Wednesday 9 July 2014

Lebih Terpuji Jika Khalid Ibrahim Undur Secara Sukarela


Isu mengenai jawatan Menteri Besar Selangor sudah begitu lama berlarutan. Bermula dengan pelan KajangMove yang bertujuan menggantikan Khalid Ibrahim dengan Anwar Ibrahim bagi memberi lonjakan politik ke arah cita-cita PR menawan Putrajaya dalam PRU 14 yang kemudian dihalang oleh ketakutan UMNO melalui kuasa terhadap undang-undang dengan mempercepatkan kes rayuan liwat melihatkah bekas TPM itu, sehinggalah ke hari ini jawatan Menteri Besar Selangor terus menjadi isu hangat.

Daripada Anwar gagal sebagai pengganti, timbul bermacam-macam spekulasi dengan ada yang mahukan Wan Azizah dan ada pula yang mahukan Azmin Ali. Tersebar juga khabar bahawa Wan Azizah akan jadi Menteri Besar manakala Azmin sebagai timbalannya atau Exco Kanan sebagai jalan penyelesaian untuk mengiringi Sultan Selangor jika ada majlis perasmian atau lawatan ke masjid dan surau.

Oleh kerana Pas mempunyai lebih kerusi berbanding PKR, nama Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad juga diheret sama sebagai pengganti walaupun persetujuan bersama PR menyerahkan jawatan itu kepada PKR sebelum pilihanraya lalu tentunya logiknya sehingga pilihanraya akan datang.

Di ketika yang sama timbul pula seloka bahawa UMNO tiba-tiba menyokong Khalid terus kekal sebagai Menteri Besar sehingga akhir penggalnya, walaupun sudah diketahui apa kilat dan kilaunya sokongan itu.

Pertukaran Menteri Besar kelihatan lebih mendesak bagi PR kerana sejak adanya KajangMove, Khalid juga berubah secara automatik sebagai pemimpin yang mesra UMNO dan Kerajaan Pusat berbanding hakikat dirinya yang mewakili PKR dan PR. Beliau menandatangani perjanjian air bagi pihak Selangor dengan pusat tanpa pengetahuan sesiapa dalam kerajaan negeri. Beliau juga kemudian menyokong projek Lebuhraya Kidex yang bukan saja projek Pusat tetapi juga dipunyai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Zaki Tun Azmi dan peguam UMNO, Hafarizam Harun.

Ditambah pula dengan ketidaktegasan Khalid dalam menyelesaikan isu Bible yang melibatkan Jais sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati rakan-rakan dalam PR sendiri, Khalid lantas dilihat bukan lagi sebagai sosok yang sesuai mentadbir Selangor mewakili PR.

Pertukaran jawatan dan desakan demi desakan yang ditimbulkan oleh beberapa pemimpin PKR sendiri mengenai Khalid sebenarnya bukan lagi mengenai pentingnya untuk meletakkan Wan Azizah, Azmin Ali atau sesiapa saja di kerusi itu tetapi lebih sebagai usaha mempertahankan Selangor terus berada di genggaman PR dalam pilihanraya akan datang dan membawa harapan lebih cerah menuju Putrajaya.

Khalid kini dilihat sebagai pemimpin yang sudah lari jajaran politiknya. Beliau banyak bertindak sendirian, mula mesra UMNO dan Pusat serta tidak upaya menangani krisis meskipun keupayaannya berjimat cermat meletakkan rizab negeri mempunyai tabungan RM3 bilion boleh juga diberikan pujian.

Namun Khalid harus juga sedar bahawa menjadi Menteri Besar bukan seperti CEO syarikat perniagaan yang semata-mata mengutamakan keuntungan. Jauh lebih penting ialah kesejahteraan dan kepuasan hati rakyat. Penting juga ialah seorang Menteri Besar tidak boleh lari jajaran atau "allignmentnya".

Meskipun kian banyak desakan, Khalid nampaknya tidak mahu berundur. Beliau seakan-akan cuba bertahan sehingga ke titisan darah yang terakhir di kerusi itu walaupun cuba diingatkan bahawa beliau menjadi Menteri Besar selama ini adalah semata-mata kerana PKR dan bukannya kerana keupayaan dirinya.

