Friday 31 July 2015

TIDAK SALAH TERIMA WANG, AYUH MENTERI UMNO...KAUTLAH SELAGI BOLEH!!

Jika ada yang berasa gembira dan lega dengan pengguguran Hasan Malek daripada kabinet, harap simpan dulu perasaan tersebut kerana nampaknya "kebebalan" dan "kedunguan" mungkin bertambah dahsyat di kalangan sesetengah menteri yang baru dilantik ini.

Hanya selepas dua tiga hari dilantik semula sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri setelah digugurkan pada 2009 dulu, Azalina Othman Said muncul yang pertama, bukan saja menunjukkan ciri-ciri pengganti kepada Hasan Malek, malah tahapnya nampak lebih kronik lagi.

Azalina ternyata sudah mula  mengidap penyakit "ampu dan bodek tahap empat" sehingga sanggup memberi pandangan di luar kewarasan pertimbangan akal dan menghumban jauh ilmu serta pelajaran yang diterimanya selama ini.

Asalkan dapat ampu dan bodek, semua perkara yang lain ditolak ke tepi dan boleh dilanggar begitu saja. 

Mengulas mengenai isu wang RM2.6 bilion yang didakwa mengalir masuk ke dalam akaun Najib yang dipercayai menjadi antara punca Muhyiddin Yassin dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri, Azalina antara lain berkata:-

-  wang sejumlah itu bukanlah suatu isu besar kerana ia adalah budi bicara orang yang memberi duit itu.

- tiada salahnya seseorang menerima pemberian sebesar RM2.6 bilion asalkan mendapat kebenaran penerima dan tidak menafikan hak mereka yang patut menerimanya.

- kalau orang derma duit pada saya suruh jaga anda semua dan simpan atas nama saya, itu hubungan saya dengan penderma...apa salahnya?

Jika kita hayati hujah-hujah Azalina ini, tentulah ia tiada bezanya dengan banyak kenyataan Hasan Malek sebelum ini yang antaranya,  "oleh kerana ayam naik harga, jangan makan ayam" dan  "disebabkan kurang rungutan yang diterima kementerian, ini menunjukkan rakyat berpuas hati dengan GST dan kenaikan harga minyak".

Hello Azalina...cubalah guna akal sikit  dan fikir daripada manakah datangnya duit sebanyak itu? Bukankah The Wall Street Journal mendakwa ia berpunca daripada 1MDB? Kalau wang itu daripada 1MDB yang berhutang sebanyak RM42 bilion, tidakkah ia merupakan wang kita semua?

Kalau pun ada seseorang yang  sanggup beri wang sebanyak RM2.6 bilion kepada ketua sebuah kerajaan, apakah ia percuma atau derma kosong saja? Tentu ada balasan yang diharapkan? Apa balasannya? Jual tanah? Jual maruah? Atau jual negara?

Kalau seseorang itu bukan Perdana Menteri atau ketua kerajaan, adakah sesiapa teringin mahu memberinya wang sebesar itu?

Mengatakan tidak salah bagi seseorang pemimpin menerima wang dan ia hanya urusan antara penderma dan penerima, tidak syak lagi betapa malangnya kita mempunyai pemimpin sebegini rupa. Tiada apa-apa yang rakyat boleh harapkan daripada specis seperti ini.

Ia memberi gambaran bahawa jika mengikut tafsiran Azalina itu bermakna para menteri dan pemimpin kerajaan boleh mengaut seberapa banyak wang sekali pun dan tiada sesiapa berhak mempersoalkan daripada mana wang itu diperolehi.

Adakah orang sanggup memberi wang dengan percuma dan tidak mengharapkan apa-apa balasan? Kalau begitu, tutup saja SPRM dan bakulsampahkan terus undang-undang rasuah. Pasukan petugas khas yang sedang menyiasat wang itu dan kaitannya dengan Najib juga patut dibubarkan saja.

Jangankan pemimpin yang bertanggungjawab kepada rakyat dan terdedah kepada unsur rasuah dan kemungkinan menjual kepentingan negara apabila menerima wang sebesar itu harus dipersoalkan, bahkan ibu bapa sendiri akan menyoal jika anak mereka tiba-tiba pulang ke rumah dengan membawa dua tiga buntil wang bersamanya.

Apabila kita membawa sejumlah wang tunai ke bank untuk membuka akaun, katalah jumlahnya RM500 ribu, pihak bank juga pasti akan menanyakan beberapa soalan mengenai wang itu.

Lebih dari itu, Bank Negara sendiri mensyaratkan pemindahan wang melebihi jumlah RM50 juta juga mesti mendapat kebenaran dan kelulusannya.

Lebih diragui jika penerima wang itu berstatus ketua kerajaan kerana ia mungkin berkaitan rasuah, wang haram dan sebagainya.

Jadi, di mana logiknya pemindahan sejumlah RM2.6 bilion adalah perkara biasa dan  hanya persoalan antara penderima dan penerima saja, manakala kita sebagai rakyat dikatakan tidak berhak sama sekali mengetahuinya?

Dengan kenyataan awal Azalina itu, bukan saja keputusan melantiknya semula sebagai menteri suatu kesilapan setelah mengenepikan Hasan Malek, malah membuatkan barisan kabinet ini menunjukkan kecenderungan yang semakin jauh dari denyut nadi rakyat terbanyak. 

