Thursday, 30 August 2012
Kenapa UMNO Menentang Undang-Undang Anti Lompat?
Undang-undang anti lompat yang mahu diperkenalkan di Pulau Pinang tiba-tiba mendapat serangan berterusan daripada UMNO. Hasrat DAP mahu menguatkuasakan undang-undang itu disifatkan bertentangan dengan hak, kebebasan dan demokrasi. Tun Mahathir juga turut mengecam DAP sambil menyifatkan ianya bertentangan dengan kebebasan yang diperjuangkan oleh parti itu sendiri.
Suatu ketika, UMNO pernah berhasrat mahu menguatkuasakan undang-undang itu tetapi membatalkannya di saat akhir. PBS kemudiannya cuba menguatkuasakan undang-undang itu tetapi dibatalkan oleh mahkamah kerana dianggap bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Kerana adanya kebebasan melompat itulah akhirnya kerajaan PBS Sabah tumbang apabila beberapa ADUN Sabah bertindak menyertai UMNO.
Di Perak pada tahun 2009, UMNO berjaya merampas negeri itu daripada PR apabila tiga ADUN melompat parti dan menyokong BN.
Hakikatnya, kerajaan Sabah sekarang adalah warisan aksi lompat parti kerana jika tidak kerananya, tidak tahu bagaimana nasib UMNO di negeri itu. Di Perak pula, pilihanraya kali ini akan menentukan kerajaan lompat ini terus direstui rakyat atau sebaliknya.
Di dalam UMNO dan BN pula, begitu ramai mereka yang melompat parti sekarang ini. Mereka inilah kadangkala yang lebih bising dan banyak bersuara berbanding yang lainnya. Pegamal politik katak ini sentiasa inginkan perhatian. Kadangkala sebahagian daripada kecelaruan politik Malaysia adalah disebabkan wujudnya mereka ini.
Walaupun UMNO banyak mendapat manfaat daripada aksi lompat ini, mereka juga pernah cemas dalam peristiwa 16 Setember apabila Anwar menguar-uarkan beberapa Ahli Parlimen akan melompat parti dan menyebabkan BN tumbang sehingga Najib bertindak melaksanakan misi membawa beberapa orang Ahli Parlimen melancong ke Taiwan.
Sehingga ini Anwar terus dikecam dalam isu 16 September dan kaitan dengan lompat parti walaupun hakikatnya UMNO lebih meraih manfaat dan banyak mempraktikkannya berbanding PR.
Ketika ini di Sabah, isu lompat kembali bergema kembali setelah Lajim Ukin dan Wilfred Bumburing keluar BN dan menubuhkan parti baru untuk bersama-sama dengan PR dalam pilihanraya akan datang. Lajim juga memberitahu sekurang-kurangnya tiga lagi pemimpin Sabah akan melompat parti dalam waktu terdekat ini.
Dalam senario ini, UMNO sepatutnya bimbang dan sekurang-kurangnya menyokong hasrat Pulau Pinang melaksanakan undang-undang itu. Malangnya DAP dikecam pula. UMNO nampaknya selesa dengan amalan lompat ini.
Seperti yang diakui semua pihak, kedudukan BN dan PR juga hampir seimbang menjelang pilihanraya umum akan datang ini. Jika BN terus kekal, mereka hanya mampu menang tipis saja. Begitu juga dengan PR. Dalam keadaan begitu, isu lompat parti mungkin menjadi isu kembali selepas pilihanraya nanti.
Pengamal polisi "I, me, myself" dalam politik akan menjadi kelompok pertama mengaut habuan dan bertindak melompat parti. Golongan ini tiada nilai perjuangan dan hanya memikirkan kepentingan diri sendiri sahaja. Apa saja yang boleh menguntungkan diri sendiri, itulah perjuangan mereka.
Keadaan menjadi lebih parah jika berlaku kedudukan Parlimen tergantung dan kedua-dua pihak, BN dan PR, tidak dapat menubuhkan kerajaan serta perlu melakukan proses rundingan dengan beberapa pihak terlebih dahulu. Dalam keadaan ini, kelompok "I, me, myself" tentunya menjadi kelompok paling meriah dan saling berebut menaikkan harga pasaran untuk dibeli.
Jika UMNO pernah cemas dalam peristiwa 16 September tetapi menjelang pilihanraya umum ini, UMNO nampaknya tidak gelisah lagi dengan isu lompat parti ini. Malahan mungkin kerana adanya kebebasan melompat parti inilah yang akan menyebabkan BN terus kekal berkuasa selepas pilihanraya nanti.
Sebagai parti yang telah berkuasa lebih 50 tahun, prasarana UMNO dalam hal ini adalah suatu kelebihan. UMNO mempunyai lebih keupayaan berbanding PR untuk membeli dan melakukan tawar-menawar. Syarikat gergasi dan tauke-tauke besar juga bersama mereka dan bila-bila masa saja boleh melaksanakan misi tersebut jika diminta oleh UMNO.
Secara prinsipnya tindakan melompat parti adalah perbuatan tidak bermaruah dan melanggar prinsip kepercayaan yang diberikan oleh pengundi. Inilah pegangan DAP dan Anwar sendiri bersifat memahami pendirian kerajaan Pulau Pinang mengenainya. Beliau ok dan tidak menentangnya. Tetapi UMNO secara terbuka menentangnya.
Kecaman UMNO yang berterusan terhadap undang-undang anti lompat ini menyerlahkan hakikat bahawa UMNO amat bergantung padanya. UMNO seperti mahu rakyat menerima perbuatan melompat parti sebagai sesuatu yang biasa dalam norma berpolitik.
