Monday, 31 October 2016

ADUN2 BN SELANGOR HANYA TAHU MASUK BAKUL ANGKAT SENDIRI!!


Untuk menunjuk kononnya mereka sebagai pemimpin yang baik dan menghormati Dewan Negeri Selangor, semua 12 Adun BN mempamerkan plakad bertulis "Tak Keluar! Kami Hormat Dewan dan Mandat Rakyat" selepas Menteri Besar, Azmin Ali selesai membentangkan Bajet Selangor 2017.

Sesiapa pun yang membaca berita tersebut pasti terasa pelik dan kemudian ketawa berdekah-dekah dengan gelagat Adun-Adun BN berkenaan.

Apa sebenarnya yang mereka mahu tunjukkan?

Mempamerkan plakad bagi pemimpin politik ialah tanda sama ada untuk menyokong atau membantah. Jika bersama kerajaan, ia mesti berbentuk sokongan, manakala sebagai pembangkang, ia hendaklah suatu bentuk bantahan.
Sebagai Adun pembangkang di Selangor, Adun-Adun BN itu sepatutnya membantah apa yang dilakukan oleh Azmin Ali atau kerajaan negeri, jika terdapat sebarang kesalahan yang dapat dikesan.

Tetapi dengan mempamerkan plakad bertulis "Tak Keluar! Kami Hormat Dewan dan Mandat Rakyat" itu, siapa yang mereka bantah dan siapa yang mereka sokong?

Perbuatan itu sebaliknya hanya menunjukkan mereka  menyokong tindakan sendiri yang tidak berganjak ketika Azmin membentangkan bajet yang dianggap sebagai menghormati Dewan dan mandat rakyat. Ia tidak ubah seperti  badut yang masuk bakul angkat sendiri atau syok sesama sendiri.

Adakah Adun-Adun ini faham peranan dan kedudukan mereka?

Tidakkah dengan mereka duduk diam dalam Dewan dan kemudian mengambil bahagian ketika perbahasan, sudah cukup untuk menunjukkan mereka menghormati Dewan dan mandat rakyat?

Kenapa sampai perlu tergedik-gedik masuk bakul angkat sendiri? Bertambahkah sokongan pengundi dengan kelakuan sedemkian atau ia hanya menambahkan ketawa rakyat semata-mata?

Jika pun mereka menaikkan plakad itu bertujuan untuk menyindir Ahli-Ahli Parlimen  pembangkang yang keluar Dewan Rakyat ketika Najib Razak membentangkan Bajet 2017 baru-baru ini, ia juga  sama sekali tidak kena keadaannya.

Ini kerana Azmin tidak ada isu seperti Najib dan ucapannya juga tidak berbentuk provokasi kepada sesiapa. Maka, tiada keperluan mempamerkan plakad seperti itu.

Malah dengan mempamerkan plakad tersebut, selain menunjukkan "kebodohan"  sendiri, mereka secara tidak langsung menyerlahkan ketidakupayaan untuk menjadi pembangkang yang berwibawa di Selangor, jauh sekali untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan dalam PRU 14 akan datang. (SH 31/10/2016).

IMDB TERNYATA LEBIH KEBAL BERBANDING IMUNITI AHLI2 PARLIMEN


Petang ini bekas Menteri Kewangan Kedua, Husni Hanadzlah diarahkan ke Bukit Aman untuk disiasat berhubung ucapan perbahasannya di Parlimen yang didakwa melanggar sumpah rahsia ketika menjadi anggota kabinet dahulu.

Selepas beliau, sudah tentu giliran Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal pula diambil keterangan atas kesalahan yang sama. Ketiga-tiga mereka akan disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi atau OSA kerana mendedahkan perkara-perkara berkaitan 1MDB yang didakwa pernah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet.

Muhyiddin dan Shafie, sebelumnya turut dipecat daripada kabinet dan UMNO kerana lantang mengkritik dan mempertikaikan  perjalanan serta hutang syarikat pelaburan kerajaan yang ditubuhkan oleh Najib Razak itu.

Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang pula dipenjarakan dibawah Sosma selepas membuat laporan ke beberapa negara, juga mengenai 1MDB setelah laporan-laporan yang mereka buat di negara sendiri tidak menghasilkan apa-apa tindakan.

Sebelum itu, beberapa perkara turut berlaku seperti pemecatan Gani Patail sebagai Peguam Negara, pertukaran dan kacau-ganggu terhadap pegawai-pegawai SPRM dan Bank Negara serta beberapa insiden lain yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Semuanya hanya kerana 1MDB dan mahu menyucikan syarikat pelaburan tersebut.

Dilihat daripada apa yang berlaku kepada tiga bekas menteri yang disiasat di bawah OSA,  tidak dinafikan bahawa 1MDB akan terus  merupakan sebuah "entiti yang hebat dan tidak boleh ditegur". 

Sesiapa saja yang menegur dan mengkritiknya, bersedialah menghadapi bahayanya, manakala yang sanggup mempertahan dan membelanya, melimpahlah pula ganjaran dan anugerah yang akan diterima.

1MDB bukan saja terlihat tidak lut daripada segala undang-undang yang ada, malah ia lebih kebal berbanding imuniti Ahli-Ahli Parlimen ketika berucap di Dewan Rakyat. 

Sebelum ini, kita biasa mendengar apabila Ahli Parlimen menyentuh sesuatu yang sensitif ketika berucap di Parlimen, mereka selalunya akan dicabar supaya mengulanginya di luar Dewan Rakyat agar tindakan undang-undang dapat diambil.

Tetapi kali ini, tanpa sesiapa mencabar ketiga-tiga bekas menteri itu mengulanginya di luar Parlimen, sebaliknya hanya berdasarkan apa yang dibangkitkan oleh Speaker Dewan Rakyat dan kemudian disusuli dengan laporan polis oleh dua NGO pendedak, mereka terus disiasat dan diambil keterangan. 

