Saturday, 31 March 2018

JIKA BEGITU, KENAPA UMNO TAK BUAT PROGRAM DENGAN KEHADIRAN 10 ORANG SAJA?

Barangkali kerana terganggu dengan jumlah kehadiran puluhan ribu rakyat dalam program-program Pakatan Harapan yang dihadiri oleh Tun Mahathir Mohamad, terbaru di Kedah dan Perlis sehari dua yang lalu, menteri pengampu, Salleh Said Keruak seolah-olah cuba mententeramkan rasa gundah gulana seluruh pimpinan UMNO, khususnya Najib Razak dengan mengatakan ramainya  yang hadir itu tidak menjamin undi yang banyak ketika PRU 14 nanti.


Katanya, jumlah besar yang hadir dalam ceramah Pakatan Harapan tidak bermakna mereka juga akan memperolehi undi yang banyak.


"Masalah dengan pembangkang ialah mereka selalu mengambil kira jumlah yang hadir dalam ceramah sebagai suatu bentuk undi, sedangkan perkara itu belum menjadi kenyataan lagi," kata Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia.


Memang tidak siapa menafikan bahawa kehadiran dalam ceramah bukan jaminan undi yang banyak, tetapi oleh kerana politik adalah perebutan berkaitan nombor, maka jumlah kehadiran dalam sesuatu program atau majlis adalah amat penting sekali.


Ia setidak-tidaknya memberi gambaran program atau majlis yang diadakan itu telah mendapat sambutan ramai. 


Dengan hangatnya sambutan yang diterima, ia bukan saja dapat menaikkan semangat penganjur serta penceramah, bahkan mendorong mereka yang lain untuk turut hadir dalam program atau majlis yang akan diadakan selepas itu.


Dengan yang demikian, program-program yang diadakan akan sentiasa mendapat sambutan, sekaligus menyebabkan lebih ramai rakyat atau pengundi dapat mendengar penerangan berkaitan masalah negara, skandal pemimpin dan sebagainya.


UMNO sendiri pun sebenarnya begitu mementingkan jumlah yang ramai dalam program-program yang diadakannya, terutama jika melibatkan kehadiran Perdana Menteri.


Untuk itu, adalah perkara biasa - dulu, kini dan selamanya - bagi UMNO membayar upah, menyediakan bas, memberi duit tambang dan elaun makan untuk memastikan kehadiran yang ramai dalam program-program anjurannya.


Tidak cukup dengan itu, kadangkala pelajar sekolah, penuntut universiti, pegawai kerajaan, guru-guru dan peneroka Felda turut dikerah hadir semata-mata untuk mencipta berita palsu kononnya program yang diadakan itu  mendapat sambutan ramai dan pemimpin yang berucap begitu digila-gilakan oleh rakyat.


Oleh kerana Salleh Said Keruak sudah pandai memperlekeh kehadiran yang ramai dengan mengatakan ia tidak menggambarkan undi yang banyak, maka UMNO wajib berani berubah mulai sekarang.


Usah lagi menyediakan bas, membayar upah kehadiran, memberi elaun makan, duit poket dan sebagainya dalam mana-mana program UMNO, terutama yang dihadiri oleh Najib.


Biarkan saja mereka yang mahu hadir datang secara ikhlas dan sukarela serta tanpa paksaan.


Jika dengan kehadiran yang sedikit pun, seperti kata Salleh, UMNO masih boleh menang sebagaimana beberapa contoh yang ditampilkannya, buat apa membazir wang dan tenaga memaksa kehadiran yang ramai?


Cuba dalam dua atau tiga program yang dihadiri Najib selepas ini, biarkan misalnya hanya 10 atau 100 orang saja yang hadir memeriahkannya, kemudian kita sama-sama lihat, adakah terjamin BN mampu menang dengan keadaan itu dalam PRU 14 akan datang?  (ShahbudinHusin 31/03/2018)

ADIK TAK SOKONG, ANAK SENDIRI MENJAUHKAN DIRI...


Ketika seseorang sedang berjuang, sokongan ahli keluarga terdekat seperti isteri atau suami, adik-beradik dan anak-anak biasanya adalah amat penting sekali.

Ia adalah sokongan moral terbaik dan mampu menambahkan lagi keyakinan ke arah menggapai kemenangan yang diidam-idamkan.

Najib Razak yang PRU 14 ini merupakan hidup matinya kariernya, tentunya juga tidak terkecuali daripada perkara  itu.

Meskipun beliau masih mendapat sokongan dan dokongan daripada isterinya, Rosmah Mansor untuk terus mempertahankan kedudukannya, tetapi semakin hampir hari perhitungan dalam perjuangannya, Najib ternampak mulai hilang sokongan daripada ahli keluarga terdekatnya yang lain.
Sebagaimana yang kita tahu dan sedar, undang-undang berita palsu yang mahu diperkenalkan oleh Najib adalah untuk memberi kelebihan kepadanya untuk memenangi PRU 14 akan datang ini.

Salah seorang adik Najib, Nazir Razak nyata tidak setuju dengan undang-undang tersebut dan meminta ditangguhkan terlebih dahulu.

"Ini tentang hak asasi kebebasan bersuara bagi setiap individu dan memupuk perasaan takut dengan hukuman drakonian berdasarkan istilah tidak jelas yang hanya akan merencatkan masyarakat kita," ujar beliau.

Pendirian beliau nampak senada dengan majoriti rakyat yang melihat undang-undang tersebut hanyalah untuk kegunaan politik dan perkakas Najib, UMNO dan BN dalam menyekat kebebasan serta menghalang salah laku mereka daripada didedahkan.

Beberapa jam kemudian selepas Nazir meluahkan pandangannya itu, anak Najib sendiri, Nazifuddin pula mengumumkan pengundurannya daripada politik buat sementara waktu.

Beliau berkata, keputusannya itu adalah sehingga sampai masanya nanti beliau akan kembali semua aktif dalam UMNO.

Walaupun beliau difahamkan hanya merupakan Ketua Pemuda UMNO cawangan di sebuah bahagian saja, keputusan Nazifuddin untuk mengundurkan diri di ketika bapanya sedang menjadi Presiden UMNO dan akan kembali aktif semula di waktu yang lain, mungkin setelah orang lain menerajui UMNO, ia adalah gambaran ketidakyakinan atau betapa susahnya berada dalam UMNO yang sedang dipimpin oleh Najib sekarang ini.
Jika tidak mengalami kesukaran menjadi seorang anak kepada bapa yang namanya selalu dipertikai dan dijaja buruk di seluruh dunia dan beliau sendiri ternampak tidak upaya untuk memberi jawapan atau penjelasan, maka sudah tentu kekal aktif dalam UMNO adalah pilihan yang lebih baik bagi Nazifuddin.

Dalam hal ini, ternyata beban politik dan salah laku Najib amat besar sehingga anaknya sendiri sudah tidak tertanggung lagi dan mahu menjauhkan diri daripada terkena tempiasnya.

