Wednesday 31 October 2018

AHLI PARLIMEN UMNO INTAI SERTAI PKR?


Di sebalik riuh rendah khabar angin seramai 40 Ahli Parlimen UMNO mahu menyeberang menyertai Bersatu, kini timbul pula desas-desus menyatakan ada antaranya sedang mengintai untuk menyertai PKR.


Salah seorang Ahli Parlimen UMNO dari Utara dikatakan sedang giat mendekati pemimpin tertentu dalam PKR untuk memudahkan laluannya menyertai parti itu.


Adalah dijangka sebaik saja selepas pemilihan PKR pada bulan November nanti, maka Ahli Parlimen itu akan segera mengisi borang keahlian menyertai PKR.


Sebab utama mengapa Ahli Parlimen berkenaan lebih memilih PKR berbanding Bersatu ialah kerana Presiden PKR, Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri selepas ini.


Atas alasan itu dikatakan pemilihan PKR sebagai wadah baru lebih menjanjikan masa depan yang cerah dari segi politik kepada Ahli Parlimen berkenaan berbanding jika  beliau menyertai Bersatu bersama sekian ramai Ahli Parlimen UMNO yang lain.


Sumber lain pula memberitahu, Ahli Parlimen tersebut turut sedang berusaha memujuk dan meyakinkan beberpa rakannya yang lain untuk turut bersamanya menyertai PKR.


Setidak-tidaknya, jika beliau dapat membawa dua atau tiga Ahli Parlimen lain untuk bersamanya menyertai PKR, sudah tentu nilai ‘sahamnya’ akan lebih meningkat di mata Anwar.


Bagaimanapun, beberapa pihak lain yang pro Pakatan Harapan jelas tidak senang dengan usaha Ahli Parlimen berkenaan melobi pihak tertentu dalam PKR bagi tujuan memudahkan laluannya menyeberang parti itu.


Terdapat usaha mengingatkan Anwar Ibrahim dan Dr. Wan Azizah Wan Ismail agar berhati-hati dan tidak terlalu ghairah menerima kemasukan Ahli Parlimen yang pernah dilanda kontroversi itu.


Usaha juga turut dilakukan dengan cuba memberitahu pemimpin parti lain dalam Pakatan Harapan mengenai perkembangan terbaru itu dengan harapan mereka akan "berbisik"  meminta Anwar tidak menerima kemasukan Ahli Parlimen berkenaan ke dalam PKR.


Asasnya ia mereka bimbang kemasukan Ahli Parlimen yang pernah terpalit dengan kontroversi dan skandal itu hanya memberi kesan buruk kepada PKR serta menyebabkan penolakan rakyat kepada Pakatan Harapan dalam pilihanraya akan datang. (ShahbudinHusin 31/10/2018)

ALAHAI YB PERLIS.....


Berdasarkan siasatan pihak polis sebagaimana yang dinyatakan oleh Ketua Polis Perlis, Noor Mushar Mohd, perkembangan siasatan berkenaan seorang Ahli Parlimen negeri itu yang didakwa mencabul seorang remaja perempuan berusia 15 tahun adalah seperti berikut:-

  • Remaja tersebut yang berlatih bersama kumpulan busker di kawasan sebuah stadium telah didatangi oleh Ahli Parlimen berkenaan pada 20 Oktober lalu, jam 11.30 malam dengan alasan untuk berbual-bual.
  • Guru yang menjalankan latihan busker menemani remaja itu ke kenderaan milik Ahli Parlimen tersebut dan seterusnya membawanya duduk di kerusi bahagian hadapan kereta jenis Toyota Harrier.
  • Guru yang menemani tadi meninggalkan kenderaan dan menjadikan Ahli Parlimen dan remaja itu dalam keadaan hanya berdua saja dalam kereta.
  • Tiba-tiba wakil rakyat yang merupakan bekas menteri itu menyentuh tangan dan bahu gadis tersebut, tetapi ditepis oleh remaja berkenaan.
  • Gadis itu segera meninggalkan kereta dan sebaik keluar kenderaan, beliau terus menangis sambil disaksikan oleh guru yang membawanya ke kereta tadi.
  • Remaja itu kemudian membuat laporan polis pada jam 2.50 pagi, 21 Oktober dengan ditemani ibu bapanya.
  • Pada 10.30 pagi hari yang sama, remaja itu sekali membuat laporan polis menarik balik dakwaan terhadap Ahli Parlimen terbabit. 
  • Ahli Parlimen itu dikatakan sudah agak lama menaja kumpulan busker tersebut.
  • Setakat ini pihak polis sudah merakamkan 10 keterangan, termasuk satu daripada Ahli Parlimen tersebut yang keterangannya diambil selama kira-kira 7 jam.
  • Buat masa ini kes telah dirujuk kepada bahagian pendakwaan polis sebelum dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk menentukan sama ada kes itu boleh diambil tindakan untuk pendakwaan atau sebaliknya.
  • Kes disiasat dibawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda RM20 ribu.


