Friday, 30 June 2017

BERANIKAH KETUA PENERANGAN PAS MENYAHUT CABARAN?


Susulan kenyataan Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan semalam yang mengecam pihak-pihak tertentu yang pergi "meronda" membuat aduan ke beberapa negara mengenai 1MDB, beliau kini dicabar untuk berterus-terang mengenainya.

Dua individu yang sebelum ini diketahui membuat aduan mengenai 1MDB di Paris, London, Switzerland, AS, Hong Kong dan Singapura sehingga ditangkap dan dipenjarakan di bawah undang-undang Sosma, Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang secara terbuka mencabar Nasruddin untuk menyebut nama mereka.
"Saya cabar Nasruddin untuk sebut nama saya secara terbuka sebagai pelapor yang dimaksudkan jika beliau anak jantan.

"Kalau takut nak sebut nama saya, tolong jangan campurtangan dalam isu 1MDB yang beliau serta pemimpin-pemimpin Pas lain tidak tahu fakta mengenai skandal kewangan terbesar di dunia pada dekad ini," tegas Khairuddin.

Peguam Matthias Chang juga mencabar Nasruddin menyatakan sama ada beliau yang dimaksudkan sebagai individu yang mempelawa campurtangan asing oleh Ahli Parlimen Temerloh itu.
"Saya mencabar beliau menyatakan sama ada dia merujuk kepada saya dan Khairuddin dalam dakwaannya itu," kata Matthias lagi.

Malah, beliau juga menawarkan ganjaran RM1 juta kepada Nasruddin sekiranya dapat membuktikan dirinya terbabit berpakat dengan pihak berkuasa AS dalam isu 1MDB.

Lalu, apa lagi? Ada hadiah RM1 juta pulak?

Alang-alang macam beria-ia sangat nak membela dan mempertahankan Najib Razak, UMNO dan BN dalam skandal 1MDB yang menjadi sebutan seluruh dunia sehingga mengumpamakan saman DOJ seperti meminta beruang menampar nyamuk di muka kancil, diharap Nasruddin dapatlah menyebut secara terbuka, terang dan nyata nama Khairuddin dan Matthias sebagaimana yang dicabar itu.

Takkan takut pulak?
Kalau boleh janganlah beliau sekadar keluarkan kenyataan saja, sebaliknya buatlah satu  sidang akhbar khas supaya nama Khairuddin dan Matthias yang disebut itu dapat didengar dengan terang dan videonya pula dapat ditularkan.

Dan Najib, UMNO serta BN yang melihat keberanian  beliau menyahut cabaran itu pun tentunya akan tumpang bangga sama.

Itu pun kalau benar-benar anak jantanlah!! (ShahbudinHusin 30/06/2017).

TIDAK MALUKAH MEMBELA PERKARA2 MUNGKAR?


Membangkitkan isu laporan Jabatan Keadilan Amerika (DOJ) berkaitan penggubahan wang haram dari aliran akaun 1MDB dan dikait dengan perbelanjaan kepada individu tertentu yang dinamakan MO1 dan isteri MO1 sebagai  campur tangan asing adalah suatu yang sangat memalukan. 


Komen-komen dari pemimpin parti UmnoBN serta segelintir pemimpin pembangkang termasuk PAS serta berapa orang mufti adalah dilihat sebagai percubaan untuk mensucikan pelaku jenayah penggubahan wang haram di Amerika.


Terang-terang dokumen saman yang difailkan oleh DOJ di US District Court For The Central District of California adalah bertujuan untuk menyita dan mendapatkan kembali hasil penyelewengan yang berjumlah USD540 juta (bersamaan dengan RM2.3 bilion) dalam bentuk aset-aset yang dipercayai dibeli menggunakan wang yang diselewengkan dari akaun 1MDB yang keseluruhannya telah menjangkau sebanyak USD1.7 bilion (bersamaan dengan RM7.3 bilion). 


DOJ bertindak memfailkan kes tersebut di mahkamah Amerika Syarikat setelah siasatan mendapati wang yang 'dirompak' dari 1MDB tersebut telah digunakan untuk transaksi-transaksi di Amerika Syarikat dimana ianya jelas membabitkan perbuatan pengubahan wang haram (money laundering) yang menjadi kesalahan di Amerika Syarikat serta di seluruh dunia. 


Malaysia juga tidak terkecuali kerana Malaysia mempunyai undang-undang bagi mencegah penggubahan wang haram iaitu  Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Keganasan 2001 akta 613 atau lebih di kenali sebagai AMLATFAPUAA seperti di Amerika Syarikat. 


Justeru, apa yang diseret dan dipalitkan nama-namanya seperti MO1 oleh DOJ adalah pelaku jenayah penggubahan wang haram tersebut.


Hasil siasatan DOJ mendapati wang tersebut adalah aliran dari akaun 1MDB. Dapatan hasil siasatan DOJ juga mendapati wang tersebut telah mengalir kembali kepada individu seperti MO1 dan isteri MO1 dalam bentuk tunai dan juga dalam bentuk permata berlian.


Persoalannya, apakah menjadi suatu kesalahan pihak berkuasa Amerika Syarikat untuk mengambil tindakan keatas pelaku jenayah penggubahan wang haram di Amerika walaupun ianya adalah rakyat Malaysia?


