Saturday, 30 June 2018

DISEBABKAN 1MDB, UMNO HILANG KUASA DAN APAKAH KERANA 1MDB JUGA UMNO AKAN DIHARAMKAN?


Nasib dan masa depan UMNO, sama ada ia mampu terus hidup atau berdepan kemungkinan diharamkan, nampaknya semakin sukar untuk diramalkan.


Setelah buat pertama kali ia kalah pilihanraya, cabaran berkaitan statusnya pada masa depan rasanya lebih besar berbanding bagaimana untuk memulihkan semula keyakinan rakyat terhadapnya.


Sebelum ini, UMNO turut berdepan kemungkinan dibatalkan pendaftarannya berikutan perlanggaran terhadap perlembagaannya sendiri dengan tidak mengadakan pemilihan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.


Setelah pemilihan terakhir pada 2013 dan tempoh penangguhan yang dibenarkan hanya selama 18 bulan, tarikh akhir sepatutnya UMNO mesti mengadakan pemilihan ialah pada April 2018 lalu.


Bagaimanapun, atas kuasa Pendaftar Pertubuhan yang mana ketika itu BN masih menguasai kerajaan, UMNO diberi tempoh lanjutan selama setahun lagi sehingga April 2019.


Soalnya, daripada manakah datangnya peruntukan yang membenarkan UMNO melanjutkan tempoh pemilihannya sebanyak dua kali?

Sebaik saja UMNO kalah pada pilihanraya 9 Mei lalu dan kemudian disusuli dengan perletakan jawatan Najib Razak, Zahid Hamidi yang memangku jawatan Presiden kemudiannya cepat-cepat menetapkan tarikh mesyuarat cawangan dan bahagian bagi mengelak lebih banyak kesulitan.


Hari ini, 30 Jun adalah tarikh UMNO mengadakan pemilihan pucuk pimpinannya bagi peringkat bahagian seluruh negara dan juga majlis tertinggi.


Daripada satu segi, tindakan segera mengadakan pemilihan itu mungkin boleh menyelamatkan UMNO daripada dibatalkan pendaftarannya.


Tetapi, itu juga belum pasti kerana kerajaan sudah pun bertukar dan jawatan Ketua Pengarah ROS serta Menteri Dalam Negeri juga ketika ini dipegang oleh individu lain.


Dulu Menteri Dalam Negeri adalah Zahid Hamidi, seorang pemimpin kanan UMNO dan Ketua Pengarah ROS juga diketahui sangat condong kepada UMNO.


Jika selepas ini, tindakan tertentu diambil terhadap UMNO kerana melanggar perlembagaannya sendiri, asas kepada perkara itu memang tidak boleh dinafikan dan UMNO harus menerimanya dengan redha kerana kesalahannya sangat nyata.


Namun demikian, belum pun dipastikan lagi sama ada tindakan akan diambil atau tidak terhadap UMNO berikutan perlanggaran perlembagaan tersebut, parti itu kini berdepan satu lagi masalah yang lebih besar.


Akaun bank UMNO  Pusat, beberapa UMNO negeri bersama kira-kira 900 akaun bank yang lain, termasuk komponen BN, individu, NGO dan persatuan telah dibekukan oleh SPRM kerana dipercayai menerima wang haram yang bersumberkan 1MDB.


Tidak diketahui berapa jumlah wang 1MDB yang diterima oleh UMNO, tetapi ada laporan menyebut jumlahnya ialah kira-kira RM600 juta. Beberapa UMNO negeri dan pemimpin UMNO juga didedahkan turut menerima wang 1MDB daripada Najib.


Wang haram yang diterima oleh UMNO dan pelbagai pihak lain itu adalah dipercayai daripada ribuan juta dana 1MDB yang diselewengkan yang kira-kira RM2,600 juta daripadanya dimasukkan ke akaun peribadi Najib.


Penyiasat antarabangsa dan DOJ menganggarkan jumlah dana 1MDB yang dilencongkan dengan dalang utamanya Jho Low ialah kira-kira AS4.5 bilion atau kira-kira RM18,000 juta.


Dengan terlibat menerima wang haram, UMNO tidak syak lagi akan berdepan kemungkinan diharamkan kerana di seluruh dunia, termasuk Malaysia, undang-undang berkaitan dengannya sangat ketat dari segi hukumannya.


Tidak kira sama ada individu atau parti, mereka yang terlibat dengan wang haram mesti sedia menerima hukumannya.


Tidak pernah dalam sejarahnya selama ini, UMNO terlibat dengan aktiviti wang haram atau diragui sumbernya. Ia hanya berlaku di era Najib yang menubuhkan 1MDB dan keluarganya pula diketahui berkawan rapat dengan Jho Low.


Di zaman Najib UMNO hilang kuasa dan kerana perlakuannya berkaitan 1MDB jugalah yang memungkinkan parti itu menjadi sebuah parti yang haram selepas ini.


