Wednesday 31 December 2014

Selamat Tinggal 2014, Tahun Yang Banyak Menumpahkan Airmata


Hanya beberapa jam saja lagi, tirai tahun 2014 akan berlabuh untuk digantikan dengan ketibaan tahun baru 2015 pula. Tahun 2014 adalah tahun penuh duka sengsara bagi rakyat negara kita, bahkan mungkin boleh dianggap sebagai tahun paling banyak menumpahkan airmata.

Bermula dengan tragedi empangan kering  di Lembah Kelang dan beberapa negeri pada bulan Februari dan berlarutan sehingga April yang menyaksikan kita bukan saja dihimpit kemarau, bahkan juga kekurangan bekalan air untuk kehidupan seharian, kita kemudian dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH370 pada bulan Mac tahun yang sama.

Meski berbagai usaha dan ikhtiar dijalankan, nasib penumpang dan pesawat milik MAS itu kekal misteri sehingga kini. Tidak diketahui sama ada ia tersembam di dasar bumi, terperosok di celah karang lautan yang dalam, reput di dalam hutan yang tebal atau tersembunyi di ruang angkasa. 

Bersama peredaran masa, tak terkira berapa banyak air mata keluarga mangsa serta rakyat yang simpati tumpah kerananya.

Pada bulan Julai pula, ketika umat Islam menyambut puasa dan bersedia menyambut Hari Raya, kita dikejutkan lagi dengan kehilangan sebuah lagi pesawat MAS iaitu MH17. Kali ini ia ditembak jatuh di timur Ukraine sehingga menyebabkan semua penumpangnya terdampar tidak bernyawa.

Sekali lagi, air mata keluarga mangsa dan rakyat jelata yang bersimpati tumpah kerananya.

Di penghujung tahun ini, sebuah lagi pesawat terhempas dan mengorbankan ratusan nyawa. Walaupun pesawat yang terhempas adalah Air Asia Indonesia tetapi kerana ia berada dalam Kumpulan Air Asia yang dimiliki rakyat negara kita, tambahan pula Malaysia dan Indonesia serumpun serta sebangsa, derita dan air mata turut juga tumpah disebabkannya.

Kehilangan tiga pesawat dalam tempoh setahun barangkali suatu sejarah dan tiada negara yang mengalaminya sehingga diam-diam ada yang mula bertanya, musibah atau ujian apa yang mahu ditunjukkan Tuhan kepada kita?

Memikirkan semua itu, air mata pasti menitis juga.

Pada bulan Disember 2014 ini juga, beberapa negeri terutama di Pantai Timur dilanda musibah banjir yang begitu luar biasa hebatnya. Banyak kerosakan harta benda, kemusnahan barang berharga dan kehilangan jiwa telah melanda.

Sehingga ini pun, banjir masih menggila di beberapa tempat di seluruh negara. Nilai kemusnahan tak terbilang lagi dek angka, lalu hanya airmata sebagai penenang jiwa sambil berdoa kepada Yang Maha Esa.

Tragisnya banjir kali ini menyababkan ramai rakan-rakan kita yang ditimpa musibah ini tidak merasai apa-apa yang istimewa dengan kedatangan tahun baru 2015. Mereka menangis dan menumpahkan airmata di penghujung 2014 dan kekal menyambut ambang 2015 dengan duka dan airmata juga.

Di celah-celah semua tragedi dan musibah itu, kita juga dihadapkan dengan kejadian jerebu sekali-sekala, soalan bocor bertimpa-timpa dan pelbagai kejadian lain yang meruntun jiwa.

Politik kita pula tidak pernah amannya, hubungan kaum sentiasa dalam sengketa, pembaziran di mana-mana, hutang negara berganda-ganda dan sesama pemimpin pula lebih suka berlaga serta bersengketa.

Di tahun 2014 juga, kita dibebankan dengan pelbagai kenaikan harga barang yang berpunca daripada minyak yang dinaikkan beberapa kali harganya. Walaupun menjelang awal tahun baru 2015 nanti,  kita bakal menerima khabar gembira penurunan harga petrol dan diesel kerana harga di seluruh dunia turun sama, kita juga sebenarnya tidak tahu sejauh mana penurunan itu bakal menggembirakan kita.

Mungkinlah penurunan harga minyak ini hanya untuk beberapa bulan saja, tapi yang sedihnya harga barang tidak pernah turun-turun juga.

Pendeknya, berbanding tahun-tahun sebelumnya, 2014 adalah paling menyedihkan, penuh airmata dan membuatkan kita lebih banyak bersedih daripada bergembira.

Selaku insan kerdil  di dunia sementara ini, hanya doa kepada Yang Maha Esa dapat kita panjatkan agar 2015 nanti lebih membawa ceria  dan gembira.  Kiranya ditakdirkan ianya penuh detik-detik duka juga, harapan kita semoga Tuhan terus memberikan kita kekuatan dan redha atas segala-galanya. ( SH 31/12/2015)

Tuesday 30 December 2014

"Biarlah Rosmah Gunakan Jet, Pengorbanannya Amat Besar Kepada Negara"


Isu penggunaan jet rasmi kerajaan oleh Rosmah Mansor kembali menjadi perbualan ramai berikutan pesawat yang membawa Najib Razak dan keluarganya untuk bercuti di Hawaii itu dikatakan masih berada di Indianapolis, meskipun Perdana Menteri sudah kembali ke tanahair.

Najib yang kembali ke tanahair secara tergesa-gesa dan memendekkan percutiannya kerana kritikan yang melaut terhadapnya disebabkan  beritanya bermain golf bersama Barack Obama tersebar luas di ketika banjir sedang melanda, didapati hanya pulang bersendirian saja.