Kesalahan yang dilakukan oleh ketua bukannya mahu diperbetulkan atau ditegur, malah disokong dan diberi rangsangan lagi. (SH 31/07/2015)

SAMA SEPERTI KES ALTANTUYA, NAJIB MESTI BERANI BERSUMPAH SEKALI LAGI


Isu wang RM2.6 bilion yang didakwa masuk ke dalam akaun peribadi Najib Razak kembali hangat memanaskan atmosfera politik negara berikutan bocornya video rakaman Muhyiddin Yassin memperkatakan mengenainya sejak semalam.

Dalam video perbualan yang antaranya dihadiri oleh Mukhriz Mahathir dan Abdul Kadir Sheikh Fadzir itu, Muhyiddin yang baru dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri mengatakan Najib mengakui tentang kemasukan wang itu ke dalam akaun peribadinya ketika beliau bersemuka dengannya.

Dengan ini, walaupun sudah ditubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasatnya, orangramai akan kembali bercakap, mengeluarkan hujah dan mencipta pelbagai teori mengenainya selagi tiada penafian yang betul-betul kukuh dan mantap daripada Najib sendiri.

Di kepala orangramai ketika ini, mereka percaya wang itu betul-betul wujud dan sekaligus menjadikan kepercayaan rakyat semakin menipis serta menjauh daripada Najib. Tambahan lagi sehingga ini, beliau hanya mengatakan tidak pernah menggunakan wang 1MDB unfuk kegunaan peribadi saja.

Dengan terbocornya video yang mengatakan Muhyiddin sudah bersemuka dan Najib sendiri mengaku mengenai wang itu, ia tambah mengukuhkan lagi keyakinan ramai mengenainya.

Meskipun dipecat dan kehilangan jawatannya, berbanding Najib, Muhyiddin nampaknya lebih memenangi perang persepsi dan kepercayaan rakyat berkaitan isu wang RM2.6 bilion ini.

Mengukuhkan lagi ialah Najib tetap membisu meskipun setelah video perbualan Muhyiddin itu tersebar luas. Jabatan Perdana Menteri juga kelu lidah dibuatnya. Hanya Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan yang tampil menyebut bahawa dakwaan Muhyiddin itu tidak betul kerana katanya, Najib tidak pernah menggunakan wang 1MDB serta tiada sebarang kemasukan wang ke dalam akaun peribadinya.

Tetapi yang lebih kelakar ialah bila ada pula mengatakan urusan wang itu merupakan hal peribadi Najib dan tidak ada sesiapa, termasuk Muhyiddin, berhak mengetahui atau mencampurinya.

Dalam cubaan mengampu dan membodek yang kononnya bertahap pemikir itu, ia dalam waktu yang sama seolah-olah mengesahkan wang RM2.6 bilion itu benar-benar mengalir masuk ke dalam akaun bank Perdana Menteri.

Memang akaun bank adalah hak peribadi seseorang, tetapi oleh kerana Najib merupakan Perdana Menteri, rakyat berhak  mengetahui daripada sumber mana wang itu diperolehi dan apa tujuan dimasukkan ke dalam akaun peribadinya jumlah yang sebegitu besar. Lainlah jika Najib seorang ahli perniagaan atau usahawan biasa yang tiada kaitan secara langsung dengan rakyat yang membayar cukai.

Ini menjadikan selagi Najib sendiri tidak berterus-terang mengenai wang tersebut, bahananya akan terus berlarutan dan membadai, bukan saja keyakinan rakyat terhadap dirinya, malah  kepada UMNO dan BN sehinggalah tarikh pilihanraya umum akan datang.

Pilihan terbaik bagi Najib ketika ini adalah dengan pergi ke mana-mana masjid, junjung Al Quran dan berumpahlah dengan nama Allah bahawa wang RM2.6 bilion itu tidak pernah masuk ke dalam akaun peribadinya dan dakwaan terhadapnya itu fitnah serta dusta semata-mata.

Jika dalam kes Altantuya yang dikaitkan dengannya, beliau dengan berani bersumpah tidak mengenali wanita Mongolia itu, Najib juga sewajibnya berani berbuat demikian sekali lagi untuk membersihkan namanya serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO dan kerajaan yang dipimpinnya.

Walaupun perbuatan bersumpah ini masih banyak dipertikaikan dari segi wajar atau tidaknya dari sudut agama, ia sekurang-kurangnya menunjukkan Najib berani berdiri atas panji-panji kebenaran dan dalam masa yang sama memudahkan jentera propaganda dan tentera siber UMNO memperjelaskan isu tersebut kepada rakyat jelata.

Sumpah Najib itu setidak-tidak boleh diviralkan di alam maya dan media sosial untuk membuktikan dirinya benar-benar bersih daripada dakwaan tersebut.

Isu wang berbilion ini sebenarnya bukan saja harus ditangani dari aspek undang-undang, tetapi perlu juga diredakan dari sudut persepsi dan keyakinan rakyat, sekurang-kurangnya sehingga pasukan petugas khas melakukan siasatan dan mengumpul bukti-buktinya.

Seperti dalam kes Altantuya, Najib bersumpah dulu pun ketika perbicaraan kes itu sedang berjalan di mahkamah dan ia dilakukan semata-mata untuk menepis persepsi umum yang tidak habis-habis mengaitkannya dengan wanita tersebut.

Jika dulu boleh bersumpah, kenapa tidak sekarang ini?

Lagi pun, dengan bersumpah itu tidaklah  nanti ia menjadikan penjelasan banyak pihak dalam UMNO jadi berbeza-beza dan pakai logik akal masing-masing saja. Sumpah itu saja sudah memadai sebagai hujah paling kukuh untuk mempertahan dan menafikan sebarang kaitan Najib dengannya.