Apakah ini bermakna UMNO dan BN hanya mengharapkan bantuan aksi katak untuk terus kekal berkuasa selepas pilihanraya umum nanti setelah segala taburan janji dan transformasinya selama ini gagal memikat hati rakyat? (SH 30/08/2012)
Saturday, 25 August 2012
Sanggupkah Kita Melihat Anwar Bersara Begitu Saja?
Sudah dua kali Anwar Ibrahim mengulangi hasratnya untuk bersara selepas pilihanraya umum ke 13 ini sekiranya PR gagal menawan Putrajaya. Tetapi hasrat untuk bersara itu hukan kerana kecewa, sebaliknya untuk memberi ruang kepada pemimpin muda pula mengambil alih peranan meneruskan perubahan yang telah dicetuskannya sejak 1998 lagi.
Anwar menegaskan bahawa beliau akan kembali ke dunia akademik selepas itu. Sebelum menyertai UMNO, Anwar pernah menubuhkan Yayasan Anda dan selepas dibebaskan dari penjara, beliau menjadi pensyarah di Universiti Georgetown, Amerika Syarikat.
Jika PR gagal dalam PRU 13 ini, Anwar akan menyerahkan kepada generasi pelapis mengambil alih peranannya dan beliau ingin kembali menjadi pensyarah semula. Selain faktor usia, hasratnya menyerahkan baton kepada pemimpin muda adalah sesuatu yang harus dipuji.
Soalnya adakah kita rakyat Malaysia sanggup melihat Anwar bersara dan membiarkan Najib Rosmah terus kekal sebagai Perdana Menteri?
Sejak berbalah dengan Mahathir dan kemudian dipecat daripada UMNO dan kerajaan pada 1998 serta diaibkan dengan pelbagai tuduhan, hakikatnya Anwar telah berjaya mencetuskan gelombang kesedaran dan perubahan di kalangan rakyat. Sejak pemecatannya, pelbagai kesedaran baru muncul dalam politik rakyat di negara ini dan ia dikaitkan pula dengan kesedaran dalam sistem ekonomi, sosial dan sebagainya.
Jika tidak kerana Anwar dipecat, kesedaran rakyat mungkin tidak berlaku seperti sekarang. Sebagaimana besarnya perubahan yang dicetuskannya Anwar, sengsara yang diterimanya juga bukan kepalang.
Mahathir yang memecatnya sehingga ini masih tidak dapat tidur lena kerana perubahan yang dicetuskan sejak 1998 itu mungkin pula memusnahkan legasi dan kemewahan anak-anaknya yang dibina sejak 22 tahun dahulu.
Oleh kerana Anwar yang telah mencetuskan perubahan dan menimbulkan kesedaran di kalangan rakyat, beliau tidak seharusnya dibiarkan bersara begitu sahaja. Anwar harus diberi peluang menjejakkan kaki menghuni Putrajaya supaya agenda perubahan dan reformasi yang dimulakannya itu dapat diatur perjalanannya dengan sempurna pula.
Anwar juga seharusnya diberi peluang mengotakan segala kata-kata dan janjinya selama ini. Hanya dengan menjadi PM kemampuan sebenar Anwar akan teruji.
Lebih dari itu, dengan memberi peluang PR memenangi pilihanraya akan datang dan menjadikan Anwar sebagai PM juga akan menjadikan sistem politik kita menjadi lebih matang. Ia akan memberi ruang kepada permulaan sistem dua parti yang sudah diamalkan di kebanyakan negara sekarang ini.
Hanya dengan kemenangan PR saja sistem dua parti ini dapat dimulakan, sebaliknya jika BN terus berkuasa selepas PRU 13 ini, ia akan terus berkuasa selama-lamanya. PRU 13 adalah peluang terbaik untuk rakyat membuat perubahan dan memulakan suatu sistem yang terbukti menguntungkan rakyat seluruhnya.
Melalui sistem dua parti, sekiranya selepas PR memerintah dan mereka gagal menunaikan janji-janji serta tidak berupaya menjaga rakyat dengan lebih baik, dalam pilihanraya seterusnya kuasa boleh dikembalikan semula kepada BN. Tetapi jika PR terbukti lebih bagus, mereka wajar dikekalkan.
Proses yang berterusan sebegitu akan menjadikan PR dan BN berlumba-lumba untuk menjadi yang terbaik di hati sanubari rakyat. Akhirnya semua parti dan pemimpin akan mengutamakan rakyat dan tidak lagi menjadikan kuasa yang dimiliki sebagai tiket untuk mengaut kekayaan peribadi serta keluarga sepertimana yang berlaku dalam BN sekarang ini.
Sejak BN memerintah lebih 50 tahun lalu, oleh kerana tiada penggiliran kuasa atau sistem dua parti, mereka yang menjadi pemimpin lebih sibuk mengaut kekayaan peribadi berbanding menjaga rakyat. Rakyat masih ramai yang miskin dan tiada bekalan api serta air yang sempurna walaupun setelah 55 tahun merdeka.
Kepimpinan hari ini lebih teruk jadinya. Najib bukan saja terus gagal membela rakyat, malah seperti berkongsi jawatan Perdana Menteri dengan isterinya, Rosmah Mansor. Isterinya sama sibuk dengan pelbagai agenda dan telah memecah tradisi dengan turut sama memberi perutusan sempena Hari Raya di televisyen, sedangkan sewajarnya hanya PM yang berbuat demikian.
Bayangkan apa akan berlaku jika BN terus berkuasa dan Najib pula kekal lagi sebagai PM. Jawabnya tiada akan ada apa-apa perubahan. Golongan kaya akan bertambah kaya manakala rakyat miskin akan terus miskin. Taburan janji-janji hanya akan muncul lima tahun sekali. Cerita skandal, penyelewengan, rasuah dan sebagainya mungkin berganda-ganda jadinya.