Kepulangan Najib itu dikatakan dijemput oleh jet VIP Tentera Udara Diraja Malaysia atau TUDM dengan nombor pendaftaran  M53-01 manakala jet rasmi kerajaan yang dinaikinya semasa pergi ke Hawaii untuk bercuti iaitu 9M-NAA didapati terbang menghala ke Indianapolis pula.

Ia menimbulkan persoalan bahawa jet rasmi kerajaan itu sedang membawa Rosmah dan ahli keluarganya yang lain bagi meneruskan percutian mereka. Sehingga ini pun pesawat itu dilaporkan masih di sana.

Selain beberapa portal dan blog menimbulkan perkara itu dan bertanya di mana kewajarannya seorang isteri Perdana Menteri dibenarkan menggunakan jet rasmi kerajaan sedangkan Najib tiada bersamanya, AMK atau Angkatan Muda Keadilan melalui Ketua Penerangannya, Lee Chean Chung turut mengeluarkan kenyataan media meminta penjelasan kerajaan berkaitan dengannya.

Beliau menimbulkan persoalan, kenapakah jet rasmi kerajaan tidak digunakan untuk membawa Najib pulang, kenapa perlu digunakan jet lain kepunyaan TUDM untuk menjemputnya yang tentunya menggandakan lagi kos, kenapa jet rasmi terbang ke arah timur iaitu Indianapolis dan siapakah yang menggunakan jet rasmi itu?

Tersebarnya berita kemungkinan jet rasmi kerajaan sekali lagi digunakan oleh Rosmah Mansor, tambahan pula Najib hanya didapati bersendirian dalam beberapa lawatannya ke penempatan banjir sejak beberapa hari lalu, hampir menjadikan kepulangan Najib secara tergesa-gesa tidak bermakna lagi.

Ini kerana meskipun kepulangannya itu menunjukkan sikap prihatinnya terhadap rakyat, namun tindakannya yang seperti membenarkan isterinya menggunakan jet rasmi kerajaan itu dilihat lebih besar lagi silapnya. Ia bukan saja berkaitan kelayakan menggunakan jet rasmi itu tetapi juga menambahkan lagi pembaziran wang negara.

Di ketika ini, sambil orangramai bercakap soal banjir yang kebetulan diikuti dengan pesawat Kumpulan Air Asia yang didapati hilang dan dipercayai terhempas di lautan Indonesia, mereka juga turut bercakap mengenai pesawat rasmi kerajaan yang juga "hilang" sedangkan Najib sudah berada di dalam negara.

Ada pula yang membuat humor, patutlah  tidak ramai menteri-menteri yang didapati pulang walaupun Najib sudah mengeluarkan arahan agar mereka memendekkan cuti masing-masing kerana Rosmah sendiri pun tidak mahu pulang dan memendekkan percutiannya.

Jika diimbau pula, penggunaan jet rasmi kerajaan oleh Rosmah ini sudah beberapa kali berlaku dan seolah-olah tiada sesiapa yang mampu menghalangnya. Penggunaannya ketika bercuti kali ini dan dalam masa yang sama Najib pula berada di dalam negara, hanya menambahkan lagi kebencian dan kata-mengata.

Najib pula tidak menganggap penggunaan jet kerajaan itu oleh isterinya sebagai suatu kesalahan, malah tidak juga merasakan suatu pembaziran apabila dua jet terpaksa digunakan dalam suatu masa.

Pendedahan demi pendedahan dan kritikan demi kritikan langsung tidak mendatangkan kesan agar perbuatan itu dihentikan.

Walaupun sudah banyak kali dikritik oleh pemimpin pembangkang, tetapi tiada mana-mana pemimpin kerajaan yang berani bersuara. Kemarahan rakyat hanya dipandang enteng saja.

Muhyiddin Yassin yang didapati seperti melemparkan "madu beracun" sebaik percutian Najib ke Hawaii tersebar luas dengan berkata, "biarlah Perdana Menteri bercuti, dia pun manusia biasa juga", mungkin juga ketika ini turut bersetuju isteri Perdana Menteri berhak menggunakan jet rasmi kerajaan itu.

Barangkali jawapannya, "biarlah Rosmah menggunakannya, pengorbanannya amat besar kepada negara. Dia juga penyokong dan pendokong Najib dengan sepenuh hati selama ini. Lagi banyak jet digunakannya, tambah makmur negara kita".  (SH 30/12/2014)

Monday 29 December 2014

Jika Najib Ingin Terus Bertahan, Separuh Daripada Menteri Sedia Ada Perlu Segera Dibuang


Tindakan Perdana Menteri, Najib Razak mengarahkah semua menteri kabinet yang sedang bercuti agar segera pulang bagi membantu operasi menyelamat mangsa banjir adalah suatu episod malang bagi negara kita.

Sebagaimana kita ditimpa malang kerana musibah banjir, kehilangan pesawat MH370 dan MH17, memiliki menteri-menteri yang terpaksa diarahkan pulang bak "itik lupa pulang ke sarang" adalah juga suatu musibah malang.

Ia malang kerana realitinya kita mempunyai ramai pemimpin yang tidak sensitif terhadap rakyat dan lebih malang lagi mereka ini sebenarnya tidaklah sangat mengutamakan rakyat sebagaimana yang sering dilaung-laungkan di depan mikrofon, di hadapan kamera tv atau ketika bersama penyokong.

Ia secara langsung juga menggambarkan menteri-menteri yang sedang bercuti ini tidak memahami kedudukan mereka sebagai anggota pentadbiran adalah untuk berkhidmat kepada rakyat dan mendahulukan rakyat dalam semua perkara.

Seharusnya apabila telah mengetahui Najib sendiri sudah mengambil keputusan memendekkan percutiannya di Hawaii, semua menteri yang sedang bercuti ini lebih dahulu kembali ke tanahair dan memendekkan cuti masing-masing.

