Saturday, 31 August 2013
Dialog PR, BN - Anwar Yang Terdesak Atau Pemimpin UMNO Yang Tersedak?
Dalam perutusan sempena sambutan merdeka tahun ini, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menawarkan kepada Perdana Menteri, Najib Razak supaya diadakan rundingan meja bulat antara PR dan BN dalam beberapa isu demi untuk kepentingan rakyat dan negara. Antara isu yang disentuh Anwar sebagai wajar dibincangkan bersama ialah berkaitan kaum, agama, jenayah dan ekonomi.
Meskipun Anwar secara jelas menyebut bahawa perbincangan atau dialog itu tidak berkaitan sama-sekali dengan penubuhan kerajaan perpaduan yang diheboh-hebohkan sebelum ini tetapi tawaran ini segera mengundang reaksi yang tidak menyenangkan daripada kebanyakan pemimpin UMNO.
Apatah lagi seiring dengan tawaran kesediaan mengadakan rundingan itu, Anwar juga menyatakan keterbukaan untuk melupakan perbezaan dan persengketaan selama ini serta menerima keputusan pilihanraya umum lalu dan ini seolah-olah memenuhi syarat Najib sebelum ini bahawa sebarang rundingan antara BN dengan PR tidak mungkin diadakan selagi pakatan pembangkang tidak menerima keputusan pilihanraya, malah terus mempertikaikannya.
Beberapa pemimpin UMNO lantas mempertikaikan niat dan keikhlasan Anwar yang secara tiba-tiba membangkitkan soal dialog, rundingan atau kerjasama antara PR dengan BN ini. Mereka menyifatkannya sebagai langkah terdesak Anwar setelah kalah pilihanraya dan hampir kesemua petisyen yang dikemukakan PR ditolak oleh mahkamah. Khairy Jamaluddin, Mukhriz Mahathir dan Hishammuddin adalah antara pemimpin UMNO yang terawal menolak cadangan Anwar itu sambil mempersoalkan niat serta tujuannya.
KJ dan Mukhriz yang diketahui bermusuh dalam UMNO tiba-tiba dilihat senada dan mempunyai hujah penolakan yang hampir sama. Dipercayai juga ramai lagi pemimpin UMNO yang turut menolak tawaran dialog oleh Anwar ini. Bekas Perdana Menteri, Mahathir tentulah lebih diketahui pendiriannya berhubung isu ini.
Sementara Anwar dianggap terdesak kerana mengemukakan tawaran dialog ini, sebaliknya Anwar juga berjaya membuatkan ramai pemimpin UMNO tersedak dengan kejutan yang dibuatnya ini. Beliau yang selama ini dilihat begitu keras dan tidak berkompromi dengan UMNO, bahkan sering mengucapkan perkataan "lawan tetap lawan" seolah-olah sudah berubah dan mengalah berikutan pendirian mahu berdamainya ini.
Reaksi pantas KJ, Mukhriz dan Hishamuddin yang memperlekeh tawaran Anwar itu sambil mempertikaikan niatnya, walaupun dalam perutusan Anwar sudah dijelaskan bahawa ianya demi kepentingan rakyat dan negara, jelas membuktikan mereka terkejut dah mungkin tersedak beberapa kali kerananya.
Mahathir yang sedang berehat di rumahnya sambil minum-minum petang juga mungkin lebih kerap tersedak mendengar berita ini.
Dalam mesyuarat MT UMNO petang semalam, isu itu turut dibincangkan dan mungkin paling ramai pemimpinnya mengambil bahagian serta memberikan pelbagai pandangan mengenai dialog PR dengan BN itu. Jika sebelum ini Anwar mengatakan Najib yang cuba berbaik-baik dengannya, tawaran yang dibuatnya kali ini nyata menggambarkan sebaliknya dan membuatkan mereka tidak senang dengannya.
Benarkah Anwar sedang terdesak dan kini mahu berbaik-baik dengan Najib? Mungkinkah ini petanda Anwar sudah keletihan dan mengakui usianya yang semakin meningkat tidak sesuai lagi meneruskan perjuangan menumbangkan BN? Atau ini adalah merupakan langkah awal Anwar berbaik-baik dengan BN yang mana matlamat akhirnya ialah menubuhkan kerajaan perpaduan walaupun dinafikan pada ketika ini?
Atau mungkinkah ini hanya strategi Anwar untuk meredakan ketegangan memandangkan PRU 14 masih jauh lagi? Mungkin juga ini merupakan percaturan Anwar untuk menyelamatkan kerjaya politiknya dan ingin menempatkan penyokong setianya dalam kerajaan?
Pelbagai kemungkinan boleh diramalkan mengenai isu ini dan apa yang mungkin berlaku disebaliknya. Tetapi sementara menanti yang mana satu kemungkinan itu akan menjadi kenyataan, haruslah disedari bahawa perdamaian Anwar dan Najib bukanlah sesuatu yang mustahil. Politik sentiasa memungkinkan kawan menjadi musuh dan musuh bertukar menjadi kawan.
Mahathir pernah memusuhi Tengku Razaleigh dan Semangat 46 tetapi kemudiannya menawarkan perdamaian sehingga menyebabkan Ku Li membubarkan partinya dan menyertai UMNO secara beramai-ramai pada 1996. Walaupun perdamaian itu dinamakan atas tiket perpaduan Melayu tetapi kemudian disedari bahawa ia semata-mata untuk memudahkan Mahathir menyingkir dan memecat Anwar pada 2 September 1998.
Ketika Mahathir memecat, mengaib dan memenjarakan Anwar, seluruh pimpinan UMNO menyokongnya tetapi siapa sangka apabila Pak Lah menjadi Perdana Menteri, beliau membebaskan Anwar dan menghantar menantunya, KJ ke rumah Anwar di Bukit Damansara untuk menguruskan soal passport Anwar yang perlu menjalani pembedahan tulang belakang di Jerman.
Jika Mahathir memenjarakan Anwar, kemudian Pak Lah membebaskannya, maka tidaklah mustahil Najib pula yang berganding tangan bersatu hati dengan Anwar memimpin negara selepas ini.
Kalau Mahathir boleh berbaik semula dengan Ku Li yang merupakan musuh yang diciptanya sendiri, tidaklah sukar sebenarnya bagi Najib berbaik-baik dengan Anwar kerana Anwar bukanlah musuh yang dicipta oleh Najib. Beliau bermusuh dengan Anwar hanya kerana mewarisi pusaka yang ditinggalkan oleh Mahathir untuknya. Pak Lah telah membuktikan tidak mahu mewarisi permusuhan dengan Anwar yang ditinggalkan Mahathir, maka tidaklah mustahil Najib juga berbuat perkara yang sana.
Demi survivalnya, tidak menjadi kesalahan Najib dan Anwar berbaik-baik, sama seperti tidak menjadi kesalahan ketika Mahathir berbaik-baik semula dengan Ku Li dan kemudian menukar Anwar daripada sahabat kepada musuhnya.
Sama ada dialog PR dengan BN ini akan menjadi kenyataan dan memberi kebaikan kepada rakyat dan negara atau ianya merupakan permulaan kepada penubuhan kerajaan perpaduan atau mungkin tersekat di tengah jalan dan sekadar menjadi perisa yang menambahkan masam manis santapan dunia politik kita, semuanya bergantung kepada keadaan dan perubahan yang berlaku selepas ini.
Walaupun apa pun yang bakal berlaku antara PR dan BN atau antara Najib dan Anwar, bersedialah dengan segala kemungkinan serta belajar menerima seadanya supaya apabila berlaku sesuatu yang mengejutkan nanti, tidak ada sesiapa yang tersedak lagi. (SH 31/08/2013)
Friday, 30 August 2013
Dengan 49 Kumpulan Gangster Dan 40 Ribu Ahli Berkeliaran, Masih Selamatkah Negara Kita?
Sebagaimana yang dijanjikan sebelumnya oleh Ahmad Zahid Hamidi, Kementerian Dalam Negeri akhirnya mendedahkan 49 nama kumpulan haram atau gangster yang membahayakan masyarakat dengan pelbagai kegiatan yang berkaitan dadah, peras ugut, bunuh dan sebagainya. Melalui 49 kumpulan tersebut, kesemuanya dianggarkan menpunyai keahlian melebihi 40 ribu orang.
Pendedahan oleh Ketua Setiausaha KDN, Abdul Rahim Mohd Radzi itu adalah susulan meningkatnya pelbagai kejadian jenayah sejak kebelakangan ini. Ia bukan saja melibatkan kejadian jenayah biasa yang berlaku di seluruh negara tetapi juga meniingkatnya kejadian bunuh yang bermotifkan dendam, hutang, konflik perniagaan dan sebagainya yang dipercayai dilakukan oleh pembunuh-pembunuh upahan.
Kejadian ragut dan memecahkan cermin kereta juga banyak berlaku terutama kepada pemandu wanita yang memandu berseorangan.
Yang lebih menakutkan ialah kerana kebanyakan kejadian itu berlaku ketika mangsa berhenti di persimpangan lampu merah dan ini bukan sahaja membuatkan orangramai berada dalam kebimbangan apabila ada motorsikal berada di sebelah mereka ketika menunggu lampu isyarat bertukar hijau, bahkan ramai juga takut untuk keluar rumah.
Bukan saja ahli perniagaan, pengasas bank malah guru juga turut menjadi mangsa kejadian tembak dan bunuh ini. Tidak cukup dengan bunuh menggunakan pistol, kejadian bunuh menggunakan bom juga turut berlaku.
Dalam hari-hari kebelakangan ini pula, hampir setiap hari ada saja kejadian bunuh berlaku yang seolah-olah memberi gambaran penjenayah ini langsung tidak takut atau memperlahankan kegiatan mereka meskipun berita mengenainya dilaporkan sepanjang masa dan pihak polis pula sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga walau dibelengggu dengan kekurangan anggota.
Meningkatnya pelbagai kejadian ini memperlihatkan bahawa sesiapa saja tidak lagi selamat sebenarnya. Sebab untuk membunuh nampaknya bukan lagi disebabkan pergeseran yang besar atau hutang berjuta, bahkan perselisihan kecil atau hutang ratusan ringgit pun boleh dijadikan alasan untuk mengambil nyawa seseorang.
Sementara dalam beberapa kejadian tembak dan bunuh pada peringkat awanya masih disifatkan sebagai kejadian terpencil dan negara masih disifatkan aman secara keseluruhannya, pendedahan mengenai 49 kumpulan haram dengan keanggotaan melebihi 40 ribu orang sedang berkeliaran dan boleh mengancam bila-bila masa, ianya jelas memberi gambaran sebaliknya.
Untuk sebuah negara seperti Malaysia, jumlah kumpulan gangster dan keanggotaannya yang dikeluarkan KDN itu sudah boleh dikira besar sebenarnya. Itu belum termasuk lagi kumpulan lain yang separa aktif, aktif bermusim, kumpulan kecil atau penjenayah perseorangan yang berada di luar radar pihak polis.
Jika dijumlahkan semuanya dan dibandingkan dengan jumlah penduduk negara, nisbahnya tentulah lebih menakutkan lagi.
Angka-angka yang dikeluarkan ini walaupun membuatkan rakyat lebih brhati-hati dan waspada, tetapi dalam masa yang sama ia juga menerbitkan ketakutan yang berganda. Tidak ada lagi orang yang seselesa dulu dalam mengharungi kehidupan seharian mereka. Ketakutan sentiasa menyelubungi dan menghantui sesiapa saja.
Pelancong yang ingin datang ke negara kita mungkin pula menangguhkan perjalanan mereka apabila melihat angka-angka ini. Begitu juga pelabur mungkin memindahkan pelaburan mereka ke negara yang lebih selamat.
Apa yang ingin diketahui rakyat ialah apakah langkah susulan yang diambil polis, Kementerian Dalam Negeri dan Zahid Hamidi setelah mendedahkan angka-angka yang menggerunkan rakyat ini?
Rakyat tidak mahu lagi mendengar menteri sekadar menjawab kita kekurangan anggota polis setiap kali bercakap mengenai peningkatan kejadian jenayah serta membanding-bandingkannya dengan jumlah anggota polis di Amerika Syarikat dan United Kingdom yang lebih ramai jumlahnya.
Rakyat juga tidak mahu mendengar keluhan kononnya CCTV kita masih berkualiti rendah dan tidak seperti di negara-negara maju yang menggunakan peralatan canggih dan berkualiti tinggi, lalu menyebabkan pengecaman penjenayah sukar dilakukan.
Apa yang rakyat harapkan ialah jaminan keselamatan dan tindakan proaktif pihak berkuasa. Jika peralatan dan CCTV bermutu rendah dijadikan alasan, haruslah diingat bahawa Malaysia bukanlah lagi negara miskin seperti puluhan tahun dulu.
Jika kita boleh membina KLCC setinggi 88 tingkat dan mahu membina lagi Menara Warisan 100 tingkat, membeli kapal selam Scorpene dengan harga super mahal dan membina pelbagai mercu tanda lainnya, apakah menambah anggota polis dan memasang CCTV berkualiti tinggi demi memberi kesejahteraan kepada rakyat, menjadi begitu sukar dan menimbulkan masalah?
Adalah diharapkan, sementara Zahid Hamidi disanjung dan disukai sebagai Menteri Dalam Negeri yang dilihat ada wibawa serta setiap hari pula menuai publisiti media, beliau turut juga mengambil langkah-langkah pro aktif dan jauh ke depan dalam menangani janayah yang makin meningkat ini.
Langkah-langkah konkrit dan penambahbaikan infrastruktur dalam pasukan keselamatan yang berkaitan dengan jenayah, keselamatan, penyeludupan dan seumpamanya harus diberi perhatian seiring dengan kekerapan bercakap dan muncul di akhbar atau tv.
Jika tidak, akhirnya kita hanya mempunyai menteri yang popular tetapi jenayah, tembak dan bunuh terus juga berleluasa tanpa ada hadnya. (SH 30/08/2013)
Thursday, 29 August 2013
Muhyiddin Bakal Senasib Ghafar Baba?
Walaupun belum membuat pengumuman rasmi tentang jawatan yang bakal ditandinginya, tetapi tidak ternampak pula kecenderungan untuk Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin bersedia mencabar Najib bagi jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti 19 Oktober depan.
Dengan tempoh pertandingan tidak sampai dua bulan dari sekarang, Muhyiddin nampaknya cukup selesa dengan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri. Jika sebelum pilihanraya dulu, kedengaran juga ura-ura daripada para penyokongnya bahawa keputusan PRU 13 akan menentukan gerak langkah dan percaturan Muhyiddin yang seterusnya tetapi kini semua ungkapan itu sudah tidak kedengaran lagi.
Walaupun masih ada yang mengharapkan Muhyiddin akan mencabar Najib berikutan beberapa perkembangan yang menunjukkan Najib masih tidak berubah, ditambah dengan keputusan PRU 13 yang mengesahkan beliau lebih buruk daripada Pak Lah, di sebalik Muhyiddin masih menangguhkan untuk membuat pengumuman tentang jawatan yang bakal ditandinginya, beliau sebenarnya cukup selesa dengan kedudukan dan jawatannya sekarang.
