Friday, 30 September 2016

MENYINGKIRKAN NAJIB SEBELUM PRU 14 TIDAK SEHARUSNYA DIBANGKITKAN LAGI


Sehari dua ini timbul kembali isu berkaitan penyingkiran Perdana Menteri sebelum PRU 14 dan kuasa Yang Dipertuan Agong berkaitan perkara tersebut.

Ia bermula apabila seorang peguam yang rapat dengan Tun Mahathir Mohamad, Hanif Khatri Abdulla dalam sebuah forum nenyatakan bahawa Agong mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Beliau menyimpulkan bahawa sebagaimana Agong mempunyai kuasa untuk melantik, baginda juga berhak untuk memecat Perdana Menteri.

Hujah beliau bagaimanapun disanggah oleh Nazri Aziz yang mengatakan Agong tidak ada hak untuk memecat kerana pemecatan Perdana Menteri hanya boleh dilakukan oleh Parlimen.

Katanya, negara kita adalah sebuah negaa yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan.

Bekas Peguam Negara, Abu Talib Othman juga sependapat dengan Nazri yang menyebut bahawa hanya Parlimen dan kehilangan majoriti di Dewan Rakyat saja yang boleh membuatkan Najib tersingkir daripada jawatannya.

Mengapa ditimbulkan kembali isu penyingkiran Najib melalui kuasa Agong sebelum PRU 14 ini?

Bukankah sekarang ini semua kumpulan penentang Najib sudah meninggalkan UMNO dan menubuhkan parti politik baru iaitu PPBM?

Untuk ada ditubuhkan PPBM jika berterusan bercakap mengenai penyingkiran Najib melalui kuasa Agong?

Tidakkah  Najib sendiri sudah berulangkali menyatakan bahawa beliau tidak sesekali akan berundur dan sedia menghadapi pencabarnya dalam pilihanraya?

Tidakkah juga dengan sudah menubuhkan PPBM dah menjalin kerjasama dengan parti-parti pembangkang, matlamat utama sekarang sudah berubah kepada menyingkirkan Najib dengan cara mengalahkan UMNO dan BN dalam pilihanraya?

Oleh itu, sedarlah bahawa hanya membuang masa dan menghabiskan air liur saja bercakap lagi mengenai kuasa Agong dan penyingkiran Najib melalui kuasa selain pilihanraya.

Dengan sudah menubuhkan parti baru dan menjalin kerjasama dengan parti-parti pembangkang, malah Tun Mahathir juga sudah banyak kali bercakap mengenai usaha mengalahkan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang, isu penyingkiran Najib sebelum PRU 14 tidak seharusnya dibangkitkan lagi.

Apa yang perlu dilakukan ialah memperkemas jentera parti, memperkukuh kerjasama dengan parti-parti lain dan berterusan meyakinkan rakyat bahawa perubahan kerajaan adalah pilihan terbaik buat kesejahteraan mereka.

Lupakanlah terus cakap-cakap untuk menyingkirkan Najib melalui kuasa Agong atau sebelum PRU 14 ini, sebaliknya usaha serta kekuatan haruslah ditumpukan untuk menjelmakan kekustan baru ke arah perubahan serta reformasi menyeluruh dalam negara. (SH 30/09/2016).

APA AGAKNYA KATA HATI "GEOBBELS KECIL" TERHADAP NOH OMAR?


Pada hari yang sama ketika Abdul Rahman Dahlan menyatakan bahawa rakyat Jerman tersinggung dengan tindakan Tun Mahathir Mohamad menyamakan menteri-menteri yang gemar mempertahankan Najib Razak dengan Joseph Geobbels, Menteri Propadanda era Hitler, seorang lagi menteri, Noh Omar terus keliru mengenai identiti sebenar Malaysian Official 1 atau MO1 yang disebut dalam kertas mahkamah Jabatan Kehakiman AS.
Selepas agak  "blur" dan terdiam seketika dengan soalan wartawan mengenai perkara itu sehingga pertanyaan diulang sekali lagi, Noh kemudian berkata, "Saya pun tak tahu siapa MO1, itu awak kena tanya Jabatan Kehakiman AS."

Sebelum ini, Abdul Rahman yang namanya turut disebut dalam blog Tun Mahathir sebagai antara "Geobbels kecil" dalam era kepimpinan Najib, pernah menyatakan bahawa hanya "orang bodoh" saja yang tidak kenal siapa MO1.

Dalam temubual dengan sebuah media antarabangsa kemudiannya,  Abdul Rahman secara terus-terang menyebut MO1 ialah Najib.
Apa agaknya kata hati Abdul Rahman terhadap Noh yang masih tidak pasti siapa MO1 itu?

Apakah beliau merasakan dirinya "lebih pandai" atau Noh Omar "lebih bodoh"  daripadanya, walaupun sama-sama memegang jawatan menteri di bawah Najib?  (SH 30/09/2016).

Thursday, 29 September 2016

RAHMAN DAHLAN, MENTERI JERMAN?


Agak menggelikan hati apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Dahlan, salah seorang menteri propaganda Najib Razak menyatakan bahawa persamaan yang dibuat oleh Tun Mahathir Mohamad antara Joseph Goebbels dengan mereka yang selalu mempertahankan Perdana Menteri sebagai  menyinggung perasaan Jerman.

Kata Abdul Rahman, kritikan Tun Mahathir tentang persamaan itu menyinggung perasaan Jerman, lebih-lebih lagi kerana kerana ia dilontarkan ketika Najib mengadakan lawatan rasmi ke negara tersebut.

Beliau telah menimbulkan kebencian dan menyinggung banyak perasaan di Jerman, negara yang membawa kumpulan pelaburan Eropah terbesar ke Malaysia tahun lalu, kata Abdul Rahman yang juga Pengarah Komunikasi Strategik BN.
Dalam tulisannya di blognya semalam, Tun Mahathir menyamakan pemimpin-pemimpin UMNO yang mempertahankan Najib umpama "Goebbels kecil"  kerana berkelakuan seperti Joseph Goebbels, Menteri Propaganda era Hitler yang peranannya ialah mentransformasi segala yang buruk yang dilakukan Nazi supaya ternampak bukan saja baik, tetapi juga mulia.