Apa lagi Najib....tunjukkanlah keberanian sekali lagi!! (SH 31/07/2015)

Thursday 30 July 2015

SEKALI LAGI VIDEO CURI 'MENEMBAK' NAJIB, MUHYIDDIN PERLU SEGERA DISIASAT


Sekali lagi video rakaman curi "menembak" Najib Razak tersebar dengan meluas. Dan sekali lagi juga ia berkaitan dengan Muhyiddin Yassin, cuma mungkin yang merakamnya saja orang yang berbeza.

Beberapa bulan sebelum ini telah tersebar rakaman video mengenai ucapan Muhyiddin di sebuah program tertutup UMNO di Janda Baik di mana beliau "memuntahkan peluru" dengan mahukan Najib memecat Ahli Lembaga Pengarah 1MDB, menyiasat CEOnya serta membenarkan polis masuk menjalankan siasatan terhadap syarikat pelaburan kerajaan yang bermasalah dan sarat hutang itu.

Rakaman itu telah menggegarkan negara buat seketika dan ia menunjukkan perbezaan pendirian yang ketara antara Muhyiddin dan Najib. Sementara Najib dilihat banyak berlengah dan bermain dengan masa dalam menangani isu 1MDB, Muhyiddin jelas lebih terbuka dan objektif mengenainya.

Video di Janda Baik itu kononnya dirakam curi oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Segambut, Kapten Azri Mohd Zain. Heboh ketika itu siasatan sudah dijalankan, termasuk kenyataan oleh Ahmad Zahid Hamid yang merupakan penganjur program tersebut dan kini sudah dilantik Timbalan Perdana Menteri, yang mengatakan "tiada maaf" bagi perakam video tersebut.

Malangnya sehingga sekarang tiada khabar berita mengenai hasil siasatan mengenainya. Senyap sesenyap-senyapnya walaupun isu 1MDB sudah melarat sehingga kepada dakwaan kemasukan wang ke dalam akaun peribadi Najib.

Hanya yang kita tahu perbezaan pendirian itu akhirnya terlerai Sabtu lalu apabila Muhyiddin dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan digantikan oleh Ahmad Zahid Hamidi.

Kini hanya sehari selepas dipecat daripada jawatannya, tersebar sekali lagi video rakaman curi melibatkan Muhyiddin yang juga "tembakannya" ditujukan kepada Najib. 

Melalui rakaman perbualan antara Muhyiddin dengan beberapa tetamu di rumahnya, termasuk Mukhriz Mahathir dan Abdul Kadir Sheikh Fadzir, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengatakan beliau sudah bersemuka dengan Najib berhubung dakwaan melibatkan wang RM2.6 bilion sebagaimana laporan WSJ itu.

Muhyiddin, dalam video itu kemudian mengatakan Najib mengakui mengenai wang tersebut dan rakaman itu berakhir dengan ayat, "lalu saya tanya, kenapa masuk dalam akaun peribadi anda?"

Video hampir seminit itu sudah pun mula tersebar luas di alam maya sejak malam tadi dan menjadi perbualan hangat ketika ini. Tidak saja di bandar dan kota, makcik-makcik tua di kampung yang mempunyai telefon pintar, sebahagiannya kerana hadiah daripada anak-anak atau membelinya hasil wang BR1M, turut berpeluang menontonnya. 

Maklumat sekarang sudah menerobos hingga ke ceruk kampung jauh di pedalaman. Meriah beb...

Ada beberapa rakan  memberitahu, mereka juga dihubungi oleh ibu, kakak atau emak saudara di kampung sambil bertanya, "betulkah apa yang disebut Muhyiddin itu?"

Walaupun video itu merupakan rakaman curi dan sekali lagi siapa perakamnya sedang dipertikaikan dan dicari, yang penting di sini ialah apakah isi yang diperkatakan oleh Muhyiddin itu. Lupakanlah menempelak siapa perakamnya dan cuba menyalahkan perbuatan itu kerana perakam curi ini ialah pencuri yang baik, budiman dan berjasa kepada negara.

Lihat mesej dan isi rakaman video itu jika jujur mahukan kebenaran.

Dengan itu, bukan saja Muhyiddin perlu disiasat dan diambil keterangan dengan segera oleh pasukan petugas khas yang sedang menyiasat isu wang RM2.6 bilion itu, malah Najib yang didakwa sudah mengaku kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu, haruslah dengan pantas  juga diambil tindakan.

Tiada alasan lagi untuk berlengah daripada menyiasat dan mengambil keterangan kedua-dua mereka kerana ia sudah menjadi perbualan yang merata ketika ini.

Gani Patail juga perlu disiasat sama dan diambil keterangannya, mana tahu jika beliau ada memiliki bukti atau dokumen mengenainya ketika beliau mengetuai pasukan petugas khas, sebelum disingkirkan atas sebab-sebab kesihatan Isnin lalu.

Video ini adalah cabaran kepada pasukan petugas khas yang sudah menangkap lima orang sebelum ini, termasuk seorang despatch baru-baru ini. Tetapi sejak Gani disingkirkan, pasukan petugas ini seolah-olah senyap tiada khabar berita lagi.

Kebimbangan dan tanda tanya rakyat terhadap isu 1MDB, wang RM2.6 bilion melibatkan Najib, bagaimana negara ini diurustadbir dan wibawa pasukan petugas khas, khususnya setelah Gani disingkirkan secara tiba-tiba, sedang mencanak naik waktu ini.

