Wednesday 27 February 2013
Jika BN Menang, Najib Pun Belum Pasti Kekal Sebagai PM
Isu jawatan Perdana Menteri jika PR berjaya menawan Putrajaya kembali menjadi perbualan ramai. Jika sebelum ini Anwar sudah disebut oleh banyak pihak sebagai bakal PM daripada PR, kini seolah-olah ia belum dimuktamadkan lagi. Bakal PM ke 7 Malaysia nampaknya masih menjadi tanda-tanya. Mungkin Anwar, mungkin Haji Hadi Awang dan mungkin juga sesiapa saja. Jawatan itu nampaknya akan dibiarkan terbuka sehinggalah tiba waktunya ia diumumkan.
Bahkan dikatakan terdapat beberapa pihak dalam Pas yang mahukan Tengku Razaleigh sebagai PM berbanding Anwar Ibrahim. Nampak seperti ada perpecahan dalam Pas tetapi sebenarnya ia menunjukkan ruang untuk menyuarakan pandangan dan berbincang sentiasa terbuka dalam parti itu.
Ketika pelancaran manifesto PR baru-baru ini, isu itu bergema lagi walaupun dari segi mood dan penerimaan umum dalam PR hampir bersetuju bahawa jawatan itu memang milik Anwar Ibrahim. Tetapi Anwar sendiri cuba berahsia mengenai perkara itu dengan mengatakan ia akan diputuskan kemudian secara konsensus antara Pas, Pkr dan DAP. Ia bukan suatu masalah bagi PR, tambah Anwar lagi.
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu pula berkata, calon PM daripada PR sudah ada tetapi hanya akan diumumkan selepas keputusan pilihanraya diketahui. Sementara DAP pula berulangkali menyatakan bahawa calon PM dari PR ialah Anwar.
Sementara isu jawatan PM tidak menggugat semangat ahli dan penyokong PR untuk melakukan perubahan dalam pilihanraya akan datang, UMNO sebaliknya cuba menjadikan isu itu sebagai modal baru untuk menggugat keyakinan rakyat terhadap PR. PR dituduh tidak sepakat dalam banyak perkara, sehingga siapa bakal PM pun dikatakan gagal mencapai persefahaman.
Sejak sekian lama, PR secara umumnya sudah menerima Anwar ialah individu yang bakal mengisi jawatan PM jika mereka berjaya menumbangkan BN. Tanpa menafikan kewibawaann Haji Hadi dan tokoh-tokoh lain, tindakan PR meletakkan konsensus sebagai asas keputusan siapa bakal PM menunjukkan mereka bersikap terbuka dan matang.
Sementara itu, terdapat juga pihak dalam Pas yang mahukan calon PM mestilah datangnya daripada parti yang paling banyak memenangi kerusi dalam pilihanraya nanti. Meskipun jumlah pembahagian kerusi belum diputuskan tetapi DAP sudah membuat pengumuman bahawa mereka hanya bertanding antara 40 hingga 50 kerusi sahaja manakala selebihnya akan ditandingi oleh Pas dan Pkr.
Ini bermakna siapa bakal PM tetap Melayu Islam sama ada dari Pas atau Pkr. Ia tidak mungkin dari DAP. Soal Anwar atau Haji Hadi bukanlah persoalan besar kerana akhirnya ia akan diputuskan secara konsensus dan bersama antara ketiga-tiga parti itu. Inilah amalan PR. Ia sebenarnya sudah diamalkan PR dalam pilihanraya lalu. Khalid Ibrahim misalnya hanya diputuskan sebagai MB Selangor selepas keputusan pilihanraya diketahui dan ia tidak pernah disebut sebelum itu.
Dengan kemungkinan calon PM daripada Pas atau Pkr, Anwar atau Haji Hadi, ia secara tidak langsung berupaya merangsang kedua-dua parti untuk saling bekerja keras menumbangkan calon lawan masing-masing. Oleh kerana pilihanraya kali ini bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara PR dengan BN, menjadikan jawatan PM masih terbuka untuk diperbincangkan sebenarnya mampu menghasilkan gerak kerja yang lebih mantap dan berkualiti kepada pas dan Pkr bagi menumbangkan calon BN.
Tidak seperti BN yang mana jawatan PM diperuntukkan kepada UMNO sahaja, di dalam PR ia seperti masih terbuka kerana terdapat dua parti Melayu di dalamnya iaitu Pas dan Pkr. Walaupun jika BN menang, calon PM mesti daripada UMNO tetapi belum pasti juga Najib adalah orangnya. Jika menang cemerlang, mungkin Najib tidak tergugat tetapi jika kemenangan kurang daripada 140 kerusi, mungkin tidak sampai 24 jam selepas keputusan diumumkan, sudah timbul desakan yang mahu Najib meletak jawatan.
Oleh kerana Najib juga belum pasti kekal sebagai PM walaupun BN menang, apalah peliknya pula jika Anwar juga belum pasti menjadi PM andainya PR dapat menawan Putrajaya. Ia tidak ada beza sama-sekali. Yang penting dalam pilihanraya nanti, mereka mesti berupaya menghasilkan keputusan yang terbaik untuk parti masing-masing dan kemudian memilih siapa PM secara konsensus.
Pemilihan PM secara konsensus ini jauh lebih baik berbanding apa yang diamalkan UMNO dan BN yang dengan mudah menyingkirkan pemimpin sendiri hanya kerana keputusan prestasi buruk yang dicapai. Najib pastinya bakal mengulangi sejarah Pak Lah jika sekadar mampu memberi kemenangan "cukup makan" buat BN.
Dengan jawatan PM masih terbuka, Pas dan Pkr pastinya akan saling berlumba-lumba dan bekerja kuat bagi memastikan kemenangan calon parti masing-masing. Hanya selepas kemenangan dicapai, barulah dibincangkan siapa yang patut menjadi PM. Ia mungkin Anwar, mungkin Haji Hadi dan mungkin tokoh lain daripada itu. Namun penegasan kedua-dua parti untuk saling menjaga kepentingan Melayu dan Islam tentunya merupakan pertimbangan yang membanggakan kerana dalam mengejar kuasa, prinsip menjaga agama dan bangsa tidak sesekali diabaikan.
Barangkali itulah muslihatnya jawatan PM itu secara tiba-tiba menjadi terbuka dan hanya diputuskan setelah keputusan pilihanraya diketahui. (SH 27/02/2013)
Tuesday 26 February 2013
Bagaimana Agaknya Nasib Mahathir Jika Anwar Jadi PM?
Mahathir bersuara lagi. Terbaru beliau menyatakan bahawa Anwar akan mengamalkan nepotisme dan kronisme jika berjaya menjadi Perdana Menteri. Dengan mengambil contoh isteri dan anak Anwar yang menjadi Presiden dan Naib Presiden PKR serta bekas Setiausaha Sulitnya, Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden PKR, Mahathir sekali lagi menyerang Anwar. Tujuannya tidak lain ialah supaya rakyat tidak memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat dan Anwar tidak berjaya menjadi Perdana Menteri.
Sebelum ini sudah beberapa kali Mahathir bersuara mengenai Anwar dan Pakatan Rakyat. Pantang ada kesempatan, Mahathir pasti melibas musuh politik nombor satunya itu.
Beliau pernah mengingatkan rakyat agar jangan terlalu obses mahu menukar kerajaan kerana katanya kerajaan baru belum tentu menjanjikan kebaikan berbanding BN yang sudah banyak berjasa. Hujahnya ialah negara-negara Arab yang bertukar kerajaan, sebahagiannya masih tidak aman sehingga sekarang.
Mahathir juga pernah mengecam Anwar sebagai pembawa budaya demonstrasi kepada Malaysia. Katanya, sejak dulu Anwar sering menggunakan demonstrasi untuk mencapai cita-cita politiknya. Selain itu, Mahathir juga sering membuat pelbagai dakwaan terhadap Pas, DAP, PKR dan Pakatan Rakyat dengan pelbagai perkara lainnya. Seringnya beliau menjadikan isu kaum dan agama untuk melaga-lagakan parti-parti dalam PR dengan harapan keyakinan rakyat makin berkurangan terhadap gabungan pembangkang itu.
Pendeknya, serangan Mahathir terhadap Anwar dan PR sentiasa bertali arus dan tidak pernah ada kesudahannya. Jika mahu dikumpulkan kecamannya itu, sudah boleh dibuat buku tebal yang memerlukan beberapa hari untuk membacanya.
Namun yang jelasnya, semua kecaman dan serangan Mahathir itu menggambarkan ketakutannya BN akan tumbang dan PR akan mengambil alih Putrajaya. Yang lebih ditakutinya ialah jika Anwar berjaya menjadi Perdana Menteri akhirnya.
Daripada 28 juta rakyat Malaysia, tampaknya Mahathirlah yang paling takut jika BN tumbang dan Anwar menjadi Perdana Menteri, malah ketakutannya melebihi ketakutan Najib yang akan kehilangan jawatan Perdana Menteri atau Muhyiddin yang tidak tercapai hajat mendiami Seri Perdana andainya BN tewas dalam pilihanraya nanti.
Mungkin yang ingin dipertahannya ialah ego dan legasinya, walaupun tidak dinafikan kepentingan anak-anaknya dalam perniagaan dan politik turut menjadi keutamaannya.
Walaupun Anwar berkali-kali menyebut beliau tidak berdendam dengan Mahathir dan keinginannya menduduki Putrajaya hanyalah untuk menyelamatkan negara daripada dasar pemerintahan BN yang penuh kepincangan, rasuah dan salah guna kuasa, hakikatnya tiada jaminan keselesaan Mahathir sebagai seorang pesara tidak diusik langsung jika beliau mengambil alih kuasa. Sudah banyak contoh di beberapa negara, bekas pemimpin yang diheret ke muka pengadilan atas pelbagai kesalahan yang pernah dilakukan ketika berkuasa dulu.
Apatah lagi jika setelah menjadi PM nanti, desakan rakyat yang mahu Mahathir diadili menjadi bertambah kuat sehingga sukar Anwar menolaknya. Lebih sukar beliau menolak desakan rakyat itu andainya dengan membawa Mahathir ke muka pengadilan, mampu pula melonjakkan sokongan rakyat dan sanjungan dunia terhadapnya.
Beberapa pemimpin UMNO sendiri tidak menafikan hakikat itu. Kata mereka, meskipun sekarang Anwar mengatakan beliau tidak berdendam dengan Mahathir tetapi itu bukanlah jaminan tiada sebarang tindakan akan dilakukannya terhadap bekas Perdana Menteri itu, lebih-lebih lagi apa yang dilakukan Mahathir terhadap Anwar adalah sesuatu yang dahsyat dan penuh penghinaan.
Membayangkan hakikat itulah barangkali yang membuatkan Mahathir sering terganggu lenanya. Lantaran itu, selagi terdaya, beliau akan berusaha menghalang kemaraan Anwar.
Dari sudut yang lain, jika pun tiada tindakan diambil terhadap Mahathir selepas Anwar menjadi Perdana Menteri, dengan kejayaan Anwar akhirnya menguasai Putrajaya juga, ia sudah cukup memalukan Mahathir sendiri. Ketika itu, beliau mungkin tidak bernilai lagi dan cakapnya pun tidak mahu didengari lagi. Legasinya dan pengaruhnya akan terpadam serta-merta.
Jika BN terus menang dan Najib kekal lagi sebagai Perdana Menteri, belum tentu juga Mahathir mempunyai pengaruh yang sama. Ketika itu, Najib mungkin sudah mempunyai keberanian mempamerkan belangnya sendiri sebagai pemimpin nombor satu negara dengan meletakkan orang-orangnya di beberapa posisi penting negara serta tidak lagi memperdulikan nasihat Mahathir.
Najib mungkin tidak mahu lagi terikat dan dibayangi oleh Mahathir. Dalam masa yang sama, isteri Perdana Menteri, Rosmah pastinya menjadi lebih berkuasa dan Mahathir secara automatik menjadi tidak penting lagi. Jika beberapa bulan lalu ketika Rosmah diberi penghormatan melancarkan kapal tentera laut, Gagah Samudera di mana Mahathir terpaksa berdiri di belakangnya bersama Zahid Hamidi, pemandangan seperti itu mungkin lebih kerap dapat dilihat jika Najib kekal lagi sebagai Perdana Menteri selepas pilihanraya nanti.
Mahu tidak mahu, jika Najib kekal lagi, Mahathir bukan saja akan kerap kelihatan di belakang Najib, bahkan juga kerap membiarkan Rosmah berada di depannya demi memastikan masa depan anak-anak dan keluarganya terpelihara. Dengan Najib kekal lagi sebagai Perdana Menteri, walaupun Mahathir masih relevan ketika itu tetapi darjat dan kepentingannya, baik dalam UMNO mahu pun di kalangan rakyat, pastinya mulai menurun.
