Friday 28 February 2014
Kesian Rosmah Mansor....
Secara tiba-tiba isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor mengeluh tentang masanya yang kini telah diambil oleh rakyat sehingga tidak mempunyai kesempatan lagi untuk melayan hobinya sendiri, terutama bermain badminton yang menjadi kegemarannya sebelum ini.
Berucap dalam satu majlis semalam, beliau berkata, "semua telah diambil rakyat, termasuk masa dan hobi saya. Saya sampai tiada masa untuk bermain badminton sekarang. Saya hanya luangkan masa untuk rakyat".
Ucapan Rosmah ini agak menghairankan kerana siapa yang menyuruhnya sibuk-sibuk atau menyibukkan diri menjaga rakyat. Tiada siapa yang memintanya berbuat demikian, bahkan beliau tidak dibayar gaji pun untuk menjaga rakyat. Beliau bukanlah wakil rakyat, menteri atau seumpamanya.
Beliau hanyalah isteri seorang Perdana Menteri yang perlu menyokong kerjaya dan menemani suaminya dalam program-program tertentu yang memerlukan kehadirannya. Tetapi ketika Najib ke pejabat, tidak perlulah beliau ke pejabat sama. Tiada siapa yang marah jika ketika Najib ke pejabat, beliau hanya berehat di rumah dan tidak berjumpa rakyat.
Sebagai isteri Perdana Menteri atau bahasa canggihnya, First Lady, bagaimanapun beliau bolehlah mengaktifkan dirinya dalam program-program ringan seperti yang biasa dilakukan oleh mana-mana isteri pemimpin lain di dunia ini. Isteri Presiden Amerika, Michelle Obama misalnya sering terlibat dalam program-program santai seperti bersama kanak-kanak, wanita, menghadiri program kebajikan, pertunjukan fesyen amal dan sebagainya.
Jika ditambah dengan program Permata pun, Rosmah sebenarnya tidaklah sesibuk mana. Tapi kenapa semua masanya diambil oleh rakyat sampai tiada masa bermain badminton? Adakah Najib menderanya untuk melakukan kerja-kerja bertemu rakyat?
Rosmah sebenarnya tidak perlu mengeluh kerana tiada siapa mewajibkannya melayan rakyat daripada pagi sampai petang dan kemudian bersambung hingga ke malam. Kerja melayan rakyat adalah kerja suaminya, menteri-menteri adan wakil rakyat yang sudah dibayar gaji oleh kerajaan.
Tetapi jika beliau melakukannya kerana suka-suka atau ingin membantu Najib, berpada-padalah. Curilah masa untuk hobi sendiri seperti membeli-belah, bertemu kawan-kawan atau bermain badminton dan janganlah sampai terlebih sibuk daripada wakil rakyat, menteri atau pegawai di Jabatan Perdana Menteri sendiri yang memang dibayar gaji untuk kerja demikian.
Ada seorang bekas pegawai Najib yang ketika berkhidmat dulu menjadikan setiap hari Khamisnya untuk beliau bermain golf bersama kawan-kawannya. Di hujung minggu tertentu pula, pegawai terbabit juga masih mempunyai masa bermain golf sehingga ke Indonesia dan Thailand sedangkan beliau lebih dikehendaki membantu bossnya melayan rakyat.
Jika pegawai Najib sendiri yang memang dibayar gaji untuk sebahagiannya ialah melayan rakyat masih mempunyai banyak masa melayan hobi golfnya, agak menghairankan juga bagaimana Rosmah sampai tiada masa untuk bermain badminton.
Lagi pun, baru beberapa hari lalu ketika menyampaikan sumbangan air mineral di Cheras, Rosmah mengelak ketika didekati wartawan dengan alasan beliau hanyalah suri rumah dan bukannya ahli politik.
Kalau hanya suri rumah, kenapa sampai sibuk sangat sehingga tiada luang waktu untuk bermain badminton?
Ternampak ada kecelaruan di sini, sekejap suri rumah dan sekejap yang lain sebagai penjaga rakyat paling sibuk. Kalau hanya suri rumah sebagaimana yang diakuinya, disitulah sebenarnya kepuasan dan pahala untuknya. Sebagai suri rumah tetapi menyibukkan diri mahu menjaga rakyat sama, belum tentu dapat pahala, apatah lagi jika mengabaikan suami dan mengeluh kemudiannya.
Bagaimanapun mungkinlah tugasnya sibuk dengan rakyat dan menemui pelbagai kelompok manusia sekarang ini berikutan suasana politik tidak lagi stabil, bahkan yang mendesak suaminya berundur pun makin ramai. Selain pihak pembangkang dan yang terbaru, Hindraf pula bersuara dengan desakan yang serupa, bekas Perdana Menteri, Mahathir serta Daim Zainuddin pula sering mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengganggunya.
Mungkinlah semua ini yang mengganggu Rosmah untuk meluang masa daripada hobi badmintonnya. Alahai, kesiannya...
Namun, jika Rosmah terlampau ingin melangsaikan hobinya yang banyak tertangguh selama ini, beliau bolehlah juga meminta suaminya agar berundur dengan segera. Kemudian berbadmintonlah dengan sepuasnya. (SH 28/02/2014)
Thursday 27 February 2014
Tersenarai Dalam 5 Boros Di Dunia, Satu Lagi Alasan Najib Wajar Diganti
Minggu ini sekali lagi Malaysia dikenali di peringkat antarabangsa. Setelah beberapa kehebatan dan kecemerlangan yang berjaya dilakukan oleh pelbagai individu serta dalam pelbagai bidang sebelum ini yang sekaligus mengangkat nama Malaysia makin harum di persada dunia, kehebatan yang berlaku kali ini lebih "terangkat" lagi.
Sebuah portal berita Indonesia, Merdeka.com dalam laporan terbarunya telah membariskan Perdana Menteri, Najib Razak diantara lima pemimpin dunia yang paling boros. Bersama dalam senarai itu ialah Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe, bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlosconi, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Korea Utara, Kim Jong-Un.
Dengan memetik laporan majalan The Heat, Najib dianggap boros kerana membelanjakan wang yang banyak bagi kos perjananan beliau dan perbelanjaan keluarganya sejak lima tahun lalu, di samping memperuntukan sejumlah besar wang lagi untuk menggaji pelbagai kumpulan konsultan dan penasihat bagi membantu pentadbirannya.
Robert Mugabe pula terkenal sebagai pemimpin yang boros terutama dalam meraikan ulangtahun kelahirannya yang ke-90 baru-baru ini, walaupun di ketika sebahagian besar rakyatnya sedang menderita kelaparan dan hidup dibawah paras kemiskinan manakala Berlosconi adalah pemimpin playboy yang gemar bersukaria dan menghabiskan hampir setiap malamnya dengan dikelilingi gadis-gadis jelita di beberapa rumah agam yang dimilikinya.
Netanyahu pula dikenali sebagai pemimpin yang suka membeli perhiasan mahal untuk kediaman dan pejabatnya di mana kos membeli lilin wangi dan bunga saja sudah menelan belanja yang cukup menggemparkann, sementara Jong-Un yang baru beberapa tahun mengambil alih tampuk Korea Utara daripada bapanya adalah juga terkenal dengan kegemaran membeli perhiasan yang mahal-mahal di mana dilaporkan perbelanjaan untuk barangan mahalnya untuk tempoh setahun terakhir ini menyamai dua kali ganda pengeluaran yang dilakukan oleh bapanya dalam tempoh setahun.
Dengan Najib termasuk dalam senarai lima terboros ini dan dibariskan dengan nama-nama yang tidak asing lagi seperti Mugabe, Berlosconi, Netanyahu dan Jong-Un, bermakna Malaysia makin dikenali di peringkat antarabangsa. Najib dengan kehebatannya berbelanja yang cukup "terangkat" itu akhirnya berjaya mengangkat namanya dan juga nama Malaysia untuk lebih dikenali lagi di peringkat global.
Memandangkan tahun ini merupakan Tahun Melawat Malaysia dan kempen untuk menarik kehadiran pelancong turut giat dijalankan sejak tahun lalu lagi, kehebatan yang berjaya ditonjolkan Najib ini pastinya akan membuatkan lebih berganda lagi pelancong mengunjungi negara ini.
Namun sebagai rakyat Malaysia yang merasai sendiri pelbagai keperitan melalui kenaikan kos sara hidup, peningkatan harga barang dan dalam masa yang sama pemberian sekelumit tunai BR1M diagung-agungkan seakan-akan untuk menutup pemborosan dan belanja mewah pemimpin, tersenarainya Najib dalam kelompok lima terboros ini adalah suatu malapetaka bagi negara.
Di ketika rakyat terbeban dengan pelbagai kesukaran dan hutang negara sudah mencecah 54 peratus daripada KDNK negara, Najib sebaliknya dilihat di peringkat antarabangsa sebagai pemimpin yang boros dan suka bermewah.
Ini akhirnya akan menjadikan negara kita tidak lagi dipandang tinggi walaupun kita mempunyai bangunan KLCC yang merupakan keempat tertinggi di dunia. Kedudukan negara sebagai negara Islam yang penuh toleransi dan setiap tahun menganjurkan Musabaqah Al-Quran akan dengan sendirinya pudar roh keIslamannya.
Negara-negara jiran, baik yang lebih maju mahupun yang lebih ke belakang berbanding kita, pastinya sekarang ini mulai memandang sinis dan mentertawakan kita atas pencapaian ini. Malah pelancong yang datang juga mungkin bukan lagi untuk menikmati keindahan pemandangan dan kesedapan makanan tetapi lebih untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai kemewahan Perdana Menterinya.
Jika hanya dalam tempoh lima tahun berkuasa saja Najib sudah berjaya membariskan namanya dalam "kelompok lima terbaik" ini, pastinya jika diberi lebih masa, makanya lebih banyak lagi "pencapaian" mengkagumkan yang mampu dilakukannya atas nama dan kuasa sebagai Perdana Menteri.
Kiranya pelbagai kelemahan mengenai Najib, termasuk yang dikritik keras oleh bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin selama ini belum cukup kuat untuk merangsang pertukaran Najib, begitu juga dengan pelbagai derita dan sengsara yang mulai dirasai sendiri oleh rakyat, kehebatan terbaru Perdana Menteri ini mungkin merupakan satu lagi alasan kukuh ke arah yang sama.
Dengan meletakkan dirinya dianugerahkan dalam senarai lima paling boros di dunia, rakyat pada hakikatnya sudah cukup malu dan terhina dengannya. Rakyat tidak sanggup lagi jika selepas ini kita tersohor lagi di peringkat antarabangsa misalnya dalam kategori negara bakal bankrap, hutang paling banyak atau kerana memiliki gelang mahu pun cincin di antara lima yang termahal dalam dunia.
Sebelum terlewat, perubahan tidak harus dilewatkan lagi. (SH 27/02/2014)
Wednesday 26 February 2014
Apabila Daim Bersuara Lagi....
Sudah dua kali bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin bersuara mengkritik kepimpinan Najib secara terbuka di tahun 2014 ini. Kali pertama ketika berucap di suatu majlis di Merbok, kawasan Parlimen yang pernah diwakilinya pada pertengahan Januari lalu, Daim mengkritik beberapa dasar tidak betul kerajaan seperti subsidi, tol, kenaikan harga barang, menteri tidak pandai menjawab isu, Najib tidak bijak mengurus perbelanjaan, terlalu bergantung kepada penasihat dan berbagai lagi.
Selain melabelkan Najib sebagai Perdana Menteri yang lemah, Daim juga membayangkan jika pilihanraya akan datang diadakan dalam situasi seperti ini, ia lebih mengundang kemungkinan BN tewas dan hilang kuasa di peringkat pusat.
Namun, belum pun sempat kritikan beliau itu dibahas dan diperbualkan dengan lebih meluas, ia kemudian tenggelam dengan isu pilihanraya kecil DUN Kajang dan strategi Anwar Ibrahim mahu menjadi MB Selangor yang tiba-tiba muncul.
Sebelum ini, Daim dan Mahathir dilihat sudah pun memulakan langkah mengkritik beberapa dasar dan pendekatan Najib atas kebimbangan bahawa kelemahan Najib yang berterusan itu akan membahayakan kedudukan UMNO dan BN dalam pilihanraya 2018 nanti.
Kritikan Mahathir dan Daim mengenai pelbagai kelemahan Najib, walaupun belum lagi menjurus secara khusus untuk menggantinya dengan pemimpin lain tetapi secara umumnya telah mendapat respon yang positif daripada golongan konservatif yang rata-rata turut bersetuju bahawa peluang BN dalam PRU 14 nanti hanya mungkin lebih baik kiranya Najib sedia berundur atau diundurkan.
Pengakuan mengenai pelbagai kelemahan Najib dan kedudukannya yang mula dilihat sebagai liabiliti berikutan terlalu banyak isu yang gagal diselesaikan, kini sudah mulai merebak di peringkat yang lebih meluas ke seluruh negara.
Kritikan dan serangan terhadap pelbagai kelemahannya hanya reda seketika ketika ini berikutan pilihanraya kecil Kajang yang menjadikan semua orang memikirkan kepentingan parti, mahu melihat BN menang dan menumpukan serangan terhadap Anwar.
Sebaik keputusan Kajang diketahui yang mana Anwar diramalkan tidak mungkin ditewaskan oleh BN, kritikan terhadap Najib diramalkan akan memuncak kembali. Sepertimana yang diketahui, dengan Anwar selepas ini berjawatan MB Selangor manakala Najib kekal tidak berubah serta berlumut dengan masalah, kedudukan BN menjadi lebih bahaya lagi.
Bagaimanapun Daim nampaknya tidak menunggu sehingga keputusan pilihanraya Kajang diketahui untuk meneruskan kritikannya terhadap Najib. Dalam wawancaranya dengan Kinibiz, Daim meneruskan kritikannya dengan menggambarkan Najib sebagai pemimpin yang rapuh dan kurang tegas.
Beliau juga dilihat cuba menyampaikan mesej yang jelas kepada Najib dengan berkata, sementara rakyat masih selesa dengan kerajaan tetapi secara majoritinya, luahan yang kedengaran di peringkat bawahan ialah seperti masih banyak yang tidak betul di mana-mana serta perlu diperbetulkan dengan segera.
Kritikan terbaru Daim ini dengan jelas menunjukkan bahawa sesuatu perlu dilakukan tanpa menunggu keputusan Kajang. Kritikan yang dilakukan ketika bahang kempen baru saja bermula boleh juga digambarkan sebagai isyarat bahawa jika beliau berdiam diri dan tidak mengkritik Najib pun, BN tetap mustahil untuk mencapai kemenangan.
Oleh itu, sementara kekalahan BN sudah dijangka, Daim seperti ingin mengukuhkan lagi keyakinan umum bahawa kelemahan Najib adalah sesuatu yang sukar diperbaiki, meskipun sudah banyak kali diperingatkan mengenainya.