Sekarang bukan saja tidak kedengaran lagi suara-suara daripada para penyokong Muhyiddin mengenai kemungkinan beliau mencabar Najib, malah para pegawai dan jentera politik Muhyiddin juga tidak berbuat apa-apa gerak kerja yang menunjukkan keinginan meningkatkan karier politik boss mereka itu.
Selain Munyiddin tidak mempunyai cukup kekuatan dan rangkaian dalam UMNO untuk menandingi Najib, sebab lain yang menyebabkan terencatnya hasrat Muhyiddin itu ialah kerana sikap dan pendirian bekas Perdana Menteri, Mahathir yang tidak betul-betul jelas memihak kepadanya.
Jika sebelum pilihanraya lalu, Mahathir ada mengeluarkan kenyataan bahawa kedudukan Najib akan tergugat jika gagal memperolehi majoriti dua pertiga, sebaliknya selepas pilihanraya yang menyaksikan bukan saja Najib gagal memperolehi dua pertiga, bahkan lebih teruk daripada keputusan 2008 tetapi pendirisn Mahathir nyata mengejutkan.
Beliau bukan saja menyokong kepimpinan Najib diteruskan, malah menyifatkan tiada pengganti yang sesuai untuk mencabarnya. Ini bukan saja mengecewakan Muhyiiddin dan para penyokongnya tetapi seolah-olah meletakkan Muhyiddin tidaklah lebih baik daripada Najib di mata Mahathir.
Berbanding layanan buruk yang diterima oleh Mahathir di zaman Pak Lah, Najib nyata mengambil pendekatan yang berbeza. Beliau kekal memuja dan menjadikan Mahathir sebagai orang yang paling dihormatinya. Selain menjadikan anak Mahathir iaitu Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah, Najib juga tidak begitu memberi respon terhadap pandangan Mahathir yang berbeza dengan dasar-dasar yang diperkenalkannya.
Najib cuba menjaga hati Mahathir dengan sebaik mungkin dan mengelakkan daripada dilihat bergeser atau berbeza pendapat yang boleh dijadikan modal memperbesarkan itu perbezaan antara kedua mereka.
Sehingga ini ternampak bahawa Najib berjaya menjinakkan Mahathir daripada bermusuh atau dilihat bermusuh dengannya. Dalam masa yang sama, harapan Muhyiddin untuk menjadikan Mahathir sebagai rangsangan untuk beliau mencabar Najib seakan-akan sudah berakhir.
Tanpa sokongan, bantuan dan tolakan daripada Mahathir, Muhyiddin memang diketahui tidak mempunyai keupayaan untuk melonjakkan dirinya lebih tinggi daripada kedudukannya sekarang. Bahkan kejayaannya memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO pada 2009 lalu pun lebih kepada "nasib" semata-mata berikutan pesaing terdekatnya ketika itu, Ali Rustam dibatalkan daripada menyertai pertandingan atas dakwaan salah laku ketika berkempen.
Kini dengan semakin banyak desakan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, walaupun Muhyiddin belum membuat pengumuman secara rasmi, adalah dijangkakan beliau akan kekal mempertahankan jawatannya saja sebagai Timbalan Presiden UMNO.
Untuk itu, Muhyiddin akan terus kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menjadi pembantu kepada beberapa lagi pendekatan transformasi yang yang bakal diperkenalkan oleh Najib.
Soalnya, apakah masa depan Muhyiddin seterusnya?
Selepas pemilihan UMNO 2013 ini, pemilihan yang seterusnya ialah pada 2016. Tetapi memandangkan pilihanraya umum ke 14 bakal diadakan pada 2017 atau 2018, mengikut amalan biasa pemilihan UMNO akan ditangguhkan bagi memberi laluan pilihanraya umum diadakan dahulu. Ini bermakna pemilihan UMNO hanya akan diadakan selepss pilihanraya umum berakhir.
Berbagai kemungkinan mengenai kedudukan UMNO dan BN dalam pilihanraya ke 14 nanti. Mungkin menang dan mungkin juga kalah. Namun, apa pun keputusan pilihanraya itu nanti, nasib dan perjalanan politik politik Muhyiddin sudah boleh dikira berakhir ketika itu.
Jika BN kalah, sudah tentulah persaraannya hanya setakat Timbalan Perdana Menteri sahaja dan beliau harus berpuas hati dengan pencapaiannya itu.
Tetapi jika UMNO dan BN menang serta terus berkuasa lagi, Muhyiddin ketika itu sudah terlalu tua dan tidak sesuai lagi untuk menjadi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri. Dengan usia Muhyiddin lebih tua 4 tahun daripada Najib, lima tahun akan datang usianya sudah mencecah 70 tahun. Kemungkinan untuk menonjolkannya melawan Najib juga tidak sesuai lagi.
Jika pun dalam pilihanraya umum ke 14 nanti, BN menerima keputusan yang lebih buruk daripada 133 kerusi yang dimenanginya pada PRU 13 dan wujud desakan agar kepimpinan baru mengambil alih UMNO, Muhyiddin bukan lagi calon yang sesuai. Eranya ketika itu telah berlalu.
Pemimpin yang mungkin ditonjolkan dan sesuai menerajui UMNO ketika itu ialah Hishammuddin Hussein, Mukhriz Mahathir, Khairy Jamaluddin dan mereka yang seangkatan dengannya. Najib dan Muhyiddin lebih mungkin diminta berundur secara serentak bagi memberi laluan kepada pemimpin yang lebih muda mengambil alih pula.
Namun andainya UMNO dan BN menang dengan lebih baik pada PRU 14 nanti, Najib pastinya akan terus kekal dan tidak ada sesiapa yang berani menggugat kedudukannya. Tetapi dengan kedudukan usia Muhyiddin ketika itu menghampiri 70 tahun manakala Najib baru 65 tahun, pasti akan wujud desakan agar pemimpin yang lebih muda daripada Najib pula menjadi Timbalan Presiden UMNO sebagai persediaan menyediakan pemimpin pelapis untuk UMNO dan negara.
Ketika itu, kedudukan Muhyiddin secara automatik tidak lagi relevan. Sekali lagi nama Hishammuddin, Mukhriz atau KJ mungkin ditonjolkan sebagai gandingan dan bakal pengganti kepada Najib. Muhyiddin ketika itu sama ada harus berundur atau merelakan dirinya dicabar. Jika dicabar, nasib beliau mungkin seperti Ghafar Baba yang kehilangan upaya akibat kemahuan kepada pelapis muda dan akhirnya disingkirkan oleh Anwar Ibrahim pada pemilihan 1993 dulu.
Hakikatnya, sama ada UMNO masih berkuasa atau tidak selepas PRU 14 nanti, era Muhyiddin tetap dianggap sudah berakhir.
Dengan kemungkinan terpaksa berundur atau mengulangi sejarah Ghafar Baba, Muhyiddin juga bakal mengikuti jejak langkah Musa Hitam sebagai seorang lagi pemimpin UMNO dari Johor yang kandas di tengah jalan dalam mengejar pendakian ke Seri Perdana. (SH 29/08/2013)
Wednesday, 28 August 2013
Kelesuan Hari Merdeka: Terima Kasih Rais Yatim
Di sana-sini sekarang orang bercakap tentang sambutan Hari Merdeka tahun ini yang kelihatan lesu dan tidak bermaya. Bukan saja semakin kurang percakapan orangranai mengenai merdeka dan sambutannya, bahkan kibaran bendera Malaysia di kenderaan, rumah dan pejabat juga hampir tidak kelihatan. Pemasangan bendera di jalan-jalan utama di sekitar Kuala Lumpur juga belum kelihatan sehingga ini.
Apa tema Hari Merdeka tahun ini pun ramai yang tidak mengetahuinya.
Berbanding tahun-tahun sebelumnya, sambutan Hari Merdeka tahun ini paling lesu dalam sejarah 56 tahun kemerdekaan negara. Hanya beberapa hari saja lagi menjelang tanggal 31 Ogos, suasana sambutan dan kemeriahan sama-sekali tidak dirasakan. Tarikh kemerdekaan seolah-olah tiada istimewanya dan tidak berbeza dengan hari-hari biasa.
Tidak seperti negara lain yang ghairah dan meriah setiap kali tibanya ulangtahun hari kemerdekaan, negara kita seperti sudah hilang semangat seperti itu. Tiga negara yang menyambut hari kemerdekaan di bulan Ogos ini iaitu Singapura pada 9 Ogos, Korea Selatan pada 15 Ogos dan Indonesia ada 17 Ogos dikatakan tidak berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya dan rakyat ketiga-tiga negara itu tetap teruja menanti ketibaan detik bersejarah itu.
Kenapa hanya di Malaysia ia menjadi lesu dan kurang ghairah?
Jika diimbas kembali, sebenarnya sambutan hari kemerdekaan dan menjelang tibanya detik 31 Ogos setiap tahun tidak pernah ada cacat-celanya dan setiap rakyat ghairah menanti serta merayakan detik pembebasan negara dari penjajahan negara asing. Semua orang bercakap tentang merdeka, jalan-jalan dipenuhi bendera manakala tv, radio dan akhbar pula tidak henti-henti menyiarkan rencana atau lagu yang bertemakan kemerdekaan.
Keadaan itu bagaimanapun tercemar pada tahun lalu iaitu 2012 apabila kerajaan melalui Menteri Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Rais Yatim telah merompak sambutan Hari Merdeka tahun itu untuk kepentingan politik UMNO dan BN. Oleh kerana 31 Ogos 2012 dianggap detik paling dekat dengan tarikh pilihanraya umum, sambutan pada tahun tersebut telah dimanipulasikan semahu-mahunya untuk kepentingan kempen UMNO dan BN bagi menghadapi pilihanraya.
Buat pertama kali tema Hari Merdeka 2012 bersamaan dengan tema kempen politik UMNO dan BN iaitu Janji Ditepati. Walaupun banyak bantahan mengenai tema itu, Rais berkeras mahu menggunakannya dan berjaya meyakinkan Najib dan kerajaan untuk turut bersetuju dengannya.
Tidak cukup dengan itu, pada malam 31 Ogos tahun lalu juga telah diadakan perhimpunan besar-besaran yang majoritinya dihadiri oleh ahli UMNO dan komponen BN Stadium Bukit Jalil di mana Najib selaku Perdana Menteri telah berucap dengan intipati yang jelas bermotifkan politik dan keinginan untuk memenangi pilihanraya.
Akhbar dan tv pula digunakan untuk mengaitkan sambutan hari kemerdekaan dan kaitan dengan UMNO dan akhirnya sambutan Hari Merdeka 2012 telah menjadi milik UMNO dan BN sepenuhnya. Rakyat yang menganuti fahaman politik yang lain atau tidak terikat dengan mana-mana fahaman politik jadi tersisih dan hilang selera untuk turut sama meraikannya sedangkan sepatutnya Hari Merdeka adalah milik semua rakyat tanpa mengira ideologi dan fahaman politiknya.
Semua ini tidak lain adalah kerana idea cetek Rais Yatim selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Merdeka yang ketika itu terlihat amat ghairah mahu mempromosi kepimpinan Najib sambil mengharapkan agar beliau terus dipilih sebagai calon pilihanraya dan dikekalkan lagi sebagai menteri kabinet.
Walaupun Rais juga melahirkan rasa kesal atas kelesuan sambutan tahun ini dengan mengatakan harga bendera lebih murah daripada harga sekotak rokok tetapi sebenarnya beliaulah juga yang menurunkan harga, bahkan melelong sambutan merdeka tahun lalu.
Kelesuan dan ketidakghaiarahan rakyat meraikan sambutan Hari Merdeka tahun ini tidak lain adalah kesan daripada tindakan Rais Yatim itu. Jika perayaan merdeka 2012 tidak dirompak untuk kepentingan politik UMNO dan BN serta tidak dilelong dengan harga yang murah, sambutan pada tahun ini mungkin tetap sama meriahnya seperti tahun-tahun sebelumnya.
Hari ini Ahmad Shabery Cheek yang mengambil alih tugas selaku Menteri Penerangan dan Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Merdeka, terpaksa memikul beban yang ditinggalkan Rais itu. Beliau juga mungkin lambat menyedari kesan daripada tindakan Rais itu, lalu tidak pula melakukan sesuatu yang agersif untuk sambutan merdeka tahun ini. Jika kesan daripada apa yang dilakukan Rais itu dapat disedari lebih awal, mungkin kelesuannya tidaklah begitu dirasakan seperti sekarang ini.
Walaupun sambutan hari kemerdekaan tahun ini seperti ingin dikembalikan semula kepada rakyat dengan temanya juga lebih rasional iaitu Malaysia berdaulat: Tanah tumpahnya darahku tetapi keghairahan yang telah hilang itu bukanlah mudah untuk dikembalikan. Mungkin ada segolongan rakyat yang memerlukan masa untuk berbuat demikian.
Untuk tahun ini dan mungkin beberapa tahun lagi, kita haruslah mengakui bahawa kerana kesilapan dan salah percaturan yang dilakukan oleh Rais Yatim itu maka kita terpaksalah meraikan hari kemerdekaan ini dalam suasana yang lesu dan tidak bermaya.
Terima kasih Rais Yatim!! (SH 28/08/2013).
Tuesday, 27 August 2013
Naib Presiden UMNO: Zahid Paling Popular Tapi Belum Tentu Menang Bergaya
Jawatan Menteri Dalam Negeri benar-benar membawa untung lumayan buat Zahid Hamidi. Berbanding jawatan Menteri Pertahanan yang membuatnya hampir tenggelam dan kurang menonjol, Zahid sebaliknya menuai publisiti hampir setiap hari melalui jawatan yang disandangnya sekarang.
Daripada penentangannya terhadap pemansuhan Akta Hasutan dan Ordinan Darurat, peningkatan kejadian jenayah, kekurangan anggota polis, jangkaannya mengenai rangkaian jenayah bekas pesalah Ordinan Darurat, cabarannya kepada Waythamoorthy dan sehinggalah kepada tindakanya mahu mendedahkan senarai nama-nama kongsi gelap, semuanya mengundang sorotan publisiti di pelbagai media massa.
Malah, ketika memberitahu secara bergurau bahawa kumpulan samseng turut datang ke rumah terbukanya dan meminta wang perlindungan pun turut dijadikan berita besar.
Pendeknya, apa saja yang keluar dari mulut Zahid sekarang pasti merupakan bahan yang boleh diolah menjadi berita.
Semua publisiti yang melimpah ini secara automatiknya menjadikan Zahid paling popular. Di mata perwakilan UMNO pula, beliau dianggap sebagai menteri yang sedang membuat kerja dengan betul dan dilihat lebih baik daripada Menteri Dalam Negeri sebelumnya iaitu Hishammuddin Hussein.
Secara kasarnya, dalam pemilihan UMNO 19 Oktober ini Zahid ternampak tiada masalah untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden nombor satu yang diraihnya dalam pemilihan 2009 lalu.
Sehingga ini, selain Zahid yang sudah mengumumkan akan mempertahankan jawatannya, dua lagi Naib Presiden UNNO iaitu Hishammuddin dan Shafie Apdal turut mengumumkan akan mempertahankan jawatan masing-masing.
