Saturday, 30 April 2016

MANA NAK CEKAU AS$50.3 JUTA TU?


Berikutan IPIC telah menyelesaikan bayaran faedah bon 1MDB yang tertunggak berjumlah AS$50.3 juta atau kira-kira RM200 juta, syarikat itu akan menuntut jumlah wang berkenaan daripada Kementerian Kewangan Malaysia.

Disebabkan tindakan 1MDB yang ingkar, IPIC akan membuat tuntutan bertulis bagi mendapatkan ganti rugi bagi bayaran balik faedah itu daripada Menteri Kewangan dan 1MDB mengikut syarat-syarat perjanjian, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan IPIC semalam.

IPIC telah membuat pembayaran penuh untuk faedah bagi bon bernilai AS$1.75 bilion untuk 1MDB yang dijamin syarikat Abu Dhabi itu yang sepatutnya dilunaskan sebelum 18 April 2016.

Bila IPIC mahu menuntut balik wang tersebut daripada Kementerian Kewangan, di mana Menteri Kewangan mahu cekau wang sebanyak itu?

Daripada akaun peribadinya atau daripada wang kita semua sebagai pembayar cukai? (SH 30/04/2016).

SELEPAS POLIS PENGIRING TUN M DITARIK BALIK, APAKAH JET KERAJAAN PULA DISEKAT SELEPAS INI?

Menurut tulisan yang dikemaskini dalam blog A Kadir Jasin, khidmat polis pengiring bermotosikal untuk Tun Mahathir Mohamad telah ditarik balik oleh kerajaan berkuat kuasa 28 April yang lalu. Namun, khidmat ADC dan Unit Tindakan Khas atau UTK masih dikekalkan.

Walaupun tidak diketahui dengan jelas sebab-sebab tindakan itu diambil, ia dipercayai bagi menyukarkan lagi perjalanan Tun Mahathir untuk menghadiri majlis-majlis yang berkaitan pengumpulan tandatangan Deklarasi Rakyat.

Apa pun sebabnya, penarikan itu tentunya berkaitan dengan pendirian bekas Perdana Menteri itu yang tidak lagi menyokong Najib Razak dan berterusan mendesaknya meletakkan jawatan.

Apa pula selepas ini? Mungkinkah kemudahan lain seperti jet kerajaan juga akan ditarik balik?

Yang jelas, di mata rakyat, tindakan kerajaan itu seperti kebudak-budakkan dan tidak matang. Ia seperti seorang kanak-kanak yang apabila kawan sebelah rumahnya tidak mahu lagi berkawan dengannya, lalu bertindak mengambil balik semua permainan yang selama ini biasa dikongsi bersama.

Selepas jawatan Penasihat Petronas dilucutkan, ini adalah tindakan kebudak-budakan kedua yang diambil Najib terhadap Tun Mahathir.

Tetapi, jika Najib merasakan tindakan menarik khidmat polis pengiring itu akan menyukarkan perjalanan Tun Mahathir dan membuatkannya selalu terperangkap dalam kesesakan jalanraya, simpati dan sokongan yang diterima oleh bekas Perdana Menteri itu mungkin lebih berganda jadinya.

Kecuali penagih dedak yang senantiasa bersetuju, rakyat biasa akan melihatnya suatu layanan melampau kepada seorang negarawan yang banyak berjasa kepada negara.

Bagi seorang bekas Perdana Menteri, khidmat polis pengiring bermotosikal adalah kelayakan yang sepatutnya diterima, malah Tun Abdullah Badawi juga menerima perkhidmatan itu.

Jika khidmat itu ditarik daripada Tun Mahathir yang menentang, apakah ia masih dikekalkan kepada Tun Abdullah yang menyokong Najib?

Kiranya penarikan itu semata-mata kerana mengkritik dan tidak menyokong, tetapi terus dikekalkan kepada Tun Abdullah, ternyata Tun Mahathir jauh lebih berjiwa besar kerana tidak pernah pun mengusik khidmat polis pengiring kepada Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj yang juga tidak menyokong dan selalu mengkritiknya.  (SH 30/04/2016).

Friday, 29 April 2016

NAJIB, PERDANA MENTERI TERHEBAT MALAYSIA YANG MUNGKIN TAK DITEMUI LAGI SELEPAS INI


Tun Mahathir Mohamad selalu dilihat sebagai pemimpin yang hebat kerana aspirasinya membawa pemodenan kepada negara selama 22 tahun berkuasa. Beliau kerapkali disebut sebagai Bapa Pemodenan Malaysia.

Tun Razak Hussein pula dikenali sebagai peneraju pembangunan berikutan dasar-dasarnya yang praktikal untuk semua rakyat dan bermanfaat sehingga ke hari ini, khususnya untuk golongan miskin. Lantaran itu, beliau lebih dikenali dengan Bapa Pembangunan negara.

Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan serta banyak memainkan peranan dalam menyatupadukan rakyat dengan sikap toleransi dan bijaksana dalam memimpin negara. Disebabkan sumbangannya memerdekakan negara, nikmatnya dirasai oleh kita semua sehingga hari ini.

Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Badawi juga tidak kurang pencapaiannya ketika memimpin negara, tetapi harus diakui kedua-duanya sekadar "biasa-biasa" saja pencapaiannya.

Tahun 2016 ini bermakna Najib Razak sudah menjangkau tempoh tujuh tahun sebagai Perdana Menteri. Terbukti hanya dalam tempoh sesingkat tujuh tahun, Najib sebenarnya layak dinobatkan sebagai Perdana Menteri "terhebat" yang kita pernah ada.

Kehebatannya tak terlawan dek semua Perdana Menteri yang sudah dan banyak berjasa kepada kita sebelum ini.

Malah, disebabkan "kehebatannya"  itu, mungkin tidak ditemui lagi sesiapa yang mampu menandinginya. Siapa pun yang menjadi Perdana Menteri selepas ini, hakikatnya teramat sukar untuk melepasi "pencapaian" Najib.

Sumbangan terbesar Najib kepada rakyat ialah memperkenalkan perkataan dan angka bilion kepada rakyat. Sebelum ini ramai yang tidak pernah mendengar, menyebut dan jauh sekali bermimpi untuk memiliki wang berbilion-bilion.

Tetapi dengan terdedahnya mengenai Najib membenarkan wang sebanyak RM2.6 bilion dimasukkan ke akaun peribadinya, ramai yang jadi biasa menyebut perkataan itu, walaupun ramai yang tidak pernah melihat berapa banyaknya  wang 1 juta sekali pun.