Malangnya, kata bekas Perdana Menteri itu lagi, tiada sesiapa yang mempercayai gambaran yang cuba dilakukan Goebbels itu yang akhirnya bukan saja membuatkan rejim Nazi dan Hitler ditolak, malah Geobbels bersama isteri dan anak-anaknya juga membunuh diri.

Dengan Tun Mahathir turut menamakan Abdul Rahman sebagai antara "Geobbels kecil"  tersebut, orang yang sepatutnya tersinggung ialah Abdul Rahman sendiri, bukannya rakyat atau negara Jerman.

Lagi pun, jika Kedutaan Jerman sendiri tidak berkata apa-apa sehingga ini berkaitan tulisan Tun Mahathir itu, bagaimana Abdul Rahman tahu banyak pihak di negara tersebut yang tersinggung?

Logiknya tidak ada sebab untuk sesiapa di Jerman yang harus tersinggung atau kecil hati dengan perbandingan yang dibuat oleh Tun Mahathir itu kerana ia adalah fakta sejarah yang benar dan bukan direka-reka.

Perbandingan yang dibuat oleh Tun Mahathir juga tidak bertujuan memburuk-burukkan negara Jerman, baik dahulu mahupun sekarang, tetapi untuk menunjukkan betapa ada pemimpin di Malaysia sendiri yang mengaku moden dan bertamadun yang tidak mengambil iktibar daripada kegagalan watak Geobbels itu.

Malah, orang Jerman sendiri tidak ada lagi yang berperangai seperti Geobbels selepas berakhirnya era Nazi kerana mereka telah menjadikan sejarah sebagai pedoman untuk meneruskan kehidupan dan menjadikan negara mereka lebih dipandang tinggi oleh dunia.

Hanya di Malaysia, termasuk Abdul Rahman, walaupun mungkin banyak menonton cerita perang antara Jerman dengan Amerika sejak kecil melalui televisyen, tetapi tidak pernah sedikit pun belajar daripada sejarahnya.

Dalam banyak-banyak watak di dunia ini yang boleh dipilih untuk diri sendiri bagi ditonton oleh masyarakat, keluarga dan anak-anak, kenapalah watak Geobbels juga jadi pilihan? (SH 29/09/2016).

PRU 14 DIAWALKAN?


Di Berlin semalam, menurut laporan agensi berita Reuters, Najib Razak dilapor menyatakan tiada perancangan untuk mengadakan pilihanraya lebih awal sehingga tarikh akhirnya pada 2018.

Katanya, sebarang keputusan untuk mengadakan pilihanraya tidak sepatutnya dibuat berdasarkan sesuatu faktor tertentu.

Bagaimanapun, beberapa jam kemudian, Najib membetulkan laporan tersebut yang dianggap tidak tepat.
Dalam penjelasannya kepada Bernama, Najib berkata, beliau tidak pernah menyatakan dengan pasti bahawa pilihanraya akan diadakan pada 2018 atau kemungkinan mengadakan pilihanraya lebih awal daripada itu.

"Saya tidak menyatakan bahawa pilihanraya akan diadakan pada 2018. Apa yang saya nyatakan pilihanraya tidak dijadual sehingga 2018, tetapi penentuan tarikh pilihanraya tidak bergantung kepada faktor tunggal, sebaliknya kepada beberapa faktor.

"Saya tidak menyatakan dengan pasti tarikh pilihanraya ialah pada 2018 dan tidak juga menyatakan kesediaan untuk mengadakan pilihanraya awal," jelasnya lagi.

Apakah makna penjelasan atau pembetulan laporan tersebut?

Mengapa Najib rasa begitu tidak selesa dengan laporan awal yang mengatakan beliau tidak perancangan untuk mengadakan pilihanraya lebih awal sehingga tarikh akhirnya pada 2018?

Apa perlunya dinyatakan semula bahawa beliau tidak menyatakan dengan pasti pilihanraya akan diadakan pada 2018 dan tidak juga lebih awal daripada itu?
Apakah ia bermaksud bahawa Najib memang ada perancangan untuk mengadakan pilihanraya lebjh awal atau secara mengejut di ketika parti-parti pembangkang belum ada kata sepakat mengenai pembahagian kerusi dan dalam masa yang sama pembentukan PPBM  juga masih belum tersusun rapi?

Jika tidak, kenapa Najib begitu pantas membetulkan laporan Reuters itu?  (SH 29/09/2016).

Wednesday, 28 September 2016

GEMBIRANYA PENYOKONG HISHAMMUDDIN DENGAN KELEMAHAN ZAHID HAMIDI, TAPI...


Sekali nampak macam kebetulan, dua kali diperhatikan seperti sudah bermulanya suatu gerakan. Itulah yang berlaku kepada Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dalam sehari dua ini.

Mula-mula heboh diperkatakan mengenai ketidakfasihan sebutannya ketika berucap dalam bahasa Inggeris di Perhimpunan Agung PBB di New York. Di media sosial, ramai yang memperkatakan perkara itu dan tidak kurang yang memperlekehkannya.

Kemudian timbul isu satu kajian yang dilakukan Institut Darul Ehsan atau IDE yang melaporkan hasil dapatannya bahawa Hishammudin Hussein lebih menjadi pilihan berbanding Zahid Hamidi untuk menggantikan Najib Razak.

Hishammuddin dilaporkan mendapat 32 peratus undi manakala Zahid 31 peratus.

Semua orang tahu dan faham bahawa jika Najib memilih untuk mengundurkan diri, pilihan untuk menggantikan tempatnya ialah Hishammuddin, bukan Zahid. Zahid pun barangkali faham hakikat tersebut, tetapi pergantungan Zahid tentunya ialah popularitinya dalam UMNO selama ini.

Di dalam UMNO, rata-rata mengatakan hanya keajaiban atau sekiranya Najib mati mengejut saja yang membolehkannya menjadi Perdana Menteri. Hishammudin lebih dijadikan pilihan bukan saja kerana pertalian darah keluarga, tetapi juga disebabkan lebih dipercayai oleh Najib untuk melindungi tinggalan buruknya selepas tiada lagi kuasa dalam genggamannya.

