Saturday 31 May 2014

Kalah Tapi Permulaan Yang Baik Bagi Dyana


Sebagaimana yang sudah diketahui umum, BN berjaya merampas kembali kerusi Teluk Intan yang kali terakhir pernah dimenanginya pada 2004 dahulu. Dalam keputusan yang diumumkan tadi, calon BN, Mah Siew Keong berjaya menewaskan calon DAP, Dyana Sofya dengan majoriti 238 undi.

Dengan peratusan keluar mengundi begitu menurun iaitu hanya sebanyak 66.5 peratus, Mah memperolehi undi sebanyak 20,157 manakala Dyana Sofya meraih sebanyak 19,919 undi. Undi rosak pula sebanyak 550.

Walaupun tewas dan percubaan DAP meneroka aliran politik yang merentasi batas perkauman ditolak oleh pengundi Teluk Intan, tetapi haruslah juga diakui bahawa ini merupakan permulaan yang baik bagi Dyana untuk mengembangkan lagi potensinya sebagai ahli politik masa depan.

Kalah kali pertama tidak bererti akan kalah selamanya.

Beliau secara umumnya diterima sebagai ikon orang muda dan percubaan kali pertama dalam usia 27 tahun ini tentunya memberi banyak pengajaran dan pengalaman kepadanya. Namun sebagai orang luar Teluk Intan yang kali pertama bertanding dan lawannya pula merupakan presiden parti keempat terbesar dalam BN, kejayaan memberi cabaran sengit kepada BN masih boleh dikira membanggakan.

Selain berhadapan dengan Mah selaku Presiden Gerakan, Dyana turut berhadapan dengan kerajaan pusat dan juga kerajaan negeri Perak di mana pemimpinnya silih berganti turun berkempen dan menawarkan habuan kepada pengundi. Dengan peratusan pengundi Cina 42 peratus, Melayu 38 peratus dan India 19 peratus, latar belakang dan komposisi pengundi sebegini memang diakui memberi cabaran yang hebat kepada mana-mana calon pembangkang.

Sekurang-kurangnya dua sebab utama menjadi punca kekalahan Dyana dan DAP dalam pilihanraya ini. Pertama, kekurangan sokongan pengundi Melayu yang mana kehadiran beliau sebagai calon telah berjaya dimanipulasi dan disensasikan oleh jentera BN melalui pelbagai isu berkaitan diri dan apa yang pernah diperkatakannya seperti mengenai hudud dan UiTM.

Walaupun Dyana merupakan seorang Melayu tetapi jentera BN gigih memainkan isu bahawa di belakangnya adalah Cina dan berbeza dengan Mah yang walaupun Cina tetapi di belakangnya adalah Melayu.

Dan sejak awal lagi BN memang memberi tumpuan yang lebih kepada pengundi Melayu kerana mereka merasakan tiada harapan untuk bergantung kepada pengundi Cina yang majoritinya memang menyokong DAP. Lagi pula pengundi Melayu yang banyak berlatarbelakangkan kampung agak mudah dipengaruhi.

Sebab kedua kekalahan Dyana ialah wujudnya kecenderungan sebahagian pengundi Cina yang tidak mengundinya kerana masalah dalaman DAP. Mereka ini lebih mahukan calon tempatan diketengahkan dan bila kemunculan Dyana yang turut dibimbangi akan menenggelamkan terus calon tempatan dalam pilihanraya akan datang, maka penolakan golongan ini jadi membesar.

Selain tidak mengundi DAP, pengundi Melayu dan Cina yang enggan menyokong Dyana ini juga sebahagiannya mengambil keputusan tidak turun mengundi atau merosakkan kertas undi. Hal ini sudah kedengaran di hari-hari terakhir sebelum pembuangan undi lagi.

Sebab itu, tidak memeranjatkan jika peratusan yang keluar mengundi hanya 66.5 peratus saja manakala undi rosak pula sebanyak 550 dan lebih tinggi daripada majoriti kemenangan sebanyak 238 undi.

Melalui kemenangan ini, sebagaimana yang dijanjikan oleh Perdana Menteri sendiri, Mah akan dilantik menjadi menteri atas kapasitinya sebagai Presiden Gerakan. Melalui beberapa janji yang terkandung dalam manifestonya pula, pembinaan sebuah universiti tentulah antara yang paling ditunggu-tunggu oleh penduduk Teluk Intan.

Melalui beberapa janji menteri yang lain lain pula seperti wifi yang lebih laju, pembangunan yang lebih banyak, pembinaan lebuhraya Banting-Taiping yang dijanji dipercepatkan, uniform untuk anggota RELA dan sebagainya, semuanya itu sedang dinanti oleh penduduk Teluk Intan walaupun Mah berkata, semua itu bukan janjinya dan beliau tidak terikat dengannya.

Namun jika semua janji itu tidak ternampak bayangnya atau sebatang tiang pun gagal dinaikkan menjelang pilihanraya 2018 nanti, tidak mustahil kerusi Teluk Intan ini kembali semula ke pangkuan DAP.

Meskipun ada kemungkinan sesetengah pemimpin UMNO bersikap agak sombong dan poyo dengan kejayaan merampas kerusi Teluk Intan ini daripada DAP, tetapi secara keseluruhannya pola pengundian masih menjanjikan persaingan yang sengit dalam pilihanraya umum akan datang. Najib, UMNO dan BN belum boleh bersenang-lenang lagi. (SH 31/05/2014).

Friday 30 May 2014

Untung Rugi Memilih Antara Mah Siew Keong Dengan Dyana Sofya


Esok 31 Mei, seramai 60,483 pengundi kawasan Parlimen Teluk Intan akan menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih Ahli Parlimen yang baru berikutan kematian wakil rakyat DAP yang menang dalam pilihanraya 2013 itu, Seah Leong Peng yang meninggal dunia akibat kanser. Pilihan kali ini ialah antara Mah Siew Keong yang mewakili BN dengan Dyana Sofya yang mewakili DAP.

Kedua-dua pihak inginkan kemenangan kali ini. Mah yang tewas dalam dua kali pilihanraya lalu begitu mengharapkan kemenangan bagi membuktikan kedudukannya sebagai Presiden Gerakan diterima baik oleh pengundi. BN pula mengharapkan kejayaan untuk membuktikan mereka adalah kerajaan yang disukai rakyat walaupun dicabar getir.

Lantaran itu, BN bukan saja berkempen dengan aktif, menurunkan ramai menteri untuk berkempen, memberi banyak habuan dan menjanjikan deretan pembangunan, malah disaat akhir Najib Razak yang berada di China juga menjanjikan Mah akan dilantik sebagai menteri sekiranya beliau menang nanti.

Mah yang mungkin teruja dengan tawaran itu, bagaimanapun bagai memberi kata dua kepada pengundi bahawa beliau hanya sedia menganggotai kabinet sekiranya diberikan kemenangan dalam pilihanraya kecil ini dan akan menolaknya jika dilantik melalui kerusi Senator.

DAP pula mahukan kemenangan bagi meneruskan pencapaian yang diperolehi dalam pilihanraya 2013 lalu. Namun kali ini cabaran DAP lebih berat kerana mereka meletakkan calon Melayu berbanding calon bangsa Cina dalam pilihanraya lalu. Dalam pilihanraya 2008 pula, DAP meletakkan calon India, M Manogaran.

Kejayaan DAP pada esok bukan saja penting untuk menunjukkan parti itu tidak terikat dengan kouta kaum tetapi juga menunjukkan penerokaan yang mengambil kira selera pengundi muda dan suntikan kepada cita-cita PR memenangi pilihahraya umum akan datang. Pemilihan Dyana Sofya adalah tanda awal menghargai pengundi muda yang dijangka merangkumi lebih 40 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi dalam pilihanraya 2018 nanti.

Kemenangan Dyana juga akan membuktikan bahawa mereka semakin diterima oleh pengundi Melayu dan lebih menjuruskan parti itu benar-benar menjadi berbilang kaum, baik dari segi pemimpin mahupun kesediaan pengundi menyokongnya.

Tetapi kepada pengundi Teluk Intan, siapa yang harus mereka pilih? Apakah lebih baik memilih Mah yang bakal dijadikan menteri atau memilih Dyana yang muda, bergaya dan lebih bertenaga?

Mah bukan saja Presiden Gerakan tetapi juga memang orang Teluk Intan. Keluarganya sejak sekian lama menetap di situ dan semua orang mengenali susur galur keluarga dan keturunannya. Jika menang nanti, Najib sudah menjanjikan jawatan menteri untuknya. Mungkin ada yang berkata, beruntunglah penduduk Teluk Intan jika Mah menang nanti.

Tetapi jika Mah dilantik sebagai menteri, benarkah penduduk Teluk Intan yang untung. Atau hanya Mah saja yang menikmati untungnya. Mungkinkah dengan menjadi menteri nanti, keluarganya yang sudah kaya akan menjadi bertambah kaya lagi?

Dengan menjadi menteri, yang pasti untung hanyalah Mah. Pengundi Teluk Intan belum tentu lagi. Ini kerana banyak kawasan Parlimen yang diwakili oleh menteri tidak juga laju pembangunannya. Kawasan Parlimen yang diwakili menteri juga masih ramai orang susah dan miskin. Malah di kawasan Parlimen yang diwakili oleh Perdana Menteri, Najib Razak iaitu Pekan pun masih ramai yang miskin dan daif hidupnya.

Begitu juga di kawasan Parlimen Kubang Pasu yang pernah diwakili oleh Mahathir dan Kepala Batas oleh Pak Lah, turut juga masih ramai yang miskin, susah dan ketinggalan dari segi pembangunan. Di Kepala Batas misalnya, masih ada penduduknya yang tidak menikmati bekalan letrik sehingga sekarang.

Ini bermakna menjadikan Mah sebagai menteri belum tentu membawa keuntungan kepada penduduk Teluk Intan. Yang tentu untung hanyalah Mah saja. Jika menjadikan menteri menjanjikan rahmat dan "lailatul qadar" kepada pengundi, tentulah tiada yang susah, miskin dan ketinggalan dari segi pembangunan di Kubang Pasu, Kepala Batas dan Pekan.

Sebagaimana yang dikatakan oleh Mah, Teluk Intan adalah kampungnya. Kalah atau menang, beliau tetap ada di situ. Keadaan ini menjadikan memilih Dyana sebenarnya lebih menguntungkan kerana penduduk Teluk Intan akan mempunyai dua wakil yang boleh diminta bantuan iaitu Dyana sebagai Ahli Parlimen dan Mah sebagai Presiden Gerakan yang tentunya akan terus berbakti kepada rakyat.

Lebih dari itu, jika menang juga sudah tentulah Dyana akan berpindah dan bermastautin di bandar ini. Jika ada yang tidak puas menatap wajahnya selama dua minggu berkempen ini, kemenangannya akan membuatkan penduduk Teluk Intan dapat berjumpa dan mengadu masalah kepadanya berlarutan sekurang-kurangnya sehingga 2018. Jika dalam pilihanraya 2018 beliau dipilih lagi, lagi puaslah pengundi Teluk Intan bersama dengannya.

Tetapi jika kalah, tiada sebab lagi untuk Dyana berada di Teluk Intan ini. Beliau mungkin kembali kepada kerjaya asalnya sebagai Setiausaha Politik Lim Kit Siang di Gelang Patah, Johor. Barangkali sedikit kerugian kepada Teluk Intan.

Memenangkan Mah juga tidak mengubah apa-apa dari segi kedudukan kerajaan pusat. Begitu juga dengan kekalahan Mah, tidak menjejaskan apa-apa. Kerajaan pusat akan terus ditadbir oleh BN dan Najib juga akan kekal sebagai Perdana Menteri. Kemenangan Mah hanyalah memberi sedikit imej yang lebih baik kepada Gerakan, BN, kerajaan pusat dan juga Najib.

Oleh kerana kerusi Teluk Intan ini dimenangi DAP dalam pilihanraya lalu, kemenangan Mah akan menjadikan kerusi BN bertambah kepada 134 manakala PR berkurangan menjadi 88. Namun perubahan jumlah kerusi itu tidak memberi sebarang kesan kepada kedudukan BN dan juga PR.

Tetapi berbanding kemenangan, kekalahan Mah akan lebih mencemaskan BN dalam menghadapi pilihanraya akan datang. BN akan lebih bekerja kuat bukan saja di Teluk Intan tetapi juga di seluruh negara. Kemenangan Dyana akan menghantar isyarat kepada Najib dan Putrajaya bahawa rakyat masih belum berpuas hati dengan kerajaan yang ada sekarang. Di sebalik pembaharuan dan transformasi yang kerap dilaungkan - cukai GST, kenaikan harga barang, kos hidup, tata kelola kerajaan dan amalan rasuah yang terus berleluasa adalah antara isu yang masih merisaukan rakyat.

Jika kemenangan Mah mungkin akan membuatkan Najib, para menteri dan kerajaan bersikap sedikit sombong dan bangga diri, sebaliknya kekalahan pula akan menyebabkan mereka lebih merendah diri, gigih berusaha menawan hati rakyat dan membawa pembangunan ke seluruh negara.

Kemenangan Mah juga mungkin hanya menyebabkan Teluk Intan yang dibangunkan tetapi kekalahannya akan melimpahkan rahmat dari Perlis hinggalah ke Sabah.

Lagi pula, mengekalkan kemenangan DAP di Teluk Intan seperti mengembalikan kerusi itu kepada pemenangnya yang lalu. Ini jauh lebih baik kerana akan menjadikan PR yang dianggotai oleh Pas, PKR dan DAP kekal sebagai pesaing yang menggugat BN. Kedudukan itu penting bagi memastikan BN tidak leka dan dibuai mimpi indah dalam menguruskan kerajaan.

Dengan kekuatan yang kekal seimbang itu, BN 133 kerusi tetapi 47 peratus undi popular manakala PR 89 kerusi tetapi 52 peratus undi popular, kedua-dua parti ini akan saling berlumba memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat. BN akan menabur budi di Pusat dan kerajaan negeri yang ditadbirnya manakala PR juga akan memperbaiki khidmatnya di beberapa negeri bagi memastikan kuasa itu kekal di samping mengejar impian menawan Putrajaya pula.

Persaingan ini akhirnya akan membuatkan rakyat bertimpa-timpa untungnya.

