Tuesday 28 February 2017

SIAPA KATA LAWATAN RAJA SALMAN SUDAH MELENYAPKAN ISU WANG RM2,600 JUTA?


Sebagaimana yang dijangka, lawatan Raja Salman bin Abdul Aziz al-Saud, pemerintah Arab Saudi ke negara ini akan cuba dimanfaatkan sebaiknya, antara lain untuk mengambus isu wang RM2,600 juta yang diterima Najib Razak melalui akaun peribadinya.


Tidak saja penyokong dan pengampu Najib serta askar siber 6.6 peratus yang ghairah berbuat demikian, bahkan seorang profesor universiti juga bersikap sama.


Hujah mereka tidak lain ialah jika wang yang diterima Najib itu bukan benar-benar derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi, tidak mungkin Raja Salman sanggup mencemar duli mengadakan lawatannya ke Malaysia ini.


Makna kata, hujah mereka ialah dengan datangnya Raja Salman itu ia dengan sendirinya mengesahkan wang yang diterima Najib itu adalah derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi.


Malah Profesor universiti yang tak pernah dikenali itu berkata lagi, kehadiran Raja Salman bukan saja mengesahkan wang itu datang daripada keluarga Diraja Arab Saudi, malah juga diberikan berdasarkan pencapaian dan usaha Najib memartabatkan Islam di negara ini dan juga di peringkat global.


Amboii...agak-agak lerr dan pandanglah kiri kanan dulu kalau ia pun nak mengampu Najib sampai begitu tinggi!!

Kalau Anwar Ibrahim tidak berada di penjara ketika ini, pastilah digelarnya profesor sedemikian itu sebagai "profesor kangkung" yang bukan saja mencemarkan nama universiti, tetapi juga ketamadunan ilmu dalam menilai sesuatu perkara.


Jika diimbas kembali, walaupun tidak dinamakan siapa kerabat Diraja Arab Saudi yang didakwa memberi wang kepada Najib itu, paling mungkin ia adalah Putera Turki Abdullah al-Saud, pemilik PetroSaudi yang diketahui ada urusniaga dengan 1MDB.


Kerabat-kerabat yang lain tidak mungkin boleh dikaitkan dengan derma kepada Najib kerana mereka tidak ada apa-apa urusniaga atau kepentingan untuk berbuat demikian.


Bak kata Tun Mahathir Mohamad, orang gila pun tak mungkin sedia menderma sebanyak itu tanpa apa-apa sebab, lebih-lebih lagi jika difahami perangai orang Arab itu sendiri.


Ayah Putera Turki, Raja Abdullah al-Saud adalah Raja Arab Saudi sebelum Raja Salman dan sudah meninggal dunia pada penghujung 2015 yang lalu.


Sebaik Raja Salman menaiki takhta, antara tindakan yang diambilnya ialah memecat Putera Turki sebagai Gabenor Riyadh untuk mengukuhkan lagi cengkaman kuasanya.  


Dalam konteks ini, jika pun ada yang masih mempercayai wang RM2,600 juta itu sebagai derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi, Raja Salman jelas telah lama menjarakkan dirinya dengan perkara tersebut.


Dalam erti kata lain, lawatan beliau ke Malaysia tidak boleh lagi dikaitkan dengan mana-mana kerabat yang mungkin boleh dikaitkan dengan Najib.


Selain itu, harus juga difahami bahawa lawatan Raja Salman bukan saja ke Malaysia, tetapi juga ke Indonesia, Jepun dan juga China. Di Malaysia, singgahnya beliau hanya empat hari berbanding di Indonesia selama 10 hari, termasuk berehat di Bali selama enam hari.


Tetapi di Indonesia, mereka tidak kecoh-kecoh dengan lawatan Raja Salman kerana Jokowi tiada apa-apa yang mahu dibersihkan dengan kunjungan Penjaga Dua Kota Suci itu.

Media-media antarabangsa pula melaporkan lawatan Raja Salman ke beberapa negara Asia kali ini adalah dalam misi untuk menjual IPO Aramco, syarikat minyak milik Arab Saudi.


Jika kita berpegang kepada bukti nyata dan penemuan di Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura, wang RM2,600 juta itu bukanlah derma sesiapa, sebaliknya lencongan daripada dana 1MDB yang dicuri.


Dalam kertas pendakwaan Jabatan Kehakiman Amerika, jelas disebut sejumlah AS$731 juta atau lebih RM3,000 juta keseluruhan wang 1MDB yang dilencongkan telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi "Malaysian Official 1".


Di Switzerland, Jabatan Peguam Negaranya juga mendapati penemuan yang sama dan memohon kerjasama MLA daripada Malaysia bagi siasatan dan pengesahan lanjut. Malangnya, dua kali pernohonan MLA itu ditolak oleh Peguam Negara kita.


Jika tiada apa-apa yang ingin dilindungi, mengapakah kita takut untuk memberi kerjasama MLA kepada pihak berkuasa Switzerland?


Di Singapura, selain lima orang sudah dihukum penjara dan dua buah bank ditutup angkara 1MDB, menjadi fakta mahkamah juga bahawa Tanore Finance, syarikat yang dibuktikan menyalurkan wang ke dalam akaun peribadi Najib di Ambank itu adalah kepunyaan Eric Tan Kim Loong.


Lebih mengejutkan turut disahkan di mahkamah Singapura bahawa Eric Tan dan Jho Low adalah orang yang sama yang mempunyai dua passport berbeza. Wang tersebut disalurkan melalui BSI Bank, cawangan bank Switzerland yang diarahkan tutup oleh pihak berkuasa kewangan Singapura.