Memang Zahid lebih popular dalam UMNO dan sering mendapat undi tertinggi, tetapi sejarah UMNO telah membuktikan berapa ramai pemimpin popular yang kecundang di tengah jalan kerana diketepikan oleh kuasa yang ada pada seorang Perdana Menteri.

Timbulnya isu ketidakfasihan sebutan bahasa Inggeris Zahid dengan hasil kajian IDE yang hampir serentak masanya mungkin secara kebetulan, tetapi yang menghairankan juga ialah bagaimana kajian yang seolah-olah senada dengan selera dan keinginan Najib itu boleh timbul sedangkan IDE adalah badan pemikir yang terletak di bawah kerajaan negeri Selangor?

Apakah selain membuat pelbagai kajian mengenai isu-isu yang menguntungkan kerajaan negeri Selangor, IDE secara halus sudah mula diresapi oleh unsur-unsur luar untuk kepentingan pihak-pihak tertentu?

Selain itu, bagaimana IDE boleh membuat kajian mengenai pengganti Perdana Menteri sedangkan Najib sudah berulangkali menyatakan sebagai Pahlawan Bugis, beliau tidak sesekali akan berundur daripada jawatannya dan tetap melawan sehingga bumi terbelah dua?

Kajian IDE yang mendapati Hishammuddin lebih popular berbanding Zahid seiring dengan "bencana" yang berlaku kepadanya di PBB, bagaimanapun ternyata amat menggembirakan penyokong-penyokong anak Tun Hussein Onn itu.

Nada kegembiraan mereka sehari dua ini seolah-olah kerusi Perdana Menteri selepas Najib sudah terkhusus khas untuk Hishammuddin serta makin menjauh daripada Zahid.

Ketidakfasihan sebutan Zahid bukanlah suatu kesalahan besar sebenarnya. Beliau hanya menyebut perkataan-perkataan Inggeris dalam slanga Melayu atau Jawa yang lebih pekat di lidahnya. Ia sama seperti orang Arab, orang Korea, orang Jepun atau bangsa-bangsa lain ketika bertutur dalam bahasa Inggeris.

Tetapi semua itu boleh diatasi dengan mudah. Sebagai pemimpin nombor dua dan banyak berurusan dengan negara luar, tidak dinafikan penguasaan bahasa Inggeris yang baik adalah penting. Dengan wang yang dimilikinya, Zahid bukan saja boleh mengambil guru persendirian untuk memahirkan sebutan bahasa  Inggerisnya  dengan cepat, malah boleh juga memilih sama ada cara sebutan gaya Amerika, United Kingdom atau Australia untuk dipelajarinya.

Kesalahan tidak fasih sebutan juga tidaklah sebesar dosa rasuah atau menyonglap ribu-ribu juta wang rakyat. Oleh itu, mengambil kira latar belakang keluarga Zahid yang merupakan orang kampung biasa dan tidak belajar di luar negara, kesalahan  beliau itu seharusnya mudah kita maafkan. Yang kita tidak maafkan ialah sekiranya Zahid turut mencuri wang rakyat.

Meskipun kajian IDE mendapati Hishammuddin lebih popular berbanding Zahid dan ia telah merangsang keseronokan di kalangan penyokong-penyokong Menteri Pertahanan itu, sesuatu yang harus mereka sedari juga ialah pendapat majoriti rakyat lebih mahukan penyingkiran Najib melalui pertukaran kepada sebuah kerajaan baru berbanding penggantian dengan pemimpin daripada UMNO juga.

Siapa pun diuar-uarkan sebagai pengganti, menggantikan kerajaan UMNO dan BN tetap menjadi keutamaan kerana itulah satu-satunya cara untuk menyingkirkan Najib, sekaligus memungkinkan kebenaran 1MDB, wang derma beribu-ribu juta dan bagaimana Rosmah Mansor mampu berbelanja mewah di seluruh dunia, dapat diketahui oleh rakyat jelata. (SH 28/09/2016).

SEMUA SENADA UNTUK NEGARA


Jika semua ini berjalan mengikut apa yang dirancang, sudah tentu ia merupakan berita baik untuk kita semua.
Pada 1 Oktober, Muhyiddin Yassin akan berada sepentas dengan pemimpin-pemimpin Pas dalam satu program ceramah di Pekan Kemasik, Kemaman, Terengganu.

Ini adalah program julung kali antara PPBM dengan Pas di sebalik ketidaktentuan pendirian parti itu sejak kebelakangan ini.

Pada 2 Oktober pula di Simpang Kepayang, Bera, Pahang, dalam program ceramah mengenai 1MDB, Tun Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah Wan Ismail juga dikhabarkan akan duduk bersama di atas pentas buat pertama kalinya.
Walaupun Tun Mahathir sudah menjalin hubungan baik dengan PKR, bertemu dengan sebahagian besar pemimpinnya, termasuk bersalam dengan Anwar Ibrahim baru-baru ini, tetapi pada 2 Oktober ini adalah pertemuan julung kali beliau dengan Dr Wan Azizah.

Ia sudah tentu susulan terjalinnya semula hubungan baik antara Tun Mahathir dengan Anwar yang bermula detiknya di Mahkamah Tinggi pada 5 September lalu.

Semua in tentunya untuk negara dan demi usaha menyingkirkan Najib Razak menjadi kenyataan akhirnya. (SH 28/09/2016).

Tuesday, 27 September 2016

MEMANG DAH "NAMPAK BODOH" PUN!!


Pemuda UMNO akhirnya membuat keputusan membatalkan hasrat untuk membuat laporan polis terhadap dua "tauke Cina" yang didakwa terlibat membiayai gerakan mahu menyingkirkan Perdana Menteri, Najib Razak yang ditunjangi oleh Tun Mahathir Mohamad.

Pembatalan dibuat dikatakan untuk mengelakkan Pemuda UMNO nampak "bodoh" berikutan maklumat mengenai perkara itu didapati tidak sahih.

Pemuda UMNO juga mengesahkan maklumat yang diterima sebelum ini adalah  berdasarkan "dokumen palsu".
Kehkehkeh...kesian Pemuda UMNO!!