Jika sudah adik sendiri tidak setuju dan anak kandung, walaupun daripada isteri  terdahulu, mulai mahu menjauhkan diri, maka apakah faedahnya lagi bagi pengundi mahu terus mengekalkan Najib dalam PRU 14 ini?

Terima kasih Nazir dan Nazifuddin kerana memudahkan lagi pengundi membuat pilihan.  (ShahbudinHusin 31/03/2018)

Friday, 30 March 2018

UMUR PANJANG TAPI MENENTANG KEMUNGKARAN LEBIH BAIK DARIPADA UMUR TAK BERAPA PANJANG, NAMUN SERONOK DENGAN KESILAPAN

Bagaimanakah Zahid Hamidi boleh tahu atau mengagak panjangnya umur Tun Mahathir Mohamad yang dianugerahkan Tuhan kepada bekas Perdana Menteri itu semata-mata untuk melihat kesilapannya sendiri?

Adakah ia berdasarkan ilmu agama yang ada dalam dadanya atau kerana sentimen politik untuk membela Najib Razak semata-mata?

Apa pula salah dan silap Tun Mahathir selama menjadi Perdana Menteri?

Bolehkah Zahid Hamidi menyenaraikannya?

Lagi pula, jika benar panjangnya usia Tun Mahathir ialah semata-mata untuk beliau melihat kesilapannya, mengapa sekarang ini beliau tidak bersama-sama dengan lebih banyak kesilapan yang sedang dilakukan Najib?

Bagaimanakah Tun Mahathir yang didakwa Zahid Hamidi sedang melihat kesilapan masa lalunya boleh menjauhkan diri, malah menentang kesilapan-kesilapan yang telah dan sedang dilakukan Najib?

Bukankah jika Tun Mahathir ada kesilapan masa lalu, beliau sepatutnya lebih atau terus menyokong Najib agar kesilapan lamanya tenggelam dengan sendirinya?

Bagaimana jika rahsia Tuhan memanjangkan usia Tun Mahathir sehingga ke angka 93 dan terus gigih berjuang sehingga sekarang ialah agar beliau dapat membetulkan kesilapan dan kerosakan yang dilakukan oleh Najib selama ini?

Orang tua-tua selalu menyebut,  yang penting dalam hidup ini bukan permulaan hidup, tetapi bagaimana pengakhiran dalam kehidupan.

Dalam hal ini, Tun Mahathir yang dipanjangkan umurnya oleh Tuhan tetapi memilih untuk menentang kesilapan Najib di penghujung kehidupannya tentulah jauh lebih baik daripada mereka yang tidak berapa panjang usianya, namun tetap gembira bergelumang dengan kesilapan yang semakin parah serta tidak ternampak tanda-tanda penyesalan.

Bilakah pula orang seperti itu mahu menyedari kesilapan dan  kesalahannya atau mereka lebih rela berada dalam "kesesatan" sehingga ke penghujung usia?

Apa pun, kesediaan Tun Mahathir menyingsing lengan untuk membetulkan kesilapan Najib dalam usianya sekarang nyata lebih baik berbanding jika beliau tidak berbuat apa-apa atau kalau terus bersama dengan kesalahan yang makin parah adanya sekarang ini.

Untuk itu, semoga perjuangan Tun Mahathir sentiasa diberkati Tuhan dan beroleh kejayaan akhirnya. (ShahbudinHusin 30/03/2018)

RAKYAT SEDANG DIASAK KE DINDING UNTUK AKUR DENGAN KEMENANGAN NAJIB DAN BN....


Hakikat bahawa persempadanan baru kawasan pilihanraya dan akta berita palsu adalah senjata baru bagi Najib Razak untuk memastikan kemenangan BN dalam pilihanraya akan datang semakin tidak dapat disangkal lagi.


Kedua-duanya terus diusulkan di Parlimen, meskipun bantahan kelihatan nyata dan memuncak di mana-mana.


Usul persempadanan baru kawasan pilihanraya hanya dibahaskan dalam tempoh kira-kira 4 jam sebelum diluluskan di mana 5 Ahli Parlimen pembangkang sekadar diberi masa selama 10 minit untuk berhujah dan membahaskannya.


Ini mungkin merupakan rang undang-undang paling pantas sekali pernah diluluskan oleh Parlimen.


Ia berbeza dengan rang undang-undang lain, malah keistimewaannya melebihi RUU 355 untuk memperkasa Mahkamah Syariah yang telah tertangguh sejak beberapa sessi Parlimen yang lalu.


Dalam hal ini, di manakah sebenarnya perjuangan mahu meningkatkan martabat Islam di mata pemimpin UMNO dan BN?


Bahkan hakikat ini semakin mengesahkan bahawa RUU 355 itu tidak lebih hanya untuk membuai perasaan pemimpin-pemimpin Pas untuk terus mendekat dan berbaik-baik dengan UMNO bagi kepentingan kuasa Najib yang semakin longgar dan hampir terkulai.


Begitu juga dengan akta berita palsu, setelah bacaan kali kedua dilakukan semalam, sudah pasti ia akan diluluskan pada minggu depan apabila sidang Parlimen disambung pada Isnin.


Kedua-dua rang undang-undang ini sengaja dibentang dan diluluskan untuk kepentingan Najib, UMNO dan BN mengekalkan kuasanya.


Pada kebiasaannya, persempadanan baru kawasan pilihanraya diadakan setiap 10 tahun sekali. Kali terakhir persempadanan baru diadakan ialah pada 2003.


Meskipun BN tidak mempunyai majoriti dua pertiga sejak 2008 untuk membolehkannya menambah kawasan-kawasan pilihanraya baru, lakaran baru kawasan-kawasan pilihanraya ini sepatutnya diadakan sebelum PRU 2013 lalu iaitu 10 tahun selepas kali terakhir ia dilakukan pada 2003.


Kenapakah  SPR tidak melakukannya sebelum PRU 2013 yang lalu?


Kenapa hanya menjelang PRU 14 di mana sokongan rakyat terhadap Najib begitu merosot dan beliau sendiri terpalit dengan skandal mega 1MDB, maka baru lakaran baru kawasan pilihanraya mahu dilakukan?


Hal yang sama juga berkaitan akta berita palsu, kenapa hanya setelah Najib, UMNO dan BN terlihat kalah dalam perang media sosial dan rakyat semakin berani menunjuklan ketidakpuasan hati terhadap kepimpinannya, barulah akta berita palsu mahu diwujudkan?


Apakah tidak cukup lagi undang-undang jenayah, akta hasutan serta akta komunikasi dan multimedia untuk membendung berita-berita yang dianggap palsu itu?