Ia secara langsung dan tidak langsung menunjukkan 1MDB lebih gagah dan perkasa berbanding imuniti Ahli-Ahli Parlimen.

Dalam hal ini, seorang peguam berpengalaman dan bekas menteri, Zaid Ibrahim menyatakan, menyentuh sesuatu perkara  secara umum tidaklah boleh ditafsirkan sebagai mendedahkan rahsia kerajaan atau melanggar sumpah kerahsiaan, kecuali mendedahkan butiran minit mesyuarat kabinet secara khusus.

Jika diteliti ucapan perbahasan Muhyiddin, Shafie mahupun Husni, di mana dalam ucapan mereka terdapat hal-hal berkaitan minit mesyuarat kabinet yang didedahkan?

Jika seseorang bekas menteri yang bercakap secara umum mahu ditafsirkan sebagai melanggar sumpah rahsia, di zaman Tun Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri iaitu selepas pemilihan 1987 di mana ramai antaranya memilih untuk berbalah dan menyerangnya, termasuk menyentuh berkaitan berbagai syarikat kerajaan, mereka ketika itu tentunya lebih dianggap melanggar sumpah kerahsiaan.

Namun, pernah kita mendengar sesuatu tindakan diambil oleh Tun Mahathir kepada bekas-bekas menteri yang menentangnya?

Di sebalik ramai yang telah dan sedang diambil tindakan kerana menyentuh perkara berkaitan 1MDB, Jho Low yang sekarang entah di dunia mana sedang berhiburnya, tetap merupakan orang yang paling bertuah sekali di era Najib ini.

Beliau pasti akan tersenyum dan ketawa  menyaksikan satu demi satu insiden yang berlaku ini, meskipun segala-galanya berpunca daripada caturan yang dilakukannya. (SH 31/10/2016).

Sunday, 30 October 2016

PAS BAKAL KECEWA LAGI...


Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Parlimen, Azalina Othman Said dilaporkan berkata, Dewan Rakyat sessi ini mungkin tidak cukup masa untuk pembentangan kali kedua usul persendirian Akta 355 oleh Presiden Pas, Hadi Awang.

Dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar Cina, beliau memberitahu, Dewan Rakyat hanya mempunyai baki dua hari selepas perbahasan mengenai Bajet 2017 dijangka selesai, tetapi urusan berkaitan kerajaan perlu diutamakan terlebih dahulu.
Mengikut kalender, terdapat 2 atau 3 usul berkaitan kerajaan sedang menanti untuk diluluskan selepas perbahasan bajet itu. Saya tak tahu sama ada kita masa atau tidak kecuali jika semua sanggup bermalam di Parlimen, kata Azalina lagi.

Beliau juga menyebut antara yang menanti dalam agenda selepas selesai perbahasan Bajet 2017 ialah usul menggantung Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng selama enam bulan.

Dengan kenyataan Azalina ini, hampir pasti Pas akan kecewa lagi. Walaupun Azalina menggunakan perkataan "mungkin", ia sebenarnya sudah boleh dianggap mutlak bahawa memang tidak ada masa sama sekali untuk usul tersebut. Sebagai penjaga hal ehwal Parlimen, bicara Azalina adalah kata-kata Najib Razak.

Selepas Hadi Awang diberi ruang oleh kerajaan untuk membentangkan usul itu bagi bacaan kali pertama pada Jun lalu, malangnya sehingga kini ia seperti mahu dibiarkan tergantung begitu saja.

Pas pula sudah bergebang dan berjaja ke sana ini mengenai usul Akta 355 itu bagi sidang Parlimen kali ini. Mereka benar-benar yakin usul itu akan diberi masa untuk dibentangkan, malah pada 15 Oktober lalu, dua hari sebelum Parlimen bersidang, Pas turut mengadakan Himpunan Munajat dan Pidato Perdana di Melaka.

Dipetik dari laman Twitter Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan, beliau menggambarkan program tersebut sebagai "Himpunan Munajat dan Pidato Perdana Sokong Pinda Akta 355."

Jika pada hari pertama persidangan Parlimen, usul itu diletakkan dalam agenda keempat, di hari kedua menurun kepada agenda ketujuh, kemudian senyap begitu saja sehinggalah Bajet 2017 dibentangkan, jelas sekarang bahawa selepas perbahasan bajet selesai pun, masih lagi tidak terbuka ruang untuknya.

Speaker Parlimen, Pandikar Amin Haji Mulia sebelum ini ada menyebut, sama ada sesuatu usul persendirian itu dapat dibentangkan atau sebaliknya, adalah terserah kepada kerajaan memutuskannya.
Dalam maksud yang mudah, jika kerajaan mahu, maka terbukalah ruang seluas-luasnya untuk usul Hadi Awang itu. Sebaliknya, kalau kerajaan mahu berdolak-dalik, macam-macam alasan boleh dicipta untuk menidakkannya.

Soalnya, berapa lama Pas sanggup menunggu lagi untuk usul Hadi Awang itu?

Masihkah Pas tidak mahu percaya bahawa selagi MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti di Sabah serta Sarawak membuat bantahan, Najib yang mengetuai UMNO dan kerajaan tidak mungkin berani memberi ruang kepada usul tersebut?

Mungkinkah usul meminda Akta 355 ini bukan saja menjadi usul yang tersangkut untuk bacaan kali pertama saja, bahkan akan terus tergantung untuk selama-lamanya?

Dengan yang demikian, jika Pas masih sayang untuk meminggirkan Najib dan UMNO dalam percaturan politik semasa, walaupun disedari sedang terlibat dalam skandal kewangan terbesar di dunia,  apakah selepas ini parti itu perlu mengadakan lebih banyak program munajat dan solat hajat agar dibukakan pintu hati Najib terhadap usul Akta 355 itu? (SH 30/10/2016).