Jika pengundi Teluk Intan berfikiran bijak dan memandang ke hadapan, pilihanraya ini bukan saja mampu memberi lebih kebaikan kepada mereka tetapi juga kepada rakyat seluruh negara. Bagaimanapun, semuanya terserah kepada mereka membuat pilihan. (SH 30/05/2014)

Thursday 29 May 2014

Kempen BN Guna Bahasa Jawa Dan Banjar Dipersenda Pengundi Teluk Intan


Setelah hilang harapan untuk mendapat sokongan daripada pengundi Cina di Teluk Intan sehingga Naib Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi segera melabelkan mereka sebagai golongan yang tidak bersyukur, sasaran BN kini lebih kepada pengundi Melayu untuk memastikan kemenangan calonnya, Mah Siew Keong pada pilihanraya 31 Mei depan ini.

Pengundi Melayu bukan saja dikunjungi dari rumah ke rumah, diberikan buah tangan, hamper dan pelbagai pemberian lainnya, usaha membeli jiwa juga turut dilakukan dengan cuba menunjukkan adanya ikatan sedarah sedaging antara pengundi dengan pemimpin tertentu dalam UMNO dan kerajaan.

Di kalangan pengundi Melayu dari suku Banjar misalnya, BN telah menggunakan Menteri Kewangan Kedua, Ahmad Husni Hanadzlah dan Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan yang mempunyai darah Banjar untuk berkempen dan bertemu dengan komuniti itu.

Ahmad Husni yang dikatakan mempunyai darah Banjar dari sebelah neneknya yang berasal daripada Bagan Serai, Perak memang didapati boleh berkomunikasi dalam bahasa itu, begitu juga dengan Ahmad Maslan daripada Benut, Johor yang kedua-dua ibu dan bapanya daripada suku Banjar.

Pengundi-pengundi di Kampung Banjar dan Sungai Tungku misalnya telah didatangi oleh kedua-dua pemimpin tersebut yang bercakap dalam bahasa Banjar sambil mengakui sesama Banjar di negara ini tetap bersaudara (kulaan) walaupun terpisah tinggal di beberapa negeri dan seterusnya meminta mereka memastikan kemenangan BN dalam pilihanraya kecil ini.

Di kalangan suku Jawa pula, peranan yang sama dimainkan oleh Ahmad Zahid Hamidi yang memang diketahui berketurunan Jawa daripada Bagan Datoh, Perak.

Beberapa kelompok komuniti Jawa di sekitar Batak Rabit telah pun menerima kunjungan Menteri Dalam Negeri itu di mana beliau bercakap dan berkempen dengan mereka menggunakan bahasa Jawa bagi menunjukkan keakrabannya.

Walaupun masyarakat suku kaum Banjar bangga kerana adanya wakil suku kaum mereka seperti Ahmad Husni dan Ahmad Maslan berada dalam kabinet, begitu juga suku Jawa bangga dengan Ahmad Zahid tetapi kedatangan mereka berkempen dengan cuba menggunakan sentimen kesukuan dalam pilihanraya kecil ini, turut juga dipersendakan dan dijadikan bahan perbualan seharian oleh kedua-dua kelompok itu.

Kata mereka, di ketika Ahmad Husni dah Ahmad Maslan mengaku saling bersaudara dan menceritakan susur-galur keturunan dan "Kebanjaran" masing-masing, persoalannya kenapakah baru sekarang ini perkara itu dibangkit dan diceritakan.

Kenapa tidak dilakukan sejak dulu lagi? Selain itu, selepas pilihanraya nanti, masih adakah lagi hubungan persaudaraan (kulaan) itu?

Begitu juga, ada pengundi suku Jawa yang mempersenda kehadiran Ahmad Zahid yang sentiasa bercakap dalam bahasa Jawa dengan mereka, bertanya khabar dan menunjukkan kebaikan yang berlebih-lebihan.

Kata mereka, kalau tiada pilihanraya ini, mungkinkan semua itu terjadi?

Menjelang dua hari terakhir kempen ini, pengundi Melayu hampir menjadi sasaran sepenuhnya bagi BN manakala pengundi Cina sudah semakin dilupakan kerana jentera BN merasakan tiada harapan lagi untuk mereka menembusinya. Selain menggunakan sentimen kesukuan seperti yang dilakukan oleh Ahmad Zahid, Ahmad Husni dan Ahmad Maslan, kempen yang disertai dengan pemberian hadiah dan buah tangan dijangka makin diperhebatkan di saat-saat akhir ini.

Bagaimanapun sasaran BN hanyalah suri rumah dan pengundi berusia saja kerana pengundi muda Melayu boleh dikatakan rata-rata lebih memihak kepada calon DAP, Dyana Sofya. Bagaimanapun, selain terpaksa bersaing dengan Pas dan PKR dalam perebutan sokongan pengundi Melayu ini yang didapati turut bekerja keras untuk memastikan undi yang diperolehi DAP kali ini tidak banyak berubah sepertimana pilihanraya umum lalu, pengundi Melayu atas pagar pula ada yang mulai mempersenda cara kempen BN kali ini seperti menggunakan sentimen suku kaum itu.

Sebab itu, tidak hairanlah Ahmad Zahid, Ahmad Husni dan Ahmad Maslan adalah antara pemimpin UMNO yang sentiasa berkampung sepanjang kempen pilihanraya Teluk Intan ini. Mereka sebenarnya ada misi yang lebih daripada sekadar kedudukan mereka sebagai menteri dan pemimpin UMNO saja, tetapi juga kerana darah Banjar dan Jawa yang mengalir dalam tubuh masing-masing. (SH 29/05/2014)

Wednesday 28 May 2014

Zahid Hamidi Sempitkan Lagi Harapan Calon BN


Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi adalah pemimpin UMNO yang paling kerap dan rajin turun berkempen di Teluk Intan. Boleh dikatakan seetiap hari atau selang hari, kelibatnya akan kelihatan di bandar ini. Keadaan ini bukan saja disebabkan kedudukannya sebagai pemimpin kanan UMNO yang mahu memastikan kemenangan calon BN, Mah Siew Keong tetapi mungkin juga disebabkan kawasan Parlimen yang diwakilinya, Bagan Datoh adalah bersebelahan dengan Teluk Intan.

Ahmad Zahid juga paling banyak program serta paling banyak bercakap dengan media. Dalam masa yang sama, beliau juga paling banyak mengeluarkan mengeluarkan kenyataan sensasi dan kontroversi di Teluk Intan ini.

Beliau bercakap mengenai anggota RELA yang tidak mengundi dalam pilihanraya umum lalu dan memberi amaran agar menunaikan tanggungjawab kali ini. Ini kerana, dakwanya, beliau tahu siapa mereka itu.

Beliau juga menawarkan janji memberi uniform baru kepada anggota RELA jika calon BN menang dalam pilihanraya kecil ini tetapi jika BN kalah, "belilah sendiri".

Ketika semua media dan jentera kempen banyak memperkatakan calon DAP, Dyana Sofya yang dianggap cantik dan muda, berbeza dengan calon BN, Mah Siew Keong yang dianggap agak tua dan kitar semula, Ahmad Zahid juga berkata, "Dyana Sofya bukanlah cantik sangat. Dia hanya cantik dalam gambar dan cantik sikit ketika muncul dalam televisyen tapi tidaklah cantik sangat secara realitinya".

Mengenai pengundi Cina pula, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO melabelkan mereka sebagai golongan yang tidak bersyukur dan gembira jika calon BN kalah kerana mereka adalah golongan kaya dan mempunyai pelbagai jenis perniagaan.

Katanya, beliau, orang Melayu dan India akan sedih jika DAP menang lagi di Teluk Intan ini tetapi pengundi Cina tidak terkesan apa-apa kerana mereka sudah kaya sedangkan dengan bantuan orang Melayu dan India yang membeli barangan merekalah, maka mereka menjadi kaya.

Semalam pula, Zahid sekali lagi menimbulkan sensasi dengan memberi amaran kepada golongan kongsi gelap dan penjenayah agar tidak mengambil kesempatan sepanjang kempen pilihanraya kecil Teluk Intan ini.

"Jangan ugut orang, jangan cuba campurtangan dalam politik. Saya tahu muka mereka, saya tahu nama mereka, saya mereka duduk di mana dan lari ke mana. Saya bukan sekadar beri amaran, tapi tahu macam mana nak lakukan," katanya dalam ceramah malam tadi.

Nampaknya, sama seperti anggota RELA yang diketahuinya tidak mengundi BN dalam pilihanraya umum lalu, Ahmad Zahid juga tahu mengenai kegiatan jenayah di Teluk Intan. Cumanya, kalau sudah tahu semuanya, bertindaklah segera.

Menjelang hari-hari terakhir kempen ini, Ahmad Zahid mungkin lebih kerap turun ke Teluk Intan dan tidak mustahil juga lebih banyak lagi kenyataan sensasi dan kontroversi yang ditimbulkannya.

Kenyataan beliau mengenai anggota RELA yang diketahuinya tidak mengundi dianggap oleh DAP bercirikan ugutan manakala tawarannya mahu membelikan uniform pula dilihat sebagai jelas percubaan mahu merasuah pengundi. Tetapi SPR sehingga ini mempertahankan kenyataan Ahmad Zahid itu dan menganggapnya sebagai nasihat saja.

Tetapi kenyataan beliau mengenai pengundi Cina yang tidak bersyukur bukan saja mengundang rasa tidak senang DAP yang mahunya meminta maaf tetapi juga telah menyinggung perasaan MCA, Gerakan dan MIC.

Parti komponen BN ini jelas tidak gembira dengan keceluparan Ahmad Zahid itu, mahunya memberi penjelasan lanjut mengenai takrifan "tidak bersyukur" itu serta mengingatkannya agar tidak cuba membangkitkan sentimen kaum dalam pilihanraya ini kerana ia lebih menyempitkan peluang BN untuk menang dalam pilihanraya 31 Mei nanti.

Kenyataan Zahid mengenai pengundi Cina bukan saja bersifat perkauman, malah tidak wajar diucapkan oleh seorang yang bertaraf pemimpin dalam kerajaan. Ini kerana menyokong pembangkang bukanlah suatu kesalahan di sisi undang-undang dan DAP juga merupakan parti yang sah berdasarkan amalan demokrasi berparlimen di negara ini.

Begitu juga pengundi Melayu di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang banyak menyokong Pas tidak seharusnya dilabelkan tidak bersyukur. Malah pengundi Melayu atau bukan Melayu yang menyokong kerajaan juga belum tentu mereka itu bersyukur. Pilihan terhadap parti disebabkan banyak faktor dan keinginan.

Seharusnya kedudukan negara yang berbilang kaum, kerencaman rakyat dalam memilih parti yang mahu disokong, amalan demokrasi, kebebasan dan hak setiap rakyat hendaklah dihormati. Pilihanraya hanyalah proses memilih wakil di Parlimen dan bukan sesuatu yang mengancam keharmonian atau keselamatan negara.

Berkempen secara tidak wajar dengan membangkitkan api perkauman dan ketegangan, tidak membantu menjadikan negara jni lebih baik untuk semua rakyatnya, malah serangan kepada aliran sokongan sesuatu kaum lebih menjadikan mereka semakin jauh dengan kerajaan.

Keresahan MCA, Gerakan, MIC terhadap kenyataan Ahmad Zahid itu bukan saja mengenai peluang menang Mah Siew Keong yang mungkin lebih tipis dalam pilihanraya kecil ini tetapi juga dalam menghadapi cabaran pilihanraya yang seterusnya. Jika pengundi Cina terus dilabel tidak bersyukur dan menyokong DAP seolah-suatu suatu dosa serta kesalahan, tanpa ada usaha lain untuk mendekati dan berbaik-baik dengan mereka, sudah tentulah ia akan menjarakkan lagi hubungan mereka dengan kerajaan.

Keengganan pengundi Cina menyokong kerajaan haruslah juga dilihat dalam konteks prestasi kerajaan dan kewibawaan pemimpinnya yang turut banyak dipertikaikan. Tidak seharusnya hanya pengundi Cina yang dipersalahkan sedangkan kerajaan dan pemimpinnya tidak mahu memperbaiki diri.

Di Teluk Intan, sementara majoriti Cina memang menjadi penyokong DAP berbanding MCA atau Gerakan, kenyataan Ahmad Zahid yang menyinggung perasaan itu akan membuatkan blok sokongan mereka lebih melimpah kepada calon DAP, Dyana Sofya yang pada pandangan mata beliau "tidaklah cantik sangat" itu.

Kenyataan Ahmad Zahid secara langsung membuatkan Dyana Sofya "lebih cantik" di mata pengundi Cina dan ini membuatkan jentera BN terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan lebih sokongan daripada pengundi Melayu. Mah Siew Keong sudah direntap harapannya oleh Ahmad Zahid untuk mendapat sokongan daripada kaumnya sendiri. (SH 28/05/2014)

Tuesday 27 May 2014

Belum Pun Menang, Calon BN Sudah Mahu Lari Dari Tanggungjawab!!


Calon BN bagi pilihanraya kecil Teluk Intan, Mah Siew Keong dilaporkan berkata, beliau tidak bertanggungjawab terhadap janji-janji yang dibuat oleh menteri sepanjang kempen pilihanraya ini berikutan ia dibuat tanpa kehadirannya.

Katanya lagi, itu adalah janji-janji menteri berkenaan dan bukannya janji beliau.

Mah yang juga Presiden Gerakan menegaskan, beliau hanya membuat janji yang dirasakan mampu ditunaikannya sebagaimana yang terdapat dalam manifesto yang dilancarkannya saja. Antara janji yang terkandung dalam manifesonya ialah mewujudkan sebuah universiti, menyenaraikan Menara Condong Teluk Intan sebagai tapak warisan dunia oleh Unesco, membina stadium, lebih banyak padang futsal dan menyelesaikan masalah setempat seperti perparitan dan lampu jalan.

Sebelum ini ramai menteri yang datang berkempen di Teluk Intan telah menabur janji-janji manis bagi memastikan BN memenangi pilihanraya pada 31 Mei ini. Antaranya Menteri Komunikasi dan Multimedia, Ahmad Shabery Cheek yang menjanjikan akses internet yang lebih laju akan dilakukan manakala Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor pula menjanjikan lebih banyak pembangunan akan didatangkan ke bandar ini jika BN menang nanti.

Yang lebih gah janji BN ialah apabila Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin melancarkan projek lebuhraya antara Taiping dengan Banting yang turut melalui jajaran ke Teluk Intan sebagai usaha merancakkan lagi pembangunan ekonominya. Lebuhraya ini bernilai RM5 biliion sudah pun diumumkan oleh Perdana Menteri, Najib Razak sejak 2011 tetapi tiada perkembangan bila ia mahu dimulakan dan pilihanraya Teluk Intan telah dijadikan modal untuk melancarkan projek mega itu.

