Saturday 30 March 2013

Kemelut Isu Calon Masih Menjadi Halangan Buat Najib


Sementara tarikh pembubaran Parlimen masih menjadi penantian bagi rakyat, Najib selaku Pengerusi BN dan Presiden UMNO dilaporkan menghabiskan banyak masanya selama (Jumaat) untuk menemui ketua parti-parti komponen dan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri-negeri bagi memuktamadkan senarai akhir calon yang bakal dipilih bagi pilihanraya akan datang ini.

Beberapa ketua parti komponen dan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dilihat keluar maasuk menermui Najib di Bangunan Perdana Putra dan sebahagiannya dikatakan mengambil masa lebih satu jam untuk mengadakan perbincangan mengenai senarai calon itu.

Tidak seperti sebelumnya, baik di zaman Mahathir mahu pun Pak Lah, biasanya perbincangan mengenai calon ini dilakukan selepas pembubaran Parlimen diumumkan tapi Najib dilihat mengambil pendekatan sebaliknya iaitu menyelesaikan dahulu isu pemilihan calon sebelum pembubaran Parlimen diumumkan.

Langkah ini dipercayai diambil Najib kerana sebaik pembubaran diumumkan, beliau mahu menghabiskan sepenuh masa yang ada untuk turun ke negeri-negeri menemui rakyat dan memastikan kemenangan BN. Beliau juga akan memberi lebih tumpuan kepada Selangor kali ini dan menjadikan ianya sebagai keutamaan selain mengekalkan Putrajaya.

Sehingga isu pemilihan calon ini tidat dapat diselesaikan dengan sebaiknya, Najib dikatakan tidak akan membubarkan Parlimen dan inilah antara faktor yang menyebabkan beliau masih tidak berbuat demikian meskipun DUN Negeri Sembilan sudah pun terbubar secara automatiknya pada 28 Mac lalu.

Pertemuan semalam dilaporkan kritikal dan Najib dipercayai akan mengambil masa beberapa hari lagi untuk menemui ketua-ketua parti komponen BN dan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri-Negeri bagi menyelesaikan isu calon itu. Ia mungkin bersambung lagi pada hari ini dan berlarutan sehingga minggu depan.

Pihak yang dekat dengan UMNO memberitahu, Najib mendapat tekanan yang kuat daripada beberapa ketua parti komponen dan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri untuk menyenaraikan calon masing-masing yang terdiri daripada pemimpin UMNO bahagian serta daripada kalangan wakil rakyat yang sudah berkhidmat beberapa penggal. Alasan yang dihujahkan mengapa mereka mahu terus dikekalkan ialah kerana pengaruh di kawasan masing-masing dan bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya sabotaj jika mereka terbabit digugurkan.

Tindakan beberapa Pengerusi Perhubungan UMNO yang masih mahu menyenaraikan calon-calon lama dan berusia itu dikatakan menimbulkan rasa kurang senang Najib kerana beliau mahu segera mengaplikasikan keinginannya meletakkan calon-calon muda dan baru yang disifatkannya "winnable" di banyak kawasan dalam pilihanraya kali ini.

Namun apabila Najib diberitahu bahawa tindakan menggugurkan ramai calon-calon lama dan berusia bakal memungkinkan berlakunya sabotaj, bilik gerakan ditutup, jentera parti tidak bergerak dan berlakunya kemerosotan sokongan, beliau kini dilaporkan perlu menilai semula banyak perkara mengenai pemilihan calon ini bagi menyeimbangkan antara kemenangan yang boleh dicapai dan hasrat meletakkan calon-calon yang "winnable".

Isu calon juga dilaporkan masih menghantui dalam perbincangan dengan beberapa parti komponen di mana masing-masing dilaporkan mengemukakan pelbagai tuntutan yang sesetengahnya turut memeningkan kepala Najib sendiri terutama dari segi pemilihan kerusi yang mahu ditandingi.

Apa yang menarik dalam pilihanraya kali ini ialah meskipun persaingan dijangka getir hampir di semua kawasan Parlimen dan DUN tetapi keghairahan di kalangan pemimpin UMNO peringkat bahagian untuk menjadi calon turut meningkat sama. Bagi yang sudah bergelar wakil rakyat pula, ramai yang masih mahu dikekalkan meskipun sudah berkhidmat melebihi dua atau tiga penggal. Ada pemimpin UMNO bahagian mempunyai keghairahan tahap maksima untuk menjadi calon walaupun diketahui kawasan yang diintainya itu sudah diwakili oleh pembangkang sejak beberapa penggal lalu.

Ada pula yang melobi siang malam untuk menjadi calon di sesuatu kawasan walaupun harapan untuk menang amat tipis kali ini.

Sebenarnya terdapat beberapa faktor mengapa ramai pemimpin UMNO ghairah mahu menjadi calon. Ada kerana mahu berkhidmat, ada kerana kemaruk dengan gelaran YB dan disanjung di sana-sini, ada kerana untuk kepentingan perniagaan dan ada pula yang menjadikan tiket wakil rakyat sebagai landasan mengaut kemewahan dalam hidup. Bagi kawasan yang sukar untuk menang pula, ada yang ghairah mahu menjadi calon kerana merasakan inilah masanya untuk membuat "sedikit duit" sebab masa kempen itu nanti pelbagai sumbangan dan bantuan kewangan boleh dikaut daripada pelbagai sumber.

Dengan hanya menggunakan sebahagian saja sumbangan kewangan yang diperolehi untuk tujuan kempen, manakala selebihnya dijadikan simpanan peribadi, sebenarnya peluang menjadi calon pilihanraya juga boleh menjadi tiket untuk mengumpul kekayaan secara mudah bagi golongan ini.

Sumber yang dekat dengan UMNO itu memberitahu lagi, perbincangan mengenai calon ini mungkin memakan masa beberapa hari atau minggu lagi untuk diselesaikan dan selagi kemelut calon ini tidak dapat diselesaikan, selagi itulah tarikh pembubaran Parlimen tidak akan diumumkan.

Memandangkan Najib masih masih ada masa sehingga tarikh 28 April sehingga Parlimen terbubar dengan sendirinya dan ulangtahun keempat beliau menjadi Perdana Menteri pula ialah pada 3 April, ramai yang menjangkakan tarikh yang menjadi pilihan Najib untuk membubarkan Parlimen ialah antara 3 April hingga 28 April. (SH 30/03/2013)

Friday 29 March 2013

Ahli UMNO Lebih Berani Daripada Presiden UMNO


Di banyak tempat sekarang ini, perang poster sudah bermula. Bukan saja poster parti-parti pembangkang PR yang menunjukkan kesungguhan luar biasa mereka untuk menawan Putrajaya yang kelihatan berkibar megah, poster dan gambar dacing juga kelihatan di mana-mana seolah-olah Parlimen sudah dibubarkan. Keadaan ini kelihatan agar luar biasa berbanding pilihanraya sebelum ini di mana poster BN hanya banyak dipasang setelah Parlimen dibubarkan. Tetapi kali ini sebelum Najib membubarkan Parlimen lagi, perang poster sudah bermula.

Jika parti-parti pembangkang seperti Pas, Pkr dan DAP yang ghairah memasang poster di tepi-tepi jalan, di atas pokok dan di puncak bukit, ia tidaklah terlalu menghairankan kerana pilihanraya kali ini disifatkan peluang terbaik untuk mereka. Maka usaha dan kesungguhan dari awal lagi bukanlah sesuatu yang pelik.

Namun agak pelik juga bila UMNO dan BN turut berbuat demikian. Kebanjiran poster-poster BN ketika ini sudah mula kelihatan di pasang di beberapa jalan utama di sekitar WP, Selangor, Perak dan beberapa negeri lainnya. Poster yang memaparkan gambar calon juga turut kelihatan seolah-oleh mereka sudah pasti dipilih semula.

Walaupun DUN Negeri Sembilan sudah terbubar secara automatik dan tempoh lima tahun Parlimen juga sudah hampir berakhir, Najib masih lagi takut untuk membubarkan Parlimen. Kemeriahan perang poster ini juga masih lagi tidak merangsang keberanian Najib.

Sudah beberapa tarikh diramalkan Najib akan membubarkan Parlimen, tapi semuanya meleset. Terbaru Parlimen dikatakan akan dibubarkan selepas Jumaat hari ini, 29 Mac. Ada juga yang berkata pembubaran Parlimen akan dilakukan selepas LIMA yang berakhir 30 Mac ini. Entah betul entah tidak, tunggu sajalah. Selagi semangat berani tidak menjelma dalam diri Najib, selagi itulah Parlimen tidak akan dibubarkan.

Dengan berlakunya perang poster di banyak tempat sekarang ini, memperlihatkan seolah-olah ahli UMNO lebih berani daripada Najib sendiri. Mereka sudah berani memasang poster dan bersedia menghadapi pilihanraya walaupun Najib masih dalam ketakutan.

Keberanian itu juga seperti mereka sedang memerli Najib supaya segera membubarkan Parlimen. Bagi kebanyakan ahli UMNO, apa mahu ditunggu lagi. Jika dikira daripada tarikh mengundi pada pilihanraya lalu iaitu 8 Mac 2008, tempohnya sudah pun melebihi lima tahun. Tarikh 28 April yang dianggap rasmi sebagai genap lima tahun hanyalah berdasarkan tarikh sidang Parlimen yang pertama diadakan dan bukannya tarikh pilihanraya diadakan.

Lagi pula DUN Negeri Sembilan juga sudah terbubar dengan sendirinya. Bukan saja mengadakan pilihanraya begitu hampir dengan tempoh lima tahun sebagai memalukan Najib, bahkan tidak membubarkan Parlimen setelah sesebuah DUN terbubar juga amat mengaibkan bagi seorang Perdana Menteri sebenarnya. Ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Nama Najib akan tercatat dalam Hari Ini Dalam Sejarah dalam konteks ini.

Tetapi yang jelasnya, lagi lambat Parlimen dibubarkan, beban yang ditanggung Najib juga semakin berat. Pelbagai isu yang muncul kebelakangan ini menampakkan semuanya tidak memihak kepada Najib dan BN. Dalam masa yang sama, semangat parti-parti pembangkang juga semakin tinggi dan meningkat hari demi hari. Keyakinan mereka bahawa perubahan pasti akan berlaku kali ini menjadikan semangat dan daya juang mereka tidak pernah menurun.

Walaupun Mahathir yang diharapkan Najib akan membantunya dalam memastikan kemenangan BN kali ini, kadangkala bekas PM itu juga menyusahkannya. Sejak kebelakangan ini Mahathir banyak menyokong program dan dasar Najib, termasuk sanggup merasmikan buku biografi Rosmah Mansor dan menyatakan keadaan di mana DUN Negeri Sembilan terbubar dengan sendirinya tidak akan memberi kesan kepada BN walaupun ianya sebenarnya boleh dipertikaikan.

Mahathir juga sudah pergi ke banyak tempat berkempen memastikan supaya BN dipilih semula. Tetapi di ketika beliau pergi ke banyak tempat dan bercakap banyak perkara, kadang-kadang beliau juga menyusahkan Najib. Kenyataannya baru-baru ini yang menyatakan Najib terpaksa berundur jika gagal menunjukkan prestasi yang baik dalam pilihanraya akan datang sama-sekali tidak membantu Najib.

Kenyataan ini memperlihatkan bahawa Mahathir sudah mula memberi signal kepada pertukaran pemimpin selepas pilihanraya nanti. Ia menyerlahkan lagi hakikat Najib sebagai pemimpin yang lemah dan mesti ditukar. Meskipun Mahathir mulai diterima secara berbelah bagi oleh rakyat, namun pengaruhnya dalam UMNO masih ada. Cakapnya tentu saja mempengaruhi pemikiran kebanyakan ahli UMNO.

Oleh yang demikian, jika Mahathir sudah mula bercakap soal Najib perlu berundur, maka ianya akan menimbulkan perasaan berbelah bagi ahli UMNO terhadap Najib sendiri. Mereka mungkin berusaha untuk memastikan kemenangan BN tetapi bila-bila masa boleh menolak Najib selepas itu.

Najib tentunya tidak gembira dengan kenyataan Mahathir itu. Dalam keadaan pilihanraya makin hampir, kenyataan Mahathir itu tidak membantu Najib langsung. Ia hanya menguntungkan pesaing Najib dalam UMNO iaitu Muhyiddin Yassin yang hanya menunggu detik dan ketika yang sesuai untuk mengangkat kaki kanannya melangkah naik setakuk lagi dalam hireaki UMNO dan kerajaan.

Lagi lama Najib menangguh pilihanraya, mungkin lagi banyak bahana yang menimpanya. Mahathir juga mungkin bercakap macam-macam perkara lagi yang turut menyusahkan Najib, baik secara langsung mahupun tidak langsung. Semua ini berpunca daripada sifat penakut Najib. Jika beliau ada keberanian terhadap Mahathir dan tidak takut pula mengadakan pilihanraya lebih awal, semua ini mungkin tidak berlaku. (SH 29/03/2013)





Thursday 28 March 2013

Mampu Seorang PM Penakut Menambat Hati Rakyat?


