Saturday 28 February 2015

Kesian...Tak Habis-Habis Najib Kena Tolak!!

Ketika majlis angkat sumpah Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi pada Oktober lalu, Perdana Menteri, Najib Razak telah ditolak (disenggol) dengan kuat oleh isterinya, Rosmah Mansor sehingga insiden itu menjadi viral di media-media sosial.

Rosmah dianggap tidak wajar berbuat demikian kepada suaminya yang juga Perdana Menteri, lebih-lebih lagi di acara penting yang melibatkan tetamu kenamaan daripada seluruh dunia itu.

Tetapi dalam minggu lalu, Najib terus menerima tolakan yang berterusan lagi.  Ketika harta peninggalan Tun Razak cuba dikaitkan dengan perbelanjaan mewah keluarga Najib, terutama melibatkan isterinya Rosmah dan anak tirinya Reza Aziz, keempat-empat adik Najib tampil dengan kenyataan bersama menolak tanggapan sedemikian.

Mereka menyatakan, Tun Razak terkenal sebagai pemimpin yang berintergriti tinggi serta berjimat cermat sepanjang kehidupannya dan spekulasi mengenai harta peninggalan bapa mereka yang dikaitkan dengan kemewahan adalah tidak wajar sama sekali.

Setelah ditolak (disenggol) oleh isterinya, Najib ditolak pula oleh keempat-empat adik-beradiknya.

Pada Rabu lalu pula, mesyuarat kabinet menolak suntikan modal sebanyak RM3 bilion lagi kepada 1MDB berikutan ramai ahli kabinet tidak bersetuju dengannya.

Jika berita ini benar dan ia juga belum dinafikan lagi oleh kerajaan sehingga kini, ia juga bermaksud penolakan sebahagian menteri-menteri kabinet terhadap Najib sendiri.

Ini kerana 1MDB adalah syarikat pelaburan yang ditubuhkan oleh Najib dan menjadi anak emasnya selama ini. Syarikat itu diletakkan dibawah Kementerian Kewangan di mana Najib juga adalah Menteri Kewangan, selain sebagai Perdana Menteri.

Penolakan ini sebenarnya amat memalukan Najib kerana beliau seolah-olah sudah ditolak dan tidak dipercayai lagi oleh menteri-menteri kabinet yang dilantiknya sendiri.

Jika di negara lain atau Najib seorang pemimpin yang bermaruah dan berintergriti, episod penolakan oleh ahli-ahli kabinet ini seharusnya menyebabkan beliau berasa malu untuk terus mengempuki kerusi Perdana Menteri yang didudukinya sekarang.

Semalam pula, kajian oleh Merdeka Center mendapati penolakan rakyat semakin tinggi terhadap kepimpinan Najib dengan hanya tinggal 44 peratus saja lagi berbanding 48 peratus sebelum ini.

Setelah ditolak (disenggol) isteri, ditolak oleh adik-beradik dan ditolak oleh menteri-menteri kabinet, Najib juga ditolak oleh majoriti rakyat yang makin tidak berselera dengan kepimpinannya.

Maknanya, dalam waktu terdekat ini sudah ada empat kes penolakan diterimanya.

Jika mengikut kepercayaan orang Cina pula, angka 4 bermakna "mati". Dalam episod kena tolak ini, Najib telah disasar tiga kali dengan angka 4 iaitu oleh empat adik-adik beradiknya, penolakan rakyat yang menjadikan sokongannya hanya tinggal 44 peratus dan empat kes penolakan dalam waktu terdekat ini.

Seorang rakan Cina berkata, ia dengan itu bermaksud "mati-mati" atau akan "mati"  dengan perlahan-lahan.

Kesian Najib...tak habis-habis kena tolak. Mungkinkah "matinya" juga sudah semakin hampir? (SH 27/02/2015)

Friday 27 February 2015

Tanda Tergolek Makin Dekat...


Ketua-ketua Bahagian UMNO seluruh negara dijangka akan berhimpun untuk menyatakan solidariti kepada Perdana Menteri, Najib Razak pada 8 Mac depan, iaitu sehari sebelum majlis pembukaan Parlimen oleh Yang Dipertuan Agong.

Menurut Ketua Bahagian Cheras, Syed Ali Alhabshee, seramai 170 daripada 191 Ketua Bahagian sudah menyatakan kesediaan untuk hadir dan ia bertujuan untuk membuktikan kepada pembangkang dan juga pihak luar bahawa mereka sentiasa menyokong Najib.

Kami mahu menunjukkan kepada dunia bahawa Najib masih mempunyai sokongan yang kuat, jadi mereka perlu berhenti menyerang BN, katanya lagi.

Jika mengikut logik dan hukum akal, adanya perhimpunan solidariti ini tidak lain menunjukkan bahawa kedudukan Najib sedang atau semakin goyang sekarang ini.

Hanya pokok yang sudah hendak tumbang saja perlu diletakkan penongkat atau sokongan, manakala pokok yang masih kukuh biasanya tidak memerlukan apa-apa bantuan untuk terus tegak berdiri.

Begitulah juga sebenarnya kedudukan Najib sekarang. Apabila sudah ada usaha mengadakan perhimpunan mempertahankan kedudukannya, bermakna makin goyanglah kerusi yang didudukinya itu.

