Monday, 31 December 2018

TAHUN 2019, TAHUN RAKYAT MENUNTUT JANJI PAKATAN HARAPAN

Hari ini merupakan hari terakhir di tahun 2018 dan mulai esok kita akan melangkah ke hari baru tahun 2019.


Selamat tinggal 2018 dan selamat datang 2019.


Tahun 2018 meninggalkan banyak kenangan suka dan duka, pahit dan manis buat kita semua.


Tetapi, detik yang paling tidak mungkin dilupakan dan meninggalkan kenangan pada tahun 2018 ialah bagaimana rakyat telah bersatu hari menyingkirkan Najib Razak, UMNO dan BN daripada puncak kuasa negara.


Tarikh 9 Mei 2018 adalah satu lagi detik sejarah buat buat rakyat dan negara.


Ia adalah suatu sejarah besar dalam negara dan detik-detik perjuangan ke arah kejayaan itu akan kekal dalam ingatan sebahagian besar daripada kita.


Tetapi, setelah tumbangnya BN dan Pakatan Harapan mengambil alih teraju pentadbiran negara, tidak bererti perjuangan telah berakhir dan kita boleh bersenang-lenang begitu saja.


Ada perjuangan lain sedang menanti di depan kita semua.


Janji-janji manifesto, pemulihan ekononi, menurunkan kos sara hidup, menyediakan peluang pekerjaan dan meletakkan negara ini sebagai tempat yang aman dan selesa untuk semua rakyat, adalah harapan kita kepada kerajaan baru yang sedang mentadbir negara sekarang ini.


Begitu juga, menjadi harapan kita agar Tun Mahathir Mohamad benar-benar menunaikan janji penyerahan kuasa kepada Anwar Ibrahim dalam tempoh dua tahun sebagaimana yang dijanjikan dan dipersetujui sebelum ini serta tidak cuba berdalih atau ada niat untuk memungkirinya.


Ini kerana jika janji itu cuba dimungkiri, sementara janji-janji manifesto dan pemulihan ekonomi akan terus tertangguh yang menyebabkan sengsara berterusan kepada rakyat, politik negara juga akan jadi kalut dan bergolak semula.


Baik atau buruk keadaan negara dalam waktu terdekat ini banyak terletak di tangan Tun Mahathir selaku Perdana Menteri dan penentu sama ada beliau mahu menunaikan janji atau sebaliknya.


Jika beliau fokus kepada janji dan senantiasa bekerja keras bersama anggota kabinet serta jentera kerajaan menunaikan segala lafaz dalam manifesto, Malaysia Baru yang mampu memberi kebahagian buat rakyat akan menjelma tanpa banyak masalah dan halangan.


Namun, jika hal-hal lain berkaitan politik yang kepentingannya hanya beliau saja yang tahu yang lebih diutamakan, gelora akan terus melanda negara dan bahagia yang dijanjikan tidak lebih sekadar janji palsu belaka.


Tahun 2019 yang bermula esok, harapan kita ialah mahu melihat ekonomi yang lebih baik dan lebih banyak janji yang sudah pun dibalas dengan undi oleh rakyat dapat dilaksanakan tanpa banyak alasan lagi.


Selamat datang 2019, tahun untuk rakyat menuntut janji dan tahun untuk kerajaan menunaikan segala kata yang pernah dilafazkannya. (ShahbudinHusin 31/12/2018)

ADA APA DI SEBALIK CUTI BERSAMA AZMIN DAN HISHAMMUDDIN?


Sebelum ini, ketika tersebar gambar dan video Anwar Ibrahim berbual mesra dan bergelak ketawa dengan beberapa Ahli Parlimen UMNO di Parlimen, kecoh seluruh negara membuat pelbagai spekulasi mengenainya.


Walhal, kejadian itu hanyalah suatu kebetulan di mana memang menjadi kebiasaan sesama Ahli Parlimen bergurau senda sesama mereka.


Namun, oleh kerana ia melibatkan Anwar dan Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang baru hilang kuasa, gurau senda dan gelak ketawa itu segera ditafsirkan ada agenda yang tersembunyi untuk tujuan mempercepatkannya menjadi Perdana Menteri.


Begitulah politik adanya....


Kemudian Rafizi Ramli memuat-naik gambar pertemuannya dengan Khairy Jamaluddin dan Nurul Izzah Anwar di sebuah restoran di ibu kota.


Berbeza dengan gurau senda dan gelak ketawa Anwar dengan beberapa Ahli Parlimen UMNO di Parlimen yang sebenarnya hanyalah kebetulan, pertemuan Rafizi, KJ dan Nurul Izzah adalah sesuatu yang dirancang dan ada temujanjinya.

Pertemuan itu segera digambarkan mereka dikatakan merancang menubuhkan parti mewakili anak muda bagi menghadapi PRU15 akan datang, meskipun mereka barangkali sekadar bertemu biasa, minum-minum dan berbual kosong saja.


Tetapi, begitulah politik adanya...


Semalam, tersebar pula gambar dan video percutian bersama antara Azmin Ali dan Hishammuddin Hussein serta keluarga masing-masing di Maghribi.


Dengan kedudukan mereka yang berbeza parti, tetapi dikatakan sama-sama sedang "dijaga" dan pro kepada Tun Mahathir Mohamad, percutian bersama itu tidak dapat dielakkan menimbulkan macam-macam andaian serta spekulasi.


Sekali lagi, begitulah politik adanya...