Ramai juga yang sebelum ini tidak tahu dengan tepat makna satu bilion. Kebanyakannya menyangka bilion itu hanya ratus juta, tetapi kini semua sedar, termasuk budak-budak sekolah bahawa satu bilion itu ialah seribu juta.

Bermakna Najib telah mencelikkan rakyat dalam satu lagi ilmu kira-kira yang sebelum ini tak berapa diambil peduli oleh rakyat kebanyakan.

Hebatnya Najib juga ialah kerana mampu menjadi "selamba derk" di sebalik semua dakwaan skandal yang dikaitkan dengannya. Muhyiddin sendiri hairan bagaimana Najib boleh begitu "selamba"  seolah-olah tidak melakukan apa-apa kesalahan, sedangkan seluruh dunia memperkatakan tentang wang yang masuk ke akaun peribadinya.

Dalam isu RM2.6 bilion atau RM2,600 juta yang masuk ke akaun perbadinya misalnya, di sebalik majoriti isi dunia meragui wang itu sebagai derma, malah Tun Mahathir secara terbuka mengaitkannya sebagai pencurian wang, Persidangan Anti Rasuah merumuskannya sebagai memenuhi semua syarat untuk rasuah dan Akta SPRM sendiri menyebut menerima derma bagi penjawat awam adalah rasuah, Najib tetap "selamba jerrr"  menghadapinya.

Lebih mengkagumkan, berbanding sebelum timbulnya isu wang tersebut, Najib juga kelihatan lebih kerap memunculkan dirinya dengan  memakai jubah, kopiah putih dan bermesra-mesraan dengan golongan agamawan selepas ia semakin diperkatakan ramai.

Ini merupakan kehebatan yang  luar biasa sebenarnya. Di kampung-kampung dahulu, apabila seseorang itu diperbualkan dengan kegiatan jahat seperti disyaki mencuri dan sebagainya, mereka bukan saja menjauhkan diri dengan masyarakat, selalu hilang daripada kampung, malah tidak mungkin berani singgah ke surau atau masjid untuk bercampur gaul dengan golongan yang semuanya berkopiah putih.

Dengan Najib mampu berbuat sebaliknya, beliau nyata benar-benar "hebat"  dalam hal ini.

Dalam aspek yang lain, dengan terbukti dalam akaun peribadinya pernah berlabuh wang sejumlah RM2,600 juta, kemudian disebut juga oleh media-media antarabangsa sebanyak RM4,200 juta, Najib juga merupakan Perdana Menteri "terkaya" berbanding pendahulu-pendahulu yang pernah menerajui negara ini.

Selain itu, meskipun diri dan keluarganya sering dikaitkan dengan perbelanjaan mega, perhiasan mahal dan percutian mewah, tetapi Najib dan Rosmah Mansor juga selalu mengingatkan rakyat tentang jimat cermat, jangan boros berbelanja dan memberi nasihat agar rakyat "memiliki dua pasang baju sahaja" ketika Hari Raya.

Jika dirangkumkan semua "kehebatan"  itu dengan hutang negara lebih RM800 bilion, jumlah kabinet paling besar, penasihat bertaraf menteri paling ramai, mengambil rakyat asing sebagai penasihat media, perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri juga paling besar dan banyak lagi perkara yang menjadi tatapan kita semua sejak 2009 lalu, ternyata Najiblah yang "terhebat"  sekali antara semua Perdana Menteri kita.

Yang lepas-lepas, daripada Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj hingga Tun Abdullah Badawi telah terbukti tidak mampu menandinginya, di masa depan pula,  sosok "sehebatnya" mungkin tidak akan kita temui lagi. (SH 29/04/2016).

1.5 JUTA BANGLA MASUK SEMULA?

Apa pulak ni?

Apa agaknya pengumuman penting mengenai pekerja asing yang bakal diumumkan oleh Zahid Hamidi tidak lagi?

Tetapi perhatikan antara ayat-ayat Zahid sebagaimana disiarkan oleh Mstar - "Saya amat mengambil berat tentang isu pekerja asing dan saya sedar banyak sektor yang terjejas. Majikan menggesa kerajaan untuk membuka pintu kepada lebih ramai lagi pekerja asing.

"Kerajaan sedang mendengar dan akan ada pengumuman penting mengenai perkara itu dalam masa terdekat ini," katanya lagi.

Rasanya tidak sukar untuk sesiapa pun memahami maksud tersirat di sebalik ayat-ayat yang dilafazkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri itu.
Adakah ini tanda-tanda bahawa kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh yang diumumkan ditangguhkan  oleh Zahid Hamidi sendiri pada 19 Februari lalu akan dibawa masuk semula?

Sekejapnya ditangguhkan? 

Hmmmmm......(SH 29/04/2016).

Thursday, 28 April 2016

SELURUH DUNIA AKHIRNYA TAHU 1MDB MEMANG BERMASALAH

Tahniah Bank Negara dan tahniah juga kepada Zeti Akhtar Aziz yang akan bersara hujung bulan ini atas kegigihan dan kecekalan mempertahankan kebenaran sehingga ke hujung kerjaya.

Atas kesalahan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 kerana melanggar beberapa peraturan dan kaedah, 1MDB akhirnya dikenakan denda oleh bank pusat itu.

Walaupun hanya denda yang tidak disebut jumlahnya, sekurang-kurangnya seluruh dunia tahu bahawa 1MDB memang bermasalah dan gagal mematuhi arahan Bank Negara yang mahu ia membawa pulang yang dikirimkan ke luar negara berjumlah AS$1.83 bilion atau RM7,760 juta.

1MDB diarahkan membawa pulang wang tersebut berikutan pembatalan tiga kelulusan yang diberikan oleh Bank Negara pada tahun 2009, 2010 dan 2011 kepada syarikat pelaburan itu.

Denda itu dikeluarkan bukan saja kerana kegagalan 1MDB membawa pulang wang tersebut sebagaimana yang diarahkan, tetapi juga gagal mengemukakan bukti dan dokumen bagi mewajarkan ketidakupayaan mematuhi arahan tersebut.

Logiknya hanya syarikat yang benar-benar bermasalah saja yang tidak dapat mematuhi arahan Bank Negara itu. Kegagalan mematuhi arahan Bank Negara sehingga dikenakan denda turut menggambarkan kegagalan Najib Razak selaku penandatangan bagi setiap urusan 1MDB.