Hari ini 28 Mac, DUN Negeri Sembilan secara automatik terbubar dengan sendirinya kerana sudah genap lima tahun sejak mandat diberi pada 2008 lalu. ADUN-ADUN Negeri Sembilan juga sudah kehilangan fungsi wakil rakyat masing-masing dan mereka tidak mempunyai apa-apa kuasa lagi. Kerajaan Negeri Sembilan juga sudah menjadi kerajaan sementara yang hanya difungsikan melalui kewujudan Menteri Besar dan 10 orang Exco Kerajaan Negeri.

Walaupun kerajaan masih dapat berjalan seperti biasa tetapi ianya hanyalah dari segi pentadbiran saja. Hal-hal lain dan perubahan dasar sudah tidak boleh dilakukan lagi kerana ia hanya kerajaan sementara.

Biasanya kerajaan sementara ini wujud apabila DUN dibubarkan dan hanya menunggu tarikh pilihanraya diumumkan oleh SPR. Tetapi kerajaan sementara Negeri Sembilan ini tidak dapat dipastikan kewujudannya untuk berapa lama, mungkin sehingga had maksima 60 hari kerana SPR sendiri tidak berani mengumumkan tarikh pilihanraya di negeri itu selagi Parlimen tidak dibubarkan.

Secara logiknya apabila sesebuah DUN terbubar dengan sendirinya, SPR harus segera bermesyuarat dan menentukan segera tarikh penamaan calon, tempoh berkempen dan pembuangan undi. Namun dalam konteks DUN Negeri Sembilan ini, SPR nampaknya relaks saja dan tidak terdengar apa-apa berita mengenainya.

Tempoh Parlimen terbubar dengan sendirinya ialah 28 April dan sekiranya Najib juga menunggu Parlimen terbubar dengan sendirinya sebagainya beliau sampai hati membiarkan DUN Negeri Sembilan terbubar dengan sendirinya, bermakna kerajaan sementara Negeri Sembilan akan berjalan dalam tempoh yang agak lama dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Dengan membiarkan sampai DUN sebuah negeri terbubar dan Najib masih juga tidak berani mengumumkan pembubaran Parlimen, beliau dengan sendirinya mengesahkan hakikat dirinya sebagai Perdana Menteri penakut dalam sejarah Malaysia. Tidak pernah mana-mana Perdana Menteri sebelum ini yang begitu takut untuk mengadakan pilihanraya bagi memberi ruang kepada rakyat menentukan mandat untuk lima tahun yang seterusnya.

Sebelum ini hanya Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang yang sering menyelar Najib sebagai Perdana Menteri yang penakut. Anwar menggambarkan Najib sebagai penakut kerana menolak berdebat dengannya, Najib juga dianggap penakut kerana sering mengikut telunjuk Mahathir dan Najib turut disifatkan penakut kerana terlalu memuja kuasa besar Amerika dan melakukan pelbagai cara untuk berbaik dengan kuasa besar itu. Lebih dari itu, Anwar juga menganggap Najib penakut kerana tidak berani menegur isterinya, Rosmah Mansor yang banyak melakukan pembaziran, membeli barangan mewah serta perhiasan yang mahal-mahal sehingga menimbulkan keresahan di kalangan rakyat.

Najib juga dianggap penakut kerana sering menunda tarikh pembubaran Parlimen sehingga ke penghujung tempoh. Walaupun Najib sudah bercakap mengenai pilihanraya, melakukan lawatan ke negeri-negeri dan mula memberikan pelbagai gula-gula sejak lebih dua tahun yang lalu tetapi beliau masih tidak berani mengumumkan Parlimen dibubarkan.

Jika dalam tempoh terdekat ini, Najib mengumumkan pembubaran Parlimen, sifat keberaniannya sudah hilang sebenarnya. Ini kerana pembubaran itu semata-mata dibuat kerana terpaksa sebab DUN Negeri Sembilan sudah terbubar dan tarikh akhir Parlimen terbubar dengan sendirinya makin hampir. Beliau tetap dianggap sebagai penakut.

Hari ini dengan membiarkan DUN Negeri Sembilan terbubar dengan sendirinya dan Parlimen tidak juga dibubarkan, Najib seperti menganugerahkan sijil penakut itu kepada dirinya sendiri. Di mata rakyat, moral politik beliau sebagai pemimpin dan Perdana Menteri sudah tidak membawa makna apa-apa lagi. Moral politiknya sudah jatuh dan hancur berderai.

Sebagai Perdana Menteri, salah satu satu ciri yang dicari-cari oleh rakyat ialah keberanian. Hanya keberanian yang membezakan seorang pemimpin yang hebat berbanding dengan pemimpinnya lainnya. Pemimpin umpama jenderal perang dan mereka wajib ada keberanian. Bahkan dalam mana-mana pertandingan pun, seorang ketua mesti memiliki keberanian. Seorang pemimpin atau ketua keluarga yang ada keberanian akan menjadikan orang dibawahnya merasa selamat dan tidak ragu-ragu bernaung dibawahnya.

Dengan menunjukkan kepada rakyat beliau tidak memiliki keberanian, markah Najib di mata umum tentunya sudah jatuh merudum. Beliau bukan saja meletakkan dirinya tidak lagi diyakini rakyat tetapi juga menjadikan kedudukan UMNO dan BN di Negeri Sembilan turut goyah. Terbubarnya DUN dengan sendirinya tetapi tarikh pilihanraya masih tidak diketahui tarikhnya, rakyat tentunya mulai bosan dengan corak kerajaan seperti ini dan mereka mempunyai kebarangkalian yang besar untuk menolaknya.

Dalam hal ini ramalan banyak pihak bahawa pentadbiran Negeri Sembilan akan beralih ke Pakatan Rakyat selepas pilihanraya akan datang adalah sesuatu yang tidak dapat ditolak lagi.

Dalam konteks Najib pula, dengan terdedahnya sifat penakutnya ini, peluangnya untuk memenangi pilihanraya akan datang terus menjadi kelabu. Rakyat mulai was-was dan tidak lagi meyakininya untuk terus memberi mandat untuk tempoh lima tahun akan datang. Setelah Mahathir dilihat begitu kuat berkempen untuk memastikan kemenangan BN dan kemudian Daim Zainuddin turut serta membantu Najib melalui serangan terbuka terhadap Anwar, keberanian yang tiada dalam diri Najib bakal menghalangnya daripada mengecapi mandat yang seterusnya daripada rakyat.

Dengan pelbagai masalah, isu dan tekanan yang dihadapi oleh negara sejak kebelakangan ini, hanya pemimpin yang mempunyai sifat keberanian yang dikehendaki rakyat. Ini kerana hanya pemimpin seperti itu yang boleh membuatkan rakyat hidup dengan aman dan selesa.(SH 28/03/2013)


Thursday 21 March 2013

Najib Sudah Terlepas Masa Terbaik Mengadakan Pilihanraya


Sudah dua tiga minggu kebelakangan ini ketibaan Najib ke Istana Negara pada pagi Rabu dispekulasikan sebagai tanda beliau akan membubarkan Parlimen. Malangnya Parlimen tidak juga dibubarkan. Kunjungannya ke Istana Negara mengadap Yang Dipertuan Agong pada setiap pagi Rabu sebenarnya hanyalah rutin yang wajib dilakukan sebelum mesyuarat kabinet diadakan.

Tetapi oleh kerana pilihanraya sudah terlalu lewat diadakan dan sudah menghampiri garisan penamatnya, maka rakyat amat ghairah menaka bilakah tarikh pilihanraya akan diadakan. Dulu tarikh pilihanraya dikaitkan dengan angka 11 yang menjadi kegemaran Najib tetapi setelah tiada lagi tarikh yang tinggal berkaitan dengan angka 11, ianya tidak lagi diperkatakan.

Kemudian pada setiap Rabu bila kereta Perdana Menteri memasuki Istana Negara, ia turut dikaitkan dengan tarikh pembubaran Parlimen tetapi akhirnya ia juga tidak menjadi kenyataan. Sekarang ini setiap hari diramalkan sebagai tarikh pembubaran Parlimen mengikut logik dan kepandaian masing-masing mencipta hujah yang boleh diterima akal. Namun sehingga ini tiada satu pun tarikh yang diramalkan itu betul.

Keghairahan rakyat tentang pilihanraya sebenarnya sudah bermula sejak 3 tahun lalu lagi. Beberapa bulan selepas beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada April 2009 dan ketika beliau sibuk memperkenalkan beberapa dasar dan slogan baru, ramai yang mengatakan ketika itulah sebenarnya masa yang sesuai untuk beliau mengadakan pilihanraya. Tahun 2010 atau 2011 di mana ketika namanya belum banyak tercalar adalah masa yang sesuai untuk mengadakan pilihanraya. Itulah tanggapan ramai.

Walaupun Najib berhujah bahawa beliau memerlukan lebih masa untuk membuktikan program transformasinya membuahkan hasil baru mengadakan pilihanraya, hakikatnya semakin masa berlalu berbagai perkara lain pula yang muncul. Terdedahnya skandal lembu NFC yang melibatkan Shahrizat, beberapa anak menteri yang membolot projek kerajaan, kemudian muncul pula Deepak, P Bala dan pelbagai isu lainnya telah menyebabkan peluang BN memenangi pilihanraya akan datang ini menjadi semakin tipis bersama berlalunya masa.

Jika selepas beberapa bulan mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan isu-isu tersebut belum muncul lagi, peluang Najib membawa kemenangan kepada BN mungkin lebih baik lagi. Hakikat itu sudah dibuktikan oleh Pak Lah yang tidak menunggu lama untuk membubarkan Parlimen sebaik mengambil alih jawatan daripada Mahathir pada 2003 dahulu.

Meskipun sekarang ini rakyat begitu ghairah menunggu tarikh pilihanraya dan Najib pula masih mencari-cari tarikh yang sesuai yang memungkinkannya mencipta kejayaan, sebenarnya masa yang tinggal ini semuanya tidak sesuai lagi untuk membuahkan kemenangan baginya. Najib mungkin hanya boleh memilih tarikh yang sesuai di antara tarikh dan masa yang tidak sesuai lagi.

Dengan pelbagai isu yang muncul sekarang manakala tahap kesiapsiagaan rakyat kepada perubahan pula sedang berada di puncaknya sekarang ini, apa pun yang dilakukan Najib tidak lagi memberi kesan kepada rakyat. Pembentangan Najib mengenai laporan tahun Program Transformasi Ekonomi baru-baru ini yang diharapkannya memberi impak kepada sokongan rakyat, ternyata hanya disambut hambar. Tidak ada rakyat yang teruja, malah media-media pro kerajaan juga seperti menyiarkan berita mengenainya tanpa jiwa. Ia hanya seperti berita kemalangan jalanraya atau kejadian curi motosikal yang boleh dibaca setiap hari.

Begitu juga pengumuman Najib mahu menjadikan BR1M sebagai inisiatif tahunan, langsung tidak disambut gembira oleh rakyat. Secara umumnya rakyat tahu bahawa pengumuman itu hanyalah satu bentuk pancing undi untuk pilihanraya dan kerana kekuatan pembangkang makin kuat hari demi hari. Jika pembangkang tidak makin kuat, ramai yang percaya tidak mungkin pengumuman itu terkeluar daripada mulut Najib.

Begitu juga dengan pelbagai program dan pengumuman yang dibuat oleh Najib. Ada saja isu yang dibangkitkan kemudiannya yang menjadikan ianya tidak memberi impak sepenuhnya sebagaimana yang diharapkan.

Bagi kebanyakan rakyat, pilihanraya kali ini adalah pilihanraya untuk perubahan. Selain janji-janji PR yang lebih menawan hati dan memberi logik di hati rakyat, perubahan juga merupakan satu-satunya jalan untuk menzahirkan pemimpin dan kerajaan yang benar-benar berorientasikan rakyat pada pada masa depan.

Walaupun PR belum terjamin 100 peratus mampu menjadi kerajaan yang lebih baik berbanding kerajaan sedia ada tetapi apabila perubahan dapat dimulakan, perubahan seterusnya menjadi lebih mudah untuk dilakukan berbanding jika terus mengekalkan kerajaan BN yang ada. Hakikatnya inilah keyakinan majoriti rakyat sekarang. Inilah juga keyakinan pengundi bukan Melayu. Sebab itu, agenda perubahan ini bergema di mana-mana.

Bersemaraknya keyakinan terhadap perubahan di kalangan rakyat ini antara puncanya adalah kerana penangguhan yang terlalu lama untuk mengadakan pilihanraya yang telah dilakukan oleh Najib. Dengan berlalunya masa, timbul pula berbagai isu, dibantu pula oleh kemunculan beberapa individu seperti Deepak, P Bala dan bapa Saiful Bukhari misalnya, sementara kebanyakan pemimpin kerajaan sendiri tidak menunjukkan iltizan perubahan, lantas menjadikan pekung dan kurap yang selama ini terlindung semakin kelihatan di mata rakyat.