Ada yang mengandaikan, Azmin dan Hishammuddin sedang merancang sesuatu dan berdasarkan pergolakan politik semasa, kedua-dua mereka dikatakan tidak mustahil akan menyertai Bersatu selepas ini bagi "mencerahkan" kerjaya politik masing-masing dan sekaligus bertujuan menyingkirkan Anwar sebagai bakal Perdana Menteri ke-8.


Lebih memusykilkan, gambar dan video yang pada mulanya dimuatnaik oleh salah seorang anak Azmin dalam Instagramnya, didapati dipadam tidak berapa lama kemudiannya.


Kenapa dipadamkan?


Jika sekadar percutian keluarga dan tiada maksud yang lain, mengapa perlu dipadamkan?


Apakah ia dipadamkan kerana Azmin dan Hishammuddin tidak menyangka percutian mereka bersama itu akhirnya diketahui oleh rakyat umum serta penyokong masing-masing dan ia telah menimbulkan kekeliruan lain yang tidak dijangka?


Meskipun tidak dinafikan Azmin dan Hishammuddin adalah kawan lama dan tinggal pula berdekatan, tetapi percutian bersama itu sukar dinafikan seolah-olah ia ada sesuatu yang dirancang dan bukan sekadar percutian biasa.


Apakah semua ini ada kaitan dengan keputusan Hishammuddin tidak bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan UMNO, Jun lalu dan selari dengan tingkah laku Azmin yang kebelakangan ini semakin berani "melawan" Anwar, "mentornya" sendiri?


Tetapi, bukankah Tun Mahathir sekali lagi sudah mengulangi janjinya akan tetap menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar dan sebarang perancangan atau komplot lain tidak mempunyai makna lagi?


Hmmmmmm.......(ShahbudinHusin 31/12/2018)

Sunday, 30 December 2018

HARAP-HARAP TUN MAHATHIR TAK MUNGKIR JANJI LAGI KALI INI....


Disebalik timbul desakan yang mahukannya lebih lama menjadi Perdana Menteri, tidak sekadar melebihi dua tahun, malah sehingga ke tarikh PRU15 akan datang, Tun Mahathir Mohamad akhirnya akur dengan tahap kemampuan dirinya sendiri.


Bercakap di sidang media selepas membuat ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, Perdana Menteri sekali lagi menegaskan beliau tidak berhasrat untuk memegang jawatan itu lebih daripada dua tahun disebabkan faktor kesihatannya.


"Itu yang mereka minta, saya kena jaga kesihatan saya sama. Saya dah tua," katanya lagi.


Tun Mahathir juga mengulangi janjinya untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim sebagaimana yang sudah dijanji dan diputuskan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Sambil mengakui Anwar dilihat sudah bersedia untuk mengambil alih tempatnya, Tun Mahathir juga menambah, "saya rasa dia akan selesa bila mengambil  jawatan Perdana Menteri daripada saya nanti."


Alhamdulillah....


Apa yang  diharapkan ialah Tun Mahathir benar-benar ikhlas dalam soal ini dan tidak mencipta alasan lain apabila fikirannya berubah nanti, meskipun ternampak sukar untuk beliau berbuat demikian.


Maklumlah sebelum ini bukan sedikit janji-janjinya yang dimungkiri begitu saja. Ketika bersama UMNO, dalam asyik-asyik membuai Anwar adalah  penggantinya, beliau tiba-tiba memecatnya sehingga akhirnya mencetuskan permusuhan selama 20 tahun sebelum mereka berbaik semula.


Selepas bersara pada 2003, Tun Mahathir pernah berjanji tidak akan menganggu tugas penggantinya ketika itu, Tun Abdullah Badawi.


Malangnya, tidak lama kemudian, beliau bukan saja mula bersuara mempertikaikan banyak perkara, malah akhirnya bertindak menjatuhkan penggantinya itu.


Tun Mahathir juga pernah berjanji tidak mahu bertanding semula dalam pilihanraya selepas bersara, tetapi kemudian bukan saja setuju bertanding semula, bahkan sedia jadi Perdana Menteri buat kali kedua.


Baru-baru ini pula, berkaitan janji manifesto pilihanraya, selain meletakkan kesukaran menunaikannya kerana kekangan kewangan yang dihadapi negara, Tun Mahathir juga berdalih dengan berhujah, "buku manifesto bukanlah kitab suci".


Selalunya begitulah, Tun Mahathir sentiasa ada hujah dan alasan untuk membenarkan apa yang mahu dilakukannya.


Selain diharapkan beliau benar-benar ikhlas untuk menunaikan janjinya, Tun Mahathir juga seharusnya sedar beliau kini bukan segagah dan secergas seperti sebelum-sebelum ini.


Banyak yang sudah berubah dalam persekitaran dirinya sekarang ini.


Bagaimanapun, apa yang nyata dengan pendirian Tun Mahathir enggan melayan permintaan mereka yang mendesaknya lebih lama menjadi Perdana Menteri, beliau sebenarnya turut sedar suara dalaman daripada Bersatu tidak mampu mengubah apa-apa.

Pakatan Harapan bukan seperti BN di mana suara UMNO adalah suara BN. Kalau perwakilan UMNO mahu Perdana Menteri terus berkhidmat, maka panjanglah usia Perdana Menteri duduk di situ.


