hadi sebagai Menteri Besar lebih banyak diselubungi ketidakmampuan dan kelemahan. Haji Hadi nyata berbeza dari segi aura dan karismatiknya jika dibandingkan dengan Nik Aziz yang bukan saja lebih diterima oleh rakyat Kelantan, bahkan lebih kontemporari dalam membicarakan isu-isu semasa. Pengundi muda lebih menerima Nik Aziz berbanding Haji Hadi.

Kiranya Pas ingin terus maju ke depan dan dinamik dalam gerak kerja politiknya bersama PR, dalam pemilihan akan datang dan sebelum pilihanraya 2018, Haji Hadi perlu ditukar segera. Pilihlah yang terbaik di antara barisan kepimpinan Pas sedia ada untuk mengambil alih teraju kepimpinan parti itu.

Pas perlu segera diselamatkan jika ingin terus mendapat sokongan yang baik daripada rakyat. Tindakan Haji Hadi "kacau daun" dalam isu Menteri Besar Selangor sudah mula menunjukkan adanya penolakan rakyat biasa terhadap parti itu. Ada juga ahli Pas yang mahu meninggalkan parti itu kerana kecewa dengan kelemahan yang ditunjukkan oleh Haji Hadi, lebih-lebih lagi hasrat untuk bergabung dengan UMNO yang jelas ditunjukkan oleh salah seorang pimpinannya.

Jika Haji Hadi terus kekal memimpin Pas bersama gerombolannya yang pro UMNO, parti itu bukan saja akan terus menjadi pembangkang, malahan tidak mampu menyumbang kekuatan kepada PR mencapai cita-cita menumbangkan UMNO dan BN. Lainlah jika Pas hanya ingin pahala di akhirat dan lebih merelakan negara ini digenggam oleh UMNO dan BN selama-lamanya. (SH 30/07/2014)

Sunday 27 July 2014

Khalid Seharusnya Malu Dengan Sokongan Pas, Haji Hadi Menambah Lagi Kecelaruan


Kemelut jawatan Menteri Besar Selangor menjadi bertambah kacau dan caca marba. Jika sebelum ini hanya UMNO yang dilihat cuba menanggguk di air keruh dengan tiba-tiba memberi sokongan kepada Khalid Ibrahim agar terus kekal di jawatan itu, senario terbaru menjadi bertambah parah apabila Presiden Pas, Haji Hadi Awang juga turut mempertahankan supaya Khakid juga dikekalkan.

Walaupun pendirian Haji Hadi lebih bersifat peribadi dan bukan diputuskan dalam mesyuarat Pas tetapi beberapa pimpinan Pas seperti Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan juga pemangku Ketua Dewan Ulama, Ahmad Yaakob serta Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Samad sudah pun mula menyokong pendirian Haji Hadi itu.

Tidak mustahil akhirnya pendirian Haji Hadi itu akan menjadi pendirian rasmi Pas walaupun ia nampak berbeza dengan pendirian wakil-wakil Pas yang hadir dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PR sebelum ini yang bersetuju dengan hasrat PKR menukar Khalid dan akan mengesahkannya dalam mesyuarat rasmi selepas Hari Raya nanti.

Tetapi dengan Haji Hadi mendahului mengeluarkan kenyataan mahu Khalid terus dikekalkan, beliau bukan saja tidak menghormati pimpinan Pas yang lain, bahkan terlihat cuba memalukan Anwar Ibrahim dan rakan-rakan PR yang lain. haji Hadi jelas tidak matang dan ada agendanya sendiri. Tidak mustahil juga sikap Haji Hadi ini menyebabkan PR diambang perpecahan dan sesuatu yang menggembirakan Najib Razak dalam usahanya mempertahankan Putrajaya dalam pilihanraya akan datang.

Sudah tentu juga pendirian Haji Hadi ini segera dikaitkan sekali lagi dengan kedudukan menantunya, Zaharuddin Mohamad atau Din Ayam yang sejak beberapa tahun lalu bekerja dan diberi jawatan khas dalam sebuah GLC Selangor. Sebagaimana pengaruh Din Ayam dikatakan menjadi punca Haji Hadi merestui tindakan Pas meletakkan calon bertindih dengan PKR di beberapa kawasan dalam pilihanraya umum lalu seperti Kota Damansara, Semenyih dan Sungai Acheh sehingga menyebabkan BN memenangi kerusi itu, kini sekali lagi hal yang sama berlaku.

Rupa-rupanya bukan saja bekas Perdana Menteri, Pak Lah yang kalah dan membiarkan dirinya dipapancaturkan oleh menantunya, Khairy Jamaluddin semasa berkuasa dahulu, Haji Hadi juga dilihat mempunyai kecenderungan yang sama.

Begitu juga dalam pilihanraya lalu, tiba-tiba Haji Hadi mengaitkan ada calon PKR sebagai pengedar pil kuda dengan membuat dakwaan terbuka, ketidakmatangan beliau selaku Presiden Pas dalam bertindak dan memahami erti kesepakatan lebih banyak membawa kerugian kepada Pas dah PR.

Melalui sokongan terbuka Haji Hadi dan beberapa pimpinan Pas itu, Khalid Ibrahim lantas gembira dan seolah-olah mendapat nyawa semula. Sebenarnya bukan saja sokongan Pas itu memalukan parti Islam itu kerana menunjukkan ketidakmatangan dan ketidakfahaman erti permuafakatan, malah Khalid juga seharusnya malu menerima sokongan Pas itu.

Bukankah sudah dipersetujui sebelum ini kerusi Menteri Besar Selangor adalah milik PKR? Setiausaha Agung Pas, mustafa Ali sendiri mengesahkan sebelum ini bahawa Pas tidak akan menuntut kerusi itu dan menyerahkan kepada PKR menentukan pengganti Khalid yang sesuai.

Kenapakah Pas yang sentiasa menjaga halal haram dalam pemakanan dan tingkah laku serta nama Allah jarang lekang dari bibir, menjadi tidak berprinsip, goyah pendirian dan mudah melupakan janji apabila melibatkan kuasa, pangkat, wang dah kedudukan?

Apakah berpegang pada janji dan menepati janji permuafakatan bukan sebahagian daripada kehendak Islam? Mungkinkah ini penyebabnya Pas yang ditubuhkan sejak 1951 tapi masih lagi tidak ke mana dalam politik arus perdana?

Berbeza dengan DAP yang tetap berpegang pada janjinya yang dibuat sebelum ini iaitu kerusi Menteri Besar Selangor adalah milik PKR. Dulu mereka berjanji, sehingga sekarang pendirian itu tidak goyah walaupun tidak mengamalkan cara hidup Islam, memakan babi dan sesetengahnya mungkin ada yang mengambil minuman beralkohol.

Bagaimaha agaknya perasaan Pas jika dalam kes Menteri Besar Kedah sebelum ini yang beria-ia dipertahankan oleh Haji Hadi andainya PKR dan DAP turut membuat kacau daun? Tidakkah juga Pas belajar bahawa disebabkan sikap Haji Hadi yang enggan bertindak terhadap Azizan Razak dan menentang arus kehendak ahli dan pimpinan negeri yang lain dalam isu Menteri Besar Kedah sebekum ini telah menyebabkan UMNO berjaya menawan semula Kedah?

Tindakan Haji Hadi ini juga secara langsung memberi ruang kepada mana-mana parti untuk campurtangan dalam soal perlantikan Menteri Besar di negeri-negeri, meskipun sudah ada persetujuan dan kesepakatan.

Khalid pula seharusnya sedar diri bahawa PKRlah menjadikannya Menteri Besar. Oleh kerana PKR yang memilihnya dan Pas serta DAP yang merupakan rakan gabungan hanya pelengkap dalam memberi persetujuan, maka jadilah beliau ketua kerajaan negeri. Apabila PKR mahu menukarnya, beliau seharusnya akur kerana itulah lumlah jatuh bangun dalam politik. Menukar Menteri Besar tidak semestinya menunggu sehingga melakukan pecah amanah, rasuah, penyelewengan dan sebagainya.

Sudah berapa banyak Menteri Besar ditukar oleh UMNO sebelum ini bukanlah kerana adanya kes-kes jenayah atau rasuah, tetapi kadang-kadang pertukaran itu penting untuk memberi nafas baru dan meniupkan angin segar dalam politik dan pentadbiran kerajaan.

Mungkin benar Khalid tidak mengkhianati rakyat dalam menjalankan tugasnya tetapi sikapnya yang lebih pro UMNO dan Pusat sejak kebelakangan ini seperti dalam isu air dan Lebuhraya Kidex, adalah juga pengkhianatan kepada parti yang menaunginya selama ini. Apakah Pas tidak nampak perkara ini?

Tindakan Khalid berbangga dengan sokongan Pas tetapi tidak malu kerana tidak lagi dikehendaki oleh PKR menunjukkan beliau juga tidak faham politik. Sepatutnya sokongan daripada PKR itulah yang lebih penting manakala sokongan daripada Pas dan DAP pula hanyalah kepada PKR, bukannya kepada mana-mana individu.

Sementara kemelut ini menanti jalan penyelesaiannya dan diharapkan tidak mendatangkan sesuatu yang lebih buruk kepada kerajaan Selangor dan juga PR, ada baiknya mulai sekarang ini Khalid Ibrahim dan Haji Hadi Awang mencari "cermin besar" untuk mencermin diri dan melihat wajah politiknya selama ini.

Jika sebulan Ramadan ini ramai yang mencari hidayah dan keredaan, Haji Hadi dan Khalid Ibrahim sebenarnya lebih memerlukan hidayah dalam politiknya agar kedudukan mereka sebagai pemimpin lebih mendatangkan kebaikan berbanding menimbulkan kesusahan kepada orang lain. (SH 27/07/2014)

Saturday 26 July 2014

Negara Bersedih Dengan Tragedi MH17, Tapi Penasihat MAS Bersukaria Di Melbourne


Walaupun hampir semua rakyat Malaysia menyambut Hari Raya tahun ini dengan cara sederhana berikutan tumpang bersedih dengan tragedi pesawat MAS MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine dan kerajaan juga membatalkan banyak majlis-majlis rumah terbuka sebagai tanda turut bersimpati, tetapi Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah yang merupakan Penasihat MAS seolah-olah tidak terkesan apa-apa dengannya.

Semalam, beliau yang juga bekas Perdana Menteri bersama isterinya, Jeanne Abdullah, anak-anak menantu, anak tiri serta kaum keluarga terdekatnya telah pun berlepas ke Melbourne untuk bercuti dan menyambut Hari Raya di sana. Beliau yang dipercayai berada di Melbourne selama lebih seminggu itu nampaknya tidak bersedia menangguh atau membatalkan percutiannya di ketika seluruh rakyat Malaysia dan dunia seolah-olah sedang berkabung ketika ini.

Meskipun jawatannya di syarikat penerbangan milik kerajaan itu tidak mempunyai apa-apa kuasa eksekutif, tetapi sebagai penasihat apatah lagi sebagai bekas Perdana Menteri yang terkenal dengan imej Islam dan popular dengan gelaran "mr clean", Pak Lah sekurang-kurangnya wajar menunjukkan sedikit rasa simpati dan prihatinnya kepada keluarga mangsa MH17 ketika ini.

Lebih-lebih lagi ketika Perdana Menteri, Najib Razak menunjukkan rasa prihatin yang boleh dipuji dengan membatalkan jamuan rumah terbukanya dan diikuti oleh kerajaan-kerajaan negeri yang membuat keputusan yang sama, tindakan Pak Lah meneruskan percutian dan sambutan Hari Rayanya di luar negara seperti beliau sudah terasing daripada rasa kekitaan dan kebersamaan dengan keputusan kerajaan.

Sudahlah tidak melawat dan mengunjungi keluarga mangsa untuk mengucapkan takziah, tindakannya meneruskan percutian dan berhari raya di luar negara ini juga langsung tidak kena dengan masanya.

Atas tragedi yang menimpa MH17 ini, Najib Razak bukan saja membatalkan sambutan rumah terbukanya dan meminta semua rakyat Malaysia menyambut Hari Raya tahun ini dengan cara paling sederhana, bahkan beliau juga difahamkan menangguhkan semua percutiannya pada tahun ini sehingga semua isu mengenai mangsa dan keluarga mereka dapat dibereskan dengan sebaik-baiknya.

Lebih memilukan lagi ialah percutian Pak Lah dan keluarganya ini yang dianggarkan menelan belanja lebih RM300 ribu, termasuk kononnya mengadakan jamuan Hari Raya dengan rakyat Malaysia di Melbourne, adalah ditanggung oleh kerajaan dengan menggunakan wang pembayar cukai.

Dalam masa yang sama, Ketua Pemuda UMNO dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang juga merupakan menantu Pak Lah yang kini sedang menghadiri Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, dipercayai akan turut terbang ke Melbourne untuk bersama-sama menyambut Hari Raya bersama ahli keluarga mertuanya itu.

Dalam hal ini, Khairy seolah-olah terheret sama bercuti dan bergembira di luar negara serta dilihat berbeza dengan pendirian yang diambil oleh Najib dan lain-lain anggota kabinet.