Maka, apalagi gelaran yang sesuai buat Najib untuk dikenang oleh anak cucu bangsa Melayu kalau bukan "Bapa Kehancuran UMNO"? (ShahbudinHusin 30/06/2018)

NASIB SUDAH BERUBAH, TAPI ADAKAH UMNO JUGA SEDIA UNTUK BERUBAH?


Hari ini semua bahagian UMNO akan bermesyuarat untuk menentukan pucuk pimpinan tertinggi parti yang diadakan serentak dengan pemilihan kepimpinan di 191 bahagian seluruh negara.


Tetapi, pemilihan kali ini tentu saja berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya.


Tahun ini merupakan kali pertama sejak 1987, jawatan Presiden UMNO dipertandingkan. Sejak tahun itu di mana Tengku Razaleigh Hamzah tewas 43 undi kepada Tun Mahathir Mohamad, jawatan Presiden UMNO tidak pernah lagi dipertandingkan.


Bermakna, sudah 31 tahun jawatan Presiden UMNO tiada pertandingan. 


Pertandingan kali ini pula berlaku kerana UMNO sudah hilang kuasa dan bukan lagi parti yang menunjangi kerajaan.


Jika hari ini UMNO masih lagi sebagai kerajaan, sudah pasti juga tidak ada pertandingan dan berbondong-bondonglah pemimpinnya terus mendewa dan memuja Najib Razak.


Malah, Khairy Jamaluddin yang waktu ini dilihat paling lantang menyalahkan Najib sebagai punca kekalahan UMNO, jika parti itu masih berkuasa, pastilah juga merupakan antara pemimpin yang paling kuat membodek dan mengampu Najib.


Tidak keterlaluan kalau beliau juga sanggup memberi tabik dengan kedua-dua belah tangannya andai kata hari ini Najib masih lagi berjawatan Perdana Menteri.


Namun, nasib UMNO sudah berubah. Daripada parti kerajaan, ia kini sudah pun rebah.


Persoalannya, adakah UMNO juga sedia berubah sama dalam pemilihannya kali ini?


Adakah UMNO mengambil iktibar daripada kekalahan dan kehilangan kuasanya dan sanggup sama-sama berubah seiring dengan nasibnya yang sudah berubah itu?


Sedianya UMNO berubah hanya akan dapat dilihat jika perwakilan kali ini sedia memberi kemenangan kepada calon yang selama ini berada di luar hireaki kepimpinan parti iaitu Ku Li untuk menerajui UMNO.


Ku Li bukan saja bersih dan tiada isu, malah pengalaman dan kewibawaannya dalam banyak sektor sebelum ini sudah tentu amat berguna  dan mampu untuk memulihkan semula UMNO yang sudah kehilangan kuasanya itu.


Lagi pula, cabaran di hadapan UMNO ialah Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim dan hanya Ku Li mampu seiring serta setanding dengan kedua-dua pemimpin tersebut.


Sebaliknya, jika perwakilan memilih Zahid Hamidi, bermakna UMNO kekal tidak mahu berubah kerana beliau dan Najib adalah sama saja, malah mungkin lebih teruk lagi daya kepimpinannya.


Lagi pula Zahid Hamidi adalah juga sebahagian punca dan pewaris kerosakan UMNO sehingga ia kalah dan ditolak rakyat dalam pilihanraya yang lalu.


Begitu juga dengan KJ, beliau turut merupakan antara sebahagian barisan kepimpinan yang kuat mempertahankan Najib sebelum ini.


Sepatutnya apabila UMNO kalah dan Najib mengundurkan diri, Zahid Hamidi dan KJ patut berundur sama untuk berkongsi memikul beban tanggungjawab kekalahan itu.


Ini mereka pula mahu menawarkan diri menerajui UMNO untuk kononnya mahu memulihkan parti yang sudah kalah itu.


Tak ke ‘gila’ namanya perlakuan Zahid Hamidi dan KJ itu?


Lagi pula, pernahkah Zahid Hamidi dan KJ mengukur baju di badan sendiri untuk berhadapan dengan Tun Mahathir dan Anwar?


Dalam pada itu, selain UMNO bakal berdepan kemungkinan diharamkan kerana terbabit dalam kesalahan penggubahan wang haram yang dikaitkan dengan Najib, usaha berterusan Pakatan Harapan membersihkan pentadbiran kerajaan daripada amalan rasuah dan penyelewengan juga mungkin membahayakan kedudukan Zahid Hamidi dan KJ kerana kedua-duanya adalah sebahagian anggota kabinet Najib yang dicemari dengan pelbagai kekotoran dan salah laku sebelum ini.


Bagaimana jika ditakdirkan, baik Zahid Hamidi atau KJ yang menang sebagai Presiden UMNO, tetapi mereka kemudian terpaksa berdepan siasatan dan pendakwaan di mahkamah?


Tidakkah nama UMNO akan tercemar sekali lagi?


Nasib UMNO sudah berubah, maka perwakilan yang memilih pucuk pimpinan juga mesti berani berubah sama serta tidak gentar membuat perubahan ke arah kebaikan dan masa depan parti itu.