Apakah Malaysia akan  melindungi pelaku jenayah penggubahan wang haram dari kalangan rakyat Amerika Syarikat andainya mereka lakukan aktiviti sedemikian di Malaysia?


Adakah peguam negara dan para mufti serta ulamak parti politik akan mengguna hujah yang sama iaitu tidak mahu dituduh sebagai mencampuri urusan negara asing walau pun kesalahan itu dilakukan di Malaysia.


Apakah perlu Peguam Negara, para Mufti dan PAS bangkit bagi mencadangkan pemansuhan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Keganasan 2001 yang telah sedia diwartakan?


DOJ tidak mendakwa 1MDB kerana 1MDB adalah mangsa penjenayah penggubahan wang haram. Apa yang diambil kira oleh DOJ ialah untuk mengheret perompak, penyamun, penyangak dan penjenayah penggubahan wang haram ke muka pengadilan. 


Sekiranya mahkamah di Amerika membenarkan permohonan DOJ tersebut, maka sudah tentu harta yang dibeli dengan menggunakan wang 1MDB tersebut akan dirampas dan dicairkan dalam bentuk tunai untuk diserahkan kembali kepada 1MDB yang merupakan syarikat milik rakyat dan negara Malaysia.


Rakyat amat berharap agar sesuatu perlu dilakukan di negara kita Malaysia untuk mengheret mereka yang terlibat dan bersubahat dalam kes 'pencurian mega' wang 1MDB yang menyebabkan aktiviti penggubahan wang haram tersebut dilakukan oleh individu seperti disebut dalam laporan DOJ.


Amerika Syarikat mahupun pihak asing lain tidak mencampuri urusan perundangan Malaysia dan jangan pula Malaysia dilihat dunia sebagai mencampuri urusan proses perundangan di Amerika Syarikat oleh DOJ semata-mata untuk 'mensucikan penjenayah' yang telah merosakkan nama baik Malaysia dimata dunia.


Sesuatu yang sangat pelik bilamana dapatan siasatan pihak berkuasa Amerika Syarikat menemui kes penggubahan wang haram dari dana 1MDB yang dikitar di Amerika Syarikat kemudiannya dikembalikan semula ke Malaysia untuk MO1 dan isteri MO1, tiba-tiba Jabatan Peguam Negara Malaysia tampil untuk menjadi 'hero' dengan mengeluarkan kenyataan berbunyi "tiada berlaku apa-apa kes kecurian dalam 1MDB" dan begitu juga dengan golongan agamawan dengan kenyataan yang berbunyi  "jangan biar campur tangan asing dalam kes 1MDB".


Dengan kenyataan-kenyataan yang sedemikian rupa pastinya PM Najib Razak, MO1 dan isteri MO1 tersenyum lebar hingga ke telinga melihat agamawan yang sungguh menawan sedangkan rakyat Malaysia sedikit pun tidak tertawan dengan kenyataan yang seolah untuk memperbodohkan rakyat Malaysia yang bijak bistari.



Dato' Hj Mahfuz Hj Omar

Ahli Parlimen Pokok Sena

30 Jun 2017/06 Syawal 1438H


Ulasan Blog - Lagi banyak pihak-pihak yang ingin mempertahankan Najib Razak mengeluarkan kenyataan berkaitan DOJ, tidak kira mereka itu daripada UMNO, Pas, agamawan, NGO atau sesiapa saja, ia sebenarnya lagi memalukan diri mereka sendiri.


Apa pun hujah dan alasan yang mereka gunakan, ia tidak lain untuk membela dan mempertahankan kecurian wang yang telah hilang. Sementara mereka menolak canpurtangan asing, tindakan mempertikaikan DOJ juga suatu percubaan mencampuri undang-undang negara tersebut, meskipun sebenarnya tindakan itu untuk kebaikan dan akhirnya memberi faedah kepada negara kira.


Mereka fikir dengan kenyataan sedemikian rupa, rakyat akan terpedaya dan terus mengekalkan Najib untuk terus berkuasa. Seronok benar nampaknya mereka dapat membela dan mempertahankan Najib.


Walaupun sudah disebut banyak kali, mereka sengaja buat-buat lupa bahawa kesimpulahnya jika Najib, UMNO dan BN terus berkuasa, kemungkinannya lagi banyak skandal dan kecurian akan terus berleluasa.


Tidak saja Najib yang akan tersenyum gembira, malah Jho Low tentunya yang paling suka hingga senyum sampai ke telinga. Tidak saja aktivitinya mendalangi skandal 1MDB bagaikan dibela, bahkan rambu-rambanya dengan arak, berjudi di kasino, berhibur dengan artis Hollywood dan memberi hadiah jutaan ringgit kepada selebriti antarabangsa selama ini juga turut mendapat pembelaan daripada pejuang-pejuang bangsa dan agamawan yang sama.


Tidak ada rasa malukah dalam diri mereka itu kerana secara terbuka membela perkara yang terang-terang mungkar dan berdosa? (ShahbudinHusin 30/06/2017)

Thursday, 29 June 2017

EHHH....SIAPA YANG PANIK?

Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa berkata, tindakan pembangkang cuba memanipulasi laporan DOJ adalah bertujuan mengalih tumpuan daripada isu penubuhan Suruhanjaya Diraja berkaitan urusniaga mata wang asing atau forex yang ditubuhkan kerajaan.

