Sunday 31 January 2016

MENGAPA ORANG TIDAK CERDIK PUN BOLEH JADI MENTERI?

Bukanlah perkara biasa bagi pihak istana membuat teguran mengenai menteri-menteri yang dianggap tidak cerdik dan lebih selalu menjadi bahan jenaka kepada rakyat.

Sejak dulu lagi, pihak istana memang tidak pernah campurtangan dalam pentadbiran kerajaan, apatah lagi membuat teguran terbuka mengenai kedudukan menteri-menterinya.

Tetapi di era kepimpinan Najib Razak ini, kedudukan menteri-menteri yang tidak cerdik dan sering menjadi bahan jenaka bukan saja diperbual dan dijadikan momokan oleh rakyat, malah turut menggamit hati nurani istana untuk turut sama menegurnya.

Sudah tentu, dengan turut sama membuat teguran itu bermakna ketidakcerdikan dan penonjolan menteri-menteri sebagai bahan jenaka sudah mencapai "tahap gaban" sifatnya.

Terbaru, Tuanku Mahkota Johor secara terbuka membuat teguran mengenai kedudukan menteri-menteri yang tidak cerdik dan sering dijadikan bahan lawak itu.

Katanya, langkah terpenting untuk kerajaan menambah baik sistem dalam negara sekarang ialah dengan mengenepikan beberapa menteri yang dianggap sebagai bahan jenaka kepada orangramai.

Malaysia, tambahnya memerlukan menteri-menteri yang bijak yang boleh berkhidmat kepada rakyat dan bukan menampung poket sendiri.

Apabila saya menyuarakan pendapat, ia tidak bertujuan mencetuskan ketegangan dengan kerajaan Persekutuan, tetapi dengan niat untuk bekerja bersama-sama menjadikan negara ini tempat yang lebih baik, jelas Tunku Mahkota Johor itu lagi.

Tidak perlu disebut satu persatu menteri-menteri berkenaan kerana secara umumnya rakyat sudah pun mengetahui siapa mereka, tetapi yang menjadi persoalan ialah bagaimana mereka itu  boleh menjadi anggota pentadbiran dalam kerajaan.

Siapakah yang melantiknya dan kenapa setelah diketahui tidak cerdik dan sering menjadi bahan jenaka, terus juga dikekalkan sebagai menteri?

Jika menteri-menteri kelihatan tidak cerdik dan sering dijadikan bahan lawak berikutan sering bertindak atau mengeluarkan kenyataan-kenyataan pra matang, sudah tentu yang melantiknya juga berada di kedudukan yang tidak cerdik sama.

Orang yang tidak cerdik biasanya hanya akan melantik mereka yang tidak cerdik atau lebih teruk daripada itu sebagai orang bawahannya supaya dirinya kelihatan sedikit cerdik berbanding mereka.

Berbeza dengan orang cerdik yang pasti akan melantik orang cerdik juga kerana tidak mahu nilai kecerdikannya dalam memimpin dan memilih orang bawahan dipandang rendah.

Sebab itu, tidaklah merupakan kesalahan apa-apa kepada mereka yang tidak cerdik dan selalu menjadi bahan jenaka itu apabila menjadi  menteri, tetapi yang salahnya ialah siapa yang melantik mereka itu.

Yang  tidak cerdik dan selalu menjadi bahan ketawa rakyat itu mungkin sudah semulajadinya begitu dan tidak boleh "diubati" lagi, tetapi persoalannya ialah mengapa mereka tetap dilantik sebagai menteri.

Maka, penyelesaiannya ialah hanya dengan menyingkirkan orang yang berkuasa melantik menteri-menteri itu kerana disitulah punca segala-galanya mengapa sistem dalam negara ini kelihatan begitu teruk dan buruk. (SH 31/01/2016).

PERSOALAN BARU DALAM KEMELUT MB KEDAH

Rancangan menggugurkan Mukhriz Mahathir daripada jawatan Menteri Besar kini menimbulkan persoalan baru  berikutan Jemaah Pemangku Diraja Kedah dilaporkan ingin menemui kesemua 21 ADUN BN negeri itu secara individu terlebih dahulu.

Pertemuan itu dikatakan akan diadakan pada Isnin (esok) untuk membolehkan Jemaah Pemangku Diraja Kedah menilai sama ada majoriti ADUN bersetuju dengan rancangan menukar Mukhriz atau sebaliknya.

Mukhriz juga akan turut dipanggil, tetapi beliau akan mengadakan pertemuan secara berasingan dengan Jemaah Pemangku Diraja Kedah.

Yang menimbulkan persoalan ialah mengapa Jemaah Pemangku Diraja Kedah ingin menemui kesemua 21 ADUN BN itu?

Apakah ia semata-mata kerana Mukhriz enggan mengundurkan diri dan yakin sokongan masih berpihak kepadanya?

Jika begitu, apakah akuan bersumpah yang sudah dibuat oleh 19 daripada 21 ADUN BN sebelum ini masih lagi tidak mencukupi atau ianya tidak begitu diyakini?
Apakah pertemuan Najib Razak dengan Jemaah Pemangku Diraja Kedah pada Jumaat lalu untuk maksud yang sama sambil mempersembahkan nama calon Menteri Besar yang baru, dianggap gagal dan menemui jalan buntu?

Apakah pertemuan pemimpin UMNO Kedah dengan Najib di ibu pejabat UMNO dan kemudian diikuti dengan pertemuan kedua antara ADUN-ADUN Kedah dengan Perdana Menteri serta sidang akhbar di Alor Setar yang diketuai oleh Ahmad Bashah minggu lalu, dianggap tidak bermakna apa-apa dan membuang masa saja?

Tidakkah permintaan untuk bertemu dengan ADUN-ADUN itu merupakan tanda tersirat bahawa Istana Kedah lebih mahukan Mukhriz terus dikekalkan memimpin negeri itu?

Apakah kesemua ADUN yang sudah menandatangani akuan bersumpah itu terus kekal dengan pendirian mereka atau akan "goyang" apabila bercakap dan diminta berterus-terang secara individu di depan Jemaah Pemangku Diraja?