Selain Ku Li, peneraju UMNO selepas ini hanya menjanjikan lebih banyak isu dan sekaligus memberi kegembiraan kepada Pakatan Harapan lantaran jaminan untuk memerintah negara dengan lebih lama sudah pun tersedia di depan mata. (ShahbudinHusin 30/06/2018)

Friday, 29 June 2018

MALANG SEORANG NAJIB....


Ketika berkuasa dahulu, semua soalan dan pertanyaan mengenai 1MDB akan ditolak mentah-mentah oleh Najib Razak.


Baik ketika sidang akhbar, dalam Perhimpunan Agung UMNO, sessi Parlimen dan apalagi debat, semuanya tidak dibenarkan sama sekali.


Di Parlimen, walaupun setiap kali sessi ada saja soalan mengenai 1MDB dibangkitkan, namun hampir semuanya ditolak begitu saja.


Hanya ada satu atau dua soalan saja yang dibenarkan, itupun jawapan yang diberi hanyalah secara bertulis.


Malah, sesiapa yang cuba bertanya atau menyoal mengenai 1MDB, kalau pun tidak dipecat dan dibuang kerja, pasti akan dibalas dengan wajah yang masam mencuka.


Ada seorang teman pernah berjumpa secara peribadi dengan Najib di rumahnya lalu menyarankan agar diwujudkan laporan kertas putih mengenai 1MDB, beliau kemudian ditinggalkan oleh Najib dengan alasan mahu naik sebentar ke biliknya, tetapi tidak lama kemudian datang orang gajinya lalu memberitahu agar balik dengan segera.


Bersama sokongan, disertai pujian, bodek, ampu dan cium tangan oleh para pemimpin UMNO yang mendewa-dewakannya, termasuk Pemuda UMNO yang sanggup menjulang dan memberi tabik kepadanya, Najib terus terbuai dengan keangkuhan dan kesombongannya, meskipun rakyat di bawah kian meluat dan membencinya hari demi hari.


Ditambah lagi dengan bantuan media kerajaan dan televisyen yang setiap hari menyiarkan berita-berita gembira saja, kelekaan Najib juga turut bertambah sama.


Di waktu-waktu tertentu dan dalam ucapan sehala pula, Najib selalu memperlekeh dan memandang rendah mereka yang mengkritik 1MDB seolah-olah syarikat pelaburan yang diwujudkannya itu suatu kejayaan paling besar dalam sejarah negara.


Begitulah keangkuhan dan kesombongan Najib ketika berkuasa dahulu.


Tetapi, selepas UMNO kalah pilihanraya dan Najib sendiri hilang kuasa, keadaan sudah terbalik jadinya.


Apa saja isu yang dibangkitkan oleh kerajaan baru mengenai 1MDB, Najib dengan pantas memberikan jawapannya.


Sejak tidak bergelar Perdana Menteri, beliau nampaknya lebih sibuk menjawab atau menjelaskan apa saja perkara yang didedahkan  kerajaan, khususnya oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengenai 1MDB, sementara para pemimpin UMNO lain semuanya hanya mendiamkan diri dan bagaikan sudah malas mahu berhujah lagi.


Jika dulu ramai pemimpin UMNO yang sedia bangun bersuara apabila saja ada isu mengenai 1MDB dibangkitkan, tapi kini Najib hanya berjuang seorang diri saja.


Jika dulu juga, wartawan Malaysiakini merupakan antara portal berita yang dihalang daripada menghadiri sidang media selepas mesyuarat MT UMNO atau ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO, sebaliknya kini Najib sendiri yang pergi ke pejabat portal berita itu bagi memberikan interbiu khas dengan sebahagian besar topiknya ialah mengenai 1MDB.


Lebih daripada itu, Najib kini sedia menjawab apa saja soalan yang ditanyakan kepadanya.


Malang sungguh nasib seorang yang bernama Najib yang pernah menjadi Perdana Menteri ketika ini - sudahlah kena menjawab hampir setiap hari mengenai 1MDB, beliau juga tinggal seorang diri saja melakukannya.


Tiada lagi Nazri Aziz, Annuar Musa, Salleh Said Keruak, Rahman Dahlan, Ahmad Maslan, Aziz Kaprawi bersamanya, malah ada Ketua UMNO Bahagian yang dulu menjerit kuat sanggup mati kerana Najib, turut tidak kedengaran lagi suaranya sekarang ini.


Selepas ditangkap dan dibicarakan di mahkamah nanti, Najib juga pasti akan terus sendirian lagi. Malah, jika dipenjarakan, terus bertambah beliau dilupakan, termasuk oleh mereka yang pernah menerima wang daripadanya. (ShahbudinHusin 29/06/2018)

PERTANYAAN KEPADA NAJIB, MANA SATU YANG BETUL TENTANG JHO LOW?


Jho Low yang selama ini dianggap dalang dalam skandal 1MDB dipuji oleh bekas Perdana Menteri, Najib Razak sebagai mempunyai hubungan strategik yang memberi kelebihan kepada Malaysia.

Kata beliau, Jho Low mempunyai hubungan khas dengan pimpinan di bawah Raja Arab Saudi, Raja Abdullah dan keluarganya.

"Ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu juga mengenali beberapa keluarga Diraja di beberapa negara lain, terutamanya di Emiriyah Arab Bersatu," tambah Najib.
Itu sebabnya, tegas Najib lagi, mengapa Jho Low mempunyai peranan yang besar dalam 1MDB.

(Petikan di atas adalah antara apa yang disebut Najib mengenai Jho Low dalam interbiu khas dengan sebuah portal berita, semalam 28 Jun 2018)

Tetapi jika kita imbas, kenyataan Najib sebelum ini tentang Jho Low nyata amat berbeza.

Menurut kata Najib, Jho Low tidak mempunyai sebarang kaitan dengan 1MDB dan semua keputusan serta urusniaga 1MDB dibuat oleh pengurusan dan lembaga pengarahnya.
"Jho Low tidak pernah bekerja di 1MDB dan semua keputusan serta urus niaga syarikat pelaburan itu dibuat oleh pengurusan dan lembaga pengarah 1MDB," jelas beliau dalam satu jawapan bertulis di Parlimen.

(Jawapan Najib di Parlimen itu direkodkan pada 16 Mac 2015 di mana ketika itu beliau masih lagi sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB)

Wahai Najib yang kini sudah hilang kuasa, bakal didakwa dan dilihat semakin sukar mengelak daripada masuk penjara, mengapakah ada perbezaan kenyataan mengenai Jho Low?

Kenapa dulu lain dan sekarang lain?

Mana satu yang betul? 

Apa pula agaknya jawapan Najib dalam mahkamah nanti? (ShahbudinHusin 29/06/2018)

Thursday, 28 June 2018

SELEPAS AKAUN BANK DIBEKU, HANYA KU LI BOLEH SELAMATKAN UMNO


Berikutan akaun bank UMNO telah dibekukan oleh SPRM, parti itu kini benar-benar dalam keadaan bahaya jika para perwakilan membuat kesilapan dalam memilih pemimpin pada pemilihan, 30 Jun ini.


Penyiasatan SPRM mungkin menjurus ke arah untuk mengetahui daripada mana datangnya sumber kewangan UMNO selama ia dipimpin oleh Najib Razak sebelum ini.


Jika penyiasatan SPRM mendapati sumber kewangan UMNO, sebahagian atau semuanya adalah berpunca daripada dana 1MDB yang diselewengkan atau lebih tepat ia datang daripada wang RM2,600 juta yang pernah masuk ke akaun peribadi Najib, parti itu pasti berdepan masalah kewangan dalam jangka masa yang lebih panjang lagi.


Tidak mustahil akaun bank milik UMNO itu akan terus dibekukan atau wangnya dirampas oleh kerajaan.


Jika itu yang berlaku, bagaimanakah UMNO mahu membayar gaji kakitangan, urusan pentadbiran pejabat, segala macam bil bulanan, membiayai aktiviti dan sebagainya?


Di antara ketiga-calon Presiden UMNO - Zahid Hamidi, Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin - siapakah yang paling stabil kedudukan kedudukannya dan mempunyai rekod pengorbanan yang tinggi kepada parti?


Berbanding Ku Li yang pernah mendermakan tanahnya untuk membina PWTC, apakah Zahid Hamidi atau KJ mampu atau sedia menggunakan wang sendiri untuk membiayai kos operasi UMNO jika pembekuan akaun bank itu memakan tempoh masa yang lama?


Selain itu, kalau penyiasatan SPRM, misalnya mendapati wujud keraguan dalam sumber kewangan UMNO selama ini, ia dengan sendirinya bermakna ramai pemimpin UMNO, terutamanya Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin, akan berdepan penyiasatan oleh agensi pencegah rasuah itu kerana kedua-duanya dianggap dekat dengan Najib serta merupakan pemimpin kanan parti sebelum ini.


Kiranya para perwakilan masih mahu mengundi Zahid Hamidi atau KJ, sediakah mereka menerima hakikat bahawa salah seorang atau kedua-dua pemimpin itu bakal disiasat SPRM dan dipakaikan baju oren akhirnya?


Hanya Ku Li yang mungkin terlepas daripada penyiasatan SPRM kerana beliau tidak berada dalam barisan kepimpinan tertinggi UMNO sewaktu Najib menjadi Presiden parti itu.


Sama ada untuk menyelamatkan UMNO dan memastikan ia terus beroperasi kerana memiliki kedudukan kewangan yang stabil serta ada rekod terpuji dalam menguruskan kewangan negara dan agensi kerajaan sebelum ini, selain bebas daripada radar siasatan atau penahanan SPRM - kedua-duanya jelas hanya berpihak kepada Ku Li.


Sebaliknya, mengundi Zahid Hamidi atau KJ, hanya mengundang petaka dan nasib buruk buat UMNO yang sudah pun kehilangan kuasanya itu. (ShahbudinHusin 28/06/2018).

ZAHID HAMIDI MUNGKIN DIDAKWA DALAM SKANDAL 1MDB, PERWAKILAN UMNO MULA BERBELAH HATI?