Tetapi, di dalam Pakatan Harapan, ia ditentukan oleh Majlis Presiden. Oleh kerana Tun Mahathir sudah berjanji dan diikrarkan dalam Majlis Presiden bahawa beliau hanya memenang jawatan itu dalam tempoh dua tahun saja, maka jika perlukan lanjutan masa atau sebagainya, ia mestilah dirujuk semula kepada Majlis Presiden.


Hanya dengan Majlis Presiden bersetuju terhadap lanjutan masa itu, barulah dapat Tun Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri lebih daripada dua tahun. 


Jika tidak, beliau tiada pilihan, selain perlu akur dengan tempoh yang sudah ditetapkan dan dipersetuinya sendiri sebelum ini. (ShahbudinHusin 30/12/2018)

TUN MAHATHIR TAK PERLU JADI PM SAMPAI DUA TAHUN, JUN 2019 PALING SESUAI MENGUNDURKAN DIRI


Ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu malam tadi, Tun Mahathir Mohamad berkata, ucapannya tahun ini mungkin adalah yang terakhir.


Bermakna, Tun Mahathir sendiri belum pasti sama ada beliau akan merasmikan PAT Bersatu pada tahun depan atau tidak.


Tetapi, kata-kata ini bukan bererti Tun Mahathir memberi isyarat akan pergi tidak lama lagi atau memberi bayangan akan pergi meninggalkan kita semua, sebaliknya lebih menggambarkan keletihan dan kekurangan tenaganya ketika memegang jawatan ketua kerajaan ketika ini.


Dalam ucapan perasmian itu, Tun Mahathir bukan saja nampak letih, berwajah kelat dan sebutannya tersekat-sekat yang menggambarkan kepenatannya dalam usia 93 tahun ketika ini, bahkan beliau juga sehingga terlupa menyebut nama dan mengalu-alukan kehadiran Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan serta tetamu-tetamu lain ke majis perasmian itu.


Walhal, perkara itu tidak sepatutnya berlaku atas kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan dalam keadaan Bersatu merupakan parti yang membentuk kerajaan bersama PKR, DAP dan Amanah.


Kepenatan, apalagi dalam usia yang semakin tua, bukan saja boleh  membuatkan kita terlupa banyak perkara, tetapi juga menjadikan segala-galanya nampak tak kena.

Dalam konteks Tun Mahathir, memang auranya diperlukan ketika mengetuai Pakatan Harapan dan bertujuan menumbangkan Najib/UMNO/BN dahulu, tambahan lagi Anwar ketika itu berada di penjara, tetapi keperluan jadi berbeza apabila sudah menjadi Perdana Menteri.


Aura tidak penting lagi ketika memegang jawatan Perdana Menteri. Yang lebih penting sebagai Perdana Menteri ialah tenaga dan daya tahan yang akhirnya menjelmakan kemampuan berfikir untuk mengurus negara.


Dengan pelbagai mesyuarat perlu dipengerusikan, timbunan kertas kabinet mahu dibaca, beratus fail dan surat yang wajib disemak, berjumpa pelbagai jenis orang, menghadiri segala macam majlis dan program, mendengar masalah parti dan orang parti serta macam-macam hal lainnya, tidak dinafikan tugas sebagai Perdana Menteri adalah cukup meletih dan memenatkan.


Dalam hal ini, kita faham keinginan Tun Mahathir mahu memulihkan ekonomi negara dan memberi yang terbaik buat rakyat. Tetapi beliau juga harus sedar faktor usianya. Beliau bukan lagi dalam era masih gagah ketika menjadi Perdana Menteri buat kali pertama dahulu.


Yang penting, matlamat untuk menjatuhkan Najib sudah pun berjaya. Lebih daripada itu, dapat menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali melalui parti yang berbeza adalah sejarah terunggul yang terlalu sukar untuk diulangi oleh sesiapa pun juga selepas ini.


Hakikatnya, Tun Mahathir sudah mencipta banyak sejarah dalam hidupnya. Beliau tidak perlu mengejar lebih daripada itu.


Dalam keadaan ini, terlanjur Tun Mahathir sendiri sudah menyebut ucapan perasmian tahun ini mungkin yang terakhir baginya, di samping janji awalnya hanya akan memegang jawatan Perdana Menteri selama dua tahun saja, maka ada baiknya beliau memendekkan saja tempohnya memegang jawatan itu.


Sebaik-sebaiknya, cukup setahun menjadi Perdana Menteri iaitu pada Jun 2019, ia adalah tarikh yang paling sesuai untuk beliau mengundurkan diri. 


Dengan dalam kerajaan sudah ada pengganti iaitu Anwar dan dalam Bersatu pun, ada Muhyiddin dan Mukhriz yang boleh menguruskan parti, apa lagi yang Tun Mahathir risaukan?


Pada waktu ini Tun Mahathir hanya perlu berehat dan menghabiskan sisa-sisa usianya dengan tenang, sambil melalui peralihan kuasa yang aman yang akan dilakukannya, ia dengan sendirinya akan menjadikan namanya mengharum sepanjang zaman dalam lipatan sejarah buat selama-lamanya.


Jika ada cubaan untuk memaksa Tun Mahathir meneruskan khidmat lebih daripada dua tahun atau sehingga PRU15 akan datang, ia sebenarnya lebih untuk menyeksa dan menderanya semata-mata.


Janganlah ada sesiapa tergamak jadi begitu kejam kepada beliau.


Adalah lebih baik Tun Mahathir melepaskan jawatannya dengan tenang dan membiarkan penggantinya yang sudah dipersetujui oleh Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan negara ini daripada terus menuju prospek perbalahan politik dan kuasa sekali lagi yang bukan saja belum tentu menjamin beliau mampu menang seperti dahulu, tetapi mungkin akan meninggalkan legasi dan nama buruk kepada dirinya sendiri.