Soalnya sekarang, walaupun setelah dikenakan denda yang dipersetujui Peguam Negara, rakyat masih ingin tahu mengapa wang itu gagal dibawa balik?

Bila ia akan dibawa balik?

Yang terpenting - masih ada lagikah wang yang diarahkan untuk dibawa balik itu? (SH 28/04/2016).

RM14,000 JUTA HILANG, CUKUPKAH DENGAN MENGATAKAN IA MASALAH DALAMAN? LAPOR POLIS TIDAK, SAMAN JUGA TIDAK?

Jika ada anugerah, pasti 1MDB layak menerima penghormatan sebagai syarikat paling budiman di dunia ketika ini berikutan sikapnya yang dianggap paling lunak walaupun sudah disahkan wangnya berjumlah RM14,000 juta hilang entah ke mana.

Kalau orang lain, jangankan RM14,000 juta, malah hilang RM14 pun bisingnya boleh riuh sekeliling kampung.

Dalam laporannya kepada Bursa Saham London sebelum ini, IPIC telah mengesahkan bahawa Aabar Investment PJS Ltd (didaftarkan di British Virgin Island) yang menerima wang RM14,000 juta atau AS$3.51 bilion daripada 1MDB sebagai jaminan bon tidak ada kena mengena dengannya, walaupun namanya hampir sama dengan syarikat milik mereka yang sebenar iaitu Aabar Investmet PJS yang didaftarkan di Abu Dhabi.

Berikutan pengakuan IPIC itu, Arul Kanda, CEO 1MDB tidak menolak kemungkinan penipuan besar-besaran itu mendapat kerjasama daripada orang dalam 1MDB sendiri.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam pula, Arul Kanda berkata, oleh kerana pihaknya berurusan dengan eksekutif kanan IPIC dan Aabar Investment PJS mengenai wang itu, maka ia adalah isu dalaman untuk diselesaikan oleh firma Abu Dhabi itu.

Hairan bin ajaib, jika benar 1MDB berurusan dengan eksekutif kanan firma Abu Dhabi itu dan mereka pula sudah mengesahkan kepada Bursa Saham London tidak pernah menerima wang tersebut, mengapa tindakan undang-undang tidak dimulakan?

Mengapa hanya mengatakan ia masalah dalaman IPIC dan Aabar Investment PJS sedangkan yang hilang RM14,000 juta adalah 1MDB?

Selain itu, jika benar sepertimana yang dinyatakan Arul bahawa ada penglibatan orang dalam dan ia pula disertakan dengan pengesahan firma Abu Dhabi itu bahawa mereka tidak pernah menerima wang RM14,000 juta tersebut, kenapa 1MDB tidak membuat laporan polis mengenainya?

Dalam hal ini, bukan saja CEO 1MDB yang harus diberikan sanjungan, malah Pengerusi Lembaga Penasihat merangkap Perdana Menteri, Najib Razak yang tandatangannya wajib diturunkan bagi sebarang urusan, wajib diberikan segunung puji-pujian.

Lihatlah, sementara Arul Kanda mengatakan ia hanya sebagai masalah dalaman untuk diselesaikan oleh IPIC dan Aabar Invstment PJS, jauh sekali untuk mengambil tindakan saman atau membuat laporan polis, Najib pula relaks saja seolah-olah tiada apa yang harus dibimbangkan dengan hilangnya wang sebanyak RM14,000 juta itu.

Memang hebat kedua-dua mereka ini!! 

Hanya "manusia-manusia terpilih" saja yang mampu  berkelakuan seperti Najib dan Arul ini.

Atau mereka jadi tak kisah dan relaks kerana  wang itu sebenarnya ialah wang kita semua? (SH 28/04/2016).

Wednesday, 27 April 2016

"ORANG INI" YANG SEPATUTNYA JADI PRESIDEN PAS

Berikut ialah kenyataan media Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung kemelut 1MDB yang semakin hari semakin menampakkan memang wujud "kong kali kong" dalam syarikat pelaburan tersebut.

Pastinya Pas akan lebih dihormati dan disanjung tinggi jika "orang ini" yang menjadi Presiden parti Islam itu.

1MDB diisytiharkan ingkar selepas gagal membayar faedah AS$50.3 juta untuk bon berbilion-bilion dolar ang dijamin oleh International Petroleum Investment Corporation (IPIC) – tiada sebarang komen daripada Menteri Kewangan Malaysia yang juga Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak.

Sebuah akhbar Singapura menyatakan bahawa Presiden and Ketua Eksekutif 1MDB Arul Kanda telah memaklumkan kepada PM bahawa kerajaan terdedah kepada hutang lebih AS$6.481 bilion" kepada Abu Dhabi – Menteri Kewangan Malaysia tetap membisu.

Apakah impak keingkaran ini kepada negara, hutang-hutang negara yang lain dan juga nilai Ringgit dalam jangka panjang dan pendek? – Sunyi sepi daripada Menteri Kewangan.

Arul sebelum ini berkata perjanjian penyelesaian hutang 1MDB dengan International Petroleum Investment Co (IPIC) akan melihat pengurangan hutang syarikat sehingga RM16 bilion. Apakah persengketaan antara 1MDB dan IPIC telah menggagalkan pelan rasionalisi yang dipelopori Arul?

Jadi berapakah hutang 1MDB setelah IPIC tidak mahu meneruskan perjanjian itu? Siapakah dan apakah harta 1MDB (apakah Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange) tanah emas milik negara akan dicairkan untuk membayar hutang 1MDB? Siapa yang akan bertanggungjawab? – Menteri Kewangan tidak mengendah.

Yang diwar-warkan hanyalah “kejayaan” Program Transformasi Negara (NTP) yang kesannya tidak dapat dirasai rakyat selain kos sara hidup yang semakin meningkat.

Ini bukti Malaysia mempunyai Menteri Kewangan yang “terhebat.” Sudah sampai masanya rakyat bertanya apakah perlu rakyat terus membayar gaji kepada Menteri Kewangan “terhebat” ini?

Apakah PAC perlu memanggil semula Arul bagi mengetahui pelbagai hutang  1MDB yang masih gagal didedahkan.  Berapakah jumlah sebenar hutang 1MDB?

Kepada saudara Arul, dedahkanlah semua sebelum terlambat. Ini adalah jasa terbesar saudara kepada rakyat Malaysia.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
27 April 2016


Di bawah ini pula kenyataan media oleh Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Pas Pokok Sena yang diberikan surat tunjuk sebab kerana terlibat dalam Gerakan Selamatkan Malaysia.

