Friday 31 January 2014

Gandingan Muhyiddin - Zahid Hamidi Paling Sesuai Untuk Lawan Anwar Dalam PRU 14


Kemaraan Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri yang dirangkumkan dengan cita-cita Pakatan Rakyat menawan Putrajaya dalam pilihanraya akan datang menjadi semakin hampir menuju realiti dengan kelicikan terbarunya menjadikan jawatab Menteri Besar Selangor sebagai transit ke arah hasrat itu.

Sebagaimana yang diakui oleh bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad bahawa tindakan Anwar bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Kajang dan menjadi Menteri Besar Selangor selepas itu adalah langkah untuk naik menjadi Perdana Menteri dan ia tidak akan berhenti setakat itu sahaja.

Tambah Mahathir yang mengakui beliau tidak gembira dengan percaturan terbaru Anwar itu, kedudukan sebagai Menteri Besar Selangor akan dijadikan tangga bagi menunjukkan keupayaannya mentadbir negeri supaya dengan itu akan bertambah keyakinan rakyat terhadap kemampuannya untuk mentadbir negara pula.

Daripada kenyataan Mahathir ini jelas tergambar kebimbangannya terhadap masa depan UMNO dan BN dalam pilihanraya umum akan datang kerana dengan kedudukan dan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor, Anwar dan Pakatan rakyat jelas mempunyai kelebihan berbanding BN.

Dan sekiranya kelebihan itu dikaitkan dengan deretan kelemahan Najib yang begitu terserlah sehingga wujudnya desakan agar beliau berundur dan memberi peluang kepada tokoh lain menerajui parti dan kerajaan, UMNO dan BN sudah sewajarnya mencari butang kecemasan bagi menyelamatkan masa depannya.

Namun, sementara kelemahan Najib sudah diakui dan harapan untuk melihatnya berubah juga sudah terlambat, dilemma UMNO ialah kononnya tiada tokoh yang lebih baik untuk menggantikan Najib. Terdapat blogger UMNO yang mengakui hakikat tersebut manakala Zainuddin Maidin yang sependapat tiada tokoh yang layak menggantikan Najib, menyarankan agar Mahathir dibawa dalam kabinet untuk membantu serta menyuntik nilai tambah kepada kerajaan.

Jika sebelum ini sudah ramai yang hilang keyakinan kepada Najib mampu memimpin kejayaan kepada UMNO dan BN dalam pilihanraya umum akan datang, termasuk Daim Zainuddin juga bercakap secara terbuka mengenainya, tetapi setelah Anwar menjadi Menteri Besar Selangor, realitinya tentulah keyakinan itu tambah mengecil lagi.

Najib kini bukan saja dipertikai dan diragui oleh rakyat biasa, malah sudah banyak kelompok yang sebelum ini memberi sokongan kepadanya sudah menarik brek tangan masing-masing dan mulai terbuka mengkritik serta mempertikaikannya.

Meskipun Najib mempunyai ramai penyokong dah kelihatan menonjol, tetapi semuanya itu bukan kerana kualiti kepimpinan atau ketegasannya dalam menyelesaikan masalah. Penonjolannya lebih terapung kerana keupayaannya mewujudkan rangkaian dan menjaga penyokong serta mereka yang setia dengan sikap kemurahan hati dan sedia menolong mereka yang datang meminta bantuan dengannya.

Dalam banyak isu kritikal yang berlaku dalam negara sejak dulu, ketegasannya hampir tidak menonjol. Dengan darah bangsawan yang mengalir dalam tubuhnya, Najib sebenarnya lebih sesuai menjadi pemimpin ketika aman dan bukannya dalam suasana krisis.

Sebab itu, daripada kekurangan majoriti 30 kerusi dalam pilihanraya 2008, jumlah itu makin berkurangan kepada 23 kerusi sahaja dalam pilihanraya 2013 lalu. Kebarangkalian untuk majoriti terus berkurang atau mungkin kalah terus tidak dapat ditolak lagi jika Najib terus berada di kedudukannya sekarang.

Tanpa berhasrat mendahului takdir dan perancangan Tuhan, logik yang terbentang bedasarkan isu dan keadaan semasa jelas menunjukkan bahawa Najib perlu diundurkan dan diganti dengan pemimpin lain jika BN ingin terus bertahan atau mengekalkan kuasanya. Kemaraan Anwar dengan jawatan serta kuasa sebagai MB Selangor pasti memberi cabaran lebih berganda kepada BN.

Pendangan Zainuddin Maidin atau Zam dan beberapa blogger yang mengatakan tiada tokoh yang layak untuk menggantikan Najib hanya seolah-olah memperkecilkan kemampuan dan rekod kerja Muhyiddin Yassin selama ini. Ia juga seperti menghina Naib-naib Presiden sedia ada yang telah mampu bertahan selama dua penggal berturut-turut.

Muhyiddin bukan saja cemerlang semasa menjadi Menteri Besar selama dua penggal, selain keupayaan membangunkan negeri itu, beliau juga berjaya menyatu-padukan politik Melayu Johor selepas UMNO diharamkan yang disusuli dengan tindakan Shahrir Samad menguji kekuatan dengan meletakkan jawatan dan kemudian bertanding Bebas di kerusi Johor Bahru serta faktor Musa Hitam yang turut menentang UMNO Baru ketika di awal penubuhannya.

Ketika Mahathir mahu menghapuskan kekebalan Raja-Raja pula, Muhyiddin juga adalah pemimpin yang paling ke depan melaksanakan agenda itu sedangkan sebagai Menteri Besar Johor dan berketuakan Sultan Johor yang terkenal dengan watak keras serta tegas, cabaran beliau bukan kepalang orang boleh memikulnya.

Tetapi semuanya dilaluinya dengan sabar dan cekal sehingga semuanya membuahkan hasil yang membanggakan. Kelemahan Muhyiddin hanyalah kerana beliau berwajah masam, tidak pemurah, tidak pandai menjaga penyokong dan barangkali sepanjang penglibatannya dalam UMNO, tidak sampai sepuluh orang yang pernah merasa pemberian wang dari poketnya.

Tetapi itulah watak Muhyiddin, namun wibawa, kemampuan dan ketegasannya terbukti dalam rekod sejarah yang boleh ditatap oleh sesiapa saja yang mahu menyelidikinya.

Lebih dari itu, ketika kepimpinan Pak Lah begitu dipertikaikan, beliau juga dengan berani menyarankan agar peralihan kuasa dipercepatkan bagi memberi ruang yang lebih selesa kepada UMNO dan kerajaan memulihkan keadaan.

Jadi, untuk mengatakan tiada tokoh yang mampu menggantikan Najib barangkali suatu kenyataan yang tersasar dan tidak berpijak di bumi nyata. Rekod dan sejarah membuktikan beliau lebih baik berbanding Najib. Cuma, dalam kedudukan sebagai pemimpin nombor dua ketika ini, tidaklah begitu sesuai untuknya bertindak seperti kepada Pak Lah dulu.

Di kalangan Naib Presiden pula, walaupun pemenang yang ada bukanlah yang terbaik tetapi di antara ketiga-tiga yang ada, Zahid Hamidi adalah paling layak sekali untuk digandingkan dengan Muhyiddin. Walaupun ketegasannya kadangkala turun naik dan flip-flop, namun sikap ramah dan senyumnya yang sentiasa manis menjadikan beliau disenangi oleh semua orang dan ini dibuktikan dengan kemampuan memperolehi undi tertinggi selama dua penggal berturut-turut sebagai Naib Presiden UMNO.

Dengan semakin ramai mengakui bahawa kepimpinan Najib begitu lemah dan tidak mungkin mampu mencipta kejayaan dalam PRU 14, gandingan Muhyiddin dan Zahid adalah pilihan terbaik yang seharusnya mula difikirkan. Watak Muhyiddin yang tegas, berani dan teguh pendirian walaupun bermuka masam dapat diseimbangkan dengan watak Zahid Hamidi yang mudah senyum, peramah dan ramai pengikut sebagai timbalannya.

Kedua-dua mereka ini seharusnya tidak dilengahkan untuk diberi peluang memimpin parti dan kerajaan sebaik berkahirnya PRK Kajang kerana selepas Anwar menjadi bergelar YAB Menteri Besar Selangor, keagresifan dan kelicikan gerak politiknya pasti akan memukau rakyat dan sekaligus menjadikan Najib menjadi semakin kerdil.

Berbeza dengan Anwar yang meningkat naik dalam politik melalui proses pertandingan, akan menjadikan kelicikan, gerakan serta helahnya tidak mungkin mampu dibaca oleh Najib yang sepanjang karier politiknya tidak pernah melalui proses persaingan. Langkah politik Anwar, kalau pun tidak dapat disaingi, sekurang-kurangnya dapat dibaca dah cuba disaingi oleh Muhyiddin dan Zahid Hamidi, yang kedua-dua juga sarat dengan proses kematangan, pertandingan dan turun naik sepanjang berada dalam UMNO.

Memberi peluang kepada gandingan Muhyiddin dah Zahid barangkali memberi sedikit harapan kepada UMNO dan BN berbanding mengekalkan Najib beserta deretan kelemahan yang tidak mungkin dapat diperbaiki lagi. (SH 31/01/2104)

Thursday 30 January 2014

Gerak Kerja Politik Mahathir Memang Selalu Bermula Dengan Penafian


Bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad menafikan beliau adalah orang yang memainkan peranan di belakang gerakan mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Najib Razak sebagaimana yang didakwa oleh Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli dan juga sudah sekian lama menjadi percakapan umum.

Bagi Mahathir, anggapan mengenai penglibatan dirinya hanyalah tafsiran Rafizi semata-mata. Rafizi mengaitkan gerakan mahu menjatuhkan Najib itu untuk mempertahankan keputusan meletakkan Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Kajang dengan menyifatkan setelah Najib ditumbangkan oleh kumpulan yang ditunjangi oleh Mahathir, gerakan seterusnya ialah memastikan Selangor yang dianggap mutiara kepada negara dapat dijadikan milik BN pula.

Dengan Anwar bertanding di DUN Kajang dan seterusnya menjadi MB Selangor, Pakatan Rakyat lebih mempunyai kekuatan untuk memastikan negeri Selangor dalam dakapannya, demikian antara hujah yang diberian Rafizi.

Gerakan mahu menggulingkan Najib yang dikaitkan dengan Mahathir sebenarnya bukanlah rahsia lagi UMNO. Selain Kadir Jasin dan beberapa blogger pro Mahathir semakin mempertingkatkan serangan dan kritikan terhadap Najib dengan antaranya menggelar Najib "PM Kangkung", mereka juga meminta PM segera berundur atau berambus bagi mengelakkan BN hilang kuasa dalam PRU 14 nanti.

Deretan kelemahan yang kian ketara, sikapnya yang tidak berubah, lembik, terlalu dikawal oleh penasihat, membiarkan isteri dan keluarga campurtangan dalam urusan kerajaan serta pelbagai lagi, meyakinkan banyak pihak bahawa BN lebih mungkin untuk tewas dalam pilihanraya akan datang jika beliau terus kekal sebagai PM.

Selain Kadir Jasin dan beberapa blogger yang berbuat demikian sejak beberapa bulan lalu, bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin juga sudah secara terbuka mengkritik kelemahan Najib, sambil mengingatkan bahawa BN akan tumbang jika pilihanraya akan datang diadakan dalam suasana seperti yang ada sekarang.

Kritikan terbuka Daim segera dikaitkan dengan Mahathir berikutan kedua-dua mereka mempunyai hubungan rapat yang kekal sehingga ke hari ini dan mereka juga dikatakan selalu bertemu untuk berbincang mengenai isu-isu politik semasa.

Penglibatan Mahathir dalam gerakan menjatuhkan Najib yang dimulai dengan serangan oleh blogger-blogger yang rapat dengannnya tidaklah menghairankan kerana ia pernah berlaku ketika mahu menjatuhkan Pak Lah dahulu. Namun dalam kes Najib ini, ia bukan saja dimulai oleh blogger yang rapat dengannya, malah turut disertai oleh Daim juga.

Lantaran itu, apabila buah nangka sudah dibelah, sukar untuk mengaitkan tiada yang terpalit dengan getahnya.

Sebagaimana gerakan menjatuhkan pemimpin yang tidak sebulu dengannya adalah perkara biasa bagi Mahathir, membuat penafian juga adalah perkara biasa dalam gerak kerja politiknya selama ini.

Ketika hubungan tidak mesranya dengan Musa Hitam dihidu oleh ramai orang pada awal 1980an dulu, Mahathir beberapa kali menafikannya, malah beliau juga kerap menunjukkan sifat mesranya di depan umum dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Namun akhirnya hubungan beliau dengan Musa Hitam terlerai juga sudahnya.

Ketika Tun Ghafar menjadi timbalannya dan terdengar gerakan Anwar mahu mencabar Tun Ghafar, Mahathir pada awalnya terlihat memihak kepada timbalannya dan menafikan beliau menyokong Anwar. Tetapi komen dan reaksinya selepas itu jelas memihak kepada Anwar sehingga Tun Ghafar terasa jauh hati.

Begitu juga dengan Anwar Ibrahim. Walaupun dalam beberapa ucapan di Perhimpunan Agung UMNO, beliau sering menyebut mengenai sejarah Julias Ceaser dan Brutus, tetapi beliau tetap menafikan hubungan renggangnya dan berulangkali juga mengatakan Anwar adalah bakal penggantinya.

Malah sehari sebelum beliau memecat Anwar pada 2 September 1998, beliau sekali lagi menafikan hubungannya dengan Anwar sedang bermasalah. Namun akhirnya Anwar bukan saja dipecat, bahkan juga dimalu, diaibkan dan dihantar ke penjara seolah-olah tidak pernah bersahabat baik dan duduk makan semeja sebelum itu.

Tetapi itulah Mahathir. Apa yang dinafikannya, selalunya itulah yang dilakukannya.

Dalam beliau menafikan berada di belakang gerakan mahu menjatuhkan Najib, beliau juga dalam masa yang sama mulai kritis terhadap Najib. Mahathir tidak saja mengkritik sikap bermewah kerajaan dan menyarankan Najib sepatutnya menjimatkan kos kerajaan berbanding menaikkan harga barang, beliau juga menyokong kritikan Daim dengan menyatakan pandangan bekas Menteri Kewangan itu ada asas dan kebenarannya.

