Friday 30 June 2017
BERANIKAH KETUA PENERANGAN PAS MENYAHUT CABARAN?
TIDAK MALUKAH MEMBELA PERKARA2 MUNGKAR?
Membangkitkan isu laporan Jabatan Keadilan Amerika (DOJ) berkaitan penggubahan wang haram dari aliran akaun 1MDB dan dikait dengan perbelanjaan kepada individu tertentu yang dinamakan MO1 dan isteri MO1 sebagai campur tangan asing adalah suatu yang sangat memalukan.
Komen-komen dari pemimpin parti UmnoBN serta segelintir pemimpin pembangkang termasuk PAS serta berapa orang mufti adalah dilihat sebagai percubaan untuk mensucikan pelaku jenayah penggubahan wang haram di Amerika.
Terang-terang dokumen saman yang difailkan oleh DOJ di US District Court For The Central District of California adalah bertujuan untuk menyita dan mendapatkan kembali hasil penyelewengan yang berjumlah USD540 juta (bersamaan dengan RM2.3 bilion) dalam bentuk aset-aset yang dipercayai dibeli menggunakan wang yang diselewengkan dari akaun 1MDB yang keseluruhannya telah menjangkau sebanyak USD1.7 bilion (bersamaan dengan RM7.3 bilion).
DOJ bertindak memfailkan kes tersebut di mahkamah Amerika Syarikat setelah siasatan mendapati wang yang 'dirompak' dari 1MDB tersebut telah digunakan untuk transaksi-transaksi di Amerika Syarikat dimana ianya jelas membabitkan perbuatan pengubahan wang haram (money laundering) yang menjadi kesalahan di Amerika Syarikat serta di seluruh dunia.
Malaysia juga tidak terkecuali kerana Malaysia mempunyai undang-undang bagi mencegah penggubahan wang haram iaitu Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Keganasan 2001 akta 613 atau lebih di kenali sebagai AMLATFAPUAA seperti di Amerika Syarikat.
Justeru, apa yang diseret dan dipalitkan nama-namanya seperti MO1 oleh DOJ adalah pelaku jenayah penggubahan wang haram tersebut.
Hasil siasatan DOJ mendapati wang tersebut adalah aliran dari akaun 1MDB. Dapatan hasil siasatan DOJ juga mendapati wang tersebut telah mengalir kembali kepada individu seperti MO1 dan isteri MO1 dalam bentuk tunai dan juga dalam bentuk permata berlian.
Persoalannya, apakah menjadi suatu kesalahan pihak berkuasa Amerika Syarikat untuk mengambil tindakan keatas pelaku jenayah penggubahan wang haram di Amerika walaupun ianya adalah rakyat Malaysia?
Apakah Malaysia akan melindungi pelaku jenayah penggubahan wang haram dari kalangan rakyat Amerika Syarikat andainya mereka lakukan aktiviti sedemikian di Malaysia?
Adakah peguam negara dan para mufti serta ulamak parti politik akan mengguna hujah yang sama iaitu tidak mahu dituduh sebagai mencampuri urusan negara asing walau pun kesalahan itu dilakukan di Malaysia.
Apakah perlu Peguam Negara, para Mufti dan PAS bangkit bagi mencadangkan pemansuhan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Keganasan 2001 yang telah sedia diwartakan?
DOJ tidak mendakwa 1MDB kerana 1MDB adalah mangsa penjenayah penggubahan wang haram. Apa yang diambil kira oleh DOJ ialah untuk mengheret perompak, penyamun, penyangak dan penjenayah penggubahan wang haram ke muka pengadilan.
Sekiranya mahkamah di Amerika membenarkan permohonan DOJ tersebut, maka sudah tentu harta yang dibeli dengan menggunakan wang 1MDB tersebut akan dirampas dan dicairkan dalam bentuk tunai untuk diserahkan kembali kepada 1MDB yang merupakan syarikat milik rakyat dan negara Malaysia.