Berdasarkan bukti yang nyata dan penemuan sahih di beberapa negara, wang RM2,600 juta dalam akaun peribadi Najib itu tidak ada kaitan sama-sekali dengan derma atau kerabat Diraja Arab Saudi.


Jadi, mengaitkan wang yang diterima Najib kononnya tidak lagi menjadi isu dan sudah lenyap dengan kedatangan Raja Salman agak kelakar bunyinya dan tidak masuk akal, kecuali memang kita tidak mahu melihat fakta-fakta kebenaran yang ada di depan mata.


Raja Salman melawat Asia, termasuk Malaysia adalah atas agenda yang lebih besar untuk kepentingan Arab Saudi. Beliau tidak mungkin bercakap mengenai wang dalam akaun peribadi Najib kerana ia tidak berkait dengan kepentingan Arab Saudi, lagi pun mustahil mereka tidak membaca portal berita antarabangsa seperti WSJ, NY Times, Guardian dan sebagainya.


Hanya golongan pengampu dan perasan saja yang merasakan lawatan Raja Salman telah melenyapkan isu RM2,600 juta. Isu tersebut bukan saja terus ada, malah dengan datangnya Raja Salman ia membuatkan lebih ramai yang percaya dana itu bukan derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi, kecuali Raja Salman sendiri dapat mengesahkannya atau Najib berani meminta Penjaga Dua Kota Suci itu untuk membersihkan namanya.


Lagi pula, kedatangan Raja Salman tidak sama sekali membuatkan kes di seluruh dunia berkaitan dana 1MDB tergugur begitu saja. Kita tunggu saja hasil perbicaraannya nanti. (SH 28/02/2017).

KALAU TUN MAHATHIR NYANYUK, KENAPA PULA BELIAU DIMINTA BERSARA? BUKANKAH LEBIH MUDAH NAJIB MENANG PILIHANRAYA?


Nyanyuk adalah istilah paling popular yang ditujukan kepada Tun Mahathir Mohamad sejak akhir-akhir ini.


Dari pemimpin UMNO, menteri hinggalah kepada pencacai dan blogger 6.6 peratus, istilah nyanyuk  sangat kerap diguna untuk memperlekeh bekas Perdana Menteri yang sudah berusia 92 tahun itu.


Mengikut  Kamus Dewan, istilah nyanyuk bermaksud berkelakuan seperti kanak-kanak, tidak berapa betul atau bercakap yang bukan-bukan.


Dalam konteks Tun Mahathir sekarang dan beberapa siri kritikannya kepada Najib, bolehkah beliau dianggap sebagai nyanyuk?


Apakah pandangan,  kritikan atau kata-kata Tun Mahathir kepada Najib yang boleh dianggap sebagai nyanyuk?


Adakah label nyanyuk itu kerana Tun Mahathir benar-benar sudah nyanyuk atau kerana Najib dan pengampunya tidak mampu berhujah balas dengan beliau yang sudah berusia 92 tahun?

Apabila Tun Mahathir menarik sokongan kepada Najib kerana skandal 1MDB dan disebabkan ada wang RM2,600 juta disahkan masuk ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, adakah beliau dianggap sudah nyanyuk?


Apabila Tun Mahathir keluar UMNO, menubuhkan Bersatu dan kini terus berusaha keras untuk menjatuhkan Najib, nyanyukkah beliau?


Jika Tun Mahathir benar-benar seorang nyanyuk, kenapakah Najib dan para pemimpin UMNO, termasuk Setiausaha Akhbarnya masih berhempas-pulas menjawab dan menyerang balas beliau?


Adakah orang yang  waras masih sanggup mahu berlawan dengan seseorang yang dianggap sudah nyanyuk?


Tidakkah orang nyanyuk saja yang sudi berlawan hujah dengan orang yang dianggapnya sudah nyanyuk?


Jadi, siapa nyanyuk?


Jika Najib dan sekalian pemimpin UMNO, termasuk Setiausaha Akhbar beliau tidak sama nyanyuk, bukankah suatu kelebihan kepada mereka jika berlawan dengan Tun Mahathir yang dianggap sudah nyanyuk itu?


Pernahkah kita dengar dalam dunia ini orang tidak nyanyuk tidak menang bila berlawan dengan orang nyanyuk?


Jadi, dalam mengata Tun Mahathir nyanyuk, mengapa diminta beliau agar segera bersara kerana bukankah lebih mudah untuk orang tidak nyanyuk menewaskan orang nyanyuk?


Dalam hal ini, Najib seharusnya bersyukur kerana berlawan dengan Tun Mahathir yang dianggap oleh penyokong dan pengampunya sebagai nyanyuk kerana kemenangan sudah pasti akan berpihak kepadanya.


Tidaklah mungkin pengundi-pengundi yang tidak nyanyuk akan memenangkan Tun Mahathir yang sudah nyanyuk, kecuali rata-ratanya rakyat Malaysia juga adalah nyanyuk.


Tetapi, mengapa masih berterusan menyerang Tun Mahathir yang dianggap nyanyuk dan memintanya agar segera bersara?


Adakah Najib masih tidak yakin menang PRU 14 meskipun lawannya adalah Tun Mahathir yang dianggap sudah nyanyuk?


