Friday 1 March 2019

PENGUMUMAN


Sebagaimana yang telah dimaklumkan, 

bermula hari ini iaitu 1 Mac 2019, blog ini 

telah berpindah sepenuhnya ke alamat 

baru - shahbudindotcom.net. 


Sila layari alamat baru tersebut untuk 

membaca blog ini.


Jangan lupa, alamat baru blog ini ialah 

https://shahbudindotcom.net/


Terima kasih atas sokongan pembaca

dan penjenguk yang berterusan kepada

blog ini. (ShahbudinHusin 01/03/2019)

Thursday 28 February 2019

HENTI KEMPEN PERSENDA AGAMA


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada kenyataan Ketua Umno Bahagian Puchong Mohamed Satim Diman yang mengaitkan kematian wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di Selangor sebagai amaran daripada Allah kepada Pakatan Harapan.


ABIM beranggapan kenyataan sedemikian adalah satu kenyataan yang bersifat mempersenda dan mempermainkan agama bagi memuaskan kepentingan politik.


Kenyataan tersebut juga dilihat langsung tidak sensitif terhadap ahli keluarga empat orang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor iaitu Allahyarham YB Dr Shaharuddin Badaruddin, Allahyarham YB Bakhtiar Mohd Nor, Allahyarham YB Mat Suhaimi Shafiei, dan Mendiang YB Ng Tien Chee yang telah meninggal dunia baru-baru ini.


Sesungguhnya, soal takdir, ajal dan maut tidak wajar diperlekeh dan direndah-rendahkan.


Tindakan seperti ini bukan sahaja biadab kepada waris, bahkan kepada Tuhan, seolah-olah wakil Tuhan menurunkan hukum. 


Justeru, ABIM menggesa pihak terbabit untuk menarik semula kenyataan tersebut serta memohon maaf kepada keluarga anggota-anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seluruh rakyat Malaysia, seterusnya bertaubat memohon keampunan Allah SWT. 


Pihak ABIM juga menuntut semua pihak sentiasa menjaga batasan sensitiviti masyarakat termasuk agama yang tidak seharusnya mudah diperolok, dipersenda dan ditunggang hanya semata-mata untuk meraih sokongan politik.


Muhammad Faisal Abdul Aziz

Setiausaha Agung

ABIM

ANWAR ADA BUKTI RM1.4 JUTA, MANA LAGI PAS MAHU LARI?


Berikutan pendedahan awal sebelum ini telah dinafikan oleh beberapa pemimpin Pas, Anwar Ibrahim malam tadi mendedahkan secara lebih spesifik mengenai bayaran penyelesaian yang dibuat oleh parti Islam itu kepada Sarawak Report.


Katanya, Pas telah membayar sejumlah RM1.4 juta sebagai penyelesaian luar mahkamah kes samannya di London terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.


PENGUMUMAN - Untuk memberi lebih keselesaan kepada pembaca yang sentiasa berkembang, blog ini akan berpindah sepenuhnya ke tapak baru - shahbudindotcom.net - bermula 1 Mac 2019. Terima Kasih.


Tambah Presiden PKR itu lagi, beliau mempunyai bukti dalam bentuk penyata bank berhubung pembayaran yang dibuat oleh Hadi Awang itu.


“Nama saya Anwar Ibrahim, saya tak akan bercakap kalau saya tak ada fakta. Ni saya ada bukti - Pas, Hadi Awang telah bayar RM1.4 juta kepada Clare Rewcastle Brown.


“Kalau Pas nak cabar, boleh dakwa saya di mahkamah, saya ada bukti,” katanya lagi ketika berceramah di Semenyih.


Nah, apa lagi?


Terserah kepada Pas seterusnya sama ada mahu mengakui dakwaan Anwar bersama fakta yang didedahkannya ini atau jika merasakan dakwaan Anwar itu tidak benar, mereka boleh saja mendakwanya di mahkamah dengan segera.


Tetapi, dengan segala fakta yang disebut Anwar ini, Pas nyata tidak boleh lagi berdiam diri saja.


Berdiam atau sekadar menafi kosong melalui kenyataan media atau ceramah saja hanya memperlihatkan ada kebenaran dalam dakwaan yang dibuat oleh Anwar itu.


Seperkara lagi, Hadi Awang juga mesti bersuara sendiri atau menampilkan dirinya menjawab dakwaan ini.


Jangan bersembunyi lagi atau cuba memberi jawapan bohong dalam perkara ini seperti yang dilakukan Nik Abduh Nik Aziz sebelum ini.


Tiada lagi bohong syarie atau bohong yang dibenarkan dalam hal ini. (ShahbudinHusin 28/02/2019).

Wednesday 27 February 2019

DITUDUH MEMFITNAH TABUNG HAJI: MAHKAMAH MENDAPATI TIDAK BERSALAH


Pagi tadi, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur memutuskan bahawa saya tidak bersalah dan dibebaskan dari tuduhan dibawah Seksyen 500 memfitnah Tabung Haji.