Rakyat amat berharap agar sesuatu perlu dilakukan di negara kita Malaysia untuk mengheret mereka yang terlibat dan bersubahat dalam kes 'pencurian mega' wang 1MDB yang menyebabkan aktiviti penggubahan wang haram tersebut dilakukan oleh individu seperti disebut dalam laporan DOJ.
Amerika Syarikat mahupun pihak asing lain tidak mencampuri urusan perundangan Malaysia dan jangan pula Malaysia dilihat dunia sebagai mencampuri urusan proses perundangan di Amerika Syarikat oleh DOJ semata-mata untuk 'mensucikan penjenayah' yang telah merosakkan nama baik Malaysia dimata dunia.
Sesuatu yang sangat pelik bilamana dapatan siasatan pihak berkuasa Amerika Syarikat menemui kes penggubahan wang haram dari dana 1MDB yang dikitar di Amerika Syarikat kemudiannya dikembalikan semula ke Malaysia untuk MO1 dan isteri MO1, tiba-tiba Jabatan Peguam Negara Malaysia tampil untuk menjadi 'hero' dengan mengeluarkan kenyataan berbunyi "tiada berlaku apa-apa kes kecurian dalam 1MDB" dan begitu juga dengan golongan agamawan dengan kenyataan yang berbunyi "jangan biar campur tangan asing dalam kes 1MDB".
Dengan kenyataan-kenyataan yang sedemikian rupa pastinya PM Najib Razak, MO1 dan isteri MO1 tersenyum lebar hingga ke telinga melihat agamawan yang sungguh menawan sedangkan rakyat Malaysia sedikit pun tidak tertawan dengan kenyataan yang seolah untuk memperbodohkan rakyat Malaysia yang bijak bistari.
Dato' Hj Mahfuz Hj Omar
Ahli Parlimen Pokok Sena
30 Jun 2017/06 Syawal 1438H
Ulasan Blog - Lagi banyak pihak-pihak yang ingin mempertahankan Najib Razak mengeluarkan kenyataan berkaitan DOJ, tidak kira mereka itu daripada UMNO, Pas, agamawan, NGO atau sesiapa saja, ia sebenarnya lagi memalukan diri mereka sendiri.
Apa pun hujah dan alasan yang mereka gunakan, ia tidak lain untuk membela dan mempertahankan kecurian wang yang telah hilang. Sementara mereka menolak canpurtangan asing, tindakan mempertikaikan DOJ juga suatu percubaan mencampuri undang-undang negara tersebut, meskipun sebenarnya tindakan itu untuk kebaikan dan akhirnya memberi faedah kepada negara kira.
Mereka fikir dengan kenyataan sedemikian rupa, rakyat akan terpedaya dan terus mengekalkan Najib untuk terus berkuasa. Seronok benar nampaknya mereka dapat membela dan mempertahankan Najib.
Walaupun sudah disebut banyak kali, mereka sengaja buat-buat lupa bahawa kesimpulahnya jika Najib, UMNO dan BN terus berkuasa, kemungkinannya lagi banyak skandal dan kecurian akan terus berleluasa.
Tidak saja Najib yang akan tersenyum gembira, malah Jho Low tentunya yang paling suka hingga senyum sampai ke telinga. Tidak saja aktivitinya mendalangi skandal 1MDB bagaikan dibela, bahkan rambu-rambanya dengan arak, berjudi di kasino, berhibur dengan artis Hollywood dan memberi hadiah jutaan ringgit kepada selebriti antarabangsa selama ini juga turut mendapat pembelaan daripada pejuang-pejuang bangsa dan agamawan yang sama.
Tidak ada rasa malukah dalam diri mereka itu kerana secara terbuka membela perkara yang terang-terang mungkar dan berdosa? (ShahbudinHusin 30/06/2017)
Thursday 29 June 2017
EHHH....SIAPA YANG PANIK?
BURUAN MEDIA YANG MEMALUKAN MALAYSIA
Wednesday 28 June 2017
ALAHAI PAS....