Beberapa persoalan tentunya bermain-main di fikiran kita setelah membaca hasil siasatan pihak polis itu, antaranya:-

  • Untuk apa seorang Ahli Parlimen perlu berbual-bual secara bersendirian dengan seorang gadis remaja pada jam 11.30 malam?
  • Kenapa tidak dijemput remaja datang ke rumah atau ke pejabat bersama guru dan ahli kumpulan busker yang lain pada waktu siang atau petang?
  • Mengapa untuk tujuan berbual dengan seseorang yang bukan muhrim dan bawah umur pada waktu hampir tengah malam, Ahli Parlimen itu hanya datang bersendirian tidak membawa isteri atau kawan untuk menemaninya?
  • Kalau pun Ahli Parlimen itu menaja kumpulan busker tersebut, mengapa hanya remaja itu saja yang mahu ditemui dan ingin diajak berbual-bual?
  • Tidakkah, jika ingin mengetahui perkembangan atau kemajuan kumpulan busker yang ditajanya, Ahli Parlimen berkenaan lebih wajar berbual dengan guru yang melatih atau kesemua ahli busker itu?
  • Mengapa, ketika berbual-bual itu,  bahu dan tangan remaja tersebut perlu disentuh dan dipegang?
  • Tak bolehkah jika tidak menyentuh tangan dan bahu ketika berbual?
  • Adakah memang menjadi kebiasaan bagi wakil rakyat itu menyentuh bahu dan tangan sesiapa saja yang ditemuinya atau hanya kepada orang-orang tertentu saja?

Alahai YB Perlis...macam-macamlah...(ShahbudinHusin 31/10/2018).

Tuesday 30 October 2018

TEMPOH BERBULAN MADU SUDAH BERAKHIR


Tamrin Tun Ghafar

Selasa - 30/10/18

( 1 -  22 )


1.   A Kadir Jasin mencadangkan kesemua Menteri Pakatan Harapan ( PH )  perlu ‘disekolahkan'.


2.  Cadangan itu berputik dari kekecewaan dan ketakutan beliau melihat apa yang sedang berlaku di kalangan beberapa orang Menteri.


3.  Bukan sahaja beliau malah sudah ramai mereka yang menyokong PH termasuk diri saya sendiri mula mempersoalkan kewibawaan dan prestasi sesetengah mereka yang telah diberi peluang oleh Perdana Menteri itu.


4.  Kerisauan beliau ini ada asasnya :


i.  Menampakan seolah - olah mereka terlalu gelojoh  untuk menerima Bintang Gelaran sedangkan khidmat mereka baru sahaja menjangkau  6 bulan sejak PRU14 yang berlangsung pada 9hb Mei lepas. Ia umpama murid yang baru ke sekolah, belum lagi duduk peperiksaan, tetapi sudah beratur mengambil ‘certificate’.


Jika mengandung pun terpaksa menunggu 9 bulan sebelum melahirkan anak.


ii.  Prestasi mereka tidak menyerlah dan menyakinkan, malah ada yang bertindak tanpa menggunakan akal yang waras.


5.  Dalam masa yang sama pendirian Perdana Menteri pula agak berbeza dengan luahan Kadir; tapi ada logiknya.


6.  Sebagai Perdana Menteri beliau terpaksa menampakkan pendirian mempertahankan Ahli Kabinetnya dengan hujah walaupun terdapat beberapa orang Menterinya TIDAK membantu beliau namum mereka tidaklah merompak dan menyamun harta negara.


7.  Kepada saya teguran dan pendirian kedua-duanya (A Kadir Jasin dan Perdana Menteri) adalah betul.


8.  Menteri-menteri yang dilantik dan pegawai - pegawai mereka pula kenalah menyesuaikan diri tanpa terbawa - bawa tingkah laku lama iaitu dari Pembangkang kepada Pemerintah.


9.  Rakyat sedang meneropong setiap  perkataan

dan langkah menteri dan pegawai - pegawai mereka.


