Sunday, 30 April 2017

SABARLAH WEHHH...MASUK BN DULU KALAU NAK SANGAT JAWATAN DALAM KERAJAAN!!

Menjadikan petikan kata-kata Hadi Awang sendiri yang pernah mengucapkan mahu menjadi penasihat kepada pemerintah, seorang perwakilan di Muktamar Pas mencadangkan agar Presiden Pas itu dilantik sebagai penasihat kepada Yang Dipertuan Agong.


"Tuanku pakai jubah pergi masjid, agak-agak siapa yang sesuai jadi penasihat? Ulama yang paling sesuai. Jadi saya mahu petik ucapan presiden, "kita bukan nak ke Putrajaya sangat, yang kita nak adalah menjadi penasihat kepada ulil amri."


"Siapa pemerintah nombor satu negara kita, kalau bukan Yang Dipertuan Agong.


"Jadi,  penasihat yang paling sesuai kepada baginda ialah presiden kita, pemimpin ulama nombor dua di dunia," kata seorang perwakilan dari Johor di Muktamar Pas yang sedang berlangsung di Kedah sambil disambut laungan takbir para hadirin.


Nampaknya,  sejak berbaik-baik dengan Najib Razak, UMNO dan BN, Pas sudah tidak sabar-sabar lagi mahu jawatan dan kedudukan dalam kerajaan. Mereka bagai tidak mampu lagi menyembunyikan hasrat terpendam itu.


Jawatan yang diminta pula bukan alang-alang - penasihat kepada Yang Dipertuan Agong.


Tetapi, sedarkah Pas jawatan sebagai penasihat Yang Dipertuan Agong, kalau pun jawatan itu wujud atau mahu diwujudkan, ia adalah di bawah bidang kuasa kerajaan yang sedang berkuasa untuk menentukan calonnya.


Jalan paling mudah untuk membolehkan Hadi memperolehi jawatan itu ialah dengan Pas menyertai BN terlebih dahulu dan sesegera yang boleh.


Walaupun mungkin Najib boleh melantik sesiapa saja yang disukainya untuk memegang apa jua jawatan dalam kerajaan, namun dengan membawa Pas menyertai BN atau Hadi berada dalam parti yang sudah menjadi komponen BN, ia tentu memudahkan lagi proses ke arah itu.


Selagi berada di luar BN, apatah lagi sering tidak menentu pendirian, ditambah juga Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man pula kerap tidak bersetuju dengan kerajaan, pastinya agak sukar bagi Najib untuk melantik Hadi memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan.


Namun, dengan membawa masuk Pas ke dalam BN - kata orang Indonesia, segalanya bisa beres!


Nampaknya juga, tidak perlulah lagi Pas bersusah payah bertanding dalam pilihanraya umum akan datang kerana dapat jadi penasihat pun sudah memadai mereka.


Lebih baiklah Pas lupakan saja hasrat mahu bertanding, buang masa dan bazir tenaga saja dibuatnya kalau menduduki Putrajaya bukan lagi impian mereka.


Masuk saja BN, lepas itu semua pemimpin Pas akan boleh jadi penasihat belaka - daripada penasihat kepada Perdana Menteri, penasihat menteri-menteri dan juga penasihat kepada semua pengerusi GLC seperti Tabung Haji, Felda dan sebagainya.


Tidakkah ia juga suatu bentuk perjuangan? (ShahbudinHusin 30/04/2017)

Saturday, 29 April 2017

DOA DAN SIMPATI UNTUK PAS

Kejadian tidak disangka-sangka, angin ribut yang melanda Kedah dan turut melintasi Batu 9, di mana kawasan Muktamar Parti Islam sedang berlangsung sehingga ada kerosakan dan kecederaan, sangat mengejutkan kita semua.

Saya berharap semoga semua rakyat negeri Kedah, khususnya ahli-ahli Pas yang berkampung sempena muktamar agar bertenang dan saya berdoa semoga mereka semua berada dalam keadaan selamat.

Kepada mereka yang mengalami kecederaan, semoga mereka akan pulih dan kembali sihat seperti sedia kala.

Ujian daripada Allah berlaku kepada sesiapa jua mengikut takdir dan kehendakNya. Sebagai orang Islam, kita perlu redha dengan ketentuan dan sedikit ujian ini.

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan takziah kepada mangsa yang tercedera.

Semoga Allah memberi ketenangan kepada kita semua. Kepada Allah jua tempat kita berlindung.

MOHAMAD SABU
Presiden
Parti Amanah Negara


Ulasan Blog - Siapa pun kita dan bagaimana kita pernah diperlakukan, tetapi di ketika orang lain dalam kesusahan atau ditimpa musibah, kita sewajarnya menzahirkan rasa simpati dan mendoakan yang baik-baik untuk mereka.

Pas ketika ini sedang bermuktamar di Kedah dan entah kenapa,  tiba-tiba ribut melanda. Dilaporkan banyak kerosakan dan ada kecederaan turut menimpa.

Semua kita wajar bersimpati, memanjatkan doa dan jika berkemampuan atau berada berdekatan, agar dapat sama-sama menghulurkan apa jua bantuan yang mereka mereka perlukan tika dalam kesusahan begini.

Ketika ini adalah masa untuk Pas dibantu, setidak-tidaknya dengan doa daripada jauh.

Permusuhan politik tidak semestinya melenyapkan rasa kemanusiaan dan kasih sayang sesama insan. Blog ini dan seluruh pembacanya, saya percaya ada perasaan yang sama juga.

Akhirnya, di sebalik apa yang berlaku, mudah-mudahan Pas menerima dugaan ini dengan sabar dan tabah. (ShahbudinHusin 29/04/2017).

MALAPETAKA 1MDB RANGSANGAN TERBAIK KE ARAH PERUBAHAN


Dalam kita meluangkan banyak masa menyaksikan pelbagai berita yang muncul di Muktamar Pas kali ini, daripada usul putus hubungan dengan PKR, jeritan "Jahanam Amanah" hinggalah kepada Selena Gomez pun disebut namanya, kita seharusnya tidak lupa tentang skandal 1MDB yang boleh dikata suatu malapetaka besar kepada negara.


Secara realitinya, isu 1MDB tidak akan padam selagi pengkhianat-pengkhianatnya tidak dibawa ke muka pengadilan, tetapi dalam masa yang sama rakyat akan cuba dikesampingkan atau dilalaikan daripada membicarakan, apatah lagi mengingatinya.


Sementara satu demi satu perkembangan baru muncul  mutakhir ini yang menyerlahkan hakikat bahawa lagi banyak mahu ditutup, lagi banyak benda baru yang timbul, peranan kita yang sebaiknya ialah terus menyedarkan seberapa boleh dan tanpa henti kepada rakyat tentang hakikat sebenar buruknya 1MDB itu.