Mana Najib nak letak muka agaknya jika UMNO dan BN kalah PRU 14 nanti sedangkan hanya berlawan dengan seorang tua berusia 92 tahun yang selalu dikata sudah nyanyuk?


Adakah selepas PRU 14 nanti, Najib akan benar-benar jadi nyanyuk? (SH 28/02/2017).

Monday 27 February 2017

NAJIB BENAR2 SUDAH TERDESAK


Siapa pun yang membaca kenyataan Najib Razak mengenai kenaikan harga minyak, perlaksanaan BR1M serta GST dan percubaan membandingkannya dengan Arab Saudi, dapat merasakan beliau dalam keadaan sangat terdesak untuk meraih sokongan rakyat sempena lawatan Raja Salman ke negara ini.

Membandingkan dengan Arab Saudi dalam beberapa perkara ketika Raja Salman berada di sini memperlihatkan Najib dalam kesempitan dalam mengambil kesempatan sehingga perbandingan yang dibuatnya kelihatan tidak kena sama sekali.

Kalau pun mahu membuat perbandingan, Najib sepatutnya membandingkan epal dengan epal juga dan bukan menyamakan pisang dengan kurma. 
Mungkin sebagai satu petanda bahawa harga minyak akan naik lagi pada 1 Mac ini, Najib mengkritik mereka yang bising-bising dengan kenaikan petrol sebanyak 10 sen atau 20 sen, sedangkan kata beliau, di Arab Saudi kenaikannya adalah 50 peratus.

Sebagaimana dilaporkan oleh Malaysiakini, kali terakhir Arab Saudi menaikkan harga minyak ialah pada Disember 2015 iaitu Ron91 sebanyak 20 sen daripada 0.45 riyal kepada 0.65 riyal, manakala Ron95 daripada 0.60 riyal kepada 0.90 riyal.

Berapa harga semasa minyak di Malaysia meskipun kenaikannya cuma 10 sen atau 20 sen?

Berapa pula harga kenderaan di Arab Saudi jika dibandingkan dengan Malaysia?

Maka, adil dan tepatkah perbandingan harga minyak antara Malaysia dengan Arab Saudi yang dibuat Najib itu?

Selain itu, Najib juga mendakwa Arab Saudi turut merancang untuk menyalurkan bantuan wang tunai mirip BR1M kepada rakyatnya, di samping akan memperkenalkan GST.

Sekali lagi, Najib tersilap dan sangat terdesak untuk meraih sokongan rakyat dalam membuat perbandingan sehingga terlupa bahawa Malaysia adalah negara demokrasi, sedangkan Arab Saudi sebuah negara monarki.

Di Arab Saudi, oleh kerana ia pemerintahan monarki dan tiada pilihanraya umum, bantuan yang dihulurkan adalah semata-mata untuk membantu rakyat yang kesusahan dan bukan untuk mendapatkan populariti.

Bantuan yang mereka berikan tiada elemen politik kepartian, tidak disalurkan melalui pejabat parti dan tidak juga digembar-gemburkan berulangkali di televisyen seolah-olah idea yang cukup luar biasa.
Dari segi GST pula, sedarkah Najib bahawa di Arab Saudi, rakyat mereka tidak dibebankan dengan banyak cukai seperti di negara kita ini?

Berapa pula pendapatan per kapita dan gaji asas kakitangan awam di Arab Saudi?

Oleh itu, dapat difahami bahawa jika GST dilaksanakan di Arab Saudi ia adalah bertujuan untuk menampung perbelanjaan bagi kepentingan rakyatnya yang sudah diberi banyak keselesaaan selama ini dan berbeza dengan di Malaysia di mana GST lebih bertujuan mendapatkan wang semata-mata sambil menutup kegagalan Najib dari segi memajukan ekonomi negara.

Berbeza dengan Tun Mahathir Mohamad, disebabkan gigih memajukan ekonomi dan berjaya menarik banyak pelaburan asing, beliau tidak memerlukan GST yang menyusahkan rakyat untuk mendapatkan wang bagi negara.

Lantaran terdesak itulah agaknya sampai Setiausaha Akhbar Najib sendiri, Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad untuk kesekian kalinya terpaksa membuat kenyataan bagi pihak dirinya sendiri untuk menyerang Tun Mahathir.

Biasanya seorang Setiausaha Akhbar hanya mendraf kenyataan akhbar untuk ditandatangani oleh bossnya saja, bukan beliau yang bertindak menyerang musuh majikannya. 

Apalah sangat level seorang Setiausaha Akhbar yang cuma makan gaji jika dibandingkan dengan bekas Perdana Menteri?

Apakah sudah tiada menteri, timbalan menteri atau pemimpin UMNO  lain yang sudi bersuara, maka sekarang ini Setiausaha Akhbar juga sudah mahu masuk gelanggang politik?

Adakah dari sudut lain, ini bermakna Setiausaha Akhbar tersebut sedang mempromosi dirinya dengan harapan agar diberi peluang bertanding dalam PRU 14 akan datang? (SH 27/02/2017).

TUAN IBRAHIM PENYELAMAT PAS?


Dalam barisan kepimpinan Pas sekarang, Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat paling konsisten dan masih boleh diharap sebagai seorang pejuang yang memahami derita rakyat.

Bukan saja dalam hal 1MDB, SRC International, Felda dan segala isu lain yang muncul, suaranya yang memihak kepada kehendak rakyat jarang benar tidak kedengaran.