Selepas akta berita palsu dikuatkuasakan nanti, siapakah yang mahu menangkap dan mendakwa Najib jika dalam ucapan dalam kempen-kempen pilihanrayanya, beliau terus menyatakan kepalsuan seperti Pakatan Harapan dikuasai DAP, perjuangan Tun Mahathir ialah untuk menaikkan anaknya Mukhriz sebagai Perdana Menteri dan segala bantuan kerajaan akan dihentikan apabila gabungan pembangkang mengambil alih pentadbiran negara?


Ternyata akta berita palsu ini adalah untuk kegunaan sewaktu kempen pilihanraya dengan kerajaan yang masih dikuasai BN, ia dengan mudah akan mengkategorikan semua berita yang tidak memihak kepada BN sebagai berita palsu yang membolehkan penyebarnya dihukum sehingga penjara 6 tahun dan denda RM500 ribu.


Secara tersirat dan nyata, akta ini adalah untuk menakut-nakutkan rakyat dan menghalang mereka daripada mendedahkan keburukan pemimpin UMNO dan BN, meskipun hakikatnya skandal sedang berselirat di merata-rata.


Bersama lakaran baru kawasan pilihanraya dan akta berita palsu ini, kedua-duanya adalah bertujuan mengasak rakyat hingga ke dinding dan akhirnya akur dengan kemenangan Najib, UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang.  


Melalui persempadanan baru yang tidak adil, rakyat dipaksa akur dengan kemenangan BN, meskipun sokongan undi popular yang diraih hanya serendah 40 peratus saja, manakala melalui akta berita palsu, keakuran itu cuba dijelmalkan melalui ketakutan terhadap rakyat untuk membayar denda tinggi dan mungkin mengalami kehidupan di penjara.


Itulah tujuan sebenarnya, bahawa tanpa sokongan majoriti atau dalam keadaan rakyat tidak puas hati terhadap sekian banyak skandal sekali pun, kemenangan tetap berpihak kepada BN.


Lalu, di manakah letaknya maruah Najib, UMNO dan BN dengan kemenangan yang mahu dicapai dengan cara begitu? (ShahbudinHusin 30/03/2018).

Thursday, 29 March 2018

INVOKE PATUHI SEMUA DAN PERATURAN DAN UNDANG2 - RAFIZI


CUBAAN MELUMPUHKAN OPERASI INVOKE, MENAKUTKAN SUKARELAWAN DAN FITNAH JAHAT NAIB KETUA PEMUDA UMNO DAN TV3

Selasa lalu (27 Mac 2018), Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun semasa berucap di Dewan Negara telah membuat beberapa fitnah jahat terhadap operasi INVOKE, seperti berikut:

1. INVOKE telah melanggar undang-undang kerana menelefon orang ramai untuk membuat kaji selidik

2. INVOKE menerima dana asing untuk meracun pemikiran rakyat Malaysia

3. INVOKE ada hubungan dengan pemimpin Israel melalui badan-badan yang memberi bantuan kewangan kepadanya

Sebahagian ucapan itu telah dijadikan bahan berita oleh TV3 dan disiarkan di dalam berita-berita rangkaian Media Prima, selain dimuatnaik di laman Facebook TV3 sebagai buletin berita, seperti berikut:

https://www.facebook.com/BeritaTV3/videos/2140553322626504/

Ucapan Khairul Azwan Harun itu turut dilaporkan oleh Bernama dan disiarkan di laman-laman berita, seperti laporan Malaysiakini: https://www.malaysiakini.com/news/417380

Semalam (Rabu, 28 Mac 2018), Pemuda Umno telah membuat laporan polis dan kepada pihak berkuasa berkenaan agar INVOKE disiasat, berdasarkan ucapan yang dibuat oleh Khairul Azwan Harun (rujuk laporan Utusan mengenai laporan polis Pemuda Umno: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/invoke-malaysia-ceroboh-data-peribadi-17-juta-rakyat-malaysia-1.636819)

Berikut adalah maklum balas INVOKE mengenai tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh Naib Ketua Pemuda Umno itu dan laporan-laporan media perdana yang dikawal Umno/Barisan Nasional:

i. INVOKE tidak pernah menerima satu sen pun dari mana-mana badan baik dari dalam dan luar negara. INVOKE dibiayai sepenuhnya oleh ribuan rakyat Malaysia yang melanggan khidmat kami atau membeli tiket-tiket/barang kempen yang dijual untuk membiayai operasi INVOKE

ii. INVOKE telah pun menyiarkan secara terperinci senarai pelanggan dan pembeli yang telah menyumbang kepada INVOKE, yang secara jelas menunjukkan ribuan rakyat Malaysia yang membiayai operasi INVOKE

iii. INVOKE telah mematuhi segala peraturan dan undang-undang berhubung operasi kami, seperti mana yang juga diamalkan oleh badan-badan kaji selidik yang lain di Malaysia seperti Merdeka Centre, Centre for Strategic Engagement (CENSE yang diketuai Rita Sim) dan lain-lain

iv. INVOKE tidak pernah ada sebarang hubungan dengan mana-mana pihak yang ada hubungan dengan rejim Israel, seperti yang didakwa oleh Khairul Azwan Harun

Saya mencabar Khairul Azwan Harun mengulangi tuduhannya di luar Dewan Negara supaya saya boleh mengambil tindakan saman terhadap beliau dengan segera. 

Sebelum ini, beliau telah pun kalah di mahkamah berkenaan isu pembabitan Pemuda Umno di dalam skandal pembelian hartanah MARA di Australia, apabila mahkamah mengiyakan kenyataan saya yang menunjukkan perkaitan di antara pemimpin Pemuda Umno dengan individu yang terbabit di dalam skandal tersebut. Salah seorang dari individu itu menjadi pemegang saham yang besar di dalam syarikat yang diketuai Khairul Azwan sendiri. 

Oleh kerana beliau hanya berani berucap di bawah perlindungan Dewan Negara, saya telah meminta pasukan peguam saya meneliti ruang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau.

Saya juga telah mengarahkan pasukan peguam untuk mengkaji mengambil tindakan undang-undang terhadap TV3 yang secara jelas telah memfitnah INVOKE dengan membuat laporan palsu kononnya ia dibiayai badan asing.

Saya percaya serangan ke atas INVOKE adalah satu rancangan tersusun menjelang pilihanraya bertujuan untuk melumpuhkan operasi kami.

Jika INVOKE dituduh melanggar undang-undang kerana menjalankan kaji selidik, bagaimana pula ratusan kaji selidik yang dilakukan oleh Umno untuk mengukur tahap sokongan ke atas calon-calonnya? Saya dimaklumkan sendiri oleh beberapa orang Ahli Parlimen Umno mengenai kaedah yang digunakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak yang menggunakan kaji selidik melalui telefon untuk mengenal pasti tahap sokongan setiap wakil rakyatnya.

Jika INVOKE ingin disiasat kerana menjalankan kaji selidik, kenapa pula Umno tidak disiasat secara besar-besaran kerana jumlah kaji selidik melalui telefon yang dibuat oleh Umno adalah jauh lebih tinggi berbanding kaji selidik oleh INVOKE?