Seiring dengan pemecatan Najib yang menyaksikan juga Peguam Negara disingkirkan dan Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara atau PAC terpaksa dirombak berikutan sebahagian ahlinya  diberikan habuan kedudukan dalam kerajaan, ramai yang melihat negara ini sedang menuju zaman gelap dan hitamnya.

Dengan tanda-tanda yang semakin nyata sekarang ini, kebimbangan dan tanda tanya rakyat hanya dapat dikendur serta dilegakan jika Muhyiddin dan Najib dapat segera disiasat dan diambil keterangannya dalam waktu yang terdekat ini.

Tiada alasan lagi sebenarnya. Noktah. ( SH 30/07/2015)

Wednesday 29 July 2015

JUGA KERANA 1MDB, PEMECATAN DARIPADA UMNO MENANTI MUHYIDDIN?


Walaupun sudah dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin masih lagi merupakan Timbalan Presiden UMNO sehinggalah pemilihan UMNO yang akan datang.

Oleh kerana pemilihan UMNO yang sepatutnya diadakan pada 2016 telah ditangguhkan selama 18 bulan lagi untuk memberi laluan kepada pengukuhan parti dan pilihanraya ke 14 terlebih dahulu,  ia dijangka hanya akan diadakan pada tahun 2018.

Ini bermakna, meskipun tanpa jawatan dalam kerajaan, Muhyiddin masih lagi merupakan pemimpin nombor dua dalam UMNO sehinggalah tahun 2018  akan datang nanti.

Ia bukan saja bermakna Najib sebagai Presiden UMNO terpaksa duduk bersebelahan dengan Muhyiddin setiap sebulan sekali dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti, malah tidak boleh mengelak daripada duduk bersama di pentas utama ketika Perhimpunan Agung UMNO yang diadakan setiap tahun dengan disaksikan oleh para perwakilan daripada seluruh negara.

Termasuk tahun ini sehinggalah pemilihan 2018 nanti, bermakna sekurang-kurangnya ada empat kali lagi Perhimpunan Agung UMNO yang perlu dilalui secara bersama oleh Najib dan Muhyiddin dan ia sekaligus memberi erti kedua-duanya akan terus dalam dilema "mata berpandangan, budi kedapatan" dalam acara tahunan itu.

Lebih daripada itu, sebagai Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin juga masih perlu menunaikan tanggungjawab merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri pada setiap tahun.

Bagi Muhyiddin, beliau mungkin tiada masalah menghadiri, baik mesyuarat bulanan MT UMNO mahu pun Perhimpunan Agung tahunan parti kerana sebagai orang yang sudah dipecat, itulah peluang untuk terus menampilkan dirinya sambil meraih sisa-sisa simpati daripada mereka yang menyaksikan kehadirannya, tetapi ia tentu saja berlainan bagi Najib.

Setelah menendang timbalannya itu daripada jawatan kerajaan hanya kerana isu 1MDB dan demi menyelamatkan kerusi Perdana Menterinya, Najib barangkali tidak memerlukan lagi Muhyiddin untuk terus berada di sebelahnya dalam apa jua urusan parti selepas ini.

Najib tentu saja lebih selesa untuk duduk, bercakap, senyum mahu pun ketawa dalam mesyuarat, perhimpunan agung ataupun dalam apa-apa program parti jika kelibat Muhyiddin tiada lagi di sisinya.

Tambahan lagi, beliau kini sudah ada Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menterinya yang baru. Setelah mengenepikannya daripada kerajaan, Najib juga tidak memerlukan lagi Muhyiddin sebagai orang nombor duanya dalam parti.

Lalu, apa nasib Muhyiddin dalam UMNO sebenarnya meskipun kedudukannya sebagai Timbalan Presiden adalah dipilih dan bukannya dilantik?

Apakah Najib sanggup membiarkan saja Muhyiddin terus berada dalam parti sebagai orang nombor dua sehingga tahun 2018 nanti atau bakal "menendangnya" sekali lagi?

Kebetulan pada Jumaat, 31 Julai ini akan diadakan mesyuarat bulanan MT UMNO. Ia bukan saja akan menjadi mesyuarat MT UMNO yang pertama dihadiri oleh Muhyiddin selaku Timbalan Presiden UMNO tanpa jawatan dalam kerajaan, bahkan mungkin yang terakhir juga baginya.

Tidak lama selepas dipecat semalam, berlegar desas-desus bahawa ucapannya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cheras pada Ahad lalu sedang dikaji dan dianaliasa oleh pihak tertentu dalam UMNO untuk mencari kemungkinan ia turut melanggar disiplin parti.

Jika tegurannya dalam perasmian itu  berkenaan Perdana Menteri dan 1MDB telah menjadi asas pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menterti, sebenarnya tidak mustahil ia juga boleh dijadikan hujah untuk menuduh Muhyiddin sebagai telah mencemar serta memburuk-burukkan nama baik parti dan juga Presidennya secara terbuka kepada ahli-ahli UMNO sendiri.

Dengan itu, sekiranya usul pemecatan Muhyiddin dibawa dalam mesyuarat MT UMNO Jumaat ini, ia pasti akan diluluskan dengan majoriti yang selesa berikutan "mood" Ahli-Ahli MT ketika ini lebih kepada menunjukkan sokongan terhadap Najib berikutan rombakan kabinet yang baru saja berlaku.

Melalui pemecatan itu nanti, maka tergugurlah jawatan Timbalan Presiden UMNO yang sedang disandang oleh Muhyiddin itu.