Memberikan kemenangan kepada PR dalam pilihanraya akan datang ini bukan semata-mata untuk menjadikan Anwar sebagai PM. Ia harus dilihat dalam konteks yang lebih luas daripada itu. Melalui perubahan yang bermula sejak 1998 dan jika berjaya diteruskan lagi dalam pilihanraya ini, percayalah rahmatnya lebih luas dan dapat dinikmati secara saksama oleh rakyat jelata. Hak rakyat juga akan lebih terpelihara dan boleh menentukan sesebuah kerajaan itu sentiasa menjalankan perkhidmatan terbaiknya.
Jika kita sayang negara ini dan mahu diri kita sentiasa dihargai, teruskanlah perubahan dalam PRU 13 dan jangan biarkan Anwar bersara begitu saja. Dan lebih penting jangan biarkan Najib Rosmah terus kekal sebagai Perdana Menteri lagi. (SH 25/08/2012)
Thursday, 23 August 2012
Mahathir Anggap UMNO Syaitan, Doa Fadzil Noor Sedang Dimakbulkan
Mengikuti perjalanan politik Tun Mahathir sejak bersara pada 2003, sukar untuk kita melupakan kaitannya dengan doa bekas Presiden Pas, Fadzil Noor yang pernah mendoakan agar bekas PM itu dipanjangkan umur untuk menyaksikan sendiri kerosakan kepada UMNO dan negara kesan daripada cara pentadbirannya selama 22 tahun yang dianggap keras, tidak demokratik dan kadang-kadang tiada perikemanusiaan.
Sejak melepaskan jawatannya kepada Pak Lah, beliau hanya menikmati masa rehat seketika saja. Selepas itu, kerana 'panas hati' dengan pembebasan Anwar oleh Pak Lah dan gelagat apa yang selalu disebutnya 'budak-budak tingkat 4' yang diketuai oleh KJ, Mahathir kembali menyingsing lengan turun ke gelanggang politik.
Beliau memusuhinya pengganti yang dipilihnya sendiri. Kemudian beliau juga bertindak keluar daripada UMNO dan hanya kembali menyertai UMNO sebaik Najib menjadi PM.
Jika diimbas pelbagai ucapan dan kenyataan Mahathir ketika itu, dapat dilihat jiwanya yang sengsara selepas ketiadaan kuasa. Dengan nikmat 22 tahun menjadi PM dan anak-anaknya menjadi kaya raya melalui UMNO, beliau bertindak memusuhi UMNO dan pemimpinnya melebihi apa yang dilakukan oleh pembangkang sendiri.
Ketika itu kita mula memikirkan doa Fadzil Noor mulai dimakbulkan.
Hari ini, dengan pilihanraya makin hampir dan Najib serta UMNO dilihat masih gagal meraih sokongan yang mencukupi daripada pelbagai kelompok mengundi, Mahathir masih aktif bersuara. Kadang-kadang beliau bercakap seolah-olah dirinya masih lagi PM yang berkuasa. Selalu juga hujahnya agak merapu dan menyusahkan Najib sendiri.
Terbaru beliau mengajak Pas supaya bersama dengan UMNO untuk melaksanakan hukum hudud di negara ini. Sambil mengajak Pas supaya meninggalkan PKR dan DAP, beliau berkata hanya dengan bersama UMNO saja hudud dapat dilaksanakan di negara ini.
Sementara kita memahami bahawa niat beliau hanyalah untuk memecahkan perpaduan antara Pas, PKR dan DAP serta menngelakkan Anwar daripada menjadi PM, kita juga tentunya tidak mudah lupa pelbagai komennya yang dianggap menghina hukum hudud itu sendiri.
Beliau bukan saja menentang hasrat Kelantan mahu melaksanakan hukum itu bahkan juga mengejek hudud terutama yang berkaitan hukum potong tangan. Ejekannya pula bukan sekali, tetapi berkali-kali.
Mahathir bercakap soal hudud seolah-olah beliau masih PM sedangkan Najib sendiri bertegas menolak hudud dan berjanji hukum itu tidak akan dilaksanakan selagi beliau dan UMNO berkuasa. MCA sendiri, rakan utama UMNO juga menolak hudud.
Jadi, tiada asas suara Mahathir bahawa UMNO akan melaksanakan hudud di negara ini. Tetapi Mahathir hanya menggunakan hudud sebagai umpan politik untuk memastikan UMNO terus berkuasa walaupun beliau pernah menolak dan mengejeknya dahulu.
Namun suara Mahathir mengenai hudud ini tentunya menyusahkan Najib dan UMNO. Sebab itu tiada pemimpin UMNO yang berani bercakap mengenainya. Sekali lagi perangai Mahathir ini mengingatkan kita kepada doa Fadzil Noor itu. Mahathir tanpa sedar telah merapu dan sanggup menjilat ludahnya sendiri.
Melalui tulisan terbaru di blognya, dalam usaha mengajak rakyat terus memilih UMNO dan menolak PR dan Anwar dalam pilihanraya akan datang ini, beliau membuat perumpamaan bahawa lebih baik memilih syaitan yang dikenali daripada malaikat yahg tidak dikenali.
Perumpamaan itu secara tidak langsung bermakna Mahathir mengakui UMNO itu umpama syaitan yang penuh dengan sifat jahat dan keji. Tetapi beliau tetap mahu rakyat memilih syaitan juga berbanding malaikat.
Dengan analogi ini ternampak bahawa Mahathir semakin terdesak untuk memastikan UMNO terus berkuasa. Beliau nampaknya terlalu ingin mempertahankan legasinya dan kepentingan anak-anaknya dalam pelbagai bidang yang beliau percaya hanya boleh dipertahankan jika UMNO terus berkuasa.