Pemimpin lain yang sudah mengumumkan akan menyertai persaingan ialah Isa Samad, Pengerusi Felda manakala Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir dan bekas Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam dijangka akan turut menyertai perebutan kerusi Naib Presiden dan akan membuat pengumuman rasmi tidak lama lagi.
Ini menjadikan sekurang-kurangnya tujuh orang akan bertanding merebut tiga kerusi Naib Presiden UMNO kali ini.
Walaupun Zahid terlihat paling popular berbanding lain-lain pesaingnya manakala wajah serta berita mengenainya juga muncul hampir setiap hari di akhbar dan tv, peluang beliau tidaklah semudah yang dijangka, apatah lagi untuk mendapatkan kemenangan bergaya dengan memperolehi undi tertinggi.
Sosek-sosek dalam UMNO mulai kedengaran bahawa Zahid seolah-olah sengaja menonjol-nonjolkan diri untuk kepentingan pemilihan UMNO. Beliau dilihat sengaja bersuara mengenai Akta Hasutan dan Ordinan Darurat sekarang sedangkan ketika Najib mengusulkan mahu memansuhkannya dulu, tidak pula suaranya kedengaran.
Bahkan ketika Najib mengatakan bahawa cadangan memansuhkan kedua-dua akta itu mendapat persetujuan kabinet, pendirian Zahid yang sebenarnya turut menjadi tanda-tanya.
Apatah lagi dengan adanya seruan pelbagai pihak, termasuk Mahathir agar pemimpin muda diberi peluang dalam pemilihan UMNO kali ini bagi menghadapi PRU 14, sentimen ini seolah-olah kekangan buat Zahid. Saranan agar lebih ramai pemimpin muda atau pelapis ditonjolkan nyata memberi kelebihan kepada Hishammudin dan Mukhriz untuk mengungguli jawatan tersebut manakala Zahid dianggap bukan lagi sebagai pelapis untuk tempoh lima tahun akan datang memandangkan beliau lebih berusia daripada Najib dan hanya muda sedikit daripada Muhyiddin.
Hishammuddin walaupun dianggap lemah tetapi beliau ada pengaruhnya yang tersendiri dalam UMNO, selain kedudukannya sebagai sepupu Najib dan anak bekas Perdana Menteri serta usianya yang lebih muda turut memberi kelebihan buatnya. Mukhriz juga sedang meniti pupolariti berikutan kejayaan BN menawan semula Kedah dan pengaruh bapanya, Mahathir yang masih kukuh pastinya memberi kelebihan jika beliau bertanding kerusi nombor tiga dalam UMNO itu.
Malah ada yang beranggapan apabila Mahathir memperkatakan perlunya UMNO memberi ruang yang lebih luas kepada golongan muda menonjolkan diri, maksud tersiratnya ialah untuk menaikkan anaknya, Mukhriz di kedudukan yang lebih kukuh dalam UMNO.
Penyertaan Ali Rustam dan Isa Samad turut menjejaskan peluang Zahid. Walaupun kedua-dua pemimpin ini juga sudah berusia tetapi penyertaan mereka boleh menjadi "kacau daun" dan membuatkan ada yang mengundi kedua-dua calon ini kerana simpati.
Ali Rustam pernah dihalang daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada 2009 atas dakwaan salah laku ketika berkempen, meskipun peluangnya untuk menang ketika itu amat cerah. Dalam pemilihan kali ini setelah kalah di Bukit Katil dan mungkin dilantik Senator serta diberikan jawatan di peringkat Pusat, bertanding jawatan Naib Presiden UMNO akan memberi kelebihan kepada Ali Rustam kerana gabungan undi simpati dan penyokong setia yang sedia wujud akan lebih berpihak kepadanya.
Kelebihan Ali juga kerana sikap ramah mesra, suka membantu dan jarang menghampakan jemputan yang diterimanya walaupun yang menjemputnya hanya sekadar ahli UMNO biasa saja.
Jika dulu ramai yang kecewa kerana tidak berpeluang menobatkan Ali Rustam sebagai Timbalan Presiden UMNO, penyertaannya dalam perebutan kerusi Naib Presiden kali ini akan membuatkan hasrat yang tidak kesampaian dulu bertukar menjadi undi yang melimpah-ruah.
Dalam musim rumah terbuka yang sedang berjalan sekarang, Ali Rustam nyata sedang menggunakan kesempatan yang ada untuk hadir sebanyak mungkin jemputan yang diterimanya di seluruh pelusuk negara. Dengan tidak terikat sebarang jawatan dalam kerajaan, beliau mempunyai luang masa yang banyak untuk memenuhi semua jemputan dan menemui perwakilan UMNO.
Isa Samad juga boleh menggugat peluang Zahid. Kedudukannya sebagai Pengerusi Felda yang mana Felda mempunyai penempatan di lebih 50 bahagian UMNO di seluruh negara, walaupun bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dilihat sukar menang tetapi "kacau daunnya" akan menyusahkan calon-calon lain.
Penyertaan Musa Aman pula dilihat hanya akan menjejaskan peluang Shafie Apdal kerana sehingga ini majoriti pemimpin UMNO Sabah menyokongnya dan ini secara langsung akan menipiskan lagi peluang Shafie Apdal mengekalkan jawatannya.
Dengan sentimen UMNO yang mahu mewujudkan pelapis dan memberi peluang kepada orang muda dalam pemilihan tahun ini, Hishamudin dan Mukhriz dijangka paling selamat untuk memenangi dua jawatan Naib Presiden UMNO kali ini manakala Zahid, Shafie Apdal, Ali Rustam, Isa Samad dan Musa Aman akan bersaing sesama sendiri untuk merebut satu lagi kekosongan yang tinggal.
Jika diukur dari segi populariti dan publisiti, Zahid ternampak menonjol tetapi jika undi simpati menguasai jiwa perwakilan UMNO, mungkin Ali Rustam berupaya menonjolkan diri dan mengenepikan calon-calon yang lain. (SH 27/08/2013)
Monday, 26 August 2013
Endless Possibilities - Ditiru Dari Israel Atau Mongolia?
Sehingga ini Najib masih berdiam diri mengenai kontroversi slogan Endless Possibilities, terutama daripada mana asalnya slogan itu sejak ia didedahkan lebih seminggu yang lalu. Ketika dikatakan bahawa slogan itu bakal menggantikan 1Malaysia yang dianggap gagal dan kabur, Najib kemudiannya menjelaskan bahawa slogan Endless Possibilities bukan menggantikan 1Malaysia tetapi akan menjadi pelengkap kepadanya.
Tetapi apabila kemudiannya didedahkan oleh blog-blog bahawa slogan itu ditiru daripada Israel berikutan Kementerian Pelancongan Israel turut menggunakan slogan yang sama, hanya Jabatan Perdana Menteri yang memaklumkan slogan itu telah diperkenalkan oleh Najib pada Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland pada Januari 2013 lagi sedangkan Kementerian Pelancongan Israel didakwa oleh JPM hanya menggunakan slogan yang sama empat bulan kemudiannya.
Dalam erti kata lain, kalau mengikut penjelasan JPM itu, Israellah yang meniru slogan Najib dan bukannya Najib yang meniru Israel!!
Hebatlah Malaysia kalau Israel boleh meniru slogan kita!!
Najib dijangka akan melancarkan slogan Endless Possibilities pada 17 September depan dan semua menteri sudah pun diberi taklimat mengenainya. Logo berkaitan slogan itu juga sudah siap untuk diperkenalkan.
Beberapa pihak termasuk Anwar Ibrahim sendiri menuntut Najib memberi penjelasan lanjut mengenai slogan itu dan kaitannya dengan negara Israel. Walaupun JPM sudah memberi penjelasan tetapi dengan pelbagai pihak terus mempertikaikan slogan itu, adalah penting penjelasan yang lebih detail keluar daripada mulut Najib sendiri. Najib tidak seharusnya berdiam diri.
Apatah lagi sejak Najib menjadi Perdana Menteri dan APCO dilantik sebagai perunding medianya, kaitan beberapa isu dengan Israel begitu kerap kedengaran. Ada saja isu yang berlaku, sering terkait dengan Israel seolah-olah peranan APCO cukup besar dan bukan sekadar perunding media sahaja.
Endless Possibilities bukan saja dipertikaikan kerana kaitannya dengan Israel tetapi juga dipercayai kempennya yang dijangka turut menelan belanja yang besar. Peranan penasihat-penasihat Najib dalam memilih slogan itu turut menjadi pertikaian dan ini mengingatkan kepada teguran Daim Zainuddin kepada Najib agar menukar para penasihatnya itu kerana gagal memberikan nasihat yang betul semasa pilihanraya umum lalu.
Kini dengan pemilihan slogan Endless Possbilities, sekali ini para penasihat Najib dipersalahkan. Mereka ini dilihat membuat perancangan yang mendedahkan Najib kepada serangan dan pertikaian umum.
Terbaru ini, belum reda dan orangramai masih antara percaya dengan tidak dengan penjelasan JPM bahawa slogan Endless Possibilities adalah slogan asli Najib, bahkan ditiru pula oleh Israel, beberapa blog dengan menampilkan paparan video yang boleh ditonton melalui Youtube pula mendedahkan bahawa slogan yang sama juga digunakan oleh kerajaan Mongolia.
Jika sebelum ini JPM dalam penjelasannya menyebut bahawa Najib sudah memperkenalkan slogan Endless Possibilities sejak Januari 2013 dan Israel pula hanya mengunakan slogan itu empat bulan kemudiannya, maklumat daripada Youtube mengenai penggunaan slogan itu oleh kerajaan Mongolia pula menyebut ia telah pun digunakan sejak 19 Februari 2012.
Malahan dalam video itu, warna yang digunakan dalam perkataan Mongolia itu mempunyai persamaan dengan warna logo Endless Possibilities yang bakal digunakan oleh Malaysia.
Kalau mengikut hujah dan logik JPM, maka bermaknalah slogan Endless Possibilities ini ditiru daripada Mongolia kerana mereka lebih awal daripada Najib menggunakannya. Najib hanya mula mengucapkan Endless Possibilities pada Januari 2013 sedangkan negara kelahiran Altantuya sudah menggunakannya sejak 19 Februari 2012 lagi.
Setelah Altantuya menjadi isu dan menimbulkan ribut besar kepada negara, kenapa Mongolia lagi menjadi pilihan? Penjelasan dari mulut Najib nampaknya semakin dituntut, slogan ini sebenarnya diciplak dari Israel atau Mongolia?
Apakah penasihat-penasihat Najib tidak peka dalam hal ini? Kenapa dalam era kepimpinan Najib ini kita asyik dihadapkan dengan Israel dan Mongolia saja? Tidak adakah negara lain yang boleh dijadikan kiblat penjenamaan?
Walaupun Israel terkenal dengan penindasan terhadap umat Islam di Palestin tetapi bangsa Yahudi menguasai banyak aspek di dunia ini, malah Amerika yang besar dan gagah itu pun berada dibawah telunjuknya kerana kecerdikan dan penguasaan ekonomi golongan itu yang kukuh dalam pelbagai bidang.
Maka tidak hairan ramai yang cenderung untuk berkiblatkan Israel kerana keinginan untuk menguasai sebahagian daripada dunia dan keghairahan ingin menonjol. Tetapi apa pula istimewanya Mongolia? Makin hebatkah Malaysia kalau meniru slogan Mongolia?
Apakah ini bermakna penasihat Najib bukan saja melihat Israel sebagai idola tetapi setelah Razak Baginda mengambil Altantuya yang berasal daripada Mongolia sebagai penterjemah untuk projek kapal selam Scorpene, mereka juga sudah jatuh hati dengan negara itu?
Sekali ini Najib terus terperangkap dan semakin tidak bebas daripada persepsi mengenai Altantuya setelah para penasihatnya sendiri secara tidak langsung mengajak kita semua mengenali lebih dekat mengenai Mongolia dan terus mengingati kematian Altantuya melalui slogan Endless Possibilities walaupun Razak Baginda, Azilah Hadri dan Sirul Azhar sudah menjadi manusia bebas. (SH 26/08/2013)
Sunday, 25 August 2013
Waytha, Tunggu Apa Lagi?
Semalam Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan yang lebih berupa cabaran terhadap pemimpin Hindraf yang dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Waythamoorthy berikutan pendiriannya yang mempertikaikan tindakan polis menembak mati lima penjenayah di Pulau Pinang.
Kata Zahid, Waytha bukan saja tidak harus mempertikaikan kerja polis, bahkan juga tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan dasar yang ditentukan kerajaan.
"Beliau jangan ingat beliau masih pemimpin NGO, beliau bukan pemimpin Hindraf lagi dan jangan campur kerja polis,"tegas Zahid.
Tambah Zahid, jika ada pemimpin NGO yang kini sudah menyertai kerajaan masih mengeluarkan kenyataan negatif dan bertentangan dengan dasar kerajaan, letak jawatan dan kembali kepada NGO semula.
Serangan Zahid terhadap bekas pemimpin Hindraf itu jelas menunjukkan beliau tidak senang dengan cara Waytha yang masih terkongkong dengan sentimen Hindraf apabila cuba mempertahankan lima penjenayah India yang ditembak mati di Pulau Pinang dengan mengatakan beliau tidak percaya berlaku kejadian tembak-menembak antara polis dengan suspek, sebaliknya mengesyaki penjenayah itu ditembak dari jarak dekat.
Lantaran itu, Zahid segera melontarkan serangan terhadap kenyataan Waytha yang bukan saja bersifat negatif dan bertentangan dengan sifatnya sebagai seorang timbalan menteri, malah lebih dari itu seolah-olah menunjukkan simpati terhadap penjenayah.
Bagi Zahid yang merupakan pemimpin nombor tiga dalam UMNO, pendirian dan kenyataan Waytha itu amat tidak wajar dan menggesanya supaya meletakkan jawatan daripada kerajaan jika terlalu inginkan berpendirian seperti Hindraf semula.
Dalam hal ini, Pengerusi DAP, Karpal Singh juga sependirian dengan Zahid bahawa Waytha seharusnya meletakkan jawatan jika tidak sehaluan dengan dasar kerajaan yang mana beliau merupakan salah seorang pemimpinnya.
Dengan Zahid mengeluarkan gesaan dan cabaran itu, Waytha sebenarnya tidak ada pilihan lain melainkan menunjukkan sifat kejantanannya dengan bersedia menyahut cabaran itu, melainkan jawatan timbalan menteri yang disandangnya itu merupakan anugerah dan idaman hati yang begitu sukar mahu dilepaskan.
Dalam mana-mana kerajaan di dunia, bahkan di Malaysia pun, bukanlah sesuatu yang pelik apabila seseorang menteri atau timbalan menteri meletakkan jawatan kerana tidak setuju dengan sesuatu perkara. Di zaman Mahathir, zaman Pak Lah malah di era Najib juga, sudah ada yang meletak jawatan atau menolak tawaran jawatan yang diberikan.
Waytha tidak boleh lagi berdiam diri selepas Zahid meneriakkan cabaran ke telinga ini. Beliau harus menyatakan pendiriannya sama ada kekal seperti sekarang atau menarik balik kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini. Jika masih mahu kekal berjiwa Hindraf, letaklah jawatan serta kembalilah berjuang melalui Hindraf atau jika mahu bersma kerajaan lagi, tarik balik kenyataan dulu, mohon maaf sambil ciumlah tangan Zahid.