Selain Muhyiddin, Tengku Adnan dan Ahmad Shabery, ramai lagi menteri yang datang menabur janji-janji mereka berdasarkan bidang kuasa kementerian masing-masing. Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi misalnya, berjanji untuk menghadiahkan uniform baru kepada kakitangan RELA jika calon BN memenangi pilihanraya ini.

Tetapi dengan penegasan Mah Siew Keong bahawa beliau tidak bertanggungjawab terhadap janji menteri-menteri itu, jika ditakdirkan beliau menang nanti, bagaimanakah rakyat mahu menuntutnya?

Sepatutnya, jika ditakdirkan menang, beliau sebagai wakil rakyatlah yang perlu memainkan peranan memastikan semua janji itu dipenuhi. Ini kerana mustahil untuk rakyat dapat berjumpa atau bertanya dengan Muhyiddin, Tengku Adnan, Ahmad Shabery dan Zahid Hamidi mengenai janji-janji bulan madu yang pernah dilafazkan mereka itu.

Dalam masa yang sama, kesemua menteri terbabit juga tidak mungkin akan datang ke Teluk Intan lagi bagi memastikan janji-janji yang pernah mereka buat dulu telah ditunaikan atau sebaliknya. Pengundi Teluk Intan hanya dapat menatap wajah menteri-menteri tebabit di kaca tv atau akhbar saja.

Dengan penegasan Mah Siew Keong bahawa beliau hanya bertanggungjawab terhadap janji dalam manifestonya saja dan bukan janji-janji yang dibuat oleh menteri-menteri, sahlah bahawa semua janji itu palsu belaka. Kalau menang jelas bahawa Mah Siew Keong tidak akan berusaha memastikan lebuhraya Banting-Taiping, akses internet dan pembangunan yang lebih rancak dilaksakanan untuk pengundi Teluk Intan.

Malah, kata-kata Mah Siew Keong itu juga bermaksud, beliau turut tidak akan berusaha menuntut janji uniform baru kepada anggota RELA yang dibuat oleh Zahid itu.

Oleh kerana calon BN enggan bertanggungjawab dan janji-janji itu pula ibarat janji bulan madu saja, janganlah hairan jika ada janji sehingga mahu membina KLCC di Teluk Intan ini.

Sementara itu, janji-janji dalam manifesto Mah Siew Keong juga hanyalah janji biasa yang boleh dibuat oleh mana-mana wakil rakyat, kecualilah janji mahu mewujudkan sebuah kampus universiti di bandar ini. Tiada keistimewaan sama sekali.

Walapun janji mewujudkan universiti ini dipertikaikan oleh ramai pengundi Teluk Intan berikutan sebuah sekolah menengah yang pernah dijanjikan di Kampung Bahagia sejak 2012 dengan kos RM27 juta dulu pun masih belum dilaksanakan lagi sehingga ini, tetapi sebagai Presiden Gerakan, mendatangkan sebuah kampus universiti di Teluk Intan bukanlah sesuatu yang mustahil bagi beliau.

Ini kerana Gerakan mempunyai sebuah IPTS miliknya iaitu Universiti Wawasan yang sudah pun mempunyai beberapa kampusnya sebelum ini. Dengan keluarga beliau memiliki banyak tanah di sekitar bandar ini, tentulah tidak mustahil universiti itu mahu dibina dengan segera. Tetapi ia adalah IPTS dan bukannya IPTA serta melebarkan sayap IPTS juga bermakna meluaskan lagi sayap perniagaan bagi keluarga beliau dan juga Gerakan.

Untuk mewujudkan sebuah kampus IPTA di Teluk Intan, ia mungkin memerlukan pertimbangan yang lebih teliti atau hanya akan dilaksanakan dalam tempoh yang lama lagi kerana berhampiran bandar ini iaitu Seri Iskandar dan Tapah sudah pun ada kampus UiTM yang telah beroperasi.

Di Seri Iskandar, kampus UiTM sudah beberapa tahun beroperasi manakala di Tapah yang hanya sepelaungan daripada Teluk Intan, ianya baru saja siap dibina. (SH 27/05/2014)

Monday 26 May 2014

Pemuda UMNO Bising Bila 'Dicelakakan' Tapi Bisu Ketika Umat Islam 'Dibabikan'


Ketika umat Islam sekarang ini begitu terpukul dengan kelalaian syarikat coklat, Cadburry sehingga dua jenis keluarannya didapati mengandungi DNA babi, sambil memikirkan sudah berapa banyak najis itu telah memasuki tubuh badan dan menjadi darah kebanyakan umat Islam negara ini, terutamanya kanak-kanak, ramai yang tertanya-tanya kenapa Pemuda UMNO hanya berdiam diri saja?

Tindakan Cadburry itu bukan saja biadap, tidak sensitif terhadap Islam yang menjadi agama rasmi dan orang Melayu yang menjadi majoriti, tetapi seolah-olah syarikat itu sedang "membabikan" umat Islam negara ini.

Sehingga ini belum tedrngar suara Pemuda UMNO dalam isu coklat Cadburry dan kelemahan Jakim yang mengawal sijil halal di negara ini.

Ini nyata berbeza dengan sikap yang ditunjukkan oleh Pemuda UMNO ketika seorang wakil rakyat DAP, R.S.N. Rayer yang mengungkapkan perkataan "UMNO celaka" di dalam DUN Pulau Pinang. Pemuda UMNO bukan saja bising di merata-rata serta merosakkan papan tanda, bahkan menyerang beberapa pejabat DAP sambil melontarkan ugutan mahu membakar bangunan itu.

Sehingga ini pun, masih ada Pemuda UMNO yang seperti "ketinggalan bas" dengan masih mahu meminta Rayer meminta maaf dan menarik balik ucapannya sedangkan ADUN Seri Delima itu jelas tidak mahu menarik balik perkataan "UMNO celaka" yang pernah diucapkannya, malahan ketika kempen di Bukit Gelugor tiga hari lalu turut mengulangi perkataan "UMNO celaka" itu dalam ceramahnya dan di luar sidang DUN Pulau Pinang.

Jika dulu ada yang mendesak agar Rayer mengulangi apa yang dikatakannya di luar DUN supaya tindakan saman kononnya boleh diambil, setelah beliau mengulanginya di luar Dewan, mana tindakan itu sekarang?

Pemuda UMNO nampaknya hanya berani menjerit-jerit, menjulang sepanduk, mengugut mahu membakar bangunan dan mengoyak memorandum yang dibuat sendiri, tetapi tidak lebih daripada itu.

Bukan tidak boleh Pemuda UMNO bersuara dalam isu "UMNO celaka" tetapi mereka juga seperti "celaka" apabila tidak berani bersuara dan diam membisu ketika umat Islam "dibabikan" oleh Cadburry.

Jika dibandingkan dengan isu "UMNO celaka", isu pencemaran DNA babi dalam coklat sepatutnya lebih membuatkan Pemuda UMNO sensitif dan berindak lebih berani lagi. Ini kerana Cadburry jelas ingin "membabikan" umat Islam negara ini kerana mereka bukannya tidak tahu babi itu haram kepada umat Islam. Mereka juga sudah lama beroperasi di negara ini dan tiada alasan untuk berhelah mengenai babi kepada orang Islam.

Secara logiknya, mereka seolah-olah sengaja berbuat demikian. Lebih malang lagi, ujian Kementerian Kesihatan yang dilakukan pada Februari lalu itu hanya diambil tindakan oleh syarikat terbabit dan juga Jakim sejak semalam, itu pun setelah hasil ujian dua jenis coklat itu terdedah di laman-laman sosial.

Agaknya kalau tidak terdedah di laman sosial hasil ujian itu, sampai sekarang Jakim masih tidur dengan kopiah putih atau songkok berkilat sambil berbangga dengan keislaman mereka yang kononnya lebih tinggi daripada orang lain, manakala Cadburry pula masih bebas menjual coklat tersebut.

Baru sekaranglah juga Jakim mahu mengadakan mesyuarat tergempar dan memanggil wakil syarikat tersebut untuk meminta penjelasan. Baru sekaranglah juga logo halalnya ditarik balik. Apa yang mereka buat daripada Februari ketika ujian sudah mengesahkan ada DNA babi dalam coklat itu pada 27 Februari lalu hingga semalam itu? Dalam tempoh itu, sudah berapa banyak coklat yang ada DNA babi itu telah ditelan oleh anak-anak kita dan juga umat Islam seluruhnya?

Dalam hal ini, bukan saja Cadburry yang salah dan cuai, Jakim pun seperti turut sama merelakan umat Islam negara ini "dibabikan" sama. Apa pula kerja menteri yang bertanggungjawab terhadap Jakim selama ini dan apakah Jamil Khir Baharom tidak patut dipertanggungjawabkan sama?

Sebagai sayap politik yang dikenali sebagai badan pendesak, kalau Pemuda UMNO begitu sentisif apabila "dicelakakan", apakah mereka tidak sentisif apabila "dibabikan" dan dalam masa yang sama juga mengetahui sudah banyak najis itu telah memasuki tubuh badan umat Islam. Mungkin juga DNA babi itu turut telah memasuki anak dan kaum keluarga pejuang Pemuda UMNO sendiri.

Kenapa tiada demonstrasi dan sepanduk? Kenapa tiada memorandum? Kenapa tidak diugut mahu dibakar kilang Cadburry jika sekali lagi mengulangi tindakan mencemarkan coklat dengan DNA babi? Kenapa tiada tunjuk perasaan di depan pejabat Jakim? Apakah Pemuda UMNO merelakan begitu saja kelalaian Jakim yang bertanggungjawab menjaga halal dan haram makanan umat Islam?

Sebenarnya begitu banyak yang boleh dipersoalkan mengenai sikap dan pendirian Pemuda UMNO dalam isu coklat dan DNA babi ini. Sementara semakin banyak seruan agar diboikot semua keluaran Cadburry atas sikap biadap mereka itu dan semakin ramai juga pengguna yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pengeluar coklat itu, sikap senyap dan bisu Pemuda UMNO lebih menyerlahkan wajah sebenar mereka.

Jika sekarang dan setelah bertahun-tahun memiliki sijil halal tapi masih juga boleh mencemarkan coklat dengan DNA babi, tiada jaminan ia tidak berulang di masa depan. Dalam masa yang sama, tempat memasak coklat juga mungkin sudah tidak suci lagi dan ini amat mewajarkan Pemuda UMNO untuk bertindak lebih keras lagi.

Kalau kali ini mereka merosakkan papan tanda di kilang Cadburry dan mengugut mahu membakar kilangnya, pasti tiada yang bersikap sinis lagi. Malah pujian dan jambangan bunga wajar diberikan sebagai hadiah.

Amat jelas bahawa sikap ini membuatkan Pemuda UMNO mengecilkan skop perjuangan mereka sendiri kerana isu DNA babi dalam coklat sebenarnya meresahkan kira-kira 17 juta umat Islam negara ini berbanding ungkapan "UMNO celaka" hanyalah untuk menjaga kepentingan 3.2 juta ahli UMNO saja.

Atau dalam erti kata lain, Pemuda UMNO hanyalah tersentuh apabila "dicelakakan" tapi tidak kisah pun apabila "dibabikan" sedangkan semua orang yang belum gila sedar bahawa penghinaan memasukkan najis babi ke dalam tubuh umat Islam jauh lebih mengaibkan daripada hanya diserang dengan ungkapan celaka itu. (SH 26/05/2014)

Sunday 25 May 2014

BN Dah Lupakan Pengundi Cina, Sasaran Lebih Kepada Melayu


Setelah hampir seminggu kempen pilihanraya kecil Teluk Intan berjalan, BN didapati masih kekurangan sokongan daripada pengundi Cina yang meliputi 42 peratus daripada 60,483 jumlah pengundi keseluruhan di kawasan itu. Pengundi Cina dikesan masih selesa bersama-sama dengan DAP yang sudah menguasai kawasan itu sejak dua kali pilihanraya lalu.

Walaupun kali ini DAP meletakkan calon berbangsa Melayu iaitu Dyana Sofya tetapi rata-rata pengundi Cina tidak mengambil ianya sebagai isu besar kerana sebelum ini iaitu dalam pilihanraya 2008, calon DAP yang bertanding dan menang di Teluk Intan juga adalah berbangsa India, M Manogaran.

Lebih dari itu, salah satu DUN dalam kawasan Teluk Intan iaitu Pasir Bedamar turut pernah diwakili oleh calon DAP berbangsa Melayu, Fadzlan Yahya selama tiga penggal.

Oleh itu, isu calon DAP bukan daripada bangsa Cina bukanlah masalah besar bagi majoriti pengundi Cina di Teluk Intan. Sebagaimana dua pilihanraya sebelum ini, pada 31 Mei ini juga mereka akan memberikan sokongan kepada DAP. Salah seorang pengundi Cina yang ditemui, sambil berseloroh berkata, "kami sudah lama mengamalkan 1Malaysia".

Menyedari keadaan itu, BN kini terpaksa mengalih tumpuan untuk meraih sebanyak mungkin undi daripada kalangan pengundi Melayu yang berjumlah 38 peratus yang sebahagiannya berada di dalam DUN Changkat Jong. Pengundi Cina bukan lagi keutamaan dan akan sedikit demi sedikit dilupakan oleh BN.

Hanya pengundi Cina yang dikesan pengundi putih BN saja akan diberi perhatian selepas ini.

Bukan saja jentera kempen, terutama daripada luar Teluk Intan lebih memberi perhatian kepada pengundi Melayu, malahan kedatangan menteri-menteri dan pemimpin daripada Kuala Lumpur juga lebih memberi tumpuan kepada sasaran yang sama.

Surau, masjid, perkampungan serta penempatan Melayu seperti Kampung Bahagia, Durian Sebatang, Selabak, Batak Rabit, sekitar Jalan Changkat Jong dan lain-lainnya akan menjadi tumpuan dalam hari-hari terakhir kempen ini.

Untuk tujuan meracuni pemikiran pengundi Melayu juga, kempen berbentuk propaganda yang mengaitkan DAP dengan komunis dan 13 Mei serta menyebar gambar palsu Dyana berbikini turut dilakukan agar hasil yang maksimum diperolehi. Kempen seperti ini akan terus diperhebatkan dari semasa ke semasa.

Berikutan dalam pilihanraya lalu BN kecundang dengan majoriti 7,313 undi, BN merasakan kemungkinan untuk menang hanya boleh dicapai sekiranya lebih banyak undi Melayu memihak kepada mereka.

Janji pembangunan yang dibuat oleh beberapa menteri, ugutan bahawa pembangunan dan kelajuan internet akan dipertingkatkan sekiranya BN menang, ugutan kepada pengundi RELA, cemuhan supaya jangan mengundi semata-mata kerana calon itu memakai lipstik dan sebagainya adalah jelas ditujukan kepada pengundi Melayu yang rata-ratanya masih berpendapatan rendah dan boleh dikelirukan pemikirannya agar terus bergantung kepada kerajaan.

