Wednesday 30 November 2016

RAKYAT PUN TAK PERNAH LUPA SIAPA KJ...


Berbekalkan sajak Tun Mahathir Mohamad bertajuk "Melayu Mudah Lupa", tetapi telah diubahsuai, Khairy Jamaluddin menggunakan pentas Perhimpunan Agung Pemuda UMNO untuk menyerang bekas Perdana Menteri itu yang disifatkannya berbeza 180 darjah berbanding dahulu.

Antara ungkapan sajak yang diubahsuai oleh Ketua Pemuda UMNO dalam sajaknya  ialah:-

"Beliau pun sendiri pernah berkata, Melayu mudah lupa. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu, BERSIH dipertikai. Sekarang, merayu rakyat sertai BERSIH. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu Soros dikritik, Sekarang, sertai demo yang dibiayai Soros.

"Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu lempar Anwar pelbagai tuduhan. Sekarang bersalaman bertukar senyuman, entah jujur atau tidak. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa.

"Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu Mat Sabu dicaci dihina. Sekarang teman bergelak ketawa. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu konon pejuang bangsa. Sekarang seganding musuh bangsa.

"Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu pertikai kewujudan Keadilan. Sekarang, mesra dengan kepimpinannya, siap sahut Bebas Anwar. Melayu mudah lupa, Melayu Mudah lupa. Dulu, musuh dipersoal. Kini semeja, mengejar kuasa," katanya.

Seterusnya Menteri Belia dan Sukan itu mengingatkan, "Melayu dalam dewan ini ingat sumbangan Tun. Juga ingat solidariti parti mempertahankan Tun. Tetapi Melayu di dalam dewan ini juga ingat hipokrasi Tun.

"Juga ingat diktatorship Tun. Juga ingat kepincangan Tun. Juga ingat penyelewengan di zaman Tun. Juga ingat semua pemimpin yang dihina oleh Tun.

"Dan yang akan kami paling ingat, Melayu dalam dewan ini akan sentiasa beringat, adalah pengkhianatan Tun kepada perjuangan parti ini."

Sudah tentu ia merupakan sajak yang paling menggembirakan buat Najib Razak. Ketika bapa mertuanya, Pak Lah berkuasa pun, KJ tidak pernah mencipta sajak seperti ini.

Tetapi, sebelum KJ menjadi Melayu yang terus lupa, beliau juga harus ingat bagaimana di Dewan Merdeka jugalah bergemanya teriakan "rasuah, rasuah, rasuah" selepas kemenangannya sebagai Ketua Pemuda UMNO diumumkan pada 2009 dahulu.

Tidakkah KJ lupa bahawa teriakan seumpama itu tidak pernah berlaku sepanjang sejarah kewujudan UMNO sebelum ini?

Orang Melayu dan sebahagian ahli UMNO juga belum lupa bagaimana peranan budak-budak Tingkat 4 menguasai pentadbiran Pak Lah dahulu sehingga timbulnya pelbagai masalah dan kecelaruan dalam negara yang akhirnya membuatkan BN buat pertama kali dalam sejarah  telah hilang kuasa majoriti dua pertiga.

Berbanding Tun Mahathir yang berkuasa selama 22 tahun dan menghadapi pelbagai gelora politik, namun genggaman kuasa dua pertiga sentiasa dalam dakapan, tetapi semua itu hilang sebaik saja kelibat KJ dalam pentadbiran kerajaan jadi perbualan.

Apakah dalam hal ini KJ mahu melupakan hakikat bahawa kewujudan peranan dan campurtangannyalah yang menyebabkan bermulanya awam mendung menyelubungi langit UMNO dan BN sehingga kalutnya berlarutan sampai sekarang?

Tun Mahathir beralih arah 180 darjah sekarang ini berbanding dahulu bukanlah disebabkan bekas Perdana Menteri itu boleh dianggap sebagai lambang Melayu mudah lupa, tetapi lebih kerana negara kita sudah bertukar daripada demokrasi kepada kleptokrasi.

Sudah tentu Tun Mahathir yang membina negara ini dengan pelbagai kecemerlangan akan lebih dihina jika beliau terus bersikap mempertahankan Najib dan seolah-olah tidak lagi dapat membezakan antara hitam dengan putih.

Dan sebenarnya, mereka yang mempertahankan Najib sekaranglah yang sudah lupa kepada hakikat kebenaran.

Maka itu, sebelum KJ mahu menempelak Tun Mahathir, beliau bukan saja harus melihat semula neraca pertimbangannya mengenai makna sebenar kebenaran, malah wajib juga mencermin dirinya sendiri terlebih dahulu. (SH 30/11/2016).

UCAPAN PERTAMA ZAHID HAMIDI RASMI SAYAP2 UMNO HAMBAR DAN MENGECEWAKAN


Sejak malam hingga pagi ini, ramai kawan-kawan dalam UMNO menghubungi saya untuk memberi komen mengenai ucapan pertama Zahid Hamidi ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di PWTC, malam semalam.

Rata-ratanya melahirkan rasa kecewa dengan ucapan Zahid yang disifatkan hambar, mengecewakan, malah kadangkala boleh dianggap merapu.

Ucapan beliau dianggap tidak berapa kena dalam konteks merasmikan mesyuarat sayap-sayap UMNO dalam suasana parti sedang kritikal dan dalam persiapan meghadapi PRU 14. Zahid seolah-oleh keliru tentang apa sepatutnya beliau lakukan.

Penampilan Zahid bukan saja dilihat tidak dapat menandingi apa yang dilakukan oleh Muhyiddin Yassin dan  Timbalan-Timbalan Presiden UMNO sebelum ini, malah ada yang menganggap ucapan beliau semasa menjadi Ketua Pemuda UMNO dahulu jauh lebih baik lagi.

Bukan saja dari segi isi, malah cara Zahid menyampaikan ucapannya bagaikan serba-serbi tak tak menjadi.

Dengan prestasinya yang hambar dan mengecewakan itu, ramai yang mengatakan Zahid telah melepaskan peluang keemasan untuk menonjolkan wibawanya yang sebenar.

Kata kawan-kawan yang nakal pula, Hishammuddin tentu senyum-senyum saja dengan prestasi Zahid itu

Dari segi isi ucapan Zahid,  mari kita baca ulasan peguam Hanif Khatri mengenainya yang dipetik daripada laman Facebooknya. (SH 30/11/2016).