Di ketika beliau menafikan mahu menjatuhkan Najib, Mahathir juga seperti menyindir Perdana Menteri dengan ulasannya bahawa pemimpin selarang lebih mengutamakan mencari kekayaan berbanding memberi khidmat kepada rakyat. Siapakah pemimpin sekarang yang ghairah mencari kekayaan kalau bukan Najib dan keluarganya berikutan pendedahan pelbagai kemewahan yang dimiliki, termasuk hartanah mewah kepunyaan anaknya di luar negara?

Ketika ditanya mengenai pilihanraya kecil Kajang yang dikaitkan dengan pembaziran, Mahathir sekali lagi bersikap sinis dengan menyatakan banyak lagi pembaziran, termasuk yang bernilai berbilion-bilion ringgit yang lebih perlu diberi perhatian berbanding pembaziran mengadakan pilihanraya kecil secara sengaja.

Siapa lagi yang disindir berkaitan pembaziran ini kalau bukan ditujukan kepada Najib?

Mengenai pilihanraya kecil Kajang pula, Mahathir secara terus-terang mengatakan ia merupakan tangga untuk Anwar menawan Putrajaya dalam pilihanraya umum akan datang kerana dengan menunjukkan keupayaan mentadbir negeri Selangor dengan baik, adalah lebih mudah untuk Anwar meyakinkan rakyat tentang kemampuannya mentadbir negara pula.

Kenyataan ini secara jelas merupakan tekanan kepada Najib kerana ia memberi gambaran bahawa setelah Anwar menjadi MB Selangor, laluannya menjadi lebih selesa dan terbuka untuk menawan Putrajaya pula dan menjadikan kedudukan Najib kian meruncing.

Najib kini bukan saja ditekan oleh Anwar dan Pakatan Rakyat untuk memiliki Putrajaya, dalam masa yang sama beliau juga dihimpit mengenai ketidakyakinan daripada dalam UMNO sendiri untuk mempertahankan kuasa BN. Walaupun Mahathir menafikan penglibatan dirinya, tetapi sejarah politiknya sepanjang 22 tahun berkuasa membuatkan lagi beliau menafikan, lagi banyak orang bercakap mengenainya.

Kadang-kadang bila ada penafian, ia adalah tanda gerakan itu sudah pun bermula. (SH 30/01/2014)

Wednesday 29 January 2014

PRK Kajang Bukan Ujian Kekuatan, Tapi Mengukur Kelemahan Najib


Selepas PRU 13, isu yang paling banyak diperkatakan ialah mengenai kelemahan Najib sebagai Perdana Menteri. Ia tidak saja diselak dan dijaja oleh pembangkang, diperkatakan oleh rakyat biasa, malah secara perlahan-lahan turut diakui oleh banyak kalangan dalam UMNO sendiri.

Pelbagai isu yang berlaku, daripada kenaikan harga barang, perkauman, keselamatan, kalimah Allah dan sebagainya lagi ternyata lebih menyerlah kelemahan Najib berikutan tiada satu pun isu-isu tersebut cuba diselesaikannya secara tegas dan berani. Beliau bukan saja gemar menangguhkan masalah, malah responnya dalam banyak isu juga sering ketinggalan bas.

Tidak saja banyak blogger menyarankannya agar segera meletakkan jawatan bagi mengelakkan BN terus kalah dalam pilihanraya akan datang, malah bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin mulai lantang menggariskan beberapa kelemahan Najib, sambil mengingatkan bahawa BN lebih berpotensi kecundang dalam pilihanraya akan datang jika tiada sebarang perubahan.

Sementara Mahathir Mohamad bersetuju dengan pandangan Daim itu, anaknya Mukhriz dan Marina juga turut bersuara. Dalam isu kenaikan harga, Mukhriz turut mengingatkan bahawa BN akan kalah dalam PRU 14 jika kepentingan rakyat terus diabaikan. Tegurannya itu dilihat cukup memberi kesan sehingga Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor segera menegurnya agar menggunakan saluran yang betul jika ingin menegur kerajaan dan pucuk pimpinan.

Marina pula mengkritik Najib dan kerajaan yang dianggapnya begitu lemah dan lambat bertindak menyelesaikan kemelut isu kalimah Allah sehingga berlakunya beberapa kejadian tidak diingini antara kedua penganut Islam dan Kristian.

Kelemahan lain Najib yang turut dipertikaikan ialah pergantungannya yang keterlaluan terhadap sekian ramai penasihatnya serta Pemandu yang dilihat lebih banyak menyusahkan berbanding memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Kelemahan Najib menjadi lebih hangat diperbualkan apabila adiknya sendiri, Nazir Razak menulis sebuah rencana sempena 38 tahun pemergian Allahyarham Tun Razak, sambil menitipkan satu persatu ingatannya mengenai sikap ayahnya yang begitu cermat dan berhemah dalam berbelanja dan menggunakan wang rakyat sehingga ia dilihat merupakan sindiran tepat yang ditujukan ke dahi Najib dan Rosmah Mansor.

Pendeknya isu kelemahan Najib dan perlunya beliau segera berundur adalah isu ruji sebelum meletusnya isu pilihanraya kecil Kajang ini. Semua orang mahu mengambil bahagian, termasuk kalangan yang sebelum ini kuat mempertahankan Najib seperti Perkasa dan beberapa NGO yang lain.

Tetapi sebaik saja pilihanraya kecil Kajang ini berakhir nanti, isu itu tentunya akan bangkit semula. Oleh itu, pilihanraya kecil Kajang ini adalah ukuran pertama yang akan menentukan sama ada kelemahan dan keupayaan Najib yang dipertikaikan selama ini turut melekat di hati rakyat atau sebaliknya. Lebih-lebih dengan komposisi pengundi Kajang yang meliputi 48.48 peratus pengundi Melayu, 40.46 pengundi Cina dan 10.15 pengundi India, ia adalah hampir menyamai realiti sebenar pecahan kaum di negara ini.

Selain kerana komposisi kaum, pilihanraya kecil ini juga diadakan di ketika isu kenaikan harga barang, kalimah Allah, hubungan kaum dan lain-lain sedang hangat menjadi perbualan dan kereshan. Oleh itu, ia akan menjadi ukuran kepada kepimpinan Najib yang banyak dipertikaikan selama ini.

Jika di Kajang ini menyaksikan BN tewas dan mendapat undi yang lebih buruk, maka ramalan Daim bahawa BN akan kalah jika pilihanraya umum diadakan dalam suasana seperti sekarang, ada kebenarannya dan Najib tidak harus kekal lebih lama sebagai Perdana Menteri.

Begitu juga, jika di Kajang ini pengundi Cina kekal menolak BN, bermakna dasar keterbukaan, liberal, 1Malaysia dan sogokan peruntukan atau habuan berjuta-juta kepada komuniti itu sebagaimana menjadi amalan Najib sebelum ini kekal umpama "mencurah air ke daun keladi." Dan sekiranya sepanjang kempen pilihanraya nanti, Najib meneruskan juga amalan yang sama, ia pasti akan menyebabkan pengundi Melayu lebih jauh hati dengan BN dan kerajaan.

Begitu juga pengundi Melayu bandar dan separa bandar di Kajang kekal menolak BN, ia juga isyarat jelsd pergantungan BN hanya tinggal pengundi luar bandar dan kampung yang sentiasa berkurangan dalam tempoh empat tahun akan datang.

Najib mungkin hanya terselamat daripada serangan dan asakan yang mahunya berundur jika beliau berupaya menunjukkan perolehan undi yang lebih baik dalam pilihanraya ini, suatu misi yang sangat-sangat sukar dan hampir mustahil.

Muhyiddin Yassin juga sebenarnya menyedari pilihanraya kecil Kajang ini lebih memberi tekanan dan impak kepada Najib. Sebab itu, sementara ramai yang mempertikaikan PKR kerana membenarkan calonnya, Lee Shin Sheh meletakkan jawatan untuk memberi ruang Anwar bertanding dengan menganggapnya mengabaikan mandat rakyat serta mengundang pembaziran wang rakyat, Muhyiddin adalah orang pertama yang menegaskan BN akan tetap meletakkan calon meskipun ramai yang berpandangan sebaliknya.

Tanpa menunggu mesyuarat UMNO atau BN membuat keputusan atau menunggu sehingga Najib memberi reaksinya, Muhyiddin terlihat amat pantas memutuskan tentang penyertaan BN dalam pilihanraya Kajang ini sedangkan pada pilihanraya kecil DUN Penanti 2009, BN pernah tidak meletakkan calonnya kerana tidak mahu membazir masa, tenaga dan wang ringgit.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin pula bertegas mengatakan, meskipun pihaknya membantah pendekatan PKR ini yang dianggapnya semata-mata untuk kepentingan politik Anwar, tetapi bantahan itu mesti dinyatakan dengan cara BN meletakkan calon.

Patutnya kalau bantah, janganlah letak calon. Tapi entah macam mana, bagi KJ, kerana membantah, maka BN mesti letak calon. Bak kata Shuib yang merupakan salah seorang anggota Kumpulan Sepahtu, "peninglah...."

Hanya dengan tidak meletakkan calon boleh dianggap sebagai bantahan, selain dapat mengelakkan pembaziran wang rakyat sepanjang kempen pilihanraya diadakan. Dengan beria-ia mahu BN meletakkan calon, bermakna BN bukan saja sedang meraikan permainan politik yang sedang dipapan-caturkan oleh Anwar, bahkan akan menyebabkan BN sentiasa menari mengikut lagu yang dialunkan oleh pihak lain.

Berbanding tidak meletakkan calon, sebaliknya turut bertanding dan kemudian kalah lebih memudaratkan reputasi UMNO, BN, kerajaan dan Najib sendiri. Sebagaimana ukuran kelemahan Najib dan penerimaan rakyat terhadapnya sedang diperkata dan diperhatikan sejauh mana teruk atau tidaknya, ukuran ketepatannya mungkin boleh dibaca berdasarkan keputusan pilihanraya kecil Kajang ini.

Jika Pakatan Rakyat boleh menunggu sehingga tahun 2018 untuk menghukum Najib dan BN berdasarkan keputusan pilihanraya kecil Kajang, keputusan pilihanraya yang sama mungkin menjadikan gerakan menyingkirkan beliau menjadi bertambah agresif lagi selepas ini. (SH 29/01/2014)

Tuesday 28 January 2014

Kalau BN Tidak Bertanding Di Kajang, Tiadalah Wang Rakyat Dibazirkan


Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim kini sudah sah akan menjadi calon bagi pilihanraya kecil DUN Kajang yang akan diadakan tidak lama lagi. SPR sudah pun dimaklumkan mengenai kekosongan kerusi itu dan bakal mengadakan mesyuaratnya pada 5 Februari depan bagi penentuan tarikh pilihanraya kecil itu.

Walaupun ada sedikit perbezaan pendapat dalam Pakatan Rakyat mengenai pilihanraya kecil ini dan beberapa pemimpin mereka cuba meluahkan rasa tidak puas hati, tetapi secara umumnya Pas, PKR dan DAP tetap berdiri teguh di belakang Anwar dalam hal ini.

Tidak saja pengumuman Anwar sebagai calon diumumkan sendiri oleh MB Selangor, Khalid Ibrahim malahan sidang akhbar mengenainya turut dihadiri oleh Azmin Ali, penasihat DAP, Lim Kit Siang serta dua pemimpin utama Pas iaitu Sallahuddin Ayub dan Dr Hatta Ramli.

Kehadiran mereka itu sekurang-kurangnya membuktikan tidak ada perpecahan dalam Pakatan Rakyat dan jika ada perbezaan pendapat daripada beberapa pemimpinnya, ia pasti akan diselesaikan satu persatu selepas ini.

Meskipun demikian, tindakan mengadakan pilihanraya kecil DUN Kajang secara sengaja dengan perletakan jawatan ADUNnya untuk memberi ruang Anwar Ibrahim bertanding dan seterusnya memungkinkan laluan menjadi MB Selangor menggantikan Khalid Ibrahim, tetap meletakkan Anwar sebagai sasaran kecaman banyak pihak.

Beliau dikecam kerana percaturannya membenarkan pilihanraya kecil ini dianggap membazirkan wang rakyat. Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menulis di twitter mengenai pilihanraya kecil ini dengan luahan rasa tidak senang yang berbunyi, "amanah rakyat Selangor dipermainkan semata-mata nak selesaikan kemelut dalaman parti."

Ketua Pemuda Pas, Nasharuddin Tantawi juga meluahkan rasa yang serupa melalui Facebooknya dengan tulisan yang agak panjang bertajuk Kajang Pak Malang. Sambil menganggap pilihanraya kecil ini semata-mata untuk melampias agenda peribadi dan kelompok tertentu, beliau juga menganggap pilihanraya kecil tanpa ada kematian atau keuzuran ini "macam main-main saja."

Menyimpulkan tulisannya, Ahli Parlimen Temerloh itu juga menganggap tindakan Anwar ini memudaratkan dan mengkhianati amanah rakyat serta "hukumnya haram bertindak begini".

Di pihak UMNO dan BN, ramai lagi yang tidak setuju dengan pilihanraya kecil ini. Alasan mudahnya ialah ia membazirkan wang rakyat dan membuang masa. Bekas Mufti Perlis, Dr Asri juga tidak bersetuju dengan antara lain menulis di Twitternya, "berapa banyak wang rakyat terkorban jika YB asyik letak jawatan. Jika alasan kukuh, tak apa. Ini apa alasan?"

Tulisannya yang lain berbunyi, "kalau saya orang politik mahu saja saya lawan parti yang main-main dengan pilihanraya kecil di Kajang itu. Membazir wang rakyat."

Banyak lagi pihak yang turut meluahkan rasa tidak senang, tidak kira sama ada daripada PR mahupun BN. Malahan golongan yang tidak mencampuri politik juga cuba masuk daun kali ini.