10.  Begitu juga mereka yang berjawatan Menteri Besar dan EXCO khasnya; mereka tidak harus bersikap kasar dan tidak menghormati pandangan masyarakat yang mengundi mereka.


11.  Hentikan  SERTA MERTA jika ada unsur - unsur salah guna kuasa dan rasuah di kalangan mereka.


12.  Selain dari itu, mereka perlu senantiasa ingat bahawa mereka terhutang budi kepada rakyat yang membolehkan mereka berkuasa, bukannya kepada Sultan dan keluarga atau kepada Yang Di Pertua Negeri; malah ada Sultan dan ahli keluarga seperti Johor dan Pahang dan Yang DiPertua Negeri Melaka yang berkempen untuk UMNO dan BN dalam pilihanraya yang lepas.


13.  Tun Khalil Yaakub umpamanya telah melawat beberapa Bilik Gerakan UMNO /BN dan memberi pandangan serta rangsangan kepada petugas - petugas pilihanrayanya.


14.  Perdana Menteri harus mengambil tindakan terhadap mereka yang telah melanggar Perlembagaan.


15.  Perlu diingatkan jika rakyat boleh menumbangkan UMNO/ BN yang telah berkuasa selama 61 tahun , rakyat juga boleh 

menumbangkan Kerajaan PH pada Pilihanraya Umum akan datang.


16.  Jika nak terus berkuasa lebih lama lagi maka segala amalan buruk MESTI diberhentikan segera.


17.  Saya mencadangkan beberapa perjumpaan hati ke hati di antara semua Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen PH dengan Perdana Menteri  (retreat) diadakan dalam masa terdekat dan diikuti dengan sekurang - kurangnya sekali setahun.


18.  Politik cantas mencantas, baling batu sembunyi tangan juga harus diberhentikan serta merta.


19.  'JANGAN  SEBAB  NILA  SETITIK , MAKA  ROSAK  SUSU  SEBELANGA’.


20.  Biarlah semalam berlalu untuk kecemerlangan Negara dan keselesaan rakyat pada hari ini dan esok.


21.  JANGAN  KECEWAKAN  HARAPAN  RAKYAT KHASNYA YANG  TELAH  MEMBERI  SOKONGAN KEPADA PAKATAN HARAPAN.


22.  Berkhidmat Untuk Rakyat , Bukan Untuk Diri dan Keluarga.


Terima Kasih.

PERSIDANGAN BERKELOMPOK BERSATU WP BERLANGSUNG DENGAN JAYANYA


Malam tadi telah diadakan persidangan tahunan Bersatu secara berkelompok bagi seluruh bahagian-bahagian dalam Wilayah Persekutuan.


Berdasarkan jumlah kehadiran yang melimpah memenuhi Dewan Rafflesia, D'Saji Tasik Titiwangsa serta semangat yang ditunjukkan oleh setiap wajah pejuang-pejuang bangsa yang hadir yang lengkap berbaju Melayu merah serta bersampin, apa yang yang boleh dikatakan majlis tersebut telah diadakan dengan jaya dan cemerlang sekali.

Ia sekaligus menandakan masa depan yang cerah untuk Bersatu Wilayah Persekutuan terus melebarkan sayap perjuangannya di ibukota yang penuh cabaran dan pancaroba ini.


Persidangan itu dirasmikan oleh Presiden Bersatu merangkap Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin.

Dalam ucapannya, Muhyiddin memuji Bersatu Wilayah Persekutuan yang diterajui oleh Kapt. Suhaimi Yahya atas kejayaan memastikan kehadiran perwakilan dan pemerhati yang ramai dan padat itu.


Kata beliau,  selain jumlah kehadiran adalah penting, Bersatu juga mesti menggunakan platform persidangan tahunan ini untuk memastikan hala tuju perjuangan parti dalam membela nasib rakyat sentiasa terpelihara.


Selain itu, beliau juga mengingatkan ahli-ahli Bersatu supaya selalu menjaga perpaduan serta mengelakkan pertelingkahan sesama sendiri.


Sebelum itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Bersatu Wilayah Persekutuan, Kapt. Suhaimi dalam ucapannya mengingatkan ahli-ahli Bersatu di ibukota ini bahawa perjuangan mereka adalah lebih berat berbanding rakan-rakan di tempat dan negeri lain.


Katanya, di Wilayah Persekutuan ini, masalah utama yang dihadapi ialah berkaitan kemiskinan bandar dan bagaimana untuk membantu serta mengatasinya.


