Monday 31 July 2017

SEDIAKAH ZAHID HAMIDI MINTA MAAF DENGAN TUN M ATAU LEBIH SELESA DIGELAR "KAKI PEMBOHONG"?


Sejak awal lagi memang disedari bahawa serangan Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi kepada Tun Mahathir Mohamad bukan saja bersifat perkauman dan memperlekeh sesuatu kaum, tetapi yang lebih berat kerana ia juga berbentuk pembohongan.

Apabila Zahid mengatakan bekas Perdana Menteri itu dalam kad pengenalan birunya bernama "Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty", ramai yang tidak ragu-ragu mengatakan beliau telah tersalah fakta mengenainya.

Ini kerana yang diketahui umum ialah Mahathir bin Mohamad, bukannya berbinkan Iskandar. 

Iskandar adalah datuk kepada Tun Mahathir atau lebih tepat yang berbinkan Iskandar ialah Mohamad dan bukannya Mahathir.
Jadi, tentulah pelik dan menghairankan bagaimana ia boleh diucapkan oleh seorang yang berjawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, malah tidak dinafikannya sehingga kini.

Oleh itu, jika ada yang mengatakan persoalan keturunan Tun Mahathir lebih dulu dibangkitkan oleh kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah ketika pertandingan UMNO 1987 atau oleh Anwar Ibrahim selepas pemecatannya pada 1988, ia sebenarnya sama-sekali tidak sama dengan apa yang dibangkitkan oleh Zahid Hamidi

Sama ada disentuh oleh puak Ku Li atau Anwar Ibrahim, usikan mereka  hanyalah dengan nada bergurau mengenai "darah keling" atau "keturunan Kerala" yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri itu, tetapi ia tidak bersifat pembohongan. 

Mereka juga ternampak tidak menghina India Muslim atau mamak dalam memperkatakan keturunan Tun Mahathir itu.

Juga tidak pernah sesiapa, sama oleh penyokong Tengku Razaleigh atau Anwar Ibrahim, mereka sampai ke peringkat mengata "Mahathir sebagai anak lelaki Iskandar Kutty".

Tun Mahathir dan mereka yang menyayanginya juga tidak pernah marah atau tersinggung dengan apa juga serangan berkaitan keturunan yang pernah disentuh oleh penyokong Ku Li atau Anwar Ibrahim itu.

Malah, Tun Mahathir sendiri pernah mengakui keturunan sebelah bapanya memang berasal daripada India.
Tetapi, reaksinya ternampak berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Zahid ini. Bukan saja penyokong Tun Mahathir jadi marah dan tersinggung, rata-rata rakyat pelbagai lapisan juga mengecam dan membenci Zahid Hamidi melalui tindakan terbarunya ini.

Ini kerana nada serangan Zahid jelas bersifat perkauman, memperlekeh kaum lain serta suatu bentuk pembohongan.

Sejak bila Tun Mahathir berbinkan Iskandar Kutty? tanya mereka.

Selain kemudiannya bersepah-sepah salinan kad pengenalan dan surat beranak Tun Mahathir dikongsi di media sosial, tulisan mengenai salasilah keluarga beliau juga kedapatan di sana-sini di medium yang sama.

Dalam kad pengenalan dan surat beranak itu, yang ada tertulis hanya Mahathir dan bapanya Mohamad. Tidak ditemui sama-sekali "Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty" sebagaimana dakwaan Zahid itu.

Dalam salasilah keluarga pula antaranya menyebut bahawa bapa Tun Mahathir, Mohamad bin Iskandar bukan orang sebarangan, sebaliknya adalah pengetua pertama Kolej Sultan Abdul Hamid, sebuah sekolah yang terkenal di negeri Kedah.

Kemudian, anak perempuan Tun Mahathir, Marina juga menjelaskan perkara yang sama bahawa bapanya adalah berbinkan Mohamad, bukannya beranak-lelakikan Iskandar sebagaimana didakwa oleh Zahid.

Iskandar, tambah Marina, adalah datuk kepada Tun Mahathir dan bukan bapa kepada ayahnya.

Lewat petang ini, Tun Mahathir sendiri, dalam keadaan tidak berapa sihat kerana selsema, tetapi ternampak ceria, tampil dengan sebuah rakaman video yang mencabar Zahid Hamidi membuktikan apa yang didakwanya itu.

"Tidak pernah lagi sesiapa menyentuh perkara ini dengan memberi asal-usul saya yang berbeza daripada apa yang diketahui umum.

"Ini adalah kenyataan yang cukup baik untuk menunjukkan berapa Zahid adalah kaki pembohong," kata Tun Mahathir sebagaimana dipetik dalam video tersebut.

Lalu, sekarang bagaimana?
Daripada bukti salinan kad pengenalan, surat beranak, penjelasan Marina dan kenyataan oleh Tun Mahathir sendiri, kecuali jika Zahid Hamidi benar-benar dapat menampilkan bukti-bukti yang lain untuk membuktikan kebenaran fakta, beliau dengan sah, sahih dan jelas telah berbohong kepada seluruh rakyat Malaysia mengenai dakwaan yang dibuatnya itu.

Berbohong, adalah dosa paling besar bagi pemimpin, tidak jauh bezanya dengan dosa mencuri wang rakyat.

Sediakah Zahid Hamidi menampilkan bukti-bukti untuk mengesahkan kebenaran dakwaannya, meminta maaf dan mengakui kesalahannya atau mahu terus dikenali sebagai "kaki pembohong" untuk selama-lamanya?

Apatah lagi,  Tun Mahathir turut mengesahkan bagaimana Zahid Hamidi pernah menemuinya untuk meminta sokongan bagi beliau menggantikan Najib, tidak lama selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin Yassin dahulu.

Berani dan sediakah Zahid Hamidi mengakui pertemuannya dengan Tun Mahathir itu atau beliau sekali lagi akan menjadi "kaki pembohong" kepada umum? (ShahbudinHusin 31/07/2017)

ZAHID HAMIDI, TIMBALAN PERDANA MENTERI PALING LEKEH DAN MERAPU


Pada 28 Julai lalu, bermakna genaplah tempoh dua tahun Ahmad Zahid Hamidi menjadi Timbalan Perdana Menteri sejak dilantik pada tarikh yang sama pada 2015 yang lalu.