Bagi pengundi Cina, kempen semumpama itu tidak bererti langsung kepada mereka.

Menjelang hari-hari terakhir juga, kempen rumah ke rumah serta kunjungan membawa buah tangan turut dipercayai akan dilipatgandakan untuk memastikan majoriti pengundi Melayu mengundi calon BN, Mah Siew Keong.

Bagi jentera BN, kegagalan mereka mendapatkan lebih banyak undi Cina juga disebabkan ketidak-upayaan jentera daripada parti komponen yang lain menjalankan fungsi dengan sebaiknya. Di banyak kawasan pusat daerah mengundi, hanya jentera UMNO yang kelihatan, manakala wakil daripada MCA dan MIC hampir tidak kelihatan.

Walaupun calon Gerakan yang bertanding tetapi jentera daripada parti itu lebih sibuk mengiringi calon bertemu dengan pengundi dan hampir tidak meletakkan wakil mereka di banyak pusat daerah mengundi, termasuk di kawasan yang mempunyai pengundi berbilang kaum.

Ini menjadikan ramai yang kecewa dengan sikap parti komponen itu, terutamanya MCA yang seolah-olah mahu melihat calon Gerakan turut kecundang supaya tidak jauh bezanya dengan kedudukan parti itu yang tidak meletakkan calon di Bukit Gelugor.

Di hari-hari terakhir ini, untuk DAP memastikan kemenangan dalam PRU 13 lalu dikekalkan, peranan rakan gabungan mereka iaitu PKR dan PAS untuk mengepung sokongan pengundi Melayu adalah sangat penting sebenarnya.

Kiranya PAS dan PKR dapat memastikan sokongan pengundi Melayu tidak banyak beralih arah, peluang calon Dyana Sofya mengekalkan kemenangan DAP adalah cerah, walaupun dengan majoriti yang sedikit berkurangan. (SH 25/05/2014)

Saturday 24 May 2014

Bersalam Dengan Dyana Pun Suatu Kesalahan Rupanya...


Sementara penduduk dan pengundi di Teluk Intan berbangga dan meraikan kehadiran Dyana Sofya sebagai calon dalam pilihanraya kecil Teluk Intan yang bakal berlangsung pada 31 Mei ini, keadaan yang sama tidak berlaku kepada sebahagian kakitangan kerajaan yang bertugas di bandar ini.

Kehadiran beliau sebagai calon muda yang menarik dan telah menjadi fenomena, rupa-rupanya ada petaka di sebaliknya.

Ini berikutan kehadirannya yang sekaligus mendatangkan resah dan gelisah kepada UMNO dan BN untuk memenangi pilihanraya kecil ini telah membuatkan ada ketua jabatan yang hilang pertimbangan dan tidak rasional dalam menjalankan tugas mereka.

Berikutan hari penamaan calon pilihanraya kecil Teluk Intan pada 19 Mei lalu diadakan di Dewan Sekolah Menengah Seri Perak dan ramai guru-guru yang sedang bertugas ketika itu, maka ramailah di kalangan mereka yang tidak mahu melepaskan peluang mahu melihat calon DAP itu dari dekat serta bersalam dengannya.

Terlanjur nama Dyana sudah menjadi fenomena dan wajah serta penampilannya pula menarik, sama seperti penduduk Teluk Intan yang lain, bahkan di kalangan ahli Puteri UMNO sekali pun, sebenarnya bukanlah luar biasa jika ada keinginan untuk menatap wajahnya dari dekat, bergambar atau bersalam dengannya.

Namun demikian, tanpa disedari guru-guru yang didapati bersalam dengan Dyana itu rupa-rupanya sentiasa diperhatikan dan dicatat namanya. Dengan hasrat untuk memgampu, membodek serta ingin menyumbang kepada kemenangan calon BN, Mah Siew Keong kononnya 100 peratus atau pun majoriti guru-guru di Teluk Intan mengundi BN, guru-guru terbabit kini dalam proses di panggil mengadap ketua jabatan untuk dikenakan tindakan.

Kesalahannya hanya kerana didapati bersalam dengan Dyana dan dicop ssbagai pro pembangkang.

Mungkin mereka akan dipanggil untuk mengetahui sama ada undi mereka diberikan kepada BN atau DAP atau barangkali juga akan disusuli dengan tindakan pertukaran sekolah jika didapati mempunyai kecenderungan yang kuat terhadap pembangkang.

Sekurang-kurangnya hampir 10 guru-guru yang didapati bersalam dengan Dyana ketika hari penamaan calon 19 Mei lalu akan dipanggil mengadap ketua jabatan dalam masa terdekat ini. Guru-guru yang dipercayai ada kecondongan terhadap PR sama ada melalui perbualan seharian dan sebagainya juga turut akan dipanggil sama.

Sehingga ini ramai guru-guru meluahkan rasa tidak puas hati atas perkara ini dan mempersoalkan sejak bila bersalam dengan calon parti pembangkang merupakan suatu kesalahan? Mereka juga mempersoalkan, jika tidak mahu guru-guru berdepan kemungkinan bertemu dan bersalam dengan calon DAP, Dyana Sofya itu, seharusnya buatlah penamaan calon di tempat lain dan bukannya di dewan sekolah.

Tindakan ugutan yang dilakukan terhadap guru-guru ini tidak lebih menyerlahkan jiwa resah dan gelisah UMNO dan BN menghadapi pilihanraya kecil Teluk Intan ini. Arus penolakan rakyat yang semakin kuat terhadap BN, ditambah dengan kehadiran calon muda yang ditonjolkan oleh DAP, membuatkan ada ketua jabatan yang menjadi pembodek BN atau memang ianya merupakan arahan daripada pihak atasan telah menjadi hilang pertimbangan serta tidak rasional.

Ugutan terhadap guru-guru yang hanya didapati bersalam dengan Dyana ini menambahkan lagi sejumlah salah laku dan kesombomgan BN serta para pemimpinnya dalam pilihanraya kecil ini. Di ketika undi adalah rahsia dan menjadi kebebasan mutlak setiap rakyat berdasarkan pertimbangan dan penilaian mereka sendiri, taktik jahat dan kotor nampaknya terus berleluasa.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Ahmad Shabery Cheek melontarkan ugutan kepada pengundi muda Teluk Intan dengan mengatakan akses internet yang lebih pantas akan didatangkan ke bandar Teluk Intan ini sekiranya pengundi muda memberikan sokongan dan memastikan kemenangan calon BN, Mah Siew Keong.

Kemudian disusuli pula dengan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan dan Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor yang mengatakan pembangunan hanya akan diberikan kepada penduduk Teluk Intan sekiranya BN memenangi pilihanraya kecil ini.

Jika ugutan mahu memberi akses internet dan mendatangkan pembangunan mungkin sudah agak biasa didengar sebelum ini tetapi ugutan hanya kerana bersalam dengan calon bukan daripada parti kerajaan, mungkin agak pelik dan hanya berlaku di negara ini saja.

Agaknya inilah lambang kejayaan kempen "Malaysia Boleh" dan seruan agar "berfikir di luar kotak" yang sering dilaung-laungkan pemimpin UMNO dan BN sebelum ini? (SH 24/05/2014)

Friday 23 May 2014

Tindakan Tidak Bijaksana Pemuda UMNO 'Membunuh' Calon BN Di Teluk Intan


Ekoran tindakan ADUN DAP Seri Delima, R.S.N Rayer yang menggelarkan "UMNO celaka", Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan pada hari semalam telah mengadakan demonstrasi yang agak ganas di hadapan ibu pejabat DAP sebagai tanda bantahan. Kumpulan ini bukan saja membawa sepanduk yang mengecam DAP dan Rayer tetapi juga bertindak merosakkan papan tanda besar berlambangkan roket kepunyaan parti itu.

Lebih dari itu, mereka juga mengugut mahu membakar-hanguskan ibu pejabat DAP jika perkara yang sama berulang lagi di masa hadapan.

Selain mengadakan aksi demonstrasi dengan membawa imej marah, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Mohd Rafi yang mengetuai kumpulan itu turut bertemu dengan wakil DAP untuk menyatakan bantahan mereka dan menyerahkan memorandum. Bagaimanapun, memorandum yang mahu diserahkan itu kemudiannya dikoyakkan dan dicampakkan ke lantai.

Dengan kemarahan yang masih belum reda, dalam pertemuan dengan wakil DAP yang diketuai oleh Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming itu, Mohd Razlan juga terus meluahkan kemarahan dan maki hamunnya tanpa membenarkan wakil DAP itu menjawab atau memberi apa-apa penjelasan. Ong Kian Ming hanya diminta diam dan mendengar saja bebelannya.

Tetapi, walaupun Ong Kian Ming adalah seorang Ahli Parlimen, beliau kelihatan tenang dan senyum saja.

Tindakan Pemuda Wilayah Persekutuan itu menimbulkan perdebatan di mana ada yang memuji keberanian dan kelantanganya dan ada pula yang menyifatkannya keterlaluan. Keterlaluan bukan saja melalui tindakan merosakkan papan tanda dan membebel tanpa membenarkan orang lain menjawab, berhujah dan memberi penjelasan tetapi juga kerana mengoyakkan memorandum itu.

Buat apa menyiapkan dan membawa memorandum jika akhirnya hanya dikoyakkan?

Secara umumnya, kalau pun mahu dikatakan tindakan itu suatu bentuk keberanian, ia bolehlah juga dianggap demikian. Tetapi ia mungkin keberanian tahap empat saja kerana dipenuhi emosi dan tidak disertai dengan kebijaksanaan. Politik bukanlah seni yang memerlukan keberanian semata-mata tetapi akal dan kebijaksanaanlah yang selalu meletakkan seseorang itu di depan.

Ada ahli politik yang kelihatan diam, tetapi oleh kerana dia bijaksana maka dia sering mendapat tempat, kedudukan dan disanjung. Mereka ini bertindak hanya di ketika kebijaksanaannya dapat ditonjolkan saja. Ada pula pemimpin yang berani dan bijaksana, dan golongan ini sentiasa mendapat tempat, kedudukan dan pujian. Tetapi pemimpin yang hanya berani dan tidak bijaksana, selalunya hanya umpama daun kari saja. Ia hanya untuk perhiasan dan hampir dalam semua keadaan akan diketepikan akhirnya.

Tidaklah salah mengadakan demonstasi dan meluahkan kemarahan kerana ia memang lumrah dan dibenarkan oleh undang-undang tetapi bukankah Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sendiri selalu berkata, politik adalah berkaitan dengan kekuatan ilmu dan berhujah?

Setelah berdemo dan meluahkan kemarahan, kenapa pula tidak berani berhujah dan hanya mahu wakil DAP itu diam saja? Kenapa juga memorandum itu tidak diserahkan dengan baik?

Kalau yakin dengan kebenaran, kenapa pula takut dengan jawapan?

Dalam banyak demonstrasi sebelum ini, baik di hadapan Kedutaan Amerika, Australia, Great Britain dan sebagainya yang diketuai oleh KJ sebelum ini, walaupun beliau juga beraksi dengan gaya marah dan darah yang sedang meluap-luap, tetapi memorandum tidak pernah dikoyak atau dicampakkan. Ini kerana memorandum adalah isi hati yang mengandungi hujah dan fakta yang menggambarkan ketinggian akal fikiran seseorang atau sesebuah parti dalam isu yang diperjuangkan.

Bagaimana perasaan kita mahu dibaca dan difahami oleh pihak lain jika memorandum pun dikoyakkan yang seolah-olah ianya tidak mahu dibaca?

Dalam masa yang sama, aksi demonstrasi ini juga diadakan ketika suasana kempen pilihanraya di Bukit Gelugor dan Teluk Intan. Sudah tentulah aksi tersebut memberi gambaran yang kurang baik mengenai UMNO kepada pengundi Cina, pengundi Melayu serta juga pengundi muda di kedua-dua kawasan itu, lebih-lebih lagi dalam masa yang sama juga memperlihatkan wakil DAP dan Cina yang menyambut aksi demonstasi itu hanya senyum dan tenang saja.

Oleh kerana DAP bertanding di kedua-dua kawasan itu,wajah tenang dan senyum wakil DAP sementara wakil Pemuda UMNO pula kelihatan ganas dan takut berhujah, Pemuda UMNO seperti sedang membunuh calon partinya sendiri dan mahu DAP memenangi pilihanraya itu.

Selain itu, keberanian Mohd Razlan dan Pemuda Wilayah Persekutuan ini juga sudah terlewat sebenarnya, lantaran sebelum ini Pemuda UMNO Pulau Pinang telah pun mengadakan aksi yang cukup tidak bertamadun dengan merempuh pagar, menceroboh tempat persidangan DUN Pulau Pinang serta memijak meja yang dikhaskan untuk Speaker untuk meluahkan kemarahan terhadap kenyataan "UMNO celaka" oleh Rayer itu.

Tempat bersidang wakil-wakil rakyat sama ada di DUN mahupun Parlimen adalah tempat yang mulia dan dimuliakan. Disitulah undang-undang, akta dan peraturan dalam bernegera dibentuk serta diluluskan. Jika wakil rakyat yang bertindak kurang sopan atau mengeluarkan perkataan kesat pun dilarang di dalam dewan yang mulia itu, sudah tentulah perbuatan menceroboh dan memijak meja Speaker lebih besar lagi dosa dan salahnya.

Dengan ini, sudahlah perbuatan di DUN Pulau Pinang itu tidak boleh diterima, menutup kesilapan itu dengan apa yang ditunjukkan oleh Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, nyata lebih menghodohkan wajah UMNO dan sayap Pemudanya.

Pemuda UMNO dilihat cuba menutup kesilapan dengan perbuatan yang silap juga. Dalam masa yang sama, saranan berulangkali kali KJ bahawa pendekatan hujah, akal fikiran dan kebijaksanaan hendaklah dimartabatkan dalam perjuangan dunia baru yang makin mencabar ini seolah-olah tidak difahami oleh peringkat bawahannya sendiri.

Kecualilah jika Pemuda UMNO hanya selesa menjadi kaun kari saja. (SH 23/05/2014)

Thursday 22 May 2014

UMNO Celaka, PAS Sesat, DAP Komunis - Apakah Bezanya?