Berbanding pemimpin-pemimpin Pas lain, mereka bukan saja jarang bersuara atau hanya bercakap dalam isu-isu terpilih, kadangkala hadir ke Parlimen pun tidak lagi menjadi keutamaan.
Ketika rakyat terus terbeban dengan kos sara hidup di samping inflasi yang kian meningkat, Tuan Ibrahim sekali lagi meminta agar kerajaan membatalkan "cukai pukat harimau" GST atau setidak-tidak menurunkan kadarnya kerana ia jelas mendatangkan derita berganda kepada rakyat.

Mana suara pemimpin Pas yang lain?

Apa pula kata Hadi Awang mengenai GST?

Tidak lama sebelum ini, Presiden Pas itu, meskipun sedar ahli, pengikut dan penyokong parti itu kebanyakannya terdiri daripada orang-orang kampung dan golongan susah, masih lagi tergamak mengatakan GST adalah penggerak serta paling berkesan meningkatkan ekonomi negara.

Hadi membela rakyat atau mempertahankan Najib?
Apa pula kata Najib Razak tentang GST?

Kata Najib, GST adalah penyelamat kepada ekonomi dan kewangan negara.

Ehh...ehh...sama pulak fikiran Hadi dengan Najib yerr?

Nampaknya, menyokong Hadi sudah sama dan tidak ubah seperti menyokong Najib saja layaknya.

Dalam hal ini, alangkah beruntungnya Pas jika dalam Muktamarnya di Kedah 28 April ini, mereka dapat menjadikan Tuan Ibrahim sebagai Presiden Pas yang baru menggantikan Hadi.
Harus diakui, berdasarkan beberapa petunjuk dalam setahun dua ini, Hadi sudah tidak relevan lagi, bukan saja untuk terus memimpin Pas, tetapi juga dengan perjuangan semasa mewakili kepentingan rakyat.

Hadi seolah-olah ada kecenderungan lain dalam hala tujunya dan kekalnya beliau lagi sebagai Presiden hanya menjadikan Pas semakin terpinggir serta tersisih daripada arus perdana politik negara.

Dalam keadaan ini, tidak syak lagi Tuan Ibrahim adalah satu-satunya yang dapat memulih dan mengangkat semula martabat perjuangan Pas kepada kedudukan yang sebenarnya.

Susahkah untuk  ahli-ahli Pas  berfikir mengenainya? (SH 27/02/2017).

Sunday 26 February 2017

MUSTAHIL ZAHID BOLEH KALAH DI BAGAN DATUK, KECUALI....


Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi nampaknya benar-benar bimbang dengan kedudukannya di Bagan Datuk dalam pilihanraya umum akan datang ini.


Dengan hanya menang sejumlah majoriti 2018 undi pada PRU 13 lalu dan baru-baru ini pula Zahid mendedahkan wujud gerakan mahu mengalahkannya sebagai Ahli Parlimen dalam PRU 14, beliau  kini seperti sudah terasa bahang kekalahan makin dekat menghampirinya.


Kata Zahid, apa yang dikhuatirinya ialah pengaruh pengundi-pengundi yang mendaftar di Parlimen Bagan Datuk tetapi tinggal di luar dan kemudian mempengaruhi ibu bapa mereka untuk tidak mengundi BN.


"Saya yakin, nelayan-nelayan di Parlimen Bagan Datuk yang hadir hari ini (semalam) akan mengundi BN tetapi saya kurang yakin dengan anak-anak kita, saudara-saudara kita, yang duduk di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Singapura dan bandar lain.


"Mereka mendaftar sebagai pengundi Parlimen ini, bila balik ke kampung untuk mengundi, pengaruh ibu bapa mereka sehingga ibu bapa mereka mula goyang-goyang," katanya  lagi.

Setakat ini sudah dua kali Zahid meluahkan kebimbangan mengenai kedudukannya di Bagan Datuk. Kali pertama, beliau mengatakan wujud gerakan yang ingin mengalahkannya sebagai Ahli Parlimen dan kini, Zahid secara terbuka menzahirkan kerisauannya mengenai pengundi luar pula.


Zahid kemudian seperti merayu dengan berkata, "Jangan kata Zahid tipu kerana Zahid akan bantu rakyat Bagan Datuk. Jangan mahu Zahid yang baru, ini Zahid sudah ada di sini.


"Kalau mahu Zahid tolong Bagan Datuk, semua mesti sokong Zahid."


Ikut hukum akal, dengan kedudukan sebagai Timbalan Perdana Menteri, terlalu sukar, bahkan hampir mustahil,  untuk beliau dikalahkan di kawasan Parlimen yang sudah diwakilinya sejak sekian lama.


Melalui jawatan nombor dua dalam kerajaan, peruntukan pembangunan tanpa had dan limpahan jentera pilihanraya tentu saja memberi kelebihan terbaik untuk beliau mengekalkan kemenangan.


Malahan, belum pernah lagi ada mana-mana Timbalan Perdana Menteri yang kalah sebagai Ahli Parlimen sebelum-sebelum ini.


Mengapa Zahid terlihat begitu bimbang akan kedudukannya di Bagan Datuk?


Adakah kekalahan sudah dapat dirasai dan makin menghampirinya?


Benarkah kemungkinan kalah itu kerana pengundi luar atau ada faktor lain?


Mengapa pengundi luar Bagan Datuk yang tinggal di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Singapura dan bandar-bandar lain begitu dibimbangi oleh Zahid dan lebih mungkin tidak menyokong serta mempengaruhi ibu-bapa mereka agar tidak mengundinya?


Adakah Zahid bukan pemimpin yang baik bagi mereka?