Nasib Mahathir hanya lebih baik jika BN menang tipis dan perubahan kepimpinan dalam UMNO dan kerajaan menjadi suatu keperluan untuk menghadapi pilihanraya yang seterusnya. Sebagai Timbalan Perdana Menteri sekarang, Muhyiddin mungkin menjadi pilihan Mahathir untuk ditonjolkan bagi menggantikan Najib.
Dengan Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, beliau tiada pilihan selain menggunakan Mahathir untuk membantunya menguatkan UMNO dan kerajaan yang baru diambil-alihnya. Beliau akan terus bersuara dan kekal penting, baik dalam UMNO dan kerajaan. Kepentingan anak-anaknya dalam politik dan perniagaan juga akan terus terjamin.
Maka itu, untuk memastikannya terus relevan, Mahathir bukan saja tidak mahu BN tumbang dan Anwar menjadi Perdana Menteri tetapi juga tidak mahu BN menang cemerlang dan Najib kekal lagi Putrajaya. Hanya Muhyiddin akan menjadikannya kekal relevan.(SH 26/02/2013)
Monday 25 February 2013
Najib Hanya Berintergriti Jika Berani Menjawab Dakwaan Deepak Dan Bala
Minggu lalu Najib telah menandatangai ikrar intergriti pilihanraya bagi menunjukkan beliau seorang yang berintergriti dan pernyataan komitmennya membanteras rasuah khususnya menjelang pilihanraya umum akan datang. Beliau menandatangai ikrar anjuran Tranperancy International itu bersama beberapa pemimpin UMNO dan BN yang lain.
Secara umumnya ikrar intergriti pilihanraya adalah kontrak sosial sukarela kepada calon-calon PRU 13 sebagai ikrar mereka untuk mempromosi intergriti, urustadbir kerajaan yang baik, ketelusan dan akauntabiliti serta mempertahan keluhuran undang-undang.
Empat ikrar intergriti yang ditandatangani itu ialah:
1) Calon mestilah melihat prinsip kebenaran, etika dan telus termasuk tidak menerima atau memberi rasuah atau terlibat dalam apa cara perlakuan rasuah,
2) Calon mesti mempertahan dan memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat seluruhnya,
3) Calon mesti mempraktik urustadbir kerajaan yang baik dan telus,
4)Calon mesti terikat dengan undang-undang dan peraturan yang terpakai di Malaysia.
Dengan menandatangani ikrar itu, Najib cuba menunjukkan beliau seorang yang berintergriti dan bebas daripada sebarang perlakuan yang bertentangan dari segi moral serta undang-undang sebagai seorang pemimpin. Sebab itu, selepas menandatangai ikrar itu, beliau sempat menyindir pemimpin Pakatan Rakyat yang didakwanya takut menandatangani ikrar yang sama kerana cuba menyembunyikan sesuatu daripada rakyat.
Tetapi lama sebelum itu, Najib telah turut dikaitkan dengan pelbagai perkara yang menjejaskan intergritinya sebagai pemimpin. Ia meliputi dakwaan beliau campurtangan dalam pemberian kontrak tambahan LTR Ampang kepada seorang rakannya, pemberian banyak kontrak kepada tauke muda bangsa Cina, Jho Low, komisyen kapal selam yang diterima Razak Baginda, perbelanjaan mewah isteri dan keluarganya serta pelbagai lagi. Jika dibariskan satu demi dakwaan mengenainya yang pernah tersiar di pelbagai media, mungkin memakan tiga hari untuk menulisnya.
Tidak lama sebelum ini pula, muncul seorang lelaki bernama Deepak mendedahkan pelbagai perkara mengenai salahlaku Najib dan isterinya, termasuk dakwaan keluarga Najib menerima rasuah daripadanya sebanyak RM8 juta, perbelanjaan membeli barang kemas mewah untuk Rosmah serta campurtangan dalam memberi arahan kepada Bousted Holding untuk mengambil alih projek Puspahanas yang turut dikaitkan dengan Ketua Wanita UMNO Selangor, Raja Ropeeah Raja Abdullah.
Semalam pula, P Bala, penyiasat persendirian yang terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya telah kembali ke Malaysia dengan hasrat untuk mendedahkan kebenaran mengenai misteri di sebalik pembunuhan model Mongolia yang turut dikaitkan dengan Najib itu. P Bala yang disambut meriah setibanya di KLIA juga bersumpah bahawa akuan bersumpah pertamanya yang mengaitkan Najib dengan Altantuya adalah benar manakala akuan bersumpah kedua yang dipaksakan keatasnya adalah palsu.
Dalam semua dakwaan yang dihadapkan kepadanya, Najib jarang memilih untuk menjawab dan bersikap telus. Dalam kes Deepak, beliau hanya berkata ringkas, lelaki itu tidak boleh dipercayai.
Dengan kepulangan P Bala ini, tak pula apa jawapan Najib mengenainya. Mungkin beliau akan mengaitkannya dengan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat dan menyifatkannya sebagai agenda pilihanraya semata-mata.
Sebagai seorang yang telah menandatangai ikrar intergriti, itu bukanlah jawapan yang dikehendaki oleh rakyat dan pengundi. Jika benar telus dan berintergriti, Najib seharusnya tampil dengan berani menjawab segala tuduhan itu berserta dengan hujah dan bukti-buktinya. Jika dirasakan beliau dianiaya melalui dakwaan tidak benar pula, beliau sepatutnya mengheret mereka yang berkenaan ke mahkamah untuk menentukan kebenaran.
Malangnya, semua tindakan itu tidak berani diambil oleh Najib. Beliau banyak menyebut perkataan telus tetapi sikapnya tidak menunjukkan ketelusan. Beliau cuba menjadi seorang yang berintergriti sehingga sanggup menandatangani ikrar mengenainya tetapi perlakuan serta perbuataan sama sekali jauh tersasar daripadanya.
Najib seolah-olah mempunyai dua wajah yang berbeza dan tidak mempunyai perasaan malu mempamerkan dua wajahnya itu. Sementara banyak persoalan bermain di fikiran rakyat mengenai sikap dan kepimpinannya, beliau cuba menutupnya dengan menunjukkan watak lain yang seolah-olah beliau bersih daripada segala noda dan perlakuan yang tidak sewajarnya sebagai seorang pemimpin.
Untuk membuktikan ketelusan dan intergritinya,sekurang-kurangnya menjelang pilihanraya umum ini, persoalan dan dakwaan yang dibangkitkan oleh Deepak dan P Bala adalah asas untuk menguji dan menilai semula wibawanya sebagai pemimpin. Selagi tidak berani menjawab dan menunjukkan kebenaran dalam perkara itu, menandatangani sejuta ikrar intergriti pun tidak membawa makna, bukan saja saja kepada dirinya tetapi juga kepada rakyat seluruhnya.
Masih belum terlambat untuk Najib membuktikannya. Soalnya, sama ada beliau mahu menjadi seorang yang ikhlas kepada diri dan Tuhannya atau ikrar intergriti itu semata-mata agenda pilihanraya saja. (SH 25/02/2013)
Friday 22 February 2013
PI Bala Kembali Untuk Memberi Bala Kepada Najib
Najib dikhabarkan akan membubarkan Parlimen hari ini, 22 Februari atau selewat-lewatnya Isnin depan bagi membolehkan PRU 13 diadakan pada cuti persekolahan selama seminggu yang bermula 23 Mac depan. Tidak dipastikan bagaimana khabar angin ini muncul dan sebegitu ramai orang bercakap mengenainya. Tetapi sehingga ini belum ada kesahihan tentang khabar angin itu. Tidak dipastikan lagi sama ada Parlimen jadi dibubarkan atau tidak.
Namun disebalik bertiup kencangnya khabar angin mengenai tarikh pilihanraya itu, tiba-tiba muncul berita mengenai penyiasat persendirian yang membuat dua akuan bersumpah berbeza dalam kes pembunuhan Altantuya, Balasubramanian atau PI Bala yang dikhabarkan akan kembali menetap di Malaysia mulai Ahad ini setelah menjadi pelarian selama beberapa tahun di India.
Beliau bukan kembali dengan tangan kosong kali ini. Beliau kembali dengan hati dan perasaan untuk turut sama menumbangkan BN dan menjatuhkan Najib. Bala dalam emailnya kepada Malaysiakini memberitahu, selepas kembali nanti beliau akan menjelajah ke seluruh negara bagi membantu PR memenangi pilihanraya akan datang ini.
Sambil mengharapkan kepulangannya tidak menghadapi apa-apa masalah dengan Imigresen, Bala kelihatan mempunyai kesungguhan untuk bekerja keras menjatuhkan Najib yang selama ini dianggap menganiayanya dalam isu akaun bersumpah itu. Beliau mahu membalas penganiayaan itu dengan kejatuhan BN.
Mungkin dalam jelajahnya nanti, Bala akan menceritakan bagaimana beliau dipaksa menafikan akaun bersumpah pertamanya yang mengaitkan Najib dalam kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya dan kemudian membuat akaun bersumpah kedua yang menafikan pula penglibatan Najib dalam kes itu.
Tidak mustahil juga Bala akan menceritakan siapa yang ditemuinya dalam proses membuat akaun bersumpah itu, siapa yang merangka akuan tersebut, siapa yang membayarnya dan berapa jumlahnya serta pelbagai perkara berkaitan yang menjadi persoalan ramai selama ini.
Jika ini benar-benar berlaku nanti, Najib mungkin mungkin sesak nafas dibuatnya. Rambutnya pula mungkin luruh sama. Di ketika pilihanraya makin hampir dan tidak boleh ditangguh lagi, timbulnya isu-isu sebegini tentulah benar-benar menyesakkan dada Perdana Menteri.
Sebelum ini, Deepak telah membuat pelbagai siri pendedahan mengenai Najib dan Rosmah yang turut membuatkan Najib bertambah pening kepala dan dipercayai tarikh pembubaran Parlimen terus ditangguh adalah kerana munculnya isu Deepak sejak beberapa bulan lalu.
Kini selepas Deepak menyusahkan Najib, giliran Bala pula menyusahkannya. Sekali imbas, kemunculan Bala tidak jauh berbeza kesannya kepada Najib dalam menghadapi pilihanraya dan mengharapkan sokongan rakyat. Pelbagai transformasi, janji, gula-gula, pemberian BR1M dan sebagainya mungkin tidak mampu menampung kemerosotan sokongan yang bakal diterima Najib dan BN berikutan munculnya Deepak sebelum ini dan Bala pula sekarang ini.
Dengan kemunculan Bala secara tiba-tiba ini, tidak mustahil Najib akan menangguh lagi tarikh pilihanraya. Mengadakan pilihanraya di ketika semua orang masih terpukau mendengar cerita dan pendedahan Bala, mungkin merupakan tindakan sengaja menempah maut dan mengundang bala.
Dengan isu Deepak yang masih tidak terjawab, muncul pula Bala, harapan Najib untuk mempertahankan kuasa Perdana Menterinya mungkin bertambah sukar. Rakyat akan menilai Najib sebagai pemimpin yang terlalu banyak masalah peribadi dan tidak layak lagi tinggal lebih lama di Seri Perdana.
Tetapi untuk menangguh tarikh pilihanraya pula, tempohnya tidak banyak lagi. Sehingga 28 April, Parlimen mesti dibubarkan atau ia akan terbubar dengan sendirinya selepas tarikh itu.
Jika ada kuasa ajaib yang membolehkannya menangguhkan lagi tarikh pilihanraya, mungkin perkara itulah yang menjadi keutamaan Najib dalam sehari dua ini. Tetapi beliau tidak ada lampu Aladdin atau Superman yang boleh membantunya. Disisinya hanya ada Rosmah, isteri kesayangannya dan Mahathir yang mungkin boleh memberi nasihat serta bantuan.
Namun, kedua-dua mereka itu kadangkala lebih menjadi beban daripada menjadi aset kepadanya. Timbalannya, Muhyiddin pula hanya menunggu masa andainya BN menang tipis untuk memulakan silat dan menyingkirkan Najib daripada Seri Perdana.
Bala kembali dalam waktu yang sesuai untuk memberi bala kepada Najib. (SH 22/02/2013)
Anak Bekas PM Tak Semestinya Boleh Jadi Pemimpin Hebat
Dilaporkan baru-baru ini tentang penolakan beberapa ADUN Kedah tentang ura-ura mahu menjadikan Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah kiranya UMNO berjaya menawan negeri itu dalam pilihanraya akan datang. Secara terbuka mereka menyifatkan kedudukan Mukhriz sebagai anak bekas Perdana Menteri bukanlah suatu kelebihan baginya untuk mengisi jawatan itu.
Ada juga yang menyifatkan cabaran menyandang jawatan di peringkat negeri berbeza dengan Pusat dan oleh kerana Mukhriz sudah menjadi timbalan menteri sekarang, tidak semestinya beliau boleh sewenang-wenangnya dijadikan pemimpin tertinggi di peringkat negeri pula.