SIAPA APANDI ALI? BUKANKAH BELIAU JUGA PEGUAM NEGARA YANG BERSIFAT POLITIK?
Tuesday 27 June 2017
41 BILIK PRESIDENTIAL SUITES DI BALI, SIAPAKAH LAGI YANG IKUT BERCUTI BERSAMA DENGAN NAJIB?
Setelah terdedah percutian lima hari Najib Razak dan keluarganya di Bali bermula bermula 2 Syawal yang lalu, persoalan terbaru yang kini timbul ialah siapakah yang turut bercuti bersama dengannya?
Menurut laporan media Indonesia, Metronews.com, Najib yang menginap di Hotel St. Regis akan tinggal bilik yang sama yang pernah ditempah oleh Raja Salman dari Arab Saudi ketika bercuti di Bali pada Mac yang lalu.
Bilik tersebut dikira mewah kerana bertaraf Presidential Suites.
Menurut media tersebut lagi, rombongan Najib sebenarnya menempah 41 bilik yang kesemunya bertaraf Presidential Suites sepanjang percutiannya selama lima hari di Bali itu.
Dilaporkan juga, dalam percutian itu Najib turut disertai oleh enam anak-anaknya.
Jumlah ini tentunya termasuk anak Najib dan Rosmah daripada perkahwinan mereka yang terdahulu kerana hasil perkahwinan Najib dengan Rosmah, mereka hanya mempunyai dua orang anak saja.
Soalnya, siapa lagi yang ikut serta dalam percutian tersebut?
Jika mereka itu termasuk ahli keluarga yang lain, pegawai-pegawai dari Pejabat Perdana Menteri atau rakan-rakan Najib, mengapa kesemuanya menginap di bilik bertaraf Presidential Suites?
Siapakah yang akan membayar semua kos bilik mewah untuk percutian itu dan berapa jumlah keseluruhannya?
Jika menggunakan dana kerajaan, apakah semua ahli keluarga, pegawai-pegawai dan rakan-rakan Najib mempunyai kelayakan menginap di bilik bertaraf Presidential Suites?
Selain itu, timbul juga persoalan sama ada St Regis Bali turut dimiliki oleh Peter Sondakh yang diketahui memiliki Hotel St Regis di Langkawi.
Peter Sondakh adalah pemilik Eagle High Plantation yang 37 peratus sahamnya baru-baru ini dibeli oleh Felda dengan harga AS$505 juta atau lebih RM2,200 juta.
Pembelian itu mendapat kritikan ramai, bukan saja kerana hubungan akrab Najib dengan Peter Sondakh, tetapi juga kerana harganya yang dikira tinggi berbanding nilai pasaran semasa serta dianggap tidak memberi banyak manfaat kepada peneroka Felda.
Jika Hotel St. Regis Bali turut dipunyai oleh Peter Sondakh, mungkinkah percutian Najib kali ini mendapat tajaan sepenuhnya daripada ahli perniagaan terkenal Indonesia itu? (ShahbudinHusin 27/06/2017)
ISTERI MO1 AKAN SEGERA MERAIH SANJUNGAN DUNIA KIRANYA....
Kalau ikut logik Pengarah Komunikasi Strategik BN, Abdul Rahman Dahlan yang mengatakan "Malaysian Official 1" adalah Najib Razak dan hanya orang bodoh saja tidak mengetahui fakta tersebut, bermakna "isteri MO1" sudah tentulah Rosmah Mansor.
Ikut logik yang sama, hanya orang bodoh saja yang berani mengatakan "isteri MO1" bukan Rosmah, satu-satunya suri yang ada dalam hati Perdana Menteri.
Ikut logik berdasarkan nama pula, Leonardo Dicaprio, seorang artis Hollywood dan Miranda Kerr, model antarabangsa kelahiran Australia, sudah pasti bukan beragama Islam.