ISLAM MERANGKUMI SEGALANYA TERMASUK POLITIK !!!
NAMUN, JANGANLAH POLITIKKAN ISLAM SAMA-SEKALI !!!

1. Pada 29.11.2016, Timbalan Perdana Menteri, ZAHID HAMIDI telah dipetik oleh MALAYSIADATELINE.COM sebagai berkata :

"Dan ingatlah semua bahawa sekarang ialah waktu di mana Allah SWT meletakkan Datuk Seri Najib sebagai Presiden kita.",

"Takdir Allah SWT mengkehendakinya begitu. Justeru, saya menyeru kepada seluruh perwakilan agar jangan sesekali berwala' hanya di bibir.", dan

"Wala' saudara saudari sekalian haruslah juga pada perbuatan kerana itulah sebenarnya tuntutan dalam agama kita."

2. Wahai ZAHID HAMIDI, sebagai peringatan kepada semua terutamanya kepada diri saya sendiri :

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menjalankan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan suatu hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil" (Al-Quran; An-Nisa : 58)

“Hai orang-orang yang beriman, bertawakkallah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang jujur.” (Al-Quran; At-Taubah: 119)

“Siapa saja yang dianugerahkan Allah sebagai pemimpin, tetapi dia tidak berbuat sesuatu untuk kebaikan umatnya (malah sebaliknya menipu dan menzalimi umatnya ), Allah akan mengharamkan surga untuknya.” (Hadith Riwayat : Bukhari)

"Orang yang paling sakit siksaan di hari kiamat adalah pemimpin yang zalim (curang).” (Hadith Riwayat : Thabrani dari Abdullah bin Mas’ud). 

 “Sesudahku nanti akan ada pemimpin-pemimpin yang berdusta dan berbuat zalim, siapa yang membenarkan kedustaannya dan membantu kezalimannya, maka ia tidak termasuk golongan dari umatku dan aku juga tidak termasuk darinya dan ia tidak akan datang ketelaga (yang ada di surga).” (Hadith Riwayat : Nasa’i dari Ka’ab).

3. JUSTERU, Wahai Zahid Hamidi, kalaulah Rakyat (atau ahli UMNO sekalipun) harus terima pengataan anda, bahawa NAJIB RAZAK hendaklah diterima dan disokong semata-mata kerana "sekarang ialah waktu di mana Allah SWT meletakkan Datuk Seri Najib sebagai Presiden kita (UMNO)", TANPA HAK untuk SOAL keBATHILan dan keZALIMan, maka adakah anda, ZAHID HAMIDI menidakkan peringatan ALLAH S.W.T. dan RASULNYA kepada umat Islam (sebahagian kecil daripada peringatan yang mana adalah seperti yang dipetik di atas) ?? !!!

4. Saya yakin anda, ZAHID HAMIDI, semestinya lebih arif daripada saya dalam soal hukum-hakam dan tuntutan agama, maka, INGATLAH:

ISLAM MERANGKUMI SEGALANYA TERMASUK POLITIK !!!
NAMUN, JANGANLAH POLITIKKAN ISLAM SAMA-SEKALI !!!

DEMI AGAMA DAN NEGARA TERCINTA !!!!

Tuesday 29 November 2016

JANGAN MAIN2 DENGAN ROSMAH!!


Ahad lalu, Najib Razak menulis di laman Facebooknya memberitahu mengenai perbualan telefonnya dengan bakal Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang disifatkannya berlangsung dengan amat mesra dan produktif.

Kata Najib, selain mengucapkan tahniah kepada Donald Trump atas kemenangannya dalam pilihanraya presiden baru-baru ini,  mereka berdua juga bersetuju untuk mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat.
"Antara lain, perbualan kami juga menyentuh mengenai pertumbuhan ekonomi di kedua-dua negara.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Trump dan kami bersetuju untuk mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-Amerika Syarikat," tambah Najib lagi sambil menyifatkan ia merupakan peluang terbaik baginya dapat menghubungi Trump selepas kejayaannya memenangi jawatan Presiden Amerika Syarikat.

Dalam catatan Facebook itu  Najib tidak memberitahu langsung bagaimana beliau tiba-tiba dapat berbual di telefon dengan Trump itu.

Adakah beliau menelefon sendiri atau ada seseorang yang mengaturnya?

Kenapalah sampai Rosmah sendiri perlu memberitahu mengenai peranan yang telah dimainkannya itu?

Nasib baik Rosmah sendiri mendedahkannya, jika tidak, tiada siapa tahu betapa besar peranan dan sumbangannya itu.

Bagaimana jika pada jam 2.30 pagi itu, iaitu ketika telefonnya berdering kerana dihubungi seseorang yang bergelar Tan Sri yang ingin memaklumkan Trump akan menunggu panggilan telefon Najib dalam tempoh dua jam lagi, Rosmah sedang nyenyak tidur atau enggan menjawabnya?
Bukan semua orang boleh terjaga atau sanggup menjawab telefon di waktu subuh-subuh sebegitu dan kemudian menunggu lagi untuk mendapatkan nombor telefon Trump untuk diberikan kepada Najib. 

Selepas itu, mengejutkan pula Najib yang sedang sedap tidurnya. Hanya Rosmah yang sanggup berbuat begitu dan itu belum termasuk lagi menjawab panggilan telefon yang lain di setiap hari.

Walaupun hanya memiliki telefon jenama Samsung antik dan tidak mempunyai akaun Facebook serta Twitter, Rosmah sebenarnya mempunyai sumbangan besar kepada Najib dan negara.

Besar jasa Rosmah tau!!

Oleh itu, jangan main-main dan jangan cuba-cuba menafikan sumbangannya. 

Lain kali, apalah salahnya jika Najib memberitahu sumbangan Rosmah itu secara terbuka tanpa beliau sendiri mendedahkannya? (SH 29/11/2016).

ECRL - PELABURAN ATAU HUTANG?


Dalam wawancara sempena Perhimpunan Agung UMNO di televisyen malam semalam, antara perkara yang disebut oleh Najib Razak ialah berkaitan pelaburan dari China.