Tidak berubahnya sikap pemimpin dan kerajaan dalam banyak perkara menyebabkan rakyat merasakan perlunya mereka diubah. Perubahan merupakan satu-satunya penawar yang diyakini rakyat untuk mengubati kebejatan pemimpin dan kerajaan yang ada.

Ketika ini, Najib mungkin sedang memikir-mikir tarikh dan masa yang sesuai untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihanraya. Harapannya bukan setakat menang tapi menang dua pertiga. Tetapi apa pun tarikh yang dipilihnya nanti, ia tidak mungkin mampu menghasilkan keputusan yang lebih baik berbanding jika pilihanraya diadakan pada tahun 2010 atau 2011 lalu. Semua tarikh dan masa yang tinggal adalah tarikh dan masa yang tidak sesuai dan tidak lagi memihak kepada Najib dan BN.

Tarikh dan masa yang sesuai untuk BN telah lama berlalu sebenarnya. Sisa-sisa tarikh yang tinggal ini hanyalah tarikh kematian saja. (SH 21/03/2013)

Wednesday 20 March 2013

Pemimpin MCA Pun Puji Pas Kedah


Kedah adalah salah sebuah negeri yang menjadi impian UMNO untuk ditawan semula dalam pilihanraya akan datang ini. Sementara beberapa pemimpn Pas dikesan sedang bermasalah dengan Menteri Besar, Azizan Abdul Razak tetapi UMNO Kedah juga sebenarnya ada masalahnya yang sama. Perebutan siapa yang bakal menjadi Menteri Besar jika UMNO menang masih menjadi duri dalam daging kepada UMNO Kedah.

Walaupun Bashah selaku Pengerusi UMNO Negeri sepatutnya menjadi Menteri Besar jika UMNO menang di negeri itu tetapi ketokohannya sebagai bakal Menteri Besar sentiasa diragui. Ini menjadikan ada yang merasakan Mukhriz Mahathir sebagai calon yang sesuai mengisi kerusi Menteri Besar, disamping Mahathir Khalid dan Jamil Khir Baharom turut dicanangkan untuk mengisi jawatan yang sama.

Dengan sekurang-kurangnya 4 pemimpin UMNO Kedah dibuai untuk menjadi Menteri Besar, risiko yang mendatang juga memungkinkan berlakunya sabotaj jika pemilihan calon Menteri Besar ini tidak ditangani dengan sebaik-baiknya.

Dr. Mahathir sendiri, walaupun berkeyakinan UMNO Kedah mampu menawan kembali negeri itu dalam pilihanraya akan datang tetapi tetap meletakkan syarat kejayaan hanya dapat dicapai asalkan tidak berlaku sebarang sabotaj daripada ahli dan pemimpin UMNO sendiri. Ini menggambarkkan bahawa Mahathir sendiri menyedari bahawa kemungkinan sabotaj itu berlaku amat besar sekali.

Sebagaimana yang disebut dalam posting terdahulu, Mahathir memang mengharapkan UMNO dapat menguasai kembali Kedah untuk memudahkan lagi laluan anaknya, Mukhriz yang kini menjadi Timbalan Pengerusi UMNO Kedah dan Timbalan Menteri MITI, mendaki perjalanan politiknya dalam UMNO.

Dengan kejayaan menawan semula Kedah, bintang Mukhriz akan menjadi lebih cerah sekiranya bertanding apa-apa jawatan dalam UMNO selepas ini, tidak kira sama ada beliau menjadi Menteri Besar Kedah atau tidak. Dan Kedah kini menjadi tumpuan Mahathir menyalurkan pengaruh dan wibawanya bagi tujuan itu.

Namun di sebalik semua pimpinan UMNO Kedah menumpukan kepada usaha menarik pengundi Melayu dan berusaha memantapkan lagi perpaduan dalam UMNO serta mengurangkan kemungkinan berlakunya sabotaj, pengundi bukan Melayu di Kedah nampaknya amat menyenangi kepimpinan kerajaan negeri Kedah yang diterajui oleh Azizan Razak itu.

Seorang pemimpin MCA yang ditemui berkata, kepimpinan Pas Kedah diterima baik oleh masyarakat bukan Melayu kerana sikap keterbukaan, tidak mengamalkan monopoli dan menerima sesiapa saja secara sama rata tanpa perbezaaan ideologi politik.

Pemimpin itu memberitahu, ketika UMNO berkuasa di Kedah dahulu, semua penganugerahan bintang dan darjah kebesaran negeri hanya dimonopoli oleh orang UMNO saja dan orang Pas tidak berpeluang langsung menerimanya tetapi sekarang dibawah pentadbiran Azizan, semuanya menjadi terbuka dan orang UMNO atau orang MCA juga turut berpeluang menerimanya.

Katanya, sikap keterbukaan kerajaan negeri itu juga berlaku dari segi pemberian kontrak kerajaan dan peluang perniagaan di mana sesiapa saja yang berkelayakan akan berpeluang menjalankan perniagaan di negeri Kedah sekarang ini.

Tambah pemimpin MCA itu, sikap kerajaan negeri ini amat bagus dan berbeza dengan ketika dibawah penguasaan UMNO dahulu. Ini semua membuka mata banyak pihak tentang siapa yang lebih bagus mentadbir negeri itu, kata pemimpin itu lagi.

Oleh yang demikian katanya, walaupun UMNO dan BN Kedah berusaha keras untuk menawan semula negeri itu tetapi sebenarnya kedudukan sebenar masih sukar diramalkan kerana ramai pengundi bukan Melayu dan atas pagar yang nampaknya lebih gembira dengan pentadbiran kerajaan Pas sekarang ini.

Sementara itu, keterbukaan Azizan ini turut juga diakui oleh beberapa rakan dalam UMNO dari Kuala Lumpur yang kini sedang menjalankan beberapa projek pembangunan di bawah kerajaan negeri Kedah. Mereka ini yang menghadapi kesukaran meneruskan perniagaan kerana adanya pilih kasih, berpuak-puak dan mengutamakan kroni di kalangan menteri dan pemimpin UMNO Pusat kini turut menjadikan Kedah sebagai lubuk baru mencari rezeki.

Mereka ini juga memuji pentadbiran Azizan yang disifatkan profesional, terbuka dan melangkaui sempadan politik dalam menguruskan pentadbiran negeri itu. (SH 20/03/2013)

Tuesday 19 March 2013

Keaktifan Mahathir Membuktikan Lemahnya Najib


Semakin dekat tarikh pilihanraya, semakin sibuk Mahathir ke sana dan ke sini. Beliau tidak saja sibuk mahu mempertahankan kuasa BN dan tidak mahu melihat Anwar menjadi Perdana Menteri, dalam masa yang sama beliau juga mahu memastikan anaknya berjaya menjadi Menteri Besar Kedah.

Mahathir kini sama sibuk seperti Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Beliau tidak saja pergi ke merata tempat berckap mengenai politik tetapi juga turut pergi ke Lahad Datu memberi sokongan moral kepada anggota pasukan keselamatan yang sedang bertugas mempertahankan kedaulatan negara di sana.

Dengan pergi ke Lahad Datu dan mencadangkan kampung air dirobohkan, Mahathir seperti ingin membersihkan dosanya memberikan ratusan ribu kad pengenalan biru kepada pendatang Filipina dalam tahun 90an dulu dengan tujuan menumbangkan PBS dan memastikan BN memenangi pilihanraya. Beliau mungkin mahu orangramai melupakan Projek IC itu dan kaitan dengan dirinya, tetapi selagi beliau cuba membasuh dosanya, semakin kerap dosanya itu diperkatakan orang.

Dalam usahanya memastikan kemenangan BN pula, Mahathir sudah pergi ke merata tempat dan semua negeri. Rayuannya ialah supaya semua pihak setia kepada parti, tidak melakukan sabotaj dan menyokong sesiapa saja yang dicalon dalam pilihanraya akan datang. Jika selepas pilihanraya 2004 Mahathir pernah berkata kemenangan BN yang terlalu besar tidak baik bagi rakyat kerana pemerintah bebas melakukan apa saja tetapi kini beliau merayu supaya BN diberikan kemenangan yang besar supaya dengan tertubuhnya kerajaan yang kuat, lebih banyak program pembangunan dapat dilakukan untuk rakyat.

Rakyat kadang-kadang jadi pening kapala dengan Mahathir ini. Cakapnya berbolak-balik dan sentiasa ada kepentingan. Ketika marah dengan Pak Lah, kejayaan yang terlalu besar dikatanya tidak baik tetapi di ketika BN hampir tumbang dikatanya pula kemenangan besar penting untuk mewujudkan kerajaan yang stabil.

Ketika berkuasa, beliau juga menyerang Pas tetapi ketika di pecat oleh Tunku Abdul Rahman dahulu dan kekurangan pentas untuk berucap ketika berkrisis dengan Pak Lah, beliau tidak kisah duduk sepentas dengan pemimpin-pemimpin Pas dan mengecam kepimpinan parti yang pernah menjadikannya Perdana Menteri.

Di Kedah, di mana anaknya Mukhriz sedang didendangkan untuk dijadikan Menteri Besar, Mahathir sudah beberapa kali merayu supaya ahli UMNO negeri itu bersatu hati, bekerja kuat dan tidak melakukan sabotaj. Terbaru ini beliau bukan saja yakin BN mampu menawan kembali Kedah tetapi juga melahirkan keyakinan mampu menawan 11 daripada 15 kerusi Parlimen di negeri itu.

Kemenangan di Kedah sebenarnya penting untuk imej Mukhriz untuk mendaki laluan politiknya dengan lebih jauh. Memang diakui Mukhriz sedang diprogramkan untuk menjadi pemimpin UMNO dan negara di masa depan tetapi jika UMNO terus tewas di Kedah, ia boleh menjadi halangan buatnya. Sebab itu, selain mahu memastikan BN terus menang, Mahathir juga mahu memastikan Kedah dapat ditawan semula. Hanya dengan cara itu saja anaknya dapat laluan yang selesa dalam pendakian politiknya.

Adalah dijangkakan semakin dekat tarikh pilihanraya dan semasa tempoh kempen nanti, Mahathir akan menjadi lebih sibuk atau sekurang-kurangnya sama sibuk dengan Najib. Jadualnya pasti padat dan sesiapa saja yang menjemputnya akan dipenuhi undangan itu. Jet yang membawanya ke sana sini akan bersimpang siur dan kerap berselisih dengan jet yang membawa Najib di ruang udara.

Meskipun penglibatan dan keaktifan semula Mahathir dalam politik selepas bersara mengundang persepsi yang pelbagai dan tidak dipastikan sejauh mana bertambahnya undi yang diperolehi, dalam masa yang sama tindakannya itu juga membuktikan lemahnya Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Mahathir seperti dapat merasakan bahawa Najib tidak mungkin berupaya menandingi kehebatan Anwar jika beliau hanya dibantu oleh pemimpin-pemimpin UMNO sedia ada saja.

Selain Najib yang dianggapnya lekeh, pemimpin-pemimpin UMNO sedia ada juga dianggapnya lekeh untuk berhadapan dengan Anwar.

Mahathir tetap merasakan beliaulah lawannya yang sesuai untuk Anwar, walaupun tindakannya menyingkirkan Anwar pada tahun 1998 dulu adalah kerana bimbang disingkirkan dalam pertandingan yang sah dalam UMNO.

Kelebihan Mahathir melalui darah yang mengalir dalam tubuhnya ialah kelicikannya. Mungkin dalam pilihanraya ini beliau juga sedang memikirkan untuk mencipta kelicikan lain pula bagi menewaskan musuh politiknya itu.

Kesibukan Mahathir menjelang pilihanraya ini juga menampakkan seperti beliau sedang berkongsi jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO dengan Najib. Kedua-dua mereka ini sedang berkongsi kekuatan untuk menumpaskan musuh yang satu iaitu Anwar.

Walaupun diketahui umum beberapa kepentingan yang ingin dipertahankan oleh Mahathir disebalik makin aktifnya beliau menjelang pilihanraya ini, orang juga melihat ia sebagai bukti Najib semakin lemas dan tidak berupaya lagi mempertahankan kekuasaan BN yang semakin terumbang-ambing dek pelbagai isu yang timbul satu persatu mengenai diri dan kepimpinannya.

Tetapi oleh kerana agenda perubahan makin kuat terutama di kalangan pengundi muda dan bukan Melayu, kehadiran Mahathir juga mungkin hanya sebagai kayu buruk yang menjadikan BN semakin hanyut ke lautan luas akhirnya. (SH 19/03/2013)



Sunday 17 March 2013

Tawan Kelantan: Hanya Angan-Angan 1Malaysia...


Jumaat lalu Najib sekali lagi melawat Kelantan. Ia dianggap lawatan terakhir Perdana Menteri ke negeri yang ditadbir oleh Pas selama 23 tahun itu sebelum Parlimen dibubarkan. Jika dalam lawatan terdahulu iaitu tidak sampai dua bulan yang lalu, Najib menaburkan 7 janji yang akan dilaksanakan oleh BN jika berjaya menawan Kelantan, dalam kunjungannya kali ini beliau menghuraikan pula 7 dosa yang telah dilakukan oleh Pas sejak mentadbir negeri itu.