Kritikan dan mendedahkan secara berterusan mengenai kelemahan Najib dalam mengurus negara dan membayangkan potensi kekalahan dalam PRU 14 secara tidak langsung akan mendorong ahli UMNO khususnya agar lebih menyayangi parti dan masa depannya berbanding batang tubuh presidennya.
Sekiranya semangat sayangkan parti melebihi presiden itu dapat meresap dengan lebih mendalam lagi, menggantikan Najib bukanlah suatu masalah lagi kerana mengekalkan pemimpin yang sudah menjadi liabiliti adalah malapetaka kepada parti. Ini nyata berbeza dengah pendekatan Najib sejak sekian lama yang cuba menebalkan sokongan ahli parti serta rakyat terhadap kepimpinannya lebih kepada aspek peribadi, malah cara gerak kempennya dalam PRU 13 lalu yang mirip pemilihan Presiden Amerika adalah jelas ke arah matlamat itu.
Meskipun Najib masih mendapat sokongan daripada majoriti Ketua-Ketua UMNO Bahagian tetapi kepimpinannya yang rapuh yang dijelmakan antaranya melalui kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang kian meninggi, turut menyebabkan kerapuhan sokongan rakyat. Dalam masa sama kebimbangan bahawa BN akan hilang kuasa ketika teraju kepimpinan ditangannya juga kian meningkat sekarang ini.
Oleh itu, meskipun ternampak sukar tetapi jika perasaan sayangkan parti dan ketakutan BN hilang kuasa berjaya ditebalkan serta bagaimana seharusnya kerajaan berperanan menjaga rakyat, menggantikan Najib sebelum PRU 14 dan bagi mengelakkan BN kehilangan kuasa akan menjadi suatu keperluan yang tidak perlu ditangguhkan lagi.
Melalui pelbagai kritikannya, Daim terlihat sedang berusaha ke arah itu. (SH 26/02/2014)
Tuesday 25 February 2014
Jangan Beri Publisiti Pada Pelampau, Apakah Najib Menujukannya Pada Perkasa?
Dalam usaha menjayakan rekonsilasi nasional yang akan diumum serta dilaksanakan beberapa bulan lagi yang antara lainnya diharapkan membantu memberi inspirasi kepada rakyat untuk saling hormat-menghormati dan berhubung sesama sendiri serta seterusnya menjadikan perpaduan dan keadaan negara menjadi lebih baik, Perdana Menteri, Najib Razak juga menggesa media dan media sosial agar tidak memberi publisiti kepada penghasut yang selalu mengeluarkan kenyataan melampau.
Beliau berkata, memberi publisiti kepada kumpulan pelampau boleh memecah-belahkan kepercayaan antara kumpulan etnik dan oleh yang demikian, sebarang publisiti tidak harus diberikan kepada kumpulan tersebut.
Tambah Najib lagi, kenyataan demi kenyataan yang sering dikeluarkan oleh kumpulan pelampau ini tidak perlu dikecam, sebaliknya tindakan terbaik ialah "tidak mempedulikannya dan jangan beri publisiti".
Menjelang pilihanraya kecil DUN Kajang yang bahangnya mulai terasa dan mungkin juga memberi kesan kepada kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri selepas ini, rekonsilasi nasional ini memberi tafsiran yang pelbagai di kalangan rakyat. Sementara ada yang menganggapnya ssbagai bukti menunjukkan betapa Najib sentiasa memandang ke hadapan demi kepentingan negara, kelompok yang lain pula melihat ianya sebagai strategi politik untuk memastikannya berada lebih lama lagi di kerusi empuk Perdana Menteri.
Sama ada atas nama rekonsilasi, konsensus atau apa saja tetapi ianya tidak dinafikan memberi ruang kepada Najib untuk mendekati dan berbaik-baik dengan pimpinan Pakatan Rakyat, apatah lagi jika selepas ini Anwar Ibrahim mempunyai tapak yang lebih kukuh sebagai MB Selangor, hubungan saling berbaik mungkin boleh dimanfaatkan untuk berbagai kepentingan.
Dengan tapak kukuh yang dimiliki Anwar dan memberi lebih potensi untuk memenangi PRU 14, dalam masa yang sama ia juga memberi tekanan kepada Najib dalam mempertahankan kedudukannya kerana golongan kanan dalam UMNO yang masih menggunakan pengaruh Mahathir Mohamad pasti saja mahukan Najib diundurkan bagi digantikan dengan pemimpin lain pula.
Oleh itu, rekonsilasi ini boleh juga merupakan perisai bagi Najib dari serangan dalam UMNO sendiri.
Apatah lagi dalam masa Najib mahu melaksanakan rekonsilasi ini, beliau turut juga juga mengecam golongan pelampau yang dianggapnya hanya mahukan publisiti yang diidam-idamkan bagi melakukan pelbagai tuntutan.
Dalam mana-mana komuniti pun, golongan pelampau ini sentiasa wujud. Di negara kita, baik dalam masyaraka Melayu, Cina mahupun India, kumpulan pelampau ini sentiasa ada. Tetapi dari sekian banyak golongan yang boleh dianggap pelampau dan kerap mendapat publisiti, Perkasa yang diterajui oleh Ibrahim Ali adalah berada di kedudukan paling depan sekali.
Ini kerana Perkasa bukan saja aktif menuntut macam-macam perkara dan memberi reaksi hampir dalam semua isu termasuk mahu membakar Bible yang mengandungi nama Allah, bahkan Perkasa juga merupakan NGO yang paling banyak mendapat publisiti media. Di dalam akhbar Utusan Malaysia misalnya, hampir setiap hari ada saja berita mengenai NGO itu, bahkan akhbar itu seolah-olah hilang serinya jika tiada berita mengenai Perkasa didalamnya.
Sebelum pilihanraya lalu, sementara Najib menjaja dasar 1Malaysia tetapi di masa yang sama beliau juga memberi ruang untuk mendekati kelompok yang boleh dianggap pelampau semata-mata untuk mendapatkan undi. Bukan saja Perkasa yang didekatinya, malah Dong Ziong dan Hindraf juga cuba dijadikan rakan karib kerajaan.
Akhirnya, bukan saja hubungan baik dengan Dong Ziong tidak menjadi, bahkan ikatan kasih dengan Hindraf juga sudah terlerai. Perkasa yang dulunya banyak memuji Najib dan kerajaan juga mulai berubah nada sebaik pilihanraya berakhir kerana kecewa dengan kelemahan dan sikap tolak ansur yang keterlaluan oleh kerajaan.
Di suatu ketika Perkasa malah menyatakan mereka kini bersikap berkecuali terhadap Najib dan kerajaan. Namun di masa yang sama, Perkasa tetap mempunyai hubungan baik dengan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad.
Dengan melaungkan rekonsilasi dan di masa yang sana mahukan golongan pelampau tidak terus-terusan diberikan publisiti, Najib seolah-olah sedang membaling dua ekor burung dengan seketul batu. Selain untuk kepentingan negara dan menyelamatkan kedudukannya, beliau juga ingin menjauhi golongan yang boleh menyusahkannya.
Najib seperti mulai menyedari bahawa Perkasa lebih menyusahkannya, bukan saja dalam pelbagai tuntutan dan ugutan mahu membakar Bible, malah terbaru ini NGO itu juga menolak penubuhan Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN) yang diinisiatifkan Najib. Lebih dari itu, Perkasa turut menubuhkan badan sendiri yang menyerupai MKPN untuk membincangkan isu perpaduan mengikut acuan mereka sendiri.
Tidak diragui, jika dibiarkan berterusan sambil publisiti meluas yang diperolehinya, Perkasa adalah ancaman bukan saja kepada Najib tetapi juga kepada kestabilan pelbagai etnik di negara ini.
Jika selama ini Perkasa mendapat dana daripada kerajaan dan publisiti melimpah daripada Utusan khususnya, dengan petunjuk yang diberikan Najib ini, era itu mungkin akan berakhir tidak lama lagi. (SH 25/02/2014)
Monday 24 February 2014
MCA Hanya Kemaruk Jawatan Menteri
Tanpa menunggu keputusan pilihanraya kecil DUN Kajang yang merupaksn ukuran sama ada MCA sudah mendapat kepercayaan pengundi Cina atau sebaliknya, parti itu sebaliknya membuat keputusan mempercepatkan mesyuarat agung luar biasa atau EGM untuk menentukan sama ada mereka wajar kembali menduduki kabinet atau kekal berada di luar kabinet sepertimana sekarang.
Dalam EGM yang diadakan semalam itu, walaupun ada yang keluar dewan perhimpunan sebagai tanda bantahan tetapi akhirnya MCA memperolehi semula mandat untuk kembali ke kabinet dengan undi menyokong sebanyak 1913 daripada 1922 jumlah perwakilan.
Dengan resolusi ini serta bersamaan dengan janji Perdana Menteri untuk memberi jawatan kabinet kepada pemimpin MCA sekiranya usul menolak jawatan dalam kerajaan yang dibuat semasa kepimpinan Chua Soi Lek dahulu dibatalkan, kini semuanya terpulang kepada Najib untuk menentukan bila dan berapa jawatan yang harus diberikan kepada parti itu.
Apa yang menarik dalam EGM kali ialah bukan saja kelulusan kembali ke kabinet itu diperolehi melalui undi angkat tangan tetapi juga tarikh EGM diadakan juga terpaksa menggunakan kuasa Presiden MCA yang hanya menggunakan notis selama 7 hari berbanding peraturan sebenar yang memperuntukkan notis selama 30 hari.
Ini tidak lain memperlihatkan keinginan yang tinggi atau rasa kemaruk di kalangan pemimpin MCA untuk kembali semula memegang jawatan kabinet tanpa memperdulikan sokongan pengundi Cina sudah kembali kepada BN atau sebaliknya. Dan pilihanraya kecil DUN Kajang telah digunakan sebagai senjata ke arah matlamat itu.
Jika MCA bermaruah, mereka sepatutnya menunggu sehingga keputusan pilihanraya kecil DUN Kajang yang mempertaruhkan Naib Presidennya, Chew Mei Fun sebagai calon BN untuk memutuskan sama ada perlu meluluskan usul untuk kembali menganggotai kerajaan atau tidak. Dengan pemimpin kanannya sendiri dipilih sebagai calon, di situlah ukuran sama ada MCA diterima atau tidak oleh kaumnya sendiri.
Tetapi dengan mempercepatkan tarikh EGM dan seolah-olah tidak boleh menunggu sehingga pilihanraya Kajang berakhir, sementara undian pula diadakan secara angkat tangan, bukan saja rasa kemaruk yang dapat dipamerkan, bahkan MCA kini seperti sedang mendesak Najib untuk memberikan mereka jawatan dalam kabinet sebelum hari pengundian pada 23 Mac diadakan.
Dengan ini, MCA jelas tidak peduli sama ada keputusan di Kajang memihak kepada BN atau sebaliknya. Tekanan secara halus nampaknya sedang diberikan kepada Najib untuk segera membuat keputusan kerana jika jawatan menteri diberikan sekarang ia kononnya lebih memudahkan untuk menarik dan meyakinkan pengundi Cina terhadap kerajaan.
Bertandingnya MCA di Kajang hanya menambahkan kuasa tawar-menawar mereka kepada Najib dan BN. Jika diberikan jawatan, Presidennya, Liow Tiong Lai dan Timbalan Presiden, Dr Wee Ka Siong pastilah sudah mendapat habuan sebelum keputusan Kajang diketahui. Soal sama ada pengundi Cina menyokong atau tidak bukanlah lagi faktor penting kerana yang dihajati sebenarnya adalah kedudukan dalam kabinet dan bukannya kemenangan di Kajang.
Jika tidak diberi jawatan dan BN tewas pula, MCA akan menyalahkan Najib kerana menangguhkan pemberian jawatan akan dilihat sebagai tanda ketidakpercayaan BN sendiri terhadap parti itu. Hujah mereka tentunya ialah jika Najib sendiri tidak meyakini MCA, bagaimana pengundi Cina mahu kembali memberikan sokongan.
Dengan itu ia mungkin memaksa Najib memberi lebih jawatan dalam kerajaan kepada MCA kerana bimbang berterusan tanpa jawatan akan memberikan keputusan kesan penolakan yang lebih besar di kalangan pengundi Cina dalam PRU 14 nanti.
Terlihat di sini, sama ada Najib akan memberikan jawatan kabinet kepada MCA sebelum mahupun selepas keputusan Kajang, Najib dan UMNO lebih terbeban manakala MCA hanya menunggu untuk mengaut keuntungan semata-mata.
Jika MCA ikhlas dan mempunyai sedikit perasaan malu, penentuan sama ada EGM yang bertujuan meluluskan usul mewajarkan pemimpinnya kembali memegang jawatan kerajaan atau sebaliknya sepatutnya hanya dibuat selepas melihat keputusan di Kajang.
Walaupun Chua Soi Lek dianggap kurang bermoral berikutan video seksnya yang tersebar luas beberapa tahun lalu, namun moral politik pimpinan baru MCA ini juga boleh dipertikaikan kerana nampaknya mereka tidak sabar-sabar kembali memegang jawatan kerajaan tanpa menunggu sokongan pengundi Cina sudah kembali atau tidak.
Sebaik saja usul diluluskan, Liow Tiong Lai bukan saja mengucapkan terima kasih kepada perwakilan atas keputusan tersebut, malah menganggapnya sebagai perangsang kepada kepimpinan baru untuk melakukan pelbagai lagi transformasi.
Seolah-olah menjadi menteri dan duduk dalam kerajaan merupakan nawaitu utama MCA dan jika tanpanya, sebarang transformasi tidak dapat dilakukan. (SH 24/02/2014)
Sunday 23 February 2014
Kemenangan Anwar Adalah Penolakan Mutlak Kepada BN
Pilihanraya kecil DUN Kajang semakin hampir tarikhnya. Calon-calon yang bakal bertanding juga sudah dumumkan. BN menamakan Naib Presiden MCA, Chew Mei Fun manakala PKR sejak awal meletakkan Ketua Umumnya, Anwar Ibrahim. Beberapa calon Bebas juga turut mengumumkan hasrat untuk bertanding tetapi kebarangkaliannya mungkin hanya Zaid Ibrahim yang berani mengotakan kata-katanya.
Sekarang ini yang perlu ditunggu hanyalah tarikh 11 Mac untuk diketahui secara rasmi siapakah yang bakal bertanding dalam pilihanraya itu.
Sejak awal pengumuman kekosongan pilihanraya ini, sasaran semua pihak tidak lain ialah Anwar Ibrahim. Langkah Kajang yang bakal menjadikan Anwar sebagai ADUN dan seterusnya MB Selangor seolah-olah sesuatu yang wajib dihalang oleh semua pihak.