Sambil merujuk kepada projek Landasan Keretapi Pantai Timur atau ECRL, Najib berkata, "kalau kita tak bawa masuk pelaburan, mereka kata kita gagal, bila kita bawa masuk, mereka kata kita gadai."

"Selama ini tak timbul...apa beza dengan pelaburan dari Jepun, Eropah dan China?" soalnya.
Projek ECRL ialah pembinaan landasan keretapi menghubungkan antara Tumpat di Kelantan sehingga ke Pelabuhan Kelang dengan jarak sejauh 688 kilometer dan menelan kos sebanyak RM55 bilion.

Apakah projek ECRL itu suatu pelaburan atau hutang?

Jika dilihat berdasarkan  fakta yang dibentangkan sebelum ini, projek ECRL itu diserahkan kepada syarikat China untuk melaksanakannya dengan pembiayaan penuh, juga oleh bank dari China yang diberikan kelulusan untuk membuka cawangannya di Malaysia.

Tempoh bayaran baliknya ialah selama 20 tahun.

Bagaimana Najib boleh mengatakan ECRL adalah suatu pelaburan, sedangkan kita kena membayar balik perbelanjaan yang dikeluarkan oleh syarikat China untuk tempoh selama 20 tahun?

Sejak bila terma pelaburan perlu dibuat bayaran balik?

Bukankah ia sebenarnya suatu bentuk hutang dengan China?

Apakah  tiada syarikat tempatan yang mampu melaksanakan projek ECRL itu?

Sudahlah begitu, diberikan pula lesen bank, pembelian kapal laut, keretapi laju ke Singapura dan pelbagai lagi, semuanya juga kepada syarikat dari China.

Dengan itu, salahkah jika ada yang mengatakan kita bukan saja gagal, malah juga sedang menggadai? (SH 29/11/2016).

UMNO LEBIH ISLAMIK DARIPADA PAS?


Menurut pemimpin UMNO, Nazri Aziz, tindakan Pas mahu meminda Akta 355 bagi membolehkan hukuman lebih berat dikuatkuasakan adalah kerana parti itu selama ini gagal menjadikan Kelantan sebagai negeri Islam.

Katanya, hukuman sedia ada tidak mencukupi untuk memberi pengajaran buat rakyat negeri itu, lalu menyebabkan Hadi Awang mahu menambahnya.

Pas Kelantan gagal nak menjadikan Kelantan negeri Islam sebab itu mereka nak hukuman lebih berat. Hadi waktu dia menjadi Menteri Besar Terengganu, enakman di sana juga turut ditukar.

Maknanya, Pas gagal. Kalau dia berjaya, dia akan turunkan enam sebat jadi kosong sebat. Kalau Pas berjaya, saya rasa semua rakyat negeri Kelantan akan puasa, ini tidak, dia nak tambah lagi hukuman, ujar Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.

Sehubungan itu, tambah Nazri, tindakan UMNO memberi laluan kepada usul Hadi itu sebenarnya ialah kerana mahu membantu Pas sebab parti itu telah gagal di Kelantan.

Malah, tegasnya,  UMNO tidak minta pun untuk menambah hukuman sedia ada.

Dengan kata lain yang mudah difahami, maksud Nazri ialah UMNO lebih Islamik berbanding Pas dan negeri-negeri yang ditadbir parti itu juga lebih Islamik rakyatnya berbanding di Kelantan yang dikuasai oleh Pas sejak 1990 lagi.

Lebih spesifiknya, barangkali juga ia bermaksud Najib lebih Kuat Islamnya daripada Hadi Awang atau Nazri Aziz sendiri lebih warak berbanding Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Aduhhh...tak sakit jantungkah Hadi Awang, Hashim Jasin, Ahmad Yaakob, Nik Amar Abdullah dan lain-lain pemimpin Pas dengan tamparan hujah "Ustaz Nazri Aziz" kali ini? (SH 29/11/2016).

Monday 28 November 2016

NAJIB, JEMPUTLAH HADI AWANG JADI TETAMU PERHIMPUNAN AGUNG UMNO!!


Setelah tampil sedondon berbaju merah jambu beberapa bulan yang lalu, Najib Razak dan Hadi Awang sekali lagi akan duduk di atas pentas yang sama - kali ini dalam suatu perhimpunan raksasa berkaitan Rohingya pada 4 Disember akan datang nanti.

Sebelum itu, ikatan kemesraan antara UMNO dan Pas yang menghadapi pelbagai cemuhan, turut dirapatkan lagi dengan persetujuan kerajaan memberi lampu hijau kepada Hadi Awang membawa  usul Akta 355 bagi tujuan memperkasa kuasa Mahkamah Syariah.

Meskipun usul tersebut sudah dibaca sebanyak dua kali, ia tetap ditangguhkan jua akhirnya. Tetapi, usul itu nyata telah merapatkan lagi hubungan antara mereka.
Dengan itu, bibit-bibit ke arah "perkahwinan" antara UMNO dengan Pas, sama ada secara "sembunyi-sembunyi" atau "terbuka rasmi", nampaknya sukar untuk dielakkan lagi.

Terutama bagi Najib dan UMNO, mereka terlihat ingin benar menunjukkan kepada umum dan jika boleh, mahu mengadakan "kenduri besar-besaran" mengenai "perkahwinan" dengan Pas itu.

Jika pada majlis Multaqa Ulama yang lalu, Najib dan Hadi berpakaian sedondon merah jambu, dalam perhimpunan Rohingya kali ini tidak mustahil kedua-dua pemimpin itu akan bersedondon sekali lagi.

Mungkin kali ini sama-sama berpakaian merah atau hijau atau barangkali juga  seperti kebanyakan "pengantin", warna tema putih yang menjadi pilihan.

Tetapi, yang pastinya Najib dan Hadi tidak mungkin memilih pakaian berwarna kuning hari tersebut.

Sebelum 4 Disember di mana Najib dan Hadi akan bergandingan di atas pentas Rohingya, UMNO akan mengadakan Perhimpunan Agungnya bermula 29 November hingga 3 Disember.

Ramai kawan-kawan dalam UMNO, termasuk yang pernah menjadi Ketua Bahagian, Ahli Parlimen dan menteri, mencadangkan adalah amat molek jika Najib menjemput Hadi Awang untuk hadir sebagai tetamu rasmi Perhimpunan Agung UMNO tahun ini.