Kalau pun pengundi-pengundi luar itu mempengaruhi ibu-bapa mereka, apakah ibu-bapa tersebut begitu mudah untuk terpengaruh dan menolak Zahid?


Apakah  isu yang benar-benar membuatkan mereka boleh tidak memberi sokongan kepada Zahid?


Adakah mereka menolak Zahid kerana isu-isu nasional atau sebab-ssbab yang lain?


Ataukah Zahid kini sedar ada pihak-pihak tertentu sedang mempengaruhi, meracuni dan mengawal pengundi-pengundi luar Bagan Datuk itu untuk melihat beliau benar-benar kalah dalam PRU 14 nanti? 


Sebagaimana disebut di awal tadi, sebagai Timbalan Perdana Menteri, terlalu sukar, bahkan hampir mustahil, Zahid dapat dikalahkan di kawasannya sendiri.


Beliau hanya mungkin dapat dikalahkan kiranya ada pihak lain dalam UMNO sendiri yang benar-benar mahu melihatnya kalah dan tidak lagi menjadi Ahli Parlimen selepas PRU 14 nanti.


Adakah perkara itu mustahil? (SH 26/02/2017).

PAS "MENIPU" ORANG KAMPUNG ATAU "MENIPU" DIRI SENDIRI?


Kebelakangan ini Pas seolah-olah ada dua wajah dan  juga dua jalur perjuangan.


Pertama, di kampung-kampung dan kawasan pedalaman, Pas tetap mengatakan musuh sebenar mereka adalah UMNO dan Pas mampu menjadi pengganti UMNO.


Sebab itu, di kalangan pengikut bawahan, terutama mereka yang sudah disebatikan dengan keyakinan agar jangan membaca Utusan atau menonton TV3, sentimen anti UMNO dan BN masih masih lagi kelihatan menebal dan sama seperti dahulu.


Dalam masa yang sama, selain bertegas untuk terus mempertahankan Kelantan dengan cuba mengadu-domba kononnya ada pakatan sulit antara Amanah dengan UMNO, Pas juga mengimpikan untuk menawan kembali Terengganu dan Kedah.

Kedua, dalam masa yang sama terlihat seakan ada keghairahan yang tak mampu ditahan-tahan lagi untuk Pas terus meletakkan Najib Razak dan UMNO kekal berkuasa di negara ini.


Ia bukan saja tergambar melalui hubungan baik dan mesra pemimpin Pas dengan pemimpin UMNO, bahkan juga melalui kenyataan-kenyataan  seperti Pas tidak mahu berebut kuasa, Pas hanya ingin jadi penasihat saja dan bukan matlamat Pas untuk menjatuhkan UMNO, sebaliknya untuk memperkukuh ummah semata-mata.


Jika dicari dalam youtube pula, dulu Hadi Awang pernah berkata, kalau UMNO jatuh sekalipun tidak mungkin DAP yang berkuasa kerana jumlah kerusi minima yang parti itu miliki, tetapi kini ditakut-takutkan bahawa jika UMNO jatuh, kuasa Melayu akan turut jatuh dan DAP yang akan mengambil-alihnya.


Nada Pas mengenai DAP sekarang sudah saling tak tumpah macam yang selalu digembar-gemburkan oleh pemimpin UMNO kepada orang-orang Melayu.


Di antara dua wajah dan dua jalur itu, yang mana satu sebenarnya menjadi  perjuangan sebenar Pas?


Kenapa Pas sekarang perlu ada dua wajah serta dua jalur dan tidak dengan  satu wajah serta satu jalur perjuangan saja sepertimana sebelum-sebelum ini?


Mengapa sementara mahu menjatuhkan UMNO dan menjadi pengganti UMNO, kenyataan-kenyataan lunak seperti tidak mahu berebut kuasa, ingin menjadi penasihat saja dan bukan matlamat Pas mengalah UMNO, masih kedengaran?


Apakah terlalu sukar untuk Pas berterus-terang mengenai satu hasrat perjuangan dan satu matlamatnya dalam PRU 14 akan datang ini - mengalahkan UMNO atau mahu membantu UMNO?


Adakah Pas sedang menipu pengikut-pengikutnya atau mereka menipu diri sendiri atas nama perjuangan Islam yang dilaung-laungkan? (SH 26/02/2017).

Saturday 25 February 2017

TUN M YANG MENGKAGUMKAN...


Dalam menjangkau usia 92 tahun, Tun Mahathir Mohamad bukan saja masih sihat, tetapi juga terus bersemangat dalam menikmati kehidupan.

Di usia 92 tahun juga, beliau bukan saja masih boleh berfikir dengan baik, ketawa, berjalan ke sana sini, bahkan tetap gagah memandu kereta dan menunggang kuda.

Dengan  nikmat hidup sedemikian, jika kepentingan diri dan keluarga yang difikirkannya, tentulah lebih baik beliau diam-diam saja atau mengiakan saja segala apa yang sedang berlaku dalam negara. 

Dengan nama besarnya pula, di sebalik comotnya Najib Razak menguruskan negara, kiranya Tun Mahathir hanya bersikap menyokong dan tidak membantah apa-apa, nescaya mewahlah  "dedak"  yang diterimanya.