Oleh itu, tak perlu Tun Mahathir mahu menjadi Perdana Menteri sampai dua tahun atau sehingga PRU15 akan datang. Tidak berbaloi dengan tahap usia dan kemampuannya ketika ini.


Sekali lagi - Jun 2019, selepas setahun menjadi Perdana Menteri adalah tarikh paling sesuai dan munasabah untuk Tun Mahathir mengundurkan diri. (ShahbudinHusin 30/12/2018)

SELEPAS INI AHLI UMNO TAK PERLU TERHEGEH-HEGEH LAGI NAK MENYERTAI BERSATU


Satu-satunya perkara terbaik yang diumumkan dalam ucapan Tun Mahathir Mohamad sempena perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu malam tadi ialah jaminan bahawa bekas ahli UMNO yang menyertai parti itu selepas PRU14 tidak akan dibenarkan memegang sebarang jawatan sehinggalah PRU15.


Meskipun blog ini semalam ada mencadangkan tempoh sekatan selama dua tahun harus dikenakan kepada bekas ahli-ahli UMNO yang  menyertai Bersatu daripada memegang sebarang jawatan, Tun Mahathir ternyata lebih drastik lagi dengan memanjangkannya sehingga ke pilihanraya yang seterusnya.


Artikel berkenaan boleh dibaca di sini - http://shahbudindotcom.blogspot.com/2018/12/bersatu-perlu-buat-ketetapan-tolak.html


Katanya, tempoh larangan yang ditetapkan itu memang lama.


“Ujian keikhlasan tidak boleh dipercepat. Hanya jika betul-betul ikhlas, jika sudah buang budaya UMNO, barulah boleh diterima untuk pegang jawatan,” ujar beliau.

Dengan jaminan itu, bermakna bekas ahli UMNO, termasuk Ahli Parlimen, Adun dan Ketua Bahagian yang bertindak keluar parti, sama ada sudah menyertai Bersatu atau berhajat untuk menyertainya, dengan sendirinya akan terhalang daripada layak bertanding atau dilantik selama dua kali pemilihan parti sebelum tibanya tarikh PRU15.


Mengikut jadual, pemilihan Bersatu akan diadakan pada 2019 dan sekali lagi tiga tahun kemudiannya iaitu pada tahun 2022.


Pilihanraya umum pula, selepas PRU14 pada 2018, tarikh seterusnya iaitu dalam tempoh lima tahun ialah pada 2023.


Maka, apa jadi kepada bekas-bekas ahli UMNO, terutama Ahli Parlimen, Adun dan Ketua Bahagian yang keluar parti baru-baru ini dengan tujuan mencari wadah baru dalam perjuangan mereka?


Nampaknya, mereka akan mereput dengan sendirinya dalam ertikata seperti peribahasa - yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.


Kohkohkoh.....


Melalui ketetapan ini juga bermakna ahli-ahli UMNO tidak perlu lagi terhegeh-hegeh untuk menyertai Bersatu, jika yang dikejar adalah semata-mata jawatan atau kedudukan.


Sebaliknya mereka boleh menyertai Bersatu kalau dengan niat untuk sama-sama berjuang demi kepentingan rakyat, orang Melayu dan juga negara. (ShahbudinHusin 30/12/2018)

Saturday, 29 December 2018

PROTES AZMIN LANGKAH AWAL UNTUK HALANG ANWAR JADI PERDANA MENTERI?


Tindakan Azmin Ali secara terbuka mengkritik dan menolak beberapa perlantikan yang dibuat oleh Anwar Ibrahim bagi pengisian jawatan dalam PKR dengan jelas menunjukkan beliau kini tidak lagi sebulu dengan Presiden PKR itu.


Ikut hukum berparti, tiada apa yang perlu Azmin pertikaikan dengan perlantikan itu kerana ia adalah hak mutlak Anwar selaku Presiden PKR.


Dalam mana-mana parti, malah dalam UMNO pun begitulah amalannya. Presiden akan melantik sesiapa juga yang disukainya dan dirasakan boleh bekerjasama dengannya.


Tun Mahathir Mohamad sendiri pun pernah mengekalkan jawatan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai menteri, meskipun Ahli Parlimen Gua Musang itu kalah sebanyak dua kali dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden UMNO kepada Musa Hitam.


Lebih daripada itu, di sebalik kalah dan ada bantahan daripada Musa Hitam terhadap kedudukan Tengku Razakeigh dalam kerajaan, tetapi Tun Mahathir terus juga mengekalkannya.


Realitinya, itulah kuasa Perdana Menteri yang tidak jauh bezanya dengan kuasa presiden parti dalam melantik sesiapa yang disukainya.


Apakah Azmin tidak faham mengenai kuasa Anwar itu?


Selain itu, bantahan dan kritikan Azmin  juga menampakkan sikap tamaknya mahu mengusai PKR.


Setelah pemimpin-pemimpin yang dikaitkan mempunyai hubungan rapat dengannya memenangi 3 daripada 4 jawatan Naib Presiden dan 14 daripada 20 jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat dalam pemilihan PKR baru-baru ini, adalah agak menghairankan mengapa beliau masih mahu mempertikaikan perlantikan bagi jawatan lain yang memang menjadi hak mutlak Anwar untuk memilih sesiapa saja yang disukainya.


