Friday 31 October 2014

Bukan Saja Muhyiddin Berbeza, Penyokongnya Juga Mulai Terbuka Kritik Najib


Berdepan sokongan yang makin merosot diterimanya akibat pemotongan subsidi bahan bakar petrol dan diesel, Perdana Menteri Najib Razak kini mulai menerima tekanan yang makin ketara daripada dalam UMNO sendiri.

Berdasarkan kajian terbaru Merdeka Center, berbanding ketika peristiwa MH17 di mana sokongan rakyat kepada Najib melonjak pada paras 54 peratus, kajian terbaru selepas kenaikan harga minyak menunjukkan ia kini menurun kepada 48 peratus.

Bersama sokongan yang kian merapuh itu, jika sebelum ini hanya Mahathir yang banyak menyerangnya terutama berkaitan hutang 1MDB yang kemudian disambut oleh pembangkang dalam Parlimen, kini orang nombor duanya dalam kerajaan iaitu Muhyiddin Yassin dan kumpulannya seperti mulai mencari salah dan kelemahan Perdana Menteri itu.

Muhyidddin yang didokong kumpulan konservatif dalam UMNO terlihat gemar menjadikan isu Akta Hasutan untuk menonjolkan kelebihannya di sebalik kelemahan Najib yang makin banyak diperkatakan ramai.

Dalam beberapa penampilan, Muhyiddin secara tegas menyatakan mahu akta itu terus dikekalkan berikutan semakin banyaknya isu pertikaian mengenai perkauman, agama dan Raja menjadi mainan di tengah-tengah masyarakat sekarang ini.

Berbeza dengan Najib yang pernah berjanji untuk menghapuskan akta itu, Muhyiddin juga kini mulai mendapat pujian dan sanjungan yang makin meluas, bukan saja daripada UMNO tetapi juga daripada beberapa NGO pro Melayu, khususnya Perkasa.

Sokongan lebih kuat Muhyiddin terhadap pengekalan akta itu tentunya bakal menyusahkan Najib kerana menjadikannya berada di persimpangan antara kehilangan sokongan UMNO atau dianggap mungkir janji oleh rakyat.

Sementara Muhyiddin menjadikan isu pengekalan Akta Hasutan sebagai usaha mengukuhkan kedudukannya dan sekaligus menolak kemungkinan berundur sebagai Timbalan Perdana Menteri sepertimana yang dibualkan ramai sebelum ini, penyokongnya juga sudah mulai berani mempertikaikan dasar dan pendekatan Najib memimpin negara ini.

Di Parlimen Rabu lalu, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Aziz Sheikh Fadzir secara terbuka mempertikaikan peranan Pemandu yang disifatkannya bertindan dengan tugas beberapa kementerian dan mahukan unit itu dimansuhkan terus sedangkan Pemandu adalah unit kebanggaan Najib sejak ia ditubuhkan.

Selama ini, orangramai dan pembangkang sudah banyak mempertikaikan peranan dan kewujudan Pemandu yang diketuai Idris Jala ini, bukan saja dari segi tugas dan fungsinya, malah juga kos perbelanjaan yang tinggi untuk menyaranya.

Soalnya, kenapa hanya setelah enam tahun baru pemimpin UMNO sendiri berani tampil menyanggah kewujudan Pemandu dan siapakah Aziz Sheikh Fadzir ini?

Aziz adalah adik kepada Kadir Sheikh Fadzir, bekas Menteri Penerangan yang telah keluar UMNO kerana tidak bersetuju dan banyak mengkritik kepimpinan Najib serta pernah menjadi Naib Ketua Pemuda UMNO sessi 2000-2004.

Aziz diketahui sebagai penyokong dan pendokong kuat Muhyiddin Yassin serta memainkan peranan penting memastikan kemenangan Timbalan Perdana Menteri itu dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden UMNO pada 2009.

Sebaik Muhyiddin memenangi jawatan itu dan menjadi orang nombor dua dalam kerajaan, Aziz telah meletakkan bekas pegawai khasnya semasa menjadi Naib Ketua Pemuda UMNO iaitu Nardin Awang bertugas sebagai pegawai khas di Pejabat Timbalan Perdana Menteri.

Nardin kini sudah dinaikkan pangkat dan menjadi salah seorang setiausaha politik kepada Muhyiddin. Hakikatnya Aziz kini bukan saja menjadi penyokong kuat Muhyiddin tetapi juga berpengaruh dalam perjalanan politik Timbalan Perdana Menteri itu.

Apabila Aziz menegur dan menyanggah mengenai Pemandu, suatu pendekatan yang diambil Najib dan tidak pernah disentuh oleh mana-mana pemimpin UMNO sebelum ini dan berlaku pula di ketika sokongan terhadap Najib yang kian merosot, apakah ini menandakan perbezaan yang tidak dapat dielakkan lagi antara kedua-dua pemimpin utama negara itu?

Bersama Muhyiddin yang semakin kerap mempertahankan Akta Hasutan serta Mahathir yang bukan saja sudah menarik balik sokongan tetapi juga mengkritik satu demi satu dasar kerajaan,  sanggahan Aziz sebagai orang kuat Muhyiddin terhadap Pemandu seperti menunjukkan bakal lebih banyak lagi dasar-dasar Najib akan terus dipertikaikan lagi selepas ini

Menambahkan lagi kehangatan ialah apabila Tengku Razaleigh pula hari ini menghantar kenyataan kepada Ahli-Ahli Parlimen mencadangkan agar perlaksanaan cukai GST yang sepatutnya dilaksanakan pada April 2015 ditangguhkan bagi mengelakkan beban berterusan kepada rakyat. Sebelum ini juga bekas Menteri Kewangan itu sudah beberapa kali tampil membetulkan apa yang dianggapnya salah sedang dilakukan oleh kerajaan sekarang.

Mengharungi kemungkinan Anwar lebih mungkin akan dibebaskan dalam kes rayuannya di Mahkamah Persekutuan yang dijangka diketahui awal minggu depab, Najib dalam masa yang sama mulai menerima tekanan dan serangan daripada semakin banyak penjuru dalam parti dan kerajaan.