Tetapi, dalam usia tua dan sudah bersara, Tun Mahathir nampaknya memilih jalan sukar untuk dilaluinya. Segala-galanya adalah demi negara dan kita semua.
Semua orang, selagi mereka dapat membezakan antara hitam dengan putih, pasti menyedari kerosakan besar yang diakibatkan oleh Najib kepada rakyat dan negara. Sejak beliau menjadi Perdana Menteri, hampir tidak ada yang menjadi bertambah baik. Kehidupan rakyat, hubungan kaum, agama, ekonomi, kos hidup, peluang kerja, harta negara, dividen saham dan segala-galanya bertambah buruk.

Cuma, tidak semua orang berani bersuara. Sayang kepada jawatan, kedudukan, kemewahan dan harapan kepada "dedak"  percuma menyebabkan ramai orang, termasuk pejuang-pejuang agama, jadi kelabu mata  dan membutakan pandangan terhadap segala kemungkaran yang berlaku di depan mata.

Mujur masih ada Tun Mahathir. Jika tidak, mungkin lebih dahsyat daripada 1MDB, TRX, Bandar Malaysia atau dua tiga Jho Low yang muncul mencatur segala-galanya dalam negara.

Sejak Tun Mahathir menyatakan perlunya Najib disingkirkan untuk menyelamatkan negara, macam-macam usaha luar biasa dilakukannya. Beliau tidak saja sanggup berbaik dengan Lim Kit Siang dan mengunjungi Anwar Ibrahim yang pernah dipecatnya, bahkan berusaha gigih menyatukan hati-hati yang pernah dilukainya ketika berkuasa dahulu.

Salah satu kumpulan yang terluka dengan Tun Mahathir ialah gerakan reformasi yang muncul setelah Anwar dipecat pada 1998 dahulu. Selama bertahun-tahun kumpulan tersebut memusuhi beliau dan semangat mereka tidak pernah pudar, meskipun setelah Tun Mahathir dan Anwar sudah berbaik kembali.

Pada satu ketika, kumpulan reformis ini pernah menyuarakan agar Tun Mahathir meminta maaf kepada Anwar dan keluarganya atas apa yang pernah dilakukannya dahulu. Kumpulan ini seperti tidak sedia menerima Tun Mahathir.

Hari ini, Tun Mahathir secara mengejut hadir di Konvensyen Reformis di Shah Alam iaitu kumpulan paling tegar menentangnya. Meskipun beliau sedar, kumpulan tersebut tidak menyukainya dan terdedah untuk diejek atau dihambur kata-kata nista, keberanian dan jiwa besar telah membawa langkah kakinya ke situ.

Tidak ramai yang ada keberanian dan jiwa besar seperti itu. Kiranya kesanggupan bersahabat serta memulihkan hubungan dengan Lim Kit Siang dan Anwar sudah dikira sudah cukup membuatkan ramai yang tergamam, keberanian dan jiwa besar Tun Mahathir untuk  berdepan dengan pengkritik tegarnya sejak bertahun-tahun lalu jauh lebih mengkagumkan.

Najib misalnya, mustahil ada keberanian sebegitu. Najib selalunya lebih selesa hadir dalam majlis yang dihadiri penyokong, pengampu dan tiada jemputan yang tidak sebulu dengannya. Bercakap pula biasanya hanya sehala saja. Berdebat, tentulah lebih kecut dibuatnya.

Sebab itu, Najib hilang dalam program NothingToHide dan enggan hadir merasmikan persidangan anti rasuah antarabangsa, tahun lalu. Beliau tiada keberanian dan tidak berjiwa besar.

Di Konvensyen Reformis, walaupun diejek dan dilempar dengan kata-kata tidak enak, Tun Mahathir tidak lari, jauh sekali daripada bersembunyi. 

Sambil mengakui dirinya tidak selalu disukai, Tun Mahathir mengajak mereka yang tidak menyukainya itu untuk sama-sama melupakan kisah lama dan berganding bahu bagi menyingkirkan Najib yang dianggapnya yang jauh lebih bahaya dan memudaratkan negara.

Apa yang penting ketika ini, kata beliau ialah menyingkirkan Najib.

"Lepas tu, kalau nak ambil tindakan ke atas saya, ambik laaa..." katanya lagi.

Dengan sikap dan keterbukaan yang ditunjukkan oleh Tun Mahathir itu, apatah lagi beliau sudah dua kali mengunjungi Anwar di penjara, adalah penting mulai sekarang agar semua pihak sama-sama melupakan peristiwa 1998 dahulu.

Tun Mahathir tidak perlu lagi dimomok-momokkan dengan peristiwa lama itu. Jika Tun Mahathir ada keberanian dan jiwa besar untuk sedia diejek dan dicemuh demi menyelamatkan negara dan memberi kebaikan kepada rakyat, kumpulan reformis juga harus menyambutnya dengan tangan yang terbuka.

Lupakanlah semuanya dan menyingkirkan Najib melalui pilihanraya harus menjadi agenda utama. Selagi ada Najib, semua kita dan negara akan terus sengsara dan Anwar juga tidak akan ke mana-mana. 

Sebab itulah, apa yang diperjuangkan oleh Tun Mahathir, tiada pilihan buat kita, selain memberi sokongan dengan sepenuhnya. (SH 25/02/2017).

USUL HADI LANGGAR SYARIAH DAN HANYA "PRODUK POLITIK", PERLUKAH TERUS DISOKONG?


Seorang pakar syariah yang pernah berkhidmat sebagai penyemak penerbitan Islam dan penulis fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempertikaikan cadangan PAS mengenakan hukuman lebih berat ke atas pesalah syariah, menyifatkan ia “produk politik” untuk meraih sokongan umat Islam.