Untuk itu, saya kongsikan kembali di blog ini beberapa coretan yang saya paparkan di dinding FB dalam sehari dua ini mengenai perkara terbaru yang muncul berkaitan1MDB itu.


Dalam masa yang sama, munculnya isu-isu terbaru tentang 1MDB itu dan dicampur dengan pelbagai perkara lama, di Malaysia serta di Amerika Syarikat, United Kingdom, Switzerland, Hong Kong, Luxembourg, Australia, Scotland dan terbaru Italy, hakikatnya syarikat pelaburan itu adalah ciptaan yang benar-benar memalukan kita.

Mudah-mudahan juga lebih menginsafi betapa kita sebagai pembayar cukai, sebenarnya sentiasa atau setidak-tidaknya banyak sekali, dicurangi oleh mereka yang bergelar pemimpin.

Tetapi, selagi namanya demokrasi, kita bukan saja boleh menaikkan pemimpin ke mercu kuasa atau setelah mereka menjadi pemimpin, menyaksikan kecurangan itu berlaku, sebaliknya  juga mampu menurunkan mereka.  

Bersama 1MDB yang merupakan suatu malapetaka itu,  tugas utama kita dalam pilihanraya akan datang nanti ialah memberi pengajaran kepada sesiapa yang bergelar penguasa agar tidak sewenangnya  berbuat apa yang mereka suka.


Pemimpin akan jadi baik dan takut berbuat salah kiranya mereka tahu kita boleh dan mudah menjatuhkan mereka melalui peti undi dalam pilihanraya.

Permulaan suatu era baru untuk menunjukkan kuasa rakyat yang sebenar mesti dimulakan pada PRU 14 mendatang dan 1MDB adalah rangsangan terbaik ke arah itu.


Jika tidak, sampai bila-bila pun, kemudian diwarisi oleh anak cucu, kita akan terus dikhianati oleh pemimpin-pemimpin atas nama kuasa yang mereka ada. (ShahbudinHusin 29/04/2017).

Friday, 28 April 2017

HAHAHAHAHA...TAK TAHU BILA KETAWA INI MAHU BERHENTI!!

Ketua Pemuda Pas baru, Mohd Khalil Hadi iaitu anak Hadi Awang berkata, Exco Selangor tidak perlu meletakkan jawatan, meskipun jika parti itu memutuskan hubungannya dengan PKR.

Kata beliau, tiga jawatan Exco Kerajaan Negeri yang disandang oleh Pas ketika ini bukanlah lantikan PKR, malah kerusi PKR juga kurang berbanding Pas.

Sebagai rujukan, dalam PRU 2013 lalu, DAP menang 15 kerusi, Pas 15 kerusi, PKR 14 kerusi dan BN 12 kerusi. Jumlah keseluruhan kerusi DUN di Selangor ialah 56.

Bagaimanapun, berikutan bekas Menteri Besar, Khalid Ibrahim kini menjadi Adun Bebas, kerusi PKR tinggal 13 dan manakala dua Adun Pas iaitu Shaari Sungib dan Hasnul Baharuddin pula menyertai Amanah, kerusi Pas juga tinggal 13.

Kedudukan semasa kerusi di Selangor ialah DAP 15, PKR 13, Pas 13, BN 12,  Amanah 2 dan Bebas 1.

Mohd Khalid menambah lagi, "Exco PAS bukan lantikan oleh PKR dan DAP,  jadi mereka perlu meneruskan tugas masing-masing untuk rakyat."

"Tidak mustahil untuk Exco PAS bekerja dalam kerajaan negeri Selangor walaupun tanpa hubungan dengan PKR atau DAP iaitu satu lagi parti yang ada dalam kerajaan negeri.

"Setiap parti akan bekerja untuk kawasan masing-masing mengikut tanggungjawab yang diberikan oleh parti," tambah beliau.

Sejujurnya, saya tidak mampu berkata apa-apa atas kenyataan Mohd Khalil ini, selain ketawa, ketawa dan akan terus ketawa.

Hahahahahahahaha....

Ibarat kata, orang dah bercerai tapi masih mahu duduk serumah dengan bekas isteri...hahahahahahaha....

Nampaknya juga terlalu tinggi tahap pemikiran Ketua Pemuda Pas yang baru ini, kalah Nik Abduh Nik Aziz dibuatnya.

Oleh itu, kepada semua pembaca budiman dalam blog ini, tolonglah beri komen, reaksi dan maklum balas terhadap apa yang disebut oleh Mohd Khalil itu. 

Tolonglah saya, kali ini saya tidak mampu berkata apa-apa, selain ketawa saja.

Hahahahahahahaha...hahahahaha...hahahahahaha....tak tahu bila akan berhenti ketawa ini!! (ShahbudinHusin 28/04/2017).

APA KATA PAS MULAKAN DENGAN EXCO SELANGOR HANTAR SURAT BERHENTI LEBIH DULU?


Dewan Ulama PAS dilaporkan telah bersetuju untuk membawa usul agar parti itu memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR dalam Muktamar Pas kali ini.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Usul dewan tersebut,  Khairuddin Aman Razali berkata, oleh kerana menyedari terlalu banyak tahaluf siyasi dilanggar oleh PKR, mereka bersetuju dengan usul memutuskan hubungan itu.

Bagaimanapun, tambahnya, usul tersebut masih tertakluk kepada keputusan Majlis Syura Ulama untuk membuat keputusan muktamad.

Dengan bernada sedikit cakap besar, Khairuddin juga berkata, "Kalau kita buka (undi) setuju (untuk putus), ramai akan setuju".

Hmmmm.....

Dalam waktu yang sama, ramai perwakilan Dewan Ulama juga meluahkan pandangan dengan nada yang sama.

Menyoroti perkembangan itu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, Pas perlu membuat keputusan muktamad tentang tahaluf siyasi dan kedudukan mereka dalam kerajaan negeri Selangor sekarang ini.

"Saya sentiasa memantau perjalanan Muktamar PAS memandangkan ia berkait dengan strategi PKR dan Pakatan Harapan dalam PRU14 akan datang.

"Tambahan pula, sebarang keputusan PAS mengenai tahaluf siyasi dengan PKR akan ada kesan kepada penyertaan PAS dalam Kerajaan Selangor.

"Saya juga ambil maklum usul yang diluluskan tanpa bahas oleh Dewan Ulama PAS dan tidak terkejut jika usul yang serupa akan terus diluluskan sepanjang berlangsungnya Muktamar PAS," ujar beliau lagi.