Sehubungan itu, beliau menggariskan tiga desakan dan cadangan  kepada kerajaan, DBKL dan pihak-pihak berkaitan untuk diberi perhatian iaitu:-


  1. Menggesa DBKL mewajibkan pembinaan rumah mampu milik berharga RM250 ribu dan ke bawah bagi setiap projek perumahan yang diluluskan di Wilayah Persekutuan
  2. Meminta DBKL dan agensi kerajaan lain melakukan tindakan bersepadu mengatasi masalah kebanjiran pendatang asing yang bebas menjalankan perniagaan serta mendatangkan pelbagai masalah lain kepada rakyat tempatan.
  3. Mencadangkan agar diusahakan pendekatan proaktif untuk suri rumah menjalankan perniagaan secara dalam talian atau online untuk membantu menambah pendapatan keluarga masing-masing.


Selain dihadiri oleh semua Ketua-Ketua Bahagian Bersatu dalam Wilayah Persekutuan, pemimpin lain yang turut hadir antaranya ialah Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd. Redzuan Md. Yusof, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun, Setiausaha Agung Bersatu merangkap Timbalan Menteri Luar, Marzuki Yahya, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Aziz Yassin dan A Kadir Jasin. (ShahbudinHusin 30/10/2018)

Monday 29 October 2018

SEMASA BN 'LAPAR', DI BAWAH PH PUN 'LAPAR' JUGA....


Saya menerima banyak rungutan daripada kawan dan kenalan yang meluahkan perasaan tentang kesukaran mereka mendapatkan kontrak-kontrak kerajaan ketika berurusan dengan pejabat beberapa menteri dan menteri besar di bawah kerajaan Pakatan Harapan sekarang.


Malah, orang yang baru dikenali juga  turut tidak malu-malu meluahkan perasaan yang sama.


Mereka ini semuanya adalah penyokong Pakatan Harapan yang nampaknya mula kecewa kerana kesukaran mendapatkan kontrak dan memperbaiki sumber rezeki, meskipun kerajaan sudah bertukar tangan.


Dahulu, ketika kerajaan dikuasai UMNO dan BN, mereka ini langsung tidak pernah mendapatkan apa-apa kontrak kerana ketika itu semuanya dibolot oleh orang-orang UMNO dan kroni para menteri belaka.


Majoriti daripada mereka ini, bahkan tidak pernah cuba pun masuk apa-apa tender atau mengunjungi mana-mana pejabat menteri dan menteri besar sewaktu era BN kerana sedar perbezaan ideologi politik banyak pengaruhnya kepada perolehan dalam perniagaan ketika itu.


Yang menjadi harapan mereka, apabila kerajaan sudah bertukar tangan sekarang ini, bermakna peluang merekalah pula memperolehi sebahagian tender dan kontrak kerajaan itu.


Malangnya, daripada apa yang disungutkan itu, baik ketika BN mengusai kerajaan atau setelah bertukar kepada Pakatan Harapan, nasib mereka nampaknya sama saja.


Dulu susah memperolehi kontrak kerajaan, sekarang pun tidak ada yang senangnya.


Apa yang mereka kesalkan, kesukaran memperolehi peluang-peluang perniagaan itu lebih disebabkan oleh tindakan menteri dan menteri besar Pakatan Harapan sendiri yang tidak sedia untuk menolong mereka.


Beberapa menteri dikatakan lebih ingin menunjukkan sikap berkecuali dan seolah-olah bersih daru segi campurtangan dalam pemberian kontrak-kontrak kerajaan sehingga penyokong yang datang berjumpa awal-awal lagi sudah diberitahu dengan ucapan selamat - “saya tak campur hal perniagaan atau urusan kontrak”.


Ini bukan saja menyebabkan penyokong itu kecewa dan memendam rasa, malah rasa terpinggir dibuatnya.


Hakikatnya, mereka bukanlah mahu diberikan kontrak secara buta-buta begitu saja, tetapi sekurang-kurangnya tunjuklah sikap sedia mendengar terlebih dahulu.


Kami yang nak minta kontrak ini tentulah datang dengan syarikat yang ada kemampuan dan boleh melaksanakan kerja, bukan nak minta macam itu saja, kata salah seorang yang meluahkan perasaan.


Sikap pemimpin yang sedemikian rupa itu, akhirnya tentu saja menyebabkan pegawai kerajaan yang berkuasa sepenuhnya dalam pemberian kontrak kerajaan, malah memperlihatkan menteri dan menteri bagaikan tiada kuasa apa-apa, walhal ketika berkempen menjerit meminta kuasa.