Kalau boleh mohon maaf dan cium tangan jugalah kepada Najib dan Muhyiddin.
Haruslah diingat bahawa Zahid adalah menteri kanan kerajaan dan dalam UMNO, beliau merupakan Naib Presiden yang mendapat undi paling tinggi. Ini bermakna Zahid adalah pemimpin nombor tiga dalam UMNO selepas Najib dan Muhyiddin.
Jika dalam sehari dua ini, Najib atau Muhyiddin tidak ada mengeluarkan apa-apa bantahan terhadap gesaan meletakkan jawatan yang diusulkan oleh Zahid itu, bermakna kedua-dua mereka secara tidak langsung merestui apa yang dilakukan Zahid itu. Dengan bersetuju terhadap gesaan Zahid itu, bermakna UMNO juga bersetuju bahawa Waytha mesti meletakkan jawatan dan tidak seharusnya lagi berada dalam kerajaan.
Kecualilah jika ada Najib atau Muhyiddin menyanggah kenyataan Zahid itu atau menyifatkan Zahid tidak perlu mengeluarkan kenyataan terlalu keras seperti itu, barulah dianggap gesaan Zahid itu tidak sah dan Waytha secara moralnya masih boleh berada dalam kerajaan tanpa perlu memohon maaf atau mencium tangan sesiapa.
Sehingga tidak ada apa-apa yang dilakukan oleh Najib atau Muhyiddin, gesaan Zahid itu lebih merupakan cabaran terhadap kejantanan Waytha sebagai seorang pemimpin Hindraf yang kini sudah beralih menjadi anggota pentadbiran kerajaan sama ada beliau masih seorang yang berprinsip dan tidak kemaruk jawatan atau jawatan lebih utama daripada prinsip perjuangan.
Waytha, tunggu apa lagi? (SH 25/08/2013)
Saturday, 24 August 2013
Sirul Dan Azilah Bebas Tapi Najib Semakin Tidak Bebas Dari Persepsi Altantuya
Mahkamah Rayuan semalam membebaskan dua anggota UTK, Sirul Azhar dan Azilah Hadri daripada tuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Sharibu yang sebelum ini mencetuskan pelbagai kontroversi dan polemik dalam negara. Ia bukan saja berkaitan pembelian kapal selam yang juga terpalit dengan pelbagai dakwaan rasuah serta komisen tetapi juga turut dikaitkan dengan Najib Razak kerana tertuduh utama yang dikaitkan dengan kes itu, Abdul Razak Baginda adalah merupakan rakan karibnya manakala Azilah dan Sirul pula adalah anggota polis pengiringnya.
Razak telah dibebas daripada tuduhan yang sama beberapa tahun lalu dan kini giliran dua anggota UTK yang didakwa meletupkan Altantuya dengan bahan letupan C4 pula dibebaskan. Sementara pembebasan Razak tidak dirayu oleh pihak pendakwaan, kes kedua-dua anggota polis ini difahamkan akan dirayu ke Mahkamah Persekutuan pula.
Dengan pembebasan Sirul dan Azilah serta Razak sebelum ini, persoalan yang bermain-main di layar fikiran rakyat ialah siapakah sebenarnya yang membunuh dan mengarahkan pembunuhan wanita Mongolia itu?
Di laman-laman sosial Facebook dan Twitter, isu ini menjadi paling hangat semalam dengan pelbagai pihak tampil sama ada meluahkan kemarahan, sindiran dan pelbagai tafsiran mengenai keputusan Mahkamah Rayuan itu. Walaupun Altantuya bukan warga Malaysia, rakyat kita tampaknya begitu prihatin dalam soal keadilan sejagat, lebih-lebih lagi kes pembunuhan melibatkan beliau merupakan kes yang dianggap berprofil tinggi.
Sementara ada pihak yang gembira dan menitiskan airmata kerana pembebasan Azilah dan Sirul itu, ramai juga pihak yang meluahkan rasa kecewa dan dukacita dengan keputusan itu. Bapa Altantuya yang tentu paling kecewa menuntut kerajaan Mongolia supaya campurtangan dalam hal ini.
Beberapa pihak lain seperti pembangkang, termasuk juga bekas Menteri Kehakiman Zaid Ibrahim turut melahirkan rasa kecewanya. Beberapa pemimpinnya turut mengulas mengenai keputusan itu tetapi kebanyakannya terlihat cenderung melihat aspek kegagalan pihak pendakwa memanggil DSP Musa Safri, pegawai khas Najib yang merupakan orang atasan kepada Sirul dan Azilah sebagai saksi di mahkamah.
Pelbagai kecaman dan kata-kata pedih turut dilemparkan kepada Peguam Negara, Gani Patail, malah ada yang menuduh beliau sengaja tidak memanggil DSP Musa sebagai saksi untuk menjadikan perbicaraan kelihatan cacat dan lemah.
Atas semua aspek yang ditimbulkan itu, nama Najib tentunya terkait sama. Daripada menjadi Timbalan Perdana Menteri ketika Altantuya dibunuh dan kini menjadi Perdana Menteri, pelbagai persepsi cuba ditimbulkan untuk melibatkan adanya peranan serta pengaruh Najib dalam pembebasan kedua-dua anggota polis itu serta juga Razak Baginda sebelumnya.
Di pelbagai lapisan rakyat juga, mereka turut bercakap isu dengan nada yang sama. Pelbagai cerita dan andaian kedengaran di mana-mana, baik di rumah-rumah, pejabat, kedai kopi mahupun lobi hotel yang mengulas isu pembebasan Azilah dan Sirul serta kaitannya dengan kedudukan Najib.
Secara umumnya, persepsi yang cuba ditimbulkan berkaitan pembebasan Azilah dan Sirul tambah menenggelamkan lagi keyakinan rakyat terhadapnya.
Dalam masa yang sama, dengan pembebasan Azilah dan Sirul juga, saman sivil yang dikemukakan oleh bapa Altantuya yang tertangguh sebelum ini akan diteruskan selepas ini. Peguam Karpal Singh dilaporkan akan berusaha untuk memastikan saman sivil bernilai RM100 juta yang turut melibatkan Najib dan kerajaan Malaysia, akan menghasilkan keputusan yang menggembirakan.
Malah Karpal juga bertegas akan berusaha melakukan sapina terhadap Najib dan DSP Musa Safri bagi memberi keterangan dalam kes saman sivil ini.
Sekali ini, nama Najib akan terus dikaitkan dengan Altantuya untuk tempoh yang tidak tahu bila titik akhirnya.
Ini bermakna untuk tempoh beberapa tahun ini, di samping kes rayuan Azilah dan Sirul yang akan dibawa ke Mahkamah Persekutuan, kes saman sivil bapa Altantuya bernilai RM100 juta serta kemungkinan Najib sendiri akan disapina untuk memberi keterangan dan pelbagai lapisan rakyat pula akan terus bercakap mengenai kes pembunuhan itu serta kaitannya dengan beliau, Najib sebenarnya semakin terperangkap dalam pesepsi dan dan andaian yang berbagai-bagai berkaitan pembunuhan Altantuya ini.
Selagi orang ramai bercakap mengenai pembunuhan Altantuya, selagi itulah nama Najib akan dikaitkan dan sukar dipisahkan, bahkan dengan bebasnya Azilah dan Sirul, Najib didapati semakin tidak bebas daripada persepsi yang mungkin akan lebih menyakitkan hari-hari mendatang bagi dirinya dan juga UMNO yang sedang dipimpinnya.
Razak Baginda sudah bebas, Azilah dan Sirul juga sudah bebas tetapi pembebasan mereka itu sama-sekali tidak membebaskan Najib. Beliau mungkin terpaksa memikul beban ini untuk selama-lamanya.(SH 24/08/2013)
Friday, 23 August 2013
Shahidan, Tajuddin Juga Perlu Akur Arahan Najib
Selepas Nazri Aziz didedahkan meletakkan anaknya sebagai pegawai khas di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, rupa-rupanya terdapat sekurang-kurangnya dua lagi pemimpin yang turut berbuat demikian. Mereka ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Shahidan Kasim yang melantik anaknya, Nur Shafizah sebagai setiausaha sulit dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tajuddin Abd Rahman yang melantik menantunya, Firdaus Mufazal Faiz juga sebagai setiausaha sulitnya.
Tindakan Nazri itu telah mecetuskan kontroversi kerana beliau didakwa mengamalkan nepotisme. Walapun Nazri pada awalnya cuba bertahan dengan tindakannya itu atas alasan gaji anaknya, Nedim tidak dibayar oleh kerajaan tetapi melalui poketnya sendiri, beliau akhirnya akur dengan kesilapan yang telah dilakukannya itu, apatah lagi setelah Najib turut menegur dan menganggap tindakan itu sebagai suatu kesalahan.
Mengenai perlantikan anak Nazri itu, Najib berkata, "secara prinsipnya anak dan ahli keluarga tidak boleh bekerja kementerian tetapi dibolehkan di kawasan Parlimen yang diwakilinya".
Penjelasan Perdana Menteri ini cukup terang untuk difahami, bukan saja oleh Nazri tetapi juga oleh sesiapa saja yang menjadi anggota pentadbiran kerajaan, termasuk Shahidan dan Tajuddin.
Nazri Aziz yang telah ditegur oleh Perdana Menteri bahawa tindakan melantik anaknya itu sebagai melanggar peraturan dan bertentangan dengan pekeliling Perkhidmatan Awam, kemudiannya telah menukar status jawatan anaknya daripada pegawai khas kementerian kepada pegawai khas Ahli Parlimen Padang Rengas (urusan Gen Y).
Namun pendedahan Malaysian Insider bahawa Shahidan dan Tajuddin juga melantik anak dan menantu bekerja di kementerian masing-masing, bahkan jelas dalam jawatan yang dibayar gajinya oleh kerajaan, bukan saja mengejutkan bahkan menimbulkan persoalan tentang keghairahan pemimpin kerajaan terhadap amalan nepotisme yang menjadi kebencian rakyat di seluruh dunia.
Di kala rakyat di kebanyakan negara mengecam amalan nepotisme ini, bahkan ada yang menyebabkan seseorang pemimpin atau kerajaan tumbang kerananya, semuanya itu seolah-olah tidak memberi kesan langsung kepada pemimpin negara ini. Baik yang sudah lama menjadi pemimpin, mahupun yang baru merasa nikmat bergelar timbalan menteri, keinginan terhadap amalan yang dibenci itu seperti tidak pernah ada surutnya.
Yang terdedah mengamalkan perkara itu setakat ini mungkin hanya Nazri, Shahidan dan Tajuddin tetapi tidak mustahil ia sebenarnya turut meluas di kalangan ramai pemimpin kerajaan yang lain. Ia cum belum terdedah saja lagi.
Sementara Shahidan ketika ditanya mengenai perkara itu enggan mengulas panjang dan cuba mengelak daripada terus menjelaskannya, Tajuddin pula menyifatkan pendedahan mengenai menantunya itu sebagai agenda politik murahan.
Dalam laporan yang lain pula, Tajuddin jelas menunjukkan kemarahannya mengenai pendedahan itu sambil mengaitkan dengan pengorbanannya selama hampir 40 tahun dalam parti, termasuk pernah ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA sebelum ini.
Soalnya, apakah kerana sudah berkorban selama 40 tahun dan pernah ditahan ISA, ia merupakan tiket yang menghalalkan nepotisme?
Daripada cara kedua-dua menteri dan timbalan ini menjawab, mereka sebenarnya tahu kesalahan melantik anak dan menantu di kementerian masing-masing tetapi masih mahu menegakkan benang basah atas perlakuan itu.
Walaupun anak Shahidan dan menantu Tajuddin ini belum pernah terkait sebaranf kontroversi sepertimana anak Nazri Aziz tetapi tidak bermakna peraturan dan pekeliling Perkhidmatan Awam boleh dilanggar sesuka hati. Isunya bukanlah sama ada anak, menantu atau ahli keluarga itu terlibat kontroversi atau tidak tetapi selagi ia merupakan ahli keluarga, peraturan itu seharusnya dipatuhi tanpa banyak soal.
Dalam hal ini, Shahidan dan Tajuddin tidak seharusnya terus berdalih atau cuba mempertahankan kesalahan melantik anak dan menantunya itu. Sebaiknya akur dan patuh saja dengan nasihat dan arahan Perdana Menteri yang menjelaskan bahawa ahli keluarga mana-mana menteri tidak boleh bekerja di kementerian.
Berhentilah daripada terus menyusahkan Perdana Menteri, UMNO dan kerajaan. Tidak guna mereka mempertahankan tindakan itu kerana dibimbangi lagi banyak yang cuba dipertahankan, lagi banyak pendedahan mengenai salah laku anak dan menantunya itu. Sekarang ini pun sudah ada blog-blog yang mula menyeret Tajuddin dengan isu-isu nepotisme yang lain terutama di Bahagian Pasir Salak serta gambar-gambar menantunya dalam pelbagai aksi.
Tidak mustahil jika Shahidan dan Tajuddin cuba mempertahankan lagi anak dan menantu mereka, lagi banyak pendedahan dan gambar-gambar yang akan terdedah kemudiannya. Akhirnya mereka juga yang malu.
Jadi, sebaiknya akur sajalah dengan nasihat serta arahan Perdana Menteri dan mengalahlah sepertimana yang telah dilakukan oleh Nazri Aziz. (SH 23/08/2013)
Thursday, 22 August 2013
Awakening - Jawapan Mahathir Di Luar Jangkaan
Setelah menangguh beberapa lama untuk memberi respon terhadap dakwaan Pak Lah terhadapnya dalam buku Awakening: The Abdullah Badawi Years In Malaysia, Mahathir akhirnya menulis dalam blognya untuk menjawab sebahagian daripada isu-isu yang ditujukan kepadanya.
Namun tidak sebagaimana biasanya, Mahathir yang sering melawan apabila dicabar dan bertindak lebih keras terhadap orang yang mengkritiknya, kali ini beliau memilih untuk menjawab dengan cara sinis dan sindiran saja.
Dalam blognya hari ini, Mahathir menjawab bahawa walaupun kerajaan yang dipimpin oleh Pak Lah untuk menghadapi pilihanraya 2008 adalah kerajaan yang kaya dan mampu menyimpan berbilion ringgit wang kerajaan tetapi lima negeri termasuk Wilayah Persekutuan telah jatuh ke tangan pembangkang serta menyebabkan BN hilang majoriti dua pertiga.
Kerajaan yang menghadapi pilihanraya 2008 adalah kerajaan yang kaya tetapi malangnya rakyat tidak menghargainya, sindir Mahathir lagi.
Dengan nada yang lebih sinis, Mahathir juga berkata, cuba bayangkan berapa billion ringgit akan dapat diselamatkan jika beliau bersara lebih awal daripada itu dan kita akan duduk di atas gunung-ganang yang dipenuhi wang ringgit.