Dalam tahun 2016, saya membuat analisa unjuran kewangan Tabung Haji yang mengesahkan rizab Tabung Haji memang negatif, walaupun dinafikan oleh kerajaan pada ketika itu.


(Baca analisa saya mengenai kedudukan kewangan Tabung Haji di - https://rafiziramli.com/category/tabung-haji/page/7/


Pihak kerajaan menahan saya (5-6 hari juga saya berada di dalam lokap) dan saya didakwa atas tuduhan memfitnah Tabung Haji.


Dengan segala bukti yang telah dibentangkan setakat ini, mahkamah bersetuju untuk membebaskan saya dan mendapati saya tidak bersalah. 


Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan peguam saya: En Azhar, En Yunus, En Adi dan En Nik Zarith, yang membela saya tanpa saya bayar satu sen pun.


Saya maafkan semua yang memaki hamun saya mengenai Tabung Haji (yang telah, masih dan bakal memaki hamun saya).


Saya telah laksanakan amanah saya dan saya doakan Tabung Haji boleh pulih pada satu hari nanti.


In Sha Allah saya akan bayar peguam-peguam saya dengan kerepek (mereka pernah dibayar dengan berguni-guni kerepek kerana anak guam mereka tiada wang).



Rafizi Ramli

Naib Presiden PKR

27 Februari 2019.

BERPADA-PADALAH KALAU MAHU TUN MAHATHIR BERKUASA LEBIH LAMA!!!


Satu hal yang nampak ketara dan makin berkembang dalam Bersatu, tidak kira ketika ada PRK atau sebaliknya, ialah kecenderungan pihak-pihak tertentu dalam parti itu yang mahukan Tun Mahathir Mohamad terus menjadi Perdana Menteri dalam tempoh yang lebih lama lagi.


Malah, sesetengahnya mahukan kalau boleh biarlah Tun Mahathir meninggal dunia di atas kerusi Perdana Menteri itu sendiri.


Hampir tidak ada yang bersuara bahawa Tun Mahathir, berdasarkan usianya yang mencecah 94 tahun sekarang, sebenarnya lebih wajar memegang jawatan tersebut dalam tempoh singkat saja atau dua tahun pun sudah terlalu lama masanya.


Mereka yang agak pasif pula, setidak-tidaknya beranggapan biarlah tempoh masa itu ditentukan sama ada berdasarkan pilihan Tun Mahathir sendiri atau sehingga beliau menyelesaikan tugas-tugasnya yang tertentu.


Mengapakah tidak ada yang berasa simpati atau kasihan kepada Tun Mahathir di mana dalam usianya sekarang pun, tetapi beliau masih perlu bekerja sepanjang hari, berfikir, mempengerusikan mesyuarat dan kadangkala terpaksa tidur hanya 4 jam saja dalam sehari?


Dengan sudah dua kali menjadi Perdana Menteri, apakah lagi yang penyokong dan pengagumnya mahu beliau lakukan untuk negara ini?


Bukankah Najib Razak, UMNO, BN dan kerajaan kleptokrasi yang dimusuhinya sudah pun berjaya ditumbangkan?


Kepada mereka yang berkenaan itu, sejujurnya adalah lebih wajar dan munasabah untuk mereka lebih berpada-pada dalam desakan terhadap Tun Mahathir itu.


Kasihan dan simpatilah kepada beliau. Kejayaan beliau mampu menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali adalah rekod yang terlalu sukar untuk diatasi oleh sesiapa juga selepas ini.


Selepas kejayaan itu, yang penting buat kali kedua ini bukanlah berapa lama beliau harus memegang jawatan itu, tetapi yang jauh lebih penting ialah dalam keadaan bagaimanakah karier Tun Mahathir akan berakhir nanti?


Tidak guna Tun Mahathir dipaksa menjadi Perdana Menteri dengan lebih lama jika penamat kariernya berakhir dengan perbalahan, permusuhan dan ramai yang membencinya?


Bagaimanakah Tun Mahathir akan dikenang setelah ketiadaannya nanti jika kerana desakan mereka yang mahukannya berkuasa lebih lama itu, penghujung usianya berakhir dengan permusuhan dan kebencian?


Itukah yang kita mahukan terjadi kepada seorang negarawan yang pernah dua kali menjadi Perdana Menteri?


Sepertimana jika kita ada ibu bapa yang sudah lanjut usia, kita sudah tentu tidak mahu mereka terus bekerja sehingga ke usia tua atau sampai kepada 94 tahun misalnya.


Dalam usia sebegitu, kita biasanya lebih mahukan ibu bapa kita banyak berehat dan mengakhiri sisa-sisa usianya dengan kehidupan yang santai dan penuh keceriaan.


Begitu juga dengan Tun Mahathir ini, mendesaknya terus berkuasa dengan lebih lama adalah sesuatu yang tidak normal sebenarnya, malah boleh dikata suatu bentuk penderaan saja layaknya.