Apakah menyelamatkan negara dan menentang kemungkaran sudah menjadi suatu "dosa" dalam Pas?


GOOD MORNING DATUK SERI NAJIB:AWAT TAK BAYAQ HUTANG AS50.3 JUTA DATUK SERI?. ADOI!.MALU HABIH 1MALAYSIA.

1.Good Morning Datuk Seri.Ish awat yang Datuk Seri tak bayaq hutang tu?.Malu kami jadi rakyat Malaysia ni bila diistihar 1MDB yang Datuk Seri berkuasa penuh tiba tiba tak bayaq hutang malu besaq kami.

2.Awat Datuk Seri buat lagu tu.Tak bayaq pasai apa?.tak dak duit ka?.SENGKEK sangat ka?.Awat Datuk seri ni Orang dah tak percaya ka nak berghutang (berhutang) bayaq hutang?.Ni kan dah susah orang istihar Datuk Seri ketegaq (degil) dan engkaq (ingkar).

MACAM MANA LAPAIH NI KEPERCAYAAN OGHANG PADA MALAYSIA?.

3.Bila Datuk Seri lari dan liat nak bayaq hutang macam mana pulak lepaih ni tahap kepercayaan (credit rating) oghang yang duk bagi hutang kepada Malaysia,depa percaya lagi ka.Saya ni oghang kampung Pokok Sena saja tapi gheti juga sikit sikit bab ni.Bila Datuk Seri buat peghangai dalam kes bayaq hutang,dia akan bagi kesan menyebabkan Credit Rating Malaysia jatuh.Bila credit rating jatuh dia akan bagi kesan besaq kepada sistem kewangan dan ekonomi Malaysia.Cheti dan Along kat Malaysia pun tak percaya dah.Kalau depa bagi hutang pun kadar faedah yang tinggi.Takkan lepaih ni Datuk Seri pakai bergantung pada meniaga bulu ketiak dengan sigheh saja kut.

4.Ghimaih betoi kami kut kampung.Sughuh (suruh) Datuk seri beghundoq (berundur) dari PM tak mau.Bila Datuk Seri duk betunggoi jadi PM dengan kami kami tanggung hutang kelilin pinggang bila mai bab nak bayaq Datuk Seri laghi (lari) ikut pintu belakang,dah jadi macam lagu M.Daud Kilau "HUTANG MINTA HUTANG".

5.Macam ni lah Datuk Seri,baik Datuk Seri beghenti lah dari jadi PM.Duk tang tu lagi bukan ada faedah apa pun pada negara dan rakyat.Jangan duk buat peghangai macam DAUN PISANG KEGHIN  ghentap pun tak putuih.Jangan ketegaq sangat.

#UndurNajib
#ReformNegara
#SelamatkanMalaysia.

DATO'HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
 27 Apr 2016

Berdasarkan kedua-dua kenyataan media ini, sediakah ahli-ahli Pas membuka mata dan membawa  segera parti itu kembali ke jalan yang mampu menjadikannya lebih dihormati dan disanjung tinggi? (SH 27/04/2016).

SELEPAS KEMELUT TERENGGANU, DEKLARASI RAKYAT SEMAKIN MENAKUTKAN NAJIB


Tidak dipastikan dengan tepat berapa ramai yang sudah menantangani Deklarasi Rakyat, mungkin hanya antara 300 ribu hingga 400 ribu sekarang ini. Dikhabarkan ia  belum lagi mencecah kepada angka 500 ribu dan masih jauh daripada matlamat 1 juta tandatangan yang disasarkan.

Sama ada dapat mencapai sejumlah 1 juta tandatangan atau sebaliknya, yang pasti deklarasi itu tetap akan dihantar kepada Raja-Raja Melayu sebelum Majlis Raja-Raja bermesyuat yang dijadualkan pada 17 - 19 Mei nanti.

Bagaimana respon Majlis Raja-Raja terhadap sejuta tandatangan yang menolak Najib Razak itu masih sukar dijangka - berdiam diri, menolaknya, sekadar mengambil maklum atau akan bertindak seperti ketika penubuhan Malayan Union dahulu?

Sementara Najib tentunya mengharapkan deklarasi itu tidak memberi sebarang kesan kepada Majlis Raja-Raja, Tun Mahathir pula berulangkali menyebut mengenai sejarah bagaimana Malayan Union tidak menjadi kenyataan berikutan suara rakyat didengari oleh Raja-Raja yang akhirnya membawa rahmat berpanjangan kepada negara sehingga kini.

Apa pun tindakan dan keputusan Raja-Raja berkenaan Deklarasi Rakyat itu, sekurang-kurangnya Raja-Raja tahu bahawa rakyat tidak gembira dengan kepimpinan Najib, khususnya berkaitan 1MDB yang mula terdedah tembelangnya serta dana yang menurut media antarabangsa berjumlah RM4,200 juta keseluruhannya yang masuk ke dalam akaun peribadinya.

Di sinilah pentingnya deklarasi itu, bukan setakat 1 juta tandatangan, malah lebih baik jika dapat 2 juta, 3 juta atau lebih lagi yang menandatanganinya.
Meskipun demikian, Najib nampaknya sudah mula bimbang dengan kesan Deklarasi Rakyat itu sehinggakan ketika membentangkan Laporan Tahunan Transformasi Nasional malam tadi pun beliau mengambil kesempatan untuk mengatakan bahawa mengadakan sebarang deklarasi dan mengumpul referendum adalah salah di sisi undang-undang.

Dalam hal ini, bolehkah Najib menyebut di mana salah dan melanggar undang-undangnya deklarasi itu?

Lipatan sejarah telah memperlihatkan bahawa demokrasi dan menukar pemimpin bukan saja ketika pilihanraya atau pemilihan parti, malah kerap dilakukan di waktu-waktu yang lain selain itu.

Jika menjatuhkan pemimpin adalah salah dan melanggar undang-undang, mengapa ketika Tun Abdullah Badawi mahu dijatuhkan dahulu, tidak terbit sepatah kata menyanggah daripada mulut Najib?

Apakah menjatuhkan pemimpin hanya salah jika terkena kepada dirinya, tetapi berdiam diri atau dibenarkan kalau membawa keuntungan kepadanya?

Apa yang menyebabkan Najib tiba-tiba begitu bimbang dengan Deklarasi Rakyat dan menyifatkannya salah di sisi undang-undang?