Maka, apa perlu Pas buat sekarang?

Bawa usul, bahas, kutuk sana kutuk sini, kemudian setuju putus hubungan tapi akhirnya keputusan muktamad masih di tangan Majlis Syura.

Berapa lama selepas itu Majlis Syura mahu buat keputusan?

Tidakkah ia terlalu lambat dan banyak membuang masa?

Kenapa tidak Pas sendiri bertindak lebih tegas dan menampakkan keseriusan untuk berpisah dengan langkah permulaan tiga Exco Pas dalam kerajaan Negeri Selangor menghantar surat perletakan jawatan mereka terlebih dahulu?

Jika mahu dan benar-benar serius, hari ini pun boleh dihantar surat perletakan jawatan itu atau buat dahulu pengumuman melalui sidang akhbar sempena muktamar yang sedang berlangsung di Kedah?

Putus, putus, putus...tapi apa tindakan konkritnya?

Susah sangatkah membuat surat berhenti itu atau sebenarnya masih mengharap tahaluf siyasi berpanjangan lagi? (ShahbudinHusin 28/04/2017)

PAS AKHINYA MENGAKU NIATNYA HANYA UNTUK MENGEKALKAN UMNO

Pas akhirnya mendedahkan niat dan isi hatinya yang sebenar iaitu tidak guna menjatuhkan kerajaan yang sedang memerintah negara sekarang ini.

Kalau tidak guna menjatuhkan, bermakna yang berguna ialah mengekalkannya. Jika tidak guna untuk dikekalkan, ertinya lebih baik dijatuhkan.

Pilihan tidak boleh lebih daripada satu, ia mesti antara dua, pilih salah satu.

Apabila Pas sudah mengatakan tidak guna menjatuhkan kerajaan sedia ada, hakikatnya itulah tujuan sebenar mereka mewujudkan blok ketiga yang dinamakan Gagasan Sejahtera.

Dan itulah juga sebabnya Pas bagai nak gila mahu bertanding di 80 kerusi Parlimen tanpa mengendur walau sedikit pun dengan mana-mana parti yang ingin berunding dengannya.

Dengan hanya 80 kerusi, menang dah tentu tak ke mana, tetapi kalah tak mengapa, yang penting, Najib Razak, UMNO dan BN dapat dibantu untuk terus kekal berkuasa.

Ehem, ehem, ehem...

Setelah berdolak-dalik dan menyembunyikan hasrat sebenar mereka sejak sekian lama, hari ini segala-galanya terdedah dengan sendirinya. 

Ia bukan saja dilafazkan oleh Timbalan Mursyidul Am Pas, Ahmad Yaakob, bahkan juga diucapkan di hadapan golongan ulama parti itu iaitu ketika merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas.

Ahmad Yaakob menjelaskan, tidak guna menjatuhkan kerajaan yang ada sekarang kerana yang akan menjadi penggantinya nanti ialah kerajaan yang berfahaman sekular sosialis.

"Apa yang dibimbangkan, jatuhnya sebuah kerajaan sekular nasionalis tetapi diganti dengan sekular sosialis. 

"Kalau itu terjadi, PAS kena ambil masa 60 tahun untuk jatuhkan kerajaan sekular sosialis dan diganti dengan kerajaan Islam," ujar beliau yang juga Menteri Besar Kelantan.

Soalnya, benarkah kerajaan baru nanti betul-betul berfahaman sekular sosialis? Apakah semata-mata kerana ada DAP di dalam Pakatan Harapan, lalu ia semudah itu digelar sekular sosialis?

Apakah sekular nasionalis lebih baik daripada sekular sosialis, maka Pas sebagai parti Islam ingin mempertahankannya? 

Siapa yang menentang rasuah, menyelongkar penyelewengan, mempertahan hak rakyat, mahu menghapuskan GST dan sebagainya kalau bukan yang digelar sekular sosialis itu?

Tidakkah Ahmad Yaakob sedar, kerajaan yang ada sekarang juga lebih dikenali sebagai kerajaan kleptokrasi di mana pemimpin kaya-raya, tetapi wang serta harta negara hilang entah ke mana?

Dalam pada itu, jika tidak dalam pilihanraya akan datang, bila lagi masa yang sesuai untuk kerajaan yang ada boleh dijatuhkan?

Mengapa tidak mahu diinsafi, kiranya dalam PRU 14 ini UMNO dan BN tidak mampu dikalahkan, waktu terbaik untuk berbuat demikian mungkin tidak muncul lagi sampai bila-bila?

Ini kerana, kiranya mampu melepasi garisan PRU 14, kerajaan sekular nasionalis yang juga dikenali di seluruh dunia mengamalkan gaya pemerintahan kleptokrasi dan begitu ingin dikekalkan kuasanya oleh PAS, mereka pasti akan bertindak dengan lebih keras lagi bagi mengekalkan kuasa yang ada.

Sudahnya, bila dapat ditumbangkan lagi?

Bila pula Pas mampu bertanding lebih banyak kerusi, tidak sekadar 80  saja, agar hasrat menubuhkan kerajaan Islam secara sendiri dapat dicapai?

Dengan pelbagai isu melingkari wajah Perdana Menteri serta kleptokrasi mula mengambil alih tempat demokrasi, bukan saja PRU 14 medan terbaik untuk menukar kerajaan, malah pendirian Pas yang mengatakan tidak ada gunanya menjatuhkan kerajaan sedia ada, perjuangan mereka nyata semakin menjauh daripada hati nurani rakyat seluruhnya.

Realitinya, tiada ada mana-mana bangsa dan agama dapat menerima kerajaan yang dibayangi skandal, penipuan, rompakan dan samunan yang begitu berleluasa yang semata-mata dapat bertahan kerana masih mampu mengepung kuasa dan segala agensi penguatkuasa dalam genggamannya.

Dalam keadaan begitu, tidak malukah Pas kerana masih lagi mahu bermain-main dengan perbezaan antara sekular nasionalis dan sekular sosialis untuk mewajarkan pendirian mereka tanpa melihat gambaran lebih besar kepada kemusnahan masa depan negara jika gejala kleptokrasi tidak ditamatkan dengan segera? (ShahbudinHusin 28/04/2017).

Thursday, 27 April 2017

JOHARI GHANI, BERDIRILAH DENGAN BERANI DAN LUAHKAN SUARA HATIMU...


Johari Abdul Ghani, atas kapasitinya sebagai Menteri Kewangan Kedua, adalah tumpuan terbaru dalam kemelut yang belum menemui titik nokhtahnya berhubung penyelesaian luar mahkamah antara 1MDB dan IPIC.