Ia nampaknya seperti amaran atau ancaman kepada UMNO sendiri.
Walaupun Mahathir dihormati oleh pemimpin UMNO Kedah dan jasanya sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun sentiasa dihargai, tetapi penghormatan itu tidak meleleh kepada anaknya. Secara halusnya penolakan beberapa ADUN Kedah tentang hasrat menjadikan Mukhriz sebagai bakal Menteri Besar itu pastinya menjejaskan peluang UMNO untuk merampas kembali negeri itu jika masalah ini tidak diselesaikan dengan baik.
Malah jika Mukhriz bertanding juga di kerusi DUN nanti, tidak mustahil sabotaj akan berlaku daripada kalangan UMNO sendiri yang akhirnya menyebabkan kekalahan UMNO dapat diketahui lebih awal lagi.
Selain Mukhriz, ada dua lagi anak bekas Perdana Menteri berada dalam UMNO dan kerajaan. Mereka ialah Najib dan Hishammuddin.
Najib yang kini menjadi Perdana Menteri sedang berhempas-pulas mempertahankan jawatannya. Beliau bukan saja diasak oleh pembangkang dan pengundi yang mempertikaikan kepimpinannya yang disifatkan terlalu banyak kelemahan, bahkan dalam UMNO sendiri ramai yang menolak kepimpinannya.
Beliau bukan saja dianggap tidak mewarisi ciri-ciri kepimpinan ayahnya, Tun Razak yang pernah disanjung dan dinobatkan sebagai Bapa Pembangunan Malaysia, malah juga dianggap berbeza langit dengan bumi dengan ayahnya itu.
Tidak perlu dihuraikan satu persatu kelemahan dan masalah yang dihadapi oleh Najib, semuanya sudah banyak didedahkan kepada umum melalui pelbagai media yang tidak ada satu pun berani dinafikan secara konkrit olehnya.
Begitu juga dengan seorang lagi anak bekas Perdana Menteri, Hishammuddin yang kini menjadi Menteri Dalam Negeri dan Naib Presiden UMNO. Kelemahan dan ketidakmatangan beliau dilihat begitu ketara terutama dalam isu Bersih, terlibat dalam campurtangan urusan polis sebagaimana yang didakwa oleh Musa Hassan dan ketidakyakinan rakyat yang menurun dengan mendadak terhadapnya atas pelbagai isu yang melibatkan polis, keselamatan awam, jenayah dan sebagainya.
Faktanya yang salah dalam menyerang DAP yang didakwa tidak menghantar laporan tahunan mesyuarat baru-baru ini sangatlah memalukan. Tidak wajar seorang Menteri Dalam Negeri bercakap sesuatu berdasarkan maklumat yang tidak betul dari pegawai bawahannya. Jika berlaku kes yang berkaitan keselamatan negara, tindakan beliau mengeluarkan kenyataan berdasarkan fakta yang salah itu pastinya boleh mengundang bahaya yang besar kepada negara.
Anak Hussein Onn itu dianggap terlalu banyak retorik dalam berbicara. Hujah dan cakapnya tidak pernah meyakinkan. Walaupun ayahnya seorang yang lembut ketika menjadi Perdana Menteri tetapi ketegasannya dalam memimpin negara dan UMNO diketahui oleh ramai orang yang pernah bekerja dengannya dan sering diperbualkan oleh kalangan veteran UMNO sendiri.
Hishammuddin bukan saja berbeza dengan ayahnya, bahkan dianggap sebagai Menteri Dalam Negeri yang paling lemah dalam sejarah negara. Berbanding Tun Dr Ismail, Ghazali Shafie, Musa Hitam dan lain-lainnya yang pernah menyandang jawatan itu, Hishammuddin berada di kedudukan tercorot dari segi prestasinya.
Dengan Najib yang menerima kesan penolakan paling hebat, Hishammuddin di tempat kedua dan kini menjangkit pula kepada Mukhriz, hakikat yang nyata ialah jawatan sebagai pemimpin bukanlah sesuatu yang boleh diwarisi. Sepertimana orang tua-tua dulu selalu bercakap, seorang ulama atau mufti tidak dapat menjamin anaknya juga berjaya menjadi ulama atau mufti, begitulah sebenarnya dengan kerjaya sebagai pemimpin. Ia bukan seperti harta pusaka yang boleh diwariskan turun-temurun.
Najib mungkin bernasib baik dapat menyamai pencapaian ayahnya sebagai Perdana Menteri, tetapi beliau tidak dapat menyamai wibawa, kepimpinan, kebijaksanaan, sanjungan dan penghormatan seperti ayahnya.
Hishammuddin dan Mukhriz juga mungkin mempunyai hasrat menyamai pencapaian ayah mereka masing-masing tetapi laluan tidaklah semudah yang disangkakan. Tiket sebagai anak bekas Perdana Menteri tidak menjamin karpet merah terbentang dengan sendirinya. Kedua-dua mereka juga sangat berbeza dengan ayah masing-masing yang pernah menjadi Perdana Menteri.
Bahkan kelemahan yang terpamer dalam kepimpiman Najib mungkin menjadikan laluan Hishammuddin dan Mukhriz menjadi bertambah sukar lagi. Ini kerana terbukti sudah bahawa ketiga-tiga anak bekas Perdana Menteri ini gagal menjadi sehebat ayah mereka. Najib sudah sarat dengan pertikaian, Hishammuddin dan Mukhriz pula mula terkesan perkara yang sama.
Kedudukan sebagai anak bekas Perdana Menteri bukan lagi jaminan yang mutlak untuk ahli UMNO dan rakyat menerima mereka sebagai pemimpin dengan mudah. (SH 22/02/2013)
Wednesday 20 February 2013
Setelah 22 Tahun Diabaikan, Tiba-Tiba Peneroka Felda Disayangi Mahathir
Apabila tiba-tiba Mahathir mengingatkan para peneroka Felda supaya mengingati jasa kerajaan yang mewujudkan tanah rancangan itu dan tidak menggigit tangan pihak yang membantu mereka, ramai yang ketawa kecil dengan sikap bekas Perdana Menteri itu. Nasihatnya kepada peneroka Felda itu tidak lebih menunjukkan sikap terdesaknya yang menjadi wakil tidak rasmi UMNO dan BN bagi mendapatkan undi Melayu setelah pengundi Cina menunjukkan sikap yang nyata menolak BN yang telah mendakap kuasa selama lebih 54 tahun lalu.
.
Kenapa hanya sekarang beliau ingat kepada peneroka Felda sedangkan selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri, peneroka Felda begitu jauh di hatinya? Itulah antara pertanyaan sinis ramai orang mengenai sikap Mahathir yang memberi nasihat kepada peneroka Felda itu.
Apakah nasihat Mahathir itu mahu didengari oleh para peneroka Felda sedangkan selama ini Mahathir tidak pernah memperdulikan mereka. Apabila mengambil alih kuasa Perdana Menteri pada 1981, Mahathir telah membawa keluar Malaysia daripada negara pertanian kepada negara perindustrian. Beliau memperkenalkan dasar pandang ke timur, mewujudkan industri berat, merangka pembangunan yang hebat-hebat dan sentiasa mempunyai sikap mendongak ke langit.
Dunia pertanian dinombor-duakan. Orang kampung dan luar bandar bukan lagi keutamaan. Rasanya sepanjang menjadi Perdana Menteri juga Mahathir tidak pernah menjejak ke mana-mana tanah rancangan Felda untuk bertemu dan menyelami kehidupan para peneroka. Rumput sudah dilupakan dan tidak dipandang lagi.
Tidaklah salah mengalih kepada negara industri tetapi larian Mahathir ke arah itu sehingga beliau melupakan hakikat bahawa sebahagian besar rakyat negara ini adalah orang kampung dan penduduk luar bandar yang mana peneroka Felda adalah sebahagian daripadanya. Beliau benar-benar menjadi Melayu yang lupa.
Hari ini apabila kedudukan BN cukup genting akibat penolakan rakyat, yang sebahagian besar sebab penolakan itu adalah berpunca daripada sikap Mahathir sendiri sepanjang memegang kuasa yang gemar mengamalkan sikap pecah dan perintah, tiba-tiba peneroka Felda menjadi penting kepada UMNO, BN dan Mahathir. Ketika gah berkuasa, nilai peneroka Felda dan pengundi luar bandar hanyalah sehelai kain batik dan kain pelikat saja, itupun hanya diberikan lima tahun sekali.
Undi peneroka Felda menjadi penting sehingga turut menjadi keutamaan Mahathir ialah kerana tanah rancangan Felda merangkumi 54 kawasan Parlimen yang mana dalam pilihanraya lalu, hanya dua daripadanya dimenangi oleh Pas. Undi peneroka adalah penentu dan kiranya tidak dijaga seumpama menatang minyak yang penuh, tidak mustahil daripada 54 kawasan itu, 10 atau 15 daripadanya akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.
Jika itu berlaku, habislah kuasa BN. Dengan undi bukan Melayu tidak lagi memihak kepada BN, barulah kini undi peneroka Felda menjadi penting. Mereka bukan saja dijaga dan dibelai, malah sering diberi ganjaran demi ganjaran. Hanya setelah undi Cina tidak memihak, barulah undi Melayu dianggap bernilai.
Najib memang sejak sekian lama memberi perhatian kepada Felda. Sejak Timbalan Perdana Menteri, Felda dibawah kendalian kuasanya. Namun Najib juga penuh dengan masalah yang menyebabkan undi peneroka juga berpecah. Tetapi dengan Mahathir sendiri turut memberi perhatian kepada peneroka Felda, tidak lain membuktikan ketakutan yang amat sangat dalam dirinya akan kehilangan kuasa BN dalam pilihanraya akan datang ini. Daripada 28 juta rakyat Malaysia, Mahathir barangkali menjadi orang paling takut jika BN tumbang dan hilang kuasa. Sebabnya mungkin pelbagai dan hanya beliau yang tahu punca sebenarnya.
Kalau tidak kerana takut yang amat sangat, mana mungkin Mahathir mahu mencemar duli bertemu peneroka Felda. Dunia Felda bukan mainannya. Dunia Mahathir ialah projek mega, KLCC, KLIA atau membelasah Amerika.
Itupun pertemuan Mahathir dengan peneroka Felda itu tidak diadakan di tanah rancangan di hujung gunung atau jauh di pedalaman. Sebaliknya 3000 peneroka itu diangkat ke PWTC, di dewan yang nyaman dan sejuk untuk mendengar amanat dan nasihat daripada bekas Perdana Menteri yang selama ini mengabaikan mereka.
Kata-kata dan nasihat Mahathir supaya mengenang budi dan kemudian membalasnya dengan undi, mungkin didengari dan mungkin juga hanya ibarat angin lalu kepada sebahagian peneroka. Jika peneroka tidak mahu mendengar nasihat Mahathir itu, ia bukanlah salah mereka. Ia salah Mahathir sendiri.
Pertama, kerana Mahathir selama ini telah mengabaikan peneroka Felda dan lebih gemar memberi tumpuan kepada aspek lain. Walaupun Mahathir menyebut Felda ditubuhkan oleh kerajaan tetapi peneroka tidak terasa sentuhan Mahathir ada di situ. Sentuhan Mahathir lebih banyak di Langkawi berbanding tanah rancangan Felda. Malah Mahathir lebih kerap ke Amerika berbanding tanah Felda.
Jadi, bagaimana peneroka Felda mahu mendengar nasihat orang seperti itu.
Yang keduanya, Mahathir sendiri menunjukkan contoh tidak baik dalam konsep berbudi dan membalas budi ini. Catur politiknya sehingga menduduki kerusi Perdana Menteri penuh dengan amalan pecah dan perintah, buang kawan dan menolak orang yang menaikkannya. Lebih dari itu, UMNO yang berjaya menjadikannya Perdana Menteri bukan saja sanggup "dibunuhnya" malah kemudian ditinggalkan hanya kerana tidak bersetuju dengan seorang Perdana Menteri yang dipilihnya sendiri.
Di manakah sikap mengenang budinya?
Maka itu, amatlah malang jika masih ada peneroka yang mahu mengambil nasihat Mahathir itu sebagai azimat. (SH 20/02/2013)
Monday 18 February 2013
Sekali Lagi Najib Dimalukan Oleh Pengundi Cina
Hasrat Najib menghadirkan diri di majlis sambutan Tahun Baru Cina Persatuan Dong Ziong sekurang-kurangnya mampu membawa hasil yang positif dan menggembirakan nampaknya tidak kesampaian. Meskipun beliau dilayan dengan baik dan dihidang dengan makanan yang menyelerakan, kunjungan itu tidak membawa apa-apa keuntungan kepada politik BN. Beliau pasti menyimpan kecewa dalam diam.