Lihat saja di zaman Pak Lah dulu, berbagai perhimpunan atau gerakan telah diadakan untuk menyatakan sokongan dan mempertahankan kedudukannya, namun akhirnya tergolek juga.

Bahkan lagi banyak pernyataan sokongan dizahirkan, ia secara tidak langsung menandakan semakin terhakisnya sokongan yang diterima.

Akhirnya, sama ada pokok akan tumbang kerana asakan yang makin kuat atau kayu yang menjadi penongkat atau sokongan itu akan patah disebabkan tidak mampu lagi menjadi penahan yang kukuh.

Yang penting sebenarnya ialah apakah pokok yang mahu dipertahankan itu masih kuat atau sudah menghampiri tarikh matinya. Jika pokok itu cukup kuat, ia bukan saja tidak memerlukan penongkat, bahkan dedalu hinggap pun tidak menjejaskan hayatnya.

Sebab itu, usaha mengumpulkan ketua-ketua bahagian menyokong atau menyatakan solidariti kepada Najib bukan saja membuang masa, malah juga sia-sia.

Selain ianya mengesahkan kedudukan Najib makin bergoyang, umum juga tahu bahawa ini adalah perhimpunan "cari makan" semata-mata. Semua orang tahu, ketua bahagian adalah mereka yang berkepentingan dengan Perdana Menteri dari segi jawatan, kedudukan, projek dan sumber rezeki.

Sudah tentu mereka ini sanggup berbuat saja untuk mempertahankan kenikmatan yang sedang dikecapi sekarang. Tetapi adakah ketua-ketua bahagian ini benar-benar mewakili naluri dan isi hati seluruh ahli UMNO yang berjumlah 3.4 juta orang itu?

Lebih dari itu, adakah juga ketua-ketua bahagian ini mampu memastikan undi dalam pilihanraya nanti benar-benar memihak kepada BN?

Adakah Mahathir  akan tiba-tiba berhenti menyerang Najib kerana solidariti 170 ketua bahagian itu?

Begitu juga, apakah rating sokongan Najib yang kian merudum sehingga 44 peratus berbanding 48 peratus sebelum ini dapat ditingkatkan semula?

Secara umumnya juga, penolakan terhadap Najib merangkumi banyak isu dan masalah - dalam parti dan luar parti, dalam kerajaan dan luar kerajaan serta seribu satu macam lainnya yang tidak mungkin mampu ditangani dengan sekadar menghimpunkan seramai 170 ketua bahagian saja.

Tetapi seperti pokok tadi,  bila mula diletakkan penongkat atau sokongan, biasanya ia adalah tanda tidak lagi kuat akar umbinya atau sudah hendak tumbang menyembah bumi.

Pokok yang sudah diletakkan penongkat juga jarang dapat bertahan lama berbanding pokok-pokok lain yang tidak diletakkan apa-apa kayu penyokong.

Tiada apa-apa yang perlu dilakukan, selain meraikan 8 Mac ini sebagai tanda awal tergoleknya Najib makin dekat...(SH 27/02/2015)

Thursday 26 February 2015

Rosmah Mula Menyusahkan Semua Orang


Perdana Menteri, Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor akan mengadakan majlis kenduri kahwin anak perempuan sulung mereka, Nooryana Najwa pada penghujung Mac depan.

Beberapa majlis  sudah diatur iaitu untuk tetamu diraja, jemputan luar negara, pemimpin kerajaan, korporat, pemimpin dan ahli UMNO serta pengundi di Pekan.

Tetapi kira-kira sebulan sebelum majlis itu berlangsung, perbualan ramai mengenai kekayaan dan sumber kewangan Perdana Menteri dan keluarganya semakin menjadi perbualan, bukan saja dalam negara bahkan sudah merebak seantero dunia.

Ia tidak lagi mengenai kos cat rambut (sebagaimana yang disebut oleh Rosmah walaupun istilah yang sebenarnya ialah mewarnakan rambut) atau upah menempah baju, pemilikan barang kemas, beg tangan atau pembelian hartanah mewah di AS, tetapi kini turut berjangkit kepada isu harta peninggalan Almarhum Tun Razak, bekas Perdana Menteri kedua yang juga merupakan bapa kepada Najib.

Berikutan jawapan Pejabat Perdana Menteri atau PMO kepada New York Times bahawa kekayaan dan perbelanjaan mewah Rosmah sebagaimana yang dihebohkan dalam pelbagai media, sebahagiannya adalah merupakan harta pusaka bapanya, keempat-empat adik Najib lantas mengeluarkan kenyataan bersama menolak tanggapan tersebut.

Keempat-empat adik Najib secara jelas menyatakan bahawa bapa mereka terkenal dengan sifat jimat-cermat dan intergeriti yang tinggi serta melahirkan rasa bimbang mengenai spekulasi harta peninggalan itu.

Jika difahami kenyataan bersama empat adik Najib itu jelas tertumpu kepada semakin meningkatnya pelbagai pendedahan mengenai kemewahan dan gaya hidup yang diamalkan oleh kakak ipar mereka, Rosmah Mansor.

Ini kerana yang ternampak bermewah bukan Najib dan anak-anaknya tetapi lebih melibatkan Rosmah dengan anaknya bersama suami terdahulu, Reza Aziz yang merupakan anak tiri Perdana Menteri.