Kemungkinan Najib Razak akan didakwa dalam waktu terdekat ini mula membimbangkan para perwakilan untuk mengundi salah seorang calon Presiden UMNO, Zahid Hamidi pada pemilihan 30 Jun ini.


Zahid yang kini memangku jawatan Presiden UMNO bakal disaingi oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin untuk mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan Najib Razak itu.


Najib bukan saja bakal berdepan pendakwaan berkaitan penyelewengan dana 1MDB, rasuah RM42 juta yang diterimanya daripada SRC International, bahkan juga mungkin tentang wang RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadinya.


Berkenaan wang tersebut, Najib mempertahankan ia adalah derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi, meskipun bukti-bukti daripada penyiasat antarabangsa menunjukkan sumbernya adalah daripada dana 1MDB yang dilencongkan.


Berdasarkan penyiasatan DOJ yang kemudian didedahkan oleh WSJ, wang RM2,600 juta itu didapati dimasukkan ke akaun peribadi Najib oleh Tanore Finance Corporation yang dimiliki oleh Jho Low.


Ketika Najib mempertahankan wang tersebut merupakan derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi, Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu adalah antara yang paling kuat mempertahan serta membela bekas Perdana Menteri yang kini sudah ditumbangkan oleh Tun Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan.


Dalam usaha meyakinkan rakyat, Zahid Hamidi pernah menyatakan beliau sudah pun bertemu dengan waris keluarga Diraja Arab Saudi yang memberikan derma itu.


Jika Najib didakwa di mahkamah berkaitan wang tersebut, mahu tidak mahu, Zahid Hamidi juga berkemungkinan akan turut dipanggil sebagai saksi atau tidak mustahil bakal didakwa sama kerana berbohong dan melindungi salah laku bekas Perdana Menteri.


Zahid Hamidi hanya mungkin terlepas daripada sebarang pendakwaan jika beliau dapat membuktikan siapa waris keluarga Diraja Arab Saudi yang ditemuinya itu dan wang yang diterima Najib adalah daripada sumber keluarga tersebut.


Tetapi, mampukah Zahid Hamidi menampilkan waris keluarga Diraja Arab Saudi yang ditemuinya itu, sedangkan bukti-bukti sahih daripada penyiasat antarabangsa mengesahkan  wang yang dikatakan derma itu sebenarnya berpunca daripada 1MDB dan dimasukkan oleh  sebuah syarikat yang dipunyai Jho Low?


Tidakkah dengan itu Zahid Hamidi juga berkemungkinan akan didakwa sama kerana berbohong dan cuba melindungi jenayah yang dilakukan Najib?


Bagaimana jika ketika apa yang mungkin berlaku kepada Zahid Hamidi itu nanti, beliau pada waktu itu adalah Presiden UMNO?


Tidakkah dengannya, selepas UMNO dimalu serta diaibkan dengan skandal yang dicipta Najib, parti sekali lagi menerima nasib yang malang dan Zahid Hamidi harus melepaskan jawatan Presiden UMNO yang disandangnya?


Kalau dalam tempoh yang tidak terlalu lama, sampai dua Presiden UMNO dihadapkan ke mahkamah, bagaimanakah parti mahu menang dalam PRU15 nanti?


Tidak dinafikan, di sebalik cakap-cakap mengenai kedudukan dan nasib yang mungkin menimpa Zahid Hamidi itu sedang hangat diperbualkan di seluruh negara di mana di samping ada yang terus yakin untuk mengundinya, mereka yang ragu-ragu dan mula berbelah hati juga semakin membesar jumlahnya.


Mereka merasakan adalah suatu pembaziran  memberikan undi kepada Zahid Hamidi jika akhirnya pilihan itu akan memberi malu lagi kepada UMNO?


Cakap-cakap juga bertiup kencang bahawa kunjungan Zahid Hamidi bertemu Tun Mahathir pada penghujung Ramadan lalu sebelum pada petangnya beliau pergi ke Mekah untuk menunaikan umrah adalah untuk meminta kepastian namanya tidak disekat daripada meninggalkan negara, sama seperti yang dilakukan kerajaan kepada Najib, Rosmah dan beberapa individu yang lain yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.


Bukankah dengan tindakan Zahid Hamidi itu menunjukkan beliau sendiri sedar tentang kemungkinan perkara buruk juga bakal menimpanya?


Kalau sudah demikian keadaan dan kemungkinan yang ada, kenapa para perwakilan UMNO pada 30 Jun ini perlu membazirkan undi mereka? (ShahbudinHusin 28/06/2018)

Wednesday, 27 June 2018

KJ SEBAGAI PRESIDEN UMNO? NANTI DULU....


Barangkali ramai yang teruja dan terpesona apabila Khairy Jamaluddin yang sebelumnya sudah mendaftarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden UMNO, tiba-tiba mengubah fikiran dengan turut bersaing bagi jawatan tertinggi iaitu Presiden UMNO.