Semalam lagi blog telah menulis selitan cerita "dua tauke" berkenaan yang terangkum dalam kisah kononnya Tun Mahathir  mahu berdamai dengan Najib, adalah semata-mata dongeng murahan yang berpunca daripada dedak berkualiti rendah.

Malangnya, hanya setelah hampir 24 jam, Pemuda UMNO yang semalam gegak gempita mahu membuat laporan polis, baru  sedar  maklumat yang diterima adalah tidak sahih dan palsu.

Kenapa lambat sangat untuk kenal beza antara kaca dengan permata?

Kalau terjumpa antara kaca dengan permata di tengah-tengah jalan, apakah Pemuda UMNO memerlukan masa hampir 24 jam juga untuk mengesahkan kesahihannya?

Jika hari ini Pemuda UMNO mengatakan mereka membatalkan laporan polis itu untuk mengelak kelihatan "bodoh",  sejak semalam lagi apabila ada pemimpinnya "begitu cepat melompat dan berlari-lari ke kedai emas"  semata-mara kerana terlihat benda berkilau di tengah-tengah jalan, Pemuda UMNO sebenarnya sudah pun "nampak bodoh" di mata umum.

Asal ternampak bersinar dan berkilau saja, terus ingat ianya adalah permata. Seharusnya pemimpin Pemuda UMNO sedar, kalau pun ingin mempertahan dan mengampu Najib, bukanlah semua perkara yang didengar mesti dibuat laporan polis dengan sesegera yang boleh.

Berfikir dan dan bertindaklah dengan waras. Fikir dan selidik terlebih dahulu. Sekurang-kurangnya untuk tempoh hampir 24 jam pada hari semalam, "kebodohan" telah melekat pada Pemuda UMNO kerana ada pemimpinnya terlalu ghairah sehingga gagal menilai antara kebenaran dengan kepalsuan, antara kaca dengan permata.

Kesian KJ ada barisan Exco seperti ini!! (SH 27/09/2016).

ALAMAKKK....NAMA PAK LAH PUN TERBABIT JUGA!!


Ada dua persoalan utama timbul berikutan laporan terbaru oleh Free Malaysia Malaysia berkaitan sijil halal kedua yang mahu dikeluarkan oleh Risda dengan dengan kerjasama Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia atau Ikiam.

- Ikiam adalah sebuah NGO yang dinaungi oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

- Ikiam dipengerusikan oleh Zahidi Zainul Abidin yang juga merupakan Pengerusi Risda. Zahidi, dalam masa yang sama merupakan Ahli Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Perlis.
Dalam persoalan pertama, dengan merancang mahu mengeluarkan sijil halal kedua untuk usahawan Bumiputera, apakah Ikiam yang dinaungi oleh Pak Lah sedar bahawa tindakan itu adalah bertentangan dengan undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah Jakim sendiri?

Jika Ikiam tidak sedar mengenainya, apakah Pak Lah sebagai bekas Perdana Menteri turut tidak menyedarinya juga?

Dalam hal ini, pernahkah Ikiam meminta pandangan dan nasihat daripada Pak Lah terlebih dahulu sebelum mahu mengeluarkan sijil halal kedua tersebut?

Berkaitan persoalan kedua pula, tidakkah macam pelik apabila Risda dan Ikiam menjalinkan kerjasama sedangkan kedua-duanya dipengerusikan oleh orang yang sama?
Jika pengeluaran sijil halal itu melibatkan bayaran tertentu yang perlu dibuat oleh usahawan Bumiputera dan merupakan pendapatan kepada  Risda dan Ikiam, tidakkah ini bermakna terdapat percanggahan kepentingan yang telah dilakukan oleh Zahidi selaku pengerusi kepada kedua-duanya?

Atau mungkinkah Risda sedang dijadikan "kenderaan"  untuk memberi pendapatan kepada Ikiam sebagai sebuah NGO? (SH 27/09/2016).

Monday, 26 September 2016

CERITA DONGENG DEDAK MURAHAN


Di alam maya ketika ini bertebaran cerita mengenai Tun Mahathir Mohamad kononnya mahu berdamai dengan Najib Razak. Daripada blog, FB dan grup Whatsapp, cerita berkenaan terus berpanjangan disebarkan tanpa hentinya.

Dalam cerita itu, Tun Mahathir dikisahkan memilih untuk berdamai kerana telah menemui jalan buntu untuk menyingkirkan Perdana Menteri, selain timbulnya beberapa isu perpecahan dan berebut jawatan sesama sendiri dalam PPBM.

Dalam pelan damai itu dikatakan Tun Mahathir bersetuju agar Najib terus kekal sebagai Perdana Menteri, tetapi dengan syarat hendaklah melepaskan jawatan Menteri Kewangan yang disandangnya sekarang.

Untuk menyedapkan lagi cerita, Tun Mahathir diberitakan menetapkan syarat kepada Najib agar anaknya, Mukhriz dilantik sebagai Menteri Kewangan melalui lantikan sebagai Senator terlebih dahulu.

Hahaha....memang boleh ketawa dibuatnya....

Siapa pun yang waras pemikirannya, tidak makan dedak atau kalau pun ada  menerima dedak, gred yang diterima adalah berkualiti tinggi, mereka pasti ketawa besar dengan cerita damai antara Tun Mahathir dengan Najib itu.

Cerita itu tidak lebih kisah dongeng yang diimaginasikan ketika sedang menunggu dedak bulanan jatuh ke dalam poket, itu pun sebenarnya hanyalah dedak bermutu rendah atau gred C sahaja. Penerima dedak gred A tidak mungkin membuat cerita khayalan seperti itu, apatah lagi mereka yang mahu dikenali sebagai "orang perjuangan".

Membuat cerita dongeng seperti itu, bukan saja tidak membantu menguatkan lagi Najib, malah tidak juga membuatkan Tun Mahathir dan PPBM semakin lemah. Ia boleh dijadikan sekadar hiburan petang semata-mata.