Sebaliknya anak-anak Najib, sama ada daripada perkahwinan terdahulu atau dengan Rosmah, tidak pula kedengaran mengamalkan gaya hidup mewah dan memiliki hartanah yang mahal-mahal.

Sudah tentu jika segala kemewahan itu dikaitkan dengan harta peninggalan Tun Razak, ia bakal mencemarkan nama baik bekas Perdana Menteri yang juga dikenali dengan Bapa Pembangunan itu.

Jika sebelum ini gaya hidup dan kemewahan Rosmah sudah banyak membimbangkan ramai pemimpin UMNO di peringkat akar umbi dengan mengatakan seolah-olah mereka ada tugas tambahan untuk mempertahan dan membela isteri Perdana Menteri pula, kini jelas bahawa adik-beradik Najib semakin dibasahi tempiasnya.

Sebelum itu juga rakyat pelbagai lapisan sudah banyak bercakap mengenai kemewahan dan gaya hidup Rosmah berikutan terdedahnya di media satu demi satu mengenai pemilikan atau pembelian barangan mewahnya itu.

Dengan rekod pernah menolak pembinaan kolam renang untuk kegunaan anak-anaknya menggunakan duit kerajaan di Seri Taman atas alasan berjimat cermat dan tidak mahu menyalahgunakan wang kerajaan, apa yang didedahkan melalui pelbagai kemewahan melibatkan Rosmah dan Reza ini secara tidak langsung mampu "membunuh" semua legasi baik Tun Razak dan berlawanan sekali dengan keperibadiannya yang sebenar yang memang menjadi pengetahuan umum selama ini.

Dan menjelang majlis perkahwinan anak perempuan Najib dan Rosmah nanti, pastilah sekali lagi isu perbelanjaan dan kemewahan akan berbangkit kembali. Di sana sini ketika ini sudah mula kedengaran sosek-sosek tentang jamuan, perhiasan, cenderahati kepada tetamu, pertukaran langsir, karpet, rombongan ke Kazakhstan dan sebagainya yang melibatkan majlis tersebut.

Sekali lagi, segala kemewahan ini lebih dikaitkan dengan kehendak Rosmah berbanding dengan keinginan anaknya sendiri yang melangsungkan perkahwinan itu.

Apakah jika segala kemewahan itu terdedah nanti, PMO sekali lagi mengaitkannya sebagai perbelanjaan peribadi Najib yang sebahagiannya datang daripada harta pusaka Tun Razak juga?

Sama ada hubungan Najib dengan adik-beradiknya mulai retak atau tidak disebabkan elemen kemewahan yang tidak terkawal ini, hakikatnya kebimbangan mengenai subjek Rosmah sudah semakin meluas ketika ini.

Dalam ertikata yang lain, kesusahan yang diakibatkan oleh "First Lady" ini semakin dirasai dan mula menyentap hati ramai orang. (SH 26/02/2015)

Wednesday 25 February 2015

Mempertikai Petisyen Rayuan Anwar Samalah Seperti Menolak Kehadiran Agong


Ramai benar yang tidak senang dan gelabah bila Anwar Ibrahim akhirnya memutuskan untuk mengemukakan petisyen rayuan kepada Yang Dipertuan Agong atas hukuman penjara lima tahun yang sedang dijalaninya.

Kenapa marah dengan Anwar  yang berbuat demikian sedangkan ia adalah peruntukan yang dibenarkan dan menjadi sebahagian amalan dalam sistem Raja Berperlembagaan yang kita amalkan?

Dua Ahli MT UMNO, Fuad Zarkashi dan Irmohizam Ibrahim seperti meroyan dan meraban tidak tentu arah apabila keluarga Anwar membuat kejutan di saat-saat akhir dengan mengemukakan petisyen itu petang semalam.

Fuad dilaporkan berkata, Anwar ternyata seorang yang bacul kerana biasanya hanya pesalah yang menerima hukuman gantung atau penjara seumur hidup saja yang memohon petisyen pengampunan.

Katanya, jika diampunkan oleh Agong, ia akan menjadi duluan yang buruk bagi pesalah rogol dan liwat yang lain. 

Beliau lalu berfantasi, "bayangkan selepas ini ramai pesalah rogol dan liwat akan memohon pengampunan daripada Agong."

Irmohizam pula berkata, permohonan petisyen itu menunjukkan Anwar telah mencemarkan sistem keadilan dan kehakiman di negara ini.

"Bagaimana seorang peliwat boleh memohon pengampunan? Ia akan menjadi "bad precedent" terutama kalau diampunkan oleh Agong," katanya.

Sekali imbas memanglah nampak hujah mereka seolah-olah betul dan boleh diterima, tetapi jika diperhalusi ia juga menunjukkan ketidakfahaman dan kelompongan mereka dalam memahami sistem kerajaan yang sedang  kita amalkan.

Mempertikaikan hak Anwar mengemukakan petisyen rayuan samalah seperti menolak apa yang dibenarkan dalam undang-undang dan Perlembagaan kerana ia adalah sebahagian daripada sistem kerajaan yang diamalkan sejak dulu lagi. 