Walaupun huraian Najib tentang janji dan dosa itu banyak yang boleh dipertikaikan dan tidak lebih sebagai serangan politik semata-mata tetapi yang jelasnya ia menggambarkan kesungguhan beliau mahu menawan kembali negeri Cik Siti Wan Kembang itu dan mengembalikannya ke pangkuan BN.

Selain mempertahankan Putrajaya dan menawan kembali Selangor di mana Najib juga merelakan dirinya menjadi Pengarah Pilihanraya negeri itu, nampaknya Kelantan juga turut menjadi sasaran Najib dalam pilihanraya kali ini.

Meskipun Najib nampak bersungguh mahu menawan kembali Kelantan tetapi banyak pihak yang ditemui sangsi dengan sasarannya itu. Sementara beliau menunjukkan kesungguhan ke arah itu, realitinya usaha beliau itu tidak disambut sepenuhnya oleh pemimpin-pemimpin UMNO Kelantan sendiri.

Kebetulannya Jumaat lalu, saya juga berada di Kelantan dan menyaksikan dari dekat senario politik yang sedang berlaku di negeri itu ketika ini. Walaupun saya tidak hadir di mana-mana majlis yang dihadiri Najib pada hari itu, tetapi apa yang dapat disaksikan dengan mata kepala sendiri mengenai perilaku pemimpin UMNO sendiri sebenarnya amat menyedihkan sekali.

Di sebalik meriahnya sambutan yang diterima Najib di Kuala Krai, Tanah Merah dan Kota Bharu, sebenarnya sikap berpuak-puak dan politik cah keting amat jelas dalam politik negeri Kelantan ini. Tindakan sambil lewa, memulaukan majlis dan tidak menunjukkan komitmen amat jelas dapat dilihat.

Dalam program Najib di Kota Bharu pada petang Jumaat itu misalnya, didapati tidak semua Ketua UMNO Bahagian dan wakil rakyat turut menghadirinya. Beberapa pemimpin yang tidak hadir dan seolah-olah tidak memberi sokongan moral kepada majlis di Kota Bharu itu di mana Ketua UMNO Bahagiannya ialah Fatmi Che Salleh yang juga Setpol Perdana Menteri, didapati hanya duduk bersantai-santai dan berbual-bual kosong di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Antara mereka itu termasuk Ketua UMNO Bahagian, Timbalan Ketua UMNO Bahagian dan wakil rakyat. Mereka ini tidak menghadirkan diri di majlis yang dihadiri Najib di Kota Bharu tetapi hanya menunggu di lapangan terbang untuk bersalam dan menunjukkan muka ketika Najib mahu berlepas pulang ke Kuala Lumpur selepas itu.

Beberapa ahli UMNO yang ditemui di lapangan terbang itu memberitahu, perkara seperti ini sudah menjadi kebiasaan sejak dahulu lagi dalam politik Kelantan. Mereka ada puak-puak sendiri dan hanya menghadiri majlis yang melibatkan puak mereka saja. Jika majlis oleh puak lain, mereka tidak akan menghadirinya dan lebih rela menghabiskan masa bersantai-santai bersama penyokong sendiri di tempat yang lain.

Tetapi tambahnya, dalam bab menyambut ketibaan Perdana Menteri atau menghantarnya pulang, mereka inilah yang sering berebut-rebut menunjukkan muka dengan harapan terus dipilih sebagai calon dalam pilihanraya akan datang ini.

Ketika di lapangan terbang itu juga, semasa isteri Perdana Menteri tiba kira-kira setengah jam sebelum ketibaan Najib, mereka ini turut berebut-rebut untuk bersalam dan ada setengahnya yang turut mencium tangan Rosmah Mansor yang pada patang itu memakai baju kurung berwarna putih susu.

Kemudian kira-kira setengah jam kemudian apabila Najib tiba di lapangan terbang Sultan Ismail Petra untuk berlepas pulang ke Kuala Lumpur, sekali lagi pemimpin dan wakil rakyat UMNO yang tidak hadir di majlis di Kota Bharu itu menampakkan wajah mereka di depan Najib seolah-olah kesetiaan mereka kepada UMNO tidak perlu diragui lagi.

Daripada gambaran ini, jelas bahawa sikap berpuak-puak dalam politik UMNO Kelantan amat sukar untuk dihapuskan. Walaupun Najib bersungguh mahu menawan kembali negeri itu, ramai yang tidak meyakininya berdasarkan sikap dan perangai pemimpin UMNO itu sendiri. Malah ada yang menggambarkan harapan Najib untuk menawan Kelantan bakal menjadi angan-angan 1Malaysia sahaja.

Dalam perbualan dengan banyak pihak di Kelantan, gambaran yang terpapar ialah pemimpin UMNO Kelantan sebenarnya lebih gemar negeri itu dikuasai oleh Pas berbanding daripada ia dikuasai oleh BN. Ini kerana jika dikuasai Pas, pemimpin UMNO merasakan mereka mempunyai akses terus dengan pemimpin Pusat berbanding jika di negeri itu kuasai oleh BN yang tentunya menyebabkan semua pengaruh, kuasa dan peruntukan akan berpusat di pejabat Menteri Besar pula.

Selama ini pun ramai pemimpin Kelantan menikmati kemewahan dan keselesaan berbanding rakan-rakan mereka di negeri lain kerana kelebihan akses terus dengan pelbagai pemimpin di peringkat Pusat itu.

Dalam masa yang sama, ada juga dakwaan mengatakan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Mustapa Mohamed sendiri dikatakan tidak seserius mana untuk menawan kembali negeri itu daripada Pas. Mustapa dikatakan lebih banyak menumpukan kepada kawasan Parlimen Jeli, dengan banyak peruntukan dan pembangunan hanya ditumpukan di kawasan itu sahaja manakala penglibatannya di kawasan lain dilihat hanya sebagai memenuhi syarat semata-mata.

Yang dipentingkan bagi Mustapa ialah selagi beliau menang di Jeli, selagi itulah beliau akan kekal sebagai menteri sekurang-kurangnya untuk tempoh satu atau dua penggal lagi. Menang di Jeli nampaknya hasilnya tetapi berusaha menawan semula Kelantan belum tentu untung ruginya lagi.

Sementara Najib bersungguh-sungguh mahu menawan Kelantan dan menyerang Pas dengan pelbagai isu, hakikatnya harapan beliau itu lebih mudah menjadi angan-angan berbanding kenyataan. Ii digagalkan oleh pemimpin UMNO Kelantan sendiri. (SH 17/03/2013)

Wednesday 13 March 2013

Najib dan Mahathir Pensabotaj Utama UMNO Dalam PRU 13?


Siapa sebenarnya pensabotaj UMNO dalam pilihanraya akan datang? Persoalan ini sentiasa bermain di fikiran banyak pihak. Sementara ada yang berpendapat ia terdiri daripada kalangan pemimpin yang tidak terpilih sebagai calon, lalu merajuk, menutup bilik gerakan dan mengalih sokongan kepada parti lain, ada yang merasakan pensabotaj juga mungkin daripada kalangan ahli yang tidak bersetuju dengan pemilihan seseorang sebagai calon.

Namun daripada kedua-dua golongan itu, sabotaj daripada kalangan pemimpin yang kecewa dan merajuk adalah lebih besar kesannya kepada parti dalam usaha mencari kemenangan dalam pilihanraya nanti.

Najib pula, dalam usaha mahu memenangi pilihanraya, nampaknya amat menyedari kemungkinan unsur sabotaj ini menjadi halangan utama kepadanya untuk mencapai kemenangan. Lantaran itu, selain sering mengingatkan pemimpin dan ahli UMNO dan komponen BN lainnya agar mengutamakan parti dan kekal setia sama ada terpilih atau tidak sebagai calon, beliau juga meletakkan pemantau di setiap bahagian yang terdiri daripada perwakilan G7 untuk melaporkan tentang sesiapa saja yang didapati menyeleweng daripada perjuangan parti semasa pilihanraya nanti.

Beliau yang begitu teruja untuk meletakkan calon-calon "winnable" dan tidak mahu terikat dengan kedudukan seseorang dalam parti sebagai asas memilih calon pilihanraya, dalam masa yang sama juga amat bimbang sekiranya berlakunya unsur sabotaj ini. Dengan kedudukan yang kritikal sekarang dan kekuatan antara BN dan PR pula agak seimbang hampir di semua kawasan, adanya perbuatan sabotaj tentu saja memungkinkan calon BN akan menerima kekalahan di tangan lawan.

Inilah yang sebenarnya yang amat membimbangkan Najib dan menjadi salah satu sebab mengapa tarikh pilihanraya ditangguhkan sehingga kini. Walaupun kedudukan UMNO dan BN amat genting, tetapi keghairahan di kalangan pemimpin dan ahli parti yang "perasan" merekalah paling sesuai sebagai calon pilihanraya, tidak pernah ada surutnya. Dalam sering melaungkan "Hidup UMNO" dan perjuangan sentiasa berteraskan agama, bangsa dan negara, hakikatnya perjuangan untuk kepentingan peribadi sering mendahului segala-galanya di kalangan sebahagian besar pemimpin UMNO.

Keghairahan mahu menjadi wakil rakyat bukan saja berlaku di kalangan mereka yang baru menjadi pemimpin dan tidak pernah menjadi calon tetapi juga di kalangan yang sudah lama bergelar YB dan tidak lagi dilihat "winnable".

Masalah Najib ialah bagaimana beliau mahu meminimakan kemungkinan berlakunya sabotaj ini.

Tetapi sementara Najib melihat unsur sabotaj di kalangan pemimpin dan ahli UMNO, beliau juga harus melihat kepada dirinya sendiri. Keghairahan yang terlampau untuk meletakkan calon-calon yang dianggapnya "winnable" dan di luar daripada lingkungan UMNO, turut memungkinkan berlakunya sabotaj juga.

Sekarang ini, golongan pelompat-pelompat politik yang berada di sisi Najib amat ramai. Ada yang pelompat jauh, pelompat tinggi namun yang ramainya adalah pelompat katak. Mereka pelompat jarak dekat saja. Antara mereka ialah Ibrahim Ali, Ezam Mohd Nor, Zulkifli Nordin, Nasharuddin Md Isa, Dr Hassan Ali dan ramai lagi.

Sebahagian mereka ini dilihat begitu rapat dan menjadi "primadona" di sisi Najib. Mereka sering saja berada bersama Najib terutama dalam lawatan-lawatan ke luar negara. Sebahagian yang lain pula menonjolkan diri dengan keaktifan menyerang Anwar Ibrahim, Pas dan Pakatan Rakyat dengan pelbagai hujah dan logik yang difikirkan munasabah.

Ada kemungkinan sebahagian mereka ini akan dicalonkan mewakili BN dalam pilihanraya nanti. Dikatakan bahawa pemilihan mereka sebagai calon kerana dianggap "winnable" dan juga kerana telah menyumbang jasa yang besar dalam mengkucar-kacirkan pembangkang melalui pelbagai dakwaan yang dibuat sebelum ini.

Ezam, Zulkifli Nordin dan Dr Hassan Ali dilaporkan akan menjadi calon BN di Selangor manakala Ibrahim Ali pula dijangka akan diletakkan di Pasir Mas, Kelantan. Nasharuddin pula dikatakan akan menjadi calon BN di Kedah berdasarkan pengetahuan agamanya. Sementara Ezam sudah menjadi ahli UMNO, Ibrahim Ali, Zulkifli Nordin dan Dr Hassan pula tidak menyertai mana-mana parti dan hanya bergerak melalui NGO Perkasa dan Jati manakala Nasharuddin masih menjadi ahli Pas.

Jika mereka ini dipilih sebagai calon BN berdasarkan kritirea "winnable" yang sering dilaungkan Najib, ia sedikit-sebanyak tentunya akan menyebabkan ada pemimpin dan ahli UMNO di sesuatu kawasan itu merasa kecewa dan kecil hati. Mereka akan merasa dipinggirkan dan pengorbanan berhujan, berpanas dan berjaga malam selama ini langsung tidak dihargai. Kebarangkalian untuk melakukan sabotaj juga adalah tinggi.

Dalam hal ini, jika berlaku sabotaj ia tentulah berpunca daripada tindakan Najib sendiri.

Dalam kes Mahathir pula, walaupun beliau dilihat begitu gigih berkempen mahu memastikan kemenangan BN dan tidak mahu melihat Anwar menjadi Perdana Menteri, tindakannya yang terlalu rapat dan menyokong Perkasa juga merupakan sabotaj kepada UMNO dan BN. Ini kerana Perkasa dilihat tidak begitu disenangi oleh pengundi bukan Melayu, malahan MCA dan MIC yang menjadi ahli komponen BN juga sudah beberapa kali "bertegang leher" dengan Perkasa dalam beberapa isu.

Tindakan Mahathir yang terlalu merapatkan diri dengan Perkasa boleh juga menyebabkan pengundi bukan Melayu langsung tidak teringin kepada BN. Ini tentunya menyebabkan ramai calon BN terhalang daripada mendaat kemenangan kerana kekurangan sokongan pengundi bukan Melayu. Mahathir dalam hal ini telah melakukan sabotaj kepada parti.