KENAPA PERLU TERLONCAT GEMBIRA, KHAIRUDDIN BUKANNYA MASUK UMNO PUN?


Apabila Khairuddin Abu Hassan, bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan yang dikenali mempunyai hubungan rapat dengan Tun Mahathir Mohamad mengambil keputusan keluar dari PPBM atas alasan untuk memberi tumpuan kepada beberapa kes mahkamah yang sedang dihadapinya, ada pemimpin UMNO yang tiba-tiba terloncat kegembiraan.

Mereka terus membuat kesimpulan bahawa PPBM tiada masa depan, sedang berpecah dan sebagai tanda hilang keyakinan terhadap parti itu.

Tidakkah UMNO sedar mereka sudah kehilangan bekas Presiden, bekas Timbalan Presiden, bekas Naib Presiden, bekas Pengerusi Perhubungan Kedah serta ratusan ribu ahlinya sejak PPBM ditubuhkan?

Lagi pun, Khairuddin hanya keluar PPBM untuk menumpukan kes-kes mahkamahnya tanpa mahu dikaitkan dengan parti itu dan tidak sama sekali beralih arah untuk menyertai UMNO.

Malah, Khairuddin tetap kekal dengan perjuangan untuk menyingkirkan Najib Razak yang dianggapnya sebagai Perdana Menteri paling korup yang  sedang memimpin sebuah kerajaan yang kleptokrasi di negara ini.

Selain itu, beliau juga berikrar untuk terus menyumbang ke arah mengukuhkan PPBM untuk menambah keahlian serta sebagai wadah perjuangan untuk menggantikan UMNO dan BN.

Jadi, di mana untungnya UMNO dengan keluarnya Khairuddin daripada PPBM itu? Di mana tanda-tanda PPBM sedang berpecah?

Untuk seterusnya, bacalah kenyataan penuh Khairuddin mengenai tindakannya itu seperti di bawah ini:- (SH 30/10/2016)


PARTI BERSATU TETAP KUAT TANPA SAYA!! TIADA SIAPA BOLEH PISAHKAN SAYA DENGAN YABHG TUN DR MAHATHIR MOHAMAD KECUALI ALLAH SWT!!

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tetap kuat dan utuh tanpa saya!! Saya hanya ahli biasa yang amat kerdil!!  Walaupun saya meninggalkan Bersatu untuk tumpu agenda jatuhkan Najib Tun Razak melalui saluran undang-undang; parti Bersatu tetap popular!!

Generasi muda dan rakyat atas pagar tetap memilih parti Bersatu sebagai platform baru perjuangan lawan perdana menteri paling korup serta kerajaan kleptokrasi!!

Pemimpin-pemimpin kaki bodek minda lemah otak udang UMNO jangan cuba alih perhatian dan laksanakan propaganda kononnya penarikan diri saya menunjukkan Bersatu bakal hancur!!

Siapalah saya ini yang nak boleh mengakibatkan parti Bersatu gagal?! Saya keluar dari parti Bersatu tidak meninggalkan sebarang kesan atau impak langsung!! Ini adalah kerana saya bukan tokoh pemimpin parti Bersatu!! Saya hanya ahli biasa!!

Dalam apa kapasiti dan di mana saya berada setakat ini; secara jujur dan ikhlas saya merayu serta memohon kepada keseluruhan rakyat jelata untuk sokong parti Bersatu!!

Insya-Allah parti Bersatu bakal bawa satu dimensi perubahan politik secara total di tanahair kita kearah untuk Selamatkan Malaysia!!

Saya akan tetap berkempen untuk menambah keahlian parti Bersatu!! Saya juga akan tetap membantu parti Bersatu dari luar demi wadah perjuangan untuk tumbangkan lanun bugis @ Najib Tun Razak, UMNO dan Barisan Nasional!! Saya tidak akan tinggal parti Bersatu secara total pada hakikatnya!!

YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad adalah segala-galanya bagi saya!! Tiada siapa yang boleh pisahkan saya dengan YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad kecuali Allah swt!!

Selagi hayat dikandung badan; maka selagi itulah saya akan memperhambakan diri untuk YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad!!

Berita saya keluar dari parti Bersatu menjadi viral oleh puak-puak bangang UMNO kerana mereka amat takut dengan kebangkitan Bersatu!!

Insya-Allah dari luar saya akan tetap main peranan untuk mengukuhkan parti Bersatu agar ia akan menjadi sebuah parti yang paling dihormati dalam lanskap politik tanahair kita!!

DATO SRI KHAIRUDDIN ABU HASSAN
29 Oct 2016.

Saturday, 29 October 2016

DEDAH RAHSIA KERAJAAN, MUNGKINKAH TIGA BEKAS MENTERI HILANG KELAYAKAN BERTANDING PRU 14 NANTI?


Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar mengesahkan bahawa pihak polis akan mengambil keterangan dalam sehari dua ini daripada tiga bekas anggota kabinet yang didakwa mendedahkan rahsia kerajaan dalam ucapan di Parlimen, baru-baru ini.

Tiga anggota kabinet tersebut ialah Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal dan Husni Hanadzlah.

Katanya, siasatan terhadap mereka dibuat mengikut Akta Rahsia Rasmi atau OSA 1972 kerana mendedahkan rahsia kerajaan, termasuk berkaitan 1MDB.
Isu ini mula dibangkitkan oleh Speaker Parlimen, Pandikar Amin Haji Mulia selepas ketiga-tigas bekas menteri itu menyampaikan ucapan membahaskan Bajet 2017 di Parlimen yang kemudian diikuti dengan beberapa laporan polis turut dibuat berkenaan dengannya.

Berdasarkan hakikat yang ada, apakah nasib Muhyiddin, Shafie dan Husni selepas ini?

Dipenjara? Didenda? Atau dihukum sehingga hilang kelayakan daripada bertanding dalam PRU 14 akan datang?