Anwar bukannya melakukan sesuatu yang baru, bahkan selari dengan peruntukan undang-undang dan hak yang diberikan oleh Perlembagaan kepada Agong.  Beliau diberikan hak untuk mengemukakan petisyen rayuan, bahkan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh juga tidak dapat diisytiharkan kosong sehingga keputusan rayuan itu diketahui.

Sebelum Anwar juga sudah ramai yang memohon pengampunan, tidak kira atas kesalahan apa sekali pun dan sama ada diberi pengampunan atau sebaliknya ia adalah hak Agong memutuskannya.

Kenapa harus bimbang dan cuba mendahului Agong dengan mengatakan jika diampunkan akan menjadi duluan yang buruk serta mencemarkan sistem keadilan dan kehakiman? Bukankah ini cuba mencampuri tugas Agong?

Mengemukakan petisyen tidak semestinya akan diperkenankan oleh Agong dan ia menjadi hak baginda untuk memberi pengampunan atau sebaliknya, tetapi kenapa perlu bimbang jika  Anwar diberi pengampunan?

Kalau setakat jadi MT UMNO, Ahli Parlimen atau bekas Ahli Parlimen, janganlah merasakan diri seolah-olah lebih pandai dan bijak daripada Agong?

Dengan kedua-kedua pemimpin UMNO itu secara terbuka melahirkan kebimbangan jika Anwar diberi pengampunan, ia secara jelas menolak peranan dan keistimewaan yang diberikan oleh Perlembagaan kepada Agong atau secara tersiratnya bermaksud menolak kewujudan Agong itu sendiri.

Adakah Fuad dan Irmohizam bermaksud mahu menghapuskan sistem rayuan tersebut? Atau adakah ia juga menandakan percubaan mereka untuk menolak sesuatu yang memang menjadi hak Agong atau secara halus bertujuan mengatakan pengampuan itu tidak perlu lagi?

Sesiapa pun yang didapati bersalah akan berusaha sedaya upaya untuk memohon pembebasan berdasarkan ruang yang ada, lebih-lebih lagi dalam kes Anwar yang menjadi pengetahuan umum banyak terdapat cacat-celanya. 

Adakah salah Anwar menggunakan saluran pengampunan itu sedangkan ia dibenarkan oleh undang-undang dan Perlembagaan?

Tidakkah dengan mengatakan bahawa mengemukakan petisyen rayuan sebagai mencemarkan sistem keadilan dan kehakiman adalah juga seperti menolak kewujudan Agong sebagai ketua negara?

Kalau mahu dikira menghasut, inilah sebenarnya penghasut paling besar sekali salah dan dosanya. (SH 25/02/2015)

Tuesday 24 February 2015

Kemuka Petisyen Rayuan Di Saat Akhir, Apa Muslihat Anwar?


Tindakan keluarga Anwar Ibrahim memohon pengampunan Diraja kepada Yang Dipertuan Agong pada saat-saat akhir hari ini bagi hukuman penjara lima tahun yang sedang dijalaninya, tidak syak lagi merupakan kejutan yang tidak disangka-sangka kepada semua orang.

Sebelum ini beberapa pemimpin PKR, termasuk Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution juga menyatakan Anwar tidak bercadang untuk memohon pengampunan, sebaliknya kekal dengan pendirian tidak bersalah atas pemenjaraan yang dikenakan terhadapnya.

Sehubungan itu, menjelang berakhirnya tempoh akhir mengemukakan rayuan hari ini, PKR telah menyatakan kesediaan untuk menghadapi pilihanraya kecil Permatang Pauh yang bakal diadakan nanti.

UMNO juga mengharapkan Anwar tidak mengemukakan rayuan dengan menghebohkan bahawa ianya merupakan tindakan yang memalukan kerana ia dikatakan bermaksud beliau mengakui semua kesalahannya.

Lebih dari itu, UMNO yang mungkin tidak meletakkan calon di Dun Chempaka berikutan kematian Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, ternampak lebih ghairah untuk pilihanraya kecil Permatang Pauh  di mana bukan saja ramai pemimpinnya sudah bercakap mengenai pilihanraya itu, bahkan peguam Shafee Abdullah juga sudah pun "turun padang" berceramah ke kawasan itu.

Bagi UMNO, bertanding di Permatang Pauh adalah medan untuk menunjukkan keberanian manakala tidak bertanding di Chempaka adalah tanda berbuat baik dan ingin bercanda-candaan dengan Pas.

Tetapi dengan Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya Nurul Nuha muncul di Istana Negara petang ini bagi mengemukakan rayuan, semuanya jadi tersangkut dan kelam-kabut.

Rayuan ini difahamkan dikemukakan atas nama keluarga dan bukannya atas nama parti berdasarkan tiga alasan iaitu prinsip keadilan diketepikan, Anwar dizalimi dengan fitnah dan ketiga kerana berpegang semua pertuduhan adalah konspirasi politik.

Dengan petisyen rayuan ini dikemukakan, bermakna kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh belum boleh diumumkan sehingga ada jawapan mengenainya. Jika setahun baru ada keputusan, bermakna dalam tempoh itu tiadalah pilihanraya kecil akan diadakan. 

Ia juga bermaksud Anwar akan terus kekal sebagai Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh sehingga ada keputusan sebaliknya selepas itu.