Nurul Haq Shahrir, kini sebahagian panel Transformasi Undang-Undang Islam di bawah Majlis Dakwah Negara, menepis dakwaan kononnya cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau lebih dikenali sebagai Akta 355, bertujuan menegakkan syiar Islam.

“Malah, ia bertentangan dengan Islam dan tidak ada kena mengena dengan syariah,” kata pakar fiqh Islam yang juga menguasai bidang perbandingan antara agama.

Hakikatnya, kata Nurul, usul Hadi yang bertujuan membenarkan mahkamah syariah menjatuhkan hukuman lebih berat ke atas pesalah Islam bertentangan dengan roh syarak seperti yang termaktub dalam Al-Quran dan Sunnah.

Nurul menyokong hujahnya berpandukan pelbagai kitab turath sarjana fiqh muktabar, dan menjelaskan hukuman tidak pernah menjadi matlamat perundangan Islam, sebaliknya nilai belas kasihan adalah tema utama dalam Syariah Islam.

Meskipun sesuatu undang-undang Islam digubal berdasarkan tafsiran Al-Quran dan Sunnah, Nurul berkata pelaksanaannya tidak boleh mengenepikan aspek “manfaat, keadilan, rahmah dan kebijaksanaan”.

Beliau memetik gambaran Al-Quran mengenai Nabi Muhammad sebagai “rahmat kepada seluruh alam”.

“Berdasarkan gambaran itu, dan banyak sumber kitab yang lain, boleh diandaikan bahawa rahmah merupakan matlamat keseluruhan syariah. Atas sebab itulah, pakar undang-undang Islam, untuk semua tujuan dan maksud, meletakkan syariah seiring dengan maslahah awam.

“Oleh kerana rahmah merupakan pemicu kepada hukum syarak, jelas ia tidak akan tercapai jika orang Islam yang menguatkuasakannya tidak disemaikan dengan sifat penting itu,” kata Nurul.

Beliau menambah, pindaan yang dibentangkan Hadi di Dewan Rakyat jelas bertentangan dengan tuntutan syarak tersebut.

Katanya, sikap tergesa-gesa mengenakan dan meningkatkan hukuman tidak selari dengan "rahmat Tuhan."

"Oleh itu, pindaan kepada Akta 355 yang mahu mengenakan hukuman yang lebih berat adalah bertentangan dengan syarak."

Beliau berkata, sekiranya syariah diperakui sebagai manifestasi rahmah dan keadilan, cadangan Hadi untuk menghadkan skop undang-undang kepada orang Islam menunjukkan sikap hipokrit.

“PAS dan Hadi mahu menjadikan orang Islam mangsa demi kepentingan politik mereka.

“Mereka tidak telus dengan kepercayaan mereka. Ini kerana skop syariah, yang berdasarkan kepada ‘keadilan’, tidak mengecualikan orang bukan Islam dan tidak pernah terhad kepada orang Islam sahaja.”

Beliau berkata ciri utama undang-undang Islam yang sering diperkatakan – mengutamakan kepentingan awam – menunjukkan syariah bukan sekadar berdasarkan keimanan Islam tetapi juga nilai murni yang diamalkan bukan Islam.

“Ini bermakna undang-undang digubal berdasarkan kepada maslahah awam dan nilai sejagat yang tidak khusus kepada Islam sahaja, kerana maslahah awam diketahui secara rasional dan uruf dan juga dikecapi oleh orang bukan Islam.

“Semuanya menjurus kepada matlamat utama syariah, iaitu belas kasihan,” kata Nurul, yang mempelajari bidang perbandingan agama dan menguasai 7 bahasa termasuk bahasa Arab, Yunani, Ibrani dan Latin. 

Berita diatas dipetik daripada portal FMT hari ini. Hujah dan perspektif lain yang dibentangkan oleh Nurul Haq Shahrir ini amat menarik dan pasti lebih membuka minda kita.

Apa komen serta reaksi pemimpin Pas, UMNO, tokoh agama, para mufti dan mereka yang pakar dalam bidang agama mengenai hujah yang dilontarkan oleh Nurul Haq Shahrir itu?

Masihkah perlu usul Akta 355 itu disokong? (SH 25/02/2017).

Friday 24 February 2017

CABARAN PEMUDA UMNO SUDAH DISAMBUT....APA LAGI?

Saya, Syed Saddiq, Ketua ARMADA PPBM menyahut cabaran Pemuda UMNO untuk berdebat.

Saya berharap pihak Sinar Harian boleh menganjurkan debat tersebut.

Jangan sekadar selektif wahai Pemuda UMNO.

Bila Sultan Selangor murka akan tindakan pemimpin kesayanganmu, Datuk Jamal Yunos, kamu berdiam diri.

Bila Sultan Johor mengutuk pemimpin UMNO yang hilang kepercayaan rakyat, makan rasuah, biadap dll, diam sahaja kamu.

Bila TS Annuar Musa memperlekehkan Tunku Mahkota Johor, diam sahaja kamu.

Bila YB Nazri Aziz nak "whack" Tunku Mahkota, diam sahaja kamu.

Kalau berani, sila tampilkan Ketua Pemuda UMNO untuk berdebat dengan saya.

Kalau tak boleh, Timbalannya pun boleh.

Kalau masih tak boleh, i'll debate with those who dare.

Saya tak takut. Berani kerana benar!

Jangan memencilkan diri seperti DS Najib yang mengelakkan diri untuk berdebat dengan Tun Mahathir.