Jika beliau seorang pemimpin yang betul, suci hati, amanah, tidak khianat dan tidak melakukan apa-apa kesalahan, apa yang perlu dibimbangkan dengan sebarang usaha mahu menjatuhkannya?

Bukankah selalu disebut bahawa kebenaran akan menang bila bertemu dengan kebatilan?

Kenapa begitu bimbang jika berada di pihak yang benar?

Apakah jauh di sudut hatinya, Najib sebenarnya berasa beliau di pihak yang salah?

Selain itu, apakah kebimbangan Najib  ada kaitan dengan tindakan Sultan Terengganu menarik balik semua gelaran daripada Ahmad Razif Abdul Rahman yang hampir pasti membuatkan Menteri Besar itu melepaskan jawatannya?

Tidakkah 1MDB berasal daripada TIA di Terengganu yang mana telaga minyak di negeri itu pernah cuba digadai sebelum ini? 

Tidak mustahilkah tindakan Sultan Terengganu itu bukan semata-mata kerana sebaris ayat dalam ucapan Ahmad Razif, tetapi turut melibatkan perkara-perkara lain sama?

Mungkinkah dengan kemelut yang tiba-tiba berlaku di Terengganu ini menimbulkan rasa bimbang Najib mengenai  masa depannya sendiri? (SH 27/04/2016).

Tuesday, 26 April 2016

MENGAPA UMNO JOHOR, KEDAH LEBIH TERBUKA BERBANDING KELANTAN?


Kenapa UMNO Kelantan tiba-tiba saja mahu mengambil tindakan terhadap dua cawangan dalam Bahagian Machang yang meluluskan usul menolak kepimpinan Najib?

Bukankah dalam amalan demokrasi, menolak dan menyokong pemimpin adalah lumrah dan ia dibenarkan untuk dilakukan oleh sesiapa juga?

Apakah mereka tidak sedar sudah beratus cawangan di Johor dan berpuluh lagi di Kedah telah pun meluluskan usul yang sama?

Mengapa UMNO Kelantan saja yang begitu tertutup dan mahu mengambil tindakan, tidak seperti UMNO Johor dan Kedah yang sangat terbuka mengenainya?

Lagi pula, tidakkah dua cawangan itu meluluskan usul menolak Najib itu dengan cara yang sah iaitu melalui mesyuarat dan ia merupakan hak yang dibenarkan kepada mereka sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan UMNO?

Lebih memalukan, jika dengan karenah dua cawangan saja sudah pun melatah, bagaimana mahu menang pilihanraya dan merampas kembali negeri Kelantan? (SH 26/04/2016).

SEMASA MENGHADAP SULTAN TERENGGANU, SUDIKAH NAJIB MENCALONKAN AHMAD SAID SEMULA?

Hanya beberapa jam setelah Perdana Menteri, Najib Razak bercakap dengan media di Sarawak bahawa beliau akan menghadap Sultan Terengganu berhubung kemelut politik di negeri itu, pihak Istana Terengganu telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perlucutan semua gelaran yang telah dikurniakan kepada Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Sultan Terengganu setelah berunding dengan Dewan Pangkuan Diraja Negeri Terengganu, telah melucutkan semua Darjah-Darjah Kebesaran Negeri daripada Ahmad Razif berkuatkuasa 22 April 2016.

Jika sebelum ini isu perlucutan gelaran "Datuk Seri"  daripada Ahmad Razif oleh Sultan Terengganu hanya bersifat spekulasi, ia kini dengan sendirinya menjadi sesuatu yang sahih dan rasmi.

Apakah maknanya kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Istana hanya tidak berapa lama selepas Najib mengatakan akan menghadap Sultan Terengganu itu?
Ertinya  tidak lain ialah pihak Istana Terengganu tidak berkehendakan lagi dengan Ahmad Razif sebagai Menteri Besar negeri itu.

Mesej tersebut pasti dengan mudah difahami oleh sesiapa pun juga dan Najib tidak harus buat-buat tidak faham dengannya.

Dengan itu, beliau tidak perlu lagi membuang masa cuba mempertahankan kedudukan Ahmad Razif, sebaliknya kunjungan menghadap Sultan Terengganu nanti mestilah terus dengan membawa senarai beberapa nama untuk diperkenankan sebagai Menteri Besar yang baru.

Harap Najib tidak lupa, masukkan sekali nama Ahmad Said, bekas Menteri Besar yang dibuangnya sebelum ini  untuk pertimbangan pihak Istana sama. (SH 26/04/2016).

Monday, 25 April 2016

PRINSIP SAYA TIDAK BERUBAH, KATA TAMRIN GHAFAR

Berdepan kritikan dan syak wasangka pelbagai pihak tentang kemungkinan sudah membuat pusingan U, berpaling tadah dan menerima dedak berikutan secara terbuka meminta maaf kepada Najib Razak di majlis memperingati 10 tahun pemergian Tun Ghafar Baba Ahad lalu, Tamrin berkata, prinsipnya bersama dalam perjuangan untuk menyelamatkan negara ini tidak pernah berubah.

"Itu prinsipnya, malah sebelum program di Melaka itu saya juga sudah memaklumkan kepada Tun Mahathir Mohamad mengenainya dan beliau memahaminya," kata Tamrin lagi.

Sehubungan itu, jelas Tamrin, isu sama ada beliau sudah membuat pusingan U, berpaling tadah atau menerima dedak daripada Najib tidak berbangkit sama sekali.

Sabtu lalu, ketika majlis memperingati 10 tahun pemergian Tun Ghafar Baba di Bukit Peringgit, Melaka yang turut dihadiri oleh Najib, ucapan Tamrin yang meminta maaf kepada Perdana Menteri telah menjadi viral di media sosial dan dalam perbualan umum serta dikaitkan dengan pendirian politiknya.

Tamrin sebelum pilihanraya 2013 lalu telah keluar UMNO dan menyertai Pas. Beliau bagaimanapun kemudiannya meninggalkan Pas dan kekal tidak menyertai mana-mana parti sehingga kini, tetapi kerap muncul bersama Tun Mahathir sejak timbulnya isu 1MDB dan derma RM2,600 juta yang melibatkan Najib.

Menjelaskan tindakannya meminta maaf di majlis yang dihadiri Najib dan sebahagian besar pemimpin UMNO  itu, Tamrin berkata, beliau bukan saja  meminta maaf kepada Najib, tetapi juga kepada semua yang hadir atas kelemahannya sebagai manusia dan jika terdapat sebarang kesalahan yang dilakukannya terhadap mereka.