Mahathir, Muhyddin dan Ku Li yang semakin kritikal kebelakangan ini seperti hanya menunggu masa untuk bersatu bagi menjatuhkan Najib.

Dengan semua cabaran ini, berapa lama lagi Najib mampu mempertahankan kedudukannya mulai semakin diragui. ( SH 31/10/2014)

Thursday 30 October 2014

Dulu Anwar Dikata Takut Dengan Shafee, Kenapa Sekarang Takut Juga Dengan Gopal Sri Ram?


Masuk hari kedua perbicaraan rayuan kes liwat Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan, pertikaian terhadap kedudukan peguam Gopal Sri Ram tiba-tiba saja mulai kedengaran. 

Isunya cumalah kerana Gopal Sri Ram yang menjadi peguam Anwar ini pernah menjadi hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini dan keadaan itu dikatakan boleh mempengaruhi lima hakim yang mendengar rayuan Ketua Pembangkang itu daripada membuat keputusan yang bebas dan adil.

Tambahan pula, Majlis Peguam pada mesyuarat 15 Mac lalu juga pernah mengemukakan usul agar hakim kanan atau hakim mahkamah lebih tinggi yang bersara dilarang mewakili anak guam mereka di mahkamah atas alasan yang sama.

Dengan kedudukan Gopal Sri Ram mewakili Anwar dalam kes rayuan terakhirnya ini dan barangkali melihat kepada isu-isu kredebiliti Saiful Bukhari yang berjaya dibangkitkannya dengan kemas, teratur dan meyakinkan, mungkinlah kerana itu pertikaian terhadap peranannya sebagai peguam mula dipertikaikan.

Bukan saja Gerakan melalui Ketua Pemudanya, Tan Keng Liang yang bersuara meminta Majlis Peguam menyatakan pendirian terhadap perkara ini, bahkan sekumpulan peguam pro UMNO turut juga bersuara.

Kumpulan peguam yang diketuai oleh Zulkifli Noordin, bekas calon BN Shah Alam, dalam satu kenyataan turut menuntut Majlis Peguam menyatakan pendiriannya berhubung perkara ini untuk mengelakkan dianggap mengamalkan sikap "double standard".

Adalah dipercayai juga menjelang detik-detik berakhirnya kes rayuan Anwar ini, lebih ramai lagi pihak berkepentingan seperti pemimpin politik dan NGO, akan tampil bukan saja untuk menyatakan bantahan terhadap sikap Majlis Peguam itu tetapi juga tentang kedudukan Gopal Sri Ram yang dianggap boleh mempengaruhi para hakim yang mendengar kesnya

Bantahan terhadap kedudukan Gopal Sri Ram ini sebenarnya agak pelik kerana walaupun Majlis Peguam ada membuat usul berkenaan perkara itu tetapi Mahkamah Persekutuan sebagai responnya kemudiannya memutuskan bahawa hakim-hakim bersara boleh muncul sebagai peguam dalam kes-kes sivil di mahkamah dengan hujah   Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak seseorang untuk meraih pendapatan bagi dirinya.

Ketua Hakim Negara, Ariffin Zakaria sendiri pada 2013 pula pernah berkata, hakim yang bersara bebas bertindak sebagai peguam kerana mahkamah bertindak berasaskan merit.

Berdasarkan hakikat ini, secara logiknya tiada isu lagi bagi mana-mana bekas hakim untuk menjadi peguam atau dipertikaikan pendirian Majlis Peguam.

Peguam Shafee Abdullah yang menjadi ketua pendakwa dalam kes rayuan Anwar ini bagaimanapun tidak bimbang dengan kehadiran Gopal Sri Ram kerana ia merupakan hak masing-masing serta tiada sekatan daripada berbuat demikian.

Isunya, kenapakah ada pihak lain yang takut dengan kehadiran Gopal Sri Ram sebagai peguam ini?

Adakah ini sebagai persiapan awal mencari helah dan alasan kiranya Anwar didapati bebas nanti?

Jika dulu ketika Anwar mempertikaikan perlantikan Shafee Abdullah yang diketahui rapat dengan UMNO serta didapati berada di rumah Najib ketika Saiful membuat aduan diliwat serta berulangkali cuba menyingkirkannya sebagai ketua pasukan pendakwa, kenapakah beliau ditempelak?

Ketika itu Anwar diselar dan dipersenda kononnya takut kalah dalam kes rayuannya dan menghuni penjara sekali lalu didakwa sengaja mencari helah untuk menyalahkan perlantikan Shafee sebagai alasannya.

Ada juga pemimpin UMNO yang berkata, Anwar tidak seharusnya takut dengan Shafee kerana beliau hanyalah pendakwa tetapi yang menentukan bersalah atau tidak adalah hakim.

Tapi apa sudah jadi sekarang? Mereka yang dulunya seolah-olah terbuka dan meminta Anwar jangan takut dengan Shafee yang menjadi pendakwa, rupa-rupanya turut takut dengan Gopal Sri Ram yang hanya bertindak sebagai peguam.

Bolehkah dipulangkan "paku buah keras"  bahawa yang menentukan bersalah atau bebas adalah hakim dan bukannya peguam daripada kalangan bekas hakim?

Dengan mempertikaikan kehadiran Gopal Sri Ram, apakah mereka ini turut tidak percaya lagi dengan sistem kehakiman kita?

Semua ini bukan saja membuktikan bahawa dunia ini bulat dan kehidupan sebenarnya bagaikan roda, tetapi  inilah juga yang pepatah selalu mengingatkan, "kata dulang paku serpih, mengata orang rupanya diri sendiri yang lebih."  ( SH 30/10/2014)

Wednesday 29 October 2014

Harapan Anwar Bebas Cerah?


Kes rayuan Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan sudah pun masuk hari kedua sejak bermula semalam. Sehingga ini pihak pembela Anwar yang diketuai Sri Ram Gopal belum pun habis lagi mengemukakan hujah pembelaan, kemudian baru diikuti dengan hujah balas pihak pendakwa oleh Shafee Abdullah.

Selepas itu, kedua-dua pihak akan menutup hujah penggulungan masing-masing sebelum lima hakim membuat keputusannya.