Tindakan Pak Lah tidak menunjukkan keprihatinan dalam tragedi malang yang menimpa negara bukanlah kali pertama sebenarnya. Ketika isu kehilangan pesawat MH370 sedang diperkatakan kira-kira tiga bulan lalu, sebagaimana yang didedahkan oleh portal Free Malaysia Today, Pak Lah juga didapati bercuti bersama ahli keluarganya di Sepanyol sambil bersiar-siar di lautan negara itu dengan sebuah kapal mewah yang disewa khas.

Ketika itu, ramai yang mempertikaikan tindakan Pak Lah itu dan menunjukkan beliau seolah-olah tidak turut bersimpati dengan kejadian yang menimpa negara dan MAS yang mana beliau menjadi penasihatnya.

Tetapi dengan terus menunjukkan sikap yang yang serupa ketika berlakunya tragedi MH17 yang lebih dahsyat dan menyanyat hati, bahkan keluarga mangsa di negara ini dan di seluruh dunia ketika ini sedang berendam air mata menunggu ketibaan jasad mangsa yang tidak lagi sempurna atau mungkin hanya cebisan-cebisannya saja yang tiba, percutian dan bersukarianya beliau di luar negara ini tentunya menambahkan duka yang ada.

Apakah sebagai penasihat MAS dan bekas Perdana Menteri, tidak tercuit sedikit pun hati kecilnya atas petaka yang bertimpa-timpa ini? (SH 26/07/2014)

Friday 25 July 2014

Sejauh Manakah Khalid Ibrahim Boleh Bertahan?


Kedudukan Menteri Besar Selangor kini menjadi semakin panas dan menarik berikutan Khalid Ibrahim yang mahu ditukarkan daripada jawatan itu seperti tidak mahu mengalah dan berundur. Beliau dalam beberapa kenyataan yang dikeluarkan sejak kebelakangan ini memperlihatkan kecenderungan mahu terus kekal sehingga ke hujung penggal.

Sebagaimana yang dilaporkan oleh media, Khalid terlihat tidak tergugat dengan pengumuman Anwar Ibrahim bahawa beliau akan digantikan oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai meneruskan Langkah Kajang yang telah dirangka sebelum itu.

Selain mengaitkan kuasa Sultan Selangor dan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor sebagai sandaran untuk terus bertahan, sampai ke satu peringkat beliau juga mencabar agar undi tidak percaya dilakukan keatasnya. Dalam masa yang sama, media milik kerajaan Selangor juga mula membuat tinjauan yang mendapati kononnya rakyat Selangor lebih perlukan Khalid sebagai ketua kerajaan negeri berbanding calon-calon yang lain.

Tinjauan atau bancian ini untuk mempertahankan Khalid jelas tidak matang kerana rakyat sudah pun memberi mandat dalam pilihanraya lalu. Sekarang terserah kepada pimpinan PR yang telah diberikan majoriti menentukan siapa pimpinan negeri. Meninjau pendapat rakyat sudah tidak relevan lagi.

Menambahkan lagi rencah ialah apabila UMNO Selangor juga mula menyucuk jarum dengan mengeluarkan kenyataan menyokong kepimpinan Khalid untuk terus kekal sebagai Menteri Besar Selangor, walaupun kenyataan itu secara tidak langsung memperlihatkan ketandusan pemimpin di pihak UMNO sendiri dalam kemelut yang sedang berlaku ini.

Ada juga yang menyarankan agar Khalid menyertai Pas dan seterusnya menagih sokongan parti itu untuk mengekalkannya di kedudukan sekarang atau membubarkan DUN Selangor sebagai langkah terakhir "biar sama-sama putih mata."

Di pihak yang lain, selain ada yang menyarankan agar PR mengadakan undi tidak percaya keatas Khalid jika gagal memujuknya untuk berundur atau jika Sultan Selangor menolak pencalonan Dr Wan Azizah, ada juga yang memintanya agar menubuhkan parti baru bagi menguji kekuatannya.

Blog ini sendiri pernah menyarankan, jika Khalid merasa dirinya hebat dan tidak mahu akur kepada kehendak parti yang pernah meletakkannya di kedudukan tertinggi kerajaan negeri, beliau sepatutnya membubarkan DUN bagi membolehkan pilihanraya negeri dan kemudian bertanding atas tiket BN memandangkan kecenderungannya lebih kepada BN dan kerajaan Pusat sejak kebelakangan ini.

Jika beliau masih mampu menang, sama ada di DUN Pelabukan Kelang yang diduduki sekarang atau di DUN Ijok yang pernah dimenanginya dalam pilihanraya 2008, barulah beliau seorang pemimpin yang hebat dan benar-benar diterima rakyat Selangor.

Tetapi sehingga ini nampaknya bukan itu pilihan Khalid. Beliau hanya mahu kekal sebagai Menteri Besar berdasarkan keyakinannya bahawa undang-undang negeri memihak kepadanya dan Menteri Besar tidak boleh ditukar sesuka hati. Penyokongnya pula percaya Sultan Selangor akan terus mempertahankannya dan menolak sebarang pertukaran yang dicadangkan oleh PR.

Sehingga ini, nama Dr Wan Azizah sebagai pengganti Khalid sudah pun dicadangkan kepada mesyuarat Majlis Pimpinan PR dan hanya menunggu persetujuan rasmi daripada Pas dan DAP yang dijangka akan diketahui selepas Aidilfitri ini. Namun sehingga keputusan itu diketahui, perdebatan mengenainya akan terus hangat.

Persoalan yang paling menarik ialah sejauh manakah Khalid boleh terus bertahan? Apakah beliau mampu bertahan jika ditakdirkan Pas dan DAP juga sebulat suara untuk bersama-sama dengan PKR mahu menolaknya dan menggantikan dengan Dr Wan Azizah?

Pendirian Haji Hadi yang mempertahankan Khalid lebih merupakan pendapat peribadi dan belum lagi merupakan pendirian rasmi Pas. Mungkin Haji Hadi sekadar ingin meredakan suasana yang mula berpecah-pecah dalam parti itu sehingga mesyuarat rasmi diadakan selepas Hari Raya nanti.

Ini kerana selain PKR yang sudah sebulat suara mahu menukar Khalid, DAP juga dilaporkan berpendirian sama. Mampukah Haji Hadi terus mempertahankan pendiriannya mengenai Khalid sedangkan kebersamaan dalam agenda yang lebih besar di peringkat pusat terus menjadi pegangan?

Apakah pula pilihan Khalid ketika itu nanti? Akur dengan pertukaran atau akan menentangnya? Atau mungkinkah beliau memilih untuk membubarkan DUN bagi membolehkan pilihanraya negeri diadakan?

Apa pun pilihannya, semuanya terletak di tangan Khalid. Sebagaimana Anwar, PKR dan PR boleh mencadangkan pertukarannya, Khalid juga boleh memilih untuk menjadi degil dan keras hati.

Tetapi jika berdegil menjadi pilihannya, orang akan beransur-ansur meluat dengannya. Sekarang pun sudah ramai yang menyampah dengan Khalid melalui lenggok politik yang ditunjukkannya. Khalid mulai ditakrif sebagai tamak, tidak menghormati parti serta tidak faham hukum dalam berpolitik. Bila zamannya berakhir nanti, bukan saja rakan-rakan dalam PR tidak lagi menghormatinya, UMNO yang sekarang menyokongnya juga tidak memperdulikannya lagi. (SH 25/07/2014)

Thursday 24 July 2014

Ketika Semua Memuji Najib, Jangan Sampai Terlupa Hakikat Ini...


Ketika ini ramai yang memuji usaha Perdana Menteri, Najib Razak yang secara senyap menghubungi dan mengadakan rundingan dengan ketua militan pro Russia di Ukraine, Aleksander Borodai berkaitan tiga perkara iaitu penyerahan kotak hitam, jasad yang terkorban dipulangkan dan akses penuh ke kawasan nahas bagi memudahkan penyiasatan.

Selain pujian dari dalam negara, media luar negara juga turut memuji langkah berani dan luar biasa Najib itu yang disifatkan tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin dunia pun sebelum ini. Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya yang lain juga turut memuji tindakan Perdana Menteri itu.

Atas rasa terharu sokongan yang diterimanya, sebaik berakhirnya sessi Parlimen khas yang mengutuk tragedi MH17 semalam, Najib dengan diiringi Muhyiddin sekali lagi mengambil langkah luar biasa dengan pergi ke tempat duduk barisan pembangkang untuk bersalam dengan Anwar dan lain-lain Ahli Parlimen pembangkang.

Sejak tragedi MH17 berlaku, memang diakui ini merupakan langkah terbaik yang telah dilakukan oleh Najib, khususnya terhadap keluarga mangsa dan juga dalam usaha menuntut keadilan atas apa yang berlaku itu.

Najib kini hampir menunaikan janjinya kepada rakyat dan keluarga mangsa untuk memastikan keadilan ditegakkan sebaik mungkin dan jasad mereka yang terkorban dapat dibawa balik serta disemadikan di negara ini.

Itu mengenai usaha Najib menangani tragedi MH17. Tetapi dalam masa yang sama, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia atau MIER pula mebgeluarkan kenyataan mengenai prestasi semasa ekonomi negara yang dilihat cukup membimbangkan kita semua.

Pengarahnya, Dr Zakariah Abdul Rashid berkata, prestasi kewangan bagi kerajaan Persekutuan masih lagi lemah dengan pendapatan rendah bagi suku pertama tahun ini serta hutang meningkat melepasi tahap siling.

Jelas beliau, hutang negara bagi suku pertama tahun ini ialah RM560.6 bilion dan sudah melelebihi tahap siling 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK.

"Kerajaan mesti berhati-hati dalam perkara ini dengan mengambil pendekatan lebih serius iaitu mengawal perbelanjaan dengan bijaksana. Dan bagi pendapatan pula, ia bergantung kepada KDNK, sekiranya KDNK meningkat, maka lebih banyak pendapatan diraih kerajaan," tambahnya lagi.

Realitinya, tidak salah bagi sesiapa untuk memuji tindakan Najib dalam isu MH17 yang menjadi bualan ketika ini, namun sebagai rakyat kita juga harus sentiasa peka dengan perkembangan dalam negara. Ini kerana Akta Pinjaman Tempatan 1959 menghadkan hutang negara pada siling 55 peratus daripada KDNK dan sekiranya hutang melebihi had itu, ia akan menyebabkan negara muflis.

Kelemahan prestasi ekonomi dan peningkatan hutang adalah berkaitan secara langsung dengan kelemahan pimpinan yang ditunjangi oleh Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Ia juga memberi kesan yang merata kepada semua rakyat lantaran ia berkaitan dengan kadar pendapatan, inflasi, pengangguran, peluang pekerjaan, perniagaan, cukai dan sebagainya.

Tambahan pula, menjelang beberapa hari, minggu atau bulan akan datang, yang lebih menjadi perhatian semua rakyat bukan lagi berkaitan MH17 tetapi lebih berkaitan masalah dalaman dalam negara kita. Selain pelbagai masalah berkaitan politik, kaum dan agama yang terus tegang, isu pokok yang perlu diberi perhatian ialah berkaitan pengurusan negara, ekonomi dan kewangan.

Sejak merdeka, inilah kali pertama hutang negara meningkat sebegini rupa.

Dalam kita memuji Perdana Menteri kerana sedia berunding dengan ketua militan, Aleksander Borodai dalam isu MH17 ini, jangan kita sampai teralpa melihat kehidupan seharian, peluang masa depan serta memeriksa poket masing-masing dan bertanya kepada diri sendiri - selesakah dengan pengurusan negara sekarang? (SH 24/07/2014)

Wednesday 23 July 2014

Jika Wan Azizah Hanya Boneka, Bukankah UMNO Patutnya Gembira?


Sejak nama Dr Wan Azizah Wan Ismail disebut-sebut sebagai bakal pengganti Khalid Ibrahim mengisi jawatan Menteri Besar Selangor, bermacam-macam ulasan yang cuba menafikan kelayakannya menyandang jawatan tersebut mula kedengaran daripada kumpulan pro UMNO dan BN.

Antaranya, beliau dikatakan tidak layak sebab wanita, tiada pengalaman mentadbir, hanya boneka kepada Anwar Ibrahim, beza bagaikan bumi dan langit dengan Khalid Ibrahim, bakal mengundang penolakan rakyat dan bermacam-macam lagi.

Hampir semua ulasan itu kelihatan memperlekeh kemampuan Dr Wan Azizah, manakala yang lain pula melihat ianya hanyalah keputusan peribadi Anwar yang semata-mata berdasarkan kepentingan diri dan keluarganya sahaja.

Memang diakui sebelum ini Khalid adalah pemimpin yang baik dan jika dibandingkan dengan semua Menteri Besar Selangor daripada BN sebelumnya, beliaulah yang paling berhemah, berjimat, tidak boros serta dapat memenuhkan rizab kewangan negeri sehingga mencecah RM3 billion.

Masalah yang timbul ialah kerana jajaran kepimpinan Khalid sejak kebelakangan ini tidak lagi seperti dulu terutama dalam isu air, Bible dan lebuhraya Kidex sehingga beliau semakin kehilangan sokongan daripada rakan-rakan pimpinan PR sendiri.

Khalid ditakrif bukan saja mengamalkan kepimpinan ala korporat dan tidak lagi mementingkan muafakat sesama rakan-rakan gabungannya dalam PR, malah seperti berwajah pro UMNO, BN dan kerajaan Pusat dalam beberapa keputusannya.