Sebenarnya tindakan sengaja meletakkan jawatan bagi membolehkan diadakan pilihanraya adalah sebahagian daripada strategi dalam politik. Ia bukanlah suatu kesalahan, malah dibenarkan oleh undang-undang dan perlembagaan. Suatu ketika dahulu, demi untuk menguji kekuatan dan pengaruhnya berbanding UMNO yang baru diharamkan, Shahrir Samad pernah meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru dan kemudian bertanding semula.

Beliau berjaya memenangi pilihanraya itu dan ia antara faktor yang banyak mengubah landskap politik UMNO, terutamanya dalam konteks perpaduan Melayu Johor.

Sejak itu undang-undang telah dipinda dengan tidak membenarkan lagi calon yang meletakkan jawatan bertanding semula. Ini bermakna, jika ada yang meletakkan jawatan ia bukanlah kerana kepentingan peribadi kerana mereka yang berbuat demikian akan hilang gelaran sebagai YB dan beberapa kemudahan wakil rakyat, sebaliknya tindakan itu tentunya kerana muslihat dan kepentingan yang lebih besar untuk parti dan perjuangan yang didukung.

UMNO sendiri pernah bertindak serupa ketika mahu mengganti Muhammad Mohd Taib sebagai MB Selangor pada pertengahan tahun 90an dahulu. Ketika itu, Abu Hassan Omar yang memegang jawatan menteri pusat meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Kuala Selangor manakala ADUN Permatang, Jamaluddin Adnan pula meletakkan jawatannya sebagai ADUN. Kemudian dua pilihanraya kecil terpaksa diadakan dan kedua-dua mereka bertukar-tukar kawasan dan Abu Hassan Omar terus dilantik sebagai MB Selangor selepas itu.

Jika pilihanraya kecil DUN Kajang yang diadakan untuk membolehkan Anwar dilantik sebagai MB Selangor dianggap membazir, maka dua pilihanraya kecil serentak ketika mahu melantik Abu Hassan Omar dulu tentulah jauh lebih membazir lagi.

Bagaimanapun dalam pilihanraya kecil Kajang, belum terlambat untuk BN bertindak bagi mengelakkan pembaziran daripada berlaku. Caranya ialah dengan tidak meletakkan calon dan memberi kemenangan percuma kepada PKR. Habis cerita!

Tetapi belum pun apa-apa lagi, Muhyiddin Yassin dan Presiden MCA, Liow Tiong Lai sudah pun awal-awal memgumumkan bahawa BN akan tetap meletakkan calonnya di Kajang.

Dalam hal ini, Khairy Jamaluddin terutamanya yang nampak begitu prihatin dengan wang rakyat, tugas utamanya selepas ini ialah meyakinkan Muhyiddin dan Liow Tiong Lai serta menggunakan segala kemahirannya untuk mempengaruhi Najib Razak agar memberi saja kemenangan percuma kepada PKR di Kajang nanti. Maka, jimatlah duit rakyat. (SH 28/01/2014)

Monday 27 January 2014

Jika Anwar Jadi MB Selangor, Peluang BN Lebih Tipis Dalam PRU 14


Sementara kedudukan Najib Razak sebagai Perdana Menteri sedang dipertikai dan diasak agar segera berundur bagi mengelakkan BN menerima kekalahan dalam PRU 14 nanti, Anwar Ibrahim nyata telah mengambil langkah yang jauh lebih ke depan dengan kemungkinan besar menjadikan dirinya sebagai Menteri Besar Selangor yang baru menggantikan Khalid Ibrahim.

Sejak akhbar The Star mendedahkan kemungkinan Khalid Ibrahim meletakkan jawatan pada Rabu ini bagi memberi laluan kepada Anwar Ibrahim memgambil tempatnya, atmosfera politik negara agak kalut seketika dengan perbincangan pro dan kontra mengenai perkara itu. Walaupun Anwar dan Khalid masing-masing menafikan perkara itu dan menganggapnya hanya khabar angin semata-mata tetapi dengan keluarnya berita perletakan jawatan ADUN Kajang, Lee Chin Cheh menjelang jam 5.00 petang, semakin ramai yang meyakini perletakan itu adalah semata-mata untuk memberi laluan Anwar Ibrahim bertanding di kawasan itu dan seterusnya menjadi MB Selangor.

Dengan kemenangan besar Lee dalam pilihanraya umum lalu iaitu majoriti 6,824 undi, jika Anwar bertanding dalam pilihanraya kecil yang mesti diadakan dalam tempoh 60 hari, tentulah tiada masalah besar untuk beliau mencipta kemenangan di kawasan itu. Lebih-lebih lagi dengan keyakinan bahawa Anwar bakal menjadi MB Selangor, tidak mustahil kemenangan yang lebih besar mampu dicapainya.

Langkah Anwar mengambil alih jawatan MB Selangor ini tidak diragui lagi adalah langkah bijaknya dalam menyelesaikan krisis di Selangor yang melibatkan antara Khalid Ibrahim dengan Azmin Ali. Dengan Anwar menjadi MB Selangor, ia adalah jalan tengah yang mendamaikan antara kedua-dua kumpulan itu sehingga pilihanraya akan datang dan Khalid serta Azmin juga tentunya tiada halangan terhadapnya.

Tidak dinafikan bahawa krisis Khalid dengan Azmin, jika dibiarkan berlarutan bukan saja boleh menjejaskan peluang PR mengekalkan kemenangan di Selangor dalam pilihanraya umum akan datang, bahkan tidak mustahil selepas pilihanraya umum akan datang jumlah kerusi kemenangan PKR makin berkurangan dan ini tentunya memberi lebih peluang kepada ADUN Pas pula untuk menduduki kerusi MB Selangor.

Namun dengan Anwar menjadi MB Selangor, tidak saja ketegangan kumpulan Khalid dan Azmin dapat diredakan, malah juga menyebabkab tiada lagi keributan dalam Pakatan Rakyat dalam penentuan jawatan MB Selangor selepas ini. Seperti yang diakui, Pas dan DAP tentunya akan memberi sokongan penuh kepada Anwar Ibrahim dalam perhitungan ini.

Dalam masa yang sama, dengan melonjakkan isu beliau bakal mengisi jawatan MB Selangor, isu perceraian Nurul Izzah yang cuba dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu untuk memberi gambaran buruk terhadap imej anaknya, dengan sendirinya telah menemui jalan matinya. Selepas ini, semua orang hanya akan memperkatakan tentang Anwar saja dan melupakan Nurul Izzah.

Dengan menjadi MB Selangor selama empat tahun menjelang pilihanraya umum akan datang, kedudukan Anwar dan Pakatan Rakyat secara realitinya akan bertambah kukuh lagi di mata rakyat jika beliau berjaya mentadbir negeri itu dengan jayanya dalam tempoh tersebut.

Dengan pengalaman sebagai penasihat ekonomi negeri Selangor dan kedudukan rizab Selangor yang kukuh iaitu hampir RM3 bilion serta Selangor sendiri sebagai negeri yang paling maju, Anwar rasanya tidak menghadapi banyak masalah untuk mencipta lebih banyak kejayaan dan kejutan untuk negeri itu. Jika itu dapat dilakukan, kedudukan sebagai MB Selangor akan menjadi laluan lebih selesa menuju Putrajaya.

Dalam masa yang sama, selain kedudukan Anwar dan Pakatan Rakyat akan bertambah kukuh menuju laluan ke Putrajaya setelah menjadi MB Selangor nanti, Noh Omar juga bolehlah melupakan hasratnya untuk menawan negeri itu dalam pilihanraya umum nanti dan sebaiknya mulai merangka surat persaraannya daripada arena politik.

Yang paling menarik dengan Anwar menjadi MB Selangor ini ialah berkenaan kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri. Sementara beliau sedang dipertikaikan dengan pelbagai isu seperti kenaikan harga barang, kos sara hidup, kalimah Allah dan sebagainya, dalam masa yang sama tekanan supaya beliau berundur juga semakin kuat kedengaran.

Beberapa blogger pro UMNO dan Mahathir seperti Outsyed The Box, Apanama, Unspinners dan Kadir Jasin sedang mempertingkatkan tekanan agar Najib berundur dan memberi bayangan bahawa BN akan tewas jika beliau terus kekal sebagai PM. Terbaru pula, bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin sudah mula mengkritik Najib secara terbuka dengan menggariskan beberapa kelemahannya serta turut meramalkan BN akan tumbang jika pilihanraya diadakan dalam suasana seperti sekarang ini.

Terdapat juga maklumat yang mengatakan dalam beberapa perjumpaan dengan kumpulan tertentu, Mahathir juga turut mengkritik Najib secara agak lantang dan tanpa segan silu. Maklumat lain pula menyebut, seiring dengan pendirian Mahathir bersetuju dengan pandangan Daim, bekas PM itu juga dikatakan sudah tidak lagi memberi sokongannya kepada Najib.

Bersama dengan tekanan dan asakan yang semakin kuat itu, bertambah kukuhnya kedudukan Anwar dengan menjadi MB Selangor pula, tidak dapat tidak, kedudukan Najib pastinya kian terhimpit. Dengan menjadi Ketua Pembangkang dan kuasa sebagai MB Selangor dalam masa yang sama, aura Anwar dan kestabilan Pakatan Rakyat dalam menghadapi BN dalam PRU 14 juga turut meningkat.

Ini akan menjadikan tekanan daripada dalam UMNO terhadap Najib turut meningkat. Menunggu Najib berubah, menjadi lebih tegas dan menyelesaikan semua isu berbangkit, mungkin hanya tindakan membuang masa. Tindakan terbaik pastinya memaksa beliau berundur dan digantikan dengan pemimpin lain.

Hanya dengan pengunduran Najib dalam kadar yang lebih segera mungkin memberi sedikit peluang kepada BN dalam pilihanraya umum nanti. (SH 27/01/2014)

Sunday 26 January 2014

Latihan Media Tetap Tak Berguna Kalau Menteri Dari Kalangan Kurang Cerdik


Dikhabarkan bahawa Perdana Menteri sudah mengarahkan para menterinya menjalani latihan media bagi mengelakkan mereka mengeluarkan kenyataan tidak cerdik sehingga kerajaan menjadi bahan lawak jenaka dan persendaan rakyat. Latihan itu antara lain supaya menteri-menteri kelihatan lebih cerdik dan tidak memalukan kerajaan setiap kali bercakap dengan media.

Latihan media ini, walaupun dikatakan merujuk kepada kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Hasan Malek berkaitan harga ayam dan peningkatan harga barang serta Menteri Wilayah Perdekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor berkaitan kenaikan cukai pintu, tetapi tentunya juga merujuk kepada beberapa kenyataan menteri-menteri lain yang turut kelihatan tidak cerdik dan kenyataan Najib sendiri yang mengambil contoh kangkung supaya rakyat berterima kasih kepada kerajaan.

Kalau mahu dirujuk, begitu banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri yang bukan saja menampakkan ketidakcerdikan mereka tetapi juga menunjukkan daya fikir dan inletektual mereka yang tidak setinggi mana sedangkan harapan rakyat ialah seseorang menteri itu mestilah lebih baik dan berbeza daripada rakyat biasa.

Sementara kita menghargai sedikit kewajaran para menteri diwajibkan menjalani latihan media tersebut, sudah tentulah Najib juga merupakan pemimpin yang paling wajib menghadiri kelas latihan media, bukan saja kerana beliau turut sering mengeluarkan kenyataan yang tidak sewajarnya serta menjadi persendaan rakyat seperti kangkung dsn haramjadah, bahkan juga kerana beliaulah yang paling kerap bercakap dengan media.

Tetapi yang lebih wajar daripada latihan media ini ialah kita seharusnya juga menyerari bahawa keluarnya kenyataan "bodoh" dan "kurang cerdik" daripada menteri-menteri ini bukanlah kerana mereka tidak mempunyai latihan media dan ia boleh diperbaiki dengan hanya menghadiri latihan yang singkat, sebaliknya ia menandakan mereka yang dilantik itu memang daripada kalangan yang kurang cerdik, tidak berilmu, merasa diri lebih pandai dan sering emosional.

Kalau sudah jenis itu yang kebanyakannya dilantik sebagai menteri, memanglah tidak dapat dielakkan daripada keluarnya kenyataan-kenyataan "bodoh" dan "kurang cerdik" walaupun setelah menjalani pelbagai latihan media. Latihan media mungkin hanya menjadikan mereka kelihatan sedikit pandai dan cerdik tetapi tidak akan menjadikan mereka benar-benar seorang pemimpin yang cerdik dan pandai sepanjang masa.

Latihan media mungkin hanya penyelesaian jangka pendek saja. Apa yang lebih penting, setelah Najib sendiri melihat ramai di kalangan menteri-menterinya adalah daripada kalangan yang kurang cerdik, tidak berilmu tetapi merasa pandai dan sering emosional sehingga kerajaan pimpinannya kelihatan amat buruk di mata rakyat, beliau seharusnya juga mengambil langkah lebih baik ialah merombak barisan kabinetnya.

Beliau perlu membuang mana-mana menteri dan timbalan menterinya yang tidak cerdik dan sering mengeluarkan kenyataan karut-marut dengan menggantikan dengan pemimpin lain yang lebih berwibawa, berkelayakan dan berpendidikan. Tidak guna beliau terus menyimpan atau mengekalkan mereka itu sebagai pemimpin walaupun mereka itu sering mencium tangan beliau dan isterinya setiap kali bersalam.

Memilih pemimpin tidak seharusnya hanya bersandarkan kepada mereka yang suka melobi dan membodek sahaja kerana perlantikan menteri adalah untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara. Dalam hal ini kriteria yang betul dalam memilih menteri dan timbalan menteri adalah mustahak.

Walaupun Najib terlihat amat menyedari "kebodohan" sebahagian menterinya dalam menjalankan tugas dan cuba berusaha menjadikan mereka kelihatan lebih pandai dengan memintanya menghadiri kelas latihan media, ia tidak akan menyelesaikan sepenuhnya masalah yang ada.