Atau apabila Senator Azwan bro pada minit yang terakhir mengecualikan diri untuk berdebat dengan DS Mukhriz 3 minggu yang lalu (Anjuran UKEC)

Atau apabila setiap satu tawaran untuk berdebat berkenaan 1MDB ditolak oleh pemimpin UMNO-BN.

Kalau kita nak berdebat berkenaan Sultan Johor, Selangor dll kita tak akan pergi jauh sebab kedua dua pihak akan "claim" mewakili suara mereka. 

Let's be brave and show to the rakyat who can be the better government. 

Who will serve the rakyat better?

Malaysia ini milik rakyat.

Saya berharap Pemuda UMNO berani untuk berdebat tentang isu isu rakyat  contoh-1MDB/Isu isu ekonomi/social dll.

Cadangan saya, 
"Kerajaan Barisan Nasional, Kerajaan yang Amanah"

Saya akan duduk di meja pembangkang. 

Topik tersebut "general". Boleh bincangkan tentang banyak isu yang dekat dengan hati rakyat.

Saya berharap agar Pemuda UMNO menyahut kenyataan ini.

Syed Saddiq
Ketua ARMADA PPBM.

SALLEH SAID KERUAK SUDAH WAJIB DIHADIAHKAN CERMIN BESAR...


Selain difahami satu teguran telah ditujukan kepada Tun Mahathir Mohamad, semalam juga sebenarnya dua pemimpin UMNO telah ditegur oleh dua Sultan. 

Seorang ditegur oleh Sultan Johor dan seorang lagi ditegur oleh Sultan Selangor.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar membidas cadangan seorang menteri yang mahu membanyakkan Wilayah Persekutuan melalui pengambilan tanah-tanah negeri.

Baginda menggelarkan menteri berkenaan sebagai kurang bijak kerana mungkin terlupa tentang kedaulatan sesebuah negeri itu.

"Malah hasil kerajaan Persekutuan yang dikutip adalah dari semua rakyat Malaysia dan harus diagihkan kepada semua, bukan untuk Wilayah Persekutuan saja," titah baginda.

Walaupun tidak menyebut nama, tetapi tidaklah sukar memahami bahawa menteri kurang bijak yang dimaksudkan oleh Sultan Johor itu ialah Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Wilayah Persekutuan yang baru-baru ini mencadangkan untuk menjadikan Pulau Pinang dan Pulau Langkawi sebagai tanah baru bagi perluasan jajahan Wilayah Persekutuan.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pula menzahirkan rasa tidak berkenaan dengan tindakan menyalahgunakan kenderaan jenazah untuk tujuan demonstrasi.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan melalui Setiausaha Sulit baginda, Mohamad Munir Bani, Sultan Selangor bertitah, van jenazah adalah untuk urusan jenazah sahaja.

“Baginda tidak berkenan kenderaan jenazah tersebut disalahgunakan selain daripada urusan membawa jenazah seperti disewa untuk membuat demonstrasi atau kegunaan lain yang tidak kena mengena dengan urusan pengendalian jenazah,” katanya kenyataan itu.

Meskipun turut tidak disebut nama, namun tentulah semua orang  memahami bahawa titah Sultan Selangor itu ditujukan kepada Jamal Md. Yunos yang sebelum ini menyewa 15 van jenazah untuk mengadakan demonstrasi politik di hadapan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Shah Alam.

Dalam dua teguran oleh dua Sultan itu, di mana suara Salleh Said Keruak, menteri pengampu nombor satu?

Mengapa beliau hanya menyasarkan kepada kata-kata Sultan Johor terhadap Tun Mahathir saja, tetapi tidak kepada bidasan Sultan Johor kepada Tengku Adnan dan  luahan tidak berkenan Sultan Johor terhadap Jamal Md. Yunos?

Bukankah sebagai pemimpin UMNO dan kerajaan, Salleh lebih afdal mengingatkan rakan-rakannya dalam UMNO dan kabinet terlebih dahulu jika ditegur oleh mana-mana Sultan berbanding mahukan Tun Mahathir mendengar teguran daripada Sultan Johor?

Kenapa tidak dalam masa meminta Tun Mahathir mendengar teguran Sultan Johor, Salleh bersikap adil dengan mengingatkan juga Tengku Adnan dan Jamal Md. Yunos agar turut sama melebarkan telinga kerana kedua-duanya juga ditegur sama oleh Sultan Johor dan Sultan Selangor?

Selain itu, jika Salleh agak terlupa, mungkin kerana hanya berfikir untuk mengampu saja sepanjang masa, beliau juga seharusnya menyedari mengenai beberapa ucapan Sultan Perak sebelum ini berkaitan rasuah, penyelewengan kuasa dan kehancuran bangsa akibat daripada berleluasanya gejala tidak sihat tersebut dalam negara.

Kenapa Salleh tidak pernah sekali pun memberi respon terhadap ingatan demi ingatan itu, sambil mengingatkan semua pemimpin, termasuk Perdana Menteri agar memberi perhatian dan mengendahkan apa yang diluahkan oleh Sultan Perak itu?

Tidak syak lagi bahawa Salleh, di sebalik keghairahan mengampunya, beliau sudah wajib diberikan cermin besar untuk melihat diri dan sekelilingnya terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kata-kata kepada orang lain yang berada lebih jauh di luar lingkungannya.

Lihatlah gajah yang ada di depan mata dahulu sebelum mahu meneropong kuman di seberang sungai. (SH 24/02/2017).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...