Dalam masa yang sama, tindakan Mahathir hadir dan berucap dalam suatu perhimpunan Perkasa di Pasir Mas baru-baru ini dan seolah-olah merestui agar Ibrahim Ali dipilih sebagai calon BN di kawasan itu juga boleh mencetuskan unsur sabotaj kepada UMNO dan BN. Jika Ibrahim dipilih sebagai juga sebagai calon yang dibenarkan menggunakan lambang BN walaupun beliau bukan ahli UMNO dan pernah menentang UMNO sebelum ini, ini tentunya menyebabkan pemimpin dan ahli UMNO Pasir Mas berasa kecewa dan tidak mahu mengundinya.

Jika mereka melakukan sabotaj, ia adalah tindakan yang wajar berdasarkan kesetiaan kepada parti selama ini. Tetapi dalam konteks pilihanraya dan perkiraan Najib, mereka mungkin akan dikenakan tindakan disiplin.

Tetapi bolehkah mereka dipersalahkan sepenuhnya?

Hakikatnya, sementara Najib berusaha keras mahu mempertahankan kuasa Perdana Menterinya dan Mahathir pula sibuk mahu mengekalkan kuasa BN, tindakan mereka juga kadangkala cenderung kepada tercetusnya perbuatan sabotaj dalam parti. (SH 13/03/2013)

Monday 11 March 2013

Ramai Pemimpin UMNO Bahagian Bakal Kena Pecat


Selain sokongan rakyat yang masih tidak menentu terhadap UMNO dan BN, masalah lain yang turut memeningkan kepala Najib yang kini dianggap sedang memimpin sebuah kerajaan sementara kerana sudah melebihi tempoh lima tahun ialah kemungkinan berlakunya sabotaj daripada kalangan ahli dan pimpinan UMNO sendiri. Jika unsur sabotaj berlaku di banyak kawasan Parlimen atau DUN dan menyebabkan beralihnya beberapa ratus undi, harapan BN untuk mengekalkan Putrajaya tentunya menjadi semakin tipis.

Walapun perbuatan sabotaj ini telah diperingatkan banyak kali, sama ada oleh Najib mahupun lain-lain pemimpin tetapi realitinya ia sangat sukar dibendung terutama di kalangan pemimpin yang sentiasa bernafsu tinggi sama ada untuk menjadi calon ataupun mahu kekal lagi bergelar Yang Berhormat.

Di beberapa negeri kini bukan saja terlihat keghairahan beberapa pemimpin yang sedang berusaha menonjolkan diri sebagai calon, bahkan sudah mulai kedengaran ungkapan-ungkapan kata yang berbaur ugutan terhadap parti jika mereka tidak terpilih sebagai calon.

Di WP di mana seorang Ketua UMNO Bahagian yang sedang ghairah mahu menonjolkan diri dan sedang bersaing dengan parti komponen lain untuk menjadi calon, kata-kata ugutan ini boleh didengar dengan jelas sekali. Ada yang menyatakan jika calon MCA juga yang terpilih, sebahagian besar ahli UMNO tidak akan turun mengundi kali ini.

Hujah yang digunakan ialah kerana kononnya UMNOlah yang berusaha keras mengadakan pelbagai program bertemu rakyat dan menggerakkan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan itu sejak lebih 4 tahun lalu.

Sementara di kalangan penyokong yang lebih fanatik pula berkata, jika Najib kekal juga menurunkan calon MCA kali ini, sebahagian jentera PDM tidak akan berfungsi sepenuhnya kerana mereka tidak mahu lagi bekerja untuk pilihanraya kali ini.

Di Selangor pula, terdapat seorang ADUN yang sudah pun memasang poster bergambarnya dengan lambang dacing di merata-rata kawasan seolah-olah beliau sudah pasti menjadi calon walaupun hakikatnya tarikh pilihanraya belum ditentukan dan pemilihan calon pula belum lagi dimuktamadkan.

Beberapa orang kanan ADUN berkenaan yang ditemui berkata, pemasangan poster itu adalah merupakan taktik ugutan halus ADUN berkenaan kepada pimpinan UMNO negeri dan Pusat bahawa beliau sudah bersedia sepenuhnya untuk dipilih semula dan telah mengeluarkan belanja yang besar bagi tujuan tersebut.

Ia juga mengandungi mesej tersirat bahawa sesuatu yang boleh memudaratkan masa depan UMNO akan berlaku jika beliau tidak terpilih semula memandangkan kemenangan yang diperolehinya dalam pilihanraya lalu adalah dengan majoriti yang kecil sahaja. Dan dalam pilihanraya kali ini, nama ADUN berkenaan sedang diheboh bakal digugurkan dan akan digantikan dengan calon lain yang mempunyai hubungan rapat dengan salah seorang pemimpin UMNO Selangor.

Di sebuah negeri di utara pula, seorang Ketua UMNO Bahagian bertindak lebih berani kerana secara terbuka mengatakan jika beliau tidak dipilih kali ini, di kawasan Parlimennya saja beliau boleh memastikan sekurang-kurangnya 1,000 penyokongnya sama ada tidak turun mengundi ataupun mengalihkan sokongan kepada calon PR.

Oleh kerana majoriti kemenangan calon PR di kawasan itu dalam pilihanraya lalu pula kurang daripada 1,000 undi, ugutan beliau itu tentunya menipiskan lagi peluang UMNO dan BN negeri itu untuk mencapai kemenangan kali ini.

Di sebuah negeri di utara juga, seorang Ketua UMNO Bahagian yang sudah dua penggal menjadi wakil rakyat, turut mennghebohkan kepada rakan-rakan rapatnya bahawa beliau akan bertanding Bebas jika digugurkan dalam pilihanraya ini.

Biar sama-sama putih mata, katanya lagi yang sesekali turut mengkritik pendekatan Najib yang dilihatnya terlalu ghairah mahu menonjolkan calon daripada luar kepimpinan UMNO Bahagian tanpa memikirkan pelbagai kesan yang mungkin timbul daripadanya.

Di beberapa negeri lain juga masalah yang sama sedang selama. Semua pemimpin UMNO bahagian dilihat sedang berlumba-lumba mahu menjadi calon tanpa memikirkan sama ada mereka "winnable" atau sebaliknya. Bagi mereka, sebagai pemimpin yang sedang memegang jawatan dan bekerja siang malam untuk UMNO selama ini, maka mereka sepatutnya diberi diutamakan dalam kriteria pemilihan calon pilihanraya oleh Najib.

Jika keghairahan menjadi calon ini tidak terbendung lagi dan akhirnya hasrat itu tidak dapat ditunaikan oleh pucuk pimpinan, mereka ini mungkin bertindak di luar pertimbangan demi memuaskan nafsu sendiri. Mereka mungkin melakukan sabotaj, tidak menggerakkan jentera pilihanraya, menghasut penyokong supaya tidak keluar mengundi, bertanding sebagai calon Bebas dan sebagainya lagi.

Oleh kerana Najib sudah mengingatkan berulangkali tentang perbuatan sabotaj ini, bahkan sudah pun melantik pemantau di setiap bahagian untuk tujuan itu, tidak dapat dielakkan bahawa selepas pilihanraya nanti akan menyaksikan ramai pemimpin dan ahli UMNO yang akan diambil tindakan, termasuk dipecat atau digantung keahlian mereka.

Sejauh mana sabotaj ini akan berlaku atau sebaliknya, bergantung kepada kebijaksanaan Najib dalam menentukan pemilihan calon nanti dan setakat mana kesan sabotaj itu memberi kesan kepada kemenangan atau kekalahan UMNO dan BN, sama-sama kita tunggu Najib membubarkan Parlimen yang kini sudah pun melewati tempoh lima tahun sebenarnya. (SH 11/03/2013)

Sunday 10 March 2013

Mahathir Patut Belajar Dengan Mama Juwie...


Secara tidak sengaja saya menonton Berita TV3 di sebuah restoran semalam yang menyiarkan komen Mahathir mengenai lagu Tanya Sama Najib yang sering dinyanyikan oleh Anwar ketika berkempen di Sabah sejak beberapa bulan lalu. Dengan penuh yakin bekas Perdana Menteri itu bersetuju bahawa senikata lagu nyanyian Anwar itu ada kaitan dengan apa yang sedang berlaku di Sabah sekarang sambil memberikan logik-logik yang tidak logik untuk menyokong hujahnya-hujahnya.

Malam sebelumnya, saya juga difahamkan melalui TV3 juga, Ahli Parlimen PKR yang sudah melompat menjadi Bebas, Zulkifli Nordin turut mengaitkan isu lagu itu dengan keyakinannya bahawa Anwar memang bersubahat dengan kumpulan penceroboh Sulu yang sedang menyerang Lahad Datu dan Semporna sekarang ini.

Menurut beliau, oleh kerana Anwar sering menyanyikan lagu itu dan kemudian berlaku pencerobohan di Lahad Datu, kaitannya tidak dapat dinafikan lagi. Yang menjadi isu ialah perkataan hilang dalam senikata lagu itu. Bagi sesiapa yang mendengar lagu yang sering dinyanyikan oleh Anwar itu, mereka pasti akan memahami bahawa ia adalah dalam konteks politik Sabah semata-mata di mana beberapa pemimpin UMNO dan BN sudah meninggalkan parti dan menyokong PR dan tiada kaitan langsung dengan insiden di Lahad Datu.

Lagu itu juga sering dinyanyikan setelah Anwar menghuraikan dengan panjang lebar tentang kelemahan Najib dan kaitannya dengan tindakan beberapa pemimpin Sabah yang sudah keluar parti itu. Ia jua dikaitkan dengan kekerapan Najib melawat Sabah sejak kebelakangan ini. Dan sebagai tarikan untuk kempen ceramahnya, maka Anwar menyanyikan lagu itu. Semua orang memahami ianya hanya dalam konteks politik Sabah yang mana BN akan kehilangan banyak kerusi berbanding kedudukannya yang dianggap "fixed deposit" selama ini.

Senikata lagu yang dinyanyikan Anwar itu berbunyi, " Tanya sama Najib, apa sebab goyang. Nanti jawab Najib, Sabah nak hilang". Rupa-rupanya setelah gagal mengaitkan Anwar sebagai dalang di sebalik pencerobohan Lahad Datu pada peringkat awalnya sehingga beberapa tindakan saman sudah diambil, lagu ini pula yang digunakan sebagai senjata baru untuk menyerang Anwar dan memperbodohkan rakyat.

Kalau setakat Zulkifli Nordin yang bercakap menggunakan hujah lagu Tanya Sama Najib itu untuk mengeliru dan memperbodohkan rakyat, ia memanglah tidak menghairankan kerana beliau memang diketahui tidak berapa cerdik akalnya. Zulkifli sepertimana yang pernah dikenali rapat oleh rakan saya, Mohd Sayuti Omar, beliau memang diketahui sanggup berbohong dan memutarbelitkan pelbagai perkara sehingga menurut beliau, di depan Kaabah dan Masjid Nabawi pun beliau sanggup berbohong dan tidak bercakap benar.

Oleh itu, jika sekadar tahap pemikiran Zulkifli Nordin yang menggunakan hujah lagu itu, ia tidaklah begitu memeranjatkan tetapi apabila Mahathir sendiri sedia menggunakan hujah yang sama, nampaknya tahap pemikiran Mahathir sekarang tidak jauh bezanya dengan Zulkifli Nordin juga.

Dalam hujahnya, Mahathir berkata, beliau hairan kenapa dalam lagu itu Anwar menyebut perkataan hilang dan bukan perkataan kalah yang menurutnya lebih sesuai jika semata-mata berkaitan kemungkinan BN kalah banyak kerusi di Sabah. Nampaknya Mahathir tidak berjiwa seni dan tidak memahami pentingnya keindahan bahasa dalam senikata lagu.

Dalam konteks lagu Tanya Sama Najib, senikata yang digunakan seperti bahasa dalam rangkap pantun yang memerlukan bunyi perkataan yang sama di penghujung ayat. Sebab itu perkataan hilang digunakan dan bukannya perkataan kalah.

Untuk lebih memahami keindahan bahasa dalam senikata lagu, ada baiknya Mahathir belajar mengenainya dengan Puan Habsah Hassan atau Mama Juwie untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenainya.

Ataupun untuk memperolehi bukti yang cepat, cubalah Mahathir pergi menyanyi di mana-mana pusat karaoke atau menyanyi dalam bilik air di rumahnya dan cubalah mendendangkan lagu Tanya Sama Najib itu secara perlahan-lahan tetapi menggantikan perkataan hilang dengan perkataan kalah sebagaimana yang disebutnya itu. Apakah lagu itu menjadi bertambah sedap atau kedengaran sumbang?

Ketika iu Mahathir pasti akan memahami kenapa perkataan hilang lebih sesuai digunakan untuk lagu tersebut.