Walaupun semalam Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan untuk melanjutkan perbicaraan sehingga Khamis, berbanding ketetapan awal hanya dua hari iaitu 28 dan 29 Oktober saja tetapi berdasarkan perkembangan yang berlaku tidak mustahil ia berlarutan sehingga Jumaat atau disambung lagi pada minggu hadapan.

Dalam hujahan awal semalam, pihak peguambela Anwar membangkitkan isu kredebiliti Saiful yang diragui. Saiful didapati bukan saja menemui pegawai polis bernama Mohd Rodwan dua hari sebelum mendakwa diliwat dan membuat laporan polis, bahkan gambarnya menghidangkan teh dengan wajah selamba kepada tetamu Anwar sehari selepas kejadian liwat yang didakwa berlaku itu turut juga didedahkan.

Selain itu, meskipun mendakwa diliwat secara paksa dan mendatangkan kesakitan kepadanya, perbuatan Saiful membawa gel pelincir dan menyapu di bahagian sulitnya juga ditimbulkan untuk meragui kredebilitinya.

Beberapa isu lain seperti seluar dalam yang tidak dipakai tetapi ada kesan air mani, tumpahan air mani di karpet, kaitan pertuduhan dengan konspirasi politik turut juga dibangkitkan dalam mahkamah semalam.

Dalam masa yang sama, dapatan dari pemeriksaan di Pusrawi yang mengatakan tiada penembusan pada bahagian sulitnya ketika Saiful mendapatkan rawatan tetapi doktor yang memeriksanya tidak dipanggil sebagai saksi, dibangkitkan sama dalam mahkamah semalam.

Jika semalam isu kredebiliti Saiful dibangkitkan, pada hari kedua iaitu hari ini isu sampel DNA Anwar pula dipertikaikan kesahihannya. Selain DNA Anwar didakwa diambil secara tidak sah iaitu melalui botol air mineral, berus gigi dan tuala "good morning" ketika Ketua Pembangkang itu ditahan di penjara, peguambela juga membangkitkan tiada bukti kukuh menunjukkan ia digunakan oleh Anwar.

Oleh itu, pihak peguambela berhujah kemungkinan ia bukanlah DNA Anwar yang sebenar-benarnya.

Isu lain yang ditimbulkan hari ini ialah mengenai sampel DNA yang hanya disimpan dalam laci  dan bukan dalam peti sejuk serta mungkin terdedah kepada pencemaran atau kerosakan.

Sehingga ini, ramai yang melihat bukan saja hujahan peguambela Anwar  kemas dan teratur tetapi juga dilihat mampu meyakinkan lima hakim yang arif lagi bijaksana itu untuk membuat keputusan membebaskannya.

Sementara menanti pihak pendakwa mengemukakan hujah balasnya pula, di laman  sosial pula tersebar surat permintaan pelbagai pihak yang mahukan Anwar diberikan keadilan dan dibebaskan. Antaranya ialah daripada Ketua Ulama Sedunia, Yusuf Al Qardawi,  Maulana Ihsan Hendrick, ulama tersohor Afrika Selatan, Datuk Bandar Manila, Joseph Estrada, Profesor Georgetown Universiti di mana anak Najib pernah belajar di universiti berkenaan iaitu John Esposito serta banyak lagi.

Sebelum ini, beberapa negara Barat dan NGO yang berpengaruh di seluruh dunia juga telah pun menyatakan sokongan kepada Anwar serta menuntut beliau dibebaskan.

Sejauh mana semua ini mendatangkan impak kepada keputusan mahkamah masih lagi menjadi persoalan tetapi adalah jelas sorotan dunia makin meluas kepada apa yang berlaku di negara kita sekarang.

Di luar Istana Kehakiman pula, ribuan penyokong Anwar terus berhimpun dan menyatakan solidariti kepada Ketua Pembangkang itu. Kumpulan penyokong Saiful dengan memakai T-Shirt khas turut juga berhimpun sejak dua hari lalu sehingga menimbulkan persoalan siapakah yang menaja dan membiayai mereka itu?

Tidak seperti Anwar yang mendapat sokongan parti dan rakan-rakan gabungan dalam PR, Saiful hanyalah rakyat biasa yang sebenarnya tiada keperluan langsung untuk mengeluarkan wang daripada poketnya sendiri bagi menghimpunkan orangramai dan menunjukkan adanya penyokong yang ramai bersamanya.

Jika ditaja pula, siapakah penajanya dan apakah kepentingan mereka dalam kes ini?

Penyokong Anwar bagaimanapun terus bertambah pada hari ini berbanding semalam dan dijangka terus bertambah menjelang hari keputusan diumumkan nanti. (SH 29/10/2014)

Monday 27 October 2014

Benarkah Semuanya Bergantung Pada Najib?


Bermula esok, 28 Oktober, bermulalah rayuan kes liwat kedua yang melibatkan Anwar Ibrahim selama dua hari di Mahkamah Persekutuan. Pada lewat petang 29 Oktober pula, dijangka akan diketahui keputusannya.

Di mana-mana ketika ini orangramai membicarakan apakah nasib Anwar nanti. Apakah beliau akan dikekalkan bersalah sepertimana keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang menjatuhkannya hukuman lima tahun penjara atau akan didapati tidak bersalah dan dibebaskan?

Walaupun yang akan menentukan bersalah atau tidaknya Anwar adalah lima hakim yang arif lagi bijaksana setelah mendengar hujah-hujah pendakwa yang diketuai oleh Shafee Abdullah serta peguambela Sulaiman Abdullah, tetapi rata-rata orangramai mulai meneropong keputusan yang bakal diambil ini dari sudut kemahuan Putrajaya dan Seri Perdana.

Baik orangramai, pemimpin UMNO, pembangkang, ahli perniagaan, anak-anak muda dan sebagainya tetap melihat semuanya bergantung kepada kemahuan serta kata putus daripada Najib Razak selaku Perdana Menteri.