Dua insiden bercirikan samseng berlaku semalam dan menjadi perhatian rakyat seluruh negara. Di Pulau Pinang, sekumpulan orang yang sebahagiannya melibatkan pemimpin Pemuda UMNO telah merempuh pagar dan pintu serta menceroboh Dewan Undangan Negeri Pinang sebagai tanda protes terhadap ucapan ADUN Seri Delima, R.S.N Rayer yang mengatakan UMNO celaka.

Mereka ini cuba mencari Rayer yang kebetulan tidak hadir sidang DUN bagi menyataksn rasa protes dan mahunya menarik balik ungkapan yang dianggap menghina itu. Perlakuan ala samseng itu bukan saja terlihat melalui tindakan merempuh dan menceroboh tempat persidangan DUN yang seharusnya dihormati dan dimuliakan tetapi juga sehingga memanjat meja yang dikhaskan untuk Speaker.

Di Teluk Intan pula, kempen calon DAP, Dyana Sofya di sebuah kawasan perumahan cuba diganggu oleh perlakuan samseng yang menghalangnya memasuki kawasan itu sambil menjerit-jerit dan membunyikan enjin motorsikal dengan kuat. Ekzos yang dibunyikan dengan bingit juga cuba dihalakan kepada rombongan calon DAP itu sambil menjerit perkataan "keluar, keluar" dan "ini kawasan Melayu".

Dalam kedua-dua kejadian bercirikan samseng ini, ia nyata melibatkan Pemuda UMNO. Walaupun Khairy Jamaluddin sudah mengeluarkan kenyataan bahawa perbuatan menceroboh tempat sidang DUN itu adalah salah dan demo bantahan seharusnya dibuat di luar bangunan saja serta siasatan perlu dilakukan untuk memastikan ganggguan kempen di Teluk Intan itu betul-betul dilakukan oleh ahli Pemuda UMNO dan bukan mereka yang menyamar, imej Pemuda UMNO dan anak-anak muda yang bersama BN jelas telah tercemar.

Di ketika pihak DAP meletakkan seorang calon muda sebagai simbol mengangkat martabat golongan muda, perlakuan golongan muda yang dikaitkan Pemuda UMNO, sama ada di Pulau Pinang mahupun di Teluk Intan, adalah bertentangan sama-sekali serta memalukan.

Perlakuan itu hanya memungkinkan calon BN menerima kekalahan lebih buruk berikutan perlakuan samseng dan tidak beradab yang ditonjolkan tidak mungkin melekat positif di hati pengundi. Sebagaimana KJ selalu menyebut, pertarungan politik haruslah dibentangkan dengan kekuatan hujah dan akal fikiran, nampaknya masih ramai di peringkat bawah dalam Pemuda UMNO yang gagal memahami serta keliru bagaimana untuk menawan hati pengundi.

Perlakuan kasar, biadap dan samseng tidak akan diterima oleh tamadun mana sekali pun. Kalau pun ada gelaran UMNO celaka yang dilemparkan, serangan balas dalam bentuk yang sama harus dilakukan. Selain protes di luar bangunan, ADUN UMNO di DUN Pulau Pinang juga sepatutnya memainkan peranan lebih aktif dan berkesan berhujah atau mendesak Rayer menarik balik perkataan yang diucapkannya itu.

Soalnya kenapa pula ADUN UMNO di Pulau Pinang bagaikan membisu?

Merempuh pagar, menceroboh bangunan dan memanjat meja Speakar, walau betapa tinggi sekali pun tahap kemarahan,ia tetap perbuatan yang keterlaluan dan tidak boleh diterima.

Seharusnya ada tindakan lain yang lebih praktikal, munasabah dan bertamadun dilakukan.

Lagi pula, pemimpin muda UMNO tidak harus sensitif dengan ungkapan UMNO celaka atau seumpama dengannya. Terimalah dengan lapang dada atau balas balik dengan panggilan yang serupa juga. Kita juga jangan lupa, pemimpin UMNO sendiri pernah menggelar Pas sesat dan DAP komunis. Malah kadangkala lebih menghina seperti DAPig, PAS parti syaitan dan sebagainya. Pemimpin kedua-dua parti itu juga pernah digelar dengan berbagai-bagai gelaran yang lebih mengaibkan dan menghina.

Malah Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dalam ucapan terbuka pernah menyebut Pas sebagai parti sesat. Jadi kalau sekadar UMNO dipanggil celaka, relaks bro...

Antara Pas sesat, DAP komunis dan UMNO celaka tidak jauh beza daripada segi maksud mahu mengaib, memberi malu dan memberi gangguan kepada mereka ditujukan ungkapan itu. Ia sama saja antara dua kali lima dengan lima kali dua.

Begitu juga gangguan kempen, menghalang calon berjumpa pengundi dan berbangga "ini kawasan Melayu" sama-sekali tidak menggambarkan keterbukaan dan amalan demokrasi yang diamalkan. Setelah UMNO berusia 68 tahun dan memerintah negara lebih 50 tahun, masih ada perlakuan seumpama ini tidak lebih menggambarkan kegagalan UMNO menterjemah kematangan dan ketinggian akal budi kepada ahli-ahlinya.

Pilihanraya adalah sebahagian proses demokrasi dan ia seharusnya diraikan dengan semangat keterbukaan dan persaingan yang sihat. Mencemarkan proses demokrasi dengan amalan bercirikan samseng dan seolah-olah masih dibelenggu dengan pemikiran zaman batu bahawa kekuatan tenaga dan tubuh yang besar boleh menakluki dunia, hanya menggambarkan kemunduran yang mengaibkan.

Dalam hal ini, oleh kerana yang paling terkesan adalah Pemuda UMNO kerana anak-anak muda yang melakukannya, tidak harus pergerakan itu sekadar mengeluarkan kenyataan tidak setuju, membantah atau akan menyiasat saja, sebaliknya haruslah memastikan insiden yang memalukan dan tidak bertamadun ini tidak berulang lagi.

Perlakuan ala samseng ini tidak mungkin menambah undi dan kalau pun calon dihalang memasuki sesuatu kawasan, bukankah langit sudah lama terbuka? (SH 22/05/2014)

Wednesday 21 May 2014

Disebabkan Yammy Dan Dyana, UMNO Pinda Perlembagaannya?


Pilihanraya kecil Teluk Intan yang menyaksikan DAP mencalonkan Dyana Sofya, anak seorang bekas pemimpin serta masih ahli UMNO membuatkan parti itu bagaikan terkena renjatan letrik. Ramai pemimpinnya terkejut, melatah, cuba menunjuk pandai dan tidak kurang ada yang cuba berlagak "macho" seperti seorang lelaki budiman yang dahagakan perhatian.

Ada pemimpin muda yang pantas cuba menyelar calon DAP itu sebagai tidak mengenang budi UMNO dan ada pula yang memintanya mendesak MCA yang memiliki Universiti Tunku Abdul Rahman agar turut mengamalkan dasar terbuka. Hanya setelah diselar oleh orangramai bahawa UiTM adalah milik kerajaan dan bukannya milik UMNO dan dasar kerajaan pula mahu rakyat berilmu dan berpendidikan tanpa mengira parti mana yang mahu dipilih sebagai landasan perjuangan apabila tamat pengajian, pemimpin UMNO terbabit sekarang ini sudah hilang tanpa berani bersuara lagi.

Seorang timbalan menteri yang mengaitkan MCA pula, apabila diselar kembali oleh Presiden MCA sambil diberiksn fakta bahawa UTAR adalah universiti yang terbuka kepada semua kaum tetapi mengambil kira soal merit dan kecemerlangan akademik, turut terdiam entah ke mana sekarang ini.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin juga menyentuh pencalonan Dyana yang mendapat liputan meluas media dengan meminta pengundi menilai bahawa pilihanraya kecil ini bukanlah pertandingan ratu cantik dan pengalaman sepatutnya lebih diambil kira.

Bagaimanapun apabila beliau juga dilibas balik bahawa beliau juga dulunya tiada pengalaman dan markahnya lebih dinilai berdasarkan kedudukannya sebagai menantu Pak Lah yang menjadi Perdana Menteri ketika itu serta pemilihan Dyana sebagai calon adalah proses memberinya pengalaman, KJ juga nampaknya tidak berani berhujah lagi.

Ketua Wanita UMNO, Shahrizat Jalil juga memberi reaksi yang mengaitkan pemilihan Dyana hanya sebagai boneka DAP dan untuk menarik sokongan pengundi Melayu semata-mata, malangnya apabila isu lembu NFC dan kegagalan Wanita UMNO sendiri menonjolkan ramai wanita muda sebagai calonnya dijadikan peluru menembak balas, beliau nyata semakin menyerlahkan kegagalannya. Lebih dari itu, ramai yang meminta Ketua Wanita UMNO itu agar kurang bercakap dah lebih baik berehat saja di Kuala Lumpur bagi mengelakkan keceluparannya membuatkan calon BN lebih ditimpa malang.

Abdul Rahman Dahlan, menteri dari Sabah pula cuba bersikap "macho" dengan menulis di twtternya yang menggambarkan pemilihan Dyana sebagai calon DAP yang mewakili golongan muda haruslah diraikan.

Selain ramai pemimpin UMNO lain yang turut mengulas pemilihan Dyana sebagai calon dan kedudukannya sebagai anak orang UMNO, bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad juga tidak ketinggalan mahu memberi respon sama. Sambil menyatakan pemilihannya sebagai hiasan luaran, Mahathir juga menyalahkan kecondongan Dyana memilih DAP sebagai wadah perjuangan kerana kegagalan ibu bapa memberitahu tentang sejarah, perjuangan dan jasa-jasa UMNO kepada anak-anak mereka.

Namun demikian, ibu Dyana iaitu Yammy Samat segera menyindir Mahathir dengan mengatakan beliau sebenarnya mahu anaknya menjadi seperti Mukhriz tetapi apakan daya kerana akhirnya memilih untuk menjadi seperti Marina Mahathir.

Dalam masa yang sama, hari ini Marina yang sering kelihatan berbeza pendirian dengan bapanya, turut memuji Dyana sebagai calon yang sangat bijak, boleh berfikir, petah berkata-kata serta boleh menulis dan kelebihannya ini menurutnya lebih baik daripada kebanyakan ahli politik yang lain.

Hanya Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO yang belum mengulas mengenai Dyana ini. Mungkin selepas kembali daripada luar negara dan tidak lagi dibelenggu kesibukan nanti, Najib juga turut terghairah mahu bercakap mengenai Dyana dan Teluk Intan.

Kesimpulan daripada semua reaksi pemimpin UMNO itu ialah mereka semua terkejut dan akhirnya melatah dengan kehadiran Dyana sebagai calon DAP. Bukan saja kedudukannya sebagai wanita muda dan cantik menjadi perhatian, malah latar belakang ibunya sebagai bekas pemimpin dan masih ahli UMNO turut menjadi perdebatan.

Ketika penamaan calon dan berkempen di mana kehadiran Yammy yang sentiasa menemani anaknya menjadi persoalan sehingga timbul desakan agar beliau dipecat daripada UMNO, suasana kempen juga sehingga hari ini masih lagi berkisar mengenai peribadi Dyana dan ibunya. Serangan berbentuk peribadi jelas lebih kerap kedengaran sehingga jentera BN terlihat seolah-olah lupa untuk menyerang dasar dan ideologi DAP dan menonjolkan calon mereka sendiri, Mah Siew Keong.

Walaupun ada desakan daripada Veteran UMNO dan juga Mubarak agar ibu Dyana dipecat daripada UMNO tetapi TPM, Muhyiddin Yassin nampaknya masih lagi rasional dengan mengatakan perkara itu tidak menjadi pertimbangan kerana sebagai ibu adalah menjadi hak Yammy untuk menemami anaknya yang masih bujang itu.

KJ pula cuba bersikap budiman dengan menyokong pendirian Muhyiddin itu dan mengatakan isu memecat ibu Dyana bukan menjadi keutamaan kepada UMNO ketika ini.

Soalnya benarkah Yammy tidak akan dipecat? Bagaimana selepas pilihanraya Teluk Intan berakhir nanti, lebih-lebih lagi jika calon BN tewas?

Jika mengikut perlembagaan UMNO, memang tiada peruntukan khusus untuk mengambil tindakan kepada seorang ibu yang menemani anaknya yang menjadi calon parti lawan. Yang ada berkaitan tanggungjawab dan hak ahli hanyalah fasal 6.1.4 iaitu "menjalankan kerja-kerja parti dan mematuhi tata etika, perintah-perintah dan disiplin parti" serta fasal 6.1.5 yang berbunyi "menyokong calon-calon parti yang bertanding dalam pilihanraya".

Jelas bahawa peruntukan dalam perlembagaan ini agak longgar dan boleh dipertikaikan. Walaupun veteran UMNO bertegas bahawa Yammy melanggar perlembagaan parti manakala Mubarak pula mengatakan Yammy hanya boleh berdoa untuk anaknya tetapi tidak boleh menonjolkan dirinya secara terbuka tetapi memandangkan Dyana masih muda dan bujang lagi, keperluan ibunya disisi tidak boleh diremehkan dari segi kemanusiaan dan budi bicara.

Selain faktor kemanusiaan dan tidak mahu bersikap kejam yang mungkin memburukkan lagi peluang BN memenangi pilihanraya kecil ini, kelonggaran dalam perlembagaan UMNO sendiri barangkali menjadi pertimbangan Muhyiddin. Walaupun ahli UMNO dimestikan menyokong calon parti dalam pilihanraya, apakah sekadar menjadi peneman anak yang masih bujang dan dalam tangungjawab ibu bapa boleh dikategorikan sebagai melanggar perlembagaan?

Oleh kerana kes seumpama ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan pemimpin UMNO juga tidak terfikir ada anak orang UMNO bakal menjadi calon parti lawan kerana merasakan UMNO itu bagaikan agama yang mesti dianuti oleh semua anak dan keluarga ahli serta pemimpinnya, maka itu sebabnya barangkali tiada pengkhususan dalam perlembagaan UMNO itu.

Tetapi dengan peredaran masa dan generasi muda makin terbuka serta pelbagai seleranya, keadaan ini tidak mustahil menjadi tambah meluas. Jika sebelum ini hanya adik-beradik Shahrir Samad dan Khalid Samad serta pasangan suami isteri di Sabah yang berbeza parti menjadi perhatian, kini nyata berlaku perbezaan parti antara ibu dan anak serta ibu menjadi peneman anaknya pula.

Di masa akan datang, bukan saja berbeza anutan parti ini menjadi biasa dalam keluarga, bahkan mungkin dalam keluarga pemimpin UMNO pun tiada yang sekata lagi. Dalam masa yang sama, penglibatan ibu, bapa, suami atau isteri, adik-beradik dan sebagainya dalam menyokong ahli keluarga yang berbeza parti yang bertanding dalam pilihanraya turut bukan lagi sesuatu yang luar biasa.