Kata mereka, dengan kehadiran Hadi Awang ke Perhimpunan Agung UMNO itu nanti, perhimpunan raksasa Rohingya sehari selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO pasti lebih meriah jadinya.

Dalam masa yang sama, dengan hadirnya Hadi Awang juga,  nama Najib sudah tentu akan melonjak sebagai lambang penyatuan Melayu, di sebalik isu 1MDB dan kemasukan wang beribu-ribu juta ke dalam akaun peribadinya.

Dengan kedudukan Hadi sebagai ulama besar dan seterusnya pemimpin nombor dua Kesatuan Ulama Sedunia, kehadiran beliau secara tidak langsung akan turut membersih dan menyucikan lagi Najib daripada segala kekotoran skandal yang pernah terpalit kepadanya.

Bersama dengan kenyataan Peguam Negara yang sudah membersihkan Najib dari sudut perundangan sebelum ini, sudinya Hadi Awang hadir,  jelas kawan-kawan dalam UMNO itu lagi, bukan setakat mampu membersih dan menyucikan, bahkan juga mewangi serta mengharumkan lagi nama Perdana Menteri.

Maka, saran mereka kepada Najib, jangan lepaskan peluang membawa Hadi Awang ke Perhimpunan Agung kali ini. (SH 28/11/2016).

Sunday 27 November 2016

PPBM TIDAK HARUS BERTANGGUH LAGI UNTUK SERTAI PAKATAN HARAPAN


Konvensyen Pakatan Harapan pada 12 November lalu sepatutnya antara lain menyaksikan penyertaan PPBM ke dalam gabungan parti-parti pembangkang itu.

Tetapi, oleh kerana PPBM memerlukan lebih masa untuk berbincang lebih lanjut, maka kemasukan itu ditangguhkan dahulu meskipun Tun Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin yang hadir berucap di konvensyen secara dasarnya bersetuju untuk menyertainya.

Sebenarnya sebab lain PPBM memerlukan lebih masa sebelum menyertai Pakatan Harapan ialah kerana parti itu mahu berunding terlebih dahulu dengan Pas mengenai persetujuan formula satu lawan satu menentang BN.

Ketika itu Pas memang menunjukkan tanda-tanda positif ke arah itu, namun perkembangan mutakhir ini, terutama setelah usul Akta 355 seolah-olah diberi lampu hijau oleh kerajaan dan kemudian Hadi Awang turut setuju sepentas dalam satu lagi opera politik berkaitan Rohingya pada 4 Disember, rundingan PPBM dengan parti Islam itu pasti lebih melalui jalan sukar lagi.

Pas, terutamanya kelompok pro Hadi Awang dan Hashim Jasin, tentu saja sedang seronok dan tidak sabar menunggu sidang Parlimen Mac tahun depan untul usul penuh Akta 355 dibentang, dibahas dan diundi.

Namun, bagaimana jika tarikh PRU 14 diadakan sebelum Mac 2017?
Bermakna, terus menunggu hasil perundingan dengan Pas sebelum PPBM memutuskan untuk menyertai Pakatan Harapan sudah menjadi tidak praktikal dan membuang masa.

Dalam hal ini, PPBM tidak harus menunggu lagi untuk berunding dengan Pas. Jalan terbaik ialah sertai Pakatan Harapan terlebih dahulu dan jadikan gabungan itu benar-benar kuat dan mantap untuk mengalahkan BN pada pilihanraya nanti.

PPBM patut lupakan Pas buat sementara waktu. Muktamadkan dahulu untuk menyertai Pakatan Harapan dan jadikan tarikh 13 Disember ini sebagai detik penting untuk membawa perubahan kepada negara ini.

Sekiranya selepas menyertai Pakatan Harapan, PPBM masih mahu mengadakan perundingan bersama Pas, ia masih boleh dilakukan dalam konteks yang berasingan.

Pas tentu saja tidak mahu berunding dengan Pakatan Harapan kerana adanya DAP dan Amanah dalam gabungan itu. Tetapi, perundingan antara PBBM dengan Pas selepas itu tidak menjadi sebarang kesalahan sekiranya parti Islam itu benar-benar ingin berlawan satu lawan satu menentang BN.

Tidak mustahil bukan saja PPBM, malah PKR juga mungkin turut sama akan mengadakan rundingan dengan maksud yang sama dengan Pas, malah di Selangor sekarang pun PKR dengan Pas sudah ada kerjasama dalam kerajaan negeri.

Bagaimanapun, sama ada perundingan itu menghasilkan sesuatu yang positif atau sebaliknya, ia akhirnya lebih terletak kepada pendirian Pas sendiri sama ada mereka benar-benar mahu berlawan dengan BN atau ingin memberi kelebihan kepada Najib dan UMNO untuk terus berkuasa.

Jika Pas ingin sama-sama menentang BN, maka mereka haruslah lebih berlembut dan tidak membiarkan berlakunya pertandingan tiga penjuru. Sebaliknya, jika Pas enggan, Pakatan Harapan tetap wujud sebagai alternatif yang kuat dan lebih gagah untuk menandingi BN.

Kiranya Pas berdegil dan kekal dengan hasrat sendirian mereka itu, maka pengundi akan memahami niat dan keinginan sebenar parti itu serta tidak mustahil akan menghukumnya dengan lebih teruk lagi kerana rakyat secara umumnya inginkan perubahan dan sudah cukup meluat dengan BN dan pemimpin-pemimpin yang ada sekarang. 

Malah, tidak mustahil ramai ahli Pas sendiri enggan menyokong parti itu jika ia bertanding bersendirian dan tidak lagi bersungguh-sungguh mahu melawan UMNO dan BN yang sudah ditanam dalam keyakinan mereka sebagai musuh yang harus dikalahkan.

Yang penting, dengan penyertaan PPBM ke dalam Pakatan Harapan, gabungan itu mampu terus mantap untuk memberi keyakinan kepada rakyat untuk membuat pilihan. 

Menangguhkan lagi selepas 13 Disember untuk menyertai Pakatan Harapan hanya akan menambahkan kecurigaan dan ketidakyakinan pengundi terhadap PPBM untuk sama-sama membawa perubahan. (SH 27/11/2016).