Memang rakyat mengakui pelbagai sumbangannya selama 22 tahun berkuasa tetapi seiring dengan itu kerosakan kepada sistem politik dan pentadbiran negara juga berlaku dengan berganda. Nepotisme dan kronisme turut berkembang biak selama beliau berkuasa, sementara anak-anak dan keluarganya mendapat limpahan nikmat umpama syurga.
Analogi syaitan dengan malaikat memang nampak merapu. Syaitan hanya tahu melakukan kerja-kerja jahat sementara malaikat hanya tahu melakukan kerja yang baik.
Sekali lagi tindakan merapu Mahathir ini menyusahkan Najib dan UMNO. Dengan mengumpamakan UMNO sebagai syaitan, tentulah tidak ada manusia yang waras mahu bersama dan menyokong parti itu lagi. Ia juga terus mengingatkan kepada doa yang pernah dilafazkan oleh Fadzil Noor sebelum ini.
Dengan peredaran masa, Mahathir akan terus bersuara. Mungkin banyak lagi suaranya yang menyusahkan akan keluar dan menyebabkan rakyat yang rata-rata semakin cerdik sekarang ini makin menjauhi UMNO serta kerajaan yang ada.
Baiklah kita juga sama-sama mendoakan agar Tun Mahathir terus panjang umur dan dapat menyaksikan sendiri kejatuhan UMNO itu sebahagiannya dalah berpunca daripada dirinya sendiri. (SH 23/08/2012)
Wednesday, 15 August 2012
Bila Pun Tarikh Pilihanraya, UMNO Tetap Ghruyup!
Najib kini dijangka melambatkan lagi tarikh pilihanraya umum. Sebelum ini ramai yang menjangka ia akan diadakan sebelum Oktober ini kerana selepas itu akan bermula musim haji, diikuti musim peperiksaan, cuti hujung tahun dan kemungkinan banjir di beberapa negeri yang tentunya menyulitkan untuk diadakan pilihanraya.
Tetapi sebelum Oktober pun jika Najib mahu memanggil pilihanraya ia tentunya selepas 28 September, tarikh pembentangan Belanjawan 2013 yang sudah ditetapkan. Melalui belanjawan ini, Najib dijangka mengumumkan beberapa gula-gula dan pemberian yang manis-manis untuk rakyat. Maka logiklah jika pilihanraya mahu diadakan selepas itu.
Tetapi risikonya ialah ia akan bertembung dengan musim haji. Walaupun sebelum ini Najib ada berkata tidak salah mengadakan pilihanraya di musim haji dan ia juga pernah dilakukan di zaman Tun Hussein Onn duku tetapi dengan pengakuan Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor baru-baru ini yang membayangkan tidak mungkin Najib mengadakan pilihanraya di musim haji, bermakna tarikh pilihanraya akan ditunda lagi.
Oleh kerana selepas Oktober akan bermula pula musim peperiksaan, kemudian musim orang bercuti dan musim banjir, agak tidak sesuai diadakan pilihanraya ketika itu. Kemungkinan Najib akan mengadakan piliharaya pada tahun hadapan adalah paling logik.
Apakah dengan menunda tarikh pilihanraya ini memberi kelebihan kepada UNNO dan BN?
Realitinya lagi lama tarikh pilihanraya ditangguh, ia lebih membebankan Najib, UMNO dan BN. Ini kerana semakin banyak ruang masa diberi, semakin banyak isu yang berjaya dibongkar oleh PR. Semakin banyak masa juga, PR semakin agresif menawarkan pelbagai tawaran yang menarik hati rakyat.
Dari segi isu, disebabkan ruang masa, maka munculnya isu Shafie Afdal dengan Zahida Rafik, kemudian diikuti isu lembu NFC yang melibatkan Shahrizat Jalil, penganugerahan beberapa projek kerajaan kepada beberapa anak menteri dan kemudian isu projek LRT Ampang yang membabitkan Najib sendiri.
Dari segi tawaran kepada rakyat pula, jika sebelum ini PR hanya menawarkan penurunan harga minyak, kajian semula tarif letrik dan pengurusan kerajaan yang lebih baik tetapi kini muncul pula tawaran penghapusan hutang PTPTN dan janji penurunan harga kereta melalui penghapusan duti eksais kenderaan.
Jika lebih masa diberi, entah berapa banyak lagi isu dan tawaran yang memikat hati rakyat akan muncul di persada politik negara ini oleh PR.
Dan dari semua isu yang muncul pula, semuanya tidak dimenangi oleh UMNO. Jadi bermain dengan masa hanya merugikan Najib saja.
Dalam masa yang sama, Najib dan UMNO juga cuba menimbulkan beberapa isu untuk menggegarkan perpaduan antara parti-parti dalam PR dan menggoncang keyakinan rakyat tetapi nampaknya semua isu yang ditimbulkan itu umpama embun pagi yang kemudian hilang apabila timbulnya sinar matahari. Langsung tidak berbekas di hati rakyat.
Dari isu moral Anwar, isu pemecatan Dr Hassan Ali yang kemudian menubuhkan Jati, masalah yang dibangkitkan di Kedah dan Selangor sehinggalah kepada yang terbaru isu hudud dan haram mengundi DAP, semuanya tidak meninggalkan kesan dan akhirnya mudah dipatahkan. UMNO malah dimalukan dengan isu-isu tersebut.
Serangan PR kepada kubu-kubu BN juga semakin hebat akhir-akhir ini. Sabah kini menjadi tumpuan selepas Lajim dan Wilfred mencetuskan arus yang cuba menggugat BN. Selepas Hari Raya ini, Lajim sendiri memberi pengakuan sekurang-kurangnya tiga lagi pemimpin BN Sabah akan mengisytiharkan sokongan kepada PR. Jika trend penghijrahan ini berterusan, BN akan kehilangan banyak kerusi di Sabah berbanding pilihanraya 2008 lalu di mana mereka memenangi 24 daripada 25 kerusi Parlimen di negeri itu.