Ini kerana mereka yang mahukan beliau berkuasa lebih lama itu tidak lain mempunyai niat tersembunyi berupa kepentingan peribadi yang dirasakan semua nikmat kehidupan mereka akan segera berakhir jika Tun Mahathir tidak lagi memegang jawatan Perdana Menteri.


Jika mereka berniat suci, ada perassan simpati, menganggap Tun Mahathir seperti bapa sendiri serta mahukan namanya terus harum tanpa sesiapa membencinya selepas ketiadaannya, pilihan yang terbaik ialah tidak mendesaknya lagi untuk terus bekerja dalam usianya seperti sekarang ini.


Beliau sudah pun berjaya membina negara sebelum ini selama 22 tahun lamanya. Sekarang ini beliau berjaya menubuhkan Bersatu serta memimpin PH sehingga menjadi sebuah kerajaan.


Memang negara ada banyak masalah, tetapi meletakkan semua beban kepada beliau untuk menyelesaikannya dan seolah-olah orang lain tidak ada keupayaan, ia hanya merupakan penderaan semata-mata.


Memimpin negara adalah proses yang berterusan. Seseorang pengganti harus diberi peluang membuktikan keupayaan, apalagi jika nama pengganti itu sudah pun ditetapkan atas persetujuan bersama.


Tun Mahathir sudah banyak "membunuh" mereka yang dinamakan sebagai penggantinya, baik sepanjang berkuasa selama 22 tahun, mahu pun setelah berada di luar kerajaan sebelum ini.


Di penghujung usianya ini, adalah zalim jika masih ada yang mahu Tun Mahathir "terus membunuh lagi" penggantinya, tambahan lagi kalau "pembunuhan" itu adalah buat kali yang kedua terhadap seorang pengganti yang sudah pun bersetuju untuk berdamai dan saling berbaik-baik dengannya. (ShahbudinHusin 27/02/2019).

Tuesday 26 February 2019

SEMUA BERI SOKONGAN, HARAP TUN M LEBIH LAMA JADI PM DAN DOAKAN PANJANG USIA, TAPI SEBENARNYA.....


Satu demi satu kelompok dalam pembangkang tampil kebelakangan ini dengan kenyataan mahu Tun Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri lebih lama daripada yang sepatutnya.


Sebelum ini Pas hadir dengan surat sokongan untuk mempertahankan Tun Mahathir jika ada sebarang usul undi tidak percaya hendak dikemukakan terhadapnya.


Dalam waktu yang sama, Pas secara terbuka berharap Tun Mahathir akan terus memimpin negara ini sehingga PRU15 akan datang.


Terbaru, Tengku Razaleigh Hamzah yang pernah bermusuh dengam Tun Mahathir juga turut mendoakan agar Perdana Menteri sentiasa diberikan kesihatan yang baik serta dipanjangkan usianya.


Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu berkata, jika berlaku sesuatu kepada Tun Mahathir dalam waktu terdekat ini, negara pasti akan huru-hara jadinya.


Dua sebab yang diberikan yang menyebabkan berlakunya huru-hara menurut Ku Li ialah kerana wujudnya pergelutan dalaman dalam PH serta serta kedudukan DAP yang menguasai beberapa kementerian penting sekarang ini.


Oleh sebab itu, kata Ku Li, banyak orang berdoa supaya Tun Mahathir terus sihat dan dipanjangkan usianya.


Ehh..ehh..betulkah semua ini?


Kenapa tiba-tiba begitu ramai yang mahukan Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri lebih lama, siap dengan mendoakan kesihatannya sekali?


Jujur dan ikhlaskah mereka ini?


Realitinya, Pakatan Harapan adalah kerajaan yang stabil dan tiada apa-apa daripada dalam yang sedang menggugat kestabilannya sebagai sebuah kerajaan.


Ini kerana, tidak seperti dalam BN sebelum ini, proses peralihan kuasa sudah pun dipersiapkan sebelum pun PH berjaya memperolehinya kuasa mentadbir Putrajaya lagi.


Sudah jelas disebut bahawa Tun Mahathir hanyalah Perdana Menteri sementara untuk tempoh sekitar dua tahun saja dan selepas itu beliau hendaklah melakukan peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim sebagaimana yang sudah sama-sama persetujui.


Dengan langkah peralihan kuasa yang teratur ini, PH bukan saja lebih dipercayai rakyat, malah akan terus aman, stabil dan kukuh untuk menghadapi PRU15 akan datang yang dijangka diadakan pada tahun 2023 nanti.


Jika peralihan kuasa itu berjalan dengan baik dan mengikut masa yang dijanjikan, inilah yang sebenarnya paling menakutkan pembangkang, khususnya UMNO dan Pas kerana ia akan memberi ruang paling terbaik untuk PH terus berkuasa dengan lebih lama mentadbir negara ini.


Dengan UMNO dipimpin Zahid Hamidi serta ramai pemimpinnya hanya menunggu masa untuk masuk penjara, manakala kepimpinan Hadi semakin membuatkan Pas bercelaru serta tidak dipercayai, harapan pembangkang untuk berkuasa hanya akan sedikit terbuka jika PH berbalah dan bergaduh sesama sendiri, seterusnya berlaku perpecahan.