Menurut beliau, meminta maaf itu hanya menunjukkan sikap merendah dirinya sebagai manusia yang beragama Islam terhadap sesama manusia yang lain.

"Ia tidak lebih daripada itu, lagi pun bukankah saling meminta maaf itu amat digalakkan dalam Islam?

"Selain itu, kita juga tidak tahu bila masanya kita akan dipanggil mengadap Tuhan, maka ada baiknya saya meminta maaf secara terbuka kerana saya juga banyak mengkritik mereka secara terbuka," tambahnya lagi.

Mengenai projek menaiktaraf Memorial Tun Ghafar yang diumumkan oleh Najib ketika majlis tersebut, beliau menjelaskan ia bukanlah perkara baru, malah sudah diluluskan kira-kira sembilan tahun lalu ketika Rais Yatim menjadi Menteri Kebudayaan, Keseniaan dan Pelancongan lagi.
Namun, katanya, projek itu tertangguh sekian lama berikutan difahamkan kerajaan tiada peruntukan kewangan untuk melaksanakannya.

Kata Tamrin, projek menaiktaraf Memorial Tun Ghafar menjadi bangunan dua setengah tingkat adalah di bawah Arkib Negara, sebuah agensi di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan beliau tidak terlibat sedikit pun dengannya.

Jelasnya, beliau menyerahkan sepenuhnya mengenai pembinaan dan apa-apa yang berkaitan dengan memorial itu kepada kerajaan untuk menguruskannya.

"Bagi saya yang penting ialah pembinaan Memorial Tun Ghafar itu menjadi kenyataan kerana ia merupakan sesuatu yang bernilai dari segi sejarah dan juga kepada generasi muda," jelasnya lagi. (SH 25/04/2016).

LETAK JAWATAN SEBAIK-BAIK PILIHAN BAGI MB TERENGGANU

Tanpa diduga dan tidak juga muncul apa-apa tanda sebelumnya, tiba-tiba saja politik Terengganu bergelora dengan Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman dilaporkan bermasalah besar dengan pihak istana sehingga gelaran "Datuk Seri" beliau ditarik serta merta.

Apakah punca masalah itu semata-mata kerana sebaris ayat dalam ucapan Ahmad Razif yang menyentuh Yayasan Mizan yang dikatakan menyinggung Sultan Terengganu sehingga baginda menjadi murka atau sebenarnya ada sebab-sebab lain yang kita tidak ketahui?

Apa pun punca masalahnya, ketegangan itu sudah berlaku dan ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk diselesaikan dalam sekelip mata.

Dalam hal ini apakah penyelesaian terbaik untuk mengelakkan hubungan kerajaan negeri dan UMNO dengan pihak istana terus bertambah buruk?

Meminta semua pihak bertenang atau Ahmad Razif sendiri berdiam diri serta mengelak daripada bersuara bukanlah cara yang betul untuk merungkaikan kekusutan yang berlaku itu.

Malah, lagi beliau berdiam diri dan mengelak bercakap dengan wartawan, lagi banyak spekulasi yang timbul.

Harus diakui bahawa jika Menteri Besar bermasalah dengan pihak istana sehingga ke tahap semua gelaran sudah ditarik balik, itu tandanya ia sudah terlalu serius dan amat menyinggung perasaan Sultan Terengganu.

Sebagai menghormati kedudukan Sultan dan demi kepentingan rakyat Terengganu, jalan terbaik ialah Ahmad Razif perlu berundur dan menulis surat perletakan jawatannya dengan seberapa segera.

Lupakanlah "cakap besarnya" sebelum ini bahawa beliau pantang dicabar dan darah yang mengalir dalam tubuhnya pula keturunan Bugis kerana jika ingin bertahan juga, bermakna yang dilawannya ialah Sultan  sendiri iaitu payung kepada seluruh rakyat Terengganu.

Gunalah sifir macam mana sekali pun, hakikatnya tiada guna  beliau bertahan dan tidak berguna juga untuk sesiapa mempertahankannya lagi di kerusi Menteri Besar itu. (SH 25/04/2016).

Sunday, 24 April 2016

IGP KHALID, BERSUARALAH!!


Selepas pendedahan oleh Sarawak Report mengenai syarikat senjata api yang didakwa milik anak perempuan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar, banyak pihak sudah bersuara tentang perkara itu.
Semalam NGO pemantau jenayah, MyWatch tampil menyuarakan agar SPRM menjalankan siasatan sama ada syarikat tersebut memperolehi sebarang kontrak dengan kerajaan atau sebaliknya.

Jika ada, maka telah berlaku konflik kepentingan, kata Pengerusi MyWatch, Sri Sanjeevan.

Hari ini pula, Perkasa mendesak Khalid sendiri menjelaskan sekiranya syarikat anaknya itu mendapat sebarang manfaat daripada kedudukannya sebagai Ketua Polis Negara.
Pertama, Khalid kena jelaskan syarikat anak dia dapat apa-apa kontrak daripada PDRM atau tidak. Kedua, kita nak tahu jangka masa syarikat itu ditubuhkan, semenjak dia jadi KPN atau sebelumnya, kata Ketua Biro Pemantauan dan Integriti Perkasa, Azrul Akmal Saharudin.

Tetapi, mengapa sehingga ini Khalid masih berdiam diri sedangkan dalam isu-isu lain, beliau begitu pantas memberi reaksinya?

Penjelasan Timbalan Ketua Polis Negara, Noor Rashid Ibrahim dalam isu ini langsung tidak memadai kerana jawapan yang perlu didengari ialah daripada Khalid sendiri.

Bersuaralah Khalid, kalau tidak pun...tulislah sesuatu melalui Twitter!! (SH 24/04/2016).

JIKA NAJIB TIDAK BERUNDUR, GANDINGAN MAHATHIR - ANWAR ADALAH LAWANNYA DALAM PRU 14 NANTI


Setelah sekian lama bermusuhan, secara semangatnya Gerakan Selamatkan Malaysia dan Deklarasi Rakyat yang bertujuan mendesak pengunduran Najib Razak telah mencantumkan semula Tun Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim yang bermusuhan sejak 1998 yang lalu.

Bermula dengan Anwar menyatakan sokongan terbuka kepada usaha yang dilakukan oleh Tun Mahathir mewujudkan Deklarasi Rakyat, sambil mengatakan demi kepentingan negara, beliau sudah pun memaafkan bekas Perdana Menteri itu, ia kini memasuki episod yang lebih jelas apabila Gerakan Selamatkan Malaysia turut diketuai oleh Kamaruddin Jaafar.