Di Sarawak juga trend penolakan terhadap BN semakin kuat. Jika dalam pilihanraya 2008, BN mampu memenangi 30 daripada 31 kerusi Parlimen di negeri itu, kali ini memadai jika 6 atau 7 kerusi lagi jatuh ke tangan PR berdasarkan momentum piliharaya negeri tahun lalu yang menyaksikan PR mampu menang 15 kerusi DUN.
PR juga kini memberi tumpuan kepada Johor. Dalam piliharaya 2008, BN menang 25 daripada 26 kerusi Parlimen di negeri itu. Dalam piliharaya akan datang ini dengan Sallahuddin Ayub dan Lim Kit Siang dijangka turun bertanding di Johor di sampimg Dr Chua Jui Meng yang sentiasa bekerja keras, tidaklah mustahil 5 atau 6 kerusi Parlimen mampu dimenangi oleh PR.
Semakin lama Najib menangguh pilihanraya, bermakna PR mempunyai cukup masa untuk memperkuat jentera dan pengaruh di negeri-negeri tersebut.
Berdasarkan piliharaya 2008, PR menang 81 daripada 222 kerusi Parlimen. Walaupun beberapa Ahli Parlimen PR kemudiannya melompat menjadi Bebas yang menyokong BN tetapi hakikatnya harapan UMNO untuk merampasnya dalam pilihanraya akan datang ini tetap sukar.
Dalam pilihanraya kali ini, PR bukan saja mungkin mengekalkan 81 kerusi yang dimenanginya dulu, bahkan tidak mustahil memperolehi beberapa kerusi tambahan lagi.
Jika ini berlaku dan disertai pula dengan kejayaan PR menawan antara 25 hingga 30 kerusi yang meliputi Johor, Sabah dan Sarawak, harus diakui nafas UMNO dan BN akan terhenti setakat PRU 13 ini sahaja. Najib pula akan mengakhiri Teori RAHMAN yang popular itu.
Ini bermakna semakin lama pilihanraya ditangguh, kedudukan UMNO dan BN tidak pula menjadi lebih baik. Sama ada pilihanraya diadakan pada September, Oktober atau diinjak kepada tahun depan, UMNO nampaknya tetap akan ghruyup (kuyup) juga.
UMNO sebenarnya sudah menjadi sebuah parti yang rosak dan sakit. Ia penuh dengan masalah dan segala macam penyakit yang tidak boleh dibaiki lagi. Mempercepat atau melambatkan tarikh pilihanraya, keputusannya tetap sama.
Rakyat kebanyakannya sudah membuat pilihan dan ketetapan. Dan jika benar seperti kata Mahfuz Omar bahawa penangguhan tarikh pilihanraya ini kerana Najib sudah mendapat laporan daripada perisikan polis dan tentera bahawa BN sukar mencapai kemenangan dan kerajaan akan bertukar tangan, tindakan melewatkan tarikh pilihanraya hanyalah semata-mata membolehkan Najib boleh duduk lebih lama beberapa bulan lagi di kerusi empuk Perdana Menteri saja, bukannya mengubah kekalahan kepada kemenangan. ( SH 15/08/2012)
Monday, 13 August 2012
Penerimaan Melayu Kepada DAP Menakutkan UMNO
Tindakan UMNO melalui media rasminya Utusan Malaysia, memainkan isu mengundi DAP sebagai haram sebenarnya tidak lebih menggambarkan ketakutan parti itu terhadap kerjasama antara Pas, DAP dan Pkr yang dilihat semakin baik dan mantap menjelang pilihanraya akan datang ini. Bagi UMNO yang sejak dulu membina kuasa bersama MCA dan MIC, ketakutan mereka ialah jika PAS juga boleh membina persahabatan politik yang erat dengan kaum Cina dan India.
Sebab itu dengan termetrainya ikatan antara Pas,DAP dan Pkr melalui Pakatan Rakyat ini, ia adalah sesuatu yang membimbangkan UMNO. UMNO memikirkan hubungan dengan kaum-kaum lain di negara ini adalah hak ekslusif mereka saja sementara jika pihak lain berbuat demikian ia akan dikritik dan dilabelkan sebagai haram.
Dalam piliharanraya umum sebelum ini, antara sebab kemenangan UMNO dan BN adalah kerana kejayaan mereka meretakkan hubungan tersebut. Kepada kaum Cina, Pas digambarkan sebagai pelampau Islam dan menolak hubungan dengan bukan Islam. Kepada pengundi Melayu pula, DAP digambarkan sebagai chauvinis Cina, anti Islam, anti Raja dan malah didakwa ingin menukar agama rasmi daripada Islam kepada Kristian.
Sejak bertahun-tahun lamanya dakyah itu berjalan dengan jayanya dilakukan melalui ucapan pemimpin UMNO serta bantuan media-media yang dikawalnya.
Menjelang piliharaya ini di mana terlihat bahawa pegangan kuasa UNNO dan BN bagaikan telur di hujung tanduk, percubaan mengapi-apikan sentimen agama dan kaum ini kembali bergema. Ia jelas menggambarkan kedudukan UMNO yang semakin genting sebenarnya.
Meskipun penolakan rakyat terhadap UMNO adalah kerana isu-isu seperti kepimpinan yang lemah, rasuah, nepotisme, kronisme dan sebagainya tetapi semua itu tidak diperbaiki dengan bersungguh-sungguh, sebaliknya cara mudah melalui sentimen kaum dan agama sentiasa direka untuk mengekalkan kuasa yang ada.