Najib yang hadir sejam lebih awal daripada kehadiran Anwar di majlis itu dilaporkan hanya dilayan biasa-biasa saja berbanding Anwar yang disambut lebih meriah dengan teriakan reformasi dan poster yang bertulis "Saya Sayang PM Baru Anwar". Poster itu diubahsuai daripada poster "Saya Sayang PM" yang banyak ditabur di pelbagai majlis yang dihadiri Najib sebelum ini.
Mesej dan keberanian ramai pengunjung mengangkat poster yang telah diubahsuai itu ketika menyambut kedatangan Anwar jelas membuktikan bahawa pengundi Cina kekal dengan pendirian mereka selama ini iaitu menolak BN dan mahukan perubahan dalam pilihanraya akan datang ini.
Najib menjadi Perdana Menteri yang pertama menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina Dong Ziong sejak persatuan itu ditubuhkan. Sejak ditubuhkan ia terkenal dengan sikap kritikalnya terhadap kerajaan dan tidak bersetuju dengan beberapa dasar kerajaan dalam bidang pendidikan yang melibatkan sekolah-sekolah Cina.
Selama bertahun-tahun persatuan itu dicop mirip pembangkang. Tetapi Najib cuba bersikap budiman dengan sudi hadir di majlis anjurannya sambil mengharapkan ada bekalan positif yang dapat dibawanya balik daripada majlis itu.
Harapan Najib melalui kunjungan itu berjaya menghasilkan kenangan yang manis dan menzahirkan reaksi positif daripada pengundi Cina tidak berhasil sama-sekali. Malah dengan sambutan yang lebih meriah diberikan ketika ketibaan Anwar bersama rombongannya jelas menggambarkan Anwar bersama janji perubahannya lebih melekat dihati pengundi Cina berbanding Najib.
Apa yang berlaku di majlis Dong Ziong itu sebenarnya mengesahkan lagi apa yang berlaku di majlis sambutan Tahun Baru Cina BN di Pulau Pinang beberapa hari sebelum itu di mana Najib dimalukan dengan jawapan "No" apabila beliau bertanya "Are You Ready For BN?", adalah sesuatu yang sahih dan benar. Jika ada yang meragui teriakan "No" sebanyak tiga kali di Pulau Pinang itu sebagai tidak benar-benar tulen dan mungkin ciptaan belaka, keberanian menaikkan poster "Saya Sayang PM Baru Anwar" di Kajang itu memang sesuatu yang tidak dapat disangkal lagi kebenarannya.
Berbanding peristiwa di Pulau Pinang di mana cybertrooper UMNO sibuk mempertahankan Najib disebalik insiden teriakan "No" itu sehingga sanggup mengubahsuai klip video yang sama dengan jawapan "Yes" pula dan kemudian disebarkan dua hari kemudiannya tetapi dalam peristiwa di Kajang ini, tidak ada di kalangan mereka yang menafikannya. Maknanya, mereka mengakui memang berlaku penolakan terhadap Najib di kalangan pengundi Cina di majlis itu.
Hakikat bahawa Anwar disambut lebih meriah berbanding Najib juga tidak dinafikan oleh sesiapa.
Melihat kepada apa yang berlaku itu dan bagaimana kesan penyebaran insiden itu telah mempengaruhi ramai pengundi terutama mereka yang mempunyai akses internet, Mahathir sampai berkata perlunya penapisan dilakukan terhadap berita-berita yang disiarkan di alam maya kerana kononnya kebenarannya diragui. Mahathir sebenarnya bukan bimbang berita yang tidak benar tersebar melalui internet tetapi yang membimbangkannya ialah kerana dengan adanya internet, kepalsuan tidak lagi mempunyai tempatnya.
Selama ini media tradisional seperti akhbar dan tv dilihat begitu memonopoli kerja memesongkan pemikiran rakyat melalui propaganda tidak benar dan separuh benar untuk diterima oleh rakyat. Oleh kerana rakyat tiada sumber maklumat lain, maka semua yang disajikan melalui media tradisional itu selama bertahun-tahun dianggap sebagai wahyu kebenaran walaupun sebenarnya ia mungkin berupa teriakan syaitan.
Itulah yang berlaku selama ini. Dengan adanya internet, kepalsuan tidak lagi mampu bertahan lama. Kadang-kadang sebelum kepalsuan didendangkan, kebenaran sudah pun muncul terlebih dahulu.
Melalui apa yang berlaku kepada Najib di dua majlis sambutan Tahun Baru Cina itu, tidak syak lagi bahawa pengundi Cina kekal tidak mahu bersama Najib dan BN biar bagaimana pun propaganda lain turut dihebohkan. Bukti nyata yang diperolehi melalui dunia internet bukan saja mampu menyerlahkan kebenaran, malah menjadikan kebenaran itu juga mudah disebarluaskan.
Dengan sikap konsisten pengundi Cina yang ditunjukkan itu, nasib dan masa depan MCA serta Gerakan, rakan kongsi UMNO dalam BN sudah boleh dinilai gelap atau kelabunya. Dalam masa yang sama, nasib Najib, UMNO dan BN juga sudah boleh dibaca penyudahnya. (SH 18/02/2013)
Sunday 17 February 2013
Siapa Sebenarnya Lebih Berpotensi Mencetus Huru-Hara?
Kehadiran sekumpulan mahasiswa yang menamakan diri mereka Gerakan Mahasiswa PRU 13 atau GM13 di Pekan telah mencetus kemarahan orang-orang Najib sehingga kumpulan mahasiswa itu diganggu, dimaki hamun malah ada mahasiswa perempuan yang dikasari serta ditarik tudung mereka. Walaupun kerajaan telah membuat keputusan membenarkan mahasiswa aktif dalam gerakan politik luar kampus dan bertanding dalam pilihanraya, insiden yang berlaku di Pekan iaitu kawasan pilihanraya Najib sendiri memperlihatkan bahawa UMNO dan Perdana Menteri sebenarnya masih tidak bersikap terbuka dalam perkara ini.
UMNO dan Najib sebenarnya hanya mahu mahasiswa menyokong UMNO dan kerajaan tetapi tidak bersedia membenarkan mahasiswa menyokong pihak lain.
Sebelum ini GM13 telah pun membuat keputusan untuk meletakkan calon mereka bertanding Pekan sebagai mesej bantahan golongan mahasiswa terhadap kepimpinan Najib. Blog ini sendiri beberapa bulan lalu ada menyiarkan artikel berdasarkan maklumat daripada sumber pelajar Universiti Malaysia sendiri tentang kemungkinan mahasiswa meletakkan calon menentang Najib dalam pilihanraya akan datang ini.
Kini semuanya sudah sahih. Mahasiswa akan bertanding di Pekan. Dan kehadiran mereka di Pekan baru-baru ini ialah untuk mengedarkan risalah kepada penduduk mengenai hasrat itu serta isu-isu yang melingkari kehidupan mahasiswa yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan dan Najib. Ia sebagai petanda awal keseruisan mereka untuk meletakkan calon menentang Najib di Pekan.
Malangnya kehadiran mahasiswa itu telah menimbulkan rasa kurang senang segelintir puak dalam UMNO Pekan dan mereka telah dikacau-ganggu serta dikasari. Klip video mengenainya kini tersebar luas di dunia maya dan jelas memperlihatkan bagaimana UMNO Pekan yang dipimpin oleh Najib sebenarnya tidak bersikap terbuka dengan amalan demokrasi.
Najib seolah-olah tidak boleh diganggu oleh sesiapa sedangkan beliau sebelum ini mengatakan Anwar dan PR akan mencetuskan huru-hara jika kalah pilihanraya. Beberapa pemimpin UMNO lain termasuk Mahathir juga mengeluarkan kenyataan yang serupa. Anwar dan PR dianggap tidak akan berdiam diri jika kalah pilihanraya akan datang ini akan mencetuskan keadaan yang tidak aman. Keupayaan Anwar menggerakkan kebangkitan rakyat dalam beberapa isu seperti peristiwa Baling 1974, selepas dipecat daripada kerajaan pada 1998 dan beberapa siri demonstrasi sejak kebelakangan ini telah dijadikan sandaran untuk mengaitkan Anwar dan PR dengan huru-hara yang kononnya bakal berlaku itu.
Tetapi sekarang dengan sekumpulan puak dalam UMNO Pekan cuba berlagak samseng dan mencetuskan huru-hara terhadap mahasiswa di Pekan jelas membuktikan bahawa UMNO dan Najib bukan saja tidak sedia menerima kekalahan, malah tidak sedia menghadapi tentangan sekalipun. Jika benar bersikap terbuka dan kerajaan sendiri membenarkan mahasiswa aktif dalam politik, kehadiran mahasiswa di Pekan itu seharusnya disambut dengan tangan terbuka.
Walaupun kumpulan mahasiswa yang dikasari itu terpaksa pulang tergesa-gesa ke Kuala Lumpur kerana bimbang keselamatan diri terancam tetapi mereka tetap akan kembali lagi ke kawasan itu dengan matlamat yang sudah dimuktamadkan.
Selain di Pekan, beberapa insiden ala samseng dan kacau ganggu terhadap ceramah dan program PR juga sudah banyak kali didengari dan dilaporkan sebelum ini. Selain kenderaan dirosakkan dan bas jelajah merdeka Anwar disimbah cat, beberapa insiden lain yang berupa gangguan seperti merosakkan poster dan gangguan melalui kumpulan anak muda bermotosikal turut juga berlaku sejak kebelakangan ini.
Semua ini memperlihatkan seolah-olah UMNO dan BN mula menggerakkan sesuatu jika kalah pilihanraya nanti. Mereka bukan saja tidak sedia kalah di Pekan tetapi juga tidak sedia terlepas Putrajaya. Amaran Najib sebelum ini bahawa Putrajaya akan dipertahankan dengan apa cara sekali pun adalah cerminan awal bahawa tindakan ganas dan huru-hara bakal berlaku jika mereka kalah nanti.
Tetapi untuk melindungi hasrat terlindung itu, Anwar dan PR telah dituding akan mencetuskan huru-hara walaupun hakikatnya pembangkang di negara ini telah dapat menerima kekalahan dalam pilihanraya sejak 12 kali pilihanraya yang lalu lagi. Tiap kali pembangkang kalah, tiada huru-hara yang tercetus.
Berbeza dengan UMNO dan BN, mereka telah menang 12 kali pilihanraya yang lalu tetapi kemungkinan akan kalah kali ke 13 ini. Sudah tentu kuasa yang dipegang selama 12 kali pilihanraya itu mahu dipertahankan lagi. Keseronokan terlalu lama berkuasa mungkin menyebabkan nikmat kuasa itu tidak mahu dilepaskan semudah itu.
Walaupun UMNO berhujah bahawa mereka juga sedia menerima kekalahan dan huru-hara tidak pun berlaku setelah kalah di Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan dalam pilihanraya tetapi kekalahan di di peringkat negeri dengan kekalahan di peringkat Pusat adalah berbeza. Lagi pula dalam pilihanraya lalu, kekalahan di beberapa negeri itu tidak disangka dan mereka tidak sempat merancang sesuatu. Ketika itu mereka alpa dan tidak bersedia apa-apa.
Kali ini UMNO nampaknya macam sudah bersedia. Apa yang berlaku di Pekan dan beberapa insiden kacau-ganggu terhadap PR memperlihatkan UMNO dan BN lebih berpotensi mencetuskan huru-hara berbanding PR jika kalah dalam pilihanraya nanti.
Kebimbangan UMNO Pekan akan kemungkinan Najib bakal kalah di Pekan bukannya tidak berasas. Ini kerana Najib dalam pilihanraya 1999 cuma menang tipis 241 undi, malah ada laporan mengatakan Najib sebenarnya sudah pun tewas ketika itu. Ketika suasana cemas dan kelam-kabut waktu itu, tiba-tiba dikatakan muncul beberapa karung undi pos yang akhirnya menyebabkan Najib cuma menang 241 undi saja. Cemas tapi lega akhirnya.
Meskipun sejak hampir kalah pada 1999 itu, proses penambahan pengundi baru giat dijalankan di Pekan termasuk dakwaan wujudnya beberapa perkampungan baru yang dihuni oleh rakyat asing dan Najib menang dengan puluhan ribu undi dalam pilihanraya selepas itu tetapi hakikatnya bukanlah sesuatu yang mustahil Najib boleh dikalahkan di situ.
Kacau ganggu dan tindakan ala samseng terhadap mahasiswa di Pekan baru-baru ini tidak lebih memperlihatkan kebimbangan UMNO dan BN mengenai masa depan Najib sendiri. Kuasa Najib cuba dipertahankan dengan cara menakut-nakutkan penentangnya dan sudah tentu kumpulan ini akan mencetuskan kekacauan jika Najib tewas. Jika di Pekan ia boleh berlaku, tidak mustahil ia juga boleh digerakkan di tempat-tempat lain.