Maknanya,  dari segi keputusannya ia lebih dilihat dan ditanggapi dari sudut politik semata-mata berbanding undang-undang. Dalam ertikata lain, kalau kering hati Najib, ke penjaralah Anwar tetapi jika lembut hatinya, bebaslah Anwar.

Malah ada surirumah sepenuh masa yang tidak memiliki telefon pintar turut mengeluh, "Kalau bersalah, sampainya hati Najib memenjarakan Anwar sedangkan mereka pernah bersabahat baik suatu ketika dahulu."

Bagi kalangan kebanyakan pimpinan UMNO, ramai yang yakin Anwar akan didapati bersalah dan menghuni penjara sekali lagi kerana itulah satu-satunya jalan yang mereka lihat boleh menentukan survival Najib dan BN dalam pilihanraya akan datang.

Dengan Anwar berada di dalam penjara, walaupun simpati rakyat mungkin meningkat kepada pembangkang,  tetapi mereka percaya ketiadaan pengganti karismatik memimpin PR akan membolehkan Najib mengatur strategi baru melemahkan gabungan itu dengan taktik adu-domba atau "membeli" sebahagian yang lain untuk melompat parti.

Sebahagian besar ahli UMNO juga mengharapkan Anwar akan dipenjarakan, bukan kerana Ketua Pembangkang itu bersalah atau tidak meliwat Saiful Bukhari tetapi disebabkan kehadirannya yang lepas bebas dilihat lebih menyusahkan UMNO dan BN di fasa-fasa seterusnya.

Tetapi ada juga pemimpin UMNO yang terang-terang mengatakan memenjarakan Anwar adalah kehendak dan permintaan Rosmah Mansor demi survival kuasa manakala Najib dikatakan agak terbuka serta tidak mempunyai keberanian yang tinggi untuk mengharungi kesan pemenjaraan Ketua Pembangkang itu nanti.

Oleh itu, golongan ini percaya keputusan pada 29 Oktober nanti lebih bergantung kepada sejauh mana Najib mampu "menyenggol" balik isterinya itu.

Golongan ini  juga berhujah bahawa jika Anwar dipenjara, dua kesan langsung yang bakal terbentang di depan matanya ialah  menghadapi persepsi antarabangsa bila mana seorang Ketua Pembangkang yang  seharusnya menyuburkan amalan demokrasi sesebuah negara tiba-tiba dihumban ke penjara dan kedua, menghadapi pilihanraya kecil Permatang Pauh selepas itu.

Dunia antarabangsa akan melihat Najib sebagai pemimpin yang "jahat" dan "tidak berperikemanusiaan"  sehingga tergamak memenjarakan musuh politiknya. Berbanding kecaman, Najib kata mereka,  lebih suka disanjung serta dipuji oleh Barat dan Amerika.

Tidak dinafikan membebaskan Anwar akan membersihkan namanya serta menjadikan persaingan dalam pilihanraya akan datang lebih terbuka tetapi dengan adanya sanjungan serta pujian antarabangsa dan Amerika, Najib juga dikatakan lebih selesa dan kembang jiwa raganya. Berbeza dengan Mahathir yang sedia berbalah dan dibenci Barat atau Amerika, Najib jauh dari sifat itu.

Dengan adanya pilihanraya kecil Permatang Pauh sebaik Anwar dipenjara, jika BN tidak berupaya memperbaiki prestasinya pula ia adalah bukti jelas bahawa tiada sebarang kelebihan kepada UMNO dan BN melalui hukuman penjara yang dijatuhkan itu.

Bagi golongan profesional dan ahli perniagaan pula, nasib Anwar di Mahkamah Persekutuan pada 29 Oktober nanti bergantung kepada siapa paling kuat melobi. Jika Amerika dan Barat lebih kuat melobi Najib, maka tidak bersalah dan bebaslah Anwar tetapi jika Mahathir yang lebih kuat melakukan lobian, ke penjaralah nasib bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Beberapa pemimpin pembangkang seperti Lim Kit Siang dan Azmin Ali juga menuntut campurtangan Najib dalam memastikan perbicaraan itu nanti benar-benar adil serta bebas daripada pengaruh politik. Tuntutan dan desakan mereka memperlihatkan adanya elemen politik dalam keputusan nanti.

Menjelang detik-detik akhir yang bakal menentukan hidup mati karier politik Anwar, itulah andaian , kesimpulan dan persepsi yang bermain dalam kepala ramai orang.

Meskipun  pengaruh politik, kemahuan Putrajaya dan Seri Perdana tidak semestinya betul dan benar-benar memainkan peranannya dalam kes Anwar ini, tanggapan pelbagai pihak mengenainya semakin jelas kedengaran ketika ini.

Faktor lima hakim, wibawa pendakwa dan peguambela mengemukakan bukti dan berhujah sudah tidak lagi diambil kira, sebaliknya kemahuan Najiblah yang dilihat menentukan segala-galanya. ( SH 27/10/2014)

Pendirian Universiti Malaya Terus Dikecam


Pentadbiran Universiti Malaya Perlu Berhenti Jadi Pengampu Rejim Penguasa

1. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membantah keras arahan yang dikeluarkan oleh pentadbiran Universiti Malaya yang mengancam untuk mengambil tindakan keras terhadap pelajar yang menghadiri program Pidato Anwar Ibrahim. Ini menyerlahkan betapa teruknya IPT dicengkam secara songsang oleh rejim Penguasa.

2. Universiti Malaya sebagai universiti tertua dalam negara seharusnya mengamalkan kebebasan akademik dan meraikan kematangan para pelajar untuk mendengar pidato-pidato daripada tokoh politik merentasi sempadan parti supaya mereka dapat menilai dan memahami perjalanan politik tanahair.

3. Tindakan pentadbiran Universiti Malaya ini juga merupakan contoh paling klasik mengapa taraf universiti kita semakin merosot dan hilang daya saing di peringkat dunia. Ia bukanlah kerana mutu para siswazah kita tetapi sikap bebal pentadbiran universiti yang hanya tahu mengampu tuan-tuan politik Penguasa semata-mata. Tetapi, hilang idea untuk membentuk acuan siswazah yang berdaya saing.