Berikut adalah ulasan Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar berkenaan tindakan terhadap tiga bekas menteri itu.(SH 29/10/2016).


SUMPAH KERAHSIAAN MENTERI BUKAN LINDUNGI SALAH LAKU PEMIMPIN TETAPI LINDUNGI NEGARA DAN RAKYAT.

1. Amalan sumpah kerahsiaan di kalangan Anggota Kabinet telah menjadi amalan dalam semua kerajaan di dunia. Amalan ini untuk memastikan rancangan strategik sesebuah kerajaan dalam membangun negara tidak dipintas oleh pihak lain. Contohnya dalam penyediaan rancangan keselamatan dan pertahanan negara.

2. Ini bermakna perkara-perkara yang berkaitan dengan unsur rasuah dan penyelewengan pembelian peralatan pertahanan negara serta pelaburan dalam syarikat yang tidak wujud dalam rancangan pelaburan sebenar adalah tidak termasuk dalam sumpah kerahsiaan.

Contohnya pembayaran kepada Aabar Investment PJS Limited (Aabar BVI) yang bukan anak syarikat Petroleum Investment Company (IPIC) adalah perbuatan salah laku yang tidak boleh dirahsiakan dan rakyat berhak tahu.

3. Sumpah kerahsiaan Anggota Kabinet bukan bertujuan untuk melindungi jenayah salah laku mana-mana anggota kabinet termasuk Perdana Menteri. Jemaah Menteri bukannya 'jemaah penyamun' yang berpakat untuk melindungi jenayah salah laku antara satu sama lain. Sebaliknya Jemaah Menteri adalah satu jemaah untuk melindungi kepentingan negara dan rakyat.

4. Jika apa yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Handzlah (bekas menteri kewangan kedua) yang juga bekas jurucakap kabinet berkaitan dengan 1MDB didalam perbahasan bajet 2017 di Parlimen baru-baru ini dianggap melanggar sumpah kerahsiaan, ini bermakna Speaker Parlimen Malaysia telah mengakui kebenaran apa yang dibangkit dan didedahkan olih 3 bekas anggota jemaah menteri tentang jenayah salah laku dalam urusan pentadbiran kerajaan adalah benar tetapi ianya rahsia. 

Terima kasih Tan Sri Speaker, rasuah dan rompakan negara adalah rahsia.

#BerjuangUntukRakyat
#JanganTipuRakyat
#1MDBAdalahRahsia
#SelamatkanMalaysia
#BiarJasaJadiKenangan

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
29 Okt 2016/28 Muharam 1438H.

ALAHAI, KESIANNYA....


Sebagaimana maklumat daripada laman Facebook dan Twitter Najib Razak sendiri, semalam belau dilaporkan menerima kunjungan sekumpulan imam dan pelajar tahfiz di pejabatnya.

Tetapi, plakad bertulisan apa yang mereka pegang itu?

Cuba kita besarkan satu persatu gambar-gambar mereka agar lebih jelas gambaran atau tulisaa yang ada pada plakad tersebut.







Hehehe...mereka menyokong Najib rupanya!! 

Hahaha...yang memuji Bajet 2017 pun ada juga!!

Siapa agaknya yang menyediakan plakad-plakad yang mereka pegang itu?

Para imam dan pelajar tahfiz berkenaan yang menyediakannya atau mereka hanya disuruh memegangnya saja untuk tujuan diambil gambar?

Lihat pula wajah-mereka? Kenapa masam air muka dan macam terpaksa saja?

Alahai, kesiannya...konon inilah bukti Najib masih popular dan disukai.(SH 29/10/2016).

DAHULU DAN SEKARANG MEMANG JAUH BERBEZA!!


Dalam satu posting di blognya yang ternampak sedikit emosi yang ditujukan kepada Tun Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Najib Razak berkata, perjuangan dahulu dan sekarang adalah berbeza.

Katanya, perjuangan dahulu ialah memperjuangkan kemerdekaan, manakala sekarang pula membangunkan negara.
Memang tidak dinafikan bahawa banyak bezanya antara Tun Mahathir dahulu dengan Najib yang ada sekarang.

Ini adalah antara perjuangan dahulu yang ditinggalkan oleh Tun Mahathir:-

1. Putrajaya
2. PLUS Highway
3. Besraya Highway
4. NKVE Highway
5. KESAS Highway
6. Besarkan Seremban KL Highway
7. 2nd Link
8. KLIA
9. Jambatan Pulau Pinang
10. Litar Sepang 
11. Kompleks Sukan Bukit Jalil
12. Putra LRT
13. Star LRT
14. Komuter
15. Monorel
16. ERL
17. Pembesaran Pasir Gudang Port
18. West Port
19. Tanjung Pelepas Port
20. Smart Tunel
21. KL Tower
22. Daya Bumi
23. Perodua
24. Modenas
25. Proton
26. Masjid Wilayah
27. Masjid Putra
28. UTP
29. UIA
30. UUM
31. MMU
32. Cyberjaya
33. KLCC
34. Langkawi
35. Puluhan Masjid2 baru
36. Ratusan Surau2 baru
37. Hospital2 baru
38. Puluhan Sekolah2 baru
39. Puluhan Balai Polis baru
40. Puluhan bangunan Kuaters Guru baru
41. Puluhan bangunan Kuaters baru utk kakitangan kerajaan.
42. PICC
43. Ratusan lagi pembangunan di seluruh negara.

Sekarang:-

1. 1MDB
2. RM2,600 juta dalam akaun peribadi

Apa bezanya?

Dua yang ada sekarang saja sudah cukup untuk menenggelamkan semua yang dahulu. (SH 29/10/2016).

Friday, 28 October 2016

SIAPA LAGI MENTERI ADA SKANDAL SEKS?


Di antara menteri-menteri kabinet di atas, siapa lagi yang ada skandal seks? Tataplah satu persatu wajah mereka, adakah ia boleh dikenalpasti?