CUKUPKAH SEKADAR BERDEMO SAJA? KENAPA PULA CEPAT2 DIUMUMKAN HADI AWANG AKAN TURUT BERSAMA?

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan satu perhimpunan besar-besaran akan diadakan pada 4 Disember ini bagi menzahirkan keprihatinan berhubung isu Rohingya.

Tarikh dan masa perhimpunan itu dilaporkan akan diumumkan kemudian.

Katanya, perhimpunan itu akan dihadiri oleh Perdana Menteri, Najib Razak serta beberapa pemimpin lain yang antaranya ialah Presiden Pas, Hadi Awang.

Sehubungan itu, Zahid turut menggesa pemimpin daripada parti-parti politik lain untuk turut sama menyertai perhimpunan tersebut.

Masalahnya, cukupkah sekadar berhimpun saja? 

Bukankah sebagai sebuah kerajaan yang sedang berkuasa, ada wang dan banyak kemudahan, Najib seharusnya sudah melakukan tindakan-tindakan tertentu untuk membantu umat Islam Rohingya yang sedang dizalimi itu?

Apa bantuan untuk mereka dan kepada pelarian yang sudah dihulurkan oleh kerajaan setakat ini?

Sudahkah nota bantahan dihantar kepada Kedutaan Myanmar atau adakah Dutanya telah dipanggil oleh Wisma Putra untuk Malaysia menyuarakan bantahan secara rasmi?

Kenapa Malaysia tidak mengambil langkah proaktif lain seperti menyekat kemasukan pekerja asing Myanmar yang sudah berlambak-lambak di negara kita?

Mengapa akhirnya berdemo juga yang jadi pilihan? 

Tidakkah baru-baru ini pelbagai NGO sudah pun mengadakan demo yang sama di depan Kedutaan Myanmar?

Selepas berdemo nanti, apa tindakan seterusnya sedangkan permintaan banyak pihak agar membatalkan perlawanan bola pun tidak diendahkan oleh kabinet?

Kemudian kenapa cepat-cepat diumumkan gandingan Najib dan Hadi Awang telah bersetuju menyertai perhimpunan itu?

Tidakkah ia menampakkan perhimpunan besar-besaran 4 Disember itu lebih bernawaitu politik untuk meneruskan agenda membuai hati rakyat selepas Akta 355, berbanding keikhlasan sebenar untuk membantu umat Islam Rohingya itu? (SH 27/11/2016).



Saturday 26 November 2016

TANDA2 UMNO SEMAKIN PARAH


UMNO bukan tidak biasa menghadapi serangan dan hentaman musuh-musuhnya. Tetapi, pernahkah dahulu berlaku seperti apa yang seolah-olah menjadi kelaziman sekarang?
Siapa yang mengepalai serangan terhadap kartunis Zunar yang sedang mengadakan pameran kartunnya di Pulau Pinang?

Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim...
Siapa yang cuba dipertahankan dan dipercayai berada di belakang sekumpulan penyerang yang bagaikan "naik angin"  mahu menyerang Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad?

Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak merangkap Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani...
Siapa yang mengetuai Kumpulan Baju Merah yang bukan saja cuba melakukan gangguan kepada pihak lain yang mahu berhimpun secara aman, bahkan juga dilaporkan berkelakuan tidak senonoh di sebalik gerakan mereka langsung tidak mendapat sambutan?

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Jamal Mohd Yunus...

Masihkah mahu dikata UMNO tidak terlibat dalam semua kejadian itu?

Kenapa perlakuan ahli dan pemimpin UMNO semakin pelik dan di luar kebiasaan sejak kebelakangan ini?

Adakah ini tanda-tanda mereka sedar bahawa mereka akan kalah pilihanraya? (SH 26/11/2016)

KALAU PRU 14 TIDAK DIADAKAN SEBELUM MAC 2017, ADAKAH NANTI USUL HADI AKAN DITANGGUH LAGI?


Rumusan Husam Musa bahawa PRU 14 bakal diadakan sebelum Mac 2017 berikutan tindakan Hadi Awang secara sukarela menangguhkan buat kali kedua usul Akta 355 di Parlimen, memang ada kemunasabahannya dan tidak boleh diabaikan begitu saja.

Pas memerlukan usul itu tergantung bukan saja untuk mewajarkan kepada para penyokongnya tentang keperluan ia kekal sebagai parti yang mesti bertanding bersendirian atas nama Gagasan Sejahtera, bahkan juga untuk kekal tidak bersama dengan parti-parti pembangkang lain yang di dalamnya ada DAP dan Amanah.

Tetapi, sama ada Pas sedar atau sengaja buat-buat tidak sedar, bersendiriannya mereka itu hanyalah bertujuan memberi kelebihan kepada UMNO dalam pilihanraya akan datang.

UMNO juga memerlukan usul itu tergantung untuk menunjukkan ia sedang bersama dengan Pas dalam usaha memertabatkan Islam. Dengan demikian, Pas  diharapkan akan terus menjauhi parti-parti pembangkang lain, khususnya PPBM dan PKR, untuk saling bekerjasama dalam formula satu lawan satu menentang BN.

Tergantungnya usul Hadi itu juga dapat menyelamatkan BN daripada berpecah. Parti-parti komponen MCA, MIC, Gerakan, SUPP, PBS dan lain-lain sehingga ini terus kekal menentang usul tersebut, malah beberapa pemimpin bukan Melayu yang berada dalam kabinet telah pun berikrar untuk meletakkan jawatan jika ia diluluskan.

Ketua Menteri Sarawak, Adenan Satem turut mengeluarkan arahan agar semua Ahli Parlimen BN menolak dan tidak mengundi usul Hadi itu.

Namun, dengan ia tergantungnya  di awang-awangan usul Hadi itu, tiada apa-apa yang akan berlaku. Semua parti-parti komponen akan terus kekal bersama BN dan tiada menteri yang meletak jawatan.

Yang jelas untung ialah Najib, UMNO dan BN. Ia bermakna Pas dapat mereka jinak dan gula-gulakan dan dalam masa yang sama BN tidak pula saling berpecahan. 

Sebab itu, dengan tertangguhnya usul itu buat kali kedua sehingga sessi Parlimen akan datang pada Mac 2017, adalah masuk akal bahawa PRU 14 akan diadakan sebelum tarikh itu.