Pertama, Tun Mahathir bukanlah jenis manusia yang boleh disuapkan dengan dedak oleh sesiapa pun. Rasa tanggungjawab dan sayangnya kepada negara begitu tinggi, melebihi rasa sayang kepada karier dan masa depan politik anaknya sendiri

Jika Tun Mahathir begitu mementingkan perjalanan karier Mukhriz, adalah lebih baik jika beliau kekal berbaik dan menyokong apa saja yang dilakukan Najib sejak dulu daripada berkelahi dengannya.

Kedua, Tun Mahathir kini sudah ada parti baru, PPBM dan sedang menjalin kerjasama yang erat dengan Pakatan Harapan menjelang PRU 14 akan datang. Malah beliau juga sudah berbaik-baik dan bersalaman dengan Anwar Ibrahim. Keahlian tidak rasmi PPBM juga sudah mencecah ratusan ribu orang.

Ini meletakkan perjuangan beliau sekarang ini sedang berada di landasan kemenangan dan semakin hampir untuk membuatkan Najib tersingkir daripada jawatannya. Tarikh PRU 14 adalah sesuatu yang amat menakutkan buat Najib.

Jadi, di mana logiknya Tun Mahathir mahu berdamai?

Ketiga, Tun Mahathir turut dikenali sebagai seorang yang sentiasa berpegang kepada prinsip apa yang diperjuangkannya dan tidak pernah mengalah ketika di pertengahan  jalan.

Dalam kes Najib, sasaran Tun Mahathir tidak pernah berubah. Jika diumpamakan seperti peluru berpandu, Tun Mahathir sebenarnya sudah "mengunci sasaran" yang hendak ditembaknya. Ke mana pun Najib lari, berlindung atau menyelinap, sasaran yang hendak ditembaknya  itu tidak pernah berubah. Malah, sesiapa yang melindungi Najib, termasuk UMNO sekali pun, bagi Tun Mahathir, ia perlu "dimusnahkan"  sekali.

Berdamai atau mengalah, lebih-lebih lagi kepada Najib yang banyak kali digelarnya sebagai "pencuri terbesar wang negara", boleh dikata amat mustahil sekali. Bukan Tun Mahathir orangnya yang boleh berbuat demikian.

Dalam cerita yang diimaginasikan itu, disebut juga dua nama "tauke Cina"  yang kononnya selama ini berperanan sebagai "funder"  dalam gerakan untuk menjatuhkan Najib bersama-sama dengan Tun Mahathir.

Lanjutan daripadanya, difahamkan juga satu laporan polis akan dibuat esok oleh seorang pemimpin Pemuda UMNO agar kedua-dua "tauke Cina" itu dapat disiasat oleh pihak berkuasa.

Sekali lagi, ini juga adalah cerita dedak gred C sebenarnya. Satu orang membuat cerita dongeng daripada imaginasi sendiri dan kemudian satu orang lain pula membuat laporan polis untuk menunjukkan ia seolah-olah kisah benar.

Motifnya tidak lain ialah dedak, sama ada mahukan tambahan dedak atau mengharapkan gred dedak akan datang dinaikkan kepada gred A atau B. SH 26/09/2016).

TIDAK BOLEHKAH SPR MEMPERLIHATKAN DIRINYA BENAR BEBAS DAN BERKECUALI?


Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia atau SPR adalah sebuah badan bebas. Kerja mereka ialah menguruskan perjalanan pilihanraya dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya

Antara perkara lain berkaitan pilihanraya yang menjadi tugas SPR ialah mendaftar pengundi dan melakukan persempadanan semula kawasan-kawasan Parlimen dan juga DUN.

Berbanding menguruskan perjalanan pilihanraya atau melakukan pendaftaran pemilih, melakukan persempadanan atau melukis semula kawasan-kawasan pilihanraya seringkali menimbulkan bantahan serta rungutan.

Mengikut undang-undang, persempadanan  kawasan pilihanraya perlu dilakukan pada setiap lapan hingga sepuluh tahun sekali. Ia bertujuan mengelakkan ketidakseimbangan pengundi berikutan kemungkinan berlakunya pertambahan penduduk dalam tempoh tersebut.

Kali terakhir persempadanan semula peringkat Parlimen dilakukan ialah pada 2003, di Sabah pada 2005 dan di Sarawak pada 2015 yang lalu.

Persempadanan semula kawasan pilihanraya yang biasanya menyaksikan jumlah kerusi Parlimen turut ditambah, memerlukan sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat. Itulah yang berlaku sebelum ini seperti yang dilakukan SPR pada 2003, 1994 dan tahun-tahun sebelumnya.

Dalam persempadanan yang dicadangkan SPR kali ini, ia tidak melibatkan pertambahan jumlah kerusi Parlimen, sebaliknya hanya kawasan-kawasan pilihanraya itu dilukis semula atau dipecah-pecahkan.

Oleh kerana ia tidak melibatkan pertambahan jumlah kerusi Parlimen, maka kelulusan dua pertiga di Dewan Rakyat adalah tidak diperlukan. Persempadanan kali ini hanya memerlukan undi majoriti mudah daripada Ahli-Ahli Parlimen saja.

Banyak isu timbul dalam persempadanan kali ini. Antara yang paling diperbualkan ialah kawasan Melayu dikecilkan, manakala kawasan yang majoriti bukan Melayu dibesarkan lagi. Lantaran itu, lukisan baru kawasan pilihanraya ini dilihat seolah-olah untuk memberi kelebihan kepada UMNO memenangi banyak kerusi Parlimen dalam PRU 14 akan datang yang menyaksikan "pertarungan hidup atau mati"  bagi karier Najib.

Dengan kawasan Melayu dikecilkan, melalui mainan sentimen perkauman, selain kuasa wang dan penggunaan jentera kerajaan, ia dikatakan mampu memberi kelebihan kepada UMNO. Ia juga seolah-olah memperlihatkan kawasan bukan Melayu dan campuran yang dibesarkan itu dilonggokkan untuk dimenangi oleh parti-parti pembangkang.

Berikutan itu, yang banyak membantah ialah parti-parti politik pelbagai kaum dan bukan Melayu. Dalam Pakatan Harapan, semua parti meluahkan bantahan, manakala dalam BN, yang kuat memprotes ialah MCA dan Gerakan. MCA dan Gerakan bagikan dapat melihat nasib mereka hanya sebagai "penumpang tanpa kerusi" saja dalam BN selepas ini.