Ada sesiapa ingin tahu? Bila ia akan terdedah?

Semua mereka itu akan didapati ada skandal seks yang tersembunyi, sama ada dengan setiausaha sendiri, kerani pejabat, isteri orang atau sesiapa saja, jika tiba-tiba berani menentang Najib Razak dan mempersoalkan mengenai 1MDB.

Itulah trend sekarang ini dan ia secara tidak langsung menunjukkan betapa "agungnya" Najib dan 1MDB di mata pembodek dan pengampu-pengampunya. (SH 28/10/2016).

Thursday, 27 October 2016

ANTARA NAJIB DAN TIGA BEKAS MENTERI, SIAPA YANG DULU KENA?


Ada dua perkara yang berlaku di Parlimen hari ini (Khamis):-

Pertama, usul untuk merujuk Najib Razak kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas dakwaan mengelirukan Parlimen berkaitan ucapan Bajet 2017 yang dibentangkannya di Dewan Rakyat, Jumaat lalu.

Usul yang dikemukakan oleh seorang wakil DAP  itu mendakwa beberapa pengumuman yang dibaca oleh Najib dalam ucapan bajetnya tidak terdapat atau berbeza dengan apa yang terkandung dalam dokumen belanjawan.
Perbuatan itu dianggap cuba mengelirukan dewan kerana fakta yang sah ialah apa yang terkandung dalam dokumen belanjawan, bukan ucapan belanjawan oleh Najib

DAP memberi contoh, Najib dalam ucapannya menyebut SKMM akan membelanjakan RM1 bilion untuk menaik taraf liputan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar di seluruh negara sedangkan dalam anggaran perbelanjaan yang diperuntukkan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimeda yang menaungi SKMM, hanya RM57.5 juta diperuntukkan di bawah perbelanjaan pembangunan untuk projek jalur lebar.

Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Haji Mulia berkata, beliau memerlukan masa untuk menyiasat dakwaan berkenaan.

Ini kerana, tegasnya, kes prima facie mesti diwujudkan terlebih dahulu sebelum seseorang boleh dirujuk kepada jawatankuasa itu.

Kedua, kenyataan Pandikar Amin yang tidak menolak kemungkinan tiga bekas menteri yang menyentuh isu berkaitan 1MDB dalam ucapan membahaskan Bajet 2017 iaitu Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal dan Husni Hanadzlah, telah melanggar sumpah kerahsiaan sebagai anggota kabinet.

Kata beliau, ketiga-tiga mereka telah mengangkat sumpah menyimpan rahsia sewaktu menjadi menteri sebelum ini dan tidak sewajarnya mendedahkan sesuatu perkara berkaitan keputusan kabinet, walau di dalam Parlimen sekali pun.

Menurutnya lagi, jika pun sesuatu tindakan tidak diambil dalam persidangan Dewan Rakyat, bekas-bekas menteri itu mungkin berdepan tindakan perundangan di bawah Akta Rahsia Rasmi atau Akta Hasutan.

Kes pertama memerlukan Pandikar Amin  sendiri membuat keputusan berkaitan Najib yang didakwa mengelirukan Parlimen.

Berapa lama agaknya Pandikar Amin perlukan masa untuk menyiasat?

Kes kedua pula dibangkitkan oleh Pandikar yang menyebut kemungkinan tindakan perundangan boleh diambil ke atas tiga bekas menteri berkenaan kerana didakwa telah melanggar sumpah kerahsiaan.

Dalam hal ini, apa tujuan Pandikar sebagai Speaker membangkitkan mengenai tindakan perundangan itu?
Apakah ia bertujuan agar pihak berkuasa segera mengambil tindakan perundangan terhadap Muhyiddin, Shafie dan Husni dan dengan demikian supaya  Najib tidak perlu lagi memberi apa-apa jawapan berkaitan isu-isu 1MDB dalam penggulungan Bajet 2017 nanti?

Tetapi, tidakkah dengan mendakwa ketiga-tiga bekas menteri itu melanggar sumpah kerahsiaan, bermakna mereka telah memperkatakan suatu kebenaran?

Jika tidak, untuk apa mereka seolah-olah diancam dengan Akta Rahsia Rasmi dan Akta Hasutan?

Akhirnya, kes yang mana satu yang akan sangkut?

Najib dihadapkan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atau Muhyiddin, Shafie dan Husni lebih dulu akan berdepan tindakan perundangan daripada kerajaan? (SH 27/10/2016).

KENAPA 1MDB PAYAH SANGAT NAK CARI JURUAUDIT?


Pernahkah kita mendengar ada mana-mana syarikat milik kerajaan sebelum ini yang juruauditnya bertukar ganti sampai tiga kali?

Kemudian, pernahkah juga kita dengar ada mana-mana syarikat milik kerajaan yang begitu sukar untuk mendapatkan juruaudit baru sebagai pengganti?

Kenapa hanya 1MDB yang ditimpa masalah begitu?
Masihkah lagi kita mahu percaya bahawa 1MDB adalah sebuah syarikat milik kerajaan yang tidak bermasalah dan semuanya selama ini diurus dengan baik?

Jika tidak bermasalah dan semuanya okay, mengapa sehingga ini seolah-olah tiada juruaudit yang sanggup melakukan audit untuk 1MDB?

Selama 22 tahun Tun Mahathir Mohamad jadi Perdana Menteri, pernahkah kita dengar ada syarikat milik kerajaan yang bukan saja tidak diaudit lebih daripada setahun, bahkan untuk melantik juruaudit baru pun banyak kesukarannya?

Dalam hal ini, apa kata Kementerian Kewangan dan 1MDB meminta bantuan Salleh Said Keruak, Abdul Rahman Dahlan atau Annuar Musa untuk mendapatkan juruaudit baru bagi syarikat pelaburan kerajaan paling bermasalah sejak merdeka itu?