Sebab itu, rakyat dapat membaca ini adalah senjata Umno untuk melumpuhkan INVOKE yang kini sudah mempunyai 25,000 orang sukarelawan yang giat dilatih untuk menjadi ejen kira undi bagi calon-calon PH. 

Ugutan ke atas INVOKE adalah untuk menakut-nakutkan rakyat supaya tidak terus tampil menjadi sukarelawan kerana Umno bimbang dokongan rakyat yang menjadi sukarelawan INVOKE akan menyukarkan sebarang usaha penipuan pilihanraya.

Oleh itu, saya menggesa seramai mungkin rakyat untuk terus tampil mendaftar menjadi sukarelawan dengan mendaftar di pautan bit.ly/JOMJOININVOKE

Lebih ramai rakyat yang mendaftar menjadi sukarelawan, lebih sukar Umno mengugut untuk melumpuhkan operasi INVOKE.

BAGI PIHAK INVOKE
Rafizi Ramli

TAHNIAH MAHKAMAH TINGGI SHAH ALAM


Mahkamah Tinggi Shah Alam mengenepikan hukuman bon berkelakuan baik dengan jaminan RM20 ribu yang dikenakan terhadap seorang yang dipercayai bergelar Datin, Rozita Mohamad Ali oleh Mahkamah Syesen Petaling Jaya sebelum ini atas kes kesalahan mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia.

Sebaliknya, beliau hari ini dijatuhi hukuman penjara selama lapan tahun atas kesalahan tersebut.
Dalam waktu yang sama, mahkamah juga memerintahkan hukuman itu berkuatkuasa pada hari ini dan menolak perlaksanaannya ditangguhkan sehingga menunggu rayuan.

Keputusan ini berikutan Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan semakan kehakiman yang dibuat oleh pihak pendakwaan berhubung hukuman Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sebelum ini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Hukuman bon berkelakuan baik yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sebelum ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati pelbagai pihak, malah blog ini juga ada membangkitkan perkara yang sama dalam postingnya pada 17 Mac lalu.

Serentak dengan rasa tidak puas itu, sebuah petisyen yang mendesak hukuman berat dijatuhkan terhadap Datin berkenaan juga diwujudkan dalam talian dan telah mendapat sambutan hangat daripada pelbagai pihak yang cintakan keadilan.
Dengan hukuman oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam ini, seluruh rakyat Malaysia tentunya berasa lega dan lapang dada bahawa sekurang-kurangnya keadilan telah ditegakkan dengan sewajarnya.

Tahniah kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam dan Pesuruhjaya Kehakiman, Tun Abd Majid Tun Hamzah atas atas keputusan yang melegakan ini. (ShahbudinHusin 29/03/2018)

Wednesday, 28 March 2018

"AHLI UMNO, PAS TIDAK HARUS TAKSUB KEPADA PARTI DAN PEMIMPIN DEMI SELAMATKAN NEGARA INI"


KIKIS SIKAP SENTIMENTAL PADA PARTI POLITIK DEMI SURVIVAL NEGARA DALAM PRU KE-14
 
1. Tan Sri Rafidah Aziz melalui entri akaun facebook beliau (Rafidah Aziz Malaysian Citizen - 24 Mac 2018) jelas menampakan rasa kekecewaan beliau terhadap UMNO/BN sejak akhir-akhir ini. Entah apa yang mendorong beliau lantang mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak.

2. Berbagai pendapat serta peringatan beliau untuk rakyat agar tidak perlu merasa sentimental dan 'setia' kepada parti atau individu. Disamping itu juga beliau mengingatkan agar jangan sekali-kali rakyat merasa 'terhutang budi' sehingga menutup mata dan telinga menjadi 'buta tuli' terhadap perkara buruk yang melanda negara kerana setiap perkara yang berlaku dan dihadapi negara masakini akan memberi kesan buruk kepada masa depan anak cucu kita semua.

3. Tulisan Tan Sri Rafidah pasti ditujukan terus buat penyokong, ahli dan pimpinan parti politik pemerintah khususnya UMNO yang telah lama berkarat dalam diri mereka. Rakyat dan ahli UMNO khususnya diingatkan  agar jangan terlalu terikat kepada parti itu selamanya.

Saya berpendapat bahawa Tan Sri Rafidah sedang berusaha untuk meleraikan doktrin 'pemikiran karut' ahli UMNO bahawa tanpa UMNO negara akan musnah, tanpa UMNO Melayu akan mundur, akan diperintah oleh bangsa lain, negara akan dijajah, bangsa Melayu akan merempat, Islam akan hilang dari negara dan macam-macam lagi khurafat yang ditanam dalam minda ahli-ahli. 

4. Sememenangnya begitulah sifat ahli, penyokong dan pemimpin parti politik dalam soal kesetiaan, hingga sampai tahap taksub kepada parti politik dan pemimpinnya walaupun pemimpinnya jauh tersasar dari hala tuju perjuangan, mementingkan diri sendiri, menghambakan ahli-ahli, dan menyalahgunakan kedudukan. 

Saya yakin, ramai ahli parti politik itu tahu bahawa pemimpin mereka melakukan kesalahan, tetapi tidak berani menegur atau berubah kerana bimbang dianggap menderhaka, pengkhianat, jahat dan lain-lain. Justeru mereka mengambil sikap mendiamkan diri dan hanyut dalam arus parti sendiri yang semakin reput dan condong menanti rebah. 

5. Bagi saya ianya bukan saja merubah pemikiran ahli Umno tetapi merupakan juga keperluan merubah ketaksuban ahli-ahli PAS.

Ahli PAS juga tidak perlu terlalu sentimental dan taksub dengan parti dan pemimpin. Bagi saya, pandangan Tan Sri Rafidah senada dan sependapat sama dengan majoriti rakyat di negara ini yang tidak terikat dengan mana-mana parti politik. 

Golongan ini (tidak terikat dengan parti politik) dikenali sebagai  pengundi berpengetahuan (knowledge voters) dan yang akan menjadi  penentu kuasa politik dan pemenang dalam pertarungan pilihanraya. Kelompok ini adalah kumpulan terbanyak dan mewakili majoriti rakyat di negara ini. Maka kepada golongan inilah semua parti politik sibuk merayu, berkempen, memujuk dan mengugut agar mereka memberikan undi. 

6. Trend pengundi semasa tidak lagi berpaut kepada parti politik, mereka lebih cenderung melihat kepada batang tubuh calon dari parti yang bertanding itu serta isu yang diperjuangkan. Oleh itu, 'pengundi semasa' mesti melihat keutamaan dan usah tertipu dengan sandiwara mainan silap mata oleh parti pemerintah menjelang saat akhir PRU 14 nanti.