Tidakkah sikap menteri dan menteri besar yang begitu akan merugikan parti dalam jangka masa panjang? Soal mereka lagi.


Yang lebih buruk lagi, dikatakan terdapat juga menteri dan menteri besar yang dengan pantas bukan sekadar menjalin hubungan dengan ahli-ahli perniagaan era BN dahulu, malah meneruskan pemberian kontrak perniagaan kepada mereka itu.


Alasan yang diberi kononnya syarikat mereka itu sudah biasa dengan kerja-kerja di peringkat kementerian dan negeri serta mempunyai rekod yang baik selama ini.


Dikatakan lagi, pemimpin yang baru lima bulan mendapat kuasa itu mengatakan mereka meneruskan pemberian kontrak kepada syarikat-syarikat sedia ada itu adalah bertujuan agar kerja-kerja tidak tersangkut berbanding jika memberi peluang kepada syarikat baru yang belum terbukti hasil kerjanya.


Tapi, sedarkan mereka syarikat itu dipunyai oleh ahli dan penyokong UMNO yang sudah tentu sebahagian keuntungannya akan digunakan untuk membiayai aktiviti politik UMNO untuk melawan Pakatan Harapan dalam pilihanraya akan datang? kata seorang pengadu yang menetap di selatan tanahair.


Sudahlah jawatan dalam GLC diberi kepada bukan orang parti, kini pemberian kontrak-kontrak kerajaan pula masih dikuasai oleh ahli dan penyokong UMO - siapakah yang mahu bekerja untuk parti memenangkan Pakatan Harapan dalam pilihanraya akan datang, kata seorang lagi yang juga tinggal di selatan.


Ada seorang pengadu, malah mengajak saya berkunjung ke sebuah negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan bagi menunjukkan bukti bagaimana pentadbiran negeri itu lebih memberi muka kepada mereka yang dikenali sebagai penyokong UMNO berbanding penyokong sendiri.


Kata seorang yang agak veteran dalam Pakatan Harapan pula, pemimpin yang ada jawatan dalam kerajaan sekarang nampaknya lebih senang melayan ahli perniagaan dari kalangan penyokong UMNO yang ada duit berbanding memahami penyokong sendiri yang baru mencuba-cuba mahu mendapatkan kontrak kerajaan.


Kesian kan...dalam zaman Nabi dulu ada juga harta rampasan perang yang boleh dibahagi-bahagi selepas habis berjuang dan mencapai kemenangan, tetapi nasib dan keadaan penyokong Pakatan Harapan nampaknya jauh lebih malang daripada itu.


Semasa era BN berkuasa dulu,  mereka sudah lama ‘lapar’ dan tidak berpeluang langsung memperolehi sebarang kontrak kerajaan, sekarang di era Pakatan Harapan berkuasa di mana kawan-kawan sendiri ada jawatan dan kuasa pun mereka tetap ‘lapar’ juga.


Aduhai....(ShahbudinHusin 29/10/2018).

SIAPA BEKAS MENTERI INI?


Tweet 1


Tweet 2


Tweet 3


Tweet 4


Tweet 5


Tweet 6



Sunday 28 October 2018

JIKA 40 AHLI PARLIMEN UMNO MASUK BERSATU - BERSATU JADI UMNO ATAU UMNO AKAN MENGUASAI BERSATU?


Sehingga ini, apa yang dikatakan mengenai dakwaan ada 40 Ahli Parlimen UMNO akan menyertai Bersatu masih lagi bersifat khabar angin dan desas-desus.


Ia boleh jadi betul atau mungkin kekal sebagai khabar angin buat selama-lamanya.


Tetapi, dalam konteks negara kita, khususnya berkaitan politik, banyak khabar angin selalunya akan menjadi kenyataan.


Ini kerana, bukan saja pokok bergoyang kerana ditiup angin, kerapkali juga pokok bergoyang disebabkan ada orang yang sengaja menggoyangnya.


Dalam erti kata lain, sesuatu yang dikatakan khabar angin itu sebenarnya sengaja dilambung ke pengetahuan umum untuk dijadikan perbualan masyarakat sebelum ia benar-benar menjadi kenyataan.


Sebab itulah, banyak khabar angin berakhir dengan kejadian yang betul-betul menjadi kenyataan.


Berkaitan 40 Ahli Parlimen UMNO akan menyertai Bersatu,  lebih-lebih lagi yang memulakan bicara mengenainya adalah Penasihat Khas Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri, A Kadir Jasin, maka tentu sukar untuk kita mengatakan ia sekadar khabar angin kosong semata-mata.