Mahathir dan Daim yang sebelum ini dilihat sudah menghidupkan enjin untuk memulalan serangan terhadap kepimpinan Najib yang terus-terusan dilanda pelbagai masalah, kemudiannya turut mengalihkan sasarannya kepada Anwar. Mahathir terutamanya, melalui beberapa komennya, terpampang ketakutan yang amat sangat terhadap kemaraan Anwar dan sedang menggagahkan dirinya yang sedang menginjak usia 89 untuk menentang bekas TPM yang pernah dipecatnya itu.
BN pula, walaupun menyedari pilihanraya Kajang tidak mampu mengubah apa-apa kedudukan mereka di Selangor, atas desakan agar tidak memberi laluan percuma kepada Anwar dan mengelak dianggap penakut, akhirnya menamakan Chew Mei Fun yang dianggap bersih, bermoral tinggi dan rajin bekerja sebagai calonnya. Dibahu wanitanya disandarkan harapan untuk menewaskan Anwar dan juga melonjakkan imej MCA.
Calon Bebas Zaid Ibrahim juga, hasratnya bertanding tidak lain ialah untuk menghalang Anwar daripada menjadi MB Selangor.
Beberapa orang yang turut mahu menawarkan diri sebagai calon Bebas (entah jadi, entah tidak) sebelum ini seperi Nallakaruppan, penyanyi Herman Tino dan Yuktes Vijay juga hasrat mereka semata-mata untuk menghalang Anwar.
Barangkali ini pertama kali dalam sejarah begitu ramai yang mahu menawarkan diri bertanding sebagai calon Bebas bukan disebabkan tidak bersetuju dengan kerajaan yang memerintah tetapi semata-mata untuk melawan Ketua Pembangkang. Malah calon-calon Bebas ini lebih mirip menyokong kerajaan.
Jika diambil kira dengan beberapa NGO, badan bebas, ahli akademik dan sebagainya yang tidak henti-henti mencipta hujah agar Anwar dikalahkan dalam pilihanraya ini, dan seperti sedang bergandingan tangan bersama BN, Mahathir dan calon-calon Bebas itu, ia seolah-olah Anwar sedang berhadapan dengan gerombolan yang sangat besar dan gagah yang mahu menewaskannya.
Selain Tuhan yang menjadi sandaran Anwar dan PR dalam pilihanraya ini, harapan mereka yang seterusnya ialah agar pengundi Kajang dapat menggunakan kebijaksanaan sendiri dalam membuat pilihan yang tepat dan bijaksana.
Bagaimana jika akhirnya Anwar menang juga dalam pilihanraya ini? Dengan gerombolan yang terlihat begitu besar mahu menewaskannya, bagaimana juga jika akhirnya majoriti Anwar melebihi 6,824 undi sepertimana yang diraihnya dalam PRU 13 lalu?
Haruslah diingat bahawa selain cabaran yang besar itu, pilihanraya kecil ini juga diadakan ketika rakyat baru saja menerima pemberian tunai BR1M bernilai RM650. BN tentulah mengharapkan sekurang-kurangnya BR1M ini memberi kesan yang positif untuk mengubah kecenderungan pengundi Kajang dalam membuat pilihan.
MCA pula, selain meletakkan calonnya yang dianggap terbaik serta kepimpinan tertingginya pula baru saja mengalami perubahan, pilihanraya ini juga menjadi ujian sama ada parti itu masih melekat di hati pengundi Cina atau sebaliknya.
Secara rasionalnya, sementara Anwar sedang digasak habis-habisan, pilihanraya ini juga menampilkan cabaran yang besar kepada BN dan semua pihak yang terlibat seperti UMNO, MCA, Najib, Mahathir dan lain-lainnya jika akhirnya kemaraan Anwar tidak mampu disekat.
Kemenangan Anwar adalah petanda buruk kepada BN dalam menghadapi PRU 14 nanti yang memerlukan semua yang terlibat, terutamanya Najib dan Mahathir agar segera memasang cermin besar di rumah masing-masing dan menatap wajah sendiri dengan lebih kerap berbanding biasa. (SH 23/02/2014)
Friday 21 February 2014
Chew Mei Fun Calon BN, Perkasa Wajib Jadi Tukang Kempen Utama
BN akhirnya memutuskan calonnya bagi berhadapan dengan Anwar Ibrahim dalam pilihanraya kecil DUN Kajang pada 23 Mac depan ialah Naib Presiden MCA, Chew Mei Fun. Meskipun beliau seorang wanita, tetapi dengan kedudukannya dalam MCA serta pengalamannya pernah menjadi Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen sebelum ini, beliau dianggap calon terbaik untuk menghalang Anwar daripada memenangi kerusi itu dan seterusnya menjadi MB Selangor.
Dengan sahnya BN turut menyertai pilihanraya kecil ini dan mengelak untuk membiarkan Anwar hanya ditentang oleh calon Bebas dan sekaligus boleh menjimatkan wang kerajaan, pengundi Kajang sudah boleh membayangkan kemeriahan kempennya yang pasti disusuli dengan pelbagai pengumuman projek segera bernilai juta-jutaan ringgit untuk mendapatkan sokongan.
Menyedari cabaran BN dalam pilihanraya ini bukannya mudah dan Najib sendiri mengakui perlunya BN bekerja dua kali ganda daripada biasa, limpahan projek pembangunan dan seumpamanya juga mungkin turut berlipat kali ganda jumlahnya.
Menariknya pilihanraya kecil ini bukan saja kerana ia akan membuka jalan kepada Anwar menjadi MB Selangor dan BN pula cuba menghalangnya, tetapi pihak yang turut menyertai pilihanraya ini juga adalah semata-mata untuk menghalang kemaraan Anwar itu.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim mengumumkan hasratnya bertanding adalah semata-mata untuk menghalang Anwar menduduki kerusi MB Selangor dan mengekalkan Khalid Ibrahim di kerusi tersebut, meskipun tiada sesiapa yang memintanya berbuat demikian.
Calon Bebas lain yang turut mengumumkan untuk bertanding seperti Nallakaruppan, Yuktes Vijay dan Herman Tino, walaupun hasratnya juga mahu menghalang Anwar, mungkin sudah hilang semangat meneruskan niat masing-masing berikutan pengumuman yang dibuat sebelum ini langsung tidak mendapat sambutan.
Zaid juga dijangka tidak mampu memberi saingan yang hebat dan persaingan sebenar adalah antara PKR dengan BN.
Menariknya juga pilihanraya kali ini ialah kerana ia telah menyebabkan NGO pendesak Melayu, Perkasa turut menjadi mamai dan tidak keruan pendiriannya. Pada peringkat awal, Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata, Perkasa tidak mahu terlibat dalam pilihanraya kecil ini kerana ia tidak membawa sebarang perbezaan kepada Selangor.
Menurutnya, pilihanraya itu diadakan lebih untuk kepentingan peribadi individu tertentu dalam PKR dan kalah atau menang tidak membawa perbezaan kepada politik Selangor.
Bagaimanapun beberapa hari kemudian, Presiden Perkasa, Ibrahim Ali yang terdengar ura-ura bahawa MCA bakal mencalonkan Chew Mei Fun untuk berhadapan dengan Anwar, lantas menyokong pemilihan itu dan menganggapnya sebagai pilihan yang tepat untuk menewaskan Anwar.
Bagi Ibrahim yang mengaku beliau 1000 lebih hebat daripada Anwar Ibrahim, pemilihan Chew Mei Fun yang pernah meletakkan jawatan daripada MCA kerana tidak bersetuju dengan bekas Presiden MCA sebelumnya, Chua Soi Lek yang dikaitkan dengan isu moral dan penyebaran video seks, adalah pilihan paling tepat untuk membawa obor kemenangan BN.
Sokongan Ibrahim itu menjadikan beliau seolah-olah memangkah pendirian awal yang pernah dinyatakan oleh Syed Hasan yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Kelab Chedet iaitu sebuah kelab yang menyokong perjuangan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad.
Mungkin secara kebetulan atau barangkali BN memang menerima pakai hujah Ibrahim Ali itu, hari ini Muhyiddin Yassin secara rasmi menyatakan bahawa BN bersetuju untuk memilih Chew Mei Fun sebagai calon BN di Kajang untuk berhadapan dengan Anwar.
Maka, dengan persefahaman secara tidak langsung ini, Ibrahim Ali dan Perkasa wajib menjadi tukang kempen utama untuk pilihanraya kecil ini. Ia bukan saja untuk membuktikan kebenaran bahawa Chew Mei Fun sebagai calon yang paling tepat dari segi moral dan kualitinya untuk membawa kemenangan kepada BN tetapi juga untuk mengesahkan Ibrahim Ali benar-benar 1000 kali lebih hebat berbanding Anwar.
Ibrahim dan Perkasa kini tiada pilihan lain, kecuali sama-sama menyingsing lengan berkempen untuk kemenangan cakon daripada MCA itu walaupun sebelum ini NGO pendesak Melayu dan parti berasaskan kaum Cina itu pernah berbalah dalam beberapa isu yang melibatkan kepentingan Melayu. (SH 21/02/2014)
Thursday 20 February 2014
Selepas PRK Kajang, Lebih Ramai Yang Mahukan Najib Berundur...Tunggulah
Ada sesuatu yang unik di negara kita. Sesuatu perkara itu selalunya berlaku bermusim dan berturut-turut. Jika mula berlaku tanah runtuh misalnya, selalunya beberapa kejadian lagi akan berlaku selepas itu. Begitu juga jika ada kes penderaan pembantu rumah, kanak-kanak mati di taska, kes orang hilang, remaja perempuan dilarikan ke Lombok dan sebagainya, selalunya kejadian yang sama akan berturut-turut berlaku untuk beberapa lama sehingga ia menjadi perbualan di seluruh negara.
Perkara yang saja kini nampaknya sudah menjangkit ke dunia politik pula.
Selepas pilihanraya umum 2013, suara-suara yang meminta Najib berundur mula kedengaran. Ia bukan saja kerana prestasi beliau lebih buruk berbanding pencapaian Pak Lah pada 2008, tetapi juga kelemahan yang berterusan dan sikap tidak mahu berubah sehingga lebih ramai yang percaya kekalnya beliau akan menyebabkan BN lebih mudah ditumbangkan dalam pilihanraya akan datang ini.
Tetapi jika sebelum ini, hanya golongan penulis, blogger, pemimpin veteran UMNO dan seumpamanya saja yang menyuarakan perlunya Najib berundur dan memberi peluang kepada pemimpin lain menerajui parti serta kerajaan tetapi kini seruan yang sama turut datangnya daripada kelompok yang terlibat secara langsung dalam politik.
Bermula dengan perletakan jawatan pemimpin Hindraf, P Waytha Moorthy ssbagai timbalan menteri dan kemudian meminta Najib segera meletakkan jawatan kerana diangggap khianat dan mungkir janji untuk membantu golongan miskin kaum India, seruan yang sama kemudian datang pula daripada pemimpin Sabah, Jeffrey Kitingan yang mengetuai parti STAR.
Jika Waytha sekadar meminta Najib meletakkan jawatan atas alasan sudah kehilangan moral politik sebagai pemimpin yang seharusnya berpegang pada janji, Jeffrey pula bukan saja mengecam Perdana Menteri sebagai pemimpin yang membawa banyak masalah kepada negara, malahan mencadangkan Tengku Razaleigh sebagai alternatif yang terbaik sebagai penggantinya.
Dengan menyedari bahawa kemenangan BN banyak bergantung kepada kemenangan kerusi di Sabah dan Sarawak, saranan Jeffrey tidak lain ialah untuk memancing perhatian parti-parti lain di kedua-dua negeri itu agar mempunyai lorong kesedaran yang sama dengannya.
Beralihnya sokongan yang diterima BN selama ini, sama ada di Sabah mahu pun Sarawak, adalah petanda maut bagi Najib.
Dan jika diambil kira seruan perletakan jawatan itu sesuatu yang bermusim dan akan dituruti oleh pihak lain pula, kebarangkalain lebih ramai yang tampil meminta Najib segera meletakkan jawatan selepas ini bukanlah sesuatu yang mustahil.
Ramai yang menunggu, siapa pula yang akan bersuara meminta Najib meletakkan jawatan selepas ini.
Tambahan pula dengan sikap Najib yang nampaknya masih kaku, tidak mahu berubah serta lambat memberi respon terhadap sesuatu isu, ia secara langsung memperlihatkan kepimpinannya yang semakin lemah dan tidak lagi relevan dalam dunia yang serba pantas sekarang ini.
Dalam isu Waytha meletakkan jawatan misalnya, Najib hanya memberi respon dan meluahkan kekecewaannya dengan tindakan pemimpin Hindraf itu setelah tujuh hari kemudiannya. Dan kini, walaupun Waytha terus mengkritiknya sambil mendesaknya segera berundur sebagai Perdana Menteri, Najib masih belum lagi memberi responnya.
Di ketika semua perkara semakin pantas, kelembapan Najib ini tidak boleh diterima sama-sekali kerana ia memperlihatkan beliau sudah kehilangan upaya untuk mempertahankan dirinya. Lebih memburukkan keadaan, pemimpin UMNO dan kerajaan yang dilihat masih mempunyai semangat untuk mempertahankan Najib pula hanya dua tiga kerat saja.
Di samping itu, selepas pilihanraya kecil Kajang yang akan menyaksikan Anwar menjadi MB Selangor berserta keupayaan melakar imej lebih baik untuk PR, ia dalam masa yang sama juga akan menjadikan UMNO, BN dan kerajaan semakin terperosok untuk meraih sokongan rakyat.
Dengan itu, Najib akan terus dipersalahkan dan keperluan beliau segera berundur akan menjadi semakin meningkat. Mahathir yang sekarang ini pun sudah memperlihatkan kerisauannya dengan gerakan baru Anwar di Kajang pasti tidak akan berdiam diri atau melihat dengan berpeluk tubuh saja kebangkitan musuh politiknya untuk menawan Putrajaya.
Satu-satunya perkara yang tidak sanggup dihadapi oleh Mahathir ialah jika Anwar akhirnya berjaya menjadi Perdana Menteri.
Dan satu-satunya juga peluang yang mungkin ada untuk mengelakkan Anwar daripada menjadi Perdana Menteri ialah dengan segera menukar Najib dan menggantikannya dengan pemimpin lain yang lebih diyakini dan diterima rakyat. Najib hampir pasti akan dikambing-hitamkan dalam pertempuran ini.
Sebab itu, sebaik saja Anwar menang di Kajang, musim mendesak Najib berundur yang sudah pun bermula ketika ini, pasti akan lebih rancak lagi. Sekarang ini bukan saja gerakan itu seperti sudah bermula, bahkan sudah kedengaran apa pihak yang akan tampil lebih berani dan lantang daripada Waytha dan Jeffrey Kitingan lagi.
Tak percaya? Tungguuuuu....(SH 20/02/2014)
Wednesday 19 February 2014
Asyik-Asyik KJ Yang Ke Depan Pertahan Najib, Mana Menteri Lain?