Soal ‘makan dedak’, termakan budi dengan pelbagai bantuan seharusnya ditolak tepi demi melihat perkara yang lebih utama iaitu masalah rakyat dan negara. Isu ekonomi rakyat dan negara yang semakin menghimpit, penyelewengan dalam pemerintahan negara, skandal dan korupsi, kezaliman dan penindasan adalah masalah pokok yang utama dan mesti diselesaikan oleh rakyat. 

7. Jangan kerana menjelang musim PRU ke 14, dengan pelbagai ‘habuan turun dari langit’, projek segera, pemimpin tiba-tiba hipokrit mesra dan merakyat duduk di dapur rumah rakyat. Pemimpin yang muncul hanya lima tahun sekali tiba-tiba hadir ziarah tiga empat kali dalam sehari boleh mengubah persepsi dan keutamaan kita semua.

Anggaplah itu semua adalah sementara, dan selepas PRU ke 14 semua habuan itu hanya tinggal mimpi, dan pemimpin yang dilihat ’live’ depan mata sekarang ini entah bila akan kelihatan lagi.

8. Negara kita yang disayangi ini perlukan perubahan dan sekarang adalah masanya untuk rakyat bangkit membuat perubahan bagi bina semula negara yang telah buruk di mata dunia . Sudah tiba masanya kepimpinan negara diserahkan kepada pemimpin yang tidak mementingkan perut sendiri dan parti yang amanah, adil, telus, bertanggungjawab dan jujur. Pemimpin dan parti yang sedang berkuasa menguasai kerajaan Malaysia sekarang mesti dihumban kerana telah terpalit dengan pelbagai skandal, penipuan, mementingkan diri sendiri, zalim dan menghambakan rakyat.

Kita dapat melihat contoh bagaimana negara lain telah mengubahnya dan menikmati iklim demokrasi sebenar. Malaysia perlu bergerak ke arah itu, dan pengundi bebas dari kongkongan parti adalah penentunya.

Saya melihat rakyat sedang bergerak ke arah itu sekarang.


DATO' HJ MAHFUZ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
28 Mac 2018/10 Rejab 1439H.

DIPERGUNA APA PULAK CIK AZALINA, BUKANKAH TUN MAHATHIR KETUA PAKATAN HARAPAN?


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said mendakwa Tun Mahathir Mohamad telah digunakan oleh pembangkang untuk kepentingan politik mereka apabila bekas Perdana Menteri itu dibawa menyertai sessi taklimat Rang Undang-Undang Berita Palsu di Parlimen, semalam.

"Saya pun tidak pasti bagaimana Tun Mahathir boleh masuk, tapi biarlah dia masuk, nak buat macam mana.

"Saya buat taklimat untuk Ahli-Ahli Parlimen pembangkang saja...kalau mereka nak panggil Tun Mahathir, saya nak buat macam mana? Itu hak merekalah," kata Azalina.

Untuk itu, katanya, Tun Mahathir telah digunakan oleh pihak pembangkang untuk kepentingan politik mereka.

"Saya tak salahkan Tun Mahathir, tapi dia telah dipergunakan oleh pembangkang. Saya kesian dengan Tun Mahathir," tambahnya lagi.

Ada dua isu yang menjadi persoalan berhubung kenyataan Azalina ini.
Pertama, beliau menyatakan sessi taklimat itu adalah tertutup untuk Ahli-Ahli Parlimen pembangkang, tetapi dalam masa yang sama juga menyatakan, "kalau mereka nak panggil Tun Mahathir, saya nak buat macam mana? Itu hak merekalah."

Ini bermakna, meskipun sess taklimat itu adalah tertutup, tetapi Azalina sendiri mengesahkan bahawa tidak menjadi kesalahan bagi Ahli-Ahli Parlimen pembangkang untuk menjemput sama Tun Mahathir menghadirinya.

Jika demikian, apa isunya dan di mana salahnya Tun Mahathir hadir dalam taklimat berkenaan undang-undang berita palsu yang kontroversi itu?

Kedua, Azalina juga menyatakan Tun Mahathir telah digunakan oleh pihak pembangkang untuk menghadiri sessi taklimat itu untuk kepentingan politik mereka.

Hello Cik Azalina...dipergunakan apa pulak?

Bukankah Tun Mahathir sekarang adalah Pengerusi Pakatan Harapan dan sedang mengetuai gabungan pembangkang untuk menumbangkan Najib Razak, UMNO dan BN?

Jika Tun Mahathir sendiri sedang mengetuai gabungan pembangkang dan duduk bersama dengan pihak pembangkang, di manakah logiknya beliau telah dipergunakan oleh pembangkang untuk kepentingan politik mereka?

Mimpi ke Cik Azalina?

Adakah Azalina sebenarnya beranggapan Tun Mahathir masih lagi ahli UMNO sekarang ini, maka kehadirannya dalam sessi taklimat itu dianggap telah dipergunakan oleh pembangkang? (ShahbudinHusin 28/03/2018)

Tuesday, 27 March 2018

JHO LOW BELI KAPAL MEWAH EQUANIMITY GUNA DUIT CURI 1MDB - INI BUKAN BERITA PALSU, OKAY!!!


Jabatan Kehakiman AS atau DOJ mengulangi pendiriannya bahawa bilionaire kontroversi, Jho Low membeli kapal mewah Equanimity berharga hampir RM1,000 juta adalah dengan menggunakan "dana yang dicuri dan diselewengkan" daripada 1MDB.

"Memang, seperti dakwaan sepanjang aduan, Jho Low adalah dalang utama yang mencuri berbilion ringgit wang 1MDB," kata DOJ dalam pemfailannya di mahkamah di California Tengah, semalam.

Pemfailan itu adalah sebahagian daripada usaha DOJ untuk mendapatkan perintah mahkamah supaya melantik kerajaan Amerika Syarikat sebagai penjaga kepada kapal Equanimity yang dirampas itu.
Sebelum ini, kapal tersebut dirampas oleh FBI dengan kerjasama pihak berkuasa Indonesia di perairan Bali.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Salleh Said Keruak menjelaskan, berita yang bersumberkan DOJ berkaitan 1MDB tidak akan dikategorikan sebagai berita palsu.

"Anda boleh petik mereka (apa yang DOJ kata), berdasarkan laporan itu, ia tidak tergolong sebagai berita palsu," kata beliau.

DOJ sebelum ini mengatakan sebanyak AS$4.5 bilion wang 1MDB telah dicuri dan diselewengkan, kemudian digubah secara haram melalui pelbagai sistem kewangan antarabangsa, termasuk di Amerika Syarikat.

Jabatan ini kini sedang berusaha merampas AS$1.7 bilion daripada jumlah AS$4.5 bilion yang dicuri itu  yang telah digunakan untuk membeli pelbagai aset seperti kediaman mewah, jet peribadi, kapal layar, lukisan mahal, barang kemas dan macam-macam lagi.