Penyelesaian lebih konkrit ialah beliau harus merombak kabinetnya dan segera membuang mereka yang tidak berguna itu serta menggantikannya dengan pemimpin lain yang lebih berwibawa, berkelayakan dan berilmu. Selepas itu barulah diberi latihan media. Memberi latihan media kepada mereka ini tentunya lebih mendatangkan kesan yang diharapkan berbanding mengekalkan "pemimpin yang kurang cerdik" tetapi berusaha menjadikannya kelihatan cerdik. (SH 26/01/2014)

Saturday 25 January 2014

Zahid Hamidi Pun Mahu Dua Kementerian Seperti Hishammuddin


Selepas berjaya menubuhkan unit polis syarie dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam atau Jakim untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan penguatkuasaan dan perundangan Islam, Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi mengorak selangkah lagi memperluaskan tugas anggota polis dengan memberinya peranan memantau harga-harga barang pula.

Langkah yang dilakukan bukan bertujuan menidakkan peranan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang diketuai oleh Hasan Malek itu, menurut Zahid lagi akan dilakukan dengan menghantar anggota polis berpakaian biasa dan berlakon sebagai pelanggan untuk memantau harga barang dan mengambil tindakan mengikut bidang kuasa yang ada.

Menurut Ahmad Zahid lagi, pihaknya telah membuat kajian mengenai harga yang dibeli oleh pemborong sebenarnya adalah murah tetapi apabila dijual dengan harga melampau kepada peruncit, maka peruncit terpaksa menaikkan harga barang yang mereka jual.

Beliau juga menambah, tindakan pihak polis memantau harga barang ini bukan bertujuan mengganggu peniaga tetapi semata-mata dilakukan atas dasar keprihatinan terhadap kenaikan harga barang yang menjadi rungutan ramai sekarang.

Hebatkan Zahid Hamidi sejak beliau mengetuai Kementerian Dalam Negeri? Macam-macam idea beliau ada.

Walaupun kadar jenayah meningkat setiap hari dan jika kita membaca akhbar, menonton televisyen atau meninjau berita di media sosial, kita akan mendapati bermacam-macam jenayah seperti ragut, rompak, pecah rumah, curi kenderaan, bunuh dan sebagainya, berlaku hampir setiap saat di sekeliling kita.

Di mana-mana saja jenayah boleh berlaku dan seolah-olah penjenayah sentiasa saja berada di sekeliling kita dan hanya menunggu waktu yang sesuai atau kita cuai sedikit, maka berlakulah jenayah.

Di samping kita menghargai tugas dan peranan polis yang sentiasa berusaha gigih mahu mengurangkan kadar jenayah serta menjadikan semua orang rasa selamat untuk ke mana-mana, alasan yang sering diberi mengapa jenayah terus berlaku ialah kerana polis masih kekurangan anggota berbanding jumlah rakyat negara ini.

Ahmad Zahid sendiri pernah berkata, bahawa polis tidak boleh dipersalahkan dalam peningkatan kadar jenayah kerana seorang anggota polis di sesuatu kawasan di negara ini berkhidmat untuk 700 penduduk berbanding di negara maju seperti Amerika Syarikat di mana seorang anggota polis hanya berkhidmat kepada 35 orang penduduk sshaja.

Amatlah malang sebenarnya, tidak lama selepas Ahmad Zahid mengakui polis di negara kita kekurangan anggota untuk membendung janayah, beliau sebaliknya mahu menambahkan beban kerja polis untuk memantau harga barang pula. Sebagai menteri KDN, sebaiknya Zahid hanya fokus kepada tugas dan peranan polis yang hakiki saja, bukannya menambahkan lagi beban tugas mereka.

Walaupun tujuannya mengarahkan polis untuk melaksanakan kerja memantau harga barang ini seperti cuba memperlekeh ketidakupayaan Hasan Malek berperanan sebagai menteri yang bertanggungjawab kepada pengguna serta mengesahkan lagi gelaran "menteri cap ayam" yang diberikan oleh pelbagai pihak sebelum ini, daripada menambahkan beban kerja anggota polis, adalah lebih baik beliau mengusahakan supaya ditambah anggota polis dan seterusnya berupaya membendung peningkatan kadar jenayah yang lebih menjadi kebimbangan ramai.

Lagi pula dalam hal kenaikan harga barang, Najib juga sudah mengarahkan Pemandu melakukan makmal kajian mengenainya dan Muhyiddin pula sudah diberikan peranan mengetuai jawatankuasa kabinet mengenai kenaikan harga barang. Selain KPDNKK yang diarahkan bertindak lebih tegas oleh Najib, Kementerian Pertanian yang banyak berurusan dengan pembekal juga telah diminta mengambil langkah perlu menambah bekalan apabila harga barang meningkat. Dalam masa yang sama Pemuda UMNO juga turut menubuhkan skuad pemantau harga barang di seluruh negara. Terdapat juga ramai Ahli Parlimen yang dilaporkan menubuhkan skuad pemantau harga barang di kawasan masing-masing.

Pendek kata, sudah banyak pihak yang terlibat dan berperanan mengenai kenaikan harga barang ini. Tidak perlulah Zahid Hamidi mahu menumpang sama "political mileage" dalam isu kenaikan harga barang ini, walaupun kita mungkin boleh memahami keghairahannya mahu turut sama berperanan adalah seiring dengan cita-cita untuk menaik setakuk lagi dalam karier politiknya.

Dengan melebarkan sayap polis menjadi pemantau harga barang dah sebelum ini berjaya menubuhkan unit polis syarie, Zahid mungkin bukan saja sedang cuba memberitahu umum tentang cita-cita politiknya tetapi juga untuk menyindir Najib supaya memberikannya dua kementerian sepertimana sepupu Najib iaitu Hishammuddin yang diberikan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan meskipun hampir tercicir dalam perebutan Naib Presiden UMNO.

Dari segi keberkesanan dan keupayaan menjalankan tugas, memanglah Zahid lebih baik dan berupaya berbanding Hishammuddin tetapi dalam politik kadangkala tidak semua boleh diminta-minta dan ditonjol-tonjolkan. Selain Perdana Menteri sendiri mungkin ada "favouritisme" tersendiri, berlebih-lebihan menonjol diri juga boleh mengundang bahaya.

Bagaimanapun, dalam menjaga KDN ini adalah lebih baik Zahid Hamidi memperkemas peranan polis, menambah kebajikan dan menambah jumlah anggota polis bagi menjadikan kehidupan rakyat lebih terjamin dan selesa daripada segi keselamatannya daripada memberi kerja tambahan yang bukan-bukan kepada anggota polis.

Terlampau ghairah dalam perkara yahg bukan-bukan akan lebih mengingatkan rakyat kepada janjinya mahu mendedahkan dalang pencerobohan Lahad Datu yang belum ditunaikan dan isu Syiah yang didakwanya terhadap Mat Sabu juga belum terungkai sehingga kini. Itu belum lagi ketegasan dan kegarangannya yang turut mula dipertikai seolah-olah hanya sebelum pemilihan UMNO saja. (SH 25/01/2014)

Friday 24 January 2014

Kalah PRU 14 Adalah Baik Untuk UMNO


Di kala semakin ramai yang melahirkan kebimbangan mengenai kelemahan kepimpinan Najib bakal menyebabkan UMNO dan BN tewas dalam pilihanraya umum akan datang, generasi muda dalam parti itu pula merasakan kekalahan adalah ubat paling mujarab untuk memulihkan UMNO daripada segala penyakit yang sudah sekian lama bersarang didalamnya.

Bagi mereka, kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen, gagal meraih undi popular dan hilang beberapa negeri, ternyata tidak mampu mengubah sikap dan perangai pemimpin UMNO untuk menjadi lebih baik dan disenangi rakyat, bahkan majoriti pemimpin yang mempunyai kuasa masih tidak banyak berbeza antara sekarang dengan era 80an atau 90an dahulu.

Paling ketara ialah perubahan yang diharapkan juga tidak berlaku dalam diri Perdana Menteri dan pemimpin kanan parti dan kerajaan. Mereka masih menampilkan sikap boros, suka berbelanja mewah, mudah melupakan janji yang dibuat ketika mahu mendapatkan sokongan dan hanya menjadikan rakyat penting ketika sebelum pilihanraya sahaja.

Dengan mewarisi kerajaan yang lemah sebaik menjadi Perdana Menteri pada 2009 dan kemudian keputusan pilihanraya 2013 menjadi lebih buruk lagi, Najib seharusnya segera berubah dan menampilkan kualiti kepimpinan yang lebih baik jika tidak mahu nasib lebih buruk menimpa BN dalam pilihanraya 2018 nanti.

Namun, penampilan Najib bukan saja mengecewakan malah lebih teruk berbanding sebelum PRU 13. Slogan rakyat didahahulukan dan kononnya BN tidak pandai menipu rakyat, ternyata hanya tinggal janji. Bukan saja satu demi satu kenaikan kos hidup rakyat dilakukan, bahkan banyak janji-janji yang diucap dengan penuh manis sebelum pilihanraya, akhirnya bertukar menjadi tuba di mata rakyat.

Dalam masa yang sama, berikutan timbulnya isu demi isu berkaitan politik, ekonomi, agama, keselamatan dan sebagainya pula tidak cuba diselesaikan berasaskan prinsip ketegasan serta keberanian, malah dengan membiarkan isu demi berlarutan dalam masyarakat, Najib dan kerajaan seolah-olah suka melihat rakyat hidup dalam perbalahan dan perkelahian.

Yang lebih malang lagi, di ketika Najib diminta berubah dan menunjukkan ketegasannya atau kemungkinan berhadapan risiko kehilangan kuasa dalam PRU 14, beliau ternyata masih berdegil dan ingin terus berpaut pada kuasa walaupun pada hakikatnya kuasa kerajaan yang ada hanyalah minoriti dan semakin rapuh pula umpama kayu yang sudah mula disarangi anai-anai.

Apabila Najib sendiri tidak mahu berubah, sudah tentulah pemimpin lain juga tidak akan berubah. Apabila Najib dan keluarga terus berbelanja mewah, tentulah tidak timbul rasa segan di kalangan menterinya untuk berparti hari jadi mewah serba merah atau mengadakan kenduri kahwin dua hari dua malam di ketika rakyat diminta berjimat cermat dan mengikat perut bagi mengimbangi kenaikan kos sara hidup.

Lantaran tidak terpamer tanda-tanda keinginan daripada Najib dan semua pemimpin UMNO untuk berubah, ramai yang merasakan bahawa kekalahan dalam PRU 14 nanti mungkin merupakan ubat paling berkesan untuk memulihkan semula UMNO dan menjadikannya tampil dengan lebih baik lagi.

Hilang majoriti, hilang beberapa negeri dan hilang undi popular rupa-rupanya tidak memberi apa-apa kesan langsung kepada UMNO dan para pemimpinnya.

Barangkali hanya setelah kalah, hilang kuasa dan kemudian diikuti dengan sebahagian besar pemimpinnya tiada pilihan selain mengundur diri dan kenal erti bersara, barulah UMNO diyakini mampu tampil dengan wajah baru yang lebih baik dan segar bagi menghadapi perjuangan yang seterusnya.

Oleh itu, bagi sebahagian ahli UMNO, terutamanya generasi muda, kekalahan dalam PRU 14 adalah petanda baik bagi kesinambungan serta kelangsungan parti itu. Ini kerana, tambah mereka, tanpa kekalahan mutlak, tidak akan berlaku perubahan hakiki dari segi kepimpinan, kesedaran, budaya serta sikap di kalangan mereka yang menjadi pemimpin UMNO.

Sebab itu, sementara semakin ramai yang bimbang dengan kelemahan kepimpinan Najib dan memberi amaran tentang kuasa yang mungkin hilang, generasi pemimpin muda dalam UMNO tidak begitu kisah tentangnya. Ini bukanlah bermakna mereka tidak bimbang tentangnya tetapi kerana merasakan itulah satu-satu cara untuk memulihkan UMNO, mampu menjadikannya tampil lebih baik dan ruang akan lebih terbuka untuk diketuai oleh bakat-bakat muda yang lebih berpotensi serta berwibawa.

Berbanding terus berkuasa yang hanya menjadikan wajah UMNO menjadi bertambah buruk, kekalahan sebaliknya akan memberi ruang perubahan dan transformasi untuk berperanan dengan lebih baik. (SH 24/01/2014)

Thursday 23 January 2014

Najib Tidak Akan Berubah


Walaupun jangka masa PRU 14 masih ada empat tahun lebih daripada sekarang, tetapi sudah ramai yang bercakap mengenai kemungkinan UMNO bakal kalah dalam pilihanraya itu. Bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin yang pandangannya mengenai politik jarang tersasar, secara terbuka berkata, BN akan kehilangan kuasanya jika PRU 14 diadakan dalam suasana seperti sekarang di mana kelemahan kepimpinan Najib Razak begitu ketara dan diperkatakan oleh ramai orang.

Tokoh Wartawan Negara, A Kadir Jasin pula membayangkan tiga senario yang bakal berlaku iaitu sama ada Najib berubah, beliau ditukarkan jika gagal berubah dan jika tiada apa-apa yang berubah, BN akan tewas dalam pilihanraya akan datang.

Seorang lagi bekas wartawan iaitu Zainuddin Maidin yang juga merupakan bekas Menteri Penerangan, tidak jemu-jemu menyarankan agar bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad diberikan semula kuasa dan pengaruh dalam kerajaan, dengan terbaru mencadangkan agar dilantik sebagai Menteri Mentor bagi membantu Najib, suatu gambaran hakiki bahawa kepimpinan Najib begitu lemah dan tidak bermaya sehingga Mahathir yang sudah berusia 89 tahun dan lebih 10 tahun bersara, dirasakan perlu dipanggil semula untuk menyuntik "ubat kuat" kepada Najib.

Pemimpin UMNO yang lain pula, sama ada secara terbuka atau sembunyi-sembunyi, ramai yang turut resah tentang hidup mati UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang. Bagi semua pemimpin ini, UMNO, BN dan kerajaan selepas PRU 13 lalu bukannya bertambah baik dan diterima oleh rakyat, sebaliknya menjadi semakin lemah, kalut dah hilang punca dalam mengurus banyak perkara.

Daripada isu politik, ekonomi, keselamatan, agama, perkauman dan sebagainya, semuanya dilihat gagal ditangani dengan sebaiknya oleh Najib dan kerajaan kerana seperti kata Zainuddin Maidin, Najib hanya mempunyai kepakaran menangguhkan masalah dan bukan menyelesaikannya.