Sebaik buku itu diterbitkan dan terkandung didalamnya wawancara dengan Pak Lah yang antara lain memuatkan dakwaannya bahawa negara akan muflis jika beliau terus berbelanja sebaik mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada 2003 lalu serta meneruskan projek-projek besar yang dimulai oleh Mahathir, jawapan balas daripada bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu sentiasa ditunggu-tunggu.
Antara projek yang dibatalkan oleh Pak Lah sebaik mengambil alih jawatan Perdana Menteri, walaupun sudah diluluskan dan dipersetujui kabinet ialah pembinaan rel berkembar dari selatan ke utara tanahair dan Jambatan Bengkok menggantikan Tambak Johor.
Pembatalan itu bagaimanapun membuatkan kerajaan membayar pampasan yang agak besar kepada syarikat-syarikat terbabit manakala pembinaan rel berkembar pula diteruskan beberapa tahun kemudian dengan kos yang lebih tinggi.
Ketika kali pertama diminta responnya mengenai dakwaan Pak Lah itu, Mahathir mengelak untuk menjawabnya dengan alasan belum membaca dan mahu mengkaji kandungannya terlebih dahulu. Kali kedua, tidak lama kemudian, beliau juga tidak mahu memberi jawapan balas mengenai dakwaan yang dibangkitkan Pak Lah itu.
Namun jawapan Mahathir yang penuh sindiran dan sinis mengenai dakwaan Pak Lah ini turut mengundang persoalan. Ini kerana ia bukan kebiasaan bagi Mahathir. Biasanya apabila dakwaan langsung yang ditujukan kepadanya atau berkaitan kepimpinannya, Mahathir akan membalasnya dengan lebih keras serta dengan fakta dan angkanya sekali. Walaupun ada sedikit fakta diberikan oleh Mahathir dalam jawapannya ini terutama mengenai kos pembinaan dan pampasan yang dibayar oleh kerajaan, jawapan Mahathir tetap terlihat santai saja.
Lebih-lebih lagi jika dakwaan itu dibangkitkan oleh musuh-musuh politik yang didendaminya, tambahan pula Pak Lah adalah pengganti yang dipercayainya tetapi kemudian bertukar menjadi musuh dengan beliau akhirnya berkempen menjatuhkan Pak Lah serta menyebabkan BN menerima keputusan buruk pada 2008, jawapan Mahathir seharusnya lebih keras.
Dalam sejarahnya, Mahathir jarang memberi ruang kepada sesiapa mencabar atau memperlekehnya. Beliau akan bingkas menjawab, mempertahan dan menyerangnya kembali sehingga ramai orang merasakan berbaik-baik dan melayan kehendaknya adalah lebih berbaloi berbanding bermusuh dengannya.
Apakah jawapan penuh sindiran ini bermakna Mahathir sudah berubah watak? Atau barangkali beliau merasakan Pak Lah bukan lagi musuh politik yang perlu dilawannya dengan bersungguh-sungguh seperti dulu?
Meskipun menyindir Pak Lah, Mahathir dalam tulisannya ini bagaimanapun mengingatkan bahawa sebagai sebuah kerajaan, tindakan berbelanja untuk menghidupkan ekonomi dan seterusnya mendapatkan penghargaan daripada rakyat adalah juga penting kerana rakyat akan mengadili kerajaan setiap lima tahun sekali.
Peringatan ini, barangkali ini juga ditujukannya kepada Najib yang turut terjebak antara defisit dan berbelanja sehingga rungutan mengenai kelembapan ekonomi dan suasana ekonomi yang suram turut kedengaran di kalangan usahawan dan ahli-ahli perniagaan ssjak akhir-akhir ini. (SH 22/08/2013)
Wednesday, 21 August 2013
KJ Jangan Lupa Kementeriannya Ialah Belia Dan Sukan...
Sebaik habis mesyuarat kabinet tengahari tadi, Khairy Jamaluddin menulis di twitternya memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju membatalkan cadangan untuk menyenaraikan peminjam PTPTN yang gagal membuat pembayaran daripada disenaraikan melalui CCRIS atau Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO dan Menteri Belia dan Sukan, turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan atas keputusan itu yang disifatkannya sebagai memahami kehendak orang muda.
Soalnya, kenapa KJ begitu tergesa-gesa membuat mekluman mengenai keputusan kabinet itu sedangkan portfolio pendidikan bukanlah bidang tugasnya. Kementerian Pendidikan dibawah tanggungjawab Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Pendidikan Pertama dan Idris Jusoh sebagai Menteri Pendidikan Kedua.
Sebelum ini cadangan mahu menggunakan CCRIS diumumkan oleh Idris Jusoh dan ianya telah mendapat mendapat reaksi yang pelbagai. Pihak pembangkang rata-ratanya tidak bersetuju dengan cadangan itu dan mengecam Idris Jusoh atas lontaran cadangan yang disifatkan bakal membebankan lagi graduan lepasan universiti.
Di dalam UMNO pula, KJ sebagai Ketua Pemuda UMNO adalah satu-satunya pemimpin kanan UMNO yang membantah cadangan itu atas alasan ianya akan membebankan anak-anak muda yang baru keluar universiti, selain pinjaman PTPTN juga dianggapnya berbeza dengan pinjaman bank atau institusi kewangan yang memerlukan tindakan sekeras itu perlu diambil.
Sikap KJ itu, walaupun dipuji tetapi turut mendapat kritikan beberapa pihak dalam UMNO yang menyifatkan KJ sebagai anggota pentadbiran kerajaan sepatutnya menyokong cadangan itu atau membantu memberi penjelasan mengenainya dan bukannya mengemukakan bantahan secara terbuka melalui media.
Ada juga yang berpendapat, kalau pun tidak bersetuju, KJ sepatutnya menyuarakannya melalui saluran mesyuarat dan bukannya menunjukkan penentangan terhadap cadangan menteri lain secara terbuka.
Setelah kabinet yang bermesyuarat hari ini bersetuju pula membatalkan cadangan yang dikemukakan Idris Jusoh itu, KJ juga dianggap tidak sepatutnya begitu cepat memaklumkan perkara itu kepada umum melalui tulisan di twitternya.
Sepatutnya berilah peluang Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan yang mengumumkannya. Atau biarkanlah Idris Jusoh yang dulunya melontarkan cadangan itu memaklumkan keputusan kabinet itu.
Dalam hal ini, walaupun KJ yang merupakan satu-satunya menteri yang membantah cadangan penggunaan CCRIS itu tetapi tidak bermakna apabila kabinet membatalkannya, beliau juga mempunyai hak untuk mengaut kredit daripadanya.
Ramai yang menyifatkan apabila kabinet yang memutuskan pembatalan cadangan itu, ia sudah menjadi hak Kementerian Pendidikan pula mengumumkannya manakala menteri yang lain sepatutnya menghormati portfolio yang dipertanggungjawabkan kepada masing-masing serta tidak cuba melangkaui sempadan yang sepatutnya.
Dalam isu CCRIS ini nampaknya keuntungan politik semuanya menjadi milik KJ. Sama ada ini disebabkan keghairahannya yang keterlaluan sebagai menteri paling muda atau kecekapannya menggunakan media sosial, hakikatnya ini sesuatu yang tidak seharusnya dibiarkan berterusan dalam kerajaan pimpinan Najib ini. (SH 21/08/2103)
Tuesday, 20 August 2013
Najib Perlu Adil, Tangguh Dulu Perlantikan Shahrizat
Ketua Wanita UMNO, Shahrizat Jalil yang sedang bergelut mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti 19 Oktober depan, dilaporkan akan dilantik sebagai penasihat khas bertaraf menteri kepada Perdana Menteri berkaitan pembangunan wanita dan keluarga dalam waktu yang terdekat ini.
Meskipun Najib belum mahu mengesahkan mengenai berita itu dengan hanya berkata, "tiada apa-apa pengumuman lagi, biarkan saja begitu" ketika ditanya wartawan tetapi di dalam UMNO ianya sudah menjadi percakapan yang semakin meluas diperbualkan.
Pelbagai pro dan kontra kedengaran mengenai spekulasi itu tetapi kebanyakannya berpendapat sekarang jni bukanlah masa yang sesuai untuk Najib memberikan jawatan yang boleh memperlihatkan sokongannya kepada mana-mana calon kerana ia dikhuatiri akan turut memberi kesan penolakan yang sama terhadap Perdana Menteri.
Sementara golongan yang kecewa dengan skandal lembu NFC kerana telah membebankan UMNO dan mahukan Shahrizat ditukar dengan pemimpin lain yang tidak tercemar kepimpinannya, Shahrizat dan penyokong pula merasakan perlantikan sebagai penasihat ini merupakan suatu berita gembira dan umpama tonik yang mampu menambah-segarkan lagi semangat untuk mempertahankan kedudukannya sekarang.
Beliau yang bakal dicabar oleh Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said dan mungkin juga oleh Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Halimah Siddique tentunya juga seperti mendapat nyawa tambahan jika perlantikan itu benar-benar menjadi kenyataan.
Dengan kedudukannya sekarang yang tidak memegang apa-apa jawatan, sementara pencabarnya berjawatan ahli parlimen dan timbalan menteri, di samping kontroversi berkaitan skandal lembu NFC yang pernah menyelubungi suami dan keluarganya serta majoriti ahli UMNO berpendapat beliau wajar ditukar, penganugerahan jawatan penasihat itu juga menunjukkan bahawa Najib menyokong dan masih mahukan kepada kepimpinannya merajui Pergerakan Wanita UMNO.
Sejak isu lembu NFC, nama Shahrizat dan Wanita UMNO tercemar dengan teruk sekali. Walaupun isu itu hanya melibatkan suami dan anak-anaknya, kedudukan Shahrizat sebagai menteri ketika projek itu diberikan menimbulkan persoalan tentang konflik kepentingannya sebagai pemimpin serta anggota pentadbiran kerajaan.
Apatah lagi, pinjaman mudah RM250 juta yang diperolehi untuk projek lembu itu turut dilaburkan untuk pembelian pelbagai jenis hartanah dan kondominium mewah yang membayangkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam pengendalian projek itu.
Berikutan desakan dan kecaman pelbagai pihak, Shahrizat akhirnya berundur sebagai Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga serta tidak dipilih sebagai calon dalam pilihanraya umum lalu. Beliau dilantik sebagai menteri pada 2009 manakala selepas kalah kepada Nurul Izzah di Lembah Pantai pada 2008 lalu, jawatan penasihat berkaitan wanita dan keluarga kepada Perdana Menteri telah dianugerahkan kepadanya.
Jika berita mengenai perlantikan sebagai penasihat bertaraf menteri in benar-benar menjadi kenyataan, bermakna Shahrizat kembali semula ke jawatan yang pernah disandangnya suatu ketika dahulu.
Menjelang pemilihan parti Oktober ini, kedudukan Shahrizat adalah antara yang paling dipertikaikan. Ramai yang melihat isu yang pernah menyelubungi diri dan keluarganya akan terus menjadi beban kepada UMNO jika beliau terus memegang jawatan Ketua Wanita UMNO.
Beberapa pemimpin UMNO secara terbuka mendesak agar Shahrizat secara sukarela mengundurkan diri dan lebih memikirkan kepentingan parti secara keseluruhannya berbanding mengekalkan keinginan untuk terus bergayut pada jawatan yang pernah membahagiakan diri dan keluarganya itu.
Perkhabaran bahawa Najib bakal melantiknya sebagai penasihat dalam waktu yang terdekat ini tentunya juga mengundang persoalan yang tidak menggembirakan kepada kebanyakan pemimpin UMNO. Dengan Najib melantiknya ke jawatan bertaraf menteri itu hanya beberapa bulan menjelang hari pemilihan pastinya ia dianggap suatu pengiktirafan dan sokongan pucuk pimpinan terhadapnya.
Lebih-lebih lagi bakal pencabar yang mahu menentangnya hanyalah berkedudukan sebagai ahli parlimen dan timbalan menteri sahaja.
Untuk berlaku adil dan supaya tidak dianggap memihak, adalah sebaiknya Najib menangguhkan pelantikan Shahrizat itu. Lagi pula tiada keperluan pun sebenarnya Najib mempunyai penasihat berkaitan wanita dan keluarga kerana jawatan Manteri Wanita dan Keluarga sudah pun ada penyandangnya iaitu Rohani Karim dari Sarawak.
Kalau pun ingin juga melantik Shahrizat sebagai penasihat, lantiklah setelah beliau menang Ketua Wanita UMNO nanti.
Memberi jawatan kepada Shahrizat hanyalah menunjukkan Najib memberi sokongan kepadanya dan seolah-olah tidak mahu kepada calon lain memimpin Wanita UMNO sedangkan calon lain mungkin lebih baik daripada Shahrizat.
Selain itu, perlantikan penasihat ketika ini juga merupakan suatu pembaziran kerana jika Azalina dan Halimah yang menang nanti, kedua-dua mereka juga boleh terus dilantik sebagai menteri bagi mengisi kouta Ketua Wanita UMNO tanpa perlu menambahkan beban kewangan kerajaan dengan mengisi jawatan penasihat dalam waktu yang sama.
Dengan menunjukkan sokongan dan pengiktirafan kepada Shahrizat juga, sedangkan majoriti ahli dan pemimpin UMNO merasakan beliau sebagai beban dan tidak lagi relevan kepada parti, kedudukan dan masa depan Najib juga boleh terancam kerananya. (SH20/08/2013)
Monday, 19 August 2013
Nazri Masih Ingkar Arahan Najib?
Setelah Najib mengeluarkan kenyataan bahawa tidak dibenarkan seseorang menteri melantik anak atau ahli keluarganya sebagai pegawai khas di mana-mana kementerian, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz akhirnya menukar kedudukan jawatan anak bongsunya itu. Jika sebelum ini, jawatannya ialah pegawai khas menteri, kini ia ditukar kepada pegawai khas Ahli Parlimen Padang Rengas (urusan Gen Y).
Tindakan Nazri itu dilihat sebagai tanda beliau akur dengan arahan Perdana Menteri walaupun sebelumnya terlihat begitu angkuh mahu mempertahankan kedudukannya anaknya itu, termasuk dengan mengeluarkan kenyataan yang berbunyi, "ini kementerian saya, saya bebas melantik sesiapa saja".
Perubahan kedudukan jawatan itu dilakukan dalam portal rasmi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, bermula semalam.
Bagaimanapun, yang menjadi persoalan ramai, kalau sudah jawatannya ditukar menjadi pegawai khas di kawasan Parlimen Padang Rengas dan bukan lagi sebagai kakitangan kementerian, mengapa pula perlu namanya dikekalkan lagi dalam senarai portal kementerian itu?
Kenapakah Nazri begitu bersungguh-sungguh mahu menonjolkan nama anaknya di kementerian itu sedangkan tugasnya tidak lagi berkaitan dengan kementerian, sebaliknya hanya berkaitan Generasi Y di Padang Rengas?
Apakah mungkin, Nedim Nazri itu sebenarnya hanya ditukarkan nama jawatan sahaja tetapi masih berada di kementerian dan menggunakan segala kemudahan kerajaan seperti pejabat, telefon, kakitangan dan sebagainya dalam urusan sehariannya? Bukankah ini bertentangan dengan etika yang seharusnya?