Mungkinkah juga ADUN-ADUN itu nanti akan diyakinkan untuk terus menerima Mukhriz demi kepentingan rakyat dan negeri Kedah secara keseluruhannya? (SH 31/0122016)

Saturday 30 January 2016

SIAPAKAH YANG DIMAKSUDKAN?

Ini bukanlah kali pertama Nazir Razak, adik kepada Perdana Menteri, Najib Razak yang diselubungi pelbagai isu, meluahkan kebimbangannya mengenai apa yang sedang berlaku dalam negara.

Terbaru, menerusi Instragramnya, beliau berkongsi sebuah poster program TV "Games Of Thrones" yang menunjukkan seseorang berdiri di atas dek kapal semasa ia berlayar dalam keadaan berkabus.

"Saya bimbang dengan masa depan. Saya tidak dapat melihat bagaimana institusi boleh dipulihkan, bagaimana keadaan politik kurang "dicemari", bagaimana reputasi antarabangsa kita boleh dipulihkan," tulisnya.

Seterusnya, Nazir yang juga Pengerusi Kumpulan CIMB berkata, terdapat keperluan untuk seseorang berhenti seketika, dan memperbetulkan kompas moral seseorang bagi menangani masalah struktur semasa secara holistik.

Siapakah "seseorang" yang dimaksudkan oleh Nazir itu? (SH 30/01/2016).

DULU TAKUT DENGAN MAHATHIR, KINI TAKUT DENGAN ANAKNYA PULA

Mesyuarat MT UMNO semalam tidak membuat apa-apa keputusan berhubung kedudukan Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah.

Meskipun Najib Razak sudah mengadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah untuk memohon perkenan melantik Menteri Besar yang baru, tetapi beliau mengatakan ia akan diumumkan kemudian.

Bermakna, sehingga angkat sumpah diadakan, Mukhriz masih kekal dengan kedudukannya yang ada sekarang.

Tetapi, semalam beliau sudah pun dihalang daripada menghadiri mesyuarat MT sedangkan masih lagi berkedudukan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO dan Menteri Besar Kedah.

Walaupun kehadiran Mukhriz dalam mesyuarat MT hanyalah dalam kapasiti "turut hadir"  berikutan kedudukannya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, namun selagi jawatan itu masih disandangnya, beliau tidak seharusnya "dihalau"  begitu saja.

Harus ada sedikit hormat atas jawatan yang disandangnya itu, lainlah jika beliau sudah digugurkan daripada mengetuai UMNO negeri Kedah.

Kenapa jadi begini?  Apa yang Najib takut sangat dengan Mukhriz daripada menghadiri mesyuarat MT itu?

Apa yang cuba dirahsiakan dalam mesyuarat MT semalam?

Mengapa menutup terus telinga daripada mendengar penjelasan Mukhriz sekiranya timbul perbincangan mengenai jawatannya yang mahu dilucutkan?

Sebelum ini Najib didapati takut dengan Tun Mahathir Mohamad dalam program NothingToHide dan takut dengan Muhyiddin Yasin sehingga tidak membenarkannya merasmikan mesyuarat sayap-sayap serta berucap menggulung perbahasan Perhimpunan Agung UMNO, rupa-rupanya beliau juga gentar untuk berdepan anak bekas Perdana Menteri itu.

Apakah Najib hanya berani dalam komunikasi sehala saja? Kenapa sebagai individu paling berkuasa dalam negara, Najib masih ada rasa takut dalam dirinya?
Memang hak Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO untuk menukar mana-mana Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO, tetapi beliau juga seharusnya tahu menghormati kedudukan seseorang yang masih ada kedudukan dalam parti dan kerajaan.

Belajarlah daripada Tun Mahathir yang masih memberi ruang kepada Tun Musa Hitam merasmikan mesyuarat sayap-sayap pada pemilihan 1987 meskipun ketika itu bekas Timbalan Perdana Menteri itu bermusuh dengannya.

Juga, belajarlah bagaimana Tun Mahathir masih membenarkan Anwar Ibrahim menghadiri mesyuarat MT dan membela dirinya sebelum memecatnya pada 1998 dahulu.

Kalau pun perlantikan Menteri Besar memerlukan sedikit masa lagi untuk Najib menyelesaikan beberapa perkara terlebih dahulu, kenapa tidak digugurkan saja jawatan Mukhriz sebagai Pengerusi Perhubungan terlebih dahulu agar tidak berbangkit keperluannya menghadiri mesyuarat MT UMNO?

Mukhriz sendiri pun barangkali lebih memahami ketidakperluannya hadir dalam mesyuarat MT jika jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah itu sudah dilucutkan daripadanya.

Meskipun dilaporkan Mukhriz telah dihubungi melalui telefon, namun surat pemberitahuan mengenai ketidakperluannya hadir itu hanya disampaikan setelah beliau memasuki bilik mesyuarat di Menara Dato' Onn, PWTC.

Bukankah lebih baik, bersekali dengan pengguguran Ahmad Maslan sebagai Ketua Penerangan, Tengku Adnan Tengku Mansor juga perlu digugurkan sama sebagai Setiausaha Agung UMNO? (SH 30/01/2016).

Friday 29 January 2016

AHMAD MASLAN TERUS MALANG

Kesian dengan Ahmad Maslan, dalam waktu terdekat ini saja sudah  dua kali beliau diturunkan pangkatnya oleh Najib Razak. 

Orang lain membodek dan mengampu dapat naik pangkat, beliau diturunkan pula pangkatnya.

Sebelum ini, beliau diturunkan pangkat sebagai timbalan menteri di kementerian paling senior iaitu kewangan kepada timbalan menteri juga di kementerian perdagangan antarabangsa dan industri, kini jawatannya dalam UMNO sebagai ketua penerangan pula diturunkan kepada ahli MT lantikan saja dengan pengkhususan mengetuai biro IT.