Jika perlantikan Rafizi yang dipertikaikannya, Azmin harus sedar bekas Ahli Parlimen Pandan itu telah memperolehi undi hampir 49 peratus dalam pemilihan PKR baru-baru ini.


Ia dengan sendirinya menunjukkan beliau ada kekuatan dan tidak boleh diketepikan begitu saja.


Begitu juga Saifuddin Nasution Ismail sebagai Setiausaha Agung, selagi Anwar selesa dan senang dengan kerja dan kemampuannya dalam menjalankan tugas, ia tidak harus menimbulkan apa-apa masalah bagi sesiapa.


Yang menerajui parti ialah Anwar dan sudah tentu beliau mahukan pasukan yang dipercayainya untuk bekerja secara rapat dengannya.


Sama halnya dengan lantikan-lantikan lain, memang ada yang tidak puas hati di sana sini mengenainya, tetapi selagi semua orang menyedari ia adalah hak dan kuasa presiden parti, maka ia hendaklah diterima dengan hati yang terbuka.


Lagi pun, Anwar sendiri sudah menjelaskan lantikan daripada pelbagai kelompok yang dibuatnya adalah untuk menjadikan PKR sebuah parti yang inklusif.


Masih susahkah Azmin mahu memahaminya atau semua ini dilakukan dengan sengaja?


Apakah Azmin sekarang ini, oleh kerana sudah ada Tun Mahathir sebagai pelindung dan penaungnya, maka beliau kini begitu bernafsu untuk melonjak lebih tinggi serta tidak segan silu lagi menunjukkan permusuhan dengan Anwar?


Apakah semua tindakan ini secara tidak langsung bertujuan untuk menjadikan PKR tidak padu, parti yang berpecah dan menunjukkan Anwar sebagai pemimpin yang gagal menerajui parti sendiri, lalu akhirnya memberi lorongan untuk Tun Mahathir agar tidak melakukan peralihan kuasa dan terus memegang jawatan Perdana Menteri sehingga PRU15 pada tahun 2023 nanti? (ShahbudinHusin 29/12/2018)

PERHIMPUNAN AGUNG BERSATU PERLU BUAT KETETAPAN TOLAK DAHULU KEMASUKAN AHLI2 PARLIMEN UMNO


Salah satu isu yang menimbulkan kegelisahan di kalangan ahli-ahli Bersatu, malah mula menampakkan keretakan dalam Pakatan Harapan ialah berkenaan lompat parti yang melibatkan Ahli Parlimen dan bekas pemimpin-pemimpin UMNO.


Kecenderungan itu yang nampaknya makin ketara sejak-sejak akhir ini tidak dinafikan telah menyebbabkan ada pemimpin Bersatu di peringkat bahagian mulai resah dan tidur tak lena memikirkan kedudukan mereka.


Dengan kemasukan Ahli Parlimen dan bekas pemimpin UMNO itu ke dalam Bersatu, yang kita tahu semuanya adalah kalangan yang kaya dan banyak duit, mereka pasti dengan mudah menguasai teraju kepimpinan Bersatu dan mampu menewaskan pejuang-pejuang asal yang kebanyakannya hanyalah berdarjat "biasa-biasa saja".


Tambahan lagi, dengan kedudukan sebagai Ahli Parlimen atau Adun misalnya, jika mereka bertanding melawan Ketua Penaja Bersatu sedia ada, kelebihan kedudukan itu memang sesuatu yang tidak boleh dinafikan.


Dalam waktu yang sama, kemasukan Ahli Parlimen UMNO ke dalam Bersatu pula, secara tidak langsung telah menimbulkan kecurigaraan banyak pihak dalam Pakatan Harapan sendiri kepada Tun Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri.


Ia dilihat sebagai usaha Perdana Menteri untuk mengukuhkan lagi kedudukannya dengan tujuan bertapak lebih lama di di kerusi Perdana Menteri.


Logiknya, tidak perlu sama sekali bagi Tun Mahathir untuk menambah-kukuhkan kedudukannya kerana melalui sokongan Ahli Parlimen PKR, DAP, Amanah, Bersatu dan Warisan di Sabah sedia ada pun sudah memberikannya keselesaan sebagai Perdana Menteri.


Lagi pula, Tun Mahathir hanyalah Perdana Menteri sementara selama dua tahun saja sebelum mengikut perjanjian akan menyerahkan jawatannya itu dalam tempoh dua tahun kepada penggantinya, Anwar Ibrahim.


Maka, untuk apa lagi bagi Tun Mahathir perlu menguatkan kedudukannya melalui kemasukan Ahli Parlimen UMNO ke dalam Bersatu?


Untuk itu, dalam Perhimpunan Agung Tahunan atau PAT Bersatu buat kali kedua ini, tambahan lagi parti itu sudah menjadi kerajaan ketika itu, perwakilan Bersatu wajib membangkitkan perkara ini dalam topik perbahasan serta menjadikannya suatu ketetapan parti.


Mereka perlu membangkitkannya dengan meletakkan syarat bahawa bagi bekas pemimpin UMNO yang mahu menyertai Bersatu selepas UMNO hilang kuasa, harus ada tempoh tertentu mereka tidak boleh memegang sebarang jawatan dalam parti.


Sebaik-sebaiknya tempoh yang perlu diletakkan ialah SELAMA DUA TAHUN.


Dalam tempoh tersebut, mereka hanya boleh menjadi ahli biasa saja dalam Bersatu dan mesti menyokong kepimpinan Bersatu sedia ada di peringkat bahagian.