Satu-satunya yang paling mungkin membuatkan PH berbalah dan berpecah ialah hanya kiranya Tun Mahathir tidak mematuhi janji peralihan kuasa, mahu kekal berkuasa sehingga PRU15 atau lebih buruk, jika enggan sama sekali melakukan penyerahan kuasa kepada Anwar.


Tidak ada sebab-sebab lain yang boleh memungkinkan PH berpecah selain daripada itu.


Maka, itulah sebabnya Pas dan UMNO ternampak begitu bersungguh-sungguh mahu Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri dengan lebih lama, siap dengan memberikan contoh surat sokongan serta mendoakannya.


Bukankah selama selama ini kerja pembangkang ialah memaki hamun dan mendoakan "KO" kepada kerajaan?


Kenapa pula sekarang mereka mendoakan yang baik-baik serta memberi sokongan?


Niat mereka tidaklah seikhlas mana sebenarnya, melainkan dengan harapan agar PH berpecah dan selepas itu akan terbuka peluang untuk mereka berkuasa semula.


Selagi PH tidak berpecah, tiadalah peluang mereka untuk berkuasa. (ShahbudinHusin 26/02/2019)

Monday 25 February 2019

BILA PM TAK PUAS HATI DENGAN SPRM.....


Nampaknya ada rasa tidak puas hati yang ketara dalam diri Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad terhadap SPRM berhubung kenyataan Ketua Pesuruhjaya agensi tersebut, Shukri Abdull yang baru semalam mengesahkan tiada kemasukan dana RM90 juta daripada UMNO ke dalam akaun rasmi Pas.


Kata Tun Mahathir, SPRM mungkin belum mendapat maklumat secukupnya berhubung siasatan perkara tersebut, selain memerlukan masa untuk menyiasat kecurian wang oleh Najib Razak yang dikaitkan dengan 1MDB.


"Yang itu SPRM kata. Dia ambil masa. Ini tak bermakna Najib tak curi, cuma tak diselidik.


"Kita tunggu sama ada benar atau tidak," kata beliau ketika ditanya berhubung kenyataan SPRM yang dilihat telah membersihkan nama Pas, meskipun siasatan belum lagi selesai sepenuhnya.


PENGUMUMAN - Untuk memberi lebih kemudahan dan keselesaan pembaca yang sentiasa berkembang, bermula 1 Mac 2019, blog ini akan berpindah sepenuhnya daripada Blogspot kepada WordPress. Ia kemudian boleh dilayari melalui Shahbudindotcom.net. Terima Kasih.


Dalam bab ini, ramai juga yang hairan sebenarnya mengapa Shukri Abdull begitu tergesa-gesa mengeluarkan kenyataan sedemikian, sedangkan sebelum ini agensi anti rasuah itu turut mengeluarkan kenyataan bahawa siasatan juga merangkumi akaun bank beberapa pemimpin Pas.


Sudahkah disiasat juga akaun pemimpin-pemimpin Pas itu?


Jika siasatan belum selesai lagi, untuk apa sebenarnya Shukri Abdull mengeluarkan kenyataan yang memperlihatkan nama Pas seolah-olah telah dibersihkan berkaitan dana RM90 juta itu?


Kenapa tidak ditunggu sehingga siasatan selesai, termasuk dapatan dalam akaun pemimpin-pemimpin tertentu Pas, barulah beliau bercakap mengenainya dengan media?


Bukankah dalam banyak keadaan,  kedudukan akaun peribadi dan akaun bank parti ada hubung-kaitnya?


Apa pun, terzahirnya rasa tidak puas hati Tun Mahathir itu menggambarkan seperti ada yang tidak kena dalam SPRM sekarang ini. 


SPRM sebenarnya tidak perlu terlalu banyak bercakap dengan media atas sesuatu perkara kerana yang ingin dilihat oleh rakyat berkenaan dengan agensi itu ialah tindakannya dalam menyelesaikan kes-kes rasuah dalam negara ini.


Bercakaplah hanya bila perlu saja atau jika siasatan masih belum selesai, tutuplah mulut terlebih dahulu sehingga kes sudah benar-benar muktamad.


Dalam kes dana RM90 juta ini misalnya, dengan Perdana Menteri sendiri menzahirkan rasa tidak puas hatinya, bukankah ia sesuatu yang memalukan SPRM?


Yang nyata, daripada teguran tidak puas hati ini, Perdana Menteri mahu SPRM terus menjalankan siasatannya, malah dengan lebih teliti,  bukan saja berkaitan dana yang dimasukkan ke dalam akaun Pas, tetapi juga siapa pemberi atau perantaranya.