Kata beliau, keputusan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja itu telah mewujudkan keadaan panik di kalangan pembangkang.

Benarkah pembangkang sedang panik?

Sebelum panik, mari kita fahami dahulu beza antara DOJ dengan forex.

Isu DOJ ialah berkaitan 1MDB yang daripada syarikat pelaburan kerajaan tersebut dipercayai hampir RM20,000 juta telah diselewengkan dan dalam masa yang sama, hutangnya pula mencecah RM55,000 juta.

1MDB ditubuhkan oleh Najib, Pengerusi Lembaga Penasihatnya Najib, Perdana Menteri Najib, Pengerusi Mesyuarat Kabinet Najib, Menteri Kewangan Najib dan orang yang terikat secara langsung dengan Artikel 117 M & A syarikat iaitu berkuasa meluluskan sebarang urusan berkaitan kewangan dan pelaburan 1MDB juga adalah Najib.

Berdasarkan laporan DOJ, turut didedahkan bahawa "Malaysian Official 1" telah mendapat sejumlah RM3,000 juta daripada dana 1MDB yang dilencongkan melalui akaun peribadinya, manakala "isteri Malaysian Official 1" menerima hadiah barang kemas serta perhiasan mewah daripada Jho Low bernilai kira-kira RM128 juta.

Meskipun sehingga ini tiada sesiapa mahu mengaku sebagai "Malaysian Official 1", tetapi Pengarah Komunikasi Strategik BN, Abdul Rahman Dahlan dengan bangga mengesahkan ia adalah Najib.

Urusniaga matawang asing yang menyebabkan negara kerugian sehingga AS10 bilion kira-kira 25 tahun lalu adalah diuruskan oleh Bank Negara dengan pegawai yang dikatakan bertanggungjawab mengenainya ketika itu ialah Nor Mohamed Yakcop.

Ketika itu, Tun Mahathir Mohamad hanyalah Perdana Menteri dan Pengerusi Mesyuarat Kabinet, manakala Menteri Kewangan ialah Anwar Ibrahim.

Memang berlaku kerugian dalam urusniaga forex, tetapi ia adalah berkaitan perniagaan yang tertakluk kepada ada masa untung, ada masa rugi. 

Namun, tindakan pencegahan telah diambil untuk mengelakkan kerugian lebih menimbun, bahkan Nor Mohamed Yakcop juga telah diarah meletakkan jawatan dan dilarang terlibat dalam urusan kewangan negara sebagaimana yang disahkan oleh Anwar ketika mengadap Pasukan Petugas Khas sebelum ini.

Meskipun berlaku kerugian, nilai ringgit ketika itu tidak begitu terancam atau jadi lemah dengan mendadak. Segala-galanya dalam keadaan terkawal, malah sehingga Tun Mahathir berundur pada 2003 dan Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri dan meletakkan jawatan pada 2009, nilai ringgit tidaklah terlalu buruk berbanding ketika era Najib yang diselubungi gerhana 1MDB.

Di sebalik kerugian forex juga, tiada sesiapa termasuk Tun Mahathir dan Anwar yang diketahui ada kemasukan beribu-ribu juta wang ke dalam akaun bank peribadi mereka.

Tetapi, di sebalik 1MDB, begitu ramai yang mendapag manfaat dan untungnya, termasuk tiba-tiba mampu menghasilkan filem di Hollywood dan memberi apartment mewah di New York dan London.

Selain itu, berbeza dengan forex di mana beberapa tindakan telah pun diambil, apa tindakan  kerajaan terhadap petualang-petualang 1MDB?

Maka, antara DOJ yang bertindak berkaitan 1MDB dan Suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan kabinet untuk menyiasat forex, siapa yang sepatutnya lebih panik? 

BN dan Najib atau pembangkang serta Tun Mahathir?

Adakah Annuar Musa turut sama panik bersama mereka yang sedang panik? (ShahbudinHusin 29/06/2017)

BURUAN MEDIA YANG MEMALUKAN MALAYSIA


Tidak dinafikan negara kita semakin popular dan glamour di mata dunia sekarang ini. Ia tidak pernah dialami sebelum ini, baik ketika era Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Tun Razak Hussein, Tun Mahathir Mohamad,  Tun Abdullah Badawi atau lain-lain Perdana Menterinya.

Tetapi, popular dan glamournya Malaysia di mata dunia bukanlah kerana kejayaan pembangunan atau terhasilnya sesuatu ciptaan yang membanggakan, sebaliknya hanya satu sebab - skandal 1MDB.

Skandal itu bukan saja menyebabkan negara kita menjadi sebutan dan medan siasatan beberapa negara, bahkan nama Perdana Menteri, Najib Razak turut diintai gerak-laku dan gaya hidupnya.

Setelah sebelum ini, percutian mewah, bermain golf dan pesta membeli-belah melibatkan keluarga Najib menjadi bahan intipan media, terbaru ini percutian beliau di Bali juga menjadi santapan menyelerakan bagi media-media di Indonesia.

Mereka bukan saja menjejaki berapa ahli rombongan, ahli keluarga yang turut serta, jumlah kereta yang digunakan, bahkan sehingga  jenis bilik penginapan di Hotel St. Regis, Bali juga dilaporkan sama.

