Monday 24 February 2014
MCA Hanya Kemaruk Jawatan Menteri
Tanpa menunggu keputusan pilihanraya kecil DUN Kajang yang merupaksn ukuran sama ada MCA sudah mendapat kepercayaan pengundi Cina atau sebaliknya, parti itu sebaliknya membuat keputusan mempercepatkan mesyuarat agung luar biasa atau EGM untuk menentukan sama ada mereka wajar kembali menduduki kabinet atau kekal berada di luar kabinet sepertimana sekarang.
Dalam EGM yang diadakan semalam itu, walaupun ada yang keluar dewan perhimpunan sebagai tanda bantahan tetapi akhirnya MCA memperolehi semula mandat untuk kembali ke kabinet dengan undi menyokong sebanyak 1913 daripada 1922 jumlah perwakilan.
Dengan resolusi ini serta bersamaan dengan janji Perdana Menteri untuk memberi jawatan kabinet kepada pemimpin MCA sekiranya usul menolak jawatan dalam kerajaan yang dibuat semasa kepimpinan Chua Soi Lek dahulu dibatalkan, kini semuanya terpulang kepada Najib untuk menentukan bila dan berapa jawatan yang harus diberikan kepada parti itu.
Apa yang menarik dalam EGM kali ialah bukan saja kelulusan kembali ke kabinet itu diperolehi melalui undi angkat tangan tetapi juga tarikh EGM diadakan juga terpaksa menggunakan kuasa Presiden MCA yang hanya menggunakan notis selama 7 hari berbanding peraturan sebenar yang memperuntukkan notis selama 30 hari.
Ini tidak lain memperlihatkan keinginan yang tinggi atau rasa kemaruk di kalangan pemimpin MCA untuk kembali semula memegang jawatan kabinet tanpa memperdulikan sokongan pengundi Cina sudah kembali kepada BN atau sebaliknya. Dan pilihanraya kecil DUN Kajang telah digunakan sebagai senjata ke arah matlamat itu.
Jika MCA bermaruah, mereka sepatutnya menunggu sehingga keputusan pilihanraya kecil DUN Kajang yang mempertaruhkan Naib Presidennya, Chew Mei Fun sebagai calon BN untuk memutuskan sama ada perlu meluluskan usul untuk kembali menganggotai kerajaan atau tidak. Dengan pemimpin kanannya sendiri dipilih sebagai calon, di situlah ukuran sama ada MCA diterima atau tidak oleh kaumnya sendiri.
Tetapi dengan mempercepatkan tarikh EGM dan seolah-olah tidak boleh menunggu sehingga pilihanraya Kajang berakhir, sementara undian pula diadakan secara angkat tangan, bukan saja rasa kemaruk yang dapat dipamerkan, bahkan MCA kini seperti sedang mendesak Najib untuk memberikan mereka jawatan dalam kabinet sebelum hari pengundian pada 23 Mac diadakan.
Dengan ini, MCA jelas tidak peduli sama ada keputusan di Kajang memihak kepada BN atau sebaliknya. Tekanan secara halus nampaknya sedang diberikan kepada Najib untuk segera membuat keputusan kerana jika jawatan menteri diberikan sekarang ia kononnya lebih memudahkan untuk menarik dan meyakinkan pengundi Cina terhadap kerajaan.
Bertandingnya MCA di Kajang hanya menambahkan kuasa tawar-menawar mereka kepada Najib dan BN. Jika diberikan jawatan, Presidennya, Liow Tiong Lai dan Timbalan Presiden, Dr Wee Ka Siong pastilah sudah mendapat habuan sebelum keputusan Kajang diketahui. Soal sama ada pengundi Cina menyokong atau tidak bukanlah lagi faktor penting kerana yang dihajati sebenarnya adalah kedudukan dalam kabinet dan bukannya kemenangan di Kajang.
Jika tidak diberi jawatan dan BN tewas pula, MCA akan menyalahkan Najib kerana menangguhkan pemberian jawatan akan dilihat sebagai tanda ketidakpercayaan BN sendiri terhadap parti itu. Hujah mereka tentunya ialah jika Najib sendiri tidak meyakini MCA, bagaimana pengundi Cina mahu kembali memberikan sokongan.
Dengan itu ia mungkin memaksa Najib memberi lebih jawatan dalam kerajaan kepada MCA kerana bimbang berterusan tanpa jawatan akan memberikan keputusan kesan penolakan yang lebih besar di kalangan pengundi Cina dalam PRU 14 nanti.
Terlihat di sini, sama ada Najib akan memberikan jawatan kabinet kepada MCA sebelum mahupun selepas keputusan Kajang, Najib dan UMNO lebih terbeban manakala MCA hanya menunggu untuk mengaut keuntungan semata-mata.
Jika MCA ikhlas dan mempunyai sedikit perasaan malu, penentuan sama ada EGM yang bertujuan meluluskan usul mewajarkan pemimpinnya kembali memegang jawatan kerajaan atau sebaliknya sepatutnya hanya dibuat selepas melihat keputusan di Kajang.
Walaupun Chua Soi Lek dianggap kurang bermoral berikutan video seksnya yang tersebar luas beberapa tahun lalu, namun moral politik pimpinan baru MCA ini juga boleh dipertikaikan kerana nampaknya mereka tidak sabar-sabar kembali memegang jawatan kerajaan tanpa menunggu sokongan pengundi Cina sudah kembali atau tidak.
Sebaik saja usul diluluskan, Liow Tiong Lai bukan saja mengucapkan terima kasih kepada perwakilan atas keputusan tersebut, malah menganggapnya sebagai perangsang kepada kepimpinan baru untuk melakukan pelbagai lagi transformasi.
Seolah-olah menjadi menteri dan duduk dalam kerajaan merupakan nawaitu utama MCA dan jika tanpanya, sebarang transformasi tidak dapat dilakukan. (SH 24/02/2014)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Satu telahan yg amat tepat. Tiada ulasan lanjut.
ReplyDeleteYg kemaruk dan terhegeh hegeh nak bagi jawatan ialah najib dan umno, bukannya mca.
ReplyDeleteKalo azmin ali diberi jawatan menteri... dier x ambik ke?
ReplyDelete