Ia mungkin satu lagi pokok yang sengaja digoyang dan akhirnya betul-betul menjadi kenyataan.


Ketika ini Bersatu mempunyai 14 Ahli Parlimen (termasuk Mustapa Mohamed), manakala UMNO ada 48 Ahli Parlimen.


Jika kemasukan 40 Ahli Parlimen daripada UMNO itu betul-betul menjadi kenyataan, apa akan jadi kepada Bersatu yang hanya ada 14 Ahli Parlimen saja?


Adakah Bersatu yang bertambah besar dengan memiliki 54 Ahli Parlimen itu nanti akan bertukar menjadi UMNO atau UMNO akhirnya akan menguasai Bersatu?


Dalam kedua-dua keadaan itu, masih selamatkah kedudukan Bersatu sebagai salah satu komponen Pakatan Harapan dan sediakah PKR, DAP, Amanah terus berkongsi kerajaan dengan Bersatu yang majoriti Ahli Parlimennya sudah dikuasai oleh UMNO yang merupakan musuh mereka sejak sekian lama?


Kalau pun kerajaan sedia ada terus kekal, apakah pula nasib menteri dan timbalan menteri daripada Bersatu yang ada sekarang?


Masihkah mereka kekal sebagai menteri atau sebahagian besar menteri daripada Bersatu nanti akan diwakili oleh majoriti Ahli Parlimen yang asalnya daripada UMNO? (ShahbudinHusin 28/10/2018)

KALAH DAN LEMAH KEPADA WANITA AL-JAZEERA, DI MANA DARAH BUGIS NAJIB?


Menonton interbiu Najib Razak bersama Al-Jazeera semalam, suatu hakikat yang pasti ialah beliau kini dalam keadaan cukup tertekan, emosi tak stabil dan seperti menyimpan banyak kemarahan dalam dirinya.


Daripada awal  program lagi, wajahnya sudah terlihat kemerah-merahan, tidak ceria serta penuh dengan jalur kekeruhan yang gagal diselindungkan.


Untuk itu, tidak menghairankan apabila diasak dengan soalan-soalan berkaitan Jho Low dan Altantuya oleh Mary Ann Jolley, beliau akhirnya gagal mengawal emosi, membuka pekung kemarahan dan akhirnya meninggalkan sessi temubual itu.


Seluruh dunia menyaksikan dengan nyata Najib yang selama ini kelihatan gah telah kalah, lemah dan terkulai kepada seorang wanita dalam program 101 East itu.


Yang jelasnya, watak Najib dalam interbiu itu jauh berbeza sekali dengan sifat tenang dan sabar yang selalu dipamerkannya selama ini.


Ia juga jauh berbeza dengan gambaran yang rakyat fahami apabila membaca tulisan-tulisannya di Facebook, sama ada ketika mengkritik kerajaan dan Tun Mahathir Mohamad, menegur Lim Guan Eng atau mempertahankan dirinya berkaitan 1MDB, Jho Low, derma RM2.6 bilion dan sebagainya.


Apakah yang membuatkan Najib begitu tertekan dan mudah beremosi, sedangkan yang menemubualnya hanyalah seorang wanita saja?


Benarkah beliau tertekan kerana ketika interbiu itu, sebagaimana yang didakwanya, beliau begitu risaukan tentang keadaan isteri dan anak-anaknya yang sedang disoal siasat oleh pihak polis?


Tetapi, bukankah ketika itu Rosmah Mansor, Riza Aziz dan Norashman hanya diambil keterangannya di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil saja dan bukannya dilokap atau digari pun oleh pihak polis?


Lebih daripada itu, kedatangan mereka juga turut ditemani oleh beberapa peguam?


Jadi, untuk apa Najib masih perlu risau keadaan mereka?


Lagi pun, bukankah Najib acapkali mengaku sebelum ini bahawa beliau adalah berketerunan pahlawan Bugis yang pantang menyerah kalah, waima sehingga bumi terbelah dua?


Takkanlah hanya diasak dengan soalan-soalan panas oleh seorang wanita saja sudah mudah mengaku kalah, menjadi lemah dan akhirnya bangun meninggalkan sessi interbiu, suatu pentas perjuangan untuk mempertahankan dirinya sendiri?


Ke mana menghilangnya darah pahlawan Bugis yang ada dalam dirinya selama ini?


Apakah darah Bugis itu hanya mengalir dalam tubuhnya ketika menjadi Perdana Menteri saja?