Diberitakan, percutian Najib di Bali sehingga Jumaat ini sebelum kemudian menyambung cutinya ke Perth, Australia, beliau menempah 41 bilik, termasuk yang pernah disewa oleh Raja Salman dan selebihnya bertaraf presidential suites, meski ahli rombongan dikatakan cuma 23 orang saja.

Maka, berdasarkan laporan media Indonesia itu, siapa yang tinggal di bilik selebihnya itu atau bilik-bilik lebihan itu untuk mengisi apa?

Jika media Indonesia begitu mengejar percutian Najib dan keluarganya di Bali, tidak mustahil sesampainya di Perth nanti, beliau juga akan turut menerima nasib yang sama. 

Bahkan, seperti yang sedia diketahui umum, media Australia lebih terbuka dan detail lagi laporannya.

Jadi, kita tunggu saja apa episod seterusnya berita-berita yang akan muncul dari Perth nanti.

Pernahkah di era Perdana Menteri sebelum ini, baik Tun Mahathir yang berkuasa selama 22 tahun atau ketika Tun Abdullah yang terkenal dengan kawalan budak-budak tingkat 4, mereka dikejar media antarabangsa sebegitu rupa sehingga berkaitan hal-hal peribadi, barang kemas yang dibeli atau mengenai percutiannya?

Tidak pernah bukan? Mengapa media antarabangsa tidak mengejar mereka sebegitu rupa?

Jawabnya kerana tidak pernah ada mana-mana Perdana Menteri sebelum ini dikaitkan dengan skandal kewangan sebagaimana Najib terkait dengan 1MDB. Tidak perlu dihuraikan lebih lanjut mengenai skandal tersebut, siapa yang terlibat, siapa mendapat manfaat, siapa menerima hadiah, siapa menerima derma, siapa menerima barangan kemas serta siapa yang cuba menutup kes dan seolah-olah melindungi daripada sebarang tindakan.

Kelebihan Najib berbanding Perdana Menteri sebelumnya hanyalah kerana skandal kewangan terbesar yang dikaitkan dengannya. Ia juga menjadikan beliau berbeza dengan sesiapa pendahulunya, termasuk ayahnya sendiri, Tun Razak.

Perhatian media antarabangsa kepada Malaysia ini, jika diimbas kembali, tidak banyak bezanya dengan apa yang dialami oleh Filipina ketika era Ferdinand Marcos dahulu. Ketika itu, barangan  kemas, pakaian dan berapa jumlah kasutnya pun menjadi perhatian dunia.

Situasi yang sama juga pernah berlaku kepada beberapa negara Arab seperti Libya, Mesir, Iraq dan Tunisia di mana pelbagai cerita muncul dek kelakuan pemimpinnya yang suka bermewah, mengumpul kekayaan dan terkait dengan banyak skandal.

Kepada rakyat Malaysia, sampai bila kita mahu membiarkan negara ini menjadi tumpuan dunia, popular dan glamour dengan cara yang salah begini? (ShahbudinHusin 29/06/2017)

Wednesday, 28 June 2017

ALAHAI PAS....


Susulan saman sivil terbaru oleh DOJ yang secara asasnya meletakkan kehilangan wang 1MDB adalah mencecah RM20,000 juta, Pakatan Harapan memutuskan untuk mengadakan program jelajah ke seluruh negara bagi memberi penerangan serta kefahaman yang lebih jelas kepada rakyat mengenai isu tersebut.

Serentak itu, Pakatan Harapan juga mengajak parti-parti pembangkang lain untuk mengenepikan segala perbezan dan bersatu dalam program jelajah ini dengan harapan akhirnya mereka yang terlibat dengan skandal penyelewengan dana 1MDB dapat dibawa ke muka pengadilan.
Sehingga ini, selain  PKR, DAP, Amanah dan Bersatu iaitu parti-parti dalam Pakatan Harapan telah sepakat setuju untuk mengadakan program jelajah itu, ia turut dipersetujui oleh dua parti politik lain iaitu PSM dan juga Parti Warisan Sabah.

Program pertama akan diadakan pada 6 Julai ini di Kepala Batas, Pulau Pinang dan selepas itu akan bergerak pula ke seluruh negara mengikut jadual yang akan ditetapkan kemudian.

Bagaimanapun, hanya beberapa jam kemudian, Pas telah tampil menyatakan pendirian menolak untuk bersama-sama dalam program jelajah tersebut.

Seperti tidak banyak berbeza dengan alasan Hadi Awang, hujah penolakan Pas yang diutarakan melalui Khairuddin Aman Razali, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas ialah Pas bukan parti yang mudah terpengaruh dengan pihak asing.

Kata beliau, Pas sama-sekali tidak akan terikut-ikut dengan pihak luar seperti DOJ, malah menolak campurtangan pihak asing dalam menyelesaikan isu 1MDB.

"Apa-apa perkara berkaitan negara, biar kita selesaikan sendiri, bukan orang luar. Soal telus atau tidak, itu perkara kedua tetapi isu negara kita, biar kita selesaikannya," ujar beliau.

Alahai....
Maknanya, tiada apa lagi yang boleh diharapkan daripada Pas untuk bersama-sama menentang kemungkaran, penyelewengan dan pencurian dalam negara ini.