Malah jika di Pekan Najib cuba dipertahankan dengan lagak ala samseng dan ugutan, kuasa Najib di Putrajaya juga boleh dipertahankan dengan kaedah yang sama. Huru-hara dan kekacauan lebih berpotensi berlaku jika BN tewas dan Najib kehilangan jawatan Perdana Menterinya. (SH 17/02/2013)
Saturday 16 February 2013
Memang Tidak Mustahil BN Boleh Menang PRU 13 Jika...
Sementara tarikh pilihanraya masih menjadi teka-teki kepada semua orang, keupayaan BN memenangi pilihanraya akan datang ini juga masih menjdi misteri. Ada yang yakin menang tetapi tidak kurang yang merasakan BN akan kecundang. Segelintir yang lain percaya hanya kemenangan tipis yang mampu dicapai BN dan Najib akan dipaksa berundur berikutan prestasi buruk itu.
Namun jika ditanya kepada Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO, keyakinannya ialah BN akan menang dua pertiga kali ini. Hujahnya ialah Najib seorang pemimpin super hebat yang sarat dengan pelbagai transformasi telah menyebabkan pengundi akan kembali memberi sokongan padu kepada BN. Woww! Bagi Ahmad Maslan, isu Rosmah, isu Altantuya, isu rasuah dan kekayaan anak isteri Najib serta pelbagai perkara yang dibangkitkan Deepak seolah-olah hanyalah isu kecil yang mampu ditutup oleh perwatakan serta kepimpinan bosnya, Najib yang super hebat itu.
Kemenangan dua pertiga sebenarnya begitu sinonim dengan BN. Pemimpin yang gagal berbuat demikian biasanya akan diterajang keluar. Tunku Abdul Rahman pada 1969 dan Pak Lah pada 2008 adalah buktinya. Mahathir pula walaupun begitu buruk kepimpinannya tetapi kerana sentiasa menang dua pertiga, telah menyebabkan kedudukannya tidak tergugat. Jika Mahathir pun gagal mendapat dua pertiga, misalnya dalam pilihanraya getir 1990 atau 1999 yang dilaluinya, tidak mustahil beliau juga tidak mampu kekal selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri.
Najib amat memahami situasi ini. Sebab itu beliau mahu menang dua pertiga. Alasannya ialah untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat dan boleh berkhidmat lebih baik kepada rakyat. Tetapi sebenarnya Najib amat takut beliau juga bakal dihalau keluar dari singgahsana UMNO jika gagal mencapai dua pertiga. Beliau dan Rosmah belum puas lagi menghuni Seri Perdana.
Untuk berkhidmat dengan baik kepada rakyat tidak memerlukan dua pertiga. Banyak negara di dunia yang kerajaannya hanya menang tipis dan kerajaan sering bertukar ganti tetapi rakyatnya tetap sejahtara dan dibela dengan baik. Great Britian tiada majoriti dua pertiga, Jepun dan Thailand pula pimpinan kerajaannya selalu bertukar tetapi rakyat mereka lebih maju dan selesa daripada kita.
Hanya Malaysia yang menggunakan hujah dua pertiga sebagai sandaran untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat walaupun hakikatnya kerajaan yang terlalu kuat dan autoktarik sebenarnya lebih cenderung menjadi gila kuasa, perasuah dan lupa diri.
Dengan pelbagai isu yang timbul telah menyebabkan penolakan rakyat makin ketara di mana-mana. Pengundi Cina nampaknya kekal mahu berubah, begitu juga pengundi muda dan mereka yang celik IT. Pautan UMNO dan BN hanya bergantung kepada golongan tua di luar bandar serta wanita dewasa saja.
Salah satu sebab Najib menangguh tarikh pilihanraya ialah kerana beliau masih was-was dengan kemenangan dua pertiga yang dikhabarkan ke telinganya. Selain Ahmad Maslan, JASA dan BTN juga dikhabarkan memberitahu Najib kemenangan dua pertiga itu boleh dicapai kali ini. Tetapi Najib nampaknya antara percaya dengan tidak dengan nyanyian itu. Beliau mungkin ada maklumat lain yang melaporkan sebaliknya.
Jika Najib sendiri yakin dengan kemenangan dua pertiga, pasti sudah lama beliau membubarkan Parlimen. Beliau tidak mungkin menunggu sehingga ke tarikh akhir seperti sekarang ini. Selain penolakan rakyat makin ketara terhadap UMNO dan BN yang terpamer di mana-mana, populariti Najib juga makin merosot hasil beberapa kajian yang dilakukan. Barangkali ini yang merisaukan Najib.
Tetapi kini terdapat laporan sebagaimana yang tersiar dalam Malaysian Insider bahawa BN boleh menang hingga 145 kerusi, suatu keputusan yang lebih baik daripada 2008 namun masih tidak melepasi garisan dua pertiga. Untuk menang dua pertiga, BN mesti menang sekurang-kurangnya 148 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.
Keyakinan memenangi 145 kerusi itu ialah bersandarkan kemampuan memenangi semula beberapa kerusi yang BN tewas dalam 2008 lalu seperti Parit Buntar, Bukit Gantang dan Kuala Selangor.
Mungkin ada yang setuju dan ramai pula yang tidak setuju dengan laporan 145 kerusi yang mampu dicapai BN itu. Walaupun penolakan rakyat dilihat makin ketara dan angin perubahan juga bertiup di mana-mana, hakikatnya laporan yang mengatakan BN masih boleh menang sama ada tipis atau sehingga 145, sebenarnya bukanlah sesuatu yang mustahil.
Ini mengingatkan saya dengan perbualan dengan seorang bekas menteri UMNO beberapa bulan lalu. Beliau tanpa berselindung merasakan BN masih boleh menang dalam pilihanraya kali ini bersandarkan dua perkara yang masih memihak kepada BN iaitu kuasa menggunakan jentera-jentera kerajaan dan wang ringgit bertimbun yang dimilikinya.
Dengan menghadapi pilihanraya sebagai kerajaan, BN memiliki kelebihan kerana jentera kerajaan berada di pihaknya. Selain SPR, polis dan pelbagai jentera kerajaan lain yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya semasa kempen pilihanraya, BN juga memiliki jentera rangkaian media dan propaganda yang turut berpihak kepadanya seperti TV, radio, akhbar, Jabatan Penerangan, Kemas dan sebagainya.
Melalui pemilikan semua jentera ini, tidak syak lagi BN mempunyai kelebihan berbanding PR.
Kelebihan kedua yang dimiliki oleh BN ialah wang. Sebagai kerajaan yang masih berkuasa, BN lebih mudah mengumpul wang berbanding PR untuk menghadapi pilihanraya akan datang ini. Pemberian beberapa projek besar dan penswastaan kepada tokoh korporat tertentu seperti Syed Mokhtar Albukhary dipercayai oleh banyak pihak sebagai langkah untuk mengumpul dana pilihanraya bagi kepentingan BN. Tauke-tauke lain yang diberikan projek kerajaan juga pasti bersikap murah hati membalas budi kerajaan dengan turut menyumbang dana untuk BN dalam pilihanraya ini.
Dengan pelbagai projek besar yang diumumkan Najib yang melibatkan pelabur dalam dan luar negara, tidak menjadi kemusykilan dana besar mampu dihimpun BN bagi digunakan untuk memenangi pilihanraya.
Melalui kelebihan tunai itu, BN bukan saja mempunyai kelebihan mengatur pelbagai program, mempelbagai dan menguatkan jentera parti, malah juga mempunyai kelebihan untuk membeli undi. Walaupun rakyat sudah diberi BRIM RM500 dan RM250 dan bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar sekolah yang dipaksa ibubapa menerimanya, jika rakyat diberi lagi segumpal tunai menjelang hari pengundian, tidaklah mustahil kecondongan pengundi akan lebih memihak kepada BN.
Walapun rasuah dan suapan dibenci serta diharamkan oleh agama tetapi ramai juga yang tidak geli bila duit masuk ke poket. Babi yang sama haram seperti rasuah dianggap geli kerana masuk melalui tekak tetapi duit hasil babi tidak sama gelinya bagi sesetengah orang kerana ia hanya masuk melalui poket dan tidak menjejaskan tekak.
Kerana itu duit memang boleh mempengaruhi manusia dalam membuat keputusan walaupun ia rasuah dan haram disisi agama.
Bersandarkan dua faktor yang pernah disebutkan oleh bekas menteri itu dan tersebarnya laporan BN mampu menang sehingga 145 kerusi Parlimen, keupayaan BN mencapai kemenangan yang diidamkan itu bagaimanapun akhirnya terletak di tangan Najib sendiri iaitu sama ada beliau seorang yang betul-betul berani menggunakan kuasa atau sebaliknya.
Jika Najib berani dan pandai menggunakan kuasa serta memanfaatkan dua kelebihan yang dimilikinya iaitu jentera kerajaan dan wang tunai itu, tidak mustahil beliau mampu mengekalkan kuasa BN lagi dan menahan kemaraan rakyat. Masih ramai rakyat yang miskin dan bergantung kepada kerajaan mungkin memberi kelebihan atas perkara ini. Kemampuan Mahathir bertahan selama 22 tahun ialah kerana beliau pandai dan berani menggunakan kuasa, walau apa sekalipun orang bercakap mengenainya. Dunia menempelaknya pun tidak dihiraukannya.
Soalnya ialah sama ada Najib seorang yang berani dan pandai menggunakan kuasa seperti Mahathir? Tidak lama sebelum ini Mahathir pernah mengkritik Najib kerana takut menggunakan kuasa sehingga kerajaan lemah yang diwarisinya menjadi bertambah lemah hari demi hari.
Sudahkah Najib menjadi pandai dan berani menggunakan kuasa atau mungkinkah Mahathir akan mengajar beliau cara-cara menjadi berani menggunakan kuasa sepertinya? (SH 16/02/2013)
Tetapi
Wednesday 13 February 2013
Pengundi Cina Kekal Tolak BN, Najib Sudah Boleh Berkemas Keluar Dari Seri Perdana
Sambutan perayaan Tahun Baru Cina tahun ini sepatutnya menjadi perayaan yang bermakna buat Najib. Ini kerana sambutan Tahun Baru Cina tahun ini merupakan perayaan terakhir sebelum pilihanraya umum diadakan yang mana tarikh edahnya ialah 28 April depan. Setelah sambutan Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha penghujung tahun lalu, Krismas 25 Disember dan Thaipusam penghujung Januari yang lepas, Najib diramal banyak pihak akan membubarkan Parlimen selepas sambutan Tahun Baru Cina yang baru disambut beberapa hari lalu.
Selepas semua kaum menyambut hari raya masing-masing, maka sesuailah diadakan pilihanraya.
Dengan mengadakan pilihanraya selepas semua perayaan utama itu diadakan, Najib akan dilihat sebagai seorang yang bertoleransi kepada semua kaum. Ditambah dengan majoriti kaum Cina memperlihatkan sikap menolak BN, dengan mengadakan pilihanraya selepas perayaan mereka, Najib juga akan dilihat sebagai seorang pemimpin yang mengambil berat dan memahami perasaan kaum itu.
Sebab itu, perayaan Tahun Baru Cina kali ini Najib cuba membuat sesuatu yang luar biasa. Selain berlakon dalam sebuah filem iklan sempena sambutan Tahun Baru Cina, sesuatu yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini, Najib juga cuba mengambil hati kaum Cina dengan membawa supertar Korea, Psy yang popular dengan Gangnam Stylenya untuk menghiburkan mereka pada tahun ini.
Poster dan gambar Najib berpakaian Cina juga bersepah-sepah di tiang telefon dan tiang letrik seluruh negara, untuk memperlihatkan sikapnya yang seolah-olah bersama-sama kaum itu. Ditambah dengan kulitnya yang putih dan bibirnya yang merah, sekali pandang memang Najib kelihatan seperti seorang Cina dengan berpakaian begitu.
Sebelum itu, beberapa pengumuman yang berupa sumbangan kepada sekolah dan komuniti Cina juga turut diumumkan oleh Najib setiap kali beliau mengadakan pertemuan dengan komuniti Cina. Najib memang memahami pengundi Cina agak kritikal terhadap BN dan kepimpinannya.
Dengan berlakon filem iklan yang menunjukkan beliau juga seolah-olah seorang Cina dan membawa Psy ke majlis sambutan Tahun Baru Cina yang diadakan di Pulau Pinang, Najib berasakan beliau telah melakukan sesuatu yang melebihi dari sepatutnya kepada kaum Cina dan seharusnya semua yang dilakukannya itu segera dibalas dengan sokongan terbuka kepada BN dalam pilihanraya umum akan datang ini.