Malah, dalam kehidupan sehari-hari, kedua-dua selebriti tersebut juga tidak mungkin mengamalkan cara hidup Islam.
Namun, kejujuran dan intergiti mereka cukup tinggi serta boleh disanjung setulus hati apabila mengetahui hadiah yang mereka terima berasal dari sumber yang haram dan sedang disiasat oleh DOJ, pihak berkuasa undang-undang di Amerika Syarikat.
Dicaprio, sebaik mengetahui hadiah Oscar yang dimenangi Marlon Brando yang dihadiahkan kepadanya adalah berpunca daripada penggubahan wang haram 1MDB, dengan pantas memulangkan semula trofi tersebut.
Beliau yang pernah berlakon di bawah produksi Red Granite milik Riza Aziz, anak tiri Najib yang harta-hartanya turut menjadi sasaran DOJ untuk disita, dirampas dan dikembalikan kepada Malaysia, juga berjanji untuk memberi kerjasama penuh kepada penyiasatan yang sedang dijalankan.
Selepas Dicaprio, Miranda Kerr pula mengambil langkah terpuji dengan memulangkan barang kemas berharga AS$8.1 juta yang pernah dihadiahkan oleh Jho Low kepadanya.
Beliau nampaknya tidak teruja untuk terus memiliki perhiasan berjuta-juta lantaran mengetahui ia berpunca daripada wang 1MDB yang dicuri.
Bagi Miranda Kerr, memiliki barang kemas dan perhiasan mewah berjuta-juta memang mengujakan, namun nilainya tidak bererti sama-sekali jika ia berpunca daripada wang yang dicuri, apa lagi kalau dihadiahkan oleh sang pencuri.
Lantas, memulangkannya adalah pilihan terbaik baginya.
Tetapi, bagaimana dengan "isteri MO1" yang jelas disebut oleh DOJ menerima hadiah barang kemas keseluruhan berjumlah AS$28.6 juta atau kira-kira RM128 juta, juga daripada Jho Low?
Tidak tergerakkah dalam hati kecil "isteri MO1" yang sudah pasti beragama Islam untuk menuruti jejak langkah Dicaprio dan Miranda Kerr itu?
Sampai bila "isteri MO1" mahu berdiam diri dan tidak memberi sebarang reaksi mengenai pemilikan barang kemas itu, kecuali Rosmah, melalui peguamnya ada mengugut mahu menyaman, sedangkan selebriti bukan Islam tiada masalah untuk mengakui dan memulangkan trofi dan barang kemas yang pernah dihadiahkan kepada mereka?
Belum terlewat sebenarnya untuk "isteri MO1" meraih sanjungan seluruh dunia jika beliau juga dapat bertindak segera mencontohi apa yang telah dilakukan Dicaprio dan Miranda Kerr.
Kalau pun tidak malu dengan Tuhan dan tidak inginkan sanjungan dunia, tidak malukah "isteri MO1" kepada selebriti bukan Islam dari segi kejujuran dan menjaga wibawa diri di mata masyarakat?(ShahbudinHusin 27/06/2017).
SEPERTI TAHUN2 SEBELUMNYA, NAJIB "HILANG" LAGI DI HARI RAYA KEDUA
Monday 26 June 2017
AKHIRNYA SABAH, SARAWAK TOLAK CUKAI PELANCONGAN, DIMANA SUARA "MENTERI JANTAN"?
Pada 15 Jun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan isu cukai pelancongan yang mencetuskan perbalahan antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz dengan Sabah dan Sarawak, telah selesai.
Menurut Zahid, isu itu telah dibawa ke mesyuarat Kabinet pada Rabu dan persetujuan telah dicapai bahawa tiada lagi kenyataan dikeluarkan berhubung perkara tersebut.
"Perdana Menteri telah mempengerusikan mesyuarat Kabinet dan kami memutuskan bahawa isu tersebut telah selesai, dan tiada lagi kenyataan boleh dikeluarkan sama ada daripada pegawai kerajaan negeri atau persekutuan.