Rasanya semua menteri, termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri juga mempunyai pegawai khas yang menjaga kawasan Parlimen boss masing-masing tetapi tidak pula kita pernah mendengar nama pegawai khas Ahli Parlimen Pekan atau pegawai khas Ahli Parlimen Pagoh misalnya, dimasukkan namanya dalam portal rasmi Jabatan Perdana Menteri.
Begitu juga menteri-menteri lain yang turut mempunyai pegawai khas di kawasan Parlimen masing-masing, nama mereka turut tidak dimasukkan dalam senarai staff kementerian kerana mereka bukanlah kakitangan kementerian.
Barangkali Nazri satu-satunya menteri yang meletakkan nama pegawai khas di kawasan Parlimennya dalam portal rasmi kementerian walaupun gajinya dibayar oleh beliau sendiri.
Tugas seorang pegawai khas di kawasan Parlimen ialah menjaga kepentingan pengundi di kawasan itu dan memastikan mereka mendapat bantuan atau pertolongan yang sewajarnya dalam apa juga masalah yang dihadapi di sebalik kesibukan seseorang Ahli Parlimen yang memegang jawatan sebagai menteri di Pusat.
Tugas mereka biasanya hanya melibatkan urusan dengan Ahli Parlimen dan tidak berkaitan dengan kementerian.
Dalam hal ini, anak Nazri itu sepatutnya lebih wajar berada di Pedang Rengas, berbanding mempunyai pejabat yang selantai dengan bapanya di kementerian.
Dengan meletakkan nama anaknya kekal dalam portal rasmi kementerian dan kemungkinan juga masih mempunyai pejabat di kementerian, Nazri sebenarnya tidak seratus-peratus mematuhi arahan Perdana Menteri yang berbunyi, "Ini prinsipnya, prinsipnya ahli keluarga tidak boleh diletakkan di pejabat menteri".
Najib juga berkata, seseorang menteri hanya boleh melantik ahli keluarganya sebagai pembantu di kawasan Parlimennya sahaja.
Walaupun terlihat akur dan mengalah, Nazri sebenarnya masih menyanggahi arahan Najib. (SH 19/08/2013)
Sunday, 18 August 2013
Tengku Razaleigh Hampir Pasti Tanding Presiden UMNO
Menjelang pemilihan UMNO pada 19 Oktober depan, kedudukan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah terus menjadi sebutan sama ada beliau akan bertanding jawatan Presiden UMNO atau sebaliknya. Meskipun beberapa negeri sudah membuat ketetapan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan, keadaan itu sebenarnya hanya berlegar-legar di peringkat atasan sahaja.
Sebaliknya, di peringkat bahagian dan cawangan, masih kedengaran suara-suara yang mahukan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan. Ia bukan saja untuk menterjemahkan transformasi politik yang dilakukan oleh Najib yang sedia mengubah peraturan pertandingan tetapi juga untuk membuktikan amalan demokasi masih lagi subur dalam UMNO.
Dengan kedudukan BN yang hanya mempunyai 133 kerusi Parlimen saja, sementara kebanyakan pemimpin UMNO dilihat tidak mempunyai perubahan sikap yang ketara dengan sebahagiannya masih bersikap sombong, angkuh serta bangga diri, ramai ahli-ahli peringkat bawahan yang bimbang tentang nasib parti itu dalam piliharaya ke 14 nanti.
Najib pula, walaupun menerima sokongan daripada Ketua-Ketua UMNO Bahagian untuk terus mengekalkan jawatannya, sikap serta pendiriannya yang tidak tegas dalam beberapa isu berkaitan Melayu dan Islam, turut menambahkan lagi kebimbangan itu.
Setelah Najib tunduk dengan beberapa desakan pembangkang seperti pemansuhan ISA, Akta Hasutan dan Ordinan Darurat serta sikapnya yang terlalu lembut terhadap tuntutan kaum lain, semakin ramai yang bimbang nasib bangsa Melayu akan lebih tertekan dalam menghadapi fasa-fasa kritikal lima tahun akan datang ini.
Dalam konteks inilah yang menyebabkan suara-suara ke arah perubahan itu terlihat ketara. Memberi kemenangan percuma dilihat hanya akan membuatkan Najib terus selesa dengan sikapnya yang ada sekarang.
Golongan bawahan dan akar umbi juga menolak pertandingan kali ini boleh memberi membawa perpecahan kerana sebelum pilihanraya umum 2018 nanti, ada satu lagi pemilihan UMNO yang harus dihadapi iaitu pada 2016. Jika mahu mengekalkan perpaduan dan memantapkan kesatuan, pertandingan 2016 itulah yang harus dielakkan manakala pertandingan tahun seharusnya dibenarkan bagi memilih pemimpin sebenar dan mengukur tahap demokrasi yang sering dipertikaikan selama sejak sistem kouta diperkenalkan.
Meskipun Muhyiddin belum mengumumkan pendirian sebenar mengenai jawatan yang bakal ditandinginya, namun ramai yang percaya beliau lebih selesa untuk kekal dengan jawatan yang disandangnya sekarang.
Di sinilah yang membuatkan nama Tengku Razaleigh muncul sebagai tokoh yang sesuai untuk mencabar Najib. Walaupun beliau dilihat agak berusia berbanding Najib, rekod cemelang dan imej bersihnya semasa berada di dalam kerajaan dulu, termasuk jasanya menubuhkan Petronas dan Bank Bumiputra, sentiasa menjadi rujukan dan sering dietakkan sebagai neraca perbandingan.
Dalam menghadapi cabaran yang seterusnya pula, Tengku Razaleigh yang popular dengan Ku Li juga dilihat mempunyai jiwa Melayu dan Islam yang lebih kukuh tetapi dalam masa yang sama dipercayai mampu juga menarik sokongan bukan Melayu untuk berada bersama-sama dengannya jika diberi peluang memimpin UMNO.
Sehingga ini, desakan daripada seluruh seluruh negara yang mahukan beliau bertanding ternampak memberangsangkan. Pelbagai pihak dan kelompok dalam UMNO yang mempunyai undi tidak putus-putus menemuinya menyatakan keperluan untuk beliau bertanding menentang Najib dan memikirkannya demi kepentingan Melayu dan Islam.
Meskipun belum ada kata putus yang keluar daripada mulutnya sama ada akan bertanding atau sebaliknya, namun desakan dan permintaan yang bertali arus mehukannya khidmatnya itu mungkin membuatkan Ku Li akhirnya akur dengan semua permintaan dan desakan itu.
Namun kesediaan Ku Li bertanding itu bukanlah semata-mata kerana jawatan tetapi lebih kepada menyahut seruan perubahan yang dikehendaki oleh peringkat akar UMNO yang tidak putus-putus menemuinya sejak kebelakangan ini.
Dengan sistem baru pemilihan UMNO yang tidak lagi memerlukan kouta pencalonan dan perwakilan pula diperluaskan kepada hampir 150,000 orang, walaupun Pengerusi Perhungan UMNO Negeri-negeri dan Ketua Bahagian lebih cenderung menyatakan sokongan terbuka kepada Najib tetapi arus perubahan yang sedang menggelegak di peringkat bawahan UMNO berikutan keputusan pilihanraya lalu dan sikap Najib sendiri yang tidak banyak berubah dalam beberapa isu, bahkan kekal dengan sikap tidak tegasnya, ianya mungkin memberi ruang kepada Tengku Razaleigh.
Sebelum tarikh pendaftaran pada 28 September depan, adalah dipercayai Ku Li akan membuat pengumuman mengenai jawatan yang bakal ditandinginya dan berdasarkan permintaan yang kian meningkat terhadap khidmatnya, kemungkinan beliau akan mencabar Najib bagi jawatan Presiden UMNO kali ini, sangat hampir menjadi kenyataan. (SH 18/08/2013)
Saturday, 17 August 2013
Nazri Aziz Mula Jadi Beban Kepada UMNO?
Tidak sampai dua hari, PM Najib terpaksa menukar pendiriannya berhubung tindakan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz yang melantik anaknya sebagai pegawai khasnya di kementerian itu.
Jika semalam Najib menyatakan tidak menjadi salahnya Nazri berbuat demikian asalkan tidak melibatkan pembayaran gaji oleh kerajaan tetapi hari ini beliau mengubah kenyataannya itu dengan mengatakan ahli keluarga menteri hanya boleh diletakkan sebagai pembantu di kawasan Parlimen masing-masing dan bukannya di kementerian.
"Inilah prinsipnya, prinsipnya ahli keluarga tidak boleh diletakkan di pejabat menteri," katanya.
Tindakan Nazri melantik anaknya sebagai pegawai khas telah mengundang keresahan orangramai, bukan saja kerana anaknya, Nedim itu terlibat dengan kontroversi sebelum ini, bahkan cara Nazri mempertahankan anaknya memperlihatkan keangkuhannya yang melampau.
Selain mengatakan anaknya tidak dibayar gaji oleh kerajaan, sebaliknya melalui duit poketnya sendiri, Nazri dengan nada sombongnya juga berkata, "ini kementerian saya, saya boleh boleh lantik sesiapa saja."
Dalam hal ini Nazri barangkali terlupa bahawa kementerian bukanlah milik individu. Kementerian bukan seperti syarikat sendirian berhad. Kementerian adalah milik kerajaan dan menteri duduk di situ hanyalah atas ehsan Perdana Menteri melantiknya setelah beliau dipilih sebagai wakil rakyat.
Hanya setelah menjadi wakil rakyat atau dewan negara, barulah seseorang itu boleh dilantik sebagai menteri. Ini menjadikan seseorang menteri sebenarnya sentiasa terikat kepada sokongan dan undi rakyat. Selagi rakyat menyokongnya, dapatlah jadi menteri tetapi setelah tidak lagi mendapat sokongan rakyat, kedudukan menteri terpaksa dilepaskan dan kementerian juga kena ditinggalkan.
Jadi, janganlah sombong dan bongkak sangat kerana dapat jadi menteri seolah-olah boleh melakukan apa saja. Ingatlah bahawa menjadi menteri adalah atas pertanggungjawaban bersama sebagai sebuah kerajaan setelah diberi mandat oleh rakyat. Jika menteri bersikap sombong dan angkuh, parti dan kerajaan yang akan menerima kesan penolakan daripada rakyat.
Oleh sebab itu, menjadi seorang pemimpin dan menteri haruslah menjauhi sikap sombong dan angkuh bagi memastikan sokongan rakyat berterusan. Pemimpin yang bersikap sombong, angkuh dan enggan menerima teguran adalah beban kepada parti dan kerajan.
Tindakan Najib yang terpaksa mengubah pendirian dan menjadi flip-flop berhubung keputusan Nazri melantik anaknya itu, walaupun mengundang persepsi yang berbagai mengenai kefahaman Perdana Menteri sendiri berhubung perlantikan ahli keluarga oleh seseorang menteri, tetapi secara nyata menunjukkan bahawa apa yang dilakukan Nazri itu adalah salah.
Cumanya, mungkin atas sebab-sebab tertentu dan hubungan peribadi yang agak lama, Najib segan memberitahu secara terus-terang agar Nazri mengeluarkan anaknya daripada kementerian itu.
Dengan meletakkan anaknya duduk di kementerian, walaupun gajinya dibayar oleh bapanya sendiri tetapi sudah tentu pelbagai kemudahan kerajaan akan turut digunakannya. Lagi pula meletakkan anak dan ahli keluarga sendiri di di kementerian di mana bapanya menjadi menteri, turut juga mengundang persepsi yang tidak baik kepada rakyat dan kakitangan kementerian itu sendiri.
Rakyat akan melihat menteri mengamalkan nepotisme manakala kakitangan kementerian pula menjadi serba-salah dalam menjalankan tugasnya terutama jika ada permintaan yang melibatkan pemberian kontrak dan peluang perniagaan.
Dalam isu Nazri ini, beliau sebenarnya lebih banyak dikecam oleh pihak dalam UMNO sendiri berhubung tindakannya itu. Pelbagai peringkat dalam UMNO secara terbuka meluahkan rasa kurang senang dengan perkara itu. Blogger dan pengendali laman sosial pro UMNO juga tidak henti-henti mengkritik beliau sambil mengaitkan dengan beberapa kenyataannya yang berbaur angkuh dan sombong setiap kali isu mengenai anaknya itu menjadi kontroversi.
Sebelum ini isu mengenai anaknya yang dikaitkan dengan tauke balak, Michael Cina, Nazri juga bingkas mempertahankan anaknya itu dengan nada yang juga sombong dan angkuh. Kali ini, timbul lagi isu anaknya, sombong dan angkuhnya tetap sama juga.
Nazri dilihat seperti tidak memahami kedudukannya sebagai pemimpin dan menteri yang seharusnya sentiasa bersikap rendah diri, mesra rakyat dan menjauhi sama-sekali sifat sombomg dan angkuh, lebih-lebih lagi kemenangan BN dalam pilihanraya umum lalu tidaklah sebesar mana.
Najib sendiri berulangkali mengingatkan pemimpin UMNO dan kerajaan supaya sentiasa mengamalkan sikap-sikap terpuji dan menjauhi amalan yang tidak disukai oleh rakyat, berikutan kesedarannya bahawa kedudukan BN dalam pilihanraya ke 14 nanti jauh lebih getir jika pemimpinnya tidak berubah sikap.
Namun Nazri nampaknya, baik sebelum pilihanraya, apatah lagi selepas pilihanraya ini apabila dipindahkan ke kementerian yang penuh warna-warni, sikapnya semakin jauh daripada amalan pemimpin yang diharapkan oleh rakyat. Tidak hairanlah bukan saja parti lawan yang mengkritiknya, bahkan kritikan daripada dalam UMNO sendiri ternampak semakin melebar.
Dengan kenyataan Najib hari ini bahawa anggota keluarga tidak boleh berada di pejabat menteri, mesej Najib adalah jelas agar Nazri segera mengeluarkan anaknya daripada kementerian itu. Jika ingin dikekalkan juga jawatan pegawai khasnya, letakkanlah di kawasan Parlimennya di Padang Rengas dan bukan lagi di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.
Najib barangkali sudah menerima maklumbalas yang negatif daripada UMNO sendiri mengenai tindakan Nazri itu sehingga kenyataannya berubah berbanding semalam. Jika semalam, beliau macam bersetuju dengan tindakan Nazri itu, kenyataannya hari ini tentunya lebih mudah difahami oleh Nazri. Yang pastinya, tiada alasan lagi untuk Nazri terus berdalih mempertahankan anaknya itu. (SH 17/08/2013)
Friday, 16 August 2013
Kerajaan Perpaduan - Siapa Bohong?
Isu kerajaan perpaduan antara BN dengan PKR yang telah timbul sejak hampir seminggu lalu sehingga menyebabkan ada yang deman sejuk, demam panas, migrain dan sebagainya, akhirnya mendapat jawapan daripada Pejabat Perdana Menteri yang menafikan wujud sebarang usaha ke arah itu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pejabat Perdana Menteri menyatakan, usaha ke arah pembentukan kerajaan perpaduan ini tidak mungkin dilakukan ketika ini kerana Anwar dan Pakatan Rakyat masih menolak keputusan pilihanraya umum yang lalu.