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin atau KJ sekali lagi tampil paling pantas mempertahankan Najib apabila pemimpin Hindraf, P Waytha Moorthy mengkritik Perdana Menteri sebagai seorang yang khianat dan mungkir janji untuk membantu golongan miskin India serta memintanya meletakkan jawatan.
Tidak lama selepas kenyataan Waytha itu dikeluarkan, KJ terus menulis bertalu-talu di twitternya untuk membela Najib sambil mengkritik pemimpin Hindraf itu sebagai tidak memahami bagaimana kerajaan beroperasi serta mendakwanya membuat tuntutan yang keterlaluan seperti sebuah unit khas dengan kuasa sepenuhnya mengawal perbelanjaan.
Kecuali pemimpin MIC dan IPF yang agak lewat bersuara dan turut mengkritik Waytha, agak menakjubkan pemimpin UMNO yang lain masih berdiam diri dan tidak terpanggil untuk mempertahankan Najib dan kerajaan yang sedang dikritik itu.
Sama seperti isu kangkung yang timbul beberapa minggu lalu, KJ juga merupakan pemimpin UMNO yang paling awal menulis di twitter dan mempertahankan Najib.
Dalam isu Waytha dan Hindraf ini, hanya KJ pemimpin UMNO yang bersuara sehingga ini.
Soalnya, di mana pemimpin UMNO yang lain? Di mana Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri? Di mana Naib-Naib Presiden UMNO yang ketiga-tiganya sedang berlumba-lumba untuk menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti? Di mana juga Ketua Penerangan UMNO yang seharusnya bertindak pantas dalam memberi penerangan?
Di mana pula menteri dan pemimpin UMNO yang lain, terutamanya Menteri Komunikasi dan Multimedia yang lazimnya akan segera memanggil jurukamera RTM jika sesuatu kritikan berlaku terhadap Perdana Menteri dan kerajaan?
Jika alasan semua mereka ini sedang sibuk dengan urusan pejabat dan menghadiri pelbagai mesyuarat, bukankah kebanyakan mereka ini mempunyai akuan Facebook dan Twitter yang hanya mengambil masa beberapa minit saja untuk menulis dan menyatakan pendirian?
Mungkinkah bagi kebanyakan pemimpin ini, mempertahankan Perdana Menteri bukan lagi tugas mereka? Tetapi kalau bukan tugas dan peranan pemimpin yang diberi jawatan dan keistimewaan ini untuk mempertahan dan membela Perdana Menteri, tugas siapa lagi?
Perkembangan yang berlaku kebelakangan ini jelas memperlihatkan Najib seperti keseorangan dalam mempertahankan dirinya. Lrbih ramai yang sanggup mencium tangannya berbanding mempertahannya. Apakah semua ini berlaku kerana kedudukan Najib tidak begitu kukuh dan boleh tumbang bila-bila masa, lalu semua pemimpin hanya mengambil jalan selamat dan menjaga diri masing-masing saja?
Sementara itu, dalam masa yang sama, walaupun Mahathir kelihatan agresif sejak Anwar memutuskan untuk bertanding di DUN Kajang dan mahu menjadi MB Selangor, bekas Perdana Menteri itu hanya menumpukan serangannya terhadap Anwar dan tidak langsung keluar perkataan yang membela Najib.
Dengan Mahathir diketahui tidak berpuas hati dengan prestasi Nsjib sejak berakhirnya PRU 13 lalu, ditambah dengan kekalahan Mukhriz sebagai Naib Presiden UMNO yang antara lainnya disebabkan campurtangan Najib mahu mengekalkan status quo, bekas Perdana Menteri itu dipercayai akan kembali lantang terhadap Najib dan kerajaan sebaik saja berakhirnya pilihanraya kecil Kajang nanti.
Dalam konteks KJ, sikapnya mempertahankan Najib bukan saja sebagai Ketua Pemuda UMNO tetapi juga sebagai anggota kabinet. Walaupun wujud pelbagai tafsiran di sebalik peranan yang dimainkannya itu, KJ sebenarnya telah memainkan peranannya yang sewajarnya sebagai pemimpin UMNO dan juga menteri.
Walaupun pernah dianggap sebagai "budak nakal" dalam UMNO terutama ketika era kepimpinan bapa mertuanya, Pak Lah dan masih tidak disenangi oleh Mahathir sehingga kini, KJ telah berjaya memintas pemimpin yang lebih senior daripadanya dari segi memahami konsep pertanggungjawaban bersama, baik sebagai pemimpin UMNO mahupun sebagai anggota pentadbiran kerajaan.
Beliau pernah disisihkan daripada dilantik menganggotai kabinet selama empat tahun kerana Najib lebih ingin menjaga hati dan takut kepada Mahathir. Hanya selepas keputusan PRU 13, barulah Najib ada keberanian untuk memberikan jawatan menteri kepada KJ sedangkan Mukhriz yang kalah dalam pertandingan Ketua Pemuda dan Razali Ibrahim yang pernah menjadi naibnya, sudah pun diberikan jawatan dalam kerajaan oleh Najib sejak 2009 lagi.
Mujurlah Najib mulai ada keberanian memberikan jawatan kepada KJ sejak 2013 lalu, jika tidak, sekarang ini beliau kelihatan lebih keseorangan dan tidak ada sesiapa yang mempertahankannya. (SH 19/02/2014)
Tuesday 18 February 2014
Kenapa Mahathir Takut Anwar Jadi MB Sedangkan Najib Relaks Saja?
Beberapa kenyataan Mahathir Mohamad sejak kebelakangan ini mengenai Anwar Ibrahim dan pilihanraya kecil DUN Kajang, tidak lain menyerlahkan ketakutannya mengenai kebangkitan musuh poltitiknya itu. Bermula dengan jujur mengakui bahawa jawatan sebagai MB Selangor akan memberi kelebihan kepada Anwar untuk menawan Putrajaya dalam pilihanraya umum akan datang, beliau kemudian mengatakan niat Anwar sejak awal menyertai UMNO adalah semata-mata untuk menjadi Perdana Menteri.
Mahathir seterusnya cuba menghasut Pas dengan mengatakan sepatutnya jawatan MB Selangor adalah kepunyaan parti itu memandangkan mereka mempunyai jumlah kerusi DUN yang lebih bahyak berbanding PKR.
Ketika Ops Lalang dibangkitkan semula oleh MCA, Mahathir sekali lagi menuding kepada Anwar sebagai turut bertanggungjawab dalam operasi yang menyaksikan ramai ditahan dibawah ISA itu, meskipun seluruh dunia tahu ketika itu beliau adalah Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri dan dalam sebuah buku pula beliau pernah berkata penahanan itu adalah tindakan yang diambil oleh pihak polis sepenuhnya.
Menuding jari kepada Anwar semata-mata beliau anggota kabinet yang turut melibatkan Najib juga ketika itu, hanya menyerlahkan sikap Mahathir yang cuba melonggokkan semua kesalahan kepada bekas timbalannya yang dipecat pada 1998 itu sebagai sebahagian usaha untuk menghalangnya menjadi ADUN Kajang dan MB Selangor.
Semalam pula, Mahathir bersuara lagi dengan mengatakan mengundi Anwar salah seperti memberi undi kepada Amerika, walaupun seluruh dunia juga tahu bahawa Amerika adalah "tuhan politik" kepada Najib di mana sejak memimpin negara pada 2009, keinginannya untuk berbaik-baik dan dilihat akrab dengan Amerika cukup luar biasa.
Najib bukan saja paling kerap mengunjungi Amerika, bahkan sebaik menjadi Perdana Menteri telah melantik rakan baiknya, Jamaluddin Jarjis sebsgai duta ke negara itu dengan misi untuk menjalinkan hubungan lebih akrab dan mempromosi dirinya sebagai peneraju Malaysia yang pro Amerika kepada Barack Obama.
Jika dengan mengatakan Pas lebih berhak menduduki kerusi MB adalah bertujuan meracuni pemikiran pengundi Pas manakala menuduh Anwar terlibat dslam Ops Lalang pula dengan harapan pengundi Cina menolak Anwar, dakwaannya yang mengatakan mengundi Anwar sama seperti memberi undi kepada Amerika, nyata lebih disasarkan kepada keseluruhan pengundi Melayu di Kajang.
Sehingga ini hanya pengundi India yang berjumlah kira-kira 10 peratus saja lagi yang belum dihasut dan diracuni oleh Mahathir.
Berbanding pilihanraya kecil sebelum ini, Mahathir bukan saja terlihat lebih aktif dan agresif untuk memastikan kekalahan calon PKR, malah ketakutannya akan kemaraan Anwar menduduki kerusi MB Selangor melebihi Najib sendiri.
Najib pula hanya relaks saja mengenai pilihanraya Kajang. Hanya sekali Najib bercakap mengenai Kajang, itu pun mengenai penentuan calon yang akan diputuskan oleh BN selepas sambutan Tahun Baru Cina. Najib malahan tidak bercskap langsung mengenai Anwar, kerusi MB Selangor serta kesannya kepada BN dalam PRU 14 nanti, kecuali sekali menulis di twitternya bahawa pilihanraya kecil Kajang adalah untuk kepentingan peribadi dan bukannya demi rakyat. Tetapi tulisannya sekadar bersifat umum dan tidak menyebut nama sesiapa.
Kiranya dengan jawatan MB Selangor memberi kelebihan kepada Anwar dan PR dalam pilihanraya umum akan datang, seharusnya Najiblah yang lebih bimbang kerana beliau yang bakal kehilangan kuasa dan jawatan Perdana Menteri tetapi nampaknya Mahathir yang terlebih takutnya.
Mungkinkah Najib bersikap agak relaks kerana merasakan kemaraan Anwar di Kajang dan seterusnya sebagai MB Selangor sesuatu yang sukar ditahan dan jika berhempas-pulas pun, hanya menghabiskan stamina saja? Atau boleh jadi Najib merasakan pertempuran sebenarnya ialah pada 2018 nanti dan oleh yang demikian beliau perlu menyimpan tenaganya sekarang ini?
Atau mungkin juga Najib beranggapan tempoh hayat BN hanya sekadar 2018 saja dan bersikap redha saja sambil menghabiskan sis-sisa yang ada ini untuk menikmati sepenuhnya kehidupan sebagai Perdana Menteri?
Selain Najib yang bersikap relaks, Muhyiddin pula sebagai Timbalan Perdana Menteri yang sepatutnya menjadi ketua jika berlaku pilihanraya kecil, turut tidak seghairah mana. Mungkin barangkali ada benarnya beliau sudah keletihan dan berpuas hati jika dapat pencen sebagai orang nombor dua saja.
Kenapakah ketakutan Mahathir begitu menyerlah dan melebihi Najib sendiri?
Mungkin jawapan sebenar hanya Mahathir saja yang tahu walaupun umum boleh membuat telahan yang berbagai yang antaranya mahu menjaga legasinya, memastikan masa depan anak-anaknya terjamin, memelihara egonya yang pernah memecat Anwar dan bermacam-macam lagi.
Sehingga ini tidak ternampak tanda-tanda Mahathir akan surut daripada pendiriannya. Sementara hari pengundian masih jauh iaitu 23 Mac depan, adalah dijangka banyak lagi serangan dan belasahannya terhadap Anwar.
Dan dengan usianya sudah menginjak 89 tahun, manakala Anwar pula berulangkali mengungkapkan secara terbuka bahawa beliau sudah memaafkan bekas mentor itu serta tidak menyimpan sebarang dendam andai ditakdirkan berjaya menawan Putrajaya, Mahathir sebaliknya seperti ingin membawa permusuhan itu sehingga ke liang kubur.
Berbeza dengan Pak Lah yang sedia mengeluarkan Anwar daripada penjara dan Najib yang terbuka untuk berdialog serta saling bekerjasama, Mahathir seboleh-bolehnya tidak mahu sekalipun sekadar cuma bertentang mata.
Kecuali jika Tuhan menuliskan takdir yang berbeza, permusuhan Mahathir dan Anwar ini nampaknya hanya akan berakhir sehingga ke penghujung usia. (SH 18/02/2014)
Monday 17 February 2014
Berbanding Zaid Ibrahim, 1000 Kali Lebih Baik Undi Diberi Pada Herman Tino
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim akhirnya mengesahkan hasratnya bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihanraya kecil DUN Kajang pada 23 Mac depan. Setelah mendapat lampu hijau daripada isterinya dan menganggap penyertaannya dalam pilihanraya ini sebagai hadiah Valentine, Zaid juga tidak menyembunyikan hasrat sebenarnya ialah untuk menghalang Anwar daripada menjadi Menteri Besar Selangor.
Menurut Zaid, sekiranya beliau menang dan Anwar kalah, maka amanlah Pakatan Rakyat di negeri Selangor dan Khalid Ibrahim akan terus kekal sebagai Menteri Besar Selangor.
Dengan alasan sebegini, penyertaan Zaid dalam pilihanraya ini tidak lebih menunjukkan jiwanya yang celaru dan keliru. Selain tidak ada sesiapa yang memintanya menjadi pengaman dalam Pakatan Rakyat, impiannya untuk menang dan sekaligus memastikan kemaraan Anwar dapat disekat juga jauh panggang dari api. Walaupun memberi contoh sokongan hebat yang diterimanya semasa bertanding di Hulu Selangor tidak lama dulu, Zaid barangkali terlupa bahawa ketika itu beliau bertanding atast tiket PKR dan mendapat sokongan kuat daripada Anwar sendiri.
Kekeliruan dan kecelaruan jiwa Zaid ini sebenarnya boleh dilihat daripada sejarah perjalanan politiknya yang kacau-bilau. Zaid pernah menjadi Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Parlimen Kota Bharu sebelum digantung kerana didakwa terlibat dalam politik wang. Beliau kemudian dijadikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri oleh Pak Lah dengan bertanggungjawab mengenai hal ehwal undang-undang.
Disebabkan tidak bersetuju dengan kes penahanan ISA dan mungkin merasakan Pakatan Rakyat mampu menumbangkan BN, beliau kemudian meletakkan jawatan dan menyertai PKR. Ketika pilihanraya kecil Hulu Selangor diadakan tidak lama selepas itu, Zaid dipilih sebagai calon mewakili PKR.
Walaupun kalah dengan kekurangan undi sebanyak 1725 dalam pilihanraya itu, Zaid mula merasakan beliau orang penting dalam PKR. Dalam pemilihan PKR selepas itu, beliau menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden dan berhadapan dengan Azmin Ali yang merupakan antara penggerak awal gerakan reformasi. Wujud tanggapan bahawa beliau bertanding jawatan nombor dua ketika itu dan Anwar pula sedang menghadapi kes liwat di mahkamah adalah bertujuan memastikan PKR berada dibawah terajunya suatu hari nanti.
Apabila hasratnya untuk menjadi orang nombor dua PKR tidak kesampaian dan tidak mendapat sokongan Anwar, Zaid lalu keluar dari PKR dan mengambil alih sebuah parti yang tidak dikenali dan menukarnya menjadi parti KITA.