Sebenarnya menggunakan lagu Tanya Sama Najib ini sebagai senjata untuk menyerang Anwar tidak lebih memperlihatkan UMNO semakin kehabisan modal sehingga terdesak mengaitkan apa saja perkara untuk memburukkan Anwar dan memastikannya ditolak dalam pilihanraya akan datang. Ini juga menjadikan nilai dan makna dalam seni berpolitik sudah mulai terhakis, termasuk dalam diri Mahathir sendiri. Ia tidak lain berpunca daripada ketakutan yang melampau akan tumbangnya BN sehingga kadangkala sanggup melakukan perkara yang tidak logik dan ditertawakan secara sinis oleh rakyat terbanyak.

Kesediaan Mahathir menyeret dirinya dalam hujah paling hampas dengan menggunakan lagu itu untuk menyerang Anwar hanyalah merendahkan nilai dirinya sekarang ini. Malah ada yang menyamakannya kini tidak jauh berbeza dengan Zulkifli Nordin yang bakal jadi "kupang tembaga" selepas pilihanraya nanti. (SH 10/03/2013)



Saturday 9 March 2013

Ruang Untuk Najib Memimpin Kemenangan BN Makin Terhimpit


Semalam apabila bapa Saiful Bukhari tampil memohon maaf kepada Anwar dan menyifatkan kes liwat yang melibatkan anaknya dengan Ketua Pembangkang itu adalah suatu konspirasi jahat semata-mata, ramai rakan-rakan dalam UMNO merasakan ianya merupakan "pukulan maut" kepada karier politik Najib. Najib pasti akan kalah pilihanraya nanti dan Anwar akan menjadi Perdana Menteri, kata mereka.

Beberapa pemimpin UMNO yang sempat saya hubungi dan berbual-bual juga mempunyai pandangan yang sama. Kata mereka, Najib sudah tidak ada harapan lagi untuk menghasilkan kejayaan buat BN berikutan semua isu akhirnya masuk ke gol sendiri.

Sebelum ini Anwar sudah dibebaskan dalam kes itu oleh hakim Mahkamah Tinggi dan kesnya akan menjalani proses rayuan Julai ini, kemudian ketua pendakwaraya, Yusof Zainal Abidin pula meletak jawatan dan kini bersama-sama dengan Anwar, kemunculan bapa Saiful turut memihak kepada Anwar tentunya mewujudkan persepsi malang lagi bagi Najib.

Rakyat dan pengundi setidak-tidaknya mula percaya bahawa isu liwat kedua itu adalah konspirasi politik sebagaimana yang sering didakwa oleh Anwar sendiri selama ini. Ruang Najib mencipta kemenangan lantas menjadi semakin sempit manakala laluan untuk Anwar memburu Putrajaya kelihatan semakin terbuka luas.

Tetapi apabila tidak lama kemudian, Saiful segera bingkas menafikan hujah bapanya itu, keadaan menjadi reda semula. Namun ia tidak pula menjadikan peluang Najib menjadi bertambah baik.

Ini kerana walaupun Saiful menyatakan bahawa bapanya telah menjadi mangsa kerakusan politik Anwar dan menegaskan beliau tetap istiqamah dengan pendiriannya, setidak-tidaknya dengan kemunculan bapa Saiful ini telah menyebabkan kepercayaan rakyat menjadi berbelah bagi terhadap Najib. Lebih-lebih lagi perancang yang didakwa bapa Saiful dalam isu liwat itu adalah merupakan salah seorang pegawai khas Najib dan beliau masih berdiam diri sehingga ini.

Sebab itu, tidak memeranjatkan apabila Anwar dengan berani menyatakan bahawa PR mempunyai keyakinan untuk memenangi pilihanraya akan datang dengan kelebihan sekurang-kurangnya 10 kerusi. Hujah Anwar itu sebenarnya bukan saja dikongsi oleh kebanyakan orang, malah beberapa pemimpin UMNO juga mengakui hakikat yang sama.

Sebelum munculnya bapa Saiful, Najib dan BN sebenarnya sudah pun terhenyak dengan kemunculan Deepak dan P Bala yang mendedahkan pelbagai perkara dan membuat pelbagai dakwaan terhadap Najib, daripada terlibat dalam isu Altantuya dan menerima wang sehinggalah kepada mengubah akuan bersumpah yang memihak kepadanya.

Jika dalam isu Deepak, Najib hanya menyatakan peniaga karpet itu tidak boleh dipercayai tetapi dalam kes P Bala, sehingga ini belum terdengar lagi apa-apa jawapan balas daripada Najib mahupun mana-mana ahli keluarganya, meskipun nama mereka disebut dengan jelas oleh penyiasat persendirian itu.

P Bala pula sudah memulakan siri jelajahnya untuk memastikan PR memenangi pilihanraya umum akan datang. Deepak pula sudah mengemukakan saman fitnah terhadap Najib, tetapi ini tidak bermakna beliau hanya mahu berdiam diri. Beliau mungkin sedang menunggu masa yang sama sesuai untuk membuat dakwaan baru sama ada terhadap Najib mahukan bekas kakak angkatnya, Rosmah Mansor.

Dengan P Bala yang berjanji akan pusing keliling Malaysia dan Deepak terus bersuara, ruang untuk Najib dalam pilihanraya akan datang ini sebenarnya semakin sempit dan terhimpit. Imejnya sudah musnah di mata umum. Beliau mungkin menghabiskan banyak masa menjelajah ke sana dan ke sini tetapi hakikatnya keadaan di bawah tidak banyak berubah. Persepsi yang sudah terbentuk sukar dihapuskan, lebih-lebih lagi apabila ianya tidak dijawab mahukan dinafikan.

Muncul pula insiden serangan terhadap pemberontak Sulu di Lahad Datu dan Semporna yang kini sudah pun mengorbankan 53 nyawa orang Sulu, menambahkan lagi kesukaran Najib sebenarnya. Walaupun perjuangan mempertahankan kedaulatan negara adalah suatu kewajipan dan pengorbanan pasukan keselamatan sentiasa disanjung tinggi, isu yang tidak dapat dielakkan ialah kemungkinan kematian 53 pemberontak itu menatijahkan ramai orang Sulu yang tidak puas hati dan kecewa terhadap kerajaan.

Kaum keluarga, sanak saudara, rakan-rakan, kenalan, jiran, isteri dan pelbagai hubungan lain dengan 53 pemberontak yang terbunuh itu tidak mustahil boleh membentuk jumlah penolakan yang besar akhirnya, lebih-lebih lagi jika perang di Lahad Datu dan Semporna itu terus berlanjutan untuk suatu tempoh yang lama lagi.

Mereka yang tidak berpuas hati ini tentunya menyalahkan kerajaan sehingga menyebabkan berlakunya perang yang mengorbankan banyak jiwa itu dan kenapa tidak diambil pendekatan lain yang tidak sampai menyebabkan kehilangan begitu banyak nyawa. Dalam hal ini kelemahan pimpinan dalam menangani krisis menjadi persoalan utama. Kelemahan pemimpin bermakna kelemahan kerajaan dan kelemahan kerajaan bermakna ia perlu ditukar. Itulah persepsi yang akan terjadi nanti.

Melalui 53 kematian orang Sulu setakat ini dan tidak tahu bila perang ini akan berakhir, kedudukan BN di Sabah nyata dalam bahaya. Lagi lama perang, lagi banyak BN akan kehilangan undi, khususnya daripada kalangan orang Sulu, baik yang memang asalnya menetap di Sabah mahupun daripada kalangan yang diberi kerakyatan dalam Projek IC dahulu.

Dengan pelbagai isu yang muncul mutakhir ini, Deepak, P Bala, perang di Lahad Datu dan kemunculan bapa Saiful, secara realitinya nyawa BN makin berada di hujung tanduk. Dan jika dicampur dengan pelbagai isu lainnya sejak Najib menghuni Seri Perdana, sudah terang lagi bersuluh kedudukan BN dan kerajaan yang ada sekarang di mata rakyat sebenarnya.

Itu belum dikira lagi kesan daripada perbuatan sabotaj dan kemungkinan beberapa pihak dalam UMNO dan BN sendiri yang akan "pusing" dalam pilihanraya nanti kerana kecewa tidak terpilih atau digugurkan sebagai calon.

Lebih malang bagi Najib ialah lagi beliau melengah masa untuk mengadakan pilihanraya, lagi gelap laluan di hadapannya. (SH 09/03/2013)

Wednesday 6 March 2013

Mungkinkah Lahad Datu Jadi Seperti Selatan Thailand?


Serangan tentera untuk melumpuhkan kumpulan penceroboh Sulu di Lahad Datu sudah masuk hari kedua hari ini. Walaupun ada laporan mengatakan seramai 30 kematian daripada kumpulan pemberontak dan pihak berkuasa pula belum berani mengesahkannya, tetapi belum terlihat tanda-tanda mereka akan menyerah diri. Bahkan melalui beberapa kenyataan daripada pihak yang dekat dengan keluarga Kesultanan Sulu, mereka akan terus bertempur sehingga ke titisan darah terakhir.

Sementara kita menyanjung tinggi perjuangan anggota keselamatan untuk mempertahankan kedaulatan negara, kita juga tentunya berharap perang ini tidak mengambil masa yang terlalu lama. Ini kerana musuh yang kita hadapi adalah saudara seagama dengan kita juga. Lagi lama berperang, mungkin lebih banyak kehilangan nyawa akan berlaku. Dan di pihak mana pun yang terkorban, mereka adalah orang Islam juga. Kesedihannya tetap ada.

Di peringkat ini, menuding jari kepada mana-mana pihak hanyalah membuang masa. Jika ada kelemahan di mana-mana, sama ada di pihak Perdana Menteri, menteri yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dan pertahanan negara, cuba mengaitkan dengan pihak pembangkang dan Anwar Ibrahim atau apa saja, biarlah semuanya terakam menjadi khazanah sejarah yang akan dikenang sampai bila-bila.

Yang lebih penting ialah semua rakyat dan semua institusi dalam negara mesti bersatu kata dan hati ketika ini. Kedaulatan dan maruah negara lebih penting daripada segala-galanya.

Tetapi pengajaran yang penting dalam isu pencerobohan Sulu ini ialah mengenai isu pendatang asing di negara ini hendaklah ditangani dengan sebaik-baik dan setegas-tegasnya. Puak Sulu ini pada asalnya banyak yang diberi kerakyatan kerana faktor politik dan hasrat untuk menang dalam pilihanraya. Dianggarkan jumlah mereka ini yang mendapat kad pengenalan biru sudah mencecah angka 800 ribu orang.

Laporan tidak rasmi mengatakan jumlah pemberontak yang berlindung di Kampung Tandou yang menjadi lokasi serangan hanyalah berjumlah sekitar 180 orang sahaja. Dengan jumlah sekecil itu, sudah lapan anggota keselamatan kita yang terbunuh. Dan bayangkan jika 800 ribu puak Sulu yang sudah diberi kad pengenalan itu turut sedia berjuang menyertai rakan-rakan mereka yang lain?

Melalui 800 ribu orang Sulu yang bebas keluar masuk ke Sabah selama berpuluh-puluh tahun lamanya, mungkin juga banyak senjata yang sudah mereka seludup dan simpan di di hutan-hutan di Sabah sekarang ini. Dalam hal ini, tidak memeranjatkab jika peperangan ini akan memakan masa yang lama. Ia bukan saja disebab kumpulan pemberontak ini mempunyai senjata yang banyak tetapi kelebihan mereka juga ialah mukabumi Sabah itu sendiri yang sudah menjafi kebiasaan bagi kehidupan gerila mereka.

Oleh kerana terlalu taksub menggunakan pendatang untuk kepentingan politik, kini senjata sudah mula makan tuan. Orang Sulu yang selama ini dipergunakan, mula rasa besar kepala dan mahu menuntut negeri itu pula. Meskipun fakta sejarah mengatakan negeri Sabah pernah menjadi kepunyaan Kesultanan Sulu tetapi semuanya sudah menjadi sejarah apabila mereka bersetuju menyerahkannya kepada British dan sedia menerima pampasan.

Tidak dapat dinafikan bahawa isu pencerobohan ini berpunca daripada kelekaan kita terhadap pendatang asing sebenarnya. Kebanjiran pendatang asing sebenarnya boleh membawa malapetaka yang besar kepada negara.

Sama ada kita sedar atau tidak, selain pendatang Sulu kita juga dibanjiri oleh pendatang dari Indonesia, China, India, Burma, Thailand, Kemboja, Nepal dan ssbagainya. Bermula dengan keperluan tenaga buruh untuk membina bangunan dan mengerjakan ladang-ladang, jumlah pendatang asing di negara kita sekarang ini sudah berjumlah jutaan orang ramainya.

Dan kini terdapat juga laporan adanya pendatang asing ini yang turut diberikan kad pengenalan untuk kepentingan politik dan didaftarkan dengan SPR sebagai pengundi, selain diberikan tanah dan perkampungan. Sebagaimana orang Sulu ini dipergunakan di Sabah, ramai lagi pendatang asing turut dipergunakan sebegitu rupa.