Kebimbangan banyak pihak, daripada ketua UMNO Cawangan hinggalah kepada bekas menteri seperti Daim Zainuddin, tentang kemungkinan BN tumbang dalam pilihanraya akan datang, sebahagian besarnya adalah kerana kelemahan yang dipamerkan oleh Najib. Najib dilihat punca segala-galanya.

Dalam hal ini, berikutan orang-orang yang rapat dengan Mahathir seperti Daim, Kadir Jasin dan Zainuddin Maidin sudah semakin lantang bersuara dan terbaru, Mukhriz Mahathir juga melahirkan rasa bimbang BN akan tewas dalam pilihanraya akan datang jika terus mengabaikan kepentingan rakyat jelata, terutama dalam kenaikan kos sara hidup, sebenarnya hampir pasti sekarang ini Mahathir juga sudah mempunyai pendirian yang sama.

Beliau mungkin hanya menunggu masa yang sesuai untuk menunjukkan persamaan dan hubungan sehati sejiwa dengan mereka yang lebih dulu mengkritik Najib itu.

Tetapi, biar bagaimana banyak meriam dan peluru serangan semakin dihalakan kepada Najib, ramai yang percaya tidak akan ada apa-apa yang berubah mengenai Najib. Najib kelihatan cukup selesa dengan stail lemah dan lembiknya dalam memimpin negara ini. Najib juga akan terus meletakkan kepercayaannya kepada Idris Jala, Omar Ong, JJ dan lain-lain rakan penasihatnya. Begitu juga kepercayaannya kepada Pemandu dan konsultan luar tidak akan berubah walau seinci pun.

Dalam masa yang sama, Najib juga dipercayai akan terus membiarkan isterinya, Rosmah Mansor, menonjol diri, membayangi dah kadangkala kelihatan lebih berkuasa daripadanya. Beliau juga dipercayai akan terus membiarkan isterinya itu menggunakan segala kemudahan kerajaan yang sudah biasa dinikmatinya selama ini.

Najib, menurut kalangan yang rapat dengannya juga, akan terus bertahan sehingga pilihanraya akan datang. Biar pun sokongan rakyat kian merosot, beliau seringkali dikangkungkan, isterinya diboo dan macam-macam lagi diperlakukan terhadap mereka berdua untuk tujuan memberi tekanan, dalam masa yang sama Najib amat menyedari bahawa beliau tidak mungkin ditumbangkan sepertimana Pak Lah dulu.

Tidak sepertimana Pak Lah, Najib telah menjaga semua segmen dalam UMNO yang mungkin boleh mengancam kedudukannya dengan memberikan mereka jawatan, kedudukan, lantikan sebagai penasihat, pengerusi dan ahli lembaga pengarah GLC, habuan dalam bentuk kontrak, projek dan sebagainya.

Waima ada maklumat memberitahu, jika Mahathir dan Daim serta semua suku-sakatnya mengambil keputusan mengkritik dan menyerang Najib secara bersepadu sekali pun, kedudukan Najib tidak akan tergugat dengannya. Kata maklumat itu, serangan dan kritikan itu mungkin hanya meriah di media dan di kalangan rakyat tetapi Najib akan terus kekal di singgahsana Seri Perdana sehingga pilihanraya akan datang kerana semua pemimpin UMNO sudah termakan budi dengannya.

Meskipun tujuan banyak pihak seperti Daim dan Kadir Jasin membangkitkan tentang kemungkinan BN tewas dalam pilihanraya akan datang adalah agar Najib sedar kelemahannya dah sedia memperbaiki diri, Najib pada hakikatnya lebih rela melihat UMNO dan BN berkubur di era pemerintahannya daripada menyerah kalah di pertengahan jalan.

Dalam hal ini, oleh kerana Najib tidak mahu berubah dan pemimpin UMNO pula enggan mengubahnya, hanya rakyat satu-satunya harapan untuk mengubah Najib. Itu pun kena sabar menunggu kira-kira empat tahun daripada sekarang. (SH 23/01/2014)

Wednesday 22 January 2014

Segera Jadikan Azmin MB Selangor?


Krisis berlarutan di Selangor berhubung kedudukan Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS, membuatkan orangramai mula mempertikaikan kepimpinan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor. Daripada soal sekecil kedudukan Azmin dalam PKNS, Khalid terlihat begitu kalut untuk menyelesailan isu tersebut sehingga diheretnya sekali Pengurus Besar, Othman Omar dan Setiausaha Kerja PKNS, Norita Mohd Sidek.

Daripada awal, jawapan beliau nampak berbelit-belit sehingga lebih mudah menujukan kesalahan berhubung pengguguran Azmin ke bahu Pengurus Besar sedangkan beliau adalah Menteri Besar dan Pengerusi PKNS. Sesiapa pun yang tahu pengurusan korporat memahami bahawa kedudukan Ahli Lembaga Pengarah adalah dibawah Menteri Besar dan Pengerusi PKNS. Agak malang akhirnya, Orhman dan Norita dihukum dengan dipindahkan ke pejabat SUK.

Pertelingkahan antara Khalid dan Azmin ini bukan saja menampakkan adanya kecacatan apabila parti dipegang oleh tangan lain manakala pentadbiran kerajaan dipegang oleh pihak lain. Walaupun tujuan asalnya adalah baik iaitu untuk mewujudkan "check and balance" tetapi apabila melibatkan kuasa, jarang ada pihak yang sanggup menjadi terbuka untuk kuasanya diperiksa dan diseimbangkan. Kuasa selalunya sentiasa ingin diperkukuhkan.

Meskipun berolehnya PKR pada kuasa Menteri Besar adalah atas ehsan Pas dan DAP berikutan kedua-dua parti itu mempunyai 15 kerusi DUN manakala PKR hanya 14 sahaja, sudah sampai masanya PKR kembali menjadikan kedudukan parti menguasai kerajaan.

Oleh kerana Azmin yang menjadi Pengerusi PKR Selangor, beliau seharusnya segera dijadikan Menteri Besar untuk mengatasi kemelut yang sudah lama berlarutan ini. Tidak dapat dipastikan bagaimanakah penyelesaiannya kes kedudukan Azmin ini dalam PKNS tetapi selagi adanya dua nakhoda dalam PKR Selangor, satu pihak menguasai parti dan satu pihak lagi menguasai kerajaan negeri, selagi itulah masalah akan timbul.

Dalam hal ini PKR haruslah tidak lupa kepada sejarah Kedah di mana krisis yang berlarutan antara Allahyarham Azizan Razak dengan Pahrolrazi Zawawi selama bertahun-tahun akhirnya telah menyebabkan kerajaan PAS dapat ditumbangkan oleh BN dalam pilihanraya umum lalu.

Meskipun mungkin ada banyak sebab lain yang menyebabkan tumbangkan kerajaan Pas di Kedah tetapi harus diakui salah satu sebab besarnya ialah krisis yang tidak sudah-sudah antara kedua pemimpin tersebut.

Krisis yang berlarutan terlalu lama dah tiada jalan penyelesaian akan menyebabkan rakyat menjadi muak dan menyampah. Walaupun Khalid mempunuai rekod baik dalam mentadbir negeri dan dapat menambah kantung perbendaharaan negeri dengan jumlah yang banyak tetapi rekod itu boleh dilupakan jika tidak bijak menyelesaikan krisis dan menyebabkan pentadbirannnya kelihatan tidak aman.

Walaupun dalam keadaan sekarang Anwar dan Wan Azizah seperti ingin menjaga dan mengekalkan kedua-dua pihak itu iaitu Khalid dan Azmin terapi sebenarnya sudah sampai masanya pilihan yang tegas dibuat. Azmin harus dijadikan Menteri Besar Selangor, sesuai dengan kedudukannya sebagai Pengerusi PKR negeri. Jika mahu juga mengekalkan Khalid, berilah beliau tugas dan tanggungjawab sebagai Pengerusi PKR Selangor manakala Azmin yang juga menjawat jawatan Timbalan Presiden PKR, hendaklah diberi pengkhususan untuk memantapkan parti di peringkat nasional.

Ketegasan Anwar sebagai Ketua Umum dan Wan Azizah sebagai Presiden parti tidak harus ditangguhkan untuk menyelesaikan kemelut yang sudah lama berlarutan ini. Jika tidak bersedialah untuk menerima rasa muak dan menyampah yang akan terus meningkat serta berisiko kehilangan Selangor dalam pilihanraya akan datang. (SH 22/01/2014)

Monday 20 January 2014

Hanya Ada Satu Cara Jika Najib Mahu Pujian Daripada Rakyat


Selepas agak puas dikangkungkan, Najib dan isterinya, Rosmah Mansor diboo pula semalam ketika menyampaikan hadiah di Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia. Suara penonton yang mengejek dan memboo agak jelas kedengaran ketika Rosmah sedang berjalan untuk menyampaikan hadiah kepada Lee Chong Wei.

Sebagaimana isu kangkung yang cuba dikaitkan dengan isu perkauman, insiden di majlis penyampaian hadiah badminton itu juga mahu diseret dengan sentimen perkauman dengan cuba digambarkan yang mengejek dan memboo isteri PM itu terdiri daripada kalangan bukan Melayu.

Walaupun mungkin ada benarnya perkara itu, tetapi barangkali ia cumalah kebetulan saja. Apa yang dapat dirasakan ialah bahawa sentimen penolakan terhadap Najib sekarang ini bukan lagi bersifat perkauman. Ia adalah kehendak rakyat perbagai kaum yang celik internet, terdedah kepada pelbagai maklumat, mereka yang tinggal di bandar dan separa bandar serta juga golongan muda.

Mereka yang menolak Najib sekarang adalah golongan yang sama yang tidak mengundi BN dalam pilihanraya umum lalu. Mereka sudah cuba menolak kepimpinan Najib dalam pilihanraya umum lalu sehingga menghasilkan BN hanya mampu meraih 47 peratus undi popular tetapi hanya diselamatkan oleh sistem pilihanraya yang diamalkan. Hakikatnya penolakan itu tidak dapat dinafikan sama-sekali.

Dalam isu kenaikan harga barang yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini, golongan ini menjadi lebih agresif kerana Najib dilihat cuba memperbodohkan rakyat secara terang-terangan. Dengan menaikkan harga minyak, menghapuskan subsidi gula dan meluluskan peningkatan tarif letrik sebanyak 15 peratus, kerajaan dilihat masih cuba mempertahankan bahawa kenaikan harga barang bukanlah salah kerajaan sedangkan kenaikan harga barang yang berpunca daripada tindakan kerajaan itulah yang paling dipertikaikan oleh rakyat.

Dalam masa yang sama, pimpinan kerajaan pula tidak menunjukkan perangai dan budi bahasa yang baik terhadap rakyat di mana ketika rakyat dibebankan dengan tindakan mereka sendiri yang menyebabkan kos sara hidup meningkat, kemewahan, keborosan dan amalan berbelanja sesuka hati terus juga menjadi amalan.

Dalam keadaan itu, sudah tentulah kemarahan rakyat sentiasa meluap-luap.

Apabila timbul isu kangkung, ia sebenarnya adalah manifestasi kemarahan rakyat terhadap Najib dan kerajaan yang tidak memahami derita rakyat. Ia bukanlah isu serangan atau perlekehan mana-mana kaum terhadap Najib atau Perdana Menteri tetapi adalah isu yang melibatkan rakyat semua kaum. Semua golongan dan lapisan rakyat sekarang ini memperkatakan mengenai kangkung, tidak kira kaum daripada golongan paling kaya hinggalah rakyat bawahan.

Begitu juga apabila Rosmah kena boo semalam di stadium, ia juga adalah adalah luahan manifestasi penolakan rakyat terhadap gaya hidup mewah dan penggunaan jet kerajaan yang dilakukan oleh isteri PM itu selama ini. Tidak dapat dibuktikan yang melakukannya semalam terdiri daripada satu-satu bangsa saja tetapi yang nyatanya penolakan terhadap gaya hidup mewah dan boros Rosmah yang sering dipamerkan selama ini, ditolak oleh sesiapa saja tanpa mengira bangsa dan keturunan.

Mesej penolakan itu ialah sebagai pemimpin, Najib dan keluarganya mestilah belajar menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat. Era pemimpin boleh melakukan apa saja dan rakyat pula akur sepanjang masa, sudah lama berlalu. Dalam keadaan rakyat susah dan diminta mengikat perut, teladan itu mestilah datang daripada beliau dan keluarganya terlebih dahulu. Sebelum beliau meminta rakyat berjimat cermat, beliau dan keluarga serta menteri-menterinya haruslah berbuat demikian dahulu.

Apa yang rakyat mahukan ialah sebagai pemimpin, Najib mestilah sentiasa memperlihatkan dirinya sentiasa bersama-sama serta menunjukkan pemahamannya yang sebenar tentang kesusahan itu.

Selepas dikangkungkan dan diboo, Najib dan isterinya mungkin akan terus menerima lebih banyak signal penolakan daripada rakyat. Trend yang ada memperlihatkan ia tidak akan berhenti setakat ini saja. Apa pun yang cuba dilakukannya selepas ini tidak akan diterima lagi. Beliau akan terus diejek, dipersenda, kehadirannya dalam sesuatu majlis tidak dialu-alukan dan kesilapannya dalam bercakap atau memberi fakta akan terus diperbesar-besarkan untuk menunjukkan ketidaklayakannya untuk terus menerajui negara ini.

Bermula dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup ini, Najib boleh dikatakan akan melalui detik-detik hitam dan mencabar dalam kepimpinannya. Selepas dikangkungkan dan diboo, serangan yang diterimanya mungkin lebih dahsyat lagi. Ada yang mengatakan kebangkitan dan arus penolakan ini tidak pernah berlaku kepada mana-mana PM sebelum ini, bahkan ketika Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj mahu dijatuhkan dahulu pun, suasananya tidaklah separah sekarang ini.

Najib mungkin memerlukan keajaiban untuk menukar fenomena kangkung dan boo yang menghantuinya sekarang kepada kata-kata pujian dan sanjungan, kecuali daripada kelompok yang berkepentingan dengannnya. Tetapi jika Najib benar-benar mengharapkan sanjungan dan kata-kata pujian daripada rakyat, berundur diri sebagai PM mungkin satu-satunya pilihan yang harus dipertimbangkannya dengan serius ketika ini.