Adakah ini akan mendorong UMNO untuk meminda perlembagaannya dan memberi tafsiran yang lebih khusus mengenai tanggungjawab dan hak seseorang ahlinya?

Walaupun Muhyiddin turut kelihatan budiman dan ada budi bicara yang tinggi dalam hal ini tetapi kekalahan calon BN di Teluk Intan nanti boleh saja membuatkannya berubah nada. Sementara kedudukan ibu Dyana bakal jadi perhitungan sebaik pilihanraya kecil ini berakhir, UMNO juga dipercayai akan bergerak selangkah lagi dengan memberi tafsiran semula yang lebih detail dan terperinci dalam perlembagaan mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh ahli-ahlinya.

Dyana Sofya dan Yammy benar-benar memberikan kejutan kepada UMNO. (SH 21/05/2014)

Tuesday 20 May 2014

Urusan Membantu Deepak Rupanya Dilakukan Di Pejabat Menteri, Tapi Kenapa Najib Masih Diam?


Nama usahawan karpet, Deepak Jaikishan yang sebelum ini meriah mendedahkan pelbagai perkara mengenai kecurangan, salah laku serta kemewahan Perdana Menteri, Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor, tiba-tiba muncul dan diperkatakan semula dalam isu keengganan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Hasan Malek menandatangani sambungan khidmat Pengerusi Bank Rakyat, Sabbaruddin Chik.

Hassan, menteri yang yang dikaitkan dengan "cap ayam" dan dianggap paling tidak berkualiti dalam kabinet Najib berikutan beberapa reaksinya mengenai harga ayam, kenaikan harga barang dan tahap pengguna yang dianggapnya berpuas hati dengan kerajaan berikutan tidak banyak keluhan yang diterima oleh kementerian sedangkan luahan kemarahan rakyat begitu jelas di laman sosial Facebook dan Twitter, didapati enggan menyambung kontrak perkhidmatan Sabbaruddin yang berakhir 8 Mei lalu kerana tidak mahu menuruti kemahuannya.

Tindakan beliau itu berpunca daripada keengganan Lembaga Pengarah Bank Rakyat meluluskan permintaan agar suatu bentuk penyelesaian mudah diberikan kepada baki pinjaman sebuah syarikat yang dimilik oleh Deepak sebanyak lebih RM30 juta dengan tempoh bayaran selama 10 tahun melalui 120 keping "post dated" cek.

Penyelesaian itu sebenarnya sudah pun dipersetujui antara Deepak dengan beberapa individu tertentu dalam Bank Rakyat yang mengadakan perbincangan di pejabat Hasan Malek, kira-kira dua bulan sebelum itu.

Penyelesaian dan persetujuan di pejabat Hasan itu hanya diketahui oleh Sabbaruddin dan Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat kemudiannya dalam sepucuk surat yang diterima memaklumkan perkara itu dan meminta Lembaga Pengarah Bank Rakyat menyetujuinya.

Bagaimanapun, atas dasar prinsip sebagai entiti perniagaan dan Bank Rakyat pula dimiliki oleh beribu-ribu koperasi daripada seluruh negara yang mengharapkan pulangan keuntungan daripada usaha yang dijalankannya, Lembaga Pengarah menolak penyelesaian yang diminta oleh Hassan itu kerana ia jelas akan membawa kerugian kepada bank.

Penolakan itu menimbulkan kemarahan yang amat sangat kepada Hasan.

Sebelum Hasan bertindak "membalas dendam" dengan enggan menandatangani penyambungan kontrak Sabbaruddin yang telah pun dipersetujui oleh Najib selaku Perdana Menteri dan juga Bank Negara, menteri itu juga pernah meluahkan kemarahannya kepada Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat dalam suatu majlis dengan berkata, "saya akan pecat kamu semua".

Berikutan tindakan Hasan itu, Sabbaruddin terpaksa meninggalkan pejabatnya di Bank Rakyat dan sehingga ini jawatan pengerusi bank itu masih kosong lagi. Dalam masa yang sama, kelulusan penyelesaian mudah kepada Deepak juga turut dipercayai tergantung.

Apakah Hasan sedang mencari seorang pengerusi baru yang boleh mengikut telunjuknya dan membiarkan Bank Rakyat rugi asalkan bantuan kepada Deepak dapat ditunaikan?

Penglibatan Hasan sebagai seorang menteri yang didapati begitu beria-ia mahu membantu Deepak sehingga tidak mahu meluluskan sambungan kontrak Sabbaruddin bukan saja menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan adanya unsur rasuah dan "ada yang buat duit daripadanya" tetapi juga membangkitkan pertanyaan tentang hubungan usahawan karpet itu dengan Najib dan Rosmah Mansor.

Jika Hasan seorang menteri yang senstif dan menyedari bagaimana Deepak telah memalukan Najib dan Rosmah dengan pelbagai siri dakwaan yang mengaibkan sebelum pilihanraya umum lalu, tidak mungkin beliau mahu berurusan dan bersikap baik dengan usahawan tersebut.

Persoalannya ialah apakah Deepak sudah berbaik dengan Najib dan Rosmah dan keberanian Hasan yang sebelumnya dianggap tidak berwibawa dan "cap ayam" bertindak "memecat" Sabbaruddin adalah kerana ada "big boss" di belakangnya?

Tetapi jika tiada campurtangan Najib dan Rosmah pula, apakah yang mendorong Hassan tiba-tiba menjadi seorang yang berani?

Sabbaruddin dalam suatu pertemuan dengannya, jelas kecewa dengan apa yang berlaku kepada dirinya kerana merasakan masih banyak yang boleh disumbangkan melalui idea dan pemikirannnya di Bank Rakyat itu. Sebagai bekas menteri dan kakitangan kerajaan yang banyak pengalaman dalam kepimpinan, Sabbaruddin telah membawa banyak pembaharuan sejak berkhidmat sebagai pengerusi selama tiga tahun lalu.

Antara pembaharuan yang diwujudkannya ialah menukar persekitaran di ibu pejabat Bank Rakyat daripada imej "pajak gadai lama" kepada sebuah persekitaran bank yang segar, nyaman, selesa dan ceria. Selain layanan yang lebih mesra kepada pelanggan, hidangan minuman dan kuih-muih turut disediakan kepada pelanggan untuk mengelakkan mereka rasa bosan jika terpaksa menunggu agak lama untuk berurusan dengan kaunter.

Melalui hubungannnya dengan pelbagai peringkat usahawan dan tauke besar juga, Sabbaruddin telah berjaya membawa beberapa daripada mereka memindahkan sebahagian simpanan serta tabungan ke Bank Rakyat dan ini tidak diragui lagi merupakan tambahan kepada sumber pendapatan bank tersebut.

Dalam isu antara Hassan, Sabbaruddin dan Bank Rakyat ini, walaupun pelbagai perkara boleh ditafsirkan seperti kemungkinan adanya elemen rasuah dan "ada orang buat duit daripadanya", tetapi yang paling memalukan ialah kerana ia turut menjejaskan nama Perdana Menteri, Najib Razak.

Najib bukan saja dianggap lemah kerana gagal memastikan tandatangannya yang bersetuju khidmat Sabbaruddin disambung sepenggal lagi, bahkan dicemari atas kemungkinan sudah berbaik dengan Deepak yang kuat menghentam beliau dan isterinya sebelum ini dan penyelesaian mudah hutang dengan Bank Rakyat adalah ganjaran daripadanya.

Lantaran itu, ramai yang mula bertanya, patutlah Deepak tidak lagi bersuara sekarang ini?

Untuk membersihkan nama, imej dan membuang daripada segala sangkaan serta andaian buruk mengenainya dengan Deepak, Najib tidak ada pilihan lain melainkan memastikan agar tandatangannya yang menyetujui khidmat Sabbaruddin disambung sebelum ini dihargai oleh anggota kabinetnya sendiri dan tidak diperlekeh begitu saja.

Lebih daripada itu, dengan mengembalikan khidmat Sabbaruddin yang diketahui seorang yang jujur, berprinsip dan tidak boleh dibuat "main-main, ia juga merupakan sumbangan besar Najib kepada kejujuran dan intergriti dan tidaklah beliau juga dilihat bersubahat dengan petualang yang mahu membunuh beribu-ribu koperasi yang bernaung di bawah Bank Rakyat. (SH 20/05/2014)

Monday 19 May 2014

Lebih Baik Shahrizat Tidak Turun Ke Teluk Intan


Keceluparan Ketua Wanita UMNO, Shahrizat Jalil menyerang calon muda DAP bagi pilihanraya kecil Teluk Intan, Dyana Sofya dengan melabelkannya sebagai boneka yang diperalatkan oleh DAP, bukan saja mengundang serangan balas daripada parti itu tetapi cara kempen ala 70an itu juga membuatkan kelompok UMNO sendiri rasa tidak selesa dengannya.

Sementara Lim Guan Eng menyifatkan kenyataan Shahrizat itu sebagai taktik kotor untuk mematahkan semangat golongan muda untuk berkecimpung lebih aktif dalam politik, Dyana Sofya pula mengatakan kemenangannya nanti akan menjadikan beliau wanita paling muda menjadi Ahli Parlimen yang mana keadaan itu tidak mungkin berlaku jika menyertai UMNO.

Sambil itu, beliau juga menyifatkan kenyataan Shahrizat itu menunjukkan kegagalannya melonjakkan golongan wanita kepada kedudukan yang sewajarnya dalam politik negara ini serta meminta belajar dari ibunya yang juga merupakan aktivis Wanita UMNO tetapi merestui dan sentiasa menyokongnya.

Dalam kelompok UMNO pula, tidak kurang yang meluat dengan kenyataan Shahrizat itu berikutan beliau bukan saja terpalit dengan isu lembu NFC yang membuatkannya tidak relevan lagi, tetapi juga kerana cara serangan itu seolah-olah tidak menunjukkan kematangannya dalam politik.

Di laman sosial begitu banyak kecaman dan sindiran dilemparkan terhadapnya oleh kelompok UMNO sendiri yang menyifatkan Shahrizat sepatutnya memfokuskan untuk menarik pengundi Melayu Teluk Intan menyokong calon BN, Mah Siew Keong dan bukannya menyentuh isu berkaitan peribadi calon DAP itu.

Kedudukan Dyana Sofya dalam DAP tidak seharusnya dipertikaikan lagi kerana beliau sudah lama menyertai parti itu dan juga ini bukanlah kali pertama calon Melayu dipertaruhkan sebagai calon. Dalam pilihanraya lalu, ada dua calon Melayu diketengahkan iaitu Arif Sabri Abdul Aziz di Raub dan Zairil Khir Johari di Bukit Bendera.

Apa yang berbeza hanyalah keberanian DAP mengenengahkan seorang yang baru berusia 27 tahun sebagai calon sedangkan ia begitu asing bagi UMNO dan BN. Keberanian DAP juga ialah kerana menukar calon Teluk Intan daripada Cina kepada Melayu.

Atas semua petunjuk itu, perletakan calon Melayu tidak seharusnya dianggap sebagai boneka oleh Shahrizat.

Shahrizat juga diminta melihat ke dalam struktur Wanita UMNO sendiri iaitu berapa ramaikah golongan muda yang berpotensi daripada Puteri UMNO diterima dengan baik menyertai pergerakan itu dan diberi peluang sebagai calon dalam pilihanraya umum lalu.

Lebih itu, Shahrizat yang sudah berusia senja dan terpalit pula dengan isu lembu NFC tetapi tetap mahu bergayut dengan kuasa sebagai Ketua Wanita UMNO meskipun menyedari kecaman terhadapnya datang dari setiap penjuru, adalah suatu penonjolan sikap yang jelas menghalang bakat-bakat baru daripada terus tumbuh dan bercambah.

Jika beliau mempunyai kesedaran terhadap pentingnya memberi peluang dan ruang kepada bakat-bakat baru, Shahrizat tentulah tidak berlengah untuk mengundurkan diri dan memilih baki usia yang tinggal untuk bersama keluarga dan anak cucunya saja.

Menyedari calon BN di Teluk Intan sudah berusia dah kitar semula pula, Shahrizat sepatutnya berbangga dan cuba mengaplikasikannya ke dalam Wanita UMNO yang sedang dipimpinnya, dan bukan menyerang perkembangan yang sihat itu. Kalau pun mahu berkempen, beliau sepatutnya menumpukan kepada isu tempatan Teluk Intan yang mungkin asing bagi Dyana Sofya serta serangan kepada ideologi parti DAP itu.

Adalah amat malang jika Shahrizat dan Wanita UMNO terus berkempen ala tahun 70-an seperti itu sedangkan dunia sudah banyak berubah dan cara berfikir generasi sekarang juga tidak lagi seperti dulu. Jika Shahrizat terus dengan stail dan gaya lamanya berkempen di Teluk Intan ini sedangkan PR dan DAP sedang menawarkan perubahan dan pembaharuan, nescaya pilihanraya kecil ini tidak menjanjikan kemenangan kepada BN.

Wanita UMNO sebagai golongan ibu bukan saja harus menonjolkan sikap lebih matang, malah dengan penonjolan calon muda oleh DAP itu, inilah masanya untuk mereka dan lain-lain parti komponen BN segera menggembleng tenaga muda daripada Pemuda dan Puteri untuk memainkan peranan lebih aktif dalam gerak kerja pilihanraya ini.

Masih belum terlambat untuk menonjolkan bahawa UMNO dan BN tidak kekurangan tenaga muda daripada kalangan Pemuda dan Puteri walaupun mungkin ada sindiran kedengaran bahawa calon BN di Teluk Intan itu bukan lagi muda dan kitar semula pula.

Kecuali jika Shahrizat sedia mendiamkan sedikit mulutnya daripada banyak berbicara yang bukan-bukan atau yang terkeluar daripada konteks menambahkan undi, dengan isu peribadi yang banyak memaliti dirinya serta gaya fikirnya yang masih tidak berubah, sebenarnya jauh lebih baik jika beliau tidak turun berkempen ke Teluk Intan nanti.

Tanpa karut-marut yang keluar daripada mulutnya, BN mungkin mempunyai sedikit peluang untuk memenangi pilihanraya kecil ini berbanding jika beliau terus membebel dan menonjolkan dirinya yang semakin tidak digemari itu, kekalahan menjadi lebih pasti akhirnya. (SH 19/05/2014)

Saturday 17 May 2014

Keberanian DAP Yang Tiada Pada BN


Siapa calon daripada BN dan PR yang bakal bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen Teluk Intan, 31 Mei depan sudah pun diketahui. DAP yang mewakili PR telah pun memutuskan untuk meletakkan seorang yang masih muda, Dyana Sofya yang baru berusia 27 sebagai calonnya manakala BN yang diwakili Gerakan pula mengekalkan calonnya yang kecundang dalam pilihanraya umum lalu, Mah Siew Keong sebagai pilihannya.