Sekiranya tindakan tidak dilakukan terhadap Muhyiddin Jumaat ini, pemecatannya juga sedang menanti selepas ini jika beliau aktif mengeluarkan kenyataan mengenai 1MDB atau turut serta dalam program-program bersama dengan Tun Mahathir Mohamad.

Meskipun Najib sering mengatakan tentang keterbukaan dan sedia dikritik, tetapi beliau pasti tidak akan membiarkan Muhyiddin boleh sebebasnya menyusahkannya atau mengkritiknya dalam menguruskan parti dan kerajaan tanpa mengambil apa-apa tindakan.

Lagi pula, membiarkan Muhyiddin lepas bebas bercakap apa saja sehingga tahun 2018 adalah tindakan yang boleh merugikan dan menyebabkan ketidakselesaan kepada Najib sendiri.

Kecuali ucapannya di Cheras Ahad lalu, Muhyiddin hanya boleh selamat dan mampu bertahan sehingga beliau berundur sendiri pada pemilihan 2018 nanti sekiranya beliau dapat mengawal perasaan dengan berdiam diri dan mengelakkan daripada berkolaborasi sama sekali dengan gerakan Tun Mahathir.

Itu pun jika Muhyiddin sedia memencilkan dirinya dan sanggup  keluar hanya sebulan sekali untuk menghadiri mesyuarat MT UMNO atau setahun sekali untuk Perhimpunan Agung UMNO.

Soalnya, sanggupkah Muhyiddin? (SH 29/06/2015).

Tuesday 28 July 2015

HARI GELAP BUAT MALAYSIA


Hari ini dianggap hari hitam buat Malaysia. Semuanya kerana satu sebab saja iaitu1MDB. Hanya dalam beberapa jam saja dalam hari ini, tindakan yang diambil Najib Razak untuk menyelamatkan karier dan masa depan politiknya telah menyebabkan suasana negara akan terus menjadi kelam dan gelap yang entah bila akan tiba waktu cerahnya.

Ia bukan saja berkaitan pemecatan Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran, tetapi bersekali dengan Shafie Apdal, Naib Presiden UMNO yang disingkirkan sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Pemecatan menteri yang lain seperti Hasan Malek dan G Palanivel memang tidak menghairankan dan tiada kena mengena dengan 1MDB tetapi nasib yang menimpa Muhyiddin dan Shafie jelas kerana pendirian mereka mengenai syarikat tersebut.

Dalam apa yang dilakukan Najib hari ini, ia mencatat sejarah di mana Timbalan Presiden dan Naib Presiden UMNO telah dimangsakan hanya kerana berani menyatakan kebenaran serta mahukan ianya ditegakkan berkaitan 1MDB.

Tidak pernah dalam sejarah UMNO, seorang Timbalan dan Naib Presiden UMNO diperlakukan sebegini rupa, bukan kerana mereka ada skandal atau apa-apa kesalahan jenayah yang lain, tetapi hanya kerana mengkritik sebuah syarikat pelaburan yang bermasalah iaitu 1MDB.


APA JADI DENGAN PETUGAS KHAS?

Sementara dengan penyingkiran Muhyiddin dan Shafie ini menyebabkan tiada lagi suara lantang yang berani mengkritik 1MDB, hari ini juga berlaku pemecatan Gani Patail sebagai Peguam Negara.

Gani ketika ini sedang mengetuai pasukan petugas khas bersama SPRM, Bank Negara dan PDRM untuk menyiasat dakwaan The Wall Street Journal (WSJ) mengenai dakwaan pengaliran masuk wang 1MDB berjumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun Najib.

Beliau diumumkan dipecat atas alasan kesihatan sedangkan biasanya jika seseorang itu menghadapi masalah kesihatan, tuan punya badan sendiri yang membuat pengumuman untuk mengundurkan diri.

Tetapi dalam kes Gani ini ia diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Ali Hamsa dan tambah pelik apabila Gani kemudiannya memberitahu tidak tahu menahu mengenai pemecatannya itu.

Sudah tentu tanggapan umum ialah pemecatan Gani ini ada kaitan dengan siasatan pasukan petugas khas yang sedang diketuainya dan sudah melakukan lima tangkapan setakat ini.

Lalu, apa jadi dengan pasukan petugas khas dan hasil siasatan mereka nanti?

Ada juga yang mula meramalkan, siapa lagi selepas ini yang akan menerima nasib yang sama seperti Gani. Apakah Gabenor Bank Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Ketua Polis Negara juga sedang terancam kedudukannya?

Atau pemecatan Gani hanya permulaan amaran kepada yang lain-lain itu?


SIASATAN PAC JADI TERGENDALA - ANNUAR MUSA BAKAL GANTI NUR JAZLAN?

Selain itu, dalam rombakan kabinet hari ini, Najib juga melantik Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara atau PAC, Nur Jazlan Mohamed sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Sama seperti pasukan petugas khas, PAC juga sedang menjalankan siasatan terhadap 1MDB dan dalam proses untuk memanggil Jho Low, CEOnya Arul Kanda Kandasamy serta bekas CEO Shahrul Helmi untuk proses pendengaran. Beberapa yang lain yang ada kaitan dengan 1MDB sudah pun dipanggil oleh PAC.

Nur Jazlan selama ini agak terbuka serta kritikal dalam isu 1MDB dan lebih mahukan kebenaran yang menjadi dambaan rakyat dapat ditegakkan dalam kemelut yahg menyelubungi syarikat pelaburan itu.