Dapatan SPRM sehingga ini jelas tidak menggembirakan Perdana Menteri. Ini yang SPRM dan Shukri Abdull harus betul-betul faham. (ShahbudinHusin 25/02/2019)

TUN MAHATHIR TAK PERCAYA PAS, SIA-SIA SAJA HADI BERI SOKONGAN


Hadi Awang nampaknya hanya melakukan kerja sia-sia apabila menyatakan sokongan parti itu terhadap Tun Mahathir Mohamad.


Ia bukan saja kerana usul undi tidak percaya yang diharapkan Hadi akan berlaku kepada Tun Mahathir itu sebenarnya tidak lebih sebagai ilusi kosongnya semata-mata, bahkan yang cukup memalukan lagi ialah Perdana Menteri sendiri langsung tidak mempercayai sokongan yang diberikannya itu.


Kata Tun Mahathir, beliau tidak faham dengan pendirian tidak tetap Pas dan Hadi berhubung perkara itu.


"Hadi, Takiyuddin dan Ahmad Samsuri datang jumpa saya dan menyatakan sokongan untuk saya terus kekal sebagai Perdana Menteri.


"Bahkan mereka memberi pengakuan bertulis supaya saya terus kekal menjadi Perdana Menteri, namun dalam situasi lain parti itu melakukan tindakan yang dilihat tidak menyokong saya," ujar Tun Mahathir.


PENGUMUMAN - Untuk kemudahan dan keselesaan pembaca yang terus berkembang, bermula pada 1 Mac 2019 blog ini akan berpindah sepenuhnya daripada Blogspot kepada WordPress. Ia kemudian boleh dilayari melalui Shahbudindotcom.net. Terima Kasih.


Katanya, walaupun setelah menyatakan sokongan itu, Pas telah hadir bersama-sama dengan UMNO di hari penamaan calon PRK Semenyih.


"Pas pula tidak letak calon di Semenyih yang memperlihatkan mereka ada kerjasama dengan UMNO.


"Jadi, saya susah nak percaya dengan Pas ini," tambahnya lagi.


Untuk makluman tambahan, semalam pula Hadi telah muncul bersama Annuar Musa dalam satu program ceramah di Melaka.


Sebagai parti yang berjuang atas nama Islam, apakah sebenarnya pendirian Pas dalam politik negara ini?


Menyokong kerajaan atau mahu menjatuhkan kerajaan?


Dalam keadaan Tun Mahathir sudah secara terang-terang menyatakan ketidakpercayaan kepada Pas, parti itu seharusnya berani tampil dengan pendirian yang lebih jelas serta mudah difahami.


Tak malukah Pas mahu terus menjaja sokongannya kepada Tun Mahathir itu, sedangkan ia langsung tidak dipercayai?


Atau semenangnya Pas suka dengan kerja sia-sia? (ShahbudinHusin 25/02/2019)

Sunday 24 February 2019

SELEPAS DUA TAHUN TIDAKLAH PULA BERMAKNA SEHINGGA KE TARIKH PRU15.....


KENYATAAN MEDIA


KEADILAN Menyokong Kerajaan Pakatan Harapan Di Bawah Kepimpinan Tun Dr Mahathir


Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN telah mengadakan mesyuarat bulanan hari ini.


KEADILAN menegaskan perpaduan dan kesepakatan Pakatan Harapan harus dipertahan, dan menolak keras segala tohmahan yang cuba  melaga-lagakan pimpinan dan melemahkan kerjasama erat di kalangan Pakatan Harapan.


KEADILAN berpegang teguh kepada persetujuan yang telah dicapai dan diumumkan pada 7 Januari 2018, di mana Tun Dr Mahathir Mohamad diangkat menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi Timbalan Perdana Menteri, manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil alih sebagai Perdana Menteri ke-8 selepas tempoh 2 tahun. 


KEADILAN menegaskan bahawa pendirian parti dalam perkara ini tidak berubah.


KEADILAN turut menegaskan seluruh kekuatan parti perlu disalurkan ke arah menyokong usaha Kerajaan Pakatan Harapan untuk mengukuhkan ekonomi dan mengatasi masalah rakyat termasuk isu kos sara hidup.


Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN

24 Februari 2019.



ULASAN BLOG - PKR nampaknya sekali lagi tampil dengan kenyataan menyokong kepimpinan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.


Bagaimanapun, dalam kenyataan terbaru ini dinyatakan bahawa Anwar Ibrahim akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri selepas 2 tahun Tun Mahathir memegang jawatan tersebut.


Ini agak berbeza dengan apa yang selalu ditanggapi umum sebelum ini bahawa Tun Mahathir hanya menjadi Perdana Menteri selama 2 tahun saja.


Malah, Tun Mahathir sendiri seperti setuju dengan tempoh dua tahun itu apabila beliau pernah melirik kepada Presiden PKR itu sambil berkata, “kalau Anwar beri izin, dapatlah saya jadi PM dua tahun setengah.”


Anwar pula berkata berkali-kali menyatakan kesediaannya untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir dalam tempoh dua tahun selepas kemenangan pada PRU14.


Baru-baru ini pula beliau melahirkan keyakinan akan mengambil alih jawatan itu daripada Tun Mahathir sebelum tempoh dua tahun sebagaimana yang telah dipersetujui.