4. Sultan Nazrin Muizzudin Shah yang juga Pro-Canselor UM telah menitahkan mengenai kepentingan minda terbuka yang akan menyuburkan perasaan sabar dan toleransi untuk bersedia mendengar hujah yang berbeza betapa sekali tidak dipersetujui. Minda terbuka ini akan memberikan ruang untuk membolehkan lahir dan tumbuhnya idea baru, menyemarakkan budaya inovasi dan menyuburkan minda kreatif. Tetapi tindakan pentadbiran UM ini bertentangan dengan kehendak minda terbuka seperti yang dititahkan oleh Pro-Canselornya sendiri.

6. Pentadbiran Universiti Malaya juga seharusnya memahami bahawa usaha membina negara bangsa ini bukan bermaksud kita perlu menanam di dalam minda pelajar kita untuk hanya memihak kepada parti penguasa semata-mata tetapi sebaliknya turut mengakui kepelbagaian faham politik. Universiti seharusnya memainkan peranan penting bagi mengelakkan pelajar mewarisi iklim politik jumud dan ketaksuban melampau yang tidak dapat menerima kepelbagaian sudut pandang politik.

7. SAMM juga ingin merakamkan ucapan jutaan tahniah kepada Presiden MPPUM yang sanggup berdepan dengan tindakan pihak pentadbiran universiti termasuklah disingkir dari pengajian. Ini membuktikan kehendak para pelajar Universiti Malaya yang ingin mengangkat kebebasan akademik dalam universiti tersebut.

8. Sehubungan itu, SAMM menyeru setiap pelajar Universiti Malaya untuk membanjiri Dataran Dewan Tunku Canselor (DTC) Universiti Malaya bagi menunjukkan solidariti membebaskan Universiti Malaya daripada cengkaman hegemoni songsang penguasa dan juga menolak sikap profesor-profesor kangkung yang melacurkan prinsip mereka dalam mendidik anak bangsa yang merdeka ini.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda 




Detik-Detik Akhir Sebelum Ke Mahkamah

Bersama cucu...

Di UM, dibenar atau dilarang?

Pidato akhir sebelum ke mahkamah pada 28 Oktober...

Harapan...

Saturday 25 October 2014

Anwar Sekali Lagi Mahu Direputkan Dalam Penjara


Keinginan pihak pendakwa kes rayuan Anwar Ibrahim mahu menambah tempoh penjara keatasnya dengan alasan hukuman lima tahun yang dijatuhkan sebelum ini tidak memadai, tidak lain menunjukkan hasrat mahu "membunuh"  terus karier politik Ketua Pembangkang itu.

Melalui dokumen pihak pendakwa yang disaksikan sendiri oleh sebuah portal berita, alasan memohon tambahan hukuman itu ialah kerana berpendapat penjara lima tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan itu tidak memadai dari segi kepentingan awam dan memberi teladan kepada orangramai.

Memandangkan Seksyen 377B Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan rotan, maka pihak pendakwa yang diketuai oleh Shafee Abdullah dilaporkan akan memohon hukuman lebih berat dalam perbicaraan pada 28 dan 29 Oktober ini.

Jika hukuman penjara lima tahun sebelum ini dikekalkan pun sudah menyebabkan Anwar kehilangan hak  bertanding dalam pilihanraya sekurang-kurangnya selama 10 tahun, memohon hukuman penjara lebih lama tentulah maksudnya untuk memanjangkan lagi tempoh beliau tidak boleh aktif dalam politik.

Dengan Anwar berusia 67 tahun ketika ini, jika hukuman penjara lima tahun dikekalkan, bermakna beliau hanya boleh bertanding semula dalam pilihanraya ketika usianya  nanti 77 tahun.  Ini kerana peraturan menetapkan hanya selepas lima tahun keluar penjara barulah seseorang itu dibolehkan bertanding semula.

Jika pendakwa berjaya menambah kepada 10 tahun pula, had boleh bertanding turut meningkat ketika usianya menjangkau usia 82 dan jika menjadi 15 tahun, bertambah lagi kepada usianya 87 tahun.

Dalam usia sebegitu, sukar dijangka sama ada Anwar masih mampu dah bertenaga lagi untuk terus berjuang.

Secara mata kasar dan mudah difahami oleh sesiapa saja, tindakan pihak pendakwa memohon tambahan hukuman ini adalah semata-mata untuk "membunuh"  terus karier politik Anwar.

Kiranya Mahkamah Rayuan sebelum ini menjatuhkan hukuman lima tahun penjara semata-mata untuk menghalang Anwar bertanding di DUN Kajang dan menjadi Menteri Besar Selangor, tindakan pihak pendakwa di Mahkamah Persekutuan kali ini pula bertujuan untuk membiarkan karier dan masa depannya mereput dalam penjara.

Memandangkan Shafee yang dikenali mempunyai hubungan yang rapat dengan Najib dan turut berada di kediaman Perdana Menteri pada malam ketika Saiful mengadu kepada Najib dirinya diliwat oleh Anwar, pemilihannya mengetuai pendakwaan di Mahkamah Persekutuan tidaklah sukar difahami maksud serta tujuannya.

Dengan terdedahnya dokumen bahawa pendakwa akan memohon hukuman lebih berat, Anwar bukan saja perlu berhujah untuk membuktikannya tidak bersalah tetapi juga mengelakkan usia dan kariernya reput dalam penjara.

Satu-satunya jalan yang boleh memendekkan hukuman yang diterima Anwar ialah jika PR berjaya menewaskan BN dalam pilihanraya umum akan datang atau mungkin melalui cara lain yang tidak terjangka oleh manusia.  Ahli-ahli agama selalu menyebut, manusia merancang, Tuhan juga merancang tetapi perancangan Tuhanlah yang terbaik sekali.

Selepas dipecat pada 1998, Anwar disabitkan hukuman penjara selama enam tahun atas dakwaan menyalahgunakan kuasa dan selama sembilan tahun lagi atas dakwaan meliwat Azizan Abu Bakar. Kedua-dua hukuman itu tidak dijalankan secara serentak tetapi secara berturutan.