Begitu juga bagi bekas Ahli Parlimen UMNO yang keluar parti, meskipun sudah ada yang diterima sebagai ahli Bersatu, perwakilan PAT kali ini juga wajib membangkitkannya dengan meletakkan syarat mereka mesti menjadi Ahli Parlimen Bebas SELAMA DUA TAHUN terlebih dahulu sebelum boleh memohon untuk menyertai Bersatu.


Mana-mana permohonan untuk menyertai Bersatu sebelum tempoh dua tahun mesti ditolak terlebih dahulu.


Tempoh dua tahun adalah paling memadai untuk menguji kesetiaan, tahap kesabaran dan keikhlasan mereka melompat parti daripada UMNO kepada Bersatu yang kini sudah menjadi kerajaan.


Dalam tempoh dua tahun itu juga, selain mampu memberi keselesaan kepada Ketua-Ketua Bahagian Bersatu sedia ada menjalankan tanggungjawab mereka atau menghadapi pertandingan sesama sendiri pada 2019 akan datang, bahkan dalam tempoh itu juga sudah pun berlaku peralihan kuasa daripada Tun Mahathir kepada Anwar.


Hanya dengan meletakkan syarat DUA TAHUN ini saja akan menampakkan kepimpinan Bersatu benar-benar ikhlas terhadap pejuang-pejuang asal parti mereka, juga menampakkan keikhlasan Tun Mahathir dan Bersatu untuk menunaikan janji menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar sebagaimana yang sudah dipersetujui.


Jika ini dapat dijadikan ketetapan dalam PAT kali ini, bukan saja Pakatan Harapan akan terus kukuh untuk menghadapi PRU15 akan datang, malah nama Tun Mahathir sendiri akan terus harum mewangi sebagai Perdana Menteri benar-benar menepati janjinya. (ShahbudinHusin 29/12/2018)

Friday, 28 December 2018

PENEGASAN YANG AMAT BERMAKNA DARIPADA MUHYIDDIN


Penegasan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin bahawa parti itu akan tetap berpegang kepada janji untuk menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8, tentulah suatu kenyataan yang amat bermakna pada waktu ini.


Ia amat bermakna kerana beliau mengeluarkan kenyataan itu bukan saja menjelang Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang diadakan bermula hari ini hingga 30 Disember di PICC di Putrajaya, malah di ketika khabar angin semakin bertiup kencang mengenai hubungan Tun Mahathir Mohamad dengan bakal penggantinya itu.


Pendirian Muhyiddin dalam soal ini amat mudah untuk difahami iaitu peralihan kuasa daripada Tun Mahathir kepada Anwar itu sudah dipersetujui dan diterima rakyat ketika mereka memberi undi kemenangan kepada Pakatan Harapan dalam pilihanraya umum lalu.


Kata beliau, menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8 adalah kehendak rakyat yang tidak boleh dinafikan dan Bersatu akan tetap berpegang kepada janji tersebut.


Malah, Muhyiddin turut memberi amaran Pakatan Harapan mungkin kehilangan kuasa dalam pilihanraya akan datang kiranya gagal menunaikan kehendak rakyat itu.


Dengan kenyataan Muhyiddin ini, ahli-ahli Bersatu dan pejuang maya parti itu perlu akur dan sependirian dengan beliau demi masa depan parti dan Pakatan Harapan agar terus menerajui negara ini.


Muhyiddin bukan saja melihat peralihan kuasa kepada Anwar itu dalam konteks menepati janji, suatu perkara yang dituntut dalam agama, bahkan yang turut penting ialah untuk menentukan Pakatan Harapan terus menang dalam PRU15 nanti.


Adakah sesiapa dalam Pakatan Harapan mahu kehilangan kuasa dalam pilihanraya akan datang nanti? (ShahbudinHusin 28/12/2018).

TINJAUAN BETUL ATAU TINJAUAN BODEK?


Jika kita jujur, kita pasti dapat melihat dan merasakan rungutan rakyat terhadap kerajaan dan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad terhampar di mana-mana sekarang ini.


Selain terlalu banyak isu melibatkan  kerajaan tidak ditangani dengan baik dan janji manifesto tidak lebih umpama "janji bulan madu", malah janji 100 hari yang digegak-gempitakan selama ini pun seakan-akan sudah dilupakan oleh mereka yang baru mendapat kuasa.


Janji PTPTN dan menghapuskan hutang peneroka Felda misalnya, masih lagi tiada penyelesaian setelah lebih tujuh bulan berlalu, meskipun golongan muda dan peneroka Felda telah memberi undi yang jelas memihak kepada Pakatan Harapan.


Dalam konteks peneroka Felda misalnya, di sebalik jumlah kerusi Parlimen yang disumbangkan oleh pengundi kawasan tersebut kepada Pakatan Harapan melonjak kepada 19 kerusi, lebih berbanding jumlah kerusi yang dimenangi Bersatu sendiri iaitu hanya 13, tetapi nasib mereka masih lagi tidak dibela dengan sewajarnya.

Selain itu, isu kos sara hidup dan kenaikan harga barang masih lagi membelenggu kehidupan rakyat. Di mana-mana kita boleh mendengar rungutan rakyat mengenainya.


Oleh itu, kita agak musykil dengan hasil kajian terbaru oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia atau UIAM yang mendapati rakyat kononnya kekal berpuas hati dengan kepimpinan Tun Mahathir.