Tetapi, mengapa dalam kenyataan terbaru ini dinyatakan peralihan kuasa itu akan dilakukan selepas tempoh 2 tahun?


Apakah ini bermakna Anwar sudah mengalah?


Sebenarnya, ini adalah tanda penghargaan dan kepercayaan penuh Anwar terhadap kepimpinan Tun Mahathir serta mahu Perdana Menteri tidak rasa terlalu suntuk masanya mentadbir negara ini.


Meskipun demikian, haruslah juga difahami bahawa Tun Mahathir sekarang sudah mencecah usia 94 tahun dan tahun depan akan menginjak umur 95 tahun.


Dengan ruang masa selepas 2 tahun diberi untuk berlakunya penyerahan kuasa itu, ia tidaklah pula bermakna Tun Mahathir harus memanjangkannya sehingga ke detik PRU15 yang dijangka diadakan pada tahun 2023.


Jika sehingga tahun 2023 itu, usia Tun Mahathir ketika itu sudah pun menjangkau 98 tahun dan adakah beliau masih mampu menjalankan tugasnya dalam usia setua itu?


Dalam hal ini, Tun Mahathir juga harus sedar bahawa sebelum beliau melakukan penyerahan kuasa, Anwar hendaklah diberi ruang secukupnya untuk mengukuhkan parti dan kerajaan sebelum ketibaan PRU15.


Menyerahkan kuasa di saat-saat akhir sebelum PRU15 mungkin menyukarkan Anwar menghadapi pilihanraya tersebut, apalagi untuk mengekalkan kemenangan PH.


Bermaksud, tempoh selepas 2 tahun yang disebut dalam kenyataan media terbaru ini, ia mungkin bermaksud 2 tahun 1 bulan, 2 tahun 3 bulan, 2 tahun 6 bulan atau tarikh-tarikh lain yang hampir dengannya.


Namun, ia tidaklah sehingga ke tarikh PRU15 atau sampai Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri selama 5 tahun lamanya.


Membiarkan Tun Mahathir menerajui negara sehingga PRU15 atau jika beliau hanya melakukan penyerahan kuasa di saat-saat, ia lebih mengundang peluang yang kelam dan sukar bagi PH untuk terus mengekalkan kuasanya. 


Anwar mesti diberi masa yang secukupnya membuktikan kepimpinannya dan melaksanakan idea-idea baru sebelum tibanya PRU15. (ShahbudinHusin 24/02/2019)

DUA PANCINGAN UNDI YANG TIDAK MENJADI.....


Setakat ini dalam usaha untuk memenangi PRK Semenyih, dua usaha telah dilakukan oleh kerajaan untuk membeli hati dan jiwa pengundi.


Pertama, mengumumkan bantuan sara hidup untuk orang bujang berjumlah RM100 dan kedua, memaklumkan cadangan mahu memperkenalkan mekanisme baru berkaitan kutipan tol.


Kedua-dua langkah yang diambil kerajaan itu dengan sendirinya memperlihatkan bahawa PH, khususnya Bersatu sedang melalui laluan sukar  untuk menang di Semenyih.


Jika tidak sukar untuk mencapai kemenangan, mustahil kedua-dua langkah itu diumumkan ketika kempen PRK Semenyih sedang berlangsung.


Lagi pun, tidak pernah dalam mana-mana PRK sebelum ini, kerajaan dilihat begitu ghairah menabur gula-gula untuk menambat hati pengundi.


Semuanya tidak lain kerana ini adalah kali pertama Bersatu bertanding dalam PRK dan sekiranya tewas, ia adalah mesej yang jelas menggambarkan ada rakyat yang tidak gembira, bukan saja terhadap dasar-dasar PH, malah juga kepada kepimpinan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.


Untuk itu, PH khususnya Bersatu dilihat sedaya upaya cuba untuk mengelakkan kekalahan daripada datang menimpa.


PENGUMUMAN - Dengan tujuan memberi lebih keselesaan kepada pembaca, blog ini akan berpindah sepenuhnya ke WordPress bermula 1 Mac 2019. Blog boleh dilayari melalui Shahbudindotcom.net. Terima kasih.


Berdasarkan persaingan sengit yang ditunjukkan oleh UMNO sehingga ini, tambahan lagi setelah mendapat semangat daripada kemenangan di Cameron Highlands, tidak dinafikan Bersatu masih berada di belakang untuk menggapai kemenangan.


Lantaran itu, diharapkan melalui dua langkah itu - memberi bantuan sara hidup RM100 kepada orang bujang dan pengumuman mekanisme baru berkaitan tol - sokongan pengundi kepada calon Bersatu, Aiman Zainali akan segera meningkat.


Malangnya, maaf cakap, kedua-dua usaha yang dilakukan kerajaan itu setakat ini langsung tidak membantu atau mampu menambah undi.


Bantuan RM100 yang diberi kerajaan kepada orang bujang lebih menjadi perlecehan di mana-mana kerana jumlahnya adalah sama seperti bantuan kepada budak-budak sekolah yang diberi sebelum ini.