Sebab itu, di majlis Tahun Baru Cina itu, Najib tanpa segan silu meminta sokongan daripada kaum Cina dengan bertanya sebanyak empat kali "Are You Ready For BN?" kepada mereka yang hadir. Malangnya beliau telah diberikan jawapan "No" oleh mereka yang hadir sambil ada yang tertawa terhadap ketidakcerdikan Najib bertanyakan soalan seperti itu.
Sesuatu yang amat memalukan telah berlaku kepada Najib selaku Perdana Menteri dan tidak pernah dialami oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.
Ternyata Najib telah salah perkiraan dalam membaca fikiran dan hati nurani kaum Cina. Apakah Najib merasakan bahawa kaum Cina begitu mudah dibeli dengan propaganda murahan seperti yang dilakukannya sejak menjadi Perdana Menteri empat tahun lalu. Memang tidak salah mengambil hati kaum Cina dengan apa apa cara sekali pun, termasuk menabur janji, memberi gula-gula dan membawa bintang pop Korea, Psy untuk menghiburkan mereka tetapi beliau tidak harus melupakan masalah pokok yang menghantui masyarakat Cina selama ini.
Selain isu ekonomi yang gagal dibangunkan oleh Najib, isu rasuah, pentadbiran yang bersih, pelbagai skandal yang membelit diri dan keluarganya adalah antara perkara pokok yang tidak menyenangkan majoriti pengundi Cina terhadap kepimpinan beliau dan kerajaan sekarang. Sikapnya yang berdiam diri terhadap pelbagai isu yang timbul satu demi satu, baik yang dikaitkan secara langsung dengan dirinya mahupun tidak, menambahkan lagi kesangsian mereka terhadap beliau.
Sikap penolakan pengundi Cina memang mempunyai asas yang harus dipuji. Mereka ingin menukar kerajaan supaya akhirnya akan muncul pemimpin serta kerajaan yang baik dan sentiasa mengutamakan rakyat. Pengundi Cina secara umumnya menolak pemberian yang hanya dilakukan di saat-saat akhir seperti yang dilakukan Najib.
Dengan Najib sendiri mendengar jawapan "No" juga sebanyak empat kali daripada masyarakat Cina Pulau Pinang apabila beliau meminta sokongan daripada mereka, ia adalah isyarat yang jelas mengenai pola pemikiran pengundi Cina dalam pilihanraya akan datang ini. Ia juga adalah gambaran mengenai trend pengundi Cina di seluruh negara sebenarnya.
Dengan pilihanraya umum mesti diadakan dalam tempoh terdekat ini, signal daripada pengundi Cina yang didengari secara jelas oleh Najib sendiri dan difahami oleh semua pemimpin UMNO dan BN, hakikatnya tiada apa yang boleh dilakukan oleh Najib lagi untuk mengubah pendirian mereka.
Pengundi Cina kini secara tuntas menolak Najib dan BN. Ia bukan saja boleh didengari di Pulau Pinang tetapi nada yang serupa turut boleh dikesan di mana-mana. Tanyalah kepada mana-mana pengundi Cina kali ini, siapakah pilihan mereka. Kita pasti akan mendapat jawapan yang tidak jauh berbeza - BN semakin jauh dihati kaum Cina.
Dengan kedudukan pengundi Melayu berpecah dua, undi Cina adalah penentu di kebanyakan kawasan Parlimen dan DUN. Selama ini pun kemenangan BN dalam beberapa pilihanraya umum banyak disumbangkan oleh kedudukan pengundi Cina yang kekal setia dengan BN. Pilihanraya 2008 adalah permulaan penolakan pengundi Cina terhadap BN, dan mereka mendapat pelbagai manfaat daripadanya, malah sentiasa ditatang seperti anak emas baik oleh BN mahukan oleh PR.
Dengan sedikit perubahan saja, kaum Cina sudah mendapat pelbagai kelebihan. Sudah tentu mereka tidak teragak-agak melakukan perubahan secara total kerana yakin lebih banyak manfaat bakal diperolehi jika perubahan kerajaan di peringkat Pusat pula dapat dilakukan dalam pilihanraya kali ini.
Sebab itu sambutan Tahun Baru Cina tahun ini meninggalkan parut yang besar kepada Najib. Harapannya untuk menjadikan sambutan perayaan itu sebagai medan untuk mendapat lonjakan sokongan daripada pengundi Cina ternyata tidak menjadi, sebaliknya bakal menjadi duka yang berpanjangan.
Pelaburan jutaan ringgit membawa Psy menghiburkan kaum Cina dan kesanggupan berlakon dalam iklan akhirnya tidak membawa pulangan yang menguntungkan.
Tiada apa lagi yang boleh dilakukan oleh Najib dalam waktu yang kian singkat untuk mengubah pendirian pengundi Cina kali ini. Mereka nampaknya sudah menetapkan pendirian dan ingin berubah. Sebagaimana Islam menggalakkan berhijrah, nampaknya pengundi Cina juga memahami kebaikan berubah. Sesetengahnya sudah pun menikmati faedahnya.
Najib kini hanya mampu berserah dan berdoa. Dan sambil memikir-mikir tarikh yang sesuai untuk membubarkan Parlimen, Najib dan Rosmah bolehlah mulai berkemas apa-apa yang patut untuk meninggalkan Seri Perdana kerana jika kedudukan pengundi Cina ini tetap tidak berubah, harapan BN untuk mempertahankan Putrajaya sebenarnya sangat-sangatlah tipis. (SH 13/02/2013)
Tuesday 12 February 2013
Antara Realiti Dan Lakonan Politik Di Wangsa Maju
Ekoran tulisan beberapa hari lalu di blog ini mengenai gelora politik di Wangsa Maju antara UMNO dan MCA, rupa-rupaya terdapat perkembangan yang lebih menarik daripada itu. Ada maklumat mengatakan bahawa Shafie Abdullah yang memimpin UMNO Wangsa Maju sudah pun dimaklumkan tiada perubahan kouta pembahagian kerusi di Wilayah Persekutuan dalam pilihanraya umum akan datang ini berbanding pilihanraya 2008 lalu.
Dengan kata lain, UMNO, MCA dan Gerakan akan kekal bertanding lagi di kerusi-kerusi sama seperti yang ditandingi dalam pilihanraya lalu. Dalam pilihanraya umum lalu, MCA bertanding di Wangsa Maju dan berikutan ia tewas 150 undi kepada calon PKR, UMNO berusaha menuntut kembali kerusi itu sehingga menyebabkan pergeseran serius antara UMNO dan MCA di bahagian itu.
Memandangkan bahawa pilihanraya akan datang merupakan plilihanraya paling getir, ia dikatakan bukan masa yang sesuai untuk Najib melakukan apa-apa perubahan dari segi pembahagian kerusi kerana yang lebih utama bagi pimpinan UMNO dan BN ialah memastikan kemenangan BN terlebih dahulu.
Kiranya perubahan pembahagian kerusi turut dilakukan kali ini sedangkan Najib sendiri masih bergelut untuk mencari kemenangan, adalah dibimbangi langkah itu akan lebih memburukkan keadaan dan menambahkan gelora serta perpecahan antara komponen BN sendiri dan seterusnya merencatkan langkah ke arah kejayaan.
Pimpinan tertinggi UMNO sendiri dikhabarkan sudah memberitahu Shafie mengenai perkara itu dan meminta beliau lebih menumpukan usaha untuk memastikan kemenangan berpihak kembali kepada BN di Wangsa Maju.
Selain itu, bagi UMNO WP pula, tumpuan utamanya kali ini lebih kepada menebus kembali kerusi-kerusi di mana mereka tewas dalam pilihanraya umum lalu terutama di kerusi Lembah Pantai di mana calon yang bakal bertanding di situ ialah Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Raja Nong Chik yang juga merupakan Timbalan Pengerusi UMNO WP. Setelah Shahrizat Jalil tewas kepada Nurul Izzah dalam pilihanraya lalu, UMNO dikatakan tidak rela seorang lagi menteri tewas di Lembah Pantai.
Atas dasar itu, bagi UMNO WP, prioriti Lembah Pantai jauh lebih mustahak daripada Wangsa Maju.
Hakikatnya itulah realiti politik UMNO dan BN dalam pilihanraya umum akan datang ini. Meskipun Najib dilihat cuba melakukan pelbagai perkara untuk menawan kembali hati pengundi Cina termasuk sanggup berlakon dalam iklan Tahun Baru Cina dan membawa bintang pop Korea, Psy ke negara ini, penolakan daripada kaum itu masih jelas kelihatan. Jawapan 'No" apabila Najib bertanya Are You Ready For BN? di majlis sambutan Tahun Baru Cina di Pulau Pinang semalam jelas merupakan gambaran yang tidak menggembirakan Najib tentang kedudukan pengundi Cina.
Oleh kerana itu, Najib tidak mungkin berani mengusik apa-apa lagi berkaitan kepentingan komuniti Cina termasuk menyerahkan kerusi MCA di Wangsa Maju kepada UMNO kerana ia tentunya bakal memburukkan lagi kesan penolakan yang akan diterimanya, selain menambahkan pergeseran sesama komponen BN sendiri.
Maklumat lain pula memberitahu, oleh kerana Shafie sudah dimaklumkan bahawa tiada apa-apa perubahan kerusi di Wangsa Maju dan MCA bakal kekal bertanding lagi di situ, apa yang dilakukannya sekarang yang seolah-olah terus berjuang untuk menuntut kembali kerusi Wangsa Maju dikembalikan kepada UMNO sebenarnya hanyalah lakonan semata-mata.
Beliau dikatakan terpaksa berbuat demikian untuk mengelakkan para penyokongnya dan UMNO bahagian itu menjadi tawar hati jika beliau memberitahu MCA kekal bertanding lagi lebih awal kerana isu itulah merupakan salah satu modal perjuangan yang dijajanya sejak dulu.
Apabila tiba masanya nanti dan pengumuman calon diumumkan oleh pucuk pimpinan BN, Shafie sekurang-kurangnya boleh memberitahu bahawa beliau telah berusaa sehingga ke peringkat akhir untuk menuntut kerusi Wangsa Maju dikembalikan kepada UMNO tetapi terpaksa akur kepada perkiraan pucuk pimpinan diatas. Dan ketika itu, semua pihak dalam UMNO dan para penyokongnya diminta memusatkan perhatian kepada kemenangan BN tanpa mengira siapa pun calonnya.
Sekurang-kurangnya Shafie dapat membendung penolakan awal daripada para penyokongnya sendiri sedangkan sebenarnya beliau sudah tahu realiti sebenarnya. (SH 12/02/2013)
Saturday 9 February 2013
BN Bakal Letak Calon Payung Terjun Di Wangsa Maju
Di antara 222 kerusi Parlimen yang menjadi rebutan antara BN dan PR dalam pilihanraya umum akan datang, Wangsa Maju dikira paling unik kerana ia bukan saja bakal menyaksikan persaingan sengit antara kedua gabungan itu tetapi juga disebabkan perebutan yang tidak sudah-sudah antara UMNO dan MCA di mana masing-masing merasakan layak bertanding di kerusi tersebut.
Oleh kerana MCA telah tewas pada pilihanraya 2008 lalu dengan kekurangan 150 undi, UMNO lantas merasakan kini giliran mereka pula untuk menebus kekalahan itu. Shafie Abdullah yang merupakan Ketua UMNO dan Pengerusi BN Wangsa Maju sedang dinobatkan sebagai calon paling layak untuk mengibarkan panji-panji kemnenangan BN di situ. Kedudukannya sebagai Setpol Najib dijadikan lagi sebagai markah tambahan yang didakwa mampu menambahkan lagi sokongan pengundi kepada BN.
MCA pula tidak mahu mengalah dan merasakan mereka wajar diberi peluang kedua. Yew Teong Look yang kalah 150 undi kepada Wee Choo Keong daripada PKR dalam pilihanraya lalu, ternyata masih bernafsu dan berkeyakinan untuk menebus semula kekalahan itu.
Dalam persaingan itu dan keghairahan masing-masing mahu menunjuk pengaruh serta kekuatan, berlakulah pemulauan, pemboikotan dan monopoli. MCA Wangsa Maju yang diketuai oleh Yew Teong Look tidak pernah menghadiri mesyuarat BN Wangsa Maju yang dipengerusikan oleh Shafie Abdullah serta memulau banyak program anjuran UMNO dan BN.
MCA dan Yew Teong Look seperti memberi isyarat bahawa jika BN memilih Shafie sebagai calon, beliau tidak mungkin menang kerana tidak mendapat sokongan daripada pengundi Cina.
Shafie pula yang ghairah mahu menonjolkan diri sebagai bakal calon di Wangsa Maju, langsung tidak mempedulikan adanya pemulauan dan pemboikotan daripada MCA itu dan cuba mengatur sebanyak mungkin program sampai terbabas sehingga memonopoli semua program penyampaian sumbangan RM100 kepada murid-murid sekolah baru-baru ini, sehinggakan tidak memberi peluang langsung kepada MCA atau Gerakan berbuat demikian. Oleh kerana terdapat agak ramai pengundi Cina di Wangsa Maju dan beberapa sekolah Cina juga terdapat di situ, monopoli Shafie itu telah menyinggung hati MCA.