Kenyataan itu juga menyebut, andaian bahawa wujudanya usaha ke arah mewujudkan kerajaan perpaduan itu hanyalah rekaan dan imaginasi penulis beberapa portal berita tertentu sahaja.
Sebelum ini, Najib dilaporkan sedang mengusahakan pembentukan kerajaan perpaduan dengan PKR dengan menawarkan kepada Anwar jawatan Timbalan Perdana Menteri dan lima jawatan menteri kabinet. Dilaporkan bahawa bekas Naib Presiden Indonesia, Jusof Kalla menjadi orang tengah kepada usaha itu.
Kemudiannya, Anwar mengesahkannya kepada Asia Sentinel bahawa beliau dihubungi oleh Najib melalui perantara untuk pembentukan kerajaan perpaduan itu tetapi telah menolaknya sebelum sempat ia menjadi kenyataan atas alasan isu-isu perkauman yang berterusan dimainkan oleh UMNO menjadi antara penghalangnya.
Terbaru The Edge Review pula mendetailkan lagi mengenai usaha pembentukan itu dengan menyebut nama Naib Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution sebagai orang kanan daripada UMNO dan PKR yang sedangkan merundingkan beberapa aspek teknikal bagi memungkinkan idea kerajaan perpaduan itu menjadi kenyataan.
Najib dikatakan memilih PKR untuk berbaik-baik dan menguatkan lagi kerajaannya bukan saja kerana PKR sebuah parti berbilang kaum yang boleh menampung kelompongan wakil Cina dan India dalam kerajaan tetapi juga dikatakan sebagai langkah membuka gelanggang baru untuk keluar dari pengaruh dan bayang-bayang Mahathir yang sehingga kini masih mahu menunjukkan pengaruhnya dalam UMNO dan kerajaan.
Bagaimanapun isu kerajaan perpaduan ini menimbulkan rasa kurang senang di kedua-dua belah pihak. Di dalam PKR sendiri ramai yang tidak setuju atas alasan penentangan terhadap UMNO selama ini ialah berkaitan isu pokok seperti rasuah, penyelewengan, pembaziran dan sebagainya yang tidak boleh dikompromi sama-sekali.
Dalam masa yang sama, Anwar juga mula dikecam secara diam-diam kerana bersetuju berunding dengan UMNO mengenai kerajaan perpaduan itu kerana ia dianggap mengkhianati Pas dan DAP yang selama ini begitu setia dengan Anwar sejak beliau dipecat daripada UMNO dN kerajaan.
Di dalam UMNO pula, ramai yang turut tidak setuju dengan kerajaan perpaduan ini kerana merasakan Anwar bukanlah musuh politik yang boleh ditukar menjadi kawan. Ramai yang kecewa dan sakit hati jika Anwar yang dimusuhi dan diserang selama bertahun-tahun ini tiba-tiba bertukar menjadi rakan kepada Najib serta sebahagian daripada anggota kerajaan.
Secara diam-diam, sudah ada kedengaran suara-suara yang mengecam dan memaki-hamun Najib jika benar beliau mahu berbaik-baik dengan Anwar. Malah, ada yang mencadangkan agar Najib ditentang bagi jawatan Presiden UMNO pada pemilihan 19 Oktober depan bagi menghalang usaha ke arah mewujudkan kerajaan perpaduan itu daripada menjadi kenyataan.
Walaupun Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan menafikan perkara itu hari ini, persoalan yang masih bermain-main di fikiran ramai orang ialah kenapa penafian ini begitu lewat dikeluarkan? Kenapa setelah hampir seminggu berita megenainya berlegar-legar di ruang atmosfera politik negara, baru ia mahu dinafikan oleh Najib?
Dalam dunia langit terbuka dan semuanya serba pantas sekarang serta mengetahui berita tidak perlu lagi menunggu terbitnya akhbar pada keesokan harinya, tindakan Pejabat Perdana Menteri yang terlalu lewat menafikan perkara ini tetap menyundang persoalan yang sukar dirungkaikan.
Sepatutnya jika benar usaha mewujudkan kerajaan perpaduan ini tidak benar dan laporan Asia Sentinel serta The Edge Review adalah palsu, tidak perlulah Pejabat Najib menunggu sehingga hampir seminggu untuk menjelaskan duduk perkara sebenarnya. Lagi pula, Najib juga mempunyai laman Facebook dan Twitter, yang kononnya antara paling aktif di kalangan pemimpin dunia, bukankah bila-bila masa beliau boleh menaip sendiri melalui telefon pintar yang dimilikinya?
Atau mungkinkah usaha mewujudkan kerajaan perpaduan ini sebenarnya memang wujud dan ia hanya terhalang kerana respon ahli dan pemimpin UMNO yang tidak begitu memberangsangkan terhadap idea itu?
Apakah Najib sebenarnya ingin meninjau-ninjau sambutan ahli dan pemimpin UMNO terlebih dahulu, jika sambutannya okey, ia bolehlah diteruskan tetapi jika tidak, barulah dikeluarkan penafian dan menolaknya.
Timbul juga persoalan bila penjelasan Najib menyebut rundingan ke arah kerajaan perpaduan tidak mungkin berlaku sehingga Anwar dan PR menerima keputusan pilihanraya lalu serta tidak lagi mempertikaikannya. Adakah ini bermakna, ia hanya tidak mungkin berlaku sekarang tetapi boleh berlaku selepas ini jika Anwar sudah akur dengan keputusan pilihanraya lalu?
Hakikatnya, penjelasan Najib turut menimbulkan beberapa persoalan dan keresahan yang berterusan.
Oleh kerana Anwar yang mula-mula membangkitkan mengenai kerajaan perpaduan ini dan Najib pula hanya menafikannya setelah hampir seminggu ia muncul, adalah penting untuk Anwar sekali lagi menjelaskan kedudukan sebenarnya. Beliau perlu menyatakan sama ada ia pernah dibincangkan atau tidak, secara langsung atau melalui wakil atau turut menafikan sebagaimana yang dilakukan oleh Pejabat Perdana Menteri itu.
Zahid Hamidi dan Saifuddin Nasuition yang disebut sebagai dua pemimpin kanan UMNO dan PKR yang sedang menjayakan usaha itu juga perlu tampil menjelaskannya kepada umum.
Hanya setelah semua itu diterangkan dengan seterang-terangnya, barulah kita tahu siapa yang berbohong dan siapa yang bercakap benar dalam isu ini. (SH 16/06/2013)
Thursday, 15 August 2013
Keberanian Nazri Aziz Melantik Anaknya Seharusnya Diberi Pujian
Meskipun BN hanya menang tipis 133 kerusi Parlimen dan cuma meraih 47 peratus undi popular dalam pilihanraya lalu, Nazri Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan serta sahabat karib Najib sejak zaman Pemuda UMNO lagi, telah melantik anaknya sendiri, Nedim sebagai pegawai khas di kementerian yang diterajuinya itu.
Tindakan beliau itu segera mengundang kritikan serta cemuhan banyak pihak pihak, termasuk dari dalam UMNO sendiri. Nazri dilihat tidak berselindung ingin menyuburkan amalan kronisme dan nepotisme dalam kementeriannya sedangkan amalan itu begitu ditentang di seluruh dunia, bahkan antara punca kejatuhan banyak kerajaan di negara Arab dan Afrika Utara adalah disebabkan alaman itu begitu berleluasa sehingga menimbulkan kebencian yang tak terbendung lagi di hati rakyat.
Di Malaysia pula, walaupun ada parti-parti politik yang membenarkan anak dan menantu turut berada dalam hireaki parti tertentu tetapi amat jarang membenarkan mereka memegang jawatan dalam kerajaan. Kalau ada pun yang berbuat demikian, ia pasti mengundang kecaman ramai dan akhirnya anak atau menantu itu dilepaskan kedudukannya dalam kerajaan.
Di dalam UMNO juga, walaupun ramai menteri yang mempunyai anak, adik-beradik, menantu atau sebagainya yang berkebolehan serta layak, mereka biasanya mengelak untuk melantiknya memegang apa-apa jawatan di kementerian yang diketuainya bagi mengelakkan kecaman ramai serta membebankan lagi kedudukan parti.
Baik di zaman UMNO kukuh dan rakyatnya masih tertutup dengan tembusan maklumat, apatah lagi era mendatang ini di mana UMNO mungkin menjadi batu atau sabut, melantik anak, menantu atau adik-beradik bukanlah pilihan yang terbaik. Ini kerana perbuatan itu akan menimbulkan pelbagai persepsi yang tidak baik, sama ada kepada menteri terbabit, kerajaan atau UMNO itu sendiri.
Selama ini, apa yang sering kita dengar hanyalah anak, menantu, adik atau isteri menteri-menteri yang menjadi proksi kepada syarikat perniagaan tertentu dan membolot banyak peluang perniagaan di sesebuah kementerian itu. Ramai di kalangan mereka ini yang hidup mewah dan bergaya ranggi ke sana-sini hanya dengan menumpah tuah seperti itu.
Bukan juga asing kedengaran bilamana di sesebuah kementerian itu, sebahagian besar kontrak perniagaan hanyalah dimonopoli oleh anak, menantu, adik-beradik, ipar-duai dan mereka yang ada kaitan dengan isteri-isteri menteri sahaja.
Perkara ini bukanlah menjadi rahsia lagi atau diperbualkan di kedai-kedai kopi dan lobi hotel saja, bahkan ada yang sampai di bangkitkan di dalam Parlimen. Tetapi oleh kerana perbuatan ini agar sukar dikesan buktinya secara kukuh atau hitam putih, selalunya ia berakhir begitu sahaja seiring dengan perjalanan masa.
Namun, dari semasa ke semasa, amalan kronisme dan nepotisme di kalangan menteri-menteri sebenarnya terus berlaku seolah-olah tiada titik penamatnya. Amalan ini masih kedengaran di di mana-mana, sama ada kedengaran daripada mulut ahli UMNO mahupun daripada kakitangan kerajaan.
Seharusnya apabila pilihanraya umum ke 13 lalu hanya meletakkan 23 kerusi Parlimen sebagai pemisah dengan pihak pembangkang, para pemimpin UMNO dan kerajaan mengambil iktibar serta merenung kembali punca-punca kemerosotan sokongan rakyat selama ini.
Lebih-lebih lagi laungan rebah jika tak berubah, sudah begitu kerap dilontarkan dan hampir semua pemimpin sudah bercakap mengenainya. Tetapi jika dilihat dari segi perbuatan atau tindakan menteri-menteri ini, mereka sebenarnya tidak pernah mahu berubah.
Hari ini, bukan saja amalan memberi kontrak dan konsesi perniagaan kepada anak, menantu, adik-beradik dan ipar-duai terus berleluasa, bahkan keberanian Nazri melantiknya anaknya sendiri sebagai pegawai khas di kementerian yang diterajuinya menyerlahkan lagi hakikat tidak mahu berubah itu.
Tambahan lagi, anaknya ini juga sebelum ini dikaitkan dengan pelbagai kontroversi, termasuk hubungannya dengan seorang usahawan balak, Michael Chia serta kehidupan mewahnya yang penuh warna-warni.
Kini dengan dilantik pula sebagai pegawai khas di kementerian bapanya, walaupun menurut Nazri tidak melibatkan pembayaran gaji oleh kerajaan, ia tentunya mengundang lebih banyak kritikan serta cemuhan ramai. Nazri pasti akan dikaitkan dengan amalan nepotisme sedangkan ramai anak-anak muda serta lepasan ijazah masih terbelenggu dengan isu pengangguran serta ketiadaan peluang pekerjaan.
Bagaimanapun, di sudut yang lain, tindakan Nazri ini seharusnya juga dipuji dan patut diberi kalungan tahniah kerana beliau nampaknya tidak menyembunyikan hakikat dirinya sebagai pengamal kronisme dan nepotisme dalam kerajaan yang sedang dipimpin oleh Najib.
Mungkin juga lebih baik jika selepas ini lebih ramai lagi menteri turut melantik anak, menantu, adik-beradik atau sesiapa saja yang rapat dengannya untuk membolot semua jawatan penting di kementerian yang mereka terajui. Pastikan juga selepas ini semua kontrak-kontrak perniagaan hanya berlegar di kalangan kroni-kroni sahaja.
Dalam tempoh tidak sampai lima tahun sebelum pilihanraya akan datang, buatlah sesuka hati di kementerian masing-masing dan janganlah sekadar mengambil kesempatan tetapi ambillah juga apa-apa yang sempat.
Inilah yang sebaik-baiknya dilakukan oleh menteri dan para pemimpin UMNO supaya akhirnya rakyat tidak perlu lagi berfikir dua kali untuk menolak mereka dalam pilihanraya nanti. (SH 15/08/2013)
Wednesday, 14 August 2013
Pemilihan UMNO, Peluang Membersihkan Parti Daripada Pemimpin2 'Cap Ayam'
Pemilihan UMNO yang akan diadakan secara serentak pada 19 Oktober depan untuk memilih pemimpin di peringkat bahagian dan pusat bukan saja penting untuk kelangsungannya menghadapi pilihanraya akan datang, bahkan juga merupakan ujian kepada ahli-ahli peringkat akar umbi yang pertama kali diberi peluang memilih pemimpin serta mencorakkan parti itu.
Jika dulu hanya kir-kira 2,500 perwakilan terpilih yang akan menentukan pemimpin di peringkat atasan tetapi kini peluang itu sudah diperluaskan kepada kira-kira 150,000 perwakilan daripada lebih 20,000 cawangan UMNO di seluruh negara.
Makanya, peluang ini perlu digunakan dengan sebaik-baiknya dan mereka yang berjumlah lebih 150,000 ini seharusnya tidak lagi mengikut acuan yang pernah digunakan oleh 2,500 perwakilan sebelum ini yang begitu mudah diatur serta ditentukan telunjuknya.
Jika sebelum pindaan perlembagaan dan peraturan baru dalam memilih pemimpin ini diperkenalkan, pemimpin atasan terlihat begitu mudah mencorakkan hala tuju pemikiran perwakilan untuk memilih pemimpin yang perlu dinaikkan atau dijatuhkan melalui kuasa wang, projek dan sebagainya, seharusnya dengan pengenalan kaedah baru ini, perwakilan akar umbi mempunyai kebebasan sendiri menentukan pemimpin mana yang mereka kehendaki atau sebaliknya.
Sebenarnya itulah semangat yang ingin diwujudkan apabila peraturan baru ini diperkenalkan iaitu dengan menghapuskan kouta pencalonan, memberi peluang kepada lebih ramai perwakilan menentukan pemimpin dan menjadikan mereka tidak mudah dibeli oleh sesiapa.
Walaupun terdapat pemimpin di peringkat pusat yang bersetuju dengan Najib mengenai pengenalan peraturan baru ini seakan-akan sudah terlupa atau sengaja lupa mengenai hasrat dan semangat itu kerana kini berebut-rebut pula mengeluarkan kenyataan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, ahli dan perwakilan akar umbi tidak sepatutnya takut untuk terus kekal berpegang kepada semangat itu.
Kali inilah ahli dan pemimpin akar umbi perlu menunjukkan bahawa bukan mereka yang memerlukan pemimpin atasan tetapi pemimpin atasanlah yang lebih memerlukan mereka.