Walaupun ramai yang beranggapan dengan mengemukakan petisyen rayuan ini bermakna Anwar mengaku bersalah atas perbuatan liwat yang dihadapkan kepadanya, tetapi ia tidak semestinya bermaksud demikian.

Mengemukakan petisyen kepada Yang Dipertuan Agong adalah sebahagian daripada proses menuntut pembebasan setelah semua proses mahkamah dilalui dan ia tidak bermakna suatu bentuk pengakuan bersalah. Adalah rugi jika peruntukan yang dibenarkan oleh Perlembagaan ini tidak dimanfaatkan.

Lagi pula,  tiga alasan yang dikemukakan sebagai asas mengemukakan rayuan itu bukan saja boleh diterima, bahkan bertepatan dengan pendirian Anwar selama ini.

Setelah petisyen ini dikemuakan, kini terpulanglah kepada Yang Dipertuan Agong sama ada mahu menerima atau menolaknya. Begitu juga berapa lama keputusan mengenainya mahu dibuat.

Namun, semua ini akan terus menghangatkan percakapan politik kedua-dua belah pihak iaitu BN dan PR mengenainya. Berbanding jika tidak mengemukakan petisyen dan kedudukan Anwar sebagai Ahli Parlimen digantikan dengan orang lain yang mungkin menyebabkan dirinya tidak lagi penting selepas itu, sebaliknya sekarang ini Anwar kekal dianggap sebagai ketua yang boleh memberi pelbagai arahan dari dalam penjara.

Pertikaian mengenai siapa Ketua Pembangkang untuk menggantikan Anwar secara automatik tidak berbangkit lagi.

Sementara itu, dengan tertangguhnya pilihanraya kecil Permatang Pauh ini, apakah pula pendirian UMNO dalam pilihanraya kecil Dun Chempaka tidak lama lagi? Kekal tidak bertanding atau bakal berubah fikiran?

Jika tidak bertanding di Chempaka dan lagak mahu tunjuk berani di Permatang Pauh pula sudah tergendala, UMNO sudah pasti akan dilihat sebagai "parti betina" yang sudah hilang kejantanannya.

Apakah juga dengan adanya rayuan ini dan beserta dengan kemungkinan Anwar dibebaskan atas pertimbangan Yang Dipertuan Agong, ia turut berjaya meredakan banyak ketegangan dalam PR, terutama antara Pas dan DAP sekarang ini?

Di ketika yang sama, oleh kerana Najib terus ditekan daripada dalam UMNO dan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad terus kritikal terhadap pentadbirannya, petisyen rayuan ini juga menimbulkan semula persepsi adanya "ehem ehem" antara Najib dengan Anwar sebagaimana yang banyak diperkatakan sebelum ini.

Apa pun, permohonan petisyen rayuan di saat-saat akhir tetap dilihat sebagai "strategi  luar kotak"  yang difikirkan oleh Anwar dari dalam penjara. Anwar nampaknya tetap berjuang dan tidak pernah mengaku kalah. ( SH 24/02/2015 )

Selamat Menerima Menantu Buat Najib Dan Rosmah


Perdana Menteri, Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor secara rasmi akan menerima menantu apabila majlis perkahwinan anak perempuannya, Nooryana Najwa dengan Daniyar Kessikbayev akan diadakan pada 28 Mac depan di Kuala Lumpur  Convention Centre atau KLCC.

Para tetamu yang terdiri daripada menteri, timbalan menteri, pemimpin GLC, tokoh korporat dan sebagainya sudah mula menerima "kotak jemputan" sejak seminggu yang lalu dan kini dalam proses mengesahkan kehadiran masing-masing.

Jemputan dibuat dalam bentuk istimewa iaitu berupa watikah yang ditulis dengan tulisan emas dan digulung serta dimasukkan dalam kotak khas berwarna putih dan kuning keemasan.

Difahamkan selain daripada majlis di KLCC ini, jamuan lain juga akan diadakan di Seri Perdana, PWTC dan juga Pekan, Pahang.

Majlis di Seri Perdana adalah untuk tetamu jemputan istimewa manakala di PWTC pula adalah untuk pemimpin dan ahli UMNO daripada seluruh negara. Di Pekan, Pahang yang merupakan kawasan Parlimen Najib, majlis juga diadakan sebagai tanda penghargaan kepada pengundi di kawasan itu.

Kemudian, majlis bertandang ke Kazakhstan juga akan berlangsung selepas itu.

Nooryana dan Daniyar bertemu ketika sama-sama menuntut di AS dan sudah mengikat tali pertunangan sejak 2011 yang lalu.

Ini bermakna  Mac depan adalah bulan yang menggembirakan bagi Najib  kerana dengan menerima menantu yang merupakan suatu kegembiraan bagi mana-mana ibu bapa sekurang-kurangnya dapat meredakan tekanan daripada pelbagai masalah politik yang dihadapi ketika ini.

Diucapkan selamat menerima menantu buat Najib dan Rosmah. Berita dan ulasan lain mengenai majlis perkahwinan yang dijangka gilang-gemilang ini akan menyusul lagi selepas ini, Insya Allah. (SH 24/02/2015)

Inilah "kotak jemputan" untuk majlis perkahwinan anak perempuan Najib dan Rosmah...