Jika PRU 14 mahu diadakan selepas Mac 2017 pula, maka sudah tentulah sekali lagi usul Akta 355 itu akan ditangguhkan buat kali ketiganya. Barangkali nanti, ia akan menjadi usul yang paling kerap ditangguhkan.

Secara logiknya, sukar untuk membayangkan bahawa UMNO sanggup membiarkan dirinya bermasalah dengan komponen BN semata-mata kononnya untuk sama-sama memartabatkan Islam,  lebih-lebih lagi melalui usul yang dibawa oleh Pas. 

Usul Akta 355 hanyalah helah politik untuk menang pilihanraya. Dengan Pas bertanding sendirian yang bermakna membantu Najib dan UMNO secara tidak langsung dan komponen BN tidak bermasalah, maka dengan keadaan itu, mudahlah UMNO dan BN mengekalkan kuasanya. 

Tetapi, selepas Najib menang PRU 14 nanti, apa jadi kepada usul Akta 355 itu? 

Bolehkah Hadi Awang dan Pas terus berharap usul itu akan diberi ruang untuk dibentang, dibahas dan diundi untuk kelulusan selepas Najib, UMNO dan BN menang PRU 14, apatah lagi jika menang selesa dua pertiga?

Atau Pas hanya memikirkan untuk seronok sebelum pilihanraya dan mahu membalas dendam kepada DAP dan Amanah saja, setelah kalah nanti mereka akan kembali berkata, "perjuangan Pas bukan semata-mata untuk menang di dunia, kemenangan di akhirat lebih utama." (SH 26/11/2016).

Friday 25 November 2016

SETIA 101 PERATUS, ADAKAH ZAHID HAMIDI MULA BERASA TIDAK DIPERCAYAI?


Ahmad Zahid Hamidi yang baru-baru ini mengusulkan agar Perlembagaan UMNO dipinda untuk memaktubkan jawatan Pemangku Timbalan Presiden yang sudah tentu dengan maksud agar jawatan itu mesti disandang oleh Naib Presiden yang mempunyai undi tertinggi,  kini tiba-tiba menegaskan kesetiaannya kepada Najib Razak adalah 101 peratus.

Kata Timbalan Perdana Menteri itu, beliau setia 101 peratus kepada Najib dan sentiasa bersedia untuk membantu Perdana Menteri dan Presiden UMNO dalam kerajaan dan juga parti.

Dalam waktu yang sama, Zahid juga berkata, beliau tidak memikirkan soal jawatan, sebaliknya berserah kepada ketentuan Allah dalam menentukan perjalanan kejaya politiknya.

"Saya hanya makan di pinggan yang ada di depan saya, nasi dan lauk yang dihidangkan kepada saya saja. Saya tidak akan pergi ke meja lain untuk mengambil lauk dan nasi, walaupun nasi dan lauk di pinggan saya tidak cukup.

"Ertinya saya akan berada di suatu keadaan di mana saya harus hormati institusi yang ada, dan jika berlaku ia adalah mengikut ketentuan Allah," ujar Zahid berfalsafah.
Mengapa tiba-tiba saja Zahid menyatakan kesetiaannya kepada Najib adalah 101 peratus?

Tidakkah ia ternampak berlebih-lebihan untuk menunjukkan bahawa beliau seorang yang benar-benar setia kepada Najib?

Mengapa Zahid tidak mengatakan kesetiaannya hanya mutlak 100 peratus saja?

Bolehkah dipercayai sepenuhnya orang yang menyatakan kesetiaan secara berlebih-lebihan itu?

Jika diumpamakan seperti gelas, mengisi air sehingga 101 peratus bermakna melebihi muatan dan pasti akan menyebabkan ia melimpah serta akhirnya mengotorkan meja makan?

Jadi, apa maksud Zahid dengan  setia 101 peratus itu - pernyataan rasa bimbang kehilangan jawatan atau cuba-cuba memberi amaran?

Selain itu, apakah Zahid mula merasakan dirinya semakin kurang dipercayai oleh Najib sehingga perlu mencetuskan idea mahu jawatan Pemangku Timbalan Presiden UMNO segera dimaktubkan dan kemudian berlindung pula dengan kesetiaan yang digembar-gemburkan sehingga 101 peratus bertujuan untuk memastikan kedudukannya lebih selamat?

Kenapa sehingga ini Najib dan Hishammuddin yang merupakan Naib Presiden UMNO dengan undi nombor tiga masih tidak memberi apa-apa reaksi berhubung cadangan mahu memaktubkan jawatan Pemangku Timbalan Presiden itu?

Setujukah dua saudara sepupu itu terhadap usul yang mahu dicadangkan Zahid?

Sementara Zahid mengatakan beliau tidak akan pergi ke meja lain untuk mengambil nasi dan lauk, walaupun nasi dan lauk di pinggannya tidak cukup, tidakkah cadangan meminda Perlembagaan yang dicetuskannya itu menunjukkan beliau juga "teringin"  kepada nasi dan lauk di pinggan lain yang tidak bertuan?  (SH 25/11/2016).

JANGANLAH BERHIMPUN, TUAN GURU....NANTI MENYUSAHKAN RAKYAT!!

Berhubung perhimpunan Bersih 5 pada 19 November lalu, Hadi Awang menyifatkan ia sebagai merugikan rakyat dan mengganggu ketenteraman awam.

Tetapi, susulan usul Akta 355 yang ditangguhkan sendiri oleh Presiden Pas itu ke tahun hadapan, beliau kemudian mengumumkan untuk  mengadakan perhimpunan secara besar-besaran berkaitan perkara itu pada suatu tarikh yang akan ditentukan kemudian.
Kita tunggu dan lihat, Pas akan mengadakan perhimpunan raksasa mewakili pelbagai parti politik dan NGO, tambah Hadi lagi.

Ehhh...tak menyusahkan rakyat ke nanti, Tuan Guru? (SH 25/11/2016).

Thursday 24 November 2016

BETULKAH BEGITU, NIZAR NAJIB?


Kata anak Perdana Menteri yang bernama Nizar Najib, selagi kita berada di pihak yang benar dan tidak buat salah, tiada apa-apa yang perlu kita takutkan.