MCA secara terus terang mengkritik monopoli yang dilakukan oleh Shafie dan dianggap tidak menghormati semangat setiakawan BN.
Sehingga ini, di mana tarikh pilihanraya hanya menunggu detik dan masanya saja, masih tidak terdapat tanda-tanda sengketa antara UMNO dan MCA akan menemui titik perdamaian di Wangsa Maju. BN Pusat juga masih tidak memberi kata putus siapa antara UMNO dan MCA yang bakal bertanding di situ. Maka, selagi itu drama ini bakal menjadi telenovela yang tidak berpenghujung.
Dalam kedudukan BN yang masih bergelut untuk mencapai kemenangan, masalah yang masih berlarutan antara UMNO dan MCA di Wangsa Maju ini sebenarnya cukup memalukan sekali. Lebih-lebih lagi ia juga melibatkan pegawai yang bekerja dengan Najib sendiri.
Sementara Najib sering melaungkan semangat 1Malaysia, mengeratkan perpaduan, memahami semangat setiakawan dan merapatkan jentera untuk menghadapi pilihanraya yang mungkin paling sengit dalam sejarah negara manakala kedudukan Najib juga tidak pasti sama ada kekal lagi sebagai Perdana Menteri atau beralih ke kerusi Ketua Pembangkang, semangat itu rupa-rupanya gagal difahami oleh mereka yang dekat dan bekerja dengannya sendiri. Keghairahan menjadi calon dan bergelar YB mengatasi segala kepentingan yang lain.
Di atas kertas, selagi sengketa antara UMNO dan MCA ini gagal diselesaikan, harapan BN untuk menang di Wangsa Maju hanyalah fatamorgana saja.
Di kala persaingan antara UMNO dan MCA kekal membahang, kalangan mereka yang dekat dengan UMNO dan Najib sendiri membayangkan bahawa kerusi Wangsa Maju akan terus kekal ditandingi oleh MCA tetapi bukan Yew Teong Look calonnya. Difahamkan seorang pemimpin MCA Pusat akan diletakkan bertanding mewakili BN nanti.
Mereka berhujah bahawa jika kerusi Wangsa Maju yang selama ini milik MCA mahu diberi kepada UMNO, kerusi milik UMNO mana pula yang mahu diserahkan kepada MCA?
Lebih dari itu, dalam pilihanraya kali ini di mana sokongan pengundi Cina begitu penting untuk menjana kemenangan, Najib dikatakan tidak mungkin berani menyinggung hati MCA semata-mata untuk menyediakan laluan kepada Shafie, pegawainya sendiri. Terguris hati MCA dan pengundi Cina di Wangsa Maju, impaknya mungkin merebak ke seluruh negara dan membahayakan kedudukan BN keseluruhannya.
Tetapi terluka hati UMNO Wangsa Maju dan Shafie kerana tidak kesampaian hasrat menjadi calon, demamnya mungkin cuma sehari dua. Diberi panadol pulihlah ia.
Sebagai Pengerusi BN dan Ketua UMNO Wangsa Maju, walaupun tidak terpilih sebagai calon, Shafie tetap akan bekerja kuat memenangkan calon BN demi kelangsungan masa depan Najib dan BN sendiri.
Atas perkiraan ini, mereka yang mengenali stail politik Najib hampir mempercayai bahawa MCA akan kekal lagi bertanding di Wangsa Maju. Cuma calonnya saja yang akan ditukar. Meletakkan calon payung terjun daripada MCA bagi mewakili BN dianggap sebagai jalan tengah paling munasabah bagi meredakan sengketa daripada terus berlarutan.
Sementara itu, sumber yang dekat dengan MCA Wangsa Maju dan Yew Teong Look juga tidak menolak kemungkinan itu dan berkata, perjuangan beliau di Wangsa Maju selama ini bukanlah kerana kepentingan peribadi tetapi kerana mempertahankan maruah MCA sebagai anggota komponen BN.
Beberapa tokoh MCA Pusat dikatakan menunjukkan minat untuk bertanding di Wangsa Maju kerana dianggap kerusi yang berpotensi untuk dimenangi walaupun menyedari bahawa PR bakal meletakkan Tan Kee Kwong, bekas timbalan menteri dan Naib Presiden Gerakan yang telah menyertai PKR, sebagai calonnya. Bagi MCA kekalahan 150 undi dalam pilihanraya lalu mampu ditebus kali ini melalui gerak kerja yang betul dan bersungguh-sungguh. (SH 09/02/2012)
Thursday 7 February 2013
Seorang Mahathir Yang Makin Kalut Dan Melalut
Sejak wujudnya RCI yang berperanan untuk menyelesaikan isu pendatang asing di Sabah, Mahathir yang dikaitkan berperanan memberikan kad pengenalan kepada mereka untuk membolehkan menjadi pengundi yang sah, beliau telah memberi tiga reaksi yang berbeza mengenainya. Nampak benar beliau sedang kalut dengan isu tersebut.
Pada peringkat awal inkuiri, nama Mahathir telah dikaitkan sebagai orang yang berperanan memberi kelulusan kepada projek itu melalui dua orang kanannya iaitu aruah Megat Junid Megat Ayob dan Aziz Shamsuddin. Projek itu dilaksanakan untuk memastikan UMNO yang baru dikembangkan ke Sabah dapat menumbangkan PBS dalam pilihanraya 1994. Bagaimanapun PBS terus berkuasa dengan kelebihan dua kerusi tetapi berikutan tindakan beberapa ADUN PBS melompat parti selepas itu, UMNO akhirnya dapat juga berkuasa di Sabah.
Ketika namanya disebut sebagai dalang utama pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing itu, Mahathir cuba berdalih dengan mengatakan Tunku Abdul Rahman lebih teruk daripadanya kerana telah memberikan sejuta kad pengenalan kepada pendatang daripada China dan India ketika awal kemerdekaan dulu.
Mahathir juga bertegas bahawa jika RCI juga patut ditubuhkan untuk menyiasat apa yang dilakukan oleh Tunku itu.
Dalam hal ini Mahathir mungkin terlupa atau buat-buat lupa bahawa pemberian kewarganegaraan kepada orang Cina dan India ketika awal kemerdekaan dulu adalah syarat yang dipersetujui dengan British, tambahan pula mereka sudah berada di negara ini lebih awal daripada itu sama ada sebagai peniaga atau buruh kasar kepada penjajah British.
Sebagai timbal balik dan atas dasar peri kemanusiaan, maka British mahukan mereka itu diberikan kerakyatan Malaysia dan Tunku menyetujuinya kerana ingin memerdekakan negara ini.
Pemberian kerakyatan oleh Tunku itu tidak dipertikaikan oleh sesiapa, baik dulu mahupun sekarang dan kehidupan sebagai masyarakat majmuk dan berbilang kaum telah diterima dengan baik oleh semua orang.
Hanya Mahathir yang cuba mempertikaikan apa yang dilakukan oleh Tunku itu, semata-mata dengan niat untuk menjadikan dirinya dilihat bersih dan tidak bersalah dalam isu pendatang asing di Sabah itu.
Menyedari bahawa beliau reaksinya itu menimbulkan perasaan kurang senang kepada masyarakat Cina dan India kerana kesahihan kewarganegaraan datuk nenek mereka telah dipertikaikan sehingga beberapa parti komponen BN seperti MCA dan Gerakan turut bersuara membantah kenyataan Mahathir itu, beliau kemudiannya mengambil sikap berdiam diri.
beliau tahu jika terus bersuara menyalahkan Tunku ia mungkin memberi reaksi yang berpanjangan daripada masyarakat Cina dan India dan akhirnya mungkin menghakis lebih banyak sokongan daripada kedua-dua kaum itu dalam pilihanraya akan datang nanti.
Mahathir kemudian cuba pula menyalahkan Anwar, bekas timbalannya sebagai orang yang bertanggungjawab dalam hal itu. Beliau menggunakan hujah bahawa ia dilaksanakan seiring dengan keinginan Anwar untuk merampas negeri itu daripada tangan PBS dan seterusnya menguasai politik Sabah.
Tetapi setelah Anwar menafikan perkara itu dan menyifatkan ia sebagai tuduhan yang tidak berasas serta tiada bukti untuk mengaitkannya terlibat dalam sebarang mesyuarat mengenai perkara itu, sekali lagi Mahathir terdiam dibuatnya.
Percubaannya untuk melempar najis ke tubuh Anwar tidak berhasil. Lebih daripada itu orangramai tidak mempercayai dakwaan Mahathir itu. Ini kerana pada tahun 1994 itu, Mahathir adalah Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri manakala Anwar adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Sudah tentulah sesiapa pun percaya dan yakin bahawa projek pemberian kad pengenalan adalah dibawah bidang kuasa kementerian yang dikuasai oleh Mahathir. Lainlah jika projek membina jalan atau membuat jambatan, barulah Anwar sebagai Menteri Kewangan ada suara mengenainya.
Sekali tidak dapat membersihkan dirinya, Mahathir nampaknya tidak akan berpuas hati. Beliau tetap mencari helah untuk membersihkan dirinya.
Terbaru Mahathir mengakui beliau bertanggungjawab memberikan kad pengenalan kepada ratusan ribu pendatang asing itu tetapi memberitahu beliau tidak mungkin mempunyai kawalan sepenuhnya, terutama ketika proses pelaksanaannya.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau hanya bersetuju pemberian itu diberikan kepada mereka yang layak saja dan tidak mengetahui jika ia turut diberikan kepada pendatang asing yang tidak layak.
Lihat, Mahathir masih cuba berhelah lagi. Oleh kerana nama Megat Junid dan Aziz Shamsuddin telah disebut dalam inkuari RCI sebagai orang kepercayaan Mahathir yang diarahkan untuk melaksanakan projek pemberian kad pengenalan itu, Mahathir cuba melepaskan tanggungjawabnya kepada kedua-dua orang bawahannya itu.
Dalam erti kata lain, Mahathir kali ini cuba memberitahu bahawa meskipun beliau meluluskan projek itu tetapi kesalahan di peringkat perlaksanaan bukanlah tanggungjawabnya lagi. Ia adalah salah Megat Junid dan Aziz Shamsuddin.
Tetapi oleh kerana hanya Aziz Shamsuddin masih hidup dan bernyawa, Mahathir tentunya tidak mahu terburu-buru menyebut nama bekas Setiausaha Politiknya sebagai pihak yang bertanggungjawab kerana mungkin Aziz mempunyai bukti lain yang menidakkan penglibatannya dalam projek itu.
Jika itu berlaku, sekali lagi Mahathir akan dimalukan.
Namun dengan memberi tiga reaksi yang berbeza-beza mengenai isu kad pengenalan kepada pendatang asing itu jelas membuktikan bahawa Mahathir masih berusaha mencari jalan untuk membersihkan namanya. Beliau sedang mencari seseorang untuk dipersalahkan.
Tidak mustahil jika beliau terus bersuara mengenainya selepas ini, Mahathir akan terus menyebut nama Megat Junid sebagai orang yang ingin dipersalahkannya. Sebagai orang kanannya dan menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Megat Junid memang ada kewajaran jika dikaitkan dengan perkara itu.
Tetapi yang lebih penting ialah Megat Junid tidak mampu lagi menunjuk bukti dan mempertahankan dirinya. Kedudukannya yang sudah menjadi aruah mungkin mampu menyelamatkan Mahathir. (SH 07/02/2013)
Wednesday 6 February 2013
9 Kerusi Parlimen Johor Bakal Jatuh Ke Tangan Pakatan Rakyat
Dalam pilihanraya umum akan datang ini, Johor adalah antara negeri yang menjadi tumpuan antara BN dan PR. Sementara BN mengharapkan Johor akan terus kekal sebagai kubu kuatnya, PR pula mensasarkanu untuk merampas beberapa kerusi di negeri itu.
Dalam pilihanraya 2008 lalu, Johor adalah antara negeri yang menyumbang banyak kerusi kepada BN, selain Sabah dan Sarawak. Dengan hanya kekurangan 30 kerusi berbanding BN dalam pilihanraya lalu, PR kini sedang melipatgandakan usaha merobek sebanyak mungkin kerusi di ketiga-tiga negeri itu bagi membolehkannya menawan Putrajaya.
Sabah dan Sarawak memang diketahui gelora politiknya. Masalah dalaman di kedua-dua negeri itu hampir pasti memberi harapan cerah kepada berlakunya angin perubahan.
Cuma yang agak kurang kedengaran geloranya ialah Johor. Selama ini ia terkenal dengan kubu kuat UMNO dan BN sehingga menjadi ungkapan popular bahawa songkok pun jika bertanding atas tiket BN pasti akan memperolehi kemenangan.