Bertepatan dengan jaminan Salleh Said Keruak itu, maka melapor, menulis, dan menghebahkan kenyataan DOJ bahawa Jho mencuri dan menyelewengkan dana 1MDB berjumlah AS$4.5 bilion bukanlah menjadi kesalahan kerana ia tidak tergolong dalam kategori berita palsu.

Begitu juga dengan melapor, menulis dan menghebahkan pemfailan DOJ kepada mahkamah semalam bahawa kapal mewah Equanimity telah dibeli oleh Jho Low dengan menggunakan dana yang "dicuri dan diselewengkan" daripada 1MDB, turut bukan merupakan berita palsu.
Pokoknya, berdasarkan dapatan DOJ, memang keyakinan mereka ialah wang 1MDB telah "dicuri dan diselewengkan", dengan dalang utamanya adalah Jho Low.

Maka, sekali lagi,  kita bebas untuk mengatakan bahawa berdasarkan DOJ, sebanyak AS$4.5 bilion dana 1MDB telah "dicuri dan diselewengkan" oleh Jho Low, termasuk untuk membeli kapal mewah Equanimity berharga RM1,000 juta yang dirampas, baru-baru ini.

Ia bukan berita palsu, okay!!!

Kalau tak percaya, tanyalah Salleh Said Keruak? (ShahbudinHusin 27/03/2018)

SELAIN MENGAKUI KARISMA ANWAR LEBIH TINGGI DARIPADA NAJIB, ANNUAR MUSA JUGA MASIH MEMANDANG TINGGI TUN MAHATHIR

"Najib seolah-olah mewarisi kesabaran Tun Abdullah Ahmad Badawi, karisma Anwar Ibrahim, ketegasan Tun Hussein Onn dan kelicikan serta kebijaksanaan ayahandanya, Tun Razak."

Wahhh...baik punya bodek dan ampu oleh Annuar Musa  kali ini!!

Ada dua aspek boleh dilihat dalam kenyataan Ketua Penerangan UMNO yang tidak lama sebelum ini telah dibebaskan daripada pertuduhan rasuah melibatkan MARA dan Pasukan Bolasepak Kelantan.

Pertama, ini adalah ampu dan bodek biasa menjelang PRU 14 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Adalah perkara biasa dalam UMNO, terutamanya menjelang pilihanraya, mereka yang berharap untuk menjadi calon dan jika berpeluang berjumpa, bercakap, berucap atau mengeluarkan kenyataan berkaitan Perdana Menteri, nada mengampu dan membodeknya memang cukup menarik dan ada berbagai cara.

Bagi Annuar, selain mengharapkan agar terus dipilih sebagai calon untuk mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh, ampuan dan bodekan kali ini  barangkali juga mengharapkan supaya diberikan apa-apa jawatan lain dalam kerajaan.

Selepas tidak disambung khidmatnya sebagai Pengerusi MARA, Annuar tiada sebarang jawatan lagi dalam kerajaan atau mana-mana entiti berkaitan kerajaan, manakala jawatan Ketua Penerangan UMNO hanyalah jawatan politik semata-mata.

Bagi orang politik, meskipun pernah menjadi menteri sebelumnya, diberikan apa-apa jawatan lain dengan elaun puluhan ribu, ada pejabat, ada kereta rasmi, ada sekretari dan macam-macam kemudahan lainnya, ia adalah suatu kebanggaan bagi mereka.

Jadi, dengan Annuar yang masih memegang jawatan Ketua Penerangan UMNO, disertai pula dengan ampuan serta bodekan yang sudah banyak kali dan terbaru ini, apa agaknya jawatan yang sesuai untuk Najib berikan kepadanya?

Tunggguuu....

Kedua, dalam kenyataan yang sama memperlihatkan buat pertama kalinya Annuar mengakui bahawa Anwar Ibrahim memiliki karisma yang tinggi dan lebih baik berbanding Najib sendiri, meskipun Ketua Umum Pakatan Harapan itu masih berada di penjara dan pencapaiannya setakat ini hanya sebagai Timbalan Perdana Menteri saja.

Biasanya, apabila membandingkan kebolehan atau kemampuan seseorang, lebih-lebih lagi yang sedang memegang jawatan Perdana Menteri, perbandingannya mestilah dengan mereka yang lebih tinggi atau setidak-tidaknya pernah menjadi Perdana Menteri juga.

Tetapi, dengan Annuar mengatakan Najib memiliki karisma seperti Anwar Ibrahim, gambarannya ialah karisma Anwar lebih tinggi daripada Najib dan meskipun Najib kini menjadi Perdana Menteri, karismanya tidaklah melebihi Anwar yang jawatan terakhirnya hanya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Ia contohnya umpama mengatakan Salleh Said Keruak yang sekarang menjadi menteri memiliki karisma seperti Ahmad Maslan yang hanya berkedudukan timbalan menteri.

Tidakkah ia ternampak pelik?

Dengan sendirinya, perbandingan Annuar itu merupakan suatu pujian dan sudah tentu membuatkan Anwar tersenyum membacanya, tetapi ia  juga seperti suatu perlekehan kepada Najib sendiri.

Dalam waktu yang sama, perbandingan Annuar mengenai beberapa ciri Najib yang tidak memasukkan nama Tun Mahathir Mohamad di dalamnya, tidaklah sukar difahami maksud dan tujuannya.

Walaupun ia ternampak sebagai percubaan Annuar untuk memperlihatkan Tun Mahathir tidak memiliki sebarang kelebihan, namun seluruh dunia tahu dan mengakui Tun Mahathirlah yangbbanyak mengubah corak dan wajah Malaysia ini.

Oleh yang demikian, Tun Mahathir pun barangkali tidak selesa dan "berasa geli"  jika ada ciri-ciri tertentu dalam kepimpinannya yang cemerlang selama 22 tahun dan diakui dunia itu, tetapi cuba disamakan dengan Najib yang disebut media antarabangsa dan dunia lain sebagai "pencuri" dan mengamalkan "kepimpinan kleptokrasi".

Terima kasihlah kepada Annuar kerana secara tidak langsung masih menghargai Tun Mahathir dan meletakkannya dalam "kelas tersendiri" yang terpisah daripada "kekotoran" Najib. (ShahbudinHusin 27/03/2018)

Monday, 26 March 2018

UNDI PAKATAN HARAPAN, UNDANG2 BERITA PALSU AKAN SEGERA DIMANSUHKAN


Minggu ini dua usul yang mendapat kecaman serta bantahan ramai dibentangkan di Parlimen - usul undang-undang berita palsu dan usul persempadanan baru kawasan pilihanraya.

Usul berita palsu yang boleh membawa hukuman penjara selama 10 tahun dan denda sehingga RM500 ribu dibentangkan hari ini, manakala usul persempadanan baru kawasan pilihanraya akan dibentangkan pada hari Rabu.