Lagi pula, semangat demokrasi yang sentiasa subur dan proses memilih pemimpin yang sentiasa terbukalah sebenarnya yang menjadi ramuan mana-mana parti politik dapat bertahan lebih lama dan serta sentiasa mendapat sokongan berterusan daripada rakyat.
Walaupun Mahathir berjaya mengelakkan pertandingan sejak 1988 dengan memperkenalkan sistem kouta dan pelbagai kekangan lainnya, tetapi nasib buruk yang berlaku kepada UMNO hari ini seperti kurangnya sokongan daripada golongan muda, profesional dan terpelajar adalah sebahagiannya berpunca daripada peraturan yang tidak demokratik yang beliau perkenalkan itu.
Ia menjadikan ramai yang tidak berminat kepada UMNO dan memilih parti-parti lain untuk meneruskan perjuangan mereka sedangkan jika UMNO sentiasa terbuka sejak dulu dan kerakusan Mahathir pula dapat dikawal, kekuatan pembangkang tidaklah sehebat seperti sekarang ini.
Kini dengan peraturan baru dalam memilih pemimpin sudah diperkenalkan, bukan saja kebebasan sepenuhnya perlu diberikan kepada pemimpin cawangan dan akar umbi menentukan pilihan mereka, bahkan pemimpin atasan juga seharusnya berhenti daripada cuba berlagak pandai dengan mengemukakan cadangan-cadangan tertentu untuk diikuti oleh pemimpin di peringkat akar umbi.
Berilah peluang dan kebebasan kepada kira-kira 150,000 perwakilan ini membuat pilihan, sesuai dengan semangat pindaan perlembagaan dan peraturan baru ini diperkenalkan.
Proses pemilihan kali ini yang pertama kali mengguna-pakai sistem baru seharusnya juga dimanfaatkan untuk memilih pemimpin yang benar-benar layak, berwibawa, sesuai serta boleh membawa UMNO menghadapi cabaran yang lebih getir dalam pilihanraya ke 14 nanti.
Dengan cengkaman UMNO dan BN semakin menipis dihati rakyat, terutama di kawasan bandar manakala bandar-bandar baru pula semakin pesat diwujudkan, cabaran dalam plihanraya umum lima tahun lagi tidaklah semudah yang dijangka.
Apatah lagi, sekarang ini begitu banyak pertikaian rakyat terhadap pemimpin-pemimpin tertentu yang dipilih menganggotai kerajaan kerana mereka dilihat tidak begitu serius menjaga kepentingan rakyat sebagaimana yang seharusnya. Kenyataan atau komen yang diberikan seringkali tidak matang, separuh masak dan melukakan hati rakyat.
Manalah rakyat tidak tersinggung dan kecil hati, apabila harga ayam mendadak naik di bulan puasa dan menjelang sambutan Hari Raya lalu, menteri yang bertanggungjawab mengenai perkara itu mencadangkan supaya jangan makan ayam, sebaliknya beralih kepada makan ikan atau daging pula sedangkan harga ikan dan daging jauh lebih mahal lagi.
Nampak sangat menteri berkenaan tidak tahu apa-apa tentang harga barangan pengguna.
Seorang lagi menteri yang bertanggungjawab terhadap ayam pula meminta agar membeli ayam di pasar tani kerana kononnya harganya lebih murah sedangkan ada pasar tani yang menjual dengan harga lebih mahal lagi. Lagi pula, bukan semua tempat ada pasar tani.
Apabila harga sayur naik pula, ada pula menteri yang mencadangkan rakyat supaya menanam sayur sedangkan kerja menteri sepatutnya mengawal dan menentukan harganya pada kadar yang tidak terlalu membebankan rakyat, bukanlah menyuruh rakyat menanam sayur sebagai jalan penyelesaiannya. Lagi pula, jika tinggal di bandar yang kekurangan tanah atau tinggal di flat dan semua sibuk dengan urusan kerja, kerja menamam sayur mustahil sama-sekali untuk dilakukan.
Begitu juga, apabila ada rakyat mempertikaikan undang-undang dan peraturan negara ini, terdapat menteri yang begitu bongkak menyarankan agar berpindah ke negara lain atau tinggal di dalam hutan.
Apabila jenayah meningkat dan kejadian tembak-menembak berleluasa, menteri yang berkaitan juga tidak menunjukkan keseriusan untuk menangani kejadian itu, sebaliknya lebih sibuk mahu mengembalikan undang-undang lama seperti Akta Hasutan dan Ordinan Darurat sedangkan ketika Najib mencadangkan pemansuhannya dulu, tidak pula kedengaran suara menteri berkenaan mempertahankan undang-undang itu.
Kalau diperhatikan, begitu ramai sebenarnya pemimpin UMNO dan kerajaan yang bercakap dan bertindak ikut suka hati dan seolah-olah tidak lagi mempunyai sentuhan dengan kepentingan rakyat. Mereka ini tidak ubah seperti pemimpin "cap ayam" saja layaknya.
Terbaru pada hari ini, terdapat pula seorang menteri telah melantik anaknya yang sebelum ini penuh dengan kontroversi sebagai pegawai khas di kementeriannya sendiri. Keadaan ini tentunya menambahkan lagi rasa jengkel rakyat terhadap UMNO dan kerajaan dan seolah-olah kerajaan pimpinan Najib membenarkan amalan nepotisme secara terang-terangan.
Dalam masa yang sama, situasi ini juga menambahkan lagi label "cap ayam" dalam kabinet Najib.
Jika UMNO ingin terus berada dihati rakyat, adalah menjadi tanggungjawab perwakilan UMNO yang berjumlah seramai lebih 150,000 orang kali ini untuk menyingkirkan pemimpin-pemimpin "cap ayam" ini dan menggantikannya dengan mereka yang jauh lebih berwibawa, ikhlas, amanah serta berjiwa rakyat. (SH 14/08/2013)
Tuesday, 13 August 2013
Kenapa Anwar Lebih Didambakan Najib, Bukannya Pas, Untuk Membentuk Kerajaan Perpaduan?
Isu kerajaan perpaduan antara BN dan PKR muncul lagi. Kali ini ia disahkan sendiri oleh Anwar melalui wawancara dengan laman web, Asia Sentinel di mana Ketua Pembangkang itu mengakui bahawa usaha itu dimulakan oleh Najib sendiri.
Namun demikian, Anwar memberitahu beliau menolak usaha itu melalui perantara sebelum ia sempat menjadi kenyataan.
Sebelum ini, isu kerajaan perpaduan antara BN dan PKR juga muncul ketika kedua-dua pemimpin, Najib dan Anwar secara serentak berkunjung ke Indonesia di mana keduanya dilaporkan mengadakan pertemuan di sana yang diinisiatifkan oleh Naib Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.
Bagaimanapun kedua-dua mereka kemudiannya menafikan ada mengadakan pertemuan itu.
Usaha pembentukan kerajaan perpaduan ini juga dikatakan turut melibatkan bekas Naib Presiden Indonesia, Jusof Kalla melalui beberapa kunjungannya ke Kuala Lumpur untuk bertemu Najib dan Anwar. Kunjungan terbaru Jusof ke negara ini dilaporkan pada minggu lalu.
Sebelum ini Jusof Kalla pernah menjadi orang tengah untuk menandatangai persefahaman untuk penyerahan kuasa secara aman sebaik keputusan pilihanraya lalu dan menerima apa saja keputusan rakyat. Bagaimanapun, persefahaman itu tidak ditandatangaini oleh Najib manakala Anwar pula kemudiannya enggan menerima sepenuhnya keputusan pilihanraya atas dakwaan pilihanraya itu tidak adil dan tidak bebas.
Isu yang menjadi perbualan ramai sekarang ialah sejauh mana pembentukan kerajaan perpaduan ini bakal menjadi kenyataan? Najib dikatakan memulakan usaha itu tetapi setakat mana Anwar menolaknya? Apakah Anwar hanya menolaknya kali ini atau menolak selama-lamanya?
Sebelum ini dilaporkan juga pembentukan kerajaan perpaduan ini turut melibatkan tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Anwar serta lima jawatan menteri kabinet kepada PKR.
Soalnya, jika tawaran dibuat lagi selepas ini, apakah Anwar akan terus menolaknya?
Kenapa pula Najib mahu membentuk kerajaan perpaduan dengan PKR dan bukannya dengan PAS? Mengapa Anwar lebih didambakan oleh Najib berbanding Haji Hadi Awang?
Sekarang ini BN mempunyai 133 kerusi Parlimen. Jika ia bergabung dengan PKR yang mempunyai 30 kerusi Parlimen, kedudukan kerajaan perpaduan yang baru itu akan menjadi 163 kerusi, melebihi had majoriti dua pertiga. Kedudukan pembangkang pula akan menurun daripada 89 kerusi kepada 59 kerusi Parlimen.
Tetapi sekiranya BN bergabung dengan PAS yang mempunyai 21 kerusi pula, kerajaan perpaduan BN dengan Pas akan menjadi
154 kerusi. Kedudukan ini juga mencapai tahap dua pertiga kerana had minima untuk membentuk dua pertiga hanyalah 148 kerusi sahaja.
Sekiranya Najib ingin menguatkan kedudukan Melayu dan Islam, beliau seharusnya memilih PAS tetapi sehingga ini tidak terdengar ada tawaran pernah dibuat kepada parti Islam itu. Najib nampaknya lebih meminati PKR berbanding PAS.
Menjelang kira-kira 100 hari selepas berakhirnya pilihanraya umum, kita sudah didedahkan dengan dua kali munculnya spekulasi mengenai hasrat Najib mahu membentuk kerajaan perpaduan antara BN dengan PKR. Dengan Anwar sendiri mengakui usaha itu dibuat oleh Najib, ia ternyata sukar disangkal kebenarannya. Najib pula masih berdiam diri sehingga kini. Lebih-lebih lagi kebelakangan ini, Najib dilihat tidak pernah menyentuh mengenai Anwar dan PKR dalam ucapan-ucapannya. Serangannya terhadap Anwar juga tidak kedengaran lagi.
Hanya media-media pro UMNO saja yang terus-menerus memainkan isu mengenai Anwar. Tetapi tentulah tidak semua perkara yang mahu dilakukan oleh Najib perlu diberitahunya kepada sesiapa terlebih dahulu. Barangkali ini merupakan usaha yang betul-betul rahsia yang mahu dilakukan oleh Perdana Menteri.
Anwar dan PKR menjadi pilihan Najib untuk membentuk kerajaan perpaduan mungkin disebabkan beberapa faktor. Pertama, mungkin disebabkan sebahagian ahli PKR adalah bekas ahli UMNO walaupun parti itu berbilang laum sifatnya. Membentuk kerajaan perpaduan bererti membawa mereka kembali ke pangkuan BN dan kerajaan.
Keduanya, dengan kedudukan PRK yang berbilang kaum dan sebahagian Ahli Parlimennya juga daripada kam Cina dan India, Najib mengharapkan kelompongan yang ditinggalkan akibat banyak kerusi MCA, Gerakan dan MIC yang tewas dalam pilihanraya lalu, dapat ditampungnya. Keseimbangan kaum dalam kerajaan dapat diwujudkan kembali.
Secara langsung kestabilan dalam kerajaan kembali kukuh dan ia juga selaras dengan jiwa 1Malaysia Najib sendiri. Ini merupakan antara sebab PKR lebih menjadi pilihan berbanding PAS.
Ketiganya, PKR menjadi pilihan jelas menggambarkan kebimbangan Najib tentang masa depan BN dalam pilihanraya ke 14 nanti. Walaupun dalam pilihanraya lalu, BN menang 133 kerusi dengan UMNO menang 88 kerusi daripadanya, ia belum merupakan jaminan yang kuat BN mampu terus bertahan dalam pilihanraya umum lima tahun lagi.
Dengan kadar celik internet yang makin bertambah seiring dengan pembangunan bandar-bandar baru, penguasaan UMNO di kawasan luar bandar dijangka semakin menurun manakala golongan yang kritikal terhadap kerajaan turut meningkat. Dijangkakan juga menjelang lima tahun akan datang terdapat kira-kira 5 juta pengundi baru di mana majoritinya diramalkan memang tidak memihak kepada BN.
Cabaran-cabaran inilah yang menjadikan Najib melihat berbaik-baik dengan PKR adalah jalan penyelesaian terbaik untuk mengekalkan kesinambungan kuasa BN dan dirinya di negara ini. Dengan bergabung dengan PKR yang mana selama ini Anwar menjadi tunjang kekuatan parti itu, kekuatan pembangkang juga dapat dikekang kerana jika hanya tinggal PAS dengan DAP saja yang menjadi cabaran BN, ia jauh lebih mudah untuk diuruskan.
Salah satu kejayaan Anwar dalam memimpin Pakatan Rakyat ialah kejayaannya menyatupadukan PAS, DAP dan PKR dalam ikatan yang lebih kukuh dan boleh bertanding satu lawan satu dengan BN. Sekiranya PKR berjaya ditanggalkan daripada gabungan itu, PAS dan DAP bukan saja kurang kekuatannya, bahkan mungkin di sesetengah kerusi akan berlaku persaingan sesama sendiri antara PAS dan DAP sebagai calon pilihanraya sebagaimana yang kerap berlaku sebelum ini.
Keempatnya, dengan membentuk kerajaan perpaduan bersama PKR, kedudukan Najib pastinya juga bertambah kukuh. Walaupun sebelum ini ketika Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri, Najib merupakan salah seorang penyokong kuat Anwar, kini sekiranya Anwar pula yang menjadi pendokong Najib, sudah tentulah Najib bertambah kukuh lagi. Pengaruh-pengaruh lain dalam UMNO yang mahu menggugat kedudukannya seperti elemen Muhyiddin dan Mahathir akan dapat dineutralkan dengan adanya Anwar bersama-samanya dalam kerajaan.
Walaupun sehingga ini pembentukan kerajaan perpaduan ini terlihat mustahil dan Anwar sendiri bertegas menolaknya, manakala sebahagian ahli serta pemimpin PKR juga menolaknya atas alasan penentangan terhadap UMNO dan BN selama ini adalah berkaitan isu dasar seperti rasuah, penyelewengan, pembaziran, ketelusan dan sebagainya, tetapi seiring dengan perjalanan masa adalah tidak mustahil tawaran Najib kepada PKR akan muncul kembali.
Sekali pelawaan ditolak, dua kali juga ditolak tetapi jika pinangan terus-menerus datang dengan tawaran yang semakin menarik, mungkin daripada lima jawatan kabinet bertambah kepada tujuh misalnya disamping jawatan-jawatan lain dalam GLC misalnya, adalah tidak mustahil pembentukan kerajaan perpaduan ini akan menjadi kenyataan juga akhirnya.
Lebih-lebih lagi, di samping Najib mempunyai masalahnya sendiri seperti gugatan Muhyiddin dan gangguan Mahathir dalam pentadbirannya, manakala Anwar juga ada masalah juga serta keinginan yang terpendam, tidaklah mustahil jika titik persamaan itu bertemu, akhirnya akan terbentuk pakatan yang menyaksikan kedua-duanya bersatu atas kepentingan "menang-menang". (SH 13/08/2013)
Subscribe to:
Posts (Atom)