Beberapa kenyataannya yang berbeza nada segera menimbulkan persoalan, apakah isi hati beliau yang sebenarnya, setujukah beliau dengan penyelesaian antara 1MDB dengan IPIC dan jika apa yang berlaku sekarang berlawanan dengan prinsip dirinya, apakah yang akan dilakukannya selepas ini?

Ketika berita awal masih dalam bentuk khabar angin berkenaan penyelesaian luar mahkamah itu, Johari lantas mengatakan beliau dan Kementerian Kewangan sama sekali tidak terlibat dalam perundingan tersebut.

Semuanya, kata beliau, dilakukan oleh pihak 1MDB dengan dibantu pegawai daripada Pejabat Perdana Menteri.

Ia lantas menimbulkan rasa pelik lagi hairan kerana 1MDB itu sendiri terletak di bawah Kementerian Kewangan.

Kemudian, apa pula peranan dan keperluan pegawai daripada Pejabat Najib Razak terlibat dalam rundingan dengan IPIC itu.

Siapa yang diwakilinya dan apa mandat yang dibawanya dalam mesyuarat untuk mencari titik penyelesaian yang akhirnya membuatkan 1MDB seperti melupakan wang lama berjumlah AS$3.5 bilion yang hilang serta sanggup mengeluarkan wang baru dengan jumlah yang sama untuk membuat bayaran kepada 1PIC?

Ketika penyelesaian sudah sah dan menjadi berita diseluruh dunia, Johari sekali lagi bersuara dengan mendedahkan terdapat bukti yang mengesahkan Aabar BVI adalah anak syarikat IPIC.

Malah kata Ahli Parlimen Titiwangsa itu lagi, berdasarkan rekod yang dibekalkan 1MDB kepada PAC sebelum ini,  syarikat pelaburan milik kerajaan itu juga mengesahkan Aabar BVI ialah anak syarikat IPIC.

“Fakta itu kemudian disahkan lagi oleh Pendaftar Hal Ehwal Korporat British Virgin Islands melalui suratnya bertarikh 11 Ogos 2016,” kata Johari.

Berdasarkan bukti-bukti yang dimiliki itulah, tegas Johari, Kementerian Kewangan bertegas dengan pendirian untuk menuntut keadilan di Tribunal Timbangtara Antarabangsa sejak awal lagi.

Berdasarkan dua kenyataan itu, sepertinya Johari tidak bersetuju dengan langkah penyelesaian luar mahkamah yang dicapai antara 1MDB dengan IPIC itu.

Namun demikian, disebalik Najib tidak berkata apa-apa dan pihak media juga mungkin dilarang bertanya soalan mengenainya, semua makhluk di dunia ini tahu bahawa Petdana Menteri pasti gembira dengan penyelesaian yang telah dimuktamadkan itu.

Johari pun tentunya tahu dan faham perkara itu.

Dengan tiada prosiding timbangtara, bermakna banyaklah perkara yang sepatutnya terdedah dapat disembunyikan. Bersetuju membuat pembayaran barangkali bukanlah masalah  kerana ia bukan menggunakan duit poket mereka. Ia boleh jadi duit kita semua yang hari-hari membayar cukai GST.

Namun demikian, diselami dengan lebih mendalam berikutan wujud sedikit keberanian dalam diri Johari dari segi terus bersuara, meskipun beliau sedar kedudukan dan jawatannya adalah atas perlantikan Najib, apakah isi hatinya yang sebenar ketika ini?

Apakah beliau selamanya tidak setuju dengan langkah penyelesaian dan sekarang seolah-olah meletakkan kesalahan kepada Najib berkenaan dengannya?

Berbeza dengan Najib yang diperkatakan terlibat secara langsung, tidak langsung, sipi-sipi, depan belakang dan kiri kanan berkaitan 1MDB, Johari sebaliknya tidak terkait sama-sekali dan hanya dilantik menjadi Menteri Kewangan Kedua untuk menggantikan Husni Hanadzlah pada 2015 lalu.

Oleh itu, atas kedudukan dan jawatannya, Johari mungkin benar-benar mahu berkhidmat kepada rakyat dan negara berdasarkan ilmu dan pengalaman melalui jawatan menteri yang disandangnya.

Dalam hal ini, Johari tidak harus sekadar memberi kenyataan seolah-olah tidak setuju dan menunjukkan beliau berbeza semata-mata jika nalurinya sedang berkecamuk dan memberontak tika ini.

Beliau perlu terus bersuara dan bercakap berdasarkan suara hati atas nama kebenaran serta takutkan Tuhan.

Jika ada yang tidak kena, merasakan penyelesaian itu semata-mata kerana kehendak Najib dan bukan demi kepentingan rakyat serta negara dan atas sebab itu juga Kementerian Kewangan disisihkan dalam perundingan, adalah amat terpuji untuk Johari meluahkan segala-galanya secara terbuka dan kemudian meletakkan jawatan dengan segera.

Beliau pasti disanjung dan dikenang atas perjuangannya, malah seluruh rakyat Malaysia akan berbangga dengan prinsipnya berbanding jika hanya berani mengeluarkan kenyataan sekali dua, tetapi selesa dan nyaman berada dalam kelambu yang sama. (ShahbudinHusin 27/04/2017)

KALAU DI TANGAN SUDAH ADA BUKTI, KENAPA MASIH MEMILIH SELESAI LUAR MAHKAMAH?

Selesai tapi tak selesai - barangkali itulah ungkapan paling sesuai untuk menggambarkan kemelut terbaru berkaitan 1MDB sekarang ini.

Di sebalik 1MDB berjaya dan berbangga dapat menyelesaikan pertikaian di luar mahkamah dengan IPIC berhubung bayaran bagi terbitan bon  yang dituntut oleh syarikat daripada Abu Dhabi itu, rentetan daripadanya nampak lebih membingungkan.

Bukan saja penyelesaian luar mahkamah itu dilihat sebagai bukti pengakuan daripada 1MDB bahawa pembayaran AS$3.5 bilion sebelum ini memang diselewengkan daripada Aabar PJS kepada Aabar BVI, pertanyaan juga bertalu-talu berkaitan ke mana perginya wang yang telah dibayar itu.

Persetujuan luar mahkamah jelas memperlihatkan 1MDB akan membayar dua kali kepada IPIC dan seperti ingin melupakan begitu saja wang yang telah dibayar kepada syarikat klon, Aabar BVI sebelum ini.

Bukan saja pemimpin-pemimpin pembangkang yang riuh menuntut penjelasan berkaitan perkara itu, malah wakil BN dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC, Abdul Aziz Sheikh Fadzir turut menuntut penjelasan yang sama.