Tidak dinafikan, di sebalik kecaman dan bantahan ramai, kerajaan terlihat begitu terdesak untuk membentangkan kedua-dua usul tersebut bagi kepentingan memenangi pilihanraya umum akan datang.

Usul persempadanan baru kawasan pilihanraya, sebagaimana yang disebut dalam tulisan sebelum ini, antaranya mempunyai elemen menambah ketidakseimbangan kawasan Parlimen, mewujudkan kawasan pilihanraya berdasarkan kedudukan kaum dan menambahbesarkan lagi kawasan yang sedang atau berpotensi dimenangi oleh pembangkang.

Dengan kedudukan itu, jika peratusan keluar mengundi dapat diturunkan sehingga 70 peratus melalui taktik menakut-nakutkan rakyat, kejayaan meraih undi popular sebanyak 40 peratus saja sudah memadai untuk BN mencapai kemenangan dengan majoriti dua pertiga.

Bersekali dengan lakaran baru kawasan pilihanraya itu, undang-undang berita palsu diwujudkan seolah-olah sebagai pelengkap kepada usaha BN untuk memenangi pilihanraya akan datang ini benar-benar tidak menghampakan.
Undang-undang baru ini akan menambahburukkan lagi kebebasan dan amalan demokrasi sedia ada, selain bertujuan memberi ketakutan kepada pihak yang pro pembangkang dalam menyebarkan berita atau maklumat kerana sama ada berita itu benar atau palsu, ia akan  ditentukan oleh kerajaan yang ditunjangi UMNO dan BN yang sedang bertarung untuk mempertahankan kuasanya.

Sudah tentu keadaan ini akan memberi kelebihan kepada media pro kerajaan serta pemain media sosial yang menyokong Najib, UMNO dan BN untuk berbuat sesuka hati menyebarkan maklumat, tidak kira benar atau palsu, berbanding mereka yang pro perubahan.

Akhirnya, sebagaimana yang ternampak dilakukan oleh media arus perdana dan saluran televisyen pro Najib, UMNO dan BN sekarang ini, undang-undang berita palsu mungkin hanya akan menjadikan lebih banyak berita palsu atau kepalsuan disebarkan menjelang minit-minit terakhir hari pengundian.

Jika Najib dan Zahid Hamidi misalnya, bercakap atau menyebarkan berita palsu dan ia kemudian disebarkan secara meluas lagi oleh media arus perdana dan media sosial berbayar mereka, siapakah yang akan mengambil tindakan?

Contohnya, apakah pengakuan Najib bahawa namanya telah dibersihkan oleh PAC berhubung skandal 1MDB dan dakwaan Zahid Hamidi berkaitan nama "Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty" bukan berita palsu?

Siapa boleh memberi jaminan ketika kemuncak kempen nanti, tidak mungkin lebih banyak berita dan tuduhan palsu akan dihamburkan lagi?

Logiknya kita tidak memerlukan satu lagi undang-undang baru yang lebih keras dan mencengkam untuk memantau kebebasan rakyat bersuara. Ini kerana kita sudah banyak undang-undang sedia ada untuk tujuan itu seperti Akta Hasutan, Akta SKMM dan lain-lain lagi.

Malah, jika sesiapa rasa teraniya dengan sesuatu berita, mereka juga bebas mengambil tindakan mahkamah untuk membersihkan diri.

Jika semalam Dewan Rakyat diberitahu bahawa SKMM sudah mengambil tindakan tehadap 40 laman web dan lebih 4,000 akaun Facebook atas pelbagai kesalahan, termasuk menyebar berita palsu, maka apa perlunya satu lagi undang-undang baru diwujudkan?

Bukankah dengan sekian banyak tindakan yang telah berjaya diambil itu, ia menunjukkan undang-undang sedia ada sudah memadai?

Apa pun, keputusan akhir berkaitan undang-undang berita palsu ini terletak di tangan rakyat dan pengundi menentukannya.

Jika rakyat tidak gembira, tidak mahu didenda sehingga RM500 ribu atau dipenjara sehingga 10 tahun hanya kerana menjunjung kebebasan, langkah terbaik ialah dengan mengundi Pakatan Harapan dalam pilihanraya akan datang.

Pakatan Harapan jika diberi kepercayaan menubuhkan kerajaan, akan menyemak atau mungkin memansuhkan terus undang-undang berita palsu yang penuh kepalsuan itu.

Sebaliknya, mengekalkan lagi BN hanya akan menyebabkan ramai hidup terkongkong, tiada kebebasan dan berada di dalam penjara di dalam dunia yang semakin terbuka ini. (ShahbudinHusin 26/03/2018).

USUL SEMPADAN BARU SPR HARUS 'DIAJAR' MELALUI PETI UNDI


Usul persempadanan baru kawasan-kawasan pilihanraya akan dibentangkan di Parlimen Rabu ini dan ia dijangka dibahas serta  diluluskan pada hari yang sama.

Dengan itu, persempadanan baru yang bakal memberi kelebihan kepada UMNO dan BN mengekalkan kuasanya itu akan digunapakai dalam PRU 14 akan datang ini.

Pengerusi SPR, Hashim Abdullah beberapa hari lalu ada memberitahu, sebaik saja usul tersebut diluluskan dan kemudian mendapat perkenan daripada Yang Dipertuan Agong, persempadanan atau lakaran baru kawasan-kawasan pilihanraya itu secara automatik sudah boleh digunakan dalam pilihanraya akan datang.

Ia hanya mengambil masa sehari untuk menjadi sah, katanya lagi.

Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata, Parlimen akan dibubarkan sebaik saja usul itu dapat diluluskan.
Ia dengan sendirinya memberi gambaran bahawa persempadanan baru ini amat penting dan mungkin merupakan talian hayat terakhir bagi Najib Razak, UMNO dan BN untuk mengekalkan kuasanya.

Sebagaimana yang sudah banyak diperkatakan, antara elemen yang mendapat kritikan dalam persempadanan baru ini ialah ia menambahkan lagi ketidakseimbangan  kawasan Parlimen, mewujudkan kawasan pilihanraya berdasarkan kaum dan menambahbesarkan lagi kawasan yang sedang serta berpotensi dimenangi oleh pembangkang.

Seorang penganalisi politik, Wong Chin Huat berkata, melalui persempadanan baru ini, BN dengan mudah boleh mencapai kemenangan majoriti dua pertiga dalam pilihanraya akan datang hanya dengan memperolehi 40 peratus undi popular saja.

Sekiranya pengundi yang keluar menurun kepada 70 peratus, hanya dengan perolehan 40 peratus undi popular sudah mencukupi untuk BN meraih kemenangan majoriti dua pertiga, katanya lagi.

Untuk itu, kita dengan mudah dapat memahami mengapa persempadanan baru ini amat penting kepada Najib dan pilihanraya hanya akan diadakan, sebagaimana pengakuan Zahid Hamidi, sebaik saja usul tersebut diluluskan oleh Parlimen.