UMNO, walaupun turut membantah, tetapi hanya di satu dua kawasan saja yang seolah-olah sebagai syarat semata-mata.

Dalam ertikata lain, jika Ahli-Ahli Parlimen BN menyokong usul persempadanan baru ini, maka ia pasti diluluskan, diterima dan digunakan dalam PRU 14 akan datang.

Soalnya, mengapa SPR tidak melakukan tambahan kerusi Parlimen di negeri-negeri yang wujud banyak pertambahan bilangan penduduk serta kawasan perumahan baru seperti di Wilayah Persekutuan, Selangor, Johor, Pulau Pinang dan lain-lainnya?

Tidakkah dengan hanya melukis semula dan bukan melakukan pertambahan kerusi Parlimen, ia dengan sendirinya menunjukkan SPR terikat kepada kedudukan BN dan kerajaan yang tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen?

Bagaimana jika misalnya ketika ini BN mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, adakah pecahan kawasan yang menyaksikan  pertambahan jumlah kerusi Parlimen yang akan dilakukan oleh SPR serta dicadangkan kepada kerajaan atau sekadar lukisan semula sepertimana yang dilakukannya sekarang?

Dalam hal ini, sesuai dengan kedudukannya sebagai badan bebas serta berkecuali, SPR seharusnya membuktikan dirinya benar-benar bebas serta tidak terikat kepada parti yang sedang menguasai kerajaan, walaupun pihak kerajaan yang akan membentangkannya di Parlimen.

Jika pecahan kawasan yang disertai dengan pertambahan kerusi Parlimen itu dilakukan dengan adil, objektif  dan benar-benar mengambil kira pentingnya keseimbangan pengundi di semua kawasan pilihanraya, sudah pasti Ahli-Ahli Parlimen, sama ada BN atau pembangkang, tidak ada masalah untuk memberikan sokongan mereka.

Bukankah SPR sepatutnya memberikan khidmat untuk kepentingan pengundi dan rakyat serta tidak bergantung kepada sama ada BN dan kerajaan ada majoriti dua pertiga atau tidak di Parlimen?

Melakukan lukisan semula, antaranya dengan mengecilkan kawasan majoriti Melayu dan membesarkan kawasan bukan Melayu, dengan sendirinya akan mewujudkan ketidakseimbangan politik, tidak kira siapa pun yang akan memenangi pilihanraya.  (SH 26/09/2016).

Sunday, 25 September 2016

JANGAN TAK TAHU, NAJIB PUN NAK MERASA JADI PERDANA MENTERI 22 TAHUN JUGAK!!


Satu demi satu pemimpin UMNO tampil membidas cadangan Mukhriz Mahathir berkenaan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri hanya untuk dua penggal saja.

Mula-mula Hishammuddin Hussein membangkitkan persoalan mengapa Mukhriz tidak melontarkan idea itu ketika bapanya sedang berkuasa dahulu, tanpa beliau sedar bahawa bekas Menteri Besar Kedah itu sebenarnya hanya aktif dalam politik setelah Tun Mahathir berundur sebagai Perdana Menteri.
Memang "ke laut"  hujah sepupu Najib Razak itu.

Hari ini, Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa pula mengatakan cadangan itu hanya untuk meraih sokongan semata-mata dan tidak berhak dipaksa kepada parti-parti lain.

Lagi "ke laut"  kata-kata Annuar ini.
Kesian Annuar Musa...agaknya beliau tak cukup faham dengan intipati sebenar apa yang diperkatakan oleh Mukhriz itu.

Mukhriz dengan jelas menyebut bahawa cadangan dua penggal tempoh perkhidmatan Perdana Menteri itu akan dilaksanakan sekiranya PPBM bersama Pakatan Harapan dapat mengambil alih pentadbiran negara dalam PRU 14 akan datang.

Maka, ia memang tidak ada kena mengena dengan UMNO dan BN atau mana-mana parti lain. Tidak ada dicadangkan sama sekali oleh Mukhriz agar UMNO turut melaksanakan peraturan tersebut.

Kalau cadangan itu hanya untuk PPBM dan Pakatan Harapan, kenapa Annuar mesti terasa hati?
Ohhh...rupa-rupanya Najib pun ada hati nak jadi Perdana Menteri selama 22 tahun juga!!

Patutlah tak setuju!!

Maknanya, Hishammuddin dan Annuar  tidak setuju dan awal-awal meluahkan serangan terhadap Mukhriz berikutan cadangan itu kerana ingin memenuhi impian Najib memerintah negara selama 22 tahun.

Kalau S Nallakaruppan kata, 10 tahun lagi Najib boleh jadi seperti Mahatma Ghandi, jadi apa pula agaknya jika diberi peluang sehingga 22 tahun?  (SH 25/09/2016).

APAKAH SIJIL HALAL JAKIM TIDAK CUKUP HALAL?


Satu lagi cerita "karut" daripada Risda. 

Dulu cerita "karut"  Risda ialah nak tanam dan eksport ketum ke luar negara, kali ini Risda dengan kerjasama Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia atau Ikiam  "mengarut"  lagi dengan mahu mengeluarkan satu lagi logo halal baru.

Logo halal yang mahu dikeluarkan Risda dengan kerjasama Ikiam  ini ialah khas untuk produk keluaran Muslim  sahaja.
Menurut Pengerusi Risda, Zahidi Zainul Abidin, logo halal baru itu bertujuan mengesahkan produk berkenaan keluaran usahawan Muslim selepas mereka memperolehi sijil halal Jakim.

"Keperluan menambah satu lagi logo halal adalah bagi membezakan produk keluaran Muslim dengan bukan Muslim.

"Ia juga bertujuan meredakan keraguan segelintir masyarakat mengenai isu halal berkenaan," kata Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar, Perlis.

Memang ini kerja "mengarut" oleh Risda. Buat apa nak dikeluarkan satu lagi sijil halal yang khas untuk usahawan Muslim?

Jika mereka sudah ada sijil halal Jakim, apa yang perlu diragui lagi dengan kehalalan produk itu?