Beberapa kenyataannya dilihat menggembirakan rakyat dan seolah-olah ada harapan kebenaran dapat ditegakkan melalui PAC yang dipimpinnya.

Perlantikan Nur Jazlan lebih dilihat kerana kedudukannya sebagai Pengerusi PAC yang sedang menyiasat 1MDB dan bukannya kerana kelayakannya sebagai akauntan bertauliah atau untuk mengenang jasa ayahnya, Mohamed Rahmat yang pernah menjadi Setiausaha Agung UMNO dan Menteri Penerangan.

Ini kerana jika faktor tersebut diambil kira, sudah pasti Najib melantiknya dalam kerajaan lebih dulu sebelum memberi jawatan kepada Ahmad Maslan yang lebih dipertikaikan rakyat kredibilitinya.

Bersama Nur Jazlan, empat Ahli Parlimen lain yang menganggotai PAC turut terlibat dalam rombakan kabinet yang diumumkan Najib hari ini. Mereka yang lain ialah Reezal Merican Naina Merican, Mas Ermieyanti Samsul dan Wilfred  Madius Tangau.

Kehilangan empat anggota PAC ini bukan saja menyebabkan sesi penyiasatan terhadap 1MDB akan tertangguh lagi sehingga perlantikan baru dibuat, malah hasil siasatan nanti juga mula menimbulkan keraguan.

Menjadi perbualan ketika ini bahawa bekas Pengerusi Mara, Annuar Musa akan dilantik sebagai Pengerusi PAC kerana beliau dilihat berpengelaman serta vokal mempertahankan kerajaan. Apabila khidmatnya di Mara tidak disambung pada 17 Julai lalu, beliau pada mulanya dijangka akan dilantik semula ke dalam kabinet, tetapi dengan ketiadaan namanya sebagaimana yang diumumkan Najib tengahari tadi, jawatan Pengerusi PAC adalah paling munasabah buat Ahli Parlimen Ketereh, Kelantan itu.


ZAHID - DARI SETPOL JADI ORANG PALING KANAN NAJIB

Secara umumnya perlantikan Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin sudah mula diperbualkan ramai sejak beliau pergi menunaikan umrah ke Mekah bersama Najib dan Hishammuddin tidak berapa lama dahulu lagi.

Diperbualkan bahawa berlaku perjanjian atau "baiah" di Mekah untuk melantik Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan dipersetujui oleh Hishammuddin berikutan Muhyiddin dan Shafie Apdal ketika itu sudah mulai kritikal mengenai 1MDB serta menunjukkan kecondongan kepada Tun Mahathir Mohamad.

Jika ikut nalurinya, Najib dikatakan ingin melantik terus sepupunya, Hishammuddin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan sekaligus calon penggantinya sebagai Perdana Menteri tetapi dibimbangi ianya menimbulkan serangan nepotisme terhadapnya.

Dengan itu, oleh kerana Zahid lebih berusia daripada Najib, beliau hanyalah watak Timbalan Perdana Menteri sementara saja sehingga ke suatu masa di mana Hishammuddin benar-benar boleh diterima sebagai bakal Perdana Menteri.

Walaupun Zahid agak popular dalam UMNO dan mendapat undi tertinggi sebanyak dua kali bagi jawatan Naib Presiden UMNO, ramai yang masih skeptikal terhadapnya berikutan pengalamannya yang belum cukup luas dalam kerajaan serta kedudukannya sebagai bekas Setiausaha Politik kepada Najib sebelum ini.

Bagaimana janggalnya bekas Setiausaha Politik menjadi Timbalan Perdana Menteri ialah seperti kita membayangkan ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri dulu, tetapi Timbalan Perdana Menterinya ialah Aziz Shamsudin atau Megat Junid Megat Ayob.

Atau ketika Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri dulu, namun Timbalan Perdana Menterinya ialah Othman Desa atau Reezal Merican.

Bolehkah kita membayangkannya? Tentu janggal dan melucukan bukan?

Itulah yang berlaku kepada gandingan Najib dan Zahid ini dan yang demikian, kedudukan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tanggapan ramai hanyalah sementara dan sebagai "budak suruhan" semata-mata kepada Perdana Menteri.

Rakyat tidak akan meyakini Zahid, lebih-lebih lagi pengundi bukan Melayu langsung tidak menyenanginya sebagai pemimpin kerajaan. Orang Perak mungkin boleh berbangga kerana inilah kali pertama pemimpin negeri itu menjadi Timbalan Perdana Menteri.


HARI UNTUK SELAMATKAN DIRI

Apa yang berlaku hari ini, melalui pemecatan Muhyiddin dan Shafie, penyusunan baru kabinet, penyingkiran Peguam Negara yang sekaligus menimbulkan keraguan terhadap peranan pasukan petugas khas dan melantik Pengerusi serta beberapa ahli PAC  ke dalam kabinet yang menyebabkan jawatankuasa itu dapat disusun semula dan dilengahkan daripada menjalankan peranannya, ia adalah semata-mata untuk mengekalkan kedudukan Najib lebih lama lagi di Seri Perdana.

Perlantikan Mahadzir Khalid sebagai menteri dan Johari Baharom, Ketua UMNO Kubang Pasu sebagai timbalan menteri pula tidak lain adalah untuk membendung pengaruh Mukhriz Mahathir di Kedah dan sekaligus sebagai persiapan untuk menghalang pengaruh Tun Mahathir Mohamad.

Kedua-dua mereka inilah juga yang memainkan peranan menyekat kemenangan Tun Mahathir sebagai perwakilan UMNO Kubang Pasu ketika Mahadzir Khalid menjadi Menteri Besar Kedah dahulu.