Persoalannya, apakah semua ini tidak mendedahkan negara kita kepada bahawa dalam tempoh dua puluh atau lima puluh tahun akan datang? Sebagaimana penceroboh Sulu cuba menuntut semula Sabah, tidak mustahilkah suatu hari nanti kumpulan-kumpulan pendatang asing dari berbagai negara ini akan menuntut pula sesuatu kawasan itu sebagai hak milik atau kawasan kediaman untuk komuniti mereka pula?

Jika ini berlaku, ia bukan saja menyebabkan negara kita suatu hari nanti menjaci kacau bilau tetapi juga mendedahkan keada masalah sosial yang kronik. Sekarang ini pun, dengan pelbagai jenis pendatang asing, masalah sosial kita sudah cukup teruk, tentulah ianya akan menjadi lebih parah lagi jika sesuatu kumpulan pendatang asing itu mendominasi sesuatu kawasan pula.

Dalam hal ini, kemasukan pendatang asing haruslah diperketatkan. Hishammuddin sebagai Menteri Dalam Negeri dan Muhyiddin selaku Pengerusi Jawatankuasa Mengenai Pendatang Asing haruslah bersikap lebih proaktif mulai sekarant menangani isu pendatant asing ini. Pemberian kad pengenalan kepada pendatang dari Sulu yang kemudian membawa kepada pencerobohan di Lahad Datu haruslah dijadikan pengajaran.

Jika tidak ditangani sekarang dan berlaku lagi musibah yang berpunca daripada pendatang asing di masa depan, Muhyiddin dan Hishammuddin pastinya akan dicemuh dan disumpah oleh generasi akan datang.

Dalam isu Lahad Datu yang sedang dalam zon perang sekarang, kita tentunya mendoakan yang terbaik dan kumpulan
pemberontak itu dapat diusir dengan segera. Keamanan dan kedaulatan harus dikembalikan dengan segera.

Jika Lahad Datu gagal dikembalikan keamanannya dan puak pemberontak terus dapat bermastautin di hutan-hutan sekitarnya, kebarangkalian untuk Lahad Datu menjadi seperti selatan Thailand adalah amat besar sekali. Ia akan menjadi kawasan yang sentiasa tidak aman, selalu berlaku tembak-menembak, pembunuhan, kehilangan nyawa kanak-kanak, wanita dan orang tua dan sebagainya.

Sama-samalah kita berdoa dijauhkan musibah seumpama itu. (SH 06/03/2013)

Tuesday 5 March 2013

Najib Sepatutnya Turun Ke Lahad Datu Dan Semporna


Sudah beberapa hari peristiwa serangan kumpulan pemberontak Sulu berlaku di Lahad Datu dan Semporna Sabah. Sehingga ini sudah 28 orang terkorban, 8 anggota keselamatan dan selebihnya kumpulan pemberontak dari Kesultanan Sulu. Walaupun keadaan nampaknya terkawal tetapi langkah berhati-hati tetap diambil dan tujuh batalion tentera sudah pun di hantar ke sana untuk mengawal keadaan.

Di ketika semua orang bercakap mengenai kejadian itu, ramai yang tertanya-tanya kenapa Perdana Menteri, Najib Razak tidak turun ke Sabah bagi mengetahui lebih dekat apa yang sedang berlaku. Pada hari pertama kejadian, Najib berada di Perlis dan beliau tetap meneruskan program politiknya walaupun ketika itu dilaporkan sudah dua orang anggota keselamatan yang terkorban.

Kemudian Najib hanya hadir menyambut ketibaan jenazah anggota keselamatan yang terkorban itu saja di lapangan terbang.

Tetapi kini dengan lapan anggota keselamatan sudah terkorban, askar sudah diturunkan dengan kapalterbang tambang murah Air Asia, penduduk di Lahad Datu dan Semporna masih dalam ketakutan, Najib sepatutnya segera turun ke negeri Sabah. Sebagai Perdana Menteri, kehadirannya bukan saja boleh meredakan ketakutan para penduduk tetapi juga memberi sokongan moral kepada pasukan keselamatan yang sedang menjalankan tugas.

Sepatutnya ketika berada di Perlis pada hari pertama kejadian lagi, Najib sudah membatalkan sebahagian programnya dan segera terbang di Sabah.

Najib tidak harus berlengah dan hanya duduk di Kuala Lumpur memantau keadaan. Beliau kena tunjukkan keprihatinan dan jiwa besarnya sebagai pemimpin utama negara. Beliau adalah Perdana Menteri. Lebih baik jika turun ke Sabah, beliau dapat membawa isteri, anak-anak dan bakal menantunya sekali.

Jika ke konsert Gangnam di Pulau Pinang dan beberapa majlis keramaian sebelum ini, beliau selalu membawa anggota keluarganya itu hadir bersama, inilah masanya beliau menunjukkan keprihatinannya bersama keluarga dalam kejadian sedih bagi rakyat Malaysia yang sebenarnya sudah pun berlarutan hampir sebulan lamanya.

Lagi pula bakal menantu Najib, warga Kazashtan (lupa namanya)itu dilaporkan sebelum ini turut menjalani latihan ketenteraan di England dan inilah masanya beliau menggunakan ilmu latihan ketenteraan yang dipelajarinya itu sekurang-sekurangnya untuk mengawal dan memastikan keselamatan bakal isteri dan bakal ibu serta bapa mertunya jika mereka turun ke Sabah. Itupun jika dirasakan kawalan daripada pasukan keselamatan sedia ada dirasakan tidak mencukupi.

Andainya keadaan keselamatan di Lahad Datu dan Semporna masih tidak mengizinkan, Najib setidak-tidaknya datang ke Kota Kinabalu dan melawat Bilik Gerakan pasukan keselamatan di sana bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai pemerontakan Sulu itu.

Dengan turun ke Sabah dan membawa anngota keluarganya sekali, tidaklah nanti orang bercakap anggota keluarganya hanya gemar menghadiri majlis keramaian dan pesta-pestaan saja. Lagi pun sekarang mood pilihanraya, kalau mahukann undi lebih dari Sabah, inilah masanya.

Walaupun Hishammuddin dan Zahid Hamidi telah turun secara bersama ke Lahad Datu semalam, kehadirannya mereka tidak dirasakan apa-apa, bahkan menjadi bahan persendaan di alam maya. Ini kerana kedua mereka itu dianggap sudah gagal dalam tugas menjaga keselamatan dan mempertahankan kedaulatan negara sehingga memandang enteng kehadiran pemberontak Sulu yang menceroboh sebuah kampung di Lahad Datu sejak hampir sebulan lalu.

Jika Najib juga gagal turun ke Sabah dalam waktu yang terdekat ini, seluruhnya pentadbiran beliau akan turut dianggap gagal oleh rakyat. (SH 05/03/2013)


Monday 4 March 2013

Patutlah Mahathir Mahu Tindakan Keras Diambil Terhadap Pemberontak Sulu...


Walaupun sudah hampir sebulan isu pemberontakan Kesultanan Sulu menjadi isu dalam negara, UMNO dan kerajaan masih buntu untuk mencari jalan penyelesaiannya. Sehingga berlaku lapan kematian anggota keselamatan dan dua bandar di Sabah sudah diserang pun, jalan penyelesaian masih juga tidak ditemui.

Najib yang terkenal lemah dan lembabnya, masih memikir-mikirkan tindakan yang sesuai mahu dilakukannya. Buat sementara ini beliau hanya ghairah mahu menyalahkan pembangkang dan sedang mencari bukti kaitan Anwar dengan kumpulan pemberontak itu.

Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin dan Menteri Pertahanan, Zahid Hamidi pula baru hari ini turun secara bersama meninjau lokasi kejadian walapun sudah lapan anggota keselamatan terkorban dalam kejadian itu. Namun tidak ketahuan lagi apakah formula penyelesaian yang sedang diusahakan oleh kedua pemimpin kerajaan yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dan pertahanan negara itu. Mungkin ada dan mungkin tidak ada.

Jika di negara lain, kejadian yang memalukan aspek keselamatan dan pertahanan negara ini tentunya menyebabkan menteri yang berkaitan mengambil sikap bertanggungjawab dan sudah pun meletakkan jawatan masing-masing.

Muhyiddin Yassin pula hanya berdiam diri tidak bercakap apa-apa dalam isu berdarah yang berlaku di Lahad Datu dan Semporna ini, seolah-olah mahu meletakkan beban sepenuhnya kepada Najib untuk menanggungnya.

Hanya Mahathir yang menunjukkan keberanian setakat ini. Beliau menyarankan supaya tindakan keras diambil terhadap kumpulan pemberontak itu walaupun menyedari tindakan itu mungkin menyebabkan lebih ramai anggota keselamatan dan kumpulan pemerontak yang akan terbunuh.

Kita sudah tidak ada pilihan, kata Mahathir kerana mereka yang memulakan serangan terlebih dahulu dan demi untuk mempertahankan kedaulatan negara, kita mesti mengambil tindakan keras menghapuskan sama-sekali kumpulan tersebut.

Setakat ini kenyataan tegas Mahathir itu boleh dipuji dan sekurang-kurangnya beliau lebih berani dan berwibawa daripada Najib, Hishammuddin dan Zahid Hamidi.

Tetapi selepas saja kenyataan Mahathir itu, terbongkar pebagai perkara berkaitan kaum kerabat Kesultanan Sulu ini. Sebahagian daripada mereka rupa-rupanya telah pun memperolehi kad pengenalan biru melalui Projek IC yang dilaksanakan di zaman Mahathir untuk menumbangkan kerajaan PBS pada tahun 1990an dahulu.

Ketika itu ratusan ribu kad pengenalan biru diberikan kepada pendatang Filipina untuk menjadikan mereka pengundi yang berdaftar dengan SPR. Kini terbongkar sebahagian daripada penerima kad pengenalan biru itu adalah kaum kerabat Kesultanan Sulu yang memerintah Sabah selepas dianugerahkan negeri itu oleh Kesultanan Brunei suatu ketika dahulu.

Melalui Projek IC itu, kaum kerabat Kesultanan Sulu bukan saja memiliki kad pengenalan, menjadi pengundi yang berdaftar malah ada yang pernah memegang jawatan Penolong Pegawai Daerah suatu ketika dahulu dan ada juga yang menjadi pemimpin UMNO di peringkat cawangan dan bahagian.

Ketika ini inkuari Suruhanjaya Diraja (RCI) sedang berjalan untuk menyelesaikan isu tersebut dan telah didedahkan tentang penglibatan beberapa orang kanan Mahathir seperti Megat Junid dan Aziz Shamsuddin dalam projek itu.

Berlakunya insiden di Lahad Datu dan Semporna ini telah membongkar banyak perkara akhirnya. Ia bukan saja menyerlahkan kelemahan dalam aspek keselamatan dan pertahanan negara, kawalan sempadan yang longgar, kelemahan Najib dan beberapa pemimpinnya tetapi juga menunjukkan isu pemberontakan ini ada kaitannya dengan Projek IC yang dilaksanakan di zaman Mahathir berkuasa dahulu.

Melalui pemberian kad pengenalan itu, mereka ini bebas keluar dan masuk ke Sabah dan akhirnya turut membawa alat-alat senjata untuk merealisasikan hasrat perjuangan mereka yang sebenar iaitu untuk memiliki semula negeri Sabah.

Tidak dapat tidak, kerana keghairahan Mahathir ingin berkuasa dan menjadikan pemberian kad pengenalan biru sebagai alat untuk melebarkan pengaruh UMNO ke Sabah, dalam masa masa sama kumpulan pemberontak Sulu turut berakar umbi di negeri tersebut. Walaupun dilaporkan kumpulan pemberontak ini hanya berjumlah ratusan orang bilangannya tetapi kesungguhan mereka untuk menuntut kembali Sabah daripada Malaysia dan kejayaan mereka membunuh lapan anggota keselamatan, tidak mustahil jumlah mereka lebih besar dari itu dan kelengkapan senjata yang dimiliki juga mungkin amat canggih.

Apakah saranan Mahathir supaya tindakan keras diambil dan kumpulan pemberontak itu dihapuskan sama-sekali sebagai percubaannya untuk menutup lebih banyak perkara yang terdedah mengenai dirinya dalam Projek IC itu?

Sehingga diketahui kebenaran di sebalik Projek IC dan kaitannya dengan kumpulan pemberontak Kesultanan Sulu ini, elok rasanya ditangguhkan dulu jika ada pujian yang mahu diberikan kepada Mahathir kerana ketegasannya dalam isu ini. (SH 04/03/2013)

Disebalik Insiden Sabah, Rakyat Jangan Hilang Fokus Untuk Melakukan Perubahan


Terlebih dahulu diucapkan takziah kepada keluarga lapan anggota keselamatan yang terbunuh dalam menangani kumpulan pemberontakan Sulu di Sabah. Dilaporkan dua terbunuh di Lahad Datu dan enam terkorban di Semporna setakat ini. Rakyat tentunya sedih dengan pemergian itu, sementara keluarga dan anak-anak mereka terasa lebih kesedihannya dengan kehilangan orang tersayang masing-masing.

Marilah kita menyedekahkan Al Fatihah kepada mereka yang terkorban, semoga mereka ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman di sisi Allah.