Kad jemputan dibuat dalam bentuk watikah yang digulung kemas...

Kad jawapan untuk para tetamu mengesahkan kehadiran masing-masing...

Monday 23 February 2015

Pengampunan Azilah & Sirul Sedang Diusahakan?


Sekumpulan tokoh-tokoh berpengaruh dalam negara ketika ini sedang berusaha mengadap Sultan Selangor untuk memohon pengampunan bagi Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar yang telah dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan membunuh Altantuya Sharibuu.

Mereka dikatakan berbuat demikian atas dasar tanggungjawab serta perikemanusiaan kerana berasakan Azilah dan Sirul tidak seharusnya dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan tersebut.

Selain tiada motif yang jelas dikenalpasti mengapa mereka melakukan tindakan itu, pembunuhan itu juga dipercayai dilakukan kerana mengikut arahan semata-mata.

Sehubungan itu, tokoh-tokoh berpengaruh itu ingin memohon jasa baik Sultan Selangor agar mempertimbangkan pengampunan kedua-dua anggota polis itu daripada hukuman mati kepada penjara seumur hidup saja.

Sekiranya pengampunan kepada hukuman penjara seumur hidup itu diperkenankan oleh Sultan Selangor, bermakna Azilah dan Sirul hanya perlu menjadi hukuman penjara sehingga mereka berusia 55 tahun tahun saja.

Jika ditolak lagi dengan faktor berkelakuan baik dalam penjara, hukuman yang dijalani mungkin lebih singkat daripada itu. Selepas itu mereka menjadi manusia biasa yang bebas sebagaimana orang lain juga.

Ketika Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati kepada kedua-dua anggota polis yang bertugas sebagai polis pengiring kepada Najib Razak semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri atas dakwaan membunuh Altantuya, hanya Azilah yang hadir manakala Sirul didapati sudah melarikan diri ke Australia sejak dua bulan sebelumnya.

Sirul kini sedang ditahan di pusat tahanan Imigresen Australia tetapi sedang mempertimbangkan untuk mendedahkan secara terbuka kepada media antarabangsa mengenai pembunuhan itu, terutama siapa yang memberi arahan kepadanya.

Kepada portal Malaysiakini, Sirul sudah pun memberikan temubualnya melalui telefon tetapi belum betul-betul terperinci dan jika tiada aral melintang, pada 11.30 pagi Isnin ini pula, beliau juga akan memberikan temubual melalui telesidang kepada wartawan Malaysia yang diusahakan oleh Pas dan Mahfuz Omar.

Berikutan tindakan Sirul melarikan diri itu, hukuman mati keatas Azilah tidak dapat dilaksanakan buat masa ini kerana mereka disabitkan kesalahan itu secara bersama. 

Dalam masa yang sama, Australia juga menolak untuk melakukan ekstradisi terhadap Sirul kerana negara itu tidak menguatkuasakan hukuman mati dan akan menolak untuk menghantar pulang mana-mana pesalah yang dijatuhi hukuman tersebut.

Ini menjadikan selagi Sirul berada di Australia, hukuman terhadap Azilah tidak dapat dilaksanakan. Selagi Sirul kekal dengan hukuman mati pula, Australia tidak akan menghantarnya  pulang ke negara ini.

Lantaran itu, sebagai jalan tengah dan atas nama perikemanusiaan, tokoh-tokoh berpengaruh ini difahamkan sedang berusaha mengadap Sultan Selangor untuk memohon pertimbangan pengampunan bagi kedua-dua anggota polis itu.

Setelah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan, satu-satunya jalan untuk Azilah dan Sirul mengelak daripada hukuman itu ialah dengan cara memohon pengampunan daripada Sultan Selangor kerana  kejadian pembunuhan itu berlaku di negeri tersebut.

Jika pengampunan diberikan, Australia dijangka tidak mempunyai masalah lagi untuk mengektradisi Sirul ke Malaysia bagi menjalani hukuman bersama-sama dengan Azilah yang sudah pun berada dalam penjara ketika ini. ( SH 23/02/2015 ).

Saturday 21 February 2015

2A Bakal Memendekkan Hayat Politik Najib


Kedudukan Perdana Menteri, Najib Razak kini sedang diancam oleh dua isu besar iaitu Anwar Ibrahim dan juga Altantuya.  Kedua-dua isu ini yang sudah pun berakhir sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan, tiba-tiba melibas dengan pukulan yang tidak disangka-sangka oleh Perdana Menteri.

Pemenjaraan Anwar yang diharapkan membawa sinar lebih cerah kepada UMNO dan BN dalam menghadapi pilihanraya akan datang, di samping pergolakan dalam PR, akhirnya lebih membawa khabar buruk buat Najib.

Ini kerana melalui program jelajah ke seluruh negara yang dirancang oleh Pemuda UMNO bersama peguam Shafee Abdullah yang mengetuai pendakwaan kes liwat melibatkan Anwar dengan Saiful, bukan saja memungkinkan simpati rakyat lebih memuncak, bahkan menyerlah lagi muslihat politik di sebaliknya.

Secara tidak langsung juga dengan program jelajah ke seluruh negara itu menyebabkan nama Anwar terus disebut dan diingati.