Kamaruddin, Ahli Parlimen Tumpat,  memang diketahui umum sebagai orang kepercayaan Anwar sejak dulu. Apabila Anwar dipecat daripada UMNO, beliau memilih menyertai Pas dan dilantik sebagai Setiausaha Agung parti itu. Apabila Pas bermasalah di mana sebahagiannya menubuhkan Amanah, beliau sebaliknya memilih menyertai PKR.

Namun di mana pun Kamaruddin berada, hati dan kesetiaannya tetap pada Anwar. Selain beliau kini menjadi Ketua Sekretariat Gerakan Selamatkan Malaysia, Azmin Ali yang juga merupakan orang kanan Anwar telah bermurah hati menyediakan sebuah pejabat bagi gerakan tersebut.

Difahamkan juga bahawa Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR turut tiada bantahan terhadap perlantikan Kamaruddin itu yang sekaligus memberi gambaran semua elemen yang rapat dengan Anwar sedia untuk bersama Tun Mahathir.

Melalui pimpinan baru Gerakan Selamatkan Malaysia bagi mencapai matlamat awal mengumpul sejuta tandatangan Deklarasi Rakyat dan akan mempunyai pejabat sepenuh masa, Tun Mahathir dilaporkan telah menyatakan persetujuan untuk turun ke negeri-negeri bagi semua program yang akan diatur nanti.
Bermakna, secara tidak langsung sudah wujud kebersamaan nurani antara Tun Mahathir dengan Anwar bagi menumbangkan Najib.

Kebersamaan itu bukan saja untuk mendesak pengunduran Najib dalam tempoh segera, khususnya berkaitan skandal 1MDB dan wang RM2,600 juta, malah jika Perdana Menteri terus berdegil tidak mahu berundur, ia pasti akan berlarutan sehingga kepada pertembungan dalam pilihanraya akan datang.

Maka, PRU 14 akan menyaksikan pertembungan paling sengit bagi UMNO dan BN di mana Tun Mahathir tidak mustahil akan menjadi pencatur utama parti-parti pembangkang, kecuali Pas yang mungkin memilih bertanding secara sendirian.

Penglibatan Tun Mahathir bersama parti-parti pembangkang lebih sukar dielakkan jika bersama kedegilan Najib tidak mahu berundur itu turut disertai dengan tindakan memecat Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal dan Mukhriz Mahathir daripada UMNO. 

Dengan terpecatnya mereka itu, pilihan yang ada bagi ketiga-tiga bekas pemimpin UMNO itu ialah dengan bertanding dalam pilihanraya sama ada sebagai calon Bebas yang disokong oleh Pakatan Harapan atau menggunakan simbol salah satu parti dalam gabungan itu.

Melalui Anwar yang akan memberi idea daripada dalam penjara manakala Tun Mahathir bersingsing lengan di pentas-pentas kempen, kemenangan dan kemampuan menubuhkan kerajaan pasti menjadi amat sukar bagi UMNO dan BN.

Gandingan Tun Mahathir dan Anwar yang bakal menjadi mimpi ngeri bagi UMNO dan BN itu hanya dapat dielakkan jika Najib sedia meletakkan jawatannya dengan segera.

Pilihan kini di tangan Najib, bukan di tangan Tun Mahathir atau Anwar. (SH 24/04/2026).

Saturday, 23 April 2016

PEGAWAI NAJIB PUN TAK SABAR NAK DAPAT PM BARU?

Entah ke mana perginya para menteri, pemimpin dan hulubalang UMNO, alih-alih Setiausaha Akhbar Najib Razak sendiri yang ternampak paling ke depan mahukan Tun Mahathir Mohamad menamakan siapa calon PM dan TPM pilihannya bagi menamatkan spekulasi bahawa beliau sedang menyediakan laluan untuk anaknya, Mukhriz bagi jawatan tersebut.

Sedarkah pegawai Najib itu bahawa Mukhriz tidak boleh dinamakan sebagai calon PM atau TPM memandangkan kedudukannya hanya sebagai ADUN saja, bukannya Ahli Parlimen?

Jadi, menamakan sesiapa pun sebagai calon PM dan TPM, Mukhriz tidak mungkin boleh disenaraikan sama sekali dan tidak ada kaitan dengan spekulasi laluan  masa depannya dalam politik negara ini.

Tetapi, jika selepas PRU 14 atau beberapa tahun akan datang tersedia laluan yang selesa untuk Mukhriz, ia tentulah tidak logik dikaitkan dengan siapa calon PM dan TPM yang akan dinamakan oleh Tun Mahathir sekarang ini.

Ketika itu, ia lebih berkaitan dengan sokongan ramai terhadapnya, selain bagaimana usaha Mukhriz sendiri melonjakkan dirinya.

Menggunakan hujah Mukhriz bertanding jawatan Naib Presiden UMNO tidak boleh dijadikan sandaran mutlak bahawa beliau ada cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri.

Berapa ramai mereka yang bertanding Naib Presiden UMNO, malah yang menang sekali pun selama ini,  diketahui tidak bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri dan  bukan  juga sebagai "material"  untuk jawatan itu?

Dalam pada itu, kenapa seorang Setiausaha Akhbar yang hanya "makan gaji"  dengan Najib  begitu beria-ia mahu tahu siapa calon PM dan TPM seterusnya?

Jika semua pemimpin yang menandatangani Deklarasi Rakyat, bahkan rakyat yang turut menyokongnya pun boleh bersabar mengenainya kerana keutamaan mereka ialah mahu melihat Najib diundurkan terlebih dahulu, mengapa pegawai Najib sendiri tidak boleh bersabar? 

Apakah beliau sudah tidak sabar untuk mendapat PM dan TPM baru untuk Malaysia?

Jika beliau begitu bersungguh mahu mengetahui siapa bakal PM dan TPM selepas ini, maka beliau semestinya segera bertukar menjadi antara yang bersungguh memastikan Najib letak jawatan dalam waktu terdekat ini.

Jatuh Najib, tahulah kita semua siapa PM dan TPM baru. 

Mudah saja kan!!

Tetapi ia tetap bukan Mukhriz kerana hanya mereka yang setaraf pemikiran dengan Fuad Zarkashi saja boleh terus bermimpi seorang Adun boleh dinamakan sebagai PM atau TPM bagi negara ini. (SH 23/04/2016).

SIAPA LEBIH TAK LAYAK?