Beliau dilantik memegang jawatan itu menggantikan Munyiddin Yassin yang dipecat kerana mengkritik Najib Razak dan bertanya banyak soalan tentang 1MDB.

Tidak seperti semua yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri sebelum ini, sama ada mereka berjaya menjadi Perdana Menteri atau pengejaran jawatan terkandas di tengah jalan, Zahid Hamidi adalah penyandang paling lekeh dan merapu sekali.

Tidak usah dibandingkan dengan Tun Dr. Ismail, Tun Musa Hitam atau Anwar Ibrahim yang memang diketahui watak, penampilan dan kewibawaannya tidak perlu dipertikaikan lagi, malah berbanding dengan Tun Ghafar Baba dan Tun Abdullah Badawi pun, Zahid Hamidi masih ketinggalan dan berada jauh di belakang.

Zahid, dengan jawatan nombor dua dalam parti dan kerajaan, ternampak tidak dapat membawa dirinya dengan jawatan tersebut. Ucapan dan percakapannya banyak merapu, tidak kena dengan kedudukannya dan ia lantas menjadikan beliau paling lekeh berbanding semua pendahulunya.

Beliau suka berucap dengan memberi amaran, mengangkat jari telunjuk, intonasi yang sedikit mengada-ngada serta banyak fakta yang diluahkannya tidak membina. Amarannya yang banyak diucapkannya pula selalu tinggal amaran saja.

Sebagai Timbalan Perdana Menteri, baik berucap di acara UMNO atau kerajaan, Zahid seharusnya bercakap bersandarkan fakta atau kajian serta berbentuk seruan yang membina mengenai sesuatu perkara yang dibangkitkannya.

Bersama beberapa siri ucapan dan penampilannya yang meragukan sebelum ini, sepertinya tak ubah beliau masih Ketua Pemuda UMNO, menteri biasa atau sekadar Setiausaha Politik saja. 

Serangannya kepada Tun Mahathir Mohamad dengan memperlekeh darah keturunan bekas Perdana Menteri itu adalah gambaran paling lekeh dan memualkan tentang watak dan pemikirannya.

Dengan kedudukannya sekarang, Zahid tidak wajar memperlekeh mana-mana kaum dan keturunan lain, biarkan untuk tujuan serangan politik kepada Tun Mahathir yang sedang bermusuh dengan Najib.

Beliau seharusnya memupuk perpaduan dan mengeratkan hubungan sesama kaum, bukan cuba merenggangkannya dengan komen yang berbentuk hinaan kepada sesuatu kaum.

Tun Mahathir, dalam serangannya kepada UMNO dan Najib, hanya selalu membangkitkan mengenai skandal 1MDB, kecurian wang, negara bakal bankrap dan sebagainya.

Semua serangan itu seharusnya dijawab dengan fakta atau lenggok kata-kata politik yang munasabah, sesuai dengan kedudukan dan jawatannya, bukan dengan mengaitkan susur galur atau darah keturunan yang berbentuk hinaan.

Ia tentunya tidak menghairankan jika menteri di pinggiran yang mengejar perhatian, Ketua Pemuda UMNO atau mana-mana pemimpin yang sedang melobi untuk kenaikan pangkat dan menjadi calon yang melakukan serangan demikian. 

Tetapi jika orang yang bergelar YAB berbuat demikian, budak-budak Tadika pun akan merasakan ia suatu kejanggalan dan tidak wajar dilakukan.

Apakah dengan mengungkit mengenai darah keturunan India Tun Mahathir, ia merupakan jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri itu?

Apakah manusia yang berdarah keturunan India begitu hina dan tidak boleh dipercayai?

Apakah Zahid Hamidi tiada perasaan kepada kaum dan bangsa lain di negara ini, lalu dengan sesuka hati menghina dan memperlekeh mereka serta tidak malu-malu menunjukkan jiwa perkaumannya?

Jika Tun Mahathir yang berdarah India daripada sebelah bapanya dinilai begitu hina dan tidak boleh dipercayai untuk memperjuangkan nasib Melayu, apakah maksud tersiratnya Zahid juga memperlekeh dan menghina Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj yang ada keturunan darah Siam dan Tun Hussein Onn yang diketahui umum berdarah Turki?

Ataukah Zahid Hamidi sebenarnya cuba memberi gambaran bahawa pesaingnya, Hishammuddin yang berdarah Turki, sebenarnya sama tidak layak dan tidak boleh dipercayai untuk menjadi Perdana Menteri di masa akan datang, seperti juga Tun Mahathir berdarah India yang diperlekeh dan dihinanya itu?

Adakah Zahid Hamidi sebenarnya mengharapkan, beliau yang berdarah Jawa daripada Jogjakarta akan terus berada di hati Najib Razak yang berdarah Bugis dan Perdana Menteri mesti mengenepikan Hishammuddin, meskipun mereka mempunyai hubungan sepupu?

Dalam hal ini, jika pun Zahid Hamidi  bertujuan melobi dan mengampu Najib agar beliau tidak terus dipinggirkan, tetapi sama seperti tidak kena caranya beliau dalam banyak perkara sebelum ini, Zahid Hamidi juga sebenarnya tersilap gaya dalam mengampu dan membodek Najib.

Beliau kini dengan sendirinya semakin mencipta banyak musuh dalam UMNO, selain menjadi liabiti kepada Najib sendiri. (ShahbudinHusin 31/07/2017)

Sunday 30 July 2017

AWAS!!!...GOLONGAN MAMAK DAN INDIA MUSLIM BAKAL KENA 'PANCUNG' MASA DEPANNYA OLEH ZAHID HAMIDI?