Malangnya, sama ada setelah mengetahui Najib sudah membuat keputusan memendekkan cutinya dan sesudah sekian lama Perdana Menteri berada di dalam negara melawat mangsa-mangsa banjir, masih tidak terlihat kelibat menteri-menteri ini yang dilaporkan sedang bercuti di London, Australia, New Zealand, Dubai dan China, turut mahu pulang.

Agaknya ketika rakyat sedang sengsara dan Najib sedang bersiap-siap untuk pulang atau ketika melawat mangsa banjir, menteri-menteri ini masih riang ketawa bersama keluarga dan rakan-rakan sama ada sambil membeli-belah atau menikmati hidangan yang mewah-mewah.

Setelah dua hari berada di dalam negara, mungkin setelah menyedari  hanya segelintir daripada mereka ada dalam negara, Najib akhirnya terpaksa mengeluarkan arahan agar mereka segera kembali dan memendekkan cuti masing-masing.

Tindakan mengarahkan mereka ini pulang pastinya memberi imej buruk kepada nilai kepimpinan yang ada dalam diri menteri-menteri terbabit. Seolah-olah mereka tidak boleh berfikir dan menilai sendiri keutamaan sebagai pemimpin.

Di kalangan yang sedang bercuti ini, di mana  sebahagian gambar-gambarnya sudah bersepah di media sosial, sama ada menteri terbabit, anak-anak atau rakan mereka memuat-naiknya dalam FB, Twitter atau Instagram, adalah merupakan menteri-menteri kanan serta yang "perasan" mereka adalah bakal Perdana Menteri di masa depan.

Di kalangan tiga menteri kanan yang berjawatan Naib Presiden UMNO iaitu Zahid Hamidi, Shafie Apdal dan Hishammudin yang kini sedang berebut untuk saling mendahului menghuni Seri Perdana atau Seri Satria, semuanya hilang, senyap dan sunyi tanpa sebarang berita.

Begitu juga dengan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai pelapis kedua calon bakal Perdana Menteri, turut hilang tanpa khabar berita sehingga poster kehilangannya turut bertaburan di media-media sosial.

Sebahagian menteri-menteri lain juga begitu, yang tinggal dalam negara ketika ini hanya beberapa kerat saja. Asyik-asyik muka menteri yang sama saja sedang bertungkus-lumus dengan mangsa banjir di pelbagai negeri ketika ini.

Dalam masa yang sama, Najib sendiri sedang merudum prestasinya dan di pertikai di mana-mana. Dengan pelbagai masalah dalam negara yang tidak berkesudahan, Najib kini berhadapan cabaran getir untuk mempertahankan kuasa UMNO dan BN berbekalkan hanya 47 peratus undi popular saja.

Dengan musibah banjir  melanda yang sekaligus memperlihatkan ramai menteri-menteri sedia ada seperti "tak reti bahasa" dalam sama-sama membantu menaikkan imej kerajaan dan BN, Najib kini tiada pilihan lain selain mengeluarkan sekurang-kurangnya separuh daripada menteri yang ada daripada kabinetnya jika ingin terus berkuasa.

Dalam keadaan sekarang, sudahlah Najib sendiri dalam kedudukan "parah"dan hampir "kehilangan nyawa", sebahagian menteri-menteri ini pula tidak membantu di saat kehadiran  mereka benar-benar diperlukan.

Mereka tidak sanggup atau masih keberatan untuk berkorban, walaupun sebagai pemimpin dan sepatutnya lebih "berakal" 
berbanding rakyat kebanyakan, membuat sesuatu keputusan bukanlah sukar bagi mereka.

Bersama dengan ramai menteri yang sudah menjadi kecaman ramai sebelum ini dan dianggap tidak layak mengemudi negara, musibah banjir besar ini menyerlahkan lagi sebahagian daripada mereka.

Hanya dengan membuang sekurang-kurangnya separuh daripada menteri yang ada dan menggantikannya dengan muka-muka baru yang lebih diyakini, barulah mungkin terserlah sedikit sinar untuk  Najib, UMNO dan BN terus mengekalkan kuasanya.

Jika tidak dan masih enggan membuang mereka, bersedialah untuk "gulung tikar" bersama menteri-menteri yang tak berguna itu. (SH 29/12/2014)

Sunday 28 December 2014

Bala Demi Bala Menimpa, Macam Ada Tak Kena Dengan Negara Kita...


Belum pun reda musibah banjir di Pantai Timur yang terus menggila sehingga Perdana Menteri, Najib Razak pulang tergesa-gesa dan mengarahkan menteri-menteri kabinet yang sedang bercuti agar turut kembali segera, negara kini dikejutkan lagi dengan kehilangan sebuah pesawat Kumpulan Air Asia yang membawa 155 penumpang.

Laporan terkini menyebut pesawat Air Asia Indonesia yang sedang dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura itu dipercayai telah terhempas di perairan Belitung Timur, berhampiran timur Sumatera kerana cuba mengelak ribut di angkasa.

Dengan kejadian terbaru ini, bertambah lagi duka rakyat negara kita. Jika dicampur dengan kehilangan pesawat MH370 yang masih belum dijumpai, MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine, diikuti banjir dan terbaru kehilangan pesawat Air Asia, bala yang menimpa negara kita seolah-olah satu demi satu dan tiada hentinya.

Mungkin ramai yang turut menyimpan perasaan dalam hati, selepas ini entah apa lagi musibah bakal menimpa kita.

Seolah-olah ada yang tidak kena dengan negara kita sekarang ini yang Tuhan ingin tunjukkan. Bala yang bertimpa-timpa ini bukan saja tidak pernah berlaku sebelum ini tetapi juga tidak banyak negara yang mengalaminya.

