Satu semi satu perlantikan pengerusi agensi kerajaan diumumkan dalam minggu-minggu kebelakangan ini.
Bermula minggu lalu dengan perlantikan pengerusi MARA, Perbadanan Stadium Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia atau SKMM, perlantikan pengerusi baru diteruskan lagi minggu ini di Perkeso, Suruhanjaya Sekuriti dan PRIMA atau Syarikat Perumahan Rakyat 1Malaysia.
Dr. Hasnita Hashim daripada Maybank dilantik sebagai Pengerusi MARA, pemilik syarikat penerbangan Air Asia, Tony Fernandes sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia dan bekas CEO Kumpulan Pos Malaysia, Al-Ishsal Ishak dilantik sebagai Pengerusi SKMM.
Semalam diumumkan pula perlantikan CEO Allianz Insurance, Zakri Khir sebagai Pengerusi baru Perkeso menggantikan Aseh Che Mat.
Hari ini dua perlantikan baru lagi menyusul iaitu Syed Zaid Albar, seorang peguam dan adik kepada bekas menteri, Syed Hamid Albar sebagai Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti dan Eddy Chen, bekas Pengerusi Rehda atau Persatuan Pemaju-Pemaju Perumahan sebagai Pengerusi baru PRIMA.
Semua pengerusi yang dilantik setakat ini adalah daripada kalangan orang-orang profesional belaka.
Pengumuman semua perlantikan itu pula bukan dibuat oleh menteri-menteri yang bertanggungjawab terhadap agensi berkaitan, tetapi oleh Pejabat Perdana Menteri.
Namun demikian, sejak dua minggu lalu Tun Mahathir Mohamad diketahui umum sedang berada di London - New York - London dan hanya akan pulang ke tanahair pada 2 Oktober nanti.
Lalu, siapakah yang mencatur semua perlantikan pengerusi-pengerusi itu?
Apakah ini menunjukkan satu lagi "kehebatan" Tun Mahathir yang sudah berusia 93 tahun di mana walaupun beliau berada di luar negara dan sibuk dengan pelbagai acara, tetapi masih mampu mengatur semua perlantikan tersebut?
Tetapi, mengapa beliau tidak melakukan semua perlantikan itu semasa berada di dalam negara sebelum ini?
Atau mengapa tidak dilakukan selepas kembalinya daripada luar negara pada 2 Oktober nanti?
Mengapa semua perlantikan mesti diumumkan ketika Tun Mahathir berada di luar negara?
Selain itu, terdengar juga desas-desus konon adanya sesetengah perlantikan itu adalah di luar pengetahuan menteri-menteri yang terbabit.
Beberapa menteri dikhabarkan pernah meminta latarbelakang kelulusan atau CV daripada beberapa individu yang terlibat dalam politik untuk dicadangkan bagi dilantik mengetuai agensi-agensi kerajaan yang tertentu, tetapi bukan saja ada yang nampaknya tidak diberi peluang sama sekali, meskipun mereka berkelayakan dan mempunyai kelulusan, malah sesetengah yang lain masih tidak ada khabar berita mengenainya sehingga kini.
Apabila mereka iaitu orang politik berkenaan merujuknya semula kepada menteri yang meminta CV tadi, jawapan yang diterima ialah - "tunggu nanti PM umumkan".
Dengan trend yang ada sekarang, persoalan yang mula kedengaran ialah masih ada harapankah nasib orang-orang politik di bawah Pakatan Harapan? (ShahbudinHusin 30/09/2018)