Semua orang tahu Zahid Hamidi berketurunan Jawa dan dalam satu temubual dengan stesen televisyen Indonesia tidak lama dahulu,  nampaknya beliau berbangga dengan keturunannya yang berasal dari negara jiran itu.

Namun, Zahid Hamidi rupa-rupanya tidak sekadar berketurunan Jawa, tetapi juga sepertinya anti dengan golongan mamak dan keturunan India Muslim di negara ini.

Tidak seperti Najib yang mahu memberi taraf Bumiputera kepada keturunan India Muslim dan meletakkan kedudukan yang tinggi dalam kerajaan kepada sekian ramai mereka yang berketurunan mamak dan India Muslim, Zahid Hamidi sebaliknya seolah-olah bersikap anti terhadap kelompok tersebut.

Dengan beliau mengungkit darah keturunan Tun Mahathir Mohamad, ramai yang jadi tidak faham apa kaitan dan tujuannya Timbalan Perdana Menteri itu berbuat demikian?
Lebih sukar difahami kerana Zahid Hamidi kononnya sudah 30 tahun mengunjungi Kaabah pada setiap akhir Ramadan tanpa pernah tertinggal melakukannya walau sekali pun.

Apakah begitu sekali cara berpolitik orang yang selalu berbangga dan bercerita dengan kawan-kawan mengenai kemampuannya mengunjungi Kaabah setiap tahun?

Kenapa Zahid Hamidi menampakkan sikap antinya itu dan apa kaitannya keturunan Tun Mahathir dengan persoalan politik, khususnya skandal 1MDB dan kecurian wang yang berlaku dalam negara?

Apakah tindakannya itu dapat menambahkan undi untuk UMNO dan BN?

Atau ia sebaliknya hanya menjadikan UMNO dan BN makin dibenci serta ditolak?

Jika demikian, apakah tujuan Zahid Hamidi berbuat begitu?

Apa salahnya Tun Mahathir yang berketurunan India Muslim dan menjadi Perdana Menteri selama ini sedangkan darah itulah yang membina banyak pembangunan seperti KLCC, KLIA, LRT, Lebuhraya Utara-Selatan dan pelbagai lagi sepanjang pemerintahannya?

Apakah dengan mengungkit darah keturunan Tun Mahathir, Zahid Hamidi cuba menyanggah hasrat Najib mahu memberi taraf Bumiputera kepada golongan India Muslim?

Apakah juga Zahid Hamidi tidak senang dengan kedudukan Ali Hamsa sebagai Ketua Setiausaha Negara, Irwan Siregar sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak, Reezal Merican Naina Merican sebagai Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri Luar Negeri, Azeez Rahim sebagai Pengerusi Tabung Haji, Shahrizat Jalil sebagai Ketua Wanita UMNO, Aziz Sheikh Fadzir dan Musa Sheikh Fadzir sebagai Ketua UMNO Bahagian Kulim Bandar Baharu dan Ketua UMNO Bukit Mertajam dan lain-lain lagi yang berketurunan mamak dan India Muslim?

Kalau Zahid Hamidi begitu curiga dan lantang mendakwa Tun Mahathir yang berketurunan India Muslim telah mempergunakan orang Melayu, apakah ia juga bermaksud semua yang berketurunan India Muslim berperangai begitu?

Apakah nasib mereka yang berketurunan India Muslim, baik dalam UMNO atau kerajaan selepas ini - dikekalkan dan diberi peluang bertanding lagi dalam pilihanraya akan datang atau Zahid Hamidi akan memainkan peranan berbisik kepada Najib agar menggugurkan satu persatu mereka itu? 

Bagaimana jika ditakdirkan Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri?

Apakah hanya Jawa saja yang mendapat tempat dan semua India Muslim akan diketepikan?

Awass....mamak dan India Muslim semua, Zahid Hamidi mula merbahaya kepada anda!! (ShahbudinHusin 30/07/2017)

PAS SEMAKIN TERTINGGAL DAN MEMANG PATUT DITINGGALKAN


Jika kita perhatikan, tidak banyak berita mengenai Pas tersiar di dada-dada media sejak minggu-minggu kebelakangan ini. Kalau ada pun satu dua berita yang melintas, tidak lagi ramai yang peduli mengenainya.

Tulisan Hadi Awang yang dibuatnya ketika beliau sedang sakit sehingga hampir pasti menyebabkan Akta 355 tertangguh sekali lagi pembentangannya, turut tidak berapa dihiraukan, bahkan tidak lagi menarik minat untuk diulas atau diperkatakan.

Pemimpin-pemimpin Pas yang lain juga nampaknya semakin hilang daripada radar pandangan umum. Meskipun dikhabarkan wajah-wajah mereka masih kerap terpampang di dada media milik sendiri, sudah tidak ramai yang mahu membeli akhbar atau menjenguk laman berita tersebut.

Semua perkembangan yang menampakkan Pas semakin menguncup di mata dan hati rakyat ini, selain kerana pendirian parti itu sendiri yang diragui, ia juga adalah disebabkan semakin menonjolnya Pakatan Harapan dengan pelbagai agenda dan perkembangan yang menampakkan keseriusan untuk mengalahkan UMNO dan BN, seterusnya mengambil alih pentadbiran negara yang rosak akibat kerakusan Najib Razak menguruskannya.

Daripada memperkemas struktur kepimpinan, mencipta logo rasmi dan kemudian mendaftarkan Pakatan Harapan dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan, semua itu telah menarik minat rakyat dan menampakkan gabungan itu benar-benar suci dan jujur niatnya untuk menyelamatkan negara ini.

Bersama dengannya juga, beberapa komitmen turut dibentangkan kepada umum seperti jangka pendek dalam tempoh 100 hari yang antaranya  menghapuskan GST dan menstabilkan harga petrol dan jangka panjang pula termasuk memulihkan institusi awam dan menubuhkan beberapa badan menyiasat pelbagai kecelakaan yang melanda negara serta merugikan rakyat.

Semua itu, bukan saja memberi harapan, tetapi juga memperlihatkan Pakatan Harapan adalah alternatif yang benar-benar dipercayai dan berwibawa untuk menggantikan BN.