Rakyat akan lebih menghargai dan menyanjungnya jika beliau berjiwa besar dan sanggup mengundurkan diri sebagai pengorbanan untuk memulihkan banyak kekusutan dalam negara yang tidak terungkai sekarang ini. Pasti ramai yang menyanjung dan betepuk tangan kepadanya.

Ini kerana kerosakan yang berlaku nampaknya tidak mungkin boleh diperbaiki oleh tangan yang sama yang dulunya membawa kehancuran. Ia memerlukan tangan lain untuk memulihkannya. (SH 20/01/2014)

Sunday 19 January 2014

Selepas Lebih 40 Tahun, Kenapa Masih Membanggakan 13 Mei?


Tindakan sekumpulan penyokong UMNO mengadakan demontrasi mempertahankan Najib yang telah dikangkungkan sejak lebih seminggu lalu, bukanlah sesuatu yang luar biasa. Adalah menjadi hak dan kebebasan mereka untuk berbuat demikian, lebih-lebih lagi ia merupakan tindak balas terhadap apa yang telah menimpa Najib sendiri.

Apa yang luar biasa ialah mengaitkan perhimpunan itu dengan unsur-unsur perkauman dan tragedi 13 Mei 1969. Walaupun kejadian bagaimana Najib dikangkungkan tiada langsung berunsur perkauman, sebaliknya ia adalah respon menyeluruh melibatkan semua bangsa yang rasa tidak tidak puas hati dengan peningkatan harga barang yang gagal dikawal oleh kerajaan sejak kebelakangan ini, tetapi membawa sepanduk dan kata-kata yang berkaitan dengan provokasi 13 Mei jelas merupakan sesuatu yang malang.

Nampaknya, mereka yang cuba mempertahan dan membela Najib telah gagal memahami isu yang sebenarnya. Isunya ialah berkaitan kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup dan tindakan menyuapkan replika Najib dengan kangkung juga sama-sekali tidak berunsur perkauman walaupun ia dilakukan oleh seorang wakil rakyat berbangsa Cina. Ia adalah reaksi menyeluruh yang mewakili seluruh rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup.

Kalau mahu dikatakan ia penghinaan pula, tentulah perbuatan melakukan aksi tarian punggung dan menghantar kek berbentuk najis kepada Lim Guan Eng, lebih jauh merupakan penghinaan dan tidak bertamaddunnya dalam melakukan serangan politik.

Oleh itu, dalam menyerang balas tindakan yang berunsur politik ini, lebih-lebih lagi sebagaimana yang selalu ditekankan oleh Khairy Jamaluddin bahawa hujah mestilah dilawan dengan hujah, membawa elemen perkauman dan mengungkit peristiwa berdarah 13 Mei adalah langkah ke belakang dan tidak bijak.

Bagaimana Najib dikangkungkan seharusnya dilawan dengan hujah yang lebih baik dan bernas. Kebangkitan hampir seluruh rakyat daripada segenap bangsa dalam isu kangkung ini menunjukkan rakyat mahukan jawapan dan penyelesaian dalam menangani kenaikan kos sara hidup. Jawapan yang ditunggu oleh rakyat ialah bagaimana kerajaan seharusnya menggunakan kuasanya sebagai kerajaan dalam perkara ini dan bukannya menyalahkan pihak lain seperti orang tengah dan sebagainya.

Dengan menyalahkan orang tengah semata-mata sebagaimana kata Tengku Adnan Tengku Mansor hanyalah menunjukkan betapa lemah dan tidak bermayanya kerajaan dalam mengurus sesuatu isu dan ini lebih membeti insprasi agar kerajaan yang ada ditukar kepada kerajaan yang lebih tahu menggunakan kuasanya.

Berhimpun dan berdemo tidak menjadi kesalahan dan ia mungkin salah satu cara meluahkan perasaan tetapi serangan yang dilakukan mestilah bijak. Mengancam dengan peritiwa 13 Mei dalam isu kangkung dan kenaikan harga barang ini langsung tidak mencerminkan kematangan dan persembahan hujah yang baik dalam politik. Setelah lebih 40 tahun berlalu, peristiwa 13 Mei sepatutnya semakin dilupakan dan bukan sering diingati serta dijadikan alat provokasi terhadap kaum lain.

Terus-menerus membangkitkan peristiwa 13 Mei bukan saja merenggangkan lagi hubungan antara kaum, bahkan meretakkan hubungan sesama komponen BN sendiri. Masyarakat bukan Melayu pula akan terus menjauhi UMNO, BN dan kerajaan selagi peristiwa 13 Mei ini sering diungkit dan dijadikan alat provokasi politik. Generasi muda pula tentulah lebih tidak senang dengan ancaman 13 Mei ini kerana ia adalah sketsa sedih yang tidak mahu dikenang lagi oleh mereka.

Orang Melayu pula tidak seharusnya berbangga dengan 13 Mei itu. Ini kerana 13 Mei bukanlah cerita kejayaan yang perlu dibangga-banggakan, sebaliknya ia juga menampakkan sisi kegagalan sebagai sebuah bangsa. Untuk terus berjaya, kita seharusnya sentiasa melihat ke hadapan dan bukannya sering menoleh-noleh ke belakang ketika sedang berlari.

Oleh kerana sentimen dan provokasi 13 Mei ini dibangkitkan di Pulau Pinang, adalah dijangkakan selagi irama peristiwa berdarah 13 Mei terus dibangkitkan, harapan BN untuk terus menawan negeri itu kekal dalam "pelukan mimpi". (SH 19/01/2014)

Saturday 18 January 2014

Hanya Setelah Fenomena Kangkung, Barulah Menteri-Menteri Sibuk Turun Ke Pasar


Selama ini apabila rakyat merungut tentang kenaikan harga barang, ramai yang menjawab ianya adalah fenomena biasa. Malah apabila harga minyak dan gula dinaikkan melalui dasar rasionalisasi subsidi, Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan dengan bangganya berkata, harga minyak dan gula di negara kita masih rendah berbanding di beberapa negara jiran yang lain.

Najib dan semua pemimpin kerajaan pula, sama ada lebih banyak membisu atau terus mempertahankan kenaikan harga barang dengan menganggapnya sebagai fenomena biasa. Mereka seolah-olah cuba menyembunyikan hakikat bahawa apa yang dirungutkan rakyat ialah kenaikan harga yang berpunca daripada kenaikan harga minyak, gula dan tarif letrik sebenarnya adalah berpunca daripada kerajaan. Dalam erti kata yang lain, rakyat merasakan kerajaan ada saham besar dalam kenaikan harga barang ini.

Dalam masa yang sama, Najib terus mempertahankan langkah menghapuskan subsidi dengan pelbagai hujah dan alasan yang direka-reka demi menghalalkan tindakannya itu. Rungutan dan rintihan rakyat mengenai kos sara hidup mereka yang kian meningkat langsung tidak dipedulikan.

Bagaimanapun tindakan Najib mahu mempertahankan kenaikan harga barang dengan mengambil contoh kangkung sebagai rujukan telah mencetuskan sesuatu yang diluar jangkaan sama-sekali. Bermula dengan contoh kangkung itu dipersendakan, ucapannya diremix menjadi lagu yang kemudian disusuli dengan pelbagai kemunculan lain seperti tarian lenggang kangkung, t-shirt berlogo kangkung, membayar secawan kopi dengan seikat kangkung dan sebagainya lagi yang dikaitkan dengan kangkung, akhirnya selama hampir seminggu Najib menjadi "masak" dan lunyai dikangkungkan oleh tentera maya pro pembangkang.

Walaupun episod kangkung ini dilihat cukup memalukan Najib sehingga ada yang membuat laporan polis berkenaan dengannya, ia akhirnya menyerlahkan rahmat di sebaliknya. Jika sebelum ini tiada siapa yang peduli dengan kenaikan harga barang dan lebih menganggapnya sebagai sesuatu yang normal, tetapi setelah Najib dikangkungkan, barulah mereka yang bergelar pemimpin ini sedar daripada khayal dan lena yang mungkin disebabkan kerana minum terlalu banyak air ketum.

Barulah ditubuhkan jawatankuasa itu dan jawatankuasa ini untuk memantau kenaikan harga barang. Pemuda UMNO pula segera menubuhkan skuad pemantau harga barangnya di seluruh negara bagi menyampaikan maklumat kepada kerajaan mengenai peniaga yang menaikkan harga barang sesuka hati.

Dua hari lalu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengetuai pergerakan itu turun padang melakukan tinjauan di Pasar Borong Selayang untuk melihat sendiri kenaikan harga barang dan kesannya kepada rakyat. Sebagai susulannya, Pemuda UMNO WP pula melakukan perkara yang sama yang dengan melawat Pasar Chow Kit sehari selepas itu.

Hari ini pula, Muhyiddin Yassin yang sebelum ini diberi amanah oleh kabinet mengetuai Jawatankuasa Memantau Kenaikan Harga Barang, turut melakukan lawatan turun padang dengan meninjau empat tempat sekaligus iaitu Pasar Harian Selayang, Pasaraya NSK di Selayang, sebuah mini market di Greenwood serta sebuah restoran di Sri Gombak untuk melihat sendiri kenaikan harga barang dan kesannya kepada rakyat. Dalam program turun padang ini, Muhyiddin turut diiringi oleh dua lagi menteri ialah Hasan Malek dan Ismail Sabri Yaakob.

Beberapa pemimpin lain juga mulai mengeluarkan kenyataan dengan menubuhkan pasukan untuk memantau kenaikan harga barang di kawasan masing-masing atau menyampaikan maklumat mengenai tindakan peniaga yang menaikkan harga barang secara sesuka hati.

Mahu atau tidak, terjaganya semua mereka ini daripada mimpi dan segera melakukan kerja turun padang adalah kesan daripada Najib dikangkungkan. Hanya setelah Najib dikangkungkan barulah mereka ini sedar bahawa kenaikan harga barang dan beban kos sara hidup yang kian meningkat adalah rungutan hampir keseluruhan rakyat yang berpendapatan rendah serta sederhana. Hanya setelah dikangkungkan juga, barulah Najib dan semua menteri kabinet faham suara kemarahan rakyat.

Jika tidak kerana episod kangkung ini, Najib dah semua menteri masih lena diulit mimpi dan bercakap dalam mempertahankan kenaikan harga barang pula seolah-olah seorang yang sedang khayal kerana meminum terlalu banyak air ketum. Langsung tidak menampakkan mereka itu menyebelahi rakyat sedangkan ketika memerlukan undi dan sokongan, rakyatlah yang sering dipuji dan diberi sanjungan. Tetapi setelah dapat jadi menteri, semua kesalahan dibebankan kepada rakyat, bahkan janji mendahulukan rakyat tidak ubah janji seorang kasanova saja layaknya.

Kepada penggiat media sosial yang mencetuskan idea mengangkungkan Najib sehingga ia menjadi fenomena antarabangsa dan kemudian menyedarkan pimpinan kerajaan daripada lena dek khayal air ketum, rakyat tentunya amat terhutang budi kepada mereka itu. Tanpa mereka dan jika Najib tidak dikangkungkan, tidak pernah Muhyiddin melakukan empat lawatan hanya dalam satu pagi.

Walaupun melakukan lawatan turun padang ke pasar-pasar belum tentu menghasilkan sesuatu yang positif dari segi penurunan harga barang, melainkan ada keberanian di tangan kerajaan untuk segera bertindak berdasarkan kuasa sebagai sebuah kerajaan, sekurang-kurangnya nampak jugalah inisiatif mahu turun ke bawah dan mendapatkan lebih maklumat.

Itulah hebatnya penangan kangkung. (SH 18/01/2014)

Friday 17 January 2014

Rupa-rupanya Najib Pun Dua Kali Lima Juga


Walaupun isu kangkung sudah mulai sejuk dan basi sejak diperkatakan hampir seminggu lalu yang kesan ketaranya menjadikan kedudukan Najib hampir lunyai dipermain dan dipersendakan oleh pemain media sosial pro PR, tetapi hanya baru semalam Perdana Menteri sendiri menjelaskan mengapa kangkung dipilih sebagai contoh dalam ucapannya.

Najib berkata, kangkung menjadi rujukannya bukan saja kerana ia kesukaannya, malah juga oleh sebahagian besar rakyat negara ini, namun jika menggunakan burung puyuh misalnya, hanya orang tertentu saja yang memakannya.

Sehubungan itu, kata beliau, penggunaan kangkung itu tidak seharusnya dipersendakan kerana contoh itu menepati prinsip penawaran dan permintaan yang menyebabkan harganya naik atau turun di pasaran.

Apa yang menjadi persoalan ialah kenapa baru sekarang Najib membuka mulut dan memberi penjelasan mengenainya? Kenapa tidak awal-awal lagi sedangkan dalam dunia langit terbuka sekarang, semua perkara sudah bergerak laju dan pantas.

Sebelum ini, apabila timbul isu kangkung yang dilihat begitu mengaibkan Perdana Menteri sehingga program bantuan banjir yang dilakukannya tidak diperkatakan lagi, ramai yang menyalahkan jentera maya milik UMNO yang dilihat begitu lembab dan tidak cekap dalam menjalankan tugas mereka.

Dengan membiarkan isu itu sarat dipermainkan sementara jentera maya pro UMNO tidak bertindak balas, ketempangan UMNO dalam hal ini amat ketara sekali. Ia seolah-olah memberi gambaran bahawa kalau dalam isu kangkung pun, mereka sudah patah kaki dan hilang upaya untuk meneruskan perjuangan, bagaimana untuk menghadapi pilihanraya nanti yang tentunya akan timbul isu-isu lebih rumit dan mencabar lagi.

Dalam masa yang sama, pegawai yang bertanggungjawab dalam hal ehwal media di JPM juga turut dipersalahkan kerana dilihat telah gagal dalam fungsinya berikutan isu kangkung ini. Tidak ada sebarang usaha untuk menjawab, memberi penjelasan atau menyerang balas daripada pihak JPM sendiri.

Ketika itu, sementara Najib sudah terperosok dan lunyai dipersendakan, para pegawai dan penasihatnya pula seolah-olah tidak tahu berbuat apa-apa untuk mempertahankan bos mereka.