Dalam pilihanraya umum lalu, calon DAP Seah Leong Peng telah menewaskan Mah Siew Keong dan seorang lagi calon Bebas dengan majoriti 7,313 undi. Dengan masing-masing sudah mengumumkan calonnya, pilihanraya kecil ini bukan saja menjanjikan persaingan sengit, lebih penting daripada itu beberapa elemen menarik juga terserlah dalam pilihanraya ini.

Keputusan DAP menukar calonnnya daripada bangsa Cina kepada Melayu dalam pilihanraya kecil ini jelas suatu keberanian yang mengkagumkan. Apa pun hujah yang cuba digunakan untuk memperlekehkan keputusan DAP itu, ia bukan saja untuk membuktikan kepelbagaian kaum dalam parti itu, tetapi juga merupakah suatu transformasi yang jauh lebih bererti daripada kata-kata.

Berbanding BN yang sudah banyak kali mengeluarkan cadangan mahu menukar kebiasaan meletakkan calon daripada parti yang sama berdasarkan keperluan sesuatu kawasan itu, malangnya ia tidak pernah dipraktikkan. Jika calon MCA meninggal, orang daripada parti yang sama juga akan dikekalkan. Begitu juga jika terjadi kepada UMNO, Gerakan atau MIC.

Malah jika yang meninggal atau meletakkan jawatan itu Melayu, maka Melayu juga gantilah. Jika Cina atau India pula yang pergi, yang mengganti juga kaum yang sama.

Laungan dan cadangan untuk melakukan perubahan tidak pernah menjadi kenyataan kerana BN tidak punya keberanian untuk berbuat demikian. Walaupun banyak desakan akar umbi menuntut perubahan itu, BN lebih selesa terkongkong dalam kepompong yang memenjarakan mereka dengan tradisi lama.

Ini jelas berbeza dengan PR. Dalam waktu terdekat ini, sudah dua kali mereka melakukan perubahan dan menunjukkan batasan kaum bukanlah persoalan dalam memupuk keharmonian dan kesatuan serta mencipta kemenangan. Dalam pilihanraya kecil DUN Kajang bulan lalu, apabila Lee Chin Cheh meletakkan jawatan, calon yang menggantikan tempatnya ialah Melayu iaitu Dr Wan Azizah yang mengambil alih tempat Anwar Ibrahim kerana adanya halangan undang-undang untuk bertanding.

Namun, PR masih mampu mengekalkan kemenangan cemerlangnya.

Dalam pilihanraya kecil Teluk Intan, giliran DAP pula melakukan pembaharuan dan transformasi. Walaupun sejak dua penggal lalu, DAP meletakkan bangsa Cina di kawasan itu, namun kali ini parti itu menunjukkan keberaniannya dengan meletakkan calon Melayu pula.

Dengan komposisi pengundi Cina 42 peratus, Cina 38 peratus dan India 19 peratus serta kemenangan dalam pilihanraya lalu hanya dengan majoriti 7,313 undi serta cabaran yang bakal dihadapi pula ialah calon daripada parti kerajaan yang tentunya banyak jentera dan peruntukan kewangan bakal diturunkan, keberanian DAP ini seharusnya diberikan pujian dalam konteks memupuk perpaduan dan keharmonian.

Bilakah BN ada keberanian seperti ini?

Selain itu, keberanian DAP juga terserlah apabila memlilih Dyana Sofya yang hanya berusia 27 tahun sebagai calonnya. Berbanding calon Gerakan yang sudah berusia 53 tahun, pemilihan seorang anak muda ini sekali lagi mempamerkan keberanian DAP yang menunjukkan mereka sebuah parti yang memandang ke hadapan.

Di manakah tempatnya seorang anak muda berusia 27 jika di dalam UMNO atau parti-parti komponen BN yang lain? Mungkin hanya menampal poster dan menjalankan kerja-kerja tidak penting saja.

Sementara para pemimppin UMNO, BN dan kerajaan menyedari nipisnya sokongan pengundi muda kepada mereka serta menyedari hampir separuh daripada pengundi dalam pilihanraya akan datang adalah golongan muda serta 3.5 juta adalah pengundi yang pertama kali menunaikan tanggungjawab, malangnya majoriti calon BN yang ada sudah menginjak senja.

Kecuali Khairy Jamaluddin, Razali Ibrahim dan beberapa kerat yang lain, majoriti wakil rakyat dalam BN adalah golongan berusia dan sudah senja tetapi masih mahu mendakap kuasa.

Berbanding dengan PR pula, kecuali beberapa kerat seperti Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Haji Hadi Awang, majoriti yang selebihnya adalah golongan muda dan masih belia.

Lantaran itu, tidak hairanlah jika pengundi muda lebih tertarik kepada PR berbanding BN.

Jika sebelum ini PR sudah ada Rafizi Ramli, Nurul Izzah serta beberapa yang lain sebagai ikon golongan muda, penampilan Dyana Sofya menambahkan bilangan dan cengkaman mereka kepada golongan tersebut. Tetapi siapa ikon golongan muda yang ada dalam BN?

Pilihanraya kecil Teluk Intan dan keberanian DAP menonjolkan Dyana Sofya, semoganya memberi banyak kesedaran kepada UMNO dan BN jika ingin terus berkuasa lagi. (SH 17/05/2014)

Friday 16 May 2014

Adakah Najib Sudah Jadi Tertutup Dan Berjiwa Kecil Sekarang Ini?


Dilaporkan hari ini bahawa Najib dan UMNO sudah menghantar notis saman kepada portal berita Malaysiakini ekoran penyiaran dua artikel yang mengumpulkan pandangan pembaca dalam isu krisis pertukaran Menteri Besar Terengganu, baru-baru ini.

Dalam notis saman itu, Najib dan UMNO menuntut permohonan maaf tidak bersyarat daripada Malaysiakini dalam tempoh 48 jam, penarikan balik artikel berkenaan dan menyediakan akujanji tidak lagi menyiarkan bentuk artikel yang seumpamanya di masa akan datang.

Notis saman itu juga menyebut bahawa segala tuduhan yang dibuat oleh pengguna portal Malaysiakini adalah tidak berasas, tanpa sebarang bukti yang kukuh dan adalah amat serius dengan niat jahat untuk memburuk dan menjejaskan imej Najib serta UMNO.

Ancaman saman ini dilakukan hanyalah kerana penyiaran artikel yang mengumpul pandangan pembaca berhubung kemelut politik Terengganu baru-baru ini di mana berikutan pengguguran Ahmad Said telah menyebabkan beliau dan dua ADUN yang lain bertindak keluar UMNO dah mengisytiharkan diri sebagai wakil Bebas. Bagaimanapun ketiga-tiga mereka kemudiannya kembali menyertai UMNO.

Diulang sekali lagi - ancaman saman ini hanyalah kerana penyiaran artikel yang mengumpul pandangan pembaca berhubung kemelut politik di Terengganu, baru-baru ini.

Ia bukanlah pandangan Malaysiakini secara langsung dan apakah rakyat sudah tidak boleh berkata sesuatu tentang pemimmpin sebuah kerajaan?

Apa sudah jadi dengan Najib sekarang ini? Adakah beliau sudah berjiwa kecil dan tidak lagi terbuka sedangkan sebelum ini menjanjikan macam-macam perkara tentang keterbukaan dan hak asasi?

Mana pula slogan kerajaan yang berbunyi "Kami Mendengar" dan "Era kerajaan mengetahui segala-galanya telah berakhir"? Apakah slogan itu hanya dilaungkan sebelum pilihanraya saja dan sudah dibakulsampahkan sekarang ini?

Secara umumnya, tindakan Najib mengemukakan notis saman hanya kerana Malaysiakini bersikap terbuka menyiarkan pandangan rakyat tentang sesuatu isu adalah langkah terbalik dan bertentangan dengan apa yang dijanjikannya selama ini.

Beliau sepatutnya bersyukur kerana Malaysiakini menyediakan ruang untuk rakyat meluahkan pandangan dan perasaan secara terbuka, sekurang-kurangnya beliau tahu apa yang sedang berlaku di peringkat bawahan. Sudah tentulah pandangan yang jujur dan berani itu tidak terdat dalam media milik UMNO seperti Utusan, Berita Harian atau TV3.

Dengan adanya pandangan yang terbuka dan jujur ini, walaupun kadangkala pedih dan menyakitkan, Najib seharusnya tahu itulah sebenarnya perasaan sebahagian rakyat dan dan tentulah jauh lebih baik daripada pandangan yang semata-mata berbentuk pujian, sanjungan dan bodek sahaja.

Najib sepatutnya menerima dengan terbuka dan bijaksana segala kritikan atau pandangan kritis mengenai diri atau kepimpinannya dan menggunakan peluang di media yang sama untuk menjelaskan kedudukan perkara yang sebenarnya. Untuk lebih meyakinkan rakyat juga, Najib boleh menggunakan media kerajaan dan UMNO seperti Utusan, Berita Harian dan TV3 untuk menjawab segala luahan perasaan rakyat terhadapnya.

Kenapakah notis saman yang menjadi pilihan dan bukannya menjawab balik semua yang diperkatakan itu?

Sebagai Perdana Menteri, selain mempunyai media kerajaaan dan portal berita yang diwujudkan untuk memberi liputan lebih meluas mengenainya, Najib juga mempunyai bilangan pegawai dan penasihat media yang berbelas-belas orang jumlahnya. Di manakah mereka ini dalam memainkan peranan menjawab segala isu yang dibangkitkan oleh rakyat?

Dalam masa yang sama, tidakkah dengan mengancam tindakan saman hanya memberi gambaran bahawa Najib tidak mempunyai keupayaan untuk menjawab lantaran apa yang dibangkitkan atau diluahkan pembaca Malaysiakini itu sesuatu yang benar dan betul?

Dalam era teknologi maklumat dan media sosial yang begitu berkembang dan menjadi kegilaan sekarang, sebagai Perdana Menteri, menghantar notis saman kepada sebuah portal berita bebas semata-mata kerana menyiarkan pendangan pembaca, bukanlah tindakan yang tepat dan bernas. Ia lebih mengecilkan kredebiliti dan wibawa Najib sebagai pemimpin kerajaan. Ini kerana beliau sebenarnya mempunyai ruang dah medan menjawab yang lebih luas dan terbuka.

Membuat ancaman saman dan cuba bersikap tertutup, dalam masa yang sama akan membesarkan lagi jumlah penolaknya di peti undi dalam pilihanraya akan datang. Dunia sekarang adalah dunia terbukadan rakyat lebih mengiktiraf pemimpin yang benar-benar terbuka dan berjiwa besar. (SH 16/05/2014)

Thursday 15 May 2014

Selepas Ahmad Said Dijinakkan, Lebih Mudah Najib Tukar MB Yang Lain


Drama politik di Terengganu yang pada awalnya dijangka akan menjadi sebuah telenovela panjang yang ada babak menangis, ketawa, merajuk, gembira, dendam dan sebagainya, akhirnya hanyalah menjadi sebuah cerita pendek yang paling tidak menarik. Ahmad Said yang pada mulanya dianggap bengkeng, gedebe dan ala-ala samseng, terkulai hanya tidak sampai 48 jam selepas mengisytiharkan keluar UMNO dan menjadi ADUN Bebas.

Jika menurut apa yang dilaporkan oleh Free Malaysia Today, pantasnya beliau membuat "air turn back" adalah disebabkan adanya kes SPRM yang melibatkan dirinya serta usahanya menghantar wakil menemui Pas bagi membentuk kerajaan campuran tidak mendapat sambutan yang sewajarnya daripada parti Islam itu.

Menyedari kerajaan canpuran tidak mungkin menjadi kenyataan, malah jika terus membiarkan kemarahan terhadap Najib menguasai dirinya boleh juga menyebabkan dirinya keseorangan dan mungkin juga berhadapan dengan proses undang-undang, pilihan yang ada hanyalah kembali kepada UMNO dan meminta maaf kepada Perdana Menteri.

Walaupun kehilangan jawatan dan diaibkan kerana kenduri kahwin anaknya pada hujung minggu ini beliau tidak lagi bergelar YAB Menteri Besar, tetapi dalam sidang akhbarnya petang semalam ketika mengumumkan penarikan balik surat keluar UMNO dan kekal sebagai ADUN BN, Ahmad Said masih lagi kelihatan ceria dan senyum.

Dalam hatinya mungkin berkata, beliau hanyalah kehilangan jawatan tetapi masih lagi ada kehidupan bebas yang tidak perlu berhadapan dengan proses undang-undang atau turun naik mahkamah selepas ini.

Jika kena gaya dan bodeknya pula, mungkin Najib juga bermurah hati memberikan jawatan yang lain seperti bekas Menteri Besar Johor, Ghani Othman yang dijadikan Pengerusi Sime Darby dan bekas Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam sebagai Pengerusi PUNB.

Sebelum pengguguran beliau menjadi isu, turut dikatkan sama ialah pertukaran beberapa pemimpin negeri lain seperti Pahang, Negeri Sembilan dan Perak. Najib dikhabarkan ingin menukar Menteri Besar di negeri-negeri tersebut bagi memberi nafas baru untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob yang sudah berusia dan lama memimpin negeri itu dikatakan bakal digantikan dengan Sharkar Shamsuddin yang kini menjadi Exco kerajaan negeri dan ahli MT UMNO. Pertukaran Adnan dengan Sharkar yang lebih muda dipercayai dapat membuahkan penerimaan rakyat yang lebih baik dan menyuntik semangat baru menjelang PRU 14 nanti.

Di Perak pula, Zambry ingin ditukarkan kerana prestasi BN negeri tidak banyak meningkat dalam pilihanraya umum lalu. Dari segi pencapaian jumlah kerusi dalam pilihanraya lalu, Zambry lebih kurang saja dengan Ahmad Said.

Untuk mengelakkan keputusan lebih buruk dalam pilihanraya akan datang, Zambry perlu ditukarkan dengan calon lain yang tidak banyak isu yang boleh menggugat sokongan rakyat kepada UMNO dan BN.

Di Negeri Sembilan, sama seperti di Pahang, Mohamad Hassan juga agak lama menjadi Menteri Besar dan sudah sampai masanya menyuntik semangat baru. Walaupun pencapaian Mohamad Hassan pada pilihanraya 2013 adalah lebih baik berbanding 2008 tetapi penasihat-penasihat di Putrajaya dikatakan percaya keputusan lebih baik mampu diperolehi jika ada perubahan di tampuk kepimpinan negeri itu.