Puas hati celah mana sebenarnya hasil dapatan UIAM itu?


Dalam hal ini, jika kita masih ingat pada 2011 dahulu di mana ketika itu penolakan rakyat sudah bermula terhadap kepimpinan Najib Razak, khususnya berkaitan kelemahan kerajaan, pembaziran dan kemewahan yang tampak berleluasa, UIAM juga ada membuat tinjauan umum yang mendapati kononnya tahap populariti Perdana Menteri melonjak dengan mantap.


Hasilnya, meskipun Najib kekal lagi berkuasa selepas pilihanraya 2013, tetapi jumlah kerusi Parlimen yang dimenang BN telah berkurang lapan kerusi berbanding pilihanraya 2008 serta kalah dari segi undi popular.


Ia menunjukkan rakyat memang ingin menukar kerajaan pada pilihanraya 2013 itu, kekuatannya tidak cukup ampuh pada waktu itu.

Kini, di mana ketika kerajaan baru Pakatan Harapan mula dipertikaikan ramai, UIAM sekali lagi tampil dengan kajian atau tinjauan umumnya yang mendapati rakyat dikatakan kekal berpuas hati dengan kepimpinan Tun Mahathir.


Yang nyata, hasil dapatan kedua-dua tinjauan oleh UIAM itu, satu di era Najib dan satu lagi di era Tun Mahathir kini, nampaknya menunjukkan satu corak keputusan yang hampir sama.


Satu melonjak dengan mantap dan satu lagi kekal berpuas hati. 


Yang menariknya, tinjauan UIAM ini muncul hanya kira-kira seminggu selepas hasil kajian Rafizi Ramli dan Invoke yang mendapati rating Tun Mahathir telah menurun sebanyak 20 peratus.


Berdasarkan kedua-dua hasil dapatan UIA itu, ia sebenarnya tinjauan betul atau tinjauan nak membodek? (ShahbudinHusin 28/12/2018).

Thursday, 27 December 2018

INKUES HANYA MELENGAHKAN KEADILAN KEPADA KELUARGA ADIB - PEGUAM MUSLIM


Menteri Dalam Negeri YB Tan Sri Mukhyiddin Yassin hari ini dilaporkan sebagai berkata Peguam Negara telah membuat keputusan untuk mengadakan inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang terbunuh semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ25 Subang Jaya. 


2. Inkues adalah suatu prosedur di bawah Bahagian XXXII Kanun Acara Jenayah yang mana majistret boleh diarahkan oleh Peguam Negara menurut seksyen 339(1) Kanun yang sama untuk membuat siasatan bagi menentukan sebab sesuatu kematian.


3. Menurut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan Peguam Negara adalah satu-satunya pihak yang mempunyai kuasa, menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.


4. Walaupun keputusan mengadakan inkues ini memang berada di dalam kuasa Peguam Negara (sebagai Pendakwaraya) seperti termaktub di dalam seksyen 339(1) Kanun Acara Jenayah tetapi keputusan Peguam Negara ini menimbulkan pelbagai persoalan kerana ia seolah-olah memberi gambaran Peguam Negara masih keliru sebab kematian Mohd Adib sedangkan sebab kematiannya telah jelas berdasarkan laporan perubatan dan bedah siasat (post mortem) yang dilakukan ke atas jenazah Mohd Adib. Malah Polis Diraja Malaysia juga telah membuka kertas siasatan dan mengklasifikasi kes tersebut sebagai kes bunuh.


5. Proses inkues mengambil masa di mana majistret secara inquisitorial mempunyai kuasa yang luas meneliti sebab kematian Mohd Adib termasuk memanggil semua pihak yang terlibat yang dijangkakan menjangkau puluhan orang.  Oleh kerana proses ini mungkin mengambil masa ia menimbulkan kebimbangan terhadap empat orang yang sedang disiasat oleh pihak PDRM. 


6. Walaupun PDRM telah mengklasifikasi semula kes ini di bawah seskyen 302 (membunuh)  Kanun Keseksaan setelah kematian Mohd Adib tiada tindakan segera diambil oleh PDRM atau Peguam Negara untuk menangkap atau menuduh dibawah seksyen 302 tersebut.


7. Apa yang lebih menggusarkan ialah keempat-empat yang disiasat tersebut telah dilepaskan atas jaminan polis (jamin mulut) bukan jaminan daripada mahkamah yang mana perlu disediakan penjamin dan sejumlah wang ditetapkan mahkamah. Oleh itu orang yang disiasat bebas ke mana sahaja yang mereka mahu tanpa sekatan.


8. Sekiranya pihak PDRM atau Peguam Negara berpandangan pihak yang sedang disiasat itu tiada kaitan dengan kesalahan yang disiasat kenapa pula mereka dilepaskan dengan jaminan polis, seharusnya mereka dilepaskan sepenuhnya.


9. PPMM berpandangan bahawa mengadakan inkues bagi kes ini adalah tidak perlu dan hanya akan melengah-lengahkan keadilan kepada keluarga mangsa sahaja dan menyeru PDRM segera  menyempurnakan kertas siasatan dan Peguam Negara membuat keputusan cepat mendakwa pihak yang terbabit. Bukan semua kes yang disiasat dibawah seskyen 302 Kanun Keseksaan memerlukan keputusan inquest terlebih dahulu sebelum pendakwaan dapat dilakukan.