Walaupun hujah dan alasan mereka begitu meloyakan, sambil kopiah putih terlekat di atas kepala, pemimpin-pemimpin Pas nampaknya tidak malu-malu lagi mendedahkan wajah dan nilai perjuangan mereka yag semakin jauh menyimpang daripada jalan kebenaran.

Malah, daripada  berjuang menyelamatkan negara, Pas terlihat lebih seronok dibawa mencari teh tarik di Kota London oleh pemimpin UMNO untuk memberi penerangan tentang Akta 355 yang realitinya hanyalah acara suka-suka dan sia-sia.

Menolak Pas, menolak UMNO sudah tiada bezanya dan menyokong Pas adalah sama seperti menyokong UMNO juga. (ShahbudinHusin 28/06/2017).

SIAPA APANDI ALI? BUKANKAH BELIAU JUGA PEGUAM NEGARA YANG BERSIFAT POLITIK?

Reaksi Peguam Negara, Apandi Ali yang menyifatkan saman sivil Jabatan Kehakiman AS atau DOJ sebagai bermotif politik, bukan saja memualkan, tetapi hanya menambahkan lagi ketidakyakinan rakyat terhadap beliau.

Alasan beliau bahawa saman itu bermotif politik adalah disebabkan DOJ tidak pernah membuat sebarang permohonan rasmi kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan sebarang keterangan atau maklumat lanjut berhubung tuntutan yang mereka kemukakan.

"Jika mereka minta sebarang maklumat berkaitan 1MDB, adalah menjadi tangggungjawab kita memberi bantuan.

"Jadi, saya rumuskan tindakan DOJ itu adalah bersifat politik," kata Apandi.

Wahh...senangnya bagi alasan!

Kenapa Apandi tidak menjawab berdasarkan fakta undang-undang, tetapi mirip seorang ahli politik?

Sebenarnya, kenyataan Apandi itu sendiri lebih bersifat politik untuk melindungi semua pihak yang terkait dengan skandal 1MDB dengan beliau nampaknya sanggup membutakan mata dan hatinya terhadap semua fakta yang selama ini terbentang terang-terang di depan mata.

Lagi pula, kalau benar saman DOJ itu bersifat politik, kenapa bantahan secara rasmi terhadap Amerika Syarikat tidak segera dilakukan atau setidak-tidaknya memanggil Dutanya di Malaysia untuk menyuarakan bantahan?

Walaupun Apandi adalah Peguam Negara, tetapi lantikan beliau tidak diragui turut bersifat politik kerana ia berlaku secara tergesa-gesa dan mengejut hanya beberapa jam setelah Gani Patail dilucutkan jawatannya ketika mengetuai Pasukan Petugas Khas untuk menyiasat berkaitan 1MDB.

Kalau bukan bermotif politik, apakah tujuan lain perlantikan beliau sebagai Peguam Negara secara tergesa-gesa dan mengejut itu?

Apakah yang boleh kita harapkan daripada beliau jika lantikannya sendiri daripada awal sudah bersifat politik?

Motif politik Apandi di sebalik kenyataannya itu juga terserlah dengan kononnya Jabatan Peguam Negara sedia memberi bantuan jika diminta oleh DOJ.

Dalam hal ini, apakah Apandi telah lupa bagaimana beliau telah menolak sebanyak dua kali permohonan Peguam Negara Switzerland untuk mendapatkan bantuan perundangan bersama atau MLA untuk menyiasat berhubung penyelewengan dan penggubahan wang haram yang dikaitkan dengan dana 1MDB?

Jika jujur untuk menegakkan keadilan dan takutkan Tuhan, kenapa permintaan Peguam Negara Switzerland itu ditolak mentah-mentah?

Kenapa sampai dua kali permohonan pun tetap ditolak juga?

Mengapa hanya setelah DOJ memfailkan saman, baru Apandi cuba bermurah hati kononnya sedia memberi kerjasama jika diminta?

Apakah tidak mungkin jika DOJ juga meminta bantuan untuk melengkapkan penyiasatan atau sebelum memfailkan saman, ia juga akhirnya akan ditolak sama seperti yang dialami oleh Peguam Negara Switzerland?

Jika Apandi dengan mudah menolak saman DOJ dan menyifatkannya bermotif politik, kenyataan beliau itu juga bersifat politik dan semata-mata bertujuan melindungi orang yang melantiknya melalui kuasa politik.

Lalu, apa lagi tugasnya kalau bukan, "You help me, I help you"? (ShahbudinHusin 28/06/2017)

Tuesday, 27 June 2017

41 BILIK PRESIDENTIAL SUITES DI BALI, SIAPAKAH LAGI YANG IKUT BERCUTI BERSAMA DENGAN NAJIB?

Setelah terdedah percutian lima hari Najib Razak dan keluarganya di Bali bermula bermula 2 Syawal yang lalu, persoalan terbaru yang kini timbul ialah siapakah yang turut bercuti bersama dengannya?


Menurut laporan media Indonesia, Metronews.com, Najib yang menginap di Hotel St. Regis akan tinggal bilik yang sama yang pernah ditempah oleh Raja Salman dari Arab Saudi ketika bercuti di Bali pada Mac yang lalu.


Bilik tersebut dikira mewah kerana bertaraf Presidential Suites.