Jawatan Ketua Penerangan UMNO yang disandang oleh Ahmad Maslan sejak Najib menjadi Presiden UMNO bermula 2009 lalu kini diambil alih oleh Annuar Musa, seorang bekas menteri dan Ahli Parlimen Ketereh, Kelantan.

Jika penurunan pangkatnya sebagai timbalan menteri di kementerian paling senior kepada yang  kurang senior sebelum ini dikaitkan dengan kegagalannya memberi penerangan berkaitan GST sehingga timbul pelbagai kekeliruan dan momokan, barangkali pertukaran jawatan dalam UMNO ini kerana Najib juga tidak puas hati dengan prestasinya dalam memberi penjelasan berkaitan isu-isu semasa dalam negara.

Dengan  mengetuai biro IT yang berperanan dalam hal-hal siber dan digital untuk UMNO, Ahmad Maslan pasti tidak akan banyak bercakap seperti selalu lagi, sebaliknya akan lebih kerap bermain di medium media sosial dan alam maya saja.

Agaknya dalam perkiraan Najib, pointer 3.85 yang dimiliki Ahmad Maslan tidak cukup sesuai untuknya terus banyak bercakap dan memberi penerangan di sana sini.

Pointer itu hanya sesuai untuk bermain dengan dengan gajet-gajet dan menjaga alam maya semata-mata.

Sabarlah Mat...main Facebook, Twitter, Whatsapp dan Telegram banyak-banyak sajalah lepas ini!! (SH 29/01/2016).

UJIAN KEMAHIRAN BERFIKIR


Ujian ini tidak ada kaitan dengan sesiapa, yang hidup dan sedang berkuasa atau yang sudah meninggal dunia. Ia sekadar suatu anjakan berfikir di pagi Jumaat yang mulia.

Ujian 1

Seorang pencuri telah mencuri memecah masuk dalam sebuah rumah, mencederakan penghuninya dan mengambil wang tunai sebanyak kira-kira RM26,000.

Tetapi pencuri itu gagal melarikan diri kerana rumah tersebut telah dikepung oleh orang kampung. Beliau kemudian mengambil keputusan memulangkan wang yang dicurinya itu kepada tuan rumah yang cedera sambil tersenyum-senyum malu.

Dalam semua kemungkinan yang berlaku seterusnya, yang manakah yang salah?

1. Penghuni rumah serta penduduk kampung bersyukur dan membiarkan pencuri tadi bebas begitu saja.

2. Polis dan Ketua Kampung bersetuju dengan tindakan pencuri tersebut yang dianggap tidak melanggar sebarang undang-undang.

3. Penduduk ingin "membelasah" pencuri tetapi tidak berani kerana melihatkan polis dan Ketua Kampung tidak memihak kepada mereka.

4. Tiada satu jawapan yang betul.


Ujian 2

Seorang lelaki minum teh tarik di sebuah kedai mamak dan selepas melakukan satu hirupan, beliau tiba-tiba merasa dahaganya sudah hilang dan menganggap minuman itu tidak perlu lagi baginya.

Apakah yang betul untuk dilakukan oleh lelaki itu?

1. Memulangkan semula kepada tauke mamak tanpa membayarnya dan langsung tidak berasa apa-apa terhadap orang keliling.

2. Membayar dengan harga seperti biasa.

3. Meminta diskaun harga.

4. Tiada satu jawapan yang salah.

Apakah yang salah itu betul dan yang betul itu salah? (29/01/2016).

Thursday 28 January 2016

BERAPA RAMAI SETUJU?

SPRM dikatakan telah mencadangkan tiga pertuduhan harus diambil terhadap Perdana Menteri, Najib Razak dalam kertas siasatannya berkaitan isu wang  RM2,600 juta dan dana RM42 juta daripada SRC International yang masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, cadangan itu ditolak oleh Peguam Negara, Apandi Ali. Beliau bukan saja membersihkan nama Najib daripada sebarang pertuduhan atas alasan tidak cukup bukti, malah juga mengarahkan SPRM menutup terus kes tersebut.

Tetapi isu ini telah menjadi pertikaian paling hebat dalam masyarakat di mana bukan saja orangramai membuak-buak tidak setuju dengan keputusan Peguam Negara itu, malah bekas Peguam Negara, Abu Talib Othman dan beberapa pengamal undang-undang juga mempersoalkannya.

SPRM juga dilaporkan ingin merayu keputusan Peguam Negara itu kerana menganggap susah payah mereka melengkapkan siasatan hampir tujuh bulan selama ini sebagai sia-sia saja serta dalam masa yang sama tidak mahu membuatkan rakyat terus kehampaan.

Panel Penilaian Operasi dan Panel  Khas SPRM pula mahu rakyat diberi penjelasan secukupnya berhubung keputusan itu serta menyarankan agensi penguatkuasa itu terus mengadakan perbincangan dengan Peguam Negara untuk tindakan seterusnya, suatu isyarat jelas yang menggambarkan mereka juga tidak gembira kerana tiadanya pendakwaan dilakukan terhadap Najib.
Maka itu, kiranya dibuat undian, daripada 30 juta rakyat Malaysia, berapa ramaikah yang setuju Najib perlu didakwa kerana perlakuannya  berkaitan kemasukan kedua-dua wang itu tidak boleh dimaafkan serta telah mencemarkan nama baik negara?

Daripada 3.4 juta ahli UMNO, berapa ramai  yang setuju beliau harus membersihkan namanya melalui proses di mahkamah, bukannya semata-mata dibersihkan oleh Apandi Ali?

Daripada kira-kira 1.5 juta penjawat awam, berapa ramai yang setuju bahawa Najib mesti diadili di mahkamah?

Akhir sekali, tanya juga secara bisik-bisik  dan "off the record" dengan Zahid Hamidi, setuju atau tidak beliau tentang perlunya Najib dibawa ke mahkamah? (SH 28/01/2016).

APA KHABAR ZAHID HAMIDI?

Antara pemimpin UMNO dan kerajaan yang banyak bercakap mengenai wang derma RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadi Najib Razak ialah Zahid Hamidi.