Sebelum itu, Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden dan kemudian dilonjakkan setakuk lagi sebagai Pemangku Presiden UMNO apabila Najib Razak mengumumkan perletakan jawatan dan Tengku Razaleigh Hamzah, lebih awal mengumumkan kesediaan merebut jawatan tertinggi itu.


Dengan itu, persaingan kini adalah pertembungan tiga penjuru  antara Zahid Hamidi, Ku Li dan KJ.


Hakikatnya, walaupun ada persaingan, perebutan jawatan Presiden UMNO sebenarnya adalah untuk mengisi kekosongan jawatan itu dan bukannya Ku Li dan KJ mahu mengambil alih atau cuba menjatuhkan Zahid Hamidi.


Zahid Hamidi ketika ini hanyalah memangku jawatan Presiden UMNO sehingga pemilihan pada 30 Jun ini.


Dengan penyertaan KJ itu, ramai yang melihat beliau adalah simbol pembaharuan dan pemulihan semula parti  selepas UMNO kalah dan kehilangan kuasanya.

Tetapi, persoalan paling asas yang para perwakilan harus fikirkan ialah sesuai dan mampukah KJ menjadi Presiden UMNO?


KJ sebenarnya bermula sebagai watak hitam dalam UMNO. Dengan menjadi menantu Tun Abdullah Badawi, beliau kemudian mengetuai apa yang dipanggil geng tingkat 4 yang akhirnya menjadi beban dan menyebabkan BN buat pertama kalinya hilang majoriti 2/3 pada pilihanraya 2008.


Jika diimbas kembali, hilangnya kuasa UMNO hari ini adalah berpunca daripada onar dan karenah yang dimulakan KJ sewaktu era kepimpinan Tun Abdullah yang kemudian bermula daripada situlah menyebabkan Tun Mahathir Mohamad keluar dari dunia persaraannya selepas meletakkan jawatan pada 2003.


Mungkin jika KJ tiada dalam hidup Tun Abdullah Badawi dan kepimpinan Pak Lah tidak dirosakkan oleh menantunya itu, bukan saja Tun Mahathir kekal dengan persaraannya sehingga sekarang, malah apa yang berlaku kepada UMNO pada hari ini juga dapat dielakkan.


Maka, apabila KJ menawarkan diri bertanding sebagai Presiden UMNO, mampukah seorang yang pernah membawa kerosakan kepada parti mahu menjadi peneraju untuk memulihkan UMNO?


Berupayakah beliau mengikis imej buruk geng tingkat 4 yang masih melekat pada dirinya?


Selepas UMNO hilang kuasa juga, KJ terlihat lantang menyalahkan Najib dengan mengatakan skandal berkaitan bekas Perdana Menteri itu sebagai punca utama kekalahan parti dalam pilihanraya lalu.


Kenapa KJ berani bersuara hanya selepas UMNO hilang kuasa?


Mengapa sebelum pilihanraya lalu, beliau sibuk membodek dan mengampu Najib, malah bersama barisan kepimpinan Exco Pemuda UMNO sampai tergamak menjulang dan memberi tabik hormat kepada bekas Perdana Menteri itu, meskipun ketika itu berita mengenai skandal 1MDB bukan lagi rahsia di seluruh dunia?


Bolehkah diyakini manusia sebegini dipilih untuk menerajui dan memulihkan UMNO?


Selain itu, KJ juga adalah pemimpin yang masih terlalu muda dan mentah untuk menerajui UMNO. Beliau bukan saja muda dan mentah berbanding Zahid Hamidi, malah terlalu muda dan mentah jika dibandingkan dengan Ku Li.


Dalam UMNO, jawatan tertinggi yang pernah disandangnya hanyalah Ketua Pemuda UMNO, sementara dalam kerajaan pula sekadar menerajui kementerian paling junior, Kementerian Belia dan Sukan selama lima tahun sejak 2013 yang lalu.


Apakah dengan pengalaman secetek itu, KJ mampu berdepan dengan Pakatan Harapan yang diketuai oleh Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim, jika akhirnya beliau dipilih sebagai Presiden UMNO?


Selebihnya, majoriti barisan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan calon-calon pemilihan kali ini ramai yang lebih tua daripadanya, malah sebahagian besar Ketua Bahagian, Ketua Cawangan dan perwakilan akar umbi juga lebih berusia berbandingnya.


Dengan hanya berusia 42 tahun, apakah mereka yang tua-tua ini sedia berketuakan pemimpin yang lebih muda dan mentah seperti KJ?


Apakah calon-calon Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi kali ini sanggup berketuakan KJ yang bukan saja lebih muda, bahkan junior dari segi pengalaman dan penglibatan dalam UMNO berbanding mereka?


Mahukah mereka membiarkan diri mereka menerima arahan daripada KJ selaku Presiden UMNO?

Sebenarnya KJ bukan tidak ada bakat kepimpinan, cuma usia dan pengalamannya terlalu mentah serta belum cukup matang untuk menerajui UMNO bagi menghadapi cabaran semasa.


Lagi pula, berdasarkan keputusan pilihanraya lalu, KJ turut dianggap gagal menarik undi anak-anak muda untuk memihak kepada BN di mana majoritinya lebih cenderung mengundi Pakatan Harapan.