Apakah ini salah kepimpinan yang menerajui negara? Apakah juga salah menteri-menteri yang banyak diperkatakan dengan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa? Atau ianya salah kita sebagai rakyat biasa?

Apakah bala yang bertimpa ini kerana ada pemimpin yang melakukan dosa-dosa lampau yang dimurkai Tuhan? Adakah juga kerana berleluasanya amalan mungkar, syirik dan khurafat di kalangan pemimpin dan keluarga mereka?

Apakah juga ianya kerana kerakusan pemimpin yang ada kuasa, bukan saja menjual gunung dan menggondol balak sesuka hati, malah melelong agama yang sebenarnya bersalut keuntungan duniawi?

Tidak mungkinkah semua ini suatu isyarat ada pemimpin yang perlu berundur secara sukarela?

Hari ini, apabila Najib secara rasmi mengarahkan menteri-menteri yang sedang bercuti agar pulang segera, ia tentulah merupakan episod yang menyedihkan bagi kita semua. Sebagai pemimpin yang patutnya lebih berakal daripada kita, menteri-menteri ini seharusnya pulang lebih awal sebaik saja banjir mula melanda.

Yang belum pergi bercuti pula, seharusnya batalkan saja percutian mereka. Mereka tidak perlu diarah kembali dan memendekkan cuti macam budak-budak tadika. Jika tidak sanggup berkorban, lebih baiklah letak berundur saja dan tinggallah selama mana pun di luar negara yang disukai itu.

Tapi apakan daya, Najib sendiri pun tidak menunjukkan contoh yang baik dalam hal ini. Beliau sendiri pergi bercuti ke Hawaii ketika banjir sudah bermula. Hanya setelah beritanya bermain golf dengan Obama menjadi cercaan seluruh negara dan seantero dunia, barulah beliau pulang segera.

Kalau pun ada jadual bermain golf dengan Obama yang ditetapkan lebih awal, apakah tidak boleh ditangguhkan kerana musibah banjir yang berlaku ini? Obama pun tentunya tidak kecil hati jika Najib tidak jadi pergi ke Hawaii kerana sebagai pemimpin beliau sendiri memahami keperluan dalam negara adalah keutamaan kepada mana-mana pemimpin sekali pun.

Walaupun akhirnya Najib akur dengan kritikan dan kembali ke tanahair untuk menunjukkan rasa tanggungjawabnya kepada mangsa-mangsa banjir, kini berlaku pula kehilangan pesawat Air Asia. Seolah-olah ada sesuatu yang tersembunyi dari semua kejadian ini?

Selepas satu demi bala menimpa, ramai yang mula memikirkan apakah lagi bala Tuhan selepas ini. Mungkinkah bala yang lebih besar akan menggegar kita lagi?

Kepada yang bergelar pemimpin, yang ditangannya ada kuasa, mulailah mengkoreksi diri masing-masing mulai sekarang. Janganlah sekadar menyedapkan hati dengan berkata semua ini hanyalah ujian semata-mata. Fikirlah juga bahawa semua ini lebih mungkin suatu bala.

Periksalah salah atau betul, halal atau haram dalam tiindakan seharian bersama kuasa masing-masing. Apakah rakyat dan negara dijaga, Islam dipelihara atau diri sendiri lebih diutama? (SH 28/12/2014)

Friday 26 December 2014

Tahniah Najib Kerana Mendengar Jeritan Pengkritik, Sekaligus Mengesahkan Suara Pengampu Adalah 'Bangang'


Perdana Menteri, Najib Razak yang dikritik keras dalam portal berita, blog dan media sosial bebas berikutan didapati bermain golf bersama Presiden Amerika, Barack Obama di Hawaii di ketika banjir paling buruk melanda negeri-negeri pantai timur, akhirnya memutuskan untuk segera kembali ke tanahair hari ini.

Melalui kenyataan rasmi yang dikeluarkan sebentar tadi, Najib membuat keputusan segera pulang ke tanahair dan memendekkan percutiannya adalah untuk meninjau sendiri keadaan banjir, terutamanya di Kelantan.

Selain menemui mangsa yang terjejas teruk akibat banjir, Najib juga akan menemui pihak yang bertanggungjawab berkaitan banjir untuk merangka tindakan-tindakan terbaru seperti Majlis Keselamatan Negara, Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana, kerajaan negeri serta pihak-pihak lain yang difikirkan perlu.

Perdana Menteri dilaporkan ingin menyelia sendiri tindakan kecemasan yang diakibatkan oleh banjir selepas ini.

Keputusan Najib segera pulang ini tidak lain ialah kerana mendengar jeritan-jeritan pengkritik di pelbagai medium internet seperti portal, blog dan media sosial yang mengkritik keras tindakannya bercuti  sambil bermain golf itu.

Pengkritik juga bersuara di ruangan komen Facebook Najib yang turut memintanya pulang segera kerana banjir makin buruk serta yang terburuk sejak beberapa tahun. Mereka mengatakan tidak wajar seorang Perdana Menteri berada di Hawaii sedangkan di dalam negerinya sendiri dilanda bencana.

Namun demikian, di sebalik kritikan itu, terdengar juga suara-suara pengampu, pembodek dan macai yang tetap mewajarkan percutian Najib, termasuk bermain golf bersama Obama itu.

Bermacam-macam hujah lekeh dilambung untuk membiarkan Najib terus leka dan khayal dengan cutinya serta membelakangkan kepentingan rakyat yang sedang susah dan sengsara.

Antara hujah yang digunakan oleh pembodek dan pengampu ialah "biarlah Najib bercuti, dia pun manusia biasa", "urusan bermain golf dengan Obama sudah dirancang enam bulan lalu", "apa Najib boleh buat kalau balik pun, bukannya hujan boleh berhenti dan air surut", "banyak perbincangan untuk kepentingan negara telah dilakukan sambil bermain golf bersama Obama", "takkan semua kerja Perdana Menteri nak buat" dan macam-macam lagi.