Selain itu, ketika era BN, jumlah bantuan sara hidup atau BR1M untuk orang bujang adalah berjumlah RM450 dan seperti BR1M yang lain, ia sering dianggap sebagai rasuah oleh pemimpin-pemimpin PH, termasuk Tun Mahathir sendiri.


Soalnya, kenapakah setelah memberhentikan bantuan itu, tiba-tiba kerajaan mahu memberinya semula?


Lebih-lebih lagi di ketika sedang berlangsungnya masa kempen PRK Semenyih, tidakkah kerajaan terfikir mereka juga sedang melakukan rasuah untuk mendapatkan undi?


Sudahlah begitu, jumlah yang diberi pula jauh lebih kecil dan tidak sepadan dengan keperluan orang bujang untuk memberi sesuatu untuk diri mereka.


Langkah mahu memperkenalkan mekanisme baru tol, buat permulaan di empat lebuhraya di Lembah Kelang sebagaimana yang diumumkan semalam, turut membuatkan ramai tidak puas hati dengannya.


Pengenalan caj kesesakan pada waktu puncak selama enam jam dengan kadar tol sama seperti sedia ada, manakala potongan 30 peratus pada waktu lainnya dan percuma antara 11 malam hingga 5 pagi, dianggap langsung tidak memenuhi janji manifesto yang mahu memberi tol percuma sepenuhnya.


Yang nyata, langkah ini selain mengundang kecaman dan sindiran, undi yang diharapkan datang bersamanya juga nampaknya tidak mungkin menjadi kenyataan.


Melaluinya kerajaan dilihat tidak benar-benar ikhlas serta jujur hendak menunaikan janji yang mereka sendiri lafazkannya.


Lalu, apa lagi usaha kerajaan selepas ini?


Apakah kedatangan Tun Mahathir sendiri ke Semenyih pada 28 Februari nanti akan menyaksikan lebih banyak janji dan gula-gula ditawarkan kepada pengundi? (ShahbudinHusin 24/02/2019)

Saturday 23 February 2019

TOL PERCUMA HANYA ANTARA 11 MALAM HINGGA 5 PAGI, KAKI DISKO DAN GRO SAJA YANG UNTUNG!!!


Sebagaimana yang dijanjikan oleh Muhyiddin Yassin sebelum ini, kerajaan akhirnya mengumumkan langkah pertama berhubung janji penghapusan tol bagi tujuan mengurangkan kos sara hidup rakyat.


Dalam pengumuman yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri, kerajaan mengumumkan telah memulakan rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih empat lehuhraya bertol yang dimiliki syarikat tersebut.


Lebuhraya berkenaan ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.


PENGUMUMAN - Dengan tujuan memberi lebih keselesaan dan kemudahan kepada pembaca, blog ini akan berpindah kepada WordPress bemula 1 Mac 2019. Alamat baru blog ialah Shahbudindotcom.net. Terima kasih.


Bermakna, semua lebuhraya yang dimiliki oleh Gamuda yang dirancang untuk diambil alih oleh kerajaan itu adalah terletak di sekitar Lembah Kelang saja.


Lain-lain lebuhraya, termasuk Lebuhraya Utara - Selatan mungkin akan dirundingkan di masa yang lain atau jika ada pilihanraya kecil lagi selepas ini.


Dengan pengambilalihan empat lebuhraya itu, kerajaan mengumumkan cadangannya  untuk menukar mekanisme kutipan tol sedia ada kepada kaedah baru seperti berikut:-

  • Memperkenalkan caj kesesakan selama 6 jam sehari pada waktu puncak di mana pengguna tetap dikehendaki membayar kadar tol yang sama seperti jumlah yang sedia ada;
  • Kadar tol hanya dihapuskan sama sekali atau percuma pada waktu ‘off-peak’ iaitu antara jam 11 malam hingga 5 pagi; dan
  • Pengguna diberikan diskaun 30 peratus bagi penggunaan pada waktu-waktu biasa.

Oleh kerana keempat-empat lebuhraya ini terletak di ibu kota dan sekitar Lembah Kelang, jumlah rakyat yang benar-benar mendapat manfaat daripada mekanisme baru ini boleh dikata terlalu minimum kerana waktu antara 11 malam dan 5 pagi adalah masa tidur bagi manusia yang normal.


Sebaliknya, mereka yang mungkin mendapat untung adalah kaki disko, golongan yang suka berhibur pada waktu malam, GRO, kupu-kupu malam dan seumpamanya yang biasa keluar rumah sekitar jam 11 malam dan pulang sebelum 5 pagi.


Rakyat biasa yang bergelut pergi dan balik kerja pada waktu siang, realitinya langsung tidak mendapat apa-apa manfaat kerana tiada keperluan untuk mereka keluar rumah antara jam 11 malam dan 5 pagi itu.