Sebab itu, pada hari usul tersebut dibentangkan Rabu ini, usaha Bersih 2.0 mengadakan himpunan di luar Bangunan Parlimen serta menghantar memorandum bantahan kepada Speaker Dewan Rakyat, seharusnya disokong secara besar-besarkan oleh rakyat.

Rakyat mesti bangun dan berhimpun beramai-ramai membuat bantahan dan menunut keadilan dikembalikan.

Walaupun hari tersebut merupakan hari bekerja, tetapi kesediaan rakyat melakukan pengorbanan dan menunjukkan solidariti adalah mesej yang jelas bahawa, jika pun ternampak mustahil untuk usul tersebut dibatalkan, namun kesedaran yang dijelmakan itu boleh dibawa serta diperbesarkan lagi sehingga ke hari pengundian.

Bayangkan, betapa  PRU 14 ini benar-benar akan "dicuri" oleh Najib, UMNO dan BN di mana hanya dengan 40 peratus undi popular saja sudah mencukupi untuk membolehkan  kemenangan dua pertiga diperolehi.

Tidakkah ini benar-benar  "gila" dan suatu ketidakadilan yang paling nyata?

Dalam pilihanraya 2013 lalu, BN memperolehi 47 peratus undi popular dengan kemenangan 133 kawasan Parlimen, manakala Pakatan Rakyat yang meraih 52 peratus undi popular telah menang 89 kerusi Parlimen.

Bermakna, untuk Pakatan Harapan menang dan dapat menumbangkan Najib, UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang, kejayaan meraih undi popular sekadar 60 peratus tidak lagi memadai.

60 peratus undi untuk Pakatan Harapan dan 40 peratus untuk BN, selain jika peratusan keluar mengundi hanya 70 peratus, ia sudah cukup untuk memberi kemenangan dua pertiga sebagaimana s menjadi idaman bagi Najib?
Selain peratusan keluar mengundi perlu diusaha untuk terus dipertingkatkan, jika  perubahan benar-benar mahu dijadikan kenyataan, target undi popular semestinya antara 65 hingga 70 peratus memihak kepada Pakatan Harapan.

Memang peratusan itu ternampak tinggi, tetapi melalui tsunami seluruh rakyat menolak kleptokrasi, ia tidak mustahil mampu dilakukan.

Rakyat seharusnya sedar, jika untuk menang pilihanraya pun BN sanggup melakukan ketidakadilan, bermakna lebih banyak ketidakadilan akan bermaharajalela selepas saja kemenangan berada dalam genggaman mereka.

Untuk mengelakkan ketidakadilan yang pasti akan menyusahkan rakyat itu daripada berlaku, ketidakadilan melalui kelulusan pantas usul persempadanan baru SPR ini mesti "diajar"  dengan memberi undi semaksima yang mungkin kepada Pakatan Harapan.

Itu saja caranya dan ingat, PRU 14 ini adalah peluang terakhir dan terbaik, jika BN tidak dikalahkan kali ini, selama-lamanyalah rejim yang sudah berusia lebih 60 tahun itu akan menguasai Malaysia.

Sanggupkah kita? (ShahbudinHusin 26/03/2018).

Sunday, 25 March 2018

NAJIB DIINGATKAN JANGAN TERLALU AWAL "SYOK SENDIRI"

NAJIB TUN RAZAK JANGAN SYOK SENDIRI!! PENGUATKUASA UNDANG-UNDANG DI NEGARA KITA TAK BERANI BERTINDAK!! TUNGGU DAN LIHAT PERKEMBANGAN PENGUATKUASA  UNDANG-UNDANG ANTARABANGSA DALAM SEDIKIT MASA LAGI!!

Perdana menteri paling korup boleh mendabik dada mengatakan siasatan penguatkuasa undang-undang di negara kita membuktikan beliau tidak bersalah!!

Biarlah dia nak syok sendiri serta mahu cakap apa sekalipun!! Badan-badan penguatkuasa undang-undang di malaysia semuanya sudah dipegang oleh kerajaan kleptokrasi!!

Namun, kerajaan kleptokrasi yang dipimpin oleh perdana menteri paling korup tidak akan mampu mempengaruhi siasatan-siasatan mahupun tindakan undang-undang di luar negara!!

Penguatkuasa undang-undang antarabangsa sudah memperolehi pelbagai bukti-bukti sahih dan laporan jabatan kehakiman amerika syarikat (DoJ) pun sudah mengesahkan MO1 terlibat!!

Rahman dahlan 'otak udang' pun sudah mengesahkan kepada keseluruhan rakyat malaysia bahawa MO1 dalam laporan DoJ itu adalah najib tun razak!!

Singapura sudah bertindak!! Jabatan kehakiman amerika syarikat dalam proses tukar pendakwaan dari sivil kepada jenayah!!

Switzerland akan bertindak terhadap pengubahan wang haram sedikit masa lagi!! Luxembough pun kata ada bukti!!

United kingdom dan australia; sama-samalah kita tunggu!!

Saya ingin sarankan kepada keseluruhan rakyat malaysia untuk senantiasa berdoa dan insyaallah kebenaran bakal muncul di peringkat antarabangsa dalam masa terdekat!!

Najib tun razak tolong jangan syok sendiri!! Dalam negara boleh 'loyar buruk!!' Yakinilah, dalam sedikit masa lagi kebenaran hakiki bakal berlaku di peringkat luar negara!!

Kini, tokoh negarawan umur 93 tahun ajak berdebat sekalipun pun tak berani nak sahut cabaran tersebut!!

Najib tun razak pun macam raja petra @ 'kerbau gila dari manchester!!' Hanya berani bercakap dari jarak jauh saja!!

Kita suruh peguam negara hantar 'nota bantahan' terhadap tuduhan-tuduhan DoJ pun apandi ali tak berani!!

Apabila bank negara malaysia kenakan kompaun sejumlah rm150 juta terhadap AmBank apa maknanya?!

Ertinya, salahlaku dalam transaksi pengubahan wang haram yang berkaitan dengan kes skandal 1mdb itu benar-benar ujud!!

Dolak-dalih, penipuan, salahlaku, kezaliman serta pengkhianatan mereka ada hadnya!! 

Bila tiba masa ketikanya kelak; saya takut penyangak-penyangak pengkhianat negara ini tak cukup tanah nak cabut lari!!

Ingat bahawa dunia ini terlalu sempit dan 'sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan jatuh ke tanah jua!!'

Sesungguhnya Allah swt Maha Adil lagi Maha Mengetahui!! Allah swt tidak pernah mungkir janji tetapi saat dan ketikanya saja kebenaran bakal menjelma!! Insyaallah!! Ameen!!

#LawanTetapLawan

Ikhlas dari;
KHAIRUDDIN ABU HASSAN
Koordinator
Deklarasi Rakyat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...