Pengampu dan pembodek ini seolah-olah tidak mahu berpihak di bumi nyata bahawa kehadiran secara nyata seorang Perdana Menteri yang mempunyai banyak kuasa meluluskan bajet kecemasan dan mengarahkan pelbagai perkara, adalah amat penting di kala musibah besar sedang melanda.

Lagi pula, dengan kehadiran Perdana Menteri bersama-sama dengan mangsa banjir, berbanding berada di Hawaii, lebih menunjukkan keprihatinannya sebagai pemimpin utama negara.

Lainlah jika keadaan normal, tiada siapa pun yang mempertikaikan percutian Perdana Menteri.

Dengan kesediaan Najib mendengar jeritan pengkritik yang ikhlas lagi jujur yang mahukannya segera berada di dalam negara, blog ini ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Perdana Menteri kerana mengambil tindakan paling betul dalam hidupnya. 

Kepada pengkritik dan penegur yang tidak jemu-jemu bersuara juga diucapkan setinggi-tinggi tahniah kerana keberanian bersuara itulah yang akhirnya menyebabkan Najib segera kembali. Tanpa kritikan dan teguran, Najib mungkin masih terus berada di Hawaii sehingga awal tahun 2015 nanti.

Dalam hal ini, benarlah kata bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad bahawa teguran dan kritikanlah yang boleh membuatkan seseorang pemimpin itu tahu sama ada tindakannya betul atau pun salah.

Syabas dan tahniah juga kepada Najib kerana mengabai dan tidak mendengar sama-sekali suara pengampu, pembodek dan macai, juga di media rasmi dan internet, yang hanya menyokong secara membuta tuli dan mengiyakan saja semua tindakan seorang Perdana Menteri.

Secara tidak langsung, Najib juga kian menyedari bahawa suara pengampu dan pembodek sekadar ingin mengkhayal dan melekakannya saja, bukan membawanya ke arah yang lebih baik sebagai pemimpin.

Sebagaimana yang disebut oleh Najib sendiri dalam Perhimpunan Agung UMNO lalu bahawa blogger pro UMNO ini sebagai golongan "bangang", hari ini beliau nampaknya sekali lagi mengesahkan hakikat tersebut. (SH 26/12/2014)

Najib, Pelancong Paling Murung di Pulau Hawaii...


Ketika semua orang bergembira dan berwajah cerita ketika berada di Hawaii, Perdana Menteri, Najib Razak mungkin menjadi orang paling murung dan kacau jiwanya di pulau peranginan itu waktu ini.

Pemergiannya bercuti yang agak rahsia itu hanya terdedah apabila The Washington Post menyiarkan berita beliau bermain golf bersama Presiden Amerika, Barack Obama.

Berita itu yang disiarkan ketika banjir paling buruk melanda negeri-negeri pantai timur akhirnya bertukar menjadi serangan yang menyakitkan dalam percutian seorang Perdana Menteri.

Selain ramainya yang memintanya agar balik segera, yang lain pula mempertikaikan kewajarannya meneruskan percutian di kala bencana dan musibah melanda manakala rakyat diulit derita dan sengsara.

Memang agak malang apabila seorang Perdana Menteri tiada dalam negara ketika banjir sedang melanda. Walaupun kehadirannya tidak mungkin menyebabkan hujan dan banjir surut tiba-tiba, tetapi dalam kes banjir yang terburuk dan luar biasa ini, kehadiran Perdana Menteri bersama-sama rakyat memberi nilai yang sangat bermakna sebenarnya.

Ia bukan saja menunjukkan keprihatinan tetapi kehadiran Najib dengan kuasanya sebagai Perdana Menteri mampu menyelesaikan banyak perkara. Lagi pula, dengan adanya Perdana Menteri turun padang bersama, orang lain boleh berfikir lebih cergas untuk menyelesaikan masalah bersama-sama.

Sebab itu, ramai pemimpin dunia bersama rakyat ketika bencana. Obama sendiri kerap bersama rakyatnya dan tidak ke mana-mana ketika ribut taufan melanda negaranya. Presiden Korea Selatan juga membatalkan semua lawatannya ke luar negara apabila musibah feri karam berlaku baru-baru ini.

Najib sendiri, ketika musibah MH370 dan MH17 turut kerap menghabiskan masa dengan keluarga mangsa. Nilai kehadiran pemimpin bersama rakyat yang sedang derita tentulah tidak sukar untuk difahami oleh Najib sebenarnya.

Soalnya, kenapa masih tidak pulang juga? Buat apa berada di Hawaii lagi? Obama yang dirindui juga sudah ditemui?

Apakah gambar-gambar dan berita sedih mengenai banjir masih tidak mampu menggamit jiwanya untuk pulang segera?

Untuk apa terus berada di Hawaii jika berwajah murung kerana pulau itu lebih sesuai untuk bergembira?

Meskipun Najib melalui Facebook dan Twiiternya mengatakan sudah mengarahkan Muhyiddin Yassin menguruskan segala hal mengenai banjir dan Timbalan Perdana Menteri juga menyatakan beliau akan mengambil alih segala urusan mengenai banjir ini dengan sebaik mungkin, semua ini bagaikan masih tidak memadai.

Jika rakyat tidak meluahkan kemarahan di media-media sosial dan percutian rahsia Najib tidak terdedah, mungkin Najib masih leka dengan cutinya ketika ini dan Muhyiddin pula tidak segera kembali ke tanahair.