Tidak seperti Pas, meskipun berulang kali dan berbuih mulut para pemimpinnya mengatakan mereka juga serius untuk memimpin negara dan mengalahkan BN serta mengubah jumlah kerusi yang ingin ditandingi daripada 100 kepada 140, hakikatnya tiada siapa mempercayainya.

Pas tidak dipercayai dan jauh sekali daripada diyakini, bukan saja kerana tiada tokoh-tokoh berwibawa yang tinggal dalam parti itu, tetapi juga disebabkan Gagasan Sejahtera yang diura-urakan diterajuinya hanyalah momokan kosong semata-mata.

Gasasan Sejahtera yang kononnya turut disertai beberapa parti kecil lain dan ratusan NGO, tidak saja tiada struktur kepimpinan, tiada logo rasmi, bahkan tidak kedengaran beraninya ia didaftarkan sebagai entiti rasmi dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan.

Bertanding sendirian pula dengan hanya menampilkan satu kaum saja sebagai calon di sebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia ini, tentulah teramat mustahil untuk Pas menang dan dan dipilih sebagai kerajaan.

Jika tiada parti gabungan rasmi dan mendaftarnya pun tidak berani, apakah tujuan Gagasan Sejahtera itu dinyanyikan?

Ia, hakikatnya hanya untuk tujuan memperdaya saja. Semua orang hampir pasti sedar mengenainya. Sama seperti hudud yang cuma didendangkan sebagai alat politik di mana ia boleh berubah-ubah kepada negara kebajikan dan kini memadai dengan Akta 355 saja, mainan politik Pas melalui Gagasan Sejahtera dan kononnya untuk mengalahkan UMNO juga hanyalah untuk memperdaya sama.

Mereka tidak mahu, bahkan takut untuk berkuasa kerana sedar kemampuan yang tidak seberapa. Dengan mendendangkan lagu mahu berkuasa, Pas sebenarnya hanyalah ingin menolong dan membantu UMNO serta BN semata-mata.

Oleh itu, sebagaimana minggu-minggu kebelakakangan ini Pas tidak lagi dipedulikan dan hampir-hampir dilupakan oleh rakyat kerana ditenggelamkan oleh gahnya Pakatan Harapan, parti itu memang selayaknya terus disisih, ditinggal dan dilupakan. (ShahbudinHusin 30/07/2017).

Saturday 29 July 2017

DUA SEPUPU YANG "KE LAUT"


Presiden UMNO, Najib Razak menegaskan, parti itu tidak pernah bermain dengan dimensi politik yang menakut-nakutkan rakyat, sebaliknya sentiasa memberi keyakinan dan pengharapan kepada mereka.

Katanya, parti yang memainkan politik menakut-nakutkan rakyat ialah pihak yang tidak ada kuasa dan mahu menumbangkan parti yang sedang memerintah negara.

Sehubungan itu, tegas beliau ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit di Perak, rakyat mempunyai pilihan dalam pilihanraya umum akan datang sama ada memilih Pakatan Harapan yang diterajui DAP atau terus bersama BN yang ditunjangi UMNO.

Benarkah kata-kata Najib bahawa UMNO tidak bermain dengan politik menakut-nakutkan rakyat?
Siapakah yang selalu menjerit perkataan "Hidup Melayu" selama ini?

Apakah tujuan perkataan itu dilaungkan sedangkan tidak pernah kedengaran kaum-kaum lain berteriak melaungkan "Hidup Cina", "Hidup India", "Hidup Kadazan", "Hidup Iban" dan sebagainya?

Tidakkah laungan itu memberi makna ketakutan dan untuk menakutkan?

Siapakah yang pernah mengingatkan bahawa Melayu akan terbangsat jika UMNO hilang kuasa?

Siapakah juga yang mengatakan hanya UMNO pembela kepada orang-orang Melayu dan mereka dikatakan akan merempat macam di Singapura jika  parti itu tidak lagi berkuasa?

Apakah semua itu bukan menakut-nakutkan namanya?

Bahkan, dalam keadaan basah lagi bibir Najib berucap di Parit dengan mengatakan UMNO tidak bermain dengan politik menakut-nakutkan rakyat, apakah makna peringatan beliau bahawa rakyat menpunyai pilihan sama ada memilih Pakatan Harapan yang diterajui DAP atau terus bersama BN yang ditunjangi UMNO?

Tidakkah beliau sendiri sedang menakut-nakutkan rakyat dengan peringatan itu?

Bila Pakatan Harapan diterajui oleh DAP?

Siapa yang berada di tiga kedudukan teratas dalam hireaki kepimpinan Pakatan Harapan dan mengapa Najib takut untuk menyebut bahawa gabungan itu kini diketuai oleh gandingan Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim?

Bukankah Salleh Said Said Keruak pernah mengatakan DAP telah dipinggirkan berikutan tiada pemimpin parti itu dalam tiga kedudukan teratas Pakatan Harapan?

Kenapa Najib masih terbelenggu dengan stigma lama dan bercakap cuma berdasarkan pemilikan kerusi Parlimen milik DAP yang dimenanginya dalam pilihanraya 2013, lalu mengatakan Pakatan Harapan diterajui DAP?

Apakah tidak mungkin dalam pilihanraya akan datang,  kedudukan akan berubah di mana PKR, Amanah dan Bersatu akan memiliki lebih kerusi Parlimen berbanding DAP?

Adakah ketakutkan hilang kuasa dan penolakan rakyat yang semakin membesar telah membuatkan Najib gelabah, keliru dan celaru dengan apa yang diperkatakannya sehingga hujah-hujahnya macam nampak "ke laut" saja?
Bersama Najib dengan hujah "ke lautnya", sepupu beliau, Hishammuddin Hussein yang diura-ura sedang diprojekkan untuk dinaikkan pangkat lebih tinggi sehingga ketika ini diberi dua jawatan menteri, turut sama keliru dan celaru dengan abang sepupunya itu.

Ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Setiu di hari yang sama dengan Najib berucap di Perak, beliau menggesa Pakatan Harapan agar memulakan siasatan terhadap Tun Mahathir sekarang dan tidak menunggu setelah memperolehi kuasa untuk berbuat demikian.

"Apa yang menjadi tanda-tanya, kenapa nak tunggu menang pilihanraya baru nak siasat?" soal beliau.

Hello bro....macam mana Pakatan Harapan nak memulakan siasatan jika belum ada kuasa dalam tangan?

Tunggulah ada kuasa dulu kerana selepas siasatan, ia perlu disusuli dengan tindakan dan hukuman. Semua itu hanya boleh dilakukan setelah kuasa berada dalam genggaman.

Tun Mahathir sebelum ini pernah secara terbuka mengalu-alukan untuk dirinya disiasat setelah Pakatan Harapan berkuasa berkaitan pentadbirannya selama 22 tahun jika didapati beliau melakukan apa-apa kesalahan atau tindakan yang merugikan negara.

Tetapi, tegas bekas Perdana Menteri itu, tumpuan ketika ini harus diutamakan untuk menyingkirkan Najib terlebih dahulu kerana bala dan bahana daripada kepimpinannya amat besar dan merosakkan kehidupan rakyat serta negara.

Kalau Tun Mahathir sendiri bersikap terbuka dan tidak takut untuk disiasat, apa lagi yang Hishammuddin perlu bimbangkan?

Tunggu sajalah nanti bila UMNO dan BN tumbang, Tun Mahathir atau Najib yang akan lari lintang-pukang? (ShahbudinHusin 29/07/2017)

BENARKAH HANYA LOGO JADI MASALAH UNTUK MENDAFTARKAN PAKATAN HARAPAN?


Berdasarkan apa yang dilaporkan di media-media, ternampak seperti proses untuk mendaftarkan Pakatan Harapan secara rasmi tidak menghadapi banyak masalah yang memungkinkan ia mengalami kegagalan sebagaimana yang dijangka oleh banyak pihak.

Sebagaimana yang disebut oleh Tun Mahathir Mohamad setelah beliau bersama beberapa pemimpin PKR, DAP, Amanah dan Bersatu yang lain mengemukakan permohonan dan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan semalam, hanya logo saja yang menjadi masalah atau halangan.

Jabatan Pendaftar Pertubuhan dilaporkan tidak setuju dengan logo yang hanya tertulis perkataan "Harapan", sebaliknya mahu ia dilengkapkan dengan perkataan penuh "Pakatan Harapan".

Sehubungan itu, kata Tun Mahathir, pihaknya bersetuju memenuhi permintaan Jabatan Pendaftar Pertubuhan itu dan akan menghantar semula permohonan baru dalam tempoh dua hari.
Bermakna, setelah permohonan baru dikemukakan (dijangka pada Isnin) dengan pindaan atau perubahan logo sebagaimana yang diminta oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan itu, pendaftaran Pakatan Harapan seharusnya tidak lagi berdepan masalah.

Mungkin dalam tempoh sebulan atau dua bulan selepas itu, ertinya Pakatan Harapan sudah pun menjadi sebuah pertubuhan rasmi yang boleh bersaing menentang BN dalam pilihanraya akan datang.

Mudahnya? Benarkah begitu?

Jika begitu, kenapa proses mendaftarkan Pakatan Rakyat sebelum  pilihanraya 2013 lalu begitu sukar, banyak masalah dan akhirnya gagal?

Apakah Jabatan Pendaftar Pertubuhan turut mengalami transformasi yang memudahkan segala urusan sejak Zahid Hamidi menjadi Menteri Dalam Negeri?

Apakah boleh dipercayai kali ini hanya isu berkaitan logo yang menjadi masalah sebelum Pakatan Harapan diluluskan pendaftarannya dan setelah perubahan dilakukan sebagaimana yang diminta, ia akan terus diluluskan tanpa banyak "ding dong ding dong" lagi?

Apakah kenduri doa selamat untuk meraikan dan sebagai tanda kesyukuran atas pendaftaran rasmi Pakatan Harapan itu sudah boleh dirancang daripada sekarang?

Mungkinlah juga selepas ini akan dibangkitkan pula perkara-perkara lain sebagai halangan baru atau untuk tujuan melambat-lambatkan dan menyusahkan?

Atau sebenarnya, meskipun Jabatan Pendaftar Pertubuhan adalah jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri yang diketuai oleh Zahid Hamidi, tetapi kunci kelulusan masih dalam kawalan Seri Perdana? (ShahbudinHusin 29/07/2017)

Friday 28 July 2017

TIDAK PERLU TUN M KEMBALI SEMULA KEPADA UMNO, SEBALIKNYA RAMAI AHLI UMNO AKAN MASUK BERSATU


Kata-kata bahawa Tun Mahathir Mohamad akan kembali menyertai UMNO semula sekiranya Najib Razak tidak lagi memimpin parti itu bukanlah perkara baru sebenarnya.

Ia selalu kedengaran, bahkan kerap diulang-ulang mengikut masa dan kesesuaian.

Mereka yang melakukan propaganda demikian tidak lain hanyalah bertujuan melemah dan memporak-perandakan Pakatan Harapan yang memang diketahui amat berpotensi dan sedang berada di laluan yang betul untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan selepas pilihanraya akan datang.

Mereka secara umumnya sedar bahawa beradanya Tun Mahathir bersama Pakatan Harapan adalah kelebihan yang nyata bagi gabungan itu dan dalam masa yang sama bakal menimpakan mala petaka besar kepada UMNO dan BN.

Tun Mahathir bukan saja disenangi oleh orang Melayu di bandar, kampung dan desa, bahkan juga lebih dipercayai oleh masyarakat bukan Melayu untuk menyelamatkan keadaan negara ini. Di kalangan pemimpin UMNO sedia, tidak ada yang dapat menandinginya dari segi meraih kepercayaan pelbagai lapisan masyarakat.
Lantaran itu, untuk tujuan melemahkan Pakatan Harapan, selain mengorek dan mengungkit sejarah silam ketika beliau berkuasa dahulu, UMNO juga terpaksa memainkan sentimen kemungkinan Tun Mahathir kembali menyertai UMNO semula bagi menambah-kukuhkan lagi propaganda jahat mereka.