Manalah tahu kalau-kalau ada syarikat audit di Kota Belud atau Ketereh yang sanggup menjalankan "tugas murni"  untuk 1MDB itu!! (SH 27/10/2016).

Wednesday, 26 October 2016

ROSMAH LEBIH JUJUR BERBANDING NAJIB?


Sejak nama Malaysian Official 1 disebut dalam kertas pendakwaan Jabatan Kehakiman AS dan individu yang dikaitkan dengan gelaran itu juga tidak sukar untuk difahami identitinya, apa yang ditunggu-tunggu ialah pengakuan jujur dan ikhlas daripada orang yang dinamakan itu.

Meskipun Abdul Rahman Dahlan turut mengesahkan bahawa Malaysian Official 1 atau MO1 adalah Najib Razak, tetapi sehingga hari ini kita belum lagi mendengar beliau mengesah atau menafikannya.

Dalam berteriak sebagai Pahlawan Bugis dan pantang menyerah walau sehingga bumi berkeping dua serta sesekali mencabar orang lian di saja sini, mengapa Najib begitu takut mengaku dirinya sebagai MO1?
Sebaliknya, isteri beliau, Rosmah Mansor pula yang telihat ada keberaniannya.

Bukan saja berani mengakui dirinya dalam adalah isteri MO1, Rosmah juga sebagaimana yang disebut oleh Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik, turut tidak gentar melontarkan cabaran, "Kamu ingat saya takut dengan kamu."

Woww...hebat betul "First Lady"  kita ini.

Sekurang-kurangnya dengan pengakuan tersebut, Rosmah bukan saja terlihat lebih berani berbanding Najib, malah tidak gentar untuk berlaku jujur dan berterus-terang.

Bila lagi Najib mahu jadi seberani Rosmah?  (SH 26/10/2016).

SOMBONGNYA "BAKAL PM" NI!!


Agaknya pemimpin-pemimpin UMNO sekarang tidak boleh ditegur sama-sekali, baik oleh orang luar mahupun pemimpin dalam parti itu sendiri.

Kalau teguran pemimpin veteran seperti Tengku Razaleigh yang banyak berjasa dan pengalaman pun, ada pemimpin UMNO yang kononnya merupakan "calon bakal Perdana Menteri di masa depan" mengatakan, "jangan dilayan teguran itu", siapa lagi yang boleh memberi pandangan?

Ketika melancarkan sebuah buku Isnin lalu, Tengku Razaleigh antara lain berkata, UMNO perlu melakukan perubahan dalam strategi politiknya kerana ramai yang berpendapat parti itu ketika ini banyak menghampakan rakyat serta tidak lagi bertindak untuk kepentingan negara.

Beliau kemudian menggariskan 10 perkara yang perlu dilakukan oleh UMNO jika ingin terus relevan dan kekal berkuasa.
Apa yang salahnya dengan teguran Ku Li itu? 

Apakah sebagai pemimpin lama, beliau tidak boleh memberi teguran sama sekali?

Dah UMNO tengah nazak dan ditolak di sana sini pun,  masih nak sombong lagi? (SH 26/10/2016).

Tuesday, 25 October 2016

SARANAN "BIJAK" SEORANG KJ


Kontrak penganjuran Fomula 1 di Litar Sepang adalah sehingga 2018 dan ketika nasib perlumbaan itu dijangka diputuskan pada minggu depan berikutan kemerosotan jualan tiket yang mendadak sejak 2014 yang lalu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pantas menyarankan agar perlumbaan itu segera diberhentikan.

Saya rasa kita perlu berhenti menganjurkan perlumbaan Formula 1, sekurang-kurangnya untuk sementara waktu. Kos terlalu tinggi, pulangan terhad, kata beliau,

Tampak dengan saranan KJ itu seperti satu lagi legasi Tun Mahathir Mohamad bakal dilenyapkan.
Dua minggu lalu, Mokhzani Mahathir diminta meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Litar Sepang, kini perlumbaan Formula 1 di negara ini yang merupakan cetusan idea Tun Mahathir pula mahu dimangsakan.

Saranan KJ mahu menghentikan perlumbaan Formula 1 pula hanya menyusul beberapa hari setelah Najib mengumumkan "kematian"  visi Wawasan 2020 untuk digantikan dengan impian Transformasi Nasional 2050 atau TN50 sebagaimana yang diumumkannya  dalam pembentangan Bajet 2017.

Dari segi pertimbangan kos dan bagi  menjimatkan perbelanjaan wang negara di ketika suasana ekonomi sedang suram, saranan KJ itu tidaklah  sukar untuk difahami. Ada logik dan rasionalnya.

Tidak dinafikan kos penganjuran perlumbaan Formula 1 adalah tinggi, malah pelaburan membina litarnya saja berjumlah ratusan juta ringgit. Tetapi Tun Mahathir membawa perlumbaan itu ke Malaysia dengan tujuan agar negara kita lebih dikenali di seluruh dunia.

Perlumbaan Formula 1 dipancarkan secara langsung ke banyak negara di seluruh dunia dan  peminatnya juga berjuta jumlahnya. Maka, secara langsung nama Malaysia lebih dikenali dan meniti di bibir antarabangsa melaluinya.

Diambil daripada semua itu, nilai kos berbanding manfaat yang diperolehi negara daripada perlumbaan tersebut jauh lebih berganda. Itu belum dikira lagi berkembangnya minat dan pertumbuhan lain di sebalik penganjuran perlumbaan paling berprestij itu. 

Begitulah cara Tun Mahathir berfikir untuk memajukan negara serta untuk merangsang minat rakyat terhadap sesuatu perkara.

Harus diakui, sejak Najib memimpin negara, perlumbaan Formula 1 sebenarnya tidak diperlukan lagi unfuk mempromosi negara ini. Isu 1MDB saja jauh lebih lumayan nilai promosinya untuk Malaysia, malah ia percuma lagi.