Kenapa tiba-tiba Mohd Ali Rustam seolah-olah takut dan bimbang jika Muhyiddin Yassin, Mohd Shafie Afdal dan Mukhriz Mahathir terus bertanding atas tiket UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang?

Mengapa wajar atau tidaknya mereka itu menjadi masalah kepada beliau?

Apa yang merisaukan hatinya?

Jika Muhyiddin, Shafie dan Mukhriz dianggap tidak wajar, adakah Mohd Ali yang kalah di Bukit Katil dalam pilihanraya lalu lebih wajar untuk terus dipilih menggunakan lambang UMNO dan BN dalam pilihanraya seterusnya?

Tidakkah bekas Ketua Menteri Melaka itu sedar, yang lebih menjadi persoalan majoriti rakyat sekarang ialah sama ada UMNO dan BN wajar atau tidak terus diberi kuasa memerintah negara ini? (SH 23/04/2016).

Friday, 22 April 2016

KU LI BAKAL DILANTIK TPM KEDUA?


Selesai Jumaat tadi, selepas menikmati sepinggan nasi beriani, saya terlelap seketika dalam kereta. Walaupun tidur di siang hari, tapi saya tidak bermimpi apa-apa.

Untuk itu, tulisan mengenai Tengku Razaleigh kali ini bukan berdasarkan mimpi sebagaimana yang pernah saya tulis sebelum ini.

Saya terjaga apabila seseorang menelefon dan pantas memberitahu bahawa Ahli Parlimen Gua Musang itu akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Kedua dan Menteri Kewangan tidak lama lagi.

Sebab apa?

Si pemanggil memberikan tiga sebab mengapa perlantikan itu dibuat oleh Najib Razak:-

- sebagai 'hadiah'  kerana sudi menurunkan tandatangan sokongan melalui Deklarasi Kelantan.

- untuk mengukuhkan lagi kedudukan Najib bagi berhadapan dengan Tun Mahathir Mohamad.

- mengimbangi kedudukan Zahid Hamidi yang didakwa sudah mula 'pasang angan-angan'  untuk menjadi Perdana Menteri.

Tapi bukankah Tengku Razaleigh nak jadi Perdana Menteri, bukannya Timbalan Perdana Menteri?

Daripada tak jadi apa-apa, dapat jadi Timbalan Perdana Menteri pun kira okay juga, kata pemanggil tadi penuh yakin.

Hmmmmm....(SH 22/04/2016).

KU LI TETAMU ISTIMEWA PROGRAM NAJIB DI MELAKA ESOK

Esok, 23 April akan berlangsung majlis memperingati Tun Ghafar Baba di Memorial Tun Ghafar Baba, di Bukit Peringgit, Melaka.

Ia adalah sempena 10 tahun pemergian Allahyarham, salah seorang pejuang terbilang UMNO yang sebelum ini pernah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Menteri Melaka.

Perdana Menteri, Najib Razak akan hadir ke majlis tersebut. Difahamkan semua pemimpin tertinggi UMNO juga akan turut hadir di mana majlis memperingati ulang tahun yang dianjurkan oleh Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka itu akan diadakan secara besar-besaran.

Berdasarkan senarai mereka yang bakal memberikan ucapan, selain Najib selaku Presiden UMNO/Perdana Menteri dan Tamrin yang mewakili keluarga Tun Ghafar, satu-satunya pemimpin lain yang akan berucap ialah Tengku Razaleigh Hamzah.

Tun Khalil Yaakob tidak berucap, Ketua Menteri Melaka, Idris Haron juga tidak berucap, tiba-tiba hanya Tengku Razaleigh dijemput menyampaikan ucapannya.

Difahamkan, pihak Jabatan Perdana Menteri sendiri yang mahu Tengku Razaleigh berucap di majlis itu.

Kenapa Tengku Razaleigh?

Adakah ini tanda-tanda sesuatu akan berlaku kepada Tengku Razaleigh tidak berapa lama lagi?

Ehem...ehem....jangan ada yang mula berpeluh dingin dengan berita ini!! (SH 22/04/2016).

Thursday, 21 April 2016

SABOR JELAH....

Ekoran pelbagai isu yang melanda Najib Razak sejak kebelakangan ini, khususnya berkaitan 1MDB dan derma RM2,600 juta, isterinya Rosmah Mansor mengingatkan suaminya bahawa semua itu adalah dugaan Allah dan sentiasalah bersabar dengannya.

"Nasihat saya supaya bersabar banyak-banyak kerana semua ini adalah dugaan Allah. Apa yang mustahak, Allah mengetahui dan memahami perkara yang sebenarnya.

"Apa-apa pun kita harus reda dan berdoa kepada Allah," katanya lagi.

Reda, sabar dan berdoa...

Apabila ditimpa musibah, memang itulah yang selalu kita lakukan dan peringatkan kepada orang lain.

Tetapi, berkaitan masalah yang menimpa Najib ini, sebelum timbulnya isu 1MDB dan wang RM2,600 juta, hal-hal berkaitan Rosmah adalah beban yang selalu menyusahkannya.

Bertahun-tahun lamanya, Rosmah menjadi masalah dan beban kepada Najib dan ia bukan saja diperkatakan di negara kita, malah juga di seluruh dunia.

Berkaitan beg tangan mahal disebabkan Rosmah...

Berkaitan barang kemas mewah disebabkan Rosmah...

Berkaitan pakaian gemerlapan dan berkelip-kelipan disebabkan Rosmah...

Berkaitan berbelanja mewah dan bershopping di sana sini disebabkan Rosmah...

Berkaitan penggunaan jet kerajaan disebabkan Rosmah...

Najib membayar kad kredit berjuta-juta sebagaimana didedahkan media antarabangsa disebabkan Rosmah...

Dan sebenarnya banyak lagi yang menjadi tanggungan Najib adalah disebabkan Rosmah yang melakukannya.

Pendeknya, di mata rakyat, malah ditanggapi oleh ahli UMNO sama, Rosmah adalah sebahagian masalah Najib.

Kalau Dr Zakir Naik atau Tuan Guru Hadi Awang yang meminta Najib bersabar, reda dan banyak-banyak berdoa, mungkin ia tidaklah terlalu menghairankan kita semua.

Namun, hari ini orang yang menimbulkan banyak masalah kepada Najib sendiri memintanya bersabar, reda dan menganggap segala yang berlaku adalah dugaan Allah.

Sabor jelah Najib....(SH 21/04/2016).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...