Ia jelas memperlihatkan bahawa demi mempertahankan kuasa dan kedudukannya, Najib sanggup melakukan apa saja tanpa memperdulikan perasaan atau tanggapan rakyat yang semakin memburuk terhadapnya.

Ia akan membawa awan mendung berarak lebih tebal mengelilingi bumi Malaysia sehinggalah tarikh pilihanraya umum akan datang. (SH 28/07/2015)

Sementara Siasatan, Hanya Pujian Kepada Najib Dianggap "Halal"


Susulan ucapan Muhyiddin Yassin di mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Cheras Ahad lalu yang menyentuh banyak perkara mengenai Perdana Menteri dan 1MDB, ia kini merebak pula kepada usaha menekan kedudukan Timbalan Perdana Menteri itu.

Selain sudah digelar pengkhianat kepada Najib dan didesak berundur daripada jawatannya, beliau juga turut disekat daripada terus bercakap mengenai 1MDB dan unsur-unsur tidak baik tentang Perdana Menteri.

Laman sosial, blog pro Najib dan petugas Jabatan Hal Ehwal Khas atau Jasa, secara lantang dan terbuka menyerang dan melabelkan Timbalan Presiden UMNO itu sebagai pengkhianat dan menyusahkan parti memenangi pilihanraya akan datang.

Speaker DUN Sabah, Salleh Tun Said Keruak pula  secara terbuka meminta Muhyiddin mencontohi apa yang pernah dilakukan oleh Musa Hitam dahulu lantaran sikapnya yang dianggap tidak sebulu dan hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri.

Tidak mustahil langkah Salleh ini akan dituruti oleh beberapa pihak lain sebagai strategi masing-masing untuk menonjolkan diri, menambat hati dan memperolehi apa-apa yang dihajati daripada Perdana Menteri.

Dikhabarkan juga UMNO Bahagian Raub, Pahang turut membatalkan jemputan yang sudah dipersetujui kepada Muhyiddin untuk merasmikan mesyuarat perwakilan bahagiannya.

Juga tidak mustahil,  keputusan UMNO Raub ini akan diikuti oleh bahagian-bahagian lain, kononnya bagi mengelakkan kemungkinan keadaan lebih keruh dalam parti. Alahai...

Dalam masa yang sama, isu 1MDB seolah-olah sudah menjadi suatu ancaman kepada negara dan sesiapa saja yang berbicara mengenainya akan dianggap merbahaya.

Setelah Sarawak Report disekat aksesnya dan The Edge digantung permitnya kerana siri pendedahan mengenai syarikat pelaburan bermasalah itu, anggota pentadbiran kerajaan, khususnya Muhyiddin seolah-olah turut "dibisukan" daripada terus membangkitkannya kerana dianggap boleh menjejaskan keadaan negara.

Dalam kenyaaan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri lewat petang semalam, ia meminta semua pihak agar menunggu dengan sabar siasatan pasukan petugas khas terlebih dahulu.

Dengan ini, gambarannya ialah sementara siasatan sedang dijalankan terhadap 1MDB, tiada kritikan boleh dikeluarkan terhadap Najib mahu pun syarikat tersebut, kecuali jika ianya untuk memuji dan menyatakan sokongan saja sepertimana yang hampir setiap hari dilakukan oleh Abdul Rahman Dahlan, Shabery Cheek dan menteri-menteri yang lain.

Menyokong dan memuji Najib  serta 1MDB adalah "halal", manakala mengkritik dan mengeji pula dianggap "haram" ketika ini.

Bertitik tolak daripada semua perkembangan itu, Najib Razak juga dikatakan akan mengadakan rombakan kabinetnya dalam sehari dua ini bagi memastikan kedudukannya tidak lagi mudah diganggu-gugat, khususnya oleh Muhyiddin.

Selain beberapa menteri dikhabarkan akan digugurkan, kedudukan Muhyiddin adalah sasaran utama dalam rombakan ini. Menteri lain yang disebut-sebut turut digugurkan ialah Shafie Apdal yang dianggap tidak lagi setia kepada Najib sejak kebelakangan ini manakala Hasan Malek, Shahidan Kassim dan beberapa yang lain akan diketepikan kerana prestasi dan lebih menjadi cemuhan masyarakat.

Ada yang mengatakan beliau akan dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan digantikan dengan Ahmad Zahid Hamidi, manakala yang lain pula percaya, tiada kementerian khusus atau hanya kementerian tidak penting saja akan diberikan kepada Muhyiddin kali ini.

Najib dikatakan perlu mengambil langkah segera menyekat kemaraan langkah Muhyiddin, selain sudah cukup "berasa hati" dengan gelagat timbalannya itu selama ini. Ada yang melaporkan, di majlis jamuan Hari Raya anjuran CIMB malam tadi, kedua-duanya kelihatan tidak lagi mesra sepertimana selalu.

Cuma, adakah Najib benar-benar berani menyingkirkan atau mengurangkan kuasa timbalannya itu sedangkan beliau sendiri sedang tersepit dengan undang-undang yang sedang memburunya?

Adakah Ahmad Zahid Hamidi pula benar-benar pilihan yang berwibawa untuk mengambil alih tempat Muhyiddin dan mampu menciptakan keputusan lebih baik dalam pilihanraya akan datang?

Yang lebih sadis, bagaimana jika  setelah rombakan kabinet dilakukan, tiba-tiba pasukan petugas khas nanti mendapati pengaliran wang RM2.6 bilion ke dalam akaun Najib itu benar-benar wujud?