Malangnya parti itu tidak mendapat sambutan, malah dipenuhi dengan krisis sesama sendiri yang akhirnya membuatkan Zaid sekali lagi meninggalkan parti yang ditubuhkannya sendiri.
Sejak tidak berparti dan seolah-olah menjadi "hantu raya tak bertuan", Zaid aktif dalam penerbitan buku dan penulisan di alam maya. Tulisannya seringkali kritikal terhadap kerajaan dan seolah-olah masih tersimpan keyakinan di dalam hatinya terhadap Pakatan Rakyat untuk mentadbir negara dan memberi perkhidmatan yang lebih baik untuk rakyat.
Dengan sejarah yang tidak menentu ini, tidak ada sesiapa yang dapat memahami apa sebenarnya yang dimahu dan diperjuangkannya melalui politik. Dengan melompat dari satu wadah ke satu wadah apabila terkehel, akhirnya hasil perjuangannya tidak dirasai oleh sesiapa pun.
Dalam pilihanraya kecil Kajang ini, sekali ini terlihat jiwa keliru dan celaru Zaid. Pada 31 Januari lalu, beliau menulis di twitternya, "Saya akan turun ke Kajang untuk membantu Anwar Ibrahim."
Kemudian pada 2 Februari, beliau menulis lagi dengan memuji Anwar, "Anwar telah membuat keputussn tepat untuk menjadi MB. Harimau mesti berhadapan dengan singa baru selesa rakyat jelata."
Entah apa yang merasuknya untuk tiba-tiba berubah fikiran, bukan saja menjadi calon Bebas bahkan mahu menghalang Anwar daripada menjadi Menteri Besar Selangor yang pernah dipujinya sebagai keputusan tepat itu, tiada siapa yang tahu kecuali dirinya sendiri. Lebih menarik lagi, beliau juga mahu menjadi benteng paling hadapan mempertahankan kedudukan Khalid Ibrahim daripada diambil alih oleh Anwar Ibrahim. Ewah..ewahhh...
Dengan ketiga-tiga mereka berbinkan Ibrahim, pertelagahan ini seperti krisis adik-beradik berebutkan harta pusaka yang puncanya dicetuskan oleh seorang adik bernama Zaid saja layaknya.
Sahnya penyertaan Zaid dalam pilihanraya kecil Kajang ini bukan saja memungkinkan hubungan Anwar dan Khalid tidak lagi semesra dulu, tetapi juga bermakna sudah lima calon yang sudah menawarkan diri. Selain Anwar yang akan bertanding atas tiket PKR, mereka yang turut berhajat ialah ialah Nallakaruppan, penyanyi Herman Tino dan Yuktes Vijay, bekas pembantu kepada peguam Sivirasa.
BN pula bukan saja belum memutuskan calonnya, bahkan tiada kepastian lagi sama ada ada bertanding atau tidak.
Nalla menawarkan diri dan berharap BN tidak meletakkan calon lain, semata-mata bertanding atas dendam peribadi dengan hasrat untuk mendedahkan semua keburukan Anwar yang diketahuinya. Begitu juga dengan Yuktes, hasratnya bertanding Bebas tidak lain untuk mencaci dan memburuk-burukkan peribadi Anwar.
Sama seperti Nalla dan Yuktes yang mahu bertanding kerana ada dendam peribadi dengan Anwar, Zaid juga jika dilihat daripada perjalanan politiknya turut terlihat mempunyai unsur-unsur dendam peribadi yang mahu dilangsaikannya melalui pilihanraya kecil DUN Kajang ini.
Hanya Herman Tino, walaupun tidak mempunyai sejarah politik sebelum ini, terlihat mempunyai nawaitu politik yang lebih murni berbanding Zaid, Nalla dan Yuktes. Seperti menulis di twitternya, Herman Tino bertanding hanya ingin membawa politik damai dan menawarkan pemimpin yang pandai, bukan memandai-mandai, sebagai pilihan kepada pengundi Kajang.
Sejauh mana politik damai dan kepimpinannya yang pandai itu mahu diterjemahkan, biarlah pengundi Kajang sendiri membuat penilaian.
Oleh kerana Nalla dan Yuktes hanya bertanding atas sebab-sebab peribadi dan barangkali hanya pengundi gila saja yang akan memberi undi kepada kedua-dua mereka itu, manakala jika pun ada simpati di kalangan pengundi Kajang untuk mencampakkan serpihan undi kepada calon-calon Bebas dan tak bertuan yang lain, memberi undi kepada Herman Tino adalah 1000 kali lebih baik daripada memberikannya kepada Zaid Ibrahim.
Sekurang-kurangnya politik damai yang mahu dibawanya lebih menyejukkan hati berbanding Zaid yang ternyata keliru, celaru dan kacau-bilau sepanjang perjalanan yang telah dilaluinya. (SH 17/02/2014)
Sunday 16 February 2014
Anwar Sebagai MB Selangor Seharusnya Dialu-alukan
Satu-satunya kejayaan yang terlihat menonjol di sebalik tindakan SPR melewatkan tarikh pilihanraya kecil DUN Kajang ialah menjadikan peluang Anwar Ibrahim menjadi MB Selangor mula tidak menentu dan caca-marba. Walaupun DAP amat konsisten dan lebih memandang peluang yang mungkin lebih terbentang dalam PRU 14 jika Anwar menjadi MB Selangor, PAS sebaliknya tidak mempunyai kesepakatan pemikiran yang sama.
Selain sikap Pas yang masih menjadi perbualan, semakin masa berlalu, tersebar pula pelbagai berita mengenai MB Selangor, Khalid Ibrahim yang kononnya tidak mahu berundur dan bakal merencatkan peluang Anwar untuk menggantikannya. Semua ini seolah-olah permainan yang sengaja diatur kerana dengan ruang masa yang masih terbuka, banyak duri dan jarum dapat dicucuk-cucukkan untuk menggugat kesepakatan dalam PR.
Meskipun pimpinan tertinggi PAS memberi sokongan kuat untuk memastikan kemenangan beliau di Kajang, tetapi masih kedengaran suara-suara kecil daripada Dewan Ulama, Dewan Pemuda Pas dan bekas Ketua Pemudanya, Nasharuddin Tantawi yang seolah-olah tidak bersetuju dengan pendekatan politik PKR memaksa pilihanraya kecil DUN Kajang ini diadakan.
Lebih dari itu, seperti dalam keadaan terpaksa juga mereka hanya bersedia memberikan sokongan dan memastikan kemenangan Anwar dalam pilihanraya kecil itu saja, tetapi tidak mahu ia melibatkan pertukaran jawatan MB Selangor.
Dengan memberi hujah bahawa jawatan MB Selangor haruslah disepakati bersama antara Pas, PKR dan DAP dan Anwar atau PKR tidak seharusnya memandai-mandai sendiri memutuskan jawatan itu milik mereka, terlihat bahawa Pas cuba menghantar mesej tentang jumlah kerusi DUN dimilikinya adalah 15 berbanding PKR yang hanya 14. DAP, walaupun juga mempunyai jumlah kerusi 15 tetapi tidak berpeluang menjadi MB kerana peruntukan memutuskan jawatan itu mesti dipegang oleh Melayu dan Islam.
Tindakan beberapa gelintir dalam Pas mula mengocakkan keadaan dalam Pakatan dan seolah-olah mereka sudah termakan dengan hasutan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang berulang-kali mengatakan bahawa jawatan MB Selangor sepatutnya dipegang oleh Pas kerana parti itu mempunyai jumlah kerusi DUN yang lebih berbanding PKR.
Sementara Mahathir terlupa atau buat-buat lupa bahawa UMNO yang mempunyai jumlah kerusi lebih juga memberikan jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang kepada Gerakan, beberapa gelintir dalam Pas tadi juga mungkin terlupa atau buat-buat lupa bahawa kerana pertembungan Pas dengan PKR yang sama-sama meletakkan calon di DUN Kota Damansaralah yang menjadikan jumlah kerusi PKR menjadi 14.
Jika tidak, komposisi Pakatan Rakyat di Selangor ialah 15-15-15 dan mungkin tidak merangsang sesiapa untuk bangga kepada kelompok sendiri.
Dengan DAP tiada masalah untuk menyokong Anwar sebagai MB Selangor, Pas juga seharusnya memberikan sokongan yang sama bulat sebagai menebus kesilapan yang dilakukan di Kota Damansara dulu.
Lagi pula, dengan menyokong Anwar sebagai MB Selangor, ia juga turut memberi keuntungan kepada Pas sendiri dari segi keupayaan menembusi dan mendapat sokongan yang lebih meluas di kawasan bandar, separa bandar dan juga daripada kalangan pengundi bukan Melayu.
Berbanding dengan adanya kerjasama dengan PKR dan DAP, Pas sejak dua pilihanraya yang lalu telah berjaya memenangi beberapa kerusi bandar yang sebelum ini dianggap mustahil kerana sokongan Pas secara sendirian lebih tertumpu kepada kawasan kampung, pedalaman dan kelompok Melayu sahaja.
Harus juga diakui bahawa keinginan rakyat untuk berubah begitu terserlah dalam PRU 13 lalu. Kemenangan BN yang hanya bertunjangkan sokongan 47 peratus pengundi, turut juga dibantu oleh persempadanan kawasan pilihanraya.
Oleh yang demikian, untuk meneruskan momentum dalam PRU 14, pemikiran dan gerak kerja yang luar biasa amat diperlukan. Salah satunya ialah dengan menjadikan Anwar sebagai MB Selangor. Dengan kedudukan sebagai MB Selangor, Anwar akan mempunyai ruang yang lebih luas untuk berperanan, bukan saja di Selangor tetapi juga di seluruh negara.
Beliau bukan saja berpeluang membuktikan keupayaan mentadbir sebuah negeri terlebih dahulu untuk meyakinkan keupayaan mentadbir negara pula, hubungan dan buah fikirannya juga boleh dilontarkan ke arena yang lebih meluas seperti dslam mesyuarat Menteri-Menteri Besar serta mengiringi Sultan Selangor dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja.
Semua ini, jika Anwar dapat melakukan dengan baik, lebih-lebih lagi jika cemerlang, pasti akan mempengaruhi keputusan pilihahraya 2018 nanti.
Dalam masa yang sama, jika Anwar menjadi MB Selangor selepas 23 Mac nanti, terdapat tempoh kira-kira empat tahun sebelum PRU 14 nanti. Dengan Mahathir sendiri tidak menyembunyikan kerisauannya bahawa jawatan MB Selangor itu akan menjadi tangga untuk Anwar mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri, dalam tempoh yang sama juga akan menyaksikan kekuatan politik yang seimbang antara BN dan PR.
Politik yang seimbang ini tentu saja akan membuatkan kedua-dua pihak, iaitu BN dan PR, saling berlumba-lumba untuk menawarkan sesuatu yang terbaik untuk rakyat. Bukan saja berlaku "check and balance" yang lebih menguntungkan rakyat, malah rakyat tidak lagi menjadi mangsa buli mana-mana parti yang berkuasa.
Setelah kejayaan Anwar mewujudkan gabungan pembangkang yang kuat sehingga menggegar Putrajaya dalam PRU 13 lalu, mewujudkan kekuatan seimbang antara BN dan PR dalam tempoh empat tahun akan datang yang sekaligus mengalir pelbagai faedah dan kebaikan untuk rakyat, ia merupakan satu lagi sumbangan yang seharusnya dihargai dan dialu-alukan.
Menyokong Anwar sebagai MB Selangor sebenarnya tidak merugikan sesiapa, bahkan semua pihak yang menyokong itu ada bahagian keuntungan masing-masing. Yang rugi hanyalah UMNO dan BN.
Tetapi, tidak mengapalah UMNO dan BN rugi kali ini kerana mereka sudah untung sejak lebih 50 tahun lalu. (SH 16/02/2014)
Friday 14 February 2014
Berapa Tebal Agaknya Kulit Muka Idris Haron...
Beberapa hari lalu telah tersebar di laman sosial maklumat mengenai pembelian nombor plat MCM (bermaksud Malacca Chief Minister) yang melibatkan Ketua Menteri Melaka, Idris Haron, isterinya dan beberapa orang setiausahanya. Dalam maklumat itu, Idris dikatakan membeli nombor plat MCM 11 dengan harga RM20,900 manakala seorang wanita yang bernama Fadilah Abdullah, dipercayai isterinya telah memenangi bidaan MCM 10 dengan harga RM16,610.
Beberapa nama yang dipercayai setiausahanya didapati turut memenangi bidaan membeli nombor plat MCM 2, MCM 3, MCM 4 dan MCM 5 dengan harga antara RM20,000 hingga RM56,100 setiap satunya.
Idris dipercayai membeli nombor plat MCM 11 untuk menunjukkan keakrabannya dengan Perdana Menteri memandangkan nombor 11 adalah kegemaran Najib Razak sejak dulu. Bukan saja nombor kereta Najib bernombor 11, malah semua perkara yang dilakukannya jika melibatkan angka, pasti nombor 11 menjadi pilihannya. Ketika Pak Lah menjadi Perdana Menteri dan nombor kegemarannya ialah 13, ramai juga pemimpin yang berebut-rebut memiliki nombor tersebut untuk menggambarkan hubungan saling sehati sejiwa dengannya.
Walaupun Idris menafikan pembelian nombor plat itu melibatkan dana awam sebagaimana yang dibangkitkan oleh sebuah NGO pemantau jenayah, Mywatch dengan menggambarkan beliau masih siuman, persoalannya yang lebih besar ialah wajarkah beliau, isteri dan para pegawainya membazirkan wang yang mahal dengan pembelian yang dianggal mahal dan mewah itu?
Kita tidak mempersoalkan pembelian itu jika ianya daripada wang simpanan sendiri atau tinggalan nenek-moyang yang berpeti-peti jumlahnya. Namun jika pembelian itu, sama ada oleh Idris sendiri atau para pegawainya, adalah dari sumber yang meragukan, lebih-lebih lagi memandangkan beliau baru lapan bulan menjadi Ketua Menteri, pihak berkuasa seperti SPRM wajar menjalankan siasatan dan mengambil tindakan.
Tetapi sebagai pemimpin, terutama di ketika rakyat dibebankan dengan kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup yang tinggi dengan pemimpin sendiri kerapkali meminta rakyat berjimat cermat dan mengamalkan gaya hidup sederhana, apa yang dilakukan oleh Idris dan para pegawainya ini adalah bertentangan sama-sekali dengan seruan kerajaan itu.
Idris bukan saja merosakkan imej dan nama baik kerajaan, bahkan telah memberi gambaran buruk mengenai perlakuan yang seharusnya dilakukan oleh seseorang pemimpin. Pemimpin bukan saja perlu menunjukkan sikap baik, bersama dengan denyut nadi rakyat, sentiasa menunjukkan sikap sederhana, bahkan lebih penting ialah tidak menunjuk-nunjuk kemewahan yang dimiliki.