Ataukah yang sebenarnya membuatkan Najib tertekan sekarang ialah kerana memikirkan 38 pertuduhan mahkamah yang sedang dihadapinya dan 17 lagi pertuduhan melibatkan isterinya?


Jika dengan hanya 55 pertuduhan saja sudah menjadikannya tertekan dan gagal mengawal perasaan di hadapan seorang wanita, bagaimanakah Najib mahu berdepan soalan-soalan pihak pendakwa di mahkamah nanti yang tentunya lebih panas dan berapi lagi? 


Selain itu, bagaimana kalau lebih banyak lagi pertuduhan bakal dihadapinya selepas ini? (ShahbudinHusin 28/10/2018).

Saturday 27 October 2018

SIAPA YANG LAPAN ITU?


Menurut dakwaan A Kadir Jasin, susulan penyertaan Mustapa Mohamed ke dalam Bersatu semalam, seramai 40 lagi Ahli Parlimen UMNO akan turut berbuat demikian. 


Kata beliau, kesemua 40 Ahli Parlimen itu sudah pun bertemu dengan Tun Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin untuk membincangkan perkara tersebut.


Benarkah?


Oleh kerana yang bercakap mengenai perkara berkenaan adalah A Kadir Jasin yang merupakan Penasihat Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri serta salah seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, maka sudah tentu sukar untuk kita tidak mempercayai kata-katanya.


Sebagai orang penting yang dekat dengan Perdana Menteri dan hampir dengan puncak kuasa parti, beliau tentunya ada maklumat yang betul dan tahu siapa mereka yang sudah bertemu dengan Tun Mahathir dan Muhyiddin bagi tujuan menyertai Bersatu itu.


Tambahan lagi, Muhyiddin sendiri mengakui ada beberapa Ahli Parlimen datang bertemu dengannya.


Cuma, Muhyiddin masih berteka-teki mengenai jumlah mereka yang datang bertemu dengannya itu.

Sebagai makluman, pada PRU14 lalu, UMNO menang 54 kerusi Parlimen, tetapi sehingga ini enam orang sudah keluar parti di mana empat menjadi Bebas, seorang menyertai Bersatu dan seorang lagi beralih kepada Warisan.


Ini bermakna, UMNO kini ada tinggal lagi 48 Ahli Parlimen bersama dengannya.


Kiranya benar ada 40 Ahli Parlimen UMNO mahu menyertai Bersatu, bukanlah siapa 40 orang itu yang penting untuk diketahui, tetapi yang lebih penting lagi ialah siapakah baki lapan orang yang masih setia tidak mahu meninggalkan UMNO itu?


Mereka itu tetap setia kepada UMNO atau kerana tidak mungkin diterima untuk masuk Bersatu?


Siapakah mereka yang lapan itu?


Agak-agak susahkah kita nak kenal pasti siapa kelapan-lapan orang itu? (ShahbudinHusin 27/10/2018)

DUA PERKARA BAKAL MENYUSUL DALAM WAKTU TERDEKAT INI SELEPAS TOK PA MEMILIH MENYERTAI BERSATU


Meskipun ada enam Ahli Parlimen UMNO yang sudah meninggalkan parti itu, setakat ini hanya Ahli Parlimen Jeli, Mustapa Mohamed yang memilih untuk menyertai Bersatu.


Mustapa mengumumkan kemasukannya ke dalam Bersatu malam tadi di hadapan barisan kepimpinan tertinggi parti itu, termasuk Tun Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya.


Empat lagi Ahli Parlimen yang keluar UMNO sehingga ini masih kekal sebagai Ahli Parlimen Bebas, sementara Rosman Isli, Ahli Parlimen Labuan memilih untuk menyertai Warisan.


Dengan kemasukan Mustapha atau Tok Pa menyertai Bersatu semalam, sekurang-kurangnya dua perkembangan lain akan menyusul selepas ini:-

Pertama, akan berlaku rombakan atau pertambahan anggota kabinet dalam waktu terdekat ini kerana kemasukan Tok Pa ke dalam Bersatu pasti disusuli dengan perlantikannya sebagai menteri.


Ia bagi mengimbangi kedudukan anggota jemaah menteri yang secara majoritinya ketika ini terdiri daripada mereka yang tiada pengalaman langsung dalam pentadbiran kerajaan.


Lebih-lebih lagi, menteri daripada Bersatu khususnya, paling menjadi pertikaian umum dari segi kewibawaan, tingkah laku dan ketika memberi kenyataan kepada media sehingga mereka dianggap tidak cukup berwibawa untuk menjadi menteri.