Kita setuju dengan penyelesaian yang dicapai antara 1MDB dengan IPIC itu, tetapi  kerajaan perlu menjelaskan kepada PAC ke mana perginya wang yang sudah dibayar sebelum ini, demikian permintaan Abdul Aziz yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Kedah.

Dalam pada itu, di ketika ramai masih bingung memikirkan kenapa penyelesaian luar mahkamah menjadi pilihan sedangkan Najib Razak pernah mengatakan kerajaan tidak terikat dari segi undang-undang untuk mengambil alih bon tersebut serta Johari Abdul Ghani, Menteri Kewangan Kedua pula melahirkan keyakinan 1MDB boleh menang dalam prosiding timbangtara dengan IPIC, apa yang terus didedahkan oleh Johari lebih memeningkan lagi.

Johari memberitahu, sebenarnya terdapat sepucuk surat yang mengesahkan Aabar BVI adalah anak syarikat milik IPIC, namun beliau tidak menyebut ia daripada siapa.

Malah kata Ahli Parlimen Titiwangsa itu lagi, berdasarkan rekod yang dibekalkan 1MDB kepada PAC sebelum perjanjian penyelesaian,  mereka juga mengesahkan Aabar BVI ialah anak syarikat IPIC.

“Ia kemudian disahkan oleh Pendaftar Hal Ehwal Korporat British Virgin Islands dalam surat bertarikh 11 Ogos 2016,” kata Johari.

Berdasarkan bukti yang dimiliki itu jugalah, tegas Johari, Kementerian Kewangan bertegas dengan pendirian meneruskan menuntut keadilan di Tribunal Timbangtara Antarabangsa.

Melihat kepada penjelasan Johari mengenai bukti tersebut, apa yang menjadi persoalan ialah mengapa penyelesaian luar mahkamah masih menjadi pilihan?

Jika bukti sudah cukup kuat dalam tangan, kenapa masih  tidak berani terus berjuang ke arah kemenangan, sebaliknya memilih untuk menyelesaikannya di luar mahkamah?

Tidakkah, jika menang, tiada apa-apa pembayaran perlu dibuat oleh 1MDB kepada 1PIC?

Siapa yang berkehendakan penyelesaian luar mahkamah yang membuatkan 1MDB terpaksa membuat bayaran sebanyak dua kali kepada IPIC?

Adakah hanya Kementerian Kewangan saja yang mahu terus dengan prosiding timbangtara, manakala pihak lain termasuk Najib, tidak berminat dengannya?

Kenapa dalam rundingan penyelesaian itu, sebagaimana yang disebut sendiri oleh Johari beberapa hari sebelum ini, Kementerian Kewangan tidak dilibatkan sama-sekali, sebaliknya hanya diwakili oleh 1MDB dan pegawai daripada Pejabat Perdana Menteri sahaja?

Dalam pada itu, kiranya benar juga terdapat surat yang mengesahkan Aabar BVI adalah milik IPIC, mengapa syarikat itu masih membawa isu pertikaian dengan 1MDB ke Tribunal Timbangtara Antarabangsa?

Apa kong kali kong dan misterinya dalam hal ini?

Bagaimanapun, yang menariknya, di sebalik Johari mengatakan beliau dan Kementerian Kewangan tidak terlibat dalam rundingan penyelesaian dan enggan memberi komen lanjut, tetapi dalam masa yang sama turut mendedahkan sedikit demi sedikit maklumat lain seolah-olah ada yang tidak kena di sebalik gambaran kononnya program rasionalisasi syarikat pelaburan paling bermasalah itu semakin menunjukkan kemajuan.

Apa lagi yang Johari akan dedahkan selepas ini sebagai petunjuk bahawa beliau bukan saja disisihkan dalam banyak perkara, sama seperti yang dialami Husni Hanadzlah sebelum ini, tetapi juga untuk menunjukkan kemelut 1MDB masih jauh dari hakikat penyelesaian yang sebenar-sebenarnya. (ShahbudinHusin 27/04/2017).

Wednesday, 26 April 2017

MASA UNTUK PEMIMPIN UMNO TURUT BERTANYA ATAU AZIZ SHEIKH FADZIR BAKAL JADI MANGSA?


Seorang pemimpin UMNO dan wakil BN dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC, Abdul Aziz Sheikh Fadzir, seperti kebanyakan rakyat Malaysia lain yang prihatin, akhirnya turut melontarkan soalan paling mudah - mana perginya wang yang sudah 1MDB bayar kepada Aabar BVI sebelum ini?

Soalan daripada beliau yang merupakan Ketua UMNO dan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu menyusul berikutan penyelesaian luar mahkamah yang dicapai antara 1MDB dan IPIC untuk memikul tanggungjawab terhadap bon bernilai AS$3.5 bilion beserta dengan faedahnya sekali. 

Kata Aziz lagi, beliau menyokong penyelesaian yang dicapai itu, tetapi kerajaan perlu menjelaskan kepada PAC ke mana perginya wang AS$3.5 bilion yang dibayar sebelum ini.

Dalam pertikaian antara IPIC dengan 1MDB sehingga dibawa kepada Tribunal Timbangtara Antarabangsa, wang itu sepatutnya dibayar melalui anak syarikat IPIC, Aabar Investmet PJS tetapi telah dilencongkan kepada sebuah syarikat klon, Aabar Investment PJS Ltd atau Aabar BVI yang didaftarkan di British Virgin Island.
Soalan Abdul Aziz tambah relevan kerana berdasarkan rekod PAC, pembayaran AS$3.5 bilion itu sebenarnya dibuat sebanyak empat kali dalam tempoh yang berbeza.

Bayaran pertama dibuat sebanyak AS1.367 bilion yang dibuat tahun 2012, diikuti AS$993 juta pada November 2014, AS$885 juta pada September 2014 dan akhir sekali AS$295 juta pada Disember 2014?

Bukan saja ke mana perginya wang itu perlu diperjelaskan, bahkan yang tidak kurang pentingnya ialah, adakah 1MDB langsung tidak menyedari pembayaran dibuat kepada syarikat klon, sedangkan ia dibuat sebanyak empat kali dan bukannya secara sekaligus?

Perumpaan mudahnya, katalah  jika kita tersalah meminum air yang telah basi atau masam, apakah sehingga empat kali hirupan, masih tidak disedari juga  ada sesuatu yang tidak kena pada minuman tersebut?

Apatah lagi, berdasarkan penyiasatan antarabangsa, wang yang dilencongkan melalui syarikat klon itu turut dikaitkan secara langsung dengan tindakan yang telah dan sedang diambil oleh Jabatan Kehakiman AS, pihak berkuasa Switzerland serta juga Singapura.