Dengan sejumlah besar penduduk Melaka masih berada dalam kesempitan hidup, terbeban dengan kenaikan kos seharian serta ramai yang lainnya berlumba-lumba memohon BR1M bagi meneruskan kelangsungan bernafas di negara yang semakin sukar ini, kenapakah begitu tergamak Idris Haron dan para pegawainya mempamerkan perbelanjaan mewah mereka?
Apakah mereka tiada perasaan? Tidakkah mereka tersentuh melihat derita hidup rakyat setiap kali turun padang ke kampung-kampung dan desa pedalaman? Bahkan dengan berbangga mengguna plat MCM yang dibayar dengan harga puluhan ribu, ada yang bertanya, berapa tebal agaknya kulit muka beliau sehingga sanggup melakukan perkara yang boleh menyinggung hati rakyat miskin ini?
Jika sebelum ini, Ali Rustam dikecam kerana mengadakan jamuan mewah untuk majlis perkahwinan anaknya yang dihadiri oleh kira-kira 130,000 orang, kini penyakit yang sama berjangkit kepada seorang lagi Ketua Menteri Melaka.
Pemimpin MCA, Liow Tiong Lai turut pernah dikecam kerana memiliki nombor plat WWW 15 dengan harga RM24,200 tetapi beliau akhirnya memulangkan nombor tersebut bagi mengelakkan kontroversi berterusan.
Dengan kesanggupan menghabiskan beratus-ratus ribu ringgit untuk nombor plat kereta, Idris juga telah menunjukkan teladan yang tidak baik bagi golongan muda. Sebelum ini, ramai yang meminta pucuk pimpinan agar mengenengahkan lebih ramai golongan muda sebagai pemimpin sama ada di peringkat pusat atau negeri bagi memberi gambaran kerajaan memandang tinggi tentang potensi mereka sebagai pewaris kepimpinan negara.
Namun, hanya selepas lapan bulan berkuasa di Melaka dan sudah menunjukkan contoh buruk bahawa beliau "mudah geli" dengan kuasa dan kenikmatan yang datang bersamanya, pemilihan beliau sebagai pemimpin barangkali merupakan keputusan yang salah oleh pucuk pimpinan.
Bersama kemungkinan akan lebih banyak perlakuan tidak wajar dilakukannya sebagai pemimpin, Idris Haron tidak seharusnya dikekalkan lebih lama lagi sebagai pemimpin. Beliau adalah antara penyumbang terbesar kiranya UMNO dan BN semakin kehilangan sokongan rakyat dan seterusnya tumbang dalam pilihanraya akan datang. (SH 14/02/2014)
Thursday 13 February 2014
Mahathir Pun Kadangkala Jadi Melayu Mudah Lupa Juga
Dalam usaha menghasut agar musuh politiknya iaitu Anwar Ibrahim terhalang daripada menjadi Menteri Besar Selangor, bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad berpendapat, sudah tiba masanya kerusi itu diserahkan kepada Pas yang mempunyai jumlah kerusi DUN yang lebih banyak berbanding PKR.
Beliau berkata, sudah tiba masanya PKR mengembalikan kerusi Menteri Besar Selangor kepada Pas kerana PKR bukan menguasai keseluruhan atau kuasa sebenar dalam PR, jadi tak patutlah mereka bolot jawatan itu untuk selama-lamanya.
Pas berhak untuk kerusi Menteri Besar Selangor itu, tidak bolehlah hanya dikuasai satu parti saja. Tidak seperti BN, jumlah terbesarnya ialah UMNO dan sebab itu pemimpin UMNO diangkat menjadi Perdana Menteri, tambah Mahathir lagi untuk menguatkan hujahnya.
Menyedari terdapat sebilangan kelompok di peringkat bawahan dan pertengahan dalam Pas yang kurang bersetuju Anwar mengambil alih jawatan Menteri Besar selepas pilihanraya kecil DUN Kajang, 23 Mac ini, nawaitu dan tujuan Mahathir mengeluarkan pendapat ini tentunya tidak lain bertujuan mengadu-dombakan lagi hubungan antara Pas dengan PKR dalam Pakatan Rakyat.
Dengan menggunakan logik jawatan Perdana Menteri yang dipegang oleh UMNO kerana parti itu merupakan kuasa sebenar dalam BN dan kedudukan komposisi DUN Selangor yang dimiliki oleh PKR hanya 14 berbanding Pas dan DAP yang masing-masing mempunyai 15 kerusi, sekali imbas hujah Mahathir untuk mengadu-domba dan menghasut itu memang ada logik dan kebenarannya.
Tetapi sebagaimana beliau selalu menyebut bahawa bangsa Melayu adalah bangsa yang mudah lupa terhadap sesuatu perkara sehingga misalnya, mudah melakukan kesilapan yang sama berulangkali atau ditipu dengan taktik yang sama di ketika yang lain, Mahathir sendiri nampaknya sudah termasuk dalam golongan yang mudah lupa juga.
Apabila beliau mengatakan PKR bukan menguasai keseluruhan, bukan kuasa sebenar dan bukan majoriti dalam DUN Selangor dan kerana itu tidak berhak membolot selama-lamanya jawatan Menteri Besar, Mahathir barangkali terlupa dengan apa yang berlaku di Pulau Pinang ketika BN berkuasa dahulu.
Di Pulau Pinang ketika itu, kuasa sebenar ialah UMNO dan UMNOlah yang sentiasa memenangi jumlah kerusi DUN paling banyak tetapi kerusi Ketua Menteri tetap diserahkan kepada Gerakan. Anwar sendiri secara berseloroh selalu menyebut bahawa ketika BN memerintah Pulau Pinang, Ketua Menterinya ialah Koh Tsu Koon dan bukannya Ahmad bin Sukun.
Oleh itu, memberi jawatan Menteri Besar atau Ketua Menteri kepada parti yang tidak memiliki kerusi majoriti atau tidak menjadi kuasa sebenar bukanlah asing dalam sejarah negara ini. Di Selangor, jawatan Menteri Besar diberikan kepada PKR yang mempunyai jumlah kerusi lebih sedikit hanyalah berlaku selepas PRU 13 saja manakala selepas pilihanraya 2008 lalu kerusi itu diberikan kepada PKR kerana parti itu memiliki jumlah kerusi yang lebih banyak.
Lagi pula kesepakatan untuk terus memberkan jawatan Menteri Besar Selangor kepada PKR adalah atas permuafakatan bersama dalam PR setelah pemimpin Pas menjadi Menteri Besar di Kelantan dan pemimpin DAP menjadi Ketua Menteri di Pulau Pinang.
Tetapi BN telah pun melakukan duluan di Pulau Pinang, seolah-olah ada kesepakatan bahawa selagi BN memerintah negeri itu, kerusi Ketua Menteri tetap menjadi milik Gerakan biar pun ternyata UMNO memiliki jumlah kerusi DUN yang lebih banyak.
Dengan Mahathir mungkin terlupa atau buat-buat lupa mengenai fakta Pulau Pinang ini dalam usahanya untuk terus memastikan Anwar Ibrahim ditolak menjadi Menteri Besar Selangor, ia mungkin boleh dianggap sebagai program menghasut dan mengadu-domba yang gagal dilakukan oleh bekas Perdana Menteri berusia 88 tahun itu. (SH 13/02/2014)
Wednesday 12 February 2014
Sarawak Dipimpin Adenan Satem, Masihkah Jadi Simpanan Tetap BN?
Teka-teki mengenai politik Sarawak kini sudah pun terjawab. Taib Mahmud yang berkuasa di Sarawak sejak 33 tahun lalu sudah sah akan meletakkan jawatannya pada 28 Februari ini. Pengganti beliau juga sudah diumumkan iaitu Adenan Satem yang sebelum ini memegang jawatan Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Ketua Menteri Sarawak.
Dengan pengunduran Taib dan penggantinya juga sudah diumumkan, apa yang ditunggu hanyalah perlantikan beliau sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak bagi menggantikan Tun Abang Muhammad Sallahuddin Abang Barieng yang juga tamat tempoh perkhidmatannya pada hujung bulan ini. Meskipun ada bantahan dan suara tidak setuju belliau menjadi Yang Dipertua Negeri, rasanya tiada sesiapa yang dapat menyekat laluan itu.
Dengan martabat dirinya naik setapak lagi dari Ketua Menteri kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak, bermakna Taib terpaksa mengosongkan kerusi DUN Balingan yang diwakilinya sekarang dan satu pilihanraya kecil terpaksa diadakan. Mudah-mudahan SPR tidak terperanjat dengan kemungkinan adanya pilihanraya kecil ini sebagaimana yang berlaku di Kajang sehingga tarikh pilihanrayanya hanya dapat ditentukan 54 hari daripada tarikh kekosongan kerusi itu dimaklumkan.
Tamatnya teka-teki mengenai pengunduran beliau dan "ditabalkan" pula sebagai Yang Dipertua Negeri, bermakna segala cerita kekayaan, pembolotan tanah dan balak oleh kaum keluarganya serta failnya yang sudah dibuka oleh SPRM, semuanya kini bakal menjadi kotak sejarah yang akan tersimpan sehingga kiamat.
Meskipun Taib didakwa terlibat dengan pelbagai pengumpulan kekayaan, tetapi cengkaman yang kekal berbisa sehingga ke hujung kuasa dengan menyumbang kerusi kemenangan kepada BN, adalah satu-satunya jasa beliau yang tidak dilupakan oleh sesiapa yang menjadi Perdana Menteri, terutamanya dalam pilihanraya 2008 dan 2013 lalu.
Dalam pilihanraya 2008, BN Sarawak menyumbang 29 kerusi kemenangan daripada 31 kerusi Parlimen yang dimilikinya manakala pada pilihanraya 2013 pula, di sebalik serangan kuat Pakatan Rakyat menggempur negeri itu, Taib masih mampu menyumbang 25 kerusi kemenangan dan menjadi asas terpenting kekalnya BN dengan kemenangan 133 kerusi berbanding PR 89 kerusi.
Oleh itu, tidaklah menghairankan, di sebalik pelbagai laporan dan dakwaan mengenai salah laku Taib yang diadukan kepada pihak berkuasa sentiasa menemui jalan buntu, bahkan di suatu ketika beliau pernah menempelak SPRM dengan mengatakan badan pencegahan rasuah itu tidak layak menyiasatnya.
Jika ketika beliau menjadi Ketua Mentei pun tiada siapa yang berani mengusiknya, apatah lagi selepas menjadi Yang Dipertua Negeri.
Meskipun pakar undang-undang, Prof Aziz Bari mengatakan Taib tidak kebal walaupun sudah dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri berikutan masih boleh didakwa di mahkamah khas yang dibentuk di bawah Artikel 182 Perlembagaan Persekutuan, hakikatnya ia hanyalah sesuatu yang tertulis dan tidak pernah dipraktikkan selama ini.
Bahkan, kebarangkalian untuk dipraktikkan juga amat tipis.
Selain perancangan manusia untuk menjadikan Taib sedemikian rupa, barangkali memang sudah ketentuan Tuhan begitu nasib baiknya di dunia ini.
Namun demikian, apa yang menjadi perhatian dengan pengunduran Taib ini ialah sama ada Sarawak masih mampu menyumbang jumlah kerusi yang banyak atau menjadi "fixed deposit" kepada BN dalam pilihanraya umum akan datang?
Di sebalik pelbagai isu dan dakwaan mengenai diri, keluarga dan kepimpinannya sejak beberapa kali pilihanraya yang lalu, pengaruh dan cengkamannya yang kuat di kalangan penduduk Sarawak telah menjadikan beliau mampu mengatasi halangan itu dan mencipta kemenangan yang membanggakan setiap kali pilihanraya diadakan.
Sebagai pemimpin lama yang telah berkhidmat sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj lagi, kelebihan Taib ialah beliau memahami selok-belok politik negeri itu dengan arif dan dibantu dengan sumber kewangan kukuh yang dimilikinya, telah dapat menukar kelebihan itu menjadi kemenangan di peti undi dan menenggelamkan semua isu serangan peribadi yang ditujukan kepadanya.
Kelebihan ini mungkin hanya ada pada Taib dan tidak pada Adenan Satem. Latar belakang Adenan yang pelbagai dan bercampur-campur, pernah menjadi guru, wartawan, majisteret dan sebagainya sebelum berkecimpung dalam politik, tidak memperlihatkan sesuatu yang istimewa sama ada mampu menandingi atau menyamai kelebihan Taib.
Sesuatu yang menjadi kelebihan Adenan ialah barangkali beliau tidak mempunyai isu-isu peribadi dan keluarga yang boleh dijaja dalam kempen pilihanraya. Di samping pelbagai perkembangan lain yang sentiasa mengejutkan menjelang PRU 14 akan datang, Sarawak dibawah kepimpinan Adenan Satem yang mempunyai 31 kerusi Parlimen di negeri itu akan terus menjadi medan perebutan yang menarik antara BN dan PR.
Mampukah Adenan mengekalkan kedudukan Sarawak sebagai "simpanan tetap" BN atau bakal bertukar menjadi "simpanan tunai" yang bila-bila masa boleh bertukar tangan? (SH 12/02/2014)
Tuesday 11 February 2014
Sumpah Politik, Sumpah Bola Dan Manusia Sesumpah
Tindakan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said mengadakan majlis sumpah dengan Al-Quran untuk pemain dan jurulatih pasukan bolasepak T-Team berhubung kebenaran insiden dalam terowong yang melibatkan pasukan itu dengan pasukan Johor Darul Takzim atau JDT, rupa-rupanya mengundang rasa kurang senang banyak pihak.
Ahmad Said yang baru pulang dari lawatan ke Antartika dituduh dengan bermacam-macam dakwaan seperti merendah-rendahkan kedudukan Al-Quran kerana sebiji bola, mengadakan sesuatu yang tidak diajar oleh Islam, membelakangkan undang-undang serta pelbagai lagi kata-kata kurang manis dilemparkan terhadapnya.
Bahkan beliau juga disindir oleh banyak pihak bahawa sekiranya amalan bersumpan sudah menjadi amalan untuk menentukan kebenaran, maka tidak perlu lagilah mahkamah digunakan untuk mencari keadilan.
Yang menariknya, pihak yang mengecam Ahmad Said ini bukan saja golongan pro pembangkang, malahan ramai kalangan dalam UMNO sendiri memperlekeh tindakan Ahmad Said itu dengan mengatakan tindakan itu seolah-olah beliau tidak mempercayai lagi sistem keadilan di negara ini.
Exco Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Zulkurnain Kamisan pula berkata, tiada keperluan bagi pemain JDT untuk mengangkat sumpah dengan Al-Quran bagi mencari kebenaran insiden yang berlaku dalam terowong di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunus di Larkin kerana pihaknya mempunyai keyakinan terhadap pihak berkuasa untuk bersikap adil dan tidak berat sebelah.