Menurut media tersebut lagi, rombongan Najib sebenarnya menempah 41 bilik yang kesemunya bertaraf Presidential Suites sepanjang percutiannya selama lima hari di Bali itu.


Dilaporkan juga, dalam percutian itu Najib turut disertai oleh enam anak-anaknya. 


Jumlah ini tentunya termasuk anak Najib dan Rosmah daripada perkahwinan mereka yang terdahulu kerana hasil perkahwinan Najib dengan Rosmah, mereka hanya mempunyai dua orang anak saja.


Soalnya, siapa lagi yang ikut serta dalam percutian tersebut?


Jika mereka itu termasuk ahli keluarga yang lain, pegawai-pegawai dari Pejabat Perdana Menteri atau rakan-rakan Najib, mengapa kesemuanya menginap di bilik bertaraf Presidential Suites?


Siapakah yang akan membayar semua kos bilik mewah untuk percutian itu dan berapa jumlah keseluruhannya?


Jika menggunakan dana kerajaan, apakah semua ahli keluarga, pegawai-pegawai dan rakan-rakan Najib mempunyai kelayakan menginap di bilik bertaraf Presidential Suites?


Selain itu, timbul juga persoalan sama ada St Regis Bali turut dimiliki oleh Peter Sondakh yang diketahui memiliki Hotel St Regis di Langkawi.


Peter Sondakh adalah pemilik Eagle High Plantation yang 37 peratus sahamnya baru-baru ini dibeli oleh Felda dengan harga AS$505 juta atau lebih RM2,200 juta.


Pembelian itu mendapat kritikan ramai, bukan saja kerana hubungan akrab Najib dengan Peter Sondakh, tetapi juga kerana harganya yang dikira tinggi berbanding nilai pasaran semasa serta dianggap tidak memberi banyak manfaat kepada peneroka Felda.


Jika Hotel St. Regis Bali turut dipunyai oleh Peter Sondakh, mungkinkah percutian  Najib kali ini mendapat tajaan sepenuhnya daripada ahli perniagaan terkenal Indonesia itu? (ShahbudinHusin 27/06/2017)

ISTERI MO1 AKAN SEGERA MERAIH SANJUNGAN DUNIA KIRANYA....


Kalau ikut logik Pengarah Komunikasi Strategik BN, Abdul Rahman Dahlan yang mengatakan "Malaysian Official 1" adalah Najib Razak dan hanya orang bodoh saja tidak mengetahui fakta tersebut, bermakna "isteri MO1"  sudah tentulah Rosmah Mansor.


Ikut logik yang sama, hanya orang bodoh saja yang berani mengatakan "isteri MO1" bukan Rosmah, satu-satunya suri yang ada dalam hati Perdana Menteri.


Ikut logik berdasarkan nama pula, Leonardo Dicaprio, seorang artis Hollywood dan Miranda Kerr, model antarabangsa kelahiran Australia, sudah pasti bukan beragama Islam.

Malah, dalam kehidupan sehari-hari, kedua-dua selebriti tersebut juga tidak mungkin mengamalkan cara hidup Islam.


Namun, kejujuran dan intergiti mereka cukup tinggi serta boleh disanjung setulus hati apabila mengetahui hadiah yang mereka terima berasal dari sumber yang haram dan sedang disiasat oleh DOJ, pihak berkuasa undang-undang di Amerika Syarikat.


Dicaprio, sebaik mengetahui hadiah Oscar yang dimenangi Marlon Brando yang dihadiahkan kepadanya adalah berpunca daripada penggubahan wang haram 1MDB, dengan pantas memulangkan semula trofi tersebut.


Beliau yang pernah berlakon di bawah produksi Red Granite milik Riza Aziz, anak tiri Najib yang harta-hartanya turut menjadi sasaran DOJ untuk disita, dirampas dan dikembalikan kepada Malaysia, juga berjanji untuk memberi kerjasama penuh kepada penyiasatan yang sedang dijalankan.


Selepas Dicaprio, Miranda Kerr pula mengambil langkah terpuji dengan memulangkan barang kemas berharga AS$8.1 juta yang pernah dihadiahkan oleh Jho Low kepadanya.


Beliau nampaknya tidak teruja untuk terus memiliki perhiasan berjuta-juta lantaran mengetahui ia berpunca daripada wang 1MDB yang dicuri.


Bagi Miranda Kerr, memiliki barang kemas dan perhiasan mewah berjuta-juta memang mengujakan, namun nilainya tidak bererti sama-sekali jika ia berpunca daripada wang yang dicuri, apa lagi kalau dihadiahkan oleh sang pencuri.


Lantas, memulangkannya adalah pilihan terbaik baginya.

Tetapi, bagaimana dengan "isteri MO1"  yang jelas disebut oleh DOJ menerima hadiah barang kemas keseluruhan berjumlah AS$28.6 juta atau kira-kira RM128 juta, juga daripada Jho Low?


Tidak tergerakkah dalam hati kecil "isteri MO1" yang sudah pasti beragama Islam untuk menuruti jejak langkah Dicaprio dan Miranda Kerr itu?


Sampai bila "isteri MO1"  mahu berdiam diri dan tidak memberi sebarang reaksi mengenai pemilikan barang kemas itu, kecuali Rosmah, melalui peguamnya ada mengugut mahu menyaman, sedangkan selebriti bukan Islam tiada masalah untuk mengakui dan memulangkan trofi dan barang kemas yang pernah dihadiahkan kepada mereka?