Sebagai tanda prihatinnya, malam tadi Najib menyiarkan gambarnya sedang bercakap melalui telefon dengan Muhyiddin di Facebook dan Twitter miliknya. Wajah Najib nyata sedih, murung dan dukacita berbincang mengenai banjir dengan timbalannya itu.

Namun, di sebalik wajahnya sedihnya itu, masih ramai lagi yang mahukannya pulang ke tanahair segera.

Daripada berwajah murung, sedih dan dukacita di Hawaii sedangkan semua orang lain berwajah ceria, adalah lebih baik Najib membuat keputusan pulang segera ke tanahair. Belum terlambat untuk berbuat demikian kerana banjir bukan saja dijangka terus buruk di Pantai Timur, mengikut laporan Jabatan Kajicuaca pula, hujan lebih lebat dijangka melanda pula bahagian selatan negara dalam tempoh beberapa hari lagi.

Selain banjir di pantai timur adalah yang terburuk, beberapa kawasan termasuk ibukota juga turut dilanda banjir kilat kerana hujan tidak berhenti-henti sejak beberapa hari lalu.

Tiada pilihan lain buat Najib selain pulang segera. Menteri-menteri yang sedang bercuti dan sibuk membeli-belah juga seharusnya dikerahkan kembali. Inilah masanya pemimpin yang ada kuasa bersama kakitangan polis, tentera, bomba dan pelbagai agensi penyelamat lainnya yang turut tidak bercuti, turun ke lapangan membantu rakyat jelata. (SH 26/12/2014)

Daripada berwajah murung di pulau keriangan Hawaii, bukankah lebih baik balik saja...

Thursday 25 December 2014

Yesss...Inilah PM TERBAIK Untuk Malaysia!!


Ketika rakyat di Kelantan, Terengganu dan Pahang didakap sengsara akibat banjir yang dianggap paling buruk kali ini dan ramai pula yang tertanya-tanya di mana Perdana Menteri, Najib Razak dalam detik sengsara ini, The Washington Post akhirnya tampil memberikan jawapan yang kita tunggu-tunggu.

Dalam laporannya, ia melaporkan Najib kini sedang bercuti di Hawaii dan turut bermain golf dengan santai dan riang bersama Presiden Amerika, Barack Obama.

Sebagaimana tahun lalu, terbukti sekali lagi Najib bercuti  ke luar negara ketika musim sambutan Krismas sedang berlangsung. Sebagaimana tahun lalu juga, percutiannya kali ini mungkin sehingga sambutan tahun baru 2015 nanti.

Kesanggupan Najib bercuti di Hawaii, bergembira dan bermain golf dengan Obama ketika rakyat di Pantai Timur sedang menderita kesejukan, kelaparan dan mengalami kemusnahan harta-benda, tidak lain membuktikan beliaulah Perdana Menteri TERBAIK untuk negara ini.

Lupakanlah untuk menukar Perdana Menteri dengan Muhyiddin Yassin, Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein, Anwar Ibrahim atau sesiapa saja dan lupakanlah juga kehebatan Mahathir Mohamad membangunkan negara ini selama 22 tahun pemerintahannya kerana semuanya tidak terlawan dengan kehebatan Najib yang baru enam tahun dengan kuasanya.

Najib bukan saja hebat dengan kejayaan meningkatkan hutang negara, menghapuskan subsidi minyak dan gula, memansuhkan pelbagai akta, bangga dengan ungkapan haramjadah dan bangangnya, bermewah serta membazir harta negara dan banyak lagi yang jumlahnya tak terkira, tetapi juga hebat dari segi kekentalan jiwa kerana tidak peduli dengan rakyat yang derita.

Tiada mana-mana Perdana Menteri sebelum ini yang ketika negara ditimpa bencana besar seperti banjir yang sedang melanda ketika ini, namun masih sanggup bercuti di Hawaii dan bermain golf dengan Obama yang menjadi idolanya.

Bagi manusia bernama Najib ini, kepentingan dirinyalah yang lebih utama daripada segala-galanya. Ketika beliau mula bercuti, banjir baru saja bermula dan tidak terdetik pun di hati kecilnya mahu menangguhkan percutiannya. Semasa di Hawaii pula, sudah tentu beliau diberi khabar oleh para pegawai dan macainya tentang banjir yang semakin buruk, tetapi tetap tidak sedia memendekkan pemergiannya.

Cuti dan agenda peribadi tetap lebih penting biar apa pun yang sedang berlaku dalam negara. Maka, inilah Perdana Menteri TERBAIK untuk kita semua.

UMNO dan 47 peratus pengundi yang memilih BN seharusnya amat berbangga mempunyai pemimpin seperti Najib ini. Mereka bolehlah terus mempertahan dan mengagungkannya walaupun ramai yang sudah kehilangan kata-kata apabila melihatnya bergembira dan bertepuk bahu sambil bermain golf dengan Obama.

Walaupun banjir terus menggila, Najib tidak perlu pulang segera. Teruslah bercuti di Hawaii dan Amerika. Sehari dua selepas ini postinglah gambar dalam FB atau Twitter ketika syok membeli-belah bersama Rosmah pula. 

Yesss...sekali lagi inilah Perdana Menteri TERBAIK untuk Malaysia. Hentikanlah usaha mahu menukar, menjatuh dan menggulingkannya, sebaliknya kekalkanlah Najib di Seri Perdana sampai bila-bila.  ( SH 25/12/2014)

Gambar-gambar ketika Najib  bergembira di Hawaii dan suasana yang kita boleh bayangkan deritanya di Pantai Timur..








Wednesday 24 December 2014

Pemimpin Yang Lebih Utamakan Cuti Daripada Banjir Semoganya Dilaknat Allah Dan Kalah Pilihanraya


Keadaan banjir di beberapa negeri ketika ini semakin buruk. Di Kelantan, Terengganu dan Pahang, banjir terus bertambah buruk dan jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan juga semakin bertambah.