KJ sepatutnya merangkak daripada bawah dengan meniti kerusi Naib Presiden terlebih dahulu, kemudian Timbalan Presiden dan akhirnya barulah memuktamadkan cita-cita politiknya sebagai Presiden UMNO.


Tetapi, oleh kerana KJ nampaknya terlampau gopoh dan ingin terus melonjak ke hadapan tanpa menilai keseluruhan isu yang membelenggu dirinya, para perwakilan pada 30 Jun ini boleh memberi kata putus "nanti dulu" kepadanya serta memberi laluan kepada tokoh lain yang lebih berwibawa, matang dan mampu berhadapan dengan Tun Mahathir dalam pilihanraya akan datang. (ShahbudinHusin 27/06/2018)

WOWWW....INIKAH YANG DINAMAKAN BANGSAT DAN TERBANGSAT?

Polis hari ini mendedahkan jumlah sebenar wang tunai dan barangan kemas yang dirampas di kediaman dan kondo mewah yang dikaitkan dengan Najib Razak, selepas kejatuhannya dan kekalahan BN dalam pilihanraya 9 Jun lalu.


Jumlahnya sangat mengejutkan dan pasti membuatkan orang kampung dan makcik Felda terbeliak biji mata dibuatnya.


Sebelum ini, jumlah wang tunai dalam 26 jenis matawang asing yang dirampas diumumkan berjumlah RM114 juta.


Tetapi, setelah pengikiraan akhir, jumlah sebenar wang tunai itu ialah RM116. 7 juta.


Barangan lain ialah:-


  • 12,000 jenis barangan kemas berharga RM440 juta, termasuk sebuah rantai berharga RM6 juta. Nilai sebenar barangan kemas tersebut, jika disekalikan dengan kos pembuatan dan rekaan, ia dianggarkan bernilai antara RM660 juta hingga RM880 juta.
  • Barangan kemas itu termasuk 1,409  rantai leher, 2,200 cincin, 2,100 gelang, 2,800 subang, 1,600 kerongsang dan 14 tiara atau mahkota.
  • 567 tas beg tangan mewah bernilai RM51.3 juta.
  • 423 jam tangan bernilai RM78 juta.
  • 234 cermin mata hitam yang semuanya bernilai RM374 ribu.


Secara keseluruhannya, pihak polis menganggarkan jumlah wang tunai dan barangan kemas yang dirampas di kediaman Najib dan di kondo yang dikiatkan dengannya ialah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion.


Wowww...wowww...wowwww...

Jika dikira dengan  RM2.6 bilion yang pernah masuk ke akaun peribadi Najib dan hampir RM1 bilion lagi harta dan kekayaan yang dikaitkan dengan anak tirinya, Riza Aziz yang berjumlah hampir RM1 bilion, jumlah besar kesemuanya ialah hampir mencecah RM5 bilion.


Sekali lagi...wowww...wowww...wowww...


Pernahkah kita terfikir ada pemimpin Melayu daripada UMNO memiliki kekayaan sebanyak itu?


Daripada manakah datangnya semua rampasan itu kalau bukan 1MDB puncanya?


Sebelum ini, Najib pernah mengingatkan bahawa orang Melayu akan jadi terbangsat jika UMNO kalah pilihanraya dan hilang kuasa.


Akhirnya, dengan izin Tuhan, kekalahan UMNO telah menjadi kenyataan, tapi siapakah yang terbangsat dan siapakah yang paling bangsat di Malaysia ini?  (ShahbudinHusin 27/06/2018).

PROGRAM KU LI BERTEMU PERWAKILAN UMNO DAPAT SAMBUTAN HANGAT


Program kempen dan bertemu perwakilan yang dilakukan oleh Tengku Razaleigh Hamzah ke beberapa negeri menjelang pemilihan UMNO pada 30 Jun terus mendapat sambutan hangat.


Antara negeri yang sudah dikunjungi oleh Tengku Razaleigh setakat ini ialah Wilayah Persekutuan, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Johor serta Sabah.

Esok 27 Jun, Ku Li akan meneruskan lagi kempennya ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.


Sambutan perwakilan terhadap Ku Li sehingga ini menggambarkan wujudnya keyakinan yang makin berkembang terhadap beliau dalam  percubaannya untuk memimpin UMNO berbanding dua lagi pesaingnya, Zahid Hamidi dan juga Khairy Jamaluddin.

Ku Li dilihat benar-benar serius dan ikhlas untuk memulihkan UMNO berikutan komitmennya untuk menjadi Presiden UMNO hanya selama sepenggal saja sebelum menyerahkan jawatan itu kepada penggantinya yang lebih muda dalam pemilihan yang seterusnya.


Dengan komitmen itu, beliau bukanlah seperti pencabarnya yang lain yang semata-mata mahu mengetuai UMNO bagi mengejar jawatan Perdana Menteri, termasuk ada yang sanggup memancing undi dengan janji kononnya mampu mengembalikan UMNO sebagai kerajaan semula sebelum pilihanraya akan datang.