Bukankah Jakim sebuah jabatan kerajaan yang diiktiraf untuk mengesahkan halalnya sesuatu produk?

Apakah sijil halal Jakim tidak cukup halal sebenarnya? Atau Risda sendiri meragui sijil halal Jakim itu?

Setelah sijil halal untuk produk Muslim, sijil halal apa lagi mahu diperkenalkan selepas ini?

Mungkinkah nanti akan ada pula produk halal Melayu, produk halal pinjaman bank tanpa riba, produk halal bantuan kerajaan UMNO atau macam-macam lagi?

Membanyakkan sijil halal untuk usahawan adalah kerja "mengarut", selain menyusahkan usahawan Muslim itu sendiri. Ini kerana sudah tentu bayaran tertentu akan dikenakan kepada mereka untuk memperolehi sijil tersebut.

Sijil halal Jakim sudah dikenakan bayaran, sijil halal Muslim Risda dengan kerjasama Ikiam pun kena bayar juga, sedangkan  jualan produk belum tentu meningkat lagi dengan adanya dua sijil halal itu.

Akhirnya, produk usahawan Muslim tidak ke mana, yang buat duit dan meniaga ialah Risda dan Ikiam  itu sendiri. (SH 25/09/2016).

Saturday, 24 September 2016

NAK LAWAN CARA MANA NI USTAZ, DUA PENJURU ATAU TIGA PENJURU?

Sabar dulu...jangan cepat gembira dengan kenyataan Ketua Penerangan Pas, Nasharuddin Tantawi ini.

Dalam kenyataannya, beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh menegaskan, Pas tidak sesekali akan bergabung dengan UMNO dalam pilihanraya umum akan datang, malah telah menetapkan pendirian akan bertanding di mana-mana kerusi yang ditandinginya.

Sekali baca memang nampak cantik kenyataan itu, tetapi apakah maksud sebenar kata-kata beliau itu?

Adakah ia bermaksud Pas sedia berunding dengan rakan-rakan pembangkang lain untuk merealisasikan pertandingan satu lawan satu atau tekad berlawan di semua kerusi UMNO itu bertujuan supaya berlakunya pertandingan tiga penjuru?

Kalau nak lawan UMNO tetapi dalam masa yang sama tidak mahu berpakat dan menjadikan satu lawan satu sebagai kenyataan, ia juga bermaksud mahu memberi kelebihan atau memenangkan pihak lawan.

Lawan memang banyak lawan, ada lawan betul-betul, ada lawan main-main dan ada juga lawan untuk sengaja bagi pihak lawan menang.

Lagi pun kata-katanya bahawa Pas akan bertanding di semua kerusi UMNO banyak maksud tersiratnya.

Buat apa Pas umum nak bertanding di semua kerusi UMNO? Bukankah Pakatan Harapan dan PPBM juga akan bertanding di kerusi UMNO sama?

Yang mana satu ni ustaz, nak lawan UMNO dua penjuru atau tiga penjuru? (SH 24/09/2016).

CAMNO NAK JADI PM?


Calon bakal Perdana Menteri, Hishammuddin Hussein nampaknya tidak setuju dengan cadangan Mukhriz Mahathir yang mengatakan jika PPBM bersama Pakatan Harapan memenangi PRU 14 akan datang, tempoh perkhidmatan Perdana Menteri akan dihadkan kepada dua penggal saja.

Kata beliau, cadangan tersebut tidak berasas dan boleh dipersoalkan kewajaran Mukhriz mengemukakannya.

"Dia (Mukhriz) kena jawab balik kenapa ayahnya memerintah selama 22 tahun? Mengapa tidak dicadangkan ketika ayahnya memimpin kita selama 22 tahun?

"Sekarang bila ayah dia tidak lagi memimpin, macam-macam cadangan. Tetapi kalau dia ikhlas, cadangan itu mesti dibawa semasa ayahnya menjadi Perdana Menteri dahulu," kata Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO.
Mengapa Hishammuddin begitu pantas menyatakan tidak setuju sedangkan ia adalah cadangan yang baik untuk  kebaikan negara serta  rakyat oleh PPBM dan Pakatan Harapan yang bakal mengambil alih pentadbiran negara?

Tidakkah beliau sedar isu menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri lebih meruncing sekarang berikutan onar yang telah ditunjukkan oleh Najib berbanding sebelum ini?

Sebelum ini, meskipun Perdana Menteri sering diasak untuk meletakkan jawatan, mereka tidak pernah terkait dengan apa-apa skandal kewangan mega yang akhirnya memperlihatkan keinginan mempertahankan jawatan itu lebih bertujuan melindungi kesalahan yang telah dilakukan, bukan kerana ingin terus berkhidmat kepada rakyat serta negara.

Melalui apa yang telah ditunjukkan oleh Najib dalam masa yang singkat memegang kuasa, hanya menghadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri dapat membendung kelakuan buruk seorang pemimpin daripada terus berleluasa, selain memastikan urus tadbir yang lebih baik untuk negara.

Sudah tentu jika sekiranya PPBM dan Pakatan Harapan mentadbir negara dan melaksanakan cadangan itu, ia lebih diterima baik oleh rakyat berbanding mungkin keinginan Hishammmuddin sendiri yang mahu menjadi Perdana Menteri lebih daripada dua penggal.

Selain itu, bidasan Hishammuddin terhadap Mukhriz yang mempersoalkan mengapa cadangan itu hanya dibawa sekarang dan tidak ketika era pemerintahan bapanya sendiri, adalah sesuatu yang benar-benar melucukan bagi seorang pemimpin yang diuar-uarkan bakal mengisi kerusi Perdana Menteri suatu hari nanti.

Tidakkah Hishammuddin sedar bahawa Mukhriz hanya mula aktif dalam politik dengan bertanding jawatan Ketua Pemuda Kubang Pasu ( itu pun kalah) dan Exco Pemuda UMNO Malaysia hanya pada tahun 2004 setelah Tun Mahathir bersara dan menyerahkan kuasa kepada Tun Abdullah Badawi pada 2003?