Oleh itu, persoalan yang ditanyakan oleh Abdul Aziz seharusnya mendorong sama pemimpin-pemimpin UMNO yang lain untuk turut bangun bertanyakan perkara yang sama jika benar mereka juga mahukan kebenaran sepertimana keinginan rakyat yang lain.

Soalannya mudah saja - YAB Datuk Seri Najib, ke mana sebenarnya pergi wang yang sudah dibayar sebelum ini dan tidakkah persetujuan memikul tanggungjawab terhadap bon itu beserta faedahnya bermakna 1MDB melakukan pembayaran berganda?

Berdasarkan apa yang berlaku sekarang, rakyat merasakan ada yang tidak kena berhubung penyelesaian luar mahkamah itu kerana ia jelas memperlihatkan kaedah "tutup lubang gali lubang" diambil oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Selebihnya, terpulang kepada Najib sama ada beliau mampu bersikap jujur dan berterus-terang mengenainya,  tetapi apa jua pendirian beliau setidak-tidaknya boleh dijadikan ukuran antara antara  hakikat "berani kerana benar atau takut kerana salah".

Adakah pemimpin UMNO lain yang berani bertanya menuruti langkah Abdul Aziz atau mereka lebih rela bersubahat dengan berdiam diri berkaitan kehilangan wang yang banyak itu, asalkan jawatan dan kedudukan terus terpelihara? 

Atau juga barangkali dalam sehari dua ini akan kedengaran Abdul Aziz tiba-tiba menjadi mangsa sebagaimana deretan yang lain sebelum ini yang telah dimangsakan hanya kerana bertanya soalan tentang 1MDB? (ShahbudinHusin 26/04/2017).

KAJISELIDIK INVOKE - BUANG MASA SAJA PAS BERTANDING PILIHANRAYA


Latar Belakang

Walaupun parti-parti pembangkang bertanding di bawah satu gabungan (misalnya Pakatan Harapan atau Gagasan Sejahtera), undi kepada setiap parti komponen adalah berbeza-beza dan tidak sekata.

Dalam pertandingan 3 penjuru, perbezaan undi sebanyak 2% - 5% di antara 2 parti komponen dalam satu gabungan yang sama boleh menyebabkan gabungan tersebut kalah kepada Umno/Barisan Nasional.

Perkara ini kerap berlaku dalam pilihanraya umum yang lepas: pengundi PAS di Machang mengundi PAS di kerusi-kerusi DUN tetapi mengundi Umno di kerusi Parlimen menyebabkan kekalahan calon PKR.

Kajiselidik kebolehpindahan undi adalah penting untuk menentukan perkara-perkara berikut:

i) Tahap sokongan mengikut kaum mengikut parti pembangkang (bukan mengikut gabungan)

ii) Sama ada pengundi satu parti pembangkang akan tetap mengundi parti komponen lain di dalam gabungan apabila partinya tidak bertanding

iii) Parti pembangkang yang paling sesuai untuk bertanding di setiap kerusi parlimen bagi meningkatkan peluang menewaskan Umno/Barisan Nasional dalam pertandingan 3 penjuru
Kaedah dan Sampel 10,523 orang pengundi berdaftar di seluruh negara ditemuramah di dalam bahasa ibunda masing-masing atau bahasa Melayu:

Pengundi Melayu – Bahasa Melayu, Pengundi Cina – Bahasa Mandarin, Pengundi India – Bahasa Tamil, Pengundi Bumiputra Sabah/Sarawak – Bahasa Melayu.

Kajiselidik melibatkan temuramah melalui telefon di antara analis kajiselidik (penemuramah) dan pengundi (ditemuramah) menggunakan bahasa ibunda masing-masing.

Kajiselidik dijalankan selama dua bulan dari 6 Februari 2017 ke 6 April 2017. 

Pengundi dipilih dan didail secara rawak oleh sistem kajiselidik berkomputer  INVOKE.

Seramai 1.67 juta orang pengundi berdaftar didail secara rawak. Dari jumlah itu, 116,922 orang pengundi mengangkat telefon dan 10,523 orang pengundi menjawab kesemua 40 soalan yang ditanya.

Keputusan hasil dari kajiselidik melibatkan 10,523 orang pengundi berdaftar ini kemudiannya diterjemahkan kepada keputusan nasional mengikut agregat seperti berikut:

i) Keputusan 10,523 orang pengundi diagregatkan mengikut umur, jantina dan kaum supaya melambangkan taburan demografi pengundi di seluruh negara

ii) Keputusan 10,523 orang pengundi diagregatkan mengikut taburan pengundi di setiap negeri supaya melambangkan kedudukan kerusi parlimen di seluruh negara

Pengundi ditanya kecenderongan mereka mengundi di dalam pertandingan 3 penjuru dan 2 penjuru mengikut parti-parti yang bertanding, contohnya:

i) Jika berlaku pertandingan 3 penjuru di antara Umno, PKR dan PAS, parti mana yang akan anda undi?

ii) Jika pertandingan itu menjadi 2 penjuru di antara Umno dan PKR sahaja, parti mana yang akan anda undi?

iii) Jika pertandingan itu menjadi 2 penjuru di antara Umno dan PAS sahaja, parti mana yang akan anda undi?

iv) Ulang bagi setiap kombinasi parti yang bertanding

Kesimpulan

Jika pertandingan 3-penjuru berlaku dalam PRU14, sentimen pengundi semakin beralih ke arah pertembungan di antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

Tahap sokongan kepada PAS merudum lebih cepat berbanding parti-parti lain dan PAS sekarang berada di tempat tercorot sekiranya berlaku pertandingan 3-penjuru.

Dengan 35% responden memilih untuk tidak memberitahu parti yang mereka akan undi, kelebihan % sokongan Umno/Barisan Nasional adalah rendah memandangkan responden yang memilih tidak menjawab berkemungkinan penyokong Pakatan Harapan atau PAS.

RAFIZI RAML
bagi pihak INVOKE


Ulasan Blog - Kajiselidik ini memberi gambaran yang nyata bahawa PAS adalah pengacau, merudum sokongan dan tidak diperlukan untuk agenda perubahan menyelamatkan negara.

Daripada 80 kerusi yang mahu ditandinginya, barangkali 8 kerusi pun Pas sukar untuk mencapai kemenangan.

Maka, yang sepatutnya berlaku bukanlah Pakatan Harapan tidak meletakkan calon di kerusi-kerusi yang Pas bertanding sebagaimana yang diseru oleh beberapa pemimpin parti itu, sebaliknya Paslah yang sepatutnya tidak bertanding langsung dalam pilihanraya akan datang ini.