Pada bulan Ogos 2015, tidak lama selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau mengatakan sudah bertemu dengan Ketua Pegawai Pelaburan dan pemegang amanah keluarga penderma tersebut.
Ketika Perhimpunan Agung UMNO Disember lalu pula, Zahid Hamidi memberitahu, penderma RM2,600 juta itu bukan seorang tetapi datangnya lebih daripada satu sumber.

Ia plural, kata Zahid Hamidi.
Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru apabila Peguam Negara, Apandi Ali mendedahkan bahawa sebahagian besar daripada wang derma itu sudah dipulangkan oleh Najib kepada keluarga Diraja Arab Saudi pada Ogos 2013 lagi, laporan-laporan media antarabangsa mengatakan Raja Abdullah, pemerintah  Arab Saud yang mangkat pada Januari 2015 kemungkinan besar adalah penderma yang dimaksudkan itu.

Jadi, apa khabar Zahid Hamidi dengan maklumat terbaru ini? (SH 28/01/2016).

Wednesday 27 January 2016

DI SEBALIK NAJIB TIADA KES, RAKYAT SEMAKIN ADA KES UNTUK MENOLAK UMNO


Nampaknya keputusan Peguam Negara membersihkan nama Perdana Menteri, Najib Razak berhubung siasatan derma RM2,600 juta dan dana RM42 juta daripada SRC International yang masuk ke akaun peribadinya, tetap tidak diterima baik dengan baik oleh rakyat pelbagai lapisan.

Di mana-mana boleh didengar rakyat membicarakan isu tersebut dan rata-ratanya mereka tidak setuju dan memperlekeh tindakan Peguam Negara, Apandi Ali membebaskan Najib begitu saja.

Di pejabat, kedai kopi, lobi hotel, pasar dan di mana-mana saja jelas dapat dikesan rasa tidak puas hati itu.  Ada juga budak-budak sekolah yang berbual dengan rakan-rakannya turut kehairanan mengapa Najib bertindak memulangkan derma yang sudah diterimanya.

Jika budak-budak sekolah itu tahu keseluruhan kenyataan Peguam Negara, tentu mereka lebih hairan bagaimana Najib juga boleh tidak tahu sama sekali adanya dana RM42 juta berada dalam akaun bank peribadinya.

Hakikatnya, kalau dihitung perbualan komunikasi alam maya seperti dalam Facebook, Twitter, Whatsapp , Telegram dan sebagainya, keadaan tidak setuju dengan tindakan Peguam Negara itu jauh lebih mengerikan lagi. Macam-macam ulasan dan komen yang boleh didapati.

Dalam masa yang sama, hampir tidak ada yang berani mempertahankan atau membela keputusan Peguam Negara itu. Pejuang maya pro Najib dalam sehari dua ini dilihat lebih banyak berdiam atau cuba beralih kepada topik lain berbanding mempertahankan keputusan Peguam Negara yang paling dipertikaikan itu.

Lebih menghangatkan keadaan ialah bilamana SPRM sendiri dilaporkan akan membuat rayuan terhadap keputusan Peguam Negara itu serta cuba membentangkannya kepada Panel Penilaian Operasi yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk memantau perjalanan agensi tersebut.

Ia dengan jelas menggambarkan SPRM secara mutlaknya tidak bersetuju dengan keputusan Peguam Negara itu memandangkan mereka dilaporkan telah mencadangkan agar tiga pertuduhan diambil terhadap Najib.

Tetapi dengan Peguam Negara menolak cadangan SPRM itu, ia bukan saja menimbulkan kekecewaan dan patah hati mereka berikutan sudah bekerja keras lebih enam bulan sebelum ini untuk melengkapkan siasatan, malah ia seperti SPRM turut menghampakan harapan rakyat yang cintakan kebenaran.

Penantian rakyat dalam isu siasatan terhadap Najib berkaitan derma RM2,600 juta dan kemasukan dana RM42 juta daripada SRC International ke akaun peribadinya ialah umpama penonton bolasepak yang begitu mengharapkan jaringan gol ketika melihat seorang penyerang diberikan bola yang hanya memerlukan tolakan mudah saja, tetapi akhirnya pemain  terbabit enggan melakukan tendangan.

Begitulah kecewanya majoriti rakyat terhadap keputusan Peguam Negara itu. Tetapi, seperti penonton bolasepak, apalah daya mereka.

Ini pula merupakan kali kedua kertas siasatan ditolak oleh Peguam Negara di mana sebelum ini nasib yang sama telah pun menimpa Bank Negara Malaysia.

Apandi pula dengan bangga mempertahankan keputusannya, malah meminta sesiapa yang tidak puas hati agar menggunakan saluran undang-undang untuk mendapatkan tafsiran mahkamah berhubung tindakannya itu.

Dalam hal ini, Apandi haruslah sedar bahawa bukan semua rakyat suka pergi ke mahkamah untuk menuntut kebenaran. Jawapan bernada angkuh dengan mengatakan adalah haknya sebagai peguam negara sama ada mahu memulakan, meneruskan atau menghentikan mana-mana prosiding jenayah kepada mana-mana individu, bukan saja menghampakan, malah langsung tidak memberi gambaran yang baik mengenai perjalanan sesebuah kerajaan yang mendukung aspirasi rakyat.

Tambahan lagi, bukanlah rahsia juga, beliau duduk di kerusi tersebut hanya mengambil alih tempat Gani Patail yang disingkirkan secara mengejut dan penuh tanda tanya. Oleh itu, Apandi seharusnya lebih berhemah, cermat dan mesra dalam memberikan respon balasnya.

Memanglah semua orang tahu hak dan kedudukannya sebagai peguam negara, tetapi jika sesuatu yang jelas berwarna merah dan sesiapa pun akan mengatakannya merah, janganlah hanya kerana kuasa dan kedudukan sebagai pemegang kata putus,  beliau dengan bangga  dan tanpa perasaan mengatakannya berwarna hijau.