Belum terlewat sebenarnya untuk "isteri MO1"  meraih sanjungan seluruh dunia jika beliau juga dapat bertindak segera mencontohi apa yang telah dilakukan Dicaprio dan Miranda Kerr.


Kalau pun tidak malu dengan Tuhan dan tidak inginkan sanjungan dunia, tidak malukah "isteri MO1" kepada selebriti bukan Islam dari segi kejujuran dan menjaga wibawa diri di mata masyarakat?(ShahbudinHusin 27/06/2017).

SEPERTI TAHUN2 SEBELUMNYA, NAJIB "HILANG" LAGI DI HARI RAYA KEDUA


Seperti suatu kemestian, bahkan bagai acara tahunan, Najib Razak bercuti lagi ke luar negara pada Hari Raya kedua kali ini.

Menurut laporan beberapa media Indonesia, Najib dan keluarganya akan menghabiskan masa selama lima hari bercuti di Bali bermula semalam.

Di Bali, beliau dan keluarganya akan menginap di Hotel St. Regis, hotel yang sama pernah menjadi tempat penginapan Raja Salman dari Arab Saudi ketika bercuti sebelum ini.
Turut sama berada di Bali ialah bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama. Namun, tidak dipastikan mereka akan bertemu atau sebaliknya.

Selepas menghabiskan cuti selama lima hari di Bali, Najib difahamkan akan terbang pula meneruskan lagi percutiannya ke Perth, Australia.

Namun, seperti tahun-tahun sebelumnya juga, percutian Najib dan keluarga di Hari Raya kedua ini dilakukan secara senyap-senyap dan tidak ada menteri kabinet, pemimpin UMNO dan penyokong yang menghantar untuk mengalu-alukan pemergiannya.

Menjelang Hari Raya baru-baru ini, askar maya pro Najib sibuk mengecam Tun Mahathir Mohamad yang diketahui akan menyambut lebaran di London bersama keluarganya.

 Gambar-gambar beliau ketika berada di KLIA dan kemudian menunaikan solat sunat Aidil Fitri di London malah tular di media-media sosial.

Tanpa usul periksa dan memahami bahawa Tun Mahathir ada beberapa jemputan rasmi di London dan pemergiannya itu kemudian turut disertai anak-anak serta ahli keluarganya yang lain kerana mereka ingin menyambut Hari Raya bersama-sama, ramai askar maya pro Najib mempertikai dan menyindir tindakan bekas Perdana Menteri tersebut.

Hakikatnya, mereka lupa, Najib hampir setiap tahun, sebaik saja selesai majlis hari raya pada hari pertama di Seri Perdana, biasanya akan terbang bercuti ke luar negara untuk setidak-tidaknya selama dua minggu lamanya.
Tahun ini, nampaknya, acara itu diteruskan lagi dengan Bali sebagai destinasi pertama dan Perth untuk lokasi yang seterusnya.

Kenapa Bali dan Perth saja?

Kebetulan atau memang sengaja mahu bertemu dengan Obamai Bali dan kemudian rehat-rehat lagi di Perth?

Kenapa sudah agak lama Najib dan keluarganya tidak bercuti ke Amerika Syarikat, Swirzerland atau negara-negara lain yang di dalamnya ada kota-kota metropolitan yang gah dengan tempat-tempat membeli-belah serba mewah? (ShahbudinHusin 27/06/2017)

Monday, 26 June 2017

AKHIRNYA SABAH, SARAWAK TOLAK CUKAI PELANCONGAN, DIMANA SUARA "MENTERI JANTAN"?


Pada 15 Jun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan isu cukai pelancongan yang mencetuskan perbalahan antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz dengan Sabah dan Sarawak, telah selesai.


Menurut Zahid, isu itu telah dibawa ke mesyuarat Kabinet pada Rabu dan persetujuan telah dicapai bahawa tiada lagi kenyataan dikeluarkan berhubung perkara tersebut.

"Perdana Menteri telah mempengerusikan mesyuarat Kabinet dan kami memutuskan bahawa isu tersebut telah selesai, dan tiada lagi kenyataan boleh dikeluarkan sama ada daripada pegawai kerajaan negeri atau persekutuan.


"Saya sendiri bertemu dengan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak pada Rabu. Isu ini telah ditutup dan mari kita buka buku baharu," kata beliau pada sidang media di sini.


Itu kata Zahid pada 15 Jun lalu, tetapi apa jadi hanya tidak sampai dua minggu setelah pengumuman selesai itu diucapkannya.


Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Abang Haji Openg berkata, cukai pelancongan tidak akan dilaksanakan di Sarawak pada 1 Julai ini kerana perbincangan mengenainya dengan Putrajaya masih lagi berjalan.


Kata beliau, segala-galanya belum muktamad, hanya cara kerja yang selesai, sedangkan ada isu lain yang perlu dibincangkan, antaranya ialah berkaitan tempahan awal bilik-bilik hotel.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Masidi Manjun juga senada dengan Sarawak bahawa cukai pelancongan tidak akan dikuatkuasakan di negeri itu pada 1 Julai depan ini.


Alasan beliau ialah hotel-hotel belum lagi mendaftar untuk cukai tersebut.