Jika UMNO cukup kuat dan diterima rakyat melalui pelbagai program transformasi Najib serta segala macam pemberian tunai yang dirasuahkan kepada rakyat selama ini, sudah tentu sentimen agama dan kaum ini tidak dimainkan. Ini kerana memainkan sentimen agama dan kaum itu bukan sahaja memalukan Najib sendiri yang gah memekik slogan 1Malaysianya tetapi juga menggambarkan perjalanan negara ini sedang bergerak ke belakang di mana isu kaum dan agama masih menjadi senjata murahan untuk menakluk kuasa.
Hanya kerajaan zaman silam dan era perang saja yang kebanyakannya tertegak atas isu kaum, bangsa dan agama sebaliknya kerajaan moden seharusnya berdiri atas isu seperti keadilan, ekonomi, kepimpinan, rasuah dan seumpamanya.
Hujah yang digunakan oleh UMNO melalui seorang ulama pondok dari Kelantan yang secara celupar mengatakan haram mengundi DAP semata-mata atas isu hudud sedangkan MCA, rakan karib UMNO juga menolak hudud malah menghina hukum Allah itu dengan pelbagai dakwaan lain tidak pula diambil kira. Dalam waktu yang sama, Najib sendiri bertegas bahawa hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini. Dengan ini, jelas bahawa hujah ulama pondok itu tidak berpijak di bumi nyata dan hanya berdasarkan hukum yang berpilih-pilih untuk kepentingan UMNO.
Sebelum timbulnya dakwaan mengundi DAP sebagai haram, beberapa dakwaan lain berkaitan DAP juga sudah pun ditimbulkan. Antaranya ialah DAP anti Melayu, DAP anti Raja, DAP anti Islam malah ada yang tergamak memperbodohkan rakyat dengan dakwaan bahawa bakal Perdana Menteri daripada Pakatan Rakyat ialah bangsa Cina daripada DAP.
Hakikat bahawa DAP hanya bertanding 66 kerusi Parlimen saja langsung tidak diambil kira, begitu juga pengakuan kerap kali oleh DAP sendiri bahawa mereka bukan saja menerima kedudukan Melayu dan Islam malah Perdana Menteri juga mesti daripada bangsa Melayu yang beragama Islam.
Walaupun tidak semua rakyat boleh diperbodohkan, khususnya dengan wujudnya media baru yang menghalang media tradisional milik UMNO terus-menerus melakukan pembohongan tetapi nampaknya UMNO tetap berusaha bukan saja memecahkan ikatan antara Pas dan DAP ini tetapi juga terus berusaha meyakinkan agar pengundi Melayu menolak DAP.
Bagi UMNO, jika pengundi Melayu dapat menerima DAP sebagaimana pengundi Melayu boleh menerima MCA, malapetaka bakal menantinya dalam pilihanraya akan datang ini. Sebab itu, UMNO tidak akan berhenti memainkan isu DAP ini walaupun hakikatnya dunia sudah semakin berubah yang menyaksikan penembusan maklumat makin merata dan makin ramai orang Melayu juga yang menyertai DAP.
Menjelang pilihanraya yang semakin hampir, segala program transformasi Najib yang dulunya dibanggakan tidak lagi kedengaran diperkatakan. UMNO kini lebih sibuk menyerang hubungan Pas dengan DAP dengan pelbagai dakwaan dan bayangan igauan semata-mata untuk meretakkan hubungan saling memberi dan menerima yang dilihat semakin kental antara kedua parti itu.
Jika Pas dan DAP dapat menjalin hubungan yang baik ini sebagaimana UMNO dengan MCA dan MIC, itulah ketakutan sebenar UMNO dan BN.
Dan selagi hubungan itu tidak berjaya diretakkan, selagi itulah Najib tidak terjumpa tarikh yang sesuai untuk diadakan pilihanraya umum. (SH 13/08/2012)
Tuesday, 7 August 2012
Mungkinkah Rakyat Kelantan Ditipu Oleh Najib?
Beberapa hari selepas Tengku Razaleigh Hamzah menyuarakan pandangan agar kerajaan Pusat menyelesaikan isu royalti minyak untuk Kelantan sebelum pilihanraya umum akan datang ini, secara tiba-tiba Najib mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji isu bayaran hasil royalti minyak kepada negeri-negeri di pantai timur Semenanjung.
Jawatankuasa yang diumumkan Najib itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan turut dianggotai pakar undang-undang dalam dan luar negara serta wakil dari negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan yang diperkenankan oleh Sultan negeri masing-masing.
Najib juga mengumumkan bahawa jawatankuasa itu akan menjalankan kerjanya dalam tenpoh enam bulan sebelum membuat syor yang sesuai kepada kerajaan Pusat.
Dilihat sekali imbas, ternampak bahawa Najib cuba untuk memenuhi tuntutan royalti minyak yang menjadi isu antara kerajaan pusat dengan kerajaan Kelantan selama ini sehingga dibawa ke mahkamah. Najib juga dilihat cuba menjadi baik di mata rakyat Kelantan dan tentunya dengan harapan kebaikan itu akan dibalas dalam bentuk undi dan sokongan kepada UMNO dalam pilihanraya akan datang ini.
Tetapi jika diteliti secara lebih dalam, penubuhan jawatankuasa ini mungkin juga menjadi permainan politik Najib untuk mendapatkan undi dan memastikan UMNO berjaya merampas semula negeri itu. Terdapat beberapa fakta yang meragukan disebalik penubuhan jawatankuasa itu.
