Wednesday 12 February 2014

Sarawak Dipimpin Adenan Satem, Masihkah Jadi Simpanan Tetap BN?


Teka-teki mengenai politik Sarawak kini sudah pun terjawab. Taib Mahmud yang berkuasa di Sarawak sejak 33 tahun lalu sudah sah akan meletakkan jawatannya pada 28 Februari ini. Pengganti beliau juga sudah diumumkan iaitu Adenan Satem yang sebelum ini memegang jawatan Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Ketua Menteri Sarawak.

Dengan pengunduran Taib dan penggantinya juga sudah diumumkan, apa yang ditunggu hanyalah perlantikan beliau sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak bagi menggantikan Tun Abang Muhammad Sallahuddin Abang Barieng yang juga tamat tempoh perkhidmatannya pada hujung bulan ini. Meskipun ada bantahan dan suara tidak setuju belliau menjadi Yang Dipertua Negeri, rasanya tiada sesiapa yang dapat menyekat laluan itu.

Dengan martabat dirinya naik setapak lagi dari Ketua Menteri kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak, bermakna Taib terpaksa mengosongkan kerusi DUN Balingan yang diwakilinya sekarang dan satu pilihanraya kecil terpaksa diadakan. Mudah-mudahan SPR tidak terperanjat dengan kemungkinan adanya pilihanraya kecil ini sebagaimana yang berlaku di Kajang sehingga tarikh pilihanrayanya hanya dapat ditentukan 54 hari daripada tarikh kekosongan kerusi itu dimaklumkan.

Tamatnya teka-teki mengenai pengunduran beliau dan "ditabalkan" pula sebagai Yang Dipertua Negeri, bermakna segala cerita kekayaan, pembolotan tanah dan balak oleh kaum keluarganya serta failnya yang sudah dibuka oleh SPRM, semuanya kini bakal menjadi kotak sejarah yang akan tersimpan sehingga kiamat.

Meskipun Taib didakwa terlibat dengan pelbagai pengumpulan kekayaan, tetapi cengkaman yang kekal berbisa sehingga ke hujung kuasa dengan menyumbang kerusi kemenangan kepada BN, adalah satu-satunya jasa beliau yang tidak dilupakan oleh sesiapa yang menjadi Perdana Menteri, terutamanya dalam pilihanraya 2008 dan 2013 lalu.

Dalam pilihanraya 2008, BN Sarawak menyumbang 29 kerusi kemenangan daripada 31 kerusi Parlimen yang dimilikinya manakala pada pilihanraya 2013 pula, di sebalik serangan kuat Pakatan Rakyat menggempur negeri itu, Taib masih mampu menyumbang 25 kerusi kemenangan dan menjadi asas terpenting kekalnya BN dengan kemenangan 133 kerusi berbanding PR 89 kerusi.

Oleh itu, tidaklah menghairankan, di sebalik pelbagai laporan dan dakwaan mengenai salah laku Taib yang diadukan kepada pihak berkuasa sentiasa menemui jalan buntu, bahkan di suatu ketika beliau pernah menempelak SPRM dengan mengatakan badan pencegahan rasuah itu tidak layak menyiasatnya.

Jika ketika beliau menjadi Ketua Mentei pun tiada siapa yang berani mengusiknya, apatah lagi selepas menjadi Yang Dipertua Negeri.

Meskipun pakar undang-undang, Prof Aziz Bari mengatakan Taib tidak kebal walaupun sudah dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri berikutan masih boleh didakwa di mahkamah khas yang dibentuk di bawah Artikel 182 Perlembagaan Persekutuan, hakikatnya ia hanyalah sesuatu yang tertulis dan tidak pernah dipraktikkan selama ini.

Bahkan, kebarangkalian untuk dipraktikkan juga amat tipis.

Selain perancangan manusia untuk menjadikan Taib sedemikian rupa, barangkali memang sudah ketentuan Tuhan begitu nasib baiknya di dunia ini.

Namun demikian, apa yang menjadi perhatian dengan pengunduran Taib ini ialah sama ada Sarawak masih mampu menyumbang jumlah kerusi yang banyak atau menjadi "fixed deposit" kepada BN dalam pilihanraya umum akan datang?

Di sebalik pelbagai isu dan dakwaan mengenai diri, keluarga dan kepimpinannya sejak beberapa kali pilihanraya yang lalu, pengaruh dan cengkamannya yang kuat di kalangan penduduk Sarawak telah menjadikan beliau mampu mengatasi halangan itu dan mencipta kemenangan yang membanggakan setiap kali pilihanraya diadakan.

Sebagai pemimpin lama yang telah berkhidmat sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj lagi, kelebihan Taib ialah beliau memahami selok-belok politik negeri itu dengan arif dan dibantu dengan sumber kewangan kukuh yang dimilikinya, telah dapat menukar kelebihan itu menjadi kemenangan di peti undi dan menenggelamkan semua isu serangan peribadi yang ditujukan kepadanya.

Kelebihan ini mungkin hanya ada pada Taib dan tidak pada Adenan Satem. Latar belakang Adenan yang pelbagai dan bercampur-campur, pernah menjadi guru, wartawan, majisteret dan sebagainya sebelum berkecimpung dalam politik, tidak memperlihatkan sesuatu yang istimewa sama ada mampu menandingi atau menyamai kelebihan Taib.

Sesuatu yang menjadi kelebihan Adenan ialah barangkali beliau tidak mempunyai isu-isu peribadi dan keluarga yang boleh dijaja dalam kempen pilihanraya. Di samping pelbagai perkembangan lain yang sentiasa mengejutkan menjelang PRU 14 akan datang, Sarawak dibawah kepimpinan Adenan Satem yang mempunyai 31 kerusi Parlimen di negeri itu akan terus menjadi medan perebutan yang menarik antara BN dan PR.

Mampukah Adenan mengekalkan kedudukan Sarawak sebagai "simpanan tetap" BN atau bakal bertukar menjadi "simpanan tunai" yang bila-bila masa boleh bertukar tangan? (SH 12/02/2014)

2 comments:

  1. WITH A NEW SARAWAK CHIEF MINISTER A BETTER CHANCE 4 PR IN GE13! BUT IF UMNO STEPS IN ; WILL B A DOOMSDAY 4 BN! www.nasharrawy.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. Terlepas hukuman dalam dunia ketika hidup tetapi belum tentu terlepas hukuman di alam barzakh. Di alam barzakh masih okey tak ada siapa nampak, kena tunggu di padang mahsyar, InsyAllah semua manusia akan nampak

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...