"Jadi, bagaimana kerajaan akan mengutip cukai itu," katanya sambil menambah, persediaan logistik lain juga masih belum selesai.


Sebelum ini, isu cukai pelancongan itu mencetuskan perbalahan antara Nazri dengan Menteri Pelancongan, Keseniaan, Kebudayaan Belia dan Sukan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah yang tidak setuju dengannya.


Nazri kemudian melabel Abdul Karim sebagai menteri "setahun jagung"  dan dalam waktu yang sana meletakkan dirinya sebagai "menteri jantan".

Perbalahan juga kemudiannya merebak antara Nazri dengan dua menteri lain iaitu Fadilah Yusof dan Abdul Rahman Dahlan dan Sarawak mengumumkan pengunduran diri daripada Lembaga Pelancongan Malaysia.


Bagaimanapun, dengan dua kenyataan daripada pemimpin Sabah dan Sarawak yang mengatakan cukai pelancongan tidak akan dilaksanakan pada 1 Julai di kedua-dua negeri tersebut, bukan saja kenyataan Zahid Hamidi yang menyebut isu tersebut telah selesai sebagai tidak betul, malah pendirian yang berbeza dengan kerajaan Pusat terus dikeluarkan tanpa rasa takut.


Bahkan, ketegasan tidak melaksanakannya pada 1 Julai, bermakna Sabah dan Sarawak jelas telah menang dan menundukkan Najib, Zahid dan Nazri dalam isu cukai pelancongan ini.


Lebih ingin diketahui, di mana Nazri selepas ini, masih "jantan" lagikah beliau? (ShahbudinHusin26/06/2017)

TAK MASUK AKAL ATAU MATI AKAL?


Desakan dan luahan Majlis Peguam cukup mudah - jangan sesekali meremehkan tuduhan serius yang terkandung dalam saman sivil DOJ berkaitan 1MDB.

Tindakan meremehkan itu, jika diperhati, tergambar berdasarkan semua reaksi pihak berkuasa Malaysia terhadap tindakan DOJ tersebut.

"Dakwaan dalam saman DOJ itu melibatkan pegawai 1MDB, keluarga mereka dan rakan sekutu yang lain, termasuk juga yang digambarkan sebagai Malaysian Official 1 dan isteri Malaysian Official 1.
"Memandangkan cara saman sivil itu diremehkan, diketepikan dan dikecam oleh pihak berkuasa Malaysia tanpa menangani semua tuduhan yang dibuat itu, ia adalah tindakan yang tidak dapat diterima," demikian desakan Presiden Majlis Peguam, George Varughese.

Beliau juga meluahkan kekesalannya terhadap media arus perdana yang  seolah-olah sepakat "menggelapkan" laporan mengenai tindakan DOJ itu.

"Semua ini membimbangkan kerana ia adalah tuduhan yang teruk. Intergriti dan kredibiliti institusi kewangan serta badan pengawalselia kita, di mata rakyat dan pemerhati global, adalah bergantung kepada respon pihak kerajaan kita mengenainya," ujar beliau lagi.

Membaca dan meneliti apa yang diperkatakan George itu,  masuk akal atau tidak apa yang diluahkannya?

Tetapi, apa reaksi Peguam Negara, Apandi Ali tentang desakan berkenaan?

"Apa dan bagaimana hendak mengulas apabila Majlis Peguam memberi kenyataan yang tidak masuk akal," kata beliau.
Jika Apandi mengatakan kenyataan Majlis Peguam itu tidak masuk akal, apakah jawapannya yang sebegitu rupa menunjukkan beliau "ada akal"?

Di mana yang tidak masuk akalnya kenyataan Majlis Peguam itu atau Apandi sudah "mati akal" untuk memberi jawapan yang berakal?

Adakah bagi beliau, hanya membersih dan menyucikan 1MDB saja satu-satunya jawapan yang masuk akal, meskipun seluruh dunia melihat ia sebagai tindak balas nakal dan tidak lebih semata-mata ingin menutup sesuatu yang gagal? (ShahbudinHusin 26/06/2017).

Sunday, 25 June 2017

LAWAK ZAHID HAMIDI....

Pandai Zahid Hamidi, hari raya pertama lagi dah buat lawak jenaka - katanya kehadiran  orang ramai di Seri Perdana adalah tanda sokongan kepada Najib Razak.


Dilaporkan jumlah yang hadir untuk berhari raya di Seri Perdana tahun ini ialah seramai kira-kira 75 ribu orang.


Adakah 75 ribu itu tanda sokongan yang memadai buat Najib?


Adakah semua yang hadir itu juga benar-benar menyokong atau sekadar mahu makan?


Mungkinkah juga sebahagian yang datang ini hanya ingin melihat-lihat perhiasan mewah yang dipakai Rosmah Mansor sebagaimana yang digembar-gamburkan media jika dapat bersalam atau memandangnya daripada jarak lebih dekat?


Selain itu, kalau ikut logik Zahid bahawa 75 ribu itu tanda sokongan kepada Najib, bagaimana dengan lebih ramai rakyat Malaysia yang tidak hadir ke Seri Perdana?


Adakah dalam baik dan memuji, Zahid dalam masa yang sama juga untuk cuba "mengenakan"  Najib? (ShahbudinHusin 25/06/2017)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...