Mungkin orang yang tidak bersetuju hanya sekadar mampu memprotes dan tidak berupaya mengubah keputusan yang sudah dibuatnya itu, tetapi tentu ada ketikanya ruang untuk berbuat sesuatu akan menjelma juga.

Di sebalik Najib dibersihkan dan didapati tiada kes oleh Peguam Negara, sedarkah beliau bahawa ia dalam masa yang sama menjadikan rakyat semakin ada kes untuk menjauhi dan menjatuhkan UMNO dalam PRU 14 nanti?

Dengan berbekalkan 52 peratus undi popular sudah menolak UMNO dan BN dalam pilihanraya 2013 lalu, tidakkah mustahil sebenarnya angka penolakan itu tambah membesar bersama keyakinan bahawa hanya perubahan kerajaan saja satu-satunya jalan penyelesaian kepada segala kemelut dan kebejatan yang ada sekarang? (SH 27/01/2016).

APA JADI DENGAN WANG RM42 JUTA SRC? KENAPA NAJIB TIDAK PULANGKAN DUIT TERSEBUT?


Sementara kita terus ketawa dengan lawak jenaka Peguam Negara sejak pagi Selasa dalam usahanya membersihkan nama Najib Razak berkaitan derma RM2,600 juta, penjelasan tentang dana RM42 juta daripada SRC International juga tidak kurang membuatkan kita terbahak-bahak jadinya.

Najib dibersihkan daripada isu berkaitan derma RM2,600 juta bukan saja kerana  tiada apa-apa imbuhan yang diminta, bahkan juga kerana sejumlah RM2,030 juta lebihannya telah dipulangkan semula kepada keluarga Diraja Arab Saudi yang dikenalpasti sebagai pendermanya.

Berkaitan dana RM42 juta daripada SRC International pula, penjelasan Peguam Negara, Apandi Ali ialah:-

- tiada apa-apa keterangan yang boleh menunjukkan  Perdana Menteri mengetahui dan/atau dimaklumkan bahawa terdapat sebarang kemasukan wang daripada akaun SRC International ke dalam akaun-akaun beliau;

- tiada apa-ap keterangan yang boleh menunjukkan bahawa Perdana Menteri memberi apa-apa kebenaran untuk pemindahan mana-mana wang daripada akaun SRC International ke dalam akaun-akaun beliau;

- keterangan menunjukkan bahawa pada masa-masa yang material, Perdana Menteri mempercayai  segala pembayaran yang dibuat oleh beliau adalah dengan menggunakan wang sumbangan keluarga Diraja Arab Saudi yang telah dipindahkan ke akaun-akaun beliau sebelum itu.

Dalam bahasa yang mudah, ayat Apandi itu bermaksud bahawa Najib tidak mengetahui mengenai kemasukan wang sebanyak RM42 juta itu, jauh sekali memberi kebenaran wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Maka dengan itu, Najib dianggap tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah berkaitan wang RM42 juta itu.

Tidakkah ini satu lagi jenaka yang boleh membuatkan kita ketawa dengannya?

Lebih membuatkan kita ketawa jika persoalan-persoalan di bawah ini terus tergantung tanpa jawapan.

Pertama, siapakah memasukkan wang tersebut dan bagaimana mereka memperolehi nombor akaun bank peribadi Najib?

Kedua, logikkah jika seseorang memasukkan wang sebesar RM42 juta jumlahnya,  tetapi tidak memberitahu atau memaklumkan langsung mengenainya kepada penerima wang tersebut?

Ketiga, adakah sebagai Perdana Menteri, Najib betul-betul tidak pernah memberikan nombor akaun bank peribadinya kepada sesiapa?

Keempat, jika tidak pernah, bagaimana nombor akaun bank itu boleh diperolehi oleh orang lain?

Kelima, adakah perkara biasa bagi Najib memberikan nombor akaun banknya sehingga ia bukan lagi rahsia dan kemudian sesiapa saja boleh memasukkan wang ke dalamnya?

Keenam, setelah mengetahui adanya dana RM42 juta dalam akaun peribadinya, apa yang Najib lakukan terhadap wang tersebut? 

Adakah wang itu sudah habis dibelanjakan atau masih dalam simpanan lagi?

Kenapa ia tidak dipulangkan semula kepada SRC International seperti yang dilakukannya dalam sebahagian daripada wang derma RM2,600 juta kepada keluarga Diraja Arab Saudi itu?

Dalam pada itu, persoalan yang tidak kurang misterinya ialah mengapa dua bekas pengarah SRC International, Nik Faisal Farid Kamil dan Suboh Md Yassin melarikan diri ke luar negara sejak sekian lama?

Apa yang mereka takutkan? Adakah mereka mengetahui mengenai wang RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Najib itu?

Adakah selepas kes ini ditutup, mereka akan terus berada di luar negara atau akan segera kembali ke dalam negara?

Sementara kita menunggu ada atau tidak jawapan kepada persoalan-persoalan ini, marilah kita terus ketawa kerana sebenarnya penjelasan Apandi Ali dalam membersihkan Najib semalam  adalah lawak jenaka paling "rare" sejak negara kita merdeka. ( SH 27/0/2016).

Tuesday 26 January 2016

NAJIB TIDAK SAJA DIBERSIHKAN, SUCI HATINYA JUGA DIDEDAHKAN...

Tiada kesalahan dan pendakwaan yang akan diambil terhadap Perdana Menteri, Najib Razak setelah penyiasatan lebih enam bulan oleh SPRM berhubung wang RM2,600 juta dan dana RM42 juta daripada SRC International barangkali tidaklah begitu memeranjatkan kita semua.

Ini kerana keputusan itu pada umumnya sudah dijangka oleh sesiapa pun juga, cuma yang ingin ditunggu ialah bagaimana penolakan kes itu akan dilakukan oleh Peguam Negara.