Sukar untuk mencari ada syarikat milik kerajaan yang hebat seperti 1MDB sehingga mampu menyebabkan dua buah bank ditutup di negara lain dan beberapa negara lain melakukan penyiasatan serta pendakwaan. Jika perbicaraan DOJ di Amerika bermula nanti, pasti lebih banyak lagi promosi percuma untuk Malaysia.

Untuk itu, sebarang bentuk promosi yang perlu mengeluarkan belanja seperti penganjuran Formula 1 adalah suatu pembaziran.  Tentu KJ sudah dapat melihat bahawa selain kos, terus mengadakan perlumbaan Formula 1 juga tidak lagi bermanfaat  kerana promosi melalui 1MDB boleh dikata diperolehi setiap hari secara percuma.

Sebab itu, KJ juga kata sekurang-kurangnya penganjuran itu dihentikan buat sementara. Maknanya, selagi isu 1MDB masih ada dan diperkatakan di seluruh dunia untuk beberapa tahun mendatang, jimatkanlah wang dengan menghentikan seketika penganjuran Formula 1 itu.

Terlihat bijak  KJ dengan serampang dua matanya. Dalam dia bertindak seperti membantu, dia jua mahu "mengenakan" Najib berkaitan 1MDB dan seterusnya menjadikan permusuhan Perdana Menteri dengan Tun Mahathir terus "panas" melalui penghapusan satu lagi legasi. (SH 25/10/2016).

SOALAN2 YANG TERLEWAT DARI HUSNI


Ramai orang nampaknya amat teruja dengan soalan-soalan yang ditanyakan oleh bekas Menteri Kewangan Kedua, Husni Hanadzlah berkaitan 1MDB ketika membahaskan Bajet 2017 di Parlimen semalam, meskipun sebahagian pertanyaan itu sebenarnya adalah biasa-biasa saja.

Misalnya, soalan  mengapa 1MDB ditubuhkan, pakcik saya yang hanya seorang guru pencen sudah menanyakan soalan itu kepada saya kira-kira lebih setahun yang lalu kerana menurutnya, bukankah kerajaan sudah ada badan pelaburannya sendiri iaitu Khazanah Nasional untuk menjalankan aktiviti pelaburan?

Sebab itu, bila baru sekarang Husni bertanyakan soalan itu, kita juga mahu bertanya kepadanya, kenapa sejak dulu ketika sama-sama berada dalam kabinet, beliau tidak menyoal sendiri kepada Najib?

Dalam pada itu, barangkali sebahagian soalan-soalan itu Husni sendiri tahu jawapannya, manakala sebahagian yang lain mungkin tujuannya kerana mahu Najib Razak sendiri menjawabnya di Parlimen. Hanya Tuhan yang tahu tujuan dan nawaitu Husni itu.

Tidak perlu juga rasanya didetailkan apa soalan-soalan yang dibangkitkan oleh Husni itu kerana video ucapan beliau dan transkrip mengenainya sudah bersepah-sepah di media sosial dan whatsapp grup sekarang ini.

Bagi mereka yang sudah mengikuti isu 1MDB ini sejak dulu, masalah dan kepincangan mengenai syarikat pelaburan yang ditubuhkan Najib itu sebagaimana yang dibangkitkan oleh Husni memang sudah lama dalam perhatian ramai.

Hal-hal berkaitan wang pencen RM4 bilion yang kononnya dipinjam untuk perlombongan, terbitan bon, Aabar PJS Ltd, IPIC, Bandar Malaysia, mengapa tiada tindakan terhadap pengurusan 1MDB, kes di mahkamah timbangtara sehinggalah kepada tindakan-tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa Singapura, Switzerland dan Amerika, semuanya adalah kebimbangan yang ada di hati rakyat mengenai tingkahlaku Najib yang dianggap membahayakan masa depan negara serta diperbualkan di mana-mana.

Tidak ada sesiapa yang bersetuju dengan segala kemelut 1MDB, lebih-lebih lagi apabila kemudiannya dalam akuan Najib ada wang RM2,600 juta, Riza Aziz, anak tirnya tiba-tiba jadi tauke filem di Hollywood sambil mampu membeli banyak hartawan mewah di luar negara, percutian di kapal mewah bersama Jho Low dan pelbagai kecurigaan yang lain yang berlaku silih berganti.

Tetapi ketika segala kemelut itu berlaku, Husni adalah Menteri Kewangan Kedua dan beliau pernah ditugaskan oleh kabinet untuk menjadi jurucakap mengenai sebarang isu berkaitan 1MDB.

Soalnya, adakah waktu itu beliau pernah bertanya apa-apa soalan yang tidak difahaminya sekarang, sama ada kepada Najib sendiri mahupun kepada pengurusan 1MDB?

Jika dulu tidak pernah bertanyakan sebarang soalan, kenapa hanya baru sekarang mahu bertanya?

Kenapa juga waktu itu beliau tidak berusaha mencari jawapan atas kapasitinya sebagai menteri dan jika maklumat didapati disembunyikan atau jawapan yang diperolehi tidak memuaskan hatinya atau jelas ada "kong kali kong" dalam 1MDB, atas dasar apa beliau sanggup kekal bersekongkol duduk dalam kabinet bertahun-tahun lamanya?

Perlu diingat bahawa Husni meletakkan jawatan bukan disebabkan tidak setuju dengan 1MDB atau enggan bersama dengan ketidakjujuran Najib berkaitan syarikat pelaburan itu, tetapi hanya kerana tidak mahu dipindahkan ke kementerian lain yang dianggapnya bertentangan dengan hasrat hatinya mahu kekal di Kementerian Kewangan sehingga pencen.

Husni tidaklah seperti Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal atau Mukhriz Mahathir yang berani bersuara mengenai 1MDB ketika masih berjawatan dan akhirnya sanggup hilang kedudukan serta jawatan kerananya.