Sebenarnya jika Najib ikhlas mahu memberi royalti minyak kepada Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak sebagaimana kehendak bapanya Tun Razak, tidak perlu sama-sekali ditubuhkan apa-apa jawatankuasa mengenainya. Apa yang perlu dilakukan hanyalah kembali kepada perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang sudah jelas memperuntukkan setiap negeri terbabit berhak mendapat 5 peratus daripada hasil minyak yang dikeluarkan.
Tidak lama dulu apabila Terengganu jatuh ke tangan Pas, royalti minyak yang selama ini diterima telah digantikan dengan wang ihsan. Di Kelantan juga, perjanjian yang termaktub melalui Akta Kemajuan Petroleum turut tidak dipatuhi dan royalti minyak yant sepatutnya mereka terima turut ditukar dengan wang ihsan.
UMNO yang masih menguasai Kerajaan Pusat seolah-olah tidak mengiktiraf sesebuah kerajaan negeri jika ianya ditadbir oleh parti lain selain UMNO. Apabila kedua negeri itu jatuh ke tangan Pas, royalti ditukar kepada wang ihsan tetapi penerimanya bukan kerajaan negeri tetapi UMNO Kelantan dan Terengganu.
Tidak dinafikan bahawa kerana faktor politik, bayaran royalti telah ditukar kepada wang ihsan. Oleh itu jika Najib benar-benar ikhlas mahu menunaikan amanat ayahandanya dari segi pemberian royalti ini, kembali sahaja ke pangkal jalan dengan melihat semula kandungan perjanjian yang sudah ditandatangani itu.
Tak perlu ditubuhkan jawatankuasa lagi.
Lebih meragukan ialah tempoh masa enam bulan yang perlu diambil oleh jawatankuasa itu sebelum mengemukakan syor kepada kerajaan pusat. Ini bermakna penubuhan jawatankuasa itu boleh menjadi mainan politik bagi Najib dan UMNO Kelantan untuk menggula-gulakan hati rakyat Kelantan dalam pilihanraya umum akan datang ini. Dalam tempoh enam bulan ini tentunya pilihanraya akan diadakan kerana tempoh edah pilihanraya ialah April 2013.
Pastinya ada rakyat Kelantan yang akan terpedaya dengan mainan ini dan menganggap Najib benar-benar ikhlas mahu memberi royalti minyak sedangkan selepas enam bulan dari sekarang mungkin keputusan pilihanraya sudah diketahui dan syor jawatankuasa ini juga mungkin boleh berubah mengikut keputusan pilihanraya nanti.
Sementara Najib meminta isu royalti minyak tidak dijadikan bahan politik disebalik kesedian menubuhkan jawatankuasa itu, ia sebenarnya sudah pun menjadi mainan politik yang mungkin menguntungkan UMNO Kelantan dalam pilihanraya akan datang ini.
Yang agak menarik juga dalam penubuhan jawatankuasa ini apabila Najib mengumumkan setiap negeri dibenarkan menghantar wakil yang dipersetujui oleh Sultan negeri-negeri berkenaan. Sebenarnya jika ingin ketelusan dan keadilan dalam isu royalti minyak ini, bukan saja bagi negeri Kelantan tetapi juga bagi lain-lain negeri, sepatutnya Tengku Razaleigh Hamzah dimasukkan sekali dalam jawatankuasa itu kerana ketika perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974 itu ditandatangani, beliau adalah Pengerusi Petronas ketika itu.
Tengku Razaleigh bukan saja terlibat dalam menandatangi perjanjian itu dengan membawa mandat Tun Razak yang mahu negeri-negeri pengeluar minyak itu mendapat habuan yang setimpal tetapi sebagai Pengerusi Petronas dan "orang harapan" Tun Razak ketika itu, hanya beliaulah yang lebih memahami isu kandungan serta semangat dalam perjanjian tersebut.
Tetapi dengan Najib menyandarkan alasan bahawa wakil negeri-negeri mesti mendapat perkenan Sultan negeri masing-masing, beliau sebenarnya secara halus tidak mahu keterlibatan Ku Li dalam jawatankuasa itu kerana semua maklum bahawa Sultan Kelantan sekarang tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Ku Li.
Sekali lagi keikhlasan Najib agak diragui.
Jika diberi kebebasan, Pas Kelantan juga tidak mustahil memilih Ku Li menjadi wakilnya dalam jawatankuasa itu. Ia bukan sahaja bersandarkan kepada pengetahuan Ku Li yang mendalam mengenai isu royalti minyak ini tetapi Ku Li sendiri berulangkali memperjuangkan isu ini untuk kepentingan rakyat Kelantan.
Tidak dapat dinafikan, dalam isu royalti minyak ini, Ku Li adalah tokoh yang paling tidak sesuai jika diketepikan melainkan jika Najib tidak mahu memenuhi sepenuhnya perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974 itu dan menjadikan penubuhan jawatankuasa ini sekadar "talian hayat" dalam percubaan mendapat sokongan politik dan merampas semula Kelantan daripada Pas. (SH 07/08/2012)
Thursday, 2 August 2012
Najib Sedang Menguburkan Slogannya Sendiri
Di gerabak keretapi dan stesennya di Lembah Kelang kini dipenuhi dengan iklan-iklan yang memaparkan wajah Najib dengan slogan Kami Mendengar sambil memaparkan wajah Najib dalam pelbagai suasana bersama rakyat. Iklan itu bukan saja menggambarkan keghairahan UMNO untuk menawan kembali Selangor daripada genggaman Pakatan Rakyat tetapi juga melambangkan keinginan untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang mesra dengan keluh kesah serta derita rakyat.
Najib ingin dilihat sebagai pemimpin yang sedia mendengar apa saja denyut nadi rakyat dan berkali-kali menyatakan bahawa rakyat adalah keutamaannya.
Tetapi benarkah apa yang diucap sama dengan apa yang dibikin? Cuba kita imbas satu persatu.