Ia bermaksud Anwar akan menjalani hukuman penjara selama 15 tahun dan ditambah lima tahun lagi larangan bertanding dalam pilihanraya menjadikan tempoh berehatnya adalah selama 20 tahun. Ketika mula dijatuhkan hukuman penjara pada 1999, beliau sudah berusia 52 tahun dan jika semua mengikut apa yang dirancangkan, Anwar hanya boleh bertanding semula dalam pilihanraya ketika berusia 72 tahun.

Ketika itu, memenjarakan Anwar juga bertujuan membiarkannya  tua dan reput dalam penjara.

Tetapi semua itu hanyalah perancangan manusia bernama Mahathir. Siapa sangka apabila beliau bersara secara mengejut dan kemudian Pak Lah menjadi Perdana Menteri pada 2003, Anwar kemudian bebas pada 2004 setelah Mahkamah Persekutuan menggugurkan sabitan kesalahan meliwat yang dijatuhkan kepadanya pada tahun 2000.

Najib juga boleh merancang tapi jangan lupa Tuhan juga ada perancanganNya. Sama-sama kita saksikan nanti. ( SH 25/10/2014)

Friday 24 October 2014

Anwar Bebas Atau Dipenjara, Masa Depan Najib Tetap Kelabu Juga


Ramai yang tidak sabar menunggu keputusan perbicaraan di Mahkamah Persekutuan yang melibatkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim pada 28 dan 29 Oktober ini. Sementara ada kelompok tertentu yang mengharapkan agar beliau dipenjara, ramai pula yang berjuang, berusaha dan berdoa untuk pembebasannya.

Anwar sendiri tidak duduk diam atau pasrah begitu saja. Selain berdoa, beliau juga ligat menemui penyokongnya di pelbagai tempat yang sudah diatur. Ada pula penyokongnya yang lain mengadakan sembahyang hajat di seluruh negara memohon pertolongan daripada Tuhan demi keadilan dan pembebasannya.

Di hari perbicaraan pula, dijangka ribuan rakyat akan berhimpun di sekitar Istana Kehakiman untuk menyatakan sokongan dan solidariti kepadanya.

Walaupun mungkin sambutan dan gelombang reformasi kali ini tidak sama seperti tahun 1998 dahulu, namun kurangnya sambutan terhadap perbicaraan ini bukan bermakna ramai tidak lagi menyokong Anwar atau tidak kisah sama ada beliau dipenjara atau dibebaskan, tetapi kerana sebahagian besarnya sudah menetapkan pendirian dalam hati masing-masing.

Anwar juga berbelah bagi dalam hal ini. Di suatu ketika beliau yakin akan dibebaskan kerana tiada fakta yang boleh menyabitkannya dengan kesalahan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan itu serta isu pilihanraya Kajang yang menyebabkan Mahkamah Rayuan sebelum ini menjatuhkan hukuman kepadanya juga sudah pun berakhir.

Tetapi di ketika yang lain, sementara merasakan pemenjaraannya akan menghantar mesej perubahan yang betul kepada anak-anak muda, Anwar juga bimbang nasibnya dalam penjara nanti. Lantaran itu, beliau merayu jika dipenjarakan sekali lagi agar dirinya tidak dipukul seperti dulu.

Sebenarnya sama ada Anwar dipenjara atau dibebaskan, arus perubahan akan terus mengalir lebih kencang. Memenjarakan Anwar tidak mencerahkan masa depan politik Najib dan membebaskannya pula tidak banyak memberi kelebihan kepadanya.

Ada yang merasakan setelah menyaksikan deretan masalah, isu dan beban disandarkan kepada rakyat sejak enam tahun ini, perubahan sudah tidak boleh dielakkan lagi. Ada pula yang merasakan UMNO kini sudah dihinggapi pelbagai penyakit tua dan hanya menunggu masa saja untuk digantikan.

Jika Anwar dipenjarakan, suara dalam diam yang mahukan Najib, UMNO dan BN ditumbangkan akan terus membesar dan menunggu masa saja untuk meletus. Ketikanya tidak lain ialah PRU 14 nanti.

Rakyat bukan saja akan menilai Anwar tidak diadili secara baik, bahkan akan membandingkannya dengan kes perbicaraan Altantuya Sharibu yang melibatkan rakan karibnya, Razak Baginda serta turut dikaitkan dengan dirinya juga. Penembusan pelbagai maklumat menyebabkan rakyat tidak mudah dibohongi.

Memenjarakan Anwar juga tidak menjadikan rakyat yang benci dengan Najib kerana tindakannya menaikkan harga barang, meningkatkan kos sara hidup serta menghapuskan pelbagai akta untuk menunjukkan keterbukaan dan liberalisme, berubah secara tiba-tiba menjadi sayang dan mendokongnya dengan sepenuh hati. 

Mahathir sendiri yang bermusuh dengan Anwar tetapi sudah menarik sokongannya terhadap Najib, turut tidak mungkin beralih memuji dan menyanjungnya semata-mata kerana Anwar sudah berada dalam penjara. Ini kerana yang dibangkitkan Mahathir berkaitan hutang 1MDB, pengurusan ekonomi, kewangan, hubungan kaum, kepimpinan yang lemah tiada kaitan sama sekali dengan Anwar.

Bahkan mungkin dengan beradanya Anwar dipenjara, lebih mudah lagi Najib disingkir atau ditumbangkan.

Kiranya Anwar dibebaskan pula, walaupun nama Najib mungkin menjadi sedikit harum di kalangan pengkritik antarabangsa dan dalam negara, tetapi ia tidak menyebabkan perubahan yang dimahukan rakyat jadi terhenti secara automatik. Gelombang perubahan mungkin juga menjadi lebih semerbak dan agresif.

Anwar sendiri pasti akan menguatkan lagi gabungan PR yang diasaskannya untuk menghadapi PRU akan datang jika didapati bebas kali ini. Beliau akan menjadikan pilihanraya akan datang peluang terbaiknya bersama PR menyingkirkan BN dan menjanjikan reformasi kepada rakyat.