Jika ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, Mukhriz belum memegang apa-apa jawatan dalam UMNO, bahkan dilarang sama sekali untuk aktif dalam politik, bagaimanakah beliau mahu melontarkan cadangannya itu?

Jadi, apa yang diperkatakan Hishammuddin mengenai Mukhriz itu tidak masuk akal sama sekali.

Lalu, bagaimanakah seseorang yang sedang digilap untuk menjadi Perdana Menteri, itu pun jika sepupunya Najib tidak kecundang di tengah-tengah jalan, boleh bercakap sesuatu yang tidak masuk akal secara terbuka?

Camno nak jadi PM? (SH 24/09/2016).

Friday, 23 September 2016

AYO PA...AYO MA...



Ayo Pa...ini kali banyak tinggi Tan Sri angkat sama itu Najib Razak.

Ayo Ma...ini betul-betul "baeek"  punya angkat...10 tahun lagi bukan saja boleh lawan sama itu Tun Mahathir...sudah jadi macam Mahatma Ghandi jugak.

Jangan tinggi  sangatlah angkat Tan Sri...lagi tinggi, nanti jatuh kalu...lagi sakit. 

Lagi satu, jangan selalu angkat tinggi-tinggi sama Najib, nanti Salleh Said Keruak ada sikit "jealous"  sama Tan Sri.

Lagi kalu nanti semua orang cakap, mentang-mentang sudah dapat  title Tan Sri, hari-hari kerja tarak lain...bodek, ampu, kipas dan angkat sama Najib jugak.

Senator sudah dapat, title Tan Sri baru kasi...10 tahun lagi jadi Perdana Menteri, apa lagi Najib mau kasi?

Menteri ka?

Ayoyo Tan Sri...macam mana rakyat mau tengok ada Najib 10 tahun lagi? (SH 23/09/2016).

NAJIB - ZAHID MULA BERMASALAH?


Dalam UMNO ketika ini, bukanlah rahsia lagi mengenai hubungan Najib Razak dengan timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan bermasalah dan mula renggang.

Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin Yassin adalah bertujuan membantu parti dan kerajaan, tetapi dengan masalah membelenggu Najib terus bertambah parah, para penyokongnya mula "berkicau" merata-rata  menyarankan adalah lebih baik Perdana Menteri segera berundur jika masih sayangkan UMNO dan BN.

Mengambil kira faktor popularitinya dalam UMNO, para penyokongnya percaya Zahid lebih mampu meraih kekuatan dan mampu mengelakkan BN daripada kalah dalam pilihanraya akan datang berbanding Najib.

Namun demikian, penyokong Zahid tetap keberatan untuk bertindak memulakan langkah menuntut pengunduran Najib secara terbuka kerana mereka juga sedar pengaruh "dedak" yang telah ditaburkan kepada pemimpin-pemimpin UMNO selama ini.

Berdasarkan respon rakyat yang terus menyusut, ditambah lagi dengan wujudnya PPBM yang diinisiatifkan oleh Tun Mahathir Mohamad, harapan mereka ialah agar Najib segera sedar kedudukan dirinya yang bertambah sukar dan sedia berkorban demi menyelamatkan UMNO dan BN.
Najib, sepertimana yang diulangnya banyak kali, bagaimanapun bertegas tidak sesekali akan berundur diri. Beliau tetap mahu mengemudi dan memenangi PRU 14 dengan apa cara sekali pun. 

Sandaran Najib untuk mencapai kemenangan mula terserlah satu demi satu. Ia mungkin dengan bantuan Pas dan boleh jadi juga melalui persempadanan semula kawasan-kawasan pilihanraya yang sedang dilakukan oleh SPR.

Ada yang "nakal"  pula  melihat kemungkinan Akta Majlis Keselamatan Negara tidak mustahil boleh digunakan sebagai "perisai akhir"  untuk menyelamatkan kuasa UMNO dan BN kerana akta baru itu didakwa membolehkan penguatkuasaan darurat diisytiharkan oleh Perdana Menteri.

Apa yang Zahid dan penyokongnya mungkin tidak sedar ialah Najib melantiknya sebagai orang nombor dua bukanlah bertujuan untuk menyediakannya menjadi "orang nombor satu"  atau sebagai bakal penggantinya, sebaliknya hanyalah untuk mengisi kekosongan buat sementara waktu semata-mata.

Pilihan Najib yang sebenarnya untuk menggantikan tempatnya ialah Hishammuddin Hussein. Jika ingin menyerahkan kuasa, Najib lebih percaya kepada Hishammuddin berbanding Zahid untuk menjaga kepentingan dan legasi buruknya untuk kekal tersimpan selama-lamanya.

Namun demikian, para penyokong Zahid seperti tidak mahu menerima hakikat itu. Mereka bukan saja mahukan Zahid menjadi Perdana Menteri, tetapi juga mula menggelarnya sebagai "murabbi"  serta penyelamat kepada UMNO dan BN dalam suasana getir sekarang ini.

Pada penghujung Ogos lalu, sekembalinya daripada menghadiri mesyuarat majlis keselamatan PBB di New York, Zahid agak keletihan dan tidak sihat, tetapi pantas tersebarnya khabar angin beliau dikatakan diserang "stroke".

Apa yang menariknya, khabar angin itu tidak tidak langsung menjadi perbualan di kalangan parti-parti pembangkang atau pun PPBM. Selain menjadi bualan dalam UMNO, diberitakan para penyokong Najib dan Hishammuddin lebih galak memperkatakan isu kesihatan Zahid itu.

Ia dikatakan serangan awal untuk melemahkan Zahid dan seterusnya menolaknya ke tepi secara perlahan-lahan.

Apabila Zahid kemudian muncul sihat dan menyelar penyebar khabar angin itu, meski kemudian memaafkannya, ia dengan jelas menunjukkan Zahid tahu siapa yang melakukannya.

Walaupun "ombak besar"  belum kelihatan, sebaliknya hanya "riak-riak kecil"  di permukaan, sudah ada yang menyamakan keghairahan penyokong untuk menaikkan Zahid ini tidak banyak bezanya dengan ghairahnya penyokong Anwar Ibrahim mahu menjatuhkan Tun Mahathir suatu ketika dahulu. (SH 23/09/2016).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...