"Saya sendiri bertemu dengan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak pada Rabu. Isu ini telah ditutup dan mari kita buka buku baharu," kata beliau pada sidang media di sini.
Itu kata Zahid pada 15 Jun lalu, tetapi apa jadi hanya tidak sampai dua minggu setelah pengumuman selesai itu diucapkannya.
Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Abang Haji Openg berkata, cukai pelancongan tidak akan dilaksanakan di Sarawak pada 1 Julai ini kerana perbincangan mengenainya dengan Putrajaya masih lagi berjalan.
Kata beliau, segala-galanya belum muktamad, hanya cara kerja yang selesai, sedangkan ada isu lain yang perlu dibincangkan, antaranya ialah berkaitan tempahan awal bilik-bilik hotel.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Masidi Manjun juga senada dengan Sarawak bahawa cukai pelancongan tidak akan dikuatkuasakan di negeri itu pada 1 Julai depan ini.
Alasan beliau ialah hotel-hotel belum lagi mendaftar untuk cukai tersebut.
"Jadi, bagaimana kerajaan akan mengutip cukai itu," katanya sambil menambah, persediaan logistik lain juga masih belum selesai.
Sebelum ini, isu cukai pelancongan itu mencetuskan perbalahan antara Nazri dengan Menteri Pelancongan, Keseniaan, Kebudayaan Belia dan Sukan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah yang tidak setuju dengannya.
Nazri kemudian melabel Abdul Karim sebagai menteri "setahun jagung" dan dalam waktu yang sana meletakkan dirinya sebagai "menteri jantan".
Perbalahan juga kemudiannya merebak antara Nazri dengan dua menteri lain iaitu Fadilah Yusof dan Abdul Rahman Dahlan dan Sarawak mengumumkan pengunduran diri daripada Lembaga Pelancongan Malaysia.
Bagaimanapun, dengan dua kenyataan daripada pemimpin Sabah dan Sarawak yang mengatakan cukai pelancongan tidak akan dilaksanakan pada 1 Julai di kedua-dua negeri tersebut, bukan saja kenyataan Zahid Hamidi yang menyebut isu tersebut telah selesai sebagai tidak betul, malah pendirian yang berbeza dengan kerajaan Pusat terus dikeluarkan tanpa rasa takut.
Bahkan, ketegasan tidak melaksanakannya pada 1 Julai, bermakna Sabah dan Sarawak jelas telah menang dan menundukkan Najib, Zahid dan Nazri dalam isu cukai pelancongan ini.
Lebih ingin diketahui, di mana Nazri selepas ini, masih "jantan" lagikah beliau? (ShahbudinHusin26/06/2017)
TAK MASUK AKAL ATAU MATI AKAL?
Sunday 25 June 2017
LAWAK ZAHID HAMIDI....
Pandai Zahid Hamidi, hari raya pertama lagi dah buat lawak jenaka - katanya kehadiran orang ramai di Seri Perdana adalah tanda sokongan kepada Najib Razak.
Dilaporkan jumlah yang hadir untuk berhari raya di Seri Perdana tahun ini ialah seramai kira-kira 75 ribu orang.
Adakah 75 ribu itu tanda sokongan yang memadai buat Najib?
Adakah semua yang hadir itu juga benar-benar menyokong atau sekadar mahu makan?
Mungkinkah juga sebahagian yang datang ini hanya ingin melihat-lihat perhiasan mewah yang dipakai Rosmah Mansor sebagaimana yang digembar-gamburkan media jika dapat bersalam atau memandangnya daripada jarak lebih dekat?
Selain itu, kalau ikut logik Zahid bahawa 75 ribu itu tanda sokongan kepada Najib, bagaimana dengan lebih ramai rakyat Malaysia yang tidak hadir ke Seri Perdana?
Adakah dalam baik dan memuji, Zahid dalam masa yang sama juga untuk cuba "mengenakan" Najib? (ShahbudinHusin 25/06/2017)