Sepertimana yang disebut oleh Anwar, penggantian Khalid dengan Dr Wan Azizah ialah untuk memastikan kestabilan dan membolehkan PR melangkah dengan lebih baik menghadapi cabaran akan datang.

Tetapi jika UMNO dan BN melihat Dr Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar yang lemah, tidak berwibawa, tiada keupayaan, boneka Anwar dan bakal mengundang penolakan rakyat Selangor, kenapakah mereka membantahnya?

Bukankah sepatutnya mereka gembira kerana dengan adanya Menteri Besar yang lemah dan tidak berwibawa itu akan membolehkan UMNO dan BN merampas kembali negeri Selangor dalam pilihanraya akan datang?

Jika Dr Wan Azizah tidak lebih baik daripada Khalid, tidakkah ia berita baik bagi UMNO dan BN?

Jika kedudukan Dr Wan Azizah sebagai wanita yang tidak dapat mengiringi dan duduk bersebelahan dengan Sultan Selangor ketika melawat masjid dan surau bakal menjadi masalah, bukankah lama-kelamaan orang Melayu dan Islam akan menolak PR dan ini memberi kelebihan kepada UMNO dan BN?

Jika Dr Wan Azizah adalah boneka Anwar dan calon nepotisme, bukankah ia menguntungkan dan memberi kelebihan kepada UMNO dan BN kerana dalam pilihanraya akan datang pastilah pengundi Selangor akan membakul-sampahkan Menteri Besar itu?

Tetapi anehnya mengapakah para pemimpin UMNO dan BN bersunggguh-sungguh menolak Dr Wan Azizah yang lemah, tidak berwibawa dan hanya boneka itu? Bukankah sepatutnya mereka menerima berita pertukaran itu sebagai khabar gembira kerana membuka peluang untuk manawan semula negeri itu?

Atau adakah UMNO dan BN menolak tuah dan tidak mahu menang dalam pilihanraya akan datang?

Macai-macai UMNO yang bijak-pandai tolonglah jawab...(SH 23/07/2014)

Tuesday 22 July 2014

Selangor Bakal Jadi Negeri Dikuasai Wanita...


Kemelut mengenai jawatan Menteri Besar Selangor sudah hampir ke penghujungnya apabila Anwar Ibrahim malam tadi mengumumkan bahawa Presiden PKR, Dr Wan Azizah akan mengambil alih jawatan tersebut daripada Khalid Ibrahim. Pengumuman itu berikutan persetujuan pimpinan PKR sendiri bagi meneruskan Langkah Kajang yang telah dirangka sejak beberapa bulan lalu tetapi tergendala berikutan keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun keatas Anwar Ibrahim.

Dengan hanya pencalonan tunggal itu, nama Dr Wan Azizah akan dibawa ke mesyuarat Majlis Pimpinan PKR esok, Rabu iaitu selepas sidang khas Parlimen mengenai MH17, bagi mendapat persetujuan secara rasmi daripada Pas, PKR dan DAP. DAP sudah pun diketahui umum bersetuju dengan pertukaran Khalid Ibrahim manakala Pas juga dilaporkan semalam sudah bersetuju mengenai pertukaran itu tetapi hanya belum memutuskan untuk bersetuju atau tidak terhadap pencalonan Dr Wan Azizah.

Namun, dengan sudah bersetuju mengenai perukaran Khalid dan meneruskan memberi sokongan agar kerusi Menteri Besar Selangor terus diduduki oleh PKR, Pas juga tentunya tidak masalah besar untuk bersetuju dengan Dr Wan Azizah.

Selepas ini, PR hanya perlu mendapat perkenan Sultan Selangor saja lagi bagi merealisasikan hasrat pertukaran Khalid dengan Dr Wan Azizah itu.

Perkhabaran ini tentunya paling meresahkan peguam UMNO, Hafarizam Harun yang sebelum ini cuba mengaitkan ketidaksesuaian Dr Wan Azizah memegang jawatan itu dengan lumrah semulajadinya sebagai wanita, tetapi dalam masa yang sama diketahui juga Lebuhraya Kidex yang menjadi isu di Selangor sekarang adalah juga kepunyaannya.

Melalui pengumuman yang dibuat oleh Anwar kira-kira seminggu sebelum sambutan Aidilfitri, Khalid Ibrahim tentulah menjadi pemimpin yang paling tidak gembira di Hari Raya tahun ini. Silap-silap sambutan rumah terbukanya juga tidak lagi semeriah tahun-tahun sebelumnya. Namun itulah lumrah kehidupan seorang pemimpin yang harus diterima dengan terbuka oleh sesiapa juga yang memilih politik sebagai kariernya.

Khalid juga seharusnya akur dengan pertukaran ini kerana sebagainana orang lain menyokongnya selama enam tahun sebelum ini, inilah masanya pula beliau membalasnya dengan menunjukkan sikap terpuji dan berbudi pekerti terhadap hukum-hakam dan jatuh bangun dalam politik.

Bagi Wan Azizah pula, selain mungkin gembira dengan perkhabaran ini, cabaran yang terbentang di depan matanya juga bukan kepalang kerana isu-isu seperti masalah air, Bible, lebuhraya Kidex serta terus memacu ekonomi negeri dan memastikan kewangan negeri sentiasa mantap, adalah antara ujian besar yang sedang menunggunya.

Sebahagian daripada isu-isu itulah yang menyebabkan sokongan rakyat kepada PR merudum daripada 50 peratus kepada hanya 35 peratus sekarang ini sebagaimana di kaji oleh Umcedel baru-baru ini. Jika sebahagian isu tersebut dapat ditangani dengan baik, tidak mustahil ia kembali menaik kerana kebanyakan pengundi di Selangor adalah campuran antara bandar dan luar bandar serta majoritinya celik internet yang menyebabkan mereka lebih mengetahui fakta sebenar dan tidak mudah dimanipulasi oleh akhbar-akhbar pro kerajaan.

Selepas ini Dr Wan Azizah akan mencatat rekod sebagai wanita pertama menjadi Menteri Besar di negara ini. Selepas mencatat rekod sebagai Ketua Pembangkang wanita pertama, beliau sekali lagi mencatat rekod nampaknya. Keadaan ini tentunya menggembirakan kaum wanita seluruhnya kerana pengiktirafan ini begitu tinggi dan besar nilainya. Lebih-lebih lagi, sebelum ini Speaker Selangor, Hannah Yeoh juga adalah seorang wanita. Beliau juga merupakan wanita pertama menjadi Speaker di negara ini. Lebih menarik Selangor juga mempunyai Exco wanita paling ramai iaitu empat orang.

Dalam ertikata lain, Selangor akan menjadi negeri yang dikuasai oleh wanita selepas ini. Kedudukan ini bukan saja merupakan cabaran kepada PR tetapi juga cabaran lebih besar kepada UMNO Selangor. Mampukah lelaki-lelaki gagah perkasa daripada UMNO Selangor merampas negeri yang dikuasai oleh wanita ini?

Kalau tewas lagi, malulah wehh...(SH 22/07/2014)

Monday 21 July 2014

Tahniah Pas Kerana Akhirnya Tidak Masuk Perangkap UMNO


Pas akhirnya dilaporkan bersetuju dengan hasrat untuk menukar Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim yang telah direncanakan oleh PKR sejak beberapa bulan lalu. Walaupun parti itu belum memutuskan persetujuannya tentang calon pengganti itu, sama ada Dr Wan Azizah Wan Ismail atau Azmin Ali tetapi dengan bersetuju mengenai pertukaran itu sudah dianggap perkembangan paling positif ketika ini.

Dengan bersetujunya Pas untuk menukar Khalid serta calon penggantinya juga kekal daripada PKR, tentulah tidak banyak masalah juga untuk Pas turut akur dengan calon yang bakal dicadangkan oleh Anwar Ibrahim nanti.

Maka, seharusnya ucapan tahniah diberikan kepada Pas, meskipun persetujuan ini hanya dicapai setelah beberapa siri rundingan dilakukan dengan pimpinan parti itu. Sekurang-kurangnya dengan bersetujunya Pas menukar Khalid Ibrahim yang dijangka akan dilakukan selepas Aidilfitri in, parti itu tidak membiarkan dirinya hanyut dalam perangkap dan racun yang ditaburkan oleh UMNO.

Sejak isu pertukaran Menteri Besar Selangor, Pas dilaporkan menjadi halangan kepada hasrat itu berikutan menantu Haji Hadi Awang, Zaharuddin Mohamad dan Raja Idris Kamaruddin, dua individu yang rapat dengan Presiden Pas kini berkhidmat dengan Kumpulan Perangsang Selangor melalui perlantikan yang dibuat oleh Khalid.

Bekerjanya dua individu ini dengan pentadbiran Khalid dikatakan menjadi halangan kepada pertukaran itu kerana mereka ini diketahui lebih mahukan Menteri Besar Selangor sedia ada terus dikekalkan sehingga pilihanraya umum akan datang. Malah mereka ini juga dilaporkan memainkan peranan membawa Haji Hadi dan Setiausaha Agung Pas, Mustaffa Ali ke kediaman Khalid pada kira-kira 11 malam, minggu lalu yang dipercayai berkaitan dengan desakan yang semakin kuat mengenai pertukaran Menteri Besar Selangor.

Dengan PKR hanya mempunyai 14 kerusi DUN manakala Pas dan DAP pula masing-masing mempunya 15 kerusi, pertukaran Menteri Besar Selangor boleh mengundang masalah jika Pas enggan bersetuju dengannya. Ia juga akan meretakkan hubungan dalam PR yang sudah terjalin erat sejak pemecatan Anwar Ibrahim daripada kerajaan pada 1998 lagi.

Dalam masa yang sama, melihatkan air sudah mulai keruh, UMNO mula memberi sokongan kepada Khalid Ibrahim untuk terus kekal memimpin negeri itu. Para pemimpin UMNO yang dulunya mencerca dan memaki Khalid, kini berbondong-bondong melontarkan pujian pula. Pas yang dilihat mempunyai pengaruh kuat tidak lagi dihentam, tetapi diminta menilai semula sumbangan serta kecemerlangan Khalid selama ini.

Media pro kerajaan seperti Utusan dan TV3 pula tidak henti-henti mencipta logik betapa perlunya Khalid terus dikekalkan memimpin Selangor, malah tanpa segan silu juga memuji kecekapan Menteri Besar Selangor itu dalam mengurus kerajaan dan kewangan negeri sehingga mempunyai rizab tunai melebihi RM3 billion.

Sedangkan, isu pertukaran Khalid bukan lagi berkaitan kecekapannya mengurus kewangan negeri tetapi lebih kerana jajaran atau alignmentnya yang sudah lari, kerap membuat keputussn sendiri serta membelakangkan konsep permuafakatan yang diamalkan oleh PR selama ini.

Khalid bukan saja mempersetujui secara sulit rundingan mengenai air dengan Pusat dan bersetuju secara dasar mengenai projek lebuhraya Kidex yang banyak dibantah oleh penduduk, malah juga sudah mulai melapangkan dada menghadiri majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri, Najib Razak. Meskipun tiada salahnya menghadiri majlis berbuka anjuran UMNO itu, soalnya kenapa sepanjang enam tahun sebelum ini beliau tidak terdetik hati menghadirinya?

UMNO bukan saja sedang memerangkap rakan-rakan PR dalam isu Menteri Besar Selangor ini, bahkan Khalid akhir-akhir lebih dilihat sebagai pemimpin kesayangan UMNO serta menjadi primadona kepada media-media miliknya.

Ini bermakna jika Pas terbuai dengan nyanyian lagu merdu yang sedang didendangkan UMNO dan bersetuju agar Khalid terus dikekalkan, yang menang sebenarnya bukanlah parti itu dan perjuangan Islamnya, tetapi yang akan menjulang trofi kemenangan ialah UMNO, Utusan dan TV3.

Meskipun persetujuan Pas ini dicapai setelah melalui beberapa proses rundingan dan memakan masa, Pas ternyata telah menunjukkan kematangannya serta tahu apakah keutamaannya dalam perjuangan sebagai sebuah parti politik. Pas dan Haji Hadi juga nampaknya tidak menjadikan kepentingan peribadi atau kedudukan menantunya yang bekerja dengan Khalid sebagai alasan untuk melakukan sesuatu yang betul bersama PR.

Sebagaimana yang dilaporkan bahawa pertukaran Menteri Besar Selangor ini akan dilakukan selepas Aidilfitri nanti, PR juga tidak harus berlengah lagi mengenainya. Lakukanlah dengan kadar segera dan tertib agar ruang selebihnya boleh digunakan untuk memulihkan semula kepercayaan rakyat Selangor yang mengikut kajian terbaru Umcedel sudah pun merudum kepada 35 peratus saja lagi sekarang ini.

Jika gagal menukar atau melengahkannya lagi, sokongan rakyat akan terus merudum tetapi dengan segera menggantikan Khalid Ibrahim, PR akan mempunyai kekuatan untuk memulihkan semula kedudukannya. Ini kerana, sama ada Dr Wan Azizah mahupun Azmin Ali sebagai bakal penggantinya, kedua-duanya adalah lebih baik daripada pemimpin UMNO Selangor yang ada sekarang. (SH 21/07/2014)

Sunday 20 July 2014

KJ Ketua Pemuda London?