Adakah wajar seorang bakal Presiden UMNO menjanjikan untuk menjadi kerajaan melalui pintu belakang tanpa komitmen kukuh untuk memulihkan kekuatan parti yang sebenar?

Dalam tempoh sepenggal itu, berdasarkan pengalamannya, Ku Li berharap dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO, melatih pengganti berwibawa, selain mengumpul dan menyusun semula semua aset parti bagi membiayai segala aktivitinya.

Berikutan kekalahan BN pada pilihanraya 9 Mei lalu, UMNO yang dipimpin oleh Pemangku Presiden, Zahid Hamidi telah memutuskan untuk menghentikan serta merta bantuan bulanan RM10 ribu kepada setiap bahagian dan RM5 ribu kepada sayap-sayap Wanita, Pemuda dan juga Puteri.

Keadaan itu memperlihatkan aset UMNO selama ini tidak diurus dengan baik sehingga sebaik saja ia hilang kuasa, UMNO dilihat terus miskin dan papa kedana serta tiada sumber kewangan untuk membiayai aktiviti parti di peringkat akar umbi.


Untuk itu, kehadiran Ku Li menawarkan diri untuk mengetuai UMNO menjelang PRU15 akan datang disambut dengan baik oleh perwakilan seluruh negara kerana dengan pengalaman luasnya dalam pelbagai bidang sebelum ini dipercayai mampu menggemilangkan parti berbanding kepimpinan sementara sedia ada. (ShahbudinHusin 27/06/2018)

Tuesday, 26 June 2018

JIKA BN BERKUBUR, APA JADI KEPADA UMNO? APAKAH UMNO AKAN LEBIH KETINGGALAN BERBANDING PAS?


Secara kasarnya BN ketika ini sudah pun mati dan sedang menuju tanah perkuburannya berikutan kekalahan mengejut pada pilihanraya 9 Mei lalu.


Secara mendadak, daripada 13 parti komponen bersamanya, BN kini hanya tinggal 3 parti saja lagi - UMNO, MCA dan MIC.


Selepas parti-parti di Sabah dan Sarawak dan kemudian myPPP berbuat demikian, beberapa hari lalu, Gerakan pula memutuskan untuk meninggalkan BN.


Dengan hanya 3 parti bersamanya, bermakna BN kembali kepada kedudukan asal sewaktu Perikatan mula-mula ditubuhkan dahulu dan menjadi persoalan kini ialah sampai bilakah MCA dan MIC mahu terus kekal berada dalam gabungan itu?


Apakah mungkin MCA dan MIC akan turut mengikut jejak langkah Gerakan selepas ini?

Kedudukan BN bertambah malang apabila beberapa pemimpin UMNO sendiri merasakan BN tidak sesuai lagi sebagai sebuah wadah perjuangan politik untuk menghadapi masa depan.


Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang bertanding Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan berkata, BN kini bukan lagi produk yang boleh dijual serta mampu menarik perhatian rakyat.


Sehubungan itu, beliau mahu tumpuan hanya diberi kepada usaha memperkukuh UMNO terlebih dahulu.


Seorang lagi calon Timbalan Presiden UMNO, Annuar Musa juga senada dengan mengadakan BN sudah tidak relevan dalam kancah politik negara susulan kekalahannya pada pilihanraya 9 Mei lalu.


Beliau juga mahu UMNO diperkuatkan terlebih dahulu sebelum memikirkan untuk membentuk sebuah gabungan baru yang lain.


Kalau UMNO tak dikuatkan, jangan fikir ada orang mahu berkawan dengan kita atau soal membentuk gabungan baru, ujar beliau lagi.


Sementara BN sudah tidak berfungi dan mahu dilupakan begitu saja, bagaimanakah kedudukan UMNO dalam persaingannya untuk menandingi Pakatan Harapan?


Apakah dengan tinggal sendirian, UMNO mampu terus mengekalkan survivalnya?

Mahu tidak mahu, harus diakui, apabila UMNO ingin melupakan BN dan mahu menguatkan dirinya saja, ia lama kelamaan akan menyebabkan MCA dan MIC semakin jauh hati atau ditinggalkan dan akhirnya akan keluar sendiri daripada BN.


Dalam waktu yang sama, dengan hanya UMNO yang diberi tumpuan dan BN dilupakan, UMNO akan berisiko menjadi seperti Pas yang perjuangannya hanya tertumpu kepada orang Melayu semata-mata.


Tanpa kuasa dan wang, mampukan UMNO terus bernafas dengan lancar atau kedudukannya selepas ini lebih ketinggalan berbanding Pas?


Dalam keadaan hanya Melayu diberi tumpuan,  apakah rakyat ada keyakinan kepada UMNO untuk kembali berkuasa semula dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia atau lama kelamaan parti itu semakin ditinggalkan oleh ahli-ahlinya sendiri?


Bagaimana jika semakin ramai ahli dan pemimpin UMNO akan keluar parti dan meninggalkan parti itu, tidakkah UMNO juga akan mati akhirnya? (ShahbudinHusin 26/06/2018)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...