Tetapi sekarang semuanya sudah terjawab. Najib sendiri rupa-rupanya mengambil masa hampir seminggu untuk mendapat ilham bagi menjawab dan memberi penjelasan mengenai contoh kangkung yang digunakan dalam ucapannya itu.

Penjelasan yang lambat dan terlewat ini sudah tidak memberi apa-apa makna lagi dalam memperbaiki kerosakan persepsi yang telah pun berlaku. Semuanya sudah terlambat dan tidak berguna lagi.

Rupa-rupanya tidaklah boleh dipersalahkan seratus-peratus jentera maya, pegawai di JPM, para pemimpin UMNO yang tidak bangun membela Najib atau sesiapa saja kerana Najib sendiri pun begitu lambat bertindak balas mengenainya. Lebih-lebih lagi jentera maya pro UMNO juga sedang menghadapi krisis sekarang ini berikutan kemarahan sebahagian daripadanya yang merasakan mereka tidak lagi dipedulikan oleh sejak berakhirnya PRU 13 lalu.

Kalau sudah Najib sendiri mempamerkan dirinya sebagai pemimpin yang begitu lambat dan perlahan, orang dibawahnya tentulah jauh lebih lembab lagi. (SH 17/01/2014)

Wednesday 15 January 2014

Tarik Balik Saman Bukti UMNO Amal Demokrasi Sebenar, Demikian Hujah Kangkung Razali Ibrahim


Dalam mingggu ini UMNO telah menarik balik dua kes saman mahkamahnya. Yang pertama, saman terhadap Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berhubung isu Lahad Datu dan yang kedua, saman terhadap Setiausaha Agung Pas, Mustaffa Ali berkaitan penyebaran video seks yang dikaitkan dengan pemimpin Pas tersebut.

Ramai yang meluahkan rasa kecewa dan marah atas tindakan UMNO menarik balik kedua-dua saman yang seolah-olah memperlihatkan UMNO berjiwa kecil dan pengecut dalam menegakkan kebenaran dan berhujah di mahkamah.

Saman-saman sudah menjadi perkara biasa sekarang ini dan pemimpin PR juga sering mengemukakan saman terhadap UMNO, pemimpinnya atau akhbar yang dimiliki UMNO. Tetapi dalam setiap saman yang mereka failkan, mereka akan bertahan dengan pendirian yang dipegang sampai ke titisan darah yang terakhir.

Sementara banyak kes yang dimenangi oleh mereka, namun jika kalah pula, mereka akan merayu lagi ke peringkat mahkamah yang lebih tinggi. Semua ini memperlihatkan kekentalan jiwa perjuangan dalam menegakkan kebenaran.

Apabila UMNO menarik balik kedua-dua saman itu, bukan saja ramai yang marah dan kecewa malah melihat ianya sebagai tanda UMNO sudah semakin luntur jiwa perjuangannya, sedangkan sebelum ini begitu berdegar-degar dan bersemangat memfailkan kes di mahkamah.

Bagaimanapun bagi Ahli MT UMNO yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Razali Ibrahim tindakan menarik balik saman itu membuktikan UMNO mengamalkan demokrasi sebenar.

Malah dalam hujahnya, beliau berkata, kedua-dua pemimpin PKR dan Pas yang ditarik balik samannya itu sepatutnya malu dengan sikap keterbukaan dan pemaaf yang diamalkan oleh UMNO.

Hahahaha...masuk akalkah alasan Razali ini?

Dalam menegakkan perjuangan dan kebenaran, apatah sebagai parti politik yang masing-masing sedang berusaha meraih sokongan dah kepercayaan rakyat, hujah beliau ini bukan saja dangkal dan tidak masuk akal, malah kelihaan amat lembik seperti kangkung yang baru direbus.

Menarik balik saman terhadap parti lawan lebih memperlihatkan sikap pengecut, berjiwa kecil dan tidak yakin dengan kebenaran yang sebelum ini mahu dipertahankan. Ini jelas merupakan tindakan yang merendahkan lagi martabat UMNO dan menjadikan ia semakin kurang diyakini oleh penyokongnya sendiri.

Pihak lawan dan rakyat pula lebih melihat sebagai kebenaran telah berpihak kepada Tian Chua dan Mustaffa Ali. Ia juga sekaligus akan menjadikan PKR dan Pas lebih dipandang tinggi oleh rakyat.

Kepada Razali, beliau sepatutnya berani menyuarakan bantahan terhadap tindakan UMNO menarik balik saman itu kerana itulah sebenarnya keluh kesah dan rungutan ahli-ahli di peringkat akar umbi. Tindakan memuji langkah menarik balik saman itu hanya membuktikan hujahnya sekadar bertaraf kangkung saja.

Selepas Najib dikangkungkan, rupa-rupanya ada lagi yang memilih untuk menjadi kangkung dalam UMNO. (SH 15/01/2014)

Najib Dikangkungkan Lagi, Kali Ini Adiknya Sendiri Mengingatkannya Tentang Jimat-Cermat


Selepas Najib Rasak melalui episod yang memalukan dan menjadi bahan persendaan sehingga ke peringkat antarabangsa berkaitan penurunan harga sayur kangkung, di waktu yang sama beliau juga menerima tamparan apabila adiknya, Nazir Razak yang merupakan CEO CIMB Bank, telah menulis satu rencana untuk memperingati pemergian ayahnya, Allahyarham Tun Razak tetapi turut mengandungi beberapa peringatan yang ditujukan kepada abangnya yang sedang memimpin negara ketika ini.

Dalam rencana yang ditulis sempena 38 tahun pemergian Tun Razak, selain beliau menceritakan tentang ayahnya yang banyak berjasa kepada bangsa dan negara, Nazir juga menceritakan tentang sikap jimat cermatnya dalam mengurus wang negara di mana akan memastikan beliau mengeluarkan wang daripada poketnya sendiri untuk ahli keluarga yang ikut serta ketika ke luar negara.

Tidak itu saja, diceritakan juga bagaimana ketika Tun Razak mendapat rawatan kali terakhirnya di London, beliau tidak membenarkan isterinya, Tun Rahah ikut sama berikutan kekurangan biaya serta kebimbangan tentang masalah kewangan yang mungkin timbul setelah pemergiannya nanti. Tun Rahah hanya dibenarkan ke London tidak lama selepas itu, itu pun selepas kabinet mempertimbangkan kewajarannya untuk bersama-sama dengan Tun Razak yang sedang menerima rawatan penyakit leukimia yang sedang dihadapinya.

Nazir juga turut bercerita tentang permintaannya bersama adik-beradiknya yang lain agar dibina kolam renang di kediaman rasmi Perdana Menteri ketika itu iaitu Seri Taman tetapi telah ditolak oleh ayahnya kerana tidak mahu wang rakyat dibelanjakan sewenang-wenangnya untuk kepentingan keluarganya sendiri.

Walaupun tulisan Nazir ini adalah ditujukan untuk memperingati bapanya, tetapi apabila beliau menulis sama tentang sikap jimat-cermat dan penggunaan wang rakyat yang ketat untuk ahli keluarga, tidak dapat tidak, beliau sebenarnya sedang menujukan juga tulisannya itu kepada abangnya, Najib Razak, kakak iparnya, Rosmah Mansor serta anak-anak Perdana Menteri.

Ini berikutan Najib ketika ini sedang dipertikaikan daripada segenap sudut mengenai kemewahan, pemborosan, penggunaan wang rakyat sesuka hati dan mudah tunduk kepada kehendak ahli keluarganya dalam mengurus negara sehingga bukan saja menyebabkan bertambah suburnya kebencian rakyat, malah menyebabkan hutang negara terus menimbun.

Nazir yang tetap mempunyai hubungan mesra dengan Najib tetapi difahamkan tidak mempunyai hubungan baik dengan Rosmah Mansor, mungkin tidak mempunyai cara untuk memberi nasihat dan pandangan kepada abangnya supaya dalam menyanjung jasa Tun Razak, apa yang seharusnya diteladani ialah mengikuti juga segala sikap baik, berjimat cermat dan berhemah ayah mereka dalam mengurus wang rakyat.

Oleh itu, sempena 38 tahun pemergian bapanya, Nazir telah menggunakan peluang tersebut bukan saja untuk memperingatI pemergian bapanya, tetapi secara tidak langsung memberi pesanan kepada abangnya yang ketika ini sedang berhadapan dengan pelbagai kemelut dalam menguruskan negara.

Jika seorang abang menegur dan memberi nasihat kepada seorang adik mungkin boleh dianggap sebagai perkara biasa tetapi apabila seorang adik bongsu mengambil keputusan memberi nasihat kepada abang sulungnya, ini menandakan pada penilaian Nazir, kepimpinan abangnya sudah berada di tahap teruk dan kronik serta perlu diperingatkan.

Selain rakyat sudah banyak kali mempertikaikan tentang sikap boros dan mewah Najib sekeluarga walaupun sudah banyak kali didedahkan, malahan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad juga juga menasihatkan kerajaan agar menjimatkan kos dan bukannya menaikkan harga barang, namun semua itu tidak pernah diambil peduli oleh Najib.

Dalam hal ini, Nazir mungkin masih mempunyai simpati kepada abangnya, lalu mengambil peluang untuk turut memberi nasihat secara tidak langsung. Tentunya tidak ada maksud lain apabila Nazir memperkatakan tentang sikap jimat cermat dan belanjawan berhemah Tun Razak melainkan untuk memperingati abangnya kerana Najiblah yang sedang memimpin negara ketika ini.

Lagi pula, sebelum ini Nazir tidak pernah menulis apa-apa rencana tentang Tun Razak walaupun beliau juga berpeluang berbuat demikian pada tahun lalu atau tahun-tahun sebelumnya. Beliau memilih tahun ini untuk menulis tentulah ada kaitan dengan kepimpinan Najib yang boros dan sedang dipertikaikan oleh hampir semua lapisan rakyat.

Walaupun tindakan Nazir ini seperti mengangkungkan abangnya sendiri yang sudah cukup sarat dengan pelbagai kecaman, cacian, dijadikan bahan jenaka dan sebagainya, hakikatnya Nazir telah bersikap wajar dan turut bersikap pro rakyat dalam hal ehwal yang melibatkan penggunaan wang negara.

Atas keberanian dan kewarasannya, rakyat Malaysia harus memberi sekalung tahniah kepada Nazir Razak yang ternyaa lebih memahami prinsip perjungan Tun Razak berbanding abangnya, Najib. (SH 15/01/2014)

Tuesday 14 January 2014

Apabila Najib Dikangkungkan, Jentera Maya UMNO Langsung Tak Bermaya


Sejak semalam laman sosial sesak dengan perkataan kangkung dan kaitannya dengan Perdana Menteri, Najib Razak. Hanya kerana Najib mahu mempertahankan kenaikan harga barang yang tidak semuanya berpunca daripada kerajaan tetapi juga disebabkan faktor lain seperti cuaca dan sebagainya dan kemudian mengambil harga sayur kangkung sebagai contohnya telah menyebabkan beliau dikaitkan dengan pelbagai perkara berkaitan kangkung.

Ini kerana contoh kangkung yang diambil oleh Najib itu memang agak kurang tepat untuk menggambarkan penurunan harga barang berikutan di kampung-kampung, sayur kangkung boleh diperolehi secara percuma di tepi-tepi parit di kebanyakan rumah.

Apa yang menjadi persoalan rakyat mengenai kenaikan harga barang ini ialah berkaitan keputusan kerajaan seperti menaikkan harga minyak, menghapuskan subsidi gula dan kenaikan tarif letrik sehingga dengannya telah menyebsbkan banyak barang-barang keperluan seharian turut meningkat harganya.

Tetapi kenaikan yang berpunca daripada tindakan kerajaan ini tidak dijawab oleh Najib, sebaliknya contoh kangkung yang diambilnya juga langsung tidak kena. Lantaran itu, Najib bukan saja dikangkungkan, malah digelar Perdana Menteri kangkung dan dikaitkan dengan pelbagai perkara lain berkaitan kangkung.

Apabila Najib diserang tentera siber atau jentera maya PR berkaitah perkara ini, satu perkara yang paling nyata ialah betapa berkesan dan ampuhnya mereka dalam melakukan kerja ini. Serangan yang dilakukan bagaikan bertali arus dan tidak henti-henti sehingga masyarakat umum juga dapat merasakan bahawa Najib telah tidak bertindak bijak dengan mengambil kangkung sebagai contoh dalam ucapannya.

Dalam masa yang sama, berikutan serangan bertubi-tubi dan bertali arus ini, Najib akhirnya telah menjadi bahan jenaka dan ketawa masyarakat.

Lebih malang lagi, di sebalik serangan yang dilakukan terhadap Najib ini, jentera maya UMNO kelihatan langsung tidak berperanan dalam mempertahankan Perdana Menteri. Mereka seolah-olah sudah lumpuh dan tutup kedai.

Sementera Najib, Muhyiddin, Zahid Hamidi dan lain-lain pemimpin kanan UMNO berulang kali menyatakan kepentingan peranan media baru dalam tahun-tahun mendatang dan dalam pilihanraya 2018 nanti, tentera siber atau jentera maya UMNO seolah-olah tidak wujud langsung dalam persaingan yang sedang berlaku ini. Ketika Najib dikangkungkan adalah contoh terbaik bagaimana jentera maya UMNO langsung tidak bermaya dan seolah-olah tidak wujud saja layaknya.

Langsung tidak ada yang mempertahan dan membela Najib dalam isu ini. Mereka hanya membiarkan saja Najib dilanyak dan dilenyek oleh tentera siber pro pembangkang. Memang dalam hal ini jentera siber pembangkang begitu berjaya serta kelihatan begitu komited dan bersungguh-sungguh dalam menjalankan peranan menggugat keyakinan rakyat terhadap Najib, UMNO dan kerajaan.

Ahmad Maslan yang mengetuai jentera penerangan UMNO juga tidak berperanan memberi penerangan dan lebih rela Najib dikangkungkan begitu saja. Di manakah jentera beliau dalam hal ini?