Mereka yang pergi pagi dan balik petang untuk bekerja tetap dikenakan tol yang sama seperti era BN dahulu, kecuali jika keluar rumah sebelum 5 pagi dan balik selepas 11 malam.


Jadi, di manakah langkah kerajaan ini dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat?


Dengan dijanjikan tol percuma sebelum mendapat kuasa, tetapi hanya potongan 30 peratus pada waktu biasa, kadar sama pada waktu puncak dan hanya percuma di waktu manusia biasa sedang tidur lena yang mahu diberikan setelah kuasa diperolehi, pengumuman ini sebenarnya masih jauh daripada janji PH yang sepatutnya.


Ini bukan janji ditepati, tapi janji dicapati. (ShahbudinHusin 23/02/2019)

SETELAH USUL TAK PERCAYA TIDAK MENJADI, APA LAGI HELAH PAS UNTUK MENYELAMATKAN DIRI SELEPAS INI?


Segala-galanya kini sudah terang lagi bersuluh bahawa tidak ada sesiapa daripada PH mahu mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.


Penafian Anwar Ibrahim, pemimpin yang disebut-sebut mahu melakukan usul tersebut bahawa tiada rancangan sama sekali daripada dalam PH untuk berbuat demikian, dengan sendirinya menjadikan isu ini berakhir begitu saja.


Kata Anwar, isu berkenaan hanyalah permainan politik Hadi Awang untuk memecah-belahkan PH setelah partinya kalah teruk dalam PRU14 lalu.


"Itu usul Hadi Awang, biar dia bawa usul itu nanti," tambah Presiden PKR itu lagi.


Dengan mati dan berakhirnya isu berkaitan usul ini, Hadi dan Pas kini jelas semakin terperosok dalam kancah serba salah meneruskan perjuangannya.


PENGUMUMAN - Dengan tujuan memberi lebih keselesaan kepada pembaca, bermula 1 Mac 2019, blog ini akan berpindah sepenuhnya daripada Blogspot kepada WordPress. Blog ini seterusnya hendaklah dibuka dengan menaip Shahbudindotcom.net. Terima kasih.


Apakah Hadi akan turun berkempen di Semenyih sebagaimana beliau melakukan kerjasama erat dengan UMNO di Cameron Highlands sebelum ini?


Kalau turun dan bersungguh-sungguh membantu UMNO, bagaimana dengan janji yang sudah dilafazkannya kepada Tun Mahathir?


Jika tidak turun membantu, di mana lagi harapan Pas mahu merasa memegang kuasa dalam PRU akan datang?


Sedangkan Mat Sabu yang pernah jadi timbalannya sudah berpelung jadi menteri, mustahil tak terdetik di hati Hadi ingin merasa nikmat yang sama?


Di sebalik itu, jika penglibatan Pas bersama UMNO dilakukan secara bersungguh-sungguh, ia dalam masa yang sama turut mengundang resah berkaitan siasatan SPRM yang sedang dihadapi oleh parti Islam itu.


Pas barangkali tidak begitu gundah dengan siasatan berkaitan penerimaan dana berjumlah RM90 juta yang dikaitkan dengannya kerana untuk merungkai dakwaan itu tentu saja akan memakan masa yang lama untuk menyiasatnya.


Kes itu dikatakan sedikit kompleks kerana ramai individu, termasuk penderma yang biasa menderma kepada Pas, perlu disiasat sama  untuk menjejak kemasukan wang yang didakwa diterima itu.


Tetapi, yang sangat merisaukan Pas ketika ini adalah berkaitan dana RM2.5 juta yang dikatakan diterima Pas daripada UMNO menjelang PRU14 lalu.


Di media sosial, penyata bank berhubung kemasukan wang itu sudah pun lama viral serta tidak pernah dinafikan oleh pihak yang didakwa memberikannya.


Berdasarkan dakwaan Sarawak Report, wang tersebut dikatakan bertujuan untuk membayar deposit bagi calon-calon Pas yang bertanding ketika itu.


Bagaimanakah Pas mahu menafi atau menidakkan mengenai wang RM2.5 juta itu, sedangkan penyata banknya dilihat begitu nyata?


Jika ia didapati benar, di mana Pas mahu meletak wajah perjuangan Islam mereka kepada rakyat jelata?


Diberitakan juga, oleh kerana wang itu dimasukkan ke sebuah akaun bank berkaitan Pas Terengganu, itulah yang amat merisaukan Pas sehingga mendorong Hadi mahu segera bertemu dengan Perdana Menteri, baru-baru ini.


Kalau usul undi tidak percaya yang dijolok oleh Pas menjadi kenyataan dan politik PH kemudiannya terus bergolak, harapan Hadi untuk melihat siasatan SPRM terhenti mungkin sekali menjadi kenyataan.


Namun, dengan semuanya nampak tidak menjadi dan Anwar mengatakan ia hanyalah usul Hadi semata-mata, di manakah lagi peluang Pas untuk menyelamatkan diri?


Adakah Pas akan mencari helah lain selepas ini? (ShahbudinHusin 23/02/2019)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...