Dengan terus memburukkan dan menjaja cerita seks berkaitan Anwar ke seluruh negara sedangkan beliau sudah berada dalam penjara, sesiapa pun akan memahami bahawa akhirnya laba politiklah yang paling ingin dikaut sebanyak-banyaknya.

Dalam hal ini Pemuda UMNO, KJ dan Shafee, tanpa disedari, telah melakukan sesuatu yang lebih merugikan UMNO dan BN. Memenjarakan Anwar yang diharap menyebabkan Najib lebih selesa, sebaliknya mengundang lebih jalan sengsara.

Dalam isu Altantuya, sama seperti kes Anwar, ia juga sudah berakhir di Mahkamah Persekutuan dengan Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar telah dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan melakukan pembunuhan keatas model kelahiran Mongolia itu.

Tetapi dengan menghilangnya Sirul ke Australia dan kini merancang untuk mendedahkan siapa yang merancangnya melakukan pembunuhan itu, sekali lagi nama Najib terkait sama.

Najib pula gagal menyembunyikan rasa gabra dan gelabahnya dengan pendedahan yang bakal dibuat oleh Sirul itu dengan mengatakannya semuanya mengarut saja. Soalnya kenapa cepat sangat Najib rasa gabra dan gundah gulana dengan pendedahan yang bakal dibuat Sirul itu?

Tunggulah dulu apa biji butir yang didedahkan Sirul sebelum mahu mengatakan ia mengarut atau tidak.

Hari ini Isnin ini pula, Pas dijangka membuat telesidang dengan Sirul daripada Pusat Tahanan Imigresen, Australia selama 15 minit dengan wartawan dari Malaysia. Jika ini menjadi kenyataan dan ada pendedahan baru yang menggemparkan dibuat oleh Sirul, maka bergegar lagilah politik negara.

Tahniah kepada Pas dan Mahfuz Omar yang bertindak proaktif menghidangkan maklumat baru dan segar kepada rakyat.

Menjelang kira-kira tiga tahun sebelum pilihanraya akan datang, isu Anwar dah Altantuya ini pasti terus menghantui Najib. Ada yang berkata, Najib tidak mungkin dapat bertahan lebih lama dengan kedua-dua isu ini terus berlarutan sehingga pilihanraya akan datang.

Sokongan rakyat yang tidak meningkat di sebalik pemenjaraan Anwar dan tekanan yang dihadapinya, jika satu demi satu maklumat baru didedahkan oleh Sirul, pasti menjadikan Najib semakin tidak sesuai lagi duduk di kerusi Perdana Menteri untuk tempoh lebih lama lagi.

Semakin lama beliau kekal, semakin besar harapan BN akan kecundang. Ramai yang percaya Najib akan berundur atau akan dipaksa meletakkan jawatan dalam tempoh terdekat ini.

Ada yang memberi tempohnya sehingga akhir Mac ini dan ada pula yang mengatakan sebelum akhir tahun ini.

Selain isu Anwar dan Altantuya yang juga dikenali sebagai 2A, Najib juga berhadapan dengan tekanan daripada bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang antara lain menjadikan isu 1MDB sebagai sasaran utamanya.

1MDB kini dianggap sebagai skandal terbesar dalam era Najib yang bukan saja kerana hutangnya yang banyak menjadi persoalan, tetapi juga berkaitan keraguan pelaburan dan simpanan wangnya di Pulau Cayman.

Apabila GST dilaksanakan pada April nanti, Najib juga dijangka menerima kesan penolakan yang lebih besar lagi apabila wang dari poket rakyat semakin banyak disedut untuk menyelamatkan kantung kewangan negara yang kian menipis.

Bersama isu-isu yang sedang berlegar membelenggu Najib ketika ini dan poket rakyat pula kian dirobek atas nama GST dan kepentingan negara, agak menakjubkan jika beliau mampu bertahan lebih lama lagi. (SH 21/02/2015)

Gambar Najib dengan Sirul ini mula tersebar di media sosial sejak beliau melarikan diri ke Australia untuk mengelak hukuman mati yang dijatuhkan keatasnya...

Friday 20 February 2015

Ehhh...Baru Nak Beli Cili, Takkan Najib Dah Tahu Pedasnya Makanan


Perkara yang paling ditunggu-tunggu oleh semua orang ketika ini ialah bilakah Sirul Azhar Umar, salah seorang pesalah hukuman mati dalam kes pembunuhan Altantuya yang kini berada dalam tahanan di Australia, mahu mendedahkan cerita sebenar mengenai pembunuhan itu.

Sejak kelibatnya tidak muncul ketika hukuman dijatuhkan dan kemudian didapati sudah melarikan diri ke negara kangaroo itu untuk mengelak hukuman mati keatasnya,  ramai yang menjangkakan beliau pasti akan melakukan kejutan suatu hari nanti.

Beliau dipercayai memang sengaja melarikan diri kerana menganggap tiada keadilan dalam hukuman yang diterimanya dan memilih Australia sebagai tempat pelariannya ialah kerana negara itu tidak menguatkuasakan hukuman mati serta menolak ekstradisi pesalah yang disabitkan dengan hukuman tersebut.

Mendedahkan kebenaran dan siapa yang mengarahkannya dalam kes pembunuhan Altantuya dianggap pilihan terbaik baginya untuk membersihkan namanya.