Walaupun SPRM yang melakukan penyiasatan, tetapi sama ada pendakwaan hendak dilakukan atau sebaliknya, ia adalah kuasa Peguam Negara. Oleh kerana Apandi Ali dilantik secara mengejut menggantikan Gani Patail, penutup skripnya tidaklah begitu sukar untuk dijangka.

Tetapi yang lebih memeranjatkan ialah apabila Peguam Negara turut memaklumkan bahawa selain tiada kes yang boleh dikaitkan dengan Najib berkaitan wang tersebut, beliau  juga dimaklumkan sudah memulangkan kembali RM2,030 juta daripada RM2,600 juta yang diterimanya kepada keluarga penderma daripada Timur Tengah tersebut.

Kata Peguam Negara,  wang itu dipulangkan oleh Najib kepada penderma kerana ia tidak lagi diguna pakai.

Oh oh oh...baiknya hati Perdana Menteri kita ini. Oleh kerana tidak diguna pakai, wang derma itu dipulangkan kembali. Jumlahnya pula bukan seratus dua, tapi ribu-ribu juta.

Memang zuhud dan tidak gelap mata dengan dunia rupanya pemimpin kita ini. Mungkin Najib satu-satunya pemimpin yang pernah memulangkan kembali wang derma yang diterimanya dalam jumlah ribu-ribu juta nilainya.

Barangkali di dalam dunia juga hanya ada seorang manusia yang memiliki hati sesuci dan sebersih Najib ini. Sebelum Najib, rasanya tidak ada yang memiliki hati seperti itu dan diharapkan dengan contoh teladan yang ditunjukkan ini lebih ramai lagi yang akan menuruti jejak langkahnya itu, terutama isteri dan anak-anaknya.

Di sebalik Peguam Negara telah membersihkan Najib menjadi bersih sebersih-bersihnya umpama kain putih atau seperti bayi yang baru lahir, beliau juga menzahirkan bahawa Najib adalah pemimpin yang begitu mulia hatinya sehingga sanggup memulangkan kembali wang derma yang diterimanya.

Peguam Negara, Apandi Ali hari ini membersihkan nama Najib daripada sebarang kesalahan jenayah berkaitan penerimaan wang ke dalam akaun peribadinya itu atas alasan "tidak cukup bukti" untuk mengaitkannya dengan tiga kertas siasatan yang dihantar oleh SPRM itu.
Serentak dengan itu, Apandi juga mengarahkan SPRM menutup terus kes itu.

Tiadalah lagi apa-apa yang boleh dibangkitkan mengenai derma RM2,600 juta dan dana RM42 juta itu walaupun hakikatnya SPRM telah menghantar tiga kertas siasatan mengenainya.

Dalam hal ini, biasanya orang yang menderma tidak mengharapkan lagi wang yang didermanya dikembalikan kerana selepas menderma, yang diharapkan selepas itu hanyalah pahala saja.

Apatah lagi digembar-gemburkan kononnya derma itu untuk memerangi keganasan, menegakkan fahaman Ali Sunnah Wal Jamaah, menentang DAP dan kerana ingin UMNO terus berkuasa di negara ini.

Ehhh...kenapa dipulangkan pula? Sudah tamatkah agenda memerangi keganasan, menegakkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, menentang DAP dan memperkukuh UMNO supaya terus berkuasa?

Walaupun tidak diminta, Najib rupa-rupanya dengan rela hati memulangkan wang besar itu semata-mata kerana ia tidak digunapakai lagi.

Perghhh...mulia dan suci murni sungguh hati Najib rupanya!

Ada sesiapa nak percaya?

Hehehe....Lawak betul dan sehingga pilihanraya 2018 nampaknya kita tidak perlu lagi menonton sebarang hiburan televisyen untuk ketawa dan menghiburkan hati. Lawak ini saja sudah memadai membuatkan kita ketawa sepanjang masa.(SH 26/01/2016).

APAKAH NAJIB BENAR2 PEDULI NASIB UMNO?


Tanyalah siapa juga pun, pasti tidak ada yang setuju bahawa pertukaran Menteri Besar Kedah ini akan menjadikan UMNO negeri itu bertambah kuat atau kedudukan kerajaan secara automatik bertambah kukuh.

Juga, tidak ada yang dapat memberi jaminan sama sekali bahawa dengan menggugurkan Mukhriz Mahathir akan menjadikan kedudukan UMNO secara keseluruhannya akan bertambah baik serta Najib serta merta lebih diterima rakyat.

Tanpa keraguan oleh sesiapa juga yang waras pertimbangannya, imej UMNO dan Najib akan bertambah buruk dengan menggugurkan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah. 

Ia bukanlah semata-mata kerana Mukhriz lebih baik atau lebih diterima rakyat dan imej kepimpinannya yang tiada skandal, tetapi juga disebabkan calon penggantinya kelihatan jauh lebih buruk dan tiada apa-apa nilai tambah di mata rakyat.

Sejarah tewasnya Kedah pada pilihanraya 2008 akan lebih mudah berulang kerana pasukan yang pernah kalah dan diketuai oleh mereka yang  kalah sebenarnya lebih mudah untuk dikalahkan oleh pihak lawan.

Kenapa nama Ahmad Bashah tidak diyakini di saat-saat akhir pilihanraya 2013 dan Mukhriz segera ditonjolkan ketika itu?

Sebabnya, tentulah tidak lain kerana beliau tidak diyakini boleh menang ketika itu. 

Lalu, apakah dengan menukar Mukhriz kepada Ahmad Bashah pula, UMNO dan BN ada harapan lebih baik dalam pilihanraya akan datang?

Lantaran itu, jika Najib benar-benar memikirkan mengenai kedudukan dan masa depan UMNO, menukar Menteri Besar Kedah bukanlah pilihan yang betul atau yang lebih baik yang harus dilakukannya. 

Menggugurkan  Mukhriz hanyalah menunjukkan kebolehannya menggunakan kuasa, sambil dapat melepaskan dendam kepada Tun Mahathir Mohamad yang menjadi pengkritik utamanya ketika ini, tetapi langsung tiada kelebihan untuk UMNO dan negeri Kedah .