Siapa akan terlompat akhirnya? (SH 28/07/2015)

Monday 27 July 2015

Muhyiddin Sudah Buka Gelanggang, Tugas UMNO Bahagian Hantar Mesej Kepada Presiden

Baru semalam blog ini menulis mengenai Muhyiddin Yassin yang agak senyap mengenai 1MDB sejak kebelakangan ini, beliau akhirnya melontarkan "peluru" yang ditunggu ramai ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Cheras di sebuah hotel di ibu negara.

Jika Perdana Menteri Najib Razak semakin mengelak kebelakangan ini untuk bercakap mengenai 1MDB, malah di majlis rumah terbuka Tun Abdullah Badawi, beliau hanya menjawab "okaylah" saja apabila ditanya oleh wartawan, Muhyiddin nampaknya masih boleh disandarkan kepercayaan atas sikap dan keprihatinannya yang terbaru ini.

Kata Muhyiddin, sebagai anak tok guru, beliau ada hak untuk berkata yang benar sebagaimana yang selalu diajar oleh bapanya.

Okaylah, masih ada harapan lagi nampaknya pada Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri ini...

UMNO Bahagian Cheras pimpinan Syed Ali Alhabshee yang baru-baru ini dilantik sebagai Pengerusi PNS merupakan bahagian pertama yang mengadakan mesyuarat perwakilannya pada tahun ini dan Muhyiddin pula menjadi pemimpin UMNO yang pertama diberi penghormatan untuk merasmikannya.

Pemimpin UMNO yang lain, termasuk Najib belum lagi merasmikan mesyuarat perwakilan mana-mana bahagian dan mungkin mulai minggu depan barulah mereka sibuk dengannya.

Antara intipati "peluru" ucapan Muhyiddin berkaitan 1MDB di Cheras itu ialah:-

- Najib perlu jawab tuduhan duit berbilion masuk ke dalam akaun peribadinya.

- Najib tak dengar nasihat saya agar letak jawatan dalam 1MDB.

- Saya baca The Edge yang digantung permitnya untuk faham mengenai 1MDB. Kalau The Edge tak betul, tunjukkan saya apa yang betul.

- BN akan kalah jika Najib adakan pilihanraya dalam waktu terdekat ini.

- Tun Mahathir ibarat bapa kita. Berhentilah menghentamnya kerana ia akan menjadikan bekas Perdana Menterti itu tambah popular, manakala kita jadi semakin jatuh.

Secara umumnya apa yang disebut oleh Muhyiddin ini mencakupi keseluruhan kebimbangan yang ada di kalangan rakyat dan ahli UMNO peringkat akar umbi. Isu 1MDB dan kaitannya dengan Najib adalah perkara besar yang sedang menghenyak kedudukan parti dan kerajaan ke paras paling rendah di sisi rakyat ketika ini.

Ia bukan saja berkaitan hutang, pelaburan, Jho Low dan pelbagai keraguan lain mengenai syarikat pelaburan itu, tetapi yang lebih membingungkan ialah tidak pernah sebelum ini mana-mana Perdana Menteri dituduh menerima kemasukan wang ke dalam akaun peribadi sebesar RM2.6 bilion jumlahnya.

Orang kampung dan makcik Felda barangkali boleh jadi pening kepala dan mamai berhari-hari memikirkan jumlah wang sebanyak itu.

Apatah lagi, tuduhan itu tidak dijawab dengan mantap oleh Najib sendiri yang menyebabkan berlegarnya pelbagai spekulasi liar mengenainya sehingga bukan saja menyebabkan pengundi tegar pembangkang dan atas pagar bertekad untuk terus menjauhi kerajaan, malah penyokong BN sendiri ramai yang mulai beralih arah.

Ada yang bertekad tidak mahu lagi mengundi BN berikutan isu ini, manakala yang lain sehingga bersumpah mengharamkan undi mereka kepada BN selagi Najib menjadi Perdana Menteri.

Sesuai dengan mesyuarat perwakilan UMNO  yang baru bermula sekarang, apa yang dilontarkan oleh Muhyiddin ini sebenarnya tidak memberi apa-apa makna jika tidak disambut oleh bahagian-bahagian lain yang bermesyuarat selepas ini.

Menjadi pemimpin yang pertama merasmikan mesyuarat perwakilan tahun ini, Muhyiddin seolah-olah sudah membuka gelanggang untuk UMNO memilih sama ada berpencak silat mempertahankan diri daripada serangan musuh dan mengekalkan kuasa atau sekadar berani bersilat di depan pengantin saja.

Adalah menjadi peranan dan tanggungjawab UMNO bahagian-bahagian untuk menghantar mesej yang lebih jelas kepada parti dan pucuk pimpinan bahawa kemelut 1MDB ini tidak boleh lagi ditangani dengan bodek, ampu atau pujian semata-mata.

Lagi baik, jika semua orang mulai berhenti daripada mencium tangan Najib selepas ini.

Bodek, ampu, pujian dan cium tangan hanya akan melekakan Najib untuk menetap lebih lama di Seri Perdana, sedangkan ianya semakin tidak membawa kebaikan lagi untuk rakyat seluruhnya.

Isyarat berhenti dan menetapkan tarikh peralihan kuasa mesti diberikan kepada Najib melalui mesyuarat perwakilan bahagian-bahagian tahun ini jika UMNO tidak mahu kehilangan kuasanya dalam PRU 14 akan datang. (SH 27/07/2015)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...