Tetapi selepas tsunami politik 2008, Johor pun terkena tempiasnya. Walaupun dalam pilihanraya 2008, Johor masih menyumbang banyak kerusi kepada BN, senario menjelang pilihanraya ke 13 ini seperti menampakkan suasana yang berbeza.
Selain faktor perubahan yang mula meresap dalam sanubari setiap rakyat sekarang ini, faktor pengundi Cina yang selama ini menjadi penentu kepada kekuatan BN di Johor juga tidak lagi memihak kepada BN. Sementara pengundi Melayu Johor turut kelihatan mahu berubah dengan ketara melalui beberapa program Pakatan Rakyat yang mendapat sambutan hangat, kedudukan pengundi Cina pula tetap menampakkan angin perubahan yang konsisten sebagaimana yang berlaku di negeri-negeri lain juga.
Seorang pemimpin UMNO Johor memberitahu, sambutan dengan kehadiran ribuan rakyat dalam beberapa demo seperti protes mengenai tanah dan Himpunan Hijau yang menyaksikan kehadiran ribuan orang adalah isyarat jelas bahawa benteng kekuatan UMNO Johor bakal runtuh kali ini.
Di Johor katanya, jika pembangkang dapat mengumpul dua atau tiga ribu orang pun sudah dikira kuat dan mampu menyesakkan nafas UMNO.
Faktor lain yang turut mampu menyumbang kepada kemenangan beberapa kerusi Parlimen di Johor kepada PR ialah kehadiran beberapa tokoh utama mereka yang bakal bertanding di negeri itu. Selain Salahuddin Ayub daripada PAs dan Chua Jui Meng daripada PKR yang bakal mengetuai kekuatan PR untuk menggempur Johor, tokoh veteran DAP Lim Kit Sianf juga dikhabarkan bakal bertanding di salah satu kerusi Parlimen di negeri itu.
Kehadiran tokoh-tokoh besar ini dan mungkin disertai beberapa tokoh lain yang dikenali ramai yang akan mewakili PR, tidak dapat dinafikan bahawa UMNO dan BN tidak boleh lagi berada dalam zon selesa dalam pilihanraya akan datang ini.
Seorang lagi pemimpin UMNO Johor membayangkan bahawa sekurang-kurangnya 9 kerusi Parlimen yang selama ini dikuasai oleh BN akan jatuh ke tangan PR dalam pilihanraya pilihanraya nanti berikutan arus perubahan yang melanda sekarang ini.
Sambil menyebutkan nama kerusi-kerusi yang bakal tumbang dan berada dalam keadaan kritikal itu, beliau juga menghuraikan bahawa faktor perubahan di kawasan-kawasan terbabit bukan melanda di kalangan pengundi bukan Melayi tetapi juga di kalangan pengundi Melayu sendiri.
Sementara faktor perubahan di kalangan pengundi Cina dan bukan Melayu sudah difahami asasnya, faktor perubahan di kalangan pengundi Melayu pula disebabkan beberapa faktor domestik, yang antaranya ialah kecewa dengan pimpinan UMNO negeri mentadbir negeri itu.
Apa yang berlaku di Pasir Gudang di mana beberapa Ketua UMNO Cawangan menutup bilik gerakan pilihanraya kerana kecewa dengan Menteri Besar, Ghani Othman yang gagal menunaikan janji berhubung pemilikan tanah adalah masalah yang bakal membawa beban kali ini. Asasnya kerana masalah pemilikan tanah itu bukan saja berlaku di Pasir Gudang, malah di banyak bahagian lain di negeri itu.
Ada pemimpin UMNO Johor yang melihat masalah itu bakal menjadi isu yang melarat-larat jika gagal ditangani dengan sebaiknya.
Sehingga ini, Ghani Othman dilihat masih membisu dan tidak mahu menjawab berkenaan perkara itu. Ia sudah tentu sesuatu yang mengecewakan bagi kebanyakan rakyat Johor.
Ini kerana, selain masalah tanah itu, Ghani juga turut dibebankan dengan pelbagai masalah lain sebagai Menteri Besar terutama berkaitan hubungannya yang terlalu memberi keistimewaan kepada seorang tauke Cina yang bernama Lim Kang Ho. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Lim Kang Ho dikatakan menguasai majoriti kontrak dan perniagaan yang melibatkan kerajaan negeri itu.
Hubungan Ghani dengan Lim Kang Ho ini bukan saja mejadi percakapan di kalangan rakyat biasa, malah juga di kalangan ahli dan penyokong UMNO sendiri. Mereka kelihatan kecewa kerana Ghani terlalu memberi keistimewaan kepada seorang tauke dan seakan melupakan kepentingan rakyatnya sendiri.
Dengan pelbagai faktor yang berlaku di Johor kebelakangan ini dan pemimpin UMNO negeri itu sendiri membayangkan bahawa sekurang-kurangnya 9 kerusi Parlimen BN bakal tumbang dalam pilihanraya akan datang dan tidak banyak usaha yang dilakukan oleh BN untuk memperbaiki keadaan, kedudukan UMNO dan BN Johor sebagai kubu terkuatnya bakal berakhir tidak lama lagi.
Jika Johor gagal dipertahankan sebagai benteng kekuatan UMNO dan BN, usaha melakar perubahan ke seluruh negara bukanlah sesuatu yang mustahil lagi. (SH 06/02/2013)
Monday 4 February 2013
Mahathir dan Rosmah Liabiliti Najib Dalam PRU 13
Ramai yang tertanya-tanya kenapakah Najib masih tidak berani mengumumkan tarikh pilihanraya walaupun sering mendakwa sokongan rakyat kepada BN makin bertambah dan yakin untuk mencapai kemenangan. Beberapa pemimpin lain, terutama Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO, bukan sekadar yakin BN akan terus menggenggam kuasa malah merasakan kuasa majoriti dua pertiga pun mampu dicapai kali ini.
Apakah sebenarnya halangan utama Najib sehingga beliau menjadi satu-satunya Perdana Menteri yang paling takut mengumumkan pembubaran Parlimen? Inilah pertama kali dalam sejarah, tarikh pilihanraya masih tidak diumumkan walaupun sudah berada di penghujung tempoh lima tahun selepas pilihanraya lalu diadakan pada Mac 2008.
Ada kemungkinan Najib akan membiarkab Parlimen terbubar dengan sendirinya selepas 28 April ini ataupun mungkin beliau akan memohon perkenan Yang Dipertuan Agong untuk melanjutkan lagi tempoh pembubaran itu.
Apa pun keadaannya, ketakutan Najib untuk mengumumkan pembubaran Parlimen menggambarkan ketidakyakinan beliau terhadap kemenangan yang mampu dicapai kali ini. Walaupun sering mendakwa sokongan rakyat makon bertambah, tambahan pula dengan pelbagai janji dan pemberian gula-gula politik terutamanya BR1M 2.0 yang sedang dilaksanakan sekarang, hakikatnya sokongan yang diharapkan masih tidak memadai untuk menciptakan kemenangan yang selesa buat BN.
Sering bermain di fikiran rakyat, apakah sebenarnya halangan atau beban utama Najib dalam pilihanraya kali ini sehingga beliau seperti tidak henti-henti menagih sokongan daripada rakyat?
Selain UMNO dan BN bukan lagi menjadi produk yang baik di mata rakyat kerana pelbagai masalah dan skandal yang berlaku sejak bertahun-tahun lamanya, beban utama yang memberatkan bahu Najib sebenarnya ialah Mahathir dan Rosmah.
Walaupun Mahathir sering tampil dengan hasrat memberi sokongan kepada Najib dan BN serta kerap pula mengingakan rakyat tentang bahaya melakukan pertukaran kerajaan, tetapi seringkali kemunculan beliau menjadikan keadaan menjadi kalut buat BN. Dalam isu pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing di Sabah, kenyataan-kenyataan yang diberikan oleh Mahathir lebih banyak memburukkan lagi keadaaan.
Tindakan mengaitkan nama Tunku Abdul Rahman dalam isu itu bukan saja mengguris hati banyak pihak malah turut menyebabkan masyarakat Cina dan India turut tersentak dengannya.
Dalam pada itu, banyak kenyataannya sebelum ini juga tidak memberi impak yang maksima kepada UMNO dan BN kerana kebanyakan rakyat dapat memahami muslihat dan kepentingan yang ingin dipertahankan oleh bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu. Apa pun komen dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mahathir, baik yang menyokong Najib atau mengkritik Najib, ia sebenarnya tidak lari daripada nawaitu menjaga kepentingan anak-anaknya dalam politik dan perniagaan dah juga melindungi dirinya sendiri selepas pilihanraya nanti.
Keikhlasan Mahathir serng diragui. Baik di dalam UMNO mahupun di luar UMNO, semua orang tahu kepentingan yang ingin dipertahankan oleh Mahathir. Bila dia menyokong Najib, nawaitunya ialah untuk kepentingan diri dan anak-anaknya, sebaliknya jika dia mengkritik Najib, nawaitunya juga adalah untuk menjamin kepentingan diri dan anak-anaknya.
Semasa berkuasa, beliau mungkin ditakuti kerana bijak menggunakan kuasa. Tetapi setelah bersara dan masih ingin menjadi broker kuasa dalam UMNO, taring Mahathir sebenarnya tidaklah setajam dulu lagi. Mungkin masih ada golongan tua dan lama yang masih terpesona dengannya, tetapi rata-rata generasi muda sudah menolaknya.
Bagi mereka, lebih baik Mahathir berehat dan tidak terlalu mencampuri lagi politik negara. Zamannya sudah berlalu dan kini adalah zaman anak-anak muda mengorak dunia.
Walaupun antara sebab keputusan buruk pilihanraya 2008 adalah kerana hasutan Mahathir supaya rakyat dan ahli UMNO sendiri menolak kerajaan yang dipimpin oleh Pak Lah tetapi kali ini suasananya sudah jauh berbeza. Rakyat yang menolak UMNO dan BN jauh lebih ramai berbanding ahli UMNO yang dulunya tidak mengundi BN tetapi akan mengundi BN dalam piliharaya akan datang ini.
Kekerapan Mahathir bersuara mengenai politik hanya menambah kebencian rakyat kepada BN. Ini kerana setiap kali beliau bersuara, sudah difahami maksud dan nawaitunya itu. Setelah 22 tahun UMNO dan kerajaan dibelenggu dengan kepimpinan Mahathir, tidak mungkin ramai yang mahu beliau terus memainkan peranannya dalam negara ini.
Jika Mahathir berdiam diri dan menjadi seorang pesara yang baik, ia mungkin jauh lebih baik bagi Najib, UMNO dan BN. Sokongan rakyat kepada Najib dan BN dalam piliharaya akan datang mungkin bertambah baik tanpa campurtangan daripada Mahathir.
Beban kedua Najib menjelang pilihanraya akan datang ialah Rosmah Mansor, isteri Najib sendiri. Dalam bentuk apa Rosmah mendatangkan beban kepada Najib, UMNO dan BN tidak perlu dihuraikan lagi kerana semua orang sudah mengetahui dan memahaminya.
Gaya, penampilan yang mewah, kegemaran mengumpul perhiasan yang mahal dan gemerlapan serta campurtangan dalam pelbagai urusan perniagaan yang melibatkan kuasa suaminya sebagai Perdana Menteri adalah antara karenah Rosmah yang tidak disenangi dan menjadi percakapan rakyat pelbagai peringkat.
Rakyat hampir tidak dapat menerima watak yang dipamerkan Rosmah yang bukan saja berbeza dengan isteri-isteri Perdana Menteri sebelum ini tetapi juga sebenarnya amat bertentangan dengan watak mana-mana isteri pemimpin yang ingin disanjung rakyat.
Berbeza dengan Mahathir yang suara dan kenyataannya yang boleh menyusahkan Najib dan BN, Rosmah pula cukup sekadar penampilannya saja sudah memadai untuk mendatangkan malapetaka buat Najib, UMNO dan BN. Selagi ada Mahathir dan Rosmah dalam pentadbiran Najib, tidak mungkin rakyat mahu memberikan sokongan yang gemilang kepada BN.
Najib pun barangkali menyedari kewujudan kedua-dua watak itu yang menjadi beban kepadanya, sebab itu beliau tidak henti-henti turun padang menagih sokongan rakyat kerana menyedari sokongan yang ada masih belum mampu memastikannya kekal lagi sebagai Perdana Menteri.
Jika Mahathir berdiam diri dan Rosmah pula tidak kerap muncul, ia mungkin lebih baik bagi Najib dan BN. Tetapi dengan piliharaya makin hampir dan majoriti rakyat pula sudah membuat keputusan, tidak banyak lagi yang mampu dilakukan oleh Najib untuk mempertahankan kerajaan yang ada sekarang. (SH 04/02/2013)
Subscribe to:
Posts (Atom)