Beliau berundur hanya kerana tidak setuju dipindahkan dari lubuk Kementerian Kewangan. Husni jauh sekali sedia meletakkan jawatan kerana isu 1MDB, sebaliknya hanya pertukaran kedudukan dan jawatan yang membuatkannya berundur, satu tindakan yang terlalu kecil dari segi harga perjuangan.

Bayangkan, apa jadi jika dalam rombakan tempohari, Najib tiada perancangan untuk menukarkan Husni atau bersetuju untuk terus  mengekalkannya lagi sebagai  Menteri Kewangan Kedua? 

Di mana dan mirip ke mana suaranya sekarang ini? 

Mungkin mustahil soalan-soalannya semalam masih  dapat dengari di Parlimen, tetapi adakah Husni masih mahu bertanyakannya secara bisik-bisik atau ketika pertemuan empat matanya dengan Najib?

Ada kawan-kawan berkata,  soalan-soalan Husni di Parlimen semalam adalah gambaran ingin menebus rasa bersalah dan tekanan perasaan yang ada dalam dirinya selama ini.  Beliau mungkin mahu menebus dosa dan kesalahan silamnya.

Namun, ia adalah tindakan yang terlewat, tambahan lagi jika disedari bahawa pengunduran dirinya daripada kabinet bukan ada apa-apa kaitan dengan 1MDB. Cuma tidak mahu dipindah keluar daripada Kementerian Kewangan saja.

Malah,  jika sejak 2009 atau tahun-tahun kemudiannya,  beliau sedar ada kesalahan dan kepincangan dalam 1MDB yang ditubuhkan oleh Najib yang dipapancaturkan oleh Jho Low, sebaliknya Husni hanya mampu mendiamkan diri, tidak bertanyakan soalan, jauh sekali untuk menjadi seberani Muhyiddin, Shafie dan Mukhriz, beliau tetap bersalah dari segi amanah kepada seluruh rakyat Malaysia ini.

Mudah-mudahan Tuhan memberi keampunan dan memberkati hari-hari mendatang di baki usianya nanti. (SH 25/10/2016).

Monday, 24 October 2016

AHLI2 PARLIMEN BN JAUH LEBIH MEMALUKAN


Bukan saja Najib Razak tidak hadir, malah majoriti Ahli-Ahli Parlimen BN tidak berada di dalam dewan ketika Ketua Pembangkang, Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan ucapannya membahaskan Bajet 2017.
Bahkan jika diimbas, tidak seperti menteri-menteri kewangan  sebelum ini, Najib diketahui umum sejak dulu memang jarang benar meluangkan masa mendengar ucapan wakil-wakil parti pembangkang berkaitan belanjawan.

Adakah Najib merasakan belanjawan yang dibentangkannya sudah begitu sempurna sehingga tidak mahu langsung mendengar pandangan-pandangan lain yang berbeza?

Kenapa marah orang lain keluar dewan jika diri sendiri dengan sengaja bersikap sombong dan mementingkan diri tidak mahu mendengar pendapat serta pandangan orang lain? 

Tidakkah tindakan sengaja tidak hadir itu jauh lebih memalukan?  (SH 24/10/2016).

TUAN IBRAHIM SAJAKAH DALAM PAS YANG SEDAR BAHAYANYA NAJIB KEPADA RAKYAT MALAYSIA?


Menurut kata Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, kemungkinan besar kadar cukai GST akan mengalami kenaikan jika kerajaan UMNO dan BN terus kekal berkuasa selepas PRU 14 akan datang.

Keadaan ini, tambah beliau, tidak mustahil akan berlaku sekiranya kerajaan gagal mempelbagaikan hasil pendapatan untuk menampung perbelanjaan yang semakin besar.

Sekiranya jangkaan hasil tidak menepati sasaran, apakah bermakna lebih banyak lagi duit akan diambil dari rakyat?, tanya beliau.

Dalam erti kata lain, Tuan Ibrahim sedar bahayanya kepada rakyat jika UMNO, BN dan Najib Razak terus kekal berkuasa selepas PRU 14 akan datang.
Berdasarkan Bajet 2017, tidak terlibat projek-projek berimpak tinggi yang mampu menjana pendapatan bakal dilaksanakan oleh Najib, sebaliknya yang selalu dipuji berulang-kali ialah GST yang dianggap penyelamat kepada ekonomi negara.

Menumpukan semata-mata hanya kepada GST, apatah lagi jika kadarnya sentiasa dinaikkan, bererti Najib terus menekan kehidupan rakyat.

Tetapi, adakah para pemimpin Pas lain juga sedar bahayanya UMNO, BN dan Najib kepada rakyat negara ini?

Jika mereka turut sedar, mengapa Hadi Awang semakin kendur perjuangannya serta pernah berkata, parti itu tidak mahu berebut kuasa, sebaliknya memadai menjadi penasihat saja?

Begitu juga, mengapa Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin dengan keras menyatakan enggan bekerjasama dengan sebarang usaha untuk menjatuhkan Najib?

Kenapa pula Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan menolak untuk  bersama-sama menyertai Bersih 5 bagi menuntut pilihanraya yang adil dan bersih bagi tujuan lebih mungkin UMNO, BN serta Najib dapat disingkirkan?

Apa sebenarnya perjuangan Pas sekarang? 

Mahu membela rakyat dan membebaskan mereka daripada segala derita dan kesengsaraan yang diakibatkan oleh UMNO, BN serta kepimpinan Najib atau mahu membantu beliau terus kekal sebagai Perdana Menteri?

Lagi-lagi yang selalu kedengaran bersuara pro kepada rakyat dalam Pas hanyalah Tuan Ibrahim, manakala yang lain-lain seperti merasakan Najib itu lebih agung untuk terus dikekal dan dipertahankan.

Adakah Tuan Ibrahim sedang bersendirian dengan pendirian pro rakyat dalam Pas ketika ini? (SH 24/10/2016).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...