Pas, dengan hanya bersama Ikatan, sebuah parti cilik yang dengar khabarnya mempunyai keahlian tidak sampai pun 1,000 orang, adalah entiti kecil lagi terpencil berbanding Pakatan Harapan yang dianggotai oleh PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.

Pakatan Harapan juga jelas perjuangan dan arah yang mahu ditujunya iaitu menyingkirkan Najib Razak, mengalahkan BN serta menyelamatkan negara daripada kleptokrasi yang berterusan.

Apa agenda perjuangan Pas? Penasihat kepada kerajaan?

Lagi pula, dengan hasrat bertanding di 80 kerusi Parlimen saja, itupun terhad di kawasan luar bandar dan perkampungan Melayu, apakah perubahan yang mampu Pas janjikan untuk rakyat dan negara secara keseluruhannya?

Sekadar ingin menjadi kuasa penentu atau "king maker"  di ketika rakyat sedang meluap-luap dahagakan perubahan, boleh juga dikira suatu bentuk pembelotan dan pengkhianatan, apa lagi kalau nama agama dijual sama di merata-rata.

Di Muktamar Pas bermula 28 April ini di Kedah, memuktamadkan tidak bertanding pada PRU 14 adalah pilihan terbaik bagi Pas sementara mereka melakukan muhasabah dan koreksi diri atas kecelaruan yang didatangkan oleh kepimpinan Hadi Awang yang membingungkan ahli dan penyokongnya sendiri selama ini.

Untuk apa Pas menyertai pertandingan kiranya sebelum, semasa atau selepas keputusan pilihanraya nanti, hanya cemuhan dan kejian saja yang mereka terima?  (ShahbudinHusin 26/04/2017).

Tuesday, 25 April 2017

AUTA DAN CACA-MARBA 1MDB


Jika diperhatikan daripada awal, 1MDB adalah syarikat milik kerajaan yang paling banyak melahirkan pengautaan, caca-marba dan berbeza-beza dalam kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak yang bertanggungjawab terhadapnya.

Syarikat bermodal RM2 pun tidak seperti itu dalam pengendaliannya.

Dalam kes melibatkan bon bernilai AS$3.5 bilion dan pertikaian berhubung bayaran yang tidak diterima daripada 1MDB sehingga IPIC memohon pengadilan ke Tribunal Timbangtara Antarabangsa saja, sudah cukup untuk membuktikan wujud caca-marba dan ketidak-tentuannya.

Pada 25 Mei 2016, Najib Razak berkata, kerajaan tidak terikat dari segi undang-undang untuk mengambil balik bon-bon 1MDB bernilai AS$3.5 bilion itu.
Ini memandangkan tiada jaminan atau surat sokongan kerajaan ke atas bon-bon tersebut, jawabnya di Parlimen.

Tetapi, apa sudah jadi sekarang, mengapa kerajaan mengambil balik bon-bon itu beserta faedahnya sekali melalui penyelesaian luar mahkamah?

Jika tiada apa-apa ikatan dan berpegang kepada hakikat bahawa bayaran yang  dibuat sebelum itu adalah sah, untuk apa ia diambil balik serta bersetuju memikul tanggungjawab sambil membuat bayaran berganda?

Pada 2 Ogos 2016, Kementerian Kewangan melahirkan perasaan amat yakin bahawa 1MDB  akan memenangi kes timbangtara yang difailkan oleh IPIC kepada syarikat pelaburan kerajaan itu berhubung pertikaian pembayaran hutang.
Berdasarkan semua dokumen yang diberikan oleh 1MDB kepada saya, saya amat yakin dengan kemenangan 1MDB.

Sebab itu, kita mengambil keputusan untuk tidak membayar faedah berkenaan...kita akan lawan dan menang kes itu, kata Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani.

Rasanya, tak perlu disebut panjang-panjang lagi apa terjadi akhirnya dan apa bentuk penyelesaian yang dmaklumkan IPIC kepada Bursa Saham London, semalam.

Bak kata pelawak Nabil...lu fikir sendirilah.

Pada 31 Oktober 2016,  kerajaan juga mengatakan hutang 1MDB tiada kaitan dengan kerajaan.

Namun, seperti yang disebut sendiri oleh Johari, penyelesaian hutang dengan IPIC ini  dilakukan oleh sepenuhnya 1MDB dan pegawai-pegawai daripada Pejabat Perdana Menteri.
Untuk ada pegawai daripada pejabat Perdana Menteri terlibat dan siapakah mereka yang terlibat itu jika hutang-hutang 1MDB tidak melibatkan kerajaan?

Diselak lebih mendalam lagi, kita juga akan mendapati Najib sendiri pernah mengatakan bahawa Jho Low tidak terlibat serta tiada kaitan sama sekali dengan 1MDB.

Hakikatnya, bukan saja berdasarkan sebutan di mahkamah Singapura dan saman oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, nama Jho Low terlihat amat aktif dan tidak boleh dipisahkan sama sekali daripada 1MDB.

Bak kata Khairy Jamaluddin, cap jari Jho Low ada di mana-mana saja berkaitan 1MDB.

Lebih dari itu, Najib dan keluarganya juga pernah bercuti di atas kapal layar mewah bersama Jho Low dan beberapa yang lain.
Berkaitan dana 1MDB yang ditebus daripada akaun pesisir di Pulau Cayman untuk mengatasi masalah aliran tunainya, Najib dalam jawapan bertulisnya di Parlimen pada Mei 2015, bukan saja mengesahkan kembalinya wang  itu, malah mengatakan ia kini disimpan dalam bentuk tunai di bank Singapura.

Beberapa hari kemudian, pembetulan segera dilakukan dengan mengatakan ia sebenarnya disimpan dalam bentuk aset.

Husni Hanadzlah, Menteri Kewangan Kedua yang ketika itu diberi peranan sebagai jurucakap 1MDB tidak berapa lama selepas itu mengatakan, ia sebenarnya adalah dalam bentuk unit.

Unit apa? Ia tetap misteri sehingga sekarang, tetapi apa yang berlaku Husni sendiri akhirnya meletakkan jawatan serta menyoal sendiri kerajaan di Parlimen berkaitan 1MDB yang memberi gambaran beliau tidak tahu langsung mengenai perjalanan syarikat itu.

Lebih dari itu, berkaitan dana yang mengalir masuk ke akaun peribadi Malaysian Official 1 sepertimana yang disahkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat adalah berasal daripada dana 1MDB yang dilencongkan, jawapan Najib sendiri mengenainya amat berbelit-belit serta langsung tidak menafikan fakta yang disebut itu.