Dengan menggugurkan Ahmad Said dan kemudian dapat menjinakkannya, walaupun pada awalnya cuba berdegil dan berdikap gedebe, Najib kini tentulah dapat menatik nafas lega untuk melakukan perubahan yang seterusnya. Berbanding jika Ahmad Said dan konco-konconya daripada kalangan beberapa ADUN terus dapat bertahan dan berada di luar UMNO serta menjadikan suasaha politik negeri itu terus tidak menentu, ia mungkin mengganggu atau melambatkan proses pertukaran di negeri-negeri yang lain.

Tetapi dengan rajuk, marah, gedebe dan samseng Ahmad Said telah dapat dikerak-nasikan hanya tidak sampai 48 jam, tiada apa yang dibimbangi oleh Najib.

Sambil membayangkan Adnan Yaakob, Zambry dan Mohamad Hassan bukanlah seorang gedebe, keras kepala dan lebih mudah akur saja jika diarahkan berhenti, hasrat Najib mahu mewujudkan beberapa kerajaan negeri yang "benar-benar putih bersih" serta tiada cacat cela di pandangan rakyat pastilah menjadi lebih mudah selepas ini.

Dalam pada itu itu, sebagai langkah berjaga-jaga atau pelan B, Najib juga mungkin sudah mulai mengumpul fail-fail SPRM mengenai pemimpin yang mahu digugurkannya itu supaya apa yang berlaku di Terengganu yang jelas mencemar dan menunjukkan kelemahannya, tidak berulang lagi. (SH 15/05/2014)

Wednesday 14 May 2014

Najib Mesti Jadi 'Jantan' Untuk Selesai Krisis Di Terengganu


Walaupun ADUN Bukit Besi, Roslee Daud sudah membuat pusingan U dengan kembali kepada UMNO, hanya setelah beberapa jam mengumumkan keluar daripada parti itu dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat Bebas, kedudukan kerajaan negeri masih lagi tidak stabil dan kekal terumbang-ambing.

Dengan Ahmad Said dan Ghazali Taib sehingga ini kekal sebagai ADUN Bebas, komposisi dalam DUN Terengganu sekarang ialah BN 15, PR 15 dan Bebas 2.

Sehingga ini penasihat undang-undang UMNO, penasihat kerajaan negeri dan Menteri Besar baru Terengganu, Ahmad Razif sendiri seolah-olah ingin kerajaan negeri terus berjalan seperti biasa dengan menggunakan kelebihan satu lagi undi daripada Speaker.

Melalui "undi betina" daripada Speaker yang bukan merupakan ADUN itu, UMNO dan BN beranggapan dan berkhayal kedudukan dalam DUN Terengganu sebenarnya kalah 16-15-2 dan seolah-olah selamat.

Tetapi logiknya, kedudukan itu pun masih tidak selamat bagi BN. Apa kata jika tiba-tiba Ahmad Said dan Ghazali Taib memihak kepada PR?

Sebagai ADUN Bebas, Ahmad Said yang sudah terluka hatinya dengan Najib, manakala Ghazali Taib pula mempunyai pertalian saudara dengannya, bila-bila masa saja boleh melakukan tindakan yang diluar jangkaan.

Mereka mungkin menolak untuk memberi sokongan terhadap sebarang pindaan akta atau undang-undang oleh kerajaan negeri. Kedua mereka juga boleh bersikap "gila" dengan menolak untuk meluluskan perbelanjaan yang memerlukan kelulusan DUN. Bahkan jika PR yang mempunyai 15 undi mahu membawa usul menukar Speaker dan membawa undi tidak percaya kepada Menteri Besar baru, bagaimana jika kedua-dua mereka memihak kepada usul tersebut?

Meskipun Pas sehingga ini menolak sebarang usaha untuk membawa Ahmad Said dan Ghazali Taib memihak kepada mereka, tetapi haruslah diingat bahawa bekas Menteri Besar itu sudah terluka dan berdarah hatinya. Apa-apa saja tindakan yang boleh memuaskan hati dan melunaskan dendamnya, tidak mustahil menjadi pilihannya.

Lagi pula, alang-alang sudah berani mengisytiharkan keluar daripada UMNO dan menjadi ADUN Bebas tiada ruginya jika beliau mengambil beberapa langkah lain sebagai membalas dendam dan ingin memberi pengajaran kepada Najib yang seolah-olah tidak bertimbang rasa untuk menangguhkan pertukarannya sehingga majlis perkahwinan anaknya selesai pada 17 Mei ini.

Dengan pengetahuan umum bahawa Najib juga mengadakan majlis pertunangan anaknya di Seri Perdana, tindakan Perdana Menteri enggan menangguhkan penggugurannya sehingga perkahwinan anaknya itu tentulah begitu mengecewakan dan seolah-olah Najib ingin bersikap tegas dengan tidak membenarkan majlis itu diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar. Dalam masa yang sama, Najib juga bagaikan merenggut kemeriahan majlis perkahwinan anaknya itu.

Dalam keadaan ini, bagaimana Najib dan UMNO mahu menguruskan kedudukan dua ADUN Bebas ini adalah merupakan suatu persoalan yang rumit, lebih-lebih lagi tempoh pilihanraya umum seterusnya masih panjang lagi.

Sebagai parti yang berkuasa dan mempunyai banyak sumber, UMNO mungkin boleh memujuk dan menjinakkan kedua-dua mereka itu. Tetapi sebagai bekas Menteri Besar, kos memujuk dan menjinakkan Ahmad Said tentulah juga tinggi. Lagi pula berbaloikah ianya dilakukan?

Apa sebenarnya pilihan yang terbaik bagi Najib?

Apa yang berlaku di Terengganu ini hampir sama dengan apa yang belaku di Perak pada 2009 dahulu. Bezanya cumalah kerajaan negeri tidak bertukar tangan kerana Ahmad Said dan Ghazali tidak mengisytiharkan kedudukannya sebagai wakil Bebas yang menyokong PR. Maknanya, untuk kerajaan negeri bertukar daripada BN kepada PR hanyalah memerlukan pengisytiharan itu saja.

Walaupun ada yang berhujah bahawa Ahmad Said tidak mungkin memihak kepada PR dan Pas kecualilah jika beliau dijadikan Menteri Besar semula dan ia juga sesuatu yang amat sukar diterima oleh Pas, tetapi untuk kedua-dua pihak ini bekerjasama dan saling bantu-membantu dalam perkara yang lain, tentulah bukan mustahil.

Jalan selamat bagi UMNO untuk mengelakkan ketidakstabilan dan ketidaktentuan di Terengganu hanyalah dengan segera mengadakan pilihanraya negeri. Biarlah rakyat yang akan menentukan sama ada mereka mahukan kerajaan BN atau PR yang memerintah negeri itu.

Jika ketika krisis di Perak dulu yang turut diketuai oleh Najib yang diarahkan oleh Pak Lah mengetuainya, proses mengadakan pilihanraya negeri semula begitu ditolak sehingga menggunakan proses mahkamah kerana bimbangkan keputusan yang lebih buruk, kini sebagai Perdana Menteri, Najib perlulah menunjukkan kejantanannya yang sebenar.

Selagi tidak diserahkan semula mandat kepada rakyat untuk membuat pilihan, pelbagai perkara yang diluar jangkaan boleh berlaku bila-bila masa saja. Oleh itu, lebih baiklah diadakan pilihanraya negeri semula dan menerima apa saja keputusan yang dibuat oleh rakyat.

Jika BN terus dipilih oleh rakyat, ia akan membuktikan wibawa Najib dan UMNO dan tidak boleh dipertikaikan lagi. Jika ditakdirkan BN kalah pula, sekurang-kurangnya Najib dapat membuktikan kejantanannya dan kalah pula secara jantan.

Namun yang pentingnya, dengan mengadakan pilihanraya negeri, gangguan daripada pengaruh Ahmad Said yang sudah menjadi "hantu raya tak bertuan" dapat dilenyapkan. Ia lebih memberi kebaikan untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.(SH 14/05/2014)

Tuesday 13 May 2014

Terengganu Sah Tumbang, Ahmad Said Benar-Benar Jadi Robin Hood


Hanya kira-kira dua jam setelah Ahmad Razif mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu, bekas Menteri Besar, Ahmad Said mengumumkan keluar daripada UMNO dan mengisytiharkan dirinya ssbagai ADUN Bebas. Bersama beliau berbuat demikian ialah seorang lagi iaitu ADUN Ajil, Ghazali Taib yang difahamkan mempunyai pertalian keluarga dengannya.

Pengumuman itu dibuatnya dengan menghantar kenyataan akhbar kepada sebuah agensi berita tempatan, malam tadi iaitu kira-kira dua jam setelah Ahmad Razif mengangkat sumpah.

Dengan perkembangan ini, kedudukan kerusi di Terengganu akan menjadi 15-15 antara BN dengan PR, mankala Bebas mempunyai dua kerusi.

Secara logiknya, dengan pengisytiharan Ahmad Said dan Ghazali Taib itu, DUN Terengganu sudah pun tergantung serta Ahmad Razif dicatat dakam sejarah sebagai Menteri Besar hanya dalam tempoh dua jam sahaja.

Dalam keadaan ini, BN tidak mempunyai pilihan lain selain membubarkan DUN bagi membolehkan pilihanraya negeri diadakan.

Tetapi jika Ahmad Said dan Ghazali Taib mengisytiharkan dirinya sebagai ADUN Bebas yang mesra PR, seorang ADUN daripada PR boleh diangkat sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru sebagaimana yang pernah berlaku di Perak pada 2009 dahulu.

Namun demikian jika benar seperti kata Ahmad Said bahawa ada beberapa ADUN lagi akan mengambil tindakan yang sama sepertinya, maka secara automatik kerajaan negeri BN akan tumbang dan PR akan mengambil alih pentadbiran.

Tetapi dalam perkembangan terbaru pagi ini di mana seorang lagi ADUN keluar UMNO iaitu Roslee Daud dari Bukit Besi, maka sahlah BN hanya mempunyai 14 ADUN dah sudah kekurangan majoriti berbanding PR 15 dan Bebas 3 kerusi.

Kemungkinan ramai lagi ADUN mengikut jejak Ahmad Said sudah dijangkakan berikutan dalam pertemuan Setiausaha Agung UMNO dengan ADUN-ADUN Terengganu semalam, daripada 17 ADUN BN, hanya 9 orang saja yang hadir manakala selebihnya dipercayai memprotes dan tidak setuju dengan pengguguran Ahmad Said.

Walaupun sejarah di Perak memperlihatkan UMNO dan BN takut untuk menghadapi pilihanraya semula, tetapi apa yang berlaku di Terengganu ini pastilah membuatkan Najib mengarahkan Ahmad Razif segera membubarkan DUN sebelum kemelut politik yang lebih kronik dan tidak terkawal berlaku di negeri itu.

Sudah tentulah Najib lebih rela diadakan pilihanraya negeri semula daripada menyerahkan kejatuhan negeri Terengganu kepada PR yang tentunya lebih menjejaskan imejnya.

Isu pertukaran jawatan Menteri Besar di beberapa negeri sudah pun menjadi perbualan sejak beberapa minggu lalu dengan Najib dikatakan ingin melakukan pertukaran di Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan juga Perak. Alasan pertukaran ialah untuk menyuntik semangat dan tenaga baru menghadapi pilihanraya ke 14 akan datang yang dipercayai lebih mencabar lagi.

Ahmad Said, walaupun dikenali dengan imej kasar dan kadangkala seperti "samseng" terutama ketika berhadapan dengan parti lawan, tetapi keberaniannya juga banyak yang boleh dipuji. Ketika banjir di Terengganu hujung tahun lalu dan semua kenderaan tersekat untuk beberapa jam, beliau telah bertindak ala Robin Hood dengan membuka pintu sebuah van roti dan mengagih-agihnya kepada semua yang sedang kelaparan ketika itu.

Di ketika yang lain, beliau juga membenarkan keretanya digunakan untuk membawa mangsa kemalangan jalanraya yang cedera parah untuk di bawa ke hospital tanpa menghiraukan kenderaannya menjadi kotor, dipenuhi kesan darah atau sebagainya. Tidak mungkin ada pemimpin lain yang sebaik itu jika bertemu dengan kemalangan jalanraya.

Dalam isu bolasepak yang melibatkan insiden pukul-memukul dalam terowong di Stadium Larkin, Ahmad Said menunjukkan keberaniannya dengan mengecam FAM yang bertindak tidak adil dan berat sebelah semata-mata kerana ianya melibatkan golongan istana. Beliau juga mencabar pemimpin FAM yang pro kepada istana agar meletakkan jawatan jika tidak berani bersikap adil.

Dengan mengisytiharkan keluar UMNO dan menjadi ADUN Bebas, Ahmad Said telah sekali lagi membuktikan keberanian dan jiwa Robin Hood yang ada dalam dirinya. Beliau tidak akan membenarkan dirinya diperlekeh. Walaupun beliau meminta pertukarannya ditangguhkan untuk membolehkan kenduri kahwin anaknya pada 17 Mei tetapi tidak dilayan oleh Najib sebagai punca alasannya mengisytiharkan keluar UMNO dan menjadi ADUN Bebas, Ahmad Said jelas seorang yang berjiwa merdeka.

Para pemerhati UMNO menyifatkan tindakan beliau itu wajar kerana selepas ini pun masa depan politiknya akan berakhir begitu saja. Beliau hanya menjadi ADUN biasa dan seterusnya akan tidak akan dipilih semula dalam pilihanraya akan datang.

Selepas Ahmad Said digugurkan semalam dan penggantinya Ahmad Razif mengangkat sumpah malam tadi, sepatutnya proses pertukaran seterusnya ialah di Pahang, Negeri Sembilan dan Perak. Tetapi dengan kemelut baru yang berlaku di Terengganu ini, pastilah pertukaran Menteri Besar di negeri-negeri lain itu bakal terencat bagi mengelakkan gelora politik yang lebih parah lagi.

Sama ada pilihanraya negeri Terengganu akan diadakan atau kepimpinan bertukar tangan daripada BN kepada PR, gelora politik yang dicetuskan melalui tindakan Ahmad Said ini akan membuatkan tiada pertukaran Menteri Besar di negeri-negeri yang dirancangkan Najib sebelum ini.

Ahmad Said nampaknya sekali lagi menjadi Robin Hood, dengan keberaniannya kali ini menyelamatkan kedudukan rakan-rakannya di negeri-negeri lain pula. (SH 13/05/2014)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...