Tindakan pihak pro pembangkang tidak setuju dengan majlis angkat sumpah seperti yang dilakukan oleh Ahmad Said itu tidaklah menghairankan tetapi agak mengejutkan apabila golongan dalam UMNO atau pro UMNO juga tidak setuju dengan majlis bersumpah untuk para pemain dan jurulatih T-Team itu.
Ini berbeza dalam majlis bersumpah yang dilakukan oleh Saiful Bukhari Azlan berhubung dakwaan liwat oleh Anwar Ibrahim dan juga sumpah oleh Shazryl Eskay Abdullah berhubung penayangan video seks yang juga dikaitkan dengan Ketua Pembangkang itu di mana rata-rata kelompok dalam UMNO dan mereka yang pro parti itu menyanjung tinggi keberanian bersumpah itu.
Dalam masa yang sama, selain mengecam Anwar yang menolak untuk turut sama bersumpah, mereka juga tidak henti-henti mencabarnya agar turut berani bersumpah jika benar tidak bersalah sepertimana yang didakwa oleh Saiful dan Eskay.
Dalam dakwaan yang ditujukan kepadanya, Anwar dengan sokongan beberapa ulama dalam dan luar negara, tetap berkeyakinan bahawa bersumpah dengan Al-Quran atau sambil memegang kitab suci itu bukanlah ajaran sebenar yang diajar oleh Islam, sebaliknya pihak yang menuduhnya perlulah mengemukakan bukti dan saksi.
Sementara sumpah politik yang melibatkan Anwar menyebabkan sokongan umat berpecah-pecah kerana lebih didorong oleh kelompok dan kepentingan tertentu sehingga isu itu menjadi perdebatan yang panjang, sumpah bola nampaknya membuatkan lebih ramai yang rasional dan menerima hakikat bahawa sumpah tidak menentukan kebenaran dan keadilan secara mutlak. Bagi menentukan keadilan dalam bolasepak juga terlihat lebih ramai yang mahu menyerahkan kepada pihak polis dan mahkamah untuk menentukan keadilan berbanding dalam politik, terdapat kecenderungan yang kuat untuk hanya bersandarkan kepada sumpah sebagai asas kebenaran.
Anwar telah dikaitkan sebagai bersalah bukan kerana adanya bukti dan empat saksi sepertimana yang dikehendaki oleh Islam tetapi lebih kerana keengganannya untuk turut sama bersumpah. Tetapi Ahmad Said yang mahu mencari kebenaran dengan bersumpah pula nyata telah menerima lebih banyak kecaman berbanding Saiful dan Eskay yang disanjung atas tindakan yang sama.
Penerimaan orang Melayu dan Islam terhadap sumpah berkaitan politik dengan bola jelas ada perbezaan walaupun semua mereka beramal dengan Al-Quran yang satu dan menyembah juga dengan Tuhan yang satu.
Sumpah politik dan sumpah bola telah melahirkan sesumpah di kalangan manusia. (SH 11/02/2014)
Monday 10 February 2014
Kes Rasuah Bekas Setpol Shahrizat, Mana Suara Najib?
Walaupun Peguam Negara, Gani Patail menafikan adanya campurtangan politik dalam kelewatan pertuduhan terhadap bekas Setiausaha Politik Shahrizat Jalil yang sebelum ini sudah dinyatakan akan didakwa di mahkamah oleh SPRM tetapi tiba-tiba dibatalkan bila tiba waktunya, namun ia sama-sekali tidak berupaya menghentikan orangramai daripada terus bercakap mengenainya.
Sebelum ini SPRM telah membuat kenyataan bahawa bekas Setpol bergelar Datuk itu akan didakwa di mahkamah selepas dibebaskan dengan ikat jamim RM50 ribu. Bekas Setpol terbabit didakwa terbabit dengan rasuah berjumlah RM1.1 juta melalui penyalahgunaan dana 1Azam yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Bagaimanapun apa yang ditunggu itu tidak menjadi kenyataan sehingga ia menimbulkan pelbagai tanggapan di kalangan orangramai.
Hanya pada lewat petang hari yang sepatutnya Setpol itu didakwa, barulah SPRM mengeluarkan kenyataan bahawa pendakwaan itu ditangguhkan ke tarikh lain yang akan dimaklumkan kemudian tetapi tidak memberi sebarang alasan mengenainya.
Berikutan tiadanya pendakwaan seperti yang disebut pada awalnya oleh SPRM itu, Pengerusi Panel Penasihat Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Johan Jaafar telah meluahkan rasa bimbangnya dengan perkembangan ini kerana menimbulkan tanggapan adanya campurtangan luar mengenainya.
Johan kemudian telah mengadakan pertemuan dengan Gani Patail dan diberi jaminan bahawa tiada campurtangN politik atau pendakwaan terpilih dalam kes ini, sebaliknya penangguhan dibuat hanyalah berujuan memberi lebih masa kepada SPRM mengumpul lebih bukti bagi menyokong kes itu.
Wujudnya persepsi umum adanya campurtangan politik dalam kes itu memang tidak dapat dielakkan memandangkan ketika SPRM memaklumkan akan membawa sesuatu kes ke mahkamah dengan menyebut tarikh, masa dan mahkamahnya, biasanya kes itu telah pun mempunyai cukup bukti dan dan juga sudah mendapat persetujuan daripada pejabat Peguam Negara untuk didakwa.
Pembatalan pada saat-saat akhir tentunya menimbulkan tanggapan adanya campurtangan politik mengenainya. Dalam hal ini siapa lagi yang boleh mengarah SPRM dan Peguam Negara selain daripada Perdana Menteri?
Selain hanya Najib Razak yang dilihat mempunyai kuasa untuk masuk campur, hubungan Shahrizat yang rapat dengan keluarga Perdana Menteri juga ditimbulkan sebagai asas kemungkinan berlakunya campurtangan itu. Wujud tanggapan bahawa Shahrizat telah merayu kepada Perdana Menteri agar menggugurkan kes tersebut bagi menjaga namanya sebagai Ketua Wanita UMNO.
Di sebalik penafian Gani Patail bahawa ada campurtangan politik dalam penangguhan kes ini, hanya Tuhan yang mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Tetapi orangramai tetap mengharapkan kes ini akan dibawa juga ke mahkamah akhirnya supaya kes yang merosakkan nama kerajaan ini dapat diadili, lebih-lebih lagi ia melibatkan dana yang diwujudkan untuk membantu golongan miskin.
Dalam hal ini, penafian Gani sahaja tidak memadai sebenarnya. Najib perlu bersuara dan menyatakan pendiriannya serta kerajaan mengenai kes itu memandangkan di sebalik penangguhan tersebut, nama beliau dipalitkan secara langsung dalam banyak sessi perbualan, dari kedai kopi di hujung kampung hinggalah ke coffee house di hotel-hotel mewah.
Dalam semua perbualan itu, nama Najib selaku Perdana Menteri dan hubungan keluarganya yang rapat dengan Shahrizat telah dikaitkan sehingga kes itu dibatalkan untuk dibawa ke mahkamah pada saat-saat akhir.
Hanya dengan Najib bersuara bahawa tiada campurtangan politik dan beliau menyerahkan sepenuhnya kes itu kepada SPRM dan Peguam Negara menjalankan kerjanya secara bebas berdasarkan bukti dan undang-undang yang ada, barulah sekurang-kurangnya ia dapat memulihkan keyakinan umum.
Selagi beliau berdiam diri dan membisu, selagi itulah beliau akan terus dikaitkan.
Daripada segi yang lain, setelah isu lembu NFC yang juga melibatkan keluarga Shahrizat yang begitu lambat diambil tindakan oleh Najib sehingga timbul andaian mengenai percubaan melindunginya, membawa kes rasuah ini segera ke mahkamah adalah langkah terbaik untuk membuktikan kerajaan bukan saja berusaha bersungguh-sungguh menangani rasuah, malah menolak hubungan rapat dengan Shahrizat telah mempengaruhinya untuk mengenepikan undang-undang.
Dan sebelum kes Setpol Shahrizat ini benar-benar dibawa ke mahkamah untuk didakwa, Najib seharusnya bersuara dahulu menyatakan pendirian tiadanya campurtangan beliau serta ketegasannya agar kes ini diteruskan untuk diadili dan dijatuhkan hukuman.
Hanya dengan bersuara sekurang-kurangnya membantu memulihkan imejnya tetapi dengan Najib sehingga in memilih untuk terus menyimpan suaranya, persepsi buruk lebih membebankannya. (SH 10/02/2014)
Sunday 9 February 2014
Najib Kena Penampar!!
Sementara ramai tertunggu-tunggu siapakah yang berani menyahut cabaran untuk menampar muka Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok demi untuk mendapatkan ganjaran wang tunai RM1200 yang ditawarkan oleh sebuah NGO, secara tiba-tiba keluar berita mengenai perletakan jawatan pemimpin Hindraf, P Waytha Moorthy sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ahli Dewan Negara berkuatkuasa 10 Februari ini.
Meletak jawatan dalam suasana politik tidak menentu sambil menuduh Najib dan Putrajaya sebagai pemungkir janji, pedihnya lebih memeritkan berbanding tamparan yang singgah dipipi.
Sebagaimana yang dipetik daripada kenyataan Setiausaha Hindraf, P Ramesh bahawa perletakan jawatan itu adalah kerana kegagalan Putrajaya menunaikan janjinya kepada masyarakat India seperti yang dimetrai antara Najib dengan Waytha, beberapa hari sebelum pilihanraya umum lalu.
Dengan adanya perjanjian itu yang didapati menyaksikan beralihnya sebahagian sokongan pengundi India kepada BN sebagaimana yang dibuktikan melalui kemenangan MIC yang lebih baik berbanding pilihanraya 2008 dan juga melalui peti undi di kawasan yang didiami mereka, Waytha kemudian telah dilantik sebagai Senator dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Namun hanya kira-kira lapan bulan berada dalam kerajaan dan menunggu janji-janji kepada kaum India masih seperti menunggu buah yang tak gugur, Hindraf akhirnya memutuskan Waytha perlu "mencampakkan" semua jawatan yang diberikan Najib itu berikutan tiada tanda-tanda ianya akan ditunaikan oleh kerajaan.
Menurut Ramesh lagi, pihaknya telah melakukan segala yang boleh, menandatangani perjanjian dengan musuh semata-mata untuk kepentingan masyarakat India serta dengan kepercayaan segala janji yang ditandatangani akan menjadi kenyataan.
Malangnya, tambah Ramesh, setelah lapan bulan menanti dan bersabar, Hindraf sudah putus asa dengannya.
Di ketika kepimpinan Najib begitu dipertikaikan sebagai lemah, tidak tegas, gagal menunaikan janji, tidak mengutamakan rakyat sebagaimana yang dijanjikan sebelum pilihanraya, melupakan beberapa akujanjinya sendiri serta banyak lagi, perletakan jawatan pemimpin Hindraf itu yang bermakna mereka sudah menarik balik sokongan yang pernah diberi sebelum ini, keadaan ini tentunya merupakan tamparan yang menyakitkan bagi Perdana Menteri.
Di tambah dalam suasana BN perlu menghadapi pilihanraya kecil DUN Kajang pada 23 Mac depan, putusnya ikatan kasih antara kerajaan dengan Hindraf ini pastinya juga bakal menyaksikan sebahagian lagi daripada jumlah 10 peratus pengundi India di DUN Kajang tidak akan memberikan undinya kepada BN.
Jika Teresa Kok sedang kerisauan kiranya cabaran menamparnya disambut oleh mana-mana pihak yang pendek akal, lebih-lebih lagi setelah Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa ganjaran yang ditawarkan oleh sebuah NGO mengenainya tidak boleh dikira sebagai ugutan serta tidak perlu disiasat polis, tamparan yang dilakukan oleh Hindraf ini jauh lebih menyakitkan Najib.
Dengan adanya serangan terbuka terhadap Najib daripada dalam UMNO sendiri, sokongan rakyat secara keseluruhan tidak bertambah baik, pengundi Cina kekal menolak BN, Pakatan Rakyat makin meningkatkan tekanan menghadapi PRU 14, dan kini Hindraf pula memutuskan ikatannya lantaran kecewa kerana janji-janji tidak ditunaikan, kedudukan BN atau kerajaan bukan saja dilihat sukar di Kajang, bahkan juga untuk mengekalkan kuasanya dalam pilihanraya akan datang.
Hindraf pula, melakukan tamparan kepada Najib ini bukannya kerana adanya ganjaran terbuka yang ditawarkan oleh Anwar atau Pakatan Rakyat tetapi barangkali dengan berbuat demikian, faedah untuk kaum India sudah boleh dibayangkan untuk diperolehi melalui Selangor yang bakal mendapat ketua kerajaan yang baru selepas ini, sebelum manfaat selebihnya akan dikutip selepas PRU 14 nanti. (SH 09/02/2014)
Saturday 8 February 2014
Wowww...Anak Perempuan Zahid Hamidi Pula Tawar Diri Jadi Calon Di Kajang
BN nampaknya masih buntu untuk menentukan siapa calonnya yang sesuai untuk berhadapan dengan Anwar Ibrahim dalam pilihanraya kecil DUN Kajang pada 23 Mac depan. Walaupun secara tradisinya, kerusi itu milik MCA tetapi UMNO jelas begitu inginkan calonnya dipilih mewakili BN bertanding di kerusi tersebut.
Selain disebabkan jumlah pengundi Melayu seramai 48 peratus, UMNO juga mahukan formula lama tidak lagi diguna pakai dengan alasan apabila ada pilihanraya kecil, selalunya jentera UMNO lebih aktif dan menonjol. Maka dengan itu, di tambah pula dengan trend pengundi Cina yang tidak lagi menyokong kerajaan, kewajaran agar UMNO yang bertanding di Kajang semakin kuat kedengaran.
Bagaimanapun MCA tetap tetap mahukan kerusi itu menjadi milik mereka dengan alasan persefahaman dalam komponen BN seharusnya dikekalkan dalam konteks kebersamaan jangka panjang, bukannya sekadar kepentingan Kajang semata-mata. Sehingga ini belum diputuskan siapa wakilnya, walaupun ada desakan agar pemain badminton negara, Lee Chong Wei dipilih berdasarkan populariti dan jutaan peminat yang dimilikinya.
Namun demikian, sejak bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad bersuara mahukan MCA diberi peluang bertanding di Kajang atas alasan parti itu dengan kepimpinan barunya sedang bangkit untuk meraih kepercayaan masyarakat Cina, suara dalam UMNO yang mahukan kerusi itu mulai kurang kedengaran.
Mahathir nampaknya bukan saja masih dihormati dalam UMNO tetapi suaranya seolah-olah lebih berbisa daripara Najib sendiri.
Bagaimanapun, di sebalik penentuan calon yang masih kabur itu, Nallakaruppan, Presiden MUIP atau Parti India Bersatu Malaysia, telah tampil menawarkan dirinya sebagai calon mewakili BN. Dengan alasan beliau pernah berkawan rapat dengan Anwar dan mengetahui banyak rahsia Ketua Pembangkang itu, Nalla merasakan beliaulah calon paling "winnable" di antara semua rakyat Malaysia yang menyokong BN.