10. Oleh kerana PDRM telah mengklasifikasi semula kes ini di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah amat wajar PDRM menangkap semula dan mendapatkan tahanan reman kepada mereka yang sedang disiasat tersebut bagi mengelakkan proses undang-undang digagalkan melainkan PDRM berpendapat mereka  tidak melakukan kesalahan tersebut dan memberikan justifikasi agar ia menjadi telus.  Meskipun begitu PDRM dan Peguam Negara perlu menjelaskan dimana keberadaan orang yang disiasat dan status siasatan tersebut.


11. Oleh yang demikian PPMM mendesak Peguam Negara memberikan penjelasan terperinci kenapa tiada pendakwaan dilakukan dibawah seksyen 302 setakat ini dan kenapa pula inkues dijalankan kerana orang awam tidak mempunyai akses kepada siasatan. Masyarakat perlu tahu samada siasatan masih belum lengkap atau terdapat elemen lain yang boleh menjadikan pendakwaan gagal. 


12. PPMM juga berasa sangat pelik apabila ada pihak yang meminta perlindungan dengan SUHAKAM untuk masuk campur di dalam siasatan polis dan meminta siasatan bebas dilakukan. Adakah ini bermakna pihak polis sudah tidak menjalankan siasatan dengan bebas sehingga perlu diadakan siasatan lain? Hal ini selari dengan kenyataan seorang menteri yang menyalahkan pihak polis dalam insiden ini suatu ketika dahulu. 


13. Selain daripada pelaksanaan undang-undang jenayah ini, keluarga Mohd Adib juga boleh mencari alternatif lain mengambil tindakan terhadap pelbagai pihak yang berkaitan melalui undang-undang tort di mahkamah sivil bagi mendapatkan keadilan kepada mereka.


Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar

Presiden

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

27 Disember 2018.

FORMULA MERBAHAYA DARIPADA SHAHIDAN.....


Pemimpin UMNO Perlis yang sedang berdepan pendakwaan di mahkamah atas tuduhan mencabul seorang gadis bawah umur, Shahidan Kassim berkata, Tun Mahathir Mohamad boleh terus mengekalkan kuasanya sebagai Perdana Menteri meskipun sekiranya PKR dan DAP keluar daripada Pakatan Harapan.


Katanya, dengan keluarnya PKR dan DAP, Tun Mahathir masih mampu mengekalkan kuasanya melalui sokongan daripada Ahli Parlimen Melayu dan Bumiputera.


Dengan mengambil kira semua Ahli Parlimen UMNO, Pas serta daripada Sabah dan Sarawak memberi sokongan kepada Tun Mahathir, kata Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau, Perdana Menteri akan mendapat sokongan yang cukup kuat iaitu daripada sejumlah 129 Ahli Parlimen.


Kiraan 129 yang disebutnya itu adalah berdasarkan  jumlah 221 Ahli Parlimen keseluruhan (tidak dikira Cameron Highland yang akan ada pilihanraya kecil pada 26 Januari depan) yang ditolak dengan 50 jumlah kerusi Parlimen PKR dan 42 lagi kerusi milik DAP.

Dalam erti kata lain, melalui formula atau idea Shahidan itu, kerajaan baru yang tertubuh nanti benar-benar sebuah kerajaan Melayu dan Bumiputera yang meminggirkan hampir keseluruhan sokongan bukan Melayu, kecuali satu Ahli Parlimen MCA dan satu Ahli Parlimen MIC (tak termasuk Cameron Highlands).


Soalnya, realistikkah angan-angan Shahidan itu atau formula beliau sebenarnya terselindung kepentingan peribadi berkaitan kes yang sedang dihadapinya?


Adakah juga semua Ahli Parlimen Melayu dan Bumiputera sedia memberi sokongan kepada Tun Mahathir?


Dalam UMNO sendiri, apakah Ahli Parlimen seperti Najib Razak, Zahid Hamidi, Nazri Aziz dan lain-lain akan turut sedia memberikan sokongan?


Tetapi, di sebalik cadangan formula Shahidan untuk mewujudkan kerajaan Melayu dan Bumiputera saja dan memingkirkan kaum Cina dan India itu,  ia sebetulnya amat merbahaya untuk sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia.


Cadangan beliau bukan saja terselit kepentingan peribadi, malah bersifat rasis dan mengundang bahaya yang besar menuju perpecahan serta ketidakharmonian dalam masyarakat negara ini.


Kecuali Tun Mahathir bukan lagi Tun Mahathir yang berjiwa Malaysia seperti yang kita kenali selama ini, rasanya boleh dikata mustahil cadangan Shahidan ini akan diterima positif oleh beliau.


Sebagaimana ketika berkuasa selama 22 tahun sebelum ini dan dalam kejayaannya menumbangkan UMNO dan BN dalam pilihanraya baru-baru ini, semuanya adalah kerana beliau tidak pernah meminggirkan sokongan daripada kaum bukan Melayu.


Bagi Tun Mahathir, tidak mengapa jika Melayu berpecah, tetapi beliau masih mampu mengekalkan kuasa atau menumbangkan kerajaan jika sokongan bukan Melayu secara majoriti masih berpihak kepadanya.


Oleh itu, selain perlu memberi cadangan lain yang lebih bernas untuk membawa UMNO kembali berkuasa atau untuk menyelamatkan dirinya, ada baiknya juga Shahidan bersiap sedia saja untuk berdepan perbicaraan mahkamah dalam kesnya yang dijadualkan pada awal tahun depan nanti. (ShahbudinHusin 27/12/2018)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...