Beberapa kawasan sudah ditenggelami air, aktiviti harian lumpuh, jalan terputus dan ada jalan utama juga turut runtuh akibat hujan yang berterusan sejak beberapa hari lalu. Ada juga laporan mengatakan hubungan darat Kelantan telah terputus dengan negeri-negeri lain.

Melihat keadaan hujan yang masih mencurah dengan lebat, adalah dijangka banjir yang disifatkan antara yang terburuk ini akan terus melanda untuk beberapa lama lagi. Tidak mustahil juga ia akan berlarutan sehingga awal tahun baru 2015 nanti.

Di Perak dan Perlis pula, beberapa kawasan turut mulai dilanda banjir dan angka mangsa yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemulihan juga terus bertambah.

Meskipun bantuan dari segi makanan, keperluan harian dan usaha memindahkan mangsa terus giat dijalankan oleh pelbagai agensi kerajaan, tetapi amat malang kehadiran pemimpin meninjau ke tempat banjir agak mengecewakan kali ini.

Selain pemimpin peringkat negeri yang tentunya bertungkus-lumus membantu mangsa di kawasan masing-masing, kehadiran pemimpin Pusat  ke negeri-negeri yang dilanda banjir nyata agak mengecewakan.

Tiada kelibat Perdana Menteri, Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, menteri-menteri kanan seperti Zahid Hamidi, Hishammuddin, Shafie Apdal, Ahmad Maslan dan lain-lainnya. Jika bercakap berkaitan isu politik dan mengampu pemimpin, begitu ramai yang berebut-rebut mahu ke depan, namun di mana mereka ketika rakyat derita ini?

Yang nampak hanyalah beberapa kerat pemimpin seperti Shahidan Kassim, Shahrizat Jalil, Abdul Azeez Rahim, Mustapha Mohamad dan Ahmad Shabery Cheek saja. Pemimpin sayap Pemuda dan Puteri juga hampir tidak kelihatan sama.

Ke manakah pemimpin-pemimpin sihat dan segar-bugar ini menghilang? Muhyiddin sudah lebih seminggu tak kelihatan dan dipercayai sedang bercuti di luar negara ketika ini. Najib juga dipercayai baru berlepas bercuti ke luar negara dua hari lalu setelah meluangkan sedikit waktu melawat mangsa banjir di Pahang.

Majoriti pemimpin lain dipercayai turut bercuti di luar negara ketika ini. Ada yang bercuti sebelum banjir melanda dan ada pula yang berlepas setelah banjir itu menggila. Najib sendiri pergi bercuti setelah mengetahui banjir kian bertambah buruk dan ini merupakan percutian keduanya dalam tempoh tidak sampai lima bulan di mana pada Hari Raya Aidilfitri lalu beliau juga bercuti ke beberapa bandar di Eropah.

Soalnya, apakah perasaan pemimpin yang sedang bercuti ini sedangkan mereka mengetahui ada rakyat yang sedang sengsara dan sesetengahnya berjuang antara hidup dan mati menyelamatkan nyawa dan harta benda akibat banjir?

Apakah bercuti dan berehat di luar negara terlalu penting sehingga ianya tidak boleh ditangguhkan langsung? Atau kalau sedang bercuti, tidak bolehkah pulang segera dan menunjukkan keprihatinan sebagai pemimpin kepada rakyat?

Sekadar meminta mangsa bersabar dan berdoa dengan keadaan banjir yang kian buruk sedangkan mereka berada di luar negara, mungkin riang gembira dan ketawa bermain salji, bukan saja tidak memadai tetapi jelas memperlihatkan perlakuan paling buruk sebagai pemimpin.

Inilah masanya mereka yang bergelar pemimpin perlu bersikap jujur dan mengutamakan rakyat. Berehat, bercuti, membeli-belah dan bemain salji di luar negara yang lebih penting atau nasib rakyat yang lebih utama?

Kepada pemimpin yang tiada perasaan, tidak prihatin dan lebih mengutamakan diri sendiri dengan tidak sanggup menangguh atau memendekkan percutian mereka  di ketika rakyat sedang sengsara ini, eloklah kita juga mendoakan agar mereka itu dilaknat Allah, kalah dalam pilihanraya akan datang dan tidak lagi bergelar pemimpin. (SH 24/12/2014)

Tuesday 23 December 2014

Hudud Dan Banjir, Ada Baiknya Pas Batalkan Sidang Khas DUN Kelantan Pada 29 Disember Ini


Semakin hampir menjelang tarikh 29 Disember di mana DUN Kelantan dijangka akan mengadakan sidang khas untuk membentangkan undang-undang hudud, Pas sendiri mula menampakkan kedudukannya yang tidak sekata dalam hal itu.

Mengikut perancangannya,  selepas diluluskan di DUN Kelantan, Pas kemudian akan membawa usul persendirian pula di Parlimen pada Januari tahun depan bagi membolehkan undang-undang Islam itu dilaksanakan di negeri yang telah ditadbir Pas sejak 1990 lagi.

Sementara Pas Kelantan melalui Menteri Besar, Ahmad Yaakob dan timbalannya, Nik Amar Abdullah begitu bersungguh-sungguh dan yakin untuk terus dengan perancangan mereka mahu melaksanakan hudud, halangan kini bukan lagi daripada rakan-rakan dalam PR, terutama yang bukan Islam, sebaliknya daripada Pas Pusat sendiri.

Jika DAP tidak bersetuju dengan hudud kerana menganggap ianya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan PKR pula menyatakan ianya bukanlah dasar yang dipersetujui bersama, Pas pula hari ini berkata, jawatankuasa pusat parti itu tidak pernah bersetuju dengan hasrat mahu membawa usul persendirian berkaitan hudud ke Parlimen.