Ia diharapkan bukan saja agar penyokong Pakatan Harapan meragui kesetiaan Tun Mahathir, tetapi juga untuk membolehkan penyokong UMNO serta BN kekal setia dan  tidak mudah beralih arah dalam undi yang diberikan nanti.

Penegasan Tun Mahathir bahawa beliau tidak akan kembali semula kepada UMNO bukanlah kali pertama dilakukannya, malah sudah kerapkali diucapkannya.

Sebagaimana biasa, pendirian Tun Mahathir mudah saja, UMNO yang ada sekarang adalah parti yang sudah rosak dan yang merosakkannya tidak lain ialah Najib Razak.

Maka, tiada keperluan sama-sekali untuk beliau kembali menyertai UMNO semula, biar pun jika ditakdirkan sama ada esok atau lusa Najib sudah tiada lagi bersama parti itu.

Tun Mahathir perlu terus bersama dengan Pakatan Harapan dan menggembleng usaha sehingga mencipta suatu sejarah sebagai parti yang pertama berjaya menumbangkan UMNO dan BN di peringkat Pusat.

Tidak itu saja, dengan kejayaan menumbangkan UMNO dan BN, Tun Mahathir akan turut mencipta sejarah berganda sebagai pemimpin ulung yang berjaya menubuhkan kerajaan ketika menjadi Pengerusi BN dan kemudian sebagai Pengerusi Pakatan Harapan.

Lagi pula, tiada parti lain boleh menyelamatkan negara ini selain Pakatan Harapan. Sementara UMNO dan BN sudah rosak, Pas yang bertanding sendirian pula langsung tidak boleh diharap sebagai penyelamat. 

Agama yang kononnya mereka perjuangkan hanyalah semata-mata alat, sedangkan pemimpin-pemimpinnya sendiri tersilau antara nikmat sementara di dunia dengan perjuangan untuk akhirat. Antara bersih dan korup juga mereka selalu tersilap atau buat-buat silap.

Sebaliknya, Pakatan Harapan melalui gabungan empat parti serta bekerjasama dalam bentuk lain di Sabah dan Sarawak, adalah gabungan yang lengkap, mewakili semua kaum dan dianggotai oleh pemimpin-pemimpin berpengalaman serta berpendidikan untuk menerajui dan membina semula negara.

Pakatan Harapan, di samping keadaan UMNO dan BN yang sudah rosak dan membuatkan rakyat hidup sengsara, realitinya sedang dinanti-nanti untuk menjadi sebuah kerajaan baru dan penyelamat bagi Malaysia. Hanya peti undi PRU 14 detik masa yang ditunggu-tunggu.

Untuk itu, memang tiada keperluan untuk Tun Mahathir menoleh ke belakang atau memikir-mikir lagi untuk kembali semula kepada UMNO. Keputusan melupakan terus UMNO adalah keputusan tepat dan benar.

Malah, apabila kerajaan Pakatan Harapan tertubuh nanti, akan berduyun-duyunlah ahli UMNO menyeberang kepada Bersatu atau lain-lain parti dalam gabungan itu.

Ketika itu, percayalah, yang memilih menyertai DAP pun tak terbilang dengan jari ramainya. Ahli UMNO kebanyakannya tidak biasa hidup tanpa berada dalam kerajaan kerana sudah biasa dengan pelbagai keselesaan.

UMNO yang tidak lagi mempunyai kuasa akan perlahan-lahan ditinggalkan dan akhirnya akan kontang sendirian tanpa nesan. Adanya Najib lebih memudahkan "kematian" UMNO yang sudah dirosakkannya itu. (ShahbudinHusin 28/07/2017)

PRESIDEN MCA 'BALUN' PRESIDEN UMNO?


Presiden MCA, Liow Tiong Lai menyifatkan isu mahu mengiktiraf komuniti India Muslim sebagai Bumiputera tidak lebih sebagai mainan politik untuk kepentingan sendiri sedangkan perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, BN mempunyai saluran tersendiri untuk membincangkan apa-apa perkara berhubung isu atau dasar yang melibatkan kepentingan negara.

"Ini bukan satu isu, perkara itu tidak pernah dibangkitkan atau dibincangkan dalam Kabinet ataupun di peringkat BN. 
"Hentikan daripada memainkan isu itu dan saya fikir penekanan perlu diberi kepada usaha mengukuhkan perpaduan nasional menjelang sambutan Hari Merdeka tidak lama lagi,” tegas Liow.

Siapa yang mula memainkan isu berkaitan taraf Bumiputera untuk India Muslim?

Adakah ia dilakukan oleh Tun Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin atau mana-mana pemimpin Bersatu?

Adakah ia pernah dibangkitkan oleh Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Azmin Ali dan lain-lain pemimpin PKR?

Adakah juga sesiapa daripada DAP dan Amanah pernah menjadikan isu berkaitan komuniti India Muslim sebagai mainan politik untuk kepentingan sendiri?

Jika sesiapa tidak pernah menyentuhnya, mengapa Presiden MCA itu berkata demikian?

Kepada siapakah beliau menujukan 'balunannya' itu?

Jika kita belum lupa, kita tentu ingat bahawa hanya Najib Razak yang pernah menjadikan isu berkaitan kedudukan India Muslim ini.

Mula-mulanya beliau mengkritik Tun Mahathir sebagai pemimpin yang mempunyai darah India, tetapi mendakwa tidak banyak membantu kaum India sendiri berbanding dirinya.

Mungkin menyedari kata-katanya itu terkena kepada dirinya semula memandangkan ramai orang kelilingnya, baik dalam pentadbiran kerajaan, UMNO dan pelbagai lagi turut terdiri daripada mereka yang berdarah India Muslim, Najib kemudian cuba bertindak lunak dengan mengiktiraf mereka sebagai Bumiputera.