Dalam kes penahanan Rafizi Ramli, Pengarah Strategi PKR yang mendedahkan isu lembu NFC dan canpurtangan Najib dalam penganugerahan projek tambahan LRT Ampang kepada syarikat kroninya, George Kent jelas sekali menunjukkan bahawa Najib langsung tidak mendengar cetusan hati rakyat.
Dalam kes lembu NFC, sudahlah tindakan begitu lambat diambil terhadap keluarga Shahrizat dan di ketika rakyat gembira dengan pendedahan Rafizi itu yang dianggap cuba menyelamatkan wang rakyat daripada terus dirompak dan diselewengkan, tiba-tiba Rafizi pula yang didakwa dibawah akta Bafia iaitu mendedahkan maklumat bank.
Nampaknya dalam era Najib ini pihak yang memberi maklumat atau mahu mencegah kemungkaran juga bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang dari pemerintah.
Tidak cukup dengan itu Rafizi juga dibawa di mahkamah dengan tangan bergari berbanding suami Shahrizat, Salleh Ismail yang turut didakwa sebelum ini tidak pula digari tangannya.
Dalam kes projek tambahan LRT Ampang pula, Rafizi telah mendedahkan bagaimana campurtangan Najib mahu memberi projek itu kepada syarikat rakan karibnya, George Kent walaupun syarikat itu dibuktikan tidak melepasi penilaian teknikal yang diperlukan. Setelah berbagai pendedahan dibuat yang menggambarkan kecurangan Najib sebagai pemimpin sehingga kepada aspek keselamatan projek itu kepada rakyat, Najib akhirnya memberikan juga projek itu kepada Geogge Kent.
Semua tindakan ini menggambarkan Najib langsung tidak mahu mendengar suara hati rakyat bahkan seperti ada dendam di sanubarinya terhadap Rafizi. Rafizi didakwa di mahkamah bukan saja kerana mendedahkan isu lembu NFC tetapi juga dipercayai kerana menyelongkar perihal projek LRT Ampang itu.
Dalam isu sambutan hari merdeka pula di mana tema berbaur kepentingan politik UMNO digunakan iaitu Janji Ditepati, Najib juga tidak mahu mendengar suara hati rakyat yang mahu tema itu digantikan dengan tema lain yang bersifat neutral serta menyenangkan semua pihak sebagaimana tema-tema yang digunakan sebelum ini.
Melalui suara Rais Yatim, kerajaan begitu angkuh mahu mempertahankan tema itu walaupun umum mengetahui Program Janji Ditepati adalah adalah program jelajah UMNO untuk berkempen dan bertemu rakyat anjuran Media Prima yang sudah dihadiri Najib di beberapa lokasi. Papan tanda berslogan Janji Ditepati juga sudah dipasang di seluruh negara sejak empat atau lima bulan lalu.
Sudah tentu jika tema Janji Ditepati mahu digunakan sebagai tema sambutan merdeka, ia berkait secara langsung dengan UMNO dan hasrat untuk memenangi pilihanraya. Maka, rakyat yang tidak berparti atau menyokong selain UNNO, wajar mengemukakan bantahan kerana merderka adalah milik semua orang.
Sekali lagi Najib dan kerajaannya tidak mahu mendengar suara rakyat janji yang dipasang di pelbagai papan iklan itu.
Di ketika yang lain Najib juga melafazkan slogan yang cukup lunak didengar iaitu era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhir dan kerajaan kini haruslah lebih peka kepada kehendak rakyat. Tetapi hakikatnya pentadbiran kerajaan selama lebih tiga tahun ini seolah-olah beliaulah paling mengetahui segala-galanya.
Kerajaan di era Najib ditadbir secara membelakangjan hasrat rakyat di mana banyak projek-projek kerajaan diberikan sesuka hati kepada rakan-rakan rapat dan kalangan anak menterinya. Janji mahu melaksanakan tender terbuka langsung tidak ditepati dan kalau ada pun tender sebagaimana projek LRT Ampang, beliau cuba pula campurtangan supaya hasil kekayaan negara akhirnya tetap masuk ke poket rakan-rakannya.
Seiring dengan laungan era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhir itu, Najib juga membiarkan perlakuan menteri-menterinya mentadbir kementerian sesuka hati dengan sama-sekali tidak berpegang kepada slogan itu. Ini dapat dilihat dalam kes Rais Yatim yang memilih tema, logo serta lagu sempena hari merdeka yang bertentangan sama sekali kebebasan rakyat yang berpegang kepada pelbagai fahaman politik.
Ismail Sabri pula dilaporkan telah menukarkan empat orang pengarah koperasi negeri dengan notis 24 jam semata-mata kerana tidak puas hati terhadap kehadiran orangramai dalam sambutan Hari Koperasi yang begitu mengecewakan.
Beberapa menteri lain juga mentadbir kementerian mereka seperti ianya harta peninggalan datuk nenek masing-masing di mana bukan saja projek diberikan sesuka hati kepada rakan-rakan tetapi juga langsung tidak mahu mendengar pandangan, keluhan serta suara hati orang lain.
Jika diimbau pelbagai slogan yang diperkenalkan Najib seperti Rebah Jika Tak Berubah, wassatiyah, pencapaian didahulukan dan rakyat diutamakan serta pelbagai lagi yang diretorikkannya sejak menjadi Perdana Menteri, jelas kelihatan bahawa semua slogan itu bertentangan dengan apa yang dilakukan.
Najib kini bukan sahaja tergambar sebagai pemimpin paling retorik tetapi dalam masa yang sama sedang menguburkan satu persatu slogan-slogan yang pernah dilaungkannya itu. (SH 02/08/2012)
Subscribe to:
Posts (Atom)