Malam tadi Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin telah memuat naik gambarnya bersama ribuan orangramai di Kota London menyertai perhimpunan menyokong Gaza dan mengecam Israel. Beliau dilaporkan dalam perjalanan ke Glasgow, Scotland untuk menghadiri Sukan Komanwel dah sementara singgah di kota London, kebetulan ada perhimpunan tersebut yang diadakan menuju ke keduataan Israel, lalu beliau dikhabarkan mengambil kesempatan turut sama menyertainya.

Memanglah sekali imbas, tindakan KJ itu sesuatu yang boleh dipuji dan membanggakan. Barangkali tidak ramai rakyat Malaysia, apatah lagi bertaraf menteri jika tiba di kota yang serta gemerlapan seperti London sanggup meluangkan masa menyertai perhimpunan seperti ini.

Mungkin pemimpin lain lebih gemar menghabiskan masa berjalan-jalan, membeli-belah atau menikmati panaroma indahnya kota tersebut, atau setidak-tidaknya berehat di bilik hotel saja daripada menyertai perhimpunan anti Israel itu. Tambahan pula ketika ini cuacanya sedang panas - kalau tak ikut serta perhimpunan ini pun tiada siapa nak marah atau mengurangkan markah politik di tanahair.

Namun, nampaknya berlainan dengan KJ. Beliau tetap meluangkan masa menghadiri perhimpunan anti Israel serta masih tidak lupa tanggungjawabnya sebagai seorang muslim.

Tetapi di dalam negara, apakah yang dilakukan oleh KJ dan Pemuda UMNO untuk menyuarakan bantahan mengenai serangan Israel di Gaza?

Pemuda UMNO yang diketuainya hanya mengadakan demonstrasi anti Israel di hadapan bangunan UMNO saja, bukannya di hadapan Kedutaan Amerika sebagai tanda bantahan terhadap keganasan yang sudah berulang kali dilakukan oleh Israel terhadap umat Islam di Gaza dan Palestin.

Tindakan Pemuda UMNO menjerit-jerit menghentam Israel di hadapan bangunan sendiri itu dianggap aksi paling lemah oleh pergerakan itu berbanding jika diadakan di hadapan Kedutaan Amerika yang merupakan penaja utama dan sekutu paling rapat dengan Israel itu.

Perhimpunan itu pula hanya diketuai oleh naibnya, Khairul Azwan Harun bersama hanya kira-kira 200 anggota Pemuda UMNO saja. KJ langsung tidak menyertai perhimpunan itu dan wajahnya tidak kelihatan sama-sekali, mungkin sibuk dengan tugas lain agaknya.

Lebih dari itu, ketika diminta mengulas mengenai pemulauan produk-produk yang ada kaitan dengah Israel atau Yahudi pula, KJ turut menyatakan kurang setujunya dengan tindakan itu atas alasan tidak semua barangan itu didatangkan daripada negara zalim tersebut, malah ia mungkin di keluarkan di kilang di negara ini yang pekerjanya adalah rakyat tempatan.

Beliau kemudian memberi contoh mengenai produk Nestle yang walaupun ada kaitan dengan Yahudi tetapi barangannya dikeluarkan di kilang yang terdapat di Rembau, Negeri Sembilan.

Pendirian KJ mengenai pemulauan produk yang ada kaitan dengan Israel atau Yahudi ini jelas berbeza dengan pendirian bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang menyokong sebarang usaha ke arah itu, malah mencadangkan agar usaha itu sentiasa dipertingkatkan ke seluruh dunia bagi menghasilkan kesan yang lebih baik menekan kuasa jahat tersebut.

Dan ketika Pas mengadakan demonstrasi anti Israel di hadapan Kedutaan Amerika, Jumaat lalu yang turut disertai oleh ribuan umat Islam, malang juga kerana KJ tidak pula mengarahkan ahli-ahli Pemuda untuk turut serta. Seharusnya demi kepentingan umat Islam di Palestin dan Gaza, KJ dapat mengenepikan soal politik dan mengarahkan ahli-ahli Pemuda untuk turut serta dalam perhimpunan anjuran Pas itu.

Kenapakah ketika berada di dalam negaranya sendiri di mana beliau menjawat jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO dan seorang menteri, KJ tidak mahu menunjukkan sebarang tindakan yang positif dan lebih berkesan untuk menyatakan bantahannya terhadap Israel?

Kenapa memilih kota London sedangkan kehadirannya hanyalah sebagai rakyat biasa saja?

Mungkin lebih baik jika sebelum menyertai demonstrasi di London itu, KJ membuktikan dahulu beliau juga sudah memainkan peranan yang sewajarnya di negara sendiri dalam mengecam Israel ini. Tidaklah ada yang melihatkan lebih sebagai Ketua Pemuda London berbanding Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Apakah keutamaan beliau dalam isu Israel ini sebenarnya - suatu tanggungjawab atau suka-suka? (SH 20/07/2014)

Friday 18 July 2014

Berikutan Tragedi MH17, Majlis Rumah Terbuka Wajar Dibatalkan Tahun Ini


Semalam dunia dikejutkan dengan tragedi pesawat MAS, MH17 ditembak jatuh di ruang udara Ukraine. Tiada penumpang yang terselamat daripada kemalangan tersebut dan ini menjadikan dunia lebih bersedih dengannya. Rakyat Malaysia pula yang dihantui dengan kehilangan misteri MH370 sejak 8 Mac lalu yang masih belum ditemui sehingga ini, tentulah lebih berganda kesedihannya.

Sehingga ini belum dapat dipastikan bagaimana puak militan Ukraine boleh menembak pesawat yang hanya membawa orang awam ini. Mungkinkah mereka tersalah tembak kerana menyangka MH17 itu pesawat yang dinaiki oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin berikutan dilaporkan warna dan lakaran luar kedua-dua pesawat itu hampir sama?

Mungkinkah juga laluan yang digunakan oleh MH17 itu merupakan zon bahaya, walaupun dibenarkan untuk dilalui. Sebagaimana yang diakui oleh Hishammuddin Hussein, laluan itu adalah yang dibenarkan dan beberapa syarikat penerbangan lain juga melaluinya, tetapi ada syarikat penerbangan yang tidak mahu mengambil risiko, lalu menggunakan laluan yang lain.

Selain tragedi MH17 ini juga berlaku pada tarikh 17 Julai yang mungkin suatu kebetulan atau Tuhan ingin menunjukkan sesuatu kepada umatnya di dunia ini, terutama di Malaysia, tidak pernah juga mana-mana negara mengalami tragedi kehilangan pesawat sebanyak dua kali dalam tempoh hanya empat bulan saja. Sekali lagi apakah petanda Tuhan menurunkan ujian ini? Atau mungkinkah ianya suatu bala umum kepada kita?

Dalam banyak-banyak pesawat yang selama ini melalui laluan itu, timbul juga persoalan kenapakah milik MAS yang dipilih Tuhan dan pastilah ada sebab-sebabnya untuk kita renung dan fikirkan.

Melalui kehilangan pesawat MH370 bersama 227 penumpang dan kini MH17 pula membawa 298 penumpang, bermakna seramai 525 nyawa telah terkorban yang diakibatkan oleh pesawat MAS. Sekaligus kejadian ini menjadikan MAS yang sedia merudum prestasinya kerana mengalami kerugian yang teruk sejak beberapa tahun lalu, terus dirundung malang.

MAS tentunya akan terus mengalami kerugian dan kehilangan penumpang daripada seluruh dunia, tetapi yang lebih malang lagi ialah kemungkinan kehilangan keyakinan yang lebih berpanjangan. Dengan itu, memulihkan kegemilangan MAS selepas ini adalah tugas yang amat-amat sukar kepada kerajaan dan juga pengurusannya.

Tragedi terbaru yang melibatkan MH17 ini juga sebenarnya tidak berkaitan sama-sekali dengan kelemahan kerajaan dan mana-mana pemimpinnya. Ia berlaku di luar kawalan kita, namun demikian jika terbukti tembakan menggunakan peluru berpanduk Buk, buatan Russia yang mampu menempak pesawat sehingga ketinggian 80 ribu kaki di angkasa itu merupakan kesilapan dan salah sasaran, lebih-lebih lagi jika disengajakan, pihak yang terbabit wajar dihadapkan ke muka pengadilan dan dikutuk oleh dunia.

Tiada mana-mana manusia atau kelompok yang waras boleh membenarkan tembakan seumpama itu dilakukan kepada sesiapa pun.

Walaupun tragedi ini bukan merupakan salah dan silap kerajaan, tetapi memandangkan sudah dua kali pesawat negara kita ditimpa musibah hanya dalam tempoh empat bulan dan tidak pernah berlaku kepada mana-mana negara sebelum ini, maka wajarlah pimpinan kerajaan mengambil iktibar dan bermuhasabah diri mengenainya. Dua tragedi berturut-turut ini seperti Tuhan ingin memberi sesuatu petunjuk kepada kita.

Barangkali sudah sampai masanya kerajaan membuat peraturan melarang hidangan minuman keras dan beralkohol dalam mana-mana pesawat MAS selepas ini. Sesuai dengan pengakuan pimpinan kerajaan sendiri bahawa Malaysia bukanlah negara sekular, membenarkan hidangan minuman keras bagaikan kerajaan menganiaya kakitangannya yang beragama Islam lantaran mereka terpaksa berbuat sesuatu yang yang haram dan ditegah oleh agama semata-mata kerana tuntutan tugas.

Dalam masa yang sama juga, inilah masanya untuk MAS menukar uniform pramugarinya kepada imej yang lebih Islamik dan menutup aurat, sesuai dengan negara Islam yang dibangga-banggakan itu. Imej pakaiannya sekarang, walaupun tidak menjolok mata tetapi tidak menutup aurat, malah lebih memperlihatkan bentuk tubuh pemakainya.

Tragedi MH17 ini berlaku ketika bulan puasa memasuki 10 hari terakhir yang bermakna ia berlaku ketika memasuki detik-detik pembebasan daripada azab api neraka mengikut kepercayaan Islam, sementara 10 hari pertama puasa adalah rahmat dan 10 hari kedua pula ialah keampunan.

Oleh itu, perubahan menyeluruh dalam MAS ke arah lebih Islamik adalah sangat-sangat wajar dan sudah sampai ketikanya untuk dilakukan jika pimpinan kerajaan benar-benar ingin mendapat keredaan Tuhan dan menghuni syurga selepas kematian nanti.

Selain itu, sesuai sebagai tanda berkabung atas dua tragedi berturut-turut ini, pihak kerajaan juga seharusnya membatalkan semua acara hiburan dan rumah terbuka di Aidilfitri yang dijangka pada 28 Julai ini. Najib harus membatalkan rumah terbukanya di Seri Perdana, begitu juga semua menteri-menteri dan pemimpin kerajaan peringkat negeri.

Ia sekurang-kurangnya menunjukkan sikap prihatin Najib dan kerajaan kepada seluruh dunia serta keluarga mangsa yang masih bersedih dengan kehilangan orang-orang tersayang akibat dua tragedi itu. Masih sanggupkah kerajaan dan pimpinannya bersukaria, bermewah dengan makanan serta bergelak ketawa sedangkan ramai yang lain sedang berduka dan berendam airmata? Lebih dari itu salah seorang penumpang pesawat MH17 iaitu Siti Aminah Prawira Kusuman adalah juga nenek tiri Najib sendiri.

Meskipun di media sosial sudah semakin banyak desakan agar Najib segera berundur daripada menerajui negara ini berikutan apa yang dianggap bala bertimpa-timpa ini, selain pelbagai masalah lain seperti pencerobohan dan penculikan yang berterusan di perairan Sabah dan lain-lainnya, secara rasionalnya desakan ke arah itu masih tidak wajar dilakukan ketika ini.

Lebih sesuai untuk kita semua bersama-sama dengan kerajaan menangani tragedi ini mengikut kemampuan dan keupayaan masing-masing. Hulurkankan bantuan, tunjukkan tanda simpati atau sekurang-kurangnya mendoakan yang terbaik buat keluarga mangsa akibat tragedi berdarah ini.

Tetapi jika di Aidilfitri ini, masih penuh dengan pesta-pestaan rumah terbuka di seluruh negara, malah terdapat pula pemimpin atau isteri mereka menyanyi secara terbuka sebagaimana tahun-tahun sebelumnya yang menunjukkan tiada langsung rasa simpati, maka pemimpin seperti ini wajiblah dilaknat selama-lamanya. (SH 18/07/2014)

Thursday 17 July 2014

"Kalau Hebat Sangat, Bubar DUN Selangor Dan Tandinglah Atas Tiket BN"


Kemelut politik di Selangor dan isu pertukaran Menteri Besarnya sudah mula memasuki episod yang memual dan merimaskan. Rakyat dan pemerhati politik sudah mulai bosan dengan situasi yang berlarutan itu. Semua keadaan ini berpunca daripada dua sebab iaitu kedegilan Khalid Ibrahim yang merasakan jawatan itu miliknya selagi mahu serta kegagalan pimpinan PR bertindak tegas serta pantas menyelesaikannya.

Pertukaran jawatan Menteri Besar adalah perkara biasa. Blog ini sudah menulis sebelum ini bahawa pertukaran itu telah banyak kali berlaku sebelum ini dan tiada yang peliknya bila Khalid Ibrahim pula mahu ditukarkan. Dalam hal ini, Khalid haruslah sedar beliau dipilih oleh parti dan seharusnya akur bila diminta untuk berundur. Janganlah menganggap jawatan, kediaman dan kereta rasmi dan pelbagai kemudahan lainnya sebagai hak milik peribadi.