Hanya Najib yang pernah membangkitkan isu berkaitan India Muslim serta mahu memberikan mereka taraf Bumiputera. Tidak pernah sesiapa yang lain berbuat demikian.
Tidak syak lagi, walaupun perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet sebagaimana yang diakui oleh Liow Tiong Lai, Najib nyata berbuat demikian secara umum dalam majis sambutan Hari Raya bersama komuniti India Muslim sendiri adalah semata-mata untuk kepentingan politik bagi menghadapi pilihanraya.

Yang menjadikannya mainan politik ialah Najib dan yang berharap mendapat manfaat peribadi daripadanya juga adalah Najib. Hanya Najib yang paling takut kalah pilihanraya, hilang kuasa dan tidak lagi menjadi Perdana Menteri selepas pilihanraya nanti.

Sebelum ini, MCA adalah antara yang paling lantang menolak Akta 355 dalam mesyuarat BN sehingga Najib menarik balik untuk mengambil-alih pembentangan pindaan akta tersebut di Parlimen, meskipun sudah berjanji mengenainya.

Hanya kerana MCA, Najib jadi kecut perut dan akhirnya buat pusingan U berkenaan Akta 355 itu.

Adakan Najib sekali lagi akan buat pusingan U, kali ini kepada komuniti India pula berikutan reaksi tidak menyenangkan yang mula ditunjukkan oleh MCA? (ShahbudinHusin 28/07/2017).

Thursday 27 July 2017

MENGHARAP JUMAAT YANG BERKAT

Esok, Jumaat 28 Julai 2017, permohonan untuk mendaftarkan Pakatan Harapan  dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan akan dikemukakan secara rasmi.

Beberapa pimpinan Pakatan Harapan dijangka akan mengemukakan permohonan tersebut pada jam 10 pagi di pejabat Pendaftar Pertubuhan di Putrajaya.

Mudah-mudahan sempena hari Jumaat yang berkat, permohonan untuk mendaftarkan Pakatan Harapan itu tidak menimbulkan banyak masalah dan akhirnya diberikan kelulusan secara rasmi.
Dengan adanya Pakatan Harapan, sistem politik Malaysia akan menghampiri sistem dua parti yang bukan saja memudahkan lagi perubahan, tetapi akan memberi lebih kebaikan kepada rakyat dan negara.

Sama-samalah kita memberi sokongan dan doa kepada kejayaan pendaftaran Pakatan Harapan itu.

Pakatan Harapan adalah harapan baru bagi rakyat Malaysia. (ShahbudinHusin 27/07/2017)

SIAPA ANTI MELAYU DAN ISLAM?

MCA, salah sebuah parti komponen BN yang sebelum ini diketahui merupakan antara penentang kuat Akta 355 daripada diambil-alih pembentangannya oleh kerajaan sehingga Najib Razak tunduk kepadanya, dalam perkembangan terbaru menyelar DAP kerana memberi lebih banyak bantuan kepada orang Melayu dan perkembangan agama Islam di Pulau Pinang.

Kata Ketua Biro Publisiti MCA, Chai Kim Sen, tindakan itu bermakna DAP telah meminggirkan masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam di negeri itu.

"Selepas mengambil lih Pulau Pinang pada 2008, hanya dalam tempoh 8 tahun, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah memperuntukkan RM4.5 juta untuk hal ehwal Islam dan RM8 juta kepada 20 buah sekolah aliran agama Islam, satu jumlah yang lebih banyak berbanding agama lain.

"Pemberian kontrak kerajaan pula, 90 peratus daripadanya diberikan kepada Bumiputera," ujar beliau.

Selain itu, tambah beliau, dibandingkan dengan pentadbiran di bawah Gerakan sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang di bawah DAP juga memperuntukkan lebih banyak kepada masyarakat Bumiputera berbanding kaum-kaum lain.

Maka, antara DAP dan MCA, siapa yang sebenarnya anti Melayu dan anti Islam?

Kenapa MCA perlu  marah kepada DAP hanya disebabkan memberi lebih banyak bantuan serta pertolongan kepada orang Melayu dan agama Islam?

Bukan tindakan DAP itu membuktikan mereka menghormati kedudukan Melayu sebagai kaum majoriti serta Islam sebagai agama rasmi Persekutuan?

Adakah MCA kini ingin membuka topeng dan mendedahkan wajah sebenar mereka bahawa meskipun berada di dalam BN menjadi rakan karib kepada UMNO, sikap sebenar mereka ialah anti Melayu dan anti Islam?

Jika begitu, tidakkah BN yang ada MCA didalamnya lebih merbahaya untuk terus mentadbir negara berbanding Pakatan Harapan yang dianggotai oleh DAP?

Selama ini, DAP selalu digambar dan dijeritkan sebagai parti yang anti Melayu dan anti Islam, terutama kepada orang-orang kampung dan mereka yang tinggal di luar bandar.

Memilih DAP atau mana-mana parti yang mempunyai hubungan dengannya kerapkali ditafsirkan sebagai ancaman kepada kedudukan Melayu dan Islam di negara ini.

Di Pulau Pinang, pelbagai gambaran buruk kepada Melayu dan Islam konon telah dilakukan oleh DAP sejak mereka menguasai pemerintahan negeri itu.

Daripada pemimpin atasan UMNO, menteri, pimpinan di bahagian, pencacai di cawangan, blogger berbayar sehinggalah pengomen-pengomen di blog dan media sosial yang diketahui cuma dihadiahkan telefon pintar A9 dan duit raya setahun sekali sebanyak RM900, mainan mereka mengenai DAP itu anti Melayu dan anti Islam bagaikan tiada kesudahannya, meskipun sudah banyak bukti ditampilkan untuk menidakkannya.

Akhirnya, kenyataan pemimpin MCA sendiri telah memberikan jawapan yang sebenarnya. (ShahbudinHusin 27/07/2017).

Wednesday 26 July 2017

APA LAGI ZAHID HAMIDI MAHU?

Biar betul?