Dengan hadirnya Tok Pa yang dikenali sebagai menteri yang baik, berwibawa dan bagus kabinet nanti, bukan saja pentadbiran kerajaan akan bertambah kukuh, malah dapat mengimbangi kekurangan yang ada pada menteri-menteri daripada Bersatu ketika ini.


Melalui kemasukan Tok Pa juga, kemungkinan ada menteri daripada  Bersatu akan dipindahkan ke kementerian lain, bahkan tidak mustahil jika ada yang digugurkan terus.


Kedua, kemasukan Tok Pa ke dalam Bersatu dengan sendirinya akan mendorong lebih ramai pemimpin UMNO untuk mengikut jejak langkah beliau meninggalkan parti itu dan memilih wadah baru yang diterajui oleh Tun Mahathir.


Sehingga ini sekurang-kurangnya ada dua kumpulan pemimpin UMNO yang menunjukkan minat yang tinggi untuk menyertai Bersatu.


Satu kumpulan diketuai oleh seorang bekas menteri yang masih merupakan Ahli Parlimen yang bertapak di selatan tanahair, manakala satu kumpulan lagi adalah daripada utara semenanjung.


Kumpulan daripada selatan dikatakan akan membawa  sekurang-kurangnya 35 pemimpin UMNO untuk menyertai Bersatu yang terdiri daripada Ahli Parlimen, Adun, Ketua Bahagian dan pemegang-pemegang jawatan kanan yang lain.


Pada bulan lalu, kumpulan ini telah bermesyuarat di Jakarta dan antara  yang dipersetujui ialah mereka mahu menunggu apa akan berlaku kepada Presiden UMNO, Zahid Hamidi terlebih dahulu sebelum memutuskan sebarang langkah yang seterusnya.


Realitinya, Zahid Hamidi kini sudah pun didakwa dengan 45 pertuduhan di mahkamah dan beserta dengan kemasukan Tok Pa ke dalam Bersatu, kumpulan dari selatan ini dipercayai akan lebih cepat lagi meninggalkan UMNO.


Sementara itu, kumpulan dari utara yang berminat untuk menyertai Bersatu juga sedang rancak mengadakan pelbagai pertemuan untuk memperkemaskan rancangan mereka.


Kumpulan daripada utara ini, meskipun lebih kecil daripada kumpulan yang berasal daripada selatan tadi, tetapi mereka agak agresif dan vokal dalam pergerakan politiknya.


Apakah dengan dua perkembangan yang bakal berlaku itu, UMNO sedikit demi sedikit akan layu dan akhirnya semakin ditinggalkan, ditambah lagi dengan kedegilan Zahid Hamidi yang nampaknya enggan bercuti sementara atau meletakkan jawatan di sebalik  kes pecah amanah, menerima rasuah dan penggubahan wang haram yang sedang dihadapinya? (ShahbudinHusin 27/10/2018)

Friday 26 October 2018

PULAK DAH....



Dulu Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir ini pernah mengaku wang RM2.6 bilion yang diterima Najib Razak adalah datang daripada negaranya, Arab Saudi.


“Kami sedar tentang derma itu dan ia benar-benar sumbangan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. 


“Kami juga sedar Peguam Negara Malaysia telah menjalankan siasatan teliti mengenai perkara itu dan mendapati tiada salah laku.


“Justeru, setahu kami, isu ini telah ditutup,” kata Adel Al-Jubeir sebagaimana kenyataannya pada 15 April 2016 lalu.

Tetapi, hari ini ketika berkunjung ke Malaysia, nada kenyataan Adel Al-Jubeir nampak jauh berbeza.


Adel Al-Jubeir dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia dan petang tadi beliau turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad di Putrajaya.


Beliau dilaporkan berkata, derma RM2.6 bilion yang pernah diterima Najib itu tiada kena-mengena dengan Arab Saudi.


Pulak dah...


Yang pasti,  berita ini tentunya membuatkan Najib makin pening kepala dibuatnya.

Pembela, penyokong dan pengampu Najib juga jadi kelu lidah dan tidak mampu berkata apa-apa lagi.


Kes berkaitan wang RM2.6 bilion itu pun sudah dibawa ke mahkamah dan Najib berdepan 21 pertuduhan penggubahan wang haram berkenaan dana tersebut.


Sekaligus, pembelaan Najib di mahkamah nampak makin sulit jadinya. (ShahbudinHusin 26/10/2018)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...