Satu-satunya kelebihan Najib dengan pembebasan Anwar ialah dapat menunjukkan kepada dunia kesediaannya dan BN berhadapan secara "anak jantan" dengan PR dalam pilihanraya akan datang. Setelah dicabar berdebat sebelum ini pun tidak berani disahutnya, membebaskan Anwar sekurang-kurangnya tidaklah menunjukkan Najib selamanya seorang yang penakut.

Najib barangkali akan mendapat sedikit sanjungan atas keberanian itu. Beliau juga akan dibandingkan dengan Mahathir yang tidak berani berhadapan dengan Anwar, sebaliknya memilih untuk memecat dan menyingkirkannya daripada UMNO dan kerajaan pada 1998 dahulu.

Tetapi membebaskan Anwar juga akan menyebabkan Najib semakin kehilangan sokongan daripada kalangan yang sedia membenci dan menolaknya, terutamanya di kalangan ahli UMNO sendiri.

Apa pun hukuman pada 28 dan 29 Oktober nanti, ia mungkin hanya memberi kesan secara langsung kepada Anwar saja. Dipenjara akan menjadikan jasad terkurung tetapi jiwa tetap merdeka tetapi dibebaskan pula menyebabkan kedua-dua jasad dan jiwa jadi merdeka.

Kepada masa depan Najib, ia tidak banyak berbeza. Sama ada Anwar dibebas atau dipenjara, kelabunya tetap sama. Memenjarakan Anwar tidak menjadikan masa depan  Najib, UMNO dan BN cerah tiba-tiba atau menjadikan PR gelap gelita, manakala pembebasannya pula akan menjadikan agenda perubahan lebih terbuka serta menjadikan rakyat lebih berani mengharunginya. ( SH 24/10/2014)

Thursday 23 October 2014

Seperti Jokowi, UMNO Juga Harus Keluar Daripada Kepompong Bangsawan


Indonesia baru saja menerima  secara rasmi Joko Widodo atau Jokowi sebagai Presidennya yang ketujuh menggantikan Susilo Bambang Yudhiyono. Beliau mengangkat sumpah pada 22 Oktober lalu dan sekaligus mencatat sejarah sebagai presiden pertama yang datang daripada orang kebanyakan.

Sebelum menjadi Gabenor Jakarta, Jokowi hanyalah seorang jurujual perabot. Kejayaannya melaksanakan banyak pembaharuan di kota Jakarta, kerap turun padang, selesa menyantuni golongan miskin dan selalu memakai baju yang sama, merupakan antara resepi kejayaannya mengungguli 53 peratus undi dalam pilihanraya presiden yang lalu.

Sebelum Jokowi juga, semua enam presiden Indonesa sebelum ini datangnya sama ada daripada golongan keluarga ahli politik terkenal, ahli perniagaan mahu pun elit ketua tentera. Tetapi Jokowi tidak termasuk dalam semua kriteria itu. Belia hanya orang biasa yang bukan daripada keluarga dan keturunan siapa-siapa.

Sementara rakyat Indonesia kelihatan berbangga dengan perlantikannya serta berharap dapat mengaplikasi lebih banyak kejayaan sebagaimana yang pernah dilakukannya ketika menjadi Gabenor Jakarta, media-media antarabangsa juga memuji Jokowi.

Banyak media antarabangsa yang merasakan perlantikan Jokowi sebagai peluang terbaik untuk Indonesia melangkah lebih gagah ke hadapan kerana ia membuktikan kejayaan manusia biasa mencapai cita-citanya berdasarkan kebolehan, daya fikir serta merit di sebuah negara yang berpenduduk kira-kira 250 juta orang jumlahnya.

Tetapi di Malaysia, apa yang berlaku?  Kerajaan BN yang hanya memenangi 48 peratus undi popular dalam pilihanraya 2013, bukan saja tidak habis-habis dengan gelora dan caca-marbanya, malah masih terkepung dengan keinginan menonjolkan golongan tertentu saja sebagai ketuanya. 

Menjelang PRU 14 yang akan diadakan sebelum Mei 2018, sudah banyak diperbualkan ketika ini mengenai pengunduran Timbalan Perdana Menteri, Munyiddin Yassin daripada parti dan kerajaan.

Dengan usianya sudah menjangkau 68 tahun berbanding Najib yang berusia 61 tahun, Muhyiddin bukan saja dianggap sudah tua, malah mungkin sudah letih untuk terus mengejar impian menjadi Perdana Menteri. Beliau dikatakan sudah cukup gembira dapat bersara sebagai Timbalan Perdana Menteri saja.

Muhyiddin diperbualkan secara meluas akan digantikan oleh Hishammuddin, sepupu Najib yang mendapat tempat ketiga dan hampir kecundang dalam pemilihan Naib Presiden UMNO pada penghujung 2013 lalu. Selain Ahmad Zahid Hamidi dan Shafie Apdal yang selesa memenangi jawatan tersebut, Hishammuddin hanya berbeza sembilan undi saja dengan Mukhriz Mahathir yang berada di tangga keempat dan pertama kali menyertai persaingan kerusi nombor tiga UMNO itu.

Tidak seperti Indonesia yang sudah melangkah jauh dengan menobatkan orang kebanyakan sebagai ketua negaranya, UMNO jika terus berkuasa, jawatan utamanya masih lagi berlegar di kalangan kelompok bangsawan saja. Najib yang merupakan anak bangsawan dan anak bekas Perdana Menteri, bukan rahsia lagi lebih cenderung memilih sepupunya, juga anak bangsawan dan anak bekas Perdana Menteri sebagai penggantinya.

Meskipun tidak dinafikan kuasa melantik Timbalan Perdana Menteri adalah hak dan kuasa Perdana Menteri dan jika perlantikan itu dibuat sebelum pemilihan UMNO yang seterusnya, pastilah Timbalan Perdana Menteri akan menang secara percuma jawatan Timbalan Presiden UMNO. Tidak ada mana-mana pemimpin yang mahu menggantung diri dengan sedia mencabar seseorang yang sudah ditunjuk itu.

Itulah yang biasa dilakukan oleh UMNO sebelum ini, kecuali Anwar yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri setelah menang jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan 1993. Selepas Anwar, semua Timbalan Presiden UMNO dijadikan Timbalan Perdana Menteri terlebih dahulu dan mereka akhirnya mendapat jawatan itu tanpa mengeluarkan walau setitik peluk pun.