Amatlah memalukan apabila pemimpin UMNO yang sering dikaitkan dengan kronisme, nepotisme dan amalan-amalan tidak baik boleh menerima apabila ditukarkan tetapi Khalid yang kononnya sarat dengan perubahan dan reformasi tidak mahu akur dengan pertukaran.

Tindakan beliau berkeras bahawa akan terus memegang jawatan sehingga akhir penggal di sebalik desakan kian bertubi-tubi mahu menukarnya, bahkan diingatkan oleh Anwar Ibrahim juga agar jangan menjadikan jawatan Menteri Besar milik peribadi, tidak lebih menunjukkan sikap tamak dan tidak faham hukum politik dalam jiwa Khalid sendiri.

Tindakannya melompat dari satu dahan ke satu dahan mencari perlindungan juga menunjukkan jiwa kacaunya mahu menpertahankan jawatan itu. Kenapa hanya ketika ini mahu berbaik-baik dan hadir majlis berbuka puasa dengan Perdana Menteri, Najib Razak? Mengapa baru sekarang juga teringat mahu menjemput Presiden Pas, Haji Hadi datang ke kediamannya untuk berbual-bual politik walaupun sudah jam 11 malam?

Kenapa selama lebih lima tahun menjadi Menteri Besar sebelum ini beliau tidak terfikir semua itu? Mengapa selama ini hanya Anwar Ibrahim saja yang dipujanya tetapi sekarang mula dibelakangkannya?

Khalid sebenarnya tiada alasan untuk mempertahankan lagi dirinya jika benar pimpinan PR sudah bersetuju untuk menukarnya. Beliau haruslah akur dengan ketetapan itu. Tidak perlu lagi melompat dan tersengih ke sana sini mencari dahan serta tauke yang dirasakan lebih kuat.

Bagi PR pula, janganlah dilengah-lengahkan lagi pertukaran itu jika ianya sudah dipersetujui secara muafakat. Segeralah majlis pimpinan PR bertemu Khalid dan memaklumkan perkara tersebut secara terang-terangan kepadanya. Selepas itu, pimpinan utama PR daripada Pas, PKR dan DAP pula segeralah mengadap Sultan Selangor memberitahu mengenai hasrat pertukaran yang telah diputuskan secara muafakat serta mencadangkan bakal penggantinya.

Jika semua ini dilakukan secara terib dan berhemah, tidak mungkan lebih banyak masalah akan timbul. Sultan Selangor juga tidak mungkin menolak jika sudah pimpinan ketiga-tiga parti mengadapnya memaklumkan pertukaran itu kerana baginda adalah seorang yang faham mengenai undang-undang.

Tetapi jika semua pendekatan ini diambil dan Khalid masih juga berdegil mengatakan beliau akan bertahan sehingga akhir penggal iaitu sehingga pilihanraya akan datang, barulah boleh dipertimbangkan untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadapnya di DUN Selangor.

Tetapi tindakan ini seharusnya menjadi pilihan terakhir kerana jika ia berlaku, ia lebih menunjukkan kegagalan pimpinan PR sendiri dalam menyelesaikan masalahnya. UMNO sendiri, walaupun kerap menukar Menteri Besarnya sebelum ini tetapi tidak pernah pula sampai ke peringkat mengusulkan undi tidak percaya kepada ahli partinya sendiri. Proses rundingan haruslah menjadi keutamaan.

Bagi Khalid pula, oleh kerana partinya sendiri sudah tidak menghendakinya dan PR juga turut bersetuju untuk menukarnya, tiada lagi alasan untuknya bertahan di kedudukan itu. Tetapi jika beliau ingin melawan ketetapan itu, tunjukkanlah kejantanan dengan membubarkan DUN Selangor bagi membolehkan pilihanraya negeri diadakan.

Jika benar beliau sudah mempunyai hubungan baik dan "cium mulut" dengan UMNO dan Najib, selepas itu bertandinglah menggunakan tiket BN dan bekerjasamalah dengan UMNO melawan PR. Jika masih mampu menang, ciumlah tangan Perdana Menteri untuk minta diteruskan sebagai Menteri Besar sehingga akhir penggal.

Janganlah pula nanti andainya sudah menang, Noh Omar pula dinaikkan jadi Menteri Besar Selangor.

Seandainya beliau masih mampu menang, sama ada di kerusi Pelabuhan Kelang mahupun Ijok dan kemudian melalui kerjasamya dengan UMNO pula boleh membuahkan kerusi majoriti, barulah beliau diiktiraf sebagai pemimpin yang hebat dan diterima rakyat Selangor.

Dalam kedudukan sekarang, di mana rakyat Selangor memberikan undi dan sokongan kepada PR, Khalid tidak seharusnya terus mahu bertenggek di kerusi empuk itu sedangkan pimpinan PR sudah bersetuju mahu menggantinya. Beliau selama ini diberikan undi dan sokongan atas tiket PKR dan PR, maka akurlah dengan kehendak dan ketetapan parti. (SH 17/07/2014)

Wednesday 16 July 2014

Dulu Takut Anwar Jadi MB, Rupanya Dengan Isterinya Pun UMNO Takut Juga


UMNO nampaknya bukan saja takut Anwar Ibrahim menjadi Menteri Besar Selangor, tetapi turut takut jika isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail menduduki jawatan nombor satu kerajaan negeri itu. Jika Anwar sebelum ini dihalang melalui proses mempercepatkan kesnya di Mahkamah Rayuan, bahkan bersidang juga sehingga jam 7 malam, Dr Wan Azizah juga cuba dihalang dengan mereka-reka pelbagai bentuk persepsi mengenai ketidaklayakannya menduduki jawatan itu.

Kalau sebelum ini, beliau dikatakan tidak sesuai menduduki jawatan itu kerana bukan anak jati Selangor, sebaliknya dilahirkan di Singapura, terbaru ini fitrah semulajadinya sebagai wanita pula dijadikan alasan.

Peguam UMNO, Hafarizam Harun menjadikan alasan Dr Wan Azizah sebagai wanita yang mengalami uzur syarie atau datang bulan sebagai alasan untuk mengatakan Presiden PKR itu tidak sesuai menjadi Menteri Besar Selangor kerana dianggap menjadi halangan untuknya menghadiri majlis-majlis keagamaan ketika mengiringi Sultan Selangor.

Walaupun merupakan peguam UMNO dan peguam kepada Perdana Menteri dalam kes saman terhadap Malaysiakini serta dianugerahkan projek lebuhraya Kidex bernilai lebih RM2 biliion, hakikatnya Hafarizam paling sengkek mindanya apabila menggunakan alasan uzur syarie itu sebagai sandarannya untuk mengatakan Dr Wan Azizah tidak layak memimpin Selangor.

Apa yang beliau takutkan dengan Dr Azizah? Benarkah seperti kata Rafizi Ramli bahawa ketakutan Hafarizam ialah kerana bimbangkan projek lebuhraya Kidexnya tidak menjadi kenyataan jika Dr Wan Azizah menjadi Menteri Besar Selangor?

Amat malang Hafarizam hanya melihat kelayakan menjadi Menteri Besar hanya dari sudut mengiringi Sultan Selangor ke majlis keagamaan semata-mata. Adakah Sultan mempunyai program dengan masjid setiap hari? Atau seminggu sekali? Atau barangkali hanya sebulan sekali? Atau mungkin hanya beberapa kali dalam setahun?

Diakui dan disedari oleh sesiapa pun bahawa mengiringi Sultan Selangor ke majlis keagamaan hanyalah segmen kecil dalam tugas seorang Menteri Besar. Ia malah boleh diwakilkan kepada Exco agama atau boleh juga dilantik seorang Timbalan Menteri Besar untuk tujuan itu.

Kedudukan Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar mungkin menimbulkan masalah jika Sultan Selangor mempunyai jadual sembahyang lima waktu setiap hari di masjid-masjid secara berjemaah.

Dalam hal ini, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin turut tidak bersetuju dengan pandangan peguam UMNO itu, sambil mengatakan peranan mengiringi Sultan Selangor hanyalah sebahagian kecil daripada sekian banyak tugas lain yang jauh lebih besar fungsinya.

Namun, meskipun KJ mengatakan wanita layak bukan saja menjadi Menteri Besar, malah Perdana Menteri sekalipun tetapi tetap menolak Dr Wan Azizah untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

"Secara peribadi wanita amat layak menjadi Menteri Besar atau Perdana Menteri, tetapi bukan wanita itu (Dr Wan Azizah)," katanya.

Kenapa KJ juga menolak Dr Wan Azizah jadi Menteri Besar Selangor? Apakah yang ditakuti dan dibimbanginya? Adakah kebimbangannya merupakan manifestasi kebimbangan UMNO secara keseluruhannya?

Apakah bila Dr Wan Azizah menjadi Menteri Besar, harapan UMNO untuk menawan kembali Selangor menjadi lebih sukar? Atau UMNO nanti menjadi malu besar kerana walaupun dipimpin oleh seorang wanita tetapi tetap gagal menewaskannya? Mungkin inikah yang menjadi kerisauan Najib Razak dan Noh Omar?

Dalam masa yang sama, mungkinkah UMNO juga takut kerana jika Dr Wan Azizah menjadi Menteri Besar Selangor, ia tambah menyukarkan mereka mempertahankan kuasa di peringkat Pusat?

Tidak mustahilkah jika Dr Wan Azizah berjaya dijadikan Menteri Besar Selangor, rancangan untuk memenjarakan Anwar juga bakal tergendala?

Ingatkan UMNO hanya takutkan Anwar saja menjadi Menteri Besar Selangor, rupa-rupanya ketakutan terhadap Dr Wan Azizah pun tidak jauh bezanya. (SH 16/07/2014)

Tuesday 15 July 2014

Jika Hishammuddin Suka Beri Amaran, Zahid Pula Penuh Dengan Retorik


Isu berkaitan Esscom atau Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah kembali menjadi perhatian berikutan berlakunya serangan hendap di sebuah resort di Pulau Mabul, Semporna yang mengorbankan seorang anggota polis manakala seorang lagi anggota keselamatan diculik oleh kumpulan yang dipercayai berpusat di selatan Filipina.

Esscom ditubuhkan berikutan tragedi pencerobohan di Lahad Datu, namun selepas penubuhannya kejadian penculikan yang melibatkan pelancong sebagai kegiatan mendapatkan wang tebusan sudah beberapa kali berlaku. Ia seolah-olah kumpulan penculik itu tidak gentar langsung dengan Esscom yang diberikan peruntukan besar serta melibatkan polis, tentera laut serta marin.

Kawasan perairan itu seolah-olah menjadi lubuk duit bagi kumpulan penceroboh tersebut memperolehi wang kerana setiap kali penculikan berlaku, ia mesti diakhiri dengan pembayaran wang berjuta-juta ringgit. Perairan Semporna dan Lahat Datu seolah-olah sudah seperti perairan Somalia yang menjadi medan lanun-lanun menawan kapal dan kemudian menuntut wang tebusan.

Selain beberapa aspek kelemahan masih wujud dalam Esscom sehingga Perdana Menteri juga sudah meminta dikaji semula sistem kawalan agar tidak begitu mudah dicerobohi, kecacatan paling ketara dalam Esscom ialah berkaitan kepimpinan yang ditunjukkan oleh Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi yang bertanggungjawab terhadapnya.

Setiap kali berlaku insiden, reaksi Zahid lebih berbaur retorik dan kenyataan politik semata-mata. Dengan janji beliau untuk mendedahkan petualang Lahad Datu masih tidak ditunaikan sehingga kini, sebaik saja insiden terbaru yang melibatkan dua anggota polis baru-baru ini, Zahid sekali mengeluarkan kenyataan politik dan retorik apabila menyatakan serangan hendap itu dilakukan kerana penceroboh ingin membalas dendam berikutan peningkatan keselamatan yang dilakukan oleh Esscom.

Jika benar kawalan keselamatan meningkat, bagaimana penculikan demi penculikan boleh berlaku dan boleh melibatkan kematian serta penculikan anggota polis sendiri?

Lebih menghairankan apabila kemudian Panglima Tentera Laut, Abdul Aziz Jaafar mendedahkan bahawa kapal-kapal yang berkawal di perairan itu tidak dibenarkan menembak penceroboh dan beliau meminta kerajaan segera mengubah peraturan itu demi memastikan tindakan pengawalan lebih berkesan.

Walaupun Zahid segera memberi reaksi bahawa kebenaran menembak itu diberikan lampu hijau asalkan dapat menghalang penceroboh, persoalan yang timbul ialah apakah sebagai Menteri Dalam Negeri, beliau tidak mengetahui bahawa kapal tentera laut yang berkawal di perairan Sabah selama ini tidak dibenarkan melakukan tembakan?

Jika beliau tidak mengetahuinya, ia menunjukkan satu lagi kelemahannya sebagai menteri yang menjaga keselamatan negara ini.

Tetapi jika mengetahuinya pula, bagaimanakah beliau tergamak mengatakan kumpulan penculik itu melakukan serangan serangan hendak kerana ingin membalas dendam berikutan kawalan keselamatan yang kian meningkat di perairan Sabah. Bagaimana mahu dikata kawalan keselamatan meningkat sedangkan menembak pun tidak dibenarkan?