Pertukaran Menteri Besar dan meminta sesiapa di kerusi itu berundur adalah perkara biasa dalam politik. Dalam UMNO sendiri perkara itu sudah banyak kali berlaku. Kali terakhir ialah apabila UMNO menukarkan Menteri Besar Terengganu daripada Ahmad Said kepada Ahmad Razif beberapa bulan lalu.

Dalam hampir semua pertukaran Menteri Besar sebelum ini, hanya ribut kecil saja yang berlaku. Tidak ada yang cuba bertahan seolah-olah jawatan itu milik peribadi mereka. Semua mereka sedar bahawa parti lebih penting, parti lebih besar dan partilah yang meletakkan mereka di situ.

Sesamseng dan segebebe Ahmad Said pun, beliau hanya marah kerana dilucutkan jawatan seminggu sebelum majlis perkahwinan anak perempuannya dan bukannya untuk bertahan selama-lamanya. Walaupun jika Ahmad Said terus membuat onar boleh membuatkan kerajaan negeri bertukar tangan, tetapi pastilah beliau juga menyedari bahawa parti lebih penting berbanding dirinya.

Begitu juga dalam kes Khalid Ibrahim ini, beliau harus menyedari bahawa PKR dan PR lebih penting daripada dirinya. Jika benar seperti kata Shamsul Iskandar, Ahli Parlimen Bukit Katil bahawa majlis pimpinan PR sudah menyetujui pertukaran Khalid dengan pemiimpin lain, beliau seharusnya akur dengan perubahan itu.

Tidak guna cuba bertahan dengan berbagai alasan atau menunggu sehingga undi tidak percaya dijalankan. Ia hanya lebih memburukkan keadaan dan menghodohkan lagi reputasi diirinya. Terimalah dengan lapang dada apabila tiba masa untuk ditukarkan kerana itulah hukum berpolitik. Terus cuba bertahan hanya menjadikan Ahmad Said kelihatan lebih cerdik dan matang berpolitik daripadanya.

Daripada isu jawatan Menteri Besar Selangor ini berlarutan lebih lama, lebih terpuji jika Khalid sedia berundur diri secara sukarela. Tunjukkanlah diri sebagai seorang yang berwibawa, faham hukum politik dan sedia menerima perubahan. Lagi pula setelah kalah di peringkat cabang dan hampir pasti kecundang juga untuk merebut Timbalan Presiden PKR di tangan Azmin Ali, sebenarnya tiada apa lagi kekuatan pada dirinya.

Selain kehilangan sokongan rakan-rakan dalam PR, hilang sokongan daripada kalangan ADUN dan pemimpin PKR, hilang ketua cabang dan dan kecundang merebut jawatan Timbalan Presiden, Khalid kini tidak ubah umpama bunga teratai saja - cantik dan berseri menghiasai permukaan air tapi akar tidak pun jejak ke tanah. (SH 09/07/2014)

6 comments:

  1. Kedegilan khalid dan kegagalan parti memaksa khalid berundur adalah memalukannkedua-dua pihak.

    Bagaimana agaknya nilaian rakyat kpd umno dan najib jika gagal mengundurkan seorang menteri besarnya?

    Anwar dan PKR dilihat nothing di mata Istana. Mereka juga tidak ikhlas di mata PAS... Parti mata lebam berputih mata.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nilaian rakyat kpd umno dan najib adalah umno sebuah parti Santa Claus.Semuanya dapat diselesai dengan RM.Rakyat tahu benar gejala ini kerana semua pemimpin umno hanya berjuang untuk RMMMM.....

      Delete
  2. lau khalid undur, sapa nak ganti? azmin gila kuasa tu? ko? tau sape? manusia xde yg sempurna tapi selagi boleh mentadbir kite bg sokongan bukan merosakkan keharmonian

    ReplyDelete
  3. That Khalid to put it straight is mangkuk hayun.....patut la UMNO pun tak mahu dia sekarang ni sokongan UMNO ada agenda ...hihihi alahai PKR

    ReplyDelete
  4. tak perlu TSKI berundur
    cuma lebih baik beliau tanya pendapat dan pandangan Tan Sri Muhammad bin Haji Muhammad Taib mantan MB Selangor cara nak mentadbir negeri

    ReplyDelete
  5. Pakatan Rakyat patut belajar dari apa yang telah terjadi diKedah. MB yang Mesra dengan UMNO serta enggan melepas jawatan pasti akan menyebabkan negeri diambilalaih olih pihak musuh!

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...