Seorang lagi yang turut menawarkan diri mewakili BN ialah penyanyi Herman Tino yang pernah kalah serta hilang wang pertaruhan dengan bertanding di kerusi Parlimen Tanjung Karang dalam PRU 13 lalu. Herman yang juga semata-mata ingin menentang Anwar menulis di twitter berkata, jika beliau kalah ia tidak memberi kesan apa-apa dan beliau masih boleh menyanyi selepas itu.
Kedua-dua calon yang menawarkan diri ini bagaimanapun, tidak mendapat respon yang baik daripada UMNO dan BN, malah dalam konteks Nalla misalnya, beliau lebih menerima kutukan, cacian dan makian berikutan hasratnya menawarkan diri itu. Nalla dianggap lebih membebankan UMNO dan BN dengan jajaan cerita seks dah lucahnya itu, di samping latar belakangnya juga amat diketahui umum.
Selain dua nama itu, ingatkan tiada sesiapa lagi yang teringan dan berminat untuk menawarkan diri bertanding mewakili BN di Kajang. Selain harapan untuk menang juga agak tipis, setelah Mahathir bersuara, hampir semua orang juga akhirnya menyedari kerusi Kajang adalah milik MCA dan parti itu mesti diberi peluang lagi.
Rupa-rupanya dalam cuaca jerebu, hujan turun juga di tengahari. Tanpa angin dan tanpa banyak spekulasi, tiba-tiba anak perempuan Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi yang bernama Nurul Hidayah muncul meluahkan hasratnya mahu menawarkan diri bertanding menentang Anwar Ibrahim di Kajang.
Dengan alasan beliau tinggal di Kajang kerana rumah Zahid Hamidi terletak di Country Height, Nurul bagaimanapun berkata, perkara itu masih dalam perbincangan dan terserah kepada pucuk pimpinan menentukannya. Beliau juga turut memberitahu mengenai hasratnya itu kepada rakan-rakannya.
Jika akhirnya BN memilih anak perempuan Zahid bertanding di Kajang, bermakna pilihanraya kecil ini akan mencatat sejarahnya yang tersendiri di mana kedua-dua calon BN dan PKR iaitu Nurul Hidayah dan Anwar Ibrahim, sama-sama menggunakan alamat tempat tinggal di Country Height, sebuah kawasan kediaman elit dan mewah di pinggir ibu kota.
Nurul Hidayah beralamat di Country Height kerana bapanya tinggal di situ manakala Anwar pula menggunakan alamat di tempat yang sama kerana keluarga bapanya juga tinggal di situ.
Walaupun mungkin hasrat Nurul Hidayah hanya suka-suka untuk menguji UMNO dan BN yang seolah-olah ketandusan pemimpin untuk berhadapan dengan Anwar dan barangkali sebagai isyarat awal penonjolan dirinya dalam dunia politik selepas ini, tetapi semua ini akan menjadikan perbualan mengenai Kajang tambah hangat lagi.
Selain hangat dengan cerita-cerita kempen serta program turun padang Anwar yang sudah pun bermula, di samping kehangatan lain yang melibatkan Khalid Ibrahim, Azmin Ali, PKNS dan hubungan PKR dengan Pas, kemunculan berita mengenai hasrat anak Zahid Hamidi ini pasti menambah-meriahkan lagi kehangatan Kajang.
Cuma, jangan sampai keghairahan anak Zahid menonjolkan diri ini akan menjadikan masa depan politik bapanya turut "kejang" akhirnya. (SH 08/02/2014)
Friday 7 February 2014
Di Sebalik Provokasi Perkauman, Bala Besar Sedang Menunggu Najib
Tindakan sebuah NGO yang menamakan dirinya Majlis Jamaah NGO Islam Malaysia mengadakan demonstrasi membantah penerbitan video yang dibuat oleh pemimpin DAP, Teresa Kok yang dianggap menghina orang Melayu dan pemimpin tertentu, sambil menyembelih ayam dan melumurkan darahnya pada gambar beberapa pemimpin pembangkang, adalah suatu perbuatan yang tidak boleh diterima sama sekali dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia ini.
Ia tidak lain merupakan provokasi perkauman dan menggalakkan pertumpahan darah. Walaupun kita tidak bersetuju dengan tindakan Teresa Kok menerbitkan klip video yang dianggap menghina dan keterlaluan itu, tetapi cara bantahan dengan menyembelih ayam dan melumurkan darahnya sebagai simbolik mengajak pertumpahan darah, adalah juga perbuatan yang keterlaluan dan tidak boleh diterima.
Begitu juga dengan tindakan NGO yang sama menawarkan upah sehingga RM1200 kepada sesiapa yang dapat menampar muka Teresa Kok, ia bukanlah cara yang sewajarnya melawan musuh politik. Tindakan ini mengundang bahaya yang lebih besar kepada keamanan, keharmonian dan kedamaian antara kaum di negara ini.
Persoalannya, apakah dengan hanya berdemonstrasi seramai 50 dan membuat provokasi melampau yang seolah-olah mengajak pergaduhan, ia suatu bukti gah menandakan orang Melayu sudah cukup gagah untuk bergaduh dan bertumpah darah?
Bagaimanapun, diharapkan tiada mana-mana pihak yang pendek akal yang sanggup menyahut tawaran tawaran NGO tidak matang ini. Percayalah, NGO ini hanya inginkan perhatian daripada pucuk pimpinan UMNO dengan menunjuk keberanian dengan maksud yang hanya mereka saja mengetahuinya.
Jika berlaku sesuatu yang buruk nanti, NGO inilah yang paling awal menghilangkan diri.
Penghinaan dan cara serangan melalui video, sebagaimana yang dilakukan oleh Teresa, sepatutnya hanya dibalas dengan serangan dalam bentuk yang serupa juga dan bukannya dengan cara yang melampau. Ini semua adalah sebahagian daripada proses berpolitik yang sepatutnya ditangani dengan akal, hujah dan penuh kematangan.
Dalam masa yang sama, apa yang telah dilakukan oleh Teresa Kok sudah pun dibuat banyak laporan polis oleh pelbagai pihak, malangnya tiada tindakan setakat ini, namun dengan reaksi melampau yang dilakukan oleh NGO ini, sudah sewajarnya pimpinan kerajaan, terutamanya Najib segera memberikan reaksinya. Beliau perlu menghentikan ketidakwajaran ini daripara berterusan.
Sudah sampai masanya, Najib selaku Perdana Menteri, bukan saja perlu bersuara menyatakan ketegasannya untuk membendung perkara tidak sihat ini daripada berterusan, bahkan beliau juga sepatutnya pantas mengarahkan Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi agar segera berbuat sesuatu melalui PDRM yang berada dibawah kendaliannya.
Mungkin Teresa perlu dipanggil untuk diambil kenyataannya, begitu juga dengan NGO terbabit. Sekiranya perlu diambil tindakan kepada kedua-duanya, jangan takut untuk berbuat demikian. Melengahkan untuk bertindak tegas hanya menjerumuskan kepada pelbagai kemungkinan yang lebih buruk untuk negara.
Selama ini, kepimpinan Najib sering dibelenggu dengan aspek kelemahan dan tiada keegasannya dalam banyak perkara. Usaha melaga-lagakan antara kaum dan agama sudah terlalu banyak berlaku sejak beliau memimpin negara ini. Dalam isu kalimah Allah, ketika ketegasan dan pendirian kukuh kerajaan begitu dituntut untuk meredakan ketegangan antara Islam dan Kristian, Najib ternyata hanya berdiam diri dan seolah-olah menyerahkan kepada takdir semata-mata untuk menyelesaikannya.
Dalam isu yang dimulakan oleh Teresa Kok ini, sekali lagi ketegasan Najib dan kerajaan amat dituntut sebenarnya. Membiarkan unsur-unsur provokasi kaum berlaku tanpa kawalan, bukan saja mengundang bahaya dari segi keamanan dan kerharmonian, tetapi juga umpama menjemput bala yang besar kepada Najib sendiri.
Selepas berlaku peristiwa berdarah 13 Mei, negara sebenarnya tidak memerlukan satu lagi tragedi seumpama itu. Perkara ini boleh dielakkan dengan Najib segera bersuara dan mengambil tindakan tegas agar kejadian ini tidak berterusan menggugat keamanan dan juga tidak mendatangkan bahaya dari segi persepsi umum terhadap kepimpinannya serta tidak berulang di masa depan.
Berlakunya kejadian menyembelih ayam, melumurkan darah dan mengupah untuk menampar orang lain adalah tindakan jahiliyah yang bertentangan dengan dunia moden yang berpaksikan kematangan dan intelektual yang tinggi. Berlawan dengan musuh politik bukan begitu cara dan kaedahnya. Meskipun NGO ini bukan berkaitan dengan politik dan mungkin juga tiada kena-mengena dengan UMNO, tetapi Najib harus menghentikan mereka ini daripada terus membusukkan dunia orang-orang politik.
Semuanya hanya boleh dihentikan jika Najib segara menunjukkan ketegasannya dan tiada komprominya dalam hal ini. Tetapi jika beliau memilih untuk berdiam diri dan dilihat terus lemah sebagaimana dalam beberapa isu sebelum ini, bala itu pasti akan terus mengejar serta tidak mustahil akan menghempapnya suatu hari nanti.
Kejadian provokasi kaum ini adalah signal paling terang bahawa negara tidak memerlukan pemimpin yang lemah dan tidak tegas untuk berada lebih lama menggenggam kuasa.
Pilihan berada sepenuhnya di tangan Najib sekarang ini. (SH 07/02/2014)
Thursday 6 February 2014
Yahooo...Tol Tak Jadi Naik, Tapi Jangan Terlalu Gembira
Yahooo...kadar tol tidak naik. Mungkin ramai yang gembira dengan berita yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengenai tol semalam. Mungkin juga ada yang bersorak atau melompat keriangan. Tetapi jangan terlalu gembira dulu. Ini kerana tiadanya kenaikan itu hanya untuk tahun 2014 saja. Tahun 2015, 2016 atau 2017 belum tentu lagi.
Lagi pula tiada kenaikan tol ini bukannya percuma. Ia berikutan kerajaan terpaksa membayar lebih RM400 juta kepada sembilan pemegang konsesi tol di seluruh negara sebagai pampasan kerana menangguhkan kenaikan tol.
RM400 juta itu adalah duit kita semua yang dikutip melalui pelbagai cara oleh kerajaan, sama ada cukai langsung dan cukai tidak langsung. Walaupun kita boleh bergembira dengan ketiadaan kenaikan tol untuk tahun 2014 ini, tanpa sedar kita sebagai rakyatlah yang sebenarnya menanggung RM400 juta yang dibayar kepada pemegang konsesi itu.
Di sisi yang lain, tindakan kerajaan menangguhkan kenaikan tol ini tidak lain pastinya ialah kerana adanya pilihanraya kecil DUN Kajang pada 23 Mac depan. Disebabkan ada pilihanraya yang dijangka sengit dan kerajaan terdesak untuk menunjuk sikap prihatinnya kepada kenaikan kos sara hidup rakyat, maka sebagai permulaannya, kenaikan kadar tol ditangguhkan.
Inilah sebenarnya rahmat di sebalik mempunyai pembangkang yang kuat. Cuba bayangkan jika kita tidak mempunyai pembangkang yang kuat atau jika kerusi Kajang ini merupakan kerusi yang selamat bagi BN, belum tentu kenaikan tol ditangguhkan.
Dengan kedudukan pembangkang yang kuat dan kemenangan PKR melalui calonnya, Anwar Ibrahim di Kajang bakal menampilkan cabaran yang lebih sengit kepada BN menuju PRU 14, percayalah, lebih banyak nikmat dan kemurahan hati kerajaan kepada rakyat akan dipamerkan selepas ini.
Untuk menikmati lebih banyak rahmat dan merasakan kemurahan hati kerajaan, rakyat seharusnya kekal dengan sikap bahawa mempunyai pembangkang yang kuat adalah baik untuk rakyat. Kiranya sistem politik kita bergerak kepada sistem dua parti dan kerajaan yang boleh bertukar ganti, lebih banyak nikmatnya lagi.
Penangguhan kenaikan tol untuk 2014 adalah permulaan saja.
Jika awal tahun 2015 ada mana-mana wakil rakyat meninggal dunia dan ada pilihanraya kecil lagi, mungkin kenaikan tol untuk 2015 ditangguhkan lagi. Dan pemegang konsesi dapat RM400 lagi.
Kadang-kadang bagus juga kalau selalu ada pilihanraya kecil. Jika tiga bulan atau enam bulan sekali ada wakil rakyat yang meninggal dunia dan kerajaan terpaksa berdepan dengan rakyat untuk mendapatkan sokongan, alangkah bahagianya rakyat jelata. Bukan saja tol akan turun, bahkan hari jadi menteri atau majlis perkahwinan anak menteri pun mungkin dibuat di kampung- kampung bersama pengundi.
Ketika itu, barulah boleh yahoooo...atau...yabeda beduu....
Dalam soal penangguhan kenaikan tol ini, walaupun kita masih boleh berterima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan dan akhirnya kerajaan mengaku juga bahawa kenaikan harga minyak, letrik dan gula memang memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat, namun langkah yang seharusnya dilakukan ialah segera mengadakan rundingan semula dengan pemegang konsesi tol di negara ini.
Walaupun sudah ada perjanjian, tetapi sebagai kerajaan, mereka seharusnya bertindak berani melindungi kepentingan rakyat dengan memanggil semua pemegang konsesi dan berunding semula mengenai terma-terma yang sebelum ini mensyaratkan kenaikan tol mesti dilakukan dalam tempoh tertentu.
Ia boleh dilakukan dengan mengambil kira aliran trafik yang begitu meningkat dan telah menyebabkan pemegang konsesi memperolehi keuntungan lebih awal daripada yang dijangkakan.
Dalam masa yang sama, tiada masalah juga sebenarnya untuk merundingkan semula syarat-syarat itu memandangkan hampir kesemua pemegang konsesi adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat yang dipunyai oleh individu yang mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan.
Ia hanya bergantung sama ada kerajaan mahu melakukannya atau tidak saja. Malah, bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin pun baru-baru mencadangkan agar kerajaan merundingkan semula syarat-syarat ini demi kepentingan rakyat.
Jika langkah itu dapat dilakukan, barulah kerajaan benar-benar dilihat prihatin dengan kos sara hidup rakyat dan ingin meringankan beban hidup rakyat.
Dan tidak perlulah rakyat menunggu ada pilihanraya kecil atau lima tahun sekali menjelang pilihanraya umum, barulah kemurahan hati dan sikap prihatin kerajaan dapat dinikmati. (SH 06/02/2014)
Subscribe to:
Posts (Atom)