Pertukaran Menteri Besar Kedah sekarang tentulah juga berbeza dengan pertukaran yang pernah dilakukan oleh Tun Mahathir ketika beliau menjadi Perdana Menteri dahulu sebagaimana yang disebut oleh Mahadzir Khalid semalam.

Ketika itu bukan saja tidak ada isu mengenai imej Perdana Menteri yang terlalu buruk, bahkan calon penggantinya iaitu Sanusi Junid yang ditonjolkan untuk mengambil alih tempat Osman Aroff, juga dilihat lebih berwibawa, lebih diyakini dan lebih baik.

Falsafah melakukan pertukaran mestilah daripada keadaan yang tidak berapa baik kepada keadaan yang lebih baik. Sanusi ketika itu ditolak oleh majoriti wakil-wakil rakyat hanyalah kerana watak politiknya, bukan kerana beliau tidak baik atau tidak ada kelebihan.

Ia berbeza dengan sekarang. Menteri Besar yang baik dan disukai oleh rakyat Kedah ingin ditukar dengan yang tidak berapa baik serta pernah berada dalam pasukan yang ditolak oleh pengundi pada 2008 lalu.

Maka, adakah pertukaran itu nanti menunjukkan Najib benar-benar peduli dengan nasib dan masa depan UMNO?

Jika diimbas perlakuan-perlakuan Najib sejak menjadi Perdana Menteri, apa yang yang difikirkannya adalah lebih tentang dirinya berbanding nasib UMNO serta negara.

Kemelut yang berlaku dalam 1MDB dan membenarkan akaun bank peribadinya digunakan sebagai tempat berlabuhnya derma berbilion ringgit saja sudah cukup menunjukkan hakikat itu.

Pemimpin yang memikirkan nasib dan masa depan UMNO serta negara pasti tidak berbuat demikian dalam apa keadaan sekali pun. Maknanya, beliau melakukannya kerana memikirkan tentang dirinya lebih daripada segala-galanya.

Lebih jelas lagi, bagaimana Najib mempertahankan dirinya dalam kedua-dua isu tersebut juga memperlihatkan hakikat yang sama. Beliau seolah-olah tidak peduli apa akan jadi kepada UMNO, negara dan penilaian rakyat kerana yang penting baginya ialah bagaimana untuk menyelamatkan kedudukan dirinya semata-mata.

Dengan segala kuasa yang ada padanya, memang sehingga ini Najib kelihatan selamat, tetapi apakah UMNO dan negara juga turut selamat melalui perlakuan-perlakuan untuk menyelamatkan dirinya itu?

Apakah juga UMNO lebih selamat dalam pilihanraya akan datang?

Pasti tidak ada yang dapat memberi jawapan positif mengenainya, malah lebih ramai yang mengatakan UMNO dan negara akan lebih selamat jika tanpa Najib sebagai pemimpinnya.

Begitu juga dalam kes pertukaran Menteri Besar ini. Najib bukanlah memikirkan tentang UMNO dan negara dalam keinginan berbuat demikian. Beliau hanya memikirkan tentang dirinya yang ingin menunjukkan kuasa dan membalas dendam kepada Tun Mahathir.

Wakil-wakil rakyat Kedah yang menolak Mukhriz juga berbuat demikian hanyalah kerana mereka tahu Najib ada dendam yang ingin dilangsaikannya terhadap Tun Mahathir. Apa yang berlaku selepas itu bukan lagi dalam pertimbangan mereka untuk memikirkannya.

Yang difikirkan mereka, sama seperti Najib, hanyalah kepentingan diri semata-mata. (SH 26/01/2016).

Monday 25 January 2016

SAYA DAN TASIK KENYIR


Sebaik saja telefon bimbit saya mendapat semula "nyawanya" tengahari tadi, terdapat beberapa pertanyaan daripada kenalan dan rakan mengapa blog ini tiada artikel baru sejak Sabtu lalu.

Ada yang bertanya ke mana saya menghilang dan adakah saya tidak sihat sehingga tidak memuatkan tulisan-tulisan baru?

Seorang kawan yang biasa berbahasa kasar dengan saya pula menghantar pesanan melalui Whatsapp, "Hoiii, mana pergi. Senyap je blog. Cal aku balik."

Selebihnya ada juga yang berkongsi maklumat mengenai perkembangan politik Kedah untuk saya tulis dalam artikel-artikel seterusnya.

Kepada yang bertanya  ke mana saya menghilang, kenapa tiada artikel baru atau kepada yang beberapa kali membuka blog ini tetapi tidak terjumpa penulisan baru  sejak Sabtu lalu, sebenarnya saya menyertai suatu percutian bersama beberapa kenalan  sahabat ke Tasik Kenyir, Terengganu.

Setiap kami membawa keluarga masing-masing ke sana. Bermakna, selain mengeratkan hubungan sesama rakan serta berbincang isu-isu tertentu, pemergian ke Tasik Kenyir itu juga ibarat percutian keluarga bagi kami.

Berada di atas Bahtera Kenyir 1, semua perhubungan telefon dengan dunia luar terputus sama sekali. Sebab itu, bila sampai ke jeti di Hulu Terengganu tengahari tadi, ribuan pesanan sudah pun berada dalam kotak simpanan telefon.

Di sini, selain tempat yang sesuai untuk merehatkah minda, ia juga syurga bagi kaki pancing, peminat ikan sungai serta pencinta keindahan alam sekitar.

Pengalaman paling menyeronokkan ialah berkunjung ke pusat penternakan ikan kelah yang dikenali Kelah Santuari di mana kita boleh memberi makan, menyentuh dan membelai sendiri ikan-ikan tersebut.

Sebenarnya, pusat tersebut ditutup ketika ini sehingga Mac depan dan terima kasih atas kebenaran khas yang diberi kepada rombongan kami untuk mengunjunginya.

Bagi yang belum pernah sampai ke Tasik Kenyir, cubalah meluangkan masa dan anda pasti tidak menyesal pergi ke sana. 