Sehubungan itu, katanya, beliau tidak bimbang dengan tuduhan-tuduhan liar terhadap keluarganya kerana mereka di pihak yang benar.

Betulkah begitu?

Pernahkah beliau  bertanya kepada ayahnya, Najib Razak mengapa memecat Peguam Negara, mengapa beberapa menteri dibuang, mengapa tidak menyaman WSJ, mengapa mengOSAkan laporan audit 1MDB, mengapa tidak berani menjawab soalan tentang 1MDB di Parlimen, mengapa menolak MLA yang dipohon oleh Peguam Negara Switzerland dan puluhan mengapa lagi yang perlu dijawab dengan jujur dan ikhlas.

Selagi tidak mendapat jawapan yang sebenar daripada ayahnya sendiri kepada persoalan-persoalan tersebut, bagaimana Nizar begitu yakin keluarganya berada di pihak benar?

Adakah Nizar benar-benar faham maksud ungkapan "selagi kita berada di pihak yang benar dan tidak buat salah, tiada apa-apa yang perlu kita takutkan" itu?

Adakah ayahnya memiliki ciri-ciri seperti yang disebutnya itu?

Pernahkah juga Nizar mendengar Najib melafazkan ungkapan "berani kerana benar, takut kerana salah" sejak meletusnya isu 1MDB dan di dalam akaun peribadi ayahnya ada wang sebanyak RM2,600 juta? (SH 24/11/2016).

BERPECAHKAH BN SELEPAS AKTA 355?


Hari ini Presiden Pas, Hadi Awang dijadual membentangkan usul persendirian Akta 355 bagi tujuan memperkasa mahkamah syariah di Parlimen setelah ia mendapat lampu hijau daripada kerajaan.

Usul itu tidak sukar difahami niat politik di sebaliknya kerana biasanya usul berkaitan kerajaan akan dibawa sendiri oleh parti pemerintah, bukan diserahkan kepada parti pembangkang seperti Pas untuk mengusulkannya.
Kenapa UMNO dan kerajaan sendiri selama ini tidak pernah terfikir untuk memperkasa mahkamah syariah sedangkan mereka tentunya lebih tahu dan arif mengenainya?

Lantaran tujuan UMNO dan kerajaan dalam hal ini lebih bersifat politik iaitu untuk memikat hati Pas, maka sudah tentu yang ditunggu-tunggu juga ialah kesan politik daripada usul tersebut?
Apakah selepas ini hubungan UMNO dan Pas menjadi lebih akrab tautannya dan akan saling berganding bahu, secara rasmi atau untuk memastikan berlakunya pertembungan tiga penjuru bagi menghadapi PRU 14 akan datang?

Apakah Pas akan terus menutup pintu rundingan dengan parti-parti pembangkang lain di mana sebelum ini mereka pernah menyatakan sentiasa terbuka dengan matlamat satu lawan satu untuk sama-sama  menumbangkan UMNO dan BN?
Dalam masa yang sama, bagaimana pula dengan dengan kedudukan BN sendiri setelah usul itu dibentangkan, meskipun perbahasan dan pengundian bagi kelulusannya dijangka dianjakkan ke tahun depan?

Apakah parti-parti bukan Islam seperti MCA, MIC, Gerakan, PBS dan SUPP yang selama ini menentang usul itu masih mahu kekal bersama BN?

Jadikah menteri-menteri MCA, MIC dan Gerakan mengundurkan diri daripada kabinet sebagaimana janji mereka sebelum ini?

Sementara beberapa pemimpin komponen BN lain menentang usul itu berasaskan hujah ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, Presiden MCA, Liow Tiong Lai pula menganggapnya sebagai "cek kosong" ke arah perlaksanaan hudud.
Tergugatkah sokongan BN daripada pengundi di Sarawak berikutan Ketua Menteri, Adnan Satem telah pun mengarahkan Ahli-Ahli Parliman Bumi Kenyalang tidak memberi sokongan kepada usul Hadi yang mendapat restu UMNO itu?

Di antara Pas dengan rakan-rakan bukan Islam dalam BN, siapakah yang akhirnya lebih menjadi keutamaan bagi Najib dan UMNO? (SH 24/11/2016).

Wednesday 23 November 2016

SALLEH SAID KERUAK, PENGAMPU TERBAIK & TERHEBAT DUNIA!!


Di Malaysia ketika ini, tidak ada yang lebih hebat pengampuannya terhadap Najib Razak, melainkan hanya seorang iaitu Salleh Said Keruak.

Semua pemimpin lain yang pernah turut menjadi pengampu dan pembodek Najib, kini sudah jauh ditinggalkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia itu.

Sejak sebelum dilantik menteri, kemudian dijadikan menteri, seterusnya diberi pula jawatan Bendahari Agung UMNO, siri pengampuannya tidak pernah berhenti, malah terus cemerlang, gemilang dan terbilang serta makin menjadi-jadi.

Terbaru, ketika tersebar video ucapan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama  di Sidang APEC di Peru baru-baru ini yang antara lain menyebut tentang penyaluran dana pembangunan ke dalam akaun bank Swiss dan Tun Mahathir Mohamad kemudian menulis di blognya mengatakan ia merupakan sindiran kepada Najib, Salleh sebaliknya dengan pantas menidakkan dakwaan itu.
Malah Salleh menegaskan pula, ucapan Obama itu mungkin ditujukan kepada Tun Mahathir sendiri.

Kahkahkah....

Tanpa mengira logik atau tidak, betul atau salah, masuk akal atau di luar akal hujah-hujahnya, yang mustahak ialah Salleh mesti menunjukkan beliau mengeluarkan suaranya.

Dan itulah hebatnya Salleh. Ketika pengampu dan pembodek lain memilih untuk berdiam jika sesuatu dakwaan terhadap Najib itu kelihatan benar, Salleh sebaliknya tetap menunjukkan skil mengampunya yang tersendiri.

Dalam kes ucapan Obama, tentu tidak logik jika ucapan Obama mahu disasarkan kepada Tun Mahathir kerana bekas Perdana Menteri itu tidak pernah terkait apa-apa dengan bank di Swiss sebelum ini.