Jika benar Muhyiddin akan berundur sebelum atau selepas PRU 14 akan datang dan jika benar juga desas-desus dan khabar angin bahawa Hishammuddin akan dilantik sebagai pengisinya, bermakna Najib juga cuba memberikan jawatan nombor dua dan mungkin bakal pewarisnya dalam parti dan kerajaan secara percuma kepada sepupunya itu.

Sekali lagi walaupun ianya merupakan hak dan kuasa Najib tetapi dalam dunia berasaskan keterbukaan, kompetetif dan merit sekarang ini, jika benar Najib mahu melantik Hishammuddin sebagai pengganti Muhyiddin, ianya adalah langkah ke belakang yang bakal menjadi cemuhan dunia dan ditolak secara senyap oleh majoriti rakyat.

Walaupun beberapa Timbalan Perdana Menteri sebelum ini dilantik atas kedudukan undi ketiga sebagai Naib Presiden UMNO, era itu seharusnya sudah menjadi dinasour.  Dunia, zaman dan pemikiran rakyat sudah banyak berubah. Berdasarkan merit dan kompetetif tadi, jika Muhyiddin mahu berundur, penggantinya mestilah dipilih daripada Naib Presiden yang mendapat undi paling tinggi dan bukannya yang ketiga, kedua atau mengikut selera Perdana Menteri.

Dan sekiranya amalan itu tidak mahu dilakukan, seharusnya biarlah diadakan pemilihan jawatan Timbalan Presiden UMNO terlebih dahulu dan siapa yang menang barulah layak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Jika ingin dilihat relevan di mata rakyat, UMNO harus berani melakukan transfomasi ini dan ia juga langkah tepat menepati hakikat parti menguasai kerajaan. ( SH 23/10/2014)

Wednesday 22 October 2014

Azmin Juga Diminta Terjah Pusat Judi Dan Maksiat Di Selangor


Sudah kira-kira sebulan Azmin Ali menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Khalid Ibrahim.  Antara janjinya sebaik mengangkat sumpah, Azmin mahu menjadi pemimpin negeri yang lebih kerap turun padang bertemu rakyat daripada berada di pejabatnya yang berhawa dingin.

Beliau juga mahu dilihat lebih kerap berpakaian biasa daripada bertali leher dan memakai kot.

Untuk mencapai matlamat itu, pendekatan terjah atau turun padang secara tiba-tiba menjadi simbolik baru kepimpinannya. Tidak lama selepas memegang jawatan Menteri Besar Selangor, beliau telah melakukan terjahan ke pusat pelupusan sampah di Sungai Kertas dan menyerbu lori-lori tanpa permit yang sesuka hati membuang sampah di kawasan itu.

Permulaan yang dilakukannya itu sehingga digelar "Jokowi Malaysia" segera mendapat pujian dan sanjungan banyak pihak, apatah lagi dalam terjahan yang dilakukan itu, Azmin tidak menampakkan beliau berasa geli apabila masuk ke dalam longkang atau memanjat lori sampah yang kotor dan berbau masam itu.

Dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Beruntung dua hari lalu, Azmin sekali lagi melakukan terjahan ke kawasan itu untuk melihat sendiri apa yang berlaku serta mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM500 ribu untuk mengatasi masalah itu serta RM150 ribu lagi sebagai bantuan kepada 120 keluarga mangsa.

Sekali lagi, tindakan pantasnya menyelesaikan masalah rakyat menggamit pujian dan ucapan terima kasih. Ramai pengundi Selangor yang merasakan beliau mampu memberi perkhidmatan yang lebih baik untuk Selangor.

Namun demikian, di sebalik dua terjahan yang dilakukannya sehingga ini, ramai juga yang mengharapkan beliau tidak sekadar melihat isu sampah dan tanah runtuh saja sebagai sasarannya.

Isu lain yang menjadi kerisauan ramai di Selangor  ialah bercambah dengan meluasnya pusat judi haram, judi internet, pusat hiburan dan pusat maksiat yang berselindung di sebalik nama pusat urut atau refleksiologi.

Di kebanyakan bandar sedia ada atau bandar baru, pusat ini bercambah bagaikan cendewan tumbuh selepas hujan. Difahamkan pihak PBT hanya mengeluarkan permit kepada sebahagian kecilnya saja manakala selebihnya adalah tidak berlesen dan dibangunkan secara haram. Walaupun sudah banyak serbuan oleh pihak berkuasa, namun ia tetap tumbuh semula.

Sebenarnya, di sinilah berpuncanya segala macam masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat. Ia bukan saja melibatkan orang dewasa dan mereka yang sudah berkeluarga, tetapi turut melibatkan golongan remaja dan murid-murid sekolah.

Pertumbuhannya, sama ada yang berlesen atau haram, nyata membimbangkan ramai ibu bapa yang merasakan semakin sukar untuk mengawal ahli keluarga masing-masing daripada terjebak dalam kancah tidak sihat itu.

Berdasarkan laporan daripada setiap PBT, bukanlah sesuatu yang sukar untuk  beliau mengetahui antara  tempat yang berlesen dengan yang diuruskan secara haram. Sesetengah yang berlesen pula tidak mustahil menyelewengkan kebenaran yang diberi demi memperolehi keuntungan yang lebih berganda.

Di sinilah pentingnya Azmin melakukan banyak terjahan untuk menunjukkan seriusnya beliau menangani dan mengawal perkara yang sangat membimbangkan itu.

Kiranya Azmin dapat melakukan terjahan ke pusat judi dan maksiat ini, ia bukan saja menaikkan lagi namanya, bahkan pastinya menggembirakan lebih ramai pengundi dan ibu bapa di negeri Selangor ini.

Dengan pembangunan Selangor yang berkembang pesat, ramai yang mengharapkan Azmin tidak menunggu terlalu lama untuk melakukan terjahan ke tempat-tempat yang memberi lebih kesan buruk kepada masyarakat itu tetapi begitu terbuka perniagaannya. ( SH 22/10/2014)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...