Sebaliknya, Pas Pusat dikatakan hanya bersetuju berkenaan penubuhan jawatankuasa teknikal bersama kerajaan Pusat yang ditunjangi oleh UMNO sahaja.

Perkara tersebut diakui oleh Dr Mujahid Yusof Rawa, Dr Hatta Ramli dan seorang lagi AJK Pas Pusat yang enggan disebut namanya.

Seorang lagi AJK Pas, Khalid Samad turut mengakui bahawa Pas Kelantan tidak pernah merujuk atau membincangkan mengenai enakmen hudud dengan Pas Pusat.

Dalam perkembangan lain, Ketua Penerangan Pas, Mahfuz Omar pula memberitahu, Pas Pusat tidak pernah diberi taklimat oleh Pas Kelantan berhubung pindaan enakmen syariah itu.

Sehubungan itu, katanya, Pas Pusat tidak mengetahui kandungan pindaan yang bakal dibentangkan nanti serta berharap suatu taklimat berkaitan dengannya akan dibuat.

Mahfuz juga mengakui Pas Kelantan turut tidak pernah mengadakan sebarang pertemuan dengan parti-parti dalam PR berhubung perlaksanaan undang-undang hudud itu.

Melihat semua perkembangan ini, apakah Pas Kelantan hanya bertindak bersendirian, bukan sekadar membelakangkan PR tetapi juga menidakkan kewujudan Pas Pusat dalam keghairahan mahu melaksanakan hudud di negeri itu? Mungkinkah lebih ramai dalam Pas Pusat turut tidak setuju dengan hudud?

Jika demikian, apakah tujuan Pas Kelantan bermati-matian mahu melaksanakan hudud itu?

Apakah hudud begitu penting kepada perjuangan Pas Kelantan sekarang? Kenapa sejak tahun 1990 iaitu sudah hampir 25 tahun mentadbir Kelantan, hanya ketika ini kesungguhan itu ternampak bagai tidak boleh ditolak-ansur langsung sedangkan sebelum ini hudud juga pernah "ditidurkan" dan digantikan dengan negara kebajikan?

Ternyata kini hudud bukan saja menjadi masalah sesama rakan dalam PR, tetapi juga dalam Pas sendiri. Wajarkah Pas Kelantan terus berkeras mahu juga mengadakan sidang khas DUN pada 29 Disember ini dan kemudian membentangkan usul persendirian di Parlimen?

Memanglah kita memahami hudud merupakan perjuangan Pas dan menjadi impian mereka menegakkannya di bumi Allah ini. Namun Pas perlu juga bijaksana dan melihat realiti yang ada dalam negara di sebalik keinginan mahu melaksanakan undang-undang itu.

Oleh kerana mereka masih berada dalam PR dan berkali-kali menyatakan ingin terus kekal dalam gabungan itu, khususnya bagi membawa perubahan sebagaimana yang dikehendaki rakyat dalam pilihanraya akan datang, bertindak secara keras hati dan tidak membincangkannya dengan bersungguh-sungguh dengan rakan sendiri, bukanlah langkah yang bijaksana bagi Pas Kelantan, apatah lagi mengeluarkan kenyataan meminta sesiapa yang tidak bersetuju dengan hudud agar meninggalkan PR.

Jika benar seperti dakwaan Mahfuz bahawa Pas Pusat dan rakan-rakan dalam PR tidak pernah diberi taklimat mengenainya, tentulah ini merupakan sesuatu yang malang sekali.

Yang perlu difahami juga, hudud tidak mungkin menjadi kenyataan selagi Perlembagaan Persekutuan tidak dipinda, terutama berkaitan beberapa agensi penguatkuasaan seperti polis dan sebagainya yang berada di bawah kawalan Kerajaan Pusat.

Anwar Ibrahim pernah berkata, hudud  di Kelantan akan menimbulkan banyak masalah seperti siapa yang mahu menangkap dan membawa pesalah ke mahkamah sekiranya Perlembagaan tidak dipinda terlebih dahulu.

Walaupun UMNO dan Kerajaan Pusat menawarkan diri dalam jawatankuasa teknikal yang difahamkan sudah banyak kali bermesyuarat, sama ada Ahli-Ahli Parlimen UMNO akan menyokong atau tidak usul persendirian itu juga masih tidak diketahui.

Mahukah UMNO menyokong usul itu sedangkan mereka masih mengemis undi bukan Melayu melalui MCA, Gerakan dan MIC?

Dengan hanya lulus di peringkat DUN Kelantan tetapi tidak berjaya di Parlimen, hudud akhirnya tidak ke mana juga? Atau apakah memang itu yang dimahukan oleh Pas Kelantan bagi membuktikan UMNO menolak undang-undang Islam?

Jika itu, maknanya hudud hanyalah alat politik semata-mata?

Dalam keadaan sekarang, terutama banjir yang kian buruk di Kelantan ketika ini, ada baiknya Pas membatalkan saja sidang khas pada 29 Disember ini dan menumpukan kepada usaha-usaha membantu mangsa-mangsa yang kian bertambah jumlahnya.

Tangguhkanlah hudud dan selesaikan banyak perkara yang lebih penting terlebih dahulu.  Lihatlah kepada realiti dan bersikap praktikal dalam soal ini.  Lagi pula, berkeras mengadakan sidang DUN di ketika banjir kian memburuk dan rakyatnya berjuang antara hidup dan mati, pasti akan memburukkan lagi imej Pas sebagai parti Islam.

Tidak perlu Pas Kelantan tergesa-gesa dan seolah-olah tiada esok kerana Allah pun tidak pernah meletakkan "dateline" bahawa hudud mesti dilaksanakan sebelum PRU 14 ini. (SH 23/12/2014)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...