Walaupun pemberontakan dilaporkan sudah terkawal tetapi memandangkan pemberontak daripada keturunan Kesultanan Sulu ini masih berada di Sabah dan tetap berkeras agar tuntutan mereka dihormati sambil bersedia mengadakan rundingan, hakikatnya kedudukan belumlah 100 peratus selamat lagi. Pertempuran dan pertumpahan darah mungkin boleh berlaku bila-bila masa.

Kita haruslah menyedari bahawa isu yang berlaku di Sabah ini adalah isu keselamatan, bukannya isu politik walaupun Sabah merupakan antara negeri yang sedang menggelegak suhu politiknya. BN dan PR masing-masing sedang berebut untuk mempertahankan sebanyak mungkin kerusi di negeri itu. Dalam pilihanraya 2008, Sabah menyumbang 25 kerusi Parlimen kepada BN daripada 26 kawasan Parlimen yang dipertandingkan.

Tetapi menjelang PRU 13, PR sedang melipatgandakan usaha untuk menawan sebanyak mungkin kerusi di Sabah. Dengan beberapa tokoh utama BN keluar parti dan menyertai pakatan pembangkang, selain pergolakan dalaman politik Sabah sendiri, kedudukan Sabah dianggap kritikal dan tidak lagi "deposit tetap" bagi BN. Ia sudah menjadi simpanan tunai yang boleh mengalir ke mana saja.

Malah ada laporan serta analisa daripada beberapa pihak yang menyatakan Sabah akan menjadi penentu kepada BN dan PR kali ini. Jika BN dapat mempertahankan sebahahagian kerusi Parlimen Sabah, Putrajaya akan menjadi milik mereka, sebaliknya jika tujuh atau lapan kerusi jatuh ke tangan PR, mereka akan menguasai Putrajaya.

Sebab itu, dengan tercetusnya isu pemberontakan di Sabah ini, ia pantas dikaitkan dengan politik melebihi isu keselamatan dan kedaulatan negara. Ramai yang berhati-hati untuk terlalu awal membuat ulasan atau andaian kerana bimbang terperangkap. Cuma ada beberapa tokoh PR yang berani mengandaikan tragedi itu mungkin sandiwara UMNO, mungkin juga cubaan melengahkan tarikh pilihanraya, mungkin pula usaha untuk memastikan Sabah kekal menjadi milik BN dan sebagainya lagi.

Sementara UMNO dan kerajaan memberi amaran agar jangan mengaitkan tragedi itu dengan politik, malangnya mereka sendiri turut galak cuba meraih keuntungan politik daripadanya. Najib dan media arus perdana ternampak cuba menjadikan tragedi ini sebagai medan menyalahkan pihak lain melalui maklumat yang belum dipastikan kesahihannya. Najib sendiri nampaknya lebih serius dan bersemangat memberi ulasan berkaitan dakwaan penglibatan pemimpin pembangkang dalam insiden itu.

Selain cuba membesar-besarkan komen yang diberikan oleh Tian Chua dan mengaitkan Anwar Ibrahim dengan Kesultanan Sulu, isu kelemahan pimpinan dalam mentadbir negara, bagaimana sempadan kita begitu longgar, di mana kelengkapan tentera kita yang canggih, bot laju, kapal marin, kapal selam Scorpene, maklumat perisikan yang kurang lengkap dan sebagainya cuba ditutup dengan keghairahan menuding jari kepada pihak lain.

Malaysia setiap dua tahun menganjurkan LIMA di Langkawi sejak puluhan tahun lalu dan dilaporkan menandatangai pelbagai perjanjian pembelian kelengkapan untuk mempertahankan keselamatan serta kedaulatan negara, tetapi apa yang berlaku di Lahad Datu dan Semporna sebenarnya menampakkan kita masih belum bersedia secukupnya untuk mempertahankan kedudukan negara kita.

Kehilangan lapan anggota keselamatan dalam tragedi ini memang amat menyedihkan, lebih-lebih lagi pemberontak Kesultanan Sulu bukanlah kerajaan yang berdaulat dan diiktiraf. Sejak kumpulan pemberontak ini mendarat di Lahad Datu, pimpinan kerajaan terlihat sambil lewa, tidak serius dan tidak mendapat maklumat yang tepat mengenainya.

Hishammuddin, Menteri Dalam Negeri dilaporkan oleh beberapa media arus perdana dengan penuh yakin menyatakan kumpulan pemberontak itu bukan pengganas dan kehadiran mereka tidak akan melibatkan pertumpahan darah. Nazri Aziz, menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang pula menyatakan kehadiran mereka tidak menggugat keselamatan negara. Menteri Pertahanan yang menjaga kedaulatan negara, Zahid Hamidi pula lebih banyak berdiam daripada bersuara dalam isu ini. Sekarang lihatlah apa yang berlaku dan bandingkan dengan kenyataan mereka dua tiga minggu yang lalu?

Menteri-menteri yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan dan kedaulatan negara kita begitu lemah nampaknya. Jika mereka cekap, beriwibawa dan pantas bertindak serta berusaha mendapatkan maklumat yang tepat, mungkin tidak begini jadinya. Kelemahan mereka memalukan negara dan menyebabkan anggota keselamatan terkorban. Mereka berkenaan sepatutnya malu dengan tugas dan peranan selama ini dan dalam masa yang sama selesa menikmati pelbagai kemudahan daripada wang rakyat tetapi gagal menjadi pentadbir yang cekap dan berwibawa.

Bukan saja Najib tidak sesuai lagi berada di tempatnya sekarang berikutan insiden ini, malah menteri-menteri yang menjaga keselamatan dan kedaulatan negara juga nampaknya lebih sesuai menjaga hal ehwal wanita, sukan dan kebudayaan berbanding kementerian yang mereka pegang sekarang.

Kita baru berhadapan dengan pemberontak dari sebuah kesultanan yang tidak berdaulat dan tidak diiktiraf, sudah begini jadinya. Cuba bayangkan dengan pemimpin dan kepimpinan yang ada sekarang jika kita diserang oleh pihak yang lebih gagah dan besar?

Sebab itu rakyat harus melihat tragedi ini merupakan isu keselamatan dan kelemahan kerajaan melebihi isu politik. Jika kita mempunyai pemimpin cekap, berani dan berwibawa, tragedi ini mungkin boleh dielakkan lebih awal. Ini kerana mereka sudah mendarat sekian lama di kawasan itu dan kehadiran mereka sudah menjadi berita di seluruh dunia.

Tragedi ini sepatutnya menguatkan lagi iltizam rakyat Malaysia untuk melakukan perubahan dan menolak kepimpinan yang ada. Mereka bukan saja saja lemah dan tidak berwibawa dalam mengurus hal-hal yang berkaitan dengan rakyat sendiri tetapi juga tidak boleh diharapkan lagi untuk menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

Meskipun sudah melibatkan kehilangan nyawa yang banyak, baik di pihak keselamatan negara mahupun di pihak pemberontak yang juga beragama Islam, pimpinan kerajaan masih cuba menjadikannya sebagai isu politik dengan cuba menyalahkan pihak lain daripada menyelesaikan itu tersebut dengan segera. Kita tidak harus kehilangan lebih banyak nyawa lagi.

Sementara UMNO dan kerajaan terus cuba bermain politik untuk menutup kelemahan sendiri, insiden ini seharusnya menguatkan lagi iltizam untuk perubahan. Merubah kerajaan adalah sebaik-baiknya tetapi jika kerajaan yang ada tidak dapat diubah, sekurang-kurangnya pemimpin dan kebanyakan menteri yang ada harus disingkirkan dalam pilihanraya akan datang. (SH 04/03/2013)

Friday 1 March 2013

Macam-Macam Runtuh, Petanda Era BN Juga Bakal Runtuh!


Sebuah jambatan yang sedang dalam pembinaan runtuh berhampiran Putrajaya semalam. Sebelum ini berlaku juga tanah runtuh, bumbung stadium runtuh, rumah di lereng bukit runtuh dan macam-macam lagi yang runtuh.

Jika mahu dikira dengan moral dan akhlak yang turut runtuh setiap hari, negara kita mungkin dikira tempat yang paling banyak sekali berlaku perkara-perkara runtuh.

Beberapa hari sebelum itu, bekas penyiasat persendirian yang terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya, P Balasubramaniam muncul untuk kali pertama di Dewan Perhimpunan Cina Selangor mendedahkan rentetan cerita mengenai peristiwa yang melibatkan rakan karib Najib iaitu Razak Baginda. Tujuannya tidak lain ialah untuk meruntuhkan imej dan moral Najib menjelang pilihanraya umum ini.

Beliau yang sejak beberapa tahun melarikan diri ke India selepas menukar akuan bersumpahnya, kini bersumpah sekali lagi sambil memegang kitab suci agama Hindu, Bhagawad Gita bahawa akuan bersumpah pertamanya yang mengaitkan nama Najib dalam kes pembunuhan Antantuya adalah benar manakala akuan bersumpah kedua yang dipaksakan keatasnya adalah palsu.

Beliau juga bertekad kepulangannya kali ini ialah untuk membantu Pakatan Rakyat menumbangkan BN. Tidak dapat tidak, dengan kepulangan Bala dan pendedahan yang dilakukannya itu serta disiarkan pula secara meluas di media internet, nama baik dan imej Perdana Menteri turut runtuh di mata umum.

Lebih-lebih lagi, sehingga hari Najib tidak berani berkata apa-apa mengenainya. Mengiyakan tidak, menafikan pun tidak.

Sebelum Bala, usahawan karpet Deepak Jaikishan turut meruntuhkan imej serta wibawa Najib dengan pelbagai dakwaan yang mengaitkan Perdana Menteri dan isterinya, Rosmah Mansor.

Walaupun pelbagai dakwaan dibuat oleh Deepak termasuk menuduh secara langsung berkaitan pemberian rasuah kepada keluarga Najib, sehingga ini tidak ada keberanian di pihak Najib untuk bertindak balas. Di mata rakyat, terutama pengundi muda dan mereka yang berpendidikan, nama Najib telah runtuh kerananya. Dan jawapan Najib yang sekadar berkata, Deepak bukanlah individu yang boleh dipercayai, tidak memadai untuk memulihkan semula nama baiknya yang telah diruntuhkan itu.

Selain itu, Najib juga dikaitkan dengan pelbagai dakwaan lain sepanjang kepimpinannya. Dari salah guna kuasa, mengamalkan kronisme dan nepotisme, pembaziran dan kemewahan isteri serta keluarga dan macam-macam lagi. Di antara enam Perdana Menteri yang telah memerintah Malaysia, Najib tergolong paling banyak masalah berbanding lima yang berkuasa sebelumnya.

Saban masa ada saja dakwaan baru ditimbulkan berkaitan diri dan kepimpinannya. Kadang-kadang orang turut hairan bagaimana beliau boleh relaks dan mampu menampilkan "muka sardinnya" terhadap semua dakwaan itu. Beliau seolah-olah pemimpin yang tidak ada perasaan. Katalah apa saja kepadanya, beliau seolah-olah tidak terkesan kerananya.

Dengan pelbagai dakwaan yang timbul terhadap Najib selama ini, imej beliau sebenarnya sudah lama runtuh. Rakyat tidak lagi menilai beliau sebagai pemimpin yang baik, bahkan penuh dengan masalah. Walaupun ayahnya Tun Razak disanjung sehingga kini, tetapi Najib nampaknya tidak mewarisi kebijaksaan dan kehebatan seperti ayahnya itu.

Imej dan wibawanya sebagai Perdana Menteri yang telah runtuh itu seperti tidak mampu dipulihkan lagi. Kajian Merdeka Center sendiri mendapati popularitinya sentiasa turun dari semasa ke semasa. Dari hari ke hari, kedudukan UMNO dan BN pula menjadi bertambah pudar di mata rakyat, sebahagian besarnya kerana penolakan terhadap kepimpinan dan masalah yang dibawa oleh Najib sekeluarga.

UMNO seperti tidak habis-habis menanggung masalah yang yang dibawa oleh Najib dan keluarganya. Setiap hari sumbangan yang dijaja hanyalah bantuan BR1M bernilai RM500 tetapi hari-hari juga ahli dan penyokong UMNO kena menepis pelbagai dakwaan yang timbul yang melibatkan Najib dan Rosmah. RM500 bukan saja tidak cukup untuk belanja dapur selama setahun tetapi juga tidak cukup untuk membasahkan tekak yang sentiasa kering untuk membalas dakwaan Deepak dan Bala.

Runtuhnya pelbagai binaan kebelakangan ini mungkin saja secara kebetulan atau mungkin ada kaitan dengan unsur-unsur rasuah dalam pemberian projek itu sehingga ia menjadi tidak berkualiti dan mudah runtuh. Tetapi runtuhnya imej dan wibawa Najib adalah kerana kelemahan dan salahnya sendiri.

Namun semakin banyak yang runtuh sejak kebelakangan ini secara tidak langsung memberi rangsangan kepada rakyat untuk melihat era pemerintahan UMNO dan BN yang telah berkuasa sejak 55 tahun turut runtuh dalam PRU 13 ini. (SH 01/03/2013)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...