Kenyataan Zahid jelas berunsur retorik untuk menunjukkan kewibawaan Esscom sedangkan hakikatnya terdapat beberapa kelemahan yang masih nyata dan menimbulkan kehairanan kepada orangramai.

Permintaan tentera laut untuk menembak itu sebenarnya bukan hanya patut diberikan sekarang, tetapi sekurang-kurangnya serentak dengan penubuhan Esscom itu. Ia juga sesuai dengan peralatan persenjataan serba canggih dan moden yang dimiliki oleh tentera laut sekarang ini.

Zahid juga kemudian meminta media sosial agar tidak memperlekeh usaha pasukan keselamatan mengawal perairan Sabah, sebaliknya sama-sama berusaha demi maruah dan keselamatah negara.

Siapakah yang lebih memperlekeh, bukankah kenyataan demi kenyataan oleh Zahid sendiri yang menjurus ke arah itu? Atau kenyataan tidak mantap dan kurang berwibawa daripanyalah yang mengundang perlekehan itu, bukannya disebabkan usaha pasukan keselamatan?

Meskipun Zahid berjaya melonjakkan namanya sebagai Menteri Dalam Negeri yang lebih baik daripada penyandang sebelumnya, Hishammuddin Hussein sehingga sekali lagi dipilih sebagai Naib Presiden UMNO dengan undi terbanyak dalam pemilihan tahun lalu, hakikatnya semua itu hanyalah pementasan sementara saja.

Jika sebelum pemilihan UMNO, suaranya begitu lantang menentang penghapusan Ordinan Darurat dan penggantian Akta Hasutan dengan undang-undang baru Akta Keharmonian, di manakah suara Zahid sekarang ini? Bahkan ketika Mahathir terus-menerus menyatakan kebimbangan dengan penghapusan Akta Hasutan itu, suaranya makin menjauh ke laut berhubung isu itu. Tiada apa-apa lagi yang keluar dari mulutnya.

Barangkali jika pemilihan UMNO diadakan setahun sekali, mungkin pula media tidak cukup ruangan untuk memuatkan kenyataan dan kegarangannya mengenai pelbagai isu yang menyangkut hal-hal berkaitan Melayu terutamanya.

Jika diimbas, antara Zahid dan Hishammuddin yang sama-sama pernah menjadi Menteri Dalam Negeri, kedua-duanya lebih kurang sama saja. Hishammuddin terlalu lemah, apologetik dan asyik-asyik memberi amaran saja sedangkan tindakannya langsung tidak pernah menjelma.

Zahid pula cuba menunjuk garang, berani dan lebih menjadikan jawatan itu sebagai landasan meningkatkan popularitinya. Selain aksi sebelum dengan selepas pemilihan UMNO banyak berbeza, beliau seringkali mengeluarkan kenyataan bersifat politik dan retorik dalam isu-isu berkaitan keselamatan negara. Zahid seolah-olah melihat semua aspek keselamatan boleh diurus seperti mengendalikan UMNO cawangan saja.

Itulah sebabnya, bila pencerobohan berlaku sehingga anggota polis terbunuh dan seorang lagi diculik, Zahid dengan santai mengatakan ianya kerana mereka ingin membalas dendam kepada pasukan keselamatan. Jika begitu, bolehkah kita juga mengatakan rompakan dan samun yang berlaku setiap detik adalah juga kerana perompak ingin membalas dendam kepada polis yang selalu menangkap dan memberkas penjenayah?

Kalau dulu ada yang kecewa dengan Hishammuddin mengendalikan Kementerian Dalam Negeri kerana hanya tahu memberi amaran, Zahid dengan retorik dan kenyataan politiknya mula mendatangkan lebih kekecewaan lagi. Esscom atau apa saja berkaitan keselamatan lebih tidak selamat bila berada ditangannya. (SH 15/07/2014)

Monday 14 July 2014

Bolasepak, Brazil Dan UMNO


Piala Dunia 2014 telah pun melabuhkan tirainya. Sebagaimana yang diketahui, Jerman telah pun muncul juara dengan menewaskan Argentina 1-0 dalam perlawanan akhir yang mendebar dan menghiburkan semua peminat bolasepak di seluruh dunia. Atas semangat berpasukan yang tinggi dan bagaimana gigihnya Jerman mencipta pelbagai produk yang diterima di seluruh dunia seperti Mercedes, BMW dan Audi, begitulah juga gigihnya mereka berusaha mencipta kemenangan kali ini.

Kemenangan Jerman sememangnya layak dimiliki berdasarkan prestasi pasukan itu sejak peringkat awal lagi. Tanpa bintang utama yang menjadi pujaan dunia, satu-satunya yang menjadi sandaran mereka ialah semangat berpasukan di kalangan semua pemainnya.

Lantaran itu, kemenangan Jerman tidaklah mengejutkan. Yang lebih mengejutkan dalam Piala Dunia kali ini ialah prestasi pasukan Brazil. Bermain di negara sendiri dan bersandarkan kebanyakan pemainnya yang gah mencipta nama di Eropah dan dikenali di seluruh dunia, Brazil pada awalnya dijangka lebih berpotensi menjuarai Piala Dunia kali ini.

Malangnya, bukan saja piala kejuaraan jauh dari genggaman, malah kekalahan 1-7 ditangan Jerman adalah suatu episod yang memalukan bagi gergasi Amerika Selatan itu. Lebih buruk lagi, dalam penentuan tempat ketiga dan keempat pula, Brazil juga tewas 0-3 kepada Belanda.

Kenapakah prestasi Brazil begitu buruk?

Jika diperhatikan, corak permainan Brazil kali ini tidak lagi seperti dulu. Gaya samba yang menjadi identiti pasukan itu sudah lenyap sama-sekali. Kita tidak lagi lagi terhibur melihat persembahan Brazil sepertimana era gemilang yang dicetuskan oleh pemain seperti Pele, Socrates, Zico, Romario, Roberto Carlos, Cafu, Ronaldo, Ronaldinho dan ramai lagi pada suatu ketika dahulu.

Pasukan Brazil kali ini telah membuang sama-sekali tradisi samba yang menjadi imejnya selama ini. Dengan sebahagian besar pemainnya sekarang mencipta nama di pelbagai liga ternama di Eropah, gaya permainan Brazil juga sudah seperti gaya Eropah. Corak permainan mereka sudah tidak banyak berbeza dengan England, Sepanyol, Italy, Jerman mahupun Belanda.

Dengan mengubah gaya permainan itulah yang menjadi punca utama mereka mudah diratah oleh Jerman dan Belanda yang sememangnya sudah masak dengan corak sedemikian rupa.

Faktor-faktor lain seperti kepimpinan, pemilihan pemain dan jurulatih mungkin hanya faktor sampingan yang menyebabkan prestasi mereka paling buruk dalam kejohanan Piala Dunia kali ini, tetapi faktor sebenarnya ialah kerana Brazil sudah membuang tradisi samba yang menjadi kebanggaannya selama ini.

Jika Brazil merudum kerana membuang tradisinya, UMNO yang menjadi kebanggaan orang Melayu sejak lebih 50 tahun lalu juga sedang mengalami evolusi yang sama. Sejak 2008, UMNO mengalami prestasi buruk dan hampir ditolak oleh orang-orang Melayu sendiri, sebahagiannya adalah kerana UMNO juga turut membuang tradisinya.

Sejak sekian lama, tradisi UMNO ialah berkhidmat kepada rakyat dan mengutamakan kepentingan mereka. Walaupun sebelum 2008 ada juga isu-isu salah laku pemimpin, mengutamakan kroni, nepotisme, pemimpin memgumpul kekayaan dan sebagainya, tetapi gejala itu paling teruk sebaik Pak Lah mengambil alih pentadbiran negara pada 2003.

Harapan rakyat dengan memberi undi paling cemerlang pada 2004, kemudiannya telah dihukum pada 2008 berikutan kekecewaan terhadap cara pentadbiran Pak Lah yang membiarkan gejala tidak sihat seperti campurtangan pihak luar, pengumpulan kekayaan di kalangan keluarga, kaum kerabat dan pemimpin yang dekat dengan puncak kuasa.

Tradisi membela rakyat telah bertukar menjadi tradisi memperkayakan diri sendiri, kroni serta kaum kerabat manakala rakyat terus dibebankan dengan pelbagai kenaikan kos dan sara hidup yang kian meningkat.

Apabila Najib mengambil alih pada 2009, tradisi itu semakin jauh dah hanyut. Selain mengekalkan hampir semua gejala tidak baik dalam era pentadbiran Pak Lah, Najib menambah lagi pakej penolakan rakyat dengan karenah dan kemewahan yang tidak henti-henti ditunjukkan oleh isteri dan anak-anaknya.

Pelbagai kemewahan dan pemborosannya terdedah kepada umum sehingga ketika graduan lepasan universiti begitu sukar mendapat kerja dengan gaji RM2,400, Rosmah sebaliknya dikhabarkan membeli cincin berharga RM24 juta.

Lantaran itu, meskipun pelbagai pemberian tunai diberikan oleh Najib dalam pilihanraya 2013 lalu, prestasi BN tetap lebih buruk dengan kemenangannya merosot daripada 140 kerusi kepada 133 sahaja.

Walaupun seringkali diingatkan agar para pemimpin UMNO kembali kepada tradisi perjuangan asal, malah bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad juga tidak henti-henti menegur dan mengingatkan tentang kuasa yang sedang di hujung tanduk, malangnya saban hari satu demi satu kebobrokan pemimpin dan kaum keluarga mereka terdedah kepada umum yang menyebabkan apabila berlaku pertandingan dalam pilihanraya, bukan lagi mudah untuk UMNO memenanginya.

Sama seperti Brazil yang sudah hilang gaya sambanya, UMNO juga sudah semakin hilang aura membela rakyatnya. Sebagaimana peminat bolasepak tidak lagi terhibur menyaksikan Brazil bermain, rakyat dan orang Melayu juga tidak lagi terpana dengan UMNO sebagaimana generasi terdahulu mengkagumi UMNO.

Persamaan Brazil dan UMNO ialah kedua-duanya sudah membuang tradisi kebanggaannya. Keutamaan pemimpin UMNO sekarang ialah merebut pangkat, jawatan, kekayaan serta glamour manakala tradisi membela dan memperjuangkan rakyat sudah menjadi agenda yang bermusim. Apabila musim gelandangan, semua membantu gelandangan dan apabila musim OKU atau orang cacat, semua berduyun-duyun tertumpu ke situ, tetapi tidak pernah sesiapa terfikir untuk merangka dasar yang kekal dan munasabah untuk membantu semua golongan tidak bernasib baik itu secara berkekalan.

Jika kerana mengubah tradisinya, Brazil telah dihukum dengan kekalahan memalukan ditangan Jerman dan Belanda, UMNO juga sebenarnya telah dihukum sedikit demi sedikit sejak pilihanraya 2008 lagi. Dan kerana enggan berundur, jurulatih Brazil, Luis Scolari akhirnya ditamatkan kontraknya untuk memberi laluan kepada jurulatih baru mengambil alih tugasnya.

Najib juga mempunyai kemungkinan besar untuk ditamatkan perkhidmatannya dalam pilihanraya akan datang berikutan enggan berundur meskipun sudah banyak kelemahan didedahkan selama ini dan tidak pula berusaha lebih baik untuk memperbaikinya. (SH 14/07/2014)

Sunday 13 July 2014

Khalid Ibrahim Akan Ditukar Sebelum Anwar Dipenjarakan?


Nampaknya pertukaran jawatan Menteri Besar Selangor sudah tidak dapat dielakkan lagi. Ia hanya bergantung kepada masa saja. Mungkin cepat, mungkin juga lambat. Penegasan terbaru Anwar Ibrahim mengenainya amat jelas membawa maksud bahawa Khalid Ibrahim pasti akan ditukarkan.

Dalam reaksi terbarunya mengenai kedudukan Khalid Ibrahim, terutama selepas Menteri Besar Selangor itu menghadiri majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri, Najib Razak, Anwar berkata, PR tidak akan tergesa-gesa melakukan pertukaran itu dan sedang berunding untuk mencari penyelesaiannya.

"Perbincangan ini dibuat secara tertutup, lebih baik kita tanganinya dengan tertib dan teratur. Persefahaman sudah ada, tapi saya tak fikir kita perlu tergesa-gesa," tegas Anwar lagi.

Dalam masa yang sama, Anwar juga memberitahu bahawa Khalid telah memaklumkan kepadanya dan juga Dr Wan Azizah selaku Presiden PKR mengenai kehadirannya di majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri dua hari yang lalu dan beliau jelas tidak bimbang mengenainya.

Apa yang dapat difahami daripada kenyataan Anwar ini ialah Khalid Ibrahim tetap akan ditukarkan apabila tiba waktunya yang sesuai dan Langkah Kajang yang digerakkan beberapa bulan lalu tetap akan dilaksanakan. Yang keduanya, pertukaran itu tetap akan dilakukan kerana sudah ada persefahaman mengenainya.

Apakah persefahaman itu? Adakah persefahaman itu bermaksud sudah ada persetujuan antara parti-parti dalam PR untuk menukar Khalid dengan calon lain atau ianya bermaksud Khalid juga sudah bersetuju untuk ditukarkan?