Saya masih dalam perjalanan pulang ke "kediaman rasmi" di Lembah Kelang setelah dibawa pula singgah ke sebuah restoran yang menjual ikan kelah di pekan Hulu Terengganu, mudah-mudahan dengan izin Allah saya akan menulis seperti biasa selewat-lewatnya mulai malam nanti. (SH 25/01/2016).

Antara ratusan pulau yang terdapat di Tasik Kenyir.

Salah satu air terjun yang cantik dan menyamankan untuk mandi manda.

Jambatan gantung untuk menuju ke Kelah Santuari.

Memberi makan dan bermain-main dengan ikan kelah.

Lihatlah betapa manja ikan-ikan kelah ini...

Ikan Sebarau yang dapat dibawa pulang dengan memancing dari atas kapal.

Seekor lagi ikan Sebarau yang diperolehi dengan memancing

Ikan Toman seberat 3.8 kilogram berjaya dipancing oleh salah seorang rakan.


Saya bersama Chef Alias yang mengetuai empat petugasnya yang menyediakan makanan sepanjang berada dalam Bahtera Kenyir 1.

Saturday 23 January 2016

RANCANGAN SINGKIR MUKHRIZ GAGAL?

Semuanya nampak serba tak menjadi. Jika dua hari lalu, gerakan menolak Mukhriz Mahathir yang diadakan di Alor Setar dipertikaikan oleh beberapa pemimpin UMNO dan wakil rakyat yang hadir di mana ada di antaranya merasakan seolah-olah diperdaya dan mereka tidak tahu tujuan sebenar perjumpaan itu diadakan, apa yang berlaku dalam perjumpaan Kuala Lumpur semalam lebih mendukacitakan lagi.

Kumpulan 14 Ketua Bahagian Kedah  diketuai oleh Ahmad Bashah Hanipah yang mengadakan pertemuan dengan Najib Razak bagi meneruskan desakan dan mencapai kata muktamad agar kedudukan Mukhriz ditukar, terus menemui jalan buntu.

Dalam pertemuan di PWTC semalam, selain dihadiri 14 Ketua Bahagian berkenaan, ia juga turut dihadiri oleh wakil-wakil rakyat, Exco Kerajaan negeri dan pimpinan UMNO empat peringkat yang lain.

Malangnya, difahamkan tiada kesepakatan dicapai dalam memutuskan  sama ada Mukhriz benar-benar perlu digantikan atau sebaliknya. Terdapat suara-suara yang bimbang bahawa penyingkiran Mukhriz akan memecah-belahkan lagi UMNO dan menidakkan sama sekali peluang mengekalkan penguasaan BN di negeri Kedah.

Sudahlah begitu, kehadiran dalam perjumpaan dengan Najib itu juga dilaporkan tidak menepati sasaran yang menggembirakan. Ada yang menyebut kehadiran tidak sampai pun 100 orang sedangkan jemputan dibuat untuk lebih 200 orang.

Ia dengan sendirinya bermakna, ramai yang tidak setuju dengan perjumpaan untuk menyingkirkan Mukhriz itu.

Dalam keadaan kehadiran mengecewakan dan tiada kesepakatan itu, Najib akhirnya hanya meluangkan masa kira-kira 40 minit saja dalam pertemuan itu. Beliau meninggalkan majlis sebelum ia berakhir  secara sembunyi-sembunyi melalui pintu belakang seolah-olah enggan menunjukkan wajah kecewanya kepada pihak media.

Malah menjadi perbualan di kalangan petugas media tentang adanya arahan tidak membenarkan diambil gambar Najib ketika meninggalkan majlis itu. Wajah Najib ketika dalam perjumpaan itu pula, sebagaimana yang tersebar dalam pelbagai media sosial, jelas memperlihatkan wajahnya yang murung dan tidak gembira.

Selepas Najib pergi, mesyuarat tetap diteruskan tetapi semua mereka yang hadir mengunci mulut daripada bercakap mengenai hasil atau keputusan perjumpaan itu.

Ramai yang ditemui sekadar berkata, "no komen", "semuanya berjalan dengan baik"  atau kata-kata jawapan klise yang seumpama dengannya.

Episod ini bukan saja memalukan 14 Ketua UMNO Bahagian yang selama ini begitu bersungguh-sungguh mahu menyingkirkan Mukhriz, malah kali ini mereka turut menyeret Najib sama untuk dimalukan.

Sepatutnya, pertemuan dengan Najib yang diadakan selepas sidang akhbar di Alor Setar, mereka terus berjaya meyakinkan Perdana Menteri agar Mukhriz dapat disingkirkan dengan segera.

Namun disebabkan ramai yang berbelah bagi dan lebih risau kesannya kepada UMNO dan BN, ia dengan sendirinya membuatkan Najib rasa terpukul, lalu meninggalkan pertemuan tanpa sidang akhbar dan pengumuman.

Yang lebih memalukan, terpaksa pula Najib keluar ikut pintu belakang - sama seperti yang dilakukannya ketika mesyuarat MT UMNO selepas pemecatan Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal dahulu.

Di luar pula, gerakan menyingkirkan Mukhriz secara automatik telah membuatkan beliau semakin popular dan mendapat lebih simpati daripada rakyat. Bukan saja rakyat Kedah bangun dan berdiri memberi sokongan kepadanya, bahkan di mana-mana limpahan sokongan dapat dirasai.

Agenda menyingkirkan Mukhriz itu akhirnya bukan saja terkesan kepada 14 Ketua Bahagian yang mendapati rakyat tidak bersama dengan kehendak mereka, malah juga menyebabkan Najib turut menerima kesan penolakannya.

Menyingkirkan Mukhriz dan memenuhi kehendak 14 Ketua Bahagian itu lebih memberi kesedaran tentang bahayanya kepada masa depan Najib sendiri akhirnya.

Perjumpaan dengan Najib ini boleh dikatakan gagal sama sekali dan kemungkinannya ialah Mukhriz akan terus kekal sehingga PRU 14 nanti. (SH 23/01/2016).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...