Kata Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, kadar jenayah telah mengalami penurunan sejak Najib Razak mengambil alih kepimpinan negara bermula pada 2009 lalu.

Beliau seterusnya menegaskan, penurunan kadar jenayah itu adalah kerana beberapa transformasi yang diperkenalkan oleh "bossnya" itu.

Ini cakap betul atau bodek sebenarnya?

Tetapi, mengapa masih banyak kejadian jenayah dilaporkan dalam media?

Tidak saja di akhbar dan televisyen, malah di media sosial juga boleh dikatakan sarat dengan berita dan video mengenai kejadian jenayah yang berlaku di sana sini.

Selain itu, bukan saja jenayah di peringkat "pencacai" kelihatan makin banyak, malah jenayah di peringkat atasan juga nampaknya kian bertambah di tahun-tahun kebelakangan jika berdasarkan apa yang dilaporkan di media-media itu.

Jadi, benarkah kadarnya telah mengalami penurunan?

Lebih dari itu, benarkah dasar transformasi Najib menyumbang kepada penurunan kadar jenayah itu?

Tidak cukup dengan itu, Zahid Hamidi seterusnya menambah, kadar jenayah juga menurun dengan ketara antara 2013 hingga 2017 iaitu sejak beliau menjadi Menteri Dalam Negeri dan Khalid Abu Bakar memegang jawatan Ketua Polis Negara.

Paling drastik indeks jenayah antara 2013 hingga 2017 telah turun lebih 53 peratus menyebabkan puratanya menjadi 47 peratus saja lagi, kata Zahid.

Alamak...mula-mula bodek "boss" dengan mengatakan kadar jenayah turun sejak 2009, lepas itu "masuk bakul angkat sendiri" pula dengan menyatakan penurunannya lebih ketara sejak beliau memegang jawatan Menteri Dalam Negeri.

Nampak pelik kenyataan seperti ini!! 

Kenapa tiba-tiba "masuk bakul angkat sendiri" begini?

Tidak cukupkah dengan memuji dan membodek Najib saja?

Perlukah sebagai Timbalan Perdana Menteri, Zahid  puji "boss" dan kemudian "masuk bakul angkat sendiri" mengenai dirinya pula?

Apa agaknya mesej yang Zahid Hamidi mahu sampaikan kepada Najib?

Apa pun, Hishammuddin Hussein tentu tersenyum simpul dibuatnya dengan gelagat Zahid yang memuji Najib sambil "membodek" dirinya sendiri kali ini. (ShahbudinHusin 26/07/2017)

NAJIB MAKIN PELIK DAN TERDESAK, PENYAKIT SALLEH SAID KERUAK SUDAH MENJANGKITINYA


Pelik dan terdesak, itulah gambaran paling tepat mengenai kedudukan Najib Razak kebelakangan dan ketika ini.

Semalam, ketika berucap di sebuah program pelaburan antarabangsa, Invest Malaysia,  Najib seolah-olah berdiri dalam program politik tempatan dengan tampil menyerang dan memperlekehkan Pakatan Harapan serta Tun Mahathir Mohamad.

Apa perlunya menyerang Pakatan Harapan dan Tun Mahathir di depan mereka, selain menunjukkan kelemahan dan jiwa kacau yang sedang melanda dirinya?

Dengan berbuat demikian, beliau secara tidak langsung telah mempamerkan wajah ketakutannya kepada golongan pelabur terhadap goyangnya kedudukan kuasa yang sedang dipegangnya.

Berbanding keutamaan menarik pelabur dan meyakinkan mereka mengenai prospek ekonomi negara, Najib terlihat sangat bimbang untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang dan ini sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.

Malah, tindakannya itu meletakkan jiwa kacaunya sudah sama kronik dengan Salleh Said Keruak, salah seorang menteri lantikannya yang paling kerap mengeluarkan kenyataan.

Sejak struktur kepimpinan Pakatan Harapan berjaya dibentuk dan logonya dipersetujui dua minggu lalu, kelam-kabut dalam jiwa Salleh begitu terserlah sekali.

Mula-mula beliau menyoal dan melahirkan rasa sedih kerana tiada pemimpin DAP dalam tiga kedudukan teratas dalam Pakatan Harapan dan ia, tegas beliau, adalah gambaran parti itu dipinggirkan sedangkan DAP memiliki jumlah Ahli Parlimen teramai sekali berbanding PKR, Amanah dan Bersatu.

Sehari kemudian, Salleh berkata, yang berkuasa sebenarnya dan merupakan penentu kuasa dalam Pakatan Harapan ialah DAP. Semua pihak lain, tambahnya, terpaksa akur kepada kuasa DAP.

Ia seterusnya ditambah dengan kenyataan Setiausaha Akhbar Najib bahawa Tun Mahathir hanyalah boneka kepada DAP.

Tetapi semalam, Salleh kacau lagi jiwanya apabila berkata, DAP tidak mungkin membenarkan Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri buat kali kedua selepas Pakatan Harapan berjaya merebut kuasa.

Pokoknya, yang mana satu kenyataan Salleh itu boleh dipegang - DAP dipinggirkan atau DAP paling berkuasa?

Esok, lusa dan seterusnya, entah apa-apa lagi tulisan atau kenyataan yang bakal direka-rekanya.

Kini, Najib nampaknya sudah menjangkiti penyakit Salleh itu. Tidak cukup dengan ucapan di program UMNO, program kerajaan, bercakap di televisyen, menulis di media sosial, melalui pegawai, menteri-menteri pengampu dan saluran media arus perdana untuk menyerang Pakatan Harapan dan Tun Mahathir, di depan pelabur antarabangsa pun dilakukan perkara yang sama juga.

Jika Salleh berubah-ubah dan sukar difahami, Najib pula sudah jadi tidak menentu dari segi fokus dan apa yang patut diperkatakannya dalam sesebuah majlis yang dihadirinya.

Tidakkah ia pelik dan apa lagi kalau bukan Najib sedang terdesak keadaannya? (ShahbudinHusin 26/07/2017)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...