Jika parti-parti dalam PR sudah bersetuju untuk mengganti Khalid, mungkinkan tuan punya tubuh bersetuju dengannya? Dan bagaimana pula jika beliau tidak bersetuju?

Bagaimana pula jika Khalid sudah ada pengakuan bersetuju dengan pertukarannya sebelum ini, tetapi tiba-tiba berubah fikiran pula? Atau mungkin Khalid hanya bersetuju jika tempatnya digantikan oleh Anwar Ibrahim saja sebagaimana yang dihasratkan melalui Langkah Kajang dan bukannya dengan calon-calon lain seperti Dr Wan Azizah ataupun Azmin Ali?

Meskipun dalam kemelut jawatan Menteri Besar Selangor ini, Khalid seakan bakal dimangsakan, bukan saja melalui jawatannya dalam kerajaan tetapi juga dalam PKR, namun beliau terlihat masih lagi mempunyai rasa hormat terhadap Anwar dan Dr Wan Azizah apabila masih sudi menjelaskan mengenai kehadirannya berbuka puasa bersama Najib yang menimbulkan banyak spekulasi sebelum itu.

Jika Khalid mahu menunjuk degil, beliau boleh saja tidak bercakap apa-apa mengenai kehadirannya bersama Najib itu. Tetapi Khalid tentulah juga mengenang persahabatannya yang lama dengan Anwar dan kerana Anwarlah, beliau dapat menjadi Menteri Besar Selangor.

Namun kenyataan terbaru Anwar ini turut juga dilihat sebagai asakan terbaru Anwar dan PR untuk memastikan pertukaran jawatan Menteri Besar Selangor tetap menjadi kenyataan. Ia dilihat seolah-olah ada tempoh masa tertentu untuk melakukan pertukaran itu dan Khalid sedang cuba diingatkan mengenainya.

Pertukaran Khalid dilihat penting untuk memastikan kebangkitan dan penolakan rakyat yang lebih berganda kiranya Anwar terpaksa dimasukkan ke penjara sekali lagi memandangkan pengurusan kes rayuannya terhadap hukuman lima tahun penjara atas dakwaan liwatnya di Mahkamah Persekutuan telah pun ditetapkan pada 8 Ogos depan.

Jika tidak banyak halangan, Mahkamah Persekutuan yang akan menentukan sama ada Anwar akan bebas atau ke penjara sekali lagi, dijangka bakal bersidang sebelum berakhirnya tahun 2014 ini. Kebarangkalian Anwar akan menghuni penjara sekali lagi adalah amat tinggi berdasarkan perkembangan politik yang berlaku kebelakangan kni.

Disinilah pentingnya orang yang benar-benar rapat dengan Anwar untuk mengisi kerusi Menteri Besar Selangor itu bagi menggerakkan kebangkitan rakyat menolak penganiyaan dan kezaliman terhadap Ketua Pembangkang itu. Berbanding jika Khalid yang kurang aura politik terus kekal sebagai Menteri Besar, gerakan politik yang boleh dilakukan ketika Anwar menuju ke penjara tentulah jauh lebih besar kiranya Dr Wan Azizah yang duduk di kerusi itu dan Azmin Ali sebagai Timbalan Menteri Besar atau Exco Kanannya.

Dr Wan Azizah akan berperanan menaikkan simpati, manakala Azmin sebagai penggerak mobilisasi. Dengan menggerakkan kebangkitan rakyat yang lebih menyeluruh, meskipun Anwar akan di penjara tetapi ia juga akan menjadikan laluan yang sukar untuk Najib dan BN menghadapi PRU 14 nanti.

Oleh itu, meskipun Anwar dilihat boleh bersabar dan tidak mahu tergesa-gesa menukar Khalid tetapi pertukaran itu tidak akan melangkaui tarikh bersidangnya Mahkamah Persekutuan nanti. (SH 13/07/2014)

Friday 11 July 2014

Najib Atau Khalid Yang Terdesak?


Kehadiran Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim bersama Perdana Menteri, Najib Razak di majlis berbuka puasa yang turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin UMNO Selangor semalam menimbulkan banyak persepsi dan tafsiran. Sejak menjadi Menteri Besar Selangor, inilah kali pertama Khalid Ibrahim hadir di majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh parti dan pihak yang bermusuh dengannya.

Walaupun ada yang berhujah bahawa kehadiran itu adalah perkara biasa, mungkin kerana adanya jemputan daripada Majlis Tindakan Negeri Selangor yang diketuai oleh Noh Omar atau daripada Najib sendiri, malah dikatakan Anwar Ibrahim juga pernah minum teh tarik bersama Perdana Menteri sebelum ini, tetapi kehadiran Khalid ini tentulah berbeza sama-sekali.

Ini kerana Khalid hadir di majlis berbuka puasa itu di ketika kedudukannya sedang tergugat dan kepimpinannya semakin ditolak oleh rakan-rakan dalam PR, tetapi ketika kedudukannya tidak dipertikaikan, tidak pula beliau mahu hadir di majlis-majlis seumpama itu.

Apakah Khalid sekarang ingin menunjukkan beliau sudah ada tauke baru sebagai tempat pergantungannya? Apakah Khalid begitu terdesak untuk menyelamatkan kedudukannya?

Di sisi yang lain, UMNO memang mengetahui kedudukan Khalid sedang terancam sejak wujudnya apa yang dipanggil KajangMove lagi. Dengan serangan, kecaman dan desakan bertali arus agar Khalid segera diundurkan serta Khalid pula enggan mengalah, mungkinkah UMNO sekarang cuba menunjuk baik dengan menghukurkan dahan untuk bergantung kepadanya?

Sekali imbas, kehadiran Khalid di majlis berbuka puasa itu sambil bergurau senda dan gelak ketawa dengan lain-lain para pemimpin UMNO yang tahun-tahun sebelumnya mengutuk dan mencercaya, manakala pemimpin UMNO yang berada di situ juga seakan terlupa mereka pernah mengata macam-macam kepadanya, ianya seolah-olah mereka sama-sama mendapat manfaat daripadanya.

Mungkin dengan berbaik dengan UMNO, Khalid dapat bertahan lebih lama lagi di kerusi empuk Menteri Besarnya. Khalid juga mungkin beranggapan dengan menunjuk beliau boleh berbaik-baik dengan UMNO dan Najib, serangan dan kecaman terhadapnya bakal berkurangan kerana ia memberi gambaran jika beliau ditukarkan, tentulah beliau akan bekerjasama dengan UMNO dan menelanjangkan semua kepincangan PR selama ini.

Kiranya PR bimbang dengan kemungkinan itu, tidak mustahil Khalid akan dikekalkan sehingga pilihanraya akan datang.

Dan jika itu yang berkaku, maka tercapailah hasrat Khalid untuk kekal menjadi Menteri Besar sehingga habis penggal ini sebagaimana yang selalu disebutnya selama ini.

Selain itu, hubungan Khalid dengan Sultan Selangor juga secara tidak langsung menjadi lebih kukuh apabila beliau mula berbaik-baik dengan UMNO dan Najib. Ada kemungkinan juga akhirnya Sultan Selangor akan menolak sebarang pertukaran jawatan Menteri Besar yang mahu dicadangkan oleh PR, sebaliknya mahukan Khalid terus kekal sehingga akhir penggalnya.

UMNO pula, dengan hanya 12 kerusi yang dimilikinya, ia tentulah sedar peralihan Menteri Besar daripada PR kepada BN mustahil boleh berlaku. Walaupun PKR mempunyai 14 kerusi, tetapi berapa sangatlah yang boleh ditarik oleh Khalid jika beliau memutuskan untuk menjadi Bebas atau menyertai BN kerana kuasa politik parti itu di Selangor lebih ditentukan oleh pengaruh Anwar dan Azmin Ali selaku Pengerusi PKR negeri. Untuk menukar Menteri Besar pula, kerusi Pas dan DAP yang berjumlah 30 adalah halangan paling besar.

Oleh itu, berbaik-baik dengan Khalid yang hatinya sudah tiada lagi dengan PR, adalah satu-satunya jalan yang menguntungkannya UMNO. Bagi UMNO, biarlah Khalid terus kekal asalkan hatinya sudah berada dalam genggaman Putrajaya.

Melalui berbaik-baik dengan Khalid, UMNO dapatlah menunjukkan kepada rakyat Selangor bahawa mereka adalah parti yang baik dan budiman serta sedia berbaik dengan sesiapa saja, tidak seperti PR yang sentiasa bergolak dan berbalah. Jika pengundi Selangor melihat ini sebagai suatu kelebihan, ia mungkin memberi lebih peluang kepada BN untuk menawan kembali negeri itu dalam pilihanraya akan datang.

Tetapi dengan berjaya Khalid kekal sehingga habis penggal ini, yang pasti untung ialah UMNO dan kerajaan Pusat. Jika sebelum ini ia sudah pun berjaya memujuk Khalid untuk bersetuju dslam isu air dan peneruskan projek Langat 2 serta pembinaan Lebuhraya Kidex yang dianggap projek kepada kroni UMNO, dengan kekalnya lebih lama Khalid sebagai Menteri Besar tentulah lebih banyak manfaat yang boleh diperolehi oleh UMNO dan Kerajaan Pusat.

Sebab itu, tidak menghairankan apabila Najib sendiri dilihat amat berbesar hati dengan kehadiran Khalid di majlis berbuka puasa semalam dah mengatakan, walaupun mereka berbeza dari segi politik tetapi boleh menjalinkan kerjasama dalam banyak segi.

Tidak mustahil selepas ini, dengan hubungan Khalid yang semakin renggang dengan rakan-rakan dalam PR sendiri, beliau akan terus dipergunakan, bukan saja untuk melaksanakan beberapa projek yang memberi keuntungan dan nilai tambah kepada UMNO tetapi juga untuk memberi gambaran bahawa PR bukanlah sebuah parti yang boleh mentadbir negeri dan negara dengan sebaik-baiknya.

Jika pun UMNO terdesak untuk berbaik-baik dengan Khalid, hanya itulah tujuannya.

Dengan Khalid sudah menunjukkan secara terbuka warna dirinya sekarang ini, jalan terbaik bagi PR ialah segera menukarkan beliau tetapi mestilah dengan cara yang paling berhemah dan berhati-hati. Menyimpan Khalid lebih lama mendatangkan lebih bahaya kepada cita-cita untuk kekal di Selangor dan juga membawa perubahan kepada negara. (SH 11/07/2014)

Thursday 10 July 2014

Najib Dan Bung Mokhtar Lebih Kurang Sama Saja


Kekalahan Brazil 1-7 kepada Jerman mengundang kejutan dan reaksi yang pelbagai daripada seluruh dunia. Di Negara kita, Najib Razak mengaitkan kekalahan Brazil itu kerana tiada kepimpinan dalam pasukan tersebut dan cuba membuat analogi dengan sebuah negara yang juga boleh kecundang jika tidak mempunyai kepimpinan yang meyakinkan.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar Radin pula memberi reaksi kemenangan Jerman itu dengan memberikan pujian kepada Hitler, pemimpin Jerman yang dianggap bengis, kejam dan diktator serta telah membunuh beribu-ribu Yahudi semasa Perang Dunia Kedua.

Jika reaksi Najib mendapat sindiran daripada pengguna laman sosial dengan menyifatkan kenyataan itu sebenarnya lebih merupakan percikan ke muka sendiri lantaran beliaulah yang ditaksir pemimpin paling lemah dan tiada kepimpinan kerana gagal mengurus banyak isu, komen Bung Mokhtar pula mendapat kecaman yang merata di seantero dunia.

Tidak saja pengguna laman sosial dalam negara yang mempersenda Bung Mokhtar kerana komennya yang tidak cerdik dan di luar konteks itu, malah Duta Jerman, Holger Michael juga menyatakan kata-kata Ahli Parlimen Kinabatangan yang berbunyi, "Well done, bravo, long live Hitler" itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima biar bagaimana sekali pun ghairahnya seseorang mahu memberi sokongan kepada pasukan bolasepak Jerman.

Dalam masa yang sama, komen Bung Mokhtar itu juga mendapat liputan yang meluas daripada media-media antarabangsa yang rata-ratanya memperlekeh kenyataan seumpama itu.

Berikutan kecaman yang mula merata terhadap kenyataan Bung Mokhtar itu, Najib Razak juga turut menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima dan salah.

Najib juga berkata, Bung Mokhtar akan menarik balik kenyataannya itu.

Susulan itu, Bung Mokhtar pun kemudiannya menarik balik dan meminta maaf atas kenyataannya melalui Twitter yang dianggapnya tidak disengajakan telah menyakiti perasaan rakyat Jerman kerana terlalu teruja dengan kejayaan besar pasukan bolasepak negara itu menewaskan Brazil.

Jika diimbas, kedua-dua reaksi Najib dan Bung Mokhtar mengenai bolasepak dan kejayaan Jerman menewaskan Brazil adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan menimbulkan kecaman, meskipun dalam konteks yang berbeza. Bung dilihat tidak matang dan tidak memahami sejarah dunia apabila memberi reaksinya, manakala Najib pula seolah-olah tidak mencermin diri sebelum mengaitkan kekalahan Brazil dengan masalah tiada kepimpinan.