Mula-mula beliau menafikan, kemudian mahu menyaman WSJ yang didakwa memifitnahnya, selepas itu menepis lagi dengan mengatakan "kalau saya nak menyamun, takkan saya masukkan dalam akaun peribadi", tetapi  akhirnya dengan selamba mengaku memang ada wang berbilion ringgit dalam akaun banknya dengan menyatakan ia sebagai derma daripada kerabat  Diraja Arab Saudi.

Selain pihak di Arab Saudi sendiri tidak jelas dan berbeza kenyataan mengenai wang tersebut, kiranya benar Najib menerima wang tersebut sebagai derma, mengapa ketika kunjungan Raja Salman ke Malaysia baru-baru ini, beliau tidak berani menyebut secara terbuka dalam ucapannya sambil mengucapkan terima kasih di hadapan Raja Arab Saudi itu atas derma yang diterimanya?

Bukankah, sebagai adat Melayu dan menghargai sesuatu pemberian, apatah lagi jumlahnya berbilion-bilion, seseorang itu  akan bangga untuk mengucapkan penghargaan secara terbuka?

Itulah hakikatnya berkaitan 1MDB, tidak ada syarikat lain yang begitu banyak auta dan caca-marba sepertinya. Selepas ini, pasti ada lagi auta, caca-marba dan berbeza-beza dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Hanya jika kalah pilihanraya dan hilang kuasa, barulah semuanya akan terhenti dan kebenaran akan mengambil tempatnya pula. (ShahbudinHusin 25/04/2017).

BAYAR GUNA WANG SIAPA?

Sepertimana yang dimaklumkan kepada Bursa Saham London, 1MDB dan IPIC akhirnya telah  berjaya mencapai penyelesaian berhubung pertikaian antara mereka yang melibatkan jumlah wang berbilion dolar.

Yang dipersetujui ialah 1MDB akan membayar AS$1.2 bilion atau RM5,300 juta sebagai bayaran awal  kepada IPIC dalam dua kali pembayaran iaitu pada Julai dan Disember 2017.

Selain itu, 1MDB dan Kementerian Kewangan turut bersetuju memikul tanggungjawab terhadap dua bon bernilai AS$3.5 bilion atau RM15,000 juta beserta faedah yang akan matang pada tahun 2022.

Selain itu, jumlah faedah keseluruhan perlu ditanggung oleh 1MDB pula adalah berjumlah kira-kira RM4,500 juta.

Jumlah keseluruhan kasar ialah hampir RM25,000 juta.

Persetujuan penyelesaian itu ialah berikutan sebelum ini IPIC telah membawa 1MDB ke Tribunal Timbangtara Antarabangsa untuk menuntut bayaran keseluruhan AS$6.5 bilion atau hampir RM28,000 juta atas kegagalan memenuhi obligasi kontrak yang telah dipersetuju berkaitan terbitan bon antara kedua-dua syarikat.

Jika kita masih ingat, bayaran untuk terbitan bon AS$3.5 bilion yang sepatutnya dibayar oleh 1MDB kepada anak syarikat IPIC, Aabar Investment PJS inilah yang telah dilencongkan kepada sebuah syarikat klon bernama Aabar Investment PJS Ltd atau dikenali juga sebagai Aabar BVI kerana ia didaftarkan di British Virgin Island.

Daripada wang yang dilencongkan itulah wujudnya pelbagai pendakwaan dan hukuman berkaitan penipuan dan penggubahan wang haram di Singapura, juga kemungkinan pendakwaan di Switzerland serta saman sivil yang diambil oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat untuk merampas pelbagai harta dan kekayaan melibatkan Jho Low serta anak tiri Najib, Riza Aziz.

Dalam kertas siasatan Jabatan Kehakiman juga disebut bahawa daripada AS$3.5 bilion yang dilencongkan itu turut disalurkan ke dalam akaun peribadi Malaysian Official 1 dengan jumlah keseluruhan AS$731 juta atau lebih RM3,200 juta.

Dengan persetujuan membuat bayaran baru serta memikul tanggungjawab itu, bermakna bayaran  kepada IPIC dibuat sebanyak dua kali.

Bayaran pertama sudah hilang kerana dilencongkan dan kini, bayaran kedua dipersetujui untuk dilaksanakan.

Duit daripada mana untuk membayar semua RM25,000 juta itu?

Kalau bukan duit pembayar cukai atau duit kita semua sebagai rakyat, adakah ia akan dikutip melalui 3.5 juta ahli-ahli UMNO di seluruh negara atau adanya bantuan daripada Negara China misalnya?

Kemudian, apa jadi kepada AS$3.5 bilion atau RM15,000 juta yang dilencongkan sebelum ini?

Lesap begitu saja?

Sebelum ini Menteri Kedua Kedua, Johari Abdul Ghani ada menyebut bahawa kerajaan akan lawan proses timbang tara di mahkamah London itu kerana yakin akan memenanginya berdasarkan dokumen-dokumen yang dimiliki.

Kenapa sekarang mengalah dan setuju membuat pembayaran?

Dua tiga hari lalu, Johari sekali lagi mengulangi bahawa Kementerian Kewangan tidak terlibat dalam penyelesaian dengan 1PIC kerana ia katanya, dilakukan oleh 1MDB dan pegawai dari Pejabat Perdana Menteri?

Kenapa Kementerian Kewangan tidak dilibatkan dalam sebarang rundingan sedangkan 1MDB itu sendiri terletak di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan?

Tidakkah dengan melibatkan Pejabat Perdana Menteri dalam rundingan penyelesaian itu,  ia boleh dianggap wujudnya konflik kepentingan dan bertujuan untuk melindungi bukan saja Perdana Menteri, tetapi juga Jho Low dan Riza Aziz?

Tidakkah juga dengan setuju membuat pembayaran itu bermakna suatu pengakuan daripada 1MDB dan Pejabat Perdana Menteri bahawa memang wujud kehilangan wang yang digembar-gemburkan di seluruh dunia sebelum ini?

Sementara Singapura, Amerika Syarikat dan Switzerland sudah dan sedang mengambil tindakan, sebaliknya di negara kita semua kes berkaitan 1MDB seolah-olah dilindungi dan diberikan keistimewaan.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berasingan malam tadi berkata, perkembangan penting ini menunjukkan kemajuan positif berterusan dicatatkan oleh 1MDB yang kini hampir menyelesaikan program rasionalisasinya.

Hebat kan? Barangkali inilah tafsiran baru "Malaysia Boleh" dalam era transformasi sekarang ini, malah terpaksa bayar dua kali pun masih lagi dikata sebagai kemajuan positif!!

Seorang kenalan berketurunan Arab dalam reaksinya sambil minum-minum malam tadi hanya mampu berkata, "Beb...ini betul-betul harami punya kerja." (ShahbudinHusin 25/04/2017).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...