Berada di pusat tahanan Imigresen Australia sekarang, Sirul melalui temubual telefon dengan Malaysiakini, padanya mulanya hanya mengatakan beliau sedang menimbang dengan serius mahu mendedahkan cerita sebenar mengenai pembunuhan yang dianggap misteri itu.

Tetapi secara perlahan-lahan juga melalui temubual dengan portal itu beliau mula mendedahkan bahawa ada seseorang yang masih bebas mengarahkan membunuh Altantuya itu. Ia sekaligus mengulangi keterangannya dalam mahkamah dulu bahawa beliau adalah "kambing hitam" semata-mata dalam kes tersebut.

Sirul juga cuba memutihkan namanya dengan mengatakan beliau tidak pernah mengaku melakukan pembunuhan itu serta tiada saksi yang dapat membuktikannya, namun sabitannya hanya berdasarkan keterangan mengikut keadaan semata-mata.

Walaupun Sirul bersama Azilah Hadri sudah dijatuhkan hukuman mati dan Razak Baginda, rakan karib kepada Perdana Menteri, Najib Razak yang dituduh bersubahat dengan pembunuhan itu sudah dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi dan kesnya tidak dirayu, motif pembunhan dan siapa yang memberi arahan masih  tidak diketahui sehingga kini.

Ini kerana dalam kes Azilah dan Sirul ini, barangkali buat pertama kalinya dalam sejarah perundangan, mahkamah memutuskan motif pembunuhan bukan satu faktor yang penting untuk diketahui.

Razak pula, dalam satu temubual dengan Malaysian Insider setelah kedua-dua anggota polis itu dijatuhkan hukuman mati menyatakan, polis yang jahat memang selalu membunuh orang sebagaimana yang berlaku kepada ramainya yang mati semasa berada dalam tahanan reman.

Yang paling ingin diketahui daripada Sirul melalui pendedahannya ialah siapakah yang mengarahkannya melakukan pembunuhan itu. Jika didedahkan siapa yang mengarahkannya, maka akan terungkailah motif pembunuhan itu.

Bila terdedah motif, maka keadilan pun akan tertegak dengan sendirinya.

Mungkin Sirul ketika ini, selain memikir tentang pendedahan, beliau juga sedang menimbang media antarabangsa yang difikirkan paling sesuai baginya untuk mendedahkan cerita itu. Sirul pasti mahu pendedahannya memberi impak paling besar, bukan saja dalam konteks menegakkan keadilan, membersihkan namanya dan membawa perancang utama pembunuhan Altantuya ke muka pengadilan, malah kalau boleh menggegarkan dunia sekali pun.

Dengan bergegarnya  dunia dengan pendedahan itu nanti, barangkali ia adalah penawar paling mujarab kepada semua derita dan sengsaranya selama ini.

Tetapi belum pun Sirul mendedahkan siapa yang mengarahkannya melakukan pembunuhan itu bersama beberapa pendedahan lain yang mungkin menggemparkan dunia, Najib Razak ketika ditanya pemberita, dengan pantas menyatakan ianya sebagai mengarut.

Perdana Menteri  kemudian menggeleng kepala beberapa kali, lantas berlalu pergi.

Kenapa Najib begitu cepat mengatakan ianya mengarut sedangkan Sirul belum pun membuat pendedahan lagi? Kenapa begitu cepat terasa dan tercuit perasaan?

Dengarlah dulu apa yang mahu dikatakan Sirul sebelum mengatakan ianya mengarut atau sebaliknya? Tidak semestinya pendedahan Sirul menjurus ke arah mengaitkan Najib atau sesiapa yang dekat dengannya terlibat dalam pembunuhan itu, mungkin ia juga bertujuan membersihkan lagi nama Perdana Menteri yang ditohmah macam-macam sebelum ini?

Namun, mengapa Najib cepat sangat tersentuh hati? Belum pun membeli cili, takkan sudah terasa pedasnya makanan? Sebelum duduk, berlunjurlah dahulu.

Sebagaimana yang dibangkitkan oleh banyak pihak juga, bukankah Najib sebelum ini sudah bersumpah tidak mengenali Altantuya?

Kalau sumpah itu sesuatu yang benar,  tiada yang benar melainkan benar belaka dan bukan seperti sumpah-sumpah seperti keterangannya yang mudah berubah ketika menemui Saiful  Bukhari dengan mulanya mengatakan kerana masalah biasiswa tetapi kemudian menyatakan untuk mengadu dirinya diliwat, kenapa Najib rasa terganggu apabila Sirul mengatakan beliau diarahkan oleh seseorang untuk melakukan pembunuhan terhadap Altantuya itu?

Sirul hanya mengatakan beliau diarahkan saja tetapi belum pun menyebut lagi siapa yang mengarahkannya. Tidak pasti pun sama ada akan menyebut nama Najib, Razak Baginda atau sesiapa yang lain.

Sebagai pengamal kesederhanaan, tidak bolehkah didengar dulu apa pendedahan Sirul itu atau makanlah dulu sesuap dua sebelum mengatakan makanan itu pedas atau tidak?

Ehhh...Relakslah bro!!  ( SH 20/02/2015 )
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...