Jentera maya di pejabat Perdana Menteri yang dilaporkan mempunyai bajet besar dan memiliki segala kemudahan juga nampaknya gagal menyaingi kehebatan pejuang maya PR yang berjuang tanpa wang dan lebih kerana fisabilillah semata-mata.

Begitu juga biro Media Baru, Pemuda UMNO turut disangsikan peranannya. Langsung tidak terlihat kelibat mereka dalam menyerang balas apa yang dilakukan oleh jentera siber pembangkang terhadap Najib.

Di kalangan pemimpin UMNO pula, daripada sekian banyak yang aktif dalam media sosial, hanya Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang tampil mempertahankan dan membela Najib. Yang lain-lain, sama ada tiada keupayaan untuk menjawab, merasakan tidak penting membela Najib atau mereka tidak terfikir untuk menjawabnya tetapi semua ini menampakkan kelemahan yang ketara yang seolah-olah Najib hanya bersendirian dan tidak dibantu dalam mempertahankan dirinya.

Jika dalam hal sekecil kangkung ini pun, jentera siber UMNO sudah lumpuh dalam perjuangannya, sudah tentulah dalam hal-hal yang lebih besar atau ketika mahu mempertahankan UMNO dan BN dalam pilihanraya 2018 nanti, ia akan menjadi lebih parah lagi.

Oleh itu, jika keadaan ini berterusan, bukan saja Najib akan terus dikangkung atau dibayamkan di masa-masa akan datang, bahkan zaman gelap UMNO dan BN sudah boleh dibayangkan dalam pilihanraya 2018 nanti. Ini kerana menjelang PRU 14, semakin ramai jumlah pengundi yang bergantung kepada maklumat di internet dan laman sosial untuk mengikuti perkembangan yang berlaku dalam negara. (SH 14/01/2014)

Sunday 12 January 2014

Mana Satu Pilihan Najib - Kembalikan ISA, Beri Mahathir Kuasa, Rombak Kabinet Atau Undur Diri?


Cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad agar Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA dikembalikan bagi menangani kumpulan ekstrem yang mungkin menggugat kestabilan negara, bukan saja mengundang pro dan kontra terhadap keperluan akta tersebut, sebaliknya turut menyeret idea agar beliau dikembalikan dalam kabinet bagi membantu kepimpinan Najib Razak yang dianggap terlalu lemah ketika ini.

Bekas Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin yang melontarkan idea tersebut di blognya berkata, pengalaman lebih 20 tahun Mahathir dalam memimpin negara dan mengendalikan soal keselamatan dengan jayanya, tidak seharusnya dibazirkan begitu saja oleh Najib.

Katanya, cadangan ini bukannya untuk mengembalikan Mahathir kepada kedudukan kerusi Perdana Menteri tetapi perlu diberkan kuasa dalam kabinet untuk membantu Perdana Menteri dan kerajaan dalam menangani isu keselamatan, perkauman, agama dah ekonomi yang kian meruncing sekarang ini.

Sebelum ini Mahathir telah mencadangkan agar ISA dikembalikan semula bagi menangani pelbagai isu berkaitan keselamatan, perkauman dan agama yang timbul satu persatu sejak kebelakangan ini. Cadangan itu telah mendapat sokongan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Kumpulan konservatif yang masih merupakan majoriti dalam UMNO juga jelas berdiri teguh di belakang Mahathir berkaitan ISA ini dan mereka merasakan salah sebab lemahnya Najib ialah kerana tindakannya menghapuskan ISA pada 2011 dahulu.

Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun dengan pantas menolak keperluan untuk menghidupkan semula ISA ini. Walaupun sebelum ini beliau agak bertegas dan tidak bersetuju dengan cadangan Najib mahu menghapuskan Akta Hasutan dan Ordinan Darurat, dalam konteks ISA ini Zahid nampaknya memilih untuk berdiri di belakang transformasi Najib.

Sama ada pendirian itu kerana beliau benar-benar tidak setuju ISA dikembalikan atau kerana ketika ini pemilihan UMNO sudah berlalu dan tidak perlu lagi menunjuk-nunjuk sikap tegas, hanya beliaulah yang mengetahui isi hatinya yang sebenar.

Pihak pembangkang dan rakyat yang menyanjung hak asasi serta kebebasan bersuara sememangnya bersetuju apabila Najib bertindak menghapuskan ISA, namun tindakan itu tidak memberi impak besar daripada segi sokongan kepada kerajaan, terutama golongan terpelajar, pengundi muda, pengundi bandar dan seumpamanya.

Hakikat inilah yang menyebabkan golongan konservatif dalam UMNO merasakan tindakan Najib menghapuskan ISA adalah suatu pertimbangan yang salah kerana sementara sokongan rakyat tidak bertambah, kerajaan menjadi semakin tidak bertaring dalam menguruskan isu-isu kritikal.

Sementara cadangan Mahathir agar ISA dikembalikan terus mencetuskan reaksi yang berbagai dan mungkin menyebabkan sokongan terhadap kepimpinan Najib kian merosot, cadangan Zainuddin Maidin agar Mahathir diberikan kuasa dalam kabinet untuk membantu Najib dan kerajaan, jelas merupakan satu lagi terjahan yang bakal menyebabkan kedudukan Perdana Menteri semakin terhimpit ke dinding.

Sebagai bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Zainudin Maidin yang lebih dikenali sebagai Zam seperti sedang mengiringi bekas Ketua Pengarang NST, Kadir Jasin yang sudah sekian lama bersikap lantang dan kritikal terhadap kepimpinan Najib.

Dengan idea Zam tersebut, bukan saja mengesahkan Najib sebagai Perdana Menteri yang paling lemah tetapi juga membuktikan seluruh anggota kabinet seolah-olah sudah lumpuh dan tidak mampu lagi menyumbang sebarang kebaikan kepada negara. Ia secara tidak langsung juga membenarkan segala gelaran yang diberikan kepada sesetengah menteri seperti cap ayam, cap sardin dan sebagainya.

Di sebalik cadangan mengenai ISA, apa pilihan Najib sebenarnya?

Mahukah beliau mengembalikan semula ISA sedangkan ia umpama menguburkan program transformasinya sendiri? Atau beliau terus kekal agar ISA dihapuskan dan dalam masa yang sama rela sokongan terhadapnya, terutama daripada golongan konservatif semakin berkurangan?

Atau mungkinkah beliau bersetuju dengan cadangan Zainuddin untuk memberi tempat dan kuasa semula kepada Mahathir walaupun ianya bermakna beliau secara sedar mengakui kelemahan dan ketidak-upayaan anggota kabinetnya dalam mengurus negara selama ini sehingga Mahathir yang sudah lebih 10 tahun bersara perlu dibawa semula dalam kerajaan?

Pilihan lain yang boleh dibuat oleh Najib ialah segera merombak kabinetnya dengan mengeluarkan menteri-menteri cap ayam dan cap sardin serta menggantikannya dengan pemimpin lain yang lebih berwibawa dan berkelayakan. Pilihan ini mungkin mampu memberi nafas baru dari segi persepsi rakyat terhadap kepimpinannya dan mengelakkan kritikan yang berterusan.

Tetapi jika Najib merasakan idea Mahathir mengenai ISA dan kemudian disusuli dengan cadangan perlunya bekas Perdana Menteri itu dikembalikan dalam kabinet sebagai usaha tersusun mahu melemah dan kemudian menyingkirkannya daripada kerusi empuk Perdana Menteri, beliau mungkin boleh memilih jalan yang paling selamat iaitu mengundurkan diri secara baik dan terhormat.

Dengan trend majoriti rakyat tidak berpihak kepadanya, sokongan UMNO pula berpecah-pecah serta pelbagai isu yang kian menghimpit, adalah tidak berbaloi untuk Najib terus berlaga angin dengan Mahathir dan kumpulan yang ingin menyingkirkannya kerana kemungkinan beliau kecundang adalah lebih besar berbanding meraih kemenangan. Lagi pula, sejarah politik Najib dalam UMNO bukanlah berasaskan pertandingan dan persaingan, tetapi kerana diberi laluan dan kemenangan percuma yang sebahagian faktornya ialah kerana darah Tun Razak mengalir dalam tubuhnya.

Oleh itu, berundur diri mungkin pilihan terbaik bagi Najib dan membiarkan saja segala kekusutan yang sedang berlaku dalam negara ini diuruskan oleh pemimpin lain pula. (SH 12/01/2014)

Saturday 11 January 2014

Janganlah Sampai Penyokong Jamil Khir Buat Laporan Polis Terhadap Harussani...


Setelah semalam tersebar khabar angin mengenai perletakan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Hasan Malek sehingga sekumpulan Pemuda UMNO yang diketuai oleh anaknya sendiri membuat laporan polis kerana menganggapnya fitnah yang mengaibkan, hari ini seorang lagi menteri diminta meletakkan jawatan.

Kali ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama pula menjadi sasaran. Tetapi tidak seperti berita perletakan jawatan Hasan Malek yang dicetuskan oleh pengendali laman sosial pro UMNO, Afiq KL Town, desakan meminta Jamil Khir berundur dilakukan oleh seorang mufti iaitu, Harussani Zakaria.

Harussani yang merupakan Mufti Perak di mana sebelum ini telah menggelarkan peserta demontrasi membantah kenaikan harga barang sebagai bughah dan halal darahnya, nyata kecewa dengan pendirian Jamil Khir dalam menangani isu kalimah Allah yang sedang hangat diperkatakan sekarang, khususnya untuk bertindak terhadap pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew.

Bagi Harussani, memandangkan sudah ada keputusan daripada Mahkamah Rayuan yang melarang penggunaan nama Allah oleh penganut agama Kristian tetapi Paderi Lawrenca tetap juga berkeras mahu menggunakan kalimah itu, ia jelas suatu penghinaan dan pendirian Jamil Khir yang secara santai meminta semua pihak bertenang dan menunggu saja keputusan Mahkamah Persekutuan, langsung tidak boleh diterima sama-sekali.

Kalau beginilah pendirian seorang menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama, lebih baiklah letak jawatan saja, demikian tegas Harussani lagi.

Berbanding berita perletakan jawatan Hasan yang hanya tersebar melalui media sosial, Jamil Khir sebaliknya diminta meletakkan jawatan oleh seorang mufti. Sebagaimana Hassan dimangsakan oleh pengendali laman sosial yang pro UMNO, Jamil Khir pula mahu dipencenkan oleh mufti yang pro UMNO.

Ini bermakna, gesaan yang meminta Jamil Khir meletakkan jawatan lebih berwibawa daripada apa yang diterima oleh Hasan yang dikatakan sekadar khabar angin untuk tujuan ujikaji saja. Semogalah tidak ada penyokong Jamil Khir yang membuat laporan polis terhadap Harussani sepertimana penyokong Hasan yang terasa difitnah dan diaibkan dengan berita tidak benar itu.

Dalam masa yang sama, kumpulan pro UMNO sendiri nampaknya sudah mulai tidak puas hati dengan wibawa dan prestasi menteri-menteri kabinet pilihan Najib ini sehingga mereka bukan saja secara terbuka mendedahkan kelemahan pemimpin mereka sendiri, bahkan seperti sudah tidak dapat menahan sabar dengan akhirnya meminta meletakkan jawatan saja sebagai jalan penyelesaian yang terbaik.

Meminta pemimpin yang gagal meletakkan jawatan, sebenarnya bukanlah perkasa asing. Mahathir, Pak Lah dan Najib sering saja diminta meletakkan jawatan kerana dianggap lemah dan gagal menyelesaikan sesuatu isu. Beberapa pemimpin lain juga kerap menerima nasib yang sama. Namun biasanya, gesaan perletakan jawatan ini dilakukan oleh pihak pembangkang sebagai menunjukkan betapa lemahnya pemimpin tersebut, tetapi jika kelompok sendiri yang turut membuat gesaan serupa, ia tentulah kerana pemimpin tersebut sudah terlalu lemah dan tidak diperlukan lagi.

Dalam kes Hasan, beliau dianggap menteri yang paling tidak berwibawa dan banyak cakap merapu dalam menguruskan kementeriannya. Beberapa komen dan reaksinya mengenai kenaikan harga barang amat memualkan dan menampakkan Najib telah melakukan kesilapan melantiknya. Juga seolah-olah UMNO kering-kontang dengan pemimpin yang baik dan berwibawa.

Tindakan menyebarkan berita mengenai perletakan jawatannnya mungkin lebih bertujuan supaya beliau sedar hakikat dirinya dan tahap liabilitinya kepada UMNO dan kerajaan yang menjadi perbualan ramai ketika ini. Tindakan terpuji ialah seharusnya Hasan menerima baik penyebaran khabar itu dengan berusaha memperbaiki prestasi dirinya, atau jika gagal, berundurlah secara terhormat.

Tindakan para penyokongnya, malah diketuai oleh anaknya sendiri, Adly Effendy membuat laporan polis lebih menyerlahkan kelemahan dirinya dan hanya menonjolkan kelompok manakah yang sebenarnya mahu Hasan kekal sebagai menteri kabinet.

Berbeza dengan kes Jamil Khir, beliau sebaliknya telah diminta oleh seorang mufti untuk meletakkan jawatan atas tanggapan gagal membela agama Islam, tambahan pula dengan kedudukan Jamil Khir yang berlatar-belakangkan tentera yang seharusnya mempamerkan sikap tegas dan tidak mudah berkompromi. Jika mahu dikira aib dan malu, Jamil Khir jelas lebih malu berbanding Hasan.

Sementara berita perletakan jawatan atau gesaan meletakkan jawatan adalah resam dalam dunia politik yang seharusnya diterima dengan fikiran terbuka oleh mana-mana pemimpin, adalah diharapkan juga tidak ada penyokong Jamil Khir yang membuat laporan polis terhadap Harussani semata-mata untuk mempertahankan menteri agama itu.

Apa yang seharusnya dilakukan ialah cubalah berubah sikap, menjadi pemimpin yang lebih baik dan sentiasa mempamerkan pretasi. Jika gagal berubah, cuba-cubalah memandang pintu keluar.

Dan semoga tiada juga yang menuduh Harussani turut menjadi bungah kerana cuba menjatuhkan pemimpin yang telah dipilih melalui proses pilihanraya yang sah. (SH 11/01/2014)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...