Kiranya beliau benar-benar sedar begitu banyak timbunan isu yang tidak selesai, gagal dijawab dan bagaimana sebahagiannya kerana beliau lebih suka berdiam diri dan menangguhkan penyelesaiannya, Najib tentunya tidak mungkin bercakap soal tiada kepimpinan mengenai Brazil itu.

Ini kerana sesiapa pun akan merasakan kenyataan itu lebih tepat ditujukan kepada dirinya sendiri berbanding mana-mana pemimpin di negara ini. Tetapi dengan bercakap mengenainya, adakah Najib tidak sedar akan kelemahannya atau beliau sebenarnya memerlukan cermin besar di rumahnya selepas ini?

Lebih menghairankan, kenapakah Najib begitu pantas menyedari kata-kata Bung Mokhtar sesuatu yang salah dan tidak boleh diterima sedangkan beliau sepatutnya melihat ke dalam dirinya terlebih dahulu. Reaksi Najib mengenai Brazil yang disifatkannya sebagai tiada kepimpinan sebenarnya tidak ubah apabila beliau memberi contoh kangkung sebagai merujuk penurunan harga barang di pasaran sebelum ini.

Oleh sebab itu, tidak menghairankan baik reaksinya mengenai Brazil mahupun kangkung, kedua-duanya menjadi bahan sindiran dan sendaan pengguna laman sosial. Bung Mokhtar juga menerima nasib yang sama, bukan saja mengenai kemenangan Jerman ini tetapi juga melalui banyak komen yang diberikannya sebelum ini.

Jika kita merasa sedih dengan adanya seorang Ahli Parlimen seperti Bung Mokhtar, kita juga sebenarnya sedih kerana terus mempunyai Perdana Menteri seperti Najib. Kedua-dua mereka, lebih kurang sama saja. (SH 10/07/2014)

Wednesday 9 July 2014

Lebih Terpuji Jika Khalid Ibrahim Undur Secara Sukarela


Isu mengenai jawatan Menteri Besar Selangor sudah begitu lama berlarutan. Bermula dengan pelan KajangMove yang bertujuan menggantikan Khalid Ibrahim dengan Anwar Ibrahim bagi memberi lonjakan politik ke arah cita-cita PR menawan Putrajaya dalam PRU 14 yang kemudian dihalang oleh ketakutan UMNO melalui kuasa terhadap undang-undang dengan mempercepatkan kes rayuan liwat melihatkah bekas TPM itu, sehinggalah ke hari ini jawatan Menteri Besar Selangor terus menjadi isu hangat.

Daripada Anwar gagal sebagai pengganti, timbul bermacam-macam spekulasi dengan ada yang mahukan Wan Azizah dan ada pula yang mahukan Azmin Ali. Tersebar juga khabar bahawa Wan Azizah akan jadi Menteri Besar manakala Azmin sebagai timbalannya atau Exco Kanan sebagai jalan penyelesaian untuk mengiringi Sultan Selangor jika ada majlis perasmian atau lawatan ke masjid dan surau.

Oleh kerana Pas mempunyai lebih kerusi berbanding PKR, nama Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad juga diheret sama sebagai pengganti walaupun persetujuan bersama PR menyerahkan jawatan itu kepada PKR sebelum pilihanraya lalu tentunya logiknya sehingga pilihanraya akan datang.

Di ketika yang sama timbul pula seloka bahawa UMNO tiba-tiba menyokong Khalid terus kekal sebagai Menteri Besar sehingga akhir penggalnya, walaupun sudah diketahui apa kilat dan kilaunya sokongan itu.

Pertukaran Menteri Besar kelihatan lebih mendesak bagi PR kerana sejak adanya KajangMove, Khalid juga berubah secara automatik sebagai pemimpin yang mesra UMNO dan Kerajaan Pusat berbanding hakikat dirinya yang mewakili PKR dan PR. Beliau menandatangani perjanjian air bagi pihak Selangor dengan pusat tanpa pengetahuan sesiapa dalam kerajaan negeri. Beliau juga kemudian menyokong projek Lebuhraya Kidex yang bukan saja projek Pusat tetapi juga dipunyai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Zaki Tun Azmi dan peguam UMNO, Hafarizam Harun.

Ditambah pula dengan ketidaktegasan Khalid dalam menyelesaikan isu Bible yang melibatkan Jais sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati rakan-rakan dalam PR sendiri, Khalid lantas dilihat bukan lagi sebagai sosok yang sesuai mentadbir Selangor mewakili PR.

Pertukaran jawatan dan desakan demi desakan yang ditimbulkan oleh beberapa pemimpin PKR sendiri mengenai Khalid sebenarnya bukan lagi mengenai pentingnya untuk meletakkan Wan Azizah, Azmin Ali atau sesiapa saja di kerusi itu tetapi lebih sebagai usaha mempertahankan Selangor terus berada di genggaman PR dalam pilihanraya akan datang dan membawa harapan lebih cerah menuju Putrajaya.

Khalid kini dilihat sebagai pemimpin yang sudah lari jajaran politiknya. Beliau banyak bertindak sendirian, mula mesra UMNO dan Pusat serta tidak upaya menangani krisis meskipun keupayaannya berjimat cermat meletakkan rizab negeri mempunyai tabungan RM3 bilion boleh juga diberikan pujian.

Namun Khalid harus juga sedar bahawa menjadi Menteri Besar bukan seperti CEO syarikat perniagaan yang semata-mata mengutamakan keuntungan. Jauh lebih penting ialah kesejahteraan dan kepuasan hati rakyat. Penting juga ialah seorang Menteri Besar tidak boleh lari jajaran atau "allignmentnya".

Meskipun kian banyak desakan, Khalid nampaknya tidak mahu berundur. Beliau seakan-akan cuba bertahan sehingga ke titisan darah yang terakhir di kerusi itu walaupun cuba diingatkan bahawa beliau menjadi Menteri Besar selama ini adalah semata-mata kerana PKR dan bukannya kerana keupayaan dirinya.

Pertukaran Menteri Besar dan meminta sesiapa di kerusi itu berundur adalah perkara biasa dalam politik. Dalam UMNO sendiri perkara itu sudah banyak kali berlaku. Kali terakhir ialah apabila UMNO menukarkan Menteri Besar Terengganu daripada Ahmad Said kepada Ahmad Razif beberapa bulan lalu.

Dalam hampir semua pertukaran Menteri Besar sebelum ini, hanya ribut kecil saja yang berlaku. Tidak ada yang cuba bertahan seolah-olah jawatan itu milik peribadi mereka. Semua mereka sedar bahawa parti lebih penting, parti lebih besar dan partilah yang meletakkan mereka di situ.

Sesamseng dan segebebe Ahmad Said pun, beliau hanya marah kerana dilucutkan jawatan seminggu sebelum majlis perkahwinan anak perempuannya dan bukannya untuk bertahan selama-lamanya. Walaupun jika Ahmad Said terus membuat onar boleh membuatkan kerajaan negeri bertukar tangan, tetapi pastilah beliau juga menyedari bahawa parti lebih penting berbanding dirinya.

Begitu juga dalam kes Khalid Ibrahim ini, beliau harus menyedari bahawa PKR dan PR lebih penting daripada dirinya. Jika benar seperti kata Shamsul Iskandar, Ahli Parlimen Bukit Katil bahawa majlis pimpinan PR sudah menyetujui pertukaran Khalid dengan pemiimpin lain, beliau seharusnya akur dengan perubahan itu.

Tidak guna cuba bertahan dengan berbagai alasan atau menunggu sehingga undi tidak percaya dijalankan. Ia hanya lebih memburukkan keadaan dan menghodohkan lagi reputasi diirinya. Terimalah dengan lapang dada apabila tiba masa untuk ditukarkan kerana itulah hukum berpolitik. Terus cuba bertahan hanya menjadikan Ahmad Said kelihatan lebih cerdik dan matang berpolitik daripadanya.

Daripada isu jawatan Menteri Besar Selangor ini berlarutan lebih lama, lebih terpuji jika Khalid sedia berundur diri secara sukarela. Tunjukkanlah diri sebagai seorang yang berwibawa, faham hukum politik dan sedia menerima perubahan. Lagi pula setelah kalah di peringkat cabang dan hampir pasti kecundang juga untuk merebut Timbalan Presiden PKR di tangan Azmin Ali, sebenarnya tiada apa lagi kekuatan pada dirinya.

Selain kehilangan sokongan rakan-rakan dalam PR, hilang sokongan daripada kalangan ADUN dan pemimpin PKR, hilang ketua cabang dan dan kecundang merebut jawatan Timbalan Presiden, Khalid kini tidak ubah umpama bunga teratai saja - cantik dan berseri menghiasai permukaan air tapi akar tidak pun jejak ke tanah. (SH 09/07/2014)

Monday 7 July 2014

Bernama TV Kini Tenat?


Menjadi pengacara televisyen dan sering pula muncul menemubual tokoh politik dan pemimpin negara dengan pakaian segak bergaya adalah kelebihan yang tidak dimiliki oleh semua orang. Hanya insan terpilih dan berbakat besar saja berpeluang menceburi bidang seperti itu.

Sekali imbas juga tentulah ramai yang menyangka kehidupan mereka pastilah agak selesa, seiring dengan wajah ceria dan kepetahan berkata-kata yang dizahirkan di kaca televisyen itu.

Namun tidak begitu realitinya bagi beberapa pengacara Bernama TV, sebuah stesen televisyen milik kerajaan yang diletakkan dibawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia kerana sudah beberapa bulan elaun kemunculan mereka tidak dibayar atas alasan kekangan kewangan yang dihadapi.

Di sebalik wajah cerita, senyum, ketawa dan petah berkata-kata menemubual tokoh politik dan pemimpin negara dalam berbagai isu di Bernama TV, hakikatnya mereka sedang memendam kecewa serta sengsara seolah-olah titik peluh dan bakat mereka langsung tidak dihargai.

Meskipun elaun kemunculan itu sudah tertunggak beberapa bulan, tapi setiap kali pertanyaan dibangkitkan mengenai bayaran, jawapan yang diterima ialah diminta bersabar kerana masih menghadapi masalah kewangan untuk membayar gaji kakitangan.

Menjelang Aidilfitri yang bakal menjelma ini pun, difahamkan belum ternampak bayang-bayang bayaran elaun tertunggak itu bakal dilangsaikan.

Adalah difahamkan, masalah kewangan yang dihadapi oleh Bernama TV ini adalah berpunca daripada kelemahan pengurusannya mengendalikan syarikat tv di mana mereka seolah-olah hanya bergantung sepenuhnya kepada sejumlah peruntukan yang diberikan oleh kementerian tanpa ada usaha mahu menambah kantung kewangannya melalui pendapatan iklan dan sebagainya.

Ini menjadikan, walaupun Bernama TV adalah milik kerajaan dan membawa imej pemerintah yang sedang berkuasa, tetapi sumber pendapatan daripada iklannya terlalu sedikit, seolah-olah tiada usaha memperkemaskan jabatan iklan dan pemasaran atau melantik syarikat luar untuk menguruskan pencarian iklan. Malah iklan daripada syarikat-syarikat milik kerajaan lun tidak singgah ke Bernama TV.

Melalui peruntukan khas yang diberikan oleh kementerian itu, Bernama TV pula lebih mengutamakan kepada pembayaran gaji kakitangan tetapnya tanpa memikirkan bahawa pengacara jemputan atau sambilan yang mengendalikan program-program khas itu adalah otai-otai berbakat yang sarat dengah pengalaman dan menjadi nadi kepada stesen itu.

Lebih malang lagi, dalam beberapa kes pula, disebabkan masalah kewangan itu, pengacara-pengacara itu juga sedia bertolak-ansur agar elaun kemunculan dikurangkan daripada kadar biasa. Ironinya, setelah elaun dikurangkan pun tetap tertungak juga.

Dengan kelemahan pengurusan dan ketiadaan pendapatan iklan yang menggalakkan itu, selain berhadapan dengan masalah membayar elaun beberapa pengacaranya, Bernama TV boleh dikatakan masih beroperasi dengan peralatan dan kamera jenis lama serta jauh ketinggalan berbanding stesen-stesen televisyen yang lain.

Sebagai sebuah stesen TV yang membawa berita dan maklumat terkini serta kerap pula menjemput menteri dan pemimpin negara datang ke studionya dan dimiliki pula oleh kerajaan, kedaifan peralatan dan isu pembayaran tertunggak ini tentulah sesuatu yang memalukan dan tidak seharusnya berlaku.

Ia memberi imej seolah-olah kerajaan yang ada sudah tidak tidak berwibawa dan kehilangan upaya.

Lebih dari itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Shabery Cheek juga dikatakan kurang memberi perhatian untuk memajukan lagi Bernama TV sedangkan di luar negara, stesen televisyen yang memfokuskan kepada berita dan maklumat seperti CNN misalnya, amat maju dan berkembang dengan pesat sekali.

Tidak seperti menteri terdahulu, Dr Rais Yatim yang sangat mengambil berat dan memberi perhatian kepada perkembangan Bernama TV, Shabery Cheek sebaliknya dikatakan sangat perlahan mengenainya walaupun Perdana Menteri, Najib Razak kerapkali menyatakan dunia akan datang adalah dunia maklumat dan mahu setiap rakyat memperolehi makluma sebanyak-banyaknya.

Dan ditambah dengan pengurusannya yang lemah itu, Bernama TV seolah-olah selesa berada di takuk lama saja. (SH 07/07/2014)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...