Tetapi, Najib dan 1MDB bukan saja diperkatakan di seluruh dunia mengenai penyaluran wang menggunakan bank Swiss, malah dua cawangan bank Swiss di Singapura juga diarahkan tutup angkara syarikat pelaburan itu.

Selain itu, tidak ada mana-mana pemimpin dunia lain yang boleh dikaitkan dengan pelencongan dana syarikat milik negara sebagaimana nama Najib diperkatakan, malah disebut sebagai Malaysian Official 1 dalam kertas mahkamah saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.

Lagi pun, tentulah "amat amat amat" tidak masuk akal bagi Obama mahu menuju atau menyasarkan nama Tun Mahathir dalam ucapannya kerana beliau sudah pun bersara sebagai Perdana Menteri sejak 2003 lagi. Berucap di Sidang APEC, sudah tentu sasaran Obama ialah pemimpin semasa yang sedang berkuasa.

Untuk itu , sesiapa pun akan mentafsirkan ucapan Obama itu dituju dan disindirkan kepada Najib. Seluruh dunia juga pasti tidak sukar memahaminya.

Namun sebagaimana disebut tadi, itulah hebatnya Salleh Said Keruak. Tanpa rasa malu, jauh sekali rasa bersalah, Najib bukan saja tetap dipertahan dan dibelanya, walaupun dalam keadaan disindir secara terang dan nyata oleh Obama, malah dengan selambanya mengatakan ia mungkin ditujukan kepada Tun Mahathir.

Dengan kehebatan Salleh Said Keruak yang dianggap luar biasa itu, logik atau tidak hujah-hujahnya semua belakang kira, barangkali sudah sampai masanya semua kata-kata mengampunya selama ini dikumpul dan dibukukan oleh para pengkaji sejarah untuk tatapan generasi akan datang supaya sesiapa yang ingin menjadi pengampu atau mempelajari teknik-tekniknya, dapat belajar daripada khazanah yang ditinggalkannya itu.

Jika tidak, Malaysia mungkin kepupusan pengampu di masa-masa akan datang nanti. (SH 23/11/2016).

USUL AKTA 355 HANYA DIBACA, TIDAK DIBAHAS, TIDAK DIUNDI - IKHLASKAH UMNO KEPADA PAS?


Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi akhirnya memberi jaminan usul persendirian Hadi Awang berkaitan Akta 355 untuk memperkasa mahkamah syariah akan dibentangkan sama ada pada Rabu atau Khamis ini.

Selaku Ketua Whip BN, Zahid juga semalam menganjurkan sessi taklimat kepada Ahli-Ahli Parlimen berhubung usul tersebut.

Tetapi berdasarkan suara-suara yang kedengaran di Parlimen, kebarangkaliannya ialah Hadi akan diberi ruang untuk membentangkannya pada Khamis iaitu hari terakhir sessi Parlimen yang sedang berlangsung sekarang.

Adakah usul itu tersebut selepas dibentang oleh Hadi akan dibahas dan kemudian diundi untuk ditentukan sama ada diluluskan atau sebaliknya?
Sebenarnya tidak.

Seorang Ahli Parliman Pas, Dr. Nik Maizan Nik Mohamad dari Pasir Puteh sendiri mengesahkan bahawa dalam taklimat yang dihadirinya bersama Zahid semalam bahawa usul tersebut hanya dibentangkan untuk kelulusan bagi bacaan kali pertama saja.

Ia kemudian, katanya, akan diangkat oleh kerajaan untuk dibahaskan pada  sessi Parlimen tahun hadapan.

Membawa usul tersebut untuk dibahaskan pada tahun hadapan tidaklah mengejutkan, malah bersesuaian dengan pengumuman Zahid mengenai pembentukan sebuah jawatankuasa pemilihan bagi tujuan memberi penjelasan terperinci berhubung pindaan akta tersebut.

Saya sendiri akan membawa kepada kabinet untuk mendapat persetujuan tentang cadangan penubuhan jawatan itu, kata Zahid lagi.

Persoalan yang timbul di sini ialah mengapa hanya sekarang baru dicadangkan penubuhan jawatankuasa pemilihan untuk memberi penjelasan itu sedangkan Hadi telah diberi kebenaran membentangkan usul persendirian itu buat kali pertama pada Mei lagi?

Kenapa jawatankuasa itu tidak ditubuhkan sebelum ini lagi jika benar pindaan Akta 355 itu mahu dilulus dan dilaksanakan?

Kenapa tiba-tiba hanya sekarang?

Adakah hanya setelah Hadi Awang baru-baru ini mengatakan Pas sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti pembangkang bagi tujuan satu lawan satu menentang BN, maka baru UMNO dan kerajaan tergerak hati untuk memulakan langkah menggerakkan usul persendirian Presiden Pas itu?

Dalam pada itu, berapa lama pula jawatankuasa pemilihan itu akan selesai melaksanalan tugas dan puas hati dalam memberi penjelasan?

Apakah mungkin perbahasan dan pengundian usul Akta 355 itu sempat dibawa pada sessi Parlimen pertama tahun depan yang dijangka pada Mac atau akan dianjak lebih lewat daripada itu?

Atau penubuhan jawatankuasa itu merupakan satu lagi helah untuk menangguhkan perbahasan dan pengundian Akta 355 itu, tetapi dalam masa yang sama merupakan senjata UMNO untuk menjauhkan  Pas daripada terus mengadakan rundingan kerjasama dengan parti-parti pembangkang lain untuk matlamat satu lawan satu?
Tidak mustahilkah sehingga tibanya tarikh PRU 14  pun, perbahasan dan pengundian hanya angan-angan?

Apakah Najib dan UMNO benar-benar sanggup memberi ruang untuk Akta 355 itu didebat dan diluluskan sedangkan MCA, MIC, Gerakan, PBB, PBS dan beberapa parti lain sentiasa berkeras menolaknya?

Jika didebat dan dilakukan undian pula,  apakah semua Ahli Parlimen UMNO sedia menyokongnya di ketika mereka tahu rakan-rakan bukan Islam yang selama ini bersama mereka tetap menolak usul itu?

Akhirnya, ikhlaskah UMNO dalam soal Akta 355 yang pihak bukan Islam percaya ia merupakan laluan ke arah hudud